Tafsir Surah Ali Imran Ayat 26 (Kekuasaan Mutlak Allah)

KUASA MUTLAK ALLAH

Ali Imran Ayat 26: Ini adalah natijah dari fahaman yang tauhid, maka doa pun dalam bentuk tauhid juga. Ayat ini mengajar kita untuk minta kepada Allah sahaja. Kalau minta kepada wali dan Nabi, itu tanda orang yang ada masalah dengan tauhid.

Ini adalah salah satu daripada doa yang masyhur dalam masyarakat kita. Ayat ini selalu dibaca dalam Majlis Tahlil. Adakah mereka yang membacanya tahu maksud ayat ini agaknya? Mereka mungkin tidak tahu kerana  mereka masih mengamalkan amalan bid’ah (Majlis Tahlil). Mereka hanya ikut-ikut sahaja amalan tok nenek dahulu tanpa melihat kepada dalil. Maknanya mereka tidak belajar pun tafsir Al-Qur’an.

Ayat ini adalah doa yang bagus untuk kita amalkan. Kalau kita lihat di dalam Al-Qur’an terdapat dua jenis doa yang disebut:

1. Ada jenis doa yang Allah pulangkan kembali kata-kata manusia untuk dijadikan sebagai contoh doa kepada kita. Maknanya kita boleh minta dengan cara kita sendiri.

2. Tetapi ada doa yang Allah sendiri ajarkan pada kita untuk menyebutnya seperti yang Allah gunakan di dalam ayat ini. Allah sendiri suruh kita sebut dengan cara seperti yang tertulis kerana ada perkataanقل ‏  (katakanlah) di awal ayat ini.

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشآءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشآءُ ۖ بِيَدِكَ الخَيرُ ۖ إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Say, “O Allah , Owner of Sovereignty, You give sovereignty to whom You will and You take sovereignty away from whom You will. You honor whom You will and You humble whom You will. In Your hand is [all] good. Indeed, You are over all things competent.

MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! 

Maksud اللَّهُمَّ adalah cara panggilan kepada Allah. Ia diterjemahkan: “ya Allah!”. Para ulama nahu (seperti Sibawayh dan al-Khalil) menjelaskan bahawa huruf Mim yang bertasdid di akhir (ـهُمَّ) berfungsi sebagai pengganti kepada huruf panggilan (Huruf an-Nida’) “Ya” (يَا). Kita sekarang diajar berdoa dengan bertawasul dengan nama Allah yang mulia. Seolah-olah apabila seseorang menyebut “Allahumma”, dia tidak hanya memanggil “Ya Allah”, tetapi sedang menyeru Allah dengan bertawasul menggunakan seluruh Asma’ul Husna dan Sifat Agung-Nya secara serentak.

Doa Nabi selalu menggunakan اللَّهُمَّ. Maka, elok kalau kita guna cara begitu. Dan kelebihan permulaan doa sebegini ada disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan dari Buraidah bin al-Husaib, bahawasanya Rasulullah mendengar seorang lelaki berdoa dengan mengucapkan:

«اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ الأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ»
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan bersaksi bahawa Engkau adalah Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, Yang Maha Esa, tempat bergantung segala sesuatu, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, serta tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya.”

Maka Rasulullah SAW bersabda:

«وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ سَأَلَ اللَّهَ بِاسْمِهِ الأَعْظَمِ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ وَإِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى»
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh dia telah memohon kepada Allah dengan Nama-Nya yang Maha Agung, yang apabila Dia menyeru/berdoa dengannya pasti Dia memperkenankan, dan apabila meminta dengannya pasti Dia memberi.”

(HR at-Tirmidzi, No. 3475 & Abu Dawud, No. 1493 — Hadis Sahih)

Kemudian doa ini memuji Allah. Dialah Allah dan Dia sahaja yang memiliki kerajaan yang sebenar. Maksud المُلكِ adalah kerajaan yang besar.

Ada perbezaan antara maksud مالِكَ dan المُلكِ walaupun bunyinya seakan-akan sama. Maksud مالِكَ adalah ‘memiliki’. ‘Memiliki’ maksudnya ada benda yang menjadi hak kita. Macam kita miliki rumah atau pen.

Tapi kalimah المُلكِ bermaksud kerajaan besar yang selalunya ditadbir oleh seorang Raja. Tapi walaupun dia Raja, tidaklah dia memiliki semuanya seperti rumah dan pen. Jadi, apabila Allah menggunakan perkataan المُلكِ dan مالِكَ ini, maksudnya Allah memiliki kerajaan yang besar dan apa-apa sahaja yang kecil-kecil. Allah memiliki yang makro dan mikro.

Jadi Allah adalah مٰلِكَ المُلكِ. Maka doa ini bertawasul dengan dua nama Allah iaitu الله di dalam اللَّهُمَّ dan yang keduanya adalah مٰلِكَ المُلكِ. Maknanya sebelum berdoa lagi, kita sudah menyakini yang kita sekarang sedang meminta kepada Allah Tuhan yang mencipta segalanya dan kekuasaan adalah di TanganNya sepenuhnya. Jadi memang layak kita meminta kepadaNya.

تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ

Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,

Ini adalah salah satu bentuk dan bukti kekuasaan Allah dan pemilikanNya. Allah yang beri kuasa kerajaan di dunia. Perhatikan, Allah tidak kata Dia milikkan kerajaan ini kepada makhluk, tapi ‘beri’ sahaja. Kerana ‘beri’ itu bersifat sementara dan boleh diambil balik.

Jadi Allah boleh beri kerajaan dan pemerintahan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Ini adalah antara perkara yang tidak dapat dijangka. Ada orang yang tidak pernah sangka akan menjadi raja, akhirnya menjadi raja. Sebagai contoh, dalam kerajaan Melayu dahulu, keturunan Raja-raja telah ditetapkan. Tetapi apabila Kerajaan British campur tangan, mereka telah menukar Sultan yang tidak mahu mengikut telunjuk mereka dengan orang lain. Orang yang tidak sepatutnya menjadi raja, dia pula yang dinaikkan jadi Sultan. Maka kuasa pemerintahan ini boleh sahaja Allah berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu. Dia yang tetapkan.

Begitulah juga, Nabi Muhammad bukanlah berdakwah mengajar agama kerana hendakkan kuasa pemerintahan. Tetapi kuasa memerintah diberikan juga kepada baginda untuk menegakkan hukum agama. Ini kerana apabila hendak menegakkan undang-undang agama Islam, maka kenalah ada kerajaan dan kuasa dahulu.

Jadi Tanah Arab yang tidak ada apa-apa sebelum itu, telah menjadi satu tempat yang hebat dan berkuasa dan dipandang tinggi oleh seantaro dunia.

Asbabun Nuzul: Ayat ini mengandungi isyarat yang umat Islam akan berkuasa menguasai orang kafir. Berita kejayaan ini telah diberikan kepada Rasulullah ketika peristiwa Perang Khandaq.

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ: أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَفْرِ الْخَنْدَقِ، قَالَ: وَعَرَضَتْ لَنَا صَخْرَةٌ فِي مَكَانٍ مِنْ الْخَنْدَقِ لاَ تَأْخُذُ فِيَهَا المَوَاعِينُ، فَشَكَوْهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ… فَأَخَذَ المِعْوَلَ فَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ»، فَضَرَبَ ضَرْبَةً فَكَسَرَ ثُلُثَ الصَّخْرَةِ، وَقَالَ: «اللَّهُ أَكْبَرُ، أُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ الشَّامِ، وَاللَّهِ إِنِّي لأَبْصِرُ قُصُورَهَا الْحُمْرَ السَّاعَةَ».

ثُمَّ ضَرَبَ الثَّانِيَةَ فَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ»، فَكَسَرَ ثُلُثًا آخَرَ، فَقَالَ: «اللَّهُ أَكْبَرُ، أُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ فَارِسَ، وَاللَّهِ إِنِّي لأَبْصِرُ قَصْرَ المَدَائِنِ الأَبْيَضَ الآنَ».

ثُمَّ ضَرَبَ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ»، فَقَطَعَ بَقِيَّةَ الْحَجَرِ، فَقَالَ: «اللَّهُ أَكْبَرُ، أُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ الْيَمَنِ، وَاللَّهِ إِنِّي لأَبْصِرُ أَبْوَابَ صَنْعَاءَ مِنْ مَكَانِي هَذَا».

Daripada al-Bara’ bin ‘Aazib RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk menggali parit (ketika Perang Khandaq). Di satu sudut parit, kami terhalang oleh sebuah batu besar yang tersangat keras dan tidak dapat dipecahkan oleh peralatan kami. Lalu para sahabat mengadukan perkara itu kepada Rasulullah SAW…”

“Maka Rasulullah SAW datang, lalu Baginda mengambil cangkul/penukul besi dan mengucapkan: ‘Bismillah’. Baginda memukul batu itu sekali pukulan, lalu pecahlah sepertiga daripada batu tersebut. Baginda bersabda: ‘Allahu Akbar! Aku telah dikurniakan kunci-kunci negeri Syam. Demi Allah, sesungguhnya aku sedang melihat istana-istananya yang merah sekarang ini!’

“Kemudian Baginda memukul untuk kali kedua seraya mengucapkan: ‘Bismillah’, lalu pecah sepertiga batu yang lain. Baginda bersabda: ‘Allahu Akbar! Aku telah dikurniakan kunci-kunci negeri Parsi. Demi Allah, sesungguhnya aku sedang melihat istana Al-Mada’in yang putih sekarang ini!’

“Kemudian Baginda memukul untuk kali ketiga seraya mengucapkan: ‘Bismillah’, lalu pecahlah baki batu tersebut. Baginda bersabda: ‘Allahu Akbar! Aku telah dikurniakan kunci-kunci negeri Yaman. Demi Allah, sesungguhnya aku sedang melihat pintu-pintu kota San’a daripada tempatku berdiri ini!’

(HR an-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra, No. 8858 & Ahmad, No. 18721 — Hadis Hasan)

Kaum munafik yang menyaksikan peristiwa itu mengejek dan memperlekehkan sabda Nabi. Mereka berkata: “Lihatlah Muhammad, kami mahu buang air pun takut dan terpaksa bersembunyi di dalam parit, tetapi dia menjanjikan kami istana-istana Parsi dan Rom!” Begitu juga apabila hal ini ketahui oleh Ahli Kitab. Mereka juga mengejek Nabi Muhammad. Maka Allah menurunkan ayat ini sebagai respons untuk membantah ejekan orang munafik dan golongan Ahli Kitab, menegaskan bahawa kekuasaan, keagungan, dan kejatuhan sesebuah empayar besar (seperti Parsi dan Rom) adalah sepenuhnya di bawah genggaman kekuasaan Allah.

Apa yang hendak dihairankan, bukankah Allah telah berfirman di dalam Ayat 12 sebelum ini?

قُل لِّلَّذينَ كَفَروا سَتُغلَبونَ
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini)

وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ

dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah boleh ambil balik kerajaan yang telah diberikanNya. Digunakan kalimah تَنزِعُ di sini kerana orang yang kuasa, takkan senang-senang dia hendak beri kuasanya itu. Maka ia akan dicabut darinya tanpa kerelaannya. Ada kerajaan yang besar yang tak sangka boleh diambil. Macam Allah ambil kekuasaan Hosni Mubarak di Mesir tidak lama dahulu. Kerajaan di Malaysia pun begitu juga. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tapi akhirnya jatuh juga. Itu memang tidak disangka.

Kalau beberapa tahun sebelum itu ditanya adalah Hosni Mubarak akan kehilangan kuasa dia, orang yang pandang kita dan kata: “Engkau dah gila?”. Tapi segala-galanya dalam kekuasaan Allah. Allah boleh beri dan Allah boleh tarik. Kalau kita sedang berada di tampuk pemerintah tertinggi mana pun, ingatlah yang kita tidak selama-lamanya ada di situ.

Ibnu Abbas ada menafsirkan lafaz al-Mulk dalam ayat ini adalah an-nubuwwah. Kerana ada kekuasaan kepemimpinan dalam nubuwwah juga. Maksudnya Allah boleh memberi dan menarik nubuwwah dari golongan mana-mana sahaja dan diberikan kepada mereka yang lain. Sebagaimana dulu Allah beri wahyu kepada Bani Israil, tapi kemudian Allah telah tarik dan beri kepada Bani Ismail iaitu Nabi Muhammad dari Bani Ismail – bangsa Arab.

وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ

Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki,

Allah boleh muliakan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Kita pun kadang-kadang boleh lihat dalam masyarakat kita, orang yang tidak pernah dikenali sebelum itu, tiba-tiba jadi terkenal dan tersohor dalam masyarakat. Ada orang yang tidak ada harta tapi mulia di mata orang.

Sebagai contoh, dalam sejarah banyak kali kita dengar, bagaimana ulama’ yang tinggi ilmu agama mereka, dan besar jiwa mereka dihormati oleh manusia walaupun mereka tidak ada kuasa pemerintahan. Sebagai contoh, Imam Malik amat dihormati oleh Khalifah. Dan banyak lagi kisah yang kita biasa dengar.

وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ

dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah boleh malukan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Orang yang dipandang tinggi selama hari ini, tiba-tiba ada rahsia dia yang keluar dalam berita sampaikan menghinakan orang itu. Dari pemimpin negara yang besar, boleh jatuh sampai jadi sampah masyarakat.

بِيَدِكَ الخَيرُ

di tanganMu kebaikan

Segala kebaikan adalah pada Allah. Allah adalah sumber kebaikan yang diberikan kepada makhluk. Maksudnya, segala apa sahaja yang Allah buat adalah baik belaka. Jangan kita pertikai apa yang Allah telah lakukan. Kena redha dengan apa yang Allah telah rancang dan jalankan.

Jangan kita gunakan akal kita yang lemah ini untuk menilai baik dan buruk apa yang Allah lakukan. Kadangkala kita lihat sesuatu itu sebagai buruk, bukan? Mungkin kita terkena musibah dan kita tidak suka. Maka kena ingat ayat ini iaitu apa sahaja yang Allah kenakan kepada kita adalah baik-baik belaka.

إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah boleh lakukan apa sahaja yang Allah mahu. Keputusan Allah tidak tertakluk dengan apa-apa sebab pun. Sebab? Sebab Dia Tuhan. Siapa kita untuk mempertikaikan apakah yang Allah hendak lakukan?

Allah hendak  memberitahu yang sebelum ini tampuk agama adalah pada Bani Israil, banyak Nabi dari kalangan mereka. Tapi sekarang Allah sudah buat keputusan untuk memberi tampuk itu kepada orang lain – Nabi Muhammad dari bangsa Arab. Dari Tanah Arab yang kering kontang itu, telah mengubah dunia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Februari 2021

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment