Hadits Arbain #39: (Hadis 40 Imam Nawawi) Tidak Sengaja, Lupa, Dipaksa, Tidak Berdosa

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ قَال: إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي: الخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku ketika dia tidak sengaja, lupa, dan dipaksa.”

(Hadis hasan, Riwayat Ibnu Majah no. 2045, Al-Baihaqi, dan selainnya)

Imam Ibn Majah mengambil hadis ini dari Muhammad bin al-Musaffa al-Himsyi, dari Al-Walid bin Muslim al-Qurasyi, dari Al-Awza’i (Imam al-Awza’i), dari ‘Ata’ bin Abi Rabah, dari Ibnu Abbas.

Pakar hadith mengatakan dari segi sanad, hadis ini dhaif. Akan tetapi dari segi matannya diterima kerana ada sandarannya dari ayat-ayat Al-Qur’an. Maka kerana itu ia naik ke peringkat Hasan.

Hadis ini adalah satu rahmat dari Allah dan kerana itu kandungan hadis ini dibincangkan dan digunakan di dalam banyak hukum hakam dalam agama kita. Ini kerana kalimat: إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku” maksudnya Allah memberi kelonggaran kepada umat manusia sampaikan kalau ada kesalahan yang dilakukan, dia tidak dikira berdosa. Bukankah ini rahmat yang amat besar? Buat salah pun tapi tak dikira berdosa. Tapi nanti kita akan bincangkan, tidak semestinya dia tak kena hukuman atau kaffarah atau boleh lupakan begitu sahaja kalau sudah melakukan kesalahan itu. Nanti kita jelaskan.


 

الخَطَأَ

Al-Khata’ bermaksud ‘kesilapan‘. Maksudnya seseorang itu tidak ada niat untuk melakukan kesalahan dosa. Tapi kesalahan dilakukan kerana kesilapan yang ikhlas. Contohnya dia berburu dan dia hendak tembak rusa, tapi rupanya dia tertembak kawannya yang pergi memburu sekali sebab dia sangka itu adalah rusa. Ini termasuk di dalam الخَطَأَ dan dia tidak berdosa. Contohnya lagi, seseorang yang solat tapi belum masuk waktu lagi. Dia tidaklah berdosa.

Allah telah mengajar kita berdoa tentang kesilapan dan lupa ini di dalam Baqarah:286

رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَّسينا أَو أَخطَأنا
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.

Ini adalah doa permintaan dari kita. Dan di dalam satu riwayat panjang yang lain daripada Abu Hurairah RA, apabila ayat ini diturunkan, Allah SWT menjawab/berfirman:

«قَدْ فَعَلْتُ»
“Sungguh, Aku telah melakukannya (memakbulkannya).”

(Sahih Muslim, No. 126 & 125)

Hadis ini menjadi dalil sokongan Al-Qur’an dan As-Sunnah yang paling kuat bagi Hadis Ke-39 Arba’in Nawawiyah yang sedang dibincangkan ini apabila doa itu dimakbulkan terus oleh Allah secara nas. Oleh itu Hadis 39 ini menerangkan prinsip umum (kaedah fiqh) hasil daripada pengabulan doa ayat 286 Surah Al-Baqarah ini.

Dan Allah telah berfirman di dalam Ahzab:5

وَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ فيما أَخطَأتُم بِهِ وَلٰكِن مّا تَعَمَّدَت قُلوبُكُم
Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu.

Allah maafkan manusia yang beriman kalau melakukan kesalahan kerana memang manusia tidak sunyi dari melakukannya. Malah kalau hakim atau seorang mujtahid yang tinggi ilmunya pun boleh tersilap di dalam memberi hukum agama atau keputusan kes. Kesalahan dan kesilapan mereka pun tidak dikira berdosa. Malah mereka diberi pahala kerana usaha mereka memerah otak untuk berhukum itu. Ini disebut di dalam satu hadis,

عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ
Daripada ‘Amr bin al-‘As رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ, sesungguhnya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang hakim (atau mujtahid) membuat keputusan hukum lalu dia berijtihad dan ijtihadnya itu benar (tepat), maka dia mendapat dua pahala. Manakala apabila dia membuat keputusan hukum lalu dia berijtihad dan ijtihadnya itu tersilap (salah), maka dia mendapat satu pahala.”

Sahih al-Bukhari: (No. 7352); Sahih Muslim: (No. 1716); Sunan Abi Daud: No. 3574; Sunan at-Tirmidhi: No. 1326; Sunan an-Nasa’i: No. 5382; Sunan Ibn Majah: No. 2314. Status Hadis: Hadis Muttafaq ‘Alaih (disepakati keabsahannya oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim). 

Begitulah imuniti yang diberikan kepada qadi/hakim. Syaratnya mereka telah melakukan ijtihad, telah melakukan pemeriksaan tentang kes itu. Dia memang hendak mencari kebenaran dia telah pergi periksa betul-betul. Tapi bolehkah terjadi dia tersilap menjatuhkan hukum? Tentu ada. Sebagai contoh, ada saksi yang menipu. Atau ada bukti yang tidak jelas. Hakim bukannya boleh tahu apa isi hati manusia lain. Mereka juga tidak tahu semua perkara. Kalaulah tidak ada hadis ini, tentu tidak ada sesiapa yang berani jadi hakim kerana takut sangat kalau tersalah bagi hukum.

Begitu juga imuniti yang diberikan kepada para fuqaha’ atau mujtahid yang menjelaskan hukum hakam agama. Terutama sekali di dalam menafsirkan ayat-ayat dan hadis untuk mengeluarkan hukum. Mereka berkhidmat untuk memberi keputusan di dalam perkara yang baru timbul kerana ia tidak ada di dalam nas Al-Qur’an dan Hadis. Maka mereka kena memerah otak menggunakan apa sahaja dalil yang ada untuk mencapai keputusan yang dianggap paling tepat. Dan kita kena sedara yang mereka bukan Nabi, jadi ada kemungkinan mereka tersalah atau tersilap juga. Tapi asalkan mereka ikhlas dan mereka telah menggunakan kemahiran dan otak mereka untuk mengeluarkan hukum, mereka dimaafkan malah diberi satu pahala kalau mereka tersilap. Ini kerana mereka telah melakukan usaha yang keras dan itu pun dibalas dengan pahala oleh Allah!

 

Tetapi apakah semua الخَطَأَ itu terlepas daripada hukuman? Kalau tersalah, boleh lupakankah begitu sahaja? Adakah kaffarah baginya? Adakah dia tidak perlu lakukan apa-apa? Tentu tidak patut. Sebagai contoh seseorang tersilap ambil beg orang bawa balik rumah. Tengok-tengok ada duit dalam beg itu. Adakah dia berdosa? Tidak berdosa kerana terambil beg orang. Tapi dia tidaklah boleh terus guna beg itu dan kandungannya. Dia kena pulangkan.

Begitulah juga dalam hukum hakam hal lain. Kalau tersilap, adakah dia terlepas dari denda? Maka di sini, ulama’ berbeza berpendapat. Ada yang mengatakan tidaklah semestinya dia terlepas begitu sahaja. Maksudnya tidaklah dia terlepas dari kewajipan-kewajipan yang dia perlu lakukan. Contohnya seorang yang solat tapi terlupa wudhu’. Dia tidaklah berdosa, tapi dia kena lah ambil wudhu’ dan solat semula. Tidaklah dia boleh pakai solat dia tanpa wuduk itu. Begitulah juga orang yang terlupa solat atau tertidur, dia tidaklah boleh lepas begitu sahaja. Kenalah dia solat itu selepas dia sedar seperti sabda Rasulullah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ، وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Daripada Anas bin Malik RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Sesiapa yang terlupa suatu solat (atau tertidur daripadanya), maka hendaklah dia mendirikan solat itu apabila dia teringat (atau terjaga). Tidak ada kaffarah (penebus dosa) baginya melainkan dengan mendirikannya, (seperti firman Allah): ‘Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.'” (Surah Taha: 14)

Sahih al-Bukhari: (No. 597); Sahih Muslim: (No. 684).

Contoh lagi seperti orang yang buka puasa tapi tersilap kerana waktu berbuka belum masuk. Ataupun orang yang makan ketika sudah masuk waktu subuh di bulan Ramadhan. Dia bukan sengaja makan tapi tersilap di dalam menilai waktu. Di sisi ulama’ Syafi’iyah, dia kena teruskan puasa tapi dia kena qadha juga. Begitulah juga jikalau tok bilal tersilap azan awal dan dia termakan awal, maka dia pun berbuka puasa. Dia tidak berdosa kerana الخَطَأَ, tetapi adakah dia terlepas daripada qadha? Tidak, kerana dia kena qadha balik.

Kenapa kena qadha? Ya, dia tak berdosa dan Allah maafkan. Tapi dia tidak terlepas dari qadha. Kerana, di dalam Kaedah Syafi’iyah, لَا عِبْرَةَ بِالظَّنِّ البَيِّنِ خَطَؤُهُ (Tidak diambil kira/iktibar bagi sangkaan yang jelas terbukti bersalah). Seseorang itu memang harus (boleh) mengikut azan bilal kerana menganggap bahawa waktu sudah masuk. Ini berdasarkan zhan (sangkaan). Namun, apabila nyata bahawa bilal tersilap azan awal, sangkaan (zhan) tersebut terbatal secara automatik. Maka dia berbuka awal itu tidak dibenarkan, maka dia kena qadha.

Dalilnya adalah kisah para sahabat berbuka puasa kerana menyangka matahari telah tenggelam padahal ia belum lagi terbenam secara penuh, merupakan peristiwa sahih yang dirakamkan dalam Kitab Sahih al-Bukhari. Peristiwa ini menjadi rujukan utama para fuqaha’ dalam menentukan hukum terlanjur berbuka puasa sebelum waktunya. Kisah ini diriwayatkan oleh Asma’ binti Abi Bakr RA (kakak Saidatuna Aishah RA):

«أَفْطَرْنَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ غَيْمٍ، ثُمَّ طَلَعَتِ الشَّمْسُ»
“Kami pernah berbuka puasa pada zaman Rasulullah SAW pada hari yang berawan mendung, kemudian matahari terbit/kelihatan semula (kerana awan tebal berarak pergi).”

(Sahih al-Bukhari, No. 1959)

Syarah: Pada suatu hari di bulan Ramadan pada zaman Nabi SAW, cuaca di Madinah sangat mendung dan diliputi awan tebal. Suasana menjadi sangat gelap sehingga para sahabat menyangka waktu Maghrib telah masuk dan matahari sudah pun terbenam. Berdasarkan sangkaan (zhan) yang kuat itu, para sahabat (termasuk isi rumah Nabi SAW) pun berbuka puasa. Tidak lama selepas mereka berbuka, tiupan angin telah mengarak awan tebal tersebut pergi. Tiba-tiba matahari kelihatan semula di ufuk barat menandakan waktu siang sebenarnya belum tamat dan waktu Maghrib belum lagi masuk.

Isu sama ada para sahabat diperintahkan untuk mengqada’ puasa tersebut menjadi perbahasan penting dalam Fiqh. Murid Hisham bin ‘Urwah bertanya kepada Hisham: “Adakah mereka diperintahkan untuk mengqada’ puasa hari tersebut?” Hisham menjawab: “Tentu sahaja wajib qada’ (tiada pilihan lain).”

Majoriti ulama menetapkan bahawa orang yang terlanjur berbuka puasa kerana menyangka matahari telah terbenam (tetapi ternyata belum) wajib mengqada’ puasa hari tersebut. Mereka tidak mendapat dosa kerana tindakan itu dilakukan keraran kesilapan ikhlas (khata’). Namun, dari segi rukun puasa, syarat sah puasa iaitu menahan diri sehingga benar-benar masuk waktu Maghrib telah terbatal.

Ini seperti juga hukuman denda bagi sesiapa yang membunuh seorang mukmin secara tidak sengaja, bukankah dia kena bebaskan hamba walaupun dia tidak bersalah? Ini seperti firman Allah di dalam Nisa’:92

وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ إِلَّا أَن يَصَّدَّقُوا
Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya).

Ada satu kisah kewafatan Al-Yaman RA (nama sebenar beliau ialah Husaill bin Jabir RA), bapa kepada sahabat pemegang rahsia Nabi SAW iaitu Huzaifah bin al-Yaman RA, merupakan antara tragedi paling menyayat hati dalam Perang Uhud (3 Hijriah).

Al-Yaman RA dan seorang lagi sahabat yang telah sangat tua bernama Thabit bin Waqsh RA ditempatkan di benteng belakang bersama golongan wanita dan kanak-kanak kerana faktor umur mereka yang sangat uzur. Apabila kecamuk Perang Uhud bermula dan tentera Islam mula terdesak, kedua-dua veteran ini saling memandang antara satu sama lain. Al-Yaman berkata kepada Thabit: “Apa lagi yang kita tunggu? Umur kita berdua sudah tidak lama lagi. Bukankah lebih baik kita mengangkat pedang, menyertai Rasulullah SAW, dan mencari syahid di jalan Allah?” Mereka berdua lalu menyarung pedang dan keluar dari benteng keselamatan menuju ke medan perang tanpa pengetahuan pasukan keselamatan tentera Islam.

Di tengah-tengah medan Uhud, keadaan menjadi sangat keliru dan huru-hara selepas tentera Islam diasak hebat oleh tentera musyrikin dari arah belakang (akibat pergerakan tentera pemanah yang meninggalkan bukit). Al-Yaman RA pula memasuki saf pertempuran dari arah yang tidak disangka. Beliau memakai topi besi (mighfar) dan pakaian perang yang menutup sebahagian wajahnya. Dalam suasana kelam-kabut, debu tebal, dan panik, sepasukan tentera Islam menyangka al-Yaman ialah tentera musuh lalu mengepung dan menyerangnya. Huzaifah bin al-Yaman RA yang berada tidak jauh dari situ secara tiba-tiba terpandang bapanya sedang dikepung oleh saudara-saudara seagamanya sendiri. Beliau menjerit sekuat hati:

«أَيْ عِبَادَ اللهِ! أَبِي! أَبِي!»
“Wahai hamba-hamba Allah! Itu bapaku! Itu bapaku!”

Namun, dalam suasana jeritan perang dan dentingan pedang yang riuh-rendah, jeritan Huzaifah tidak didengari. Sebelum sempat sesiapa menyedari kesilapan tersebut, pedang-pedang tentera Islam telah pun meragut nyawa al-Yaman RA. Beliau gugur sebagai syahid di tangan rakan seperjuangannya sendiri tanpa sebarang niat sengaja. Apabila tentera Islam tersedar bahawa orang yang baru mereka bunuh ialah al-Yaman (bapa Huzaifah), mereka diselubungi rasa bersalah, penyesalan, dan ketakutan yang amat sangat.

Namun, reaksi Huzaifah RA sungguh menakjubkan. Beliau tidak marah, tidak berdendam, dan tidak menyalahkan sesiapa. Sebaliknya, dengan hati yang tenang dan penuh iman, beliau berkata:

«يَغْفِرُ اللهُ لَكُمْ، وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ»
“Semoga Allah mengampunkan dosa kamu semua, dan Dialah Maha Penyayang di antara yang Maha Penyayang.”

Selepas Perang Uhud tamat, peristiwa ini disampaikan kepada Rasulullah SAW. Dari sudut hukum Syarak, pembunuhan tanpa sengaja (al-qatl al-khata’) dalam peperangan tetap mengenakan bayaran Diyat (pampasan ganti rugi nyawa) kepada waris mangsa. Rasulullah SAW memerintahkan agar harta diyat dibayar kepada Huzaifah RA daripada perbendaharaan tentera/kerajaan. Oleh kerana kesalahan itu ketika perang, pembayaran diyat itu dari perbendaharaan dan bukan dari pembunuh. Namun, Huzaifah RA menolak untuk mengambil wang pampasan tersebut dan memohon agar keseluruhan harta diyat itu disedekahkan semula kepada kaum Muslimin yang memerlukan. Tindakan ini menyebabkan kasih sayang dan penghormatan Rasulullah SAW serta para sahabat terhadap Huzaifah bin al-Yaman RA semakin bertambah tinggi.

Satu lagi contoh adalah orang yang solat tapi kemudian dia dapat tahu qiblat dia tadi tak betul. Maka dia kena solat balik. Dia tidak berdosa kerana tersilap tadi, tapi dia tetap kena solat balik. Cuma dalam kes ini ulama’ khilaf. Berapa lama waktu antara dia solat dan tahu qiblat tersilap. Ada  yang kata tetap kena qadha walaupun sudah lama masa berlalu. Ada yang kata kalau waktu sudah berlalu, sudah masuk waktu solat lain, tidak perlu qadha. Dan kalau dia sedang solat dan ada orang jerit kata dia tersilap solat, dia tidak perlu solat semula. Terus sahaja dia tukar qiblat dengan bergerak. Atau dia digerakkan oleh orang yang tahu arah qiblat itu. Dia tidak perlu ulang solat dari awal. Dalilnya perbuatan Nabi yang membuang kasut baginda setelah diberitahu Jibril yang kasut baginda ada najis. Tidaklah baginda solat dari mula.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, beliau menceritakan:

بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي بِأَصْحَابِهِ إِذْ خَلَعَ نَعْلَيْهِ فَوَضَعَهُمَا عَنْ يَسَارِهِ، فَلَمَّا رَأَى ذَلِكَ الْقَوْمُ أَلْقَوْا نِعَالَهُمْ…
“Ketika Rasulullah SAW sedang memimpin solat bersama para sahabat, tiba-tiba Baginda mencabut kedua-dua selipar/kasutnya lalu meletakkannya di sebelah kirinya. Apabila para sahabat melihat tindakan itu, mereka pun melepaskan dan melempar selipar mereka masing-masing.

Selesai sahaja solat, Rasulullah SAW berpaling dan bertanya: “Mengapakah kamu semua melepaskan selipar kamu?” Para sahabat menjawab: “Kami melihat engkau melepaskan selipar engkau, maka kami pun melepaskan selipar kami.” Lalu Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ جِبْرِيلَ أَتَانِي فَأَخْبَرَنِي أَنَّ فِيهِمَا قَذَرًا – أَوْ قَالَ: أَذًى – فَإِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ، فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ، وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
“Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku dan memberitahu bahawa pada kedua-dua seliparku terdapat najis. Maka apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid, hendaklah dia melihat (memeriksa seliparnya). Jika dia melihat ada najis pada seliparnya, hendaklah dia menyapunya (membersihkannya) dan solatlah dengan menggunakannya.”

(Riwayat Abu Dawud, No. 650; Ahmad, No. 11153; Dinilai Sahih oleh al-Albani)

Jadi kesimpulan dari perbincangan ini, walaupun seseorang tidak berdosa kerana الخَطَأَ tapi dia kena juga kaffarah. Jadi tidaklah kalau الخَطَأَ bermaksud tidak ada hukuman dan tidak ada denda.

 

Bagaimana pula kalau melakukan kerosakan kerana tidak sengaja? Adakah kena ganti rugi?

Pertama, jika terkait dengan hak sesama manusia. Ada dua hal yang perlu diperhatikan:

1. Jika memang perbuatan tersebut diizinkan, dan kerosakan itu tidak sengaja, ketika itu tidak ada dhaman (ganti rugi). Contoh, seperti yang dilakukan oleh seorang doktor, atau orang yang menjadi wakil (diserahi tanggung jawab) lalu tidak sengaja melakukan kerosakan. Ini kerana kaedahnya, jika sesuatu yang dibolehkan oleh syari’at, mengakibatkan tidak ada dhaman (ganti rugi).

2. Jika perbuatan tersebut tidak diizinkan, maka dikenakan dhaman (ganti rugi). Contoh, orang yang tidak sengaja membunuh orang lain walaupun tidak dikenakan qisas (nyawa dibalas nyawa), namun tetap dikenakan dhaman (ganti rugi) iaitu dikenakan diyyat.

Begitu juga kalau kita tidak sengaja telah merosakkan barang orang seperti terlanggar. Memang tidak berdosa kerana kita tidak sengaja. Akan tetapi kita tetap kena ganti barang dia.

Kedua, jika terkait dengan hak Allah, maka tidak ada hukuman had. Namun apakah ada dhaman (ganti rugi)?

1. Jika tidak ada itlaf (merosakkan) seperti seseorang yang tidak sengaja menutup kepalanya ketika di dalam ihram atau memakai baju ketika ihram (padahal tidak boleh mengenakan pakaian yang membentuk lekuk tubuh seperti baju, pen.), maka tidak ada kaffarah.

2. Jika ada itlaf seperti memotong kuku dalam ihram atau memotong rambut ihram atau berburu haiwan, maka ada perbezaan pendapat jika dilakukan tidak sengaja untuk kes kedua ini. Pendapat yang lebih kuat adalah tetap dikenakan kaffarah iaitu kena bayar dam.

Bagaimana jikalau seseorang itu melanggar hukum kerana tidak tahu ia salah? Contohnya orang yang baru masuk Islam dan tidak tahu lagi bahawa arak itu haram, berzina itu haram. Ya mereka ini juga tidak berdosa dan tidak dikenakan dengan hukuman.

Bagaimana kalau seseorang itu tahu yang membunuh itu haram, tapi dia tidak tahu yang hukum bunuh balasannya adalah qisas (bunuh balik)? Dia mungkin kata kalau dia tahu hukumannya bunuh balik, tentu aku tak bunuh. Dia tahu perbuatan itu salah tapi dia tidaklah sangka sampai begitu berat balasannya. Dalam kes ini, alasan ‘tidak tahu’ itu tidak diterima. Tetap dia boleh dikenakan dengan hukum bunuh, melainkan dimaafkan oleh keluarga si mati.

Ada hadis contoh seorang sahabat yang tidak tahu hukuman yang dikenakan kepada penzina dan hukuman hudud tetap dijalankan. Daripada Abu Hurairah RA dan Zaid bin Khalid al-Juhani RA: Seorang lelaki Arab Badwi datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, putuskanlah perkara antara kami mengikut Kitab Allah!” Lelaki yang satu lagi berdiri dan berkata: “Benar wahai Rasulullah, putuskanlah mengikut Kitab Allah dan izinkan aku bercakap.” Baginda bersabda: “Bercakaplah.” Lelaki itu berkata:

“Anak lelakiku bekerja sebagai buruh upahan dengan lelaki ini, lalu anakku berzina dengan isterinya. Orang ramai memberitahuku bahawa anakku wajib dihukum rejam (sampai mati). Maka aku telah menebus anakku dengan membayar 100 ekor kambing dan seorang hamba wanita. Kemudian aku bertanya kepada orang yang berilmu, lalu mereka memberitahuku bahawa anakku sebenarnya hanya wajib disebat 100 kali dan dibuang daerah selama setahun, manakala hukum rejam itu sebenarnya hanya untuk isteri lelaki ini.” Mendengar kenyataan tersebut, Rasulullah SAW bersabda:

«وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لأَقْضِيَنَّ بَيْنَكُمَا بِكِتَابِ اللَّهِ: المَائَةُ شَاةٍ وَالخَادِمُ رَدٌّ عَلَيْكَ، وَعَلَى ابْنِكَ جَلْدُ مِائَةٍ وَتَغْرِيبُ عَامٍ، وَاغْدُ يَا أُنَيْسُ إِلَى امْرَأَةِ هَذَا، فَإِنِ اعْتَرَفَتْ فَارْجُمْهَا»
“Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, aku pasti akan memutuskan perkara antara kamu berdua mengikut Kitab Allah: 100 ekor kambing dan hamba wanita itu wajib dikembalikan kepadamu (tebusan itu terbatal). Manakala anakmu wajib disebat 100 kali dan dibuang daerah selama setahun. Dan wahai Unais (seorang sahabat), pergilah berjumpa isteri lelaki ini. Jika dia mengaku (melakukan zina), maka rejamlah dia.”

(Sahih al-Bukhari, No. 2695 & Sahih Muslim, No. 1696)


 

النِّسْيَانَ

An-Nisyan bermaksud ‘terlupa‘. Dan lupa yang dimaksudkan di sini ialah lupa yang tak sengaja. Memang betul-betul lupa dan bukan buat-buat lupa! Ini kerana di dalam Bahasa Arab, النِّسْيَانَ itu ada dua jenis.

1. Nisyan ‘Ala Sabil al-Ghaflah / al-Khata’ (النِّسْيَانُ عَلَى سَبِيلِ الْغَفْلَةِ) Ini adalah benar-benar Lupa (Lupa Hakiki/Semula Jadi manusia). Inilah yang menjadi subjek perbincangan kita.

2. Nisyan ‘Ala Sabil al-I’rad wa al-Tark (النِّسْيَانُ عَلَى سَبِيلِ الإِعْرَاضِ وَالتَّرْكِ). Ini adalah sengaja lupa kerana hendak membelakangkan hukum. Contohnya Allah berfirman di dalam Sajdah:14 فَذُوقُوا بِمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا (Maka rasakanlah (azab) disebabkan kamu lupa (iaitu sengaja mengabaikan/meninggalkan) pertemuan dengan harimu ini). Bagi mereka yang sengaja lupa, mereka ini tidak termasuk di dalam perbincangan hadis ini. Contohnya, seseorang sudah tahu sudah masuk waktu Solat Zuhur. Tapi dia lalai, dia pergi main game, sampai terlupa untuk solat. Ketika itu dia berdosa kerana dia lalai. Dia bukan terlupa langsung tapi sebab lalai.

Yang dimaafkan adalah kalau betul-betul terlupa. Contohnya seseorang yang makan kerana terlupa yang dia sedang berpuasa. Ketika itu adakah batal puasa dia? Puasa dia tidak batal dan malah dia tak perlu qadha, boleh teruskan berpuasa. Ini kerana Rasulullah ada bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ، فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ، فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Sesiapa yang terlupa sedangkan dia sedang berpuasa, lalu dia makan atau minum, maka hendaklah dia meneruskan (menyempurnakan) puasanya. Kerana sesungguhnya Allah yang memberi makan dan minum kepadanya.”

Sahih al-Bukhari: (No. 1933); Sahih Muslim: (No. 1155).


 

مَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Dan yang dipaksa ke atasnya. Contohnya seseorang yang dibawa ke tempat haram  yang dia tidak akan pergi sendiri. Ada orang tangkap dan ikat dia dan bawa ke tempat maksiat, sedangkan dia tak rela. Maka dia tidak berdosa dalam hal ini.

Atau seorang gadis yang dirogol. Tentulah dia tidak berdosa zina kerana bukan dia yang rela malahan dia dipaksa pula. Dalam hal ini, ulama’ bincang juga bagaimana kalau suami memaksa isterinya jimak di siang bulan Ramadhan atau di dalam Ihram? Dua waktu itu dilarang untuk berjimak akan tetapi bagaimana kalau isteri itu dipaksa? Maka ulama’ mengatakan isteri tidak berdosa dan tidak dikenakan dengan kaffarah kerana dia dipaksa. Akan tetapi dia tetap kena qadha puasanya dan juga mandi wajib.

Bagi mereka yang dipaksa, tidak ada dosa dan tidak ada hukuman bagi mereka. Ini walaupun apabila seseorang dipaksa untuk mengucapkan perkataan kufur lalu dia pun ucapkan. Sedangkan dalam hati dia tetap beriman. Dalam hal ini Allah berfirman di dalam Nahl:106

مَن كَفَرَ بِاللهِ مِن بَعدِ إيمٰنِهِ إِلّا مَن أُكرِهَ وَقَلبُهُ مُطمَئِنٌّ بِالإيمٰنِ
Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa)

Latar belakang:  Ayat ini berkenaan ‘Ammar bin Yasir RA bersama ibu bapanya, Yasir bin ‘Amir dan Sumayyah binti Khayyat, yang merupakan antara golongan al-Mushtad’afin (golongan lemah dan hamba) yang awal memeluk Islam di Mekah. Apabila keislaman mereka diketahui oleh pembesar Musyrikin Quraisy, terutamanya Abu Jahl, mereka ditangkap dan dibawa ke padang pasir Al-Abtah di bawah terik matahari Mekah yang membakar. Mereka dipakaikan baju besi panas, dijemur, dipukul, dan diseksa tanpa henti supaya keluar daripada agama Islam. Sumayyah RA ditikam oleh Abu Jahl dengan tombak sehingga gugur sebagai syahid pertama dalam Islam, diikuti oleh suaminya Yasir RA.

Selepas menyaksikan kedua ibu bapanya dibunuh di hadapan matanya sendiri, penyeksaan ke atas ‘Ammar dilipatgandakan. Kaum Quraisy merendamnya ke dalam air sehingga sesak nafas, membakarnya dengan api, dan memukulnya. Apabila penyeksaan tersebut mencapai had yang tidak tertanggung oleh fizikal manusia, musyrikin Quraisy berkata kepadanya: “Kami tidak akan melepaskanmu sehinggalah engkau mencela Muhammad dan menyebut perkara yang baik tentang al-Lat dan al-‘Uzza (berhala mereka).”

Dalam keadaan nyawa di hujung tanduk dan fizikal yang hancur, ‘Ammar terpaksa menuturkan mengikut kehendak mereka demi menyelamatkan nyawanya. Selepas menyebut kata-kata tersebut, kaum Quraisy melepaskannya. Selepas dilepaskan, ‘Ammar berlari dalam keadaan menangis teresak-esak menemui Rasulullah. Beliau merasa dirinya telah binasa dan murtad kerana mengucapkan kata-kata kufur tersebut. ‘Ammar berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah binasa! Aku tidak dilepaskan sehinggalah aku mencela engkau dan memuji tuhan-tuhan mereka!“

Rasulullah bertanya secara lembut: “Bagaimanakah engkau mendapati keadaan hatimu ketika itu?” ‘Ammar menjawab: “Aku mendapati hatiku tetap tenang, tenteram, dan mantap dengan keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya.” Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW menyapu air mata ‘Ammar seraya bersabda: “Wahai ‘Ammar, jika mereka kembali menyeksamu (pada masa akan datang), maka ulangilah lagi kata-kata itu (untuk menyelamatkan nyawamu).” Dan kerana kes ini ayat Nahl:106 diturunkan.

Ini satu lagi contoh. Hukum asal bagi orang Mukmin adalah tidak berwali atau berwala’ kepada orang kafir dan meninggalkan golongan mukmin. Akan tetapi Allah memberi kelonggaran kepada Muslim yang terpaksa tunduk kepada orang kafir seperti disebut di dalam Ali Imran:28

لّا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكٰفِرينَ أَولِيآءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۖ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ إِلّآ أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu).

Perhatikan ancaman Allah memang keras kalau berwali kepada orang kafir sampai Allah berlepas Diri dari mereka. Akan tetapi jikalau mereka terpaksa kerana mendapat ancaman bahaya dari orang kafir, maka ada kelonggaran yang Allah berikan.

Akan tetapi kena tengok jugalah apakah ancaman itu. Ancaman itu mestilah ancaman yang bahaya melibatkan kematian atau kecederaan. Jangan setakat hilang jawatan sahaja, kita sudah ikut. Contoh yang ada, adalah melibatkan parti-parti politik. Kadangkala gabungan parti politik menyebabkan ada parti terpaksa tunduk kepada arahan parti yang kafir. Contohnya dalam meluluskan Akta Hukum Hudud. Memanglah orang kafir tak suka kalau Hukum Hudud diluluskan kerana mereka tidak faham. Tapi janganlah kerana takut hilang jawatan menyebabkan ahli politik sanggup menggagalkan rancangan untuk menjalankan Hukum Hudud kerana ia adalah arahan dari Allah. Ancaman dimarah, dibuang jawatan atau ditinggalkan dari gabungan politik tidak cukup untuk menentang hukum Allah!

Begitu jugalah kalau seseorang itu dipaksa dengan kekerasan untuk minum arak, atau menjadi pelacur, mereka tidak berdosa. Dalilnya Allah berfirman di dalam Nur:33,

وَلا تُكرِهوا فَتَيٰتِكُم عَلَى البِغاءِ إِن أَرَدنَ تَحَصُّنًا لِّتَبتَغوا عَرَضَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۚ وَمَن يُكرِههُنَّ فَإِنَّ اللهَ مِن بَعدِ إِكرٰهِهِنَّ غَفورٌ رَّحيمٌ
Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri mengingini kesucian, kerana kamu hendak mencari keuntungan duniawi. Dan barangsiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (kepada mereka) sesudah mereka dipaksa itu.

 

Baik, kita sudah agak faham tentang melakukan sesuatu kerana dipaksa. Tapi dipaksa itu bagaimana? Dalam Kitab Al-Mawsu’ah Al-Fiqhiyyah ada disebutkan bahawa pemaksaan itu ada dua macam:

Pemaksaan pertama disebut ikrahan tamman, iaitu pemaksaan sempurna, ertinya benar-benar menghadapi bahaya besar. Seperti dipaksa dengan dibunuh, dipotong, dipukul yang dapat membahayakan jiwa atau anggota badan, baik dengan sedikit atau banyak pukulan.

Pemaksaan kedua disebut ikrahan naqishan, iaitu pemaksaan yang tidak sempurna, ertinya tidak benar-benar mengancam jiwa. Seperti dipenjara, dirantai, atau pukulan yang tidak sampai membahayakan jiwa atau anggota badan.

Para ulama menyatakan bahawa yang disebut pemaksaan yang boleh melakukan perbuatan kekufuran atau mengucapkan kata kufur adalah pemaksaan pertama, iaitu pemaksaan sempurna (ikrahan tamman).

Jadi kena tengok juga paksaan itu jenis bagaimana. Kalau untuk mengucap kalimah kufur, memang kena berat ancamannya. Begitu juga dengan ancaman yang lain. Tidak diterima jikalau ancaman yang tidak mengancam nyawa atau keselamatan fizikal, seperti ancaman dipulau, dicaci, dihalau dari persatuan, dirampas harta yang sedikit, atau dipukul secara ringan yang tidak mencederakan.

Di waktu yang sama, syarat disebut paksaan adalah:

    1. Ancaman yang diberikan benar-benar boleh memberi bahaya pada jiwa atau anggota badan.
    2. Yang memaksa benar-benar mampu menjalankan ancamannya.
    3. Yang dipaksa benar-benar tidak mampu untuk menolak ancaman pada dirinya, baik dengan melarikan diri atau meminta pertolongan pada yang lain.
    4. Yang dipaksa ada sangkaan kuat bahawa ancaman tersebut benar-benar boleh diberikan oleh yang memaksa.

 

Soalan: Bolehkah orang yang diancam itu memilih untuk bersabar dan terus terkena bahaya dan terus disakiti, malah boleh juga dia terbunuh ketika itu?

Jawapan: Ya, boleh memilih seperti itu. Bilal bin Rabbah pernah memilih seperti itu. Ibnu Katsir rahimahullah menyatakan, seseorang boleh memilih untuk mati ketika diancam untuk mengatakan kalimat kufur. Seperti yang dipilih oleh Bilal. Beliau tetap enggan mengucapkan kalimat kufur. Sampaikan orang kafir meletakkan batu yang besar di dadanya dalam keadaan panas. Mereka terus memaksa Bilal untuk berbuat syirik pada Allah, namun Bilal enggan menuruti keinginan mereka. Bilal tetap mengatakan, “Ahad, Ahad (ertinya: Esa, Esa).” Bilal mengatakan, “Demi Allah, seandainya aku tahu suatu kalimat yang akan membuat kalian lebih marah dari kalimat itu, tentu aku akan mengucapkannya.”

Bagaimana kalau seseorang itu dipaksa untuk membunuh orang lain? Kalau dia tak bunuh, dia sendiri kena bunuh. Atau, kalau tak bunuh, diancam keluarganya pula yang akan dibunuh. Dalam hal ini, ulama’ telah sepakat tidak boleh membunuh orang lain kerana hendak menyelamatkan nyawa sendiri. Kerana nilai nyawa orang lain tidak lebih rendah dari nyawa kita. Ini kita telah bincangkan di dalam Hadis #32 Tidak boleh melakukan mudharat,

عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ سَعْدِ بْنِ مَالِكِ بْنِ سِنَانٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ ﷺقَالَ: لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Dari Abu Sa’id Sa’ad bin Malik bin Sinan Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidak boleh memberikan mudarat kepada diri sendiri atau pun kepada orang lain.”

Cuma katakanlah ada yang tidak tahu hukum dan dia pun sudah bunuh orang lain. Jadi hukum hudud kena dijalankan; tapi siapa yang dikenakan hukuman? Yang membunuh (kerana dipaksa) atau yang memaksa dan mengeluarkan arahan itu?

Apabila berlaku situasi di mana A memaksa B untuk membunuh C di bawah ancaman nyawa (Ikrah al-Mulji’), para fuqaha berbeza pandangan mengenai siapa yang dikenakan dengan hukuman mati (Qisas):

1. Pandangan Majoriti Ulama (Mazhab Syafi’i, Maliki, & Hanbali)

Majoriti ulama berpandangan bahawa KEDUA-DUA PIHAK (Yang Memaksa & Yang Membunuh) Boleh Dikenakan Hukuman Mati (Qisas) atau hukuman yang setimpal. Yang Memaksa (Al-Mukrih) dikenakan hukuman mati (Qisas) kerana dialah punca utama (Sabab) pembunuhan itu berlaku. Tanpa paksaannya, pembunuhan tidak akan terjadi. Yang Membunuh/Pelaku juga tetap dikenakan  hukuman mati (Qisas) mengikut pendapat kuat Mazhab Syafi’i dan Maliki.

Rasional Hukum: Mengapa orang yang dipaksa tetap dihukum? Kerana dalam Islam, nyawa manusia adalah setara. Seseorang tidak boleh menyelamatkan nyawanya sendiri dengan cara mengorbankan/mengambil nyawa orang lain yang tidak berdosa. Kaedah Fiqh: Nyawa anda tidak lebih berharga daripada nyawa mangsa yang anda bunuh.

2. Pandangan Mazhab Hanafi & Sebahagian Ulama Syafi’iyyah

Dalam Mazhab Hanafi (serta satu riwayat dalam Mazhab Syafi’i): Hukuman Mati (Qisas) HANYA dikenakan ke atas YANG MEMAKSA (Al-Mukrih): Kerana orang yang memaksa dianggap menggunakan orang yang dipaksa itu sebagai “alat” fizikal sahaja untuk melaksanakan jenayahnya.

Yang Membunuh (Al-Mukrah): Tidak dikenakan Qisas (hukuman mati), tetapi dikenakan hukuman Ta’zir (hukuman penjara/seksaan berat oleh pemerintah) kerana dia melakukan perbuatan haram membunuh, di samping wajib membantu membayar Diyat.

 

Kesimpulan

Jadi ini adalah 3 asas yang kita telah belajar. Tersilap, lupa dan dipaksa. Di dalam hadis lain ada disebut 3 perkara lain.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ
Daripada Ummul Mukminin ‘Aishah RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Pena (pencatat amalan/dosa) diangkat daripada tiga golongan: Daripada orang yang tidur sehinggalah dia terjaga, Daripada kanak-kanak sehinggalah dia bermimpi (baligh), dan Daripada orang yang gila sehinggalah dia berakal (sembuh).”

Sunan Abi Daud: (No. 4398); Sunan at-Tirmidhi: (No. 1423); Sunan An-Nasa’i: (No. 3432); Sunan Ibn Majah: (No. 2041). Hadis ini Sahih menurut penilaian majoriti ulama hadis seperti Imam at-Tirmidhi, Ibn Hibban, Al-Hakim, dan Sheikh al-Albani.

Allahu a’lam.

Kemaskini: 16 Oktober 2026


 

Rujukan:

Ustaz Yunus Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)

Jami’ Al-Ulum Wal Hikam (Ibnu Rajab al-Hambali)

Rumaysho

Ustaz Dr. Salman Ali

Dr. Firanda Andirja

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply