Hadits Arbain #38: (Hadis 40 Imam Nawawi) Menjadi Wali Allah dengan Amalan Wajib dan Sunnah

Hadits Arbain #38: (Hadis 40 Imam Nawawi) Menjadi Wali Allah dengan Amalan Wajib dan Sunat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ : إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ: مَنْ عَادَى لِي وَلِيّاً فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالحَرْبِ. وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ. وَمَا يَزَالُ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا. وَلَئِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيْذَنَّهُ.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah shallallahu ‘slaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman, ‘Barangsiapa yang menyakiti waliku, maka Aku mengumumkan perang kepadanya. Tidaklah hamba-Ku mendekat kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain apa yang Aku wajibkan baginya. Hamba-Ku senantiasa mendekat diri kepada-Ku dengan amalan sunnah sehingga Aku mencintainya. Apabila aku telah mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang dia gunakan untuk berbuat, dan kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepadaKu, pasti Aku beri. Jika dia meminta perlindungan kepada-Ku pasti Aku lindungi.’”

[Sahih Bukhari, no. 6502]


 

Ini adalah satu lagi Hadis Qudsi. Hadis Qudsi (dari segi bahasa bermaksud suci atau bersih) ialah hadis yang maksud dan isinya adalah daripada Allah, manakala lafaz dan penyampaian perkataannya adalah daripada Rasulullah.


 

Penjelasan مَنْ عَادَى لِي وَلِيّاً فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالحَرْبِ (Barangsiapa yang menyakiti waliKu, maka Aku mengumumkan perang kepadanya)

Apakah maksud Wali (jama’ awliya’)? Wali dalam bahasa Arab ada banyak maksud. Wali boleh jadi pelindung, penjaga. Ini seperti firman Allah di dalam Baqarah:257

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا
Allah Pelindung orang-orang yang beriman

Selain itu ia juga boleh bermaksud teman rapat, teman setia, atau sahabat karib. Ini seperti firman Allah di dalam Maidah:51

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذُوا اليَهودَ وَالنَّصٰرىٰ أَولِياءَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi teman rapat;

Wali juga bermaksud pemerintah. Ini seperti firman Allah di dalam Maidah:57,

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذُوا الَّذينَ اتَّخَذوا دينَكُم هُزُوًا وَلَعِبًا مِّنَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ مِن قَبلِكُم وَالكُفّارَ أَولِياءَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil jadi pemimpinmu, orang-orang yang membuat agamamu jadi buah ejekan dan permainan, (iaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelummu, dan orang-orang yang kafir (orang-orang musyrik).

Tapi apakah maksud ‘wali’ yang digunakan di dalam hadis ini? Maksud yang digunakan ialah ‘yang menjaga’. Iaitu Wali yang menjaga perintah-perintah Allah dan hak-hakNya. Ini seperti yang kita pernah bincangkan sebelum ini di dalam Hadis #19,

عَنْ أَبِي العَبَّاسِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُمَا قَالَ كُنْتُ: خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْماً فَقَالَ لِي: (( يَا غُلاَمُ! إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، اِحْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ
Wahai anak muda! Sesungguhnya aku akan mengajarkan beberapa kalimat kepadamu. Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu. Jika engkau mahu meminta, mintalah kepada Allah. Jika engkau mahu meminta pertolongan, mintalah kepada Allah.

(Jami’ Tirmidzi, no 2516. Hasan menurut Darussalam).

Maksudnya menjaga di dalam hadis ini adalah menjaga hubungan dengan Allah, jaga perintah Allah dengan melaksanakannya. Dan ia juga mengambil maksud wali yang menjadi ‘teman rapat’. Maksudnya apabila seseorang itu sudah jaga perintah Allah, maka dia akan jadi teman rapat kepada Allah.

Tetapi apakah hakikat wali? Allah menjelaskan tentang para wali ini di dalam Yunus:62-63,

أَلَآ إِنَّ أَولِيَآءَ ٱللَّهِ لَا خَوفٌ عَلَيهِم وَلَا هُم يَحزَنُونَ (٦٢) ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَڪَانُواْ يَتَّقُونَ (٦٣)
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (62) (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. (63)

Rasulullah ada menyebut ayat ini tentang mereka,

إِنَّ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ عِبَادًا يَغْبِطُهُمُ الأَنْبِيَاءُ وَالشُّهَدَاءُ. قِيلَ: مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ لَعَلَّنَا نُحِبُّهُمْ. قَالَ: هُمْ قَوْمٌ تَحَابُّوا فِي اللَّهِ مِنْ غَيْرِ أَمْوَالٍ وَلاَ أَنْسَابٍ، وُجُوهُهُمْ نُورٌ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ، لاَ يَخَافُونَ إِذَا خَافَ النَّاسُ، وَلاَ يَحْزَنُونَ إِذَا حَزَنَ النَّاسُ، ثُمَّ تَلاَ: ﴿أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
“Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah ada orang-orang yang dicemburui oleh para Nabi dan para syuhada.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah? Agar kami dapat mencintai mereka.”Baginda menjawab: “Mereka adalah kaum yang saling mencintai kerana Allah bukan kerana hubungan harta mahupun pertalian nasab/keturunan. Wajah-wajah mereka dipenuhi cahaya di atas mimbar-mimbar dari cahaya. Mereka tidak merasa takut ketika orang lain merasa takut, dan mereka tidak merasa sedih ketika orang lain merasa sedih.”Kemudian Rasulullah ﷺ membaca ayat:أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ “Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada ketakutan ke atas mereka dan tidak pula mereka berduka cita.” (Surah Yunus: 62)

Sunan Abi Daud (Hadis No. 3527); Sunan An-Nasa’i; Musnad Ahmad (Hadis No. 22995). Status hadis ini dinilai Sahih atau Hasan oleh ramai ulama hadis, termasuk Sheikh Al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Daud.

Perhatikan di dalam hadis ini disebut sifat mereka yang mencintai sesama orang mukmin kerana Allah. Mereka sayang dan mencintai wali Allah, tidak memusuhi mereka dan menyakiti hati mereka. Maka ini juga menjadi satu lagi sifat para Wali Allah itu.

 

Dan siapakah dia wali yang tertinggi sekali? Tak lain tak bukan, mestilah para Nabi. Di dalam akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, terdapat ijmak (kesepakatan bulat para ulama) bahawa darjat kenabian jauh lebih tinggi daripada darjat kewalian orang biasa yang bukan Nabi. Setiap Nabi dan Rasul secara automatiknya ialah Wali Allah, malah mereka adalah pimpinan tertinggi para wali. Kebenaran ini disandarkan kepada dalil Al-Qur’an, Hadis, dan logik akal. Allah telah berfirman di dalam Nisa’:69 akan hierarki ini,

وَمَن يُطِعِ اللَهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللَهُ عَلَيهِم مِّنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّٰلِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Hujjah: Ayat ini menyusun kedudukan manusia mengikut darjat kemuliaan. Para Nabi menduduki tangga teratas, diikuti oleh golongan shiddiqin, syuhada, dan solihin (di mana para wali yang bukan nabi berada dalam kategori shiddiqin dan solihin). Oleh itu pertama sekali orang ahli sunnah kena tanam dalam imannya bahawa wali yang tertinggi itu semestinya para Nabi. Selepas Para Nabi, wali yang paling tinggi adalah Para Sahabat رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُمْ. Ini seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali. Para sahabat Nabi terutamanya generasi awal seperti Khulafa al-Rasyidin, Muhajirin, dan Ansar, adalah golongan wali Allah yang paling afdal (utama) selepas para Nabi. Di dalam akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, keimanan, ketakwaan, dan kesetiaan mereka kepada Rasulullah ﷺ telah mengangkat darjat mereka sebagai para kekasih dan pelindung (awliya’) agama Allah.

Syarat utama untuk menjadi wali Allah ialah iman dan takwa yang mendalam sehingga mendapat keredaan-Nya. Allah telah mengisytiharkan keredaan yang mutlak ini kepada para sahabat di dalam Tawbah:100

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ…
“Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka dengan kebaikan, Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia…”

Tapi mungkin ada yang kehairanan kerana tidak pernah dengar tentang karamah para sahabat. Tak dengar pun mereka ada kuasa luar biasa, atau buat sesuatu yang di luar kebiasaan. Ini kerana orang kita ada satu fahaman salah iaitu para wali ada kuasa magis macam boleh terbang, boleh menjelma di dua tempat dalam satu masa, boleh isi minyak kereta pakai air paip dan sebagainya. Jadi pada mereka, para sahabat itu macam orang biasa sahaja kerana tidak buat benda-benda yang sakti.

Untuk membetulkan salah faham inilah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah menyebutkan kaedah yang sangat masyhur dalam kitab-kitab beliau:

أَعْظَمُ الْكَرَامَةِ لُزُومُ الإِسْتِقَامَةِ
“Sebesar-besar karamah ialah sentiasa melazimi istiqamah (iaitu ketaatan kepada Allah).”

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah menjelaskan bahawa karamah seorang wali Allah bukanlah terletak pada perkara ajaib atau kejadian di luar kebiasaan semata-mata (seperti boleh terbang, berjalan di atas air, atau perkara ghaib). Hakikat karamah yang sebenar dan paling tinggi yang dianugerahkan oleh Allah ialah apabila seseorang itu diberi taufik untuk tetap beriman, bertakwa, dan terus istiqamah taat kepada Allah sehingga ke akhir hayatnya.

Beliau menekankan perkara ini kerana ramai orang terpedaya menganggap perkara aneh/ajaib sebagai bukti kewalian, sedangkan tukang sihir dan pengikut syaitan juga boleh melakukan hal luar biasa. Penentu utama sama ada seseorang itu Wali Allah atau tidak ialah sejauh mana dia mengikut Al-Qur’an, As-Sunnah, dan taat kepada perintah Allah.

Perkataan Imam Al-Laith bin Sa’ad (dan disepakati serta dipopularkan lagi oleh Imam Asy-Syafi’i) merupakan kaedah asas yang sangat penting dalam manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah untuk menilai kedudukan seseorang, terutamanya apabila melibatkan perkara-perkara luar biasa (khariqul ‘adah). Diriwayatkan bahawa Imam Asy-Syafi’i R.H. pernah mendengar kenyataan daripada Imam Al-Laith bin Sa’ad R.H., lalu beliau mengukuhkan dan menambahnya:

قَالَ اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ: لَوْ رَأَيْتُ صَاحِبَ هَوَى يَمْشِي عَلَى الْمَاءِ مَا قَبِلْتُهُ
فَقَالَ الشَّافِعِيُّ: لَقَدْ قَصَّرَ اللَّيْثُ! لَوْ رَأَيْتُهُ يَمْشِي فِي الْهَوَاءِ مَا قَبِلْتُهُ حَتَّى أَعْرِضَ أَمْرَهُ عَلَى الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ
“Al-Laith bin Sa’ad berkata: ‘Jika aku melihat seorang pengikut hawa nafsu (ahli bid’ah/kesesatan) berjalan di atas air, aku tidak akan mencatatkan/menerimanya.’
Maka Imam Asy-Syafi’i menyakini: ‘Al-Laith masih bersederhana! Walaupun aku melihatnya terbang di udara, aku tidak akan mencatatkan/menerimanya sehinggalah aku menimbang seluruh perbuatannya dengan Al-Kitab (Al-Qur’an) dan As-Sunnah.'”

Ibn Hajar kata apa yang hendak dihairankan kalau boleh terbang, kerana syaitan pun boleh terbang! Sepatutnya penjelasan Ibn Taimiyyah, Imam Al-Laith, Imam Syafi’i dan Ibn Hajar ini telah memberi pemahaman baru kepada kita tentang karamah wali ini. Kerana karamah itu dari segi bahasa maksudnya kemuliaan, penghormatan, atau kemurahan. Jadi antara karamah para wali adalah dia boleh sembahyang saf pertama selama 10 tahun tanpa ketinggalan. Ini seperti kisah Ibnu Syihab Az-Zuhri (salah seorang ulama Tabiiin dan perawi hadis terkemuka) pernah berkata:

“Aku tidak pernah tertinggal solat berjemaah sejak empat puluh tahun, melainkan hanya satu kali sahaja iaitu apabila anakku meninggal dunia. Namun begitu, aku menggantikan (qada) solat tersebut sebanyak dua puluh lima kali.”

Ini adalah karamah jenis maknawi. Iaitu Allah beri mereka kemampuan beramal ibadah dengan istiqamah. Itulah kita dengar orang yang boleh baca Al-Qur’an 5 juzuk atau 10 juzuk setiap hari. Kadangkala kita lihat pakcik-pakcik yang pergi solat berjemaah di masjid walaupun mereka sudah tua dan ada berbagai penyakit. Kita yang sihat ini pun belum tentu lagi, bukan?

Tapi itu bukanlah tidak bermakna para sahabat dan wali-wali yang lain itu tidak ada karamah hissi (yang boleh dilihat dengan mata). Ini seperti kisah seorang sahabat yang bernama Usaid bin Hudhair yang didatangi para malaikat ketika beliau membaca surah Baqarah,

عَنْ أُسَيْدِ بْنِ حُضَيْرٍ، قَالَ: بَيْنَمَا هُوَ يَقْرَأُ مِنَ اللَّيْلِ سُورَةَ الْبَقَرَةِ، وَفَرَسُهُ مَرْبُوطٌ عِنْدَهُ، إِذْ جَالَتِ الْفَرَسُ فَسَكَتَ فَسَكَنَتْ، فَقَرَأَ فَجَالَتِ الْفَرَسُ، فَسَكَتَ وَسَكَنَتِ الْفَرَسُ، ثُمَّ قَرَأَ فَجَالَتِ الْفَرَسُ، فَانْصَرَفَ وَكَانَ ابْنُهُ يَحْيَى قَرِيبًا مِنْهَا، فَأَشْفَقَ أَنْ تُصِيبَهُ، فَلَمَّا إِخْتَذَلَهَا رَأَى أَنَّهُ رَفَعَ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ حَتَّى مَا يَرَاهَا، فَلَمَّا أَصْبَحَ حَدَّثَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: اقْرَأْ ابْنَ حُضَيْرٍ، اقْرَأْ ابْنَ حُضَيْرٍ. قَالَ: فَأَشْفَقْتُ يَا رَسُولَ اللهِ أَنْ تَطَأَ يَحْيَى، وَكَانَ مِنْهَا قَرِيبًا، فَرَفَعْتُ رَأْسِي فَانْصَرَفْتُ إِلَيْهِ، فَرَفَعْتُ رَأْسِي إِلَى السَّمَاءِ، فَإِذَا مِثْلُ الظُّلَّةِ فِيهَا أَمْثَالُ الْمَصَابِيحِ، فَخَرَجَتْ حَتَّى لاَ أَرَاهَا، قَالَ: وَتَدْرِي مَا ذَاكَ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: تِلْكَمُ الْمَلاَئِكَةُ دَنَتْ لِصَوْتِكِ، وَلَوْ قَرَأْتَ لأَصْبَحَتْ يَنْظُرُ النَّاسُ إِلَيْهَا لاَ تَسْتَتِرُ مِنْهُمْ
Daripada Usaid bin Hudhair, beliau menceritakan bahawa ketika beliau sedang membaca Surah Al-Baqarah pada suatu malam, sedangkan kudanya diikat di sisinya, tiba-tiba kuda itu melompat-lompat (gelisah). Lalu Usaid diam (berhenti membaca), dan kuda itu pun tenang. Kemudian beliau membaca lagi, dan kuda itu melompat-lompat kembali. Beliau diam lagi, dan kuda itu kembali tenang. Beliau kemudian membaca sekali lagi, dan kuda itu melompat-lompat lagi. Maka Usaid pun beranjak (berhenti membaca). Ketika itu anak beliau, Yahya, berada berhampiran dengan kuda tersebut dan beliau bimbang kuda itu akan memijak anaknya. Apabila beliau menarik anaknya menjauhi kuda itu, beliau mengangkat kepalanya ke langit sehingga beliau tidak lagi melihatnya (naungan cahaya itu). Keesokan harinya, beliau menceritakan peristiwa tersebut kepada Nabi SAW. Lantas Baginda SAW bersabda: “Bacalah wahai Ibn Hudhair! Bacalah wahai Ibn Hudhair!” Usaid menjawab: “Wahai Rasulullah, aku bimbang kuda itu akan memijak Yahya yang berada berdekatannya. Maka aku mengangkat kepalaku dan pergi mendapatkan anakku. Lalu aku mendongakkan kepalaku ke langit, tiba-tiba aku melihat seumpama naungan awan yang di dalamnya ada cahaya menyerupai pelita-pelita. Lalu cahaya itu naik beransur-ansur ke udara sehingga aku tidak dapat melihatnya lagi.” Nabi SAW bersabda: “Tahukah engkau apakah itu?” Usaid menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda: “Itulah para malaikat yang mendekat kerana mendengar suaramu. Sekiranya engkau meneruskan bacaanmu, nescaya pada waktu subuh orang ramai dapat melihat malaikat-malaikat itu secara terang-terangan tanpa tersembunyi daripada pandangan mereka.”

(Sahih Muslim, Hadis No. 796)

Dan kita pun mungkin sudah pernah dengar kisah Saidina Umar memberi arahan kepada bala tenteranya yang sedang berperang walaupun beliau ketika itu ada di Madinah.

عَنْ نَافِعٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: بَعَثَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ جَيْشًا وَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ رَجُلًا يُقَالُ لَهُ سَارِيَةُ، فَبَيْنَمَا عُمَرُ يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَعَجَّ فِي أَثْنَاءِ خُطْبَتِهِ: يَا سَارِيَةُ، الْجَبَلَ، يَا سَارِيَةُ، الْجَبَلَ! فَقَدِمَ رَسُولُ الْجَيْشِ فَسَأَلَهُ عُمَرُ، فَقَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، لَقِينَا عَدُوَّنَا فَهَزَمُونَا، فَبَيْنَمَا نَحْنُ كَذَلِكَ إِذْ سَمِعْنَا صَارِخًا يَصْرُخُ: يَا سَارِيَةُ، الْجَبَلَ، يَا سَارِيَةُ، الْجَبَلَ! فَأَسْنَدْنَا ظُهُورَنَا إِلَى الْجَبَلِ، فَهَزَمَهُمُ اللَّهُ
Daripada Nafi’, daripada Ibn Umar RA, beliau menceritakan: Umar bin al-Khattab telah menghantar satu pasukan tentera dan melantik seorang lelaki bernama Sariyah sebagai panglimanya. Pada suatu hari Jumaat ketika Umar sedang menyampaikan khutbah, tiba-tiba di tengah-tengah khutbahnya beliau menjerit dengan suara yang nyaring: “Wahai Sariyah, bukit itu! Wahai Sariyah, bukit itu!” Selang beberapa ketika, utusan dari pasukan tentera itu tiba lalu Umar bertanyakan kepadanya tentang keadaan peperangan. Utusan itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, kami telah bertembung dengan musuh dan mereka hampir menewaskan kami. Dalam keadaan sedemikian, tiba-tiba kami mendengar suara seseorang melaungkan dengan kuat: ‘Wahai Sariyah, bukit itu! Wahai Sariyah, bukit itu!’ Lalu kami segera menyandarkan belakang kami ke arah bukit tersebut (memenangi kedudukan strategik), sehinggalah Allah menewaskan musuh-musuh kami.”

(Diriwayatkan oleh Al-Baihaki dalam Dalail an-Nubuwwah [No. 2655] dan Al-Lalaka’i dalam I’tiqad Ahl as-Sunnah; dinilai Hasan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani)

Dan pernah ada satu peristiwa Khalid al Walid minum racun tapi tidak memberi kesan kepada beliau,

عَنْ أَبِي سَفَرٍ قَالَ: نَزَلَ خَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ الْحِيرَةَ، فَقَالُوا لَهُ: احْذَرِ السَّمَّ لاَ تَسْقِكَ الرُّومُ، فَقَالَ: ائْتُونِي بِهِ، فَأُتِيَ بِهِ فَأَخَذَهُ بِيَدِهِ ثُمَّ قَالَ: بِسْمِ اللهِ، وَشَرِبَهُ فَلَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ
Daripada Abu Safar, beliau menceritakan: Khalid bin al-Walid telah singgah di Al-Hirah (Iraq), lalu penduduk di situ berkata kepadanya: “Berhati-hatilah dengan racun, jangan sampai orang-orang Rom memberi engkau minum racun.” Lantas Khalid berkata: “Bawakan racun itu kepadaku.” Maka racun itu dibawakan kepadanya, lalu beliau mengambilnya dengan tangannya dan membaca: “Bismillah (Dengan nama Allah),” kemudian beliau meminumnya dan racun tersebut langsung tidak memudaratkannya sedikit pun.

(Diriwayatkan oleh Abu Ya’la dalam Musnad [No. 7188], Al-Baihaki dalam Dalail an-Nubuwwah [No. 2489], dan Al-Lalaka’i; dinilai Sahih oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Al-Isabah)

Satu lagi kisah dari banyak kisah-kisah yang lain,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَجُلَيْنِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (عَبَّادَ بْنَ بِشْرٍ، وَأُسَيْدَ بْنَ حُضَيْرٍ) خَرَجَا مِنْ عِنْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي لَيْلَةٍ مُظْلِمَةٍ، وَمَعَهُمَا مِثْلُ الْمَصَابِيحِ بَيْنَ أَيْدِيهِمَا، فَلَمَّا افْتَرَقَا فَتَفَرَّقَتْ مَعَهُمَا حَتَّى أَتَى كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا أَهْلَهُ
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: Bahawa dua orang sahabat Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (iaitu ‘Abbad bin Bishr dan Usaid bin Hudhair) telah keluar dari kediaman Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ pada suatu malam yang sangat gelap gelita. Tiba-tiba di hadapan mereka terdapat cahaya seolah-olah pelita yang menerangi jalan (yang keluar daripada tongkat mereka). Apabila mereka berdua berpisah di persimpangan jalan, cahaya tersebut turut terbahagi dua mengikut setiap seorang daripada mereka, sehinggalah masing-masing selamat sampai ke rumah keluarga mereka.

(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Hadis No. 465 & 3805)

Begitulah karamah-karamah yang Allah berikan kepada mereka yang taat kepadaNya. Akan tetapi ulama muktabar seperti Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah menegaskan bahawa Karamah Ma’nawi (keistiqamahan dalam ketaatan) adalah jauh lebih mulia dan tinggi darjatnya berbanding sekadar memiliki kesaktian atau perkara ajaib fizikal.

Di dalam hadith ini Rasulullah sebut barangsiapa yang memusuhi wali Allah. Dan antara cara memusuhi mereka adalah dengan menyakiti hati wali Allah itu, maka balasannya Allah mengumumkan perang kepadanya! Maksudnya siapa yang tak suka wali, tak suka para Nabi, tak suka para malaikat, tak suka para orang soleh, tak suka para imam, maka orang itu Allah isytihar perang kepadanya! Dan apabila Allah memerangi mereka, mereka pasti kalah. Kerana Allah telah berfirman di dalam Maidah:55-56,

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُم رٰكِعُونَ (٥٥) وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلغَـٰلِبُونَ (٥٦)
Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). (55) Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulNya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya, kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang. (56) 

Ini adalah dalil bagi konsep Al-Wala’ wal-Bara’ (الوَلاَءُ وَالْبَرَاءُ) merupakan salah satu konsep akidah yang penting dalam Islam, yang secara ringkasnya bermaksud kesetiaan dan pelepasan diri. Cinta dan benci kerana Allah. Kita kena cinta apa yang Allah cintai seperti wali-Nya. Maka kita pun cinta wali Allah dan membenci orang yang memusuhi wali-Nya. Kerana orang yang memusuhi wali-Nya maka Allah juga bermusuh kepadanya.

Al-Wala’ (الوَلاَءُ): Dari segi bahasa bermaksud kesetiaan, kasih sayang, pertolongan, dan pembelaan. Dari sudut syarak, ia bermaksud menunjukkan kasih sayang, kecintaan, pertolongan, dan kesetiaan kepada Allah, Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman.

Al-Bara’ (الْبَرَاءُ): Dari segi bahasa bermaksud pelepasan diri, pemutusan, atau kebencian. Dari sudut syarak, ia bermaksud berlepas diri, membenci, dan menolak kekufuran, syirik, serta kesesatan, termasuk berlepas diri daripada musuh-musuh Allah yang memusuhi Islam.

Dalilnya Allah telah sebut di dalam Baqarah:97-98,

قُل مَن كَانَ عَدُوًّا لِّجِبرِيلَ فَإِنَّهُ ۥ نَزَّلَهُ ۥ عَلَىٰ قَلبِكَ بِإِذنِ ٱللَّهِ مُصَدِّقًا لِّمَا بَينَ يَدَيهِ وَهُدًى وَبُشرَىٰ لِلمُؤمِنِينَ (٩٧) مَن كَانَ عَدُوًّا لِّلَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتِهِۦ وَرُسُلِهِۦ وَجِبرِيلَ وَمِيكَٮٰلَ فَإِنَّ ٱللَّهَ عَدُوٌّ لِّلكَـٰفِرِينَ (٩٨)
Katakanlah (wahai Muhammad): Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman. (97) Sesiapa yang memusuhi Allah dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir. (98)

Sebab itu kita berhati-hati apabila bercakap tentang para sahabat dan ulama’. Jangan kita menghina ulama’ seperti Imam Ahmad dan imam-imam yang lain, begitu juga ulama’ seperti Syeikh Al-Bani. Kita sebut kerana ada yang kata beliau itu hanya tukang jam sahaja, kerana hendak memperlekeh beliau. Sedangkan beliau telah memberi khidmat dalam agamanya, terutama berkenaan hadith Nabi, dan kematiannya di atas sunnah, ketika memperjuangkan sunnah. Semoga umat Islam tidaklah memusuhinya dan menghinanya.

Kerana kalau kena memusuhinya auliya’ Allah, maksudnya tidak ada jalan taubat kerana Allah isytihar perang terhadap mereka yang memusuhi auliya’ Allah. Kita risau melihat golongan yang menghina dan merendahkan para alim dalam gerakan Sunnah. Kalau tidak setuju pun, berilah hujah ilmiah, jangan menghina dengan mengeluarkan kata-kata yang huduh terhadap mereka. Biasa sahaja jikalau berbeza pendapat. Kita lawan dengan hujah, bukan dengan kata-kata nista.

Bagaimana kalau kita nampak orang yang jelas menentang Sunnah Rasulullah? Adakah kita perlu bersangka baik dengan mereka? Entah-entah dalam hati mereka baik? Tidak perlu, kerana kita menilai manusia berdasarkan zahir mereka. Kalau mereka menzahirkan kecintaan kepada Sunnah, maka kita zahirkan kecintaan kepadanya. Barangsiapa yang zahirkan kebencian terhadap Sunnah, maka kita zahirkan kebencian terhadapnya. Kita pegang kata-kata Saidina Umar Al-Khattab,

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ قَالَ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ: إِنَّ أُنَاسًا كَانُوا يُؤْخَذُونَ بِالْوَحْيِ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَإِنَّ الْوَحْيَ قَدِ انْقَطَعَ، وَإِنَّمَا نَأْخُذُكُمُ الآنَ بِمَا ظَهَرَ لَنَا مِنْ أَعْمَالِكُمْ، فَمَنْ أَظْهَرَ لَنَا خَيْرًا أَمِنَّاهُ وَقَرَّبْنَاهُ، وَلَيْسَ إِلَيْنَا مِنْ سَرِيرَتِهِ شَيْءٌ، اللَّهُ يُحَاسِبُهُ فِي سَرِيرَتِهِ، وَمَنْ أَظْهَرَ لَنَا سُوءًا لَمْ نَأْمَنْهُ وَلَمْ نُصَدِّقْهُ، وَإِنْ قَالَ إِنَّ سَرِيرَتَهُ حَسَنَةٌ
Daripada ‘Abdurrahman bin ‘Abd al-Qari, beliau berkata: Aku mendengar Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ berkata: “Sesungguhnya manusia dahulu dihakimi berdasarkan wahyu pada zaman Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, dan sesungguhnya wahyu itu telah terputus. Maka kami hanya menghakimi kamu sekarang berdasarkan apa yang zahir kepada kami daripada amalan kamu. Barang siapa yang menzahirkan kebaikan kepada kami, maka kami berikan keamanan kepadanya dan kami dekatkan dia, manakala niat hatinya bukan urusan kami kerana Allah yang akan menghisab hatinya. Dan barang siapa yang menzahirkan kejahatan kepada kami, maka kami tidak akan memberinya keamanan dan tidak akan membenarkannya, walaupun dia mendakwa bahawa niat hatinya adalah baik.”

(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Hadis No. 2641)

Maka ancaman dari Allah akan siapa yang menentang atau menghina waliNya adalah perang dariNya. Ini kerana membenci dan memerangi wali Allah adalah seperti membenci Allah! Maka kalau Allah sudah isytihar perang, siapa lagi yang boleh membantunya? Allah berfirman di dalam Ali Imran:160

إِن يَنصُركُمُ اللَّهُ فَلا غالِبَ لَكُم ۖ وَإِن يَخذُلكُم فَمَن ذَا الَّذي يَنصُرُكُم مِّن بَعدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Dia meninggalkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

Di dalam masa yang sama, kita kena tunjuk benci kepada musuh Allah, yang menentang syariat dan ajaran Allah dan RasulNya. Allah telah berfirman di dalam Mumtahanah:1

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا عَدُوّي وَعَدُوَّكُم أَولِياءَ تُلقونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ وَقَد كَفَروا بِما جاءَكُم مِّنَ الحَقِّ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah engkar kepada kebenaran yang datang kepadamu


 

Penjelasan: وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ (Tidaklah hamba-Ku mendekat kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain apa yang Aku wajibkan baginya)

Mungkin setelah membaca hadis dan kisah-kisah ini ada yang bertanya: “Macam mana nak jadi wali, Ustaz?” Maka ketahuilah yang hadith ini mengajar kaedah untuk menjadi wali.

Soalan: Adakah menjadi wali dengan bertapa di dalam gua? Naik ke Gunung Jerai, bertapa di Gunung Jerai, 3 hari 3 malam, 7 hari 7 malam? Adakah dengan membaca Amalan Bismillah 786 kali? Tentulah tidak. Itu amalan mengarut sahaja dan tidak diajar oleh Nabi Muhammad langsung. Perhatikan apakah yang Allah sebut di dalam Hadis Qudsi ini.

Wali Allah adalah hamba yang rapat dengan Allah. Maka hendaklah beramal dengan amalan yang boleh mendekatkan diri denganNya. Allah kata tidak ada amalan yang lebih dicintaiNya melebihi Amalan Fardhu. Maka ini mengajar kita yang kalau hendak jadi wali, buat perkara yang wajib. Contohnya Solat Berjemaah di masjid kenalah dijaga. Ini lebih penting dari menjaga Solat Sunat Subuh, contohnya. Rasulullah bersabda tentang kelebihan Solat Qabliyah ini,

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
“Dua rakaat (solat sunat) Fajr itu adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya.”

(Hadis riwayat Muslim, No. 725)

Kalau solat sunat pun begitu, apatah lagi solat fardhu? Tentu berlebih-lebih lagi! Begitu juga sedekah. Ia sangat baik dan banyak ganjaran disebut. Akan tetapi ia tidak lebih dari kewajipan zakat. Jangan sedekah banyak, tapi culas dalam bab zakat. Sama juga dalam memberi nafkah. Kena dahulukan nafkah kepada orang yang di bawah tanggungan kita sebelum orang lain. Dan kena jaga amalan-amalan wajib yang lain. Dan bukan sahaja buat yang wajib sahaja tapi meninggalkan juga yang haram. Kerana meninggalkan yang haram adalah termasuk wajib juga.

Ini juga menjadi dalil bahawa pahala bagi amalan fardhu itu lebih besar dari amalan sunat. Maka jangan kita buat amalan sunat, tapi tertinggal amalan fardhu pula.

Satu nama yang selalu disebut-sebut orang kita adalah Uwais al-Qarni. Ia ada disebut di dalam hadis,

Umar berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِي عَلَيْكُمْ أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ مَعَ أَمْدَادِ أَهْلِ الْيَمَنِ، مِنْ مُرَادٍ ثُمَّ مِنْ قَرَنٍ، كَانَ بِهِ بَرَصٌ فَبَرَأَ مِنْهُ إِلاَّ مَوْضِعَ دِرْهَمٍ، لَهُ وَالِدَةٌ هُوَ بِهَا بَرٌّ، لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لأَبَرَّهُ، فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ
“Akan datang kepada kamu seorang lelaki bernama Uwais bin ‘Amir bersama-sama pasukan bantuan tentera dari Yaman. Beliau daripada kabilah Murad, kemudian daripada cabang Qaran. Dia pernah menderita penyakit sopak lalu sembuh daripadanya kecuali sekadar tempat seluas dirham. Dia mempunyai seorang ibu dan dia sangat berbakti kepada ibunya. Sekiranya dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan memperkenankan sumpahnya. Oleh itu, jika engkau mampu meminta dia memohonkan keampunan (berdoa) untukmu, maka lakukanlah.”

Sahih Muslim No. 2542

Jadi siapakah Uwais ini? Uwais al-Qarni (أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ الْقَرَنِيُّ) ialah seorang tokoh pemuda soleh dari Yaman yang hidup pada zaman Nabi Muhammad. Walaupun beliau hidup sezaman dengan Rasulullah, beliau tergolong dalam kalangan Tabi’in terbaik (bukan sahabat) kerana beliau tidak pernah bertemu secara fizikal dengan Nabi. Di sebalik kehidupan dunianya yang sangat serba kekurangan, beliau mendapat gelaran terasing sebagai “Pemuda yang Tidak Terkenal di Bumi, Namun Sangat Terkenal di Langit”.

Begitu hebatnya beliau sampaikan doanya makbul. Itulah karamah beliau. Jadi beliau ini adalah wali. Tapi apakah amalan beliau? Kemuliaan Uwais al-Qarni di sisi Allah sehingga doanya sangat makbul berpunca daripada ketaatan dan keikhlasannya dalam berbakti serta menjaga ibunya. Dan apakah hukum menjaga ibu? Bukankah ia wajib? Maka itulah yang dijaga oleh Uwais.

Ada satu lagi hadis yang menceritakan seorang sahabat yang bertanya kepada Nabi dan akhirnya Nabi kata dia boleh masuk syurga,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: نُهِينَا أَنْ نَسْأَلَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ شَيْءٍ، فَكَانَ يُعْجِبُنَا أَنْ يَأْتِيَ الرَّجُلُ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ الْعَاقِلُ فَيَسْأَلَهُ وَنَحْنُ نَسْمَعُ… فَقَالَ (ضِمَامٌ): أَتَانَا رَسُولُكَ فَزَعَمَ لَنَا أَنَّكَ تَزْعُمُ أَنَّ اللهَ أَرْسَلَكَ… قَالَ: فَنَشَدْتُكَ بِاللَّهِ، آللَّهُ أَمَرَكَ أَنْ نُصَلِّيَ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ فِي يَوْمِنَا وَلَيْلَتِنَا؟ قَالَ: اللَّهُمَّ نَعَمْ… (وَذَكَرَ الزَّكَاةَ، وَالصِّيَامَ، وَالْحَجَّ)… فَلَمَّا قَضَى مَسْأَلَتَهُ انْصَرَفَ وَهُوَ يَقُولُ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ، لاَ أَزِيدُ عَلَيْهِنَّ شَيْئًا وَلاَ أَنْقُصُ مِنْهُنَّ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَئِنْ صَدَقَ لَيَدْخُلَنَّ الْجَنَّةَ
Daripada Anas bin Malik RA, beliau menceritakan: “Kami dilarang (dalam Al-Qur’an) daripada bertanyakan perkara yang tidak perlu kepada Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. Oleh itu, kami amat gembira apabila ada seorang lelaki badwi yang berakal datang dan bertanya kepada Baginda sedangkan kami mendengarnya…” Lalu datanglah Dimam bin Tha’labah (dari Bani Sa’ad bin Bakr) dan bertanya kepada Nabi SAW: “Utusanmu telah datang kepada kami dan mendakwa engkau mengaku bahawa Allah telah mengutusmu…” Beliau bertanya secara berturut-turut dengan bersumpah atas nama Allah tentang kewajipan solat lima waktu, zakat, puasa Ramadan, dan haji. Setiap kali beliau bertanya, Nabi SAW menjawab: “Ya, benar.” Setelah selesai bertanyakan semua soalan itu, lelaki tersebut pun berpaling untuk pulang sambil berkata: “Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran! Aku tidak akan menambah sedikit pun atas kewajipan ini dan aku tidak akan menguranginya.” Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya dia jujur (dengan kata-katanya itu), nescaya dia pasti akan masuk syurga.”

Sahih Muslim (Hadis No. 12); Sahih al-Bukhari (Hadis No. 63)

Syarah: Perhatikan Rasulullah berkata di hujung hadis ini yang kalau lelaki itu benar-benar melakukan amalan-amalan yang fardhu itu dan menjaganya dengan baik, maka dia tentu akan masuk syurga. Ini menunjukkan kepentingan amalan fardhu. Antara amalan yang paling penting dijaga adalah solat kerana ia dapat mendekatkan diri kepada Allah. Ini seperti firman Allah di dalam Alaq:19

وَاسجُد وَاقتَرِب
dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan)

Bukankah Rasulullah juga pernah bersabda tentang dekatnya orang yang sujud kepada Allah?

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ
“Keadaan paling dekat antara seorang hamba dengan Rabb-Nya adalah ketika ia sedang sujud. Maka perbanyaklah berdoa (di dalamnya).”

Sahih Muslim (Hadis No. 482)

Antara perkara yang kita perlu penuhi adalah tanggungjawab yang kita perlu penuhi terhadap orang-orang yang di bawah kita. Tidak kira sama ada sebagai pemimpin masyarakat atau di rumah kita. Rasulullah telah bersabda,

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَوَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا، وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِي مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Setiap kalian adalah pemimpin (penggembala/penjaga) dan setiap kalian akan dimintai pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya. Seorang penguasa adalah pemimpin bagi rakyatnya dan dia bertanggungjawab atas mereka. Seorang suami adalah pemimpin bagi anggota keluarganya dan dia bertanggungjawab atas mereka. Seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab atas rumah tangga tersebut. Seorang pelayan (pekerja) adalah penjaga atas harta majikannya dan dia bertanggungjawab atasnya. Maka setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dimintai pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya.”

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari (No. 893, 2554, 5188) dan Imam Muslim (No. 1829)

Balasan kepada mereka yang telah memenuhi tanggungjawab mereka dengan adil adalah seperti sabda Rasulullah,

إِنَّ الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ اللَّهِ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ وَكِلْتَا يَدَيْهِ يَمِينٌ الَّذِينَ يَعْدِلُونَ فِي حُكْمِهِمْ وَأَهْلِيهِمْ وَمَا وَلُوا
“Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan berada di atas mimbar-mimbar dari cahaya di sebelah kanan Ar-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih) عَزَّ وَجَلَّ dan kedua tangan-Nya adalah kanan, iaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum mereka, terhadap keluarga mereka, dan atas apa yang mereka kuasai (pimpin).”

Diriwayatkan oleh Imam Muslim (Hadis No. 1827)

Jadi bukanlah wali Allah itu kena jadi gila macam sebahagian orang macam di Indonesia dan di Malaysia yang kata orang gila pun wali juga! Apa mengarutlah mereka yang kata sebegitu! Yang terlebih aneh dan mengarut adalah orang yang menganggap orang gila itu Wali! Yang gila itu biarlah, yang anggap di wali, kenapa pula? Tak tahulah siapa yang lebih gila: yang memang gila itu atau yang menganggap mereka sebagai wali. Sedangkan kita tidak lihat pun para sahabat itu jadi gila. Mereka itu paling mukmin dan mereka itulah wali-wali Allah. Tapi ada yang gila kah? Jadi kalau anggap orang gila sebagai wali, maka kita telah menghina wali-wali Allah yang sebenarnya.

Kalau kita menganggap dan melantik orang gila sebagai wali, bayangkan apakah pandangan non-Muslim terhadap kita dan agama Islam ini? Orang gila pun hendak dilantik jadi wali. Mereka pun tidak teringin hendak masuk Islam. Sedangkan Islam amat menjaga akal. Diharamkan arak kerana hendak terus menjadi waras, tidak jadi bodoh dan gila. Tapi terbaliknya golongan sesat ini melantik orang tidak waras pula ke kedudukan yang tinggi di dalam Islam iaitu wali!

Inilah apabila tidak faham apakah syarat menjadi wali. Pakai lantik sahaja sesiapa menjadi wali. Sedangkan wali ini adalah rahsia Allah. Mana kita tahu siapa yang wali? Allah sahaja yang tahu. Jadi kita yang belajar ini kena tahu apakah syarat-syarat wali. Yang pertama sekali untuk jadi wali Allah, kena buat benda yang wajib.

Ibn Rajab al-Hanbali mengatakan Wali Allah ada dua jenis. Yang pertama adalah yang menjalankan kewajipan dan meninggalkan yang haram. Ini adalah Golongan Muqtasidin. Golongan Muqtasidin (المقتصدين) dalam Islam merujuk kepada kumpulan orang yang pertengahan atau sederhana dalam beramal. Istilah ini diambil daripada Al-Qur’an, khususnya dalam Fatir:32, yang membahagikan umat Islam kepada tiga golongan dalam menerima dan mengamalkan isi kandungan kitab suci.

ثُمَّ أَورَثنَا الكِتٰبَ الَّذينَ اصطَفَينا مِن عِبادِنا ۖ فَمِنهُم ظالِمٌ لِّنَفسِهِ وَمِنهُم مُّقتَصِدٌ وَمِنهُم سابِقٌ بِالخَيرٰتِ بِإِذنِ اللهِ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَضلُ الكَبيرُ
Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan diantara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang amat besar.

Ciri-Ciri Golongan Muqtasidin:

1. Melaksanakan kewajipan: Mereka sentiasa taat melaksanakan perkara yang wajib seperti solat fardhu, puasa Ramadan, dan mengeluarkan zakat.

2. Meninggalkan larangan: Mereka menjauhi perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah (dosa-dosa besar).

3. Kurang amalan sunat: Mereka kadangkala terlepas atau kurang melakukan amalan-amalan sunat (nafilah).

4. Melakukan perkara makruh: Mereka kadangkala masih melakukan perkara yang makruh atau tewas dengan perkara yang harus secara berlebihan.

Secara ringkasnya, mereka adalah golongan yang selamat daripada azab neraka kerana tidak melanggar larangan utama, tetapi amalan mereka belum cukup tinggi untuk meletakkan mereka di kedudukan yang paling mulia.


 

Penjelasan وَمَا يَزَالُ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ (Hamba-Ku senantiasa mendekat diri kepada-Ku dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya)

Ini adalah tentang amalan-amalan yang Sunat pula atau ‘nafilah’. Amalan nafilah ini tidak ada nilainya jikalau amalan fardhu pun tidak terjaga. Maka ini adalah Wali peringkat yang kedua dan lebih tinggi dari yang pertama di atas tadi. Mereka terus melakukan amalan-amalan sunat. Perhatikan kalimat مَا يَزَالُ yang bermaksud tidak berhenti, berterusan. Maknanya mereka istiqamah melakukan amalan sunat. Bukan buat sekali sekala sahaja tapi berterusan.

Sesiapa yang melakukan amalan-amalan Sunat, Allah kata Dia akan mencintai orang itu! Apabila Allah sudah mencintainya, maka dia sudah mencapai tahap wali. Allah telah berfirman tentang mereka yang dicintai di dalam Maidah:54

أَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا مَن يَرتَدَّ مِنكُم عَن دينِهِ فَسَوفَ يَأتِي اللهُ بِقَومٍ يُحِبُّهُم وَيُحِبّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى المُؤمِنينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الكٰفِرينَ يُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ وَلا يَخافونَ لَومَةَ لائِمٍ ۚ ذٰلِكَ فَضلُ اللهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.

Tafsir: Mereka ini adalah keterbalikan kepada orang yang memusuhi dan menyakiti Wali Allah. Mereka ini أَذِلَّةٍ عَلَى المُؤمِنينَ (bersikap rahmah sesama orang Mukmin). Dan bukan itu sahaja, sebaliknya mereka أَعِزَّةٍ عَلَى الكٰفِرينَ (yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir). Kerana itu mereka menjalankan jihad dan menentang musuh Allah يُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ (yang mereka berjihad di jalan Allah). Allah berfirman tentang mereka di dalam Fath:29

مُّحَمَّدٌ رَّسولُ اللهِ ۚ وَالَّذينَ مَعَهُ أَشِدّاءُ عَلَى الكُفّارِ رُحَماءُ بَينَهُم
Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka.

Jihad fisabilillah adalah mengajak orang yang berpaling kepada Allah setelah mereka menolak. Pertama kenalah dakwah kepada mereka, tapi kalau mereka menolak, maka jihad perlu dijalankan. Kerana yang menolak itu kerana ada pihak yang menghalang seperti pemimpin mereka. Maka penghalang itu kena dimusnahkan dengan cara jihad fisabilillah.

Adakah ini bermakna Islam disebarkan dengan pedang seperti yang didakwa oleh musuh Islam? Ia tidak benar sama sekali. Tanda kita sayang kepada Allah adalah menyebarkan ajaran Islam supaya manusia kenal Allah dan mencintai Allah. Kerana itu kita jalankan kerja dakwah. Akan tetapi kadangkala dakwah tidak berhasil dengan cara lembut, maka kekerasan terpaksa dijalankan. Ada manusia yang perlukan kekerasan untuk menyedarkan mereka. Begitulah Rasulullah ada bersabda,

عَجِبَ اللَّهُ مِنْ قَوْمٍ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ فِي السَّلاَسِلِ
“Allah kagum/takjub terhadap suatu kaum yang masuk syurga dalam keadaan terikat rantai.”

Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam Kitab Al-Jihad wa As-Siyar (Bab: Al-Asra fi As-Salasil / Tawanan dalam Rantai), Hadis No. 3010

Syarah: Hadis ini merujuk kepada para tawanan perang non-Muslim yang ditangkap oleh tentera Muslim dan dibawa dalam keadaan terantai. Selama dalam tawanan, mereka menyaksikan kebaikan, keadilan, dan keindahan ajaran Islam secara langsung. Hati mereka kemudian terbuka untuk menerima kebenaran dan akhirnya memeluk Islam secara sukarela. Rantai yang pada awalnya merupakan bentuk penawanan fizikal, akhirnya menjadi penyebab mereka terselamat dari seksa neraka hingga masuk ke dalam syurga. Bayangkan kita tidak lakukan apa-apa dan biarkan sahaja mereka di dalam kekafiran?

Apabila dikatakan لا يَخافونَ لَومَةَ لائِمٍ (dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela) bermaksud mereka tidak kisah dan tidak hirau kata-kata manusia yang mencela mereka, asalkan Allah redha dengan apa yang dia lakukan di dalam kebaikan. Kerana dia lebih cinta kepada Allah daripada cinta kepada manusia dan kata-kata mereka.

Maksud ذٰلِكَ فَضلُ اللهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ (Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya) adalah kurniaan Allah dari segi darjat yang Dia berikan kepada mereka yang layak.

 

Jadi cara kedua untuk menjadi Wali dan mendekatkan diri dengan Allah adalah dengan buat amalan yang sunat. Antara amalan yang utama adalah berkenaan Al-Qur’an. Hendaklah selalu baca dengan faham dan tadabbur, dan menyampaikannya kepada manusia. Seorang sahabat yang bernama Khabbab ibn al-Aratt pernah berkata,

تَقَرَّبْ مَا اسْتَطَعْتَ ، وَاعْلَمْ أَنَّكَ لَنْ تَتَقَرَّبَ إِلَى اللَّهِ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ كَلامِهِ
“Mendekatkan dirilah kamu (kepada Allah) sedaya mampumu, dan ketahuilah bahawa engkau tidak sekali-kali dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan sesuatu yang lebih dicintai-Nya daripada (membaca/mengamalkan) Kalam-Nya (Al-Qur’an).”

diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (No. 3424) dan Imam Al-Baihqi dalam Shu’ab al-Iman.

Saidina Utsman bin Affan pernah berkata,

لَوْ طَهُرَتْ قُلُوبُكُمْ مَا شَبِعَتْ مِنْ كَلَامِ رَبِّكُمْ
“Seandainya hati kalian bersih/suci, niscaya hati kalian tidak akan pernah merasa kenyang (puas) dari kalam (firman) Rabb kalian (Al-Qur’an).”

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Az-Zuhd dan Ibn Kathir dalam Fadhail Al-Qur’an.

 

Orang yang rapat dengan Allah tentunya akan sentiasa ingat kepada Allah. Rasulullah bersabda,

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بي، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ
“Allah Ta’ala berfirman: Aku mengikut prasangka hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Dan jika dia mengingati-Ku dalam kelompok ramai, Aku akan mengingatinya dalam kelompok yang lebih baik daripada mereka (para malaikat).”

Sahih Al-Bukhari (Hadis No. 7405) dan Sahih Muslim (Hadis No. 2675)

 

Contohnya perhatikan kisah seorang lelaki ahli syurga ini,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَطْلُعُ عَلَيْكُمُ الآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَطَلَعَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ تَنْطِفُ لِحْيَتُهُ مِنْ وَضُوئِهِ، قَدْ تَعَلَّقَ نَعْلَيْهِ فِي يَدِهِ الشِّمَالِ. فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ ذَلِكَ، فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ مِثْلَ المَرَّةِ الأُولَى. فَلَمَّا كَانَ الْيَوْمُ الثَّالِثُ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ مَقَالَتِهِ أَيْضًا، فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ عَلَى مِثْلِ حَالِهِ الأُولَى. فَلَمَّا قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، تَبِعَهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ فَقَالَ: إِنِّي لاَحَيْتُ أَبِي، فَأَقْسَمْتُ أَنْ لاَ أَدْخُلَ عَلَيْهِ ثَلاَثًا، فَإِنْ رَأَيْتَ أَنْ تُؤْوِيَنِي إِلَيْكَ حَتَّى تَمْضِيَ الثَّلاَثُ فَعَلْتَ. قَالَ: نَعَمْ. قَالَ أَنَسٌ: وَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ يُحَدِّثُ أَنَّهُ بَاتَ مَعَهُ تِلْكَ اللَّيَالِيَ الثَّلاَثَ، فَلَمْ يَرَهُ يَقُومُ مِنَ اللَّيْلِ شَيْئًا، غَيْرَ أَنَّهُ إِذَا تَعَارَّ وَتَقَلَّبَ عَلَى فِرَاشِهِ ذَكَرَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَكَبَّرَ حَتَّى يَقُومَ لِصَلاَةِ الْفَجْرِ. قَالَ عَبْدُ اللَّهِ: غَيْرَ أَنِّي لَمْ أَسْمَعْهُ يَقُولُ إِلاَّ خَيْرًا. فَلَمَّا مَضَتِ الثَّلاَثُ لَيَالٍ، وَكِدْتُ أَنْ أَحْقِرَ عَمَلَهُ، قُلْتُ: يَا عَبْدَ اللَّهِ، لَمْ يَكُنْ بَيْنِي وَبَيْنَ أَبِي غَضَبٌ وَلاَ هَجْرٌ، وَلَكِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَكَ ثَلاَثَ مِرَارٍ: يَطْلُعُ عَلَيْكُمُ الآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَطَلَعْتَ أَنْتَ الثَّلاَثَ المِرَارِ، فَأَرَدْتُ أَنْ آوِيَ إِلَيْكَ لأَنْظُرَ مَا عَمَلُكَ فَأَقْتَدِيَ بِهِ، فَلَمْ أَرَكَ عَمِلْتَ كَبِيرَ عَمَلٍ، فَمَا الَّذِي بَلَغَ بِكَ مَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: مَا هُوَ إِلاَّ مَا رَأَيْتَ. فَلَمَّا وَلَّيْتُ دَعَانِي فَقَالَ: مَا هُوَ إِلاَّ مَا رَأَيْتَ، غَيْرَ أَنِّي لاَ أَجِدُ فِي نَفْسِي لِأَحَدٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ غِشًّا، وَلاَ أَحْسُدُ أَحَدًا عَلَى خَيْرٍ أَعْطَاهُ اللَّهُ إِيَّاهُ. فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: هَذِهِ الَّتِي بَلَغَتْ بِكَ، وَهِيَ الَّتِي لاَ نُطِيقُ
Daripada Anas bin Malik RA, beliau menceritakan: Kami sedang duduk bersama Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, lalu Baginda bersabda: “Akan muncul kepada kamu sekarang seorang lelaki daripada ahli syurga.” Maka muncullah seorang lelaki daripada golongan Ansar yang janggutnya masih menitiskan air wuduk dan dia menggantungkan kedua-dua kasutnya di tangan kirinya. Apabila tiba keesokan harinya, Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda sedemikian lagi (seperti hari semalam), lalu muncullah lelaki tersebut sebagaimana keadaannya pada kali pertama. Apabila tiba hari yang ketiga, Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ mengulangi lagi sabdanya, lalu muncullah lelaki itu dalam keadaan seperti mana harinya yang pertama. Apabila Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bangun (selesai majlis), ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As telah mengikut lelaki tersebut lalu berkata kepadanya: “Sesungguhnya aku telah bertengkar dengan bapaku, lalu aku bersumpah untuk tidak masuk ke rumahnya selama tiga hari. Sekiranya engkau membenarkan aku menginap di rumahmu sehingga berlalu tiga hari ini, aku amat bersyukur.” Lelaki itu menjawab: “Ya, boleh.” Anas menceritakan: ‘Abdullah menceritakan bahawa beliau menginap bersama lelaki itu selama tiga malam tersebut, namun beliau tidak melihat lelaki itu bangun melakukan solat malam sedikit pun. Cuma apabila lelaki itu terjaga dan mengiringkan badannya di atas tempat tidur, beliau berzikir mengingati Allah ‘Azza wa Jalla dan bertakbir sehinggalah beliau bangun untuk solat Subuh. ‘Abdullah berkata: “Hanya sahaja aku tidak pernah mendengarnya berkata melainkan perkataan yang baik-baik.” Apabila telah berlalu tiga malam dan aku hampir-hampir meremehkan amalan yang dilakukannya, aku berkata: “Wahai hamba Allah! Sebenarnya tidak pernah berlaku sebarang kemarahan atau pemulauan antara aku dan bapaku. Namun begitu, aku telah mendengar Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda tentang dirimu sebanyak tiga kali: ‘Akan muncul kepada kamu sekarang seorang lelaki daripada ahli syurga,’ dan engkaulah yang muncul ketiga-tiga kali tersebut. Oleh itu, aku mahu menginap bersamamu untuk melihat amalan apakah yang engkau lakukan supaya aku dapat mencontohinya, namun aku tidak melihat engkau melakukan amalan yang begitu besar. Maka apakah amalan yang telah menyampaikan engkau ke darjat seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ?” Lelaki itu menjawab: “Tiada amalan lain melainkan apa yang telah engkau lihat.” Apabila aku berpaling untuk pergi, lelaki itu memanggilku kembali lalu berkata: “Tiada amalan lain melainkan apa yang telah engkau lihat, cuma aku tidak pernah mendapati dalam diriku sebarang rasa tidak puas hati terhadap mana-mana orang Muslim, dan aku tidak pernah iri hati (hasad) kepada sesiapa pun atas kebaikan yang kurniakan oleh Allah kepadanya.” Lantas ‘Abdullah berkata: “Inilah amalan yang telah menyampaikan engkau ke darjat tersebut, dan inilah amalan yang tidak sanggup (sukar) untuk kami lakukan.”

Musnad Ahmad (Hadis No. 12697) & As-Sunan al-Kubra oleh Al-Nasa’i (Hadis No. 10633). Dinilai Hasan oleh Al-Hafiz al-Iraqi dan Sahih mengikut syarat al-Bukhari & Muslim oleh Al-Lalaka’i.

Syarah: Hadis ini mengajar kita keutamaan hati yang bersih: Kesejahteraan hati (Salamatus Sadr), keikhlasan, memaafkan kesalahan orang lain, dan membuang sifat hasad dengki adalah amalan hati yang sangat tinggi nilainya di sisi Allah hingga mampu menjamin syurga. Jadi kita nampak tidak bagi lelaki ini tidak ada amalan yang khusus yang special pun. Melainkan satu benda dia buat iaitu dia akan maafkan segala orang yang buat salah pada dirinya. Dan dia tidak simpan hasad kepada orang lain dalam hatinya. Maka dia jadi wali Allah dengan sebab dia maafkan orang! Allahu Akbar! Tentulah dia juga buat benda-benda yang wajib sekali dan ditambah dengan amalan memaafkan orang lain dan tidak menyimpan hasad.


 

Penjelasan فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا (Apabila aku telah mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang dia gunakan untuk berbuat, dan kakinya yang dia gunakan untuk berjalan)

Bahagian ini penting untuk kita faham kerana teks inilah yang yang banyak golongan sesat seperti sufi tarekat salah gunakan. Ia tidak menghairankan kerana mereka bukannya belajar dengan cara yang betul, tapi pakai nafsu akal mereka sahaja. Apakah akidah sesat mereka itu? Al-Hulul dan Al-Ittihad.

Al-Hulul dan Al-Ittihad merupakan dua fahaman atau akidah sesat dalam sejarah pemikiran Islam yang terpesong daripada iktiqad Tauhid (Ahlus Sunnah wal Jamaah). Kedua-dua akidah ini berkait rapat dengan ekstrimisme dalam disiplin tasawuf falsafah (tasawuf falsafi) yang menyalahfahami konsep kedekatan hamba dengan Allah.

Al-Hulul (الْحُلُولُ – Penyerapan/Penjelmaan):
Fahaman yang mengiktikadkan bahawa Allah menyerap, meresap, atau menjelma masuk ke dalam jasad makhluk-Nya (seperti manusia tertentu). Dalam konsep ini, jasad hamba dan zat Tuhan kekal dua entiti yang berbeza, tetapi Tuhan bertapak dan bersemayam di dalam jasad hamba tersebut.

Al-Ittihad (الأِتِّحَادُ – Penyatuan Mutlak):
Fahaman yang lebih ekstrem berbanding Hulul. Ia mengiktikadkan bahawa hamba dan Tuhan telah bersatu padu menjadi satu zat yang sama, sehingga hilang perbezaan antara pencipta (Khaliq) dan yang dicipta (Makhluq).

Akidah ini telah mencabuli sifat Mahasuci Allah (Tanzih). Islam menegaskan bahawa Allah Maha Suci daripada bertempat, meresap ke dalam jasad fizikal, atau bersatu dengan makhluk yang baharu (hadith).

Ia juga merobohkan syariat & perbezaan Khaliq-Makhluq. Fahaman ini merosakkan asas utama Tauhid iaitu membezakan antara Tuhan yang disembah (Ma’bud) dan hamba yang menyembah (‘Abid). Sampai jadi mengarut ada yang mengaku dia Tuhan pun ada!

Penganut fahaman ini kerap mendakwa bahawa apabila mereka sudah menyatu dengan Tuhan, kewajipan syariat (seperti solat dan puasa) tidak lagi terpakai ke atas mereka. Kerana sudah jadi Tuhan, hendak beramal apa lagi? Jadi mereka ini sebenarnya pemalas hendak beramal ibadah sahaja, dan perasan mereka lebih hebat dari Rasulullah. Kerana Nabi sampai baginda hendak wafat pun tetap beribadah.

Dan yang penting sekali, ia bercanggah dengan Al-Qur’an Syura:11

 لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ
“Tiada sesuatu pun yang seumpama dengan-Nya…” 

 

Fahaman mereka itu jauh dari kebenaran. Tapi kalimat dari hadis ini memang agak pelik, bukan? Maka apakah maksudnya? Kena belajar supaya tidak tertipu dengan golongan yang tidak belajar.

Ia adalah kesan kepada mereka yang melakukan amalan fardhu dan menambah dengan amalan sunat. Maka Allah menaikkan darjat mereka dari iman kepada ‘ihsan’. Sehingga mereka beribadah seolah-olah mereka melihat Allah seperti disebut di dalam hadis,

قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ الإِحْسَانِ، قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
Malaikat Jibril berkata: “Maka beritahukanlah kepadaku tentang Ihsan.” Rasulullah ﷺ menjawab: “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak mampu melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.”

Sahih Muslim (Hadis No. 8) dan Sahih Al-Bukhari (Hadis No. 50)

Hasilnya, hati orang itu dipenuhi dengan ilmu tentang Allah, CintaNya, dekat denganNya. Dia rasa selesa dengan Allah dan rindu untuk bersama-sama denganNya dan dia melihat Allah dengan hatinya. Dan ia semakin bertambah di dalam hatinya dan ia membawa kepada tubuh badannya sekali yang ikut apa yang di dalam hatinya.

Maksud Allah menjadi pendengarannya Allah ‘memandu’ pendengarannya. Allah Ta’ala akan bantu pendengaran, maksudnya dia akan mendengar apa yang hanya Allah hendak dia dengar. Allah menjadi penglihatannya bermaksud dia akan melihat apa yang Allah hendak dia melihat. Maksud Allah menjadi tangannya adalah dia hanya akan memegang apa yang Allah hendak dia pegang sahaja. Dan maksud Allah menjadi kakinya adalah dia akan berjalan ke tempat yang Allah mahu dia pergi sahaja. Itulah maksudnya yang sebenar, bukan seperti yang selalu dikatakan oleh golongan yang sesat yang tidak faham apa-apa.

Maksudnya Allah menjaga dia dari dosa. Allah jaga pendengarannya Allah jaga penglihatannya, matanya dijaga oleh Allah, Allah jaga tangannya, tidak mengambil sembarangan, tidak menyentuh sembarangan, tidak mencuri. Kemudian Allah jaga kakinya, tidak melangkahkan kakinya sembarangan ke tempat maksiat. Bahkan dalam sebahagian riwayat, Allah jaga fikirannya. Kemudian dalam sebahagian riwayat Allah menjadi lisannya, menjaga ucapannya.

 

Mungkin ada yang bertanya: “Bukankah ini ta’wil? Bukankah Salafi kata kena ambil maksud yang zahir?

Inilah masalahnya kalau tidak faham bahasa. Zahir ini ada dua jenis: zahir pada kalimah dan yang kedua, zahir pada penggunaan ayat. Maksud zahir dari sudut makna perkataan tunggal merujuk kepada erti asal/asas sesuatu perkataan yang terus difahami oleh akal mengikut kebiasaan bahasa, tanpa perlu tafsiran mendalam atau kiasan. Contohnya perkataan ‘Tangan’ secara zahir kalimah bermaksud anggota badan dari pergelangan hingga ke hujung jari. Perkataan “Singa” secara zahir kalimah bermaksud haiwan pemangsa berkaki empat yang memakan daging.

Maksud zahir dalam konteks susunan ayat merujuk kepada makna utama yang paling cepat ditangkap oleh fikiran apabila ayat tersebut dibaca, namun ayat tersebut masih membuka ruang untuk membawa makna lain. Contoh zahir pada penggunaan ayat adalah seperti kita kata kepada seseorang: “Tuan, saya akan sentiasa berada di belakang Tuan!” Adakah maksudnya dia berada di belakang secara fizikal, ikut sahaja orang itu ke mana sahaja dia pergi? Tentu tidak dan tidak ada orang siuman pun yang ada faham sebegitu. Melainkan dia budak sekolah rendah sahaja. Maksudnya “saya akan sentiasa akan sokong tuan.” Dan ini bukan ta’wil, kerana dari segi bahasa, orang Arab pakai, orang Melayu pun pakai juga penggunaan sebegini.

Begitulah juga kalau kita kata kepada seseorang, “Aku akan jadi penglihatan kau”. Maksudnya aku akan jadi mata-mata engkau, tolong tengok benda yang kau tidak boleh tengok, kerana jauh di tempat lain. Begitulah juga apabila kita kata: “Aku akan jadi tangan dan kaki kau”. Ia bermaksud kita akan bekerja untuk dia. Macam kita gunakan bagi istilah ‘kakitangan kerajaan’.

Maka kita kena tahu perkara ini kerana ahli bid’ah akan pusing balik kata-kata kita. Kerana kita kata ada ta’wil yang tidak boleh digunakan, tapi sekarang mereka kata kita pula pakai. Tapi apa yang kita lakukan ini bukan ta’wil, tapi ia ialah cara penggunaan ayat.


 

Penjelasan وَلَئِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيْذَنَّهُ (Jika dia meminta kepadaKu, pasti Aku beri. Jika dia meminta perlindungan kepada-Ku pasti Aku lindungi)

Inilah kelebihan para Wali yang doa mereka makbul sangat. Ini seperti sabda Rasulullah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «كَمْ مِنْ أَشْعَثَ أَغْبَرَ ذِي طِمْرَيْنِ لاَ يُؤْبَهُ لَهُ، لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لأَبَرَّهُ، مِنْهُمُ الْبَرَاءُ بْنُ مَالِكٍ
Daripada Anas bin Malik RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Berapa ramai orang yang rambutnya kusut-masai, berdebu, dan hanya memakai dua helai pakaian lusuh serta tidak dihiraukan oleh pandangan manusia, namun sekiranya dia bersumpah (maksudnya berdoa) atas nama Allah, nescaya Allah pasti akan memperkenankan sumpahnya. Antara mereka itu ialah Al-Bara’ bin Malik.”

Sunan at-Tirmidzi (Hadis No. 3854) – Dinilai Sahih oleh Imam at-Tirmidzi dan Syaikh al-Albani.

Syarah: Al-Bara’ bin Malik (saudara kandung kepada Anas bin Malik RA), adalah seorang yang miskin di kalangan ahli suffah.

Tapi sekali lagi ahli sufi tarekat pun mulalah akan salahgunakan hadith ini. Mereka perasan mereka pun termasuk di dalam golongan itu. Kerana itu kita ada lihat dari kalangan mereka yang pakai baju compang camping, berdebu-debu, rambut kusut masai tidak terurus. Kerana kononnya hendak jadi seperti Al-Bara’ bin Malik inilah. Tapi kalau tiru dari segi penampilan, tidak jadinya! Dan bukan maksud Nabi kena berpakaian seperti Al-Bara’ bin Malik itu. Maksud Nabi ini keadaan orang yang susah. Bukannya awak ok sahaja boleh beli pakaian, tiba-tiba awak sengaja pakai baju lusuh dan rambut sengaja dijadikan kusut masai!

Ada banyak kisah tentang doa-doa orang Mukmin yang dimakbulkan. Ada satu kisah yang menampakkan karamah dan kemakbulan doa sahabat Nabi, Sa’ad bin Abi Waqqas. Peristiwa ini diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari (Hadis No. 755) dan Sahih Muslim (Hadis No. 453).

Ketika Sa’ad bin Abi Waqqas dilantik oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A. menjadi Gabenor di Kufah, penduduk Kufah mengirimkan utusan untuk mengadukan Sa’ad kepada Saidina Umar. Mereka menuduh Sa’ad tidak menjalankan salat dengan baik. Khalifah Umar kemudian mengutus beberapa utusan ke Kufah untuk memeriksa tuduhan tersebut dengan mendatangi masjid-masjid di sana. Setiap kali ditanya, seluruh jemaah masjid memuji Sa’ad, hingga utusan sampai di Masjid Bani ‘Abs. Di masjid tersebut, seorang lelaki bernama Usamah bin Qatadah (yang dipanggil Abu Sa’dah) berdiri dan menyampaikan tuduhan palsu:

“Oleh karena engkau bertanya kepada kami, maka sesungguhnya Sa’ad ini tidak pernah ikut pergi bersama pasukan perang, tidak membagi harta rampasan perang secara adil, dan tidak berlaku adil dalam memutuskan hukum.”

Mendengar fitnah dan kebohongan tersebut, Sa’ad bin Abi Waqqas tidak membalas dengan amarah atau caci maki, melainkan berdoa langsung kepada Allah:

اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ عَبْدُكَ هَذَا كَاذِبًا قَامَ رِيَاءً وَسُمْعَةً فَأَطِلْ عُمْرَهُ وَأَطِلْ فَقْرَهُ وَعَرِّضْهُ بِالْفِتَنِ
“Ya Allah, jika hamba-Mu ini berdusta dan berdiri hanya kerana riya’ dan sum’ah, maka panjangkanlah umurnya, jadikanlah dia sangat miskin, dan timpakanlah berbagai fitnah kepadanya.”

Doa Sa’ad yang merupakan seorang sahabat yang dijamin masuk syurga dikabulkan oleh Allah secara sempurna. Abu Sa’dah hidup hingga usianya sangat tua sampai alis matanya jatuh menutupi matanya kerana tua sangat, dan dia hidup dalam kemiskinan yang amat sangat. Di usia tuanya, dia sering berkeliaran di jalanan menggoda dan mengganggu gadis-gadis muda yang lalu. Setiap kali ditanya mengapa dia bertingkah seperti itu di usia tua, Abu Sa’dah akan menjawab sambil meratap: “Aku adalah orang tua yang terkena fitnah kerana tertimpa doa dari Sa’ad.”

 

Ada satu lagi kisah iaitu Sa’id bin Zaid bin ‘Amr bin Nufail (salah seorang daripada 10 sahabat yang dijamin masuk syurga)  yang difitnah oleh seorang wanita. Wanita yang menuduhnya bernama Arwa binti Uwais. Kisah ini diriwayatkan dalam Sahih Muslim (Hadis No. 1610) dan Sahih Al-Bukhari (Hadis No. 3198).

Arwa binti Uwais telah mengadukan Sa’id bin Zaid kepada Khalifah Marwan bin al-Hakam (Gabenor Madinah ketika itu). Dia memfitnah dan menuduh bahawa Sa’id telah mengambil sebahagian dari tanah miliknya dan menggabungkannya ke dalam tanah milik Sa’id. Mendengar tuduhan tersebut, Sa’id bin Zaid merasa sangat terkejut dan berkata:

“Bagaimana mungkin aku mengambil tanahnya setelah aku mendengar sendiri apa yang disabdakan oleh Rasulullah ﷺ?”

Marwan bertanyakan apa yang disabdakan oleh Rasulullah ﷺ, lalu Sa’id menjawab: “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Barangsiapa yang mengambil tanah orang lain secara zalim walaupun hanya sejengkal, maka Allah akan mengalungkan tanah itu kepadanya dari tujuh petala bumi pada hari kiamat.'”

Marwan kemudian berkata: “Aku tidak akan meminta bukti lain lagi daripadamu setelah ini.”

Meskipun masalah tersebut diselesaikan, Sa’id bin Zaid merasa sangat teraniaya dengan fitnah tuduhan rampasan tanah itu. Beliau kemudian memanjatkan doa kepada Allah:

اللَّهُمَّ إِنْ كَانَتْ كَاذِبَةً فَأَعْمِ بَصَرَهَا وَاقْتُلْهَا فِي أَرْضِهَا
“Ya Allah, jika wanita ini berdusta, maka butakanlah matanya dan matikanlah dia di dalam tanahnya sendiri.”

Doa Sa’id bin Zaid dikabulkan oleh Allah secara langsung dan tragis. Tidak lama selepas kejadian itu, wanita tersebut (Arwa) mengalami kebutaan pada kedua-dua matanya. Pada suatu hari, ketika dia sedang berjalan-jalan di kawasan tanah miliknya dalam keadaan buta dan meraba-raba, dia telah terjatuh ke dalam sebuah lubang (atau perigi) di tanah tersebut lalu meninggal dunia di situ. Masyarakat Madinah selepas peristiwa itu sering menjadikan kisah ini sebagai iktibar. Apabila seseorang ingin mendoakan keburukan ke atas orang yang memfitnah atau menzalimi mereka, mereka akan berkata: “Semoga Allah membalasmu seperti doa Sa’id ke atas Arwa.”

 

Kisah kemakbulan doa sahabat Nabi, Al-‘Ala’ bin Al-Hadrami, bersama pasukan tenteranya merupakan salah satu peristiwa karamah yang sangat terkenal dalam sejarah Islam. Peristiwa ini berlaku sewaktu ekspedisi ketenteraan menentang golongan murtad di Bahrain pada zaman kekhalifahan Abu Bakar As-Siddiq, dan diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari (dalam At-Tarikh Al-Kabir), Imam Al-Baihaqi (dalam Dalail An-Nubuwwah), serta Ibn Kathir (dalam Al-Bidayah wa An-Nihayah). Dalam ekspedisi ini, berlaku dua keajaiban besar melalui doa Al-‘Ala’ bin Al-Hadrami:

Semasa pasukan tentera Islam sedang melintasi padang pasir yang sangat panas dan tandus (Gurun Dahna), unta-unta yang membawa bekal dan kelengkapan perang mereka tiba-tiba lari bertaburan di malam hari. Pasukan tentera kehilangan semua bekalan makanan, air, dan khemah di tengah padang pasir. Keadaan menjadi sangat kritikal hingga mereka berada di ambang maut akibat dahaga.

Al-‘Ala’ mengumpulkan tenteranya dan menenangkan mereka. Beliau memimpin solat subuh, kemudian mengangkat kedua tangannya mendongak ke langit dan berdoa dengan penuh khusyuk:

“Ya Allah, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung! Sesungguhnya kami adalah hamba-hamba-Mu, kami berperang di jalan-Mu dan menentang musuh-musuh-Mu. Berilah kami minum dan selamatkanlah kami!”

Belum sempat beliau menurunkan tangannya, dengan izin Allah, angin sepoi-sepoi bertiup dan awan tebal berkumpul. Hujan turun dengan lebatnya sehingga memenuhi lembah padang pasir tersebut. Para tentera dapat minum, memenuhi bekas air mereka, dan tidak lama kemudian unta-unta mereka yang hilang kembali berkumpul.

Selepas menewaskan musuh di daratan, saki-baki pasukan murtad melarikan diri menyeberangi laut menuju ke sebuah pulau (Darīn). Pasukan tentera Islam tidak mempunyai sebarang kapal atau sampan untuk mengejar mereka. Musuh menyangka mereka selamat di pulau tersebut kerana dilindungi oleh lautan.

Al-‘Ala’ sekali lagi mengumpulkan tenteranya di tepi pantai dan memanjatkan doa:

“Ya Allah, Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penyayang, Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung! Engkau telah memudahkan kami di daratan, maka mudahkanlah kami di lautan ini!”

Al-‘Ala’ memerintahkan pasukannya membaca Bismillah dan melangkah masuk ke dalam laut bersama kuda dan unta mereka. Dengan izin Allah, paras air laut menjadi sangat dangkal (atau air mengeras di bawah kaki binatang ternakan mereka) seolah-olah mereka berjalan di atas pasir yang basah. Seluruh pasukan tentera Islam berjaya menyeberangi lautan tersebut tanpa ada seorang pun yang tenggelam, dan bekal mereka tidak sedikit pun basah. Mereka mengejutkan pihak musuh dan meraih kemenangan besar.

 

Begitulah kelebihan yang Allah berikan kepada para Wali. Tapi tidaklah mereka minta istana, duit sejuta dan sebagainya. Mereka minta benda yang baik-baik sahaja, untuk kebaikan umat. Yang hendak istana itu, kita. Para Wali tidak memandang dunia sangat. Macam Sa’ad bin Abi Waqqas, di penghujung usianya,  beliau telah kehilangan penglihatannya (buta). Ketika beliau tiba di Mekah, masyarakat tempatan berbondong-bondong datang menemui beliau kerana mengetahui bahawa Sa’ad adalah seorang sahabat Rasulullah ﷺ yang mustajab doanya (Mu’jab ad-Da’wah). Setiap orang yang datang meminta Sa’ad mendoakan pelbagai kebaikan untuk mereka seperti kesembuhan daripada penyakit, rezeki, dan perlindungan, dan Sa’ad pun mendoakan mereka sehingga Allah mengabulkan doa-doa tersebut.

Seorang lelaki bernama Abdullah bin As-Sa’ib meriwayatkan bahawa dia mendatangi Sa’ad ketika masih muda, lalu bertanya: “Wahai bapa saudaraku, engkau sentiasa mendoakan orang ramai dan doa-doamu dikabulkan oleh Allah. Mengapa engkau tidak berdoa untuk dirimu sendiri agar Allah mengembalikan penglihatan matamu?”

Mendengar soalan tersebut, Sa’ad tersenyum lalu memberikan jawapan yang sangat indah tentang makna redha (kerelaan hati):

يَا بُنَيَّ، قَضَاءُ اللَّهِ حَبِيبٌ إِلَيَّ مِنْ بَصَرِي
“Wahai anakku, ketetapan (takdir) Allah itu jauh lebih aku cintai daripada penglihatanku.”

 

Dalam riwayat lain yang terdapat dalam Sahih Muslim (Hadis No. 1218), sahabat Nabi bernama Imran bin Husain R.A. telah diuji dengan penyakit parah di perutnya (al-istasqa’) yang menyebabkannya terlantar di atas katil selama 30 tahun tanpa boleh bangun. Apabila Mutarrif bin Abdullah melawatnya dan menangis kerana melihat menderitanya keadaan Imran, Imran bin Husain berkata:

“Janganlah engkau menangis. Apa yang dicintai oleh Allah, maka itulah yang paling aku cintai.”

Imran bin Husain sengaja tidak berdoa memohon kesembuhan kerana merasakan kelazatan beribadah dan ucapan salam daripada para malaikat yang mendatangi katilnya setiap hari sebagai ganjaran atas kesabarannya.

 

Ada satu lagi kisah ini melibatkan salah seorang tokoh Tabi’in yang sangat zuhud dan alim, Ibrahim bin Yazid At-Taimi (meninggal dunia sekitar 92 H), yang ditangkap dan dipenjarakan oleh gabenor Umayyad yang terkenal kuku besinya, Al-Hajjaj bin Yusuf At-Thaqafi. Al-Hajjaj sebenarnya mencari seorang tokoh lain yang bernama Ibrahim bin An-Nakha’i untuk ditangkap. Walau bagaimanapun, pengawal Al-Hajjaj telah tersilap dan menangkap Ibrahim At-Taimi.

Demi menyelamatkan Ibrahim bin An-Nakha’i, Ibrahim At-Taimi tidak membetulkan kesilapan tersebut dan membiarkan dirinya ditangkap serta dipenjarakan di penjara Al-Hajjaj yang sangat dahsyat (penjara Diwas, sebuah kawasan terbuka tanpa bumbung yang sangat panas pada waktu siang dan sangat sejuk pada waktu malam). Di dalam penjara, beliau dirantai bersama-sama banduan lain dalam keadaan yang amat menyeksakan sehingga rupa fizikalnya berubah teruk.

Melihat penderitaannya di dalam penjara, orang ramai dan ahli keluarganya bertanya mengapa beliau tidak berdoa memohon kehancuran Al-Hajjaj atau meminta Allah membebaskannya, sedangkan beliau seorang yang soleh. Ibrahim At-Taimi memberikan jawapan yang mencerminkan kedalaman rasa takutnya kepada Allah dan muhasabah diri:

“Aku bimbang sekiranya aku berdoa membalas atau memohon pembebasan, aku akan terlepas daripada ganjaran pahala kesabaran. Dan aku memandang bahawa penjara ini adalah akibat daripada dosa-dosaku sendiri, maka aku sibuk memohon ampun (istighfar) kepada Allah daripada memikirkan kesenanganku.”

Beliau memandang ujian penjara itu sebagai pembersihan dosa di dunia sebelum berhadapan dengan akhirat. Ibrahim At-Taimi berada di dalam penjara tersebut sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat penyeksaan dan cuaca ekstrem.

Diriwayatkan bahawa apabila Al-Hajjaj bermimpi mendengar suara yang memberitahunya bahawa seorang wali Allah telah meninggal dunia di penjaranya pada malam itu, Al-Hajjaj memerintahkan supaya mayatnya dikeluarkan. Apabila memeriksa mayat tersebut, barulah Al-Hajjaj menyedari bahawa orang yang dipenjarakan dan mati itu ialah Ibrahim At-Taimi, seorang yang tidak bersalah.

Kesimpulan hadis ini adalah, untuk jadi wali Allah, mendapatkan kasih Allah, buat yang wajib, tinggal yang haram. Buat yang sunat dan tinggalkan yang makruh. Bukannya senang-senang melantik seseorang sebagai wali. Bukan juga senang-senang mengaku wali. Kalau bab mengaku, Yahudi dan Nasara pun mengaku juga seperti disebut di dalam Maidah:18

وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصٰرَىٰ نَحْنُ أَبْنَؤا اللهِ وَأَحِبَّؤُهُ
Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya”

Itulah dia golongan yang perasan. Sedangkan kalau benar-benar mencintai Allah dan dicintai oleh Allah, kena ikut Nabi Muhammad seperti firman Allah di dalam Ali Imran:31

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني يُحبِبكُمُ اللَّهُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu

Jadi kalau ada yang mengaku wali, jangan percaya walaupun serbannya setinggi bukit sekali pun. Jenis orang yang mengaku ini tidak boleh dipercayai, dan Allah larang seperti firmanNya di dalam Najm:32

فَلا تُزَكّوا أَنفُسَكُم ۖ هُوَ أَعلَمُ بِمَنِ اتَّقىٰ
maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

 

Wali juga tidak perlu maksum, kerana itu adalah ciri-ciri para Nabi. Dan wali bukannya tahap Nabi. Yang kata wali ini maksum akidah orang syiah dan sudah termasuk di dalam akidah orang jahil kita. Dalam akidah Syiah Imamiyyah, para Imam mereka yang 12 (bermula daripada Ali bin Abi Talib R.A. hingga Muhammad al-Mahdi) dianggap memegang kedudukan spiritual dan politik yang mewarisi fungsi kenabian, kecuali wahyu kenabian itu sendiri. Oleh itu, mereka menyakini bahawa para Imam adalah maksum sepenuhnya, tidak pernah dan tidak mungkin melakukan sebarang dosa, sama ada dosa besar mahupun dosa kecil. Mereka dakwah para Imam rekaan mereka itu bebas daripada sebarang bentuk kesilapan, kekeliruan, terlupa, atau lalai dalam hukum-hakam agama mahupun urusan kehidupan harian. Kemaksuman ini diyakini wujud sejak mereka dilahirkan sehingga mereka meninggal dunia, bukan sekadar selepas dilantik menjadi Imam. Akidah inilah yang diambil oleh golongan Sufi Tarekat.

 

Itu bukannya Wali Allah tapi Wali Syaitan! Wali Syaitan (أَوْلِيَاءُ الشَّيْطَانِ) merujuk kepada hamba-hamba yang menjadikan syaitan sebagai pemimpin, pelindung, dan ikutan mereka. Mereka menyerahkan ketaatan kepada syaitan dengan menuruti hawa nafsu, melakukan syirik, menyesatkan manusia, dan menentang ajaran Al-Qur’an serta Sunnah. Istilah ini merupakan lawan (antitesis) secara langsung kepada Wali Allah (أَوْلِيَاءُ اللَّهِ). Apakah ciri-ciri mereka?

1. Menjauhi Al-Qur’an dan Sunnah. Ukuran utama untuk mengenali wali syaitan, sebagaimana disebut dalam kaedah Imam Al-Laith bin Sa’ad dan Imam Asy-Syafi’i, ialah perbuatan mereka yang membelakangkan syariat. Walaupun seseorang mampu menunjukkan keajaiban luar biasa (seperti terbang di udara atau berjalan di atas air), jika amalannya bercanggah dengan Al-Qur’an dan Sunnah, maka dia adalah wali syaitan. Allah berfirman di dalam Baqarah:257

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ
“Allah Pelindung (Wali) orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindung mereka ialah Taghut (syaitan dan berhala), yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan…”

Golongan wali syaitan ini telah tertipu oleh syaitan. Ajaran-ajaran pelik mereka datang daripada syaitan yang membisikkan fahaman dan ajaran salah itu. Allah berfirman di dalam An’am:121

وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰ أَوْلِيَائِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ
“Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada wali-wali mereka untuk membantah kamu…”

2. Keajaiban Berunsur Istidraj atau Sihir. Keajaiban yang berlaku pada wali syaitan bukannya karamah (kemuliaan daripada Allah), melainkan istidraj (perangkap) atau bantuan jin dan sihir. Keajaiban ini selalunya berlaku apabila mereka melakukan perbuatan maksiat, kufur, atau ritual yang menyimpang daripada syarak.

3. Gemar Melakukan dan Mengajak Kepada Maksiat & Bid’ah. Wali syaitan sentiasa menyeru manusia kepada kesesatan, merosakkan akidah, mempermainkan hukum agama, serta menghidupkan amalan-amalan bid’ah dan syirik.

4. Dipenuhi Sifat Ujub, Riya’, dan Suka Dipuji. Berbeza dengan wali Allah yang tawaduk dan sentiasa merasa bimbang akan amalan mereka, wali syaitan suka menunjuk-nunjuk “kesaktian”, memuji diri sendiri sebagai orang suci, dan menuntut penghormatan atau penyembahan daripada manusia.

Mereka yang sebegini perlu ditentang dan dibongkarkan kesalahan mereka supaya orang awam tidak terkeliru dan tertipu ikut mereka. Orang awam bukannya tahu apa sangat, pakai ikut sahaja orang yang mereka nampak ada kelebihan tertentu. Jadi kerja kita orang yang berilmu lah untuk jelaskan kepada mereka. Allah berfirman di dalam Nisa’:76

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ ۖ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا
“Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan Taghut, sebab itu perangilah wali-wali syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” 

 

Kemaskini: 16 September 2026


Rujukan: 

Ustaz Yunus Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)

Jami’ Al-Ulum Wal Hikam (Ibnu Rajab al-Hambali)

Dr. Firanda Andirja

Syarah Hadis 40 (Imam Ibnu Al-‘Aththar). Anak murid kanan Imam Nawawi.

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment