Tafsir Surah Ali Imran Ayat 28 (Kekuasaan Allah dan Larangan Setia Kepada Musuh)

MENGAMBIL ORANG KAFIR SEBAGAI WALI

Ali Imran Ayat 28:

لّا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكٰفِرينَ أَولِيآءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۖ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ إِلّآ أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ ۗ وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ

SAHIH INTERNATIONAL
Let not believers take disbelievers as allies rather than believers. And whoever [of you] does that has nothing with Allah , except when taking precaution against them in prudence. And Allah warns you of Himself, and to Allah is the [final] destination.

MALAY
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.

 

لّا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. 

Ini adalah undang-undang kejayaan. Di dalam Ayat 26 sebelum ini telah disebut kuasa milik Allah dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Maka jangan berharap dan berkawan rapat dan berharap perlindungan dari orang kafir. Dalam kehidupan dunia, orang tauhid patutnya tidak berkawan baik dengan orang yang berakidah syirik. ‘Wali’ dalam ayat ini bermaksud kawan rapat yang kita harapkan bantuan mereka dalam kesusahan. Allah telah berfirman di dalam Baqarah:257

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا يُخرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروٓا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ ۗ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ
Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Ayat ini memberitahu kita yang wali orang-orang kafir adalah Taghut. Menurut Imam Ibnul Qayyim, taghut didefinisikan sebagai: “Setiap perkara yang dengannya seseorang hamba itu melampaui batasannya, sama ada berbentuk sesembahan (ma’bud), pengikut/pemimpin yang diikuti (matbu’), atau sesuatu yang ditaati (muta’).”

Maka jikalau kita mengambil orang kafir sebagai wali, maka kita telah mengambil taghut dan ia akan menjerumuskan kita ke lembah kehinaan. Jadi siapakah kita patut jadikan sebagai wali? Ini Allah telah sebut di dalam Tawbah:71

وَالمُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ يَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَيَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar

Maka apabila kita berkawan dengan orang Mukmin juga, sama-sama akan tolong menolong dalam dakwah, ingat mengingati sesama sendiri untuk menjaga agama kita. Kerana itulah sangat penting kita pandai memilih kawan rapat kita. Kalau kita berkawan rapat dengan orang kafir, mereka akan mengajak kita ke arah taghut, menyuruh buat perkara yang jahat dan mencegah buat perkara yang baik. Allah juga telah berfirman di dalam Mumtahanah:1

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا عَدُوّي وَعَدُوَّكُم أَولِياءَ تُلقونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ وَقَد كَفَروا بِما جاءَكُم مِّنَ الحَقِّ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah engkar kepada kebenaran yang datang kepadamu

Allah juga ada berfirman di dalam Maidah:51

۞ يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذُوا اليَهودَ وَالنَّصٰرىٰ أَولِياءَ ۘ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَإِنَّهُ مِنهُم ۗ إِنَّ اللهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi teman rapat; sebahagian mereka adalah teman rapat bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Malah, tidak boleh mengambil sebagai wali orang kafir itu walaupun mereka itu ahli keluarga kita sendiri! Ini seperti disebut di dalam Mujadalah:22

لّا تَجِدُ قَومًا يُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ يُوادّونَ مَن حادَّ اللهَ وَرَسولَهُ وَلَو كانوا ءآباءَهُم أَو أَبناءَهُم أَو إِخوٰنَهُم أَو عَشيرَتَهُم
Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka.

 

Asbabun Nuzul: Ayat ini awal sekali diterima oleh para sahabat. Pada zaman sahabat, tentunya mereka banyak bersahabat dengan rakan mereka yang sama-sama musyrik dengan mereka dahulu. Arab Madinah pula sudah lama berbaik dengan puak Yahudi. Tentu susah hendak meninggalkan kawan-kawan musyrik mereka itu sebab sudah lama kenal dan berkawan dengan mereka. Islam beritahu yang boleh kawan biasa sahaja dengan mereka tetapi jangan jadikan mereka sebagai wali.

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Sa’id bin Jubair atau ‘Ikrimah, yang bersumber daripada Ibnu ‘Abbas: Beberapa tokoh Yahudi Madinah, antaranya Al-Hajjaj bin ‘Amr (sekutu Ka’ab bin al-Asyraf), Ibn Abi al-Huqaiq, dan Qais bin Zaid, sentiasa cuba mendekati dan bersahabat rapat dengan beberapa orang sahabat Ansar. Tujuan mereka adalah untuk menggoyahkan iktikad dan memalingkan orang-orang beriman daripada agama Islam. Melihat keadaan tersebut, Rifa’ah bin al-Mundhir, ‘Abdullah bin Jubair, dan Sa’id bin Khaitsamah mengingatkan sahabat-sahabat mereka dengan berkata:

“Jauhilah orang-orang Yahudi ini dan berhati-hatilah daripada bersahabat rapat dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu daripada agama kamu.”

Namun, sebahagian sahabat tetap meneruskan hubungan akrab tersebut. Maka Allah menurunkan ayat Ali Imran:28 ini sebagai larangan tegas agar tidak menjadikan orang-orang kafir sebagai teman setia atau pelindung (wali) dengan membelakangkan orang-orang beriman.

Jangan kita salah faham pula ayat ini. Islam tidaklah melarang berkenalan dan berbaik dengan non-Muslim. Tapi untuk hidup berkawan, ada cara-caranya yang diajar dalam Islam. Ini kita boleh perhatikan di dalam urusan Rasulullah, para Khalifah, para sahabat dan ulama’ Islam.

Pertama, berkawan atas dasar sahabat sesama Muslim iaitu mereka yang sama akidah dan mengamalkan syari’at yang sama dengan kita. Ini adalah persahabatan yang terbaik. Ia adalah hubungan yang datang hati yang kasih dan sayang, hubungan yang sangat rapat. Perhubungan ini dinamakan muwallat – tunjuk baik di luar dan di dalam hati.

Kedua, yang dinamakan muwaasat, iaitu kita berhubungan dengan orang lain atas dasar untuk tolong orang susah. Tidak semestinya yang ditolong itu akidahnya kena betul baru kita kena tolong. Jadi kalau kita hendak menolong orang kafir, sama-sama buat kebaikan dengan mereka, ini tidak mengapa. Islam tidak melarang dalam hal ini, malah Islam menganjurkan.

Ketiga, dinamakan mudharat. Ini adalah apabila luaran kita tunjuk baik dengan orang yang berlainan akidah, tetapi dalam hati kita, kita marah kerana dalam keadaan tertentu kena tunjuk baik walaupun kita tidak suka. Ini juga penting untuk dilakukan supaya suatu hari nanti, kita dapat dekatkan dia dengan agama.

Terutama sekali jikalau mereka lebih kuat dan berkuasa dari kita, maka kita kena mengambil hati mereka. Sebentar lagi kita akan lihat firman Allah: إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً (kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka). Dan ini tidak salah dan perhatikan apa firman Allah tentang hal ini di dalam Mumtahanah:8-9

لَّا يَنهَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَم يُقَـٰتِلُوكُم فِى ٱلدِّينِ وَلَم يُخرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُم أَن تَبَرُّوهُم وَتُقسِطُوٓاْ إِلَيہِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلمُقسِطِينَ (٨) إِنَّمَا يَنہَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَـٰتَلُوكُم فِى ٱلدِّينِ وَأَخرَجُوڪُم مِّن دِيَـٰرِكُم وَظَـٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخرَاجِكُم أَن تَوَلَّوهُمۡ‌ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ (٩)
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)

Maka Non-Muslim sepatutnya tidak ada masalah berhubungan dengan kita. Kita tetap sahaja tunjuk baik kepada orang yang baik. Kalau mereka berbuat baik dengan kita, kita berbuatlah baik dengan mereka. Jangan sampai Non-Muslim lihat kita ini kasar dengan mereka, sombong dengan mereka pula.

Namun begitu, janganlah kita ikut dia buat maksiat pula. Janganlah sampai begitu. Patutnya kita boleh tegur dia atas kesalahan dia, tetapi kita tangguhkan teguran itu kerana kita simpan teguran itu pada satu masa lain yang sesuai. Tegur tetap kena tegur, cuma kita tangguhkan sahaja. Ini kerana hendak menegur waktu itu mungkin tidak sesuai kerana susah hendak faham, terutama apabila memerlukan masa yang lama untuk menjelaskan sesuatu permasalahan agama.

Contohnya hendak jelaskan tentang konsep syirik dan bid’ah, tentu memakan masa kalau hendak beritahu kepada mereka yang tidak faham lagi. Kita tidak boleh menegur pada waktu itu kerana hati mungkin tengah marah dan kita tidak redha dengan apa yang orang itu lakukan.

Lainlah kalau kesalahan itu jelas sangat, maka kena tegur pada waktu itu juga. Contohnya, kalau dia sedang berzina atau mencuri, maka tidak boleh ditunggu lagi, hendaklah ditegur terus sebab sudah jelas kesalahan itu.

Keempat dinamakan Muamalat, iaitu hubungan transaksi seperti perniagaan, sosial dan sebagainya antara sesama manusia. Ini pun tidak ada masalah. Kita hidup di dunia ini bukannya semua orang Muslim, bukan? Jadi mesti akan ada hubungan transaksi setiap hari dengan mereka. Kecuali jikalau hubungan transaksi itu membahayakan umat Islam seperti menjual senjata kepada musuh orang Islam.

 

Oleh itu, berbuat baik dan bersahabat yang sepatutnya adalah sesama Mukmin, bukan dengan orang kafir kecuali kalau keadaan mudharat, iaitu kalau kita tidak berbaik dengan dia, maka boleh menyusahkan kita.

Kalau dengan non-Muslim, kita berkawan biasa-biasa sahaja. Bukanlah kita sentiasa berkepit dengan dia ke mana-mana dan kita menceritakan segala rahsia dan kesusahan kita kepadanya. Itu kita lakukan kepada orang Mukmin kerana mereka boleh beri nasihat berdasarkan agama, bukannya nafsu semata-mata seperti non-Muslim.

Nabi Muhammad SAW menunjukkan contoh akhlak yang sangat mulia (uswah hasanah) dalam berinteraksi dengan masyarakat non-Muslim (orang kafir), sama ada dalam kalangan jiran, tetamu, musuh perang, mahupun tawanan. Berikut adalah contoh-contoh konkrit kebaikan dan keadilan Baginda SAW secara ringkas:

1. Ziarah dan Mendoakan Anak Muda Yahudi yang Sakit

Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Anas bin Malik RA, seorang anak muda Yahudi yang pernah berkhidmat dengan Nabi SAW telah jatuh sakit. Nabi SAW pergi menziarahinya di rumahnya, duduk di sebelah kepalanya, lalu mengajak anak muda itu kepada Islam. Anak muda itu memandang bapanya, dan bapanya berkata: “Taatilah Abul Qasim (panggilan Nabi SAW).” Anak muda itu pun memeluk Islam sebelum meninggal dunia. Baginda keluar sambil bersyukur kerana Allah menyelamatkannya daripada api neraka.

2. Memuliakan Jenazah Orang Yahudi

Diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim, ketika satu rombongan membawa jenazah seorang Yahudi lalu di hadapan Nabi SAW, Baginda berdiri sebagai tanda hormat. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, itu ialah jenazah orang Yahudi.” Nabi SAW menjawab: “Bukankah dia juga satu jiwa (manusia)?”

3. Mengiktiraf dan Menerima Tetamu Kafir di Masjid

Apabila utusan Kristian dari Najran (sebuah wilayah di Selatan Arab) datang ke Madinah untuk berbincang dengan Baginda, Nabi SAW menyambut mereka dengan penuh penghormatan di dalam Masjid Nabawi. Baginda membenarkan mereka menginap di dalam masjid dan membenarkan mereka bersembahyang mengikut kiblat mereka (ke arah timur) di dalam satu bahagian masjid tersebut.

4. Melayan Tawanan Perang Badr dengan Ihsan

Selepas Perang Badr, Nabi SAW memerintahkan para sahabat untuk melayan tawanan perang (orang musyrik Quraisy) dengan baik. Salah seorang tawanan, Abu ‘Aziz (saudara Mus’ab bin ‘Umair), menceritakan bahawa para sahabat menawarkannya roti (makanan mewah pada waktu itu) manakala mereka sendiri hanya makan kurma, semata-mata kerana mematuhi pesanan Nabi SAW: “Layanlah tawanan perang dengan kebaikan.”

5. Keadilan dalam Urusan Jual Beli dan Hutang

Nabi SAW bermuamalat secara adil dengan ahli kitab tanpa menganiaya mereka. Sehinggakan ketika Nabi SAW wafat, baju besi baginda masih berada dalam gadaian seorang Yahudi di Madinah sebagai cagaran bagi pinjaman gandum untuk keperluan keluarga baginda.

6. Pemaafan Teragung: Pembukaan Kota Mekah

Semasa Pembukaan Kota Mekah, pemimpin dan penduduk musyrik Quraisy yang pernah menyeksa, membunuh ahli keluarga, dan mengusir baginda berada di bawah kekuasaan Islam sepenuhnya. Baginda bertanya: “Apakah yang kamu sangka aku akan lakukan kepada kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan, wahai saudara yang mulia.” Nabi SAW lalu bersabda: “Pergilah, kamu semua bebas!” (Tiada dendam atau pembalasan dendam).

7. Memulangkan Harta Amanah Musuh (Malam Hijrah)

Walaupun pemuka Quraisy memusuhi dan merancang untuk membunuh Nabi SAW, mereka tetap mengakui sifat jujur baginda (mereka gelar baginda Al-Amin – yang dipercayai) dan menyerahkan harta simpanan mereka untuk dijaga oleh baginda. Pada malam Hijrah ke Madinah, Nabi SAW menugaskan Ali bin Abi Talib RA untuk tinggal di Mekah semata-mata untuk memulangkan semula semua barang amanah kepunyaan musyrik Quraisy tersebut kepada pemiliknya.

 

وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ

Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia daripada Allah dalam sesuatu apapun

Yang tidak boleh adalah muwalat – berbaik luar dan dalam dengan orang kafir. Muwalat itu kita berbaik dengan orang dan dalam hati pun kasih juga kerana sesama Muslim dan sama akidah dan sama-sama mengikut sunnah. Zahir dan batin kita muliakan dia. Dengan orang kafir tidak boleh kerana kalau kita buat, dikutuk oleh Allah ‎ﷻ.

Sesiapa yang buat begitu, dia tidak ada dalam agama Allah ‎ﷻ walau sedikit. Allah akan meninggalkannya dan membiarkannya. Akan putus dari pimpinan Allah. Ini kerana dia dikira redha kepada kekufuran yang dilakukan oleh kawan mereka yang kufar itu. Padahal apabila kita rapat dengan seseorang, kita kena tegur dan ajak dia ke arah kebaikan. Namun adakah kita lakukan begitu dengan orang bukan Islam?

Tapi mungkin timbul persoalan: kenapa Allah tidak membenarkan kita orang Mukmin mengambil orang kafir sebagai wali? Sampai diberikan dengan ancaman yang keras di dalam ayat ini?

Kerana manusia hidup di dunia ini bukannya untuk lahir, membesar, kerja, beranak dan kemudian mati begitu sahaja. Manusia ada tujuan hidup dan ini telah digariskan dengan jelas di dalam Al-Qur’an antaranya seperti disebut di dalam An’am:162,

قُل إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Jadi kalau manusia tidak menyembah Allah dan menghambakan diri kepada Allah, maka mereka telah gagal untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai manusia. Mereka telah meninggalkan dakwah dan ajaran para Nabi, sebaliknya mereka telah ikut bisikan syaitan yang menyesatkan mereka. Maka mereka ini tidak layak dibuat kawan baik, dijadikan wali, diambil sebagai pemimpin. Kita membenci mereka dan tidak menjadikan mereka sebagai kawan rapat kerana ia adalah arahan Allah dan ini adalah kewajipan kita seperti sabda Rasulullah,  di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah Al-Bahili RA,

مَنْ أَحَبَّ لِلَّهِ، وَأَبْغَضَ لِلَّهِ، وَأَعْطَى لِلَّهِ، وَمَنَعَ لِلَّهِ، فَقَدِ اسْتَكْمَلَ الإِيمَانَ
“Sesiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan tidak memberi (menahan) kerana Allah, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan imannya.”

Sunan Abi Daud (Hadis No. 4681), Sunan At-Tirmidzi (Hadis No. 2521). Status Hadis: Hadis ini dinilai Sahih oleh Sheikh Al-Albani. 

 

إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً

kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka

Melainkan jika mudharat untuk melindungi diri daripada bahaya mereka iaitu perkara itu tidak dapat dielakkan. Contohnya mereka itu pemimpin, ketua kita di tempat kerja, rakan sekerja kita dan sebagainya. Mereka itu tidak boleh dijadikan sebagai pelindung kita, tetapi bolehlah ada hubungan dengan mereka.

Ini amat relevan zaman sekarang kerana umat Islam sedang lemah. Maka kita terpaksa bersikap lunak kepada mereka. Inilah yang dinamakan Taqiyah. Kita terpaksa angguk dan tunduk kepada orang kafir yang lebih kuat untuk menyelamatkan diri kita. Supaya mereka sangka kita berpihak kepada mereka, akan tetapi hati kita tidak sebenarnya. Maka kalau kerajaan Islam adakan “peace treaty” dengan Amerika adalah dibolehkan, tetapi jangan jadikan Amerika sebagai pelindung kita.

Mungkin ada terkejut saya gunakan istilah ‘taqiyyah’ ini kerana ia sinonim dengan ajaran Syiah yang sesat itu. Istilah taqiyah memang ada dan dibenarkan, tapi tidaklah seperti yang digunakan oleh golongan Syiah itu. Mereka menggunakan taqiyah untuk menipu, termasuk menipu orang Islam. Mereka bukanlah taqiyah kerana lemah tapi kerana hendak merahsiakan akidah dan rancangan jahat mereka. Ini adalah taqiyyah yang salah.

Begitu juga di dalam negara kita, ada yang non-Muslim menjadi pemimpin negara. Kita tetap kena hormati mereka sebagai pemimpin yang dilantik. Namun begitu, kalau boleh, janganlah kita pula melantik mereka kerana pemimpin sepatutnya adalah dalam kalangan orang Islam. Maka kerana itu kalau mengundi itu kenalah undi orang Islam. Maka dalam pilihanraya, kita kena pilih pemimpin yang Muslim, tidak kira dari mana parti politiknya.

Ayat ini sama sekali tidak mengajar atau membimbing kita menjadi munafik. Sebaliknya, ayat ini memberikan rukhsah (kelonggaran/kemudahan) serta panduan Syariat untuk menyelamatkan nyawa dan keselamatan diri apabila orang beriman berada dalam keadaan darurat, terancam, atau tertindas. Konsep yang dimaksudkan dalam ayat ini dipanggil sebagai Taqiyyah (تَقِيَّة) atau Tuqah (تُقَاة). Ibnu ‘Abbas RA menjelaskan maksud Tuqah dalam ayat ini: “Taqiyyah itu hanyalah pada ucapan lidah. Apabila seseorang dipaksa mengucapkan sesuatu yang merupakan maksiat/kekufuran sedangkan hatinya tetap tenang dengan iman, maka hal itu tidak memudaratkannya.”

Imam Bukhari meriwayatkan kata-kata Abu Ad-Darda’,

إِنَّا لَنَشِرُّ فِي وُجُوهِ أَقْوَامٍ وَإِنَّ قُلُوبَنَا لَتَلْعَنُهُمْ
“Sesungguhnya kami bermuka manis/tersenyum di hadapan sesetengah kaum, sedangkan hati kami melaknati (membenci perbuatan) mereka.”

Sahih Al-Bukhari Hadis No. 6131

 

وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ

Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap diri-Nya

Allah ‎ﷻ ajar supaya kenal Dia dan kenal sifat-Nya. Kena ambil tahu tentang Allah ‎ﷻ. Kena letak Allah ‎ﷻ di hadapan dalam membuat keputusan. Jadi kena pegang hukum yang Allah ‎ﷻ letak. Kena takut Allah ‎ﷻ lebih daripada takut kepada makhluk.

 

وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ

Dan kepada Allah jualah tempat kembali.

Kalimah المصير adalah tempat akhir kita. Setelah pergi merata-rata, akhirnya pergi ke satu tempat sebagai destinasi akhir kita. Maka ingatlah yang akhirnya kita akan mengadap Allah ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan kita. Apa yang kita hendak jawab kalau perbuatan kita tidak taat kepada-Nya?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Oktober 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment