Tafsir Surah Ali Imran Ayat 26 (Kerajaan Mutlak Milik Allah) Part 1

KUASA MUTLAK ALLAH

Ali Imran Ayat 26: Di dalam ayat sebelum ini (Ayat 23-25) telah disebut golongan yang menolak berhukum dengan kitab wahyu. Mereka akan menerima hukuman yang setimpal dengan penolakan mereka itu. Setelah diajak kepada kitab wahyu, mereka degil, berpaling tidak mahu ikut. Maka sekarang Allah suruh Nabi bercakap denganNya pula. Tak payah hendak layan mereka lagi. Ia mengajar kita yang kalau dengan orang degil, tak perlu untuk banyak berdebat dengan mereka.

Jadi di dalam ayat ini kita diajar tentang Allah lebih-lebih lagi tentang kerajaan-Nya. Sesiapa yang menolak kitab wahyu dan rasa selamat, mereka perlu diingatkan Siapa Allah. Tidak kira siapa kalian, perlu tunduk kepada kerajaan Allah.

Kedudukan Allah ini disebut di dalam bentuk deklarasi. Ini adalah natijah dari fahaman yang tauhid, maka deklarasi pun dalam bentuk tauhid juga. Ayat ini juga adalah satu doa dan ia mengajar kita untuk minta kepada Allah sahaja. Kalau minta kepada wali dan Nabi, itu tanda orang yang ada masalah dengan tauhid. Kerana kerajaan sepenuhnya milik Allah.

Ini adalah salah satu daripada doa yang masyhur dalam masyarakat kita. Ayat ini selalu dibaca dalam Majlis Tahlil. Adakah mereka yang membacanya tahu maksud ayat ini agaknya? Mereka mungkin tidak tahu kerana  mereka masih mengamalkan amalan bid’ah (Majlis Tahlil). Mereka hanya ikut-ikut sahaja amalan tok nenek dahulu tanpa melihat kepada dalil. Maknanya mereka tidak belajar pun tafsir Al-Qur’an.

Ayat ini adalah doa yang bagus untuk kita amalkan. Kalau kita lihat di dalam Al-Qur’an terdapat dua jenis doa yang disebut:

1. Ada jenis doa yang Allah pulangkan kembali kata-kata manusia untuk dijadikan sebagai contoh doa kepada kita. Maknanya kita boleh minta dengan cara kita sendiri.

2. Tetapi ada doa yang Allah sendiri ajarkan pada kita untuk menyebutnya seperti yang Allah gunakan di dalam ayat ini. Allah sendiri suruh kita sebut dengan cara seperti yang tertulis kerana ada perkataanقل ‏  (katakanlah) di awal ayat ini.

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشآءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشآءُ ۖ بِيَدِكَ الخَيرُ ۖ إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, “O Allah , Owner of Sovereignty, You give sovereignty to whom You will and You take sovereignty away from whom You will. You honor whom You will and You humble whom You will. In Your hand is [all] good. Indeed, You are over all things competent.

MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan Pemilik seluruh kerajaan

Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang mengandungi arahan قُلِ (katakanlah) ini. Sebenarnya semua ayat Al-Qur’an Nabi kena sampaikan, tapi apabila ada kalimah قُلِ, bermaksud ia adalah satu arahan khusus kerana ia amat penting untuk disampaikan.

Kenapa perlu ada arahan ini? Kerana ia adalah yang berat. Tambahan pula kalau seperti ayat ini, ia kena ditujukan kepada pihak musuh, orang kafir, iaitu golongan Ahli Kitab terutama sekali golongan Nasara, tema utama surah ini.

Adakah Nabi sampaikan? Tentu sekali! Yang tidak sampaikan adalah kita sahaja. Takut sangat hendak ajar ajaran Tauhid yang benar. Jangan kata kepada musuh, kepada pakcik sendiri pun kita takut, bukan? Maka ini memberitahu betapa lemahnya iman kita. Setakat belajar sahaja, tapi takut untuk sampaikan.

Sedangkan kalau kita benar-benar sayang Nabi, ikut ajaran baginda, kita kena sampaikan dakwah ajaran Tauhid ini. Barulah benar sayang Nabi. Tapi orang kita sayang Nabi, macam mana? Setakat buat Sambutan Mawlid Nabi, buat Majlis Selawat banyak-banyak… itu sahaja yang mereka buat. Sudahlah bid’ah, tidak memberi kesan pun. Ya mereka katalah ada kesan itu dan ini, tapi apa gunanya kalau ia majlis bid’ah?

 

Balaghah: Sekarang kita masuk ke lafaz yang Allah ajar kita untuk menyebutnya. Tapi perhatikan ada iltifat (perubahan) di dalam ayat ini. Kita memuji Allah terus kepadaNya. Kalau sebelum kita menyebut Allah di dalam bentuk pihak ketiga tapi kali ini kita memuji Allah terus kepadaNya. Ini jarang berlaku di dalam Al-Qur’an.

Di dalam ayat ini dan ayat selepasnya, tidak disebut pun apakah permintaan yang diajar. Maka ini adalah sebagai pembukaan bagi doa hamba. Kita memuji-muji Allah dan mengiktiraf kebesaran Allah sebelum meminta apa-apa kepadaNya. Inilah tawasul yang dibenarkan dan digalakkan di dalam berdoa. Ini adalah pernyataan cinta dan rapat dengan Allah sebagai kita cakap dengan emak kita, ‘Emaklah emak yang terbaik’ sebelum cakap benda-benda yang lain.

 

Maksud اللَّهُمَّ adalah cara panggilan kepada Allah. Ia diterjemahkan: “ya Allah!”. Para ulama nahu (seperti Sibawayh dan al-Khalil) menjelaskan bahawa huruf Mim yang bertasdid di akhir (ـهُمَّ) berfungsi sebagai pengganti kepada huruf panggilan (Huruf an-Nida’) “Ya” (يَا). Kita sekarang diajar berdoa dengan bertawasul dengan nama Allah yang mulia. Seolah-olah apabila seseorang menyebut “Allahumma”, dia tidak hanya memanggil “Ya Allah”, tetapi sedang menyeru Allah dengan bertawasul menggunakan seluruh Asma’ul Husna dan Sifat Agung-Nya secara serentak.

Doa Nabi selalu menggunakan اللَّهُمَّ. Maka, elok kalau kita guna cara begitu. Dan kelebihan permulaan doa sebegini ada disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan dari Buraidah bin al-Husaib, bahawasanya Rasulullah mendengar seorang lelaki berdoa dengan mengucapkan:

«اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ الأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ»
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan bersaksi bahawa Engkau adalah Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, Yang Maha Esa, tempat bergantung segala sesuatu, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, serta tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya.”

Maka Rasulullah SAW bersabda:

«وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ سَأَلَ اللَّهَ بِاسْمِهِ الأَعْظَمِ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ وَإِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى»
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh dia telah memohon kepada Allah dengan Nama-Nya yang Maha Agung, yang apabila Dia menyeru/berdoa dengannya pasti Dia memperkenankan, dan apabila meminta dengannya pasti Dia memberi.”

(HR at-Tirmidzi, No. 3475 & Abu Dawud, No. 1493 — Hadis Sahih)

Kemudian doa ini memuji Allah. Dialah Allah dan Dia sahaja yang memiliki kerajaan yang sebenar. Maksud المُلكِ adalah kerajaan yang besar.

Ada perbezaan antara maksud مالِكَ dan المُلكِ walaupun bunyinya seakan-akan sama. Maksud مالِكَ adalah ‘memiliki’. ‘Memiliki’ maksudnya ada benda yang menjadi hak kita. Macam kita miliki rumah atau pen.

Tapi kalimah المُلكِ bermaksud kerajaan besar yang selalunya ditadbir oleh seorang Raja. Tapi walaupun dia Raja, tidaklah dia memiliki semuanya seperti rumah dan pen. Jadi, apabila Allah menggunakan perkataan المُلكِ dan مالِكَ ini, maksudnya Allah memiliki kerajaan yang besar dan apa-apa sahaja yang kecil-kecil. Allah memiliki yang makro dan mikro.

Dalam konsep ketuhanan, nama dan sifat مٰلِكَ الْمُلْكِ (Pemilik Kerajaan Mutlak) dibuktikan melalui tiga rukun kekuasaan alam semesta yang dipegang sepenuhnya oleh Allah. Tiga sifat tersebut adalah Mamluk (Status Makhluk yang Dimiliki), Tadbir (Pengurusan), dan Tasarruf (Kebebasan Bertindak).

1. Mamluk (المَمْلُوك) – Status Segala Sesuatu Sebagai “Yang Dimiliki”. Istilah mamluk bermaksud harta, barang, atau hamba yang dimiliki oleh seorang tuan. Dalam konteks مٰلِكَ الْمُلْكِ, sifat ini menegaskan bahawa seluruh alam semesta dan segala isinya adalah hak milik mutlak Allah. Langit, bumi, manusia, malaikat, jin, bintang, malah setiap zarah terkecil pun berstatus mamluk (hamba/barang milik-Nya). Oleh kerana status kita hanyalah mamluk, maka manusia sebenarnya tidak memiliki apa-apa pun di dunia ini secara hakiki. Harta, pangkat, dan tubuh badan kita hanyalah pinjaman. Hak milik kekal hanyalah bagi Allah.

2. Tadbir (التَّدْبِير) – Pengurusan dan Pentadbiran yang Sempurna. Ia bermaksud mengatur, mengurus, merancang, dan menyusun sesuatu dengan bijaksana. Ini mengajar kita yang Allah bukan sekadar memiliki alam ini lalu membiarkannya begitu sahaja. Sebagai مٰلِكَ الْمُلْكِ, Allah memegang sifat Tadbir, iaitu menguruskan perjalanan seluruh makhluk-Nya setiap saat tanpa henti. Allah yang mengatur putaran planet, menurunkan hujan, menetapkan kadar rezeki manusia, menumbuhkan pokok, dan mengawal denyutan jantung. Pengurusan (tadbir) Allah sangat rapi, sistematik, dan tiada cacat cela (makro dan mikro). Manusia boleh merancang, tetapi Tadbir (ketentuan akhir) tetap di tangan Allah.

3. Tasarruf (التَّصَرُّف) – Kebebasan Bertindak Secara Mutlak. Ia bermaksud mengendalikan, mengubah, atau memperlakukan sesuatu mengikut kehendak sendiri. Sifat Tasarruf bagi Allah bermaksud Allah mempunyai hak dan kebebasan mutlak untuk melakukan apa sahaja ke atas milik-Nya (makhluk) tanpa perlu meminta izin, tanpa boleh dihalang, dan tanpa boleh dipersoalkan oleh sesiapa pun. Ciri inilah yang digambarkan di dalam Ayat 26 ini; Allah berhak tasarruf dengan memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki, menghinakan sesiapa yang Dia kehendaki, menukar siang kepada malam, serta menghidupkan atau mematikan makhluk. Tiada undang-undang atau kuasa lain yang boleh menyekat tindakan (tasarruf) Allah.

Jadi Allah adalah مٰلِكَ المُلكِ. Maka doa ini bertawasul dengan dua nama Allah iaitu الله di dalam اللَّهُمَّ dan yang keduanya adalah مٰلِكَ المُلكِ. Maknanya sebelum berdoa lagi, kita sudah menyakini yang kita sekarang sedang meminta kepada Allah Tuhan yang mencipta segalanya dan kekuasaan adalah di TanganNya sepenuhnya. Jadi memang layak kita meminta kepadaNya.

Allah suruh beritahu kepada golongan Nasara itu dan bandingkan Nabi Isa yang mereka anggap sebagai Tuhan (Satu dalam Tiga) itu adalah baginda مٰلِكَ الْمُلْكِ? Tentu sekali tidak.

Kalimat مٰلِكَ المُلكِ dalam ayat ini juga menegaskan bahawa Allah adalah Pemilik Mutlak segala kekuasaan, yang berkuasa memberi atau mencabut kerajaan dan kemuliaan daripada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ia memusnahkan dakwaan kaum Yahudi dan Nasrani yang menanti-nantikan sebuah kerajaan akhir zaman, sama ada melalui kepulangan Nabi Isa atau kemunculan seorang pemimpin agung daripada keturunan Bani Israil. Ayat ini sebagai penolakan terhadap sikap takbur bangsa tersebut terhadap kuasa politik dunia.

Kaum Yahudi dan Nasrani sering mendakwa bahawa kekuasaan, kenabian, dan janji kerajaan akhir zaman adalah hak eksklusif bangsa atau keturunan tertentu (khususnya Bani Israil). Kalimat مٰلِكَ المُلكِ mengajar bahawa kerajaan tidak diwarisi secara mutlak oleh sesuatu bangsa akibat keturunan, sebaliknya ia adalah hak Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki, termasuklah kepada Nabi Muhammad dan umat Islam yang bukan dari susur galur Bani Israil.

Walaupun penganut Yahudi menanti seorang “Messiah” (Raja penakluk dari keturunan Daud) dan Nasrani menanti kembalinya Nabi Isa a.s. untuk menegakkan kerajaan Tuhan di bumi, mereka menetapkan syarat perkauman dan menolak kenabian Nabi Muhammad SAW kerana baginda bukan dari Bani Israil. Allah SWT melalui ayat ini mengingatkan bahawa penentuan siapa yang memegang tampuk kekuasaan dunia dan agama bukanlah terletak pada ramalan atau selera kaum tertentu, melainkan ketetapan mutlak kekuasaan Allah.

Dan Allah telah pernah menukar kerajaan di dunia ini dari tangan mereka.  Ayat ini mengandungi isyarat bahawa Allah akan mencabut kekuasaan daripada empayar-empayar besar dunia pada masa itu (seperti Rom dan Parsi yang didominasi atau diiringi pengaruh Ahli Kitab) dan menyerahkan sebahagian kekuasaan tersebut kepada umat Nabi Muhammad. Sehinggakan umat Islam pernah menguasai 2/3 dari kerajaan dunia.

 

تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ

Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,

Ini adalah salah satu bentuk dan bukti kekuasaan Allah dan pemilikanNya. Allah yang beri kuasa kerajaan di dunia. Perhatikan, Allah tidak kata Dia ‘milikkan’ kerajaan ini kepada makhluk, tapi ‘beri’ sahaja. Kerana ‘beri’ itu bersifat sementara dan boleh diambil balik.

Jadi Allah boleh beri kerajaan dan pemerintahan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Ini adalah antara perkara yang tidak dapat dijangka. Ada orang yang tidak pernah sangka akan menjadi raja, akhirnya menjadi raja. Sebagai contoh, dalam kerajaan Melayu dahulu, keturunan Raja-raja telah ditetapkan. Tetapi apabila Kerajaan British campur tangan, mereka telah menukar Sultan yang tidak mahu mengikut telunjuk mereka dengan orang lain. Orang yang tidak sepatutnya menjadi raja, dia pula yang dinaikkan jadi Sultan. Maka kuasa pemerintahan ini boleh sahaja Allah berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu. Dia yang tetapkan.

Begitulah juga, Nabi Muhammad bukanlah berdakwah mengajar agama kerana hendakkan kuasa pemerintahan. Tetapi kuasa memerintah diberikan juga kepada baginda untuk menegakkan hukum agama. Ini kerana apabila hendak menegakkan undang-undang agama Islam, maka kenalah ada kerajaan dan kuasa dahulu. Jadi Tanah Arab yang tidak ada apa-apa sebelum itu, telah menjadi satu tempat yang hebat dan berkuasa dan dipandang tinggi oleh seantaro dunia.

Asbabun Nuzul: Ayat ini mengandungi isyarat yang umat Islam akan berkuasa menguasai orang kafir. Berita kejayaan ini telah diberikan kepada Rasulullah ketika peristiwa Perang Khandaq.

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ: أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَفْرِ الْخَنْدَقِ، قَالَ: وَعَرَضَتْ لَنَا صَخْرَةٌ فِي مَكَانٍ مِنْ الْخَنْدَقِ لاَ تَأْخُذُ فِيَهَا المَوَاعِينُ، فَشَكَوْهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ… فَأَخَذَ المِعْوَلَ فَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ»، فَضَرَبَ ضَرْبَةً فَكَسَرَ ثُلُثَ الصَّخْرَةِ، وَقَالَ: «اللَّهُ أَكْبَرُ، أُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ الشَّامِ، وَاللَّهِ إِنِّي لأَبْصِرُ قُصُورَهَا الْحُمْرَ السَّاعَةَ

ثُمَّ ضَرَبَ الثَّانِيَةَ فَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ»، فَكَسَرَ ثُلُثًا آخَرَ، فَقَالَ: «اللَّهُ أَكْبَرُ، أُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ فَارِسَ، وَاللَّهِ إِنِّي لأَبْصِرُ قَصْرَ المَدَائِنِ الأَبْيَضَ الآنَ

ثُمَّ ضَرَبَ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ»، فَقَطَعَ بَقِيَّةَ الْحَجَرِ، فَقَالَ: «اللَّهُ أَكْبَرُ، أُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ الْيَمَنِ، وَاللَّهِ إِنِّي لأَبْصِرُ أَبْوَابَ صَنْعَاءَ مِنْ مَكَانِي هَذَا

Daripada al-Bara’ bin ‘Aazib RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk menggali parit (ketika Perang Khandaq). Di satu sudut parit, kami terhalang oleh sebuah batu besar yang tersangat keras dan tidak dapat dipecahkan oleh peralatan kami. Lalu para sahabat mengadukan perkara itu kepada Rasulullah SAW…”

“Maka Rasulullah SAW datang, lalu Baginda mengambil cangkul/penukul besi dan mengucapkan: ‘Bismillah’. Baginda memukul batu itu sekali pukulan, lalu pecahlah sepertiga daripada batu tersebut. Baginda bersabda: ‘Allahu Akbar! Aku telah dikurniakan kunci-kunci negeri Syam. Demi Allah, sesungguhnya aku sedang melihat istana-istananya yang merah sekarang ini!’

“Kemudian Baginda memukul untuk kali kedua seraya mengucapkan: ‘Bismillah’, lalu pecah sepertiga batu yang lain. Baginda bersabda: ‘Allahu Akbar! Aku telah dikurniakan kunci-kunci negeri Parsi. Demi Allah, sesungguhnya aku sedang melihat istana Al-Mada’in yang putih sekarang ini!’

“Kemudian Baginda memukul untuk kali ketiga seraya mengucapkan: ‘Bismillah’, lalu pecahlah baki batu tersebut. Baginda bersabda: ‘Allahu Akbar! Aku telah dikurniakan kunci-kunci negeri Yaman. Demi Allah, sesungguhnya aku sedang melihat pintu-pintu kota San’a daripada tempatku berdiri ini!’

(HR an-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra, No. 8858 & Ahmad, No. 18721 — Hadis Hasan)

Kaum munafik yang menyaksikan peristiwa itu mengejek dan memperlekehkan sabda Nabi. Mereka berkata: “Lihatlah Muhammad, kami mahu buang air pun takut dan terpaksa bersembunyi di dalam parit, tetapi dia menjanjikan kami istana-istana Parsi dan Rom!” Begitu juga apabila hal ini ketahui oleh Ahli Kitab. Mereka juga mengejek Nabi Muhammad. Maka Allah menurunkan ayat ini sebagai respons untuk membantah ejekan orang munafik dan golongan Ahli Kitab, menegaskan bahawa kekuasaan, keagungan, dan kejatuhan sesebuah empayar besar (seperti Parsi dan Rom) adalah sepenuhnya di bawah genggaman kekuasaan Allah.

Apa yang hendak dihairankan, bukankah Allah telah berfirman di dalam Ayat 12 sebelum ini?

قُل لِّلَّذينَ كَفَروا سَتُغلَبونَ
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini)

Allah suruh beritahu kepada golongan Nasara itu dan bandingkan Nabi Isa yang mereka anggap sebagai Tuhan (Satu dalam Tiga) itu adalah baginda boleh memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa? Tentu sekali tidak.

 

Begitulah nanti kita akan bertemu di dalam Ayat 140 وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ (Dan demikian itulah hari-hari [kejayaan dan kejatuhan], Kami gilirkan di antara manusia) yang merupakan satu prinsip politik yang boleh diambil daripada ayat-ayat ini. Tiada sesebuah bangsa, empayar, mahupun tamadun yang akan kekal berada di puncak kemuncak buat selamanya. Bangsa Rom pernah mempunyai zaman kegemilangan mereka; bangsa Parsi pernah mempunyai zaman mereka; umat Islam pernah mempunyai zaman mereka; dan bangsa Eropah juga pernah mempunyai zaman mereka. Setiap satu daripadanya bangkit, mencapai kemuncak, dan akhirnya merosot. Inilah sunnatullah (ketetapan Allah yang konsisten).

Dari sudut politik, perkara ini sepatutnya mencegah sifat sombong ketika mencapai kemenangan dan rasa putus asa ketika mengalami kekalahan. Negara-negara yang berkuasa pada masa ini tidak sepatutnya menjadi angkuh dengan menganggap dominasi mereka adalah kekal. Manakala negara-negara yang lemah pada masa ini pula tidak sepatutnya berputus asa, kerana mengetahui bahawa “giliran” itu akan kembali jika mereka memenuhi syarat-syaratnya. Pengajaran dari sudut psikologi dan politiknya ialah: sentiasa merendah diri ketika memegang kuasa, dan sentiasa mempunyai harapan ketika berada dalam keadaan tidak berdaya.

 

Frasa تُؤتِي المُلكَ مَن تَشآءُ menimbulkan satu persoalan politik dan teologi yang sukar: jika Allah yang memberikan kerajaan/kekuasaan, adakah ini bermakna setiap pemerintah itu sah? Adakah ini bermakna tindakan mereka adalah betul dari sudut moral?

Jawapannya ialah tidak. Contohnya Allah memberikan kekuasaan kepada Firaun, tetapi Firaun adalah seorang yang jahat. Allah memberikan kekuasaan kepada Namrud, tetapi Namrud adalah seorang zalim. Oleh itu, pemberian kerajaan oleh Allah tidak merujuk kepada keredaan atau kelulusan Ilahi terhadap tindakan pemerintah tersebut. Ia bermaksud Allah telah mentakdirkan kekuasaan itu bagi sesuatu tujuan. Kadang-kala untuk menguji rakyat di bawah pemerintah tersebut, kadang-kala untuk memberikan mereka apa yang mereka berhak dapat dari segi balasan atau pengajaran, dan kadang-kala sebagai sebahagian daripada perancangan-Nya yang lebih besar yang sedang berlaku. Kita pun tidak tahu dan tidak nampak.

Pengajaran politiknya: jangan menyamakan kekuasaan/kekuatan dengan kebenaran. Jangan menganggap bahawa hanya kerana sesebuah kerajaan itu berkuasa, maka ia adalah benar. Jangan menganggap bahawa hanya kerana seorang pemerintah mempunyai autoriti, maka Allah meredai perbuatannya. Kuasa ialah satu ujian, bukannya satu pengesahan keredaan dari Allah.

 

وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ

dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah boleh ambil balik kerajaan yang telah diberikanNya. Digunakan kalimah تَنزِعُ di sini kerana orang yang kuasa, takkan senang-senang dia hendak beri kuasanya itu. Maka ia akan dicabut darinya tanpa kerelaannya. Maka ayat ini mendidik kita yang kerajaan, milik kita, apa-apa sahaja, bukan hak kita sebenarnya. Kalau kita telah terima yang ia adalah milik Allah, maka kita tenang sahaja apabila ia diambil. Kalau kita lihat ahli politik sekarang, ada yang kita lihat mengamuk apabila kedudukannya ditarik, tapi ada juga yang tenang-tenang sahaja, tidak kecoh pun. orang sebeginilah yang kita hendak tiru – tenang sahaja kalau kuasa diambil kerana dia sedar yang asalnya kuasa itu pun bukan miliknya.

Ada kerajaan yang besar yang tak sangka boleh diambil. Dalam Al-Qur’an disebut berkali-kali tentang kerajaan Mesir yang hebat dipunyai oleh Firaun. Entah berapa mereka memerintah, tapi Allah begitu sahaja dan musnahkan kerajaan itu. Yang menjatuhkan kerajaan Allah naikkan anak angkat Firaun sendiri yang dia bela dan beri makan. Dan Firaun yang hebat dan bala tentera yang besar itu Allah kalahkan bagaimana? Dengan air sahaja.

Di dunia juga kita banyak melihat contoh-contohnya. Macam Allah ambil kekuasaan Hosni Mubarak di Mesir tidak lama dahulu. Kerajaan di Malaysia pun begitu juga. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tapi akhirnya jatuh juga. Itu memang tidak disangka. Kalau beberapa tahun sebelum itu ditanya adalah Hosni Mubarak akan kehilangan kuasa dia, orang yang pandang kita dan kata: “Engkau dah gila?”. Tapi segala-galanya dalam kekuasaan Allah. Allah boleh beri dan Allah boleh tarik. Kalau kita sedang berada di tampuk pemerintah tertinggi mana pun, ingatlah yang kita tidak selama-lamanya ada di situ. Maka bagi orang yang memerintah dan ada kerajaan, jangan rasa hebat sangat, jangan rasa selamat dan sangka akan berkuasa sampai bila-bila. Boleh sahaja Allah lucutkan kuasa itu tiba-tiba.

Balaghah: Pemisahan antara تُؤتِي المُلكَ مَن تَشآءُ dan تَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشآءُ kepada dua frasa yang berbeza mengajar kita satu bentuk psikologi yang penting. Allah boleh sahaja gabungkan dengan berfirman تُؤتِي وَتَنزِعُ المُلكَ مَن تَشآءُ tapi Allah pisahkan. Ia mengajar kita untuk menangani satu corak psikologi yang beracun: pemikiran bahawa kejayaan orang lain adalah kerugian bagi diri kita, atau kerugian orang lain adalah keuntungan buat kita. Inilah hakikat kepada sifat dengki (hasad).

Apakah contoh pemikiran rosak ini? Iblis mencerminkan pemikiran ini: “Jika aku boleh membinasakan dia (Adam), maka aku akan berada di tempat yang lebih baik.” Firaun berfikir: “Jika aku boleh menghapuskan Musa, kerajaanku akan selamat.” Saudara-saudara Nabi Yusuf berfikir: “Jika kita menyingkirkan Yusuf, ayah kita akan lebih menyayangi kita.”

Allah sedang mengajar kita bahawa perkara-perkara ini tidak saling bergantung. Pemberian kepada seseorang tidak memerlukan pengambilan daripada orang lain. Pengambilan daripada seseorang pula tidak menjamin pemberian kepada orang lain. Perubahan sudut pandang ini membebaskan jiwa secara psikologi Anda boleh sahaja meraikan kejayaan orang lain tanpa rasa terancam, dan anda boleh melihat kejatuhan orang lain tanpa rasa puas hati. Rezeki anda, kedudukan anda, dan kemuliaan (‘izza) anda adalah terpisah dan tidak bergantung pada orang lain.

 

Ibnu Abbas ada menafsirkan lafaz al-Mulk dalam ayat ini adalah an-nubuwwah. Kerana ada kekuasaan kepemimpinan dalam nubuwwah juga. Maksudnya Allah boleh memberi dan menarik nubuwwah dari golongan mana-mana sahaja dan diberikan kepada mereka yang lain. Sebagaimana dulu Allah beri wahyu kepada para Nabi dari kalangan Bani Israil, tapi kemudian Allah telah tarik dan beri kepada Bani Ismail iaitu Nabi Muhammad dari Bani Ismail – bangsa Arab.

Allah suruh beritahu kepada golongan Nasara itu dan bandingkan Nabi Isa yang mereka anggap sebagai Tuhan (Satu dalam Tiga) itu adalah baginda boleh menjatuhkan kuasa pemerintahan daripada sesiapa? Tentu sekali tidak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 21 September 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Dr Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment