Tafsir Surah Kahfi Ayat 62 – 66 (Ilmu Ladunni)

Ayat 62:

فَلَمّا جاوَزا قالَ لِفَتٰهُ ءآتِنا غَداءَنا لَقَد لَقينا مِن سَفَرِنا هٰذا نَصَبًا

Sahih International

So when they had passed beyond it, [Moses] said to his boy, “Bring us our morning meal. We have certainly suffered in this, our journey, [much] fatigue.”

Malay

Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: “Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini”.

 

فَلَمَّا جَاوَزَا

Maka apabila mereka melepasi tempat itu;

Kerana tidak sedar tentang keluarnya ikan dari bekas makanan mereka, mereka terus berjalan. Mereka telah terlepas tempat ikan meluncur masuk ke dalam laut. Mereka sepatutya berhenti di situ, tapi mereka meneruskan perjalanan. Maknanya mereka telah melebihi dari yang sepatutnya.

Semsa kejadian itu, Nabi Musa telah tidur di situ, dan apabila bangun baginda terus ajak Yusha’ untuk pergi meneruskan perjalanan. Yusha’ pula tidak beritahu Nabi Musa kejadian ikan itu tadi kerana dia sendiri telah terlupa tentang perkara itu.

 

قَالَ لِفَتٰهُ ءآتِنَا غَدَاءَنَا

Musa berkata kepada pembantunya: bawa datang makanan kita;

Nabi Musa minta bekalan makanan mereka termasuklah ikan itu tadi. Kerana baginda sangka makanan itu masih ada lagi.

 

لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَٰذَا نَصَبًا

Sesungguhnya kami dapati perjalanan musafir kali ini sangat memenatkan;

Mereka rasa lain macam kerana selepas mereka melepasi tempat yang sepatutnya mereka berhenti, Allah beri perasaan letih kepada mereka. Ada mufassir yang mengatakan, mereka jadi letih kerana mereka melepasi tempat yang sepatutnya mereka berhenti. Kalau mereka telah berhenti di situ seperti yang sepatutnya, mereka tidak akan letih. Apabila mereka letih, mereka rasa lapar.


 

Ayat 63:

قالَ أَرَأَيتَ إِذ أَوَينا إِلَى الصَّخرَةِ فَإِنّي نَسيتُ الحوتَ وَما أَنسٰنيهُ إِلَّا الشَّيطٰنُ أَن أَذكُرَهُ ۚ وَاتَّخَذَ سَبيلَهُ فِي البَحرِ عَجَبًا

Sahih International

He said, “Did you see when we retired to the rock? Indeed, I forgot [there] the fish. And none made me forget it except Satan – that I should mention it. And it took its course into the sea amazingly”.

Malay

Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita ketika berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan”.

 

قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ

Yusha’ berkata: adakah engkau tahu, ketika kita berehat di batu itu tadi,

Nabi Musa tidur atas batu itu tadi. Kemudian terus berjalan. Yusha’ tidak tidur. Tapi telah terjadi kejadian yang menakjubkan semasa Nabi Musa tidur tadi. Ikan masin yang mereka bawa telah menggelungsur masuk ke dalam laut.

 

فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ

sesungguhnya aku lupa tentang ikan itu;

Yusha’ lupa hendak beritahu kejadian ikan itu melompat keluar.

 

وَمَا أَنْسٰنِيهُ إِلَّا الشَّيْطٰنُ أَنْ أَذْكُرَهُ

Dan tidaklah aku lupa tentangnya melainkan syaitanlah yang menyebabkan aku tidak ingat;

Yusha’ memberikan alasan bahawa syaitan yang buat dia lupa. Sebab itu kalau kita lupa, kita baca isti’azah kerana syaitan yang membuatkan kita lupa. Apabila kita isti’azah, syaitan akan lari dan kita akan ingat kembali.

Ada yang mengatakan bahawa, kuasa yang syaitan ada hanyalah boleh buat kita lupa sahaja. Maknanya tidaklah syaitan boleh cekik kita pula.

 

وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا

Dan ikan itu mengambil jalan ke dalam laut dengan cara yang menakjubkan;

Memang kejadian itu pelik dan ajaib kerana ikan itu buat terowong dan masuk ke dalam laut. Padahal ikan itu dah mati, dah dimakan separuh pun oleh mereka berdua.


 

Ayat 64: 

قالَ ذٰلِكَ ما كُنّا نَبغِ ۚ فَارتَدّا عَلىٰ ءآثارِهِما قَصَصًا

Sahih International

[Moses] said, “That is what we were seeking.” So they returned, following their footprints.

Malay

Nabi Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki “; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.

 

قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ

Musa berkata: “itulah apa yang kita cari”;

Nabi Musa tidak diberitahu dengan secara tepat bagaimanakah dan di manakah tempat pertemuan itu, tapi dengan diberi isyarat sahaja. Jadi, kejadian ikan melompat keluar ke dalam laut adalah tanda bahawa mereka telah sampai ke tempat yang mereka sepatutnya berjumpa dengan lelaki yang dimaksudkan Allah.

Balaghah: hazfu wa zikru. Kalau kita lihat pada kalimah نَبْغِ, sepatutnya ada huruf ي pada kalimah itu kerana katadasar asal adalah ب غ ي. Tapi ي telah dihazafkan. Ini adalah kerana Allah hendak memberitahu sesuatu. Iaitu pencarian mereka itu berterusan lagi. Ini adalah kerana apabila ya asliah (ya asal)dihazafkan, ia membawa maksud ‘berterusan’.

Maknanya, walaupun mereka telah jumpa dengan tempat perjumpaan itu, tapi perjalanan mereka kena diteruskan lagi kerana tujuan mereka adalah untuk mencari Nabi Khidr.

Bandingkan dengan ayat Yusuf:65

قَالُوا يَا أَبَانَا مَا نَبْغِي هَٰذِهِ بِضَاعَتُنَا رُدَّتْ إِلَيْنَا 

Mereka berkata dengan gembiranya: “Wahai ayah kami! Apa yang kita kehendaki lagi? Ini dia barang-barang dagangan yang kita jadikan tukaran (bagi mendapat gandum) itu telah dikembalikan kepada kita.

Kalau kita bandingkan, kalimah نَبْغِي dalam ayat dari Surah Yusuf ini ada pula ي, tidak sama dengan ayat dari Surah Kahf ini. Ini adalah kerana apabila ada huruf ya asliah, ia membawa maksud tidak berterusan. Ini adalah kerana apa yang mereka dapat itu telah mencapai kehendak mereka.

 

فَارْتَدَّا عَلَىٰ ءآثَارِهِمَا قَصَصًا

Maka mereka mula menjejaki bekas tapak kaki mereka;

Maka kerana mereka telah sedar, maka mereka kena undur balik.

Perkataan قَصَصًا bermaksud mereka kena teliti balik perjalanan mereka dengan baik. Dari katadasar yang sama, menjadi kalimah ‘kisah’ kerana apabila kita mengisahkan tentang sesuatu, kita akan jejak balik apa yang telah berlaku.


 

Ayat 65: Perjumpaan dengan Nabi Khidr.

فَوَجَدا عَبدًا مِّن عِبادِنا ءآتَينٰهُ رَحمَةً مِّن عِندِنا وَعَلَّمنٰهُ مِن لَّدُنّا عِلمًا

Sahih International

And they found a servant from among Our servants to whom we had given mercy from us and had taught him from Us a [certain] knowledge.

Malay

Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.

 

فَوَجَدَا

Maka mereka dapati;

Ini adalah kisah apabila sampai ke tempat itu balik. Apabila mereka sampai ke batu tempat ikan itu melompat keluar, mereka nampak terowong dalam air yang dimasuki oleh ikan itu. Maka mereka pun masuk dalam terowong yang dibuat oleh ikan itu.

Mereka teruskan perjalanan di dalamnya dan sampai ke satu pulau. Itulah tempat Nabi Khidr berada. Apakah yang mereka jumpa?

 

عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا ءآتَيْنٰهُ رَحْمَةً مِّنْ عِنْدِنَا

seorang hamba dari hamba-hamba Kami yang Kami telah beri kepadanya rahmat dari Kami;

Qur’an tidak menyebut namanya. Yang kita tahu namanya adalah Nabi Khidr (ataupun ada yang kata sebutan yang benar adalah Khadr) adalah dari hadis-hadis Nabi. Ada banyak ayat tentang individu dalam ayat ini, tapi namanya langsung tidak disebut di dalam Qur’an. Allah hanya sebut dia sebagai ‘hamba’ sahaja.

Maknanya, tidak penting untuk kita tahu namanya. Sama juga kita tidak perlu tahu berapakah bilangan pemuda Kahfi itu, kita juga tidak perlu tahu nama hamba yang disebutkan Allah dalam ini. Kalau namanya penting, Allah dah sebut dah dalam Qur’an. Cuma namanya masyhur sebagai Khidr a.s. Ini kerana ia ada disebut di dalam hadis yang sahih.

Apabila dikatakan beliau diberikan ‘rahmat’, bermaksud dia adalah seorang Nabi. Itulah dalil yang mengatakan Nabi Khidr adalah seorang Nabi. Tapi ada banyak pendapat berkenaan siapakah Nabi Khidr ini. Ada yang kata beliau adalah malaikat. Antara yang berpendapat demikian adalah Saidina Umar. Ada juga yang kata beliau seorang wali sahaja. Allahu a’lam.

 

وَعَلَّمْنٰهُ مِنْ لَّدُنَّا عِلْمًا

Dan Kami ajarkan ilmu kepadanya dari sisi Kami;

Inilah dia ayat yang ramai orang pakai untuk berkata tentang ilmu ‘ladunni’. Sampai gila orang mencari ilmu ini. Paling banyak yang mencarinya adalah golongan tarekat. Sampai orang mencari-cari Nabi Khidr sebab nak dapatkan ilmu ini. Antaranya mereka tunggu Nabi Khidr pada malam Lailatul Qadr.

Padahal, bukan Nabi Khidr yang turun pada malam Lailatul Qadr, tapi malaikat yang turun sebagaimana yang disebut dalam Qur’an. Tapi mereka yang telah ada benih kesesatan dalam hati mereka tidak mengendahkan ayat-ayat Qur’an lagi. Tambahan pula mereka yang  masuk tarekat ini adalah golongan yang jahil dengan agama dan kerana itu senang ditipu. Apabila guru mereka beri sikit ilmu khayalan maka mereka suka dan senang hati untuk terima.

Dan mereka kata kalau jumpa Nabi Khidr, kena pegang janggut dia dan minta harta karun. Dan juga minta umur panjang dari dia. Itu adalah satu fahaman yang sesat dan khurafat. Dan memang banyak lagi fahaman karut dalam perkara ini. Sampaikan ada yang letak pelita takut Nabi Khidr sesat tak nampak jalan. Itu dah ikut agama Hindu kerana itu adalah cara ibadat orang kafir.

Itu semua adalah perkara yang karut marut yang diajar oleh guru-guru ajaran sesat terutama sekali guru tarekat sufi. Macam-macam lagi kepercayaan karut tentang Nabi Khidr ini kalau kita baca tentang kepercayaan mereka.

Sebenarnya Nabi Khidr telah diajar oleh Allah tentang ilmu taqwini; iaitu ilmu yang membolehkan dia tahu apa yang akan berlaku. Ianya adalah ilmu tentang kejadian masa hadapan. Maka kita boleh katakan yang dia tahu ilmu tentang masa depan. Tuhan yang berikan maklumat itu kepadanya dan kepadanya sahaja. Tidak diberikan kepada orang lain.

Oleh kerana itu, ini adalah ilmu yang tidak boleh dipelajari, kerana hanya diberikan oleh Allah kepada Nabi Khidr. Kerana kalau ada orang lain yang tahu apa yang akan berlaku, tentulah seseorang itu akan kaya.

Tapi bukanlah Nabi Khidr ‘tahu’ tentang masa hadapan, tapi ‘diberitahu’ oleh Allah. Kena bezakan kerana tidaklah dia diberi ilmu itu sepenuhnya. Hanya diberitahu perkara-perkara tertentu sahaja. Jadi ianya adalah ilmu tambahan yang diberikan kepadanya.

Nabi Musa pula ada ilmu syariat kerana baginda adalah seorang Rasul. Dan baginda disuruh jumpa Nabi Khidr yang tahu ilmu taqwini. Jadi Nabi Musa sahaja yang disuruh untuk cari Nabi Khidr, bukannya semua orang. Yang kita kena belajar adalah ilmu syariat seperti yang Nabi Musa ada. Kerana ilmu taqwini ini tidak penting dan tidak perlu dipelajari.

Kalau sesiapa belajar ilmu itu dengan Nabi Khidr pun, tidaklah boleh menyebabkan dia masuk syurga. Tak belajar dengannya pun tidak menyebabkan seseorang itu masuk neraka. Akan tetapi, tidak belajar ilmu syariat dari Nabi Musa (sekarang Nabi Muhammad) itu akan menyebabkan seseorang itu masuk neraka kerana tak tahu hukum hakam.

Macam kita sekarang, kena belajar syariat Nabi Muhammad. Jadi yang penting adalah belajar ilmu syariat. Bukan nak buang masa belajar kononnya ilmu ladunni dari Nabi Khidr.

Ilmu ladunni ini hanya dikhaskan kepada Nabi Khidr sahaja. Belum ada dalam sejarah yang mengatakan ada orang lain yang dapat. Macam mana orang biasa nak dapat sedangkan mereka manusia biasa sahaja? Kerana Nabi Khidr adalah Nabi dan kerana itu bolehlah dia mendapat wahyu dari Allah. Sebab nak dapat ilmu macam itu, kena jadi Nabi dulu. Tak layak manusia biasa nak belajar.

Tapi puak ajaran sesat seperti tarekat contohnya, mengatakan boleh dapat Ilmu Ladunni ini. Mereka mengutuk kita puak sunnah kerana kita belajar hadis dari Nabi yang telah mati, tapi mereka pula belajar dari Allah yang Maha Hidup (atau Nabi Khidr yang masih hidup). Sebab kononnya mereka mendapat ilmu terus dari Allah. Itu semua adalah salah.

Mereka pun percayalah yang Nabi Khidr masih hidup lagi. Padahal dia sudah lama mati. Pendapat yang mengatakan Nabi Khidr hidup lagi adalah pendapat yang amat lemah dan tidak boleh dipakai. Perbincangan panjang boleh dilihat pada hadis.

Ada dua perkataan yang kita hendak sebutkan di sini. Allah ada guna perkataan عِنْدِ apabila menyebut ‘rahmat’ diberikan kepadanya dan Allah menggunakan perkataan لَدُنَّ apabila memperkatakan tentang ‘ilmu’ yang diberikan kepadanya. Ada beza antara dua perkataan itu dimana لَدُنَّ lebih kuat dari perkataan عِنْدِ.

Allah hendak menekankan tentang ‘ilmu’ dalam ayat ini. Ini bermakna, Allah lebih banyak memberi ilmu kepada beliau kalau dibandingkan dengan rahmat. Apakah rahmat yang diberikan kepada Nabi Khidr? Kita tidak pasti kerana kita tidak diberitahu.


 

Ayat 66: 

قالَ لَهُ موسىٰ هَل أَتَّبِعُكَ عَلىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمّا عُلِّمتَ رُشدًا

 Sahih International

Moses said to him, “May I follow you on [the condition] that you teach me from what you have been taught of sound judgement?”

Malay

Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”

 

قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ

Berkata Musa kepadanya: “Bolehkah aku mengikuti kamu?”; 

Ini adalah pertanyaan yang penuh kelembutan, bukan dalam bentuk kemestian dan pemaksaan. Itulah seharusnya pertanyaan seorang pelajar kepada seorang yang berilmu untuk minta belajar kepadanya.

Sebelum ini, dia yang diikuti oleh anak muridnya. Sekarang dia pula yang memohon untuk mengikuti orang lain. Tapi baginda tidak rasa rendah diri. Tidaklah baginda rasa sombong kerana dia juga ada ilmu. Kerana baginda sedar yang bukan semua dia tahu.

Begitulah kita. Ada perkara yang kita tahu, tapi banyak lagi perkara kita tidak tahu. Jadi tidak salah kalau kita belajar dengan orang lain.

Dan Nabi Musa tahu yang ilmu yang baginda hendak pelajari itu adalah jenis ilmu yang tidak boleh dipelajari dalam kelas, tapi kena lalui sebagai pengalaman. Jadi Nabi Musa tidak minta ‘belajar’ dengan Khidr, tapi baginda minta ‘ikut’ Nabi Khidr.

 

عَلَىٰ أَنْ تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

“supaya kamu ajar aku dari ilmu yang Allah telah ajar kepada kamu, ilmu yang menjadi petunjuk?”;

Ini adalah kata-kata seorang Rasul memohon untuk menjadi anak murid kepada seorang Nabi. Musa telah merendahkan dirinya dalam hal ini. Permintaan baginda adalah lembut dan berharap kerana baginda pentingkan ilmu. Kerana baginda hendak belajar. Kerana baginda mementingkan ilmu pengetahuan dan baginda sebut dalam ayat ini yang baginda mencari ilmu yang dapat memberi petunjuk. Begitulah ilmu yang kita kena cari. Bukan ilmu tarekat sufi yang menyesatkan pula.

Sebelum ini, baginda adalah guru kepada seseorang, dan sekarang dia hendak menjadi anak murid kepada seseorang pula. Lihatlah betapa indahnya ayat-ayat Qur’an ini. Sebelum ini, anak muridnya yang lupa. Tapi sebentar lagi kita akan belajar bagaimana Nabi Musa sendiri pun ada lupa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Mac 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s