Ayat 22:
۞ فَحَمَلَتهُ فَانتَبَذَت بِهِ مَكانًا قَصِيًّا
So she conceived him, and she withdrew with him to a remote place.
Maka Maryam mengandungnya, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.
فَحَمَلَتْهُ
Maka Maryam mengandungnya;
Apabila Jibril عليه السلام meniup roh kepada Maryam, terus sahaja Maryam mengandung. Jibril عليه السلام tidak sentuh pun Maryam. Jibril عليه السلام telah meniup roh ke dalam lengan baju Maryam dan roh itu turun mengalir ke faraj Maryam. Ini bermakna, Roh ciptaan Allah ﷻ terus dimasukkan ke dalam tubuh Maryam.
Maka Maryam terus mengandung. Mengandung itu terus kepada peringkat hendak beranak. Kalau keadaan biasa, sarat mengandung sembilan bulan. Tetapi, Maryam terus mengandung dan hampir sedia untuk melahirkan anak itu.
Namun ada juga pendapat yang mengatakan Maryam mengandung selama sembilan bulan seperti manusia biasa juga. Dan ada juga riwayat yang mengatakan beliau mengandung selama 40 hari. Allahu a’lam.
فَانْتَبَذَتْ بِهِ
lalu dia mengasingkan diri dengan kandungannya;
Apabila Maryam berasa hendak bersalin, maka Maryam telah pergi ke tempat lain.
Perkataan فَانْتَبَذَتْ ini telah digunakan sebelum ini. Kali ini ditambah بِهِ. Penggunaan ب dalam ayat بِهِ ini adalah penggunaan ‘sebab’. Bermakna, Maryam mengasingkan diri *kerana* kandungannya itu. Kenapa beliau mengasingkan diri?
Untuk memahami sebabnya, kita kena lihat kembali siapakah Maryam itu. Maryam adalah anak yang baik. Sepanjang hidupnya beliau berada atas jalan agama – dia tinggal di masjid, belajar agama dan sebagainya. Dan kita pun sudah tahu yang dia biasa dapat makanan terus dari Allah.
Ibubapanya juga adalah orang yang baik. Kerana itulah ibunya memberikan beliau kepada jalan agama. Beliau pula dijaga oleh bapa saudaranya Nabi Zakaria عليه السلام, seorang Nabi yang mulia. Jadi bayangkan kedudukannya di mata masyarakat.
Tetapi apakah akan terjadi apabila beliau melahirkan anak tanpa seorang bapa? Beliau tahu apa yang akan terjadi. Beliau terima dengan rela apa yang terjadi. Beliau telah percaya bahawa yang datang kepadanya itu adalah seorang malaikat dan apa yang terjadi adalah atas kehendak Allah ﷻ. Beliau sanggup untuk menerima kesan dari kejadian yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ itu – mendapat anak tanpa ayah. Tetapi bagaimana dengan orang lain?
Maka kerana itulah Maryam terpaksa mengasingkan diri. Beliau hendak menyelamatkan keluarganya dan pengasuhnya (Nabi Zakaria عليه السلام) daripada dicemuh orang. Beliau pun tahu masyarakat macam mana. Manusia akan mengata tentang orang lain tanpa ilmu. Senang sekali mereka hendak menyalahkan orang lain. Manusia bukan sahaja akan mencemuh dirinya sahaja tetapi kepada keluarga dan pengasuhnya juga.
Beliau tidak mahu jadi macam itu nanti. Beliau juga tidak mahu mencemarkan nama agama. Orang akan kata: “Orang agama pun macam itu, tak boleh percaya!” Nanti mereka akan menyalahkan ibubapa dan gurunya Nabi Zakaria عليه السلام. Jadi, Maryam pergi jauh itu kerana hendak menjaga nama baik ahli keluarganya dan juga nama baik agama. Beliau tidak mahu kerananya, nama orang lain (dan juga agama) akan terpalit.
Pengajaran untuk kita adalah jangan kita jangan jadi salah seorang dari kalangan masyarakat yang sebegitu. Jangan kita mengata orang lain tanpa kita usul periksa, tanpa kita tahu kedudukan yang sebenar sesuatu perkara itu. Kita sangka kita sahaja yang baik sampaikan kalau ada orang lain yang buat salah, kita caci mereka dan kutuk mereka tanpa usul periksa.
Ini juga mengajar kita: kalau kita orang agama, kenalah kita jaga nama baik kita. Supaya jangan memburukkan nama Islam. Sebab kita seperti mewakili agama. Ikutlah Sunnah Maryam ini. Jangan kita buat perkara-perkara yang boleh menyebabkan orang memburuk-burukkan Islam.
Antaranya orang luar akan berkata: “Lihatlah Islam itu bukan agama yang baik, kerana orang-orang Islam tidak baik sama sekali.” Malangnya, begitulah yang terjadi sekarang: ramai non-Muslim mengatakan mereka tidak teringin hendak masuk Islam kerana melihat perangai buruk Muslim.
مَكَانًا قَصِيًّا
ke tempat yang jauh;
Mengikut riwayat, Maryam telah pergi ke BaitulLaham. Beliau pergi jauh ke sebalik bukit. Waktu itu, tempat itu tidak ada orang. Sekarang ia adalah tempat yang terkenal kerana dikenali sebagai tempat kelahiran Nabi Isa عليه السلام.
Namun dalam ayat yang lain, ada disebutkan bagaimana Allah ﷻ telah membawa Maryam ke tempat yang tinggi dan ada air. Ini ada disebut dalam Mu’minoon:50.
وَجَعَلنَا ابنَ مَريَمَ وَأُمَّهُ آيَةً وَآوَيناهُما إِلىٰ رَبوَةٍ ذاتِ قَرارٍ وَمَعينٍ
Dan telah Kami jadikan (Isa) putera Maryam berserta ibunya suatu bukti yang nyata bagi (kekuasaan Kami), dan Kami melindungi mereka di suatu tanah tinggi yang datar yang banyak terdapat padang-padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir.
Begitulah Allah ﷻ menjaga Maryam kerana seperti kita tahu, seorang wanita yang mengandung dan hendak melahirkan anak, emosi mereka tidak boleh tertekan. Kalau tertekan, akan menyebabkan kandungan mereka terganggu. Maka Allah ﷻ telah menyediakan tempat yang selesa dan yang boleh menenangkan beliau.
Kalimah قَصِيًّا bermaksud ‘jauh’, di hujung sesuatu. Dalam Yaasin:20 ada digunakan kata ini. Perkataan yang digunakan dalam ayat itu adalah أَقْصَى الْمَدِينَةِ. Maksud ayat itu adalah ‘hujung bandar’. Dan kalimah قَصِيًّا dalam surah Maryam ini digunakan dari segi bahasa Arab dalam bentuk ‘sangat’. Maksudnya sangat jauh.
Selalunya apabila seorang wanita hampir hendak bersalin, dia akan bersama keluarganya. Ramai yang akan memberi bantuan dan sokongan. Tetapi lihatlah apa yang Maryam kena hadapi. Beliau terpaksa membawa dirinya keseorangan, dalam keadaan sarat hendak melahirkan anak.
Waktu itu, tentulah beliau dalam kesakitan dan lemah yang amat. Namun beliau meneruskan juga perjalanannya ke tempat yang jauh kerana hendak menjaga nama baik agama dan keluarganya. Lihatlah kekuatan semangatnya. Luluh hati kita apabila membaca kisah beliau.
Ayat 23:
فَأَجاءَهَا المَخاضُ إِلىٰ جِذعِ النَّخلَةِ قالَت يَـٰلَيتَنِى مِتُّ قَبلَ هٰذا وَكُنتُ نَسيًا مَّنسِيًّا
And the pains of childbirth drove her to the trunk of a palm tree. She said, “Oh, I wish I had died before this and was in oblivion, forgotten.”
(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ
Maka sakit beranak itu memaksanya pergi;
Apabila sudah sakit, Maryam sudah tidak boleh berdiri sendiri. Waktu itu beliau terpaksa mencari tempat berlindung dan menampung dirinya.
Kalimah أَجَاءَ bermaksud ‘memaksa untuk pergi’. Kalau perkataan جَاءَ, ia bermaksud ‘datang’. Tetapi perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah أَجَاءَ. Kesakitan untuk bersalin telah memaksa Maryam untuk pergi. Pergi ke mana? Allah ﷻ sebut dalam bahagian seterusnya.
Kalimah الْمَخَاضُ diambil dari kata dasar yang bermaksud ‘air dalam bekas yang digoncang’. Ayat ini hendak membayangkan pergerakan anak dalam rahim ibu. Iaitu air ketuban dalam perut ibu itu yang terasa goncangannya yang kuat.
Atau untuk menceritakan sakit kontraksi dalam perut apabila hendak bersalin. Jadi, sakit hendak bersalin itu telah memaksanya pergi ke suatu tempat.
إِلَىٰ جِذْعِ النَّخْلَةِ
ke pangkal sebatang pohon tamar;
Ada riwayat yang kata pohon kurma itu sudah tua dan mati. Tetapi dihidupkan kembali oleh Allah ﷻ.
Ahli tafsir berbeza pendapat tentang kedudukan tempat ini. Ada riwayat yang mengatakan bahawa tempat ini adalah di BaituLaham (Bethelhem). Inilah juga kepercayaan orang Kristian. Oleh itu, tempat itu adalah satu tempat yang mulia untuk mereka.
Kenapa Maryam pergi ke sana? Untuk bersandar kerana beliau sedang sakit perlu mendapatkan sokongan. Bayangkan Maryam dalam keadaan sakit yang amat sangat waktu itu. Dalam berseorangan sahaja, tanpa ada sesiapa yang bersamanya yang boleh menolongnya.
قَالَتْ يَـٰلَيتَنِى
dia berkata alangkah baiknya,
Ini adalah kata-kata seorang perempuan yang tidak tahu lagi hendak mencari jalan penyelesaian. Beliau dalam keadaan yang susah, sampaikan mulutnya menyebut perkataan ini.
Beliau rasa terkesan dengan apa yang sedang terjadi padanya. Tetapi kenapa sampai jadi macam begitu sekali? Bukankah beliau redha dengan apa yang terjadi kepadanya? Bukankah kita telah belajar bahawa Maryam adalah orang ahli agama? Bukankah beliau sepatutnya redha dengan apa yang terjadi kepadanya?
Ini mengajar kita supaya jangan cepat menuduh orang lain kalau kita tidak faham apakah situasi yang dihadapi oleh seseorang itu. Kita tidak berada dalam kedudukannya waktu itu.
Kita tahu bahawa beliau adalah manusia yang kuat dan tegar imannya. Namun sekarang beliau sudah hampir sangat melahirkan anaknya itu. Beliau juga adalah manusia biasa yang terkesan dengan kejadian-kejadian yang menimpa dirinya.
مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا
kalau aku mati sebelum ini;
Beliau berharap supaya beliau tidak pernah dihidupkan. Kerana beliau sudah dapat agak apa yang orang ramai akan kata kalau mereka tahu tentang perkara ini. Jadi beliau harap beliau mati sebelum beliau jadi macam itu.
Sebab beliau risau yang beliau akan terpaksa menghadapi manusia-manusia yang tentunya akan mengata macam-macam. Kalau beliau tidak pernah dilahirkan, beliau tidak perlu mengadap perkara ini.
وَكُنْتُ نَسْيًا
dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang
Kalimah نَسْيًا daripada kata makna yang bermaksud ‘perkara yang senang kita lupa’. Macam barang-barang kecil yang kita lupa hendak bawa. Contohnya, bila sudah dalam perjalanan ke tempat kerja, barulah kita sedar ada dokumen yang kita tertinggal di rumah. Ataupun kita lupa hendak membawa sapu tangan kita. Kerana ia bukanlah perkara yang penting, perkara kecil sahaja, maka kita senang lupa.
مَّنْسِيًّا
tidak dikenang-kenang!;
Itulah kata-kata yang keluar daripada mulut Maryam. Memang kadang-kadang orang yang mengandung akan cakap macam-macam. Ada yang menyumpah dan menyalahkan suaminya pun ada juga. Maka jangan kita pandang serong kepada Maryam.
Kalimah مَنْسِيًّا digunakan untuk menguatkan harapan supaya beliau dilupakan. Memang beliau berharap beliau dilupakan *sungguh*. Beliau berharap supaya tidak ada sesiapa yang akan ingat kepadanya seperti beliau tidak pernah wujud. Kadang-kadang kita lupa sesuatu, kita sampai lupa bahawa ada benda yang kita lupa. Sebab kita tidak kisah sangat perkara itu. Itulah lebih kurang maksud perkataan ini.
Lihatlah kepada sifat kudus Maryam. Beliau sanggup tidak jadi apa-apa, selagi beliau tidak menyebabkan orang lain susah dengan sebab dirinya. Beliau rela berkorban. Beliau sanggup tidak lahir, tidak dikenali, tidak diingati daripada maruahnya tercalar.
Ini mengajar kita bahawa kita kalau kita orang agama, yang dijadikan contoh oleh orang lain, kenalah menjaga nama baik kita, kenalah menjaga maruah kita. Kerana kita bukan sahaja mewakili diri kita sahaja, tetapi mewakili agama juga.
Satu lagi perkara dalam ayat ini adalah tentang hukum minta mati. Adakah boleh? Ia sebenarnya dilarang. Kerana kita minta mati itu kerana kita tidak redha dengan apa yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita sampai kita minta mati. Dan tidak redha dengan pemberian Allah ﷻ adalah sesuatu yang salah.
Namun Nabi ﷺ pernah mengajar kita satu doa meminta Allah ﷻ meneruskan hidup kita dan mengambil nyawa kita kalau itu lebih baik. Ulama’ juga membincangkan bagaimana terdapat larangan mengharapkan kematian kecuali ketika terjadi fitnah yang besar.
Rasulullah ﷺ bersabda,
لاَ يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمُ المَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ، فَإِنْ كَانَ لاَ بُدَّ مُتَمَنِّيًا لِلْمَوْتِ فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الوَفَاةُ خَيْرًا لِي
“Janganlah salah seorang di antara kalian berangan-angan untuk mati kerana musibah yang menimpanya. Kalau memang harus berangan-angan, hendaknya dia mengatakan, “Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan itu baik untukku. Dan matikanlah aku jika kematian itu baik bagiku.” (HR. Bukhari no. 6351, 5671 dan Muslim no. 2680)
Maknanya, kalau terpaksa berdoa untuk minta mati pun, kenalah berlapik doa itu seperti yang diajar oleh Rasulullah ﷺ ini.
Satu lagi perkara yang kita boleh ambil daripada kata-kata Maryam ni adalah tentang doa. Seperti yang kita tahu, doa beliau makbul. Sampaikan boleh dapat makanan dari langit. Tetapi sekarang beliau berdoa, adakah dimakbulkan? Tentu tidak.
Maka kita kena sedar yang bukannya semua doa dimakbulkan. Kalau Maryam yang makbul doanya pun tidak semua dimakbulkan, apatah lagi kita? Maka kita kena bersabar dalam berdoa. Mungkin Allah ﷻ tidak beri kepada kita kerana Dia tahu ia tidak baik untuk kita. Atau belum sampai masanya lagi untuk ia diberikan kepada kita. Akal kita tidak dapat mencapai maksud Allah ﷻ, tetapi kenalah kita serahkan kepada Allah ﷻ.
Ayat 24:
فَنَادَٮٰهَا مِن تَحتِها أَلّا تَحزَني قَد جَعَلَ رَبُّكِ تَحتَكِ سَرِيًّا
But he called her from below her, “Do not grieve; your Lord has provided beneath you a stream.
Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:” Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.
فَنَادَٮٰهَا مِنْ تَحْتِهَا
Maka dia menyerunya dari tempat yang lebih rendah;
Siapakah yang menyeru Maryam dari bawah itu? Ulama’ berbeza pendapat. Ada pendapat yang mengatakan bahawa yang menyeru itu adalah Jibril عليه السلام. Maryam ada di atas bukit dan Jibril عليه السلام ada di bawah bukit. Jibril عليه السلام telah mengikut Maryam dari tempat sebelum itu. Jibril عليه السلامlah yang memandunya ke tempat itu. Maka pendapat yang jumhur mengatakan bahawa yang menyeru Maryam itu adalah Jibril عليه السلام.
Tetapi ada juga pendapat yang mengatakan bahawa yang menyerunya itu adalah Nabi Isa عليه السلام. Ini tidak menghairankan kerana salah satu mukjizat Nabi Isa عليه السلام adalah bercakap dari masa bayi lagi. Ini juga tidak menghairankan kerana Allah ﷻ mampu berbuat apa sahaja. Tetapi, pendapat jumhur adalah Jibril عليه السلام. Kerana mereka mengatakan bahawa Nabi Isa عليه السلام hanya mula bercakap apabila mereka berdua menemui kaum mereka.
Kata مِنْ تَحْتِهَا menunjukkan bagaimana Jibril عليه السلام menghormati maruah Maryam. Beliau bercakap dari bawah. Begitulah kita kena menghormati orang lain. Kalau orang tidak selesa kita dekat dengan mereka, kita kena hormati. Kena duduk jauh sedikit dan memberi ruang kepada orang lain.
أَلَّا تَحْزَنِي
Janganlah kamu bersedih hati;
Jangan sedih kerana kamu adalah orang yang mulia dan telah diberi kelebihan oleh Allah ﷻ. Nama kamu akan disebut-sebut manusia sampai bila-bila.
Dan jangan bersedih kerana Allah ﷻ akan menjaga kamu. Memang kamu merasa tertekan sekarang. Tetapi ketahuilah bahawa Allah ﷻ akan menguruskan supaya kamu akan dijaga. Ini adalah pujukan kepada Maryam.
قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا
sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai;
Maryam telah berhenti di padang pasir. Kebanyakan mufassir mengatakan bahawa maksud سَرِيًّا adalah ‘anak sungai’. Memang ada hadith yang mengatakan bahawa ia adalah anak sungai. Walaupun hadith itu tidak kuat, tetapi ia boleh dipakai. Ia lebih baik lagi kalau kita gunakan hadith yang dhaif untuk menafsir ayat Al-Qur’an daripada hanya menggunakan akal sahaja. Dan dikuatkan lagi dengan ayat 50 daripada Surah Mu’minoon.
Bayangkan keadaan Maryam ketika itu. Maryam sudah risau di manakah beliau boleh mendapatkan air. Anak sungai itu tidak ada sebelum itu. Allah ﷻ jadikan anak sungai itu kerana Allah ﷻ akan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan oleh Maryam. Kerana Allah ﷻ telah takdirkan bahawa Nabi Isa عليه السلام akan lahir sebegitu dan dalam keadaan itu, maka Allah ﷻ telah memudahkan Maryam.
Atau, anak sungai itu memang sudah ada tetapi telah kering. Allah ﷻ telah mengalirkan semula airnya.
Jadi, kita boleh terima bahawa sama ada sungai itu sudah ada, ataupun sungai itu diadakan apabila Maryam ke tempat itu. Keadaannya lebih kurang sama dengan air Zam-zam yang telah diberikan kepada Hajar, ibu Nabi Ismail عليه السلام di Mekah.
Kalau begitu, bagi manusia yang melihat kejadian sungai itu secara tiba-tiba, sepatutnya mereka mengetahui bahawa itu adalah satu tanda ajaib untuk membuktikan kebenaran kepada apa yang dikatakan Maryam nanti. Maka, ini juga adalah sebagai pujukan dan sesuatu yang dapat menenangkan hati Maryam.
Ayat 25: Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ sudah menyediakan minuman untuk Maryam. Sekarang, diberikan pula makanan. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ menjaga Maryam.
وَهُزّي إِلَيكِ بِجِذعِ النَّخلَةِ تُسٰقِط عَلَيكِ رُطَبًا جَنِيًّا
And shake toward you the trunk of the palm tree; it will drop upon you ripe, fresh dates.
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.
وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu;
Sekarang bayangkan orang yang baru beranak disuruh menggoyang pangkal pokok tamar. Kalau kita sendiri yang kuat pun goyang pokok itu tidak jadi apa-apa. Jadi ini sebenarnya adalah isyarat kepada usaha. Allah ﷻ hendak melihat usaha kita dan seterusnya Dia akan bantu.
Perkataan هُزِّي itu bermaksud menggoyang sesuatu yang besar dan kuat. Maknanya, kena gunakan tenaga yang banyak. Kena goyang betul-betul, bukan macam goyang buaian anak-anak. Maknanya, usaha yang perlu Maryam keluarkan bukan usaha yang sedikit tetapi kalau hendak dikirakan ia adalah usaha yang banyak kerana batang pokok tamar itu bukanlah kecil.
Sama ada Maryam diberikan dengan kekuatan luar biasa sehingga boleh menggerakkan batang pokok tamar itu atau beliau hanya disuruh untuk menggoyangnya setakat mampu kerana Allah ﷻ hendak melihat usaha sahaja. Kerana kalau difikirkan, kalau perempuan yang lemah hendak menggoyangkan pokok itu tidak akan membuahkan hasil.
Ini mengajar kita tentang kepentingan usaha. Memang Allah ﷻlah yang menjadikan sesuatu perkara, tetapi Allah ﷻ mahu melihat usaha kita dahulu.
Perkataan إِلَيْكِ boleh bermaksud ‘ke arah engkau’ atau boleh juga bermaksud ‘untuk engkau’ – iaitu tujuan engkau disuruh menggoyang pokok tamar itu adalah untuk kepentingan engkau sendiri. Supaya beliau tahu bahawa apa yang beliau kena lakukan itu adalah untuk kebaikan dirinya sendiri.
Kalau ikut logik, tidaklah sesuai untuk seorang wanita yang baru melahirkan anak untuk menggoyang sebatang pokok tamar, tetapi ini juga mengajar kita bahawa, kita kena ikuti arahan Allah ﷻ, walaupun kita tidak faham kenapakah Allah ﷻ suruh Maryam buat begitu, tetapi kita kena ikut arahan daripada Allah ﷻ tanpa soal lagi.
Pengajaran besar yang kita boleh ambil daripada ayat ini adalah, kita kena berusaha untuk mendapatkan rezeki. Kerana apa yang disuruh Maryam lakukan itu adalah usaha untuk mendapatkan rezeki yang Allah ﷻ telah sediakan. Tetapi untuk mendapatkannya, kena usaha. Allah ﷻ boleh beri apa sahaja kepada kita, tetapi kenalah kita juga menunjukkan usaha kita. Kena ada sebab musabab. Itu adalah Sunnah para Nabi dan orang yang baik-baik.
Kita tidak diajar untuk bertawakal sahaja tanpa ada usaha. Kita kena berusaha dan kemudian baru kita bertawakal. Itulah makna tawakal. Bukan tidak buat apa-apa, tetapi kata kita bertawakal sahaja. Ada orang yang tidak faham, mereka hanya berdoa sahaja.
Jadi tidak salah kita meluangkan masa untuk pergi ke tempat kerja kita kerana ia adalah satu perbuatan yang benar, kerana itu adalah apa yang Allah ﷻ hendak kita lakukan. Kita pergi keluar kerja untuk mencari rezeki. Rezeki itu pula adalah untuk kelangsungan hidup kita dan keluarga kita. Maka ia adalah perbuatan yang terpuji.
Maka jangan kita rasa bersalah kalau kita bekerja. Kita kena pandai membahagikan waktu antara kerja dan mengerjakan ibadat. Kerana ada waktu untuk buat kerja dan ada waktu untuk beribadat.
تُسٰقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا
akan gugur kepadamu buah tamar yang masak ranum;
Maryam diajar untuk makan ‘rutab’. Maka, sesiapa yang baru beranak, seeloknya makan buah tamar untuk menyihatkan diri. رُطَبًا adalah buah kurma yang masak, bukan yang kering.
Ia adalah buah tamar yang segar. Seeloknya yang masih basah lagi. Inilah yang diajar kepada kita dalam Al-Qur’an sendiri. Kalau tamar segar tidak ada, mungkin kita boleh juga gunakan tamar yang kering.
Kalimah جَنِيًّا bermaksud ‘sudah sedia untuk dipetik dan dimakan’. Ia masih lagi di tangkai pokok, bukan yang sudah jatuh ke tanah. Itu adalah buah yang baik sekali. Tinggal hendak ambil sahaja.
Perkataan تُسَاقِطْ bermaksud ‘akan gugur’. Tetapi daripada segi nahu, ia membawa maksud akan gugur berkali-kali. Bukan untuk sekali makan sahaja. Apabila Maryam perlukan makanan lagi, beliau hanya perlu goncang pokok tamar itu sahaja.
Ayat 26:
فَكُلي وَاشرَبي وَقَرّي عَينًا ۖ فَإِمّا تَرَيِنَّ مِنَ البَشَرِ أَحَدًا فَقولي إِنّي نَذَرتُ لِلرَّحمٰنِ صَومًا فَلَن أُكَلِّمَ اليَومَ إِنسِيًّا
So eat and drink and be contented. And if you see from among humanity anyone, say, ‘Indeed, I have vowed to the Most Merciful abstention, so I will not speak today to [any] man.’ ”
“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”.
فَكُلِي وَاشْرَبِي
Maka makanlah dan minumlah;
Makanlah dan minumlah sebanyak mana yang kamu kehendaki wahai Maryam. Nikmatilah pemberian Allah ﷻ kepadamu itu. Ini kerana Allah ﷻ telah sediakan makanan daripada rutab dan anak sungai untuk beliau minum airnya.
وَقَرِّي عَيْنًا
dan sejuklah mata kamu;
Dan janganlah kamu bersedih. Berhentilah daripada menangis. Seorang ibu akan menangis selepas bersalin selalunya. Sejukkanlah matamu dengan melihat anakmu itu.
Maksud قَرِّي عَيْنًا boleh sahaja bermakna umum. Iaitu senang-senangkan dirimu kerana kamu sekarang makanan sudah ada, minuman sudah ada, tempat rehat pun sudah ada.
Tetapi dalam Al-Qur’an, penggunaan قَرِّي عَيْنًا selalunya dikaitkan dengan anak. Lihatlah bagaimana kata itu digunakan oleh Asiah, isteri Firaun apabila beliau mengatakan tentang Nabi Musa عليه السلام – semasa mereka baru mendapat Nabi Musa عليه السلام yang masih bayi waktu itu. Ini disebut dalam Qasas:9
وَقَالَتِ امْرَأَتُ فِرْعَوْنَ قُرَّتُ عَيْنٍ لِي وَلَكَ ۖ لَا تَقْتُلُوهُ عَسَىٰ أَنْ يَنْفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَDan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).
Kata yang sama juga digunakan dalam Furqan:74
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًاDan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
Ini adalah kerana anak-anak memang menyejukkan mata kita. Kalau kita dalam kepenatan pun, tetapi lihat sahaja anak, kita akan rasa senang dan tenang. Katakanlah kita balik kerja dalam kepenatan, tetapi apabila lihat anak kita, kita rasa bertenaga kembali, boleh lagi hendak bermain-main dengan mereka. Anak-anak memang mempunyai efek sebegitu kepada kita.
Maryam diberitahu dalam ayat ini bahawa beliau akan ditenangkan nanti dengan kelahiran anak beliau. Kita lihatlah sahaja bagaimana ibu-ibu yang bertarung melahirkan anak mereka. Susah payah mereka hendak melahirkan anak itu, namun apabila mereka lihat sahaja anak mereka, terus hilang kepenatan mereka.
Itulah sebab mereka tidak serik untuk mengandung dan melahirkan anak lagi. Kerana mereka tahu betapa gembiranya hati mereka apabila mereka melihat anak mereka.
Allah ﷻ hendak memberitahu kepada Maryam bahawa kesusahan yang beliau sedang alami itu akan dihilangkan dengan rasa gembira apabila melihat anaknya nanti.
فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا
jika kamu jumpa mana-mana manusia;
Allah ﷻ ingin memberikan ketenangan kepada Maryam lagi. Fokuskan kepada melahirkan anak itu sahaja dan kemudian menjaganya. Kalau ada sesiapa sahaja yang datang, tidak perlu bercakap-cakap dengan mereka. Mereka yang lalu lalang di situ memang akan sibuk dengan apa yang mereka akan lihat.
Kerana begitulah manusia. Kita lihatlah sendiri bagaimana kalau ada kemalangan, akan ada sahaja yang menyibuk untuk melihat. Mereka bukan hendak tolong pun, tetapi hendak tengok sahaja.
فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا
maka kamu kata: sesungguhnya aku bernazar kepada Tuhan at-Rahman untuk menahan diri;
Iaitu puasa tidak bercakap, menahan diri daripada berkata-kata dengan mereka. Tentulah cara Maryam memberitahu mereka itu dengan isyarat sahaja kerana beliau disuruh supaya tidak berkata-kata dengan manusia seorang pun. Atau, selepas cakap nazar itu, beliau tidak bercakap langsung lagi.
Kalimah نذر bermaksud membuat komitmen untuk melakukan sesuatu.
Maryam menggunakan nama ar-Rahman lagi. Walaupun apa yang beliau telah lalui sekarang, beliau masih memandang betapa Allah ﷻ mempunyai rahmat yang banyak dan telah memberi rahmat kepada beliau. Ini kita kena ikut – hendaklah kita ingat dengan segala rahmat yang Allah ﷻ telah beri kepada kita.
Kalimah صَوْمًا boleh juga bermakna seperti yang kita biasa guna – puasa. Tetapi sebelum ini telah diberitahu bahawa Maryam disuruh makan dan minum. Jadi, tidaklah maksud di sini suruh Maryam jangan makan dan minum.
Jadi, perkataan صَوْمًا adalah dalam bentuk literal – menahan diri. Kalau puasa itu memang kita menahan diri pun, iaitu menahan diri daripada makan. Dalam ayat ini, Maryam menahan diri daripada bercakap.
فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنسِيًّا
aku tidak akan berkata-kata pada hari ini dengan sesiapapun;
Itulah yang diajar oleh Jibril عليه السلام (atas arahan Allah ﷻ). Tetapi bagaimana Maryam hendak beritahu yang beliau sedang puasa daripada bercakap? Takkan dia hendak berkata pula sedangkan beliau tidak boleh bercakap? Lihatlah bagaimana dalam kisah Nabi Zakaria عليه السلام sebelum ini pun tidak boleh bercakap dahulu, dan baginda hanya menggunakan bahasa isyarat sahaja. Maka, keadaan yang sama juga berlaku dalam ayat ini.
Digunakan perkataan إِنسِيًّا kerana Maryam tidak bercakap dengan ‘manusia’ sahaja. Tetapi beliau masih bercakap dengan Malaikat Jibrail عليه السلام (seorang malaikat, bukan manusia). Jadi perkataan yang spesifik digunakan dalam ayat ini. Bukan Maryam tidak bercakap-cakap langsung – beliau cuma disuruh jangan bercakap dengan manusia sahaja.
Kenapa Maryam disuruh senyap? Kerana kalau hendak jawab pun tidak tahu macam mana hendak jawab. Tidak ada hujah apa lagi yang boleh digunakan untuk membolehkan mereka faham dengan apa yang terjadi.
Dan supaya Maryam tidak perlu susah untuk melayan mereka yang akan bertanya-tanya itu. Yang akan bertanya itu nanti bukannya sebab mereka risaukan beliau tetapi mereka hendak menyibuk, mereka hendak menuduh yang bukan-bukan. Maka kepada mereka yang macam ini, tindakan yang sesuai adalah tidak melayan mereka.
Maka ini mengajar kita supaya jangan layan orang yang bodoh. Imam Syafi’iy رحمه الله berkata setiap kali beliau berdebat dengan orang yang bodoh, beliau akan kalah. Kerana mereka tidak berilmu. Kita berhujah dengan ilmu, namun mereka bukan berhujah dengan ilmu tetapi dengan akal yang cetek.
Allah ﷻ hendak beritahu yang Dialah yang akan uruskan urusan Maryam nanti.
Hukum: bolehlah kita amalkan puasa senyap tidak bercakap berdasarkan ayat ini? Ulama’ membincangkan hal ini. Mereka kata ini adalah hanya untuk Maryam sahaja. Atau ia ada dalam syariat zaman dahulu tetapi tidak lagi zaman sekarang. Jadi, ia bukan Sunnah yang perlu dan boleh diikuti sekarang. Bukan semua di dalam Al-Qur’an ini kita kena ikut (kena tengok keadaan).
Dalam amal ibadat jangan tambah-tambah. Macam kisah seorang sahabat yang berpuasa dalam keadaan panas terik. Itu adalah ibadat tambahan, maka Nabi ﷺ melarang beliau buat begitu. Tetapi masyarakat kita yang tidak belajar dengan betul, akan ambil ini sebagai dalil untuk buat perkara-perkara bid’ah kerana mereka tidak faham ilmu asas.
Oleh itu, hendaklah kita tahu bahawa senyap tidak bercakap bukanlah satu ibadat. Mereka tidak tahu manakah yang elok diikuti dan mana yang tidak perlu diikuti. Kalau mereka baca Al-Qur’an sendiri dan buat tafsiran sendiri, mungkin mereka akan kata, eloklah kalau buat amalan tidak bercakap satu hari kerana ia ada dalam Al-Qur’an dan ia adalah suruhan Allah ﷻ pula. Tetapi bukan begitu cara beragama.
Kita hendaklah belajar dengan betul apakah yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an. Ada sebab kenapa Allah ﷻ suruh Maryam tidak bercakap dan mendiamkan diri sahaja (seperti yang kita telah jelaskan di atas).
Dalam teks Kristian, tidak banyak maklumat yang bertujuan membersihkan nama Maryam. Memang mereka menerima bahawa Nabi Isa عليه السلام dilahirkan tanpa bapa. Tetapi mereka ada mengeluarkan kisah Joseph tukang kayu yang dikatakan telah bertunang dengan Maryam sebelum Nabi Isa عليه السلام dilahirkan. Apabila Nabi Isa عليه السلام dilahirkan dan nama baik Maryam hampir tercalar, maka Joseph telah mengahwini Maryam untuk menyelamatkan nama baik Maryam.
Jadi, Kristian ada yang mengambil Joseph sebagai bapa kepada Nabi Isa عليه السلام di dunia. Ini bermakna, Kristian tidak membela sangat Maryam. Tetapi dalam Al-Qur’an, kita boleh lihat bagaimana nama Maryam dibersihkan. Betapa Al-Qur’an menekankan bahawa Maryam adalah wanita yang suci yang tidak melakukan dosa apa pun.
Al-Qur’an menceritakan bagaimana apabila Jibril عليه السلام datang dalam bentuk rupa seorang lelaki yang kacak, Maryam menghalau Jibril عليه السلام daripada mendekatinya – kerana waktu itu beliau tidak tahu yang itu adalah malaikat.
Di sebaliknya pula, ramai antara mereka mengangkat kedudukan Maryam terlalu tinggi melebihi manusia biasa. Ada sekte dalam Kristian yang mengatakan Maryam adalah salah satu tiga oknum triniti (beliau digelar: Tuhan Emak). Oleh itu, ada Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Tuhan Emak. Inilah fahaman salah Triniti yang mesti diperbetulkan dalam Kristian.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 24 Januari 2020
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Shaikh Nasir Jangda
Ibnu Kathir
Tafsir Jalalain
Salam saya nak tanya dalam teks di ats bahagian “Walaupun hadith itu tidak kuat, tetapi ia boleh dipakai. Ia lebih baik lagi kalau kita gunakan hadith yang dhaif untuk menafsir ayat Al-Qur’an daripada hanya menggunakan akal sahaja” apa maksudnya boleh ke guna hadis dhaif bukankah tidak langsung boleh pakai mohon penjelasan
LikeLike
Ya boleh. bukannya semua hadis dhaif tidak boleh dipakai. ulama’ salaf banyak sahaja pakai hadis dhaif yang disokong oleh hadis-hadis yang lain. Atau dalam kes ini, daripada tidak ada langsung hadis yang sahih, maka hadis dhaif dipakai. Kalau tidak, kita hanya pakai otak kita sahaja. Mana lebih baik, pakai otak yang ambil dari akal kita sahaja, atau ada sandaran hadis yang walaupun tidak sahih. Kalau ada hadis sahih, senang cerita. Tapi kali ini tidak ada hadis yang sahih langsung.
LikeLike
Oooh tpi Saya baca Ada dalam page awak yang mengatakan bahawa “Satu perkara perlu sekali diingat apabila anda mentafsir al-Qur’an, iaitu anda mestilah mengelak diri daripada menggunakan hadits-hadits dha’if (lemah) dan maudhu’ (palsu).”Saya sngt meminati page ini utk menambah ilmu tentang Islam Dan karangan awak buat. Mohon pencerahan inshallah
LikeLike
ya benar. tapi semakin saya belajar dan menelusuri kitab-kitab karangan ulama’ seperti Ibn Qayyim, rupanya ada juga para ulama’ menggunakan hadis-hadis yang dhaif sebagai menguatkan hujah mereka. Tapi tidaklah diambil begitu sahaja.
LikeLike
?
LikeLike