Ayat 36: Nabi Musa telah menjalankan dakwah kepada Fir’aun dan pembesar istana.
فَلَمّا جاءَهُم مّوسىٰ بِئايٰتِنا بَيِّنٰتٍ قالوا ما هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّفتَرًى وَما سَمِعنا بِهٰذا في ءآبائِنَا الأَوَّلينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But when Moses came to them with Our signs as clear evidences, they said, “This is not except invented magic, and we have not heard of this [religion] among our forefathers.”
(MELAYU)
Maka tatkala Musa datang kepada mereka dengan (membawa) mukjizat-mukjizat Kami yang nyata, mereka berkata: “Ini tidak lain hanyalah sihir yang dibuat-buat dan kami belum pernah mendengar (seruan yang seperti) ini pada nenek moyang kami dahulu”.
فَلَمّا جاءَهُم مّوسىٰ بِئايٰتِنا بَيِّنٰتٍ
Maka tatkala Musa datang kepada mereka dengan (membawa) mukjizat-mukjizat Kami yang nyata,
Nabi Musa telah memperlihatkan kepada mereka mukjizat-mukjizat yang nyata yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada keduanya untuk membuktikan kebenaran daripada berita yang disampaikan oleh keduanya dari Allah yang memerintahkan agar mengesakan-Nya dan mengikuti perintah-perintah-Nya. Akan tetapi mereka tetap menolaknya.
Setelah Fir’aun dan pembesar-pembesar kaumnya menyaksikan mukjizat itu, melihat dengan mata kepala sendiri, sehingga merasa yakin dalam hatinya bahawa hal tersebut datang dari sisi Allah, maka mereka dengan kekafiran dan kezalimannya berbalik mengingkari dan mendustakannya. Demikian itu kerana sikap angkuh mereka yang tidak mahu mengikuti perkara hak.
Maka ini memberi isyarat kepada kita, kalau ada orang yang sudah nampak kebenaran pun, mereka tetap juga boleh menolak kerana degil. Kerana itu jangan hairan kalau kita sudah beri hujah berjela-jela dengan ayat Al-Qur’an dan hadith sahih, tapi ada juga yang menolak. Mereka menolak kerana mereka degil sahaja, bukannya mereka tak faham.
قالوا ما هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّفتَرًى
mereka berkata: “Ini tidak lain hanyalah sihir yang dibuat-buat
Ini adalah antara hujah penolakan yang digunakan oleh manusia zaman berzaman. Allah beri contoh umat Nabi Musa dalam ayat ini. Mereka mengatakan yang mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa itu adalah hanya sihir yang direka-reka. Maknanya, mereka kata baginda ahli sihir, bukannya Nabi lagi Rasul.
وَما سَمِعنا بِهٰذا في ءآبائِنَا الأَوَّلينَ
dan kami belum pernah mendengar (seruan yang seperti) ini pada nenek moyang kami dahulu”.
Dan mereka menolak dakwah yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Harun itu dengan hanya mengatakan mereka tidak pernah dengar pun perkara itu disebut-sebut oleh golongan-golongan yang terdahulu. Mereka nak kata Nabi Musa reka sahaja benda itu. Mereka berhujah: Kerana kalau ianya memang ada, tentu orang dahulu sudah cakap benda itu.
Ini juga memang hujah yang selalu digunakan manusia sampai sekarang. Apabila kita sampaikan sesuatu dari ajaran Sunnah, ada yang jawab: “eh, tak pernah dengar pun benda ni?”
Jawapan balas: “Memanglah tidak pernah dengar, sebab awak tidak belajar dulu… ini aku nak ajar lah.”
Ayat 37: Apakah jawapan balas Nabi Musa apabila mereka buat tohmahan dan tuduhan melulu itu tadi?
وَقالَ موسىٰ رَبّي أَعلَمُ بِمَن جاءَ بِالهُدىٰ مِن عِندِهِ وَمَن تَكونُ لَهُ عٰقِبَةُ الدّارِ ۖ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الظّٰلِمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And Moses said, “My Lord is more knowing [than we or you] of who has come with guidance from Him and to whom will be succession in the home.¹ Indeed, wrongdoers do not succeed.”
- i.e., in this world or in the Hereafter.
(MELAYU)
Musa menjawab: “Tuhanku lebih mengetahui orang yang membawa petunjuk dari sisi-Nya dan siapa yang akan mendapat kesudahan (yang baik) di negeri akhirat. Sesungguhnya tidaklah akan mendapat kemenangan orang-orang yang zalim”.
وَقالَ موسىٰ رَبّي أَعلَمُ بِمَن جاءَ بِالهُدىٰ مِن عِندِهِ
Musa menjawab: “Tuhanku lebih mengetahui orang yang membawa petunjuk dari sisi-Nya
Baginda balas dengan memberitahu yang Allah tahu siapakah yang bawa kebenaran dari-Nya. Maknanya baginda nak kata bukan baginda reka, tapi memang benar dari Allah. Dan kelak nanti di akhirat Allah akan beri keputusan terhadap apa yang mereka telah lakukan.
Ia juga mengajar kita yang kebenaran itu dari Allah. Dalil dan hujah dari Allah, bukan dari akal manusia. Maka kena sampaikan hujah dan dalil daripada Allah. Maka bukanlah kita beri hujah: “ustaz aku kata begini dan ustaz aku kata begitu….”. Ini tidak benar kerana ustaz bukanlah hujah.
Memanglah kita dapat ilmu dari ustaz kita. Tapi kenalah tahu apakah dalil yang diberikan oleh ustaz kita itu. Kerana kalau nak kata ‘ustaz aku’… orang lain pun ada ustaz dia juga, bukan? Tidak ke mana-mana kalau berhujah begitu… pi mai pi mai tang tu juga…
وَمَن تَكونُ لَهُ عٰقِبَةُ الدّارِ
dan siapa yang akan mendapat kesudahan (yang baik) di negeri akhirat.
Setelah Allah buat keputusan itu, ada yang masuk syurga dan Allah juga tahu siapa yang akhirnya nanti akan mendapat tempat tinggal yang baik di akhirat kelak. Kepada mereka yang beriman dan sanggup terima akidah tauhid (dan mengamalkan ajaran Sunnah), maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.
Allah tahu apa yang manusia lakukan sepanjang hidupnya dan Allah tidak buat silap di dalam menentukan tempat akhir seseorang itu. Segala keputusan yang Allah buat adalah tepat dan adil.
إِنَّهُ لا يُفلِحُ الظّٰلِمونَ
Sesungguhnya tidaklah akan mendapat kemenangan orang-orang yang zalim”.
Dan Nabi Musa mengingatkan mereka bahawa orang-orang yang zalim tidak akan menang sampai bila-bila. Zalim yang dimaksudkan adalah zalim syirik. Iaitu mempersekutukan Allah dengan selain-Nya.
Zalim itu memang banyak jenis. Ia bermaksud tidak memberi hak kepada yang berhak menerimanya. Maka kalau kita tidak mentauhidkan Allah, maka kita telah menzalimi Allah.
Ayat 38: Fir’aun melawan balik dengan beri hujah rekaannya.
وَقالَ فِرعَونُ يٰأيُّهَا المَلَأُ ما عَلِمتُ لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيري فَأَوقِد لي يٰهٰمٰنُ عَلَى الطّينِ فَاجعَل لّي صَرحًا لَّعَلّي أَطَّلِعُ إِلىٰ إِلٰهِ موسىٰ وَإِنّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الكٰذِبينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And Pharaoh said, “O eminent ones, I have not known you to have a god other than me. Then ignite for me, O Hāmān, [a fire] upon the clay¹ and make for me a tower that I may look at the God of Moses. And indeed, I do think he is among the liars.”
- From which bricks are made.
(MELAYU)
Dan berkata Fir’aun: “Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah hai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang pendusta”.
وَقالَ فِرعَونُ يٰأيُّهَا المَلَأُ ما عَلِمتُ لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيري
Dan berkata Fir’aun: “Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui ilah bagimu selain aku.
Fir’aun mengingatkan para pembesarnya yang tidak ada ilah selain dia. Kerana sebelum itu pun dia telah mengaku yang dia adalah ilah. Seolah-olah Fir’aun mengingatkan kembali mereka kerana mungkin ada di antara mereka yang sudah mula terkesan dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Musa dan Harun.
Allah menceritakan dakwaan Fir’aun melalui firman-Nya:
{فَحَشَرَ فَنَادَى * فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الأعْلَى * فَأَخَذَهُ اللَّهُ نَكَالَ الآخِرَةِ وَالأولَى * إِنَّ فِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لِمَنْ يَخْشَى}
Maka dia mengumpulkan (pembesar-pembesar kaumnya), lalu berseru memanggil kaumnya.’ (Seraya) berkata, “Akulah tuhanmu yang paling tinggi.” Maka Allah mengazabnya dengan azab di akhirat dan azab di dunia. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang yang takut (kepada Tuhannya). (An-Nazi’at: 23-26)
Kalimah ‘ilah’ di dalam ayat ini bukan bermaksud tuhan yang disembah kerana ilah itu bukan hanya bermakna yang disembah sahaja tetapi juga ‘ditaati‘. Kerana itu apabila kita mengatakan Allah itu hanya ilah kita, maka ia juga bermaksud hanya Allah yang kita taati. Bukan sahaja kita kena sembah Allah, tapi hukum-Nya juga kita kena taati.
Jadi ketaatan ini perlu diluaskan maknanya di mana kadang-kadang ada yang sembah Allah di dalam ibadah mereka seperti solat, tetapi tidak taat kepada Allah di luar solat. Sebagai contoh, solat dijaga tapi rasuah buat juga. Mereka yang berfikiran begini salah faham maksud ilah kerana mereka sangka ilah itu hanya untuk disembah sahaja. Mereka sempitkan fahaman ilah.
فَأَوقِد لي يٰهٰمٰنُ عَلَى الطّينِ
Maka bakarlah hai Haman untukku tanah liat
Fir’aun telah beri arahan kepada Menteri Kerjarayanya yang bernama Haman untuk membakar tanah liat. Ia untuk dijadikan sebagai menara tinggi. Bakar tanah liat untuk buat batu bata. Maknanya ini adalah teknologi mereka untuk membuat binaan.
Ini juga menjadi satu kajian yang menarik tentang piramid di Mesir itu. Sekian lama pengkaji hairan memikirkan bagaimanakah batu yang besar-besar boleh dibawa ke Mesir dari tempat yang jauh? Kerana kajian menunjukkan batu-batu itu tidak ada di Mesir.
Kajian terkini mendapati yang kalau tanah liat dibakar, ia menjadi batu dan tidak dapat dibezakan dengan batu asli. Maka ini boleh menjadi satu sumber kajian bagaimana cara piramid itu dijadikan dari batu. Maknanya, bukanlah batu itu diambil dari tempat yang jauh, tapi dijadikan dari tanah liat yang dibakar, sama sahaja seperti yang disebut Fir’aun dalam ayat ini.
Ini juga menjadi satu lagi hujah tentang ketepatan maklumat sains yang digunakan dalam Al-Qur’an. Ia menjadi bukti bahawa bukanlah Nabi Muhammad ﷺ yang menulis Al-Qur’an kerana tidak mungkin baginda dapat tahu maklumat ini pada zaman baginda. Ini boleh dibaca di sini: http://www.miracles-of-quran.com/pyramids.htm
فَاجعَل لّي صَرحًا لَّعَلّي أَطَّلِعُ إِلىٰ إِلٰهِ موسىٰ
kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa,
Fir’aun suruh buat begitu kerana dia hendak mengejek pengalaman Nabi Musa yang naik ke Bukit Tursina dan nampak api dan kemudian dapat bercakap dengan Allah. Maka dia pun nak buat perkara yang sama juga. Dia pun nak naik tempat tinggi.
Kononnya dia hendak naik menara tinggi itu ke langit dan bercakap sendiri dengan ‘tuhan’ yang didakwa oleh Nabi Musa itu. Begitulah cara Fir’aun mengejek wahyu yang diberikan oleh Allah. Dia bukannya nak buat menara itu tapi dia nak ejek sahaja. Dan ada juga yang mengatakan memang dibuatkan bangunan yang tinggi, tapi ini kita tidak pasti lagi.
وَإِنّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الكٰذِبينَ
dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang pendusta”.
Kerana dia tidak percaya yang ada Tuhan seperti yang dikatakan oleh Nabi Musa itu. Jadi kata-katanya itu sebagai ejekan sahaja. Atau, dia memang nak naik ke bangunan yang tinggi dan nanti dia nak kata: “aku sudah naik ke langit, tapi tak jumpa pun tuhan yang dikatakan Musa itu….”
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 26 Ogos 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan