Tafsir Surah al-Maidah Ayat 115 – 120 (Allah tidak ampunkan dosa syirik)

Maidah Ayat 115: Ini adalah jawapan daripada Allah ‎ﷻ kepada doa Nabi Isa عليه السلام itu.

قالَ اللَّهُ إِنّي مُنَزِّلُها عَلَيكُم ۖ فَمَن يَكفُر بَعدُ مِنكُم فَإِنّي أُعَذِّبُهُ عَذابًا لّا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِّنَ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh said, “Indeed, I will send it down to you, but whoever disbelieves afterwards from among you – then indeed will I punish him with a punishment by which I have not punished anyone among the worlds.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu kepadamu, barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah (turun hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah Aku timpakan kepada seorang pun di antara umat manusia”.

 

قالَ اللَّهُ إِنّي مُنَزِّلُها عَلَيكُم

Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu kepadamu, 

Lafaz مُنَزِّلُ bermaksud Allah ‎ﷻ boleh bawa turun selalu hidangan dari langit, bukan sekali sahaja tetapi banyak kali pun boleh. Ia bukanlah susah untuk Allah ‎ﷻ. Juga bermaksud: Allah ‎ﷻ pasti akan turunkan hidangan itu.

 

فَمَن يَكفُر بَعدُ مِنكُم فَإِنّي أُعَذِّبُهُ عَذابًا لّا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِّنَ العٰلَمينَ

barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah (turun hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah Aku timpakan kepada seorang pun di antara umat manusia”.

Tetapi Allah ‎ﷻ beri peringatan. Jangan main-main dan kena fikirkan balik. Jika Allah ‎ﷻ sudah bawa turun makanan itu dan ada juga yang menolak agama selepas itu, mereka akan diberikan dengan azab yang amat berat. Akan diberikan seksaan dengan sejenis azab yang Allah ‎ﷻ tidak pernah azab seperti itu terhadap penduduk alam yang lain.

Maknanya, azab yang amat-amat berat, bukan azab yang biasa. Azab yang biasa pun sudah teruk, tetapi Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz yang amat menakutkan sekali. Dia sendiri yang akan seksa! Maka ini azab yang lain daripada biasa, kerana selalunya yang akan beri seksaan itu adalah malaikat.

Jadi, ada peringatan dalam ayat ini supaya jangan minta perkara yang akan menyusahkan diri sendiri. Azab itu tidak disebut pun, tetapi Dia cuma kata Dia sendiri yang akan seksa. Dia boleh beri, tetapi ada ancaman dalam pemberian itu.

Para ulama’ tafsir khilaf tentang penurunan maidah ini. Ada yang kata memang Allah ‎ﷻ bawa turun hidangan itu dan ada juga yang kata Allah ‎ﷻ tidak bawa turun pun. Ini kerana mereka takut dengan syarat ketat yang Allah ‎ﷻ telah berikan, maka tidak jadi diturunkan. Allahu a’lam. Pendapat jumhur mengatakan, memang bawa turun sungguh. Ada yang mengatakan ia diturunkan pada pagi atau petang hari Ahad, maka kerana itu Ahad menjadi hari yang mulia bagi Kristian.

Namun selepas itu ada yang menerima kebenaran dan ada juga yang ingkar. Dan sesiapa yang ingkar itu terus menjadi khinzir semasa di dunia lagi kerana mereka yang minta diturunkan makanan dari langit, tetapi kemudian mereka bertanya pelbagai perkara pula: dari mana datangnya dari langitkah atau dari dunia, betulkah Allah ‎ﷻ yang menurunkannya dan sebagainya. Allahu a’lam.

Ibnu Jarir telah meriwayatkan melalui jalur Auf Al-A’rabi, daripada Abul Mugirah Al-Qawwas, daripada Abdullah ibnu Amr yang mengatakan bahawa manusia yang paling keras azabnya kelak di hari kiamat ada tiga jenis, iaitu orang-orang munafik, orang-orang yang kafir dalam kalangan mereka yang menerima hidangan dari langit, dan Fir’aun berserta para pendukungnya.

Ada banyak kisah tentang makanan ini tetapi kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya lagi, maka tidak dimasukkan ke dalam penulisan ini. Ada menyebut mereka minta setelah mereka disuruh berpuasa, maka mereka minta ‘hadiah’ selepas 30 hari berpuasa; ada yang menyebut tentang jenis-jenis makanan; ada yang menyebut tentang kesan hebat selepas memakan makanan itu; ada yang menyebut berapa ramai yang makan sampai 4 ribu orang; ada yang menyebut hal-hal yang terjadi selepas makanan itu diturunkan.

Sekian Ruku’ 15 dari 16 ruku’ dalam surah ini.


 

Maidah Ayat 116: Ini adalah ayat jenis i’adah: pengulangan semula, kembali memperkatakan tajuk asal yang pernah disebut sebelum ini: kenapa ramai makhluk memuja Nabi Isa عليه السلام.

وَإِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ ءأَنتَ قُلتَ لِلنّاسِ اتَّخِذوني وَأُمِّيَ إِلٰهَينِ مِن دونِ اللَّهِ ۖ قالَ سُبحٰنَكَ ما يَكونُ لي أَن أَقولَ ما لَيسَ لي بِحَقٍّ ۚ إِن كُنتُ قُلتُهُ فَقَد عَلِمتَهُ ۚ تَعلَمُ ما في نَفسي وَلا أَعلَمُ ما في نَفسِكَ ۚ إِنَّكَ أَنتَ عَلّٰمُ الغُيوبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [beware the Day] when Allāh will say, “O Jesus, Son of Mary, did you say to the people, ‘Take me and my mother as deities besides Allāh?’ ” He will say, “Exalted are You! It was not for me to say that to which I have no right. If I had said it, You would have known it. You know what is within myself, and I do not know what is within Yourself. Indeed, it is You who is Knower of the unseen.

(MALAY)

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: “Jadikanlah aku dan ibuku dua orang ilah selain Allah?”. Isa menjawab: “Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). Jika aku pernah mengatakan, maka tentulah Engkau mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib-ghaib”.

 

وَإِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Hai Isa putera Maryam, 

Oleh kerana Nabi Isa عليه السلام adalah ilah (yang dilantik manusia) yang paling banyak dipuja kalau dibandingkan dengan nabi-nabi lain, maka Allah ‎ﷻ menceritakan tentang Nabi Isa عليه السلام panjang sikit. Allah ‎ﷻ menceritakan soalan yang akan ditanyakan kepada baginda di akhirat kelak.

 

ءأَنتَ قُلتَ لِلنّاسِ اتَّخِذوني وَأُمِّيَ إِلٰهَينِ مِن دونِ اللَّهِ ۖ

adakah engkau mengatakan kepada manusia: “Jadikanlah aku dan ibuku dua ilah selain Allah?”. 

Soalan Allah ‎ﷻ: adakah kamu telah ajar kepada orang ramai untuk menjadikan dirimu dan ibumu sebagai ilah selain Allah ‎ﷻ? Adakah kamu ajar begitu kerana ramai pengikut Kristian sekarang ini…. wahai penganut Kristian, bacalah ayat ini betul-betul. Kamu sekarang yang menjadikan Nabi Isa عليه السلام dan ibunya Maryam رضي الله عنها sebagai pujaan bukan?

Soalan ini akan Allah ‎ﷻ tanyakan di hadapan mereka yang telah menjadikan Nabi Isa عليه السلام dan ibunya Maryam رضي الله عنها sebagai sembahan ilah.

 

قالَ سُبحٰنَكَ

Isa menjawab: “Maha Suci Engkau,

Jawapan Nabi Isa عليه السلام: Maha Suci Engkau daripada ada ilah selain Engkau. Kalimah tasbih adalah menolak syirik. Maka Nabi Isa عليه السلام sendiri membersihkan fahaman yang salah itu. Memang tidak ada dalam fahaman baginda adanya ilah yang lain selain Allah ‎ﷻ.

Lihatlah bagaimana Nabi Isa عليه السلام sendiri tidak mengaku sebagai tuhan. Jadi kenapa umat Kristian senang sahaja mengaku baginda sebagai tuhan?

 

ما يَكونُ لي أَن أَقولَ ما لَيسَ لي بِحَقٍّ

tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku

Sambung Nabi Isa عليه السلام lagi dalam jawapan baginda: tidaklah layak untuk aku bercakap yang bukan hak aku. Aku tidak ada hak berkata begitu.

Nabi Isa عليه السلام tidak akan membuat benda yang salah dari segi agama. Baginda tidak pernah suruh dan tidak pernah kata sesiapa pun boleh puja baginda sebagai ilah. Yang menjadi masalah adalah umat manusia yang salah faham dan tidak menjauhkan diri daripada syirik.

 

إِن كُنتُ قُلتُهُ فَقَد عَلِمتَهُ

Jika aku pernah mengatakan, maka tentulah Engkau mengetahuinya. 

Nabi Isa عليه السلام sambung: kalau aku pernah cakap begitu dahulu, tentu Kamu pun tahu. Kamu tahu setiap kalimah yang aku sebutkan.

Jadi ayat ini bukanlah bermakna Allah ‎ﷻ tidak tahu. Allah ‎ﷻ memang tahu apa yang terjadi. Tetapi kerana Allah ‎ﷻ hendak mengajar dan menegur golongan yang menjadikan baginda sebagai ilah.

 

تَعلَمُ ما في نَفسي

Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku

Nabi Isa عليه السلام menyebut bahawa tentu Allah ‎ﷻ mengetahui apa yang ada dalam hati baginda. Segala-galanya tentang baginda, Allah ‎ﷻ tentu tahu.

 

وَلا أَعلَمُ ما في نَفسِكَ

dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. 

Dan baginda mengaku yang baginda tidak tahu apa yang ada pada Allah ‎ﷻ. Dalam ayat ini, baginda membezakan diri baginda daripada Allah ‎ﷻ. Tidaklah baginda satu daripada tiga – triniti. Amat sesat sekali apa yang difahami oleh orang Kristian sekarang.

 

إِنَّكَ أَنتَ عَلّٰمُ الغُيوبِ

Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib-ghaib”.

Sekarang diberikan satu penekanan yang amat penting: Allah ‎ﷻ sahaja yang mengetahui segala perkara yang ghaib. Manusia lain, termasuk para Nabi, termasuk Nabi Isa عليه السلام, tidak tahu alam ghaib melainkan apa yang Allah ‎ﷻ khabarkan sahaja.

Inilah akidah yang kita kena pegang. Yang tahu ilmu ghaib hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Tidak ada makhluk lain yang tahu. Maka jangan kita buat syirik dengan mengatakan ada makhluk yang tahu ilmu ghaib, sama ada jin, malaikat, manusia seperti Nabi, wali, guru, ustaz dan sesiapa sahaja. Memang ada salah faham begini dalam kalangan masyarakat Muslim maka kena tolak fahaman yang sebegini.


 

Maidah Ayat 117: 

ما قُلتُ لَهُم إِلّا ما أَمَرتَني بِهِ أَنِ اعبُدُوا اللَّهَ رَبّي وَرَبَّكُم ۚ وَكُنتُ عَلَيهِم شَهيدًا مّا دُمتُ فيهِم ۖ فَلَمّا تَوَفَّيتَني كُنتَ أَنتَ الرَّقيبَ عَلَيهِم ۚ وَأَنتَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I said not to them except what You commanded me – to worship Allāh, my Lord and your Lord. And I was a witness over them as long as I was among them; but when You took me up, You were the Observer over them, and You are, over all things, Witness.

(MALAY)

Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya iaitu: “Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu”, dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.

 

ما قُلتُ لَهُم إِلّا ما أَمَرتَني بِهِ

Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku

Nabi Isa عليه السلام kata tidaklah baginda bercakap kepada mereka melainkan apa yang Allah ‎ﷻ perintahkan baginda cakap sahaja. Baginda tidak memandai cakap ikut nafsu sendiri.

 

أَنِ اعبُدُوا اللَّهَ رَبّي وَرَبَّكُم

iaitu: “Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu”, 

Ini yang baginda perintahkan kepada umatnya: hendaklah mereka semua sembah dan seru Allah ‎ﷻ sahaja kerana Dia yang mencipta dan memelihara baginda dan mereka semua. Inilah yang penting sekali baginda telah beritahu kepada mereka, iaitu tentang tauhid.

Lihatlah bagaimana Nabi Isa عليه السلام mengaku yang baginda adalah hamba dan Allah‎ ﷻ itu Tuhan. Tidaklah seperti yang dikatakan oleh penganut Kristian sekarang.

 

وَكُنتُ عَلَيهِم شَهيدًا مّا دُمتُ فيهِم

dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. 

Dan baginda hanya berhak menjadi saksi ke atas mereka selama mana baginda hidup bersama mereka; iaitu semasa baginda belum diangkat ke langit. Waktu itu baginda tinggal bersama dengan mereka, maka bolehlah baginda tahu apa yang mereka cakap dan fahaman mereka, setakat yang zahir sahaja.

 

فَلَمّا تَوَفَّيتَني كُنتَ أَنتَ الرَّقيبَ عَلَيهِم

Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka.

Dan apabila Allah ‎ﷻ telah mematikan baginda, Allah ‎ﷻlah yang menguasai penuh ke atas mereka. Baginda tidak tahu menahu termasuk yang mereka puja baginda. Soal jawab ini terjadi selepas Hari Kiamat kelak. Bukannya semasa baginda diangkat ke langit. Maknanya, selepas baginda diangkat ke langit, baginda akan diturunkan kembali ke dunia dan akan diwafatkan seperti orang lain juga.

Selepas baginda wafat, baginda tidak tahu apa yang terjadi di dunia. Ini menunjukkan bahawa apabila baginda diangkat ke langit, baginda tidak tahu perbuatan umat baginda. Sama juga kalau seseorang itu telah mati, telah putus hubungan dengan dunia.

Jadi, ini adalah sebagaimana wali dan Nabi yang tidak tahu ada manusia yang memuja dan menyeru mereka. Maka sia-sialah harapan puak musyrik terhadap wali dan Nabi mereka. Termasuk jugalah kalangan masyarakat Islam yang memuja wali dan Nabi-nabi, yang pergi ke kubur dan minta macam-macam itu.

 

وَأَنتَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.

Allah ‎ﷻ maha menyaksikan atas segala perkara. Jadi, segala perbuatan manusia, Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ suruh malaikat catit. Nanti akan dibentang di akhirat kelak dan akan dibalas sesuai dengan perbuatan itu. Jika perbuatan itu adalah perbuatan syirik, maka yang akan dibalas adalah neraka selama-lamanya.


 

Maidah Ayat 118: Allah‎ ﷻ hendak mengajar bahawa syafaat bukanlah datang daripada Nabi Isa عليه السلام juga. Ini penting kerana ramai yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام akan memberi syafaat kepada mereka. Mereka berharap kepada Nabi Isa عليه السلام sehinggakan mereka berasa bebas membuat dosa sepanjang minggu dan sehingga hari Ahad, atau sekali sekala, mereka akan ‘cuci dosa’ di gereja.

Mereka telah reka satu akidah di mana para paderi menjadi wakil kepada Nabi Isa عليه السلام untuk mengampunkan segala dosa mereka. Padahal, paderi itu pun tidak tahu sama ada Nabi Isa عليه السلام terima atau tidak taubat mereka. Jadi pening habis agama mereka, jadi rosak terus. Inilah kebodohan yang berlaku dalam agama Kristian. Maka kita kena beritahu kepada mereka tentang kesesatan mereka.

Jika tidak diberitahu, begitulah mereka akan jadi, masuk neraka buat selama-lamanya; tiada peluang langsung untuk keluar. Sedangkan ramai antara mereka memang orang yang baik-baik dari segi akhlak dan hati mereka.

إِن تُعَذِّبهُم فَإِنَّهُم عِبادُكَ ۖ وَإِن تَغفِر لَهُم فَإِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If You should punish them – indeed they are Your servants; but if You forgive them – indeed it is You who is the Exalted in Might, the Wise.”

(MALAY)

Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

إِن تُعَذِّبهُم فَإِنَّهُم عِبادُكَ

Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau,

Nabi Isa عليه السلام sambung lagi kata-kata baginda: jika Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk mengazab mereka yang telah berbuat dosa itu, maka tiada bangkangan daripada sesiapa pun. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang, kerana kuasa penuh adalah pada Allah ‎ﷻ.

Ini adalah jumlah ta’liliyah (sebab): Allah ‎ﷻ boleh membuat apa sahaja dengan hamba-Nya, sebabnya kerana mereka itu semua hamba Allah ‎ﷻ. Oleh itu, Nabi Isa عليه السلام tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk beri keampunan kepada mereka. Jadi apa yang penganut Kristian lakukan setiap minggu hari Ahad itu adalah sia-sia sahaja.

 

وَإِن تَغفِر لَهُم فَإِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Namun begitu, sekiranya Engkau mengampuni mereka di atas kesalahan syirik mereka, itu bukan sifat ketuhanan. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ telah berjanji tidak akan mengampuni dosa syirik. Dan kerana sifat rahmat tidak ada pada orang kafir syirik. Engkau maha gagah perkasa dan maha bijaksana, engkau boleh hukum mereka.

Allah‎ ﷻ telah memberi peluang untuk menguji mereka dan mereka telah terkandas. Maka tidak ada maaf untuk mereka. Memang Allah ‎ﷻ boleh beri keampunan tetapi tidak dalam perkara syirik.

Jadi, ayat ini kena faham sebaik-baiknya, kerana kalau kita salah tafsir, ia akan menjadi berlawanan dengan ayat-ayat lain. Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tidak menggunakan pun lafaz Sifat Dia al-Ghafur dan al-Affuw kerana itu adalah tentang sifat memberi ampun dan ayat ini bukan tentang memberi keampunan kepada mereka yang telah melakukan syirik.

Maka sekian sahaja cerita mengenai orang Kristian. Mereka itu semenjak kecil sehingga mati memuja Nabi Isa عليه السلام kerana salah faham dalam agama. Ini kerana agama mereka telah dirosakkan oleh agamawan mereka, dan kitab wahyu yang mereka patut ada pun telah dirosakkan oleh ahli agama yang terdahulu. Malangnya, orang kita yang patutnya ada Al-Qur’an, tetapi buat sama sahaja seperti mereka, itu yang pelik.

Al-Qur’an tidak pernah dapat diubah dan tetap begitu juga. Namun ramai yang tidak faham dan keliru tentang agama kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Jadi, kalau ada Al-Qur’an pun, tetapi tidak faham isi kandungannya, tidak menjadi juga, boleh menjadi sesat juga.

Nabi Muhammad ﷺ akan memberikan jawapan yang sama juga nanti di akhirat seperti yang disebut dalam satu hadith:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَوْعِظَةٍ، فَقَالَ: “يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ مَحْشُورُونَ إِلَى اللَّهِ، عَزَّ وَجَلَّ، حُفَاةً عُرَاةً غُرْلا كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُعِيدُهُ، وَإِنَّ أَوَّلَ الْخَلَائِقِ يُكْسى إِبْرَاهِيمُ، أَلَا وَإِنَّهُ يُجَاءُ بِرِجَالٍ مِنْ أُمَّتِي فَيُؤْخَذُ بِهِمْ ذَاتَ الشِّمَالِ فَأَقُولُ: أَصْحَابِي. فَيُقَالُ: إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ. فَأَقُولُ كَمَا قَالَ الْعَبْدُ الصَّالِحُ: {وَكُنْتُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا مَا دُمْتُ فِيهِمْ فَلَمَّا تَوَفَّيْتَنِي كُنْتَ أَنْتَ الرَّقِيبَ عَلَيْهِمْ وَأَنْتَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ * إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ} فَيُقَالُ: إِنَّ هَؤُلَاءِ لَمْ يَزَالُوا مُرْتَدِّينَ عَلَى أَعْقَابِهِمْ مُنْذُ فَارَقْتَهُمْ”.

Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang telah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ berdiri di hadapan kami untuk mengemukakan suatu nasihat. Baginda bersabda: Hai manusia, sesungguhnya kalian kelak akan dihimpunkan oleh Allah ‎ﷻ dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang lagi belum dikhitan. Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya. (Al-Anbiya: 104) Dan sesungguhnya manusia yang mula-mula diberi pakaian kelak di hari kiamat ialah Nabi Ibrahim عليه السلام. Ingatlah, sesungguhnya kelak akan didatangkan banyak orang laki-laki dalam kalangan umatku, lalu mereka digiring ke sebelah kiri, maka aku berkata, “Sahabat-sahabatku! ” Tetapi dijawab, “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui apa yang dibuat-buat oleh mereka sesudahmu.” Maka aku katakan seperti apa yang dikatakan oleh seorang hamba yang soleh, iaitu: Dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu. Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguh­nya mereka adalah hamba-hamba Engkau; dan jika Engkau meng­ampuni mereka, maka sesungguhnya Engkau Yang Maha perkasa lagi Maha bijaksana. (Al-Maidah: 117-118) Maka dikatakan, “Sesungguhnya mereka terus-menerus dalam keadaan mundur ke belakang mereka sejak engkau berpisah dengan mereka.”
Imam Bukhari telah meriwayatkannya ketika membahas tafsir ayat ini.

Lafaz ‘hamba yang soleh’ yang digunakan dalam hadith ini tentunya merujuk kepada Nabi Isa عليه السلام.

Begitu pentingnya ayat ini, sampaikan Nabi Muhammad ﷺ pernah mengulang-ngulang ayat ini dalam salat baginda. Di dalam sebuah hadith disebutkan bahawa Nabi ﷺ membacanya di malam hari hingga subuh, yakni dengan mengulang-ulang bacaan ayat ini.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيْل، حَدَّثَنِي فُليَت الْعَامِرِيُّ، عَنْ جَسْرة الْعَامِرِيَّةِ، عَنْ أَبِي ذَرٍّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-لَيْلَةً فَقَرَأَ بِآيَةٍ حَتَّى أَصْبَحَ، يَرْكَعُ بِهَا وَيَسْجُدُ بِهَا: {إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ} فَلَمَّا أَصْبَحَ قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا زِلْتَ تَقْرَأُ هَذِهِ الْآيَةَ حَتَّى أَصْبَحْتَ تَرْكَعُ بِهَا وَتَسْجُدُ بِهَا؟ قَالَ: “إِنِّي سَأَلْتُ رَبِّي، عَزَّ وَجَلَّ، الشَّفَاعَةَ لِأُمَّتِي، فَأَعْطَانِيهَا، وَهِيَ نَائِلَةٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ لِمَنْ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Fudail, telah menceritakan kepadaku Fulait Al-Amiri, dari Jisrah Al-Amiriyah, dari Abu Zar رضي الله عنه yang menceritakan bahawa di suatu malam Nabi ﷺ melakukan salat, lalu baginda membaca satu ayat yang hingga subuh baginda tetap membacanya dalam rukuk dan sujudnya, iaitu firman-Nya: Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau; dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha perkasa lagi Maha bijaksana. (Al-Maidah: 118) Ketika waktu subuh Abu Hurairah bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau terus-menerus membaca ayat ini hingga subuh, sedangkan engkau tetap membacanya dalam rukuk dan sujudmu?” Rasulullah ﷺ menjawab: Sesungguhnya aku memohon kepada Tuhanku akan syafaat bagi umatku, maka Dia memberikannya kepadaku; dan syafaat itu dapat diperoleh —Insya Allah— oleh orang yang tidak pernah mem­persekutukan Allah dengan sesuatu pun (dalam kalangan umatku).

(HR. Ahmad No. 21238, sanadnya hasan menurut Syeikh al-Arnauth)

Daripada hadith ini ada satu pengajaran penting bagi kita semua: iaitu tidak ada syafaat bagi orang yang melakukan syirik. Jadi kena jaga baik-baik supaya kita jangan langsung ada fahaman dan amalan syirik. Dan kalau tidak ada syirik dan mati dengan tidak mensyirikkan Allah ‎ﷻ, syafaat itu sudah pasti, akan dapat secara automatik. Tidak perlu hendak seru Nabi Muhammad ﷺ untuk memminta syafaat daripada baginda lagi kerana ia pasti akan diberikan kepada mereka yang tidak mempersekutukan Allah ‎ﷻ.


 

Maidah Ayat 119: 

قالَ اللَّهُ هٰذا يَومُ يَنفَعُ الصّٰدِقينَ صِدقُهُم ۚ لَهُم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۚ رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh will say, “This is the Day when the truthful will benefit from their truthfulness.” For them are gardens [in Paradise] beneath which rivers flow, wherein they will abide forever, Allāh being pleased with them, and they with Him. That is the great attainment.

(MALAY)

Allah berfirman: “Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka. Bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya. Itulah keberuntungan yang paling besar”.

 

قالَ اللَّهُ هٰذا يَومُ يَنفَعُ الصّٰدِقينَ صِدقُهُم

Allah berfirman: “Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka.

Ini adalah ayat Tabshir Ukhrawi (berita gembira dengan nikmat di akhirat). Allah ‎ﷻ hendak menceritakan tentang hari akhirat. Inilah hari yang golongan yang benar akidah dan amalan akan mendapat faedah daripada kebenaran yang ada pada mereka semasa di dunia.

Ini adalah kerana mereka telah mengikut dan amal wahyu yang disampaikan kepada mereka. Usaha mereka sekian lama semasa di dunia telah berbaloi. Pada hari akhirat nanti, ada orang yang mendapat susah, tetapi mereka akan mendapat kesenangan.

 

لَهُم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

Bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai;

Mereka dijanjikan dengan syurga dan kemudian Allah ‎ﷻ menceritakan keindahan dalam syurga. Syurga tidak dapat dibayangkan dengan mata, maka Allah ‎ﷻ hanya sebut tentang sungai-sungai yang mengalir dalam syurga. Itu sebagai isyarat kepada kemewahan yang akan didapati oleh ahli syurga.

 

خٰلِدينَ فيها أَبَدًا

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya;

Kalau duduk sebentar sahaja tentulah tidak bagus. Jadi Allah ‎ﷻ menjanjikan yang mereka akan kekal selama-lamanya di sana. Semua yang diterangkan ini adalah nikmat jasmani yang dijanjikan.

 

رَضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ

Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya.

Ini pula tentang nikmat rohani. Dan nikmat rohani pula lebih lagi daripada nikmat jasmani. Jika kita pergi ke mana-mana rumah yang indah, tentu kita hendak bertemu dengan tuan rumah, bukan? Begitulah kita dengan syurga, tentu setelah melihat keindahan syurga, keindahan yang seterusnya kita mahu lihat adalah keindahan Allah ‎ﷻ. Kita hendak sangat jumpa Allah ‎ﷻ, Tuhan kita.

Kita hendak jumpa Allah ‎ﷻ dalam keadaan Allah ‎ﷻ redha dengan kita. Dan redha Allah ‎ﷻ itulah yang lebih tinggi lagi sebagai nikmat. Maksudnya Allah ‎ﷻ redha kita sebagai hamba. Ini adalah kerana kita telah mengikut apa yang Allah ‎ﷻ perintahkan. Allah‎ ﷻ puas hati dengan kita, kerana kita tidak degil.

Jika ibubapa kita redha kita sebagai anak mereka pun kita sudah suka, apatah lagi kalau Allah ‎ﷻ yang redha kita sebagai hamba Dia, tentu lebih lagi kenikmatan itu.

Dan kita pula puas hati di atas pemberian Allah ‎ﷻ. Mana mungkin tidak puas hati, sedangkan pemberian yang diberi itu lebih lagi daripada apa yang kita telah lakukan. Bayangkan hidup di dunia sekejap sahaja, beramal pun sekejap sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ beri balasan berlebih-lebih lagi, dan kekal abadi selama-lamanya. Takkan tidak redha lagi?

 

ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Itulah keberuntungan yang paling besar”.

Inilah keberuntungan yang paling besar, tiada suatu keberuntungan pun yang lebih besar daripada itu. Mereka beruntung itu kerana mereka telah berusaha semasa di dunia.


 

Maidah Ayat 120: Ini adalah khulasah (kesimpulan) surah ini.

لِلَّهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما فيهِنَّ ۚ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Allāh belongs the dominion of the heavens and the earth and whatever is within them. And He is over all things competent.

(MALAY)

Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di dalamnya; dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

لِلَّهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما فيهِنَّ

Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di dalamnya;

Segala alam dan apa yang ada di dalamnya adalah milik Allah ‎ﷻ. Tidak ada apa pun yang Allah ‎ﷻ berkongsi dengan sesiapa. Tidak dengan Nabi Isa عليه السلام, tidak dengan makhluk-makhluk yang lain. Oleh kerana alam ini Allah ‎ﷻ yang punya, maka Allah ‎ﷻ sahaja yang menguruskannya. Tidak diserahkan kuasa pengurusan itu kepada sesiapa pun.

 

وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Dan Dia maha berkuasa atas segala sesuatu. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ hendak buat, Dia boleh buat kerana kekuasaan dan penguasaan Allah ‎ﷻ adalah lengkap dan mutlaq.

Allahu a’lam. Tamat sudah terjemah surah Maidah ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-An’am.

 

Kemaskini: 26 September 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah al-Maidah Ayat 115 – 120 (Allah tidak ampunkan dosa syirik)”

  1. Assalamualaykum tuan, terimakasih tidak terhingga diatas usaha tuan. Sangat membantu kami yg tidak berilmu ini. Saya mohon utk kefahaman
    Tafsir Ayat 117,
    1. Saya rasa typo pada perkataan Nabi Musa. Klau saya salah maafkan saya.
    2. Maksud diangkat kelangit, saya mohon kefahaman, samada wafat atau benar2 diangkat kelangit tanpa diwafatkan.
    Jazakallahukhair

    Like

  2. Alhamdulillah selesai… jutaan terima kasih kpd yg empunya website… moga usaha tuan diberkati & sentiasa dibawah lindunganNya

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s