Ayat 102: Ini adalah tentang Solat Khauf – Solat Takut. Ianya adalah solat yang dilakukan semasa berperang. Dalam Solat Khauf, ianya perlu dilakukan berjemaah. Kerana solat berjemaah adalah teras kepada hubungan dengan Allah. Dalam perang pun kena tegakkan, maka apatah lagi kalau dalam keadaan yang aman. Penyatuan umat Islam pun duduk dalam solat berjemaah, jadi perlulah ianya dijalankan.
Kecuali kalau kita dengan musuh sedaging (sedang berlawan dekat sangat sampai boleh sentuh) maka boleh solat sendirian. Boleh solat semasa berjalan atau berlari, atas tanah atau atas kenderaan. Maknanya, waktu itu solat sendirian sahaja kerana perang sedang berkecamuk.
وَإِذا كُنتَ فيهِم فَأَقَمتَ لَهُمُ الصَّلوٰةَ فَلتَقُم طائِفَةٌ مِّنهُم مَّعَكَ وَليَأخُذوا أَسلِحَتَهُم فَإِذا سَجَدوا فَليَكونوا مِن وَرائِكُم وَلتَأتِ طائِفَةٌ أُخرىٰ لَم يُصَلّوا فَليُصَلّوا مَعَكَ وَليَأخُذوا حِذرَهُم وَأَسلِحَتَهُم ۗ وَدَّ الَّذينَ كَفَروا لَو تَغفُلونَ عَن أَسلِحَتِكُم وَأَمتِعَتِكُم فَيَميلونَ عَلَيكُم مَّيلَةً وٰحِدَةً ۚ وَلا جُناحَ عَلَيكُم إِن كانَ بِكُم أَذًى مِّن مَّطَرٍ أَو كُنتُم مَّرضىٰ أَن تَضَعوا أَسلِحَتَكُم ۖ وَخُذوا حِذرَكُم ۗ إِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلكٰفِرينَ عَذابًا مُّهينًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when you [i.e., the commander of an army] are among them and lead them in prayer,¹ let a group of them stand [in prayer] with you and let them carry their arms. And when they have prostrated, let them be [in position] behind you and have the other group come forward which has not [yet] prayed and let them pray with you, taking precaution and carrying their arms. Those who disbelieve wish that you would neglect your weapons and your baggage so they could come down upon you in one [single] attack. But there is no blame upon you, if you are troubled by rain or are ill, for putting down your arms, but take precaution. Indeed, Allāh has prepared for the disbelievers a humiliating punishment.
- At times of fear on the battleground.
MALAY
Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendaklah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.
وَإِذا كُنتَ فيهِم
Dan apabila engkau berada dalam kalangan mereka,
Arahan ini dikeluarkan kepada Nabi Muhammad ﷺ, mengajar baginda bagaimana hendak melakukan Solat Khauf iaitu semasa dalam peperangan. Dalam perang pun, solat berjemaah tidak ditinggalkan, apatah lagi kalau solat.
Ada ulama yang mengatakan khitab (ditujukan) ayat ini kepada Nabi Muhammad ﷺ sahaja dan kerana itu mereka kata ayat ini khusus pada zaman baginda sahaja. Pendapat ini lemah kerana banyak ayat khitab kepada baginda ﷺ tapi tidaklah terpakai hanya untuk baginda sahaja.
Jadi yang rajihnya ia bukan khusus kepada Nabi Muhammad sahaja, tapi kepada ketua perang yang berperang bersama dengan tenteranya. Dalilnya kerana para sahabat pun melakukannya juga setelah kewafatan baginda dan tidak ditegur oleh mana-mana sahabat pun.
Solat Khauf ini dilakukan dalam suasana perang tapi semasa menunggu peperangan bermula. Kalau peperangan sudah bermula maka susahlah untuk melakukan Solat Khauf ini. Sampaikan pendapat Imam Hanafi, solat boleh ditangguhkan. Imam Malik pula mengatakan kalau tidak mampu untuk rukuk dan sujud semasa berperang, maka boleh dilakukan solat dengan isyarat sahaja. Imam Syafie pula berkata semasa bergelut pun boleh solat juga.
Solat Khauf boleh dilakukan mengadap kiblat atau tidak. Kerana ada keadaan tertentu, tidak boleh nak mengadap kiblat – bergantung kepada kedudukan musuh. Kerana bahaya kalau membelakangkan musuh, maka kena mengadap kepada mereka. Maklumat yang lebih terperinci boleh didapati dalam kitab-kitab Fiqh.
فَأَقَمتَ لَهُمُ الصَّلوٰةَ
lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka,
Maknanya, dalam perang pun kena solat jemaah juga. Ma sha Allah, kalau semasa perang pun kena solat jemaah, apatah lagi kalau solat dalam keadaan aman. Ini adalah salah satu dalil untuk mengatakan yang solat jemaah adalah wajib bagi lelaki Mukmin.
فَلتَقُم طائِفَةٌ مِّنهُم مَّعَكَ
maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri bersama-samamu,
Untuk mengerjakan Solat Khauf ini, pasukan tentera kena dipecahkan kepada dua puak. Satu puak akan solat sekali dengan imam pada rakaat pertama. Kerana sepuak lagi akan berjaga-jaga dari serangan musuh.

وَليَأخُذوا أَسلِحَتَهُم
dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing;
Yang solat dengan imam waktu itu kena pegang senjata mereka jenis yang ringan. Maknanya, mereka kena solat dengan senjata. Kerana kalau tentera musuh menyerang, boleh terus mempertahankan diri. Satu golongan lagi berdiri di belakang berkawal.
فَإِذا سَجَدوا فَليَكونوا مِن وَرائِكُم
kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang
Mereka jadi orang yang duduk di belakang pula. Setelah separuh solat – sudah sujud bersama dengan imam, kumpulan yang mula-mula bersolat dengan imam tadi, hendaklah berundur ke belakang. Maknanya, mereka telah dapat takbiratulihram dengan imam dan juga dapat sujud dengan imam dalam rakaat pertama. Mereka kena habiskan solat sendirian.
وَلتَأتِ طائِفَةٌ أُخرىٰ لَم يُصَلّوا فَليُصَلّوا مَعَكَ
dan hendaklah datang pula puak yang lain yang belum sembahyang, maka hendaklah mereka bersembahyang bersama-samamu,
Sekarang, kumpulan kedua pula yang masuk dalam jemaah. Mereka ganti kumpulan yang pertama tadi. Mereka pula yang jadi makmum kepada imam. Kedudukan imam tidak berubah, dia tunggu pasukan yang kedua masuk untuk jadi makmum kepadanya pula.
Ini adalah salah satu dari cara Solat Khauf. Ada lapan cara Nabi ﷺ ajar Solat Khauf. Cara untuk melakukan Solat Khauf bergantung kepada keadaan perang itu. Baginda pun melakukan berbagai cara. Ketua perang kena tengok keadaan musuh dan bahaya yang dihadapi.
وَليَأخُذوا حِذرَهُم وَأَسلِحَتَهُم
dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing.
Jangan lupa senjata dan barang-barang yang penting. Kena pegang senjata mereka dan letak barang-barang penting dekat dengan mereka. Kena jaga dari dicuri oleh musuh pula. Selain dari senjata, tentu ada barang yang penting.
Contohnya pada zaman sekarang, alat komunikasi. Kalau hilang alat komunikasi, tentu akan susah pula nanti. Begitu juga, kena jaga bekalan makanan dan minuman.
Dan disuruh pegang senjata kerana kalau tiba-tiba musuh menyerang, mereka boleh terus mempertahankan diri mereka walaupun dalam solat. Bukanlah buat keras sahaja kalau musuh menyerang.
وَدَّ الَّذينَ كَفَروا لَو تَغفُلونَ عَن أَسلِحَتِكُم وَأَمتِعَتِكُم
Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan barang-barang kamu,
Kena berjaga-jaga kerana tentu tentera kafir nak ambil peluang waktu tentera Islam sedang solat. Mereka pun tahu yang umat Islam tak tinggal solat, dan mereka akan ambil peluang waktu itu. Mereka mahu kita lalai sahaja.
فَيَميلونَ عَلَيكُم مَّيلَةً وٰحِدَةً
supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak.
Mereka nak tunggu peluang untuk mereka serang kita sekaligus – dengan satu serangan yang kuat. Kerana mereka tahu waktu itu umat Islam sedang solat dan tidak berjaga-jaga. Oleh itu, Allah mengingatkan kita untuk berjaga-jaga waktu itu.
Asbabun Nuzul ayat ini:
Diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-hakim dan disahihkan oleh Al-Baihaqi di dalam Kitabnya Ad-dalail yang bersumber dari Ibnu ‘Iyasy Az-Zurqi. Diriwayatkan pula oleh At-Turmudzi seperti peristiwa di atas yang bersumber dari Abu Hurairah. Demikian juga Ibnu Jarir bin Abdillah yang bersumber dari Ibnu Abbas: Dikemukakan ketika Rasulullah Saw bersama sahabatnya di Asfan datanglah serbuan kaum musyrikin, yang diantaranya terdapat Khalid bin Walid. Mereka berada di arah kiblat. Kemudian Nabi Saw mengimami salat dhuhur. Kaum musyrikin berkata: “Alangkah baiknya kalau kita bisa membunuh pimpinannya dalam keadaan demikian”. Yang lainnya berkata: “Sebentar lagi akan datang waktu salat dan mereka lebih mencintai salat daripada anaknya ataupun dirinya sendiri”. Lalu turunlah Jibril antara waktu dhuhur dan ashar membawa ayat ini (An-Nisa ayat 102).
وَلا جُناحَ عَلَيكُم إِن كانَ بِكُم أَذًى مِّن مَّطَرٍ
Dan tidaklah kamu berdosa, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan
Tentera Islam kena pegang senjata yang ringan semasa dalam Solat Khauf seperti yang telah disebut di atas tadi. Tapi, dibenarkan untuk meletakkan senjata jikalau sedang hujan waktu itu, kerana kalau hujan, tentu susah nak pegang.
Balaghah: Selalunya Allah menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.
Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman dan memberikan kehidupan. Ini dalam bentuk hujan yang positif.
Dan kadangkala Allah menggunakan kalimah مطر bagi hujan yang negatif. Iaitu sesuatu yang tidak baik seperti dalam ayat ini.
أَو كُنتُم مَّرضىٰ
atau kamu sakit.
Juga dibenarkan untuk meletakkan senjata di bawah kalau waktu itu sakit. Mungkin telah cedera sampai tidak mampu untuk memegang senjata pun. Maka dibenarkan kalau tidak pegang senjata waktu solat itu.
أَن تَضَعوا أَسلِحَتَكُم
untuk meletakkan senjata masing-masing
Jadi, kalau sakit atau dalam kesusahan seperti hujan, boleh letak senjata di bawah.
وَخُذوا حِذرَكُم
Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga.
Allah ingatkan sekali lagi untuk berjaga-jaga, jangan lena, jangan lalai. Walaupun solat, walaupun sudah letak senjata, kena berjaga-jaga dan awas sentiasa.
إِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلكٰفِرينَ عَذابًا مُّهينًا
Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.
Orang-orang kafir akan menerima azab seksa yang menghinakan. Kerana mereka kufur dan melakukan syirik kepada Allah dan kerana mereka telah menyusahkan orang Islam untuk menjalankan kewajipan dalam solat.
Allahu a’lam, sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 22 Oktober 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani