Tafsir Surah Ali Imran Ayat 26 (Kekuasaan Mutlak Allah) Part 2

وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ

Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki,

Allah boleh muliakan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Kita pun kadang-kadang boleh lihat dalam masyarakat kita, orang yang tidak pernah dikenali sebelum itu, tiba-tiba jadi terkenal dan tersohor dalam masyarakat. Ada orang yang tidak ada harta tapi mulia di mata orang. Sebagai contoh, kita lihat di dalam Abasa:1-4 bagaimana seorang sahabat buta dan hina dina di mata manusia iaitu Abdullah bin Ummi Maktum, Allah muliakan di dalam Al-Qur’an dan dibaca kisah beliau sampai bila-bila.

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) أَن جَآءَهُ ٱلأَعمَىٰ (٢) وَمَا يُدرِيكَ لَعَلَّهُ ۥ يَزَّكَّىٰٓ (٣) أَو يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ ٱلذِّكرَىٰٓ (٤)
Dia memasamkan muka dan berpaling, (1) Kerana dia didatangi orang buta. (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! (3) Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. (4)

Begitulah Allah muliakan orang yang beriman. Abdullah ini Allah muliakan kerana ia bersegera untuk mendapatkan ilmu dan hendak membersihkan hatinya. Maka di sini mengajar kita yang Allah muliakan manusia yang beriman dan berilmu. Selepas Allah menurunkan teguran di dalam Surah ‘Abasa, Rasulullah memuliakan Abdullah bin Ummi Maktum dengan penghormatan yang luar biasa tinggi. Penzahiran rasa hormat dan kasih sayang baginda ini direkodkan dalam sejarah. Setiap kali Abdullah bin Ummi Maktum datang menemui Rasulullah, baginda akan menyambutnya dengan wajah yang berseri-seri, menghamparkan kain selendang baginda untuknya duduk, sambil bersabda dengan nada penuh kemuliaan مَرْحَبًا بِمَنْ عاتَبَنِي فِيهِ رَبِّي (Selamat datang wahai orang yang kerananya Tuhanku telah menegurku). Baginda akan melayaninya dengan penuh santun, bertanyakan khabarnya, dan segera memenuhi apa sahaja keperluannya.

Apabila Rasulullah keluar meninggalkan kota Madinah untuk memimpin peperangan (seperti Perang Badar, Uhud, dan beberapa ekspedisi lain), baginda melantik Abdullah bin Ummi Maktum sebagai pemimpin sementara kota Madinah. Menurut catatan sejarah, baginda mempercayakan tanggungjawab kepimpinan dan keselamatan kota Madinah kepada beliau sebanyak lebih daripada 10 kali sepanjang hayat baginda.

Sebagai contoh, dalam sejarah banyak kali kita dengar, bagaimana ulama’ yang tinggi ilmu agama mereka, dan besar jiwa mereka dihormati oleh manusia walaupun mereka tidak ada kuasa pemerintahan. Sebagai contoh, Imam Malik amat dihormati oleh Khalifah. Dan banyak lagi kisah yang kita biasa dengar.

Maka Allah tidaklah memuliakan manusia dengan harta dan kuasa. Tapi dengan ilmu dan iman. Kalau harta dan kuasa, itu hanya mulia di mata manusia sahaja, dan ia tidak bernilai pun. Yang kita hendak mulia adalah di mata Allah. Cuma manusia yang tidak beriman, mereka hanya melihat kemuliaan dari segi harta dan kuasa sahaja. Lihatlah Allah perbetulkan fahaman salah ini apabila berfirman di dalam Munafiqun:8

يَقولونَ لَئِن رَّجَعنا إِلَى المَدينَةِ لَيُخرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنهَا الأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ العِزَّةُ وَلِرَسولِهِ وَلِلمُؤمِنينَ وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَعلَمونَ
Mereka berkata: “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang mulia akan mengusir orang-orang yang rendah daripadanya”. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.

Ayat ini tentang Abdullah bin Ubay, ketua munafik yang hendak mengeluarkan Rasulullah dan Muhajirin dari Madinah. Kerana dia sangka dia yang mulia kerana dia asalnya dulu pemimpin di situ dan dia memandang dan Nabi dan golongan Muhajirin sebagai hina kerana tidak berharta. Maka Allah menegaskan yang dia tidak mulia, kerana dia orang munafik. Allah tegaskan yang kemuliaan adalah di TanganNya dan maka kalau kita hendak kemuliaan, kita kena dapatkan dari Allah. Kita mahu dipandang mulia di sisi Allah, bukannya di sisi manusia.

Dan Allah kata kemuliaan ini ada pada Rasulullah. Maka untuk mulia, kita kena ikut Nabi, ikut ilmu-ilmu yang baginda telah sampaikan kepada kita dan ikut sunnahnya.

Dan Allah juga kata kemuliaan itu ada pada orang Mukmin. Maka ia mengajar kita yang iman itu yang memuliakan manusia. Kalau tidak ada iman, tidak mulia langsung.

Maka kerana itulah Rasulullah dan para sahabat mulia dan sampai sekarang nama mereka disebut-sebut. Baginda dan para sahabat telah dihina ketika di Mekah, tapi akhirnya baginda dan orang Mukmin telah menakluk Mekah. Baginda telah dihina di Taif juga, bukan? Akhirnya baginda berperang dengan mengalahkan mereka dalam Perang Hunayn.

Balaghah: Kerana itulah Allah bezakan antara المُلكَ (kerajaan) dengan عِزُّ (kemuliaan). Kerana tidak semestinya orang yang ada المُلكَ ada juga عِزُّ. Ada yang mempunyai kedua-duanya sekali seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang ada kerajaan dan ada kemuliaan. Akan tetapi Al-Qur’an juga menyebut contoh orang yang mempunyai المُلكَ akan tetapi tidak ada عِزُّ seperti Firaun dan Namrud.

Malah ada orang yang tidak ada المُلكَ tetapi ada عِزُّ seperti kebanyakan para Nabi dan Maryam. Dan ada yang tidak ada kedua-duanya sekali seperti Bani Israil yang disesatkan oleh Allah di padang pasir kerana menolak arahan Allah dan Nabi Musa.

Begitulah, dari sudut sosial, kekuasaan/kuasa dan kemuliaan/maruah sering kali mengelirukan manusia. Orang ramai menganggap bahawa jika mereka mempunyai kuasa, mereka secara automatik akan dihormati. Atau mereka menganggap bahawa jika mereka tidak mempunyai kuasa, mereka tidak mempunyai maruah. Allah memisahkan kedua-dua konsep ini bagi memperbetulkan kekeliruan tersebut.

Anda boleh mempunyai kuasa yang sangat besar tetapi dihinakan sepenuhnya di sisi Allah dan bahkan di mata manusia (seperti Firaun). Anda juga boleh menjadi tidak berkuasa tetapi mempunyai kemuliaan dan maruah yang sangat tinggi (seperti umat Islam terawal di Mekah, atau seperti Maryam ketika menghadapi ujiannya).

Pembezaan ini sangat penting untuk keadilan sosial. Golongan yang tertindas mungkin tidak mempunyai mulk, tetapi mereka tidak kekurangan ‘izza sekiranya mereka memelihara iman dan integriti mereka. Golongan penindas mungkin mempunyai mulk, tetapi mereka tidak mempunyai ‘izza yang hakiki. Ini memberikan ketahanan psikologi kepada golongan yang tertindas. Ia mengajar kita yang maruah tidak ditentukan oleh kuasa politik, sebaliknya ditentukan oleh hubungan dengan Allah.

Ayat-ayat ini diturunkan semasa satu tempoh di mana Nabi dan umat Islam belum lagi mempunyai kuasa yang kuat. Ketika ini walaupun sudah ada kerajaan di Madinah, akan tetapi tidak lama dahulu Nabi langsung tidak mempunyai sebarang kekuasaan politik (mulk) di Mekah dan dihina dan ditindas oleh kaum Quraisy. Namun, baginda diperintahkan untuk mengisytiharkan bahawa Allah adalah Malik al-Mulk (Pemilik Mutlak Segala Kekuasaan) dan Allah memberikan serta mencabut kerajaan mengikut kehendak-Nya. Ini merupakan satu pengajaran yang amat mendalam tentang tawakal (berserah diri kepada Allah) ketika berada dalam keadaan yang kelihatan tidak berdaya.

Kemudian, di Perang Badr, umat Islam mengecapi kemenangan yang tidak disangka-sangka; Allah mengurniakan kepada mereka suatu bentuk kekuasaan (mulk). Seterusnya di Perang Uhud, mereka merasai pula kekalahan; Allah menarik balik kekuasaan tersebut buat sementara waktu. Kitaran-kitaran ini menjadi bukti nyata yang hidup bagi ayat تُؤتِي المُلكَ مَن تَشآءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشآءُ (Engkau berikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki). Orang-orang beriman sedang dididik agar tidak menjadi takbur ketika menang atau berputus asa apabila kalah, kerana kedua-duanya datang daripada Allah semata-mata.

 

وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ

dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah boleh malukan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Orang yang dipandang tinggi selama hari ini, tiba-tiba ada rahsia dia yang keluar dalam berita sampaikan menghinakan orang itu. Dari pemimpin negara yang besar, boleh jatuh sampai jadi sampah masyarakat.

Balaghah: Perhatikan pengulangan kalimat مَن تَشآءُ (Sesiapa yang Engkau kehendaki) sebanyak 4 kali di dalam ayat ini. Ia memberi beberapa isyarat:

1. Penekanan Terhadap Kehendak Ilahi: Setiap pengulangan menegaskan bahawa perkara-perkara ini sepenuhnya di bawah kebijaksanaan Allah, bukannya berdasarkan pengiraan atau kelayakan manusia.

2. Keterasingan Setiap Tindakan: Dengan memisahkan تُؤتِي (Engkau berikan) dan تَنزِعُ (Engkau cabut) kepada dua klausa yang berbeza (dua-dua ada مَن تَشآءُ) dan bukannya satu – تُؤتِي المُلكَ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشآءُ (yang mana lebih ringkas dalam bahasa Arab), Allah mengajar bahawa ini merupakan tindakan-tindakan yang berasingan. Kejatuhan seseorang tidak semestinya menjadi kebangkitan bagi yang lain. Pemberian kepada seseorang tidak memerlukan pengambilan daripada yang lain. Semua ini adalah keputusan Ilahi yang berasingan.

3. Ruang untuk Merenung: Setiap ungkapan مَن تَشآءُ (sesiapa yang Engkau kehendaki) mewujudkan satu hentian, membolehkan pembaca dan pendengar merenung: Kepada siapakah Allah berikan kerajaan/kekuasaan? Daripada siapakah Dia mencabutnya? Jawapannya sengaja dibiarkan terbuka: sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

 

بِيَدِكَ الخَيرُ

Hanya di tanganMu kebaikan

Segala kebaikan adalah pada Allah. Allah adalah sumber kebaikan yang diberikan kepada makhluk. Nabi Isa yang dituhankan oleh golongan Nasara itu tidak boleh memberikan kebaikan kepada manusia. Maka kerana itu baginda bukan Tuhan, baginda adalah manusia, baginda adalah makhluk.

Ia juga mengajar kita yang kalau kita mahukan kebaikan, kita kena dapatkan dari Allah, kerana kebaikan datang dariNya. Maka kerana itu kita kena berdoa dan meminta kebaikan, keselamatan, rahmat dan segala yang baik daripada Allah. Hati kita jangan berhenti berharap kepada Allah. Kalau kita sudah tahu Allah sumber kebaikan, kenapa tidak diminta dariNya? Dia boleh memberi, bukan?

Tapi bagaimana dengan kejahatan? Bolehkah kejahatan berlaku tanpa izin Allah? Tidak boleh, bukan? Maka kejahatan pun kita boleh katakan ia berpunca dari Allah juga. Tapi kenapa hanya disebut kebaikan sahaja yang disandarkan kepada Allah? Pertama, dari segi adab, kita tidak sandarkan benda yang buruk kepada Allah.

Keduanya, tidak ada apa-apa yang jahat dan buruk dari Allah sebenarnya. Dalam akidah Islam, setiap perbuatan dan ketetapan Allah pada hakikatnya mengandungi kebaikan, keadilan, dan hikmah yang maha luas, walaupun pada pandangan mata kasar manusia ia kelihatan seperti sesuatu yang buruk atau memudaratkan. Maksudnya, segala apa sahaja yang Allah buat adalah baik belaka. Jangan kita pertikai apa yang Allah telah lakukan. Kena redha dengan apa yang Allah telah rancang dan jalankan.

Jangan kita gunakan akal kita yang lemah ini untuk menilai baik dan buruk apa yang Allah lakukan. Kadangkala kita lihat sesuatu itu sebagai buruk, bukan? Mungkin kita terkena musibah dan kita tidak suka. Maka kena ingat ayat ini iaitu apa sahaja yang Allah kenakan kepada kita adalah baik-baik belaka. Semua ketetapan Allah didasari oleh hikmah dan kasih sayang. Sesuatu perkara itu dinamakan “buruk” atau “musibah” berdasarkan sudut pandang manusia yang terbatas, kerana ia menyakitkan, merugikan, atau tidak disukai oleh nafsu dan fizikal kita. Contoh: Ubat yang pahit atau pembedahan yang menyakitkan kelihatan “buruk” dari segi kesakitan fizikal, tetapi matlamat dan hasilnya adalah “baik” iaitu untuk menyembuhkan penyakit.

Bagaimana dengan perkara buruk dan yang membahayakan yang terjadi kepada kita? Allah membenarkan perkara yang kelihatan buruk atau berbahaya berlaku di dunia ini atas beberapa sebab dan hikmah yang besar. Ia menjadi penyebab penghapusan dosa dan mengangkat darjat manusia. Musibah, kesakitan, mahupun kesusahan yang menimpa seorang mukmin berfungsi sebagai pembersih dosa dan peningkat kedudukan di sisi Allah. Rasulullah bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ، وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حَزَنٍ، وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ، حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا، إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, mahupun duka cita, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya dengan sebab perkara itu.”

Sahih al-Bukhari, No. 5641; Sahih Muslim, No. 2573

Ia juga menjadi ujian keimanan bagi manusia. Dunia dicipta sebagai tempat ujian, bukannya tempat pembalasan kekal. Tanpa adanya cabaran, bahaya, atau kesusahan, sifat sabar, syukur, tawakal, dan keberanian tidak akan dapat diuji.

Kadangkala Allah menghalang kita daripada sesuatu yang kita inginkan atau menimpa kita dengan kesusahan kecil untuk menyelamatkan kita daripada bahaya yang lebih besar yang tidak kita ketahui. Ini seperti firman Allah di dalam Baqarah:216

وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Dan jangan lupa yang keburukan yang terjadi itu adalah kesan daripada perbuatan dan kebebasan manusia. Allah benarkan manusia buat keputusan sendiri dan kerana salah pilih, kesannya adalah keburukan yang Allah benarkan sebagai pengajaran kepada kita. Maka banyak keburukan atau bahaya di bumi ini berpunca daripada perbuatan manusia itu sendiri (seperti kezaliman, pencemaran, atau kecuaian) akibat kebebasan memilih (free will) yang Allah berikan kepada manusia.

Pernyataan بِيَدِكَ الخَيرُ (Di tangan-Mulah sahaja segala kebaikan) di sini selepas menyebut tentang pemberian dan pencabutan kuasa, memuliakan dan menghinakan. Bagaimana penghinaan boleh dianggap “baik”? Bagaimana kehilangan kekuasaan boleh menjadi “khayr” (kebaikan)?

Allah sedang melatih orang beriman dengan satu hakikat psikologi dan kerohanian yang amat penting: kemudaratan yang nyata boleh mengandungi manfaat yang tersembunyi, dan manfaat yang nyata boleh mengandungi kemudaratan yang tersembunyi. Perhatikan hadis yang penting ini:

عَنْ صُهَيْبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Daripada Suhaib RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin! Sesungguhnya seluruh urusannya adalah baik baginya, dan perkara itu tidak ada pada sesiapa pun melainkan hanya bagi orang mukmin: Jika dia ditimpa kesenangan/kebahagiaan, dia bersyukur, maka itu adalah baik baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan/penderitaan, dia bersabar, maka itu juga adalah baik baginya.”

Sahih Muslim. Nombor Hadis: 2999 

Sudut pandang ini mengubah tindak balas psikologi seseorang. Daripada jatuh ke dalam keputusasaan apabila kehilangan mulk (kekuasaan) atau ‘izza (kemuliaan), orang beriman yakin bahawa khayr tersembunyi di sebalik ujian tersebut. Kepercayaan (tawakkul) ini menstabilkan jiwa secara psikologi serta mencegah rasa pahit, dendam, dan putus asa.

 

Balaghah: Di dalam ilmu Balaghah (retorik bahasa Arab), penyusunan struktur ayat بِيَدِكَ الْخَيْرُ mempunyai keistimewaan dan rahsia keindahan yang sangat mendalam dari segi tatabahasa dan makna. Dari sudut tatabahasa biasa, susunan asalnya ialah الْخَيْرُ بِيَدِكَ (Kebaikan itu di tangan-Mu), di mana الْخَيْرُ ialah mubtada’ (subjek) dan بِيَدِكَ ialah khabar (predikat). Namun, Al-Qur’an mendahulukan frasa بِيَدِكَ (Taqdim al-Jarr wal-Majrur). Berikut adalah kepentingan dan hikmah meletakkan بِيَدِكَ di awal kalimah:

1. Faedah Pengkhususan dan Pembatasan (Al-Khasis wa Al-Hasr). Apabila khabar (predikat) didahulukan daripada mubtada’ (subjek) dalam bahasa Arab, ia memberikan makna pengkhususan mutlak (Al-Hasr). Jika dibaca biasa (الْخَيْرُ بِيَدِكَ): Maksudnya sekadar “Kebaikan itu ada di tangan-Mu” (tetapi tidak menafikan secara tegas kemungkinan ia ada di tempat lain). Apabila didahulukan (بِيَدِكَ الْخَيْرُ): Maksudnya menjadi “Hanya di tangan-Mu lah sahaja (segala) kebaikan”. Ini menegaskan bahawa tiada sebarang kebaikan hakiki yang boleh datang daripada sesiapa pun melainkan daripada Allah SWT semata-mata.

2. Mengaitkan Semua Ketetapan dengan Kebaikan Mutlak. Dalam bahagian awal ayat ini, Allah menyebut tentang memberi kekuasaan, mencabut kekuasaan, memuliakan, dan menghinakan. Di penghujungnya, Allah menutup dengan بِيَدِكَ الْخَيْرُ untuk menegaskan bahawa segala tindakan Allah adalah baik. Kalimah الْخَيْرُ bukan sahaja bermaksud ‘kebaikan’ tapi kerana ada ال padanya, ia bermaksud ‘semua kebaikan’ atau ‘kebaikan tertinggi’. Sama ada Dia memberi atau mencabut, memuliakan atau menghinakan, semuanya berada di dalam “tangan” kekuasaan-Nya yang penuh dengan kebaikan dan hikmah. Walaupun pencabutan kekuasaan atau penghinaan kelihatan “buruk” pada pandangan manusia, pada hakikatnya ia adalah keadilan dan kebaikan (khair) mengikut ilmu Allah yang Maha Luas.

3. Menguatkan Rasa Tauhid dan Pengabdian (At-Tauhid wal-I’timad). Meletakkan nama/sifat Allah di hadapan secara langsung mengarahkan fokus dan pergantungan hati hamba terus kepada Allah sebelum menyebut perkara yang diingini (kebaikan). Pembaca diajak untuk mengiktiraf Pemilik kebaikan itu terlebih dahulu sebelum mengharapkan kebaikan tersebut.

4. Keindahan Bahasa Al-Qur’an (Al-Fasilah al-Qur’aniyyah). Dari segi gaya bahasa Al-Qur’an (I’jaz Lughawi), penstrukturan ini memberikan rentak dan penekanan yang sangat kuat dan mantap ketika dibaca, sesuai dengan keagungan ayat yang membicarakan kekuasaan mutlak Allah dalam mentadbir alam.

 

إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah boleh lakukan apa sahaja yang Allah mahu. Allah menegaskan dengan meletakkan kalimah taukid إِنَّ di sini. Jangan kita ragu dengan kemampuan Allah melakukan apa-apa sahaja. Keputusan Allah tidak tertakluk dengan apa-apa sebab pun. Sebab? Sebab Dia Tuhan. Siapa kita untuk mempertikaikan apakah yang Allah hendak lakukan?

Allah hendak  memberitahu yang sebelum ini tampuk agama adalah pada Bani Israil, banyak Nabi dari kalangan mereka. Tapi sekarang Allah sudah buat keputusan untuk memberi tampuk itu kepada orang lain – Nabi Muhammad dari bangsa Arab. Dari Tanah Arab yang kering kontang itu, telah mengubah dunia.

Frasa إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ ini selalu kita baca di dalam Al-Qur’an, bukan? Tapi mungkin kerana selalu dibaca, kita rasa ia biasa sahaja. Tapi kalau kita faham dan kita sematkan di dalam hati, selalu kita ingat, ia akan memberi kesan pengharapan yang tinggi kepada Allah. Kerana kita tahu dan yakin yang Allah boleh buat apa-apa sahaja. Tidak ada apa yang Allah tidak boleh lakukan.

Ada orang sakit? Allah boleh sembuhkan walaupun doktor kata tidak ada harapan. Ada orang buta? Allah boleh sahaja bagi celik. Sudah menikah bertahun-tahun tapi masih tidak dapat anak? Allah boleh sahaja beri anak. Kita jangan berputus asa kerana Allah boleh sahaja berikan keputusan yang baik. Kerana itulah Nabi Musa tidak gentar ketika melarikan diri dari Firaun dan tenteranya. Ketika itu Bani Israil semua sudah marah kepada Nabi Musa akan tetapi Nabi Musa percaya terus kepada Allah dan yakin Allah akan menyelamatkan mereka. Allah menceritakan keadaan genting ini di dalam Syu’ara:61-63

فَلَمَّا تَرٰءَا ٱلجَمعَانِ قَالَ أَصحَـٰبُ مُوسَىٰٓ إِنَّا لَمُدرَكُونَ (٦١) قَالَ كَلَّآ‌ۖ إِنَّ مَعِىَ رَبِّى سَيَہدِينِ (٦٢) فَأَوحَينَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ أَنِ ٱضرِب بِّعَصَاكَ ٱلبَحرَ‌ۖ فَٱنفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرقٍ كَٱلطَّودِ ٱلعَظِيمِ (٦٣)
Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan. (61) Nabi Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku. (62) Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Pukullah laut itu dengan tongkatmu. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. (63)

Ayat-ayat yang disebut ini bukannya perkara baru bagi Ahli Kitab. Ia juga telah ada di dalam kitab-kitab mereka. Allah ingatkan kepada mereka untuk kembali kepada kebenaran dan jangan lagi berselindung dengan helah yang pelbagai.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 September 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Dr Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment