Tafsir Surah an-Nas Ayat 4 – 6 (Cara berlindung dari Syaitan)

Ayat 4: Sekarang masuk kepada perbincangan musta’az minhu pula.

مِن شَرِّ الوَسواسِ الخَنّاسِ

Sahih International

From the evil of the retreating whisperer –

 

Malay

“Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, –

مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ

“Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, –

شَرِّ adalah sesuatu keburukan yang boleh menyusahkan kita. Ianya adalah sesuatu yang amat buruk untuk kita. Ianya berasal dari katadasar شرر yang bermaksud ‘percikan api’.

Siapa yang bisik? Allah tak gunakan pun perkataan ‘syaitan’ dalam ayat ini. Mari kita lanjutkan perbincangan. Perkataan وَسْوَاسِ bukan sahaja bermaksud ‘bisik’. Ianya adalah dari katadasar وس yang bermaksud ‘bisik’. Tetapi ada juga perkataan lain untuk ‘bisik’ iaitu همس. Seperti yang digunakan dalam Taha:108. Apakah bezanya antara dua jenis bisikan itu? Yang pertama, همس digunakan untuk membisikkan sesuatu yang baik ataupun buruk. Tapi, وَسْوَاسِ hanya digunakan apabila yang dibisikkan itu adalah perkara yang buruk sahaja.

Yang kedua, apabila digunakan dua kali perkataan ‘was’ jadi ‘was-was’, bermaksud ianya sesuatu yang berterusan dan berulang-ulang.

Dari segi bahasa, الْوَسْوَاسِ bukan bermaksud ‘pembisik’ biasa sahaja, tapi ianya dalam bentuk isim Mubalaghah (bersangatan) – kuat sangat membisikkan dan tidak berhenti. Kerana kalau pembisik sahaja, perkataan muwaswis boleh digunakan.

Oleh itu, perkataan الْوَسْوَاسِ bermaksud ‘pembisik’ dan bukan ‘bisikan’ kerana kalau ‘bisikan’, perkataan waswasa yang digunakan.

Jadi, ulama sepakat mengatakan yang perkataan الْوَسْوَاسِ merujuk kepada syaitan. Pertama, kerana ada ال pada perkataan itu – yang dalam bahasa Arab, menunjukkan kepada sesuatu yang spesifik – bukan pembisiki yang tidak tetap atau pembisik yang biasa sahaja. Kedua, sifat yang sentiasa membisikkan keburukan dan tidak berhenti itu adalah hanya ada pada syaitan sahaja.

Kenapa kita minta berlindung dari ‘pembisik’ itu dan bukan dari ‘bisikan’ itu? Kerana ‘pembisik’ itu boleh melakukan lebih lagi dari hanya membisikkan sahaja. Kita minta perlindungan dari apa sahaja yang datang dari syaitan itu.

Apakah yang dibisikkan ke dalam hati manusia? Ianya boleh jadi fikiran, idea, perasaan risau, takut, imajinasi dan sebagainya. Semua itu tidak ada realiti. Jadi, syaitan akan membisikkan ketakutan kepada yang tidak ada. Sebab itu benda tak akan jadi pun kita dah takut. Atau takut kepada sesuatu yang tak buat apa pun kepada kita. Kita sahaja sangka ia ada kemudharatan, tapi tidak sebenarnya.

Syaitan jugalah yang membisikkan perkara-perkara buruk yang menyebabkan berdosa. Syaitan mahu kita melakukan dosa yang tidak disukai oleh Allah. Mereka mahu kita semuanya berdosa dan akhirnya masuk neraka bersama mereka.

Sifat syaitan itu juga diberitahu okeh Allah, iaitu syaitan itu bersifat الْخَنَّاسِ yang bermaksud ‘pergi dan hilang’. Dalam Takwir:15 juga digunakan perkataan dari katadasar yang sama:

فَلَا أُقْسِمُ بِالْخُنَّسِ

Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;

الْخَنَّاسِ dalam ayat surah Takwir ini merujuk kepada bintang yang timbul kemudian hilang dari pandangan. Bukanlah bintang itu tidak ada, cuma menghilangkan diri sahaja. Sama juga dengan syaitan. Syaitan hanya pergi sekejap sahaja dan akan datang kembali untuk menghasut kita.

Bila Allah diingati, dia akan lari dan hilang. Tapi syaitan tak lari jauh. Dia pasti akan datang balik. Dia akan berusaha sentiasa untuk kacau kita dan menghasut kita. Macam waktu kita solat. Kejap sahaja khusyuk, tapi tak lama selepas itu fikiran entah ke mana. Itu adalah kerana bisikan dari syaitan lah tu. Dia tidak akan tinggalkan kita.

Semakin kuat iman kita, semakin kuat dia kacau. Semakin berilmu seseorang itu, yang dihantar adalah syaitan yang lebih kuat. Kalau orang tak beriman, dah memang kawan dia. Tapi kalau beriman, mereka itulah yang akan dikacau dengan lebih teruk lagi. Sebab itu bila kita belajar agama, kita kena berhati-hati dan minta perlindungan. Antaranya, takut walaupun kita sudah belajar agama, sudah pandai, sudah mengajar, tapi masih boleh lagi dihasut oleh syaitan. Tidak kira samada seseorang itu yang belajar agama, hatta yang mengajar sekali pun. Syaitan akan mencari peluang untuk menghasut kita. Janganlah kalau kita rasa kita dah pandai, kita sangka yang syaitan tidak boleh hasut kita lagi.

Ingatlah yang semua kena dugaan dihasut dengan syaitan. Nabi Adam pun pernah kena sampaikan baginda telah diturunkan ke bumi. Jadi tidak ada yang terselamat. Maka, kita hendaklah meminta perlindungan dari Allah.

Dalam Sunan Nasa’i, ada diriwayatkan dari hadis dari Nabi tentang bagaimana syaitan mengganggu manusia.

أَخْبَرَنَا قُتَيْبَةُ، عَنْ مَالِكٍ، عَنْ أَبِي الزِّنَادِ، عَنِ الأَعْرَجِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاَةِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ التَّأْذِينَ فَإِذَا قُضِيَ النِّدَاءُ أَقْبَلَ حَتَّى إِذَا ثُوِّبَ بِالصَّلاَةِ أَدْبَرَ حَتَّى إِذَا قُضِيَ التَّثْوِيبُ أَقْبَلَ حَتَّى يَخْطِرَ بَيْنَ الْمَرْءِ وَنَفْسِهِ يَقُولُ اذْكُرْ كَذَا اذْكُرْ كَذَا لِمَا لَمْ يَكُنْ يَذْكُرُ حَتَّى يَظَلَّ الْمَرْءُ إِنْ يَدْرِي كَمْ صَلَّى ‏”‏ ‏.‏

Telah mengabarkan kepada kami Qutaibah dari Malik dari Abu Az-Zinad dari Al-A’raj dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: Apabila adzan dikumandangkan, maka syaitan lari bertempiaran sambil terkentut hingga ia tidak mendengar suara adzan. Jika adzan telah selesai, maka syaitan datang lagi. Ketika iqamah dikumandangkan, maka setan lari bertempiaran lagi. Dan saat iqamah selesai, maka syaitan kembali lagi. Sehingga syaitan ini masuk ke benak seseorang dan berkata; “Ingat ini, ingat itu, terhadap hal-hal yang tadinya ia lupakan. Sampai seseorang tidak tahu berapa jumlah raka’at yang telah ia kerjakan.”

Syaitan juga akan menyebabkan manusia jadi marah. Apabila manusia marah, dia akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dan berkata sesuatu perkara yang dia pun akan menyesal nanti.

وعن سليمان بن صرد رضي الله عنه قال‏:‏ كنت جالساً مع النبي صلى الله عليه وسلم، ورجلان يستبان، وأحدهما قد احمر وجهه، وانتفخت أوداجه‏.‏ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏”‏ إني لأعلم كلمة لو قالها لذهب عنه ما يجد، لو قال‏:‏ أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ذهب منه ما يجد‏”‏‏.‏ فقال له‏:‏ إن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏”‏ تعوذ بالله من الشيطان الرجيم‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏ ‏.‏

Aku sedang duduk dengan Rasulullah ( ﷺ ) ketika dua orang lelaki mula bergaduh dan mengutuk antara satu sama lain dan wajah salah seorang daripada mereka menjadi merah dan urat lehernya telah bengkak (dari kemarahan ) . Rasulullah ( ﷺ ) berkata , “Aku tahu satu perkataan yang jika dia mengucapkan dengannya, kemarahan itu akan hilang dan perkataan itu adalah: A’udhu billahi minash-Shaitan nir-rajim (aku kepada dengan Allah dari godaan syaitan yang direjam) . ” Maka mereka (sahabat ) berkata kepada lelaki itu: “Nabi ( ﷺ ) memberitahu kamu untuk mengucapkan: ‘ Aku berlindung kepada Allah dari syaitan, yang direjam”. [Al-Bukhari dan Muslim].


Ayat 5:

الَّذي يُوَسوِسُ في صُدورِ النّاسِ

Sahih International

Who whispers [evil] into the breasts of mankind –

 

Malay

“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam dada manusia, –

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ

“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam dada manusia, –

Allah menerangkan pula apakah yang dilakukan oleh syaitan. Kalau dah syaitan, tentulah tugasnya menghasut, bukan? Contohnya, kalau guru, tentulah tugas dia akan mengajar, bukan? Tak payah nak sebut lagi sebenarnya, tapi Allah sebut sifat syaitan dalam ayat ini untuk mengingatkan kita yang syaitan akan tetap menghasut manusia sampai bila-bila.

Syaitan bisikan was-was dalam صُدُورِ (dada). Iaitu satu tempat yang kita tak nampak walaupun ianya ada pada diri kita. Jadi kita tak tahu apa yang terjadi dalam dada kita itu. Itu lebih bahaya sebab kita tak nampak dan tak tahu. Tapi Allah nampak dan tahu. Maka itu sebab kita minta tolong kepadaNya.

Allah menyebut yang syaitan hanya dapat memasuki ‘dada’ sahaja. Bukan dalam ‘hati’ lagi. Perumpamaan yang kita boleh ambil adalah: hati itu seperti istana dan di keliling istana itu adalah taman dan kawasan lapang. Syaitan hanya boleh berlegar dalam kawasan luar sahaja tapi tak boleh masuk ke dalam istana. Kunci istana atau hati itu ada pada kita. Kalau kita beri kunci itu kepada syaitan, baru dia boleh masuk ke dalam hati kita dan menghasut kita. Dia akan cantikkan perkara-perkara yang salah dan berdosa. Yang bidaah pun dinampakkan cantik pada pandangan mata kita. Kalau buat perkara yang berdosa dan hina, macam tidak ada apa sahaja. Sebaliknya kalau kita ada iman, kita akan benci kepada benda-benda salah dan berdosa.

Syaitan menempatkan dirinya di luar hati manusia. Apabila manusia lalai dari mengingati Allah, syaitan akan melemparkan was-was ke dalam hati manusia. Kalau kita ingat Allah, dia akan berhenti. Bila kita lupa Allah, dia akan datang nanti. Dia tidak akan lelah, sentiasa sahaja menunggu peluang untuk bertindak. Mereka memang akan berjuang keras untuk memasukkan manusia ke dalam neraka. Kita mungkin lupa mereka, tapi mereka tidak akan lupa kepada kita. Kerana menghasat itulah kerja mereka.

Kita semua telah diberikan dengan qarin yang sentiasa bersama kita. Qarin itu akan sentiasa menyuruh kita melakukan keburukan. Ini seperti yang telah diberitahu oleh Nabi sendiri:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ »

Sesungguhnya syaitan berjalan dalam manusia seperti perjalanan darah.”

Apabila hasutan itu dibisikkan dalam hati dan hati ikut, akan menyebabkan kerosakan dan masalah kepada diri kita. Sebab badan akan ikut hati. Hati lah yang kawal segala pergerakan tubuh.

Kita minta Allah lindung dari syaitan supaya tak datang pun. Jangan bagi dia bisikkan pun. Jangan bagi dia bisik dari awal lagi.


Ayat 6:

مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ

Sahih International

From among the jinn and mankind.”

 

Malay

“(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.

مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

“dari kalangan jin dan manusia”.

Dari manusia dan jin. Ini bermakna, Syaitan itu ada dua jenis. Yang tak nampak dan nampak. Ada syaitan dalam bentuk manusia. Manusia? Bagaimana pula ada syaitan yang dalam bentuk manusia pula?

Pertama, syaitan akan hantar manusia untuk kacau kita. Atau, dia tak dapat kacau kita, dia kacau anak bini kita. Sebagai contoh, katakanlah kita nak solat sunat. Dia hantar anak bini kita untuk kacau kita dan minta macam-macam. Lebih-lebih lagi dengan orang yang dekat dengan kita dan kita sayang. Syaitan memang pandai mencari jalan untuk menghasut kita dan melalaikan kita. Keduanya, Jin yang menggunakan manusia dalam menghasut manusia. Dia akan hasut orang lain supaya menghasut pula kita. Dia jadikan orang lain sebagai boneka. Sebagai contoh, kalau nak hasut lelaki, jin akan hasut perempuan untuk menggoda lelaki.

Ayat ini juga adalah dalil bahawa syaitan juga ada dari kalangan manusia. Manusia juga ada bisikkan kita kepada kita untuk buat keburukan. Ramai manusia yang mengajak kepada keburukan. Kalau begitu, mereka itu adalah syaitan. Mungkin ramai yang sangka syaitan itu dari kalangan jin sahaja. Tapi itu adalah syaitan dari jenis jin, dan ada juga syaitan dari kalangan manusia.

Termasuk dalam golongan manusia yang menghasut dan menyebabkan was-was, adalah mereka yang merendahkan martabat Nabi kita. Mereka banyak melakukan kajian dan kononnya mereka mengatakan Nabi menipu, Nabi tidak benar dan sebagainya. Antaranya mereka kata Nabi Muhammad sama sahaja macam manusia biasa dan tidak ada kelebihan pada diri baginda. Sampaikan ada golongan yang kononnya hanya mahu menerima Qur’an sahaja, hadis dah tak mahu terima. Inilah antara was-was yang dibawa oleh manusia yang sesat. Dan ada kalangan orang kita yang termakan dengan hujah-hujah mereka kerana kekurangan ilmu.

Allah sebut syaitan yang jin dahulu sebelum manusia kerana syaitan jinlah yang lebih pandai dalam menghasut manusia dan memberikan was-was kepada manusia.

Penutup:

Surah ini bukan sahaja berkait rapat dengan surah al-Falaq seperti yang kita sebutkan di awal tafsir ini, tapi surah ini juga berkait rapat dengan surah Fatihah. Apabila Nabi Muhammad habis sahaja membaca surah an-Nas dalam tilawah baginda, baginda akan terus membaca surah Fatihah pula. Kerana bukanlah bacaan surah an-Nas ini sebagai penutup pembacaan Qur’an. Sunnahnya adalah terus sambung dengan membaca Fatihah.

1. Terdapat banyak persamaan antara Fatihah dan an-Nas. Dalam Fatihah kita memohon hidayah dan dalam an-Nas kita memohon perlindungan.

2. Ketiga-tiga nama Allah ada persamaan dalam dua-dua surah ini.
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ = الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
مَلِكِ النَّاسِ = مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
إِلَٰهِ النَّاسِ = إِيَّاكَ نَعْبُدُ

3. Dalam surah Fatihah digunakan ‘kami’ kerana pertolongan yang diperlukan (hidayah) bersifat umum dan dalam an-Nas, permintaan perlindungan lebih bersifat individu. Sebab itu dalam an-Nas, permintaan itu kepada ‘aku’ sahaja.

4. Dalam Surah Fatihah, kita minta dijauhkan dari dua kumpulan (golongan yang dimurkai dan golongan yang sesat) dan an-Nas juga dua kumpulan juga (jin dan manusia).

5. Fatihah dibahagikan kepada dua bahagian dan begitu juga surah an-Nas ini.
Bahagian pertama Fatihah adalah dari permulaan surah sampai kepada ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ. Bahagian kedua pula adalah bahagian doa yang dimulai dengan وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ.

Bahagian pertama surah an-Nas pula adalah dari permulaan surah sampai إِلَٰهِ النَّاسِ. Dan ayat seterusnya sampai ke penghujung surah adalah bahagian kedua.

6. Adam diturunkan ke dunia adalah kerana helah iblis yang menghasut Nabi Adam. Kisah itu disebut di tujuh tempat dalam Quran. Syaitan telah berjanji akan menyesatkan manusia. Ini disebut dalam A’raf:16

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ

Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

Lihatlah janji iblis hendak menghalang manusia dari jalan yang lurus. Dan bukankah dalam Fatihah, kita meminta Allah memberi kita petunjuk kepada jalan yang lurus?

Dan dalam ayat seterusnya iblis berkata:

ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.

Iblis kata kebanyakan dari manusia tidak bersyukur. Dan apakah ayat pertama dalam Fatihah? Bukankah kita mengucapkan syukur kepada Allah dengan menyebut الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ? Allah mengajar kita untuk bersyukur.

Dalam banyak banyak hasutan was-was syaitan itu, apakah hasutan yang paling kita kena berhati-hati sekali? Lihatlah apa Allah beritahu yang dilakukan oleh syaitan kepada Nabi Adam dan Hawa, dalam ayat 20 surah A’raf.

فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِن سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”.

Syaitan telah menyebabkan aurat Nabi Adam dan Hawa terbuka. Begitulah syaitan sampai sekarang pun akan menyebabkan perkara yang sama kepada manusia. Ia akan menyebabkan perhubungan lelaki dan perempuan seperti tidak ada apa-apa kalau berjumlah tanpa hubungan yang sah. Ia akan menyebabkan lelaki dan perempuan tertarik sesama sendiri. Kalau dengan isteri tak berapa nak cakap tapi dengan orang lain, banyak sahaja cakap.

Kalau dalam media massa, kita dan anak-anak kita senang sahaja melihat aurat lelaki dan perempuan. Dalam masyarakat pula macam dah biasa kalau lelaki dan perempuan bercampur gaul sesama sendiri. Kalau di negara kita pun dah macam negara kufar dah. Macam tiada beza. Itulah kejayaan syaitan dalam merosakkan agama kita. Mereka akan sentiasa mencari jalan bagaimana hendak menyesatkan manusia.

7. Permulaan Qur’an iaitu Fatihah adalah doa dan surah an-Nas sebagai penghujung Qur’an juga adalah tentang doa juga. Maka, jangan kita lupa kekuatan dan kepentingan doa.

Allahu a’lam. Sambung terus kembali membaca Surah Fatihah. Apabila Nabi Muhammad habis baca surah ini, Nabi tidak terus berhenti tapi terus sambung semua kepada Surah Fatihah.

Kemaskini: 6 November 2017


Rujukan:

Ustaz Abu Ihsan:

Norman Ali Khan:

Taymiyyah Zubair:

Tafsir Surah an-Nas Ayat 1 – 3 (Bahaya sombong)

Pengenalan:

Dalam perbincangan tentang tafsir surah al-Falaq sebelum ini, kita dituntut untuk memohon perlindungan kepada Allah S.W.T agar dijauhkan daripada hasad dengki sesama manusia/makhluk  lain terhadap diri kita. Daripada perbincangan tersebut, kita telah pun sedia maklum, siapakah yang memiliki sifat dengki dan hasad yang tinggi terhadap manusia? Yang demikian itulah syaitan yang sememangnya dari dulu lagi menaruh sifat dengki kepada manusia kerana Allah menurunkan Adam dan anak cucunya ke muka bumi sebagai Khalifah.

Bukan sahaja syaitan yang menaruh kedengkian terhadap manusia, tapi kedengkian manusia kepada manusia yang lain juga adalah akibat daripada hasutan syaitan. Merekalah yang membisikkan kata-kata yang menyebabkan rasa irihati timbul dalam diri manusia, misalnya dengan berkata: “kau tengok orang tu, kenapa dia naik pangkat tapi kau tak naik pangkat ha? Apa bagusnya dia?” Dan hasutan-hasutan yang seumpama dengannya.

Jadi, apabila kita memohon perlindungan kepada Allah, hendaklah yang pertama-pertama sekali kita prioritikan adalah permohonan perlindungan daripada syaitan. Berkesinambungan dari situ, penulisan kali ini iaitu Tasir surah an-Nas, adalah tentang permohonan perlindungan kepada Allah daripada syaitan.

Sebelum ini, kita telah belajar tafsir Surah al-Falaq. Ada beberapa kaitan antara surah al-Falaq dan surah an-Nas ini:

1. Surah al-Falaq membicarakan tentang gangguan dari luar manakala surah an-Nas ini pula membicarakan tentang gangguan yang sudah masuk ke dalam diri kita.

2. Surah al-Falaq menyentuh perkara-perkara yang berada di luar kawalan kita iaitu tentang makhluk lain, keburukan waktu malam, sihir dan juga orang yang hasad terhadap kita. Manakala surah an-Nas ini adalah tentang sesuatu yang dalam kawalan kita. Walaupun hasutan itu datang dari syaitan, tapi kita boleh mengawalnya dan memilih samaada untuk mengikuti hasutan itu; atau melawannya dan tidak melakukan apa-apa. Kita telah pun diberi peringatan supaya jangan mengikuti keburukan yang dihasut oleh syaitan itu. Jadi tanggungjawab untuk menepis dan tidak mengikuti hasutan syaitan itu terletak pada bahu kita. Seandainya kita melakukan perkara yang salah, wajarkah kita memberi alasan ‘saya buat dosa tu sebab syaitan yang hasut saya’?

3. Keburukan yang dinyatakan dalam surah al-Falaq adalah keburukan luaran manakala keburukan yang disebut dalam surah an-Nas adalah keburukan dalaman iaitu serangan terhadap agama kita. Maka peringatan yang disebut dalam surah an-Nas ini lebih berat.

4. Ada perbezaan pada susunan dalam surah al-Falaq dan surah an-Nas. Sebelum itu, kita kena faham beberapa terma yang berkaitan:

Musta’az bihi – tempat kita minta perlindungan – dalam kedua-dua surah itu, kita meminta perlindungan kepada Allah
Musta’az minhu – daripada apakah kita minta Allah lindungi kita? Dalam erti kata lain, kita hendak Allah lindungi kita dari apa?

Dalam surah al-Falaq, ada satu sahaja musta’az bihi dan banyak musta’az minhu – dari keburukan makhluk, malam, sihir dan hasad. Sedangkan dalam surah an-Nas ini, ada banyak disebut musta’az bihi dan satu sahaja musta’az minhu – syaitan dan bisikannya. Hal ini yang akan dibincangkan dengan panjang lebar nanti dalam tafsir surah an-Nas ini nanti.

5. Dalam surah al-Falaq, kita belajar memohon perlindungan daripada perasaan hasad dengki dan sihir. Syaitanlah yang banyak terlibat dalam mewujudkan perasaan dengki dalam diri manusia dan merekalah yang mengajar sihir kepada manusia.

Kepentingan surah An-Nas:

Allah mengajar kita utk meminta pertolongan kepadaNya. Tapi, Siapakah Allah? Allah telah menyebut SifatNya dalam surah ini.

Siapakah yang sebenarnya memerlukan perlindungan? Yang perlu meminta perlindungan adalah golongan yang lemah iaitulah kita sendiri. Tidak ada sesiapa yang sempurna. Jadi kita perlu meminta pertolongan kepada Allah sentiasa. Bahkan, Nabi Muhammad Shallallahu’alaihiwassalam pun meminta pertolongan dan perlindungan kepada Allah.

Perlu kita sedari bahawa tidak ada sesiapapun yang mampu menolong kita melainkan Allah. Kalau ada pun usaha daripada makhluk lain yang cuba menolong, maka pertolongan yang dihulurkan itu adalah umpama sarang lebah sahaja – lemah. Jadi hindarilah diri kita daripada terlalu bergantung kepada makhluk. Memang kadang-kadang kita akan meminta pertolongan kepada manusia, tapi pengharapan pertama kita sepatutnya diletakkan kepada Allah dahulu. Janganlah kita meminta pertolongan kepada manusia terlebih dahulu, selepas itu barulah nak minta tolong kepada Allah.

Seperti yang kita sudah maklum, terdapat saranan dari Nabi supaya kita membaca dua surah ini pada waktu malam dan siang terutama setiap kali selepas solat fardhu (jangan tinggalkan amalan ini) kerana kita sentiasa diganggu dan sentiasa memerlukan pertolongan dan perlindungan dari Allah. Selain dari selepas solat, dianjurkan juga membaca dua surah muawwizatain ini sebelum tidur dan selepas kita bangun dari tidur pada waktu pagi.


Ayat 1:

قُل أَعوذُ بِرَبِّ النّاسِ

Sahih International

Say, “I seek refuge in the Lord of mankind,

 

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ

Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan manusia.

Ayat ini dimulai dengan perkataan  (katakanlah) قُلْ. Allah menyuruh kita membaca ayat seterusnya lalu kita pun terus baca. Nampak seperti mudah, tapi ini menandakan kita taat kepada Allah. Ini memberi isyarat yang asbab (sebab) doa kita diterima adalah dengan melakukan ketaatan kepada Allah.

Begitulah manusia yang selalu risau jika doanya tidak dimakbulkan. Padahal, mereka tidak melakukan perkara yang membantu doa mereka untuk dimakbulkan. Salah satunya adalah taat kepada perintah Allah. Jika kita memandang enteng atau tidak menghiraukan perintah Allah, tapi kita mahukan doa kita dimakbulkan olehNya, adakah itu sesatu yang betul? Analoginya adalah seperti kita di tempat kerja: Kita sebagai perkerja tidak melakukan kerja seperti yang disuruh majikan, tapi kita mahukan gaji penuh dan sentiasa meminta kenaikan gaji. Adakah wajar sifat sedemikian rupa?

Perkataan قُلْ juga adalah arahan dari Allah supaya kita *menzahirkan* permintaan kita kepada Allah. Janganlah bersifat ego sehinggakan tidak mahu meminta kepada Allah secara zahir. Dengan mengatakan perkataan ini dan membaca keseluruhan ayat, menunjukkan yang kita ini merendah diri serta mengharap kepada Allah. Kita meletakkan diri kita dalam perlindungan Allah. Kita sebut dengan terang, tanpa menyembunyikan lagi keperluan diri kita.

Kenapa dalam ayat ini disebut ‘Tuhan manusia’? Padahal Allah rabb kepada semua makhluk dan bukan hanya kepada manusia sahaja. Kenapa dikhususkan manusia dalam ayat ini?

Ulama mengatakan terdapat beberapa sebab kenapa disebut رَبِّ النَّاسِ dalam ayat ini:
1. Sebagai penghormatan kepada manusia. Allah letakkan namaNya di sebelah nama ‘manusia’.
2. Kadang-kadang kita takut dengan manusia kerana manusia memang boleh menyusahkan dan menyakiti kita. Maka, kita disuruh meminta kepada Allah, Tuhan kepada manusia. Allah yang boleh mengawal manusia kerana Dia lah yang mencipta manusia dan Allah berkuasa sepenuhnya terhadap manusia.
3. Kerana manusialah yang memerlukan pertolongan Allah untuk melindungi diri dari hasutan syaitan. Makhluk yang lain tidak memerlukan perlindungan dari syaitan – langit tak perlu, bintang tak perlu dan makhluk-makluk lain. Tapi manusia amat-amat memerlukan perlindungan dan pertolongan dari Allah daripada gangguan syaitan.

Maksud ‘Rabb’

Apakah maksud ‘rabb’? Dalam bahasa Arab, ianya mempunyai banyak makna. Ianya bermaksud ‘tuan’ tapi tuan yang memiliki secara keseluruhan – absolute owner. Kerana ada perkataan lain yang boleh digunakan untuk ‘tuan’ – iaitu ‘maalik’. Tapi apabila digunakan perkataan ‘rabb’, ia bermaksud tuan secara keseluruhan.

Bukan itu sahaja maksud ‘rabb’. Ada banyak makna lagi. Dalam perkataan ‘rabb’ itu, ada lagi beberapa makna yang tersirat:

1. Sayyid – yang berkuasa penuh. Kadang-kadang kita memiliki sesuatu tetapi kita tidak berkuasa penuh. Sebagai contoh, kita ada kereta, tapi kita tidak berkuasa penuh terhadap kereta itu, kita tidak boleh buat sesuka hati kita dengan kereta itu – kita kena dapatkan lesen untuk memandunya, kena pandu di jalan dan ikut peraturan jalanraya, tidak boleh pandu melebihi kelajuan yang dibenarkan, kalau nak modify lebih-lebih pun tak boleh. Jadi, memiliki, tidak semestinya berkuasa penuh ke atas sesuatu. Tapi apabila seseorang itu ‘sayyid’, dia berkuasa penuh ke atas sesuatu barang itu. Apa sahaja dia nak buat kepada hartanya itu, dia boleh buat.

2. Murabbi – yang membangunkan/menumbuhkan sesuatu sampai membesar, yang menjaga – ada kena mengena dengan perkataan ‘tarbiyah’. Macam ibubapa kita yang memberi tarbiyah kepada diri kita. Oleh itu, dalam perkataan ‘rabb’, ada termasuk maksud ‘murabbi’ dalam maknanya. Apakah maksudnya? – Kadang-kadang, kita ada memiliki sesuatu, tapi kita tidak menjaganya pun – sebagai contoh, kita ada laman belakang rumah kita, dan ia memang hak kita, tapi kita tak jaga pun, biar sampai naik lalang, bukan? Kita ada kereta, tetapi kadang-kadang ada pemilik kereta yang tidak menjaga keretanya; kita ada komputer tapi kita tak buat cleaning up pun; Allah bukan sahaja memiliki sepenuhnya manusia itu, tapi Dia juga mentarbiyah manusia.

3. Mursyid – memberi petunjuk. Allah memberi petunjuk ke arah jalan yang benar kepada manusia. Allah tidak membiarkan manusia begitu sahaja.

4. Mun’im – memberi pemberian. Seorang tuan kepada hambanya, tidaklah perlu memberi apa-apa pemberian kepada hambanya, kerana dia memiliki sepenuhnya hambanya itu – tapi Allah memberi dengan banyak tidak terkira banyaknya kepada hambaNya.

5. al-Qayyim – Allah lah yang memastikan kelangsungan hidup makhluk itu. Hanya kerana Allah lah yang menyebabkan kita masih wujud. Kalau bukan kerana Allah, kita tidak ada.

Perkataan ‘rabb’ ini adalah amat penting sekali, kerana sifat inilah yang Allah pertama-tama kenalkan DiriNya kepada Nabi Muhammad – dalam ayat al-‘Alaq:1 ; dan juga kepada Nabi Musa – dalam ayat Taha:12. Dalam kedua-dua contoh ini, Allah memperkenalkan DiriNya kepada kedua-dua Rasul itu sebagai ‘Rabb’ sebelum Dia menyebut namaNya Allah. Jadi dalam surah an-Nas ini pun, Allah menggunakan perkataan ‘rabb’ untuk memperkenalkan DiriNya.

Kita perlu mengenali siapa Allah S.W.T dan menyedari kedudukan diri kita di sisi Allah. Setelah sekian lama kita belajar Quran dan Tafsir Quran, apakah kesimpulan yang kita boleh ambil dari keseluruhan Quran ini? Allah adalah Rabb kita dan kita adalah hambaNya. Kita wajib menerima Allah sebagai Rabb dan kita hanya dapat menyedari hakikat yang diri kita adalah hamba dengan menurut perintah Allah dalam segala hal.

Orang yang kufur adalah kerana mereka tidak dapat menerima Allah sebagai Rabb mereka. Jika mereka menerima Allah sebagai Rabb, secara automatik, mereka terpaksa menerima yang mereka adalah ‘hamba’. Nah, itulah hakikat yang mereka ingkari. Kerana mereka sedar apa yang perlu dilakukan oleh ‘hamba’ ialah taat dan menerima sahaja apa sahaja kehendak dan arahan Allah. Berbicara memang mudah. Hakikatnya, hal ini memerlukan masa sepanjang hidup kita untuk belajar dan menerimanya.

Apabila kita sudah mengaku yang Allah itu adalah Tuhan kita dengan sebenar-benarnya, maka kita akan diselamatkan dari hasutan syaitan. Allah telah menjanjikan perkara ini sebagaimana yang difirmanNya dalam surah Al-Hijr:42

إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ إِلَّا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْغَاوِينَ

“Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).

Maksud عِبَادِي (hambaKu) dalam ayat ini adalah mereka yang benar-benar menghambakan diri kepada Allah. Allah telah berfirman dalam ayat ini bahawa syaitan tidak dapat menyesatkan mereka yang mengaku sebagai hamba kepadaNya. Surah an-Nas ini adalah tentang meminta perlindungan daripada syaitan. Dalam ayat pertama Allah telah pun memberi isyarat bagaimana hendak menyelamatkan diri kita dari syaitan itu.


Ayat 2:

مَلِكِ النّاسِ

Sahih International

The Sovereign of mankind.

 

Malay

“Yang Menguasai sekalian manusia,

مَلِكِ النَّاسِ

“Raja manusia,

Allah mengatakan yang Dia adalah Raja Manusia. Perkataan ini digunakan dalam ayat ini sebab seorang raja memiliki kuasa yang  membolehkan ia melakukan segalanya.

Dalam perkataan rabb, sudah ada maksud ‘maalik’ tapi tidak ada maksud ‘Malik’. Kerana seorang yang memiliki sesuatu, tidak semestinya ‘raja’ kepada sesuatu benda itu. Sebagai contoh, kalau kita katakan kita memiliki sebidang tanah, tidaklah kita dikatakan sebagai ‘raja tanah’ itu pula, bukan? Tapi Allah, bukan sahaja memiliki sekalian manusia, tapi Dia juga adalah Raja yang sebenar-benar raja kepada manusia.


Ayat 3:

إِلٰهِ النّاسِ

Sahih International

The God of mankind,

 

Malay

“Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,

إِلَٰهِ النَّاسِ

“ilah kepada manusia,

Seperti yang kita terangkan sebelum ini, dalam surah al-Falaq, ayat penerangan tentang Allah pendek sahaja – hanya ada satu ayat sahaja, sedangkan perkara yang kita minta perlindungan dariNya yang banyak. Tapi dalam surah an-Nas ini, penerangan tentang Allah yang banyak tapi yang kita minta perlindungan satu sahaja – syaitan.

Ulama membincangkan juga kenapa begitu?. Kata mereka, dalam surah an-Nas, kita lebih mengharapkan perlindungan Allah kerana perlindungan dari syaitan itu lebih berat. Kalau kita terpedaya dengan bisikan syaitan, kita boleh sampai menggadai iman kita. Kesannya amat buruk.

Perkataan ‘ilah’ selalunya diterjemah: ‘yang layak disembah’. Ini pun sudah cukup bagus daripada hanya menterjemahkan sebagai ‘Tuhan’ sahaja. Tetapi kita akan berikan penerangan yang lebih lagi tentang maksud perkataan ‘ilah’.

Ilah bermaksud kita obses dengan sesuatu dan mengandungi maksud taat di dalamnya – bukan hanya sekadar obses sahaja. Dalam maksud ‘taat’ itu ada juga maksud melakukan ibadat. Ketaatan yang dimaksudkan merangkumi perkara yang lebih besar dan tidak semestinya hanya beribadah sahaja. Oleh itu, terjemahan: laa ilaaha illallah sebagai ‘tidak ada tuhan yang layak disembah selain Allah’, masih belum cukup sempurna. Kerana apabila Firaun mendakwa dirinya sebagai ‘ilah’ kepada pembesarnya dalam surah al Qasas:38, bukanlah Firaun hendak pembesarnya buat ibadat kepadanya, tapi taat kepadanya, bukan? Justeru, ‘ilah’ bukan hanya bermaksud ‘tempat buat ibadat’ sahaja.

وَقالَ فِرعَونُ يا أَيُّهَا المَلَأُ ما عَلِمتُ لَكُم مِن إِلٰهٍ غَيري

Dan Firaun pula berkata: “Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang ilah yang lain daripadaku;

Begitu juga apabila kita menjadikan nafsu kita sebagai ‘ilah’ seperti yang disebut dalam surah Al-Jatsiyah:23, tidaklah kita melakukan ibadat kepada nafsu kita, tetapi kita taat kepada nafsu kita itu.

أَفَرَأَيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَواهُ

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: ilah (yang dipatuhinya),

Katakan ada orang yang menawarkan wang untuk melakukan sesuatu yang berdosa. Kalau kita taat kepada nafsu kita, kita pun terima tawaran orang itu. Jadi, ‘ilah’ bermaksud sesuatu yang diibadati dan juga yang ditaati. Kalau kita kata kena buat ibadat sahaja kepada Allah, maka kita hanya menjadi hambaNya semasa buat ibadat lah sahaja.

Takkan begitu pula, bukan? Katakanlah kita solat pada waktu Zuhur dan ‘Asar. Itu bermaksud kita telah buat ibadat kepada Allah, bukan? Tapi, antara waktu solat Zuhur dan ‘Asar, waktu tidak ada ibadat khusus yang dilakukan, adakah kita tidak perlu taat kepada Allah? Adakah kita boleh buat sesuka hati kita? Sudah tentu tidak. Walaupun kita tidak melakukan ibadat yang khusus, tapi kita masih tertakluk dengan hukum hakam Allah. Ini adalah konsep ibadah yang lebih luas. Inilah yang dikatakan sebagai active obedience to Allah.

Keindahan pilihan perkataan dalam Surah ini

Kita ada sentuh bagaimana dalam ketiga-ayat ini, digunakan perkataan النَّاسِ:
رَبِّ النَّاسِ
مَلِكِ النَّاسِ
إِلَٰهِ النَّاسِ

Perkataan النَّاسِ datang dari ‘nis’yan’ – lupa. Kerana itulah, manusia dinamakan ‘insan’ kerana kita bersifat pelupa. Apakah yang manusia lupa? Manusia lupa janjinya kepada Allah, yang Allah ingatkan kembali dalam surah al-A’raf:172

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَىٰ شَهِدْنَا أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

Kita dah mengaku dah yang Allah itu adalah Tuhan kita semasa kita di alam roh, sebelum kita dilahirkan ke dunia lagi. Tapi apabila kita lahir ke dunia, kita lupa tentang syahadah kita di alam roh itu?. Allah pula telah berikan kebolehan kepada syaitan untuk menjadikan kita lupa. Semasa kita dihasut oleh syaitan, Allah jadikan kita lupa siapakah Tuhan. Allah sebut hal ini dalam Mujadila:19

اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّهِ أُولَٰئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.

Jadi satu pengajaran dalam surah ini adalah jangan kita lupa. Jangan lupa yang kita ini adalah hamba Allah. Termasuk jangan lupa apa yang kita sedang baca. Bukankah selalu, kita sedang baca Quran, kita terlupa apa yang kita baca? Dan kadang-kadang dalam solat pun kita lupa apa yang kita sedang baca dan entah berapa rakaat kita dah solat. Maka sebelum baca Quran, mintalah perlindungan dari syaitan yang boleh menyebabkan kita lalai dan lupa. Allah dah ajar perkara ini dalam surah An Nahl:98

فَإِذا قَرَأتَ القُرآنَ فَاستَعِذ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيطانِ الرَّجيمِ

Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.

Syaitan memang akan menyebabkan kita lupa. Seperti yang Allah beritahu kita dalam Kahf:63

قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا

Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan”.

Maka, untuk selamat dari lupa, kita kena sentiasa ingat kepada Allah. Hindari hati kita daripada lalai mengingati Allah.

Ulama juga membincangkan kenapa Allah meletakkan perkataan النَّاسِ dalam ketiga-tiga ayat awal surah ini. Ulama mengatakan Allah memuliakan manusia dalam ayat-ayat ini kerana Dia meletakkan nama kita disebelah NamaNya. Allah beri penghormatan kepada kaum manusia. Menunjukkan betapa Allah sayang kepada manusia dan tingginya kedudukan manusia.

Dalam surah ini, salah satu yang unik adalah Allah memperkenalkan tiga SifatNya dan di dalam ketiga-tiga Sifat itu, ada perkataan ‘النَّاسِ’ di dalamnya – Rabbun Nas, Malikin Nas dan ilaahin Nas. Kita akan cuba mengupas apakah kelebihan menggunakan perkataaan yang sebegini, in sha Allah.

1. Kalau kita ada keperluan, tentulah kita perlukan kepada mereka yang menguasai kita atau bertanggungjawap ke atas kita – sebagai contoh, ibubapa kita (kerana merekalah murabbi kita); kalau hamba, dia akan pergi kepada tuannya (kerana tuannyalah sayyidnya). Ini merujuk kepada رَبِّ النَّاسِ
2. Kalau masalah lagi besar, kita pergi kepada kerajaan, atau kepada Raja negara. Ini merujuk kepada مَلِكِ النَّاسِ
3. Kalau masalah lagi besar, ibubapa pun tak dapat selesaikan, kerajaan pun tak dapat selesaikan, ke mana lagi kita nak mengadu? Kepada ilah, kepada Tuhan kita. Ini pula merujuk kepada إِلَٰهِ النَّاسِ

Begitulah urutan peningkatan permohonan kita yang bermula dari murabbi, kepada kerajaan dan akhirnya kepada ilah kita. Kita pun kalau dalam dunia ini ada masalah, mula-mula kita akan minta tolong kepada orang di sekeliling kita, kemudian kalau tak dapat selesai, kita mengadu kepada pihak berkuasa, dan akhir sekali, barulah kepada Tuhan. Surah ini mengajar kita bahawa dari awal lagi, kita sepatutnya terus memohon kepada Allah, kerana Allahlah murabbi kita, sayyid kita, maalik kita dan ilah kita.

Turutan peningkatan ini juga dari yang banyak kepada yang sedikit.
1. Murabbi – boleh jadi ramai yang boleh memberi tarbiyah kepada kita
2. Malik – tidak banyak kerajaan dan raja dalam dunia ini, terhad sahaja. Jadi, ianya kurang daripada murabbi kita.
3. ilah – hanya ada satu ilah sahaja – Allah.

Peningkatan ini juga dari sedikit kepada banyak:
1. Murabbi – seorang murabbi boleh menjaga beberapa orang sahaja
2. Malik – raja atau kerajaan boleh menjaga lebih ramai lagi, melibat keseluruhan rakyat dalam negara.
3. ilah – Tuhan menjaga semua sekali

Keburukan Firaun

Selepas syaitan, makhluk yang paling zalim adalah Firaun. Kenapa dikatakan sedemikian rupa? Kerana dia pernah mendakwa bahawa ia memiliki ketiga-tiga nama Allah ini.

1. Rabb: dalam surah An Naaziat:24, Firaun mengaku sebagai rabb

فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَىٰ

Dengan berkata: “Akulah tuhan kamu, yang tertinggi”.

2. Maliki: dalam Zukhruf:51 Firaun mengaku sebagai Raja Mesir

وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَٰذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِن تَحْتِي أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya?

3. Ilah: Firaun berkata dalam surrah Al-Qasas:38

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَل لِّي صَرْحًا لَّعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَىٰ إِلَٰهِ مُوسَىٰ وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ

Dan Firaun pula berkata: “Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta”.

Jadi, Firaun mengaku memiliki kesemua ketiga-tiga nama dan sifat Allah itu. Ada sebab kenapa Allah berikan ketiga-tiga sifatNya yang disebutkan tadi dalam surah an-Nas ini. Dengan ketiga-tiga perkara inilah syaitan mengambil peluang untuk menitipkan was-was dalam diri manusia.

Apakah masalah besar syaitan? Sifat Iblis yang ketara adalah sombong, kerana sombonglah dia tidak mahu sujud kepada Nabi Adam walaupun setelah diperintah oleh Allah. Dan kalau itulah sifatnya, apakah pula yang dia akan bisikkan kepada manusia? Tentulah perasaan sombong juga. Dan siapakah manusia yang paling sombong dalam dunia ini? Tentulah Firaun seperti yang kita telah berikan dalilnya di atas. Tengoklah apa kata-katanya dalam Qur’an seperti yang kita telah nukilkan itu.

Jadi, kita kena ambil pengajaran dengan semua ayat-ayat itu. Supaya jangan jadi seperti Firaun atau memiliki sifat-sifat Firaun. Mungkin seseorang itu tidak mengaku sebagai tuhan kepada semua, tapi ia mengaku tuhan kepada dirinya sendiri. Kita merasakan seolah-olah kita boleh melakukan apa sahaja yang kita kehendaki, sampaikan tidak boleh ditegur oleh orang lain. Kita telah mengambil hawa nafsu kita sebagai ilah, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al Jatsiyah:23

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

Maknanya, kita sendiri pun boleh jadi ‘Firaun Mini’ juga kalau kita tidak berhati-hati. Tiga ayat pertama ini memberi peringatan kepada kita untuk meletakkan kedudukan Allah pada kedudukan yang sepatutnya, iaitu Tuhan kita. Dan kita sebagai hambaNya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 November 2017


Rujukan:

Ustaz Abu Ihsan:

Norman Ali Khan:

Taymiyyah Zubair: