Tafsir Surah Baqarah Ayat 38 – 42 (Pujukan kepada Yahudi)

Ayat 38: 

قُلنَا اهبِطوا مِنها جَميعًا ۖ فَإِمّا يَأتِيَنَّكُم مِّنّي هُدًى فَمَن تَبِعَ هُدايَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sahih International

We said, “Go down from it, all of you. And when guidance comes to you from Me, whoever follows My guidance – there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

Malay

Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

 

قُلْنَا اهْبِطُوا مِنْهَا

Kami berfirman: Turunlah kamu semua darinya (syurga);

Sebelum ini adalah titah secara ringkas. Ini adalah titah dengan lebih lengkap. Arahan turun kali kedua ini dalam bentuk yang lembut. Supaya manusia dapat pengajaran.

جَمِيعًا

semua sekali;

Maknanya, kamu dan isteri kamu dan zuriat-zuriat kamu sekali.

Ada arahan yang diberikan kepada orang lain, yang dia tidak buat lagi. Ini dinamakan amrun ijaadi.

Tapi ada arahan yang diberikan kepada orang yang memang dia sudah buat dah. Ini dinamakan amrun ibqa’ie – maksudnya, teruskan lakukan apa yang sedang dilakukan. Macam arahan dalam ayat ini, juga ditujukan kepada kita, tapi kita memang sudah duduk di dunia ini pun. Maksudnya, ‘teruskan duduk di dunia’.

Di sini Allah hendak memberitahu kita apakah ilat yang menyebabkan manusia kena duduk di dunia juga. Segala kejadian yang menyebabkan Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga itu adalah sebagai alasan sahaja.

Memang Allah hendak menetapkan manusia tinggal di dunia. Manusia memang kena duduk di dunia dahulu. Semua anak Nabi Adam kena duduk di dunia dulu kerana dunia adalah tempat ujian.

فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِّنِّي هُدًى

Maka sekiranya datang kepada kamu dari Aku, petunjuk;

Manusia nanti akan bermusuh antara manusia seperti telah disebutkan sebelum ini. Allah akan hantar Nabi untuk bawa petunjuk.

Allah kata dalam ayat ini bahawa petunjuk itu dari ‘Aku’. Maknanya, kena pastikan bahawa petunjuk itu dari Allah – dari Qur’an dan dari sunnah Nabi. Bukan dari yang lain. Ini menunjukkan bahawa akan ada petunjuk yang dari dua sumber itu.

Kerana banyak orang Islam yang mengambil petunjuk dari sumber lain seperti tradisi turun temurun yang dibawa oleh tok nenek mereka. Itu bukan petunjuk dari Allah. Maka kita kena biasakan diri kita dengan petunjuk yang sahih. Jangan pakai ambil sahaja.

Kita kena sentiasa peka dan bertanya dari manakah sesuatu amalan itu datang. Adakah dari Allah atau dari sumber yang lain. Kita kena pastikan yang ianya sahih.

فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ

Sesiapa yang mengikuti petunjuk itu;

Perkataan yang digunakan adalah dalam bentuk ‘mufrad’ – seorang. Kerana kadang-kadang kita sahaja yang menerima hidayah dalam lingkungan keluarga kita. Kadang-kadang kita rasa kita keseorangan. Tapi selepas itu dalam ayat ini juga, Allah bertukar menggunakan perkataan ‘عَلَيْهِمْ’ – dalam bentuk jamak.

Ini bermakna, walaupun kita mula keseorangan, kemudian Allah akan beri kawan-kawan di dalam perjuangan menjalankan kehidupan yang berlandaskan iman yang benar. Kalau kita tidak dapat kawan dalam dunia ini, Allah akan beri kawan itu semasa di akhirat nanti.

Maka, janganlah takut kalau kita rasa macam kita seorang sahaja yang menerima jalan sunnah ini. Tidak ramai yang sanggup mengambil jalan yang sealiran dengan Qur’an dan sunnah.

فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

maka tidak ada ketakutan atas mereka;

Tidak ada ketakutan untuk mereka itu, samada di dunia atau di akhirat. Allah sebut ‘takut’ dahulu, kerana itulah yang paling banyak bermain di fikiran manusia. Kalau nak dibandingkan dengan kesedihan. Takut adalah berkenaan perkara yang akan datang dan kesedihan adalah tentang perkara yang telah lalu. Kita selalunya takut tentang apakah yang akan terjadi di masa hadapan. Padahal, perkara itu belum terjadi lagi.

Apabila dikatakan ‘la khaufun’, itu tidak bermakna semua ketakutan akan dihilangkan. Kalau semua perasaan takut dihilangkan, perkataan ‘la khaufa’ yang sepatutnya digunakan. Sebagai manusia, perasaan takut kadang kala berguna. Kerana takut sakitlah, kita makan ubat. Kerana takutlah, kita berhati-hati semasa kita memandu di jalanraya kerana kita takut kemalangan. Dan macam-macam lagi.

Dan di hari akhirat nanti, kita juga akan ada perasaan takut apabila berhadapan dengan Allah nanti. Kerana kita tidak pasti apakah kita akan selamat atau tidak. Kita takut untuk masuk ke dalam neraka. Tapi takut kita tidak sama dengan takut orang yang tidak beriman. Kerana kita tahu bahawa Allah akan melindungi kita.

Ada beza kalau kita kata: ‘takut kepada sesuatu’ dan ‘tidak ada ketakutan padanya’ – seperti yang digunakan dalam ayat ini. Untuk lebih memahami maknanya, bayangkan anak kita yang masih bayi, bermain dengan seekor ular. Bayi itu tidak takut kepada ular itu kerana dia tidak faham apa yang ular itu boleh buat kepadanya.

Tapi kita ‘takut’ apa yang akan terjadi kepada bayi itu. Kita takut untuknya kerana kita sayang kepadanya. Dalam ayat ini, apabila Allah berkata ‘Tidak ada ketakutan atas mereka’, ia bermakna tidak ada apa yang perlu ditakutkan tentang orang itu. Kerana dia telah memegang hidayah yang Allah telah berikan kepadanya, maka dia adalah antara orang-orang yang selamat.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan mereka tidak berdukacita lagi;

Ini bermaksud, seorang yang beriman tidak akan sedih. Ramai orang fikir bahawa kalau mengamalkan Islam dengan baik, mereka tidak akan dapat bergembira di dunia ini. Macam-macam mereka tidak boleh buat kerana Islam melarangnya.

Tapi ayat ini hendak mengatakan orang-orang Islam yang beriman tidak akan bersedih. Kerana mereka akan rasa tenang dan gembira sahaja dengan apa yang Allah berikan kepada mereka dan mereka redha dengan apa yang Allah suruh mereka lakukan.

Sebenarnya, mereka-mereka yang mencari kegembiraan kehidupan di dunia ini tidak gembira sebenarnya. Kerana mereka melawan kehendak naluri fitrah mereka yang mahukan kehidupan Islam. Kerana dalam diri mereka, sebenarnya mereka hendakkan kebaikan yang ada dalam ajaran Islam, tapi mereka telah mematikan perasaan fitrah itu.

Contohnya, mereka yang berparti sampai tidak ingatkan diri itu, apabila mereka sedar dari mabuk itu, mereka akan rasa sedih. Mereka akan rasa bersalah dengan apa yang mereka lakukan. Cuma mereka buat tak tahu sahaja. 

Tidak ada apa yang hendak disedihkan oleh orang beriman. Kalau kita diberikan ujian, kita tahu ujian itu adalah dari Allah. Ianya baik untuk kita kerana ianya akan menaikkan darjat untuk kita. Kalau kita sakit, itu sebenarnya akan menghapuskan dosa-dosa kita yang telah lalu. Kalau kita berperang dan kita kalah, atau kita mati, kita akan mati syahid. Dalam keadaan manapun, kita akan mendapat kebaikan.

Ujian dunia ada dua jenis: ada yang jenis dugaan – kita ditimpa kemalangan, kemiskinan, kesakitan dan sebagainya. Satu lagi ujian yang mungkin lebih bahaya lagi adalah ujian ‘kesenangan hidup’. Apabila kita senang, kita lagi senang untuk lupa Allah. Sebab kalau dalam keadaan susah, kita selalu ingat Allah. Tapi apabila senang, susah nak ingat Allah. Apabila senang, kadang-kadang susah hendak bersyukur kepada Allah.

Apabila Allah mengatakan bahawa orang-orang beriman ‘tidak akan sedih’, ianya juga hendak menyatakan bahawa akan ada orang lain yang akan bersedih. Mereka akan bersedih dan menyesal apabila hari Kiamat kelak. Mereka akan sedih kerana mengenangkan kesilapan yang mereka telah lakukan semasa di dunia dulu. Mereka akan bersedih kerana mereka tidak menurut hidayah yang Allah telah sampaikan.

Kalau anak cucu Nabi Adam nak balik ke syurga, kena ikut nasihat. Kalau datang wahyu hidayat, manusia akan jadi dua golongan. Sesiapa yang sanggup ikut nasihat, tidak akan berlaku ketakutan ke atas mereka tentang akhirat kerana mereka akan dimasukkan ke syurga. Dan tidak akan berdukacita lagi kerana kena tinggalkan dunia kerana dunia itu memang tempat sementara sahaja. خَوفٌ untuk benda yang akan berlaku di masa hadapan, manakala حزَن untuk perkara yang sudah lepas.


Ayat 39: Ini pula kepada makhluk yang degil. Engkar dengan hidayah. Dan benda yang benar, mereka kata ianya dusta. Mereka akan jadi pemegang geran neraka dan tidak akan masuk ke syurga. Bukan tinggal sekejap tapi kekal di neraka buat selama-lamanya.

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

Sahih International

And those who disbelieve and deny Our signs – those will be companions of the Fire; they will abide therein eternally.”

Malay

Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا

Dan orang-orang yang kafir:

Iaitu mereka engkar dengan Qur’an dan buat syirik kepada Allah,

وَكَذَّبُوا بِئآيٰتِنَا

dan mendustakan ayat-ayat Kami

Apabila sampai wahyu Allah kepada mereka, mereka kata itu adalah dusta, mereka tidak mahu terima.

أُولَٰئِكَ

mereka-mereka yang bersifat seperti itu 

yang kufur dan menolak wahyu Allah,

أَصْحٰبُ النَّارِ

adalah pemilik-pemilik neraka sebenar;

Pemilik sebenar tidak sama dengan orang mukmin yang masuk neraka. Kerana ada orang mukmin yang akan masuk neraka untuk sementara kerana mereka telah melakukan dosa. Tapi mereka akhirnya akan keluar dari neraka.

Orang mukmin itu adalah orang Islam yang tidak melakukan syirik kepada Allah. Ada orang yang namanya Islam yang juga melakukan syirik kepada Allah. Mereka itu akan kekal dalam neraka. Walaupun semasa mereka di dunia, mereka itu orang Islam.

هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ

mereka kekal di dalamnya;

Mereka tidak akan dapat keluar dari neraka. Walaupun mereka dulu semasa di dunia mengaku Islam. Apatah lagi kalau orang itu adalah orang kafir, memang akan terus tinggal di neraka pun. 


Pengenalan kepada topik yang baru:

Dari ayat 40 Surah Baqarah hingga ke hujung Juzuk Pertama, adalah berkenaan orang Yahudi. Jadi ayat ini dan seterusnya adalah khitab kepada Bani Israil. Sebelum ini khitab secara umum kepada manusia. Ayat 40 – 141 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Ia menceritakan kedegilan dan kesombongan Yahudi. Memang panjang kisah tentang mereka.

Mereka ini mendapat khitab yang khusus kerana mereka golongan yang dikurniakan kitab wahyu. Memang terdapat lagi bangsa lain yang mendapat kitab wahyu tetapi yang paling masyhur adalah Bani Israil. Mereka mendapat Kitab Taurat, Zabur dan Injil. Memang mereka mendapat banyak kitab kalau dibandingkan dengan golongan lain. Yang bangsa lain ada juga mendapat kitab tetapi tidak masyhur.

Namun, walaupun mereka mendapat kitab wahyu, masalahnya mereka sendiri tidak mengikut kitab itu. Majoriti dari golongan mereka yang tidak mengikut ajaran di dalam kitab.

Maka Allah ‎ﷻ ingin mengingatkan kita jangan jadi seperti mereka. Kerana kita pun ada kitab Qur’an tetapi tidak mengikut ajaran di dalamnya juga, bukan? Maka jangan buat malu – masyhur sahaja umat Islam ada Qur’an tetapi tidak pakai pun. Tahu baca sahaja tetapi tidak tahu apa yang Allah ‎ﷻ sampaikan dalam Qur’an itu. Jadi kita ini sama sahaja dengan orang-orang Yahudi itu.

Maka teguran ini adalah kepada orang Yahudi dan para pendeta mereka. Ia berkenaan soalan yang mereka tanya kepada Nabi ﷺ dan jawapan kepada mereka. Ia hendak memperkenalkan kita kepada sifat-sifat orang Yahudi. Kerana ditakuti kita pun ada sifat-sifat mereka.

Allah ‎ﷻ menceritakan tentang mereka supaya kita boleh mengambil pengajaran dari kisah mereka. Bukan hanya suka-suka sahaja Allah ‎ﷻ menceritakan perihal tentang mereka. Bukanlah tujuan kita belajar tentang mereka itu hanya untuk menunjukkan kepada kita betapa teruknya perangai mereka. Tetapi kerana Allah ‎ﷻ ingin memberitahu kita yang kadang-kadang kita pun ada sifat Yahudi.

Kenalah berlapang dada jikalau kita ada sifat-sifat Yahudi. Jangan kita salahkan ayat-ayat Qur’an ini dan tafsir ini pula. Kerana mungkin dalam kita belajar tafsir ini, ada antara sifat-sifat itu yang sama dengan kita. Atau ada antara guru kita yang ada sifat para pendeta Yahudi. Maka, kalau begitu, kenalah kita berhati-hati dengan guru-guru seperti itu dan meninggalkan mereka kerana kalau kita terus mengikut mereka, maka kita akan kerugian.

Ayat 40 – 123 ditujukan kepada ahli Kitab. Lebih-lebih kepada mereka yang tinggal di sekitar kota Madinah bersama dengan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sebenarnya adalah penghalang besar kepada dakwah Islam. Jadi harus dijelaskan dengan sejelas-jelasnya tentang mereka.

Untuk memahami ayat-ayat ini, kita kena faham sejarah waktu itu dahulu. Orang Arab Madinah sebenarnya sebelum memasuki Islam, mereka sudah mempunyai guru yang menjadi tempat rujukan mereka, iaitu golongan Yahudi. Puak-puak Yahudi itu bukan sahaja guru mereka dalam hal-hal agama, malah puak-puak Yahudi itu juga adalah majikan mereka. Dari segi ekonomi, masyarakat Arab banyak bergantung kepada golongan Yahudi itu.

Dan mereka banyak berhutang dengan puak-puak Yahudi itu. Puak-puak Yahudi itu bukan sahaja kaya tetapi mereka juga ada ilmu agama. Mereka golongan yang ada kitab wahyu dari Allah ‎ﷻ. Orang Arab selalu bertanya kepada golongan Yahudi tentang ilmu-ilmu agama. Jadi kesimpulannya, orang Arab kebanyakannya jahil dan miskin walaupun mereka adalah majoriti penduduk Yathrib (nama Madinah sebelum ditukar oleh Nabi Muhammad ﷺ). Oleh itu, Yahudi sangat berpengaruh di Madinah dan amat dipandang tinggi oleh golongan Arab Madinah.

Orang Arab Madinah terdiri dari banyak puak dan selalu berperang sesama mereka. Puak yang utama adalah Aus dan Khazraj. Dua puak ini mempunyai hubungan dengan Puak Yahudi yang berlainan. Puak Aus berkawan dengan Yahudi Bani Quraizah, sementara Puak Khazraj pula berhubungan dengan puak Bani Nadhir.

Puak-puak Yahudi itu menjadi penaung kepada puak Arab masing-masing. Maka apabila puak Arab itu berbalah dan berperang, maka puak Yahudi Quraizah dan Nadhir pun ikut bermusuhan sesama mereka. Sampai kepada tahap berbunuhan sesama Yahudi. Ini semua adalah sebelum kedatangan Nabi ﷺ lagi.

Apabila puak-puak Arab itu sudah ada penaung dan majikan (golongan Yahudi), maka apabila datang orang luar, mereka susah untuk menerima orang luar. Mereka lebih mempercayai puak Yahudi yang telah menjadi tempat rujukan mereka selama ini. Kalau dengar sesuatu yang tidak biasa mereka dengar, mereka akan rujuk tok guru mereka dari kalangan Yahudi.

Yahudi itu pun bukannya mengikut amalan agama mereka pun. Kalau amalan yang susah dan payah pada fikiran mereka, mereka akan ubah supaya mudah untuk mereka. Kalau kitab mereka sendiri pun mereka susah untuk amalkan, tambahan lagilah kalau kitab yang lain yang diturunkan kepada Nabi selain dari bani Israil. Dan kitab itu pula memperkatakan perkara yang sama iaitu melawan hawa nafsu, tentulah mereka akan tolak, kerana mereka tidak suka.

Maka apabila ditanyakan kepada puak Yahudi itu tentang ayat-ayat Qur’an, mereka akan tafsir mengikut hawa nafsu mereka. Maka orang Arab itu akan ragu-ragu untuk menerima ajaran Nabi Muhammad ﷺ setelah mendengar apa yang disampaikan oleh orang-orang Yahudi itu. Maka, kalau tidak diceritakan dan dijelaskan perangai Yahudi sebenar, susahlah untuk orang Arab  menerima Islam semua sekali.

Ayat-ayat tentang perangai Yahudi ini diturunkan awal-awal lagi semasa Nabi ﷺ baru tiba di Madinah. Supaya masyarakat Arab Madinah boleh mengenali sifat tipu, tamak, suka menukar teks agama, dan lain-lain kesalahan dan keburukan orang Yahudi yang selama ini mereka jadikan sebagai tempat rujuk mereka. Mereka juga golongan yang paling kuat makan riba kerana mereka yang mengamalkan sistem riba.

Tujuan Allah ‎ﷻ memberitahu tentang mereka adalah supaya orang Islam tidak bergantung dan percaya kepada golongan Yahudi lagi. Dan juga agar mereka menerima Islam 100%.

Qur’an bukan hendak menceritakan tentang Yahudi itu sahaja. Mungkin ada bangsa lain yang berperangai Yahudi. Dalam kalangan kita pun ada yang berperangai begitu. Kita jangan lupa yang ada kalangan orang-orang Yahudi itu yang baik seperti Abdullah bin Salam dan lain-lain lagi. Ada segelintir golongan Yahudi yang jujur dan mereka telah memasuki Islam. Namun majoriti dari mereka tidak.

Maka mereka yang baru hendak belajar agama dan mengenal Sunnah, kenalah belajar Surah Baqarah ini agar boleh mengenali golongan Muslim dan agamawan Muslim yang perangai seperti golongan Yahudi juga. Kerana mereka lah yang menjadi rujukan orang kita sebelum ini, bukan? Maka apabila ada gerakan Sunnah, mereka tidak suka kerana ini dapat menggugat kedudukan mereka.

Allah ‎ﷻ juga sebut tentang golongan munafikin dalam Surah Baqarah ini kerana ada golongan munafikin dalam bangsa Yahudi juga. Pecahan pembahagian sifat-sifat golongan Yahudi yang akan disampaikan dalam ayat-ayat seterusnya ini:

1. Golongan pertama disebut dalam ayat 40 — 62. Iaitu golongan Yahudi yang hidup pada zaman Rasulullah  ﷺ di Madinah.
2. Golongan kedua disebut dalam ayat 63 — 74. Iaitu golongan Yahudi yang terdahulu.
3. Golongan ketiga disebut dalam ayat 75 — 85.
4. Golongan keempat dalam ayat 86.
5. Golongan kelima disebut dalam 87 — 88.
6. Golongan keenam disebut dalam 89 — 91.
7. Golongan ketujuh disebut dalam 92 — 93.

Dan dalam ayat 94 — 123 disebut tentang kesamaran-kesamaran dan teguran Allah ‎ﷻ tentang Yahudi.

Dan dalam ayat 124, Allah ‎ﷻ menceritakan tentang asas umat Nabi Muhammad ﷺ. Asasnya adalah millah Nabi Ibrahim عليه السلام dan bukannya Islam itu asasnya dari agama Yahudi. Umat Nabi Muhammad ﷺ ini lahir dari doa Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام. Dalam keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام, ada anaknya yang bernama Nabi Ishak عليه السلام.

Dan dari Nabi Ishak عليه السلامlah datangnya keturunan bani Israil. Tetapi susur galur umat Islam pada akhir zaman ini adalah dari doa Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail  عليه السلام. Maka, tahulah bangsa Arab yang mereka pun keturunan Nabi juga. Kalau sebelumnya itu mereka memang sangka mereka golongan kerdil, maka tidaklah lagi mereka berasa rendah diri. Allah ‎ﷻ ingin memberitahu bangsa Arab yang mereka jangan berasa yang bangsa Yahudi itu sahaja yang hebat.

Kalau bangsa Arab pun menjalankan tugas agama, jaga agama, mengisikan diri dengan wahyu, mereka boleh menjadi lebih hebat lagi dari bangsa Yahudi. Kerana mereka bangsa Arab telah dipilih untuk menjadi pengikut Nabi akhir zaman. Allah ‎ﷻ hendak memberikan kesedaran kepada mereka tentang perkara itu. Allah ‎ﷻ telah memilih mereka sebagai sahabat yang mulia kerana mereka majoriti dari kalangan sahabat Nabi ﷺ.

Sampaikan kepada sesiapa sahaja agama ini termasuklah golongan Yahudi (dan yang berperangai seperti Yahudi), dan mereka hendaklah mengikut Nabi ﷺ yang berketurunan bangsa Arab. Dan para sahabat yang berbangsa Arab itu juga hendaklah dijadikan ikutan. Sehinggalah Nabi ﷺ sudah memberitahu yang khalifah dunia kenalah dari bangsa Quraish, iaitu bangsa Arab. Kalau bangsa lain yang tadbir, porak perandalah dunia ini.


 

Ayat 40: Sekarang kita belajar jenis golongan Yahudi yang pertama. Ayat 40 – 46 adalah Seruan Tauhid dan syariat Nabi terakhir kepada Bani Israil, ahli kitab. Ini adalah peluang terakhir kepada mereka untuk selamat daripada menjadi bangsa yang dilaknat.

يٰبني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَوفوا بِعَهدي أوفِ بِعَهدِكُم وَإِيّٰيَ فَارهَبونِ

Sahih International

O Children of Israel, remember My favor which I have bestowed upon you and fulfill My covenant [upon you] that I will fulfill your covenant [from Me], and be afraid of [only] Me.

Malay

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).

 

يٰبَنِي إِسْرٰءيلَ

Wahai Bani Israil;

Sekarang Allah ‎ﷻ hendak memberikan contoh kepada kita tentang mereka yang tidak mengikut hidayah agama iaitu Bani Israil. Mereka ini telah mendapat agama sebelum kita. Tetapi mereka telah meninggalkan agama. Maka kita kena jadikan mereka sebagai pengajaran buat kita.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sedang bercakap dengan Bani Israil yang sedang bersama dengan Nabi Muhammad. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat. Pertamanya, Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka tentang nikmat yang mereka telah perolehi.

Allah ‎ﷻ menyeru mereka dengan bahasa manja, sebab ingin memujuk mereka kembali ke pangkal jalan. Allah ‎ﷻ kaitkan mereka dengan keturunan mereka dalam nisbah agama (kaitkan dengan agama mereka). Ini kerana hendak melembutkan hati mereka. Macam kalau kita hendak memujuk anak cucu Tok Kenali yang amalkan ajaran jauh dari agama, maka kita panggil mereka: “wahai anak cucu Tok Kenali…”

Ini adalah Yahudi jenis yang pertama. Ayat ini adalah titah yang khusus kepada Bani Israil. Dan terdapat dua jenis Bani Israil: yang awam dan yang ada ilmu (pendeta). Kalau disebut dalam Qur’an ‘Ahlul Kitab’, ia merangkumi semua orang, sama ada yang berilmu atau yang jahil. Tetapi, kalau dalam ayat itu menyebut ‘mereka yang diberikan kitab’, ini khusus merujuk kepada ulama’ dari kalangan Yahudi.

Ayat ini berbentuk pujukan kepada Ahli Kitab untuk kembali kepada syariat. Dalam bahasa Yahudi, ‘isra’ bermaksud hamba dan ‘il’ bermaksud Allah. Maka, perkataan ‘Israil’, maksudnya ‘Hamba Allah’. Ini seperti yang diberitahu oleh Ibn Abbas رضي الله عنه. Dan Israil ini juga adalah gelaran (laqab) bagi Nabi Yaakob عليه السلام. Dari anaknya yang 12 orang itulah yang menjadi Bani Israil (Anak-anak Israil).

 

اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ

Ingatlah nikmat-nikmatKu;

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka semula dengan segala nikmat rohani dan nikmat jasmani yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka. Ada ramai dari kalangan mereka yang Allah ‎ﷻ jadikan Nabi (nikmat rohani) dan ramai juga yang telah menjadi pemimpin yang kaya raya (nikmat jasmani). Maka Allah ‎ﷻ hendak kenangkan nikmat-nikmat itu kepada mereka.

Allah ‎ﷻ mengingatkan Bani Israil di zaman Nabi Muhammad ﷺ tentang nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepada mereka. Banyak juga yang disebut dalam Qur’an sebagai contoh: mereka diselamatkan dari cengkaman Firaun; mereka diberi makan manna dan salwa; dan macam-macam lagi. Ini nanti akan disebut dalam ayat-ayat selepas ini.

Begitulah cara berdakwah yang diajar Allah ‎ﷻ dalam ayat-ayat ini. Mulakan dengan mengingatkan manusia tentang nikmat-nikmat yang mereka telah dapat. Kena ingatkan mereka untuk kenang jasa – maka kenanglah jasa Allah ‎ﷻ dalam beri nikmat kepada mereka, maka kenalah taat kepada Allah ‎ﷻ.

 

الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

yang Aku telah berikan nikmat itu kepada kamu;

Dalam Surah Fatihah, kita telah meminta supaya diberikan ‘nikmat’. Jadi Allah ‎ﷻ hendak berkata dalam ayat ini bahawa Bani Israil ini sudah mendapat nikmat itu dahulu. Namun apakah mereka telah buat dengan nikmat yang mereka ada itu? Adakah mereka mengikut perintah Allah ‎ﷻ selepas itu?

Kita pun sedang mendapat nikmat dari Allah ‎ﷻ. Sebagaimana Bani Israil telah mendapat agama dan Kitab Taurat, kita umat Nabi Muhammad ﷺ juga telah mendapat Qur’an. Tetapi kalau kita bertindak terhadap Qur’an itu sama macam mereka bertindak kepada Taurat, kita pun boleh jadi seperti mereka juga nanti. Maka, kenalah kita beringat dan berjaga-jaga dengan nikmat (dunia dan akhirat) yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita ini.

 

وَأَوْفُوا بِعَهْدِي

dan penuhilah janji kamu denganKu,

Digunakan kalimah ahdu dalam ayat ini kerana memang ada dalam Kitab Taurat maka digunakan lafaz yang sama. Allah ‎ﷻ menggunakan bahasa yang mereka sudah biasa.

Dan tunaikanlah janji untuk taat kepada hukum Allah  ‎ﷻ. Lebih-lebih lagi, janji untuk mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Mereka sebenarnya harus menggunakan semula hukum dari kitab Taurat yang asli. Kalau dirujuk balik kitab itu, memang ajaran yang ada adalah ajaran Tauhid.

Antara lagi janji yang mereka kena penuhi adalah janji untuk mengikut Nabi Akhir Zaman. Mereka sudah lama tahu tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman itu. Mereka memang menunggu-nunggu kedatangan Nabi itu. Kerana itu keturunan mereka dahulu berhijrah ke Yathrib kerana hendak menunggu Nabi Akhir Zaman itu kerana mereka tahu dari kitab mereka yang baginda akan datang ke situ. Maka bila Nabi sudah datang, hendaklah mereka taat dan mengikut baginda.

 

أُوفِ بِعَهْدِكُمْ

nescaya Aku akan memenuhi perjanjianKu dengan kamu;

Allah ‎ﷻ akan memenuhi perjanjianNya jikalau kita memenuhi janji kita denganNya, antaranya Allah ‎ﷻ akan memasukkan manusia yang taat ke dalam Syurga. Dan kalau Bani Israil memenuhi janji mereka, maka Allah ‎ﷻ akan memenuhi janjiNya untuk mengekalkan nikmat kepada mereka.

 

وَإِيَّٰيَ فَارْهَبُونِ

Dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu merasa takut.

Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka bahawa hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja mereka mesti takut. Kalimah فَارْهَبُونِ dari katadasar ر ي ب yang bermaksud ‘takut’. Tetapi takut ada banyak jenis. Kalimah ر ي ب bermaksud ‘takut untuk mengecewakan seseorang’.

Sebagai contoh, apabila ada orang yang kita hormati, maka kita takut untuk berbuat sesuatu yang boleh mengecewakan orang itu kerana kita menghormati dirinya. Kalau dengan manusia pun begitu, maka tentulah kena lebih-lebih lagi dengan Allah ‎ﷻ.

Dari kalimah ر ي ب inilah pendeta atau golongan agama mereka digelar sebagai ‘rahib’.

Mereka diingatkan supaya takut kepada Allah ‎ﷻ supaya mereka ikut mana yang benar. Telah berleluasa atau telah diketahui yang ajaran agama mereka adalah agama yang telah diubahsuai. Apabila ajaran yang telah dipakai oleh orang ramai bukan agama yang asal, maka orang yang hendak mengamalkan yang asal pula menjadi takut. Sebagaimana yang berlaku sekarang juga, berleluasa ajaran dan amalan bidaah, sampai yang hendak mengamalkan sunnah pula dituduh golongan Wahabi. Nampak tidak persamaan itu?

Maka, sebab itulah Allah ‎ﷻ menyebut sebenarnya mereka mestilah takut dengan Allah ‎ﷻ, bukan dengan orang lain. Biarlah orang kata apa pun, yang penting kena ikut ajaran yang asli. Jangan takut dengan manusia, tetapi takutlah dengan Allah ‎ﷻ.

Samalah juga dengan keadaan kita sekarang. Amalan masyarakat kita banyak yang bidaah, bukan dari ajaran asal Islam. Tapi ia amat berleluasa sekali, sampaikan mereka yang hendak mengamalkan sunnah, kembali kepada ajaran Qur’an dan sunnah pula yang susah untuk mengamalkannya.

Orang-orang yang mengamalkan bidaah itu pula yang memandang serong terhadap mereka yang hendak mengamalkan sunnah, manakala amalan sunnah pula yang nampak pelik sebab jarang diamalkan dalam masyarakat. Ramai dari kalangan orang yang sudah mula berjinak dengan sunnah, mengamalkan sunnah dalam keadaan bersembunyi.

Namun begitu,  Allah ‎ﷻ mengingatkan jangan takut kepada mereka yang mengamalkan amalan salah. Malangnya ramai dari golongan yang sudah belajar Sunnah pula takut untuk menegur orang-orang yang mengamalkan bidaah, kerana takut dipandang serong dan dikutuk dan macam-macam lagi. Mereka takut disisih dari keluarga dan masyarakat mereka.

Kepada mereka, kita ingatkan seperti dalam ayat ini, supaya jangan takut dengan apa yang orang lain kata, tetapi takut kepada Allah ‎ﷻ. Apa yang hendak ditakuti? Amalan Sunnah ada dalam Qur’an dan Hadis. Amalan bidaah pula dari mana? Itu semua amalan rekaan belaka. Maka kita yang lebih hebat dari mereka. Mereka yang patutnya malu untuk mengamalkan bidaah kerana dalil tidak ada, tetapi ambil dari kata-kata rekaan manusia sahaja?

Mereka yang sepatutnya membuat amalan mereka sembunyi-sembunyi. Macam kebanyakan amalan tarekat sekarang. Memang amalan mereka rahsia belaka. Mereka amalkan pun sembunyi-sembunyi. Sebab memang amalan karut dan kalau orang tengok pun pelik. Mereka pun malu.

Mereka bukan terus dapat amalan itu. Hanya apabila sudah lama belajar baru diberi amalan-amalan karut yang tidak masuk akal. Kalau mula-mula masuk, mereka diberikan amalan biasa-biasa sahaja. Tetapi kalau sudah lama, guru pun nampak pelajarnya cukup bodoh (semua cerita dia percaya sahaja… ) maka barulah diberi amalan rahsia.


 

Ayat 41:

وَءآمِنوا بِما أَنزَلتُ مُصَدِّقًا لِمّا مَعَكُم وَلا تَكونوا أَوَّلَ كافِرٍ بِهِ ۖ وَلا تَشتَروا بِئآيٰتي ثَمَنًا قَليلًا وَإِيّايَ فَاتَّقونِ

Sahih International

And believe in what I have sent down confirming that which is [already] with you, and be not the first to disbelieve in it. And do not exchange My signs for a small price, and fear [only] Me.

Malay

Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Qur’an) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan ia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.

 

وَءآمِنُوا بِمَا أَنْزَلْتُ

Dan berimanlah dengan apa yang Aku turunkan kepada kamu;

Mereka hendaklah beriman dengan Qur’an sekarang. Bukan kembali kepada Taurat pula. Tidak boleh hendak perbaiki balik Taurat itu dan kembali kepadanya kerana syariat Taurat telah mansukh. Mereka mestilah pakai Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Ayat ini sekarang mereka diajak beriman kepada Qur’an. Kerana apabila Qur’an sudah diturunkan, mereka kenalah beriman sepenuhnya dengan Qur’an.

Dan untuk beriman dengan Qur’an, hendaklah mereka beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ, kerana Qur’an itu diturunkan melalui Nabi Muhammad ﷺ. Tidak boleh hendak percaya kepada Qur’an tanpa percaya kepada Nabi ﷺ. Ini penting kerana zaman sekarang, ada yang hendak percaya kepada Qur’an tetapi tidak mahu menerima Nabi Muhammad ﷺ. Padahal, bagaimana hendak percaya Qur’an tanpa Nabi?

Bagi kaum Yahudi dan Nasrani, mereka berkata mereka percaya kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi mereka tidak mahu menerima Nabi Muhammad ﷺ. Itu adalah salah kerana untuk percaya kepada Allah ‎ﷻ, kita perlu juga percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ juga.

 

مُصَدِّقًا لِّمَا مَعَكُمْ

yang membenarkan apa yang ada dengan kamu;

Qur’an itu membenarkan apa yang ada dalam Kitab Taurat. Mereka telah ada kitab Taurat di tangan mereka. Dan Qur’an itu membenarkan apa yang ada dalam Kitab Taurat itu. Terdapat persamaan ajaran yang di dalam Taurat dan Qur’an. Dan sekarang, mereka kenalah meninggalkan Taurat dan mengambil Qur’an sebagai Kitab pedoman yang baru.

Qur’an itu membenarkan isi tauhid yang ada dalam kitab Taurat dan Injil. Kerana memang serupa apa yang disampaikan berkenaan akidah. Akidah tauhid tidak bertukar dari dahulu sampai sekarang. Sama sahaja yang dibawakan oleh setiap Nabi. Kalau kita biasa lihat ceramah dari mereka yang mahir dengan ilmu perbandingan agama seperti Dr. Zakir Naik, mereka telah tunjukkan yang memang ada ajaran tauhid dalam kitab mereka sendiri.

Antara yang yang dibenarkan dalam Taurat itu adalah tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah tahu bahawa akan datang Nabi akhir zaman. Dan Nabi itu akan datang ke Madinah. Sebab itulah mereka telah siap menunggu di Madinah. Jadi, mereka telah tahu tentang kedatangan Nabi yang baru itu. Cuma mereka tidak boleh terima Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda datang dari bangsa Arab.

 

وَلَا تَكُونُوا أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ

Dan janganlah kamu jadi orang yang pertama-tama engkar dengannya;

Allah ‎ﷻ berpesan kepada mereka supaya jangan mereka menjadi yang mula-mula engkar dengan Qur’an. Kerana bila mereka engkar, akibatnya pengikut-pengikut mereka akan menjadi kufur juga. Bila jadi begitu, mereka akan menerima akibat kufur mereka dan juga pengikut-pengikut mereka itu. Mereka bukan menanggung dosa diri mereka sahaja,  tetapi dosa pengikut-pengikut mereka sekali.

Orang Yahudi sekarang tidak menerima Islam kerana mereka lihat apa yang tidak diterima oleh puak Yahudi zaman mereka. Mereka lihat orang Yahudi itu duduk dengan Nabi Muhammad ﷺ tetapi tidak beriman, mereka sangka tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan Islam sampaikan tok nenek mereka dahulu tidak masuk Islam.

Jadi, ada pendeta Yahudi yang menghalang pengikutnya dari belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka akan menanggung dosa pengikut-pengikut mereka juga kerana pengikut mereka menolak Islam semenjak zaman berzaman lamanya adalah disebabkan oleh mereka.

Kita pula, sebagai contoh, akan menjadi begitu juga jika kita menyekat orang dari belajar tafsir Qur’an. Maka, orang yang tidak belajar tafsir itu akan berdosa kerana mereka tidak tahu tentang agama. Orang yang menyekat mereka juga akan mendapat dosa yang sama dengan mereka yang tidak belajar itu kerana kesalahan menyekat mereka dari belajar. Ini kerana ada guru agama yang memberitahu anak murid tidak boleh belajar tafsir Qur’an kerana akan menyebabkan kekeliruan, mereka tidak cukup ilmuuntuk faham tafsir, tidak wajib belajar tafsir dan macam-macam lagi alasan.

Kalau sepuluh orang yang kita sekat, maka gandaan dosa kepada kita adalah sepuluh juga. Begitu juga orang yang menyebar, akan mendapat pahala orang yang mengikut saranan mereka itu juga. Oleh itu, kita galakkan manusia untuk belajar tafsir.

Kenapa mereka diingatkan jangan jadi yang pertama sekali engkar? Bukankah yang pertama engkar kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah Quraish? Yang dimaksudkan pertama-tama adalah: janganlah mereka yang berada di hadapan sekali yang engkar.

Mereka sebagai kaum yang telah menerima agama sebelum ini, sepatutnya telah tahu bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ adalah ajaran agama yang benar. Kalau Quraish engkar, kita boleh faham juga kerana mereka tidak pernah menerima agama dari langit. Sudah lama Nabi Ismail عليه السلام meninggalkan mereka, jadi mereka sudah jauh dari agama. Tetapi bagi Yahudi, mereka sepatutnya masih lagi memegang pegangan agama. Sepatutnya mereka nampak yang ajaran yang Nabi Muhammad ﷺ bawakan ini adalah ajaran yang benar.

Ini adalah sifat pertama orang Yahudi. Mereka engkar dengan Qur’an dan tidak membenarkan pengikut mereka belajar Qur’an. Jadi kalau ada guru agama yang buat begitu, maka guru agama itu sama sahaja perangai dengan Pendeta Yahudi. Dia sahaja yang tidak perasan, kerana dia sendiri pun tidak belajar tafsir Qur’an dan tidak tahu pun yang Qur’an sedang menceritakan tentang dirinya.

 

وَلَا تَشْتَرُوا بِئآيَٰتِي

Dan jangan kamu jual ayat-ayat Kami

Jangan kamu tukar agama dengan menolak ayat Qur’an untuk upahan dan habuan dunia yang sedikit. Jual beli itu bermaksud ‘tukar’. Ada yang tukar ayat Qur’an dengan habuan benda atau pengaruh. Mereka fikirkan periuk nasi dan perut mereka.

Mereka takut kedudukan mereka jatuh dan makan minum mereka tergendala dan pengaruh dalam masyarakat akan hilang. Mereka takut masyarakat sudah tidak hormat mereka lagi. Walaupun mereka tahu yang wahyu Nabi ﷺ bawa itu adalah benar.

 

ثَمَنًا قَلِيلًا

dengan upah yang sikit;

Maknanya, jangan tukar ayat-ayat Allah ‎ﷻ dengan upah yang sedikit. Contohnya, macam zaman sekarang, ada yang mengambil upah untuk mengajar ayat-ayat Qur’an. Ada yang mengambil upah untuk membaca ayat-ayat Qur’an. Ada yang ambil upah baca Qur’an di kuburan selepas orang mati. Ada yang ambil upah menjadi imam Solat Terawih semasa Ramadhan. Sampai ada kisah berebut tempat kerana ada tempat bayar lebih dari tempat lain. Ada yang ajar baca tajwid di atas kapal terbang pun ada.

image

Allah ‎ﷻ membuka rahsia orang Yahudi dalam ayat ini. Mereka sebenarnya telah tahu tentang kedatangan dan kebenaran Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi mereka telah sorok kebenaran itu. Mereka takut mereka hilang kedudukan. Waktu itu mereka ada kedudukan yang menyebabkan mereka boleh monopoli agama.

Apa-apa sahaja yang mereka kata, akan diterima oleh anak murid dan pengikut mereka. Ini kerana mereka menjadi sumber rujukan dari masyarakat. Mereka mendapat upah dari ilmu yang mereka ada itu. Mereka takut kalau kebenaran diketahui, mereka tidak dipandang orang lagi.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa akan ada sahaja manusia yang memakai topeng agama memutar belitkan agama supaya kedudukan mereka terpelihara. Mereka sanggup menyembunyikan kebenaran supaya mereka masih lagi dipandang tinggi oleh masyarakat. Dan mereka boleh cari makan dengan agama.

Mereka akan hanya menceritakan kepada manusia perkara-perkara yang menyedapkan hati manusia sahaja. Mereka tidak mengingatkan tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan masyarakat kerana takut kalau mereka cerita, masyarakat tidak sanggup untuk mendengarnya dan masyarakat tidak datang kepada mereka lagi. Apabila masyarakat sudah tidak mencari mereka, maka mereka akan hilang punca pendapatan.

Contohnya, masyarakat sudah tidak panggil mereka lagi untuk beri kuliah agama, mereka tidak dipanggil lagi untuk membaca doa selamat, masyarakat tidak panggil mereka lagi untuk menjadi ketua bacaan tahlil dalam Majlis Tahlil dan macam-macam lagi. Kerana itu semua adalah punca pendapatan mereka. Mereka menjual agama sebenarnya.

Mereka menjual itu pula dengan harga yang sedikit. Kerana apa sahaja upah yang mereka dapat itu adalah amat murah kalau dibandingkan dengan nilai agama yang besar. Kita hairan kenapa mereka sanggup buat macam itu. Semoga kita diselamatkan dari orang-orang yang sebegitu. Mereka ini menjadikan agama sebagai komoditi yang boleh dijual beli.

Hasilnya, masyarakat tidak tahu bahawa apa yang mereka faham dan amalkan adalah salah, dan mereka terus bergelumang di dalam kesalahan itu. Mereka sangka mereka sudah benar, sebab guru mereka tidak menegur pun apa yang mereka lakukan itu. Maka kerana itu lebih baik tidak mengambil upah mengajar kerana apabila kita tidak bergantung kepada bayaran anak murid, kita boleh menegur tentang semua perkara.

Kalau mereka tidak mahu panggil mengajar lagi, kita pun tidak rugi apa-apa dari segi kewangan. Kerana tujuan kita hendak menyampaikan kebenaran dan mana yang perlu ditegur, kita tegur. Namun memang kebiasaan manusia, tidak suka ditegur walaupun mereka salah. Mereka itu manja, hendak dipujuk-pujuk, dipuji-puji sahaja. Bila kena tegur sedikit, mulalah nak menjuihkan mulut. Jadi tidak tahu lah siapa yang boleh menegur mereka, kena tunggu Nabi Isa عليه السلام turun baliklah agaknya baru hendak dengar kata.

Ini adalah sifat kedua Yahudi, iaitu mereka menjual ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

 

وَإِيَّٰيَ فَاتَّقُونِ

Dan hanya kepadaKu sahajalah kamu bertaqwa;

Mereka diajak takut kepada Allah ‎ﷻ. Hendaklah takut kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan hirukan kata-kata dan ancaman manusia. Ini penting kerana ada yang takut dengan manusia lain, sampaikan tidak berani untuk menyampaikan ajaran dari ayat-ayat Qur’an.

Hendaklah kita bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ dengan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan kepada kita. Kepada Allah ‎ﷻ sahaja hendaknya kamu takut. ‘Takut’ di sini maksudnya dengan melakukan amalan yang benar. Oleh kerana itu kena ikutlah Nabi Muhammad ﷺ.

Maka perasaan takut itu hendaklah diikuti dengan menjadi orang bertaqwa. Bukannya setakat takut dan menggigil sahaja tetapi tidak berbuat apa-apa. Itu takut orang yang gila.

Jadi ini adalah jenis takut yang kedua. Ini beza dengan takut yang mula-mula telah disampaikan sebelum ini iaitu farhabun.


 

Ayat 42: Ini adalah sifat ketiga Pendeta Yahudi. Sifat pertama adalah menyekat pengikut mereka dari berjumpa dengan Nabi ﷺ. Yang kedua, mereka mengambil peluang dengan menjual agama.

Allah ‎ﷻ keluarkan lagi rahsia kejahatan Yahudi. Orang Islam yang berperangai Yahudi pun macam inilah sifat mereka. Segala perkara yang Allah ‎ﷻ sebut dalam Qur’an, ada dalam kalangan manusia. Kerana Qur’an ini adalah panduan sampai Kiamat.

Yang pertama kita kena lakukan adalah periksa diri kita dengan sifat-sifat Yahudi itu. Kita periksa sama ada kita ada sifat-sifat itu. Dan apabila sampaikan kepada orang lain, orang lain itu pun akan periksa dirinya sendiri.

وَلا تَلبِسُوا الحَقَّ بِالبٰطِلِ وَتَكتُمُوا الحَقَّ وَأَنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

And do not mix the truth with falsehood or conceal the truth while you know [it].

Malay

Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.

 

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبٰطِلِ

Jangan kamu campur adukkan yang haq dengan yang batil;

Ini adalah larangan Allah ‎ﷻ supaya jangan campurkan yang benar dengan yang salah. Allah ‎ﷻ menegur golongan Yahudi: “Yang mudah-mudah kamu amal, tetapi yang lainnya kamu tukar. Kamu ganti dengan amalan yang kamu reka sendiri – itulah yang bathil.” Jadi amalan mereka ada yang diambil dari Taurat, tetapi ada yang ringan yang mereka reka sendiri. Maknanya, bukanlah mereka tolak semua sekali Taurat itu.

Contohnya adalah apa yang diamalkan dalam masyarakat kita dalam upacara tahnik (belah mulut budak yang baru lahir). Memasukkan kurma atau buah yang manis ke dalam mulut bayi. Ia memang sunnah dilakukan. Apa yang Nabi ﷺ ajar adalah menggunakan buah kurma.

Yang ditambah oleh orang kita adalah menggunakan gula batu dengan harapan supaya budak itu nanti ‘manis mulut’nya. Supaya kalau perempuan, mudah dapat suami, dan kalau lelaki, senang dapat kerja. Ini adalah perbuatan yang syirik dan khurafat. Kerana mereka percaya bahawa akan dapat kelebihan-kelebihan itu kalau dibuat.

Ada juga yang menggunakan garam buku supaya mulut budak itu ‘masin’. Supaya anak itu apabila besar nanti akan menjadi tok guru, tok wali dan sebagainya. Padahal, untuk menjadi guru kenalah belajar Qur’an dan Hadis. Dan macam-macam lagi yang digunakan oleh masyarakat kita. Ada yang guna asam keping, ada yang guna cincin emas, cincin perak dan sebagainya lagi.

Inilah yang dinamakan ‘mencampurkan yang benar dengan yang salah’. Melakukan tahnik itu sudah betul, tetapi dicampur pula dengan perbuatan yang salah. Perbuatan ini dinamakan talbis. Iaitu mencampurkan yang benar dengan yang salah. Bila kita tegur, mereka pandai pula kata: “eh kan tahnik Nabi ada buat?” Ya, memang buat tapi bukan macam cara kamu buat!

Satu lagi contoh: memberi orang makan di rumah kita adalah digalakkan dalam Islam. Tetapi mengadakan upacara bidaah seperti bacaan Doa Selamat dan Majlis Tahlil, itu adalah tidak benar. Itu pun dikira mencampur adukkan yang benar dengan yang salah.

Dalam pengajaran pula, ada yang menyelitkan benda yang salah dalam ajaran mereka. Yang bukan datangnya dari agama Islam, tetapi dari pendapat-pendapat manusia, kitab dan sebagainya. Mereka memang ada menceritakan kebenaran dari Qur’an dan Sunnah, tetapi ada juga yang mereka selitkan yang bukan dari Islam. Ini pun dipanggil mencampuradukkan haq dan batil.

 

وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ

Kamu sembunyikan yang benar

Kamu sembunyikan yang haq itu daripada diajar kepada orang. Sedangkan kamu tahu yang kamu telah sembunyikan. Iaitu apabila mengajar Taurat, apabila sampai kepada yang syariat yang payah, mereka tafsir dengan tafsir yang mereka buat sendiri. Mereka tidak mengubah matan teks Taurat itu, tetapi apa yang mereka syarah itu yang mereka reka sendiri. Mereka campur adukkan yang benar dan yang salah.

Perkara inilah yang terjadi kepada ulama-ulama Su’ – ulama-ulama jahat. Mereka tidak menukar matan Qur’an, tetapi mereka takwil dan tafsir dengan makna yang lain. Sedangkan maknanya bercanggah dengan ayat-ayat Qur’an. Mereka buat mengikut apa yang mereka kehendaki. Mereka sembunyikan yang benar dan ini adalah amat jahat sekali.

Anak murid pula memang takut untuk menegur tok guru. Apa sahaja yang guru beritahu, mereka sangka ia adalah benar belaka, maka mereka akan terima sahaja. Itulah dikatakan yang ulama: العوام كالأنعام (orang awam macam binatang ternak). Maknanya mereka akan ikut sahaja apa yang dikatakan oleh agamawan. Dan ini amat bahaya kerana kalau guru itu salah, bagaimana? Asalnya kesalahan yang dilakukan oleh guru agama sahaja, tetapi apabila dipanjangkan oleh pengikut yang jahil, maka ia jadi berleluasa.

Sampai sekarang ada masjid yang memberikan amaran kepada ustaz (oleh AJK Masjid) supaya jangan sembang tentang perkara ini dan itu. Contohnya tentang bidaah, jangan sentuh. Maknanya AJK itu suruh sembunyikan kebenaran. Disuruh ajar perkara-perkara yang tidak menimbulkan kontroversi sahaja. Kalau ajar juga, alamatnya pendeklah masa ustaz itu di masjid itu kerana tidak akan dijemput lagi.

Ini adalah bisikan dari syaitan. Apabila tidak dibenarkan beritahu yang benar, maka lama kelamaan memang masyarakat akan terus berada di dalam kejahilan. Mereka yang berkata begitu dan ustaz yang mengikut sahaja cakap AJK Masjid itu tidak sedar yang mereka itu sendiri sudah mempunyai perangai Yahudi. Ini teruk kerana kita pun tahu yang Yahudi dilaknat Allah ‎ﷻ maka takkan kita pun mahu dilaknat juga?

 

وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

sedangkan kamu tahu;

Dan kamu menyembunyikan yang benar; Pendeta Yahudi itu tahu yang apa yang mereka amalkan itu adalah salah. Ini sama macam ustaz kita yang tahu mana-mana amalan syirik dan bidaah yang diamalkan masyarakat kerana mereka telah belajar agama. Tetapi mereka sanggup menyembunyikannya.

Sebagai contoh, tok guru itu sebenarnya tahu yang sebetulnya tahnik itu menggunakan buah kurma sahaja tetapi dia membiarkan sahaja orang berbuat macam-macam lagi perkara tambahan, kerana dia hendak mendapatkan upah yang sedikit.

Sebab mereka akan dapat upah kalau mereka melakukan upacara tahnik itu. Kalau mereka tegur, mereka takut nanti masyarakat sudah tidak panggil mereka menjadi ketua acara majlis itu lagi. Jadi, kalau ada tok guru yang melakukan sebegini, maknanya mereka sudah menjadi seperti Pendeta Yahudi. Mereka mempunyai sifat-sifat Pendeta Yahudi.

Ada juga guru ugama yang apabila mengajar tentang agama, mereka tidak menceritakan sepenuhnya tentang kesalahan-kesalahan masyarakat. Takut nanti ada yang terasa. Mereka lebih hendak menjaga hati manusia daripada kehendak Allah ‎ﷻ. Seolah-olah mereka lebih takutkan manusia daripada takut dengan Allah ‎ﷻ?

Ataupun ada yang tidak membacakan tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh golongan Ahli Kitab sebab mereka hendak menunjukkan kononnya Islam itu liberal – agama Islam sama sahaja dengan agama lain yang mementingkan kebaikan. Maksudnya, semuanya ‘boleh buat belaka’.

Mereka takut kalau dibacakan ayat-ayat itu, takut orang bukan Islam nampak Islam ini hanya hendak menyalahkan orang lain sahaja. Padahal ayat-ayat itu ada dalam Qur’an. Kalau mereka tidak menceritakannya, itu menunjukkan mereka menyembunyikan kebenaran. Itu adalah jenis orang yang takut dengan orang kafir. Mereka takut orang lain terasa hati dengan agama Islam pula.

Ada juga yang benci sangat kepada orang bukan Islam sampai mereka hanya menekankan ayat-ayat memerangi orang kafir. Mereka tidak baca pula ayat-ayat yang menekankan keamanan dan berbaik dengan orang-orang bukan Islam. Ini adalah hasil dari perasaan benci kepada orang bukan Islam.

Dalam Islam, tidak boleh ada dua perasaan itu. Tidak boleh ada perbuatan dan pengajaran kita didorong oleh takut dan marah. Kita kena jujur dengan Qur’an. Jangan kita sembunyikan ayat-ayat Qur’an. Kalau diajar dengan betul, tidak ada apa yang hendak kita takutkan dengan ayat-ayat Qur’an itu. Semua ayat Qur’an adalah berguna dan perlu disampaikan kepada manusia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 April 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Mualana Hadi

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s