Tafsir Surah an-Nas Ayat 4 – 6 (Cara berlindung dari Syaitan)

Ayat 4: Sekarang masuk kepada perbincangan musta’az minhu (yang kita minta dilindungi darinya) pula. Ayat 4 – 5 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia adalah tentang permintaan perlindungan supaya terpelihara daripada kejahatan was-was.

مِن شَرِّ الوَسواسِ الخَنّاسِ

Sahih International

From the evil of the retreating whisperer –

Malay

Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, –

Kalimah شَرِّ bermaksud sesuatu keburukan yang boleh menyusahkan kita. Ianya adalah sesuatu yang amat buruk untuk kita. Ianya berasal dari kata dasar ش ر ر yang bermaksud ‘percikan api’.

Siapa yang bisik? Allah tidak menggunakan perkataan ‘syaitan’ dalam ayat ini. Perkataan وَسْوَاسِ bukan sahaja bermaksud ‘bisik’. Ianya adalah dari kata dasar و س و س  yang bermaksud ‘bisik’. Tetapi, ada juga perkataan lain untuk ‘bisik’ iaitu همس seperti yang digunakan dalam Taha:108. Apakah bezanya antara dua jenis bisikan itu?

Yang pertama, همس digunakan untuk membisikkan sesuatu yang baik ataupun buruk. Tapi, وَسْوَاسِ hanya digunakan apabila yang dibisikkan itu adalah perkara yang buruk sahaja.

Yang kedua, apabila digunakan dua kali perkataan ‘was’ jadi ‘was-was’, bermaksud ianya sesuatu yang berterusan dan berulang-ulang.

Dari segi bahasa, الْوَسْوَاسِ bukan bermaksud ‘pembisik’ biasa sahaja, tapi ianya dalam bentuk isim mubalaghah (bersangatan) – kuat sangat membisikkan dan tidak berhenti. Kerana kalau pembisik sahaja, perkataan muwaswis boleh digunakan.

Oleh itu, perkataan الْوَسْوَاسِ bermaksud ‘pembisik’ dan bukan ‘bisikan’ kerana kalau ‘bisikan’, perkataan waswasa yang digunakan. Tapi, kerana ada ال makrifah di dalam kalimah الْوَسْوَاسِ ini, maka ia tentu merujuk kepada sesuatu yang spesifik. Apakah ia?

Ulama’ sepakat mengatakan yang perkataan الْوَسْوَاسِ merujuk kepada syaitan. Pertama, kerana ada ال makrifah pada perkataan itu – yang dalam bahasa Arab, menunjukkan kepada sesuatu yang spesifik – bukan pembisik yang tidak tetap atau pembisik yang biasa sahaja.

Kedua, sifat yang sentiasa membisikkan keburukan dan tidak berhenti itu adalah hanya ada pada syaitan sahaja. Kerana syaitan memang tidak ada kerja lain. Kerja mereka menghasut manusia sahaja.

Kenapa kita minta berlindung dari ‘pembisik’ itu dan bukan dari ‘bisikan’ itu? Kerana ‘pembisik’ itu boleh melakukan lebih lagi dari hanya ‘bisikan’ sahaja. Kita minta perlindungan dari apa sahaja yang datang daripada syaitan itu. Tidak kira apa sahaja yang dia beri, kita hendaklah tolak.

Apakah yang dibisikkan ke dalam hati manusia? Ianya boleh jadi fikiran, idea, perasaan risau, takut, imaginasi dan sebagainya. Semua itu tidak ada realiti. Jadi, syaitan akan membisikkan ketakutan kepada perkara yang tidak ada. Sebab itu benda tidak akan jadi, namun kita sudah takut. Atau takut kepada sesuatu yang tidak buat apa-apa kepada kita. Kita sahaja bersangka ia ada kemudharatan, namun sebenarnya tidak.

Syaitan jugalah yang membisikkan perkara-perkara buruk yang menyebabkan dosa. Syaitan mahu kita melakukan dosa yang tidak disukai oleh Allah. Mereka mahu kita semuanya berdosa dan akhirnya masuk neraka bersama mereka.

Sifat syaitan itu juga diberitahu oleh Allah dalam ayat ini, iaitu syaitan itu bersifat الْخَنَّاسِ yang bermaksud ‘pergi dan hilang’. Ia dari kata dasar خ ن س yang bermaksud berundur, surut, bersara, tahan, tinggal di belakang, mengecil, menarik diri, menyorok. Dalam Takwir:15 juga digunakan perkataan dari kata dasar dan perkataan yang sama:

فَلَا أُقْسِمُ بِالْخُنَّسِ

Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;

Kalimah الْخَنَّاسِ dalam ayat surah Takwir ini merujuk kepada bintang yang timbul kemudian hilang dari pandangan. Bukanlah bintang itu tidak ada, cuma menghilangkan diri sahaja, esok ia datang balik. Ini sama juga dengan syaitan. Syaitan hanya pergi sekejap sahaja dan akan datang kembali untuk menghasut kita.

Bila kita mengingati Allah, ia akan lari dan hilang. Tapi syaitan tidak lari jauh. Ia pasti akan datang kembali. Ia akan sentiasa berusaha untuk mengganggu dan menghasut kita. Sebagai contoh, apabila waktu kita hendak solat, ia akan datang. Kerana itu, sekejap sahaja kita dapat berasa khusyuk, tapi tidak lama selepas itu fikiran kita entah melayang ke mana. Ini adalah kerana bisikan daripada syaitan itu. Ia akan membisikkan perkara-perkara yang melalaikan kita di dalam solat. Ia tidak akan tinggalkan kita semasa kita sedang solat.

Semakin kuat iman kita, semakin kuat ia akan mengganggu. Semakin berilmu seseorang itu, yang dihantar adalah syaitan yang lebih kuat dan lebih bijak. Kalau orang yang tidak beriman, orang itu sudah memang kawan syaitan. Tapi kalau beriman, mereka itulah yang akan dikacau dengan lebih teruk lagi. Sebab itu apabila kita belajar agama, kita kena berhati-hati dan minta perlindungan kepada Allah daripada gangguan syaitan.

Antaranya, bimbang walaupun kita sudah belajar agama, sudah pandai, sudah mengajar, tapi masih boleh lagi dihasut oleh syaitan. Tidak kira sama ada seseorang itu yang belajar agama, hatta yang mengajar sekali pun. Syaitan akan mencari peluang untuk menghasut kita. Janganlah kalau kita rasa kita sudah pandai, kita sangka yang syaitan tidak boleh hasut kita lagi.

Ingatlah yang semua diberi dugaan dihasut oleh syaitan. Nabi Adam juga pernah terkena hasutan sampaikan baginda telah diturunkan ke bumi. Jadi, tidak ada yang terselamat. Maka, kita hendaklah meminta perlindungan kepada Allah.

Dalam Sunan Nasa’i, ada diriwayatkan dari hadith daripada Nabi tentang bagaimana syaitan mengganggu manusia.

أَخْبَرَنَا قُتَيْبَةُ، عَنْ مَالِكٍ، عَنْ أَبِي الزِّنَادِ، عَنِ الأَعْرَجِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاَةِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ التَّأْذِينَ فَإِذَا قُضِيَ النِّدَاءُ أَقْبَلَ حَتَّى إِذَا ثُوِّبَ بِالصَّلاَةِ أَدْبَرَ حَتَّى إِذَا قُضِيَ التَّثْوِيبُ أَقْبَلَ حَتَّى يَخْطِرَ بَيْنَ الْمَرْءِ وَنَفْسِهِ يَقُولُ اذْكُرْ كَذَا اذْكُرْ كَذَا لِمَا لَمْ يَكُنْ يَذْكُرُ حَتَّى يَظَلَّ الْمَرْءُ إِنْ يَدْرِي كَمْ صَلَّى ‏”‏ ‏.‏

Telah mengabarkan kepada kami Qutaibah dari Malik dari Abu Az-Zinad dari Al-A’raj dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: Apabila adzan dikumandangkan, maka syaitan lari bertempiaran sambil terkentut hingga ia tidak mendengar suara adzan. Jika adzan telah selesai, maka syaitan datang lagi. Ketika iqamah dikumandangkan, maka syaitan lari bertempiaran lagi. Dan saat iqamah selesai, maka syaitan kembali lagi. Sehingga syaitan ini masuk ke benak seseorang dan berkata; “Ingat ini, ingat itu, terhadap hal-hal yang tadinya dia lupakan. Sampai seseorang tidak tahu berapa jumlah raka’at yang telah dia kerjakan.”

Syaitan juga akan menyebabkan manusia menjadi marah. Apabila manusia marah, dia akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dan berkata sesuatu perkara yang dia juga akan menyesal nanti.

وعن سليمان بن صرد رضي الله عنه قال‏:‏ كنت جالساً مع النبي صلى الله عليه وسلم، ورجلان يستبان، وأحدهما قد احمر وجهه، وانتفخت أوداجه‏.‏ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏”‏ إني لأعلم كلمة لو قالها لذهب عنه ما يجد، لو قال‏:‏ أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ذهب منه ما يجد‏”‏‏.‏ فقال له‏:‏ إن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏”‏ تعوذ بالله من الشيطان الرجيم‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏ ‏.‏

Aku sedang duduk dengan Rasulullah ( ﷺ ) ketika dua orang lelaki mula bergaduh dan mengutuk antara satu sama lain dan wajah salah seorang daripada mereka menjadi merah dan urat lehernya telah bengkak (dari kemarahan ). Rasulullah ( ﷺ ) berkata , “Aku tahu satu perkataan yang jika dia mengucapkan dengannya, kemarahan itu akan hilang dan perkataan itu adalah: A’udhu billahi minash-Shaitan nir-rajim (aku kepada dengan Allah dari godaan syaitan yang direjam).” Maka mereka (sahabat ) itu berkata kepada lelaki itu: “Nabi ( ﷺ ) memberitahu kamu untuk mengucapkan: ‘ Aku berlindung kepada Allah dari syaitan, yang direjam”. [Al-Bukhari dan Muslim].

Maka, syaitan akan sentiasa sahaja ada di sekitar kita dan mengambil peluang untuk menghasut kita. Memang tidak boleh dihalau seperti mana kita menghalau nyamuk. Maka, hanya kepada Allah sahaja kita meminta perlindungan daripada syaitan.


 

Ayat 5:

الَّذي يُوَسوِسُ في صُدورِ النّاسِ

Sahih International

Who whispers [evil] into the breasts of mankind –

Malay

Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam dada manusia, –

Allah menerangkan pula apakah yang dilakukan oleh syaitan. Kalau sudah syaitan, tentulah tugasnya menghasut, bukan? Contohnya, kalau guru tentulah tugas dia akan mengajar, bukan? Tidak perlu hendak sebut lagi sebenarnya, tapi Allah sebut sifat syaitan dalam ayat ini untuk mengingatkan kita yang syaitan akan tetap menghasut manusia sampai bila-bila.

Syaitan bisikkan was-was dalam صُدُورِ (dada) manusia. Iaitu satu tempat yang kita tidak nampak walaupun ianya ada pada diri kita. Jadi kita tidak tahu apa yang terjadi di dalam dada kita. Ini lebih bahaya sebab kita tidak nampak dan tidak tahu apa yang berlaku di dalamnya. Kalau X-Ray sekalipun, kita tidak nampak syaitan melakukan kerja di dalamnya. Tapi, Allah nampak dan tahu apa yang berlaku. Maka, kerana itu kita hendaklah meminta pertolongan kepada Allah.

Allah menyebut yang syaitan hanya dapat memasuki ‘dada’ sahaja. Bukan dalam ‘hati’ lagi. Perumpamaan yang kita boleh ambil adalah: hati itu seperti istana dan di keliling istana itu adalah taman dan kawasan lapang. Syaitan hanya boleh berlegar dalam kawasan luar sahaja, tapi tidak boleh masuk ke dalam istana. Kunci istana atau hati itu ada pada diri kita.

Kalau kita beri kunci itu kepada syaitan, baru ia boleh masuk ke dalam hati kita dan menghasut kita. Ia akan cantikkan perkara-perkara yang salah dan berdosa. Yang bidaah   juga dinampakkan cantik pada pandangan mata kita. Kalau buat perkara yang berdosa dan hina, seakan tidak mengapa sahaja. Sebaliknya, kalau kita ada iman, kita akan benci kepada benda-benda salah dan berdosa.

Syaitan menempatkan dirinya di luar hati manusia. Apabila manusia lalai daripada mengingati Allah, syaitan akan melemparkan was-was ke dalam hati manusia. Apabila kita mengingati Allah, ia akan berhenti (sebentar). Apabila kita lupa mengingati Allah, ia akan datang kembali.

Ia tidak akan lelah, sentiasa sahaja menunggu peluang untuk bertindak. Syaitan memang akan berjuang keras untuk memasukkan manusia ke dalam neraka. Kita mungkin lupa mereka, tapi mereka tidak akan lupa kepada kita. Kerana menghasut itulah kerja mereka.

Kita semua telah diberikan dengan qarin (pendamping dari kalangan jin) yang sentiasa bersama kita. Qarin itu akan sentiasa menyuruh kita melakukan keburukan. Ini seperti yang telah diberitahu oleh Nabi sendiri:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ »

Sesungguhnya syaitan berjalan dalam manusia seperti perjalanan darah.”

Syarah: Nabi mengatakan jin dalam tubuh beredar ‘seperti’ darah beredar. Bukanlah ia bermaksud jin itu duduk dalam darah pula. Jadi, tidak boleh pergi lakukan Haemodialysis untuk cuci darah buang jin pula. Kalau bekam darah sekalipun, jin itu tidak hilang dalam tubuh kita.

Apabila hasutan itu dibisikkan dalam hati dan hati mengikut, akan menyebabkan kerosakan dan masalah kepada diri kita. Kerana badan akan ikut hati. Hatilah yang mengawal segala pergerakan tubuh. Yang berjalan ke pusat pelacuran memang kaki, tapi yang menyuruhnya adalah hati; yang minum arak memang tangan dan mulut, tapi yang menyuruh adalah hati juga.

Kita minta Allah melindungi kita daripada syaitan supaya tidak datang langsung. Jangan beri peluang dia bisik juga. Jangan beri peluang dia bisik dari awal lagi. Kerana takut kalau sudah bisik, kita dengar dan ikut pula.


 

Ayat 6: Ayat 6 ini adalah Perenggan Makro Ketiga surah ini. Permohonan perlindungan juga dipohon untuk keselamatan daripada kejahatan manusia dan jin.

مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ

Sahih International

From among the jinn and mankind.”

Malay

“(Iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia”.

Kita minta perlindungan daripada hasutan jin dan manusia. Ini bermakna, syaitan itu ada dua jenis. Yang tidak nampak dan nampak. Ada syaitan dalam bentuk manusia. Manusia? Bagaimana pula ada syaitan yang dalam bentuk manusia pula? Ini satu perkara yang ramai daripada kalangan masyarakat kita yang jahil dengan wahyu susah hendak terima. Kerana , mereka menyangka syaitan itu daripada kalangan jin sahaja.

Ada pelbagai cara syaitan mengganggu kita. Pertama, syaitan akan menghantar manusia untuk mengganggu kita. Atau, jika dia tidak dapat mengganggu kita, dia akan ganggu pula anak dan isteri kita. Sebagai contoh, katakanlah kita hendak melakukan solat sunat. Dia akan hantar anak isteri kita untuk mengganggu kita dan minta macam-macam.

Ini adalah apabila syaitan  menggunakan orang lain untuk mengganggu kita, terutama sekali dengan orang yang dekat dengan kita dan kita memang sayang. Syaitan memang bijak mencari jalan untuk menghasut kita dan melalaikan kita.

Keduanya, ada jin yang menggunakan manusia dalam menghasut manusia. Dia akan hasut orang lain supaya menghasut pula kita. Dia jadikan orang lain sebagai boneka. Sebagai contoh, kalau hendak menghasut lelaki, jin akan menghasut perempuan untuk menggoda lelaki.

Ayat ini juga adalah dalil bahawa syaitan juga ada daripada kalangan manusia. Manusia juga ada bisikan kepada kita untuk lakukan keburukan. Ramai manusia yang mengajak kepada keburukan. Kalau begitu, mereka itu adalah syaitan. Mungkin ramai yang menyangka syaitan itu daripada kalangan jin sahaja. Tapi, itu adalah syaitan daripada jenis jin dan ada juga syaitan daripada kalangan manusia.

Ini adalah kerana ‘syaitan’ itu adalah ‘sifat’. Iaitu sifat menjauhkan manusia daripada Allah. Kalau jin yang menjauhkan manusia, maka ia adalah syaitan; dan kalau manusia yang lakukan kerja menjauhkan manusia daripada Allah, maka dia juga ‘syaitan’.

Makhluk yang ada akal hanya tiga sahaja: manusia, jin dan malaikat. Syaitan bukanlah satu jenis makhluk lain. Syaitan ini adalah sifat sahaja, jadi manusia boleh jadi syaitan dan jin juga boleh jadi syaitan. Kalau kita katakan syaitan itu makhluk jenis lain, maka kita sudah kata ada empat makhluk yang ada akal pula.

Termasuk dalam golongan manusia yang menghasut dan menyebabkan was-was, adalah mereka yang merendahkan martabat Nabi kita. Mereka banyak melakukan kajian dan kononnya mereka mengatakan Nabi menipu, Nabi tidak benar dan sebagainya. Antaranya, mereka mengatakan bahawa Nabi Muhammad sama sahaja seperti manusia biasa dan tidak ada kelebihan pada diri baginda.

Sampaikan ada golongan jahil yang kononnya hanya mahu menerima Al-Qur’an sahaja, hadith mereka tidak mahu terima. Inilah antara was-was yang dibawa oleh manusia yang sesat. Ada juga di kalangan orang kita yang termakan dengan hujah-hujah mereka kerana kekurangan ilmu.

Allah sebut syaitan daripada kalangan jin dahulu sebelum manusia kerana syaitan jin adalah yang lebih pandai dalam menghasut manusia dan memberikan was-was ke dalam diri manusia.

 

Penutup:

Surah ini bukan sahaja berkait rapat dengan surah al-Falaq seperti yang kita sebutkan di awal tafsir ini, tapi surah ini juga berkait rapat dengan surah al-Fatihah. Apabila Nabi Muhammad habis sahaja membaca surah an-Nas dalam tilawah baginda, baginda akan terus membaca surah al-Fatihah pula.

Kerana bukanlah bacaan Surah an-Nas ini sebagai penutup pembacaan Al-Qur’an. Sunnahnya adalah terus sambung dengan membaca surah al-Fatihah. Memang ada kaitan Surah an-Nas ini dengan surah al-Fatihah juga:

1. Dalam surah al-Fatihah ini kita memohon hidayah dan dalam surah an-Nas kita memohon perlindungan.

2. Ketiga-tiga nama Allah ada persamaan dalam kedua-dua surah ini.

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ = الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
مَلِكِ النَّاسِ = مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
إِلَٰهِ النَّاسِ = إِيَّاكَ نَعْبُدُ

3. Dalam surah al-Fatihah digunakan ‘kami’ kerana pertolongan yang diperlukan (hidayah) bersifat umum dan dalam surah an-Nas, permintaan perlindungan lebih bersifat individu. Sebab itu di dalam surah an-Nas, permintaan itu kepada ‘aku’ sahaja.

4. Dalam surah al-Fatihah, kita minta dijauhkan daripada dua kumpulan (golongan yang dimurkai dan golongan yang sesat) dan surah an-Nas pula, dua kumpulan juga (jin dan manusia).

5. Surah al-fatihah dibahagikan kepada dua bahagian dan begitu juga surah an-Nas ini. Bahagian pertama al-Fatihah adalah dari permulaan surah sampai kepada ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ. Bahagian kedua pula adalah bahagian doa yang dimulai dengan وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ.

Bahagian pertama surah an-Nas pula adalah dari permulaan surah sampai إِلَٰهِ النَّاسِ. Dan ayat seterusnya sampai ke penghujung surah adalah bahagian kedua.

6. Nabi Adam diturunkan ke dunia adalah kerana helah iblis yang menghasut Nabi Adam. Kisah itu disebut di tujuh tempat di dalam Al-Qur’an. Syaitan telah berjanji akan menyesatkan manusia. Ini disebut dalam surah A’raf:16

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ

Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

Lihatlah janji iblis hendak menghalang manusia dari jalan yang lurus. Juga bukankah dalam surah al-Fatihah, kita meminta Allah memberi kita petunjuk kepada jalan yang lurus?

Dan dalam ayat seterusnya iblis berkata:

ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.

Iblis kata kebanyakan daripada manusia tidak bersyukur. Juga apakah ayat pertama di dalam surah al-Fatihah? Bukankah kita mengucapkan syukur kepada Allah dengan menyebut الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ? Allah mengajar kita untuk bersyukur di dalam surah itu. Ayat pertama lagi Allah sudah ajar kita bersyukur dengan menyebut ‘alhamdulillah’.

Dalam banyak-banyak hasutan was-was syaitan itu, apakah hasutan yang paling kita mesti berhati-hati sekali? Lihatlah apa Allah beritahu yang dilakukan oleh syaitan kepada Nabi Adam dan Hawa, dalam ayat 20 surah A’raf.

فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِن سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”.

Syaitan telah menyebabkan aurat Nabi Adam dan Hawa terbuka. Begitulah syaitan sampai sekarang juga akan menyebabkan perkara yang sama kepada manusia. Ia akan menyebabkan perhubungan lelaki dan perempuan seperti tidak ada apa-apa kalau berjumpa tanpa hubungan yang sah. Ia akan menyebabkan lelaki dan perempuan tertarik sesama sendiri. Kalau dengan isteri tidak berapa hendak bercakap, tapi dengan orang lain, banyak bercakap pula.

Kalau dalam media massa, kita dan anak-anak kita senang sahaja melihat aurat lelaki dan perempuan. Dalam masyarakat pula seperti sudah biasa kalau lelaki dan perempuan bercampur gaul sesama sendiri. Kita juga sudah biasa sahaja melihat orang tidak tutup aurat dan tidak kuasa juga hendak menegur.

Jadi, di negara kita juga sudah seperti negara kufar. Seperti tiada beza. Itulah kejayaan syaitan dalam merosakkan agama kita. Mereka akan sentiasa mencari jalan bagaimana hendak menyesatkan manusia.

7. Permulaan Al-Qur’an iaitu al-Fatihah adalah doa dan surah an-Nas sebagai penghujung Al-Qur’an juga adalah tentang doa juga. Maka, jangan kita lupa kekuatan dan kepentingan doa.

Allahu a’lam. Sambung terus kembali membaca Surah Fatihah. Apabila Nabi Muhammad selesai membaca surah ini, Nabi tidak terus berhenti, namun baginda terus sambung semula kepada surah al-Fatihah. Jangan berhenti terus di surah an-Nas ini.

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Abu Ihsan:

Norman Ali Khan:

Taymiyyah Zubair:

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s