Tafsir Surah Ali Imran Ayat 24 – 25 (Bahaya Terperangkap Dengan Angan-Angan Palsu (Ghurur))

Ali Imran Ayat 24: Allah beritahu kenapa mereka berdegil tidak mahu terima kebenaran yang telah disampaikan kepada mereka. Inilah punca kenapa golongan ahli kitab itu berani menolak kebenaran. .

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّآ أَيّامًا مَّعدودٰتٍ ۖ وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ

SAHIH INTERNATIONAL
That is because they say, “Never will the Fire touch us except for [a few] numbered days,” and [because] they were deluded in their religion by what they were inventing.

MALAY
Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”. Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ

Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”.

Ini akidah Puak Yahudi dan Nasara. Mereka sangka (perasan) yang mereka akan masuk neraka tidak lama. Maksud مَّعدودٰتٍ adalah bilangan yang boleh dibilang; dan bila boleh dibilang, tidak banyak lah. Ada pendapat yang kata paling lama pun selama 40 hari sahaja. Dan perhatikan kalimah yang digunakan adalah تَمَسَّنَا iaitu bermaksud mereka ‘disentuh’ sahaja. Maknanya kena sedikit sahaja pada pandangan mereka. Tapi kenapa 40 hari? Kerana itulah lamanya tok nenek mereka menyembah anak patung yang dibuat oleh Samiri. Ada juga yang kata 7 hari sahaja kerana itulah lamanya hari dalam seminggu. Oleh kerana sangka sekejap sahaja masuk nerakalah yang mereka berani buat apa sahaja di dunia ini walaupun berlaku zalim kepada orang lain.

Jadi sebenarnya mereka tahu adanya neraka dan malah mereka terima kemungkinan mereka akan masuk neraka. Dan mereka tidak takut, malah berbangga pula! Ini yang peliknya. Sepatutnya mereka bertaubatlah supaya tak masuk neraka langsung. Adakah mereka sangka neraka itu seperti masuk penjara di dunia sahaja? Sedangkan Rasulullah bersabda:

نَارُكُمْ هَذِهِ الَّتِي يُوقِدُ ابْنُ آدَمَ جُزْءٌ مِنْ سَبْعِينَ جُزْءًا مِنْ حَرِّ جَهَنَّمَ
“Api kamu yang dinyalakan oleh anak Adam di dunia ini hanyalah satu bahagian daripada 70 bahagian panasnya api neraka Jahannam.”

Para sahabat berkata: “Demi Allah, wahai Rasulullah, api dunia ini sahaja pun sudah cukup (untuk menyeksa).” Baginda bersabda:

فَإِنَّهَا فُضِّلَتْ عَلَيْهَا بِتِسْعَةٍ وَسِتِّينَ جُزْءًا كُلُّهَا مِثْلُ حَرِّهَا
“Sesungguhnya api neraka itu dilebihkan (ditingkatkan panasnya) 69 kali ganda berbanding api dunia, yang mana setiap bahagiannya sama panasnya dengan api dunia itu.”

(Sahih al-Bukhari, No. 3265 & Sahih Muslim, No. 2843)

Oleh kerana ada akidah ini, jadi mereka sampaikan tidak takut menipu dalam hal agama. Mereka tahu ada neraka, tahu mereka mungkin akan masuk tapi mereka sangka kalau masuk pun sekejap sahaja. Kerana mereka sangka mereka itu umat terpilih. Macam ayah, takkan nak hendak hukum lama sangat anak kesayangan dia, bukan?

Balaghah: Dalam ayat ini digunakan lafaz مَعدوداتٍ. Ianya bermaksud jumlah yang banyak tapi tidak banyak sangat. Ini adalah salah satu dari ilmu nahwu bahasa Arab. Dalam Baqarah:80, digunakan lafaz مَعدودَةً.

وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودَةً
Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”

Oleh kerana kalimah yang digunakan berlainan, tentu ada perbezaan. Kedua-duanya berbentuk jamak (plural) akan tetapi tidak sama. Kalimah  مَعدودَةً bermaksud jumlah yang lebih banyak akan tetapi ia tidak sebanyak مَعدوداتٍ. Di dalam Bahasa Arab, jamak ada dua jenis. Ada jamak qillah (جمع قلة) dan jamak kasrah (جمع كثرة). جمع قلة digunakan apabila banyak itu tidak banyak sangat dan boleh dikira sedangkan جمع كثرة digunakan apabila ia lebih banyak. Digunakan جمع كثرة kerana ada yang 40 hari dan ada yang kata 7 hari sahaja maka di sana digunakan جمع قلة. Oleh itu kalimah مَعدوداتٍ yang digunakan di dalam Ali Imran ini adalah bilangan yang lebih banyak daripada مَعدودَةً.

Kenapa mereka sangka mereka pasti masuk syurga dan kalaulah masuk neraka kerana ada kesalahan yang mereka lakukan, mereka masuk sekejap sahaja? Frasa selepas ini menjawab persoalan itu.

 

وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ

Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

Mereka diperdaya oleh fahaman sesat mereka. Mereka sendiri yang reka fahaman sesat itu. Pendeta dan ulama’ agama mereka telah memutar-belit agama dan mereka terus percaya (tanpa usul periksa lagi). Malah yang lebih pelik lagi, mereka sangka mereka pasti akan masuk syurga. Dan mereka yakin mereka sahaja yang masuk! Mereka bercakap tanpa dalil dan Allah tempelak mereka di dalam Baqarah:111

وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ‌ۗ تِلكَ أَمانِيُّهُم ۗ قُل هاتوا بُرهَـٰنَڪُم إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Kalimah غَرَّ digunakan apabila penipuan itu diberikan dalam bentuk nasihat. Akan tetapi nasihat itu menjerumuskan mereka ke lembah penghinaan. Tapi kerana ia seperti dalam bentuk nasihat, maka kerana itu ramai yang percaya kerana ia datang dari ahli agama. Mereka tidak periksa sama sekali sama ada yang disampaikan itu ada dalil atau tidak. Bagi Ahli Kitab, mereka sangka mereka pasti selamat, jadi mereka tidak takut berlaku zalim, mereka tidak berusaha jadi kebenaran. Kerana sudah selamat, hendak buat apa lagi?

Ini macam masyarakat kita juga, kalau ustaz cakap begini dan begitu, masyarakat yang jahil akan terima bulat-bulat sahaja. Macam mereka tidak ada akal untuk periksa sendiri. Malah ada yang perasan, kerana mereka keturunan Nabi (tidak kiralah Habib atau pun Syed), mereka pasti selamat. Ini adalah sangkaan yang amat bahaya!

Begitulah akidah sesat golongan ahli kitab. Padahal tiada dalil sahih yang kata mereka akan kena azab sekejap sahaja. Inilah bahaya propaganda. Mungkin pada mulanya ada yang cakap satu idea yang tiada asas. Tapi apabila sudah ramai yang terima, ramai yang cakap benda yang sama, ia sudah jadi macam fakta, padahal asalnya tidak. Antara contohnya, mereka didoktrin oleh ahli agama mereka yang mereka anak-anak Allah, kesayangan Allah, seperti disebut di dalam Maidah:18. Jadi bila anak Tuhan, takkan Tuhan hendak azab?

وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصٰرَىٰ نَحْنُ أَبْنَؤا اللهِ وَأَحِبَّؤُهُ قُلْ فَلِمَ يُعَذِّبُكُم بِذُنُوبِكُم بَلْ أَنتُم بَّشَرٌ مِّمَّنْ خَلَقَ
Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya”. Katakanlah: “Maka mengapa Allah menyeksa kamu kerana dosa-dosamu?” (Kamu bukanlah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya), tetapi kamu adalah manusia (biasa) diantara orang-orang yang diciptakan-Nya.

Masyarakat kita pun ada fahaman sesat ini. Mereka kata “kalau masuk neraka, orang Muslim akhirnya akan masuk syurga juga, bukan?” Tentu anda pernah dengar kata-kata sebegini. Maka fahaman itu menyebabkan ramai Muslim yang rasa selamba sahaja, macam tak takut kalau buat dosa. Yakin benar mereka yang mereka akan masuk sekejap sahaja dan akhirnya akan masuk syurga akhirnya. Sedangkan akidah entah benar atau tidak, solat pun culas, tapi perasan duduk sekejap sahaja dalam neraka! Siapa yang ada bagi janji kepada mereka, begitu? Apa mereka sangka neraka itu macam kena tahan di penjara dunia sahajakah? Amat malang sekali kepada mereka yang ada fahaman sebegitu. Kerana fahaman lebih kurang sahaja dengan fahaman Yahudi dan Kristian.


 

Ali Imran Ayat 25: Kalau di dunia mereka berbohong, dan percaya dengan bohong sendiri, apa agaknya nanti apabila mereka di akhirat kelak dan lihat kebenaran di hadapan mereka?

فَكَيفَ إِذا جَمَعنٰهُم لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
So how will it be when We assemble them for a Day about which there is no doubt? And each soul will be compensated [in full for] what it earned, and they will not be wronged.

MALAY
Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang dia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

 

فَكَيفَ إِذا جَمَعنٰهُم لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ

Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; 

Bagaimana agaknya mereka pada Hari Kiamat itu? Bahasa yang digunakan menunjukkan ketakjuban. Allah kata يَومٍ لّا رَيبَ فيهِ. Allah tak sebut يَومٍ itu hari apa tapi kita tahu ia adalah hari Kiamat. Dan tidak syak lagi hari itu pasti datang dan mereka akan mendapat balasan mereka. Maka ini mengajar kita yang kita boleh ada syak sedikit pun tentang Hari Kiamat. Kalimah لا رَيبَ itu dalam bentuk النَّفْيُ لِجِنْسِ yang bermaksud menolak segala jenis syak. Maka kalau tidak ada ragu, maka hendaklah kita buat persediaan untuk menghadapinya. Kenapa lagi masih berlengah-lengah?

Tidak dapat dibayangkan apa yang akan mereka yang menentang kebenaran itu akan lalui nanti. Terkejut mereka nanti apabila melihat kebohongan yang percaya selama ini tidak benar sama sekali! Pemimpin agama mereka kata mereka pasti selamat, tapi nanti apabila akhirat bermula, tidak sebegitu! Tidakkah mereka pernah terfikir? Tidakkah mereka takut? Sama ada takut kepada Hari Kiamat atau takut kepada hari yang mereka pastinya akan mati (juga dipanggil Kiamat Kecil).

Maka kita pun kena ingat selalu perkara ini. Kena kenang apalah balasan untuk kita di akhirat kelak. Jangan fikir hal dunia sahaja tapi fikirkan juga hal-hal akhirat yang pasti datang. Mahu fikir atau tidak, ia tetap datang (kerana ia tidak syak lagi, pasti akan datang).

 

وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت

dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang dia telah usahakan,

Manusia akan dapat balasan yang setimpal dengan apa yang dilakukannya di dunia. Kalau dia pernah melakukan kesalahan akidah sesat, maka dia akan kekal dalam neraka (bukan sementara sahaja). Kalau dia ada dosa, maka dia akan diazab di dalam neraka kalau dosanya melebihi pahalanya.

Perhatikan di dalam ayat ini digunakan kalimah كَسَبَت yang diterjemahkan secara ‘yang jiwa itu telah lakukan’. Namun ada lagi kalimah lain untuk menyebut tentang perbuatan. Dalam bahasa Arab, terutamanya dalam konteks Al-Qur’an dan ilmu agama, perkataan كسب (kasb), فعل (fi’l), dan عمل (‘amal) semuanya merujuk kepada perbuatan atau tindakan, tetapi setiap satu memiliki nuansa makna dan konotasi yang sedikit berbeza. Memahami perbezaan ini adalah penting untuk tafsiran Al-Qur’an yang lebih tepat.

1. فِعْل adalah perkataan yang paling umum dan luas maknanya untuk merujuk kepada sebarang tindakan, kejadian, atau perbuatan. Ia boleh berlaku secara sengaja atau tidak sengaja. Boleh digunakan untuk manusia, haiwan, atau benda mati. Ia tidak semestinya melibatkan niat atau tujuan tertentu. Maknanya ia tidak semestinya dilakukan dengan pengetahuan atau kesedaran penuh. Contoh: Batu berguling, hujan turun, seseorang tersandung. Dalam Al-Qur’an, ia digunakan secara umum untuk merujuk kepada tindakan Allah ‎ﷻ atau manusia.

2. عَمَل adalah perbuatan atau pekerjaan yang dilakukan dengan niat, tujuan, kesedaran, dan pilihan. Ia lebih spesifik daripada فِعْل. Ia merujuk kepada perbuatan yang melibatkan usaha dan kesengajaan dari pelaku. Ia hanya datang daripada makhluk berakal (manusia atau jin) dan dilakukan dengan kesedaran, niat, dan tujuan. Biasanya melibatkan pengulangan atau kesinambungan (tidak hanya sekali berlaku) dan boleh dinilai sebagai baik (soleh) atau buruk (sayyi’). Dalam Al-Qur’an, ia sering digunakan dalam frasa “amal soleh” (perbuatan baik) atau “amal sayyi’” (perbuatan buruk), kerana ia merujuk kepada perbuatan yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

3. كَسْب seperti yang digunakan di dalam ayat ini merujuk kepada perbuatan atau usaha yang dilakukan oleh seseorang yang mendatangkan hasil, ganjaran, atau balasan kepadanya, sama ada baik atau buruk. Ia menekankan aspek tanggungjawab dan perolehan dari perbuatan itu. Ia adalah jenis perbuatan yang mana pelakunya akan memperoleh manfaat atau mudarat daripadanya. Maka apabila ia digunakan, ia hendak menekankan aspek kebertanggungjawaban individu terhadap perbuatannya. كَسْب sering dikaitkan dengan niat dan pilihan yang akan membawa kepada hasil. Dan ia juga boleh merujuk kepada perolehan atau pendapatan, iaitu hasil daripada usaha. Dalam Al-Qur’an, كَسْب sering digunakan untuk menunjukkan bahawa setiap jiwa akan dipertanggungjawabkan atas apa yang telah dilakukannya.

Apa sahaja balasan yang Allah lakukan, ianya pasti adil. Apa sahaja balasan yang Allah berikan, memang ia patut diberikan kepada orang yang menerimanya. Ayat ini juga dalil bahawa kita hanya mendapat hasil dari usaha kita sahaja. Maka, kalau sedekah atau hadiah pahala tidak sampai. Maka jangan berharap subsidi pahala dari anak beranak. Kena usahakan sendiri semasa kita masih lagi hidup.

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

Mereka tidak akan diberikan azab melainkan apa yang mereka buat sahaja. Tidaklah macam di dunia, kadang-kadang mahkamah kenakan hukuman kepada orang yang tidak bersalah. Kalau manusia curi susu, orang tangkap dia sampai belasah pengsan. Itu tidak patut kerana tidak sama kesalahan, sedangkan yang curi berjuta-juta, selamat pula! Ini kerana manusia tidak mengadili dengan adil, kadang berlaku zalim kepada orang lain.

Tapi Allah tidak zalim dan tidak pernah tersilap. Apa-apa sahaja yang Allah lakukan, tidak pernah dan tidak akan zalim. Malah kalau kebaikan dilakukan, Allah beri balasan berganda-ganda kebaikan. Sedangkan kalau buat dosa, dibalas dengan satu dosa sahaja. Ini seperti Rasulullah telah beritahu kita, di dalam Hadis #37 Arbain Nawawiyah,

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ فِيْمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى، قَالَ: إِنَّ اللهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيئَاتِ، ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ: فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيْرَةٍ. وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً
Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tentang hadits yang baginda riwayatkan dari Rabb-nya Tabaraka wa Ta’ala. Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah telah mencatat (menetapkan) segala kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Barangsiapa yang berniat melakukan kebaikan lalu tidak mengerjakannya, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna, dan jika dia berniat mengerjakan kebaikan lalu mengerjakannya, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus lipat hingga perlipatan yang banyak. Jika dia berniat melakukan keburukan lalu tidak jadi mengerjakannya, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna, dan jika dia berniat melakukan keburukan lalu mengerjakannya, maka Allah menulis itu sebagai satu keburukan.”

(Sahih Bukhari, no. 6491 dan Muslim, no. 131).

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 September 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

 

Tafsir Al-Azhar Dr Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment