11. Belajar terima qadha dan qadar

11. Belajar terima qadha dan qadar.

Kenapa ini penting? Kerana apa yang Allah ‎ﷻ telah takdirkan, pasti akan berlaku dan kita tidak akan boleh mengubahnya atau menghalangnya daripada terjadi. Maka tidak perlu menangisi apa yang telah berlaku. Allah ‎ﷻ telah menjelaskan perkara ini di dalam Hadid:22

ما أَصابَ مِن مُّصيبَةٍ فِي الأَرضِ وَلا في أَنفُسِكُم إِلّا في كِتٰبٍ مِّن قَبلِ أَن نَّبرَأَها إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ
Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

Jelaslah di sini kita tidak perlu untuk terlalu memikirkan perkara yang kita tidak boleh hendak ubah pun. Kalau fikir punya fikir pun, ia tetap akan berlaku juga. Jikalau kita sibukkan fikiran kita memikirkannya, akibatnya kita sendiri yang terkesan pula di mana kita menjadi semakin gelisah dan tidak keruan mengenangkan perkara yang telah berlalu. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Tawbah:51

قُل لَّن يُصيبَنا إِلّا ما كَتَبَ اللَّهُ لَنا
Katakanlah: “Sekali-kali tidak akan menimpa kita melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kita.

Oleh kerana itu, janganlah merasa gundah dan bersedih kerana sesuatu penyakit, kematian yang semakin dekat, kerugian harta, atau rumah yang terbakar. Betapapun, sesungguhnya Sang Maha Pencipta telah menentukan segala sesuatunya dan takdir telah berbicara. Belajarlah untuk berdamai dengan takdir.

Kita bukanlah hendak menghalang usaha, akan tetapi usaha dan upaya adalah usaha kita sahaja, akan tetapi hak untuk menentukan, tetap mutlak milik Allah ‎ﷻ. Melalui segala perbuatan kita, pahala telah tercapai, dan dosa sudah terhapus. Maknanya yang patut dapat pahala akan dapat pahala dan mana yang patut mendapat penghapusan dosa, akan terhapuslah dosa itu jikalau kita meminta ampun.

Maka, berbahagialah orang-orang yang tertimpa musibah atas kesabaran dan kerelaan mereka terhadap Yang Maha Mengambil, Maha Pemberi, Maha Mengekang lagi Maha Lapang.

Bagaimanakah sikap seorang Mukmin? Lihat apa sabda Rasulullah ﷺ, daripada Shuhaib, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda,

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”

(Sahih Muslim, No. 2999)

Begitulah bagi seorang Mukmin yang menerima dengan redha qada’ dan qadar Allah ‎ﷻ, maka pahala baginya, sama ada dia diberi nikmat atau dia ditimpa musibah. Dia akan mendapat pahala kerana redha dengan segala menimpa dirinya tidak kira nikmat atau musibah. Lumrah manusia mudah untuk redha apabila mendapat nikmat, dan ini amatlah baik. Di dalam hadis yang lain,

ما أنْعَمَ اللهُ عَلَى عَبْدٍ بنعْمةٍ فَقالَ الحَمْدُ لِلَّهِ إلاَّ كانَ ما أعْطَى أفْضَلَ مِمَّا أخَذَ
Tidaklah Allah ‎ﷻ menganugerahkan kenikmatan apapun pada seorang hamba lalu dia mengucapkan ALHAMDULILLAH, kecuali apa yang yang Dia berikan (kepadanya berupa membaca alhamdulillah) lebih utama daripada (nikmat) apa yang dia terima.

(H.R Ibnu Majah, disahihkan oleh Syaikh al Albani).

Akan tetapi bagaimana pula dengan musibah? Adakah tidak patut kita juga redha dengan ketentuan Allah ‎ﷻ? Ia juga memang patut dan ia senang dilakukan bagi orang yang mengetahui hakikat musibah itu, sebagaimana telah diberitahu kepada kita oleh Rasulullah ﷺ:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه] daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan keletihan, kekhuatiran dan kesedihan, dan tidak juga gangguan dan kesusahan bahkan duri yang melukainya melainkan Allah ‎ﷻ akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”

(Sahih Bukhari (5210))

Jikalau kita tahu segala musibah yang diberikan kepada kita itu adalah sebagai penyuci dosa kita, tentulah kita ada perspektif yang berbeza dengan musibah itu, bukan? Kita akan berasa lega dengan musibah yang dikenakan kepada kita. Apa kata selepas ini, apabila setiap kali musibah menimpa, janganlah kita cepat mengeluh sebaliknya katakan: ‘Oh tak mengapa, ujian sikit je ni, Allah pasti mahu hapuskan dosa-dosa aku yang berlambak ni…’

Usahlah difikirkan sangat apa yang telah berlalu. Selalu bukan, kita asyik memikirkan kembali satu persatu perkara yang telah berlaku. Bagaikan klip video yang diulang tayang berkali-kali di dalam kotak fikiran kita ini. Kita menangisinya dan kita cuba mengulang-ngulang kejadian itu dan berkata: kalaulah begini dan begitu. Akan tetapi tahukah anda bahawa perbuatan ini adalah bahaya sekali? Rasulullah ﷺ telah mengajar kita,

وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ، فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
Kalau engkau tertimpa musibah, janganlah engkau mengatakan: Kalau tadi aku lakukan begini, tentu jadinya akan begini dan begini, tetapi katakanlah: Sudah takdir Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Kerana sesungguhnya kata “kalau” itu membuka pintu amalan syaitan.”

(Riwayat Muslim, No. 22664)

Kenapa ia bahaya? Kerana ia seolah-olah menolak takdir Allah ‎ﷻ, iaitu tidak redha dan tidak menerima takdir. Sedangkan itu adalah salah satu daripada rukun iman. Kalau runtuh satu rukun iman, maka runtuhlah agama kita, bukan? Maka berhati-hatilah.


 

Tulisan Asal Penulis: 

قَضَاءٌ وَقَدَرٌ

Qada’ dan Qadar

﴿مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا﴾، جَفَّ الْقَلَمُ، رُفِعَتِ الصُّحُفُ، قُضِيَ الْأَمْرُ، كُتِبَتِ الْمَقَادِيرُ، ﴿لَن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا﴾، مَا أَصَابَكَ لَمْ يَكُنْ لِيُخْطِئَكَ، وَمَا أَخْطَأَكَ لَمْ يَكُنْ لِيُصِيبَكَ.

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bencana) yang menimpa di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menjadikannya.” [Surah Al-Hadid:22]. Pena telah kering, lembaran telah diangkat, urusan telah ditetapkan, dan takdir-takdir telah ditulis. “Katakanlah: Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami.” [Surah At-Tawbah:51]. Apa yang ditakdirkan menimpamu tidak akan tersilap daripadamu, dan apa yang tersilap daripadamu tidak akan ditakdirkan menimpamu.

إِنَّ هٰذِهِ الْعَقِيدَةَ إِذَا رَسَخَتْ فِي نَفْسِكَ وَقَرَّتْ فِي ضَمِيرِكَ صَارَتِ الْبَلِيَّةُ عَطِيَّةً، وَالْمِحْنَةُ مِنْحَةً، وَكُلُّ الْوَقَائِعِ جَوَائِزَ وَأَوْسِمَةً، «وَمَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُصِبْ مِنْهُ»، فَلَا يُصِيبُكَ قَلَقٌ مِنْ مَرَضٍ أَوْ مَوْتِ قَرِيبٍ، أَوْ خَسَارَةٍ مَالِيَّةٍ، أَوْ احْتِرَاقِ بَيْتٍ، فَإِنَّ الْبَارِيَ قَدْ قَدَّرَ، وَالْقَضَاءَ قَدْ حَلَّ، وَالِاخْتِيَارَ هٰكَذَا، وَالْخِيَرَةَ لِلّٰهِ، وَالْأَجْرَ حَصَلَ، وَالذَّنْبَ كُفِّرَ.

Sesungguhnya pegangan iktikad (aqidah) ini, apabila ia telah tertanam kukuh dalam dirimu dan menetap di dalam hati sanubarimu, maka musibah akan bertukar menjadi pemberian, ujian menjadi kurniaan, serta segala peristiwa menjadi ganjaran dan pingat kehormatan. “Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, nescaya Dia akan mengujinya (dengan musibah).” [Hadis Riwayat Al-Bukhari]. Maka engkau tidak akan ditimpa keresahan disebabkan oleh penyakit, kematian kerabat dekat, kerugian harta benda, mahupun kebakaran rumah. Sesungguhnya Sang Pencipta telah menakdirkan, qada’ telah berlaku, pilihan (Allah) adalah sedemikian, kebaikan adalah milik Allah, pahala telah diperolehi, dan dosa telah diampunkan.

هَنِيئًا لِأَهْلِ الْمَصَائِبِ صَبْرُهُمْ وَرِضَاهُمْ عَنِ الْآخِذِ، الْمُعْطِي، الْقَابِضِ، الْبَاسِطِ، ﴿لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ﴾.

Tahniah dan kebahagiaan buat orang-orang yang ditimpa musibah atas kesabaran serta keredaan mereka terhadap (Allah) Yang Maha Mengambil, Yang Maha Memberi, Yang Maha Menyempitkan, dan Yang Maha Melapangkan. “Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa yang dilakukan-Nya, sedang mereka (hamba-hamba-Nya) akan ditanya.” [Surah Al-Anbiya’: 23].

وَلَنْ تَهْدَأَ أَعْصَابُكَ، وَتَسْكُنَ بَلَابِلُ نَفْسِكَ، وَتَذْهَبَ وَسَاوِسُ صَدْرِكَ؛ حَتَّى تُؤْمِنَ بِالْقَضَاءِ وَالْقَدَرِ، جَفَّ الْقَلَمُ بِمَا أَنْتَ لَاقٍ، فَلَا تَذْهَبْ نَفْسُكَ حَسَرَاتٍ، لَا تَظُنَّ أَنَّهُ كَانَ بِوُسْعِكَ إِيقَافُ الْجِدَارِ أَنْ يَنْهَارَ، وَحَبْسُ الْمَاءِ أَنْ يَنْسَكِبَ، وَمَنْعُ الرِّيحِ أَنْ تَهُبَّ، وَحِفْظُ الزُّجَاجِ أَنْ يَنْكَسِرَ، هٰذَا لَيْسَ بِصَحِيحٍ عَلَى رَغْمِي وَرَغْمِكَ، وَسَوْفَ يَقَعُ الْمَقْدُورُ، وَيَنْفَذُ الْقَضَاءُ، وَيَحِلُّ الْمَكْتُوبُ ﴿فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ﴾.

Dan sarafmu (jiwamu) tidak akan tenang, keresahan dirimu tidak akan tenteram, serta bisikan-bisikan (keraguan) di dalam dadamu tidak akan hilang; sehinggalah engkau beriman kepada qada’ dan qadar. Pena telah pun kering dengan apa yang bakal engkau tempuhi, maka janganlah engkau membiarkan dirimu hancur oleh penyesalan. Janganlah engkau menyangka bahawa engkau berupaya menghalang dinding daripada runtuh, menahan air daripada tertumpah, menghalang angin daripada bertiup, atau menjaga kaca daripada pecah. Ini sama sekali tidak benar walau apa pun penolakanku mahupun penolakanmu. Takdir pasti akan berlaku, qada’ pasti akan terlaksana, dan apa yang tertulis pasti akan tiba: “Maka barangsiapa yang mahu (beriman), hendaklah dia beriman, dan barangsiapa yang mahu (kafir), hendaklah dia kafir.” [Surah Al-Kahf:29].

اِسْتَسْلِمْ لِلْقَدَرِ قَبْلَ أَنْ تُطَوَّقَ بِجَيْشِ السَّخَطِ وَالتَّذَمُّرِ وَالْعَوِيلِ، اِعْتَرِفْ بِالْقَضَاءِ قَبْلَ أَنْ يَدْهَمَكَ سَيْلُ النَّدَمِ، إِذًا فَلْيَهْدَأْ بَالُكَ إِذَا فَعَلْتَ الْأَسْبَابَ، وَبَذَلْتَ الْحِيَلَ، ثُمَّ وَقَعَ مَا كُنْتَ تَحْذَرُ، فَهٰذَا هُوَ الَّذِي كَانَ يَنْبَغِي أَنْ يَقَعَ، وَلَا تَقُلْ «لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَذَا لَكَانَ كَذَا وَكَذَا»، وَلٰكِنْ قُلْ: «قَدَّرَ اللهُ وَمَا شَاءَ فَعَلَ».

Berserah dirilah kepada takdir sebelum engkau dikepung oleh tentera kemarahan, keluh kesah, dan ratapan. Akuilah qada’ (ketetapan Allah) sebelum engkau diterjang oleh banjir penyesalan. Oleh kerana itu, tenanglah hatimu jika engkau telah berusaha menempuh sebab-sebab (ikhtiar) dan mengerahkan segala daya upaya, kemudian tetap terjadi apa yang engkau khuwatirkan, maka memang inilah yang seharusnya terjadi. Dan janganlah engkau katakan: “Seandainya aku melakukan begini, nescaya akan menjadi begini dan begitu,” melainkan katakanlah: “Allah telah mentakdirkan, dan apa yang Dia kehendaki pasti Dia lakukan.”

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment