Hadits Arbain #37: Berniat Baik dan Buruk, Namun Tidak Terlaksana
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ فِيْمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى، قَالَ: إِنَّ اللهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيئَاتِ، ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ: فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيْرَةٍ. وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً.
Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tentang hadits yang baginda riwayatkan dari Rabb-nya Tabaraka wa Ta’ala. Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah telah mencatat (menetapkan) segala kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Barangsiapa yang berniat melakukan kebaikan lalu tidak mengerjakannya, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna, dan jika dia berniat mengerjakan kebaikan lalu mengerjakannya, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus lipat hingga perlipatan yang banyak. Jika dia berniat melakukan keburukan lalu tidak jadi mengerjakannya, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna, dan jika dia berniat melakukan keburukan lalu mengerjakannya, maka Allah menulis itu sebagai satu keburukan.”
(Sahih Bukhari, no. 6491 dan Muslim, no. 131).
Muqaddimah
Apabila disebut فِيْمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى (tentang hadits yang baginda riwayatkan dari Rabb-nya Tabaraka wa Ta’ala), ini bermakna yang hadis ini adalah Hadis Qudsi. Hadis Qudsi (secara bahasa: Qudsi bermaksud “suci” atau “nisbah kepada Allah Yang Maha Suci”) ialah hadis di mana Rasulullah ﷺ menyampaikan perkataan atau firman yang bersumberkan daripada Allah, tetapi disusun menggunakan lafaz dan penyampaian Baginda sendiri. Ia dinamakan Hadis Qudsi kerana kandungannya dinisbahkan secara langsung kepada Zat Allah Yang Maha Suci.
Kalimat إِنَّ اللهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيئَاتِ (Sesungguhnya Allah menulis kebaikan-kebaikan dan keburukan-keburukan) menjadi dalil bahawa dosa dan pahala ditetapkan oleh Allah. Bukannya ikut akal semata-mata seperti yang dikatakan sesetengah kelompok.
Adakah tidak boleh kita gunakan akal untuk mengetahui sesuatu itu baik atau buruk? Ya boleh tapi hadnya. Kita sebagai Ahli Sunnah duduk di pertengahan. Iaitu manusia yang ada akal yang sihat boleh tahu kebenaran dengan fitrah dia. Kerana kita telah dianugerahkan dengan akal, maka kita boleh agak sesuatu itu baik atau tidak. Tetapi kita terima yang akal tidak boleh menjadi penentu mutlak untuk menentukan kebenaran dan mengetahui perintah dan larangan Allah. Sesungguhnya kebaikan dan keburukan adalah di atas penentuan Allah. Allah yang jelaskan mana yang baik dan mana yang buruk.
Ada hadis yang menjadi rujukan kita,
Daripada Hudzaifah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ, beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah menceritakan kepada kami dua buah hadis. Aku telah melihat berlaku salah satu daripadanya dan aku sedang menunggu berlakunya yang satu lagi. Baginda menceritakan kepada kami bahawa: “Sesungguhnya amanah itu diturunkan pada lubuk/akar hati manusia, kemudian turunlah Al-Qur’an, lalu mereka mengetahuinya daripada Al-Qur’an dan mengetahui daripada As-Sunnah.” Kemudian Baginda menceritakan kepada kami tentang diangkatnya amanah itu dengan bersabda: “Seseorang itu tidur seketika, lalu dicabut amanah itu daripada hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti bintik-bintik hitam. Kemudian dia tidur lagi seketika, lalu dicabut lagi amanah daripada hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuhan, iaitu seperti bara api yang engkau gulingkan di atas kakimu lalu kakimu membengkak, engkau melihatnya membesar sedangkan di dalamnya tiada apa-apa.” (Kemudian Nabi mengambil seketul batu kecil lalu mengesotkannya pada kaki baginda). “Sehinggalah manusia bermualamat/berjual beli, tetapi hampir tiada seorang pun yang menunaikan amanah. Sehingga dikatakan: ‘Sesungguhnya dalam kalangan Bani Fulan ada seorang lelaki yang jujur/amanah.’ Dan sehingga dikatakan kepada seseorang: ‘Betapa kuatnya dia! Betapa bijaknya dia! Betapa cerdiknya dia!’ Padahal di dalam hatinya tiada iman walau sebesar biji sawi sekalipun.” Kata Hudzaifah: “Sungguh telah lalu satu zaman ke atas diriku di mana aku tidak peduli dengan siapa aku berjual beli. Jika dia seorang Muslim, agamanya akan menghalangnya daripada menipu. Jika dia seorang Kristian atau Yahudi, wakil/pentadbirnya akan mengembalikannya kepadaku. Adapun pada hari ini, aku tidak berani berjual beli dengan kamu melainkan dengan Si Fulan dan Si Fulan sahaja.”
(Riwayat al-Bukhari no. 6497 & Muslim no. 143)
Dari hadis ini kita tahu bahawa kita telah fitrah iaitu mengetahui mana baik dan mana yang buruk. Kemudian ia telah dibenarkan dan diperincikan oleh Al-Qur’an dan Sunnah. Jadi kebenaran mutlak itu hanyalah daripada Allah. Kita tetap kena kembali kepada wahyu untuk memastikan mana yang benar dan mana yang salah, mana halal dan mana yang haram.
Kita tidak boleh tetapkan dengan menggunakan akal kita sendiri. Begitulah perdebatan antara Islam dan Ateisme adalah tentang ‘kebenaran mutlak’ (absolute truth). Dalam golongan filsafah, golongan yang sesat, juga pada golongan Ateis, mereka menganggap tidak ada absolute truth. Bagi mereka, masing-masing boleh pilih dan tentukan sendiri. [Apa yang kamu pandang betul, itu betul. Apa yang aku pandang betul, itu juga betul. Apa yang aku pandang betul tak semestinya betul pada engkau; dan apa yang kau pandang betul tak mestinya betul pada aku.] Ya, ini benar tapi hanya dalam perkara-perkara dunia sahaja. Iaitu dalam perkara-perkara yang bukan melibatkan hukum hakam, tidak juga melibatkan perkara halal dan haram. Contohnya, bagi saya Nasi Lemak itulah makanan yang paling sedap. Tapi bagi orang lain, mungkin Nasi Kerabu itu yang paling sedap pada tekak dia. Jadi, itu betul sahaja kalau dalam masalah dunia kerana masing-masing ada selera dan pendapat sendiri dan kita menghormatinya.
Tapi tidak sama dalam masalah syariat. Di dalam hal syariat pasti ada kebenaran mutlak kerana syariat datang daripada Allah. Allah sahaja yang boleh tentukan. Ada banyak dalil dalam hal ini, sebagai contohnya Allah berfirman di dalam Yusuf:40
إِنِ ٱلحُكمُ إِلَّا لِلَّهِ
Keputusan (Hukum) itu hanyalah kepunyaan Allah.
Maknanya akal boleh tahu tentang apakah kebaikan, tapi akal manusia tak boleh tahu kebaikan itu dengan terperinci. Sebagai contoh, akal manusia kata kita kena buat baik dengan mak ayah, tetapi akal manusia tidak boleh perincikan macam mana hendak berbuat baik dengan mereka. Maka apa yang membentuk persepsi dia ataupun pemikiran dia untuk mengatakan bahawa itu baik ataupun buruk, adalah suasananya, ibu bapanya, teman-temannya, pembesarannya, ilmunya. Lain orang lain pemahaman kerana semua sumber itu berbeza. Maka untuk mendapatkan yang pasti, kita kena rujuk kepada wahyu.
Kemudian Nabi bersabda, ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ (kemudian Dia menjelaskannya). Dengan rahmat Allah, Dia bukan sahaja menetapkan halal dan haram, tetapi Allah juga menjelaskan hal tersebut. Kenapa ia haram dan tidak baik, kenapa ia halal dan ia baik. Allah telah berfirman di dalam Balad:10
وَهَدَينَـٰهُ ٱلنَّجدَينِ
Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?
Dan Allah telah berfirman di dalam Syams:8
فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.
Maknanya, Allah telah berikan fitrah di dalam diri manusia, jalan ke arah kebaikan dan jalan ke arah keburukan telah ada dalam dirinya. Fitrah kita sudah tahu dan ia diperjelaskan lagi dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi. Semuanya telah jelas dan yang samar itu hanya kerana kita tidak ada ilmu sahaja. Jadi kalau orang kata kenapa dia tak jumpa jalan penyelesaian kepada sesuatu hukum, bukannya jalan penyelesaian dalam Islam tidak, tapi ia hanya bermakna dia tidak jumpa sahaja lagi.
Yang kedua, lafaz ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ hadir untuk memberitahu bahawa Allah tidak sekadar mencatatnya, tetapi juga menjelaskan secara terperinci bagaimana cara kaedah pengiraan pahala dan dosa itu berlaku di sisi-Nya. Supaya kita tahu, dan para malaikat yang mencatit juga tahu bagaimana perkiraan dosa pahala itu. Bagi kita, supaya kita berwaspada. Ia menunjukkan kejelasan Syariat dan Kasih Sayang (Rahmat) Allah:
-
- Allah tidak membiarkan hamba-Nya berada dalam samar-samar tentang bagaimana amalan mereka dinilai.
- Penjelasan terperinci ini sengaja dibuka oleh Allah bagi memperlihatkan betapa luasnya pintu rahmat-Nya di mana kebaikan digandakan secara melimpah-ruah, manakala kejahatan dihadkan sekadar kadar asalnya sahaja.
1. Penjelasan فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً (Barangsiapa yang berniat melakukan kebaikan lalu tidak mengerjakannya, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna).
Apa yang tersirat dalam hati, bermacam-macam dan bertingkat-tingkat. Ada yang dinamai هاجس hajis, iaitu sesuatu yang terlintas dalam fikiran secara spontan dan berakhir seketika; kemudian ada خاطر khathir, yakni yang terlintas sejenak kemudian terhenti; tingkat ketiga adalah apa yang dinamai حديث نفس hadits nafs, yakni bisikan-bisikan hati yang dari saat ke saat muncul dan bergejolak; kemudian peringkat seterunya adalah همّ hamm, seperti yang digunakan di dalam hadis ini. Ia adalah kehendak melakukan sesuatu sambil memikirkan cara-cara pencapaiannya, dan dari peringkat ini ia menjadi عزم ‘azm, yakni kebulatan tekad setelah lengkapnya seluruh proses همّ dan dimulainya langkah awal bagi pelaksanaan.
Peringkat hammah ini adalah keinginan yang penuh, bukan setakat lintasan hati sahaja. Contohnya seseorang itu hendak buat baik, sebagai contoh dia hendak pergi mengerjakan Haji. Keinginan dia sudah penuh dan keinginan yang penuh ini pasti datang dengan sekali dengan usaha ke arah menjalankan keinginannya itu. Dia belum lagi mengerjakan Haji tapi langkah-langkah untuk mencapainya telah dilakukan. Dia sudah simpan duit dalam Tabung Haji (semoga Allah selamatkan TH dari tangan-tangan kotor), dia sudah mendaftar di Tabung Haji, dia pergi kursus Haji, dia pun sudah memohon dan bila namanya tidak naik, dia buat rayuan, dan perkara-perkara yang lain. Maknanya, dia bukanlah duduk-duduk berangan-angan kosong atau setakat cakap dengan kawan dia, “aku ingat nak pergi Haji lah….”
Tapi tidaklah bermakna dia pasti akan dapat mengerjakan Haji itu. Kerana ada banyak proses yang perlu dilalui. Mungkin kerana kuota sudah penuh, mungkin ketika hendak pergi, tiba-tiba dia jatuh sakit, atau entah emak dia yang jatuh sakit dan dia yang kena jaga. Maka bagi keadaan sebegini, walaupun dia tidak dapat mengerjakan Haji, hadis ini sebut كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً (Allah menulis di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna). Maknanya seolah-olah dia telah mengerjakan Haji itu dengan sempurna. Tapi janganlah panggil dia Haji pula.
Allah boleh sahaja berikan pahala yang penuh walaupun hajatnya tidak kesampaian. Ini seperti firman Allah di dalam Nisa’:100 tentang mereka yang telah keluar untuk Hijrah.
وَمَن يَخرُج مِن بَيتِهِ مُهاجِرًا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ ثُمَّ يُدرِكهُ المَوتُ فَقَد وَقَعَ أَجرُهُ عَلَى اللهِ
dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah.
Dan ini dikuatkan lagi dengan hadis tentang mereka yang tidak dapat menyertai jihad kerana terhadap halangan bagi mereka,
Daripada Anas bin Malik RA, bahawasanya Rasulullah ﷺ ketika pulang dari Perang Tabuk dan menghampiri Kota Madinah, baginda bersabda: “Sesungguhnya di Madinah ada sekumpulan orang, tidaklah kamu menempuh suatu perjalanan, dan tidaklah kamu melintasi suatu lembah, melainkan mereka senantiasa bersama kamu (pada pahalanya).” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, sedangkan mereka berada di Madinah?” Baginda menjawab: “Ya, walaupun mereka berada di Madinah, kerana mereka telah dihalang oleh keuzuran (penyakit/kekurangan harta).”
(Riwayat al-Bukhari, No. 2839 / 4423)
Walaupun para sahabat yang tertinggal itu tidak pergi, akan tetapi mereka berkongsi pahala dengan mereka yang pergi. Pahala mereka sama sahaja. Mereka tidak pergi hanya kerana ada keuzuran sahaja. Kalau tidak, mereka pasti pergi. Maka mereka itu sudah ada hammah, kesungguhan. Bukannya mereka tak buat sebab lalai. Bukan juga dia setakat berangan-angan, yang dalam bahasa Arab adalah التَّمَنِّي. Begitulah juga kalau seseorang sudah berniat untuk Tahajjud tapi tak dapat bangun, pun dapat pahala juga. Rasulullah bersabda,
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَوْ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا مِنْ امْرِئٍ تَكُونُ لَهُ صَلَاةٌ بِلَيْلٍ، فَغَلَبَهُ عَلَيْهَا نَوْمٌ، إِلَّا كُتِبَ لَهُ أَجْرُ صَلَاتِهِ، وَكَانَ نَوْمُهُ صَدَقَةً عَلَيْهِ
Daripada ‘Aisyah RA (dan juga diriwayatkan daripada Abu al-Darda’ serta ‘Ubadah bin al-Samit RA), daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Tiada seorang pun yang berniat untuk melakukan solat malam (Tahajjud), lalu matanya ditewaskan oleh tidur (tertidur hingga Subuh), melainkan dikurniakan baginya gandaan pahala solatnya itu, manakala tidurnya itu dijadikan sebagai sedekah daripada Allah kepadanya.”
Sunan Abi Daud: No. Hadis: 1314; Sunan An-Nasa’i: No. Hadis: 1784; Sunan Ibn Majah: No. Hadis: 1344; Muwatta’ Malik: No. Hadis: 255.
Jadi jangan sangka setakat berniat kosong sahaja sudah dapat pahala. Kononnya ada orang pasang niat untuk bersedekah, tapi kemudian tidak bersedekah. Dia tak dapat pahala lagi. Tak dapat lagi kalau belum berusaha ke arahnya. Terdapat athar yang sangat masyhur berkenaan perkara ini daripada seorang tabi’in teragung, iaitu Al-Hasan al-Basri (sebahagian riwayat juga menyandarkannya secara bersambung kepada Sahabat seperti Ibn Mas’ud RA atau Anas bin Malik RA, namun ia lebih terkenal sebagai kata-kata Al-Hasan al-Basri).
لَيْسَ الإِيمَانُ بِالتَّمَنِّي وَلا بِالتَّحَلِّي، وَلَكِنْ مَا وَقَرَ فِي الْقَلْبِ وَصَدَّقَهُ الْعَمَلُ
“Iman itu bukanlah dengan berangan-angan kosong (at-tamannī) dan bukan pula dengan perhiasan lahiriah/sekadar rekaan (at-taḥallī), akan tetapi iman itu adalah apa yang terpatri kukuh di dalam hati dan dibuktikan (disahkan) oleh amalan perbuatan.”
(Diriwayatkan oleh Ibn Abi Shaibah dalam Al-Mushannaf, Ibn Battrah dalam Al-Ibanah, dan Al-Bayhaqi).
Berapa ramai orang yang berangan-angan hendak melakukan kebaikan tapi dia tak buat? Allah berfirman tentang mereka ini di dalam Munafiqun:10
وَأَنفِقوا مِن مّا رَزَقنٰكُم مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ أَحَدَكُمُ المَوتُ فَيَقولَ رَبِّ لَولا أَخَّرتَني إِلىٰ أَجَلٍ قَريبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصّٰلِحينَ
Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata: “Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?”
Jangan tertipu dengan kepercayaan sebahagian orang awam yang kata niat sahaja sudah dapat pahala. Ini adalah sangkaan yang salah. Contohnya seseorang yang hendak bangun dan mengerjakan Qiamulail. Kalau dia sudah tahu yang dia ini kuat tidur sampai tidur mati, jadi dia kenalah pertamanya tidur awal. Sebelum tidur jangan makan makanan yang berat. Sebelum tidur itu usahalah untuk ambil wuduk, kemudian berniatlah bersungguh-sungguh untuk bangun. Dan dia kena set jam untuk bangun tengah malam. Kemudian kalaulah setelah buat semua itu pun dia memang ditakdirkan tak bangun, barulah tertulis baginya pahala. Tapi kalau dia tidur pun pukul 3 pagi, kemudian dia berharap dia nak bangun Qiyamulail pukul 4.30, ini maknanya tidak ada kesungguhan dan ada angan-angan kosong sahaja.
Kena ada kesungguhan dan ada usaha untuk mencapainya. Begitulah kita baca tentang para sahabat miskin yang hendak menyertai Perang Tabuk tapi mereka tidak ada kenderaan. Mereka minta kenderaan dari Nabi tapi tidak ada, jadi Allah sebut mereka menangis kerana kesedihan yang sangat. Maknanya, mereka memang ada niat untuk berjihad, tapi tidak kesampaian. Kisah mereka itu Allah sebut di dalam Tawbah:100
وَلا عَلَى الَّذينَ إِذا ما أَتَوكَ لِتَحمِلَهُم قُلتَ لا أَجِدُ ما أَحمِلُكُم عَلَيهِ تَوَلَّوا وَّأَعيُنُهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ حَزَنًا أَلّا يَجِدوا ما يُنفِقونَ
dan tiada (pula) berdosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan, lalu kamu berkata: “Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu”. Lalu mereka kembali, sedang mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran mereka tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan.
Jadi niat kena tulis ikhlas, memang hendak melakukannya, bukan angan-angan kosong sahaja. Dan Allah tahu apakah niat kita, apakah yang berada di dalam lipatan hati kita. Maka kalau niat itu ikhlas, maka Allah pasti memberikan pahala yang sempurna. Ini seperti disebut di dalam hadis yang panjang,
Daripada Abu Kabsyah al-Anmari RA, beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Ada tiga perkara yang aku bersumpah atasnya, dan aku akan menyampaikan satu hadis kepada kamu, maka hafalkanlah (peliharalah) ia: Tidak akan berkurang harta seorang hamba kerana bersedekah. Tidaklah seorang hamba dizalimi dengan sesuatu kezaliman lalu dia bersabar atasnya, melainkan Allah akan menambah kemuliaan baginya. Dan tidaklah seorang hamba membuka pintu meminta-minta (kemiskinan), melainkan Allah akan membukakan baginya pintu kefakiran — atau kalimat yang serupa dengannya —. Dan aku akan menyampaikan satu lagi hadis kepada kamu, maka hafalkanlah ia: ‘Sesungguhnya dunia ini hanya diperuntukkan bagi empat golongan manusia: Hamba yang dikurniakan harta dan ilmu oleh Allah: Lalu dia bertakwa kepada Tuhannya pada (pengurusan) harta itu, menyambung silaturrahim dengannya, dan mengetahui bahawa pada harta itu ada hak bagi Allah. Maka dia berada di kedudukan yang paling mulia / utama. Hamba yang dikurniakan ilmu oleh Allah tetapi tidak dikurniakan harta: Namun dia mempunyai niat yang tulus (jujur) dan berkata: “Jika aku mempunyai harta, nescaya aku akan beramal seperti amalan si Fulan (golongan pertama).” Maka dia dinilai berdasarkan niatnya, dan pahala mereka berdua adalah sama. Hamba yang dikurniakan harta oleh Allah tetapi tidak dikurniakan ilmu: Lalu dia menghabiskan hartanya secara membabi buta tanpa ilmu, tidak bertakwa kepada Tuhannya pada (pengurusan) harta itu, tidak menyambung silaturrahim dengannya, dan tidak mengetahui hak Allah pada hartanya. Maka dia berada di kedudukan yang paling buruk / hina. Hamba yang tidak dikurniakan harta mahupun ilmu oleh Allah: Lalu dia berkata: “Jika aku mempunyai harta, nescaya aku akan beramal seperti amalan si Fulan (golongan ketiga).” Maka dia dinilai berdasarkan niatnya, dan dosa mereka berdua adalah sama.'”
(Riwayat at-Tirmidzi, No. 2325. Imam at-Tirmidzi berkata: “Hadis ini hasan sahih”).
Di dalam hadis ini disebut فَأَجْرُهُمَا سَوَاءٌ yang bermaksud pahala orang itu sama sahaja dengan orang yang ada harta. Kerana niat mereka sempurna, maka pahala yang mereka dapat pun sempurna juga.
Dan perhatikan Nabi bersabda dalam Hadis 37 ini yang pahala itu كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً. Perkataan كَامِلَةً bermaksud sempurna, seolah-olah dia telah melakukan perbuatan itu. Begitulah pemurahnya Allah kepada hambaNya! Kerana itulah ada kata-kata Golongan Salaf,
«نِيَّةُ الْمُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ»
“Niat seorang mukmin itu lebih baik daripada amalannya.”
Ini adalah kerana kalau kita mengerjakan amalan itu, entah ada kekurangan dari perbuatan kita, macam solat tidak khusyuk, rakaat mungkin terlupa, pergerakan mungkin tidak kemas dan sebagainya. Jadi pahala akan berkurang. Tapi kalau dia berniat ikhlas hendak melakukan amalan itu tapi tidak tekerjakan kerana sebab-sebab yang boleh diterima, dia dapat pahala yang sempurna, seolah-olah dia telah melakukan amalan itu dengan sepenuh kesempurnaan.
Begitulah kadangkala ada amal yang kita tidak mampu lakukan. Ini seperti berjihad di jalan Allah kerana sekarang tengah tidak ada jihad. Tapi Rasulullah bersabda yang kalau kita ada niat, maka kita akan pahala mati syahid di sisi Allah,
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ طَلَبَ الشَّهَادَةَ بِصِدْقٍ أُعْطِيَهَا، وَلَوْ لَمْ تُصِبْهُ». (رَوَاهُ مُسْلِمٌ)
Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Barangsiapa yang memohon mati syahid dengan benarnya (ikhlas daripada hatinya), nescaya dia akan dikurniakan pahala syahid tersebut walaupun dia tidak mati terbunuh (di medan perang).”
Sahih Muslim, No. Hadis: 1908
Ada satu keadaan pula yang kita boleh bincangkan. Katakanlah seseorang berniat untuk buat satu kebaikan, tapi kemudian dia tidak melakukannya, kerana dia melakukan kebaikan yang lain. Adakah dia dapat pahala juga atas niat pertamanya tadi? Contohnya dia hendak sedekah kepada seorang yang dia kenal. Dia sudah beli barang untuk diberikan. Tapi kemudian dia dapat tahu ada jiran dia yang dapat musibah, lebih memerlukan lagi dari kenalannya yang lain itu. Maka dia berikan hadiah itu kepada jirannya pula.
Yang pasti, dia dapat pahala dari pemberian kepada jirannya itu. Akan tetapi bagaimana dengan niatnya yang pertama itu? Ulama’ mengatakan dia dapat juga pahala tapi ‘pahala niat’. Tidaklah dapat pahala sempurna. Jadi dia dapat pahala sempurna dan dia juga dapat ‘pahala niat’. Memang kadangkala kita boleh bertukar niat kerana ada perkara yang lebih afdhal. Dalilnya adalah satu peristiwa ketika Fathul Makkah. Daripada Jabir bin ‘Abdillah RA, beliau menceritakan:
“Seorang lelaki berdiri pada hari Fathu Makkah lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah bernazar kepada Allah sekiranya Allah membebaskan Kota Mekah bagimu, aku akan bersolat di Baitulmaqdis (Masjidil Aqsa).'” Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Solatlah di sini (Masjidil Haram).’ Lelaki itu mengulanginya lagi, lalu Baginda bersabda: ‘Solatlah di sini.’ Lelaki itu mengulanginya sekali lagi, lalu Baginda bersabda: ‘Kalau begitu, terpulanglah kepadamu.’
(Hadis Riwayat Abu Daud no. 3305, Ahmad, dan disahihkan oleh Al-Albani)
Kalau sahabat itu melakukan seperti yang Nabi sarankan, beliau akan mendapat pahala niat untuk solat di Masjidil Aqsa dan dia akan dapat pahala sempurna apabila solat di Masjidil Haram.
Hadis ini mengajar kita yang kita boleh menukar nazar atau niat kita untuk melakukan kebaikan yang lain. Mengapa Nabi ﷺ menyuruh solat di Masjidil Haram? Kerana solat di Masjidil Haram ganjaran pahalanya adalah 100,000 kali ganda. Solat di Masjidil Aqsa ganjaran pahalanya hanyalah 500 kali ganda. Oleh itu jika seseorang bernazar untuk melakukan amalan di tempat yang kurang afdal (contohnya Masjidil Aqsa), dia dibolehkan menggantikan dengan melakukannya di tempat yang lebih tinggi afdalnya (contohnya Masjidil Haram atau Masjid Nabawi) kerana ia sudah menutupi dan melebihi nilai nazar asalnya.
Baik, bagaimana kalau seseorang itu memang berniat bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu kebaikan, tapi akhirnya dia tidak melakukannya kerana malas? Dia pun belum lagi melakukan usaha untuk menjalankan kebaikan itu. Maka baginya hanya ‘pahala niat’ sahaja. Dia tidak mendapat pahala amalan itu dengan sempurna. Begitulah kalau kita hal ini, maka kita memandang Allah ini banyak rahmat Dia beri. Tak buat lagi pun sudah dapat pahala.
2. Penjelasan وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيْرَةٍ (dan jika dia berniat mengerjakan kebaikan lalu mengerjakannya, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus lipat hingga perlipatan yang banyak).
Allah berfirman di dalam An’am:160
مَن جَآءَ بِٱلحَسَنَةِ فَلَهُ ۥ عَشرُ أَمثَالِهَاۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجزَىٰٓ إِلَّا مِثلَهَا وَهُم لَا يُظلَمُونَ
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun).
Contoh jelas Allah memberi balasan berganda adalah apabila kita membaca Al-Qur’an seperti sabda Rasulullah di dalam hadis yang terkenal,
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لاَ أَقُولُ الم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ». (رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ)
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu dilipatgandakan menjadi 10 kali ganda. Aku tidak mengatakan bahawa Alif Lam Mim itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan Mim satu huruf.”
Riwayat At-Tirmidzi (no. 2910). Hadis disahihkan oleh Al-Albani.
Rasulullah juga pernah menyebut Allah akan menggandakan sedekah yang kita berikan walaupun sedikit,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ تَصَدَّقَ بِعَدْلِ تَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ، وَلاَ يَقْبَلُ اللَّهُ إِلاَّ الطَّيِّبَ، وَإِنَّ اللَّهَ يَتَقَبَّلُهَا بِيَمِينِهِ، ثُمَّ يُرَبِّيهَا لِصَاحِبِهِ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ فَلُوَّهُ أَوْ فَصِيلَهُ حَتَّى تَكُونَ مِثْلَ الْجَبَلِ». (رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ)
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Barangsiapa yang bersedekah dengan senilai sebiji kurma daripada hasil usaha yang baik (halal)—dan Allah tidak menerima melainkan yang baik—maka sesungguhnya Allah akan menerima sedekah itu dengan tangan kanan-Nya, kemudian Dia memelihara dan membesarkannya untuk pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kamu memelihara anak kudanya atau anak untanya, sehinggalah sedekah itu menjadi sebesar gunung.”
Sahih Al-Bukhari: No. Hadis: 1410
Ini satu lagi rahmat yang besar. Kalaulah sudah berniat melakukan kebaikan dan dia menjalankannya, pahala yang akan dapat adalah minimum 10 dan boleh naik sampai 700. Rasulullah pernah bersabda kepada seorang sahabat yang menyedekahkan seekor unta,
عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ بِنَاقَةٍ مَخْتُومَةٍ، فَقَالَ: هَذِهِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَكَ بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ سَبْعُ مِائَةِ نَاقَةٍ كُلُّهَا مَخْتُومَةٌ. (رَوَاهُ مُسْلِمٌ)
Daripada Abu Mas’ud Al-Ansari RA, beliau menceritakan bahawa seorang lelaki telah datang membawa seekor unta betina yang sudah diikat dengan tali lalu berkata: “Unta ini aku sedekahkan pada jalan Allah.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Bagi engkau dengan sebab unta ini pada hari kiamat kelak, sebanyak 700 ekor unta betina yang semuanya lengkap diikat dengan tali.”
Imam Muslim dalam Sahih Muslim (no. 1892), Imam An-Nasa’i (no. 3185)
Malah boleh naik lagi tinggi berlipat kali ganda kerana Nabi sambung إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيْرَةٍ (hingga perlipatan yang banyak) iaitu tidak terkira. Allah juga telah berfirman di dalam Baqarah:261
مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.
Kadangkala bilangan pahala atau gandaan pahala tidak disebut kerana ia terlalu banyak sampai tidak terkira. Ini seperti firman Allah di dalam Zumar:10
إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira
Kemudian ada pahala yang Allah kata serah kepadaNya sahaja kerana tak terbayangkan bagaimana jenis pahala itu. Sebagai contoh Rasulullah sebut tentang pahala puasa. Ini kerana puasa adalah satu amalan yang dirahsiakan, manusia tak nampak kita berpuasa kerana tidak ada tanda pun kita buat amal itu. Jadi elemen keikhlasan dalam puasa sangat tinggi.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ، قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: إِلاَّ الصَّوْمَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي». (رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ)
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Setiap amalan anak Adam akan dilipatgandakan pahalanya; satu kebaikan akan dibalas dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah Azza wa Jalla berfirman: Melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Dia telah meninggalkan syahwatnya dan makanannya semata-mata kerana Aku.”
Imam Al-Bukhari (no. 1894, 1904) dan Imam Muslim (no. 1151).
Kenapa bilangan dan gandaan pahala tidak sama? Kerana ia bergantung kepada kadar keikhlasan hamba itu, kebaikan yang dilakukan, kualiti amalan kebaikan itu, keperluan amalan itu dan sebagainya. Mungkin ada kepayahan bagi orang itu hendak melakukannya, maka pahalanya digandakan lagi. Jadi macam-macam perkara yang boleh menyebabkan pahala itu digandakan.
Antara sebab lain yang menggandakan pahala adalah kerana ia melibatkan masa/zaman. Contohnya amalan baik akan digandakan di bulan Ramadhan dan juga 10 hari pertama Bulan Dzulhijjah. Ini seperti sabda Rasulullah,
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ» يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: «وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ». (رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ)
Daripada Abdullah bin Abbas RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Tiada hari-hari yang amalan soleh padanya paling dicintai oleh Allah melainkan hari-hari ini”, iaitu sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, walaupun berjihad pada jalan Allah?” Baginda menjawab: “Walaupun berjihad pada jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar berjuang membawa diri dan hartanya, lalu dia tidak kembali membawa sesuatu pun daripada perbuatannya itu (mati syahid dan hartanya habis).”
Sahih Al-Bukhari: No. Hadis: 969, Sunan Abi Daud: No. Hadis: 2438, Jami’ At-Tirmidzi: No. Hadis: 757, Sunan Ibn Majah: No. Hadis: 1727.
Jadi pemilihan waktu akan menggandakan pahala. Contoh lain adalah Lailatul Qadr yang lebih baik dari seribu bulan.
Faktor lain yang menggandakan pahala ada faktor tempat misalnya di Masjid Nabawi, di Masjidil Haram, di Tanah Suci Mekah dan Madinah, di Masjid Aqsa.
Kemudian pahala berganda itu adalah jikalau amalan itu adalah wajib (fardhu) kalau dibandingkan dengan amalan Sunat kerana amalan wajib lebih tinggi pahalanya. Ini seperti sabda Nabi,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ اللَّهَ قَالَ: مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ، وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ: كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا، وَإِنْ سَأَلَنِي لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ». (رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ)
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Sesungguhnya Allah Taala berfirman: Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang dikasihi-Ku), maka Aku telah mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai berbanding apa yang telah Aku wajibkan ke atasnya. Dan hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat sehinggalah Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, penglihatannya yang dia melihat dengannya, tangannya yang dia memegang dengannya, dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon kepada-Ku, nescaya Aku akan mengurniakannya, dan jika dia memohon perlindungan kepada-Ku, nescaya Aku akan melindunginya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Sahih Al-Bukhari: No. Hadis: 6502.
Kemudian orang yang beramal itu sendiri boleh berbeza pahala amal mereka. Contohnya para sahabat, infak mereka tidak sama dengan infak kita kerana infak mereka sangat-sangat diperlukan ketika awal Islam. Rasulullah pernah bersabda,
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي، فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلاَ نَصِيفَهُ». (رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ)
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA, beliau berkata: Nabi ﷺ telah bersabda: “Janganlah kamu mencela dan memusuhi sahabat-sahabatku! Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya salah seorang daripada kamu menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud, nescaya dia tidak akan dapat menandingi satu mud (sehimpun dua tapak tangan) infak salah seorang daripada mereka, dan tidak juga separuh daripadanya.”
Sahih Al-Bukhari: No. Hadis: 3673; Sahih Muslim: No. Hadis: 2540; Jami’ At-Tirmidzi: No. Hadis: 3861; Sunan Abi Daud: No. Hadis: 4658.
Satu lagi, kadar pahala itu bertambah dengan tingginya kadar keikhlasan seseorang ketika melakukannya. Abdullah ibn al-Mubarak (ulama’ salaf) pernah berkata:
رُبَّ عَمَلٍ صَغِيرٍ تُعَظِّمُهُ النِّيَّةُ، وَرُبَّ عَمَلٍ كَبِيرٍ تُصَغِّرُهُ النِّيَّةُ
“Boleh jadi amalan yang kecil menjadi besar (pahalanya) disebabkan niat, dan boleh jadi amalan yang besar menjadi kecil (pahalanya) disebabkan niat.”
Kerana itulah pahala orang tak sama, walaupun solatnya sama rakaat. Tapi kadar keikhlasan tidak sama, khusyuk tidak sama. Kerana itulah seorang pelacur Allah masukkan ke dalam syurga hanya kerana beri anjing minum,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «غُفِرَ لِاِمْرَأَةٍ مُومِسٍ مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِيٍّ يَلْهَثُ، كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ، فَنَزَعَتْ خُفَّهَا، فَرَبَطَتْهُ بِخِمَارِهَا، فَنَزَحَتْ لَهُ مِنَ الْمَاءِ، فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ». (رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ)
Daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah ﷺ baginda bersabda: “Telah diampunkan dosa seorang wanita pelacur daripada Bani Israil yang lalu berdekatan sebuah telaga. Dia melihat seekor anjing yang mengelilingi telaga tersebut sambil menjelirkan lidahnya, hampir-hampir anjing itu mati kerana kehausan. Maka wanita itu pun menanggalkan kasutnya (sepatu kulitnya), lalu mengikatnya dengan kain tudungnya, kemudian dia menimba air dari telaga itu untuk anjing tersebut. Maka Allah mengampunkan dosanya disebabkan perbuatannya itu.”
Sahih Al-Bukhari: No. Hadis: 3321; Sahih Muslim: No. Hadis: 2245.
Allah tahu apa yang di dalam hati kita, maka Allah akan beri balasan yang tepat. Oleh kerana pelacur itu ikhlas sungguh, maka Allah ampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.
Maka dari sini kita boleh tahu yang banyak cara Allah menggandakan pahala bagi umat Islam. Dan kerana itu sepatutnya mudah sahaja sebenarnya untuk mendapat pahala yang banyak. Allah sudah bantu dengan banyak sebenarnya. Sebab itulah ada ucapan salaf yang terkenal,
وَيْلٌ لِمَنْ غَلَبَتْ آحَادُهُ عَشَرَاتِهِ
“Celakalah/Rugi besarlah bagi orang yang angka satuannya (dosa) mampu mengalahkan angka puluhannya (pahala/kebaikan)!”
Mengapa para Salafussoleh berkata demikian? Logiknya berpandukan sistem ganjaran pahala dan dosa dalam Islam (seperti dalam Hadis 37 Arba’in Nawawiyyah yang kita bincangkan ini):
- Satu Kebaikan = Diberi 10 kali ganda pahala (minimum) hingga 700 kali ganda malah lebih lagi.
- Satu Keburukan/Dosa = Hanya dicatat 1 dosa sahaja (tunggal).
Jadi, secara matematik rahmat Allah, untuk dosa (tunggal) seseorang itu mengalahkan/melebihi pahalanya (yang digandakan 10), bermakna dia telah melakukan dosa yang sangat-sangat banyak sehingga pahalanya yang berganda-ganda itu pun tidak mampu menampung dosanya! Sebab itulah para Salaf kata, tersangat rugi dan celakalah orang yang berada dalam keadaan sedemikian, kerana Allah sudah berikan “diskaun” dan ganjaran berlipat ganda untuk kebaikan, tetapi dia tetap tewas kepada dosa tunggalnya.
3. Penjelasan وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً (Jika dia berniat melakukan keburukan lalu tidak jadi mengerjakannya, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna)
Dan ini pula jika seseorang itu kalau dia berniat untuk melakukan keburukan. Berniat di sini bukan lintasan sahaja, kerana manusia ni sentiasa ada lintasan nak buat jahat kerana kita semua ada nafsu dan ada bisikan syaitan yang sentiasa mengajak kita buat dosa.
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Sesungguhnya syaitan itu mempunyai lammah (sentuhan/bisikan) pada anak Adam, dan malaikat juga mempunyai lammah. Adapun bisikan syaitan ialah menjanjikan keburukan dan mendustakan kebenaran. Manakala bisikan malaikat pula ialah menjanjikan kebaikan dan membenarkan kebenaran. Maka barangsiapa yang mendapati (dalam hatinya) dorongan kebaikan, hendaklah dia mengetahui bahawa ia adalah daripada Allah, lalu hendaklah dia memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah). Dan barangsiapa yang mendapati dorongan yang satu lagi (keburukan), hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam.” Kemudian Rasulullah ﷺ membaca ayat Al-Qur’an (Surah Al-Baqarah, ayat 268): Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu melakukan perbuatan keji; sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan karunia-Nya.
Riwayat: Imam At-Tirmidzi (no. 2988), An-Nasa’i dalam Al-Kubra, dan Ibn Hibban. Status: Dihasankan oleh Imam At-Tirmidzi dan disahihkan oleh sebahagian ulama hadis seperti Ibn Hibban.
Hadis ini menjadi dalil bahawa manusia ni sentiasa dibisikkan dengan benda-benda jahat. Maka kadangkala kita boleh tahan dari melakukannya, tapi ramai juga yang terbabas. Allah juga telah berfirman di dalam Nas:4-6
مِن شَرِّ ٱلوَسوَاسِ ٱلخَنَّاسِ (٤) ٱلَّذِى يُوَسوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ (٥) مِنَ ٱلجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ (٦)
Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. (4) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (5) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia. (6)
Jadi lintasan hati untuk melakukan kejahatan itu memang tetap akan ada. Kalau sekadar lintasan hati sahaja untuk melakukan dosa, tapi tidak sampai ke peringkat hammah, maka kalau ditinggalkan, tidak dapat dosa, juga tidak dapat pahala. Tapi yang bahaya adalah kalau ia menjadi niat. Tapi Alhamdulillah, Allah yang menjadikan syaitan ini hanyalah ada was-wasah sahaja.
Daripada Abdullah bin Abbas RA, beliau berkata: Seorang lelaki telah datang menemui Nabi ﷺ lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya salah seorang daripada kami mendapati dalam dirinya (lintasan fikiran) yang mana jika dia terbakar menjadi arang sekalipun, itu lebih dia sukai daripada dia menuturkannya.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda:
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar! Segala puji bagi Allah yang telah mengembalikan tipu daya syaitan itu kepada sekadar waswas sahaja.”
Imam Abu Daud (no. 5112). Status: Hadis Sahih (disahihkan oleh Al-Albani dan Shu’aib Al-Arnaut).
Maksud hadis: Para sahabat Nabi ﷺ adalah orang-orang yang sangat tinggi tahap keimanan dan kesucian hatinya. Tiba-tiba, sebahagian mereka mengalami lintasan fikiran (lintasan hati/waswas) yang sangat buruk seperti meragui tentang Allah, agama, atau perkara-perkara kufur yang tidak wajar. Sahabat merasa sangat takut dan bersalah. Kerana itulah lelaki dalam hadis tersebut berkata: “Jika tubuhku terbakar sampai jadi arang sekalipun, itu lebih aku rela daripada aku kena luahkan/sebut lintasan fikiran yang buruk ini!”
Apabila Nabi ﷺ mendengar aduan itu, Baginda bertakbir 3 kali dan bertahmid (Alhamdulillah). Nabi ﷺ bukan marah, tetapi bertakbir gembira kerana rasa benci sahabat terhadap lintasan buruk itu adalah tanda iman yang murni. Kalau seseorang itu tidak ada iman, dia tidak akan rasa takut atau bersalah apabila ada bisikan buruk. Syaitan sebenarnya nak gertak atau sesatkan manusia secara fizikal/nyata (contohnya ajak sembah berhala, buat maksiat besar). Tetapi bila iman sahabat terlalu kuat, syaitan gagal. Syaitan terpaksa guna “pelan terakhir”: Disebabkan syaitan tiada kuasa lagi ke atas sahabat, tipu dayanya diturunkan (dihadkan) kepada sekadar membisikkan rasa waswas sahaja.
Kembali kepada hadis utama kita semula. Jadi maksud berniat untuk melakukan keburukan di sini ialah berniat yang penuh. Asalnya adalah bisikan was-was dari syaitan dan nafsu sahaja akan tetapi ia menjadi dosa apabila dilayan-layan. Maksudnya fikiran itu lintas sahaja pada mulanya, kemudian dia sambung lagi, dia layan, dia sambung lagi apa yang terlintas itu sehingga membawa kepada niat untuk melakukan dosa itu.
Jikalau dosa itu melibatkan dosa jenis hati, maka kalau sudah ada pun, sudah berdosa. Kalau lintasan hati sahaja, masih tidak berdosa. Tapi kalau sudah jadi hammah, sudah jadi niat, maka ia berdosa. Contohnya dosa hati seperti hasad dengki, dosa-dosa akidah yang salah, sangka buruk (su’ uzhon) terhadap Allah, ragu terhadap Allah dan keyakinan-keyakinan lain yang buruk. Itu kalau menetap sahaja di dalam hati, ia sudah ditulis sebagai dosa.
Tapi sekarang di dalam hadis ini Nabi kata jika dia berniat untuk melaksanakan keburukan kemudian dia tidak melaksanakannya, dia boleh dapat pahala pula! Ini adalah jenis dosa yang melibatkan perbuatan tubuh badan. Tapi ingat, tidak melaksanakan ini hendaklah dengan syarat-syaratnya. Bukan terus dapat pahala pula.
Pertama, dia sengaja meninggalkan niatnya itu. Contohnya, seseorang itu pergi kedai minum arak. Tapi sedang dia hendak togok itu, dia tak sengaja tertumpahkan arak itu, jadi dia tak minum arak itu kerana sudah tertumpah. Adakah dia dapat pahala satu kebaikan penuh macam hadis ini sebut? Tidak. Dia tidak dapat pahala sebab dia bukan sengaja meninggalkan niat jahatnya itu, tapi tinggal kerana dia tak sengaja sahaja.
Contoh lain, seseorang hendak pergi berzina di rumah urut tapi dalam perjalanan ke tempat itu, dia terlepas lorong, yang menyebabkan dia tak boleh kembali ke tempat itu maka niatnya tidak kesampaian dan dia tidak bolehlah berzina. Ini pun tidak dapat pahala kebaikan penuh kerana dia bukan sengaja meninggalkan maksiat yang dia telah niat itu.
Yang kedua, dia meninggalkannya dengan ilmu. Maksudnya seseorang itu meninggalkan niat untuk melakukan maksiat itu kerana dia tahu benda itu salah dengan ilmu, dia tahu bahawa perkara itu adalah dosa. Bukan maksudnya dia lalai dahulu, contohnya ada yang kata baguslah dia tak pergi Majlis Tahlil dari dahulu sebab benda itu bid’ah. Adakah dia dapat pahala kerana meninggalkan majlis bid’ah itu? Tidak, kerana dia tinggalkan dahulu itu bukannya kerana dia tahu ia berdosa tapi kerana masa dulu, dia langsung tak pergi masjid pun di mana majlis bid’ah itu diadakan. Bukan sekadar majlis tahlil, masjid pun tak pergi. Maksudnya dia meninggalkan benda tu bukan atas dasar ilmu yang benda itu haram.
Yang ketiga, dia tidak melaksanakannya kerana Allah, iaitu dengan ikhlas. Semata-mata kerana takutkan kepada Allah dan bukannya kerana dunia. Contohnya dia nak pergi merompak, tiba-tiba ada polis buat roadblock dan dia jadi takut. Ini pun dia tidak dapat pahala, kerana dia meninggalkan niat buruk itu bukannya kerana Allah, tapi kerana takutkan dunia iaitu polis yang boleh menangkapnya.
Soalan: Adakah dia dapat dosa? Kalau dia buat, memang dapat dosa, tapi bagaimana kalau dia tak jadi buat kerana halangan dunia?
Jawapannya, ya dia dapat dosa kalau dia sudah berusaha dan sudah dalam perjalanan untuk melakukan dosa itu. Dalilnya adalah hadis Nabi,
عَنْ أَبِي بَكْرَةَ نُفَيْعِ بْنِ الْحَارِثِ الثَّقَفِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ» فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا الْقَاتِلُ، فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: «إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ
Daripada Abu Bakrah Nufai’ bin Al-Harith At-Thaqafi رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ, bahawasanya Nabi ﷺ bersabda: “Apabila dua orang Muslim bertembung dengan membawa pedang masing-masing (untuk berbunuhan), maka yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk ke dalam neraka.” Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, itu untuk si pembunuh, tetapi bagaimana pula dengan orang yang terbunuh?” Baginda ﷺ menjawab: “Kerana sesungguhnya dia juga bersungguh-sungguh untuk membunuh kawannya itu.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari (no. 31, 6875) dan Imam Muslim (no. 2888).
Jadi kalau seseorang itu sudah berniat untuk melakukan dosa, tapi dia meninggalkan kerana takut kepada Allah, dan memenuhi syarat-syarat yang telah disebut di atas tadi, maka dia akan mendapat pahala. Ini seperti sabda Rasulullah, tentang pesanan Allah kepada para malaikat pencatit dosa dan pahala,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: «إِذَا تَحَدَّثَ عَبْدِي بِأَنْ يَعْمَلَ سَيِّئَةً فَلاَ تَكْتُبُوهَا عَلَيْهِ حَتَّى يَعْمَلَهَا، فَإِنْ عَمِلَهَا فَاكْتُبُوهَا بِمِثْلِهَا، وَإِنْ تَرَكَهَا فَاكْتُبُوهَا لَهُ حَسَنَةً، إِنَّمَا تَرَكَهَا مِنْ أَجْلِي
Rasulullah ﷺ bersabda bahawa Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: “Apabila hamba-Ku berniat untuk melakukan sesuatu keburukan, maka janganlah kamu mencatatnya sehinggalah dia melakukannya. Jika dia melakukannya, maka catatlah sebagai satu keburukan yang seumpamanya. Dan jika dia meninggalkannya, maka catatlah baginya sebagai satu kebaikan, kerana sesungguhnya dia meninggalkannya semata-mata kerana Aku.”
Sahih Al-Bukhari no. 7501 & Sahih Muslim no. 129
Satu lagi syarat yang kita boleh tambah adalah dia memang mampu untuk melakukan dosa itu. Bukannya orang yang hendak pergi main judi di Genting, tapi dia tak mampu pun. Jadi kalau dia tidak jadi pergi, bukannya dia dapat pahala sebab dia memang dari asal pun tak mampu untuk pergi. Begitulah kemampuan untuk melakukan dosa ini pun adalah dugaan bagi kita. Allah beri kekayaan kepada kita, ia datang dengan dugaan sebenarnya. Kerana itulah musibah adalah ujian, kesenangan dan kekayaan juga adalah ujian bagi manusia; dan ramai yang gagal kerananya. Kerana apabila ada kemampuan, sudah senang sebenarnya untuk buat dosa.
Jadi orang yang menahan dirinya itu memang dia mampu buat. Ingat tak kepada hadis 3 orang lelaki yang terperangkap di dalam gua dan mereka bertawasul dengan amal mereka? Saya berilah penuh walaupun panjang hadisnya,
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «انْطَلَقَ ثَلاَثَةُ نَفَرٍ مِمَّنْ كَانَ قَبْلَكُمْ حَتَّى آوَاهُمُ الْمَبِيتُ إِلَى غَارٍ فَدَخَلُوهُ، فَانْحَطَّتْ صَخْرَةٌ مِنَ الْجَبَلِ فَسَدَّتْ عَلَيْهِمُ الْغَارَ، فَقَالُوا: إِنَّهُ لاَ يُنْجِيكُمْ مِنْ هَذِهِ الصَّخْرَةِ إِلاَّ أَنْ تَدْعُوا اللَّهَ بِصَالِحِ أَعْمَالِكُمْ. قَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ: اللَّهُمَّ كَانَ لِي أَبَوَانِ شَيْخَانِ كَبِيرَانِ، وَكُنْتُ لاَ أَغْبِقُ قَبْلَهُمَا أَهْلاً وَلاَ مَالاً، فَنَأَى بِي فِي طَلَبِ شَيْءٍ يَوْمًا، فَلَمْ أُرِحْ عَلَيْهِمَا حَتَّى نَامَا، فَحَلَبْتُ لَهُمَا غَبُوقَهُمَا فَوَجَدْتُهُمَا نَائِمَيْنِ، وَكَرِهْتُ أَنْ أُغْبِقَ قَبْلَهُمَا أَهْلاً أَوْ مَالاً، فَلَبِثْتُ وَالْقَدَحُ عَلَى يَدِي أَنْتَظِرُ اسْتِيقَاظَهُمَا حَتَّى بَرَقَ الْفَجْرُ، فَاَسْتَيْقَظَا فَشَرِبَا غَبُوقَهُمَا، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتُ فَعَلْتُ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ وَجْهِكَ فَفَرِّجْ عَنَّا مَا نَحْنُ فِيهِ مِنْ هَذِهِ الصَّخْرَةِ، فَانْفَرَجَتْ شَيْئًا لاَ يَسْتَطِيعُونَ الْخُرُوجَ. قَالَ الآخَرُ: اللَّهُمَّ كَانَتْ لِي بَنْتُ عَمٍّ كَانَتْ أَحَبَّ النَّاسِ إِلَيَّ، فَأَرَدْتُهَا عَنْ نَفْسِهَا فَامْتَنَعَتْ مِنِّي حَتَّى أَلَمَّتْ بِهَا سَنَةٌ مِنَ السِّنِينَ، فَجَاءَتْنِي فَأَعْطَيْتُهَا عِشْرِينَ وَمِائَةَ دِينَارٍ عَلَى أَنْ تُخَلِّيَ بَيْنِي وَبَيْنَ نَفْسِهَا، فَفَعَلَتْ حَتَّى إِذَا قَدَرْتُ عَلَيْهَا قَالَتْ: لاَ أُحِلُّ لَكَ أَنْ تَفُضَّ الْخَاتَمَ إِلاَّ بِحَقِّهِ، فَتَحَرَّجْتُ مِنَ الْوُقُوعِ عَلَيْهَا، فَانْصَرَفْتُ عَنْهَا وَهِيَ أَحَبُّ النَّاسِ إِلَيَّ، وَتَرَكْتُ الذَّهَبَ الَّذِي أَعْطَيْتُهَا، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتُ فَعَلْتُ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ وَجْهِكَ فَافْرُجْ عَنَّا مَا نَحْنُ فِيهِ، فَانْفَرَجَتِ الصَّخْرَةُ غَيْرَ أَنَّهُمْ لاَ يَسْتَطِيعُونَ الْخُرُوجَ مِنْهَا. وَقَالَ الثَّالِثُ: اللَّهُمَّ إِنِّي اسْتَأْجَرْتُ أُجَرَاءَ فَأَعْطَيْتُهُمْ أُجْرَتَهُمْ غَيْرَ رَجُلٍ وَاحِدٍ تَرَكَ الَّذِي لَهُ وَذَهَبَ، فَثَمَّرْتُ أُجْرَتَهُ حَتَّى كَثُرَتْ مِنْهَا الأَمْوَالُ، فَجَاءَنِي بَعْدَ حِينٍ فَقَالَ: يَا عَبْدَ اللَّهِ أَدِّ إِلَيَّ أُجْرَتِي، فَقُلْتُ لَهُ: كُلُّ مَا تَرَى مِنْ أُجْرَتِكَ مِنَ الإِبِلِ وَالْبَقَرِ وَالْغَنَمِ وَالرَّقِيقِ، فَقَالَ: يَا عَبْدَ اللَّهِ لاَ تَسْتَهْزِئْ بِي، فَقُلْتُ: إِنِّي لاَ أَسْتَهْزِئُ بِكَ، فَأَخَذَهُ كُلَّهُ فَاسْتَاقَهُ فَلَمْ يَتْرُكْ مِنْهُ شَيْئًا، اللَّهُمَّ فَإِنْ كُنْتُ فَعَلْتُ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ وَجْهِكَ فَافْرُجْ عَنَّا مَا نَحْنُ فِيهِ، فَانْفَرَجَتِ الصَّخْرَةُ فَخَرَجُوا يَمْشُونَ». (رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ)
Daripada Abdullah bin Umar RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Tiga orang lelaki daripada umat sebelum kamu berjalan sehinggalah mereka berteduh di dalam sebuah gua untuk tidur malam, lalu mereka pun memasukinya. Tiba-tiba sebuah batu besar dari gunung runtuh lalu menyumbat pintu gua tersebut. Mereka berkata: ‘Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu daripada batu besar ini melainkan kamu berdoa kepada Allah dengan bertawasul melalui amalan soleh yang pernah kamu lakukan.’ Lelaki pertama berkata: ‘Ya Allah, aku mempunyai dua orang ibu bapa yang sudah tua renta, dan aku tidak pernah memberi minum susu kepada ahli keluarga mahupun hamba sebelum aku memberi minum kepada mereka berdua. Pada suatu hari, aku pergi jauh mencari sesuatu sehinggalah aku tidak pulang melainkan mereka berdua telah tidur. Aku pun memerah susu untuk mereka tetapi mendapati mereka telah tidur, dan aku benci untuk memberi minum kepada ahli keluarga atau hamba sebelum mereka berdua. Maka aku terus berdiri sambil memegang mangkuk susu di tanganku menunggu mereka terjaga sehinggalah terbit fajar, lalu mereka pun bangun dan meminum minuman malam mereka. Ya Allah, sekiranya aku melakukan perkara tersebut semata-mata kerana mengharapkan keredaan-Mu, maka lepaskanlah kami daripada kesusahan batu besar ini.’ Lalu batu itu bergeser sedikit tetapi mereka belum dapat keluar. Lelaki kedua berkata: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku mempunyai seorang sepupu perempuan yang merupakan manusia yang paling aku cintai. Aku menginginkan dirinya tetapi dia menolak sehinggalah dia ditimpa kesusahan pada suatu tahun kemarau. Dia datang kepadaku lalu aku memberikannya 120 dinar dengan syarat dia menyerahkan dirinya kepadaku, dan dia pun bersetuju. Apabila aku telah menguasainya, dia berkata: Tidak halal bagimu membuka cincin ini melainkan dengan haknya (nikah yang sah). Maka aku merasa berdosa untuk berzina dengannya lalu aku meninggalkannya sedangkan dia adalah orang yang paling aku cintai, dan aku tinggalkan emas yang telah aku berikan kepadanya. Ya Allah, sekiranya aku melakukan perkara itu semata-mata kerana mengharapkan keredaan-Mu, maka lepaskanlah kami daripada kesusahan ini.’ Lalu batu itu bergeser lagi tetapi mereka masih belum dapat keluar. Lelaki ketiga berkata: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku pernah mengupah beberapa orang pekerja dan aku telah membayar upah mereka semua melainkan seorang lelaki yang meninggalkan upahnya lalu pergi. Aku pun mengembangkan upahnya itu sehinggalah menjadi harta yang banyak. Setelah sekian lama, dia datang kepadaku dan berkata: Wahai hamba Allah, berikanlah upahku. Aku berkata kepadanya: Semua yang engkau lihat ini daripada unta, lembu, kambing, dan hamba sahaya adalah daripada upahmu. Dia berkata: Wahai hamba Allah, janganlah engkau mengejekku! Aku menjawab: Aku tidak mengejekmu. Lalu dia mengambil kesemuanya dan menggiringnya tanpa meninggalkan sedikit pun. Ya Allah, sekiranya aku melakukan perkara itu semata-mata kerana mengharapkan keredaan-Mu, maka lepaskanlah kami daripada kesusahan ini.’ Lalu batu besar itu bergeser sepenuhnya dan mereka keluar sambil berjalan.”
Sahih Al-Bukhari: No. Hadis: 2272; Sahih Muslim: No. Hadis: 2743.
Perhatikan kepada kisah lelaki kedua itu; dia boleh sahaja teruskan berzina dengan wanita itu kerana wanita itu telah pasrah/terpaksa. Akan tetapi dia berhenti kerana takut kepada Allah. Maka ia menjadi amalan yang baik baginya.
Tetapi ada juga pengecualian dalam hal ini. Walaupun dosa yang dimaksudkan adalah dosa badan, tapi kalau niat itu berkenaan melakukannya di Mekah, niat sahaja sudah berdosa! Dalilnya adalah Hajj:25
وَمَن يُرِد فيهِ بِإِلحادٍ بِظُلمٍ نُّذِقهُ مِن عَذابٍ أَليمٍ
dan siapa yang bermaksud di dalamnya melakukan kejahatan secara zalim, nescaya akan Kami rasakan kepadanya sebahagian seksa yang pedih.
Disebabkan kesucian dan kemuliaan Tanah Haram, para ulama tafsir menjelaskan bahawa kehendak atau azam untuk melakukan dosa di sana sahaja sudah dianggap berdosa dan diancam dengan azab. Sahabat Nabi, Abdullah bin Mas’ud RA berkata:
“Sekiranya seorang lelaki berniat untuk membunuh orang lain di Baitullah (Mekah), sedangkan dia berada di tempat yang jauh (seperti di Yaman), Allah tetap akan merasakan daripadanya azab yang pedih disebabkan niatnya itu.”
Oleh itu, jikalau seseorang yang mengerjakan Umrah sudah berniat dari Malaysia lagi untuk bermaksiat ketika dia di Mekah nanti, maka dia sudah berdosa walaupun dia belum melakukannya lagi. Jadi tempat yang mulia seperti di Mekah akan menggandakan dosa. Kerana itulah di dalam Baqarah:197, Allah melarang keras kita berbuat dosa,
فَمَن فَرَضَ فيهِنَّ الحَجَّ فَلا رَفَثَ وَلا فُسوقَ وَلا جِدالَ فِي الحَجِّ
Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.
Melakukan maksiat dan bertengkar pun memang di mana-mana pun tidak elok dan berdosa, akan tetapi terdapat penekanan di dalam ayat ini tentang Mekah kerana ia adalah tempat yang mulia. Malah ini pun dijaga oleh masyarakat Jahiliyah yang direkodkan oleh para ulama tafsir ketika menafsirkan ayat-ayat berkaitan kesucian Mekah dan Bulan-bulan Haram. Antara riwayat dan kenyataan terkenal mengenai perkara ini termasuk kata-kata daripada Imam Qatadah dan Sufyan bin ‘Uyainah:
كَانَ الرَّجُلُ فِي الْجَاهِلِيَّةِ يَلْقَى قَاتِلَ أَبِيهِ أَوْ أَخِيهِ فِي الْحَرَمِ، فَلَا يَهِيْجُهُ حَتَّى يَخْرُجَ مِنْهُ
“Dahulu seorang lelaki pada zaman Jahiliyah bertemu dengan pembunuh ayahnya atau pembunuh saudaranya di Tanah Haram (Makkah), maka dia tidak akan mengganggunya mahupun mengusiknya sedikit pun sehinggalah orang itu keluar daripadanya.”
Bahkan dalam sesetengah riwayat menyatakan bahawa apabila seseorang yang mempunyai dendam darah melihat pembunuh ahli keluarganya memakai qala’id yang menandakan dia sedang menuju ke Ka’bah untuk beribadah atau berada di dalam sempadan Haram, lelaki tersebut akan menundukkan pandangannya, berpaling, dan menahan diri daripada membalas dendam demi memuliakan Ka’bah.
4. Penjelasan وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً (dan jika dia berniat melakukan keburukan lalu mengerjakannya, maka Allah menulis itu sebagai satu keburukan).
Ini seperti disebut di dalam An’am:160 di atas, dosa itu diberikan sama kadar dengan perbuatan dosa itu. Dosa itu tidak digandakan.
Akan tetapi ada keadaan di mana dosa akan berganda kalau kita tidak berhati-hati. Ada ketika dosa itu berganda kerana dilakukan di masa dan tempat yang mulia. Contohnya kalau kita melakukan dosa di Bulan-bulan Haram. Ini seperti firman Allah di dalam Tawbah:36
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهورِ عِندَ اللَّهِ اثنا عَشَرَ شَهرًا في كِتٰبِ اللَّهِ يَومَ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ مِنها أَربَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ ۚ فَلا تَظلِموا فيهِنَّ أَنفُسَكُم
Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan itu
Sebagaimana kalau kita melakukan amalan baik pada bulan-bulan itu akan menggandakan pahala, maka amalan buruk pun akan menggandakan dosa juga.
Satu lagi kalau melakukan dosa di tempat yang mulia. Contohnya di Tanah Haram. Kerana itu para sahabat berhati-hati dan risau sahaja apabila berada di Tanah Haram kerana takut mereka melakukan dosa di situ. Mereka berpegang dengan ayat Hajj:25
وَمَن يُرِد فيهِ بِإِلحادٍ بِظُلمٍ نُّذِقهُ مِن عَذابٍ أَليمٍ
dan siapa yang bermaksud di dalamnya melakukan kejahatan secara zalim, nescaya akan Kami rasakan kepadanya sebahagian seksa yang pedih.
Dosa juga berganda jikalau kita orang yang ada ilmu, orang yang maqam tinggi dengan Allah. Kerana kedudukan mereka itu sepatutnya menjadikan mereka lebih berhati-hati dari melakukan dosa. Dalilnya adalah Isra’:74-75
وَلَولَآ أَن ثَبَّتنَـٰكَ لَقَد كِدتَّ تَرڪَنُ إِلَيهِمۡ شَيـًٔا قَلِيلاً (٧٤) إِذًا لَّأَذَقنَـٰكَ ضِعفَ ٱلحَيَوٰةِ وَضِعفَ ٱلمَمَاتِ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ عَلَينَا نَصِيرًا (٧٥)
Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka. (74) Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami. (75)
Dan Allah berfirman di dalam Ahzab:30-31
يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ مَن يَأتِ مِنكُنَّ بِفَـٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ يُضَـٰعَف لَهَا ٱلعَذَابُ ضِعفَينِۚ وَكَانَ ذٓلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا (٣٠) ۞ وَمَن يَقنُت مِنكُنَّ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتَعمَل صَـٰلِحًا نُّؤتِهَآ أَجرَهَا مَرَّتَينِ وَأَعتَدنَا لَهَا رِزقًا ڪَرِيمًا (٣١)
Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. (30) Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia. (31)
Kemaskini: 17 Ogos 2026
Rujukan:
Ustaz Yunus Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)
Dr. MAZA (Mufti Perlis)
Jami’ Al-Ulum Wal Hikam (Ibnu Rajab al-Hambali)

