Tafsir Surah Ali Imran Ayat 32 – 39 (Kisah kelahiran Maryam)

Ayat 32: 

قُل أَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ ۖ فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الكٰفِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, “Obey Allah and the Messenger.” But if they turn away – then indeed, Allah does not like the disbelievers.

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

 

قُل أَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya.

Kali ini Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz ‘taat’ pula. Ini adalah paling kurang yang kita kena lakukan.

Maksud literal ‘taat’ adalah ‘sukarela’. Macam perkataan tatawwu‘ dalam salat, bermaksud ‘Salat-salat Sunat’ sebagai salat-salat tambahan selain daripada salat-salat fardhu. Jadi taat dalam agama adalah taat jenis sukarela. Tidak ada paksaan dalam agama. Kita kena rela hendak lakukan. Sebagai contoh, kalau salat kita lakukan tetapi dipaksa, itu bukan ‘taat’ sebenarnya. Pahala pun tiada kerana tidak ada ikhlas.

Hendaklah taat kepada Allah ‎ﷻ dan taat kepada rasul yang mengajar cara taat kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ telah pilih rasul itu untuk tunjuk cara bagaimana menjalani kehidupan kepada kita. Kalau kita cinta seseorang, tentulah kita ikut segala perkataan kekasih itu, bukan? Maka taat itu adalah alamat (tanda) adanya kasih.

Sebelum ini beberapa ayat yang sudah diberikan, Allah ‎ﷻ melarang kita berwalikan kepada selain orang Islam. Dalam ayat-ayat ini pula, Allah ‎ﷻ memberitahu kepada siapakah yang patutnya kita letakkan kasih kita itu.

Namun untuk taat, kenalah tahu apakah yang hendak ditaati. Maka, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith serta sunnah untuk tahu apakah yang perlu ditaati. Janganlah pandai sebut taat sahaja, tetapi tidak tahu apakah yang perlu ditaati.

 

فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الكٰفِرينَ

jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

Sesiapa yang engkar untuk taat, mereka itu sudah kufur. Mereka dikira kufur kerana ada peluang untuk ikut taat tetapi mereka tidak ikut. Allah ‎ﷻ kata mereka kafir.

Perkara dalam hati orang lain, kita tidak tahu. Oleh itu susah untuk kita mengkafirkan seseorang. Namun begitu, kalau ada yang secara nyata mengatakan sesuatu yang wajib tetapi dia kata tidak wajib, itu adalah kufur dengan nyata dan kita sendiri boleh kata dia kafir kerana dia sudah nyatakan kekafiran dia.

Namun kalau perkara dalam hatinya, Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Maka jangan kita ringan sahaja mulut untuk kata orang itu kafir, orang ini kafir. Kerja kita bukannya untuk mengkafirkan orang lain tetapi berjagalah dengan peringatan Allah ‎ﷻ ini. Mungkin kita katakan seseorang itu kafir, tetapi bagaimana kalau dia bukan kafir di mata Allah ‎ﷻ? Nauzubillahi min dzaalik.

Habis perenggan makro ajakan tauhid kepada golongan ahli kitab. Dalam ayat-ayat yang kita sudah belajar ini (Ayat 10 – 32), Allah mengajak mereka untuk beriman dengan Nabi Muhammad.

Peta Minda Ringkasan Makro


 

Ayat 33: Ini adalah Dalil Aqli yang keempat. Ayat ini hendak menjelaskan kesilapan dalam fahaman Nasara yang menjadikan golongan keluarga Imran sebagai pujaan. Mereka bukanlah pujaan selain Allah ‎ﷻ, walaupun mereka itu manusia yang taat kepada Allah ‎ﷻ. Jadi kalau mereka manusia biasa, kenapa seru mereka?

Sebelum ini telah disebut tentang cinta kepada Allah ‎ﷻ. Untuk mendapatkan cinta Allah ‎ﷻ, kena taat kepada Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ bukanlah rasul yang pertama, malah banyak lagi sebelum baginda. Rasul-rasul itulah yang menjadi penyambung kasih antara makhluk dan Allah ‎ﷻ. Maka kita akan belajar kisah-kisah mereka.

Kita masuk ke Perenggan Makro yang baru. Dari ayat 33 ini sehingga ke ayat 63, ia berkenaan Maryam. Kita akan belajar bagaimana kisah Maryam ini membatalkan dakyah triniti (tiga dalam satu) yang dianuti oleh puak Kristian. Allah ﷻ mula menyebut tentang keluarga yang besar-besar dan hebat.

۞ إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ ءآدَمَ وَنوحًا وَءآلَ إِبرٰهيمَ وَءآلَ عِمرٰنَ عَلَى العٰلَمينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, Allah chose Adam and Noah and the family of Abraham and the family of ‘Imran over the worlds –

MALAY

Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).

 

إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ ءآدَمَ وَنوحًا

Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh,

Nabi Adam عليه السلام adalah bapa kita semua. Nabi Nuh عليه السلام pula adalah Rasul yang pertama. Semua makhluk adalah keturunan Nabi Adam عليه السلام dan Nabi Nuh عليه السلام kerana selepas Banjir Besar, semua keturunan adalah daripada keturunan Nabi Nuh عليه السلام, tidak ada zuriat yang lain lagi. Maka kerana itu Allah ﷻ mulakan perenggan ini dengan menyebut dua ‘bapa’ kita ini.

 

وَءآلَ إِبرٰهيمَ وَءآلَ عِمرٰنَ عَلَى العٰلَمينَ

dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat

Sekarang Allah ﷻ tentang Nabi Ibrahim عليه السلام pun keluarga Imran pula. Disebut Nabi Ibrahim عليه السلام kerana Nabi Muhammad terbit dari Nabi Ibrahim عليه السلام. Dan disebut keluarga Imran kerana Maryam dan Nabi Isa عليه السلام terbit dari keluarga ini.

Daripada Nabi Ibrahim عليه السلام lahirlah Nabi Ismail عليه السلام dan Nabi Ishak عليه السلام. Kemudian, dari jaluran keturunan Nabi Ishak عليه السلامlah lahirnya keluarga Imran. Di dalam tafsir Al-Qur’an ada disebut dua Imran. Seorang adalah bapa kepada Nabi Musa عليه السلام dan seorang lagi adalah bapa kepada Maryam رضي الله عنها.

Mereka semua telah dipilih untuk jadi rapat dengan Allah ‎ﷻ. Semua yang disebut adalah keturunan Nabi-nabi dan Allah ‎ﷻ memasukkan sekali dengan Keluarga Imran juga. Mereka diberi kedudukan yang melebihi kedudukan manusia biasa yang lain.

Disebut banyak nama Nabi-nabi kerana Nabi Muhammad ﷺ diajar untuk beritahu yang baginda adalah salah seorang daripada rantaian Nabi yang ramai. Baginda bukannya membawa ajaran akidah yang baru melainkan sama sahaja dengan apa yang dibawa oleh para Nabi yang terdahulu. Mereka semuanya dipilih sendiri oleh Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 34:

ذُرِّيَّةً بَعضُها مِن بَعضٍ ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Descendants, some of them from others. And Allah is Hearing and Knowing.

MALAY

(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.

 

ذُرِّيَّةً بَعضُها مِن بَعضٍ

satu keturunan yang setengahnya berasal daripada setengahnya yang lain. 

Allah ‎ﷻ mengingatkan bahawa mereka itu semua bukanlah tuhan, melainkan lahir sebagaimana manusia lain juga. Setengah lahir daripada setengah yang lain. Maknanya mereka itu semua adalah daripada keturunan manusia. Bukan lahir daripada Allah ‎ﷻ.

Oleh kerana mereka adalah manusia biasa, jadi kenapa ingin jadikan mereka sebagai pujaan? Kenapa puja berlebihan pula? Inilah bahaya apabila pujian dilakukan berlebihan. Kerana itu Rasulullah ﷺ larang baginda dipuji melambung tinggi. Kerana itu kita menegur golongan yang memuja Nabi sekarang seperti golongan Habib yang memuja Rasulullah ﷺ berlebihan.

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui sahaja yang layak menjadi Tuhan. Hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja yang mempunyai sifat itu. Tidak ada yang lain dan tidak akan ada selainNya yang ada sifat-sifat begitu.

Mereka para nabi dan Keluarga Imran seperti Maryam رضي الله عنها, Nabi Isa عليه السلام dan lain-lain tidak mempunyai kuasa maha mendengar dan maha mengetahui. Ini adalah kerana mereka itu manusia sahaja.


 

Ayat 35: Kita sudah mula masuk kepada kisah Keluarga Imran ini (yang digunakan sebagai nama surah ini) dan kisah mereka dimulakan tentang Maryam رضي الله عنها, ibu kepada Nabi Isa عليه السلام.

إِذ قالَتِ امرَأَتُ عِمرٰنَ رَبِّ إِنّي نَذَرتُ لَكَ ما في بَطني مُحَرَّرًا فَتَقَبَّل مِنّي ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ

SAHIH INTERNATIONAL

[Mention, O Muhammad], when the wife of ‘Imran said, “My Lord, indeed I have pledged to You what is in my womb, consecrated [for Your service], so accept this from me. Indeed, You are the Hearing, the Knowing.”

MALAY

(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

 

إِذ قالَتِ امرَأَتُ عِمرٰنَ

ketika isteri Imran berkata:

Isteri Imran bernama Hannah. Imran dikatakan bapa kepada Maryam رضي الله عنها. Ada juga khilaf tentang perkara ini kerana ada yang mengatakan bahawa Imran adalah nama keturunan dan bukannya nama bapa kepada Maryam رضي الله عنها. Allahu a’lam.

Sebelum ini Allah ‎ﷻ kata Dia Maha Mendengar. Sekarang Allah ‎ﷻ tunjuk contoh bagaimana Dia dengar doa ibu Maryam رضي الله عنها walaupun beliau berdoa dalam diam di rumah. Beliau pun bukanlah seorang nabi tetapi Allah ‎ﷻ tetap dengar dan makbulkan juga. Menunjukkan Allah ‎ﷻ dengar doa semua makhluk. Maka jangan kita lelah dalam berdoa. Teruskan berdoa dan yakinlah yang Allah ‎ ﷻ dengar doa kita.

 

رَبِّ إِنّي نَذَرتُ لَكَ ما في بَطني مُحَرَّرًا

“Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepada-Mu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas

Ibu Maryam menazarkan kandungan bayi di dalam perutnya itu untuk menjadikan anaknya itu khusus buat ibadat dan berkhidmat kepada Allah ‎ﷻ. Maksudnya beliau ingin menyerahkan anaknya itu menjadi khadam BaitulMaqdis sebagaimana tok siak kalau di negara kita.

Kalimah “Muharraran” membawa maksud ‘bebas daripada jagaanku’ – seratus peratus (100%) berkhidmat untuk agama. Bebas daripada kehidupan dunia, maknanya duduk berkhidmat di Masjidil Aqsa sahaja tanpa kerja yang lain. Ia dari kata dasar ح ر ر yang bermaksud ‘bukan hamba’.

Syari’at dahulu boleh nazar begitu. Tidak ada dalam syari’at kita sebegitu. Janganlah pula ada yang baca ayat ini tanpa belajar, terus hendak nazarkan anak dalam perut menjadi tok siak masjid pula. Tidak perlulah sampai begitu.

 

فَتَقَبَّل مِنّي

maka terimalah nazarku;

Maknanya kalau ibunya berdoa begitu, Maryam رضي الله عنها itu adalah anak biasa. Untuk mendapatkan Maryam رضي الله عنها pun setelah sekian lama beliau berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Maka, apabila beliau mengandung, beliau menjadi terlalu gembira sehinggakan beliau menazarkan anaknya itu. Beliau sangka anaknya itu adalah lelaki kerana syari’at agama ketika itu pun, hanya budak lelaki yang menjadi khadam di masjid. Maka beliau berharap sangat yang anaknya itu akan lahir sebagai lelaki.

Lihatlah bagaimana ibu Maryam berharap supaya Allah ‎ﷻ menerima nazarnya, bukanlah beliau berdoa supaya Allah ‎ﷻ menerima anaknya itu. Maknanya, pemberian anak itu adalah sebagai salah satu ibadat daripada dirinya sendiri dan beliau mengharapkan pahala daripada nazarnya itu.

 

إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ

sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Sekali lagi diulang yang Allah ‎ﷻ sahaja Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Ibu Maryam pun tahu perkara ini kerana inilah aqidah dari dahulu lagi.

Ibu Maryam pun tidak mendengar sama ada Allah ‎ﷻ terima doanya ataupun tidak. Ibu Maryam juga tidak mengetahui apakah kandungan dalam perutnya itu adalah anak lelaki atau tidak. Jadi, kalau Allah ‎ﷻ sahaja yang ada sifat Maha Mendengar dan Mengetahui, kenapa hendak sembah selain Allah ‎ﷻ? Kenapa hendak puja dan seru selain Allah ‎ﷻ?


 

Ayat 36:

فَلَمّا وَضَعَتها قالَت رَبِّ إِنّي وَضَعتُها أُنثىٰ وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما وَضَعَت وَلَيسَ الذَّكَرُ كَالأُنثىٰ ۖ وَإِنّي سَمَّيتُها مَريَمَ وَإِنّي أُعيذُها بِكَ وَذُرِّيَّتَها مِنَ الشَّيطٰنِ الرَّجيمِ

SAHIH INTERNATIONAL

But when she delivered her, she said, “My Lord, I have delivered a female.” And Allah was most knowing of what she delivered, “And the male is not like the female. And I have named her Mary, and I seek refuge for her in You and [for] her descendants from Satan, the expelled [from the mercy of Allah ].”

MALAY

Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”.

 

فَلَمّا وَضَعَتها قالَت رَبِّ إِنّي وَضَعتُها أُنثىٰ

Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan

Ibu Maryam berharap supaya anak yang dilahirkannya itu anak lelaki tetapi rupanya yang keluar adalah anak perempuan. Daripada lafaz katanya ini, kita dapat rasa bahawa beliau sedih kerana anaknya itu perempuan. Kerana beliau berharap anak lelaki untuk dikhidmatkan kepada agama.

Memang beliau tidak sangka sama sekali. Maknanya ibu Maryam tidak tahu perkara ghaib.

 

وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما وَضَعَت

dan Allah memang lebih mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu

Ibu Maryam beritahu yang anaknya itu perempuan sedangkan Allah ‎ﷻ lebih tahu apakah jantina anak yang akan dilahirkan. Semuanya dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Memang Allah ‎ﷻ mahukan anak yang dilahirkan itu anak perempuan kerana Allah ‎ﷻ hendak anak itu menjadi ibu kepada seorang Nabi, maka kenalah yang dilahirkan oleh Hannah itu seorang perempuan.

 

وَلَيسَ الذَّكَرُ كَالأُنثىٰ

dan memanglah tidak sama lelaki dengan perempuan;

Tidak sama dari banyak segi antara lelaki dan perempuan. Ada persamaan dan ada juga perbezaan antara jantina. Kadang-kadang ada perkara yang perempuan lebih lagi daripada lelaki. Kadang-kadang lelaki yang lebih.

Dalam kes ini, untuk menjadi ibu kepada Nabi Isa عليه السلام, hanya orang perempuan sahaja yang boleh ambil tugas itu. Maka, Allah ‎ﷻ telah memilih Maryam رضي الله عنها untuk menjadi ibu kepada seorang Nabi. Walaupun beliau sendiri bukan Nabi (kerana Nabi mesti seorang lelaki) tetapi beliau adalah seorang ibu kepada Nabi. Tidak ada lelaki boleh mencapai kedudukan ini.

 

وَإِنّي سَمَّيتُها مَريَمَ

dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, 

Ini adalah nama yang dipilih oleh ibu Maryam. Maryam dalam bahasanya bermaksud hamba yang sering beribadah kepada Allah ‎ﷻ. Ia nama yang indah dan bolehlah digunakan sebagai nama anak perempuan kita juga.

 

وَإِنّي أُعيذُها بِكَ وَذُرِّيَّتَها مِنَ الشَّيطٰنِ الرَّجيمِ

dan aku melindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, daripada godaan syaitan yang kena rejam

Hannah mohon perlindungan untuk anaknya kepada Allah daripada syaitan. Bukan sahaja anaknya sahaja, tetapi keturunan anaknya itu juga. Maknanya, ibu Maryam ini sudah memandang ke hadapan. Doanya pun amat bagus sekali. Maknanya beliau adalah seorang yang bijak. Bila ibu bijak, maka anak pun akan membesar menjadi insan yang baik.


 

Ayat 37:

فَتَقَبَّلَها رَبُّها بِقَبولٍ حَسَنٍ وَأَنبَتَها نَباتًا حَسَنًا وَكَفَّلَها زَكَرِيّا ۖ كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا ۖ قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا ۖ قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

SAHIH INTERNATIONAL

So her Lord accepted her with good acceptance and caused her to grow in a good manner and put her in the care of Zechariah. Every time Zechariah entered upon her in the prayer chamber, he found with her provision. He said, “O Mary, from where is this [coming] to you?” She said, “It is from Allah . Indeed, Allah provides for whom He wills without account.”

MALAY

Maka dia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira”.

 

فَتَقَبَّلَها رَبُّها بِقَبولٍ حَسَنٍ

Maka dia diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik,

Allah ‎ﷻ menerima Maryam sebagai nazar ibunya; atau boleh bermaksud Allah ‎ﷻ menerima doa ibu‎ Maryam itu.

 

وَأَنبَتَها نَباتًا حَسَنًا

dan dibesarkannya dengan didikan yang baik,

Maryam telah dibesarkan dengan baik. Allah ‎ﷻ sendiri yang menjadikannya sebegitu. Ini kerana kalau anak kita, memang kita hendak dia jadi baik, kita beri didikan yang terbaik, tetapi tidak semestinya anak itu menjadi baik.

Lihatlah bagaimana anak-anak Nabi Yaakub, walaupun bapanya seorang Nabi, tetapi tidak semua anaknya menjadi. Namun Allah ‎ﷻ memastikan yang Maryam dibesarkan dengan didikan yang baik.

 

وَكَفَّلَها زَكَرِيّا

serta diserahkan-Nya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria.

Nabi Zakaria telah dilantik oleh Allah ‎ﷻ sebagai penjaga Maryam. Ramai yang berpakat hendak menjaga Maryam رضي الله عنها kerana bapa Maryam, Imran telah meninggal. Ramai sangat yang hendak menjaga Maryam sampaikan terpaksa dilakukan undian.

Cara undian dilakukan adalah bagi setiap mereka yang mahu menjaga Maryam رضي الله عنها, perlu mencampak qalam (pen) mereka ke dalam sungai. Qalam yang timbul sahaja akan dipilih sebagai penjaga Maryam رضي الله عنها. Dengan kuasa Allah ‎ﷻ, hanya qalam Nabi Zakaria عليه السلام sahaja yang timbul. Nabi Zakaria عليه السلام pula memang bapa saudara Maryam (suami kepada ibu saudaranya).

Maka Allah ‎ﷻ sendiri yang pilih penjaga Maryam, seorang Nabi dan Rasul. Ini juga mengajar kita bahawa adatnya, orang baik selalunya dijaga oleh orang yang baik juga.

Nabi Zakaria عليه السلام telah menjaga Maryam dengan baik. Siang baginda akan bawa Maryam رضي الله عنها ke masjid BaitulMaqdis dan malam dibawa Maryam رضي الله عنها pulang untuk tidur dengan keluarga baginda.

 

كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا

Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki di sisinya. 

Setiap kali Nabi Zakaria عليه السلام menemui Maryam رضي الله عنها di mihrab (tempat ibadat), baginda dapati yang Maryam رضي الله عنها sentiasa ada rezeki bersamanya. Dikatakan bahawa rezeki itu dalam bentuk buah-buahan yang luar musim. Ini amat menghairankan kerana bukannya ada peti ais pun zaman itu. Maka ini bukan rezeki biasa tapi rezeki luar biasa.

Kalimah المِحرابَ adalah tempat yang dijadikan sebagai tempat pertapaan untuk umat Islam zaman itu. Kita boleh katakan ia ‘tempat ibadat’. Ia berasal daripada perkataan حرب yang bermaksud ‘perang’. Ini adalah kerana tempat itu dijadikan sebagai tempat untuk bersendiri untuk berperang dengan nafsu dan syaitan yang mengganggu iman manusia. Kebiasaannya ini tidak berlaku pada wanita kecuali bagi Maryam sahaja (pengecualian).

Kalau zaman sekarang, ia adalah tempat yang ada lengkuk yang digunakan sebagai tempat imam salat berdiri semasa menjadi imam. Jadi penggunaan kalimah ini sudah berubah.

 

Mihrab pada zaman sekarang
Mihrab pada zaman sekarang

 

قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا

Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati ini?”

Makanan yang ada di sisi Maryam itu amat menghairankan Nabi Zakaria عليه السلام kerana baginda yang menjaga Maryam رضي الله عنها dan makanan disediakan olehnya. Dari mana pula datangnya buah-buahan itu?

Seorang Nabi tentu sudah biasa dengan perkara luar biasa. Mereka sudah biasa dengan mukjizat yang berlaku pada mereka. Yang baginda hairan itu adalah kerana ia terjadi kepada Maryam. Kerana itu baginda tanya.

 

قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ

Maryam menjawab; “Ianya dari Allah,

Maryam رضي الله عنها menjawab dengan yakin (lafaz yang digunakan dalam bentuk jazam), yang semua rezeki itu adalah daripada Allah ‎ﷻ yang didapati tanpa ikhtiar daripada dirinya. Ia didapati tanpa asbab. Maknanya ia adalah dari qudrat Allah ﷻ.

 

إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”.

Allah ‎ﷻ boleh memberi apa-apa sahaja kepada hamba-Nya dengan cara tanpa boleh difikir dengan akal. Allah tak kira pun pemberian apa yang diberiNya kerana Dia boleh beri apa sahaja.

Apa yang diberi kepada Maryam رضي الله عنها itu adalah satu jenis ‘karamah’. Memang karamah boleh diberi untuk orang soleh. Ia diberikan kepada Maryam رضي الله عنها kerana taqwa yang ada pada dirinya. Beliau seorang yang takut sangat dengan Allah ‎ﷻ dan amat menjaga dirinya.


 

Ayat 38:  Kesan kejadian itu kepada Nabi Zakaria عليه السلام.

هُنالِكَ دَعا زَكَرِيّا رَبَّهُ ۖ قالَ رَبِّ هَب لي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَميعُ الدُّعاءِ

SAHIH INTERNATIONAL

At that, Zechariah called upon his Lord, saying, “My Lord, grant me from Yourself a good offspring. Indeed, You are the Hearer of supplication.”

MALAY

Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”.

 

هُنالِكَ دَعا زَكَرِيّا رَبَّهُ

Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya,

Apabila melihat karamah yang diberikan kepada Maryam رضي الله عنها, memberi keazaman baru kepada Nabi Zakaria عليه السلام. Baginda berfikir, kalau Maryam رضي الله عنها boleh diberikan oleh Allah ‎ﷻ sebegitu rupa, tentu Allah ‎ﷻ boleh beri kepadanya seorang anak. Ini kerana baginda telah lama teringinkan anak untuk menyambung tugas baginda mengajar kepada umatnya.

Tentu Nabi Zakaria عليه السلام sudah biasa lama berdoa kerana baginda seorang Nabi. Baginda tidak pernah putus asa dalam berdoa. Tapi doa kali ini lain dari kebiasaan baginda. Baginda ambil kesempatan dengan kejadian itu.

Begitulah, apabila kita tengok kejadian Qudrat Allah ‎ﷻ kepada orang lain, ia lebih terkesan di hati kita dan menjadikan doa kita lebih mantap. Kerana pengharapan kita waktu itu paling tinggi. Seorang Nabi pun boleh dapat peringatan daripada orang lain. Bukannya Nabi Zakaria عليه السلام tidak percaya kepada Allah ‎ﷻ boleh memakbulkan doanya, tetapi kejadian yang terjadi kepada Maryam رضي الله عنها itu benar-benar memberi kesan mendalam kepada baginda.

Daripada bahasa yang digunakan, Nabi Zakaria عليه السلام terus berdoa di situ juga. Baginda tidak bertangguh dalam doa baginda. Begitulah, ini mengajar kita adab dan cara berdoa. Apabila kita nampak sesuatu yang memberi kesan kepada jiwa kita, teruslah berdoa. Dalam berdoa, kena pandai cari suasana yang kita rasa kita akan bersungguh-sungguh doa. Ini kerana kita memang selalu berdoa tetapi selalunya ia dalam keadaan sambil lewa.

 

قالَ رَبِّ هَب لي مِن لَدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً

katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; 

Baginda terus berdoa meminta Allah ‎ﷻ mengurniakan anak kepada baginda. Maksud ‘yang baik’ dalam ayat ini adalah ‘yang soleh’.

Dalam Surah Maryam, doa ini lebih panjang lagi. Baginda bukan sahaja meminta diberikan dengan seorang anak, tetapi baginda minta anak yang baik, yang soleh, yang boleh menyambung tugasnya mengajar umat dengan ilmu agama.

Sebenarnya baginda meminta supaya anak itu menjadi Nabi yang akan menggantikannya selepas baginda tiada nanti. Ini telah diceritakan dengan lebih panjang lagi dalam Surah Maryam.

 

إِنَّكَ سَميعُ الدُّعاءِ

sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar doa permohonan”.

Allah ‎ﷻ Maha Mendengar dan boleh memberikan apa sahaja yang diminta oleh makhluk. Tidak sama dengan kita. Kita dengar juga doa orang namun kita tidak boleh berbuat apa-apa.

Maka kalau kita sedar ayat ini, maka kita lebih berharap dalam doa kita. Kerana kita sedar yang apa sahaja yang kita minta kepadaNya, Dia sedang mendengar. Cuma terpulang kepadaNya sama ada hendak memberikan atau tidak.

Allah ﷻ bukan sahaja boleh dengar permintaan kita, tapi Allah ﷻ boleh tunaikan. Kadangkala kita minta kepada orang lain, dia pun boleh dengar permintaan kita, akan tetapi dia mungkin tidak boleh tunaikan. Tapi Allah ﷻ boleh tunaikan.


 

Ayat 39: Allah ﷻ makbulkan doa Nabi Zakaria عليه السلام.

فَنادَتهُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَهُوَ قائِمٌ يُصَلّي فِي المِحرابِ أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحيىٰ مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَسَيِّدًا وَحَصورًا وَنَبِيًّا مِّنَ الصّٰلِحينَ

SAHIH INTERNATIONAL

So the angels called him while he was standing in prayer in the chamber, “Indeed, Allah gives you good tidings of John, confirming a word from Allah and [who will be] honorable, abstaining [from women], and a prophet from among the righteous.”

MALAY

Lalu dia diseru oleh malaikat sedang dia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): “Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh”.

 

فَنادَتهُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَهُوَ قائِمٌ يُصَلّي فِي المِحرابِ

Lalu dia diseru oleh malaikat sedang dia berdiri sembahyang di Mihrab, 

Malaikat terus sampaikan berita gembira kepada baginda (selepas menerima arahan dari Allah) bahawa doa baginda dimakbulkan, dan pemberitahuan itu semasa baginda sedang salat. Baginda sedang salat di mihrab, tempat ibadat. Kita sudah terangkan sebelum ini, ia tempat ‘perang’ seorang manusia dengan nafsunya, dengan syaitan.

Maka maklumat diberikan kepada Nabi Zakaria عليه السلام ketika baginda sedang beribadah. Oleh kerana ada huruf ف dalam perkataan فَنادَتهُ, menunjukkan bahawa jawapan itu terus diberi tanpa lengah. Seumpama, Nabi Zakaria عليه السلام minta, dan terus dijawab.

Nabi Zakaria عليه السلام mendapat jawapan itu semasa baginda sedang salat. Kenapa dimasukkan maklumat yang baginda sedang salat? Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak beritahu bahawa doa dalam salat adalah yang paling baik. Kerana ia dilakukan semasa kita sedang dalam ibadah dan dalam ketaatan kepada Allah ﷻ.

Selalu orang kita hanya doa di luar salat, panjang-panjang doanya. Sedangkan Nabi banyak mengajar sahabat untuk berdoa semasa di dalam salat lagi. Doa itu boleh dilakukan sama ada semasa sujud ataupun di dalam tahiyyat akhir.

 

أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحيىٰ

“Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (seorang anak lelaki bernama) Yahya,

Berita gembira itu adalah Nabi Zakaria عليه السلام akan diberikan dengan seorang anak lelaki yang bernama Yahya (bermaksud: yang hidup). Jadi namanya berkaitan dengan kehidupan.

Nama pun Allah ‎ﷻ telah siap-siap berikan. Nabi Yahya عليه السلام itu tua enam bulan daripada Nabi Isa عليه السلام. Baginda yang akan membantu Nabi Isa عليه السلام dalam dakwah baginda nanti.

 

مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِّنَ اللَّهِ

yang akan membenarkan Kalimat daripada Allah,

Maksudnya baginda akan membenarkan ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa عليه السلام. Ini kerana ‘Kalimat daripada Allah’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Isa عليه السلام. Kerana kejadian Nabi Isa عليه السلام luar biasa, Allah ﷻ sebut kalimat ‘kun fayakun’, dan Nabi Isa عليه السلام tercipta tanpa keperluan kepada seorang bapa.

Oleh itu Nabi Yahya عليه السلام juga akan beriman dengan Nabi Isa عليه السلام juga. Tugasnya adalah untuk membantu Nabi Isa عليه السلام dalam dakwah menegakkan Islam. Sampaikan akhirnya baginda dibunuh dalam dakwah baginda.

 

وَسَيِّدًا وَحَصورًا

dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri,

Maksudnya baginda akan menjadi pemimpin. Ketua dari segi agama. Maksudnya, orang akan mengenalinya kerana kehebatan  yang ada pada diri baginda.

Perkataan حَصورًا bermaksud ‘boleh jaga nafsu’. Maknanya baginda tidak berminat langsung kepada wanita. Kalau kita manusia biasa, alim dan warak macam mana pun, kalau ada perempuan yang lalu di hadapan kita, kita akan lihat juga, bukan? Kerana ini adalah naluri seorang lelaki.

Namun Nabi Yahya عليه السلام tidak pandang pun. Baginda dikatakan tidak berkahwin pun. Ini adalah kelebihan yang diberikan kepada Nabi Yahya عليه السلام. Tapi tidaklah kita perlu ikut sunnah ini pula. Kerana kita memang Allah ﷻ telah berikan nafsu yang sihat, jadi tidak perlu nak tahan-tahan pula.

 

وَنَبِيًّا مِّنَ الصّٰلِحينَ

dan akan menjadi seorang Nabi dari kalangan orang-orang yang soleh”.

Nabi Zakaria عليه السلام diberitahu yang anaknya itu akan menjadi Nabi dan baginda akan menjadi anak yang soleh (tapi soleh kategori dan darjat Nabi), bukan soleh manusia biasa. Memang Nabi Zakaria عليه السلام mahukan anak yang dapat meneruskan pengajaran agama di kalangan masyarakatnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Mac 2021

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar, Hamka

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s