Tafsir Surah Ali Imran Ayat 27 (Kekuasaan Allah dan Larangan Setia Kepada Musuh)

Ali Imran Ayat 27:

تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ ۖ وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ ۖ وَتَرزُقُ مَن تَشآءُ بِغَيرِ حِسابٍ

SAHIH INTERNATIONAL
You cause the night to enter the day, and You cause the day to enter the night; and You bring the living out of the dead, and You bring the dead out of the living. And You give provision to whom You will without account.”

MALAY
“Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.

 

تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ

“Engkaulah (wahai Tuhan) yang menyumbat waktu malam ke dalam waktu siang, 

Allah ‎ﷻ berkuasa melakukan apa sahaja, termasuklah untuk menukar kejadian siang dan malam. Ada kala malam ‘disumbat’ masuk dalam siang sampai malam jadi panjang.

Perkataan تولِجُ bukan bermaksud ‘masukkan’ tapi ‘menyumbat’. Bayangkan kita menyumbat pakaian kita ke dalam beg yang sudah sendat.

 

وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ

dan Engkaulah yang menyumbatkan waktu siang ke dalam waktu malam.

Allah ‎ﷻ boleh menyumbatkan siang ke dalam waktu malam sampai siang menjadi panjang.

Kejadian ini kita boleh lihat di negara-negara yang ada banyak musim. Kadang-kadang tempoh waktu malam menjadi panjang dan kadang-kadang tempoh waktu siang menjadi panjang oleh kerana peredaran musim sepanjang tahun. Itu semua Allah‎ ﷻ yang mengaturkannya.

Sebagaimana Allah ‎ﷻ mengatur peredaran musim, Allah ‎ﷻ juga mengatur peredaran kekuasaan manusia. Ada yang hamba menjadi raja dan ada raja Allah ‎ﷻ turunkan menjadi hamba. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tapi akhirnya Allah boleh jatuhkan sahaja dengan mudah.

 

وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ

Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, 

Allah ‎ﷻ juga boleh bawa keluar kehidupan daripada kematian. Dari benda yang mati, boleh keluar sesuatu yang hidup. Contohnya, daripada air mani yang mati, Allah ‎ﷻ boleh jadikan manusia; daripada telur ayam yang mati, Allah ‎ﷻ boleh keluarkan anak ayam, dari benih yang mati, menjadi pokok yang tumbuh besar; dan banyak lagi contoh.

Ini juga imbalan bagaimana dari negeri Mekah yang mati tauhid dan akidah itu, lahir seorang Nabi dan umat yang menegakkan hukum tauhid. Hasilnya mereka ‘hidup’ dengan beragamakan ajaran tauhid.

 

وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ

dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup.

Allah‎ ﷻ juga boleh keluarkan mati daripada kehidupan. Iaitu apabila telah sampai masa, setiap makhluk akan mati. Ia juga bermaksud, daripada binatang yang hidup seperti ayam, boleh keluarkan telur ayam yang mati.

Ada juga yang berpendapat, ia bukan hanya merujuk kepada material sahaja, tapi kepada yang hidup dan mati hatinya. Jadi maksud ayat ini adalah Allah ‎ﷻ boleh jadikan seorang mukmin dari keluarga yang kafir dan menjadikan orang kafir daripada keluarga yang mukmin; kerana orang yang benar-benar beriman adalah berasal dari hatinya yang mah kepada kebenaran. Bukanlah keluarganya yang menentukan imannya. Akan tetapi tentu kalau keluarga beriman, akan lebih mudah mengeluarkan anak yang beriman.

Allah ‎ﷻ juga boleh keluarkan anak yang pandai daripada ayah yang bodoh, dan anak yang bodoh daripada ayah yang pandai. Kepandaian dan kebodohan tidak ada di dalam DNA kita. Ia adalah rezeki daripada Allah ‎ﷻ yang dibantu oleh kehendak dan usaha kita.

Contoh yang kita selalu baca di dalam kisah Al-Qur’an adalah Nabi Ibrahim yang lahir daripada ayah yang buat berhala; dan dari Nabi Nuh yang beriman mengeluarkan pula anaknya yang kafir itu. Ini semua adalah di dalam kuasa Allah, perancangan Allah.

 

وَتَرزُقُ مَن تَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.

Allah ‎ﷻ memberi rezeki tidak terhitung banyaknya kepada makhluk. Allah ‎ﷻ tidak mengira berapa banyak Dia beri sebab sebanyak mana pun diberi, langsung tidak merugikan diri-Nya. Ini seperti disebut di dalam Hadis Qudsi daripada Abu Dharr Al-Ghifari, yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim (Hadis No. 2577) serta menjadi Hadis Ke-24 dalam Hadis 40 Imam An-Nawawi.

يَا عِبَادِي، لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ، قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي، فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلاَّ كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَاطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ
“Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya dari orang yang pertama hingga orang yang terakhir di antara kamu, sama ada manusia mahupun jin, berkumpul di satu padang yang luas lalu mereka memohon kepada-Ku, kemudian Aku berikan kepada setiap seorang daripada mereka apa yang dimintanya, hal itu sedikit pun tidak mengurangkan apa yang ada di sisi-Ku, melainkan seperti berkurangnya air laut apabila dimasukkan sebatang jarum ke dalamnya.”

Ayat ini adalah doa yang hebat. Apabila kita faham ayat ini dan kita baca dalam doa kita, ia akan ingatkan kita supaya tidak terumbang ambing dengan perubahan keadaan dan suasana dalam dunia ini. Kita akan terbangkit rasa tauhid, iaitu ingat dan sedar bahawa segalanya dalam kekuasaan Allah ‎ﷻ dan tidak ada elemen dan entiti lain yang boleh menentukan sebaliknya.

Maka kita akan bersyukur apabila Allah ‎ﷻ beri nikmat kepada kita dan bersabar apabila Allah ‎ﷻ cabut nikmat itu. Kerana kita sedar yang semua itu di dalam ketentuan Allah ﷻ. Kerana Allah ﷻ uji kita dengan berbagai cara.

Selepas kita membaca lafaz ayat ini, boleh kita bacakan doa apa sahaja kehendak kita. Ini kerana dalam berdoa, kita harap kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Bila pengharapan kita lebih tinggi kepada Allah ﷻ, maka doa kita lebih mudah dimakbulkan. Sebagai contoh ada disebut di dalam hadis, diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah bersabda kepada Mu’adh bin Jabal:

أَلَا أُعَلِّمُكَ دُعَاءً تَدْعُو بِهِ لَوْ كَانَ عَلَيْكَ مِثْلُ جَبَلِ أُحُدٍ دَيْنًا لَأَدَّاهُ اللَّهُ عَنْكَ؟ قُلْ يَا مُعَاذُ:اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. رَحْمَنَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَرَحِيمَهُمَا، تُعْطِيهِمَا مَنْ تَشَاءُ وَتَمْنَعُ مِنْهُمَا مَنْ تَشَاءُ، ارْحَمْنِي رَحْمَةً تُغْنِينِي بِهَا عَنْ رَحْمَةِ مَنْ سِوَاكَ
Mahukah aku ajarkan kepadamu suatu doa yang jika engkau membacanya, sekiranya engkau mempunyai hutang sebesar gunung Uhud, nescaya Allah akan melunaskannya bagimu? Katakanlah wahai Mu’adh:(Wahai Allah, Pemilik Mutlak Segala Kekuasaan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau yang menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan-Mulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Wahai Yang Maha Pemurah di dunia dan akhirat serta Maha Penyayang bagi kedua-duanya, Engkau memberikan kedua-duanya kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan menghalangnya daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Rahmatilah aku dengan rahmat-Mu yang dengannya mencukupkan aku daripada memerlukan rahmat selain daripada-Mu).”

Nota: Hadis ini direkodkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir, no. 558 dan al-Mu’jam al-Kabir, jilid 20, no. 323). Sanad (rantaian perawi) asal hadis ini dalam kitab al-Tabarani sebenarnya mempunyai sedikit kelemahan pada perawinya (dhaif). Bagaimanapun, status hadis ini dinaikkan kepada Hasan atas faktor berikut adanya Jalur Penguat (Mutaba’at & Syawahid). Hadis dengan teks yang hampir serupa turut diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak. Imam al-Hakim menilai hadis ini sebagai sahih, dan dipersetujui oleh Imam al-Dzahabi. Tokoh ulama hadis zaman moden, Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, telah meneliti jalur-jalur riwayat ini dan mengkategorikannya sebagai Hasan di dalam kitabnya, Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (no. 1821).

Berharaplah sahaja kepada Allah ﷻ. Sebagai contoh, dalam mendapatkan rezeki pun kena berharap kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan bergantung kepada makhluk walaupun kita mungkin berniaga atau bekerja makan gaji. Namun pelanggan dan gaji itu semua adalah dalam tangan Allah ﷻ. Kita telah baca sebelum ini bagaimana semua kuasa-kuasa dan kejadian-kejadian itu Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh buat, maka minta kepada Allah ‎ﷻ lah sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Oktober 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment