Tafsir Surah an-Nahl Ayat 98 – 102 (Istiaazah)

Ayat 98: Ayat 98 ini sehingga ke ayat 105 adalah Perenggan Makro ke 4 (Bahagian 2). Ia berkenaan PANDUAN SELAMAT DARI KEJAHATAN IBLIS. Jalannya adalah dengan mohon perlindungan dengan Allah. Syaitan tidak berupaya atas orang yang bertauhid dan bertaqwa.

فَإِذا قَرَأتَ القُرآنَ فَاستَعِذ بِاللهِ مِنَ الشَّيطانِ الرَّجيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when you recite the Qur’ān, [first] seek refuge in Allāh from Satan, the expelled [from His mercy].

(MELAYU)

Apabila kamu membaca Al Qur’an hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk.

 

Allah mengajar kita dalam ayat ini, apabila membaca Qur’an, harus memohon perlindungan kepada Allah agar melindungi kita daripada syaitan. Sebelum ini telah ada disebut salah satu amalan baik adalah dengan membaca Qur’an. Dan juga telah disebut tentang istiqamah.

Seperti yang kita tahu, syaitan akan menjadi penghalang kepada istiqamah itu. Dia tidak akan suka kalau kita selalu membaca Qur’an kerana sesiapa yang baca dan faham Qur’an, dia akan faham agama. Maka susahlah syaitan hendak menipu orang itu lagi. Maka syaitan akan halang bersungguh-sungguh. Oleh itu, apabila mahu membaca Qur’an, kita haruslah isti’aazah supaya syaitan tidak mengganggu kita.

Bila kita melakukan isti’aazah, kita minta perlindungan daripada syaitan yang dalam bentuk jin. Lafaz yang biasa digunakan adalah A’udzubillahiminasysyaithonirrajim.

Jadi, ada banyak penggunaan isti’aazah ini, antaranya:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Dan selain dari itu ada juga  kalimah-kalimah lain dalam keadaan tertentu, seperti sebelum masuk ke tandas, hubungan kelamin antara suami isteri dan sebagainya. Ada doa-doa khusus yang Nabi ajar sebagai amalan dalam kehidupan kita seharian. Lafaz isti’aazah untuk setiap keadaan itu berbeza-beza.

Ayat 98 ini adalah tentang membaca isti’aazah apabila membaca Qur’an. Maka, setiap kali kita membaca Qur’an, hendaklah kita membaca isti’aazah. Tujuan kita membaca isti’aazah ini adalah supaya Allah melindungi kita daripada salah faham dengan ayat-ayat Qur’an.

Ini adalah masalah besar kepada orang Islam. Ada yang tidak belajar tafsir dengan benar, maka mereka ada salah faham dengan maksud dan tafsir ayat Qur’an. Ada yang buat faham-faham sendiri dan ada juga yang salah belajar sampaikan mereka diajar fahaman yang salah. Fahaman salah itu dibisikkan oleh syaitan dan kerana itu kita harus memohon perlindungan kepada Allah daripada terjadi perkara itu.

Kita mohon kepada Allah untuk menyelamatkan kita dari dugaan ini. Kita tidak mahu diberikan dengan fahaman yang salah. Kerana amatlah buruk sekali kalau kita salah faham dengan Qur’an.

Ingatlah yang syaitan akan mengambil peluang untuk membisikkan fahaman-fahaman yang salah kepada manusia yang membaca Qur’an (dan tidak belajar). Maka kita berharap semoga Allah melindungi kita dari bisikan syaitan yang amat bahaya itu. Kerana ramai yang kita boleh lihat telah menjadi sesat kerana salah faham dengan ayat-ayat Qur’an.

Perintah ini adalah perintah sunat, bukan perintah wajib, menurut kesepakatan ulama’ yang diriwayatkan oleh Abu Ja’far ibnu Jarir dan lain-lainnya dari kalangan para imam.


 

Ayat 99: Selepas menyentuh tentang syaitan, Allah terus membicarakan tentangnya. Siapakah yang selamat dari syaitan?

إِنَّهُ لَيسَ لَهُ سُلطانٌ عَلَى الَّذينَ آمَنوا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, there is for him no authority over those who have believed and rely upon their Lord.

(MELAYU)

Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya.

 

إِنَّهُ لَيسَ لَهُ سُلطانٌ عَلَى الَّذينَ آمَنوا

Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman

Walaupun syaitan itu boleh membisikkan kepada manusia perkara yang buruk, tetapi syaitan itu tidak ada kuasa atas mereka yang beriman sempurna kepada Allah. Dia hanya boleh bisikkan sahaja tapi syaitan tidak boleh mengawal orang yang beriman.

 

وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

dan bertawakkal kepada Tuhannya.

Syaitan juga tidak dapat menguasai orang yang bertawakal kepada Allah. Oleh itu kita kena tawakal kepada Allah dalam setiap perkara, kerana kalau tidak, syaitan akan datang dan timbulkan kekeliruan di dalam hati kita.

Salah satu dari senjata syaitan adalah: dia akan cuba menyebabkan kita putus asa. Dan syaitan akan menjadikan kita manusia was-was. Inilah masalah yang banyak dihadapi oleh manusia dari dulu sampai sekarang. Ramai yang asyik risau sahaja tentang hal dunia. Ada sahaja yang tidak kena, ada sahaja yang mereka takut – tentang kerja, tentang anak, tentang masa depan, tentang perasaan orang, tentang apa orang kata dan macam-macam lagi.

Maka Allah ajar kita untuk bertawakal kepada Allah – serahkan semuanya kepada Allah. Walau apa pun yang terjadi, kita yakin dengan keputusan dari Allah. Itulah ubat penawar untuk hati kita yang keluh kesah. Kalau kurang tawakal kepada Allah, maka akan ada masalah dalam hati kita dan boleh sampai jadi depresi.

Itulah sebabnya zaman sekarang, semakin ramai yang ada masalah depresi sampai mereka buat perkara yang membahayakan diri mereka atau merosakkan diri mereka. Ada yang sampai terpaksa makan ubat penenang untuk bergaul dalam masyarakat kerana kalau tidak mereka tidak mampu berjumpa orang sekali pun. Apabila terjadi sebegitu, itu tandanya yang syaitan sudah mengawal mereka.

Satu lagi ubat adalah dengan melazimi membaca Qur’an seperti yang disebut di dalam ayat-ayat sebelum ini. Bayangkan ayat-ayat Qur’an itu sebagai kaunselor yang memberi khidmat nasihat kepada kita. Ada orang yang terpaksa mengeluarkan wang untuk bertemu dengan kaunselor tetapi sekarang kita sudah tahu yang Allah sendiri akan memberi nasihat terus kepada kita di dalam ayat-ayat Qur’an itu.


 

Ayat 100: Kalau syaitan tidak ada kuasa ke atas mereka yang beriman dan bertaqwa, siapakah yang dibawah takluk syaitan?

إِنَّما سُلطانُهُ عَلَى الَّذينَ يَتَوَلَّونَهُ وَالَّذينَ هُم بِهِ مُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

His authority is only over those who take him as an ally and those who through him associate others with Allāh.

(MELAYU)

Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah.

 

إِنَّما سُلطانُهُ عَلَى الَّذينَ يَتَوَلَّونَهُ

Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin

Syaitan hanya ada kuasa atas mereka yang berkawan dengannya, menjadikan syaitan sebagai teman rapat dan pemimpin mereka. Apabila syaitan suruh, mereka ikut tanpa soal lagi. Ini adalah kerana mereka telah membiarkan syaitan menguasai mereka.

Mereka benarkan syaitan mendekati dan berbaik dengan mereka. Mulanya syaitan bagi bisikan dan ajakan sahaja. Tapi apabila manusia terus ikut bisikan syaitan itu, ia akan sampai ke satu tahap di mana manusia itu akan terus ikut sahaja. Apabila itu terjadi, maka syaitan sudah kawal mereka.

Mujahid mengatakan, makna yatawallaunahu ialah orang-orang yang taat kepada syaitan. Sedangkan yang lainnya mengatakan bahawa orang-orang yang menjadikan syaitan sebagai penolongnya, bukan Allah.

 

وَالَّذينَ هُم بِهِ مُشرِكونَ

dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah.

Dan manusia yang dikuasai oleh syaitan adalah mereka yang buat syirik. Iaitu mereka buat syirik dengan syaitan. Mereka menjadikan syaitan sebagai ilah mereka. Mereka minta kepada syaitan dalam doa mereka.

Tapi tidaklah mereka minta: “wahai syaitan, tolong aku…”. Tidaklah begitu. Yang terjadi adalah mereka minta kepada selain Allah. Mereka menggunakan tawasul dalam doa mereka. Iaitu mereka minta kepada Nabi, wali dan malaikat untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah.

Mereka sangka mereka minta kepada para Nabi, wali dan malaikat, tapi sebenarnya mereka minta kepada syaitan. Para Nabi dan wali sudah lama mati, maka mereka tidak dengar permintaan manusia; dan malaikat pula bukan kerja mereka mendengar doa manusia dan tunaikan.


 

Ayat 101: Syikayah yang berkaitan dengan Dalil Wahyi.

Latar belakang ayat ini tentang mereka yang soal: kenapa bertukar hukum? Mereka kata pelik agama ini: Sekejap haram kemudian jadi harus pula. Sebagai contoh, mulanya ada larangan ziarah kubur pada awal Islam. Tapi apabila golongan Muslim sudah mengenal tauhid, mereka dibenarkan untuk menziarahi kubur.

Allah hendak memberitahu yang ini adalah perkara biasa sahaja. Masalahnya, mereka kata Nabi Muhammad yang reka sendiri syariat itu. Mereka gagal memahami perubahan dalam hukum adalah untuk maslahat manusia dan berdasarkan hikmah Allah.

وَإِذا بَدَّلنا آيَةً مَكانَ آيَةٍ ۙ وَاللهُ أَعلَمُ بِما يُنَزِّلُ قالوا إِنَّما أَنتَ مُفتَرٍ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when We substitute a verse in place of a verse – and Allāh is most knowing of what He sends down – they say, “You, [O Muḥammad], are but an inventor [of lies].” But most of them do not know.

(MELAYU)

Dan apabila Kami letakkan suatu ayat di tempat ayat yang lain sebagai penggantinya padahal Allah lebih mengetahui apa yang diturunkan-Nya, mereka berkata: “Sesungguhnya kamu adalah orang yang mengada-adakan saja”. Bahkan kebanyakan mereka tiada mengetahui.

 

وَإِذا بَدَّلنا آيَةً مَكانَ آيَةٍ

Dan apabila Kami letakkan suatu ayat di tempat ayat yang lain sebagai penggantinya

Penukaran syariat adalah perkara yang biasa dalam agama. Ia boleh terjadi apabila Allah tukar kitab (Taurat, Injil kemudian Qur’an) – ini dipanggil nasikh mansukh. Oleh itu, ada masa Allah tukar kitab dengan kitab yang lain; atau ada ayat Qur’an yang dimansuhkan.

Ayat ini sama ertinya dengan firman Allah SWT. dalam ayat yang lain, iaitu:

{مَا نَنْسَخْ مِنْ آيَةٍ أَوْ نُنْسِهَا}

Ayat mana saja yang Kami nasakhkan atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya. (Al-Baqarah: 106), hingga akhir ayat.

Begitu juga, hukum yang berasaskan hadith pun ada yang bertukar mengikut masa. Sebagai contoh, pada awal masa di Madinah, Rasulullah suruh bunuh anjing, kemudian anjing hitam sahaja dan akhirnya mereka dibiarkan sahaja di Madinah; awal Islam boleh bercakap dalam solat, tapi kemudian ditukar; awal Islam kalau makan makanan yang dimasak, batal wuduk tapi kemudian tidak lagi; banyak lagi contoh perubahan hukum dalam sejarah Islam. Ini adalah perkara biasa.

 

وَاللهُ أَعلَمُ بِما يُنَزِّلُ

padahal Allah lebih mengetahui apa yang diturunkan-Nya,

Janganlah nak persoalkan apa yang Allah turunkan dan kenapa Allah tukar syariat dari masa ke semasa. Allah lebih tahu apa yang Dia turunkan. Allah akan turunkan yang bersesuaian ikut keadaan dan masa.

Janganlah kata: “tidak akan Allah tidak tahu akan jadi begini dan begitu?” Sudah pasti Allah tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Tetapi ada hikmah dalam perubahan hukum. Lihatlah bagaimana Allah haramkan arak – Allah tidak terus haramkan pada awal Islam kerana keadaan belum sesuai. Kalau Allah haramkan terus, tentu ramai yang tidak dapat menerimanya.

Maka Allah haramkan arak dalam berperingkat. Sampaikan, apabila turun ayat mengharamkan terus arak, semua umat Islam membuang arak-arak mereka ke tanah, tanpa protes. Ini adalah kerana masa sudah sesuai untuk arahan mengharamkan arak diberikan kepada manusia.

 

قالوا إِنَّما أَنتَ مُفتَرٍ

mereka berkata: “Sesungguhnya kamu adalah orang yang mengada-adakan saja”.

Ini adalah tuduhan Musyrikin kepada Nabi Muhammad: mereka berkata Nabi Muhammad reka sahaja hukum syariat itu – sekejap kata begini dan sekejap kata begitu.

 

بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

Bahkan kebanyakan mereka tiada mengetahui.

Allah mahu beritahu yang baginda tidak reka syariat. Tetapi ramai yang tidak tahu perkara sebenar. Kerana itu mereka bercakap tanpa berfikir.


 

Ayat 102: Jawapan kepada syikayah.

قُل نَزَّلَهُ روحُ القُدُسِ مِن رَبِّكَ بِالحَقِّ لِيُثَبِّتَ الَّذينَ آمَنوا وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “The Pure Spirit [i.e., Gabriel] has brought it down from your Lord in truth to make firm those who believe and as guidance and good tidings to the Muslims.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan Al Qur’an itu dari Tuhanmu dengan benar, untuk meneguhkan (hati) orang-orang yang telah beriman, dan menjadi petunjuk serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”.

 

قُل نَزَّلَهُ روحُ القُدُسِ مِن رَبِّكَ بِالحَقِّ

Katakanlah: “Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan Al Quran itu dari Tuhanmu dengan benar, 

Nabi Muhammad disuruh untuk beritahu kepada umat baginda bahawa Jibrail yang menurunkan wahyu Qur’an itu daripada Allah. Jadi ianya adalah benar daripada Allah, bukan dari diri Nabi Muhammad sendiri.

Dan bukanlah wahyu itu dari Jibrail tetapi dari Allah. Jibrail hanya sampaikan sahaja.

Dan bukan sengaja sahaja Allah turunkan wahyu itu tetapi dengan sebab yang penting. Ada perkara penting yang Allah hendak sampaikan dalam Qur’an ini kepada manusia. Iaitu Allah hendak memberitahu al-Haq iaitu kebenaran dalam agama.

 

لِيُثَبِّتَ الَّذينَ آمَنوا

untuk meneguhkan (hati) orang-orang yang telah beriman, 

Tujuan Qur’an itu diturunkan adalah untuk menguatkan hati mereka yang beriman. Orang yang beriman itu akan bertambah kukuh iman mereka selepas mereka membaca ayat-ayat Allah. Mereka mulanya sudah beriman dan kemudian apabila ayat-ayat Qur’an disampaikan kepada mereka (dan mereka faham), maka iman mereka bertambah.

Hati mereka menjadi kukuh dalam iman. Mungkin pada asalnya mereka ada juga ragu-ragu. Ini perkara biasa sahaja. Ramai dari kalangan orang yang menerima Sunnah ini asalnya bukan kenal Sunnah pun. Mereka pun terkejut apabila disampaikan dengan ajaran wahyu. Tapi mereka cari maklumat, mereka kaji dan cari benarkah apa yang disampaikan itu? Maka kerana mereka cari, maka mereka jadi percaya.

Dan apabila kepercayaan itu berasaskan kepada kajian yang tentunya dari dalil Qur’an dan hadis, maka kepercayaan itu kukuh. Ia tidak mudah digoyang lagi. Kalau ada yang mempersoalkan fahaman Sunnah mereka, mereka tidak tergugat kerana mereka tahu bahawa apa yang mereka pegang itu benar.

 

وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُسلِمينَ

dan menjadi petunjuk serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri 

Dan Qur’an itu menjadi panduan hidup kepada mereka yang beriman. Mereka menggunakan ayat-ayat Qur’an sebagai panduan menjalani kehidupan ini. Mereka hidup berpandukan Qur’an.

Malangnya, ramai dari kalangan masyarakat kita yang rajin membaca Qur’an tetapi tidak memahami apa yang mereka baca, maka tidaklah mereka dapat menjadikan Qur’an itu sebagai panduan hidup. Kerana kalau tidak faham, bagaimana mahu ambil pengajaran? Maka kenalah belajar tafsir Qur’an supaya kita dapat faham dan dapat amalkan ajaran Qur’an ini.

Dan dalam Qur’an itu terdapat berita baik kepada Muslim. Muslim adalah mereka yang menyerahkan sepenuh diri mereka kepada Allah. Mereka taat dengan segala arahan Allah yang mereka jumpa dalam Qur’an dan juga dalam hadis.

Mereka itu akan mendapat berita baik tentang kehidupan yang baik di dunia dan juga di akhirat (terutama di akhirat). Mereka diberitahu yang mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s