Tafsir Surah an-Nisa Ayat 98 – 101 (Kebenaran untuk Qasar Solat)

Ayat 98: Ada yang memang tidak boleh untuk meninggalkan tempat mereka menuju ke negara Islam. Ayat ini adalah tentang mereka yang ada alasan. Kerana mereka ada alasan, maka mereka tidak dipersalahkan.

Jadi ini adalah ayat memberitahu pengecualian dari kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang tidak mahu berhijrah seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini.

إِلَّا المُستَضعَفينَ مِنَ الرِّجالِ وَالنِّساءِ وَالوِلدٰنِ لا يَستَطيعونَ حيلَةً وَلا يَهتَدونَ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for the oppressed among men, women, and children who cannot devise a plan nor are they directed to a way¹ –

  • They are prevented by circumstances beyond their control.

MALAY

Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).

 

إِلَّا المُستَضعَفينَ مِنَ الرِّجالِ وَالنِّساءِ وَالوِلدٰنِ

Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, 

Mereka lemah dari segi fizikal untuk berhijrah. Mereka tidak boleh meloloskan diri atau pergi sendiri ke negara Islam meninggalkan negara kafir.

 

لا يَستَطيعونَ حيلَةً

yang tidak berdaya upaya mencari helah

Mereka tidak mampu untuk mencari helah – tidak ada kemampuan untuk mencari jalan keluar. Tidak ada orang yang boleh bawa mereka pergi.

 

وَلا يَهتَدونَ سَبيلًا

dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan

Ataupun mereka pun tidak tahu nak pergi ke mana. Tempat lain pun sama sahaja, akan kena tindas juga.

Oleh kerana mereka itu tidak mampu untuk keluar dari negara kafir itu, maka mereka ada alasan yang akan diterima oleh Allah.

Abdur Razzaq mengatakan, telah menceritakan kepada kami ibnu Uyaynah, dari Ubaidillah ibnu Abu Yazid yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Ibnu Abbas mengatakan, “Aku dan ibuku termasuk orang-orang yang tertindas dari kalangan kaum wanita dan anak-anak.”

Macam negara kita ini masih lagi selamat, tidak perlu pergi ke mana-mana. Memang ramai yang buat bidaah, tapi kita tidak perlu ikut mereka. Tidak membahayakan pun kalau kita tidak ikut pun – kena jegil mata dan kena kutuk sahaja – itu biasalah datang dari mereka yang jahil – dan jangan kita takut dengan orang yang jahil.

Tetapi, kalau penduduk negara  ini paksa kita buat bidaah dan syirik, kita boleh pergi ke tempat lain.

Ataupun kalau pemimpin negara ini paksa kita buat benda bidaah dan syirik, maka kita kena tinggalkan. Tapi pemimpin negara ini adalah ahli politik dan mereka tidak campur dalam urusan agama. Mereka hanya menggunakan agama untuk kepentingan mereka sahaja.

Kalau ada orang yang ikut sunnah, mereka akan biarkan sahaja kerana mereka tidak mahu hilang undi dari puak Sunnah pula nanti.


 

Ayat 99:

فَأُولٰئِكَ عَسَى اللَهُ أَن يَعفُوَ عَنهُم ۚ وَكانَ اللَهُ عَفُوًّا غَفورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For those it is expected that Allāh will pardon them, and Allāh is ever Pardoning and Forgiving.

MALAY

Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

 

فَأُولٰئِكَ عَسَى اللَهُ أَن يَعفُوَ عَنهُم

Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka.

Mudah-mudahan Allah akan ampun mereka. Maknanya, belum tentu Allah akan maafkan lagi ni. Tapi memang sudah ada alasan yang kukuh. Kalau mereka mampu, Allah tak beri ampun.

Ada juga yang mengatakan lafaz عَسَى bermaksud ‘pasti’. Pasti Allah akan ampunkan. Kerana mengikut kaedah Qur’an, kalimah عَسَى membawa maksud ‘yakin’ juga.

 

وَكانَ اللَهُ عَفُوًّا غَفورًا

Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Allah ingatkan kita dengan SifatNya yang Maha Beri Maaf dan Maha Mengampun. Jadi, ada kemungkinan Allah akan ampunkan.


 

Ayat 100: Ini adalah ayat targhib kepada hijrah. Allah beri dorongan kepada manusia untuk hijrah kepada tempat yang lebih baik. Ini penting kerana dalam fikiran manusia, hijrah itu tentu susah.

Memang bukan senang nak berpindah dari tempat yang kita sudah biasa duduk ke tempat yang belum tentu lagi. Sudahlah jauh, nanti sampai ke sana, tidak tahu apa yang akan terjadi.

Dalam ayat ini, Allah hendak beritahu kelebihan hijrah. Agama akan selamat, dan dunia pun akan selamat juga. Asalkan hijrah kerana agama sahaja, Allah akan beri kemudahan dan kebaikan dan ini adalah janji Dia.

Apa yang hendak dirisaukan sangat tentang berpindah tempat? Orang lain selalu sahaja berpindah kerana hendak cari rezeki dan tidak ada masalah pun. Oleh itu, dalam fikiran kita, kita kena tahu yang bukan ada masalah sangat nak pindah.

Dah banyak dah orang yang hijrah kerana hendak mencari kesenangan dunia. Sekarang Allah suruh hijrah kerana agama, dan itu adalah lebih baik dari hijrah kerana dunia.

۞ وَمَن يُهاجِر في سَبيلِ اللهِ يَجِد فِي الأَرضِ مُرٰغَمًا كَثيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخرُج مِن بَيتِهِ مُهاجِرًا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ ثُمَّ يُدرِكهُ المَوتُ فَقَد وَقَعَ أَجرُهُ عَلَى اللهِ ۗ وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever emigrates for the cause of Allāh will find on the earth many [alternative] locations and abundance. And whoever leaves his home as an emigrant to Allāh and His Messenger and then death overtakes him – his reward has already become incumbent upon Allāh. And Allāh is ever Forgiving and Merciful.

MALAY

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَمَن يُهاجِر في سَبيلِ اللهِ

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah

Iaitu mereka yang berhijrah untuk agama mereka – untuk menyelamatkan agama mereka. Kerana kalau di tempat asal mereka, mereka tidak dapat mengamalkan agama Islam dengan sempurna, maka mereka wajib untuk meninggalkan tempat mereka dan pergi ke tempat yang aman untuk mengamalkan agama Islam.

Satu lagi sebab yang membolehkan duduk di negara bukan Islam adalah jika orang itu berusaha untuk mengubah sistem itu kepada sistem Islam. Ini seperti yang dilakukan oleh golongan Rasul dan pengikut mereka. Walaupun mereka duduk di dalam negara kafir, tapi mereka memang berusaha untuk mengislamkan negara itu dengan usaha dakwah.

 

يَجِد فِي الأَرضِ مُرٰغَمًا كَثيرًا وَسَعَةً

nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; 

Kalau mereka berniat dan berusaha untuk hijrah kerana menjaga agama, Allah akan bantu mereka. Nescaya mereka akan jumpa tempat tinggal yang sangat banyak untuk diduduki. Malahan Allah boleh bagi tempat yang lebih luas dari tempat asal dia. Dan juga dia akan dapati kelapangan rezeki.

Kalimah الْمُرَاغَمُ adalah bentuk masdar. Orang-orang Arab mengatakan, “ رَاغَمَ فُلَانُ قَوْمَهُ مُرَاغَمًا وَمُرَاغَمَةً ,” ertinya si Fulan benar-benar dapat memberikan perlindungan yang kuat kepada kaumnya.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa الْمُرَاغَمُ  ialah berpindah dari suatu tempat ke tempat lain. Hal yang sama dikatakan pula oleh riwayat yang bersumber dari Ad-Dahhak, Ar-Rabi’ ibnu Anas, dan As-Sauri.

Mujahid mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: tempat hijrah yang banyak. (An-Nisa: 100) Yaitu tempat untuk menyingkir dari hal-hal yang tidak disukai.

Sufyan ibnu Uyaynah mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: tempat hijrah yang luas. (An-Nisa: 100) Yakni benteng-benteng perlindungan.

Makna lahiriah muragham, hanya Allah yang lebih mengetahui, ialah tempat yang kukuh untuk menyelamatkan diri dari musuh-musuh.

Tidak ada sesiapa yang pernah kecewa dari janji Allah ini. Nabi Ibrahim a.s telah berhijrah dari Syria ke Iraq, tempat yang lebih baik; Nabi Musa dan Bani Israil telah berhijrah dari Mesir ke tempat yang lebih baik (Syria); dan Nabi Muhammad ﷺ dan para Sahabat juga telah berhijrah dari Mekah ke Madinah yang kita pun tahu tempat yang lebih baik untuk mereka mengembangkan agama Islam.

Ramai dari kalangan para sahabat yang datang ke Madinah dalam keadaan miskin, tapi Allah beri kesenangan kepada mereka. Lihatlah kisah Abu Hurairah yang menjadi kaya.

Kalau tidak ada negara Islam pun di dunia pada waktu itu, tidak ada alasan tidak berhijrah kerana bumi Allah ini luas. Kita masih boleh duduk di hutan dan makan daun-daun kayu.

Ini adalah antara ayat-ayat yang menceritakan kelebihan hijrah di jalan Allah. Ada banyak lagi ayat-ayat lain tentang kelebihan hijrah seperti Baqarah:218 dan Tawbah:20.

 

وَمَن يَخرُج مِن بَيتِهِ مُهاجِرًا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ

dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya,

Ini mengajar kita bahawa hijrah yang dikehendaki adalah kerana Allah dan kerana hendak mengikut sunnah Rasulullah ﷺ.

Maka kena betulkan niat – bukannya kerana mencari harta, bukannya kerana hendak menyelamatkan diri dari kesalahan yang telah dilakukan di tempat asal atau apa-apa sahaja sebab yang bukan kerana agama. Bukan juga kerana tidak dapat cari makan di tempat asal maka nak cari rezeki di tempat. Tidaklah salah kalau nak mencari rezeki lebih baik di tempat lain tapi tidaklah termasuk hijrah kepada Allah.

 

ثُمَّ يُدرِكهُ المَوتُ

kemudian dia dikejar kematian

Ada kemungkinan orang yang berhijrah itu mati, tidak sempat sampai ke destinasinya; tidak sempat sampai ke negara Islam; tidak sempat sampai ke tempat yang dia boleh nak amalkan Islam itu. Semuanya dalam taqdir Allah, Allah yang tetapkan dia tidak sampai.

Kalau tak sempat sampai pun tidak mengapa. Asalkan keluar dari rumah sahaja.

Ada riwayat yang mengatakan asbabun nuzul ayat ini adalah tentang seorang sahabat yang bernama Khalid ibn Hizam yang dalam perjalanan untuk berhijrah ke Habashah tetapi dalam perjalanan beliau telah dipatuk ular sampai mati.

 

فَقَد وَقَعَ أَجرُهُ عَلَى اللهِ

maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. 

Walaupun dia tidak sempat sampai ke destinasi, tapi sudah pasti dia akan dapat pahala dari Allah. Ini juga janji yang dia akan pasti selamat di akhirat. Kerana dia telah melakukan usahanya. Allah hanya hendak lihat usaha sahaja, bukan kejayaan.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a., bahawa Nabiyullah SAW bersabda: “Sebelum zaman kamu ini, pernah ada seorang lelaki yang telah membunuh seramai 99 (sembilan puluh Sembilan) orang manusia, kemudian dia bertanyakan mengenai perkara itu kepada seorang yang paling alim pada zaman itu. Selepas ditunjukkan kepadanya seorang rahib (pendeta). Dia pun berjumpa rahib tersebut. Dia memberitahu: “Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima?” Rahib tersebut menjawab: “Tidak!”

Mendengar jawapan itu, dia tidak puas hati, terus naik marah lalu membunuh rahib tersebut dan genaplah jumlah seratus orang manusia yang telah dibunuhnya.

Namun niatnya ingin bertaubat tetap teguh. Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim pada zaman itu. Kemudian lalu ditunjukkan kepadanya seorang yang alim, dia terus berjumpa orang alim tersebut dan berkata: “Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia. Adakah taubatku masih diterima?”

Orang alim tersebut menjawab: “Ya! Siapakah yang menghalang seseorang dari bertaubat?”

“Sekarang, pergilah kamu ke tempat ini dan ini, kerana di sana terdapat ramai orang yang beribadah kepada Allah. Kamu beribadatlah kepada Allah bersama mereka dan jangan pulang ke tempat kamu kerana tempatmu itu adalah tempat yang teruk.”sambung orang alim itu lagi.

Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika berada di pertengahan jalan, tiba-tiba maut datang menjemputnya dan dia pun meninggal dunia.

Melihat kejadian itu, menyebabkan Malaikat pembawa rahmat dan Malaikat Azab (malaikat yang ditugaskan menyeksa) bertelingkah mengenainya.

Malaikat Rahmat berkata: “Dia datang dalam keadaan sudah bertaubat dan menghadapkan hatinya secara ikhlas kepada Allah.”

Manakala Malaikat Azab pula berkata: “Benar, namun dia tidak pernah melakukan kebaikan.”

Lalu datanglah malaikat lain yang menyerupakan dirinya dalam bentuk manusia. Lalu dia menjadikan dirinya sebagai pemisah antara malaikat-malaikat yang berselisih tadi, iaitu dijadikan hakim pemutusnya untuk mengadili pertengkaran mereka dan untuk menetapkan mana yang betul.

Malaikat itu berkata, “Kalau begitu, ukurlah jarak kamu. Jarak di antara dua tempat, dari sini ke tempat yang ditinggalkan lelaki ini dan ke tempat yang hendak ditujunya; ke tempat mana yang lebih dekat, bererti dialah yang berhak ke atas orang ini.”

Kedua-dua malaikat tersebut lalu sama-sama mengukur dan setelah diukur, ternyata mereka dapati kedudukan mayat lelaki tersebut lebih hampir dengan tempat tujuannya untuk melaksanakan taubat iaitu tempat yang dihuni oleh orang-orang soleh, beerti ia termasuk di kalangan mereka. Maka akhirnya, lelaki tersebut berhak diambil oleh Malaikat Rahmat.”

(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

 

وَكانَ اللَهُ غَفورًا رَّحيمًا

Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah akan ampunkan segala dosa dia. Dan Allah akan beri rahmat kepada mereka. Ini adalah kerana Allah Maha Sayang kepada makhlukNya.

Habis Ruku’ ke 14 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 101: Ini adalah hukum ke-10. Iaitu apabila hendak solat dalam musafir, iaitu Solat Qasar.

Sebelum ini telah disebut tentang Jihad dan juga Hijrah. Kedua-duanya tentu melibatkan perjalanan yang jauh. Perjalanan yang jauh tentulah menyusahkan, tambahan lagi kalau di dalam waktu peperangan, kerana dalam perang ada ketakutan dalam hati yang pihak musuh boleh serang bila-bila.

Ada keringanan dalam ibadat semasa kita di dalam musafir dan Allah beri keringanan ini kepada sesiapa yang bersusah payah bermusafir dalam menegakkan tauhid. Kalau sampai berperang dengan musuh, akan lebih ringan lagi. Maknanya, dalam apa keadaan pun, solat tidak boleh ditinggalkan, tapi boleh diringankan.

Contoh, kalau musafir kerana Allah, solat yang empat sudah jadi dua rakaat. Kalau musuh di depan, sampai boleh solat sambil berjalan atau bergerak.

وَإِذا ضَرَبتُم فِي الأَرضِ فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَقصُروا مِنَ الصَّلوٰةِ إِن خِفتُم أَن يَفتِنَكُمُ الَّذينَ كَفَروا ۚ إِنَّ الكٰفِرينَ كانوا لَكُم عَدُوًّا مُّبينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when you travel throughout the land, there is no blame upon you for shortening the prayer,¹ [especially] if you fear that those who disbelieve may disrupt [or attack] you.² Indeed, the disbelievers are ever to you a clear enemy.

  • The four rak‘ah prayers are shortened to two rak‘ahs.
  • The example of the Prophet () and his companions illustrates that fear is not a condition for this allowance, merely travel.

MALAY

Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

 

وَإِذا ضَرَبتُم فِي الأَرضِ

Dan apabila kamu musafir di muka bumi,

Musafir ini banyak jenis. Ada musafir untuk menegakkan agama Allah (dakwah) dan ada musafir yang biasa. Asal nama musafir sahaja, hukum yang akan disebutkan dalam ayat ini akan terpakai.

 

فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَقصُروا مِنَ الصَّلوٰةِ

maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang

Apabila dalam musafir, kita boleh qasar solat jadi pendek. Iaitu solat yang empat rakaat jadi dua rakaat. Solat yang selain dari itu tidak ada Qasar. Jangan pula qasarkan solat subuh dua rakaat jadi satu rakaat pula; atau solat Maghrib jadi satu setengah rakaat pula.

Solat Qasar adalah ‘hadiah’ yang telah diberikan oleh Allah, maka kita hendaklah melakukannya. Sabda Rasullah SAW  maksudnya:

“Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci  dilakukan maksiat kepadaNya”. (Hadis riwayat Ahmad).

Ada yang mengatakan kerana Qur’an menggunakan kalimah ‘tidaklah berdosa’ dalam ayat ini, ia menunjukkan bahawa Qasar tidaklah wajib, cuma dibenarkan sahaja. Maka perbincangan tentang perkara ini amat panjang tapi kita cuba ringkaskan di sini:

1. Pendapat Imam Syafie, qasr tidaklah wajib tapi tidak melakukannya menyalahi Sunnah.
2. Pendapat Imam Ahmad, qasr tidak wajib tapi makruh meninggalkannya.
3. Pendapat Imam Abu Hanifah (dan mungkin juga Imam Malik), qasr adalah wajib.

Perlu kita tahu bahawa banyak sangat hadis Nabi Muhammad ﷺ mengqasar solat baginda dalam musafir baginda. Maka Sunnah dalam hal ini adalah mengqasar solat dalam musafir.

Walaupun kalimah ‘tidaklah berdosa’ seolah-olah hanya benarkan sahaja perbuatan qasr ini, tapi dalam al-Baqarah 2:158, kalimah ini digunakan untuk saie di Safa Marwah dan kita tahu itu adalah untuk beri kebenaran untuk saie sahaja, tapi memang kena buat. Allah gunakan kalimah ‘tidaklah berdosa’ kerana ada salah faham tidak boleh saie antara Safa dan Marwah, maka Allah jelaskan dalam ayat itu.

Jadi ayat tentang qasr ini bukanlah sebagai kebenaran sahaja, tapi nak membetulkan fahaman manusia yang sangka berdosa atau pahala kurang kalau memendekkan solat.

Ada banyak lagi persoalan yang timbul berkenaan qasr ini dan ia elok diperjelaskan dalam kelas feqah supaya penerangan lebih mendalam. Cukuplah setakat di sini kita tahu di manakah dalil dalam Qur’an yang membenarkan qasr solat dalam musafir.

 

إِن خِفتُم أَن يَفتِنَكُمُ الَّذينَ كَفَروا

jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. 

Dalam ayat ini, seperti kemudahan ini diberikan jikalau bimbang diserang oleh musuh kafir. Tetapi, dalam perbuatan Nabi dan sahabat, kita boleh lihat bagaimana syarat ini bukan sahaja dalam keadaan takut, malah boleh dilakukan dalam keadaan aman juga, asalkan dalam musafir.

Ya’laa bin Umayyah berkata: Aku pernah bertanya kepada Umar al-Khattab radiallahu-anhu berkenaan firman Allah – “maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir”; sedangkan pada masa sekarang manusia telah pun berada dalam keadaan aman.

Umar menjawab: Aku sendiri pernah merasa hairan juga seperti kamu, oleh itu aku telah bertanya kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tentang hal ini lalu beliau bersabda: Itu adalah sedeqah yang diberikan oleh Allah Azza wa Jalla kepada kalian, maka terimalah sedekahNya itu. Maksud hadith riwayat Imam Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Abu Daud, Sunan Abu Daud

Jadi, kalau kita tidak mengqasar solat, ianya seperti kita tidak suka dengan pemberian dari Allah itu.

Abu Bakar ibnu Abu Syaibah mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yazid ibnu Harun, telah menceritakan kepada kami Ibnu Aun, dari Ibnu Sirin, dari Ibnu Abbas yang menceritakan, “Kami salat bersama Rasulullah Saw. di antara Mekah dan Madinah sebanyak dua rakaat-dua rakaat, padahal kami dalam keadaan aman dan tidak takut dengan apa pun di antara Mekah dan Madinah itu.”

Malangnya, ramai yang tidak mengqasar solat mereka kerana tidak faham anjuran ini. Mereka rasa macam tidak perlu untuk mengqasar solat kerana mereka rasa tidak susah dalam perjalanan mereka.

Tidak kurang juga yang tidak qasar kerana tidak tahu ‘lafaz niat’nya. Ini adalah kerana masyarakat kita telah diajar, kena lafaz niat dalam solat dan lafaz niat itu susah pula. Sampaikan mereka yang tidak menghafalnya, rasa baik mereka solat penuh sahaja.

Ini adalah salah sekali. Tidak ada ‘lafaz niat’ dalam solat dan mereka yang mengajarkan perkara itu telah menyusahkan umat dan telah menyebabkan ada amal ibadat yang tidak dilakukan oleh manusia. Ini adalah bidaah yang perlu ditinggalkan.

 

إِنَّ الكٰفِرينَ كانوا لَكُم عَدُوًّا مُّبينًا

Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

Mereka adalah musuh kita kerana mereka menentang agama Allah. Mereka telah tunjukkan permusuhan mereka kepada kita, maka hendaklah kita berperang dengan mereka. Lainlah kalau mereka tidak tunjukkan.

Macam zaman sekarang, penentangan terhadap Islam tidaklah nampak jelas. Mereka yang menentang pun menggunakan bahasa yang berlapik supaya menjaga hati umat Islam secara keseluruhannya. Maka tidaklah boleh nak serang dan berperang dengan mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Jun 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s