12. Bersama kesulitan ada kemudahan

Wahai manusia, setelah lapar akan ada kenyang, setelah haus akan ada kepuasan, setelah berpenat akan ada tidur yang nyenyak, dan setelah sakit akan ada kesembuhan. Setiap yang hilang pasti ketemu, dalam kesesatan akan datang petunjuk, dalam kesulitan ada kemudahan, dan setiap kegelapan akan terang benderang.

Kesulitan tidaklah akan terus menerus, akan tetapi ia akan hilang. Ingatlah yang kesulitan yang sedang anda alami itu hanyalah ujian daripada Allah ‎ﷻ untuk sementara waktu sahaja dan akan diganti dengan kemudahan akhirnya. Cuma kena bersabar sedikit sahaja sementara waktu. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Sharh: 5-6

فَإِنَّ مَعَ ٱلعُسرِ يُسرًا (٥) إِنَّ مَعَ ٱلعُسۡرِ يُسرًا (٦)
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (5) (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (6) 

Lihatlah ayat ini. Dari segi bahasa, apabila diulang ayat yang sama sekali lagi, ia membawa maksud: dalam satu kesusahan itu, terdapat dua kesenangan bersamanya. Ini kerana ال merujuk kepada kesusahan yang sama, tetapi يُسرًا dalam bentuk nakirah itu, adalah kesenangan yang berlainan – oleh itu, العُسرِ dalam ayat 5 dan 6 adalah kesusahan yang sama, tetapi kalimah يُسرًا dalam ayat 5 dan 6 itu bukan kesenangan yang sama. Kesimpulannya untuk senang faham, Allah hendak beritahu yang apabila ada satu kesusahan, ada bersamanya dua kesenangan!

Selalunya manusia apabila melihat kepada keadaan dirinya, dia hanya nampak kesusahan dan kesukaran sahaja. Padahal dia sepatutnya melihat juga di sebalik keadaan semasa itu, iaitu masa sukar adalah tidak lama. Oleh itu kita hendaklah bijak untuk menukar perspektif kita sebagaimana disebut di dalam pepatah Inggeris: ”Two men looked out from prison bars, one saw the mud, the other saw stars“~ Dale Carnegie.

Sekiranya kita tahu tempoh masa sukar itu tidak lama, maka kita akan lebih mudah untuk bersabar. Jangan kita terus mengalah apabila kita ditimpa musibah. Ingat nasihat ini: ‘I believe that everyone has good days and bad days, but you can’t let the bad times beat you down‘. Bobby Deol

Bersabarlah dengan kesulitan yang sedang anda alami. Nanti kemanisan nikmat akan lebih terasa kerana anda pernah merasa sukar. Nak kenal terang, kenalah kenal gelap dahulu, bukan? Bab kata satu nasihat: ‘Unless you have bad times, you can’t appreciate the good times‘. Joe Torre

Bring it on!

“Tough times never last, but tough people do.” Robert H. Schuller
(Masa-masa sukar tidak akan kekal selamanya, tetapi orang yang tabah akan terus bertahan.)


 

Tulisan Asal Penulis: 

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.

يَا إِنْسَانُ بَعْدَ الْجُوعِ شِبَعٌ، وَبَعْدَ الظَّمَأِ رِيٌّ، وَبَعْدَ السَّهَرِ نَوْمٌ، وَبَعْدَ الْمَرَضِ عَافِيَةٌ، سَوْفَ يَصِلُ الْغَائِبُ، وَيَهْتَدِي الضَّالُّ، وَيُفَكُّ الْعَانِي، وَيَنْقَشِعُ الظَّلَامُ. فَعَسَى اللَّهُ أَن يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِّنْ عِندِهِ

Wahai manusia, selepas rasa lapar pasti ada kenyang, selepas dahaga pasti ada hilangnya haus, selepas berjaga malam pasti ada tidur yang lena, dan selepas sakit pasti ada kesembuhan. Yang hilang (atau jauh) pasti akan kembali, yang tersesat pasti akan menemui petunjuk, yang terbeban (atau tertawan) pasti akan dilepaskan, dan kegelapan pasti akan berlalu. “Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kebaikan), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya…” (Ma’idah:52)

بَشِّرِ اللَّيْلَ بِصُبْحٍ صَادِقٍ يُطَارِدُهُ عَلَى رُؤُوسِ الْجِبَالِ، وَمَسَارِبِ الْأَوْدِيَةِ، بَشِّرِ الْمَهْمُومَ بِفَرَجٍ مُفَاجِئٍ يَصِلُ فِي سُرْعَةِ الضَّوْءِ، وَلَمْحِ الْبَصَرِ، بَشِّرِ الْمَنْكُوبَ بِلُطْفٍ خَفِيٍّ، وَكَفٍّ حَانِيَةٍ وَادِعَةٍ

Khabarkanlah berita gembira kepada malam yang gelap bahawa fajar yang cerah sedang mengejarnya di puncak-puncak gunung dan di celah-celah lembah. Khabarkanlah berita gembira kepada orang yang dirundung kesedihan bahawa jalan keluar akan tiba secara tiba-tiba, sepantas kilat dan sekelip mata. Khabarkanlah berita gembira kepada orang yang ditimpa musibah dengan kelembutan Allah yang tersembunyi, serta sentuhan kasih sayang yang menenangkan.

إِذَا رَأَيْتَ الصَّحْرَاءَ تَمْتَدُّ وَتَمْتَدُّ، فَاعْلَمْ أَنَّ وَرَاءَهَا رِيَاضًا خَضْرَاءَ وَارِفَةَ الظِّلَالِ

Apabila kamu melihat padang pasir terbentang luas tanpa penghujung, ketahuilah bahawa di sebaliknya pasti ada taman-taman hijau yang rendang lagi meneduhkan.

إِذَا رَأَيْتَ الْحَبْلَ يَشْتَدُّ وَيَشْتَدُّ، فَاعْلَمْ أَنَّهُ سَوْفَ يَنْقَطِعُ

Apabila kamu melihat tali ditarik semakin tegang dan menegang, ketahuilah bahawa ia pasti akan terputus jua (menandakan ujian yang memuncak akan segera berakhir).

مَعَ الدَّمْعَةِ بَسْمَةٌ، وَمَعَ الْخَوْفِ أَمْنٌ، وَمَعَ الْفَزَعِ سَكِينَةٌ

Bersama air mata pasti ada senyuman, bersama rasa takut pasti ada keamanan, dan bersama rasa cemas pasti ada ketenangan.

النَّارُ لَا تُحْرِقُ إِبْرَاهِيمَ الْخَلِيلَ، لِأَنَّ الرِّعَايَةَ الرَّبَّانِيَّةَ فَتَحَتْ نَافِذَةَ –  بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ

Api tidak membakar Nabi Ibrahim Al-Khalil (kekasih Allah), kerana pemeliharaan dan perlindungan Tuhan telah membuka jendela (firman-Nya): “Sejuk dan selamat sejahteralah ke atas Ibrahim!” (Surah Al-Anbiya’: 69).

الْبَحْرُ لَا يُغْرِقُ كَلِيمَ الرَّحْمَـٰنِ، لِأَنَّ الصَّوْتَ الْقَوِيَّ الصَّادِقَ نَطَقَ بِـ – كَلَّا ۖ إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ 

Laut tidak menenggelamkan Nabi Musa Kalim Ar-Rahman (yang berbicara terus dengan Tuhan Yang Maha Pemurah), kerana suara yang kuat lagi benar telah menuturkan: “Sekali-kali tidak! Sesungguhnya Tuhanku bersamaku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku.” (Surah Asy-Syu’ara’: 62).

الْمَعْصُومُ فِي الْغَارِ بَشَّرَ صَاحِبَهُ بِأَنَّهُ وَحْدَهُ جَلَّ فِي عُلَاهُ مَعَنَا؛ فَنَزَلَ الْأَمْنُ وَالْفَتْحُ وَالسَّكِينَةُ

Insan yang terpelihara daripada dosa (Nabi Muhammad SAW) di dalam gua telah memberikan khabar gembira kepada sahabatnya (Abu Bakar r.a.) bahawa Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung sahajalah yang bersama-sama dengan mereka; lalu turunlah keamanan, pertolongan (kemenangan), dan ketenangan.

إِنَّ عَبِيدَ سَاعَاتِهِمُ الرَّاهِنَةِ، وَأَرِقَّاءَ ظُرُوفِهِمُ الْقَاتِمَةِ، لَا يَرَوْنَ إِلَّا النَّكَدَ وَالضِّيقَ وَالتَّعَاسَةَ، لِأَنَّهُمْ لَا يَنْظُرُونَ إِلَّا إِلَى جِدَارِ الْغُرْفَةِ، وَبَابِ الدَّارِ فَحَسْبُ. أَلَا فَلْيَمُدُّوا أَبْصَارَهُمْ وَرَاءَ الْحُجُبِ، وَلْيُطْلِقُوا أَعِنَّةَ أَفْكَارِهِمْ إِلَى مَا وَرَاءَ الْأَسْوَارِ

Sesungguhnya orang-orang yang menjadi hamba kepada masa mereka yang sedang berlaku (terikat dengan masalah semasa), serta tawanan kepada keadaan mereka yang suram, tidak akan melihat apa-apa melainkan kesusahan, kesempitan, dan penderitaan; kerana mereka hanya memandang ke arah dinding bilik dan pintu rumah semata-mata (berpandangan sempit). Oleh itu, luaskanlah pandangan mereka ke sebalik tirai, dan bebaskanlah fikiran mereka menuju ke sebalik tembok-tembok penghalang.

إِذًا فَلَا تَضِقْ ذَرْعًا فَمِنَ الْمُحَالِ دَوَامُ الْحَالِ، وَأَفْضَلُ الْعِبَادَةِ انْتِظَارُ الْفَرَجِ، الْأَيَّامُ دُوَلٌ، وَالدَّهْرُ قُلَّبٌ، وَاللَّيَالِي حَبَالَى، وَالْغَيْبُ مَسْتُورٌ، وَالْحَكِيمُ كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ، وَلَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَٰلِكَ أَمْرًا، وَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا، إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Maka janganlah kamu berasa sempit dada (putus asa), kerana mustahil sesuatu keadaan itu akan kekal selamanya. Sebaik-baik ibadah adalah menanti jalan keluar (dengan penuh harapan dan sabar). Hari-hari itu sentiasa silih berganti, masa itu sentiasa berubah-ubah, malam-malam itu sarat dengan peristiwa yang bakal lahir, dan perkara ghaib (masa depan) itu tersembunyi. Tuhan Yang Maha Bijaksana sentiasa dalam urusan-Nya setiap hari (mengatur dan mengubah keadaan makhluk-Nya), boleh jadi Allah akan mengadakan sesudah itu sesuatu perkara yang baharu, dan sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply