Tafsir Surah Waqiah Ayat 63 – 76 (Lihatlah air yang kamu minum)

Ayat 63: Soalan yang seterusnya. Tadi tentang diri sendiri, sekarang tentang rezeki pula.

أَفَرَأَيتُم مّا تَحرُثونَ

Sahih International

And have you seen that [seed] which you sow?

Malay

Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?

 

Sebelum ini disebut tentang ‘tanam’ air mani dalam rahim wanita. Dan sekarang tentang tanam benih dalam tanah pula. Iaitu usaha kita mencangkul tanah, membajak dan menaburkan benih-benih pada tanah itu. Biji benih itu memang kamu yang letakkan dalam tanah, bukan? Tapi selepas itu bagaimana?


 

Ayat 64:

ءأَنتُم تَزرَعونَهُ أَم نَحنُ الزّٰرِعونَ

Sahih International

Is it you who makes it grow, or are We the grower?

Malay

Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?

 

ءأَنْتُمْ تَزْرَعُونَهُ

Kamukah yang menumbuhkan pokok itu,

Selepas kita bajak tanah, korek tanah dan kemudian kita tanam benih, apa kita boleh buat? Adakah lagi usaha dari kita untuk menjadikan tumbuhan itu terus tumbuh? Selain dari siram tanah itu masa ke semasa, kita tidak boleh buat apa. Kerana kita tidak ada kemampuan. Kita tidak boleh nak picit-picit benih itu untuk keluarkan cambahnya. Kita pun tahu perkara ini, bukan?

 

أَمْ نَحْنُ الزَٰرِعُونَ

atau Kamikah yang menumbuhkannya?;

Kita tanam pokok atau tumbuhan pada tanah, kemudian kita letak baja dan air. Tapi lepas itu apa kita buat? Kita balik rumah. Bukan kita yang menumbuhkannya. Siapakah yang berkuasa menumbuhkan seribu benih itu dalam masa serentak kalau bukan Allah sahaja. Adakah tanah yang kita tanam itu kita punya? Bagaimana dengan cahaya matahari? Bagaimana dengan hujan yang diperlukan oleh tanaman itu?

Jadi Allah yang telah beri kesuburan kepada tanaman itu. Dan dengan tanaman itu kita makan untuk melangsungkan hidup kita. Maka hendaklah kita sembah dan seru Dia sahaja. Inilah tauhid. Senang sahaja Allah ajar tauhid dalam Al-Qur’an. Sebab itu kena ambil fahaman tauhid dari Al-Qur’an juga.

Dan ia juga memberi isyarat kepada kehidupan semula. Sebagaimana benih ditanam itu akan keluar sebagai tumbuhan, maka nanti semua mayat yang ditanam di dalam tanah juga akan keluar sebagai makhluk baru nanti untuk diadili di Mahsyar kelak.

Jadi soalan ini juga perlu dijawap “bal anta ya Rabb“, “bahkan Kamulah yang menumbuhkan, wahai Tuhanku!” Selepas baca ayat ini, bacalah doa kepada Allah. Itulah caranya; bukan dibaca berulang-ulang kali.

Menanam ini seperti berniaga juga. Kerana apa yang kita tanam, sebenarnya untuk kita jual kemudiannya selain dari kita makan sendiri. Jadi kalau nak doa supaya perniagaan kita berjaya, kita gunakan ayat ini.

Untuk tujuan perniagaan, kita terjemah begini: “Tidakkah kamu perhatikan perniagaan kamu itu? Kamukah yang mengajak orang datang membeli di kedai kamu, atau Akukah yang menggerakkan hati orang untuk membeli di kedai kamu?” Kalau di pasar selalunya, ramai lagi yang menjual barang yang sama dengan apa yang kita jual. Tapi kenapa orang akan singgah di kedai kita? Bukan boleh paksa orang nak singgah.

Bermakna, Tuhanlah yang mencampakkan ke dalam hati orang itu untuk singgah ke kedai kita. Maka, selepas baca ayat ini, dan menjawap “bal anta ya Rabb“, bacalah doa sebegini:

“Apalah kiranya Tuhan, kalau Kamu anugerahkan rezeki kepadaku. Kalau kamu memberi rezeki kepadaku, maka betullah Engkaulah Tuhanku. Sekiranya Engkau tidak memakbulkan doaku, Kuasa atas Engkaulah kerana Engkau Tuhanku. Tapi kalau Engkau tidak memakbulkan doakan ini, kepada siapalah lagi aku hendak bermohon?”.

Atau boleh ubah dengan apa sahaja permintaan yang kita hendak.


 

Ayat 65:

لَو نَشاءُ لَجَعَلنٰهُ حُطٰمًا فَظَلتُم تَفَكَّهونَ

Sahih International

If We willed, We could make it [dry] debris, and you would remain in wonder,

Malay

Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggallah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal,

 

لَوْ نَشَاءُ لَجَعَلْنٰهُ حُطٰمًا

Kalau Kami kehendaki, nescaya Kami akan jadikan pokok itu kering hancur;

Kesuburan tanaman itu bergantung kepada Allah. Dan Allah boleh sahaja jadikan pokok itu rosak atau tidak subur atau hancur terus. Kalaulah kesemua ladang itu musnah habis, tidak ada gunanya. Manusia tidak dapat nak baiki lagi.

Kalau perniagaan, Allah boleh jadikan tidak ada sesiapa singgah masuk ke kedai kita. Allah boleh jadikan mana-mana perniagaan jadi bankrap terus.

Jadi apabila Allah suburkan tanaman dan menjadikan perniagaan kita maju, maka itu adalah rahmat dari Allah. Dan telah banyak rahmat yang Allah berikan kepada kita semua.

 

فَظَلْتُمْ تَفَكَّهُونَ

Maka kekallah kamu dalam keadaan hairan;

Ramai yang tidak tahu tentang ujian Allah, maka dia kehairanan. Hairan macam mana pokok itu dia sudah tanam dengan cara elok, tapi mati juga. Terkejut sangat dan terus ظلل (kekal) dalam kehairanan.

Kalimah تَفَكَّهُونَ dari katadasar ف ك ه yang selalunya digunakan dalam Al-Qur’an untuk menyebut kegembiraan. Tapi kata dasar ini juga bermaksud takjub, kehairanan. Maksudnya rasa sedih kehairanan sangat kerana kehilangan benda yang penting.

Atau kita sudah buat kedai sudah cantik, memang sudah di kawasan orang lalu-lalang, tapi tak juga orang nak singgah datang masuk.

Ramai manusia lupa yang mereka boleh usaha sahaja, tapi kejayaan bergantung kepada kehendak Allah semata-mata. Kita tidak boleh nak tentukan kejayaan walaupun sudah melakukan berbagai usaha macam-macam. Maka jangan hairan, redhalah sahaja. Banyakkan doa kepada Allah dan berharap Allah beri rezeki kepada kita.

Kerana hairan itulah, banyak orang kita yang buat Solat Hajat berjemaah. Ajak ramai-ramai orang datang buat berjemaah pula. Sedangkan tidak ada amalan sebegitu. Jadi perbuatan solat hajat berjemaah adalah satu bidaah yang tidak pernah dibuat oleh Nabi dan para sahabat.

Manusia banyak sangkaan-sangkaan yang tak baik. Mungkin dia sangka ada orang nak aniaya buat tak baik dengan kedai dia. Mulalah ada yang pergi rumah bomoh buang jin di kedai dan sebagainya. Kalau jumpa bomoh atau uskun (ustaz dukun) memang mereka mesti kata ada orang ‘buat’, ‘hantar’ dan ‘ganggu’. Kerana itulah sumber pendapatan mereka. Padahal, Allah nak uji dia sahaja.


 

Ayat 66: Maka ramai yang mengeluh.

إِنّا لَمُغرَمونَ

Sahih International

[Saying], “Indeed, we are [now] in debt;

Malay

(Sambil berkata): “Sesungguhnya kami menanggung kerugian.

 

Kalimah غ ر م  bermaksud kerosakan atau kerugian yang kena kepada harta seseorang. Ramai yang tidak sabar dengan musibah hilang pendapatan dan mereka mengeluh ke sana sini. Jumpa sesiapa sahaja mereka akan mengadu. Padahal sepatutnya mengadu kepada Allah, bukan mengadu kepada manusia.

Inilah jawapan yang diberikan mereka kalau mereka ditanya tentang perniagaan mereka atau tanaman mereka: “takde untung … rugi jer aku ni….”.


 

Ayat 67:

بَل نَحنُ مَحرومونَ

Sahih International

Rather, we have been deprived.”

Malay

“Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil) ”

 

Lama selepas itu, apabila mereka ditanya, baru mereka mengaku bahawa Allah tak beri rezeki kepada mereka.

Kalimah مَحرومونَ dari katadasar ح ر م yang antara lain bermaksud ‘tertahan’. Ya dari kata dasar yang sama jadi kalimah ‘haram’ kerana tertahan dari melakukan sesuatu. Dalam konteks ayat ini, mereka tertahan dari mendapat rezeki. Bukan sahaja mereka tidak dapat untung, tapi modal mereka pun sudah habis.

Maknanya, baru mereka mengaku bahawa rezeki itu dari Allah, dan Allah tidak memberi rezeki kepada mereka. Baru mereka sedar yang kalau Allah tahan rezeki, tidak ada sesiapa yang boleh beri rezeki lagi.


 

Ayat 68: Ini adalah soalan yang ketiga dalam rantaian empat soalan. Sekarang kita boleh lihat bagaimana Allah sedang berkomunikasi dengan kita dalam Qur’anNya. Sebab itu hebat kalau kita dapat sematkan dalam minda kita, Allah sedang berkata-kata dengan kita sebenarnya dalam Al-Qur’an ini. Baru akan rasa rapat dengan Allah dan rapat dengan Al-Qur’an.

أَفَرَأَيتُمُ الماءَ الَّذي تَشرَبونَ

Sahih International

And have you seen the water that you drink?

Malay

Tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?

 

Setiap hari kita minum air, bukan? Maka Allah suruh kita tengok air yang kita minum itu dan fikir-fikirkan. Jangan pandang biasa sahaja.

Maknanya, perkara ini boleh dilakukan setiap hari. Bila minum air, boleh teringat air ini dan teringat kepada ayat Al-Qur’an, dan juga teringat kepada Allah. Hebat, bukan?


 

Ayat 69: Allah tanya tentang air itu.

ءأَنتُم أَنزَلتُموهُ مِنَ المُزنِ أَم نَحنُ المُنزِلونَ

Sahih International

Is it you who brought it down from the clouds, or is it We who bring it down?

Malay

Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?

 

ءأَنْتُمْ أَنْزَلْتُمُوهُ مِنَ الْمُزْنِ

Kamukah yang menurunkannya dari awan?;

Kalimah الْمُزْنِ adalah awan yang ‘mengandung’. Kerana ia mengandungi banyak air. Allah tanya lebih kurang begini: “Adakah kamu wahai manusia yang naik ke awan dan perah-perah air itu supaya turun?” Macam mana nak naik ke atas awan, bukan?

 

أَمْ نَحْنُ الْمُنْزِلُونَ

atau Kamikah yang menurunkannya?;

Sudah tentu bukan kita yang menurunkannya tapi Allah. Maka kenalah kita bersyukur kepada Allah.

Ini pun kena jawab juga seperti soalan-soalan sebelum ini:  “bal anta ya Rabb“. Engkaulah ya Allah yang menurunkan air itu.

Kepada yang menanam, pun baca ayat ini dan berdoa selepasnya supaya Allah menurunkan hujan. Bukannya baca banyak-banyak kali. Contohnya begini: ”Ya Allah, Engkaulah yang menurunkan air hujan, maka turunkanlah hujan ya Allah.”


 

Ayat 70:

لَو نَشاءُ جَعَلنٰهُ أُجاجًا فَلَولا تَشكُرونَ

Sahih International

If We willed, We could make it bitter, so why are you not grateful?

Malay

Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka kenapa kamu tidak bersyukur?

 

لَوْ نَشَاءُ جَعَلْنٰهُ أُجَاجًا

Kalau Kami kehendaki, nescaya Kami jadikan air hujan itu masin;

Allah boleh sahaja jadikan air itu masin dan kita tidak boleh minum. Tapi Allah tidak jadikan air itu masin, padahal asalnya air hujan itu datangnya dari wap air laut yang masin, tapi bila kita rasa, ia tidak masin.

Kita dapat air yang boleh diminum ini kerana rahmat Allah kepada kita, nak beri kita minum air itu untuk kehidupan kita. Kalau Allah jadikan air itu masin, tentulah bukan kita sahaja tak dapat minum tapi pokok-pokok pun semua akan mati, dan kita pun boleh mati juga sebab tidak ada makanan dan air minuman.

 

فَلَوْلَا تَشْكُرُونَ

Maka kenapa kamu tidak mahu bersyukur?;

Jadi apa patut kita buat setelah dapat rahmat Allah ini? Kenalah kita bersyukur kepada Allah. Senang sahaja nak ingat syukur kepada Allah.

Dan maksud syukur itu bukan sahaja sebut Alhamdulillah sahaja, tapi kena diikuti dengan taat kepadaNya. Kerana kita sudah makan minum dari rahmatNya, takkan nak lawan kehendak Dia, bukan?

Tapi ramai buat tidak tahu sahaja padahal Tuhan telah memberi mereka rezeki. Mereka makan dan minum rezeki dari Allah tapi tidak bersyukur kepadaNya dan tidak taat kepada perintahNya. Ini memang tidak patut.

Ada pula yang tidak nampak Allah yang turunkan hujan. Mereka buat kajian tentang air wap naik ke langit dan kemudian diturunkan. Jadi mereka kata ini adalah proses alam. Tapi tidakkah alam ini Allah yang cipta? Tidakkah proses naik dan turun air itu Allah yang tentukan?

Dan malangnya ada juga yang kata orang lain yang memberikan rezeki. Mereka kata kerajaan, syarikat, tokey, keris, cincin atau apa-apa sahaja selain Allah yang telah memberi rezeki kepada mereka. Ini sudah jadi syirik.

Berkenaan dengan lafaz syukur, terdapat riwayat kalimah syukur dari Nabi apabila selesai minum:

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ سَعِيدِ بْنِ مُرَّةَ، حَدَّثَنَا فُضَيل بْنُ مَرْزُوقٍ، عَنْ جَابِرٍ، عَنْ أَبِي جَعْفَرٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنَّهُ إِذَا شَرِبَ الْمَاءَ قَالَ: “الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي سَقَانَا عَذْبًا فُرَاتًا بِرَحْمَتِهِ، وَلَمْ يَجْعَلْهُ مِلْحًا أُجَاجًا بِذُنُوبِنَا”

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Usman ibnu Sa’id ibnu Murrah, telah menceritakan kepada kami Fudail ibnu Marzuq, dari Jabir, dari Abu Ja’far, dari Nabi Saw., bahawa baginda apabila selesai dari minumnya membaca doa berikut: Segala puji bagi Allah Yang telah memberi kami minum air yang tawar lagi menyegarkan berkat rahmat-Nya, dan tidak menjadikannya masin lagi pahit kerana dosa-dosa kami.


 

Ayat 71: Dalil yang seterusnya. Ini adalah soalan yang keempat.

أَفَرَأَيتُمُ النّارَ الَّتي تورونَ

Sahih International

And have you seen the fire that you ignite?

Malay

Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)?

 

Api adalah salah satu lagi keperluan hidup yang amat penting. Bayangkan kehidupan tanpa api. Macam mana nak masak makanan, nak panaskan badan, nak dapatkan cahaya di malam hari?

Zaman dahulu untuk mengeluarkan api, mereka kena gesek antara kayu. Kerana itu disebut cara itu dalam ayat ini. Zaman sekarang, macam-macam cara boleh digunakan. Allah mudahkan cara untuk kita menyalakan api.


 

Ayat 72: Kamukah yang menyalakan api itu?

ءأَنتُم أَنشَأتُم شَجَرَتَها أَم نَحنُ المُنشِئونَ

Sahih International

Is it you who produced its tree, or are We the producer?

Malay

Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya, atau Kami yang menumbuhkannya?

 

ءأَنْتُمْ أَنْشَأْتُمْ شَجَرَتَهَا

Kamukah yang menumbuhkan pokok;

Iaitu yang kamu gunakan untuk menyalakan api itu? Ini sebab zaman dahulu api itu dinyalakan dengan menggesek pokok kayu. Kamukah wahai manusia yang jadikan pokok itu?

Pokok hutan itu bukan kita yang tanam. Tidak ada sesiapa yang baja dan siram pokok-pokok itu. Tahu-tahu sudah ada dan kita ambil untuk pakai, antaranya untuk menyalakan api.

Bangsa Arab mempunyai dua jenis pohon, al-marakh dan al-‘afar. Jika diambil dua dahan yang masih hijau dari kedua pohon itu, kemudian masing-masing digosok-gosokkan, maka akan memunculkan api padanya. Itu kelebihan dua pokok itu. Kalau pokok-pokok lain pun boleh digunakan tapi kena sudah kering. Cara ini mungkin masih diajar kepada pengakap lagi sampai sekarang.

 

أَمْ نَحْنُ الْمُنْشِئُونَ

atau Kamikah yang menumbuhkannya?;

Allah tanya adakah kita yang jadikan pokok-pokok itu atau Dia? Tentulah Dia yang jadikan pokok-pokok itu.

Soalan ini pun perlu dijawab:  “bal anta ya Rabb” bahkan Engkaulah yang menumbuhkannya, wahai Tuhanku. Selepas jawab itu, kita pun boleh lagi minta rezeki kepada Allah. Itulah sebabnya ada hadis yang mengatakan sesiapa yang membaca surah ini akan dimurahkan rezeki. Tapi hadis itu tidak sahih. Maka ia bukanlah untuk dibaca sahaja. Tapi kita boleh baca ayat itu dan kemudian berdoa kepada Allah. Jangan jadi orang yang hanya baca sahaja, tapi tidak berdoa.

Inilah tempat untuk baca doa untuk memohon rezeki. Baca ayat-ayat Al-Qur’an dan kemudian berdoa. Itulah cara yang betul. Iaitu tawasul dengan ibadah yang kita lakukan. Bukannya baca berkali-kali seperti yang banyak dilakukan orang kita. Kalau tak belajar, tak tahulah di manakah tempat yang mustajab untuk baca doa.

Mintalah apa-apa sahaja keperluan kita kepada Allah, bukan hanya untuk murah rezeki sahaja. Kalau anak nak masuk peperiksaan pun, boleh juga baca di tempat-tempat ini. Maka tak perlulah nak buat solat hajat berjemaah. Itu adalah perbuatan yang salah sebab Nabi tak pernah buat.

Orang kata itu adalah ‘usaha’ tapi itu adalah usaha dengan cara yang salah. Janganlah reka amalan baru. Kalau ada juga yang buat, maka jangan kita terlibat.


 

Ayat 73:

نَحنُ جَعَلنٰها تَذكِرَةً وَمَتٰعًا لِّلمُقوينَ

Sahih International

We have made it a reminder and provision for the travelers,

Malay

Kami jadikan api itu sebagai peringatan (bagi orang-orang yang lalaikan kebenaran hari akhirat) dan sebagai benda yang memberi kesenangan kepada orang-orang musafir.

 

نَحْنُ جَعَلْنٰهَا تَذْكِرَةً

Kamilah yang menjadikan api itu sebagai suatu peringatan; 

Api ini mengingatkan kita kepada nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Kita masak makanan dengan api yang tanpanya, kita jadi seperti binatang sahaja yang makan makanan di tanah tanpa dimasak.

Api di dunia ini juga menjadi peringatan  tentang adanya api yang lebih besar – api neraka di akhirat nanti. Nabi pernah bersabda: “Api anak Adam yang mereka nyalakan itu hanyalah satu bahagian dari 70 bahagian api Jahannam.” Jadi bila kita tengok api di dunia sekarang, ingatlah ada api lagi yang lebih hebat di akhirat kelak. Takutlah kepada api itu.

 

وَمَتٰعًا لِّلْمُقْوِينَ

dan bahan yang berguna untuk orang yang bermusafir; 

Kalimah مُقْوِينَ bermaksud orang dalam musafir dalam padang pasir. Ia dari katadasar ق و ي yang juga bermaksud kuat. Apabila menjadi مقو ia menjadi orang yang bermusafir di padang pasir.

Mereka yang mencari-cari tempat berteduh dan tempat api untuk memanaskan badan semasa dalam musafir mereka itu. Kalau dalam perjalanan di padang pasir, mereka nak cari pedoman, mereka akan cari kalau-kalau ada orang yang menyalakan api di padang pasir. Kalau mereka nampak, maka mereka akan menghala ke sana.

Orang bermusafir boleh menggunakan kemudahan api yang Allah berikan ini sebagai kemudahan untuk mereka dalam perjalanan mereka. Mereka gunakan untuk memasak, memanaskan badan dan untuk menghalau binatang serangga dan binatang buas dari mengganggu mereka.

Dalam ayat ini, Allah menyebutkan bahawa api itu khusus digunakan oleh orang yang bermusafir, meskipun pada dasarnya hal itu bersifat umum bagi semua manusia, termasuk yang tidak dalam musafir. Kerana kalau dalam rumah pun, perlukan juga api itu. Tapi kerana Al-Qur’an pertama kali diberikan orang Arab, maka contoh-contoh yang digunakan adalah merujuk kepada kehidupan mereka supaya mereka boleh faham.


 

Ayat 74: Ini adalah Dakwa Surah ini. Maka, selepas kita tahu siapakah yang paling berkuasa dalam alam ini dan telah banyak berjasa kepada kita, oleh itu apa yang kita perlu buat?

فَسَبِّح بِاسمِ رَبِّكَ العَظيمِ

Sahih International

So exalt the name of your Lord, the Most Great.

Malay

Oleh yang demikian – (wahai orang yang lalai) – bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar (sebagai bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu).

 

فَسَبِّحْ

Maka bertasbihlah kamu

Bertasbihlah kepada Allah banyak-banyak. Bila tidak buat apa-apa sepanjang hari, biasakan mulut kita baca tasbih.

Cuma kena faham maksud tasbih itu sendiri. Tasbih adalah menidakkan fahaman salah manusia tentang Allah. Sebagai contoh, ada yang kata Allah ada anak. Ada pula yang kata, Allah suka perantaraan Nabi, wali dan malaikat dalam kita berdoa kepadaNya.

Dan banyak lagi fahaman yang tidak benar tentang Allah. Itu adalah fahaman syirik dan kita tolak fahaman salah itu dengan tasbih. Seolah-olah kita kata: “tidak, Allah tidak begitu….”

Maka kalau mulut baca tasbih tapi ada fahaman syirik dalam hati kita, maka tidak bernilailah tasbih itu. Mulut cakap lain, hati cakap lain pula.

 

بِاسْمِ رَبِّكَ

dengan sebut dengan berkat nama Tuhan kamu

Kita jangan ambil berkat dengan selain Allah kerana Allah sahaja pemberi berkat. Nama Allah itu sendiri sudah ada berkat, apatah lagi kalau Allah sendiri? Maka Allah sahaja sumber berkat, jangan minta berkat dari selain Allah. Tapi salah faham tentang berkat ini amat banyak dalam masyarakat kita. Mereka tidak faham tentang berkat sampai mereka buat syirik dengan berkat.

Antaranya mereka ambil berkat dari tok guru mereka, seolah-olah tok guru mereka ada berkat. Ada yang ambil berkat dengan selipar Nabi. Kalau betul itu selipar (capal) Nabi, bolehlah juga nak sembang, tapi tidak dapat dipastikan. Tapi golongan yang mengambil berkat itu bukannya ambil berkat dengan selipar Nabi, tapi mereka ambil berkat dengan replika capal! Kemudian tak dapat replika, logo capal pun jadi! Jadi ini adalah golongan yang salah faham jauh sekali dari wahyu.

Maka mintalah berkat dengan Allah dan gunakan perantaraan dengan nama Allah. Jangan gunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah.

 

الْعَظِيمِ

yang Maha Agong;

Allah sahaja yang layak dijadikan tempat minta berkat dan wasilah dalam doa kerana Dia sahaja yang Maha Agong.

Ayat ini menceritakan kelebihan tasbih. Maka dalam apa pekerjaan kita, bacalah tasbih. Basahkan bibir kita dengan zikir dan tasbih kepada Allah. Disunatkan jikalau kita dengar bacaan ayat ini untuk membaca tasbih.


 

Ayat 75: Sekarang kita akan masuk ke dalam ayat-ayat yang menceritakan kehebatan Al-Qur’an. Ini adalah salah satu dari ayat-ayat yang indah tentang Al-Qur’an. Ayat 75 – 82 adalah Perenggan Makro Keenam dan ia memberitahu kita yang Al-Qur’an adalah Kalam Tuhan, bukan kalam syaitan.

۞ فَلا أُقسِمُ بِمَوٰقِعِ النُّجومِ

Sahih International

Then I swear by the setting of the stars,

Malay

Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat beredarnya bintang-bintang, –

 

فَلَا أُقْسِمُ

Oleh sebab itu, Aku bersumpah 

Ini adalah Kalimah Sumpah atau Qosam. Apabila Allah bersumpah, ini menunjukkan bahawa apa yang hendak disampaikan selepas ini adalah amat penting. Inilah cara orang Arab zaman dahulu hendak menarik perhatian kepada apa yang hendak disampaikan. Maknanya, apa yang hendak disampaikan selepas itu adalah amat penting. Maka begitulah juga tujuan Allah menggunakan kalimah qosam sebegini.

Kenapa ada kalimah فلا itu? Kalau terjemah secara literal, ia bermaksud ‘maka tidak’. Ada yang mengatakan ia adalah kalimah penguat untuk sumpah itu, sebahagian ulama’ tafsir pula mengatakan bahawa huruf la di sini merupakan za’idah (tambahan). Maka makna yang dimaksudkan ialah “Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang.”

Dan ada juga yang mengatakan ia menolak fahaman salah manusia – “Tidak, kebenaran itu tidaklah seperti yang kamu sangkakan!” Maknanya Allah nak tolak fahaman salah dan kemudian Allah sambung dengan sumpah. Allah tolak dulu fahaman salah manusia dan kemudian beritahu kebenaran.

Ia didatangkan pada permulaan qasam (sumpah), apabila objek sumpahnya dinafikan, seperti perkataan Siti Aisyah r.a.. ”Tidak, demi Allah, tangan Rasulullah Saw. sama sekali belum pernah menyentuh tangan wanita lain.” Maka demikian pula halnya di sini, yang bererti bentuk lengkapnya ialah “Tidak, Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang, duduk perkaranya tidaklah seperti dugaan mereka terhadap Al-Qur’an, bahwa Al-Qur’an itu sihir atau tenung, bahkan Al-Qur’an ini adalah bacaan yang mulia.”

 

بِمَوٰقِعِ النُّجُومِ

dengan tempat beredarnya bintang-bintang;

Kalau manusia yang bersumpah dengan makhluk, itu adalah syirik. Ada yang bersumpah dengan matahari dan sebagainya. Kita cuma boleh bersumpah dengan nama Allah sahaja. Tapi Allah boleh bersumpah dengan makhlukNya.

Di sini, Allah bersumpah dengan bintang-bintang yang beredar di langit. Kalimah بِمَوٰقِعِ dari kalimah و ق ع yang bermaksud tempat jatuh sesuatu dan ia tidak akan bergerak. Semua bintang itu Allah yang jadikan. Tidak tahu berapa banyak jumlah bintang di langit kerana manusia sentiasa menjumpai bintang dan galaksi yang baru.

Allah menggunakan sesuatu yang penting kepada bangsa Arab. Kerana mereka selalu menggunakan bintang kerana mereka menggunakan bintang sebagai GPS pada zaman mereka. Mereka guna bintang sebagai penunjuk arah di dalam musafir mereka. Allah menggunakan objek sumpah dengan sesuatu yang berkenaan dengan apa yang hendak disampaikan. Kalau sumpah manusia, objek sumpah itu tidak penting mana, tapi Allah hebat, menggunakan sesuatu yang penting.

Selagi ada bintang, selagi itu ia dalam Langit Pertama. Dan bayangkan manusia tidak bertemu lagi tempat yang tidak ada bintang. Maknanya Langit Pertama pun sudah luas. Dan Langit Kedua lebih luas dari Langit Pertama dan Langit Ketiga lebih luas dari Langit Kedua dan seterusnya sampailah ke Langit Ketujuh. Memang tidak dapat dibayangkan Kerajaan Allah Taala.

Ibn Abbas mengatakan maksud bintang di sini adalah bintang-bintang Al-Qur’an. Di mana ia diturunkan secara keseluruhan pada malam Lailatul Qadr dari langit tertinggi ke langit dunia, dan kemudian turun secara terpisah-pisah dalam 23 tahun selepas itu.


 

Ayat 76:

وَإِنَّهُ لَقَسَمٌ لَّو تَعلَمونَ عَظيمٌ

Sahih International

And indeed, it is an oath – if you could know – [most] great.

Malay

Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya,

 

وَإِنَّهُ لَقَسَمٌ

Sesungguhnya sumpah seperti itu;

Iaitu merujuk kepada sumpah yang Allah gunakan dalam ayat ini. Ianya memberi peringatan kepada kita bahawa Allah yang menjadikan manusia dan segala makhluk lain di alam ini.

 

لَّوْ تَعْلَمُونَ عَظِيمٌ

kalaulah kamu mengetahui, adalah sumpah yang besar.

Kalaulah kamu mengetahui bahawa Allah tidak bercakap bohong dengan kita. Dan sumpah itu adalah amat besar kerana kebesaran Yang mengucapkannya, iaitu Allah.

Allah memberitahu bahawa objek sumpah yang Allah gunakan sebagai sumpah itu sendiri sudah hebat dan besar. Kerana kalau kita bersumpah, benda yang penting itu akan disebut selepas disebut objek sumpah itu. Tapi dalam ayat ini (hanya di sini sahaja Allah buat), Allah mengatakan sumpah ini adalah sumpah yang besar. Maknanya kita kena tengok juga sumpah ini.

Kalau bintang, bukankah ia hanya keluar dalam kegelapan malam? Waktu itu panduan hanya ada pada bintang sahaja. Maka begitu juga dengan diri kita dalam kegelapan kehidupan, kita hanya boleh bergantung harap dengan petunjuk dari Al-Qur’an sahaja, bukan? Maka lihatlah begitu hebatnya Allah kaitkan bintang ini dengan panduan hidayah yang ada dalam Al-Qur’an.

Bintang juga sesuatu yang indah kepada orang Arab. Mereka tidak ada TV lagi maka bintang adalah pengisi masa lapang mereka. Mereka suka lihat bintang dan mereka sampai tidur sambil melihat bintang di atas bintang. Maka begitu juga Al-Qur’an sepatutnya sesuatu yang indah kepada kita.

Bintang juga sesuatu yang amat tinggi di atas sana. Kita rasa rendah dan kecil sahaja. Maka begitu juga kita kena rasa rendah dan pandang tinggi Al-Qur’an ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

5 thoughts on “Tafsir Surah Waqiah Ayat 63 – 76 (Lihatlah air yang kamu minum)”

  1. Apa maksudnya satu n9 tolak hukum faraid..mohon pencerahan dan adakah ini satu disa besar menilak hikum tuhan

    Like

    1. Kerana N9 membenarkan pembahagian harta pusaka tidak mengikut faraid. Ini adalah perbuatan yang berat. Tidak patut dilakukan.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s