Tafsir Surah Muddaththir Ayat 1 – 7 (Asas-asas dakwah)

Pengenalan:

Surah ini adalah sambungan kepada Surah Muzzammil. Dalam surah Muzzammil, telah disebut tentang persediaan untuk berdakwah dan dalam surah ini, disebut asas-asas dakwah.

Surah ini diturunkan selepas Surah Iqra’. Tapi ada juga yang kata ini adalah surah pertama. Ini adalah tidak benar, tetapi sebenarnya surah ini adalah surah pertama yang turun selepas perhentian wahyu. Selepas Nabi Muhammad menerima wahyu pertama di Gua Hira’, baginda telah berjumpa dengan Waraqah bin Naufal dalam kisah yang terkenal itu.

Selepas berjumpa dengan Waraqah, wahyu telah berhenti dari diturunkan kepada Nabi beberapa waktu. Waktu itulah yang dinamakan sebagai ‘Perhentian Wahyu’ di mana wahyu berhenti diturunkan kepada Nabi untuk beberapa lama. Berapa lama waktu itu, para ulama tidak sepakat tentangnya.

Oleh kerana wahyu tidak diturunkan lagi, Nabi telah dilanda kesedihan. Dan ulama’ berpendapat, Allah telah menangguhkan penurunan wahyu supaya Nabi rindu kepada wahyu itu dan bersungguh untuk menerima wahyu lagi. Tambahan pula, selepas berjumpa dengan Waraqah, baginda telah diberitahu bahawa yang datang kepada baginda adalah malaikat yang telah menyampaikan wahyu kepada  Nabi Musa juga.

Oleh itu, setelah sekian lama baginda tidak mendapat wahyu, semasa baginda berjalan di pasar, baginda telah ternampak Jibril di langit sedang duduk di atas kerusi dan oleh kerana ketakutan dengan apa yang baginda lihat, baginda telah lari balik balik ke rumah dan baginda telah meminta diselimutkan. Begitulah kisah dengan ringkas bagaimana surah ini mula diturunkan. Selepas penurunan surah ini, wahyu berterusan diturunkan kepada Nabi.

Surah ini adalah tentang dakwah. Dalam Surah al-Alaq, Nabi tidak disuruh berdakwah lagi. Dalam surah ini baru baginda disuruh berdakwah.


 

Muddaththir Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah. Dan ia juga menyampaikan ancaman tentang akhirat.

يَـٰٓأَيُّہَا المُدَّثِّرُ

Sahih International

O you who covers himself [with a garment],

Malay

Wahai orang yang berselimut!

 

Seperti yang telah disebutkan dalam pengenalan, semasa baginda berjalan, baginda nampak Jibril duduk di langit di atas tahta. Baginda ketakutan dan balik ke rumah minta diselimutkan.

Ini adalah kebiasaan kepada manusia yang berkelubung menutup dirinya kalau dalam ketakutan. Allah menggunakan keadaan baginda waktu itu sebagai panggilan kepada baginda. Ini adalah panggilan mesra.


 

Muddaththir Ayat 2:

قُم فَأَنذِر

Sahih International

Arise and warn

Malay

Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).

 

Nabi Muhammad telah diarahkan untuk tidak berselimut lagi, tapi kena bangun menjalankan tugas baginda untuk menyampaikan amaran kepada kaumnya yang telah jauh terpesong dari jalan yang benar. Begitu juga kita juga kena menerima ayat ini sebagai arahan kepada kita juga. Jangan duduk rehat sahaja dengan ilmu yang kita ada tapi hendaklah kita sampaikan peringatan dan amaran kepada manusia.

Ini adalah ayat arahan berdakwah kepada Nabi. Ayat ini memberitahu tanggungjawab baginda untuk menyampaikan dakwah kepada manusia. Sama juga yang diberikan kepada Nabi Nuh dalam Surah Nuh.

Peringatan itu perlu diberikan kerana ada perasaan kasih dan sayang kepada sesama manusia. Kita beri peringatan dan amaran kepada orang lain kerana kita sayang kepada orang yang kita berikan amaran itu. Kita tidak mahu mereka terjerumus ke lembah kehinaan dan dimasukkan ke dalam neraka. Seumpama kita sedang melihat seorang lelaki yang berjalan ke arah gaung dan dia tidak perasan yang di hadapannya itu adalah gaung. Tentu kita akan menjerit kepada lelaki itu memberitahu kepadanya yang dia sedang menuju gaung.

Kita beri amaran itu kerana kita tidak mahu dia jatuh ke dalam gaung. Begitulah juga dengan masyarakat di sekeliling kita. Mereka itu adalah ahli keluarga kita, rakan-rakan kita, jiran tetangga kita dan sebagainya. Kerana kita sayang mereka, tentulah kita tidak mahu keburukan untuk mereka. Oleh itu, amaran yang diberikan kepada manusia itu adalah kerana datang dari sifat kasih sayang kita kepada mereka. Kita kena bangun untuk memberi amaran kepada mereka. Kerana susah hati kita melihat manusia duduk di dalam kejahilan wahyu.

Kalimah قُمْ juga boleh bermaksud arahan kepada Nabi untuk bangun mengerjakan solat malam seperti yang telah diarahkan dalam Surah Muzzammil sebelum ini.


 

Muddaththir Ayat 3: Arahan kedua.

وَرَبَّكَ فَكَبِّر

Sahih International

And your Lord glorify

Malay

Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!

 

Tujuan dakwah adalah untuk membesarkan Allah. Dengan lisan dan juga dengan perbuatan. Kena ingatkan manusia untuk membesarkan Allah kerana Allahlah sahaja yang layak dibesarkan. Tidak ada makhluk yang layak dibesarkan.

Waktu surah ini diturunkan, Nabi Muhammad berada di tengah-tengah masyarakat yang sedang mempunyai banyak ilah dan mereka sedang membesarkan ilah-ilah selain Allah. Tentulah berat sekali tugas baginda waktu itu. Bukannya senang menegur amalan manusia yang telah lama mereka amalkan.

Kita kena lakukan pembesaran Allah setiap hari dalam takbir solat kita, dalam azan kita dan waktu-waktu lain. Itu adalah dalam bentuk lisan. Alhamdulillah, banyak kali kita lakukan. Tapi itu adalah dalam bentuk lisan sahaja, bagaimana dengan perbuatan kita? Adakah kita melebihkan Allah dalam segala hal kita? Atau kita ada juga sekali sekala melebihkan perkara keduniaan dalam pilihan kita? Adakah kita besarkan selain Allah?

Allah suruh kita membesarkanNya kepada manusia. Inilah tanggungjawab pendakwah, menyampaikan kebesaran Allah kepada manusia. Iaitu kita kena lebihkan Allah dari perkara lain dalam dunia ini.

Ada kelebihan mukjizat dalam ayat ini. Pertama kita buang huruf و dahulu kerana ia adalah waw al isti’naf (waw permulaan) yang digunakan sebagai permulaan (kalau tulisan rumi ia seperti huruf besar). Boleh rujuk tentang jenis-jenis و  dalam Bahasa Arab. Jadi yang tinggal adalah رَبَّكَ فَكَبِّرْ. Ini yang kita hendak lihat.

Lihatlah bagaimana perkataan رَبَّكَ فَكَبِّرْ kalau dibaca dari kanan ke kiri pun akan berbunyi yang sama. Ini dinamakan Palindrome. Ini sama macam perkataan ‘racecar’ dan juga nama seperti ‘nayan’. Ini menjadi salah satu dari bukti dari bukti yang banyak menunjukkan kehebatan Al-Qur’an dan meyakinkan kita yang ia memang dari Allah. Kerana manusia tidak boleh buat begini.


 

Muddaththir Ayat 4: Arahan ketiga.

وَثِيابَكَ فَطَهِّر

Sahih International

And your clothing purify

Malay

Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.

 

Ada banyak sekali maksud yang ditafsirkan oleh ulama tafsir berkenaan ayat ini.

1. Maksud yang zahir adalah ayat ini mengajar kita untuk membersihkan kain pakaian kita dengan air. Iaitu kita disuruh untuk bersihkan pakaian kita dari kekotoran dan najis. Kerana kebersihan pada pakaian akan ada kesan kepada diri dan emosi kita.

Arahan ini telah diberikan kepada Nabi Muhammad kerana ianya adalah perkara yang baru: masyarakat Arab tak buat perkara ini. Bukan sahaja mereka, tapi orang Eropah zaman itu pun teruk juga. Sebagai contoh, mereka tidak bersihkan pakaian mereka, pakai berhari-hari, berbulan atau bertahun dan mereka tidak membersihkan najis mereka pun. Waktu mereka di zaman gelap itu, Islamlah yang memulakan pembersihan diri dan pakaian.

Ini menunjukkan yang Islam tidak sama dengan agama lain. Ada agama yang memandang semakin kotor seseorang itu, semakin tinggi agama orang itu. Lihatlah agama Hindu dengan sami-sami mereka dan orang-orang agama mereka yang tidak mandi, tidak pakai baju dan macam-macam lagi. Mereka nampaknya tidak terurus dan nampak kotor sekali.

Lihatlah kelebihan agama Islam ini, awal-awal lagi Nabi Muhammad telah diajar untuk membersihkan diri baginda. Maka kita

Oleh itu, maksud pertama yang kita boleh ambil dari ayat ini adalah arahan untuk membersihkan luaran kita. Jangan jadi busuk. Jangan macam golongan yang kononnya zuhud. Sampaikan ada tidak mandi. Islam memandang perkara-perkara ini. Bayangkan, Nabi sampai melarang orang yang makan bawang putih dari masuk masjid kerana ianya boleh mengganggu orang lain. Dan untuk lelaki, dianjurkan untuk memakai wangi-wangian.

2. Ada juga yang mengatakan ini adalah isyarat untuk ‘membersihkan’ kawan-kawan kita. Kena lihat dengan siapa kita berkawan. Kawan yang baik akan mendorong kita ke arah kebaikan dan kawan yang buruk akan mengajak kita ke arah yang sebaliknya.

3. Ada juga yang mengatakan ini adalah isyarat untuk membersihkan pakaian dari digunakan untuk maksiat. Kerana ada manusia yang pakai pakaian nak tipu manusia. Ada yang berpakaian kerana hendak menunjukkan dia kaya, atau dia alim, padahal tidak.

Ini macam peniaga MLM sekarang, mereka sanggup berhutang untuk beli kereta mewah untuk tunjuk kepada orang ramai yang mereka beli kereta itu dengan wang perniagaan MLM; atau golongan yang pakai jubah dan serban dan rida’ di bahu kerana nak tunjuk mereka orang alim, tapi tidak sebenarnya.

4. Ada juga yang tafsir ayat ini sebagai larangan pakai pakaian dari hasil yang haram. Itu bukan dari sumber yang bersih. Ia memberi kesan kepada diri kita.

5. Bukan sahaja kita disuruh membersihkan pakaian luaran sahaja, tapi kita juga disuruh membersihkan diri juga. Inilah yang dinamakan dalam agama kita sebagai tajuk ‘Thoharah’. Kita diajar sebelum solat untuk membersihkan diri kita dari kekotoran luaran dan hadas kecil dan besar. Kalau belajar feqah, memang Thoharah ini adalah adalah tajuk pertama yang kena dipelajari.

6. Bukan sahaja kita disuruh bersihkan pakaian dan badan kita, tetapi kita juga kena bersihkan jiwa kita juga. Ini dinamakan ilmu Tazkiyatun Nafs. Jiwa yang bersih akan memberi ketenangan kepada kita dan menjadikan akhlak kita baik.

7. Ada yang mengatakan bahawa suruhan dalam ayat ini juga adalah untuk mengelokkan amal kerja kita. Kerana yang itulah yang orang akan nampak dahulu. Maka sebagai orang Muslim, kita kena tunjukkan kualiti kerja yang bagus. Kena jujur dalam kerja, kena tingkatkan mutu kerja kita. Jangan orang kata: “Orang Islam bukan boleh kerja, semua tak pandai buat….”.

8. Ia adalah salah satu dari Pepatah Arab. Orang yang suka batal janji dikatakan ‘kotor’ pakaiannya. Ini adalah kiasan orang Arab terhadap mereka yang seperti itu. Ini adalah kerana orang Arab memang amat halus dalam berbahasa. Dan kalau seseorang itu jenis yang menepati janji, orang itu akan dikatakan sebagai ‘berbaju bersih’.

9. Juga kita disuruh untuk memastikan tempat ibadat kita bersih juga. Kerana itu kita selalunya akan pakai sejadah kalau hendak solat. Dan bukan sahaja sejadah kena jaga, tapi masjid itu sendiri kena bersih. Kerana ia adalah tempat solat kita, bukan?

Malang sekali tandas masjid kita teruk. Ini amat memalukan sekali, kerana sepatutnya kita agama yang mementingkan kebersihan tapi lihatlah bagaimana kita lakukan kepada tandas-tandas di masjid. Ianya amat kotor sampaikan tak lalu kita hendak memasukinya. Kalau nak buang air dan masuk dalam tandas masjid, terus hilang selera hendak ‘membuang’.


 

Muddaththir Ayat 5:

وَالرُّجزَ فَاهجُر

Sahih International

And uncleanliness avoid

Malay

Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.

 

Kalimah الرُّجزَ dari katadasar ر ج ز yang bermaksud kekotoran, kejahatan, keburukan, penyakit, dosa. Ayat ini menyuruh kita menjauhkan segala kejahatan dari diri kita, luaran dan juga dalaman. Ini termasuklah:

1. Dari kekotoran dan kejahatan akidah, seperti menyembah berhala.
2. Dari kekotoran dosa seperti perbuatan maksiat
3. Juga, membersihkan niat kita dalam melakukan ibadah.


 

Muddaththir Ayat 6:

وَلا تَمنُن تَستَكثِرُ

Sahih International

And do not confer favor to acquire more

Malay

Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.

 

Ada beberapa maksud yang boleh diambil dari ayat ini:

1. Jangan buat perkara kebaikan kerana mengharapkan sesuatu yang lebih baik. Jangan harap balasan harta, balasan pujian orang lain dan sebagainya. Kalau seorang pendakwah mengharapkan balasan dunia, maka itu akan mengganggu keikhlasannya dalam berdakwah. Dakwah sudah tak jadi dakwah, tapi sudah jadi benda lain.

2. Jangan impikan dapat kebaikan dunia yang banyak dari banyak melakukan amal. Macam ada yang rasa kalau solat, akan kaya, sihat tubuh badan dan sebagainya. Itu adalah balasan dunia. Kita solat dan buat amal ibadat adalah kerana taat kepada Allah, untuk mendekatkan diri kepada Allah dan untuk mendapatkan rahmat dari Allah.

3. Jangan ada rasa dengan amal yang sedikit, boleh dapat banyak kebaikan atau balasan dari Allah. Ada yang rasa diri sudah selamat kerana dia banyak amal. Ini adalah silap faham tentang ibadat. Kita memang disuruh buat ibadat sebanyak mungkin. Tapi sebanyak mana pun amal kita, tidak akan dapat menandingi nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Maka jangan rasa amal kita hebat sangat sampai boleh menyebabkan kita masuk syurga.

4. Nabi Muhammad diingatkan dalam ayat ini supaya jangan mengharapkan kelebihan dunia dengan pangkat kenabian itu.

Macam zaman sekarang, guru tarekat nak macam-macam dari anak muridnya. Ramai anak murid yang kena tipu. Mereka ungkit kedudukan mereka kononnya sebagai wali Allah. Mereka mungkin hendakkan harta dunia. Kita boleh lihat bagaimana guru-guru tarekat hidup dalam kemewahan. Semuanya itu diberikan oleh anak-anak murid yang tertipu. Sedangkan anak murid mereka duduk dalam kemiskinan.

5. Jangan ungkit kebaikan yang kita telah berikan kepada orang. Tolong orang kerana ikhlas mengharapkan balasan dari Allah sahaja.

6. Kalimah تَمْنُن juga boleh bermaksud ‘memutuskan’. Iaitu jangan putuskan kebaikan yang kita lakukan. Jangan putuskan usaha membersihkan diri luar dan dalam. Juga jangan berhenti dakwah. Apabila kita sudah mulakan, maka kena teruskan. Ini penting kerana kalau terjun ke dunia dakwah, memang ada banyak halangannya.

7. Dan perkataan تَسْتَكْثِرُ yang bermaksud ‘banyak’, kita dilarang dari memutuskan perbuatan yang baik kerana rasa sudah banyak buat kebaikan. Jangan sudah lama buat kebaikan dan sampai satu masa rasa sudah banyak buat baik, rasa boleh rehat pula. Tidak, jangan begitu. Kita kena teruskan beramal kebaikan sehinggalah nyawa kita ditarik Allah.

8. Atau jangan berhenti usaha kerana rasa ianya berat. Kerana memang buat kebaikan adalah berat. Sentiasa sahaja syaitan dan nafsu akan menghalang kita untuk berbuat kebaikan. Syaitan dan nafsu akan membisikkan kesusahan yang terlibat dalam perbuatan yang baik itu. Mereka akan kata: baik rehat sahaja, tak payah susah-susah buat amal kebaikan ni. Tetapi imanlah yang memberikan nasihat mengingatkan kebaikan yang akan diperolehi di akhirat kelak.


 

Muddaththir Ayat 7:

وَلِرَبِّكَ فَاصبِر

Sahih International

But for your Lord be patient.

Malay

Dan kerana Tuhanmu, hendaklah engkau bersabar!

 

1. Kita kena sabar kerana Allah. Kita kena ingat janji Allah kepada kita. Ingat bahawa kita akan mendapat balasan kebaikan dari Allah nanti atas kesusahan dan kesabaran kita. Kena percaya janji Allah itu. Memang kerja kebaikan yang kita buat adalah berat tapi kita buat semua itu kerana Allah. Kerana mencari redha Allah.

Maka sabarlah dengan dugaan menyampaikan dakwah ini. Ia bukan kerja yang senang. Apabila kita berdakwah, kita akan ditolak, kena marah dan kena tohmah. Tapi walau bagaimana pun, kita kena teruskan. Banyakkan buat latihan senyum [apa sahaja orang kata, senyum sahaja].

2. Sabar atas segala yang kita buat, jangan harap balasan di dunia. Jangan jadi guru yang harap infak yang banyak dari anak murid. Ada guru yang buat madrasah kerana harap anak murid bagi duit kepadanya. Bila anak murid tak bagi wang, kelam kabut jadinya. Ataupun jika ada yang anak murid sudah tak beri infak (mungkin kerana apa-apa sebab), dia benci kepada anak murid itu.

Ada juga guru yang mengharapkan pujian dari anak muridnya dari ajarannya. Sepatutnya kita kena ikhlas dalam mengajar. Jangan rasa hebat dengan ilmu yang kita sampaikan. Ini mengajar kita untuk buat sesuatu hanya kerana Allah.

Kesimpulan: Tujuh ayat yang pertama ini adalah asas kepada kerja-kerja dakwah yang diarahkan kepada Nabi Muhammad dan kepada kita juga. Kena perhatikan satu persatu dan amalkan semuanya dalam kerja dakwah kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Oktober 2022


Rujukan:

Ustaz Adli Yayasan Taalim

Nouman Ali Khan

Hijaab Iqbal

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Muddaththir Ayat 1 – 7 (Asas-asas dakwah)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s