Tafsir Surah an-Nisa Ayat 103 – 105 (Berhukum dengan adil)

Ayat 103:

فَإِذا قَضَيتُمُ الصَّلوٰةَ فَاذكُرُوا اللَهَ قِيٰمًا وَقُعودًا وَعَلىٰ جُنوبِكُم ۚ فَإِذَا اطمَأنَنتُم فَأَقيمُوا الصَّلوٰةَ ۚ إِنَّ الصَّلوٰةَ كانَت عَلَى المُؤمِنينَ كِتٰبًا مَّوقوتًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when you have completed the prayer, remember Allāh standing, sitting, or [lying] on your sides. But when you become secure, re-establish [regular] prayer. Indeed, prayer has been decreed upon the believers a decree of specified times.

MALAY

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

 

فَإِذا قَضَيتُمُ الصَّلوٰةَ فَاذكُرُوا اللَّهَ قِيٰمًا وَقُعودًا وَعَلىٰ جُنوبِكُم

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.

Ayat sebelum ini tentang solat berjemaah dalam peperangan. Jadi sekarang disebut selepas solat dalam perang itu, kenalah ingat kepada Allah. Kalau tentera biasa yang bukan Islam, biasanya waktu ini mereka minum mabuk dan sebagainya. Iaitu selepas perang, mereka akan menghiburkan hati mereka dengan buat macam-macam perkara maksiat dan lagha. Maka, Allah ingatkan tentera Islam jangan begitu pula.

‘Zikir’ juga bermakna seru Allah sahaja semasa dalam perang. Bukan duduk-duduk sahaja. Maknanya, kena isi masa dengan ingat kepada Allah. Setiap masa kena ingat kepada Allah, samada berdiri, duduk dan berbaring. Maksudnya sekarang Allah mengajar kita untuk ingat kepada Allah dalam setiap waktu.

Bukanlah ada amalan khusus pula yang boleh diambil dari ayat ini. Jangan jadi seperti ajaran yang sesat yang mengajar pula ada amalan semasa duduk, semasa berdiri dan masa baring.

Dan ada pula yang guna ayat ini sebagai dalil boleh buat zikir dengan menari. Iaitu apabila kecoh kumpulan tarekat sesat buat zikir menari, ada yang guna ayat ini sebagai dalil memang dibenarkan dalam Islam.

Kalau Allah tidak berikan hidayah kepada mereka, terus sesatlah mereka dengan pendapat mereka begitu. Malangnya, ada pula ahli agama yang dikenali masyarakat pun guna dalil macam itu, lalu bagaimana dengan orang awam yang memang sudah jahil?

Agama telah memudahkan urusan kita ingat Allah ini dengan mengajar Zikir-zikir Masnun. Iaitu zikir dalam banyak keadaan dalam kehidupan kita. Bangun tidur, nak tidur, nak minum, nak pakai baju, nak masuk tandas, keluar tandas dan macam-macam lagi. Belajarlah dan amalkanlah zikir-zikir yang sahih itu. Kitab yang bagus adalah Hisnul Muslim.

 

فَإِذَا اطمَأنَنتُم فَأَقيمُوا الصَّلوٰةَ

Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram, maka dirikanlah sembahyang itu

Apabila keadaan sudah aman, bukan dalam peperangan lagi, maka dirikanlah solat berjemaah seperti biasa.

 

إِنَّ الصَّلوٰةَ كانَت عَلَى المُؤمِنينَ كِتٰبًا مَّوقوتًا

Sesungguhnya sembahyang itu, ke atas orang-orang mukmin, tertentu waktunya.

Waktu solat tidak boleh diubahsuai dari masa  yang Allah telah tetapkan. Tidak kira walau dalam perang, walau dalam keadaan aman. waktu solat tetap sama. Jadual kita lah yang kena ubah untuk sesuai dengan waktu solat, bukannya waktu solat kena sesuaikan dengan jadual kita pula.

Oleh itu ini mengajar kita mesti jaga waktu solat yang telah ditetapkan oleh Allah itu. Allah sudah tetapkan dengan amat molek sekali supaya sentiasa ada hubungan antara kita dengan Allah sepanjang hari. Allah dah susunkan waktu lima waktu sepanjang hari.

Bangun subuh sahaja terus Solat Subuh untuk ingat kepada Allah. Kemudian dari pagi kita sibuk dengan kerja, maka waktu solat seterusnya adalah Zuhur. Dalam kita sibuk bekerja dari pagi hingga petang, kita diingatkan hubungan dengan Allah dalam waktu tengahari itu. Maka ingatan kita kepada Allah diperbaharui di waktu Asar pula, sebelum kita balik kerja.

Dan bila kita dah balik kerja sampai rumah, kita mengadap Allah lagi di waktu permulaan malam di waktu Maghrib. Semasa kita bersama dengan keluarga di rumah dan setelah makan malam, iaitu sebelum tidur, kita diingatkan oleh Allah untuk mengadapnya sekali lagi di waktu Isyak.

Kenapa disebut tentang ‘waktu solat’ pula? Tentu ada sebab kenapa Allah masukkan tentang ‘waktu solat’ dalam ayat tentang solat dalam perang. Kerana kalau dalam perang pun kena jaga waktu, apatah lagi kalau dalam keadaan aman? Kerana amat penting sekali waktu solat solat itu dalam kehidupan kita.

Hidup kita sepanjang hari disusun dengan waktu solat. Kita kena lihat solat itu sebagai perkara terpenting dalam kehidupan kita. Kadang-kadang kita mula lupa kepada Allah, tapi kita ada pitstop untuk kita ingat kembali kepada Allah. Dan ada banyak perkara yang kita diingatkan dalam solat itu. Jadi ia juga adalah masa untuk kita refleksi kedudukan kita di atas muka bumi ini.

Malangnya waktu solat kita selalu jadi suatu waktu yang tak penting pada kita. Selalu solat itu yang kena tolak ke waktu yang lain sebab ada benda lain yang kita nak buat, yang kita rasa lebih penting dari solat. Kadang-kadang ada antara kita yang solat dalam tergesa-gesa kerana kita sibuk dengan benda lain. Solat pun kelam kabut, jadi habis sahaja dengan cepat.

Sebagai contoh, kita sedang tengok rancangan TV. Tapi waktu solat dah masuk. Maka kita pun solatlah, tapi kita solat waktu iklan TV keluar. Kita solat dengan tergesa-gesa kerana tidak mahu ketinggalan rancangan TV itu. Makanya, waktu itu, rancangan TV itu jadi lebih penting dari solat kita. Nauzubillahi min dzaalik.


 

Ayat 104: Ayat targhib kepada qital.

وَلا تَهِنوا فِي ابتِغاءِ القَومِ ۖ إِن تَكونوا تَألَمونَ فَإِنَّهُم يَألَمونَ كَما تَألَمونَ ۖ وَتَرجونَ مِنَ اللهِ ما لا يَرجونَ ۗ وَكانَ اللَّهُ عَليمًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not weaken in pursuit of the enemy. If you should be suffering – so are they suffering as you are suffering, but you expect from Allāh that which they expect not. And Allāh is ever Knowing and Wise.

MALAY

Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

 

وَلا تَهِنوا فِي ابتِغاءِ القَومِ

Dan janganlah kamu lemah semangat dalam memburu musuh;

Jangan lemah semangat dalam perang. Tentu ada luka dan keletihan dan kenalah sedar yang itu adalah perkara biasa sahaja dalam peperangan. Yang penting, jangan lemah semangat untuk kejar musuh. Teruskan jihad untuk menegakkan agama Allah.

 

إِن تَكونوا تَألَمونَ فَإِنَّهُم يَألَمونَ كَما تَألَمونَ

kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu;

Ingatlah, kalau umat Islam cedera dalam peperangan, golongan kafir yang diperangi itu pun ada cedera juga. Cuma bezanya, apabila kamu luka, kamu dapat pahala sedangkan mereka hanya dapat sakit sahaja. Oleh itu, kedudukan kita dengan mereka tidak sama, maka kena kita kena ada lebih semangat dari mereka.

Apabila kita lihat luka itu, tahulah kita yang itu adalah pahala tambahan dan kerana itu tidaklah kita rasa sakit sangat. Ini mengajar kita bahawa kita jangan kisah sangat dengan kesusahan yang kita hadapi dalam menjalankan kehendak Allah. Jangan nak duduk senang lenang sahaja di atas dunia ini kerana dunia ini adalah tempat ujian dan ujian bukanlah senang.

 

وَتَرجونَ مِنَ اللهِ ما لا يَرجونَ

kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan

Ini adalah kelebihan kedua yang diberikan kepada umat Islam yang berjihad: Kita menaruh harapan kepada Allah sedangkan golongan kafir itu tidak ada harapan yang sebegini. Kita berperang kerana Allah sedangkan mereka berperang kerana wang, kerana pangkat, kerana negara atau apa-apa sahaja motivasi mereka; tapi kita berperang kerana mengharap balasan dari Allah.

Tidak ada balasan yang lebih baik untuk diharapkan melainkan dari Allah sahaja. Kerana harapan lain belum tentu akan dapat, tapi kalau Allah sudah janjikan balasan, ia pasti akan diberikan kepada mereka yang layak. Ini mengajar kita yang mengharap kepada Allah adalah penguat semangat.

 

وَكانَ اللَّهُ عَليمًا حَكيمًا

Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Allah maha mengetahui apa yang kita lalui; Allah Maha Bijaksana di dalam menguruskan apa-apa sahaja yang terjadi dalam kehidupan kita, termasuk dalam peperangan.

Habis Ruku’ ke 15 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 105: Ini adalah hukum ke-11. Pemerintah kena pastikan hukuman dijalankan ikut syariat yang betul. Juga ada larangan memberi sokongan kepada pengkhianat.

Asbabun Nuzul ayat ini: Pada zaman Nabi, ada seorang munafik yang telah mencuri dari rumah sahabat lain. Yang dicurinya adalah senjata dan tepung. Apabila keadaan jadi kecoh selepas barang itu disedari telah dicuri, mereka telah menuduh seorang mukmin yang bernama Labib.

Apabila Labib marah, mereka minta maaf dan cari orang lain pula untuk dipersalahkan. Mereka telah buat dimana mereka telah tebuk satu guni tepung supaya tepung itu jatuh atas tanah sampai ke rumah lelaki Yahudi itu dan mereka serahkan senjata yang dicuri itu kepada Yahudi itu kononnya minta dia tolong simpankan.

Kejadian ini telah dilaporkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Orang itu munafik itu sampai sanggup sumpah depan Nabi. Hukuman hampir hendak dikeluarkan untuk kerat tangan orang Yahudi itu dah. Ini adalah kerana bukti yang ada seperti menunjukkan bahawa lelaki Yahudi itulah yang bersalah.

Maka, Allah turunkan ayat ini memberitahu keadaan yang sebenar. Ini adalah kerana Allah takkan biarkan Nabi buat keputusan yang salah.

إِنّا أَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ لِتَحكُمَ بَينَ النّاسِ بِما أَرىٰكَ اللَّهُ ۚ وَلا تَكُن لِلخائِنينَ خَصيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have revealed to you, [O Muḥammad], the Book in truth so you may judge between the people by that which Allāh has shown you. And do not be for the deceitful an advocate.

MALAY

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

 

إِنّا أَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ لِتَحكُمَ بَينَ النّاسِ بِما أَرىكَ اللَّهُ ۚ

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu

Dalam menghukum, pertamanya kena ikut wahyu yang Allah ajar. Qur’an ini sebagai penentu mana yang benar. Qur’an bukanlah hanya untuk dibaca dan diletakkan di atas almari sahaja seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Itu adalah amat rugi sekali. Qur’an is for ourselves, not our shelf.

Lafaz بِما أَراكَ (dengan apa yang Allah telah tunjukkan) juga adalah dalil bahawa Allah bukan sahaja menurunkan Qur’an kepada Nabi, tapi Allah juga mengajar baginda pemahaman darinya. Maka, kita hendaklah faham Qur’an sebagaimana Nabi faham. Dan Nabi telah tunjukkan bagaimana menafsir Qur’an dalam kehidupannya. Maka, kita kenalah belajar Sunnah juga. Allah tunjukkan kepada Nabi Muhammad bagaimana amalkan Qur’an, dan baginda pula tunjukkan kepada kita.

Keduanya, kalimah بِما أَراكَ juga boleh bermaksud kita mesti buat penghakiman berdasarkan apa yang kita nampak dengan mata kita sendiri – بِما أَراكَ – tidak boleh buat penghakiman dan keputusan berdasarkan kepada sangkaan sahaja. Tidak boleh pakai pendapat orang lain tanpa bukti dan tanpa saksi. Dalam hal ini, Nabi pernah bersabda dalam Riwayat Sahih Bukhari:

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ زَيْنَبَ بِنْتِ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ فَأَقْضِي عَلَى نَحْوِ مَا أَسْمَعُ فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ مِنْ حَقِّ أَخِيهِ شَيْئًا فَلَا يَأْخُذْهُ فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنْ النَّارِ

Telah menceritakan kepada kami [Abdullah bin Maslamah] dari [Malik] dari [Hisyam] dari [ayahnya] dari [Zainab binti Abu Salamah] dari [Ummu Salamah] radliallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu’alaihiwasallam bersabda; “Aku hanyalah manusia biasa, dan kalian seringkali mengadukan sengketa kepadaku, mungkin sebahagian diantara kalian lebih pandai berhujah daripada lainnya sehingga aku putuskan seperti yang kudengar, maka barangsiapa yang kuputuskan menang dengan menganiaya hak saudaranya, janganlah dia mengambilnya, sebab sama ertinya aku beri potongan api baginya.”

 

وَلا تَكُن لِلخائِنينَ خَصيمًا

dan janganlah engkau, bagi orang-orang yang khianat itu, menjadi pembela.

Jangan bela orang yang khianat syariah.Allah bercakap tentang puak lelaki itu yang menipu untuk mempertahankan lelaki dari puak mereka. Puak itu bernama Bani Ubayriq. Apabila kebenaran tentang penipuan dari lelaki munafik itu diketahui, puak lelaki itu telah datang kepada Nabi untuk mempertahankan kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu. Allah beri peringatan supaya jangan sokong mereka.

Khianat juga bermaksud ‘menipu’. Maka kita jangan menyokong orang yang menipu pula. Kita kena berhati-hati dalam membuat keputusan. Kalau ada orang yang beri saksi palsu dalam mahkamah, jangan kita sokong pula.

Allah mengajar kita tidak boleh menyebelahi mereka yang khianat dan menipu. Oleh itu, seorang peguam tidak boleh mewakili dan membela seorang yang memang telah melakukan kesalahan. Malangnya, banyak peguam penipu dalam dunia ini.

Mereka sanggup mempertahankan anak guam mereka yang mereka tahu salah, tapi mereka akan cuba untuk gunakan kepandaian mereka untuk menyelamatkan anak guam mereka walaupun anak guam itu telah mengaku salah kepada mereka. Ini adalah salah.

Kita juga tidak boleh menyebelahi ahli keluarga kita yang bersalah. Kalau mereka bersalah, jangan kita pula nak selamatkan mereka. Siapa nanti nak selamatkan kita dari api neraka kalau kita buat begitu? Malangnya, ramai yang akan bantu dan pertahankan ahli keluarga, kenalan mereka walaupun mereka tahu yang ahli keluarga atau kenalan mereka itu telah buat salah. Atau mereka dah tak tengok benar atau tidak ahli keluarga sendiri, terus sokong dan lawan orang lain sahaja. Ini tidak adil.

Rumah yang dicuri itu adalah seorang sahabat yang bernama Rifa’ah. Mereka yakin bahawa yang mencuri tepung dan senjata mereka adalah lelaki dari Bani Ubairiq itu. Dan mereka telah mengadu perkara itu kepada Nabi. Tapi Bani Ubairiq telah menuduh yang penuduh telah menuduh tanpa bukti dan kerana itu Nabi telah memarahi Rifa’ah. Allah telah menurunkan ayat ini untuk menjelaskan kedudukan yang sebenar.

Kisah ini ada disebut dalam Riwayat Tirmizi:

Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Al-Hakim dan lainnya yang bersumber dari Qatadah bin An-Nu’man:bahawa diantara keluarga serumah Bani Ubairiq, yaitu Bisyr dan Mubasyir terhadap seorang munafik yang bernama Busyair yang hidupnya melarat sejak jahiliyyah. Dia pernah menggubah syair untuk mencaci maki para sahabat Rasulullah Saw dan menuduh bahawa syair itu ciptaan orang lain.

Adapun makanan orang melarat ialah kurma dan syair (semacam kacang-kacangan) yang didatangkan dari Madinah. (sedang makanan orang-orang kaya ialah terigu).

Pada suatu ketika Rifa’ah bin Zaid (paman Qatadah) membeli terigu beberapa karung yang kemudian disimpan di gudangnya tempat penyimpanan alat perang baju besi dan pedang. Di tengah malam gudang itu dibongkar orang dan semua isinya dicuri.

Pada waktu pagi hari Rifa’ah datang kepada Qatadah dan berkata: “Wahai anak saudaraku, tadi malam gudang kita dibongkar orang, makanan dan senjata dicurinya”. Kemudian mereka selidiki dan bertanya-tanya di sekitar kampung itu, ada orang yang mengatakan, bahawa semalam Bani Ubairiq menyalakan api, memasak terigu (makanan orang kaya).

Berkatalah Bani Ubairiq: “Kami telah bertanya-tanya di kampung ini, demi Allah kami yakin bahawa pencurinya adalah Labib bin Sahl”. Labib bin Sahl terkenal seorang muslim yang jujur. Ketika Labib mendengar ucapan Ubairiq, dia naik darah dan menarik pedangnya sambil berkata dengan marahnya: “Engkau tuduh aku mencuri?. Demi Allah pedang ini akan ikut campur berbicara, sehingga terang dan jelas siapa si pencuri itu”.

Bani Ubairiq berkata: “Jangan berkata kami yang menuduhmu, sebenarnya bukanlah kamu pencurinya”. Maka berangkatlah Qatadah dan Rifa’ah meneliti dan bertanya-tanya di sekitar kampung itu sehingga yakin bahawa pencurinya adalah Bani Ubairiq. Maka berkatalah Rifa’ah: “Wahai anak saudaraku, bagaimana sekiranya engkau menghadap Rasulullah untuk menerangkan hal ini?”.

Maka berangkatlah Qatadah menghadap Rasulullah dan menerangkan adanya sebuah keluarga yang tidak baik di kampung itu, yaitu pencuri makanan dan senjata kepunyaan pamannya. Pamannya menghendaki agar senjatanya saja yang dikembalikan, dan membiarkan makanan itu untuk mereka. Maka bersabdalah Rasulullah Saw: “Aku akan teliti hal ini”.

Ketika Bani Ubairiq mendengar hal itu, mereka mendatangi salah seorang keluarganya yang bernama Asir bin Urwah untuk menceritakan peristiwa itu. Maka berkumpullah orang-orang sekampungnya serta menghadap Rasulullah Saw dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Qatadah bin Nu’man dan pamannya menuduh seorang yang baik diantara kami, orang jujur dan lurus, yaitu menuduh mencuri tanpa bukti apapun”.

Ketika Qatadah berhadapan dengan Rasulullah, ia pun ditegur dengan sabdanya: “Kau menuduh mencuri kepada seorang muslim yang jujur dan lurus tanpa bukti apapun?”. Kemudian Qatadah pulang untuk menceritakan hal itu kepada pamannya. Berkatalah Rifa’ah: “Allahul musta’anu” (Allah tempat kita berlindung). Tidak lama kemudian turun ayat ini (An-Nisa ayat 105) sebagai teguran kepada Nabi Saw berkenaan dengan pembelaannya terhadap Bani Ubairiq, dan surat An-Nisa ayat 106-114 berkenaan dnegan ucapan Nabi Saw terhadap Qatadah.

Setelah itu Rasulullah Saw membawa sendiri senjata yang hilang itu dan menyerahkannya kepada Rifa’ah, sedang Busyair menggabungkan diri dengan kaum Musyrikin dan menumpang pada Sullafah binti Sa’ad. Maka Allah menurunkan ayat selanjutnya (An-Nisa ayat 115-116) sebagai teguran kepada orang-orang yang menggabungkan diri dengan musuh setelah jelas kepadanya petunjuk Allah.

Antara pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah ini, Islam adalah agama yang adil. Walaupun kepada orang kafir seperti orang Yahudi pun. Kita tidak boleh menyebelahi orang Islam jikalau dia yang salah.

Dari ayat ini juga, kita dapat tahu bahawa Nabi akan selamat dari melakukan kesalahan. Allah tidak akan benarkan Nabi membuat salah dalam perkara yang penting. Kalau Nabi tidak mendapat wahyu dalam sesuatu perkara, dan baginda menggunakan ijtihad baginda, kalau ianya benar, Allah akan senyapkan, maksudnya ianya adalah benar. Tapi kalau ijtihad baginda itu salah, Allah akan betulkan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Jun 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s