Tafsir Surah al-An’am Ayat 39 – 42 (Bala untuk rendahkan ego)

An’am Ayat 39: Ancaman kepada yang menolak ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا صُمٌّ وَبُكمٌ فِي الظُّلُمٰتِ ۗ مَن يَشَإِ اللهُ يُضلِلهُ وَمَن يَشَأ يَجعَلهُ عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Sahih International
But those who deny Our verses are deaf and dumb within darknesses. Whomever Allah wills – He leaves astray; and whomever He wills – He puts him on a straight path.

Malay
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli, di dalam gelap-gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki: akan disesatkannya (menurut peraturan tetapNya), dan sesiapa yang Dia kehendaki, akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.
 

وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِئآيٰتِنَا

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami,

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘mendustakan’? Tentulah kita tidak boleh mendustakan Al-Qur’an, bukan? Jadi, dalam ayat ini, mendustakan itu bermaksud ‘menolak’.

Sebagaimana orang kita juga, apabila diberikan dalil daripada ayat-ayat Al-Qur’an, mereka ada yang kata: “Betul dah apa yang kamu baca tu, tapi….” Apabila ada perkataan ‘tapi’, itu bermaksud mereka menolak sebenarnya. Tetapi menolak dengan cara yang lembut. Namun ia tetap juga menolak namanya.

Menolak itulah maksudnya ‘mendustakan’ kerana kalau membenarkan apa yang disampaikan kepada mereka, tentu dia akan terima, bukan? Namun apabila ditolak, seolah-olah dia kata apa yang disampaikan kepadanya itu adalah dusta, bukan?

 

صُمٌّ

mereka adalah pekak

Bukanlah mereka pekak tidak dapat mendengar, tetapi maksudnya mereka tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Sama ada mereka tidak mahu atau mereka tidak mampu mendengarnya. Mereka tidak mampu mendengar apa yang disampaikan kepada mereka, kerana hati mereka sendiri menolak kebenaran itu. Sebelum ini telah pernah disebutkan tentang pemberat yang diletakkan di dalam telinga manusia.

 

وَبُكْمٌ

dan bisu,

Maksudnya, mereka tidak mendapat manfaat daripada apa yang didakwahkan kepada mereka kerana mereka tidak faham.  Maksud ‘bisu’ itu adalah mereka tidak berkata yang benar. Bagaimana mereka dapat berkata benar, sedangkan kebenaran tidak masuk ke dalam hati mereka?

Selalunya ada sifat ketiga, iaitu عمي (buta), tetapi tidak disebut dalam ayat ini. Ini adalah kerana sifat buta akan disebutkan dalam ayat yang lain nanti.

 

فِي الظُّلُمٰتِ

di dalam gelap-gelita.

Mereka akan duduk di dalam kegelapan. Gelap gelita yang dimaksudkan bukanlah gelap gelita malam atau gelap dalam gua, tetapi bermaksud kegelapan syirik. Mereka terus duduk dalam kegelapan syirik dan kegelapan kejahilan. Ini kerana kebenaran selalunya dikaitkan dengan cahaya, dan mereka tidak mendapat cahaya itu.

 

مَن يَشَإِ اللهُ يُضلِلهُ

Sesiapa yang Allah kehendaki, akan disesatkannya,

Semua ketetapan datangnya daripada kehendak Allah ‎ﷻ. Tidak akan terjadi apa-apa tanpa kehendak-Nya. Dan Allah ‎ﷻ buat keputusan itu berdasarkan kebijaksanaan-Nya. Dan antara keputusan Allah ‎ﷻ adalah menyesatkan makhluk.

Mereka disesatkan oleh Allah ‎ﷻ kerana mereka itu asalnya degil. Mereka tidak peduli dengan wahyu yang telah diturunkan. Begitulah juga dengan orang kita, kalau kita ajak mereka belajar tafsir, ramainya buat tidak tahu sahaja seolah-olah ia tidak penting.

Dan ini amat bahaya kerana kalau seseorang itu tidak peduli dengan Al-Qur’an sahaja, mereka akan dihadiahkan dengan qarin dalam kalangan jin yang akan membisikkan kepada mereka itu supaya melakukan dosa dan kesyirikan. Maka mereka sangka mereka duduk di atas kebenaran, tetapi tidak sebenarnya. Ini kerana mereka tidak dipandu dengan wahyu Al-Qur’an. Mana mungkin seseorang itu boleh dikatakan mendapat hidayah kalau dia tidak tahu tafsir Al-Qur’an?

 

وَمَن يَشَأ يَجعَلهُ عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

dan sesiapa yang Dia kehendaki, akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.

Kehendak Allah ‎ﷻ menentukan apa sahaja. Tetapi Allah ‎ﷻ hanya sesatkan mereka yang tidak mahu kepada kebenaran. Kepada yang mahukan kebenaran, Allah ‎ﷻ akan tarik mereka ke arah kebenaran. Walaupun asalnya mereka lahir dalam keluarga kafir, namun oleh kerana mereka ada keinginan kepada kebenaran, maka mereka akan ditarik ke arah kebenaran agama Islam.

Pengajarannya: hidayah adalah di tangan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang menentukan siapakah yang akan mendapat hidayah. Namun bolehkah kita salahkan Allah ‎ﷻ? Tentulah kita tidak boleh salahkan Allah‎ ﷻ kerana Allah ‎ﷻ itu Tuhan dan kita adalah hamba-Nya. Tambahan pula, Allah ‎ﷻ telah beri hidayah kepada mereka yang mahukan hidayah.

Banyaklah salah faham tentang ayat ini pula. Jangan kata Allah ‎ﷻ yang hendak kita menjadi sesat pula. Ramai yang ada beranggapan begitu (kerana tidak belajar). Mereka salahkan Allah ‎ﷻ kerana mereka tidak beriman. Mereka kata: “Apa nak buat, Allah dah takdirkan aku begini”. Itu adalah fahaman sesat yang syaitan sudah masukkan ke dalam hati manusia yang jahil wahyu.

Kita tidak boleh hanya dengan membaca satu ayat dan terus mencapai konklusi. Al-Qur’an ini hendaklah dibaca dengan ayat-ayat lain. Kena baca dengan konteks keseluruhan Al-Qur’an. Ingatlah yang kita semua kena ada usaha untuk mendapatkan hidayah. Jika kita sendiri tidak berusaha, maka kita tidak kisah sama ada hidayah sampai kepada kita atau tidak, Allah ‎ﷻ akan tutup pintu hidayah kepada kita.

Jangan kita kata kita tidak ada usaha atau tidak ada upaya untuk mendapatkan hidayah. Jangan kita kata ‘itu takdir Allah’. Kita semua kena berusaha untuk mendapatkan hidayah itu. Seperti juga kita jika kita hendak makan, kita akan berusaha untuk cari makan, bukan? Kita boleh angkat tangan kita, bukan?

Kalau kita tampar seseorang, adakah orang yang  ditampar itu akan salahkan Allah ‎ﷻ atau dia akan salahkan kita kerana tampar dia? Tentulah dia akan salahkan kita. Begitu juga dengan hidayah, kena ada usaha daripada pihak kita. Apabila kita ada usaha, Allah ‎ﷻ akan bantu dengan memberi hidayah itu kepada kita.


 

An’am Ayat 40: Ayat ini mengandungi dalil Aqli I’tirafi. Allah ‎ﷻ telah mengiktiraf bahawa ada juga fahaman Musyrikin Mekah itu yang benar. Jangan sangka semua akidah mereka tidak benar, kerana ada lagi saki ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام dalam kalangan mereka.

Allah ‎ﷻ menggunakan fahaman mereka untuk mengajak mereka berfikir. Ia adalah dalil aqli i’tirafi kerana Musyrikin Mekah sudah terima bahawa Allah ‎ﷻ itu Tuhan. Mereka sudah tahu bahawa Allah ‎ﷻ menentukan segalanya.

قُل أَرَءيتَكُم إِن أَتٰكُم عَذابُ اللهِ أَو أَتَتكُمُ السّاعَةُ أَغَيرَ اللهِ تَدعونَ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International
Say, “Have you considered: if there came to you the punishment of Allah or there came to you the Hour – is it other than Allah you would invoke, if you should be truthful?”
Malay
Katakanlah (wahai Muhammad): “Khabarkanlah kepadaku, jika datang kepada kamu azab Allah, atau datang kepada kamu hari kiamat, adakah kamu akan menyeru yang lain dari Allah (untuk menolong kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar?”
 
 

قُلْ أَرَءيْتَكُمْ

Katakanlah (wahai Muhammad): “tidakkah kamu melihat kepada dirimu,

Bermaksud: tidakkah kamu pernah memikirkan? Ayat ini khitab (disampaikan) kepada Nabi Muhammad ﷺ tetapi baginda disuruh baca kepada umat baginda.

 

إِنْ أَتٰكُمْ عَذَابُ اللهِ

jika datang kepada kamu azab Allah,

Ada azab di dunia seperti yang telah diberikan kepada kaum terdahulu. Atau ada bala besar yang datang tiba-tiba kepada kamu. Sebagai contoh, kita sudah nampak bas yang akan melanggar kita. Ini biasa sahaja di dalam kehidupan kita yang tidak sunyi daripada musibah.

 

أَوْ أَتَتْكُمُ السَّاعَةُ

atau datang kepada kamu hari kiamat,

Perkataan السَّاعَةُ bermaksud hari Kiamat. Katakanlah Hari Kiamat itu datang dengan tiba-tiba.

Atau, ia juga boleh bermaksud ‘Kiamat Kecil’ iaitu kematian kita. Ini kerana kematian kita ini adalah penghujung bagi hidup kita, dan kita akan dimasukkan ke dalam kubur. Di dalam kubur itu pula kita akan menerima balasan iaitu balasan sebelum balasan yang sebenar di akhirat.

 

أَغَيْرَ اللهِ تَدْعُونَ

adakah kamu akan menyeru yang lain daripada Allah (untuk menolong kamu),

Adakah apabila terjadi azab atau sudah datangnya kiamat itu, adakah kamu (wahai golongan Musyrikin Mekah) akan panggil selain daripada Allah ‎ﷻ?

Tentulah tidak. Musyrikin Mekah pun tahu perkara ini. Mereka akan minta tolong kepada Allah ‎ﷻ juga. Kalau perkara hajat yang besar-besar, memang mereka akan doa terus kepada Allah ‎ﷻ. Bab keperluan kecil sahaja mereka meminta kepada ilah-ilah rekaan mereka.

Ini juga fahaman golongan yang mengamalkan syirik walaupun beragama Islam. Walaupun mereka inilah yang menganjurkan tawasul dan macam-macam lagi amalan salah, mereka tetap juga akan seru Allah ‎ﷻ. Memang selalunya mereka akan seru pujaan-pujaan mereka seperti Nabi, wali dan malaikat, tetapi kalau kena bala, mulut mereka akan automatik sebut “Ya Allah!”

Maknanya waktu kena bala itu, mereka tidak sempat untuk buat doa tawasul lagi. Tidak sempat hendak buat salat hajat pun. Tidak sempat hendak berdoa tolak bala pada waktu itu. Tidak sempat hendak pergi ke kubur wali atau kuburan Habib. Waktu itu, yang ada dalam kepala mereka adalah minta tolong kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Ingatlah bahawa doa (istighasah) kepada selain daripada Allah ‎ﷻ adalah kufur. Allah ‎ﷻ mahukan kita berdoa kepada-Nya terus, tanpa melalui perantaraan. Kenapa susah sangat hendak faham perkara ini? Kenapa susah sangat? Bukankah ini cara doa yang lebih mudah? Inilah cara yang diajar Allah ‎ﷻ, Nabi dan golongan mukmin dari dahulu sampai sekarang.

Maka janganlah seru selain daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita hendak panggil orang, cakap dengan orang, kenalah orang itu ada di situ, bukan? Dan kita pun tahu dia ada di situ. Kita pun nampak dia ada di situ. Barulah betul kalau kita hendak bercakap dengan dia. Yang kita seru tanpa ia ada di hadapan kita, tanpa kita nampak, hanyalah Allah  ‎ﷻ sahaja, bukan? Jadi kalau kita seru selain daripada-Nya, maka itu adalah syirik kufur.

Maka, syiriklah mereka yang minta izin daripada penunggu gua, penunggu pokok, penjaga kawasan dan lain-lain lagi itu. Malang sekali, kita semenjak dari kecil lagi kita sudah diajar begini: “Salam tok, tumpang singgah, anak cucu nak lalu…” Ini sebenarnya adalah seru jin kerana mana mungkin tok nenek kita mahu duduk sahaja menunggu pokok-pokok besar dalam hutan, bukan? Begitu mudah dalam kalangan kita yang ramai yang mengamalkan syirik, kerana fikrah syirik sudah menebal dalam diri tok nenek kita semenjak dari dulu lagi. Fahaman itu disampaikan turun temurun zaman berzaman kepada kita.

Minta maaf kalau ada yang rasa apa yang saya katakan ini kasar. Namun tujuan saya bukanlah hendak menjaga hati manusia, tetapi lebih kepada menjaga iman dan akidah. Ini sama sahaja dengan golongan yang seru Nabi, wali atau malaikat. Ada pula golongan sesat yang mengajar seru Rijalul Ghaib, Ahli Naubah dan bermacam-macam lagi rekaan dalam agama.

Maka bagaimana dengan makcik-makcik dan pakcik-pakcik kita yang suka dan asyik dengan lagu-lagu Marhaban? Apakah maksud ‘Marhaban’ itu? Tidakkah mereka faham maksud lagu yang dinyanyikan? Atau mereka hafal sahaja lirik tanpa mengetahui maknanya?

Baik, secara ringkasnya, maksud qasidah Marhaban itu adalah mengucapkan selamat datang. Namun ucapan selamat datang itu ditujukan kepada siapa? Yang mereka sebut itu adalah selamat datang kepada Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya. Kononnya Nabi Muhammad ﷺ datang dalam majlis Marhaban itu.

Itulah sebabnya penyanyi-penyanyi Marhaban itu akan bangun berdiri kerana mereka menghormati Nabi Muhammad ﷺ yang datang itu. Ada juga yang meletakkan satu kerusi kosong berhias kerana mereka kata Nabi ﷺ akan duduk menyaksikan majlis itu daripada kerusi itu?

Ajaran sesat manakah yang mengajar masyarakat kita sampai begini sekali? Satu Malaysia mengamalkan Marhaban ini bukan? Bukankah Nabi Muhammad ﷺ sudah lama wafat?

Kita pun tahu terdapat kelas-kelas Marhaban di segenap negara kita sekarang. Itulah kelas mengajar dan membawa kepada syirik. Tidak ada dalil langsung yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ akan datang ke majlis Marhaban malah mana-mana majlis pun. Ini adalah perkara kepercayaan iaitu akidah, dan perkara akidah kena ada dalil barulah boleh digunapakai. Dan dalil itu kena ada dalil yang sahih.

Kita kena ajar kepada masyarakat supaya mereka meninggalkan perkara yang salah sebegini kerana kalau kita tidak sebut, mereka akan berterusan dalam akidah syirik itu. Mereka itu orang yang baik-baik, tidak minum arak, tidak buat zina. Tetapi kalau dalam masa yang sama mereka ada membuat syirik, mereka akan masuk neraka akhirnya.

 

إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

jika betul kamu orang-orang yang benar?”

Cakap betul-betul, dari hati kamu sendiri: siapakah yang kamu akan panggil kalau bala datang tiba-tiba kepada kamu? Lihatlah dalam diri kamu, kalau ada bala yang tiba-tiba datang, agaknya siapakah yang kamu seru?

Jawabnya tentulah mereka akan menyeru Allah ‎ﷻ dalam keadaan seperti itu kerana mereka tahu yang Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menyelamatkan mereka. Jika begitu, kalau waktu susah mereka seru Allah ‎ﷻ, kenapa tidak mereka seru Allah ‎ﷻ dalam waktu senang juga? Itulah hujjah yang hendak disampaikan dalam ayat ini.

Musyrikin Mekah memang kenal Allah ‎ﷻ. Mereka terima Allah ‎ﷻ adalah Tuhan. Tapi dalam masa yang sama, mereka ada ‘tuhan-tuhan kecil’. Ketika waktu senang, kalau ada keperluan, mereka berdoa kepada tuhan-tuhan mereka seperti Latta, Uzza dan banyak lagi. Tetapi kalau untuk perkara berat, mereka akan doa terus kepada Allah ‎ﷻ.

Dalam hal ini, Musyrikin Mekah lebih baik daripada masyarakat Islam kita yang jahil bab doa. Sebab masyarakat kita terbalik. Dalam keadaan biasa, mereka berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, selepas salat ramai yang berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi kalau ada masalah besar, mereka tidak doa terus kepada Allah ‎ﷻ. Mereka akan cari ustaz, guru dan sebagainya. Golongan ini akan minta mereka buat doa tolak bala, doa selamat, mandi tolak bala, buat salat Hajat ramai-ramai dan bermacam-macam lagi amalan bid’ah yang lain. Kemudian ustaz itu pula tawasul kepada Nabi, wali atau malaikat. Memang terbalik keadaan masyarakat kita dengan Musyrikin Mekah.

Orang yang tidak percayakan Allah ‎ﷻ pun kadang-kadang dalam keadaan terdesak akan doa kepada Tuhan (mungkin mereka tidak sebut nama Allah tetapi sebut dalam bentuk umum sahaja). Antaranya mereka akan cakap: “Ya Tuhan, kalau Kamu benar ada, tolong lah aku”. Maka ini adalah perkara normal yang memang telah disematkan dalam sanubari manusia sebenarnya. Kerana memang manusia kenal Tuhan, bukan?

Kadang-kadang mereka diberi pertolongan dan selepas itu mereka akan beriman. Banyak juga kita terdengar kisah-kisah sebegini. Ini kerana hati mereka tersentuh apabila ada Tuhan yang makbulkan doa mereka.


 

An’am Ayat 41:

بَل إِيّاهُ تَدعونَ فَيَكشِفُ ما تَدعونَ إِلَيهِ إِن شاءَ وَتَنسَونَ ما تُشرِكونَ

Sahih International
No, it is Him [alone] you would invoke, and He would remove that for which you invoked Him if He willed, and you would forget what you associate [with Him].
Malay
Bahkan Dia lah (Allah) yang kamu seru lalu Dia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNya jika Dia kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).
 

بَلْ

Bahkan

Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada kita, apakah jawapan mereka. Mereka mungkin tidak jawab dengan mulut mereka, tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu apakah yang ada dalam hati mereka kerana Allah‎ ﷻ tahu apa yang ada dalam hati manusia.

 

إِيَّاهُ تَدْعُونَ

Dia lah (Allah) sahaja yang kamu seru

Apabila ada perkataan إِيَّاهُ, itu bermaksud ‘hanya’ Allah ‎ﷻ sahaja yang mereka akan doa. Memang mereka akan hanya seru Allah ‎ﷻ sahaja, tidak ada yang lain kerana pada waktu itu keadaan amat terdesak.

Oleh itu, kita ingatkan anda semua yang sedang membaca tulisan ini, serulah hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan lagi diseru kepada wali, Nabi atau mana-mana malaikat. Itu adalah perbuatan syirik. Dan memang naluri kemanusiaan kita akan seru Allah ‎ﷻ sahaja sebenarnya. Yang mengajar seru wali, Nabi dan malaikat itu adalah ajaran syaitan, bukan daripada naluri manusia pun.

 

فَيَكْشِفُ مَا تَدْعُونَ إِلَيْهِ

lalu Dia lah yang menghapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepada-Nya

Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menghilangkan bala itu kerana bala itu daripada Dia juga. Maka Dia lah sahaja yang akan menyelesaikan masalah itu. Yang diminta selain Allah ‎ﷻ (Nabi, wali, malaikat dan jin) itu tidak dapat mengangkat bala itu. Maka minta doa kepada-Nya untuk menyelesaikan masalah kita.

Bagaimanakah caranya? Doa sendiri-sendiri sahaja tanpa meminta orang lain tolong doakan. Tidak perlu berjumpa bomoh. Tidak perlu  berjumpa ‘ustaz’ untuk doakan kita, tidak perlu buat salat Hajat untuk kita. Kerana itu semua pun dipanggil tawasul juga.

Itulah masalah zaman sekarang, iaitu bomoh-bomoh sudah tidak menggunakan gelaran bomoh, tetapi gelaran ‘ustaz’, tetapi sama sahaja apa yang mereka lakukan.

 

إِن شَاءَ

jika Dia kehendaki;

Tidaklah setiap kali Allah ‎ﷻ akan menyelamatkan manusia kalau kita berdoa. Terpulang kepada-Nya sama ada hendak nemakbulkan atau tidak permintaan doa itu. Kita tidak boleh paksa Allah ‎ﷻ. Kita cuma boleh berharap sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini memberitahu kepada kita, bahawa kadang-kadang Allah ‎ﷻ akan menolong juga orang kafir walaupun mereka membuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Terpulang kepada Allah ‎ﷻ. Kalau doa orang kafir pun, Allah ‎ﷻ  jawab, sudah tentu kita ini lebih lagi Allah akan layan. Jadi sentiasalah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Yang pasti yakinlah dalam doa kita itu bahawa Allah ‎ﷻ sedang mendengar doa kita dan Allah ‎ﷻ akan membuat yang terbaik untuk kita. Allah ‎ﷻ tahu mana yang baik untuk kita.

 

وَتَنسَوْنَ مَا تُشْرِكُونَ

dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan

Waktu itu, segala tuhan-tuhan lain, ilah-ilah lain, mereka akan lupakan kerana keadaan itu susah sangat sampai mereka tahu yang hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh selamatkan.

Pada waktu itu mereka terdesak dengan emosi yang takut dan risau sangat. Barulah mereka kembali kepada naluri asal iaitu permintaan dan harapan hanya kepada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini mengingatkan kita untuk sentiasa meminta doa terus kepada Allah ‎ﷻ dalam semua keadaan. Dalam susah dan senang. Ingatlah Allah ‎ﷻ di kala kita senang, maka Allah ‎ﷻ akan ingat kita di kala susah.

Habis Ruku’ 4 dari 20 ruku’ dalam surah ini.


 

An’am Ayat 42:

وَلَقَد أَرسَلنا إِلىٰ أُمَمٍ مِّن قَبلِكَ فَأَخَذنٰهُم بِالبَأساءِ وَالضَّرّاءِ لَعَلَّهُم يَتَضَرَّعونَ

Sahih International
And We have already sent [messengers] to nations before you, [O Muhammad]; then We seized them with poverty and hardship that perhaps they might humble themselves [to Us].
Malay
Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).
 
 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَىٰ أُمَمٍ مِّن قَبْلِكَ

Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan kepada umat-umat yang dahulu daripadamu

Allah ‎ﷻ tidak sebut pun ‘apa’ yang diutuskan kerana sudah difahami bahawa ia adalah ‘rasul’ yang dihantar. Mereka dihantar untuk memberi peringatan kepada manusia.

Dan ia juga boleh bermaksud tidak semestinya rasul yang dihantar tetapi para ‘pendakwah’, sebagaimana kita di zaman sekarang’ tidak ada rasul lagi yang diutuskan kepada kita. Kita mendapat ilmu agama dan peringatan melalui pendakwah sahaja, bukanlah rasul.

Ini adalah sunnatullah. Allah ‎ﷻ akan sentiasa mengutuskan pendakwah kepada manusia untuk mengingatkan mereka. Tidaklah Allah ‎ﷻ membiarkan manusia tanpa didikan dan peringatan. Peringatan dan ajaran akan diberikan supaya nanti manusia tidak ada lagi alasan untuk kata mereka tidak tahu tentang agama sebab Allah ‎ﷻ telah mengutuskan pendakwah kepada mereka.

Ini menunjukkan kepentingan rasul dan pendakwah. Jika tidak ada rasul dan pendakwah tauhid, bagaimana kita tahu cara yang benar untuk menjalani kehidupan kita? Bagaimana kita boleh tahu siapa yang boleh disembah? Inilah rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Jika Allah tidak mengutuskan Rasul, susah pula untuk kita mencapai maklumat itu sendiri.

 

فَأَخَذْنٰهُم بِالْبَأْسَاءِ

maka Kami seksakan mereka dengan bencana

Namun apabila pendakwah dan rasul dihantar kepada manusia, ramai manusia yang akan menolak rasul dan pendakwah itu. Maka, Allah ‎ﷻ akan balas dengan menghantar kepada mereka kesusahan dalam bentuk fizikal.

Contohnya, makanan tidak cukup, diserang dengan musuh dan sebagainya. Apa lagi yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada mereka?

 

وَالضَّرَّاءِ

dan kesengsaraan,

Kesusahan dalam diri dan emosi. Kesusahan yang melibatkan mental dan emosi. Ini merangkumi kesedihan kerana kematian yang tersayang, kerendahan diri kerana dijajah dan sebagainya.

Kenapa Allah ‎ﷻ kenakan semua ini? Kerana apabila pendakwah dihantar kepada manusia dan mereka ditolak, Allah ‎ﷻ akan berikan kesusahan kepada mereka untuk merendahkan ego mereka. Kesusahan ini adalah kesusahan yang ringan lagi. Ia bukanlah bala yang akan menghancurkan mereka. Ia adalah sebagai amaran sahaja lagi. Kenapa Allah ‎ﷻ buat begitu?

 

لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ

supaya mereka merendah diri (serta insaf dan bertaubat).

Supaya mereka kembali mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Kesusahan-kesusahan itu sebenarnya adalah rahmat daripada Allah ‎ﷻ kerana tujuan diberikan kesusahan itu adalah untuk memecahkan ego mereka. Mereka akan sedar bahawa mereka memerlukan pertolongan Allah‎ ﷻ. Ini kerana manusia yang tinggi ego sudah hendak terima nasihat orang lain.

Sebagai contoh, peristiwa ketika Firaun menolak Nabi Musa عليه السلام, di mana Firaun dan kaumnya telah dikenakan dengan bala untuk menundukkan ego dan kesombongan mereka. Ketika itu barulah Firaun menghantar wakil untuk minta Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Perkataan يَتَضَرَّعُونَ daripada kata dasar ض و ع bermaksud ‘merendah diri sehingga berasa diri tiada nilai’. Kita pun biasa dengar kalimah tawaduk, bukan? Kita memang kena merendahkan diri di hadapan Allah ‎ﷻ. Merendahkan diri dengan fizikal dan emosi sekali. Oleh itu, menangislah di hadapan Allah ‎ﷻ. Mengakulah dengan kesalahan yang kita sudah buat selama ini dan berjanji untuk tidak melakukannya lagi. Sedarlah yang kita ini amat lemah dan memerlukan Allah ‎ﷻ.

Ayat ini mengingatkan kita untuk merendahkan diri dalam dunia sebelum akhirat. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh kita kalau ada masalah. Bukan dengan membuat salat hajat berjama’ah beramai-ramai atau mengupah pelajar tahfiz untuk mendoakan kita. Bukan dengan meminta ustaz atau tok imam mengadakan majlis doa selamat. Bukan meminta mana-mana syeikh membacakan doa untuk kita. Cara ini tidak ada di dalam sunnah, tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan diamalkan oleh para sahabat. Yang berpegang kepada pendapat kata boleh itu pun, mereka ambil daripada dalil-dalil serpihan sahaja.

Itu semua adalah amalan tawasul yang salah. Kalau kita buat seperti itu, dosa kita akan bertambah pula. Sudahlah masalah yang sedia ada belum selesai, ditambah dosa baru pula, iaitu dosa reka cara berdoa yang Nabi ﷺ tidak pernah ajar.

Surah al-An’am ini diturunkan dalam tahun-tahun terakhir sebelum Nabi ﷺ Hijrah. Jadi ayat ini adalah sebagai amaran kepada Musyrikin Mekah bahawa jika mereka tidak beriman, mereka akan dikenakan dengan bala. Ini adalah amaran yang keras kepada mereka.

Bandingkan dengan negara kita. Dahulu kita ada kerajaan Islam di bawah pemerintahan Sultan Melaka. Kemudian Melaka telah jatuh ke tangan penjajah. Bertukar-tukar penjajah sehinggalah kepada Perjanjian Pangkor pada tahun 1876. Akhirnya kita hanya dapat merdeka pada tahun 1957. Semenjak sebelum jatuhnya Melaka, orang kita telah mengamalkan sihir dalam amalan.

Sebagai contoh, kita ada ‘ilmu tikam tak lut’ dan sebagainya. Dari waktu itu, sehinggalah negara kita ini telah bertukar tangan daripada satu penjajah ke penjajah yang lain, selepas merdeka ini pun, masyarakat kita belum lagi meninggalkan sihir yang syirik itu. Dari dulu sampai sekarang, umat Melayu ini tidak habis lagi mengamalkan syirik dan sihir. Masih lagi ada yang kata mereka ada ilmu parang terbang, selempah merah dan itu ini.

Oleh kerana amalan salah yang diamalkan, kita telah dikenakan dengan bala. Maknanya, kita dari dulu lagi Allah ‎ﷻ sudah biasa memberikan bala dan azab kepada kita. Sampai sekarang pun kita ada sahaja kesempitan hidup. Walaupun kita nampak seolah-olah aman, tetapi kita tidak pernah sunyi daripada masalah dan bala. Ini kerana kita tidak pernah keluar daripada membuat amalan salah. Ini kerana masyarakat kita masih lagi membuat syirik tidak henti. Walaupun terdapat alim ulama’ dan ustaz pun, mereka tidak berani menegur kerana bimbang ditolak oleh masyarakat.

Ayat ini juga mengingatkan kepada kita bahawa ada kalanya kesusahan dan bala diturunkan kepada kita apabila kita melakukan kesalahan. Namun tidak semestinya sentiasa begitu.

Ada masanya Allah ‎ﷻ berikan bala sebagai rahmat juga kepada kita kerana apabila kita bersabar dengan bala itu, kita akan mendapat pahala. Asalkan kita bersabar dengan dugaan itu, kita akan mendapat pahala.

Akhirnya, ayat ini juga mengingatkan kepada kita kepentingan merendahkan diri. Ia sangat penting sampaikan Allah ‎ﷻ memberikan bala dan kesusahan kepada kita supaya kita mencapai tahap itu. Maka kalau kita sudah merendahkan diri kita, mungkin tidak perlu Allah‎ ﷻ kenakan bala kepada kita. Mana yang lebih baik? Kita beriman dengan sendiri atau beriman setelah dikenakan dengan bala?

 

Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s