Syarah Hadis #36 (Hadis 40 Imam Nawawi) Rajin Menolong (Ringan Tangan)

Balasan ikut amalan; Rajin Menolong (Ringan Tangan) dan Menuntut Ilmu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ: مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللهُ عَنهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ القِيَامَةِ. وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ. وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِماً سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ. وَاللهُ في عَوْنِ العَبْدِ مَا كَانَ العَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيْهِ. وَمَنْ سَلَكَ طَرِيْقاً يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْماً سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيْقاً إِلَى الجَنَّةِ. وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوْتِ اللهِ يَتْلُوْنَ كِتَابَ اللهِ وَيَتَدَارَسُوْنَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِيْنَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيْمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بهِ نَسَبُهُ.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang menghilangkan kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia orang mukmin, maka Allah akan menghilangkan kesusahan dari kesusahan-kesusahan hari kiamat. Barangsiapa yang memberi kemudahan orang yang kesulitan (hutang), maka Allah akan memberi kemudahan baginya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Siapa saja yang menolong saudaranya, maka Allah akan menolongnya sebagaimana dia menolong saudaranya. Barangsiapa yang menempuh perjalanan dalam rangka menuntut ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah berkumpul sekelompok orang di salah satu rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah dan saling mempelajarinya di antara mereka, melainkan akan turun kepada mereka ketenangan, rahmat meliputinya, para malaikat mengelilinginya, dan Allah menyanjung namanya kepada Malaikat yang ada di sisi-Nya. Barangsiapa yang lambat amalnya, maka tidak akan mampu dikejar oleh nasabnya (garis keturunannya yang mulia).”

[Sahih Muslim, no. 2699]


Pengenalan Hadis

Hadis ini antara hadis yang menghimpunkan banyak kebaikan di dalamnya yang disebut جَوَامِعُ الْخَيْرِ. Memang kalau kita huraikan semua sekali, entah berapa panjang penulisan ini. Ini kerana kata-kata Nabi walaupun nampak sedikit, tapi ada banyak pengajaran di dalamnya. Ia disebut sebagai Jawami’il Kalam. Jawami’il Kalam (جَوَامِعُ الكَلِمِ) bermaksud “perkataan yang ringkas, namun sarat dengan makna yang luas dan mendalam.” Ia merupakan salah satu daripada keistimewaan, mukjizat, dan kurniaan khusus yang Allah SWT berikan kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak diberikan kepada para Nabi terdahulu. Kita yang belajar hadis ini pula akan mendapat banyak manfaat walaupun dari satu hadis sahaja.

Hadis ini memberi contoh Kaedah “Al-Jaza’ min Jinsil ‘Amal” (الْجَزَاءُ مِنْ جِنْسِ الْعَمَلِ) yang bermaksud “Balasan itu adalah mengikut jenis atau bentuk amalan yang dilakukan.” Hadis ini merupakan dalil dan contoh aplikasi paling agung bagi kaedah ini dalam syariat Islam. Hubungkait antara kaedah ini dengan Hadis #36 ini dapat dilihat secara langsung melalui struktur teks hadis itu sendiri, di mana setiap amalan kebaikan dibalas dengan ganjaran yang setaraf, sepadan, dan serupa sifatnya. Imam al-Nawawi dan para syarah hadis (seperti Ibnu Rajab al-Hanbali) menjelaskan bahawa Allah SWT menggunakan “pakej balasan” yang sepadan dengan tindakan hamba-Nya:

Amalan: Menghilangkan kesusahan (kurbah) orang lain di dunia.
Balasan: Allah hilangkan kesusahannya (kurbah) pada Hari Kiamat.

Amalan: Mempermudahkan (taysir) urusan orang yang sempit.
Balasan: Allah mempermudahkan (taysir) urusannya di dunia dan akhirat.

Amalan: Menutup (satara) aib seorang Muslim.
Balasan: Allah menutup (satara) aibnya di dunia dan akhirat.

Amalan: Menjadi pembantu (‘awn) kepada saudaranya.
Balasan: Allah menjadi pembantu (‘awn) kepadanya.

Kaedah ini banyak sekali digunakan di dalam Al-Qur’an. Contohnya balasan baik akan dibalas baik:

Mengingat Allah – Diingat oleh Allah: Baqarah:152, Allah berfirman: فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ (Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu.)

Menolong Agama Allah – Ditolong oleh Allah: Muhammad:7: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ (Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu)

Bersyukur – Ditambah Nikmat: Ibrahim:7: لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ (Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu)

Perbuatan buruk juga akan dibalas buruk:

Kisah Abu Lahab dan Isterinya (Surah Al-Masad). Isteri Abu Lahab, Ummu Jamil, di dunia selalu membawa duri dan kayu untuk disebarkan di jalan yang dilalui Nabi Muhammad ﷺ demi menyakiti baginda. Balasannya di akhirat (Ayat 4-5): وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ . فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِنْ مَسَدٍ (Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal). Ini kerana di dunia dia sibuk membawa “kayu bakar” (fitnah/duri), di neraka dia dihukum dengan mengalungkan tali dan memikul kayu bakar neraka untuk membakar dirinya sendiri.

Orang yang Menimbun Emas dan Perak (Tawbah:35). Orang kaya yang kedekut dan menimbun hartanya tanpa membayar zakat akan diseksa dengan harta itu sendiri.يَوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ  هَٰذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْنِزُونَ (Pada hari ketika emas dan perak dipanaskan dalam neraka Jahanam, lalu diseterika dahi, lambung, dan punggung mereka (dengan itu)… ‘Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah (akibat dari) apa yang kamu simpan itu’.)

Orang yang Melupakan Allah – Dilupakan oleh Allah: Dalam Tawbah:67, tentang kaum munafik: نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ (Mereka telah melupakan Allah, maka Allah melupakan mereka.” (Maksudnya, Allah membiarkan mereka dan tidak memberi mereka rahmat).


 

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا (Barangsiapa yang melegakan kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia orang mukmin)

Kalimah نَفَّسَ itu bunyi macam nafas, bukan? Ini kerana kalau kita boleh bernafas, senang. Kalau susah bernafas, tentu kita susah dan kelam kabut, bukan? Jadi kalimah نَفَّسَ bermaksud ‘melapangkan’. Dan di sini ia bermakna bukanlah kita mesti menghilangkan terus masalah kawan kita itu. Kalau kita dapat meringankan sedikit, memberi kelegaan sedikit kepadanya, itu pun sudah termasuk di dalam janji hadis ini.

Kalimah كُرْبَةً bermaksud kesusahan. Dan ini bukanlah kesusahan yang biasa, tapi yang agak berat dan keras. Dan kerana ia di dalam bentuk nakirah (umum) maka ia boleh merujuk kepada mana-mana kesusahan. Jadi ia boleh jadi kesusahan untuk angkat barang, kesusahan kewangan, kesihatan, ketidakselesaan, di tempat kerja, malah apa-apa sahaja. Dan tidak disebut cara mana kita melakukannya, mungkin dengan bantuan, dengan nasihat, dengan apa-apa sahaja yang boleh mengurangkan masalah dia.

Bagi sesiapa yang melapangkan bagi saudaranya, maka Allah akan lapangkan kesusahannya di akhirat kelak. Kadang-kadang sudah banyak kita tolong orang, kita pun tidak ingat siapa yang kita tolong pelepaskan masalah dia. Orang yang kita tolong pun sudah tidak ingat kita pernah tolong dia. Tapi Allah tidak lupa. Allah akan beri balasan yang baik kepada kita.

Tapi dengan dua syarat: Pertama, ikhlas kerana Allah. Dan keduanya, dia tolong perkara yang harus dalam syarak. Maknanya janganlah pula tolong orang buat maksiat, tapi tolonglah dalam perkara yang tidak mendatangkan dosa.

Balasan pahala Allah yang beri tidak sama bagi semua amalan. Ada yang lebih tinggi pahalanya mengikut keadaan. Sebagai contoh, Solat Sunat dapat pahala akan tetapi menolong orang lain lebih utama dan lebih banyak pahalanya. Para ulama, termasuk Imam Al-Ghazali dan Imam Ibn Qayyim, telah menggariskan satu kaedah fiqah yang sangat indah untuk hal ini:

“Amalan yang manfaatnya melimpah kepada orang lain (Al-Muta’addi) adalah lebih afdal (utama) daripada amalan yang manfaatnya hanya kembali kepada diri sendiri.” Solat sunat adalah hak Allah yang manfaatnya kembali kepada diri kita sendiri (menenangkan hati, menaikkan darjat peribadi). Manakala menolong orang yang kesusahan adalah manifestasi daripada sifat Rahman dan Raheem Allah. Allah sangat suka apabila hamba-Nya menjadi jalan keluar kepada kesulitan hamba-Nya yang lain. Rasulullah ada bersabda, dalam riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr RA, daripada Nabi SAW:

الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ، ارْحَمُوا مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ
Orang-orang yang pengasih dan penyayang akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih (Ar-Rahman). Kasihanilah sesiapa sahaja yang ada di bumi, nescaya yang ada di langit (para malaikat dan Allah) akan mengasihi kamu.”

Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4941 & al-Tirmidhi, no. 1924. Imam al-Tirmidhi menilai hadis ini sebagai Hasan Sahih

Tambahan pula jika orang yang ingin ditolong itu berada dalam keadaan kritikal (contohnya: kelaparan, kemalangan, atau ditimpa musibah berat), menolong mereka boleh bertukar menjadi Fardu Kifayah atau Fardu Ain ke atas diri anda. Kaedah Islam menetapkan, perkara yang wajib (menyelamatkan nyawa/maruah orang) mestilah didahulukan daripada perkara yang sunat (solat sunat).

Jadi kita kena pandai menilai manakah amalan yang lebih banyak mendatangkan pahala bagi kita. Sebagai contoh, kalau kita buat Umrah dan ada warga emas yang memerlukan bantuan kita untuk membawanya ke masjid. Kalau kita bantu dia, kita mungkin lambat ke masjid dan kurang pahala Solat Sunat. Akan tetapi pahala kita memudahkan warga emas tadi lebih banyak dari pahala Solat Sunatnya di masjid. Boleh nampak?

Maka Allah akan beri balasan yang berpatutan apabila kita bantu orang lain. Disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda:

أَيُّمَا مُؤْمِنٍ سَقَى مُؤْمِنًا شَرْبَةً عَلَى ظَمَإٍ ، سَقَاهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنَ الرَّحِيقِ الْمَخْتُومِ
Mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin yang lain yang berada dalam kehausan, maka Allah akan memberi dia minum pada hari kiamat daripada Ar-Rahiq al-Makhtum (arak syurga yang murni dan termeterai).

Hadis Riwayat al-Tirmidhi, no. 2449. Imam al-Tirmidhi menyatakan hadis ini حسن غريب (Hasan Gharib).

Tapi bantuan tidaklah hanya termasuk dalam hal dunia sahaja. Membantu itu termasuk juga di dalam hal agama. Bayangkan seseorang yang bergelumang dalam fahaman dan amalan syirik dan bid’ah. Banyak pahala kalau kita bantu keluarkan dia dari kesesatan itu. Maka jangan kita biarkan sahaja kenalan kita terus mengamalkan amalan yang salah. Kita kena bantu dia dan bantuan kita itu akan dibalas oleh Allah di akhirat.

Begitu jugalah sebaliknya, kalau menyusahkan orang lain, berlaku zalim kepada mereka dan menyeksa mereka, pun Allah akan balas, seperti disebut di dalam hadis daripada Hisyam bin Hakim bin Hizam RA, beliau berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يُعَذِّبُ الَّذِينَ يُعَذِّبُونَ النَّاسَ فِي الدُّنْيَا
Sesungguhnya Allah akan menyeksa orang-orang yang menyeksa manusia di dunia.

(Hadis Riwayat Muslim, no. 2613)

Perhatikan di dalam hadis #36 ini Rasulullah menyebut balasan itu akan diberikan di akhirat kelak (نَفَّسَ اللهُ عَنهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ القِيَامَةِ – Allah akan menghilangkan kesusahan dari kesusahan-kesusahan hari kiamat). Nanti selepas ini akan disebut balasan lain untuk ‘di dunia dan di akhirat’. Tapi bab yang pertama ini Nabi hanya sebut tentang bantuan di akhirat sahaja. Sebenarnya Allah pun akan beri balasan itu ketika di dunia juga, akan tetapi di dalam hadis ini disebut tentang akhirat kerana di akhirat itu masalahnya lebih besar, keperluan kepada bantuan lebih tinggi lagi.

Ia tidak sama dengan kesusahan di dunia. Ketika kita mengalami kesusahan di dunia, memang serabutlah otak kita. Macam-macam kita buat untuk selesaikan, dari segi usaha dan dari segi doa. Kadang apabila kita kena masalah itu, kita pun tak tahu bagaimana hendak selesaikan, tak tahu puncanya. Akan tetapi entah sebulan dua, setahun dua, selesailah masalah itu. Kita pun mungkin sampai sudah tidak ingat pun masalah itu lagi sebab sudah masuk masalah baru pula. Maknanya masalah di dunia akan pergi, kadangkala pergi sendiri sahaja.

Akan tetapi lain dengan masalah di akhirat kerana ia tidak akan pergi. Di akhirat, lagilah tidak ada punca untuk kita selesaikan masalah kita kerana segala usaha sudah tidak ada. Kesusahannya pun tidaklah sama dengan kesusahan dunia yang mudah-mudah sahaja sebenarnya. Kesusahan di akhirat itu berganda-ganda lebih menyesakkan fikiran! Ia tersangat-sangat berat dan kita tidak akan mampu menanggungnya! Ini terbukti berdasarkan banyak dalil-dalil dari wahyu. Antaranya hadis,

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا» قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، الرِّجَالُ وَالنِّسَاءُ جَمِيعًا يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ؟ قَالَ: «يَا عَائِشَةُ، الْأَمْرُ أَشَدُّ مِنْ أَنْ يُهِمَّهُمْ أَنْ يَنْظُرَ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ»
Daripada Saidatina Aisyah RA, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Manusia akan dihimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan berkaki ayam, telanjang bulat, dan tidak berkhatan.’ Lalu aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Lelaki dan perempuan semuanya berkumpul bersama? Adakah mereka akan melihat aurat antara satu sama lain?’ Nabi SAW menjawab: ‘Wahai Aisyah! Keadaan pada hari itu jauh lebih dahsyat dan mengerikan sehinggakan mereka tidak ada masa lagi untuk peduli mahu melihat antara satu sama lain.’

(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6527 dan Muslim, no. 2859)

Keadaan di Mahsyar sahaja pun sudah sangatlah menakutkan dan menyusahkan diri kita. Oleh kerana itu kita amat memerlukan bantuan dari Allah untuk memudahkan urusan kita di sana nanti. Kalau tidak, kita akan kepayahan bersama dengan orang lain. Bolehkah bayangkan keadaan di sana? Memang agak sukar, akan tetapi Rasulullah ada beri bayangan antaranya hadis daripada Al-Miqdad bin al-Aswad, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 تُدْنَى الشَّمْسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنَ الْخَلْقِ، حَتَّى تَكُونَ مِنْهُمْ كَمِقْدَارِ مِيلٍ, فَيَكُونُ النَّاسُ عَلَى قَدْرِ أَعْمَالِهِمْ فِي الْعَرَقِ، فَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَى كَعْبَيْهِ, وَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَى رُكْبَتَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَى حَقْوَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يُلْجِمُهُ الْعَرَقُ
إِلْجَامًا
Matahari akan didekatkan kepada makhluk pada hari kiamat sehinggalah jaraknya daripada mereka sekadar satu batu. Maka manusia akan berada di dalam keringat mengikut kadar amalan mereka. Ada dalam kalangan mereka yang keringatnya sampai ke buku lali, ada yang sampai ke lutut, ada yang sampai ke pinggang, dan ada yang benar-benar dikekang oleh keringatnya (sampai ke mulut/telinga.

(Hadis Riwayat Muslim, no. 2864)

Bagi para pemimpin, mereka ada banyak peluang untuk memudahkan urusan rakyat. Kerana mereka ada di kedudukan yang sangat kuat untuk membantu. Maka kalau mereka ambil peluang ini, maka mereka akan selamat. Tapi kalau mereka abaikan, susahkan pula rakyat, maka nanti mereka akan kena jawab kenapa mereka buat begitu.


 

مَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ (Barangsiapa yang memberi kemudahan orang yang berhutang)

Walaupun tidak disebut secara terang, maksud مُعْسِرٍ di dalam hadis ini adalah kesusahan dalam hutang. Perkataan مُعْسِر (mu’sir) berasal daripada kata dasar عُسْر (‘usr) yang bermaksud kesusahan, kesempitan, atau kesukaran. Di dalam bahasa Arab, apabila seseorang itu dikatakan berada dalam keadaan ‘usr, ia bermakna dia ditimpa kesempitan hidup sehingga tidak memiliki harta yang cukup untuk memenuhi keperluan mendesak. Dalam bab muamalat (urusan kewangan), bentuk kesempitan yang paling kritikal dan sering mengikat leher seseorang sehingga menjatuhkan maruahnya adalah bebanan hutang. Oleh itu, perkataan mu’sir dipasangkan secara langsung sebagai istilah bagi “orang miskin yang sesak disebabkan hutang”. Kalimah yang sama juga digunakan di dalam Baqarah:280 (ذو عُسرَةٍ).

Maksud memberi kemudahan di sini ada dua: sama ada beri tangguh untuk bayar hutang itu, atau dia halalkan terus. Allah berfirman di dalam Baqarah:280

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ
Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

Dari ayat Baqarah:280 ini, ulama’ mengatakan kalau ada orang yang berhutang dengan kita dan ternyata dia ada kesulitan untuk bayar, maka wajib kita beri tangguh. Bukan sunat, tapi wajib! Tidak boleh kita laporkan hak kita kepada pihak berwajib tapi kita kena beri tangguh. Cuma kalau kita dapat tahu dia sebenarnya mampu bayar, tapi sengaja melengah-lengahkan, maka kita boleh lapor kepada pihak berwajib.

Tapi berbeza dengan orang yang berhutang dengan orang lain. Ini tidak wajib tidak bantu mereka, akan tetapi ia ada sunnah yang memberi banyak pahala kepada kita dan dapat menyelamatkan kita di akhirat kelak.

Mungkin ada kenalan atau keluarga kita yang terpaksa berhutang. Bukannya kerana mereka itu boros dan suka ambil duit orang. Tapi mungkin dia kemalangan, atau anak dia sakit, perniagaan dia jatuh, dan sebagainya. Ada banyak sebab manusia terpaksa berhutang. Dan kadangkala dia pun sukar untuk melangsaikan hutangnya itu. Maka kalau kita bantu, Allah akan balas dengan banyak. Balasannya Rasulullah sebut di sini Allah akan bagi kemudahan kepadanya di dunia dan di akhirat.

Rasulullah menyebut يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ secara umum. Maka Allah boleh sahaja memudahkan apa-apa sahaja urusan pembantu ini di dunia.

Ada satu lagi hadis yang disebut tentang balasan dari Allah, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَانَ رَجُلٌ يُدَايِنُ النَّاسَ، فَكَانَ يَقُولُ لِفَتَاهُ: إِذَا أَتَيْتَ مُعْسِرًا فَتَجَاوَزْ عَنْهُ، لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يَتَجَاوَزَ عَنَّا. قَالَ: فَلَقِيَ اللَّهَ فَتَجَاوَزَ عَنْهُ
Dahulu ada seorang lelaki yang biasa memberi pinjaman (hutang) kepada orang ramai. Dia sering berkata kepada pembantunya (yang ditugaskan mengutip hutang): ‘Jika engkau mendatangi orang yang dalam kesempitan (kesulitan untuk membayar), maka maafkanlah dia (berikan penangguhan atau halalkanlah), mudah-mudahan Allah akan memaafkan kita.’ Nabi SAW bersabda: ‘Maka apabila lelaki itu bertemu Allah (selepas dia meninggal dunia), Allah pun memaafkan (mengampuni dosa-dosa) dirinya’.”

(Sahih al-Bukhari, No. 3480)

Semoga Allah memberi kelapangan kepada kita untuk melakukan sebegini. Di dalam hadis yang lain,

حُوسِبَ رَجُلٌ مِمَّنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَلَمْ يُوجَدْ لَهُ مِنَ الْخَيْرِ شَيْءٌ إِلَّا أَنَّهُ كَانَ يُخَالِطُ النَّاسَ وَكَانَ مُوسِرًا فَكَانَ يَأْمُرُ غِلْمَانَهُ أَنْ يَتَجَاوَزُوا عَنِ الْمُعْسِرِ، قَالَ: قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: نَحْنُ أَحَقُّ بِذَلِكَ مِنْهُ، تَجَاوَزُوا عَنْهُ
Seorang lelaki daripada umat sebelum kamu telah dihisab (diperiksa amalannya), namun tidak ditemui sebarang kebaikan pada dirinya melainkan satu perkara: Dia dahulu seorang yang kaya dan suka bergaul serta berurus niaga dengan orang ramai. Dia selalu memerintahkan pembantu-pembantunya: ‘Maafkanlah dan mudahkanlah urusan orang yang dalam kesempitan.’Nabi bersabda: Lalu Allah Azza wa Jalla berfirman: ‘Kami (Allah) lebih berhak dengan sifat tersebut (pemaaf dan pemurah) berbanding dirinya. Maka maafkanlah dia!’

(Sahih Muslim, No. 1561)

Penjelasan: Perkataan “نَحْنُ أَحَقُّ بِذَلِكَ مِنْهُ” (Kami lebih berhak dengan sifat itu daripadanya) menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah. Allah menyatakan, jika manusia yang penuh kekurangan pun boleh memiliki sifat pemurah dan suka memaafkan hutang orang lain, maka Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengampun sudah tentu jauh lebih layak untuk memaafkan dosa-dosa hamba tersebut.

Begitulah memberi hutang adalah salah satu dari perbuatan yang mulia. Malah ada yang mengatakan ia lebih baik dari memberi sedekah. Tapi tidaklah dalam semua keadaan. Imam Ibn Hajar al-Haitami dan ramai ulama fiqah menjelaskan bahawa keutamaan antara sedekah dan memberi hutang sebenarnya berubah mengikut keadaan dan keperluan si penerima:

    • Memberi Hutang Lebih Baik Jika: Penerima adalah seorang yang sangat menjaga maruah diri (iffah), tidak mahu meminta-minta (mengemis), tetapi dia benar-benar berada dalam kesempitan yang mendesak untuk keperluan hidup ketika itu (contoh: untuk rawatan perubatan atau makan minum). Memberi hutang kepadanya dapat menyelamatkan maruahnya dan menyelesaikan masalahnya tanpa membuatkan dia berasa rendah diri.
    • Sedekah Lebih Baik Jika: Penerima ialah seorang yang miskin tegar yang langsung tiada punca pendapatan dan memang tidak akan mampu untuk membayar balik hutang tersebut. Dalam situasi ini, memberi sedekah atau menghalalkan terus wang tersebut adalah jauh lebih utama daripada membebankannya dengan status “hutang”.

 

مَنْ سَتَرَ مُسْلِماً (Siapa yang menutup aib seorang muslim)

Kita jangan sibuk dengan hal orang lain dan buka aib orang lain. Sepatutnya kita simpankan sahaja. Sebahagian salaf ada berkata:

أَدْرَكْتُ قَوْمًا لَمْ تَكُنْ لَهُمْ عُيُوبٌ، فَذَكَرُوا عُيُوبَ النَّاسِ، فَأَحْدَثَ اللَّهُ لَهُمْ عُيُوبًا وَأَدْرَكْتُ قَوْمًا كَانَتْ لَهُمْ عُيُوبٌ، فَسَكَتُوا عَنْ عُيُوبِ النَّاسِ، فَأَنْسَى اللَّهُ عُيُوبَهُمْ
“Aku telah bertemu dengan satu kaum yang (asalnya) tidak mempunyai aib (yang ketara), lalu mereka mula menceritakan dan sibuk dengan aib manusia yang lain, maka Allah pun mengadakan (menzahirkan) aib-aib bagi mereka. Dan aku juga telah bertemu dengan satu kaum yang mempunyai banyak aib, tetapi mereka berdiam diri daripada menceritakan aib manusia yang lain, maka Allah pun membuatkan manusia lupa akan aib-aib mereka.”

(Dipetik daripada kitab-kitab sejarah dan akhlak seperti Al-Mu’safah tulisan Ibnul Jauzi, dan syarah-syarah kitab akhlak).

Kita jangan cari aib orang, itu pun yang pertama sekali. Tapi kadangkala kita dapat tahu aib orang walaupun kita tidak cari. Jadi kalau sudah tahu aib orang, jangan disebut-sebut. Jangan kita sampaikan kepada orang lain. Tapi yang terlebih teruk adalah kalau mencari-cari aib orang lain. Rasulullah ada bersabda, dalam hadis daripada Abu Barzah al-Aslami RA,

يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلِ الإِيمَانُ قَلْبَهُ، لَا تَغْتَابُوا المُسْلِمِينَ، وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنْ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ
“Wahai sekalian orang yang beriman dengan lidahnya namun iman belum lagi masuk ke dalam hatinya! Janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam dan janganlah kamu mencari-cari aib mereka. Kerana sesiapa yang mencari-cari aib mereka, Allah akan mencari-cari aibnya. Dan sesiapa yang Allah cari aibnya, nescaya Allah akan mendedahkan aibnya (menjatuhkan maruahnya) walaupun dia berada di dalam rumahnya sendiri.”

(Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4880 & Ahmad, no. 19791. Syeikh al-Albani menyatakan hadis ini Sahih).

Kalimah عَوْرَاتِهِمْ di dalam hadis ini bermaksud: Kelemahan, kesilapan, kecacatan, atau rahsia peribadi mereka yang tersembunyi.

Maka memang masalah kalau kerja wartawan tabloid yang setiap hari cari berita buruk tentang orang lain. Kalau kita yang bukan wartawan ini pula, bagaimana? Ada bukan yang suka buka FB orang lain, kemudian cari kesalahan dan keburukan orang lain?

Kata ibn Rajab, orang yang ada aib itu terbahagi kepada dua jenis:

1. Ada orang yang tidaklah kita kenal dia sebagai ahli maksiat. Tapi mungkinlah sekali sekala mereka tergelincir, bukan? Maka kita tidak boleh sebarkan kesalahan mereka ini. Ini dilarang seperti disebut di dalam Nur:19

إِنَّ الَّذينَ يُحِبّونَ أَن تَشيعَ الفٰحِشَةُ فِي الَّذينَ آمَنوا لَهُم عَذابٌ أَليمٌ فِي الدُّنيا وَالأخِرَةِ ۚ وَاللهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Larangan menyebarkan aib seseorang bukan sekadar untuk menjaga nama baik individu tersebut, malah ia mempunyai impak yang sangat besar terhadap psikologi masyarakat dan keutuhan seluruh umat Islam. Menyebarkan aib seorang Muslim seolah-olah memberi gambaran buruk kepada imej umat Islam secara keseluruhan, terutama di mata orang luar. Umat Islam digambarkan seperti satu tubuh yang satu. Jika satu bahagian sakit atau cacat, seluruh tubuh akan merasainya. Apabila aib seorang Muslim disebarkan secara meluas, orang luar (atau musuh Islam) tidak akan melihatnya sebagai kesalahan “individu”, sebaliknya mereka akan menggunakannya untuk melabel seluruh umat Islam sebagai buruk, runtuh moral, atau tidak berakhlak.

Tidak ada faedah kita sebarkan aib seseorang Muslim. Malah ia akan membawa kepada keburukan yang besar. Apabila aib atau dosa seseorang dipamerkan dan ditularkan hari-hari, lama-kelamaan masyarakat akan berasa lali. Dosa yang dulunya dianggap besar dan memalukan, akhirnya dipandang sebagai “perkara biasa” kerana “ramai orang buat”. Ini meruntuhkan benteng moral masyarakat.

Ia juga memberi keburukan kepada pelaku aib itu. Ini kerana apabila aib seseorang dilondehkah ke khalayak ramai, akan hilang rasa malu bagi dia. Pelaku mungkin akan berasa “alang-alang orang dah tahu, aku buat terus-terusan”. Sifat malu yang menjadi benteng dosa telah dihancurkan oleh masyarakat yang menyebarkan aibnya. Ia juga boleh membuatkan pelaku berputus asa daripada rahmat Allah dan merasa tiada jalan kembali, lalu dia akan menjadi lebih rosak. Sedangkan Islam mahu mendidik dan membaiki, bukan membinasakan.

Kesan kepada masyarakat dan keharmonian juga akan buruk. Sebuah masyarakat Muslim dibina atas dasar saling mempercayai, kasih sayang (ukhuwwah), dan rasa selamat. Jika budaya “buka aib” dibenarkan, masyarakat akan hidup dalam ketakutan, saling mencurigai, mengintip, dan hilangnya rasa hormat-menghormati.

Kita boleh lihat bagaimana Rasulullah menangani hal ini. Daripada Jabir bin Abdullah RA, beliau menceritakan kisah apabila Ma’iz bin Malik datang menemui Nabi SAW untuk mengaku dosa zina demi membersihkan dirinya:

أَنَّ رَجُلاً مِنَ أَسْلَمَ، أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنِّي زَنَيْتُ. فَأَعْرَضَ عَنْهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ أَتَاهُ فَقَالَ: إِنِّي زَنَيْتُ. فَأَعْرَضَ عَنْهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Bahawa seorang lelaki daripada bani Aslam (iaitu Ma’iz) datang menemui Nabi SAW lalu berkata: ‘Sesungguhnya aku telah berzina.’ Maka Nabi SAW pun berpaling wajah daripadanya (buat-buat tidak dengar). Kemudian lelaki itu datang lagi dari arah lain dan berkata: ‘Sesungguhnya aku telah berzina.’ Nabi SAW tetap berpaling wajah daripadanya… sehingga lelaki itu mengulanginya sebanyak empat kali.”

(Sahih al-Bukhari, no. 5270 & Sahih Muslim, no. 1691)

Bagaimanakah Sikap Nabi SAW Semasa “Siasatan”? Apabila lelaki itu berkeras mahu dihukum (kerana desakan iman yang terlalu takutkan azab akhirat), Nabi SAW terpaksa melayan pengakuannya. Namun, baginda tidak bertanya tentang butiran hubungan seksual tersebut (siapa wanita itu, di mana, atau bagaimana). Sebaliknya, baginda bertanya soalan-soalan untuk menguji adakah lelaki ini waras atau tersilap faham tentang maksud zina. Nabi tanya balik: “Adakah kamu gila?” (Nabi bertanya kepada kaumnya, dan mereka menjawab dia sihat). “Adakah kamu telah berkahwin?” (Dia menjawab ya). “Mungkin kamu hanya mengucupnya, atau memegangnya, atau melihatnya sahaja?” (Nabi cuba memberi kelonggaran takwil, mana tahu dia tersilap anggap dosa sentuhan biasa sebagai zina yang memerlukan hukuman rejam). Apabila Ma’iz menjawab: “Tidak, wahai Rasulullah, aku benar-benar telah berzina (persetubuhan),” barulah Nabi SAW terpaksa melaksanakan hukuman hudud.

Kedudukan Rasulullah dalam hal ini adalah sebagai yang memegang kuasa untuk menjatuhkan hukuman. Baginda telah cuba untuk mengelak dari menjatuhkan hukuman; dan apabila hukuman dijalankan juga, maka baginda tidak sebarkan. Tidak tanya lebih-lebih. Tapi bagaimana pula kalau kita bukan di dalam kedudukan yang ada kuasa? Kita sepatutnya suruh dia bertaubat sahaja. Senyap dan bertaubat itu lebih baik sebenarnya.

Di sebalik kisah Ma’iz bin Malik ini, ada satu sub-kisah yang sangat penting. Ma’iz sebenarnya pergi mengaku kepada Rasulullah selepas dinasihati oleh seorang sahabat bernama Hazzal RA. Apabila Nabi SAW mengetahui perkara itu, baginda menegur Hazzal dengan bersabda:

يَا هَزَّالُ، لَوْ سَتَرْتَهُ بِثَوْبِكَ كَانَ خَيْرًا لَكَ
“Wahai Hazzal! Kalaulah engkau menutup aibnya dengan kainmu sendiri (iaitu menyuruhnya pulang dan bertaubat senyap-senyap), nescaya itu adalah lebih baik bagimu.”

(Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4377 & Al-Hakim. Disahihkan oleh Al-Albani)

Para ulama salaf sangat mengelak daripada mendengar pengakuan dosa hudud (seperti zina atau mencuri) jika mereka tidak mempunyai kuasa eksekutif (bukan pemerintah/hakim yang bertugas). Diceritakan bahawa ada seorang lelaki datang menemui seorang ulama besar (dalam sebahagian riwayat ialah Imam Sufyan al-Thauri, dan dalam riwayat lain ialah sahabat Nabi ‘Imran bin Husain RA) untuk mengaku dosa besar yang memerlukan hukuman hudud. Ulama tersebut terus memalingkan wajahnya dan berkata:

“Pergilah kamu dari sini dan bertaubatlah kepada Allah! Aku ini bukan Imam (pemerintah/khalifah) yang boleh menegakkan hukuman ke atasmu, dan aku juga bukan kadi (hakim) yang bertugas. Jika kamu mengaku kepadaku, aku hanya akan menjadi saksi yang membuka aibmu. Maka pulanglah dan tutuplah aibmu sendiri!”

Khalifah Umar bin al-Khattab RA yang pernah memberi amaran kepada masyarakat:

“Sesiapa yang melakukan perbuatan keji (dosa) ini, hendaklah dia menyembunyikannya dengan sembunyi yang telah Allah berikan kepadanya. Dan bertaubatlah kepada Allah. Kerana sesungguhnya, sesiapa yang menzahirkan aibnya kepada kami, kami terpaksa menegakkan hukuman Kitab Allah ke atasnya.”

Jadi kalau kita ada kenalan yang memang kita tahu bukan ahli maksiat. Tapi tiba-tiba kita ternampak dia berjalan dengan orang perempuan yang ajnabi bagi dia. Jangan kita buat-buat tanya kepada orang lain: “eh kau ada nampak si polan berjalan dengan awek?” Dari orang lain tidak tahu, sudah dua orang tahu. Dan dia pula tanya kepada orang lain dan akhirnya terbongkar aib orang itu. Kalau betul hendak tahu, sepatutnya tanya kepada kenalan kita itu sendiri. Jangan ditanya kepada orang lain kerana itu sudah membuka aib. Jangan bagi alasan hendak tabayyun lah, sebab kita sudah ‘tibai yun’ sebenarnya!

2. Golongan yang kedua adalah orang yang memang sudah terkenal sebagai pelaku maksiat dan mereka tidak kisah pun kalau orang tahu maksiat mereka itu. Mencari kesalahan mereka tidak dikira sebagai membuka aib dan tidak dikira sebagai ghibah.

Dan jikalau sudah ada laporan tentang kesalahan yang dilakukan, maka boleh dilakukan siasatan. Dalilnya kerana Nabi pernah suruh sahabat siasat,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، وَزَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، أَنَّهُمَا قَالَا إِنَّ رَجُلَيْنِ اخْتَصَمَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ أَحَدُهُمَا: اقْضِ بَيْنَنَا بِكِتَابِ اللَّهِ. وَقَالَ الْآخَرُ — وَهُوَ أَفْقَهُهُمَا —: أَجَلْ يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَاقْضِ بَيْنَنَا بِكِتَابِ اللَّهِ وَأْذَنْ لِي أَنْ أَتَكَلَّمَ. قَالَ: “تَكَلَّمْ”. قَالَ: إِنَّ ابْنِي كَانَ عَسِيفًا عَلَى هَذَا (أَيْ أَجِيرًا)، فَزَنَى بِامْرَأَتِهِ، وَإِنِّي أُخْبِرْتُ أَنَّ عَلَى ابْنِي الرَّجْمَ، فَافْتَدَيْتُ مِنْهُ بِمِائَةِ شَاةٍ وَجَارِيَةٍ، ثُمَّ إِنِّي سَأَلْتُ أَهْلَ الْعِلْمِ، فَأَخْبَرُونِي أَنَّمَا عَلَى ابْنِي جَلْدُ مِائَةٍ وَتَغْرِيبُ عَامٍ، وَأَنَّ عَلَى امْرَأَةِ هَذَا الرَّجْمَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَقْضِيَنَّ بَيْنَكُمَا بِكِتَابِ اللَّهِ؛ أَمَّا الْغَنَمُ وَالْجَارِيَةُ فَرَدٌّ عَلَيْكَ، وَعَلَى ابْنِكَ جَلْدُ مِائَةٍ وَتَغْرِيبُ عَامٍ. وَاغْدُ يَا أُنَيْسُ إِلَى امْرَأَةِ هَذَا، فَإِنِ اعْتَرَفَتْ فَارْجُمْهَا”. قَالَ: فَغَدَا عَلَيْهَا فَاعْتَرَفَتْ، فَأَمَرَ بِهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرُجِمَتْ
Daripada Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani RA, bahawasanya mereka berdua menceritakan: “Ada dua orang lelaki datang mengadu pertikaian mereka kepada Rasulullah ﷺ. Salah seorang daripada mereka berkata: ‘Putuskanlah hukuman di antara kami berdasarkan Kitabullah (Al-Qur’an).’ Manakala lelaki yang seorang lagi — yang lebih bijak pemahamannya — berkata: ‘Benar, wahai Rasulullah, putuskanlah di antara kami berdasarkan Kitabullah, dan izinkan saya untuk bercakap.’ Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Bercakaplah.’ Lelaki itu berkata: ‘Sesungguhnya anak lelaki saya bekerja sebagai buruh (pekerja upahan) dengan lelaki ini, lalu anak saya telah berzina dengan isterinya. Saya diberitahu bahawa anak saya mesti dihukum rejam. Oleh itu, saya telah menebus kesalahan anak saya itu dengan membayar 100 ekor kambing dan seorang hamba sahaya perempuan. Kemudian, saya bertanya kepada ahli ilmu, lalu mereka memberitahu saya bahawa hukuman yang sebenar ke atas anak saya hanyalah sebat 100 kali dan dibuang daerah selama setahun, manakala hukuman rejam pula adalah ke atas isteri lelaki ini.’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku akan memutuskan hukuman di antara kamu berdua berdasarkan Kitabullah. Adapun kambing-kambing dan hamba perempuan itu mesti dipulangkan semula kepadamu. Manakala ke atas anakmu pula dikenakan hukuman sebat 100 kali dan dibuang daerah selama setahun. Pergilah wahai Unais kepada isteri lelaki ini, sekiranya dia mengaku (berzina), maka rejamlah dia.’ Abu Hurairah berkata: ‘Lalu Unais pun pergi menemui wanita tersebut pada keesokan harinya dan wanita itu mengaku (berzina). Maka Rasulullah ﷺ pun memerintahkan agar dia dihukum, lalu dia pun direjam.'”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 2695 & Muslim, No. 1697)

Jadi hadis ini mengajar kita supaya jangan dibuka aib orang lain. Akan tetapi kita kena tahu yang memang ada keadaan di mana kita boleh buka aib seseorang. Ulama’ telah menyusun 6 keadaan ini dalam bentuk bait syair yang sangat masyhur:

الذَّمُّ لَيْسَ بِغِيبَةٍ فِي سِتَّةٍ

مُتَظَلِّمٍ وَمُعَرِّفٍ

وَمُحَذِّرِوَمُجَاهِرٍ فِسْقًا

وَمُسْتَفْتٍ وَمَنْ طَلَبَ الإِعَانَةَ فِي إِزَالَةِ مُنْكَرِ

Mencela (ghibah) itu bukanlah mengumpat pada enam keadaan:

1. Orang yang dizalimi (Mutazallim)
2. Orang yang ingin dikenali (Mu’arrif)
3. Orang yang diberi amaran daripadanya (Muhazzir)
4. Orang yang terang-terangan berbuat fasik (Mujahir)
5. Orang yang meminta fatwa (Mustafti)
6. Dan orang yang meminta bantuan untuk menghilangkan kemungkaran.”

Perincian 6 Golongan yang Boleh Disebut Keburukannya:

المُتَظَلِّم (Orang yang dizalimi): Boleh mengadu keburukan orang yang menzaliminya kepada hakim, sultan, atau pihak berkuasa untuk mendapatkan haknya semula.

المُعَرِّف (Orang yang mahu dikenali): Jika seseorang itu hanya dikenali dengan gelaran fizikalnya (contoh: “Si Al-A’masy”/Si Rabun, “Si Al-A’raj”/Si Tempang). Menyebutnya bukan untuk menghina, tetapi untuk memperkenalkan identitinya yang sebenar agar orang kenal.

المُحَذِّر (Memberi amaran/Nasihat): Mendedahkan keburukan seseorang untuk menyelamatkan orang lain daripada bahaya. Contohnya, memberitahu sikap penipu seorang peniaga kepada bakal rakan kongsinya, atau mendedahkan cacat cela peribadi seseorang dalam urusan merisik jodoh. Atau, kita tahu seorang ustaz yang menganjurkan bid’ah hendak dijemput mengajar di masjid kita. Maka tidak salah kalau kita beritahu tentang hal dia itu. Begitu juga kita perhatikan dalam ilmu Hadis, banyak disebut tentang keburukan perawi-perawi dan aib mereka. Ini dibenarkan kerana ia termasuk dalam menjaga hal agama.

المُجَاهِر فِسْقًا (Orang yang terang-terangan buat maksiat): Orang yang bangga melakukan dosa secara terbuka tanpa rasa malu (contoh: minum arak di khalayak ramai atau gengsterisme). Boleh disebut maksiat yang dilakukannya itu sahaja.

المُسْتَفْتِي (Orang yang meminta fatwa/hukum): Mengadu kepada mufti atau alim ulama untuk mendapatkan jalan penyelesaian agama. Contohnya seperti kisah Hindun yang mengadu kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya Abu Sufyan (suamiku) seorang lelaki yang bakhil…”

طَلَبَ الإِعَانَةِ فِي إِزَالَةِ مُنْكَر (Meminta bantuan mencegah kemungkaran): Melaporkan kejahatan atau maksiat seseorang kepada pihak pencegah maksiat (seperti polis atau penguatkuasa agama) dengan tujuan untuk menghentikan kemungkaran tersebut. Contohnya kita sudah tangkap orang yang melakukan zina, maka tak salah kalau dia cakap pada kita untuk tolong dia.

Kalau kita tahu tentang hal ini, tidaklah kita terkeliru apabila ada orang yang menyebut keburukan orang lain. Ini kerana memang ada keadaan dibenarkan di dalam Islam.


 

العَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيْهِ (Hamba yang menolong saudaranya)

Sekarang disebut perkara yang lebih umum, iaitu membantu saudaranya. Dan ini kita telah banyak syarahkan di dalam hadis-hadis sebelum ini, Hadis #25, Hadis #26, Hadis #35. Balasannya Rasulullah kata وَاللهُ في عَوْنِ العَبْدِ (dan Allah akan menolongnya).

Rasulullah ada bersabda tentang kelebihan membantu orang lain,

وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخٍ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ – يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ – شَهْرًا
“Dan sungguh, jika aku berjalan bersama seorang saudaraku untuk memenuhi keperluannya, itu lebih aku sukai daripada aku beri’tikaf di masjid ini (Masjid Nabawi) selama sebulan.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al-Thabarani (dalam Al-Mu’jam al-Kabir) dan dinilai hasan oleh Syaikh Al-Albani.

Ini sama yang kita telah sebut sebelum ini, membantu orang lain itu lebih banyak pahalanya dari solat sunat. Semoga kita belajar dari kisah para sahabat terdahulu. Mari kita lihat kisah Abu Bakar. Sebelum dilantik menjadi Khalifah, Abu Bakar al-Siddiq terkenal sebagai seorang sahabat yang sangat ringan tulang. Beliau sering pergi ke kawasan kejiranan di pinggir kota Madinah untuk membantu sebuah keluarga yang mempunyai wanita-wanita lemah (atau wanita tua) dengan memerahkan susu kambing ternakan mereka, kerana mereka tidak mempunyai lelaki yang kuat untuk melakukannya.

Apabila Rasulullah ﷺ wafat dan Abu Bakar dilantik menjadi Khalifah yang pertama, berita pelantikan tersebut tersebar ke seluruh Madinah. Apabila khabar itu sampai kepada keluarga wanita tersebut, seorang hamba perempuan (atau wanita tua) di rumah itu mengeluh dengan nada sedih: “Sekarang, dia telah menjadi Khalifah. Dia pasti tidak akan datang lagi untuk memerah susu kambing-kambing kita.” Mereka menyangka bahawa kesibukan menguruskan kerajaan Islam dan status sebagai ketua negara akan membuatkan Abu Bakar melupakan kerja-kerja kecil dan marhaen seperti itu.

Apabila kata-kata wanita itu sampai ke pengetahuan Abu Bakar al-Siddiq, beliau lantas menjawab: “Bahkan demi Allah, aku pasti akan tetap memerah susu kambing untuk kamu semua. Dan aku sangat berharap agar jawatan yang aku pegang ini tidak mengubah sedikit pun tabiat (amal kebaikan) yang biasa aku lakukan.” Maka, setelah menjadi Khalifah, Saidina Abu Bakar tetap meluangkan masa, berjalan kaki ke rumah wanita tersebut, dan meneruskan rutinnya memerah susu kambing untuk mereka seperti biasa seolah-olah beliau hanyalah rakyat biasa.

Saidina Umar sentiasa berlumba-lumba dengan Abu Bakar dalam membuat kebaikan, namun sering “ditewaskan” oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq. Umar mengetahui ada seorang wanita tua yang buta dan lumpuh tinggal di pinggir kota Madinah. Umar berniat mahu menyelinap masuk ke rumah wanita itu pada waktu subuh untuk membersihkan rumahnya, mengambil air, dan menguruskan keperluannya.

Apabila Umar datang pada waktu subuh, beliau dapati rumah wanita itu sudah bersih, air sudah diisi, dan semua urusannya sudah diselesaikan. Perkara ini berlaku beberapa hari berturut-turut. Umar tertanya-tanya siapakah orang yang mendahuluinya melakukan kebaikan ini. Akhirnya, Umar datang lebih awal dan mengintip dari jauh.

Alangkah terkejutnya Umar apabila melihat orang yang keluar dari rumah wanita tua dan buta itu ialah Saidina Abu Bakar al-Siddiq, yang ketika itu merupakan Khalifah (pemimpin tertinggi). Umar menangis lalu berkata: “Demi Allah, engkau sememangnya sentiasa meletihkan orang yang ingin bersaing denganmu (dalam kebaikan), wahai Abu Bakar!”


 

مَنْ سَلَكَ طَرِيْقاً يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْماً (Barangsiapa yang menempuh perjalanan dalam rangka menuntut ilmu)

Kalimah سَلَكَ bermaksud orang yang menuju kepada Tuhan. Tapi menuju kepada Tuhan bukannya dengan jalan kaki atau pakai kapalterbang atau roket. Dia kena menuju Tuhan dengan ilmu pengetahuan  yang benar. Dia kena menuntut ilmu (عِلْماً).

Kalimat سَلَكَ طَرِيْقاً boleh jadi dalam bentuk hissi atau maknawi. Kalau hissi itu bermaksud seseorang itu benar-benar menempuh jalan fizikal mencari ilmu. Kalau dahulu golongan salaf kena berjalan atau naik kuda dan unta beribu batu untuk mencari ilmu, mencari sepotong hadis. Ibnu Abbas kata beliau sampai tidur di pintu rumah para sahabat yang lain, tunggu sahabat itu bangun sebab dia hendak tanya tentang hadis. Imam Bukhari kata beliau sampai tidak ingat berapa kali dia keluar masuk kota Baghdad untuk dapatkan hadis. Imam Syafie pula kita tahu beliau dari Palestin, ke Mekah, ke Madinah, ke Baghdad dan kemudian ke Mesir. Jauh perjalanan mereka ini untuk mencari ilmu.

Dan ia juga boleh bermaksud maknawi iaitu menempuh jalan mencari ilmu tapi tidaklah sampai keluar rumah. Zaman sekarang inilah yang berlaku banyaknya. Duduk di rumah sahaja boleh belajar, boleh sertai kelas online dan sebagainya. Begitu punya mudah untuk mencari ilmu sekarang, tapi malangnya ramai tidak ambil peluang.

Jadi سَلَكَ طَرِيْقاً juga boleh merujuk kepada usaha untuk mendapatkan ilmu itu seperti menghafal, mengkaji, menulis dan segala usaha yang dilakukan untuk memahami sesuatu ilmu agama itu. Apabila ada usaha, maka Allah akan mudahkan seperti firman Allah di dalam Qamar:17 dan disebut sebanyak empat kali.

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Ada sebuah kisah yang direkodkan dalam kitab-kitab biografi ulama (Tabaqat), menceritakan tentang seorang pelajar yang sangat dahagakan ilmu bahasa dan agama. Dikatakan ini adalah kisah Abu Nasr al-Taimi dengan Imam Al-Khayyath (Ulama Nahwu). Beliau ingin berguru dengan seorang ulama besar yang kelasnya sentiasa sesak dan penuh sehingga tiada ruang lagi untuk orang baharu duduk di dalam majlis tersebut.

Pelajar ini datang bertemu sang ulama dan menyatakan hasratnya untuk membaca dan belajar kitab. Ulama itu mengeluh dan berkata, “Masa aku sudah penuh, dan majlisku sudah tidak muat lagi untuk menampung sesiapa.” Pelajar itu tidak berputus asa atau merajuk. Beliau melihat ada satu peluang: waktu di antara rumah ulama tersebut berjalan kaki menuju ke masjid atau kelas pengajiannya. Pelajar itu berkata, “Wahai syeikh, bagaimana jika aku membaca kitab kepadamu ketika engkau sedang berjalan kaki dari rumahmu menuju ke tempat pengajian?” Ulama itu kagum dengan kesungguhannya dan bersetuju.

Sepanjang perjalanan pergi dan balik setiap hari, pelajar ini akan berjalan di sebelah atau di belakang gurunya sambil membaca kitab, membetulkan bacaan, dan bertanyakan soalan. Akhirnya, dia berjaya menguasai ilmu tersebut dengan luar biasa mengatasi pelajar yang duduk di dalam kelas formal.

Tapi bab ilmu ini bukan semua orang dapat sama. Ada yang belajar sikit, dia faham banyak. Ada yang belajar lama, tapi tak faham-faham. Banyak membaca, tapi tak lekat-lekat apa yang dia baca. Begitulah ilmu ini hak Allah dan Dia pilih kepada siapa yang Dia hendak beri. Semoga kita ini diberikan ilmu yang bermanfaat. Itu kena doalah. Antara doa yang kita boleh bacakan kepada anak kita adalah seperti doa Nabi kepada Ibnu Abbas,

اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
“Ya Allah, kurniakanlah kefahaman yang mendalam kepadanya dalam urusan agama, dan ajarkanlah kepadanya ilmu takwil (tafsir Al-Qur’an).”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 143 & Muslim, No. 2477)

Untuk kita, doalah seperti Allah ajar di dalam Taha:114

…وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
“…dan berdoalah (wahai Muhammad): ‘Wahai Tuhanku, tambahilah ilmu kepadaku.'”

Begitulah pentingnya belajar dan kena berusaha untuk mendapatkan ilmu. Begitu juga pentingnya kita dapatkan ilmu dari ahlinya. Kita bukannya boleh faham sendiri ilmu wahyu tanpa bimbingan ulama’. Ada orang menuduh golongan Ahli Sunnah (mereka panggil Wahabi) ini tidak ada ulama’, buat palatao sendiri. Tapi kita bukan begitu. Memang kita ambil ilmu dari ulama’ kerana kita tahu kepentingan mereka. Rasulullah pernah bersabda,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوسًا جُهَّالًا، فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA katanya: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mengangkat (menghilangkan) ilmu itu dengan cara mencabutnya begitu sahaja daripada dada-dada hamba-Nya. Akan tetapi, Allah mengangkat ilmu itu dengan cara mematikan para ulama. Sehinggalah apabila tiada lagi seorang pun orang alim yang tinggal, manusia akan mengangkat orang-orang yang jahil sebagai pemimpin (rujukan) mereka. Apabila mereka ditanya (tentang urusan agama), mereka lalu memberikan fatwa tanpa berpandukan ilmu. Maka mereka telah sesat dan menyesatkan orang lain.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 100 & Muslim, No. 2673)

Kita takut Al-Qur’an ini nanti ada dalam bentuk kitab teks sahaja akan tetapi orang tidak faham maksudnya. Ini kerana manusia sudah lama jauh dari ilmu wahyu dan tidak ramai yang mahu mempelajarinya. Ramai yang baca dan hafal sahaja tapi apa yang mereka baca dan hafal pun mereka tidak tahu dan faham.

Semoga kita tidak jadi begitu sebaliknya kita mengikut orang yang mendalami ilmu agama. Bagi mereka ini Nabi janjikan سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيْقاً إِلَى الجَنَّةِ (Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga). Ini ada dua maksud, iaitu di akhirat nanti, mudah sahaja dia masuk syurga. Tidak banyak soalan ditanya. Dia juga akan dipermudahkan di Mahsyar ketika hiruk pikuk manusia yang kebingungan dan dalam kepayahan yang sangat. Dunia ini gelap dan cahaya yang dapat menyelamatkan kita adalah wahyuNya seperti disebut di dalam Maidah:15-16

يَـٰٓأَهلَ ٱلڪِتَـٰبِ قَد جَآءَڪُم رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُم ڪَثِيرًا مِّمَّا ڪُنتُم تُخفُونَ مِنَ ٱلڪِتَـٰبِ وَيَعفُواْ عَن ڪَثِيرٍ قَد جَآءَڪُم مِّنَ ٱللَّهِ نُورٌ وَڪِتَـٰبٌ مُّبِينٌ (١٥) يَهدِى بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضوٰنَهُ ۥ سُبُلَ ٱلسَّلَـٰمِ وَيُخرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذنِهِۦ وَيَهدِيهِم إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّستَقِيمٍ (١٦)
Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci dan Dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. (15) Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (16) 

Yang keduanya, dengan ilmu yang dipelajarinya itu, dia akan tahu ilmu yang benar, maka Tauhid dan mana syirik, mana Sunnah dan mana bid’ah, apakah amalan yang banyak pahala, mana haram dan mana halal, apakah sepatutnya dilakukan dan apa yang sepatutnya dia tinggalkan. Maka dia mengamalkan ilmunya itu dan kerana itu dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Tidak akan masuk syurga melainkan orang yang ada ilmu terutama sekali ilmu wahyu Al-Qur’an dan hadis. Kerana itu Rasulullah telah beritahu kita,

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ أَبِي سُفْيَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, nescaya Allah akan memberikan kefahaman yang mendalam kepadanya dalam urusan agama.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 71 & Muslim, No. 1037)

Apabila kita mula belajar sesuatu ilmu itu, Allah akan buka ilmu-ilmu yang lain. Dia boleh kaitkan satu ilmu dengan ilmu yang lain yang menjadikan dia lebih faham agama. Allah akan beri ilmu tambahan kepadanya yang dia tidak belajar pun secara formal. Ini seperti disebut di dalam Maryam:76

وَيَزيدُ اللَّهُ الَّذينَ اهتَدَوا هُدًى
Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk; 

Dan Allah sebut di dalam Muhammad:17

وَالَّذينَ اهتَدَوا زادَهُم هُدًى وَءآتٰهُم تَقوٰهُم
Dan orang-orang yang menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketakwaannya.

Tapi kita kena jaga hati kita supaya niat kita belajar ilmu ini betul kerana Allah. Janganlah niat kita belajar kerana hendak berdebat dengan orang, hendak dapat gaji tinggi, hendak disanjung sebagai orang yang alim. Kalau beginilah kita, maka kita dulu yang awal-awal masuk neraka! Ini disebut di dalam satu hadis yang sangat menakutkan:

“…فَيُؤْتَى بِهِ فَيُعَرِّفُهُ نِعَمَهُ فَيَعْرِفُهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ. قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ: عَالِمٌ. وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ: هُوَ قَارِئٌ. فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ.”
“…Lalu dibawakan orang alim itu, maka Allah mengingatkan kepadanya tentang nikmat-nikmat-Nya (semasa di dunia) dan dia pun mengenalinya. Allah bertanya: ‘Apakah yang telah kamu amalkan dengan nikmat itu?’ Dia menjawab: ‘Aku telah menuntut ilmu, mengajarkannya, dan aku membaca Al-Qur’an kerana-Mu.’ Allah berfirman: ‘Kamu berdusta! Sebenarnya kamu menuntut ilmu supaya kamu dikatakan sebagai seorang yang alim, dan kamu membaca Al-Qur’an supaya kamu dikatakan sebagai seorang qari (pembaca yang hebat). Dan sesungguhnya gelaran (pujian) itu telah pun kamu dapati (di dunia dahulu).’ Kemudian diperintahkan agar dia diseret atas mukanya sehinggalah dicampakkan ke dalam api neraka.”

(Hadis Riwayat Muslim, No. 1905)

Tapi bab ikhlas ini bukan datang dengan tiba-tiba. Kita kena mulakan dengan belajarlah dahulu. Al-Imam Al-Dzahabi (ulama besar pakar hadis dan sejarah) menukilkan dan mengulas perkara ini di dalam kitab agungnya, Siyar A’lam al-Nubala’. Ketika beliau membincangkan tentang biografi para ulama besar—antaranya ketika mengulas tentang Imam Ma’mar bin Rashid dan Imam Mujahid—beliau menukilkan satu kaedah atau prinsip yang sangat masyhur dalam kalangan ulama salaf:

طَلَبْنَا العِلْمَ لِغَيْرِ اللهِ، فَأَبَى أَنْ يَكُوْنَ إِلَّا للهِ
“Dahulu kami menuntut ilmu bukan kerana Allah (iaitu bermula dengan niat yang kurang ikhlas/kerana mahu jawatan, harta, atau status), tetapi ilmu itu sendiri enggan (menolak) melainkan akhirnya ia menarik kami menjadi ikhlas kerana Allah.”

Beliau menjelaskan bahawa pada peringkat awal remaja atau kanak-kanak, ramai penuntut ilmu yang datang ke majlis ilmu bukan atas dasar kesedaran takwa yang tinggi. Ada yang belajar kerana disuruh oleh ibu bapa, mahu mengejar kedudukan, nama, atau kerjaya (seperti menjadi kadi/hakim), mungkin kerana mengikut kawan-kawan, kerana suka kepada berhujah. Namun, Al-Dzahabi menyebut, keberkatan ilmu agama (hadis, tafsir, dan feqah) itu sendiri mempunyai “kuasa” untuk mendidik jiwa pembacanya. Apabila pelajar itu semakin mendalami ilmu, dia mula membaca tentang amaran neraka, tentang keikhlasan, tentang sifat tawaduk Nabi ﷺ, dan tentang hinanya dunia. Lama-kelamaan, ilmu tersebut menyedarkan hatinya, mengubah niatnya yang terpesong tadi, dan akhirnya menundukkan jiwanya untuk menjadi seorang yang benar-benar ikhlas kerana Allah.


 

قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوْتِ اللهِ يَتْلُوْنَ كِتَابَ اللهِ وَيَتَدَارَسُوْنَهُ بَيْنَهُمْ (berkumpul sekelompok orang di salah satu rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah dan saling mempelajarinya di antara mereka). 

Ini adalah kelebihan belajar di masjid/surau kerana disebut بَيْتٍ مِنْ بُيُوْتِ اللهِ. Maka memang ada kelebihan menyertai kelas-kelas pengajian di masjid. Itulah tempat belajarnya ilmu yang asal. Cuma sekarang agak sukar untuk mendapatkan ilmu yang sunnah di masjid kerana selalunya asatizah Sunnah dihalang dari mendapat tauliah untuk mengajar di masjid dan surau. Ini kerana banyak amalan yang diamalkan sekarang akan ditegur dan diperbetulkan. Jadi ramai tidak suka, maka mereka halang kita dari mengajar. Jadi semoga di markas-markas sunnah pun dikira juga termasuk di dalam hadis ini dan mendapat balasan-balasan baik juga.

Dan ini juga menjadi dalil kelebihan kelas talaqqi yang bersemuka. Ia tidak sama kalau kita buat kelas online dan hadis ini menjadi dalilnya. Kalau di dalam hadis yang lain disebut sertai kelas pengajian Nabi. Ia juga menjadi tanda aras bagi kita apabila nampak ada majlis ilmu.

عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ رَأَى أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَمَا هُوَ جَالِسٌ فِي الْمَسْجِدِ وَالنَّاسُ مَعَهُ إِذْ أَقْبَلَ ثَلَاثَةُ نَفَرٍ، فَأَقْبَلَ اثْنَانِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَهَبَ وَاحِدٌ. قَالَ: فَوَقَفَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَرَأَى فُرْجَةً فِي الْحَلْقَةِ فَجَلَسَ فِيهَا، وَأَمَّا الْآخَرُ فَجَلَسَ خَلْفَهُمْ، وَأَمَّا- الثَّالِثُ فَأَدْبَرَ ذَاهِبًا. فَلَمَّا فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُكُمْ عَنِ النَّفَرِ الثَّلَاثَةِ؟ أَمَّا أَحَدُهُمْ فَأَوَى إِلَى اللَّهِ فَآوَاهُ اللَّهُ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَاسْتَحْيَا فَاسْتَحْيَا اللَّهُ مِنْهُ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ اللَّهُ عَنْهُ
Daripada Abu Waqid al-Laitsi RA, bahawa ketika Rasulullah ﷺ sedang duduk di dalam masjid bersama-sama dengan orang ramai (para sahabat), tiba-tiba datanglah tiga orang. Dua orang daripada mereka menuju kepada Rasulullah ﷺ manakala seorang lagi pergi berlalu. Abu Waqid berkata: “Kedua-dua orang itu berdiri di hadapan Rasulullah ﷺ. Salah seorang daripada mereka melihat ada kekosongan (ruang) di dalam halaqah (bulatan majlis), lalu dia terus duduk di situ. Manakala seorang lagi pula duduk di bahagian belakang mereka. Orang yang ketiga pula berpaling dan terus pergi. Apabila Rasulullah ﷺ selesai (menyampaikan ilmu), baginda bersabda: “Mahukah aku khabarkan kepada kamu tentang tiga orang ini? Adapun salah seorang daripada mereka, dia mencari tempat perlindungan kepada Allah (mendekati majlis ilmu), maka Allah pun memberinya perlindungan. Adapun yang kedua, dia berasa malu (tetapi tetap tinggal), maka Allah pun malu kepadanya (merahmatinya). Manakala yang terakhir pula, dia berpaling (daripada majlis ilmu), maka Allah pun berpaling daripadanya.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 66 & Muslim, No. 2176)

Syarah: Dalam hadis ini, Rasulullah ﷺ membahagikan tiga orang tersebut kepada tiga kumpulan berdasarkan sikap dan respons mereka terhadap majlis ilmu.

Kumpulan Pertama: Orang yang mendekatkan diri kepada Allah. Mereka mencari ruang kosong di hadapan dan duduk di hadapan untuk fokus belajar.

Kumpulan Kedua: Orang yang malu (tetapi tetap mahu belajar). Mereka jenis yang duduk di belakang kerana rasa segan atau malu untuk mencelah orang lain, tetapi dia tetap tinggal untuk mendengar ilmu.

Kumpulan Ketiga: Orang yang berpaling/menolak. Memang ada orang yang apabila melihat ada majlis ilmu, tetapi memilih untuk berjalan terus, tidak memperdulikannya, dan pergi meninggalkan majlis.

Cuma kita yang hanya dapat sertai kelas pengajian secara online itu mungkinlah juga termasuk berkumpul juga. Semoga dikira juga dan termasuklah.

Kelebihan majlis ilmu ini adalah ia akan dinaungi oleh para malaikat seperti disebut di dalam satu hadis,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ لِلَّهِ مَلَائِكَةً يَطُوفُونَ فِي الطُّرُقِ يَلْتَمِسُونَ أَهْلَ الذِّكْرِ، فَإِذَا وَجَدُوا قَوْمًا يَذْكُرُونَ اللَّهَ تَنَادَوْا: هَلُمُّوا إِلَى حَاجَتِكُمْ. قَالَ: فَيَحُفُّونَهُمْ بِأَجْنِحَتِهِمْ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا

قَالَ: فَيَسْأَلُهُمْ رَبُّهُمْ، وَهُوَ أَعْلَمُ مِنْهُمْ: مَا يَقُولُ عِبَادِي؟ قَالُوا: يَقُولُونَ: يُسَبِّحُونَكَ وَيُكَبِّرُونَكَ وَيَحْمَدُونَكَ وَيُمَجِّدُونَكَ. قَالَ: فَيَقُولُ: هَلْ رَأَوْنِي؟ قَالَ: فَيَقُولُونَ: لَا وَاللَّهِ مَا رَأَوْكَ. قَالَ: فَيَقُولُ: وَكَيْفَ لَوْ رَأَوْنِي؟ قَالَ: يَقُولُونَ: لَوْ رَأَوْكَ كَانُوا أَشَدَّ لَكَ عِبَادَةً، وَأَشَدَّ لَكَ تَمْجِيدًا وَتَحْمِيدًا، وَأَكْثَرَ لَكَ تَسْبِيحًا

قَالَ: يَقُولُ: فَمَا يَسْأَلُونِي؟ قَالَ: يَسْأَلُونَكَ الْجَنَّةَ. قَالَ: يَقُولُ: وَهَلْ رَأَوْهَا؟ قَالَ: يَقُولُونَ: لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا رَأَوْهَا. قَالَ: يَقُولُ: فَكَيْفَ لَوْ أَنَّهُمْ رَأَوْهَا؟ قَالَ: يَقُولُونَ: لَوْ أَنَّهُمْ رَأَوْهَا كَانُوا أَشَدَّ عَلَيْهَا حِرْصًا، وَأَشَدَّ لَهَا طَلَبًا، وَأَعْظَمَ فِيهَا رَغْبَةً

قَالَ: فَمِمَّ يَتَعَوَّذُونَ؟ قَالَ: يَقُولُونَ: مِنَ النَّارِ. قَالَ: يَقُولُ: وَهَلْ رَأَوْهَا؟ قَالَ: يَقُولُونَ: لَا وَاللَّهِ مَا رَأَوْهَا. قَالَ: يَقُولُ: فَكَيْفَ لَوْ رَأَوْهَا؟ قَالَ: يَقُولُونَ: لَوْ رَأَوْهَا كَانُوا أَشَدَّ مِنْهَا فِرَارًا، وَأَشَدَّ لَهَا مَخَافَةً

قَالَ: فَيَقُولُ: فَأُشْهِدُكُمْ أَنِّي قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ. قَالَ: يَقُولُ مَلَكٌ مِنَ الْمَلَائِكَةِ: فِيهِمْ فُلَانٌ لَيْسَ مِنْهُمْ، إِنَّمَا جَاءَ لِحَاجَةٍ. قَالَ: هُمُ الْجُلَسَاءُ لَا يَشْقَى بِهِمْ جَلِيسُهُمْ

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang merayau-rayau di jalanan untuk mencari orang-orang yang mengingati Allah (ahli zikir/ilmu). Apabila mereka menemui satu kaum yang sedang mengingati Allah, mereka saling memanggil: ‘Kemarilah kepada apa yang kamu hajatkan!’ Baginda bersabda: ‘Lalu para malaikat itu menaungi mereka dengan sayap-sayap mereka sehinggalah ke langit dunia.’

Baginda bersabda lagi: ‘Kemudian Tuhan mereka bertanya kepada mereka (para malaikat) — sedangkan Dia lebih mengetahui daripada mereka — “Apakah yang diucapkan oleh hamba-hamba-Ku?” Malaikat menjawab: “Mereka bertasbih (menyucikan-Mu), bertakbir (membesarkan-Mu), bertahmid (memuji-Mu), dan mengagungkan-Mu.”

Allah bertanya: “Adakah mereka pernah melihat-Ku?” Malaikat menjawab: “Tidak, demi Allah, mereka tidak pernah melihat-Mu.”
Allah bertanya: “Bagaimanakah sekiranya mereka dapat melihat-Ku?” Malaikat menjawab: “Kalau mereka dapat melihat-Mu, nescaya mereka akan lebih bersungguh-sungguh beribadah kepada-Mu, lebih mengagungkan dan memuji-Mu, serta lebih banyak bertasbih kepada-Mu.”

Allah bertanya lagi: “Apakah yang mereka minta daripada-Ku?” Malaikat menjawab: “Mereka memohon syurga-Mu.”
Allah bertanya: “Adakah mereka pernah melihat syurga itu?” Malaikat menjawab: “Tidak, demi Allah, wahai Tuhan kami, mereka tidak pernah melihatnya.” Allah bertanya: “Bagaimanakah sekiranya mereka dapat melihatnya?” Malaikat menjawab: “Kalau mereka dapat melihatnya, nescaya mereka akan menjadi lebih loba (bersemangat) terhadapnya, lebih kuat mencarinya, dan lebih besar keinginan mereka untuk memasukinya.”

Allah bertanya lagi: “Daripada apakah mereka memohon perlindungan?” Malaikat menjawab: “Daripada api neraka.”
Allah bertanya: “Adakah mereka pernah melihat neraka itu?” Malaikat menjawab: “Tidak, demi Allah, mereka tidak pernah melihatnya.”
Allah bertanya: “Bagaimanakah sekiranya mereka dapat melihatnya?” Malaikat menjawab: “Kalau mereka dapat melihatnya, nescaya mereka akan lari lebih jauh daripadanya dan akan menjadi lebih takut kepadanya.”

Lalu Allah berfirman: “Maka Aku persaksikan kepada kamu (para malaikat) bahawa sesungguhnya Aku telah mengampunkan dosa-dosa mereka.”

Baginda bersabda: ‘Salah seorang malaikat berkata: “Di dalam majlis itu ada si Fulan, dia sebenarnya bukan sebahagian daripada mereka (bukan berniat asal untuk mengaji), dia datang hanyalah kerana ada urusan lain (singgah duduk-duduk sahaja).”

Allah Taala berfirman: “Mereka itu adalah kaum yang mana orang yang duduk bersama mereka tidak akan sesekali berdukacita (tetap mendapat keampunan).””

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 6408)

Begitu hebatnya majlis ilmu itu sampaikan kalau ada yang datang bukan kerana hendak menuntut ilmu pun akan dapat kebaikan. Mungkin mereka datang sebab hal lain tapi kerana nampak ada majlis ilmu, dia terus duduk di situ. Maka tidak sia-sialah majlis ilmu ini.

Nota: Hadis ini tentang majlis ilmu, bukannya majlis zikir beramai-ramai (meratib). Itu tidak termasuk. Kalau meratib beramai-ramai, itu adalah amalan bid’ah. Majlis zikir itu bermaksud mengingati Allah dalam bentuk ilmu, ingat mengingati sesama sendiri.

Ada sebuah lagi hadis sahih yang sangat masyhur berkenaan keutamaan majlis zikir dan ilmu. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam at-Tirmidzi, dan Imam an-Nasa’i daripada sahabat Abu Sa’id al-Khudri RA (dan juga Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA). Dalam hadis ini, Rasulullah ﷺ keluar menemui sekumpulan sahabat yang sedang duduk berkumpul di dalam masjid, lalu berlaku dialog sehingga baginda menyebut tentang kedatangan Malaikat Jibril AS.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: خَرَجَ مُعَاوِيَةُ عَلَى حَلْقَةٍ فِي الْمَسْجِدِ، فَقَالَ: مَا أَجْلَسَكُمْ؟ قَالُوا: جَلَسْنَا نَذْكُرُ اللَّهَ. قَالَ: آللَّهِ مَا أَجْلَسَكُمْ إِلَّا ذَاكَ؟ قَالُوا: وَاللَّهِ مَا أَجْلَسَنَا إِلَّا ذَاكَ. قَالَ: أَمَا إِنِّي لَمْ أَسْتَحْلِفْكُمْ تُهْمَةً لَكُمْ، وَمَا كَانَ أَحَدٌ بِمَنْزِلَتِي مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَلَّ عَنْهُ حَدِيثًا مِنِّي، وَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ عَلَى حَلْقَةٍ مِنْ أَصْحَابِهِ، فَقَالَ: مَا أَجْلَسَكُمْ؟” قَالُوا: جَلَسْنَا نَذْكُرُ اللَّهَ وَنَحْمَدُهُ عَلَى مَا هَدَانَا لِلْإِسْلَامِ وَمَنَّ بِهِ عَلَيْنَا. قَالَ: “آللَّهِ مَا أَجْلَسَكُمْ إِلَّا ذَاكَ؟” قَالُوا: وَاللَّهِ مَا أَجْلَسَنَا إِلَّا ذَاكَ.قَالَ: “أَمَا إِنِّي لَمْ أَسْتَحْلِفْكُمْ تُهْمَةً لَكُمْ، وَلَكِنَّهُ أَتَانِي جِبْرِيلُ فَأَخْبَرَنِي أَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُبَاهِي بِكُمُ الْمَلَائِكَةَ
Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, beliau menceritakan bahawa (Khalifah) Mu’awiyah RA pernah keluar menemui satu halaqah (kumpulan bulatan) di dalam masjid, lalu beliau bertanya: “Apakah yang membuatkan kamu semua duduk berkumpul di sini?” Mereka menjawab: “Kami duduk untuk mengingati Allah (berzikir/belajar).” Mu’awiyah bertanya lagi: “Demi Allah, adakah benar tiada tujuan lain yang membuatkan kamu duduk melainkan perkara itu sahaja?” Mereka menjawab: “Demi Allah, tidak ada tujuan lain bagi kami melainkan itu sahaja.” Mu’awiyah lalu berkata: “Ketahuilah, sesungguhnya aku meminta kamu bersumpah bukan kerana aku mencurigai (menuduh) kamu. Tiada seorang pun yang kedudukannya dekat dengan Rasulullah ﷺ yang paling sedikit meriwayatkan hadis berbanding aku (kerana berhati-hati). Namun, sesungguhnya Rasulullah ﷺ pernah keluar menemui satu halaqah dalam kalangan sahabat baginda, lalu baginda bertanya: “Apakah yang membuatkan kamu semua duduk berkumpul di sini?” Mereka menjawab: “Kami duduk untuk mengingati Allah dan memuji-Nya atas petunjuk Islam yang dikurniakan-Nya kepada kami serta nikmat yang dilimpahkan-Nya kepada kami.” Baginda bertanya lagi: “Demi Allah, adakah benar tiada tujuan lain yang membuatkan kamu duduk melainkan perkara itu sahaja?” Mereka menjawab: “Demi Allah, tidak ada tujuan lain bagi kami melainkan itu sahaja.” Baginda lalu bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya aku meminta kamu bersumpah bukan kerana aku mencurigai kamu, akan tetapi Jibril baru sahaja datang kepadaku lalu memberitahu bahawa sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jall sedang membanggakan kamu semua di hadapan para malaikat-Nya.”

(Hadis Riwayat Muslim, No. 2701)

Kemudian dari hadis utama yang kita pelajari ini disebut apa yang patut kita belajar dahulu iaitu يَتْلُوْنَ كِتَابَ اللهِ (mereka membaca Kitaballah) iaitu Al-Qur’an. Ini yang mula-mula kita kena belajar dan mahir. Daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya”.

[Riwayat al-Bukhari (5027)]

Yang pertama kena baca lah, kemudian hafal, kemudian faham dan kemudian sebarkan. Memang sepatutnya kena belajar bacalah sejak dari kecil lagi. Cuma kalau sudah tua, tak perlulah mahir sangat membaca dan menghafal. Cuma kalau di usia muda, sepatutnya ambil peluang untuk terus hafal Al-Qur’an supaya senang di masa hadapan. Kerana kalau sudah tua, susah nak belajar tajwid dan susah hendak menghafal.

Dan setelah baca Al-Qur’an, maka hendaklah يَتَدَارَسُوْنَهُ بَيْنَهُمْ (saling mempelajarinya di antara mereka). Inilah yang kita selalu sebut tadarrus ini yang selalu dilakukan di bulan Ramadhan. Iaitu seorang baca dan orang lain yang mendengar perbetulkan bacaan. Dan sama-sama berbincang akan maksud ayat-ayat yang dibaca itu. Ini kita sebut tadabbur. Sekarang sudah semakin banyak halaqah sebegini dilakukan di negara kita, Alhamdulillah.

Cuma untuk tadabbur ini, kena tahu tafsir dahulu. Tadabbur mesti datang selepas tafsir. Jangan buat majlis tadabbur tapi tidak ada orang yang mahir tafsir. Tadabbur ini mendalami dan mengaitkan ayat-ayat Al-Qur’an dengan diri kita, ambil pengajaran dari ayat-ayat itu. Tapi untuk dapat ini, hendaklah tahu tafsir. Kita takut sekarang kerana ada dikatakan majlis tadabbur tapi peserta dia tidak ada yang belajar tafsir jadi masing-masing buat tekaan maksud ayat itu ikut akal sendiri. Ini bahaya tuan-tuan.

Kita kena pelajari maksud ayat-ayat Al-Qur’an ini tuan-tuan. Jangan kita berbangga dengan adanya Al-Qur’an tapi kita tidak faham dan tidak amalkan. Yahudi dan Nasara pun ada kitab mereka juga, tapi sesat juga, bukan?

عَنْ زِيَادِ بْنِ لَبِيدٍ قَالَ: ذَكَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْئًا فَقَالَ: “وَذَاكَ عِنْدَ أَوَانِ ذِهَابِ الْعِلْمِ
قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَكَيْفَ يَذْهَبُ الْعِلْمُ وَنَحْنُ نَقْرَأُ الْقُرْآنَ، وَنُقْرِئُهُ أَبْنَاءَنَا، وَيُقْرِئُهُ أَبْنَاؤُنَا أَبْنَاءَهُمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ؟
فَقَالَ: “ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا زِيَادُ! إِنْ كُنْتُ لَأُرَاكَ مِنْ أَفْقَهِ رَجُلٍ بِالْمَدِينَةِ، أَوَلَيْسَ هَذِهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى يَقْرَؤُونَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ لَا يَعْمَلُونَ بِشَيْءٍ مِمَّا فِيهِمَا؟
Nabi ﷺ menceritakan tentang sesuatu perkara (fitnah akhir zaman), lalu baginda bersabda: “Dan perkara itu akan berlaku pada waktu hilangnya ilmu.” Aku (Ziad) bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah ilmu boleh hilang sedangkan kami sentiasa membaca Al-Qur’an, dan kami membacakannya (mengajarkannya) kepada anak-anak kami, dan anak-anak kami pula akan membacakannya kepada anak-anak mereka sehinggalah ke Hari Kiamat?” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Semoga ibumu kehilanganmu, wahai Ziad! (Satu ungkapan kehairanan/gurauan orang Arab kuno). Sesungguhnya aku melihatmu sebelum ini sebagai antara lelaki yang paling fakih (faham agama) di Madinah. Bukankah kaum Yahudi dan Nasrani itu juga membaca Taurat dan Injil, tetapi mereka sedikit pun tidak mengamalkan apa yang ada di dalam kedua-dua kitab tersebut?”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah, No. 4048; At-Tirmidzi, No. 2653; Ahmad, No. 17478). Status hadis ini adalah Sahih (disahihkan oleh Al-Hakim dan dipersetujui oleh Al-Dzahabi, serta dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani).

Apabila hadis tentang dialog Nabi ﷺ dan Ziad bin Labid itu sampai kepada pengetahuan seorang sahabat besar, Ubadah bin al-Samit RA, beliau mengesahkan perkara tersebut dan memperincikannya. Beliau menjelaskan ilmu pertama yang akan diangkat adalah sifat Khusyuk (Ketundukan Hati). Kisah ini direkodkan oleh Imam At-Tirmidzi di dalam kitab Sunannya. Jubair bin Nufair menceritakan bahawa beliau bertemu dengan Ubadah bin al-Samit lalu menceritakan hadis Ziad bin Labid tadi. Ubadah bin al-Samit berkata:

صَدَقَ زِيَادٌ، إِنْ شِئْتَ لَأُحَدِّثَنَّكَ بِأَوَّلِ عِلْمٍ يُرْفَعُ مِنَ النَّاسِ: الخُشُوعُ، يُوشِكُ أَنْ تَدْخُلَ مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَلَا تَرَى فِيهِ رَجُلًا خَاشِعًا
“Benarlah apa yang dikatakan oleh Ziad itu. Jika kamu mahu, nescaya aku akan khabarkan kepadamu tentang ilmu yang paling pertama akan diangkat daripada manusia: iaitu khusyuk (ketundukan hati/humbleness). Hampir tiba suatu masa nanti, engkau masuk ke dalam sebuah masjid yang penuh dengan jemaah, namun engkau tidak akan mendapati walau seorang pun lelaki yang khusyuk di dalamnya.”

(Hadis/Atsar Riwayat At-Tirmidzi, No. 2653 — Beliau menilai hadis ini Hasan Gharib)

Mengapa Ubadah bin al-Samit menyebut ketundukan hati itu sebagai “ilmu pertama yang diangkat”? Ini bersandarkan kepada konsep feqah para sahabat bahawa ilmu itu terbahagi kepada dua, sebagaimana yang dijelaskan juga oleh tabi’in besar seperti Al-Hasan al-Basri:

    • Ilmu di dalam Hati (Ilmu Nafi’): Iaitu ilmu yang membuahkan rasa takut kepada Allah, rasa rendah diri (humbleness), ketundukan, dan khusyuk. Inilah hakikat ilmu yang sebenar yang memberi manfaat kepada manusia.
    • Ilmu di atas Lidah (Ilmu Lisani): Iaitu hafalan teks, kepintaran hujah, penguasaan tatabahasa, dan kepandaian bercakap. Ilmu ini adalah hujah Allah ke atas anak Adam (jika tidak diamalkan, ia akan mendakwa pemiliknya di akhirat). Begitulah Al-Qur’an ini boleh jadi pembela kita atau penentang kita di akhirat kelak. Ini seperti disebut di dalam hadis,

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَأُ الْمِيزَانَ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَآنِ — أَوْ تَمْلَأُ — مَا بَيْنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، وَالصَّلَاةُ نُورٌ، وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ، وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ، وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ، كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَايِعٌ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا
Daripada Abu Malik al-Asy’ari RA beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada iman. Ucapan ‘Alhamdulillah’ (Segala puji bagi Allah) memenuhi timbangan amalan. Ucapan ‘Subhanallah’ (Maha Suci Allah) dan ‘Alhamdulillah’ kedua-duanya memenuhi ruang antara langit dan bumi. Solat itu adalah cahaya, sedekah itu adalah bukti (iman), sabar itu adalah sinaran, dan Al-Qur’an itu adalah hujah yang membelamu atau hujah yang mendakwamu. Setiap manusia keluar pada waktu pagi (bekerja/berusaha), lalu ada yang menjual dirinya hingga dia memerdekakannya (daripada azab Allah) atau dia membinasakannya (dengan mengikut hawa nafsu).”

(Hadis Riwayat Muslim, No. 223)

Semoga kita menjadi manusia yang mempelajari ilmu dan taat dan tunduk kepada apa yang kita pelari itu. Bagi golongan yang melakukan hal di atas, Allah balas dengan نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِيْنَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيْمَنْ عِنْدَهُ (akan turun kepada mereka ketenangan, rahmat meliputinya, para malaikat mengelilinginya, dan Allah menyanjung namanya kepada Malaikat yang ada di sisi-Nya).

Jadi ada empat kelebihan yang Allah akan berikan kepada mereka. Yang pertama ada ketenangan (السَّكِيْنَةُ).

عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: كَانَ رَجُلٌ يَقْرَأُ سُورَةَ الْكَهْفِ، وَإِلَى جَانِبِهِ حِصَانٌ مَرْبُوطٌ بِشَطَنَيْنِ، فَتَغَشَّتْهُ سَحَابَةٌ، فَجَعَلَتْ تَدْنُو وَتَدْنُو، وَجَعَلَ فَرَسُهُ يَنْفِرُ.فَلَمَّا أَصْبَحَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: “تِلْكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلَتْ بِالْقُرْآنِ
Daripada Al-Bara’ bin ‘Azib RA beliau menceritakan: “Ada seorang lelaki (iaitu Usaid bin Hudair) sedang membaca Surah Al-Kahfi (pada waktu malam), dan di sisinya ada seekor kuda yang diikat dengan dua utas tali. Tiba-tiba, lelaki itu dinaungi oleh seumpama gumpalan awan (atau kabus), yang mana awan tersebut kelihatan semakin mendekat dan mendekat, menyebabkan kudanya mula bertindak liar dan lari ketakutan. Apabila masuk waktu subuh, lelaki itu datang menemui Nabi ﷺ lalu menceritakan kejadian tersebut kepada baginda. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Itulah Sakinah (ketenangan/rahmat) yang turun disebabkan bacaan Al-Qur’an.'”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 5011 & Muslim, No. 795)

Ulama’ mengatakan sakinah dalam hadis ini adalah makhluk Allah yang halus (para malaikat rahmat) yang membawa ketenangan, kedamaian, dan keberkatan kepada sesiapa sahaja yang membaca Al-Qur’an dengan khusyuk. Maka bagi orang yang duduk di dalam majlis ilmu juga akan mendapat sakinah. Ia bermaksud Allah SWT mencabut rasa gelisah, serabut fikiran, dan tekanan dunia daripada hati orang yang hadir. Tiba-tiba hati menjadi sangat tenang, lapang, dan reda. Itulah sebabnya, walau bagaimanapun penat atau beratnya masalah yang kita bawa dari luar, sebaik sahaja duduk di dalam majlis ilmu, dada akan terasa ringan dan damai. Sebab itu, para salafussoleh dahulu melihat majlis ilmu bukan sekadar tempat menyalin nota atau menambah maklumat, tetapi sebagai tempat “healing” yang sebenar untuk mengecas semula iman dan ketenangan hati.

Kelebihan kedua yang disebut adalah rahmat dari Allah (الرَّحْمَةُ). Kita memang memerlukan rahmat dari Allah dan ini banyak disebut di dalam Al-Qur’an dan Hadis. Antaranya disebut di dalam A’raf:56

إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ
Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

Kelebihan ketiga adalah dinaungi oleh para malaikat (حَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ) dan hadisnya kita telah sebutkan di atas tadi. Mereka akan memberikan sakinah kepada kita.

Dan akhir sekali yang keempat disebut nama kita oleh Allah di sisi para Malaikat yang rapat di sisi Allah. Ini adalah kelebihan yang kita sangat harapkan. Ia adalah janji Allah kepada kita semua yang melakukan kebaikan seperti disebut di dalam hadis yang lain,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْه، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ
Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: Allah Taala berfirman (di dalam Hadis Qudsi): “Aku adalah berdasarkan sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Dan Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku (berzikir). Sekiranya dia mengingati-Ku di dalam dirinya (secara sendirian), Aku akan mengingatinya di dalam diri-Ku. Dan sekiranya dia mengingati-Ku di dalam sebuah kumpulan (majlis ramai orang), nescaya Aku akan mengingati dan menyebut namanya di dalam kumpulan (para malaikat) yang jauh lebih baik daripada kumpulan mereka…”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 7405 & Muslim, No. 2675)

Allah juga telah berfirman di dalam Baqarah:152,

فَاذكُروني أَذكُركُم
Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku, Aku akan ingat kepadamu


 

مَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ (Barangsiapa yang lambat amalnya)

Nabi tutup hadis ini mengenai orang yang lambat beramal atau malas beramal. Sudah ada ilmu tapi malas beramal. Nabi kata لَمْ يُسْرِعْ بهِ نَسَبُهُ (maka tidak akan mampu dikejar oleh nasabnya). Maknanya nasab keturunan dia tidak akan dapat membantunya. Tidak kiralah dia keturunan Nabi atau Habib, keturunan al-Atas kah, al-Bawah kah, al-Kanan atau al-Kiri, itu semua tidak akan dapat membantunya. Kerana kita lahir dari perut sesiapa dan keturunan mana pun, bukanlah hasil usaha kita, kita bukan boleh pilih pun.

Kita akan dibalas berdasarkan kedudukan amal kita, berapa banyak amal kita, berapa tinggi ikhlas kita. Allah berfirman di dalam An’am:132

وَلِڪُلٍّ دَرَجَـٰتٌ مِّمَّا عَمِلُواْ‌
Dan bagi tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan; 

Pertalian darah kita dengan orang lain tidak akan dapat membantu kita di akhirat kelak kerana Allah telah berfirman di dalam Mukminoon:101,

فَإِذا نُفِخَ فِي الصّورِ فَلا أَنسابَ بَينَهُم يَومَئِذٍ وَلا يَتَساءَلونَ
Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya.

Rasulullah sendiri tidak dapat menyelamatkan orang yang dekat dengan baginda sepertimana disebut di dalam salah satu dakwah baginda kepada puak Quraisy,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أَنْزَلَ اللَّهُ: {وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ} فَقَالَ: يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ — أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا — اشْتَرُوا أَنْفُسَكُمْ، لَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا. يَا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ، لَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا. يَا عَبَّاسُ بْنَ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، لَا أُغْنِي عَنْكَ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا. وَيَا صَفِيَّةُ عَمَّةَ رَسُولِ اللَّهِ، لَا أُغْنِي عَنْكِ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا. وَيَا فَاطِمَةُ بِنْتَ مُحَمَّدٍ، سَلِينِي مَا شِئْتِ مِنْ مَالِي، لَا أُغْنِي عَنْكِ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا
Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: Rasulullah ﷺ berdiri ketika Allah menurunkan ayat (Dan berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat) [Syu’ara’, ayat 214], lalu baginda bersabda: “Wahai sekalian kaum Quraisy! Tebuslah diri kamu sendiri (daripada azab Allah dengan beriman), sesungguhnya aku tidak dapat menyelamatkan kamu sedikit pun daripada (azab) Allah. Wahai Bani Abdi Manaf! Aku tidak dapat menyelamatkan kamu sedikit pun daripada Allah. Wahai Abbas bin Abdul Muttalib (bapa saudara Nabi)! Aku tidak dapat menyelamatkan engkau sedikit pun daripada Allah. Wahai Safiyyah binti Abdul Muttalib (ibu saudara Nabi)! Aku tidak dapat menyelamatkan engkau sedikit pun daripada Allah. Wahai Fatimah binti Muhammad (anak perempuan Nabi)! Mintalah apa sahaja daripada hartaku yang engkau mahukan, (tetapi) aku tidak dapat menyelamatkan engkau sedikit pun daripada (azab) Allah (di akhirat kelak jika tidak beriman).”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 2753 & Muslim, No. 206)

Jadi puak Habib dan keturunan Syed yang sangka mereka selamat hanya kerana mereka keturunan Rasulullah itu, mereka tidak bacalah agaknya dalil-dalil yang disebut ini. Keturunan, bangsa itu semua bukanlah penyebab keselamatan kita akan tetapi iman kitalah yang boleh menyelamatkan kita. Allah jadikan kita berbangsa supaya kita kenal mengenal antara satu sama. Allah berfirman di dalam Hujurat:13

يَـٰٓأَيُّہَا النّاسُ إِنّا خَلَقنٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثىٰ وَجَعَلنٰكُم شُعوبًا وَقَبائِلَ لِتَعارَفوا ۚ إِنَّ أَكرَمَكُم عِندَ اللهِ أَتقٰكُم ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Jadi jangan tertipu dengan keturunan. Rasulullah telah ingatkan kita di dalam pidato baginda ketika Haji Wada’

… يَا أَيُّهَا النَّاسُ، أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ، وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ، أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ، وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلَّا بِالتَّقْوَى …
“…Wahai sekalian manusia! Ketahuilah bahawa Tuhan kamu adalah Satu, dan bapa kamu adalah satu (iaitu Nabi Adam). Ketahuilah bahawa tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang ‘Ajam (bukan Arab), dan tidak ada kelebihan bagi orang ‘Ajam ke atas orang Arab. Begitu juga tidak ada kelebihan bagi orang yang berkulit merah (putih kemerahan) ke atas orang yang berkulit hitam, dan tidak ada kelebihan bagi orang yang berkulit hitam ke atas orang yang berkulit merah, melainkan dengan sebab TAKWA.”

(Hadis Riwayat Ahmad, No. 23489 — Syeikh Syu’aib al-Arna’uth menyatakan sanad hadis ini adalah Sahih)

 

Allahu a’lam.

Kemaskini: 1 Julai 2026


 

Rujukan:

Ustaz Yunus Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)

Dr. MAZA (Mufti Perlis)

Jami’ Al-Ulum Wal Hikam (Ibnu Rajab al-Hambali)

Dr. Firanda Andirja

Syarah Hadis #35 (Hadis 40 Imam Nawawi) Muslim Bersaudara

Hadits Arbain #35: Kita itu Bersaudara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: لاَ تَحَاسَدُوا، وَلاَ تَنَاجَشُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَلاَ يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ، وَكُوْنُوا عِبَادَ اللهِ إِخوَاناً. المُسْلِمُ أَخُو المُسْلِمِ، لاَ يَظْلِمُهُ، وَلاَ يَخذُلُهُ، وَلَا يَكْذِبُهُ، وَلَا يَحْقِرُهُ. التَّقْوَى هَاهُنَا – وَيُشِيْرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍبِحَسْبِ امْرِىءٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ المُسْلِمَ. كُلُّ المُسْلِمِ عَلَى المُسْلِمِ حَرَامٌ: دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Janganlah kalian saling mendengki, janganlah kamu melakukan tanajush (menawar harga tinggi bukan untuk membeli tetapi untuk menipu), janganlah saling benci, janganlah kamu saling memulaukan (memalingkan belakang), dan janganlah menjual di atas jualan saudaranya. Kalian jadilah hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara untuk muslim lainnya. Dia tidak boleh menzaliminya, tidak boleh membiarkannya (ketika dia memerlukan bantuan), tidak boleh membohonginya, dan tidak boleh menghinanya. Takwa itu di sini – baginda memberi isyarat ke dadanya tiga kali. Cukuplah seseorang berdosa jika dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim atas muslim lainnya itu haram darahnya, hartanya, dan kehormatannya.’”

[HR. Muslim no. 2564]

Hadis ini adalah petunjuk Nabi dalam masalah akhlak. Nabi mengajar kaedah dalam masalah bersaudara. Apa sikap kita terhadap saudara kita muslim yang lain? Ia mengajar tentang kewajipan kita terhadap muslim yang lain.


 

Syarah Hadis

لاَ تَحَاسَدُوا (Janganlah kalian saling mendengki) 

Maksud لاَ تَحَاسَدُوا adalah jangan dengki atau hasad. Dan kita telah pernah belajar tentang hasad di dalam hadis lain. Akan tetapi kalimah تَحَاسَدُوا adalah di dalam wazan تفاعل yang bermaksud saling melakukan. Jadi kalimah تَحَاسَدُوا bermaksud  saling berdengki. Saling hasad menghasad.  Bukan satu pihak sahaja yang berdengki. Tentang hasad ini kita telah pernah bincangkan di dalam Hadis #25

Akan tetapi walaupun disebut ia di dalam Wazan تفاعل, kalau seorang hasad, tidaklah jadi OK pula. Tidaklah begitu. Kalau seorang hasad pun tidak boleh. Kalau seorang hasad pun sudah teruk, apa lagi kalau saling hasad? Ia lebih teruk! Sedangkan Islam mengajar kita saling mencintai, jadi kalau saling hasad, itu melanggar suruhan Allah dan RasulNya. Rasulullah bersabda,

عَنْ أَنُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى 
Daripada An-Nu’man bin Bashir RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:”Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, saling mengasihi, dan saling menyayangi adalah seumpama satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain akan turut merasakannya, dengan tidak dapat tidur malam dan merasa demam.”

(Riwayat Al-Bukhari, No. 6011 & Muslim, No. 2586)

 

HASAD

Dalam istilah para ulama: “الحسد: تمني زوال النعمة عن الغير حصلت عليها أم لم تحصل” (Dengki adalah menginginkan hilangnya nikmat daripada orang lain, baik dia mendapatkannya atau tidak). Oleh itu hasad maksudnya ialah mereka berharap hilangnya nikmat yang ada pada saudaranya itu. Hasad ini maksudnya dia lihat orang itu ada kelebihan dan dia tidak puas hati, dia rasa dengki. Dan dia hendak nikmat itu hilang daripada orang yang ada nikmat itu. Kalau boleh dia dapat benda yang dia dengkikan itu, kalau tak dapat pun tidak mengapa, asalkan orang itu pun tak dapat! Begitulah teruknya sifat hasad ini. Rasulullah ada mengingatkan bahayanya hasad ini:

Kenapa pahala dimakan, atau dibakar (dimusnahkan)? Mungkin orang yang hasad itu rasa benci kepada orang lain, atau dia mula menuduh fitnah orang lain yang dapat nikmat itu. Malah mungkin dia ghibah atau lebih teruk dia melakukan sesuatu untuk menghilangkan nikmat kawan dia itu. Maka dia telah menzalimi orang lain dan ini menyebabkan pahalanya nanti dimakan oleh orang itu di akhirat kelak. Tidak rugi kah?

Apa contoh hasad? Kalau dalam masyarakat kita, mungkin dengki dengan orang yang dekat dengan kita. Contohnya, kita meniaga makan dan orang sebelah pun meniaga makan. Tengok-tengok kedai sebelah lagi ramai orang dari kedai kita. Ada orang yang jadi dengki dan berharap kedai sebelah itu terbakar lah, ada yang lagi teruk, pergi jumpa bomoh minta buat sesuatu.

Kadang orang yang jaga agama pun boleh dengki. Katakanlah seorang Imam 1 di masjid. Di masjid itu pula ada Imam 2. Tapi Imam 2 ini lagi popular dari dia Imam 1. Itu pun dia boleh jadi dengki dan dia mungkin cakap benda tak elok tentang Imam 2 itu supaya nama Imam 2 itu jatuh.

Atau, kadang seorang yang sudah lama belajar agama, kemudian dia tengok ada orang yang baru sahaja belajar tapi lebih pandai dari dia. Ini pun ada orang boleh dengki. Sedangkan itu kelebihan yang Allah beri kepada orang itu. Kepandaian tidak sama antara satu orang dengan seorang yang lain. Ada orang lebih cerah otak dia, ada orang yang lembam. Jadi kena terima sahaja lah, jangan pula dengki.

Jangan kata ia hanya berlaku di kalangan orang biasa sahaja, sebab di kalangan ulama’ pun terjadi perkara ini. Kerana itu ada satu kaedah emas yang sangat masyhur dalam disiplin Ilmu Hadis dan Ilmu Rijal (ilmu menilai biografi dan kredibiliti para ulama). Dalam tradisi ilmiah Islam, ungkapan asal bagi kaedah ini dalam bahasa Arab berbunyi: “كَلَامُ الأَقْرَانِ يُطْوَى وَلَا يُرْوَى” (Kata-kata (kritikan) sesama rakan sebaya/yang bersaing, hendaklah dilipat (disimpan/diabaikan) dan jangan diriwayatkan (disebarkan). Apakah maksudnya?

Siapakah yang Dimaksudkan dengan “Orang yang Bersaing” (Al-Aqran)? Al-Aqran bermaksud golongan ulama yang hidup dalam zaman yang sama, belajar daripada guru yang sama, atau berada dalam bidang kepakaran yang sama. Kerana mereka berada dalam satu “gelanggang” yang sama, maka secara fitrah manusia, ruang untuk berlaku persaingan, salah faham, perbezaan ijtihad yang tajam, malah perasaan cemburu (hasad) amat mudah terjadi, sekalipun mereka adalah orang yang alim.

Mengapa Perlu “Dilipat” (يُطْوَى) dan “Jangan Diriwayat” (لَا يُرْوَى)? Para ulama hadis (seperti Imam al-Dzahabi, Imam Ibnu Abbas, dan lain-lain) menyedari bahawa apabila seorang ulama mengkritik ulama lain yang setaraf dengannya, kritikan tersebut kadangkala tidak lagi bersifat objektif (ilmiah), sebaliknya telah dicampuri oleh emosi kemanusiaan atau sentimen persaingan. Oleh itu, sikap para ulama hadis apabila berhadapan dengan kes begini adalah: Dilipat (يُطْوَى): Maksudnya ketepikan kritikan tersebut. Jangan jadikan ia sebagai hujah untuk menjatuhkan kredibiliti ulama yang dikritik itu. Jangan Diriwayat (لَا يُرْوَى): Jangan disebarkan atau diheboh-hebohkan kepada masyarakat awam, kerana ia hanya akan menimbulkan fitnah, meruntuhkan rasa hormat terhadap institusi ulama, dan mencetuskan pergaduhan sesama pengikut.

Contoh Klasik dalam Sejarah Islam: Sejarah merakamkan beberapa tokoh besar yang sangat hebat keilmuannya, tetapi pernah saling mengkritik dengan tajam kerana faktor kedekatan zaman dan persaingan ilmu. Contohnya Imam Malik bin Anas dan Imam Ibnu Abi Zi’b. Kedua-duanya adalah ‘singa ilmu’ di Kota Madinah. Mereka pernah berbeza pandangan dengan sangat keras dalam beberapa isu fiqah sehingga mengeluarkan kenyataan yang agak tajam sesama sendiri.

Satu lagi contoh adalah antara Imam Al-Bukhari dan Imam Muhammad bin Yahya Al-Duhli. Pernah berlaku salah faham yang besar antara kedua-dua tokoh hadis ini di Nishapur berkaitan isu lafaz Al-Qur’an (adakah Al-Qur’an makhluk atau tidak?), sehinggakan Imam Al-Duhli melarang orang ramai menghadiri majlis Imam Al-Bukhari.

Bagaimana sikap umat Islam kemudiannya? Umat Islam mengambil kaedah “كَلَامُ الأَقْرَانِ يُطْوَى وَلَا يُرْوَى”. Kita “lipat” kes pergaduhan tersebut, dan kita tetap mengambil ilmu serta meriwayatkan hadis daripada kedua-dua Imam Al-Bukhari mahupun Imam Al-Duhli kerana masing-masing adalah tokoh yang thiqah (dipercayai).

Kaedah ini sebenarnya adalah ubat yang sangat mujarab untuk keharmonian masyarakat, terutamanya di zaman media sosial hari ini. Apabila kita melihat ada dua orang ustaz, tokoh agama, atau ilmuwan yang setaraf dengannya sedang bertelingkah, menyindir, atau mengkritik peribadi sesama sendiri di media sosial, kita sebagai orang awam hendaklah “melipat” isu tersebut (jangan masuk campur atau menyebelahi mana-mana pihak dengan taksub). Kita “jangan meriwayatkannya” (jangan share, jangan ulas, dan jangan panjangkan sengketa tersebut). Kita patut fokus kepada ilmu bermanfaat yang ada pada kedua-duanya, dan membiarkan perbezaan sesama mereka diselesaikan secara ilmiah atau diserahkan urusannya kepada Allah SWT.

Oleh itu, hasad ini tidak bagus dan ia perbuatan yang dikutuk oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ sebut dalam Al-Qur’an berkenaan dengan perangai orang musyrik, orang-orang munafiq, orang-orang Yahudi dan Nasrani yang dengki apabila Allah ‎ﷻ turunkan wahyu kepada orang Islam. Perhatikan Baqarah:105

Malah dosa yang pertama sekali dalam sejarah kejadian manusia ialah hasad. Itulah dosa yang dilakukan oleh iblis. Ia adalah dosa pertama yang terjadi di langit. Dia hasad apabila kedudukan Khalifah diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana dia merasa bahawa dia lebih layak daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang baru sahaja dijadikan sedangkan dia sudah lama berkhidmat kepada Allah ‎ﷻ. Sekali lagi hasad itu maksudnya berharap hilangnya nikmat daripada orang lain dan ini adalah perbuatan yang mungkar.

Kita kenalah ingat yang hasad ini ialah amal qalbi (hati). Ia adalah akhlaq mazmumah. Maksudnya kalau kita melayan perasaan ini di dalam hati, sudah berdosa tanpa membuat apa-apa pun lagi. Maknanya hasad ini kalau hanya ada di dalam hati pun sudah berdosa walaupun belum diluahkan dengan kata-kata atau melakukan apa-apa pun lagi kerana hasad ini bukanlah setakat lintasan hati. Lintasan hati memang susah dijaga kerana kadang-kadang perasaan itu lalu di dalam hati kita, bukan? Rasulullah ada bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «ثَلَاثٌ لَا يَسْلَمُ مِنْهُنَّ أَحَدٌ، أَوْ قَلَّ مَنْ يَسْلَمُ مِنْهُنَّ: الطِّيَرَةُ، وَالظَّنُّ، وَالْحَسَدُ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَمَا صَنِيعُ مَنْ كَانَ ذَلِكَ فِيهِ؟ قَالَ: «إِذَا تَطَيَّرْتَ فَلَا تَرْجِعْ، وَإِذَا ظَنَنْتَ فَلَا تُحَقِّقْ، وَإِذَا حَسَدْتَ فَلَا تَبْغِ»
Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang tiada seorang pun boleh selamat daripadanya (atau tersangat sedikit orang yang boleh selamat daripadanya): Al-Tiyarah (merasa sial disebabkan sesuatu), sangka buruk (prasangka), dan hasad (dengki/cemburu).” Lalu ditanyakan kepada baginda: “Wahai Rasulullah, apakah yang harus dilakukan oleh seseorang sekiranya perkara tersebut ada di dalam dirinya?” Baginda SAW menjawab: “Apabila kamu merasa sial (terlintas di hati), janganlah kamu berpatah balik (teruskan urusanmu). Apabila kamu menyangka buruk, janganlah kamu membuktikan (jangan mencari-cari kesalahan/menyelidiki). Dan apabila kamu merasa hasad, janganlah kamu melampaui batas (jangan layan dan jangan lakukan kezaliman).”

Imam Al-Baihaqi dalam kitab Syu’ab al-Iman (No. 1162); Imam At-Tabarani dalam Al-Mu’jam al-Kabir (No. 3227) daripada jalur Ibnu Abbas RA; Imam Ibnu Abi al-Dunya dalam kitab Al-Samt.

Status: Syeikh Al-Albani menilai hadis ini sebagai Dhaif (Lemah) dari segi rantaian sanadnya yang spesifik dalam Dhaif al-Jami’ (No. 2603). Namun dari segi makna (Matan): Para ulama muhaqqiq (seperti Ibnu Rajab al-Hanbali dan Ibnu Taimiyyah) menyatakan bahawa makna hadis ini adalah Sahih dan diakui oleh syarak. Ini kerana setiap bahagian larangan dalam hadis ini mempunyai sokongan daripada ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis sahih yang lain.

Berdasarkan kefahaman terhadap dalil-dalil di atas, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengeluarkan satu fatwa klasik yang sangat masyhur dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa:

«مَا خَلَا جَسَدٌ مِنْ حَسَدٍ، لَكِنَّ اللَّئِيمَ يُبْدِيهِ وَالْكَرِيمَ يُخْفِيهِ»
“Tidak ada satu tubuh pun yang sunyi (bersih sepenuhnya) daripada sifat hasad. Akan tetapi, orang yang keji akan menzahirkannya, manakala orang yang mulia (beriman) akan menyembunyikannya.”

Selalunya yang hasad ini dengan orang sejenis. Kita orang biasa tak hasad dengan Perdana Menteri sebab memang tak boleh dapat pun. Tapi kita hasad dengan orang yang sama taraf dan kedudukan dengan kita. Pengurus hasad dengan pengurus, yang buka kedai makan hasad dengan kedai makan lain, yang miskin hasad sama orang miskin, jiran hasad dengan jiran. Tok Imam 1 hasad dengan Tok Iman 2. Ha begitu. Yang buka kedai makan, dia tak hasad dengan tokei Supermarket.

Tidaklah berdosa lagi kalau setakat lintasan sahaja dan belum ada usaha lagi. Ia belum menjadi niat. Namun begitu jikalau dilayan perasaan itu dalam hati, ia sudah dikira menjadi usaha. Maka kita kenalah perasan lintasan hati itu dan cepat-cepat menutup perasaan itu dan jangan dilayan kerana ia adalah bisikan daripada syaitan. Contohnya jiran kita ada beli kereta baru, cantik pula tu. Biarlah dia… sudah rezeki dia yang Allah yang beri. Kita doakanlah dia selamat guna kereta itu. Nanti ada rezeki kita, dapat pulalah kita kereta macam itu atau lebih baik lagi. Apa susah nak jinakkan hati kita sebegini?

Yang menjadi masalah apabila kita tidak sedar tentang perkara ini dan biarkan sahaja ia terus bermain di benak fikiran kita. Malah kalau kalau ada lintasan hati yang mengajak kepada dengki dan kita halang dan tahan ia, ia akan memberi pahala pula kepada kita. Dalilnya adalah Naziat:40-41

وَأَمَّا مَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفۡسَ عَنِ ٱلۡهَوَىٰ (٤٠) فَإِنَّ ٱلۡجَنَّةَ هِىَ ٱلۡمَأۡوَىٰ (٤١)
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; (40) Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. (41)

Kalau dizahirkan dengan lisan, lagilah bertambah dosa dan lebih buruk. Sebab itu sudah terkeluar dari hati kita! Contoh hasad lisan adalah bagaimana kadangkala kita dengar orang berkata: “Alah dia tu dapat naik pangkat tu bukan apa, sebab dia guna kabellah tu! Sebab dia pandai bodek!”

Kalau kita melawan lintasan hati hasad itu akan beri pahala, bagaimana lawan lisan itu dari berkat-kata yang buruk? Kita lawan dengan mendoakan orang yang kita ada rasa hasad itu. Iaitu mendoakan orang itu dengan kebaikan. Contohnya kita cakap, “Barakallah fik, semoga Allah berikan kebaikan kepada anda atas pemberian nikmat ini….” Shaykh Sulayman al-Ruhayli pernah nasihat dalam satu kuliah beliau, antara ubat hasad yang paling berkesan sekali ialah apabila kita rasa dengki sahaja, kita doakan dia, sama ada depan dia atau belakang dia. Dan lebih berkesan lagi kata Shaykh kalau kita doakan di belakang dia. Dan terlebih baik, kita cakap pula kelebihan dia di hadapan orang lain.

Yang kita mahu adalah supaya perasaan ghil itu hilang. Perasaan ini senang sahaja datang secara tiba-tiba. Secara ringkasnya, Ghil (غل) dalam bahasa Arab bermaksud perasaan dengki, dendam, atau kebencian yang tersembunyi di dalam hati. Dalam konteks Islam, istilah ini sering digunakan untuk menggambarkan “kotoran” hati yang menghalang seseorang daripada merasai ketenangan atau keikhlasan terhadap orang lain.

Jadi hasad dengki itu bermula dengan hati. Ia jadi dosa kalau dilayan-layan dan disimpan di dalam hati. Kemudian ia menjadi lebih teruk lagi kalau keluar dari mulut kita. Sekiranya dilakukan dengan perbuatan badan pula untuk menghilangkan nikmat daripada orang lain, lagilah teruk! Hasad dengan badan pula, bagaimana? Ini apabila kita melakukan perbuatan-perbuatan untuk menghilangkan nikmat daripada orang lain. Ini lebih teruk kerana telah melibatkan perbuatan.

Kemudian para ulama’ juga mengatakan yang hasad ini ada tingkatan-tingkatan dia.

1. Tingkatan Hasad “Pasif”. Apabila seseorang itu merasa benci dan sesak dada jika orang lain terus mendapat nikmat yang lebih tinggi daripadanya. Dia mahu semua orang sama rata, dan dia tidak boleh menerima jika ada orang “lebih” daripadanya. Ini tetap dikira penyakit hati yang perlu diubat kerana ia seolah-olah tidak redha dengan pembahagian rezeki daripada Allah.

2. Tingkatan hasad yang lebih tinggi ialah apabila seseorang itu ingin agar nikmat orang lain itu hilang, walaupun nikmat itu tidak berpindah kepadanya. Contoh: Dia benci melihat jirannya berjaya. Dia tidak mahu pun kejayaan itu, dia cuma mahu melihat jiran itu jatuh atau gagal. Ini adalah haram dan merupakan dosa besar.

3. Tingkatan hasad yang lebih tinggi adalah apabila seseorang itu ingin agar nikmat orang lain itu hilang supaya nikmat tersebut berpindah kepadanya. Contoh: Dia mahukan jawatan rakannya. Dia berharap rakan itu diturunkan pangkat atau dipecat supaya dia boleh mengambil alih jawatan tersebut.

Kemudian ada pendapat ulama’ lain yang mengubah susunan ini. Ada yang mengatakan kalau tidak mahu nikmat itu berpindah kepada dirinya yang lebih teruk! Seperti kata Ibnu Rajab Al-Hanbali, mahukan nikmat itu berpindah kepada dirinya adalah normal, tipikal, boleh difahami. Contohnya dia lihat orang lain berkuasa, dia pun hendak kuasa itu. Dia lihat orang lain ada kekayaan, dia pun hendak kekayaan. Ini biasa menjadi sifat manusia dan ramai orang sebegitu. Tapi kalau mahu orang yang dapat nikmat itu hilang nikmat, walaupun nikmat itu tidak berpindah kepadanya, itu lebih teruk kerana ini adalah sifat iblis. Iblis hasad kepada Nabi Adam bukannya dia hendakkan kedudukan Nabi Adam itu tapi semata-mata dia hendak nikmat dan kedudukan Nabi Adam itu dijatuhkan! Dia sudah tahu yang dia tidak akan dapat masuk syurga, sekarang dia tidak mahu Nabi Adam dan anak cucunya pula masuk syurga! Jadi ada orang yang rasa, biarlah tidak ada sesiapa pun dapat kedudukan itu, asalkan bukan orang lain! Maksudnya, biarlah hilang terus, walaupun tidak berpindah kepadaku, janji tak ada siapa yang dapat. Inilah penyakit hati yang busuk dan teruk.

Hasad ini bukan sahaja terhadap individu tertentu, tapi kepada kumpulan yang ramai. Allah telah berfirman di dalam Nisa’:54 tentang hasad Bani Israil,

أَمۡ يَحۡسُدُونَ ٱلنَّاسَ عَلَىٰ مَآ ءَاتَٮٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦ‌ۖ فَقَدۡ ءَاتَيۡنَآ ءَالَ إِبۡرٰهِيمَ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَءَاتَيۡنَـٰهُم مُّلۡكًا عَظِيمًا
“Ataukah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) lantaran karunia yang Allah telah berikan kepada mereka? Sesungguhnya Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim, dan Kami telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar.”

Kenapa Bani Israil itu dengki kepada Nabi Muhammad dan bangsa Arab? Kerana pada mereka, pangkat kenabian dan Nabi Akhir Zaman itu sepatutnya diberikan kepada puak Yahudi. Pada mereka, mana boleh bangsa Arab lebih mulia dari mereka! Tapi kita boleh persoalkan balik kenapa mereka hendak dengki sedangkan Nabi Ibrahim yang mereka iktiraf sebagai Nabi pun bukan bangsa Arab juga. Dan bukankah kita semua adalah berasal usul dari Nabi Ibrahim? Jadi kenapa hendak dengki pula? Ini kerana mereka menolak kebenaran wahyu. Allah juga telah berfirman tentang hal ini di dalam Baqarah:109 

وَدَّ كَثيرٌ مِّن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ لَو يَرُدّونَكُم مِّن بَعدِ إِيمَـٰنِكُم كُفّارًا حَسَدًا مِّن عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ
Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran

Patutlah kita diajar di dalam Al-Qur’an agar jangan ada dengki dalam hati terhadap Muslim lain. Ada satu doa yang kita amalkan di dalam Hashr:10

وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
“…dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki (ghil) terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan-Mu, lagi Maha Mengasihani.”

Maka semoga kita berjaga-jaga dan pandang berat hal ini sampai tidak ada hasad dalam hati kita. Memang kita tak boleh ada hasad sebab orang yang hasad ini ada masalah besar dalam aqidah. Kenapa hasad ini masalah aqidah pula? Bukankah ia isu akhlaq sahaja? Ia termasuk dalam bab aqidah sebab orang yang ada hasad ini dia tak redha dengan cara Allah Ta’ala membahagi-bahagikan pemberian Dia. Jadi ini adalah masalah besar sebenarnya. Sebab Allah Ta’ala telah meletakkan rezeki masing-masing. Allah telah menetapkan segala-galanya, dari rupa bentuk tubuh kita, kulit kita, warna kita, rezeki kita, ajal kita dan segala-galanya. Jadi bila tidak redha dengan pemberian Allah, maka itu yang menjadi hasad dalam hati kita. Kita tak puas hati kenapa orang lain dapat itu dan ini, sedangkan itu adalah pemberian Allah! Jadi hasad ini sangat tercela sebab dia mempertikaikan kebijaksanaan Allah, mempertikaikan rahmat Allah, mempertikaikan hikmah Tuhan, dalam bab pemberian kepada makhluk. Dalam Al-Qur’an, banyak ayat berkenaan dengan hal ini. Contohnya Tawbah:59

وَلَو أَنَّهُم رَضوا ما ءآتىٰهُمُ اللَّهُ وَرَسولُهُ وَقالوا حَسبُنَا اللَّهُ سَيُؤتينَا اللَّهُ مِن فَضلِهِ وَرَسولُهُ إِنّا إِلَى اللَّهِ رٰغِبونَ
Jikalau mereka sungguh-sungguh redha dengan apa yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka, dan berkata: “Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan sebahagian dari kurnia-Nya dan demikian (pula) Rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berharap kepada Allah,”

Allah menegur golongan yang tidak redha dengan ketentuan Allah. Lihat Zukhruf:31

وَقالوا لَولا نُزِّلَ هٰذَا القُرءآنُ عَلىٰ رَجُلٍ مِّنَ القَريَتَينِ عَظيمٍ
Dan mereka berkata: “kenapakah Al-Qur’an ini tidak diturunkan kepada seorang besar dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?”

Maksudnya mereka dengki, kenapa tak turunkan Al-Qur’an kepada orang yang besar daripada dua bandar? Dua bandar yang dimaksudkan adalah Mekah dan Taif (Madinah/Yathrib tidak terkenal pada waktu itu). Musyrikin Mekah mempersoalkan kenapa Allah tidak bagi wahyu kepada dua pemimpin lain yang pada mereka lebih layak dari Rasulullah. Maksudnya mereka tak redha dengan ketetapan Allah lah. Maka Allah balas balik di dalam ayat selepasnya,

أَهُم يَقسِمونَ رَحمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحنُ قَسَمنا بَينَهُم مَّعيشَتَهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا
(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia. 

Begitu jugalah kita kena redha dengan ketentuan Allah menurunkan Al-Qur’an di Mekah dan kepada seorang insan yang bernama Nabi Muhammad. Mekah itu sendiri adalah tanah yang paling mulia dan baginda adalah orang yang paling layak. Mungkin ada yang kurang ajar dan bertanya: Kenapa bukan Malaysia? Kenapa bukan KL? Mekah tanah yang kering kontang, air pun kurang, jadi bagaimana ia boleh jadi pusat Islam? Kenapa tak pilih KL?

Allah Ta’ala pilih orang Arab untuk jadi bantu Nabi SAW pada zaman baginda. Bukannya orang Melayu. Allah Ta’ala telah memilih Bulan Ramadhan sebagai bulan yang mulia diturunkan Al-Qur’an, semua itu adalah pilihan Allah dan kita tidak ada hak untuk mempersoalkan. Allah berfirman di dalam Qasas:68,

وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَخْتَارُ ۗ مَا كَانَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ ۚ سُبْحَانَ اللَّهِ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ
“Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilih-Nya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (dengan Dia).”

Maka redhalah dengan apa yang Allah telah tetapkan. Rasulullah pernah bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ يَأْخُذُ عَنِّي هَؤُلَاءِ الكَلِمَاتِ فَيَعْمَلُ بِهِنَّ أَوْ يُعَلِّمُ مَنْ يَعْمَلُ بِهِنَّ؟ فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: فَقُلْتُ: أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَأَخَذَ بِيَدِي فَعَدَّ خَمْسًا وَقَالَ: اتَّقِ المَحَارِمَ تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ، وَارْضَ بِمَا قَسَمَ اللَّهُ لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النَّاسِ، وَأَحْسِنْ إِلَى جَارِكَ تَكُنْ مُؤْمِنًا، وَأَحِبَّ لِلنَّاسِ مَا تُحِبُّ لِنَفْسِكَ تَكُنْ مُسْلِمًا، وَلَا تُكْثِرِ الضَّحِكَ، فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ القَلْبَ. (رواه الترمذي وأحمد)
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Siapakah yang mahu mengambil kalimat-kalimat ini daripadaku, lalu dia mengamalkannya atau mengajarkannya kepada orang yang akan mengamalkannya?” Abu Hurairah menjawab: “Saya, wahai Rasulullah!” Lalu Baginda memegang tanganku dan menghitung lima perkara: Peliharalah dirimu dari perkara-perkara yang haram, nescaya engkau akan menjadi orang yang paling ahli ibadah. Redhalah dengan apa yang telah Allah bahagikan (tentukan) untukmu, nescaya engkau akan menjadi orang yang paling kaya. Berbuat baiklah kepada jiranmu, nescaya engkau akan menjadi mukmin yang sejati. Cintailah untuk manusia apa yang engkau cintai untuk dirimu sendiri, nescaya engkau akan menjadi Muslim yang sejati. Janganlah engkau banyak ketawa, kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati.

Sunan At-Tirmidzi: No. 2305 (Imam At-Tirmidzi menyatakan hadis ini Gharib); Musnad Ahmad: No. 8081; Syu’abul Iman (Al-Baihaqi): No. 9543; Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (Syeikh al-Albani): No. 930 (Beliau menilai hadis ini sebagai Hasan).

Syarah: Ibnu Rajab ada mengulas dalam kitabnya bahawa orang yang tidak redha dengan pembahagian Allah akan sentiasa merasa fakir (miskin) walaupun dia memiliki gunung emas, kerana hatinya sentiasa dahaga akan apa yang ada di tangan orang lain.

Jadi apakah ringkasan cara untuk menghilangkan ?

1. Pertama, kena faham bahawa isu hasad ini bukan isu kecil tapi ia melibatkan masalah aqidah. Kena faham bahawa setiap yang Allah Ta’ala beri ini ialah Qismatullah. Pemberian Allah Ta’ala dan pembahagiannya.

2. Yang kedua, untuk hilangkan hasad, dia kena mendoakan orang tersebut di belakangnya. Malah lebih baik kalau disebut-sebut kelebihan orang yang mendapat nikmat itu di hadapan orang lain.

3. Yang ketiga, kena ingat apakah ancaman yang berat kepada orang yang hasad. Sebagai contoh iblis telah hasad maka kerana itu iblis telah cuba merosakkan dunia ini dan dia telah ditentukan akan  masuk ke dalam neraka. Bani Israil ada hasad dan disebabkan hasad mereka sanggup menolak kebenaran. Banyak sekali kutukan Allah terhadap golongan ini. Allah banyak menceritakan tentang golongan yang sesat ini supaya kita beringat.

Begitulah bahayanya hasad. Kadang-kadang sebab hasad, orang yang datang dan bawa benda yang betul pun dia dikatakan salah juga. Ini macam ahli politik lah yang hanya terima apa benda yang dia hendak dengar sahaja. Dia hanya terima kata-kata dari ahli partinya sahaja. Yang selain darinya, mereka akan tolak kerana mereka tidak boleh terima kebenaran kerana tidak mahu ada kelebihan pada orang lain. Jadi kalau ada lawan politik dia bawa benda betul pun dia tak boleh sokong, kerana kalau dia sokong, nanti dia terlepas kuasa pula. Jadi dia akan hentam cukup-cukup, cakap mengarut pun dia akan cakap,  janji dapat hentam supaya dapat jatuhkan lawan dari parti lain. Itu hasad dan penyakit ahli politik.

Ada pula jenis orang yang apabila melihat nikmat yang ada pada orang lain, dia pun teringin juga. Tapi dia tidaklah berharap supaya nikmat itu ditarik daripada orang itu, tapi dia pun hendak juga bersungguh-sungguh. Kalau berkehendak di dalam bab keduniaan, ia tidaklah bagus. Malah dikutuk oleh Allah seperti yang disebut tentang manusia yang apabila melihat kekayaan Qarun, mereka pun hendak juga kerana mereka bersifat materialistik. Ini disebut di dalam Qasas:79

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ في زينَتِهِ ۖ قالَ الَّذينَ يُريدونَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا يٰلَيتَ لَنا مِثلَ ما أوتِيَ قٰرونُ إِنَّهُ لَذو حَظٍّ عَظيمٍ
Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar”.

Jadi janganlah kita ada perasaan dan sifat begini. Sebab buat sakit hati sahaja kalau kita tidak dapat. Terliur meleleh tengok orang lain dapat, tapi kita tidak dapat. Buat apa layan perasaan sebegitu? Allah berfirman di dalam Taha:131

وَلا تَمُدَّنَّ عَينَيكَ إِلىٰ ما مَتَّعنا بِهِ أَزواجًا مِنهُم زَهرَةَ الحَياةِ الدُّنيا لِنَفتِنَهُم فيهِ ۚ وَرِزقُ رَبِّكَ خَيرٌ وَأَبقىٰ
Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.

Kenapa Allah kaitkan nikmat dunia dengan زَهرَةَ الحَياةِ الدُّنيا? Kalimah زَهرَةَ bermaksud bunga. Bunga memang cantik, baunya wangi, tapi tidak kekal. Buat apa hendak kecoh tentang benda yang tidak kekal? Agak bodoh kalau begitu, bukan? Tengok orang senang, dia sakit hati. Orang yang senang itu rasa senang, dia pula menzalimi dirinya dengan menyakiti dirinya. Kalau kita hasad kepada orang cantik, adakah kita jadi cantik automatik? Tidak! Kalau kita hasad dengan orang berilmu, adakah kita tiba-tiba jadi pandai? Tidak juga! Maknanya tidak ada hasil pun kalau kita hasad dengan orang, bukan? Jadi buat apa?

Dan Allah kata ia لِنَفتِنَهُم فيهِ yang bermaksud nikmat dunia itu Allah uji manusia. Memang harta adalah ujian dunia. Bila sudah ada, sudah kena jaga. Dan kalau banyak harta, banyak duit, bolehkah seseorang tetap beribadah dan beramal seperti masa dia miskin? Ramai yang kalah dengan nikmat dunia kerana kekayaan telah menjadikan dia lalai dengan akhirat. Mungkin boleh jadi sombong dan pandang rendah orang lain. Dan nanti di akhirat lagi banyak harta, lagi banyak kena tanya, bukan? Di dunia lagi sudah kecoh. Contohnya seorang isteri tengok kawan dia ada beg tangan cantik. Balik rumah merengek pada suami hendak beg yang sama padahal suami tak mampu. Bukankah sudah kecoh suami isteri jadinya? Sebab itu mengarut medsos sekarang sikit-sikit hendak tunjuk benda baru beli. Takut ada yang tak mampu tapi teringin dok terbayang-bayang.

Akan tetapi, jikalau mereka melihat nikmat orang lain dari segi agama, maka ini digalakkan. Itulah ‘hasad’ yang baik.

 

Hasad yang baik. 

Kita telah melihat contoh-contoh hasad yang negatif, yang buruk. Kita juga telah bincangkan tentang mendambakan nikmat keduniaan. Tapi kalau kita mendambakan nikmat dari segi agama, maka ini bagus. Inilah yang dikatakan hasad yang bagus. Inilah sahaja hasad yang dibenarkan. Sebenarnya ia bukan ‘hasad’ tapi dipinjam istilah itu. Perkara ini berdasarkan kepada hadis,

Maknanya kita dibenarkan untuk cemburu kepada seseorang yang menggunakan hartanya dalam dan pada ketaatan. Yang kedua pula, boleh kalau kita rasa cemburu dengan seseorang beramal dengan ilmunya dan dia berhukum dengan ilmunya. Namun begitu yang ini sebenarnya tidaklah dipanggil hasad tetapi namanya adalah ghibtah (غبطة).

Ghibtah ini bagus kerana kita berharap hendak jadi seperti orang tu. Kita tidak berharap pun orang itu ditarik nikmat darinya. Kita berharap supaya kita pun jadi kaya macam dia supaya kita dapat bersedekah, contohnya. Kita hendak jadi pandai seperti orang itu supaya kita boleh beramal dan kita boleh menyampaikan ilmu itu kepada orang lain. Ia berlainan dengan hasad kerana orang yang hasad berharap dihilangkan nikmat itu daripada orang itu.

Jadi hasad ini ada banyak jenis sebenarnya atau banyak tingkatan.


 

لاَ تَنَاجَشُوا (janganlah kalian melakukan tanajush) 

Maksud لاَ تَنَاجَشُوا yang juga di dalam wazan تفاعل bermaksud jangan kamu saling melakukan tanajush di dalam perniagaan. Dalam kitab Jami’ al-Ulum wal-Hikam, Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa ia merupakan larangan keras dalam etika muamalah/jual beli.  Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.A, beliau berkata:

نَهَى النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ عَنِ النَّجْشِ
“Nabi SAW melarang daripada melakukan an-najash.”

(Hadis Riwayat Bukhari, No. 2142 & Muslim, No. 1516)

Dari segi bahasa, Najash bermaksud “menghalau binatang dari tempat persembunyiannya untuk diburu.” Dari segi syarak, Najasy adalah tindakan seseorang yang menawarkan barang dengan harga tinggi, namun tujuannya bukan untuk membeli, melainkan agar orang lain (pembeli yang benar-benar hendak membeli) tertarik dan membeli barang tersebut dengan harga yang lebih mahal. Tujuan perbuatan ini dilakukan adalah untuk menipu pembeli yang betul dan memberikan keuntungan palsu kepada penjual (manipulasi harga). Ada kemungkinan mereka berdua telah berpakat untuk buat begitu supaya dapat dikongsi keuntungan lebih itu.

Mungkin kita susah nak faham kalau kita tidak tahu tentang konteks amalan ini. Orang Arab dahulu mereka berniaga di pasar, mereka berjualan dengan konsep bidaan atau lelongan. Siapa yang beri harta tertinggi akan dapat beli barang yang dilelong itu. Tanajusy ini adalah pakatan yang melibatkan pembida yang menawarkan harga lebih tinggi, tapi dia sebenarnya bukan hendak beli pun, tapi tujuannya adalah untuk menaikkan harga barang itu. Ataupun hendak memberikan keburukan kepada pembeli tersebut. Iaitu sepatutnya pembeli itu boleh beli dengan harga yang murah, tapi dengan proses tanajusy ini, harga terus naik jadi tinggi melambung dari yang sepatutnya.

Hukum asal bidaan atau Auction adalah HARUS (DIBENARKAN). Dalilnya adalah perbuatan Nabi SAW sendiri. Terdapat hadis yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah menjual sehelai kain alas duduk dan sebuah bekas air milik seorang sahabat Ansar yang sedang dalam kesulitan. Nabi SAW bertanya:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَاعَ حِلْسًا وَقَدَحًا وَقَالَ: مَنْ يَشْتَرِي هَذَا الْحِلْسَ وَالْقَدَحَ؟ فَقَالَ رَجُلٌ: أَخَذْتُهُمَا بِدِرْهَمٍ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ؟ مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ؟ فَأَعْطَاهُ رَجُلٌ دِرْهَمَيْنِ، فَبَاعَهُمَا مِنْهُ
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW menjual sebuah hamparan kain (alas duduk) dan sebuah bekas minuman (cup), lalu Baginda bersabda: “Siapakah yang mahu membeli hamparan dan bekas ini?” Seorang lelaki berkata: “Aku mengambil keduanya dengan harga satu dirham.” Kemudian Nabi SAW bersabda (menawarkan semula): “Siapakah yang mahu menambah lebih daripada satu dirham? Siapakah yang mahu menambah lebih daripada satu dirham?” Lalu seorang lelaki memberikan dua dirham, maka Baginda pun menjual kedua-dua barang tersebut kepadanya.

Sunan At-Tirmidzi: No. 1218 (Beliau menyatakan hadis ini Hasan); Sunan Abu Daud: No. 1641; Sunan An-Nasa’i: No. 4507; Sunan Ibnu Majah: No. 2198.

Untuk memastikan sesebuah bidaan itu tidak jatuh kepada haram (Tanajush), ia mestilah memenuhi syarat berikut:

    • Niat Membeli: Setiap orang yang membida mestilah benar-benar berniat untuk membeli barang tersebut jika dia menang.
    • Tiada Pakatan Jahat: Penjual tidak boleh mengupah “pembida hantu” untuk menaikkan harga secara sengaja.
    • Ketelusan: Maklumat tentang barang mestilah benar dan tidak disorokkan kecacatannya.

Jadi jika bidaan itu dilakukan secara jujur untuk mencari harga pasaran tertinggi, ia adalah halal. Namun, jika bidaan itu diganggu oleh unsur Najash (orang yang membida hanya untuk menaikkan harga tanpa niat membeli), maka perbuatan orang yang menaikkan harga itu adalah dosa dan haram.

Hukum Najasy adalah haram kerana mengandung unsur penipuan (ghasysy), pembohongan, dan merugikan orang lain. Larangan ini diletakkan dalam konteks hadis “Muslim bersaudara” untuk menunjukkan bahawa persaudaraan yang sejati tidak boleh dinodai dengan transaksi ekonomi yang curang atau menzalimi sesama sendiri.

Ibnu Rajab Al-Hanbali menekankan bahawa Tanajush merosakkan nilai persaudaraan muslim kerana ia membina keuntungan di atas penipuan terhadap orang lain.

Ulama’ mengatakan Tanajusy bukan sekadar dalam masalah bidaan tetapi ia boleh menjadi lebih umum. Apa sahaja bentuk penipuan dalam perniagaan itu adalah najasy. Iman Ibnu Rajab mengatakan perkataan najasy itu umum dan ia termasuk melakukan sesuatu dengan tipu daya, dengan helah dan makar. Beliau memberikan Ayat Fatir:43 sebagai dalil,

وَمَكرَ السَّيِّئِ ۚ وَلا يَحيقُ المَكرُ السَّيِّئُ إِلّا بِأَهلِهِ
dan kerana rencana (mereka) yang jahat. Rencana yang jahat itu tidak akan menimpa selain orang yang merencanakannya sendiri

Rasulullah pernah bersabda,

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا، وَالْمَكْرُ وَالْخِدَاعُ فِي النَّارِ
Barangsiapa yang menipu kami, maka ia bukan golongan kami. Dan perbuatan makar (tipu daya jahat) serta pengkhianatan (tempatnya) di neraka.

At-Thabrani: Dalam kitab Al-Mu’jam al-Kabir (No. 10234); Ibnu Hibban: Dalam kitab Shahih Ibnu Hibban (No. 5559).

Inilah keistimewaan syarah Ibnu Rajab. Beliau tidak mengehadkan Najash kepada jual beli sahaja. Beliau menyebut bahawa Najash boleh berlaku dalam segala perkara yang melibatkan tipu daya untuk merugikan orang lain. Beliau memetik kata-kata sebahagian ulama Salaf:

“Najash itu merangkumi segala bentuk perbuatan menipu dan memperdaya sesama muslim.”

Sesuai dengan perbincangan anda sebelum ini, Ibnu Rajab mengaitkan larangan Najash dengan larangan Hasad (dengki) dan Tabaghud (benci-membenci) yang ada dalam hadis yang sama. Seseorang yang melakukan Najash selalunya didorong oleh:

    • Keinginan melihat orang lain rugi.
    • Keinginan melihat pihak tertentu (penjual) mendapat untung secara tidak adil.
    • Sifat mementingkan diri sendiri yang hilang rasa kasih sayang sesama muslim.

Ibnu Rajab menekankan bahawa seorang Muslim yang sejati adalah mereka yang “mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” Jika kita tidak suka ditipu dalam perniagaan, maka janganlah kita menjadi ejen penipu (Najash) yang menaikkan harga atau memberi testimoni palsu hanya untuk memperdaya orang lain. Contohnya kerana hendak bagi produk dia laku, dia suruh orang bagi testimoni palsu (“saya pakai seminggu jer kulit dah cerah weh!). Dengan testimoni palsu ini ramai yang tertipu dan beli seperti yang terjadi di jualan medsos sekarang.

Maka ini adalah larangan saling menipu antara satu sama lain dalam berniaga. Dan ini sangat banyaklah terjadi di zaman sekarang. Seorang sahabat terkenal yang bernama Huzaifah bin al-Yaman pernah berkata:

لَقَدْ مَرَّ عَلَيَّ زَمَانٌ وَمَا أُبَالِي أَيَّكُمْ بَايَعْتُ، لَئِنْ كَانَ مُسْلِمًا لَيَرُدَّنَّهُ عَلَيَّ دِينُهُ، وَلَيِنْ كَانَ نَصْرَانِيًّا أَوْ يَهُودِيًّا لَيَرُدَّنَّهُ عَلَيَّ سَاعِيهِ، وَأَمَّا الْيَوْمَ فَمَا كُنْتُ أُبَايِعُ مِنْكُمْ إِلَّا فُلَانًا وَفُلَانًا
“Sesungguhnya telah berlalu suatu zaman bagiku di mana aku tidak peduli dengan siapa pun di antara kamu aku berjual beli (bermuamalah). Jika dia seorang Muslim, maka agamanya akan menghalangnya (daripada mengkhianati aku). Jika dia seorang Nasrani atau Yahudi, maka penguasanya (wakil pemerintahnya) akan menghalangnya (daripada menipuku). Namun pada hari ini, aku tidak lagi berjual beli dengan kalian kecuali dengan si fulan dan si fulan (orang tertentu sahaja).”

Huzaifah berkata begitu sebab banyaknya orang yang menipu dalam amanah pada zaman beliau hidup. Kalau zaman sekarang tentulah lagi banyak. Tanajusy ini kita biasa kena dalam aplikasi jual beli macam Shoppe jugalah. Kadang barang yang diiklankan tidak sama dengan barang yang kita dapat, kualiti tidak sama langsung. Kadang kalau kita beli ubat-ubatan, bukan yang tulen pun. Jadi selalu terjadi scam kerana manusia sudah tidak ada amanah lagi.

Nabi Muhammad ﷺ telah memberi ancaman yang kuat sekali tentang menipu ini seperti dalam baginda

خمس بخمس ما نقض قوم العهد إلا سلط الله عليهم عدوهم وما حكموا بغير ما أنزل الله إلا فشا فيهم الفقر وما ظهرت فيهم الفاحشة إلا فشا فيهم الموت ولا طفَّفوا الكيل إلا مُنِعُوا النبات ولا مَنَعُوا الزكاة إلا حُبِسَ عنهم المطر.
“Ada lima perkara yang dibalas dengan lima perkara: tidak pernah suatu kaum yang melanggar janji, melainkan Allah ‎ﷻ akan membiarkan kaum itu dikuasai musuhnya. Tidak pernah mereka yang memutuskan perkara dengan hukuman yang tidak diturunkan oleh Allah ‎ﷻ, melainkan akan tersebar luaslah kefakiran dalam kalangan mereka. Penzinaan tidak pernah secara meluas di kalangan mereka secara luas, melainkan akan tersebar luaslah bahaya kematian. Tidak pernah mereka yang berbuat penipuan dalam menakar dan menimbang, melainkan mereka akan kehilangan kesuburan tumbuh-tumbuhan dan ditimpa musim kemarau. Dan tidak pernah mereka yang menahan zakat, melainkan akan diazab dengan hujan (kemarau yang panjang).

(Riwayat At-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir No. 10992, ad-Dailami dalam Musnad Firdaus No. 2978, daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ )
Status: Sahih lighairih menurut Syeikh Al-Albani dalam Sahih Targhib No. 765

Jadi janganlah sesekali kita menipu. Menipu mungkin untung ketika di dunia, akan tetapi tidak selamat di akhirat. Terlalu banyak larangan tentang menipu ini. Yang dibenarkan menipu orang lain adalah ketika perang kerana Rasulullah pernah bersabda,

الْحَرْبُ خِدْعَةٌ
Perang itu adalah tipu muslihat (strategi).

Sahih Muslim: No. 1739; Sahih Bukhari: No. 3029 & 3030; Sunan Abu Dawud: No. 2636.


 

لاَ تَبَاغَضُوا (Janganlah saling membenci) 

Kalimah تَبَاغَضُوا dari perkataan الْبُغْضُ iaitu benci. Ia juga di dalam wazan تفاعل yang bermaksud saling membenci. Ini adalah perbuatan yang sangat buruk dan merugikan sesama Muslim. Sebaliknya kita kena cinta mencintai sesama Muslim seperti sabda Rasulullah,

لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا، وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا، أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ؟ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ
Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman, dan kalian tidak (sempurna) beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kalian sesuatu yang jika kalian lakukan, kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.

Sahih Muslim Hadis: 54

Begitu juga di dalam hadis yang diriwayatkan dari Abu Umamah Al-Bahili radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda

مَنْ أَحَبَّ لِلَّهِ، وَأَبْغَضَ لِلَّهِ، وَأَعْطَى لِلَّهِ، وَمَنَعَ لِلَّهِ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ الْإِيمَانَ
Barangsiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan tidak memberi kerana Allah, maka sungguh telah sempurna imannya.”

(Riwayat Abu Dawud No. 4681 & At-Tirmidzi No. 2521. Disahihkan oleh Al-Albani)

Kerana itulah antara sebab Allah mengharamkan arak dan judi adalah kerana ia menjadi punca kepada kebencian sesama manusia. Ini disebut di dalam Maidah:91

إِنَّما يُريدُ الشَّيطٰنُ أَن يوقِعَ بَينَكُمُ العَدٰوَةَ وَالبَغضاءَ فِي الخَمرِ وَالمَيسِرِ وَيَصُدَّكُم عَن ذِكرِ اللهِ وَعَنِ الصَّلوةِ ۖ فَهَل أَنتُم مُنتَهونَ
Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka adakah kamu hendak berhenti?

Dan menghasut kebencian adalah salah satu dari usaha syaitan untuk menyesatkan manusia. Syaitan pandai menipu manusia mengikut lorongnya. Ada sahaja cara syaitan menipu manusia. Kalau dengan orang jahil, dia buat cara jahil. Tapi kalau orang pandai, dia buat cara yang lain pula. Benci sesama manusia ini bukan orang awam sahaja buat, tapi antara ahli agama pun. Contohnya di kalangan ahli sunnah syaitan tidak boleh tipu tentang tauhid, tentang bid’ah sebab mereka rajin belajar di kelas pengajian. Tapi syaitan buat supaya saling membenci sesama sendiri. Dia tiupkan kebencian kalau ada perbezaan pendapat. Jadi banyaklah bergesel antara sesama ahli sunnah ini hanya kerana perkara yang kecil sahaja. Ramai yang rasa terpaling sunnah, jadi kalau orang lain tidak sama dengan dia, dia akan tolak.

Sebab itu antara amalan yang terbaik adalah mengamankan dua kelompok. Sebab permusuhan dan kebencian amat buruk kalau terjadi di kalangan kita, maka kalau ada yang rajin dan berjaya mengamankan dua kelompok yang berkelahi itu, maka pahalanya sangat tinggi berdasarkan sabda Nabi,

أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَفْضَلَ مِنْ دَرَجَةِ الصِّيَامِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّدَقَةِ؟ قَالُوا: بَلَى. قَالَ: إِصْلَاحُ ذَاتِ الْبَيْنِ، وَفَسَادُ ذَاتِ الْبَيْنِ هِيَ الْحَالِقَةُ
Mahukah aku beritahukan kepada kalian derajat yang lebih utama daripada salat, puasa, dan sedekah?” Para sahabat menjawab: “Tentu wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mendamaikan dua pihak yang berselisih. Kerana rosaknya hubungan antara sesama adalah ‘Al-Haliqah’ (perusak/penghancur agama).

Sunan Abu Dawud: No. 4919; Sunan At-Tirmidzi: No. 2509; Hadis ini dinilai Sahih oleh Imam At-Tirmidzi dan Syaikh Al-Albani.

Maknanya kalau ada kawan atau keluarga berkelahi, kita damaikan mereka. Bukannya kita tambah minyak lagi kepada perkelahian mereka. Selalu terjadi ada orang mengadu, kita tambah lagi marah dia kepada orang itu dengan tambah maklumat lagi kenapa dia kena benci.

Allah juga telah berfirman tentang hal ini di dalam Hujurat:9

وَإِن طائِفَتانِ مِنَ المُؤمِنينَ اقتَتَلوا فَأَصلِحوا بَينَهُما
Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya

Pentingnya usaha ini sampaikan satu hari Nabi keluar untuk mendamaikan perselisihan antara kaum sampai baginda lewat ke masjid untuk mengimami solat jemaah.

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ أَهْلَ قُبَاءٍ اقْتَتَلُوا حَتَّى تَرَامَوْا بِالحِجَارَةِ، فَأُخْبِرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِذَلِكَ، فَقَالَ: اذْهَبُوا بِنَا نُصْلِحْ بَيْنَهُمْ. فَذَهَبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَحَانَتِ الصَّلاَةُ، فَجَاءَ بِلالٌ إِلَى أَبِي بَكْرٍ، فَقَالَ: يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ حُبِسَ، وَقَدْ حَانَتِ الصَّلاَةُ، فَهَلْ لَكَ أَنْ تَؤُمَّ النَّاسَ؟ قَالَ: نَعَمْ إِنْ شِئْتَ، فَأَقَامَ بِلَالٌ الصَّلَاةَ، وَتَقَدَّمَ أَبُو بَكْرٍ فَكَبَّرَ
Daripada Sahl bin Sa’ad RA: Bahawa penduduk Quba’ (Bani Amr bin ‘Auf) telah bertelingkah sehingga mereka saling baling-membaling batu. Maka berita itu disampaikan kepada Rasulullah ﷺ, lalu Baginda bersabda: “Marilah kita pergi untuk mendamaikan antara mereka.” Lalu Rasulullah ﷺ pun berangkat (ke sana). Kemudian tibalah waktu solat (Zuhur), maka Bilal datang menemui Abu Bakar dan berkata: “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya Rasulullah ﷺ telah terhalang (kerana urusan mendamaikan itu) dan waktu solat telah masuk. Adakah kamu mahu mengimamkan orang ramai?” Abu Bakar menjawab: “Ya, jika kamu mahu.” Maka Bilal melaungkan iqamah dan Abu Bakar pun maju ke hadapan lalu bertakbir…

Sahih al-Bukhari: Hadis No. 2693; Sahih Muslim: Hadis No. 421.

Janganlah kita hendak mencari pasal sahaja dengan orang lain. Jangan suka berkelahi dan cari salah orang, jangan bagi orang benci kita. Kalau ada perselisihan, maka selesaikanlah dengan cara yang baik. Jangan dipanjangkan permusuhan lama-lama. Kadang punyalah bodoh orang kita, sampai anak beranak berketurunan berkelahi sampai tidak tahu kenapa asalnya mereka berkelahi. Sedangkan Allah telah berfirman di dalam Anfal:1

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصلِحوا ذاتَ بَينِكُم
bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu

Maka kena zahirkan kecintaan sesama Muslim ini. Tunjukkan kita sayang kerana agama orang itu. Kerana itu ada konsep wala’ wal bara’ di dalam Islam. Ini kita boleh lihat contohnya di dalam Mumtahanah:4

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ
Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.

Para sahabat Nabi Ibrahim عليه السلام itu telah beriman dan mereka sanggup taat kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka berpegang dengan ajaran tauhid sampaikan mereka sanggup berlepas diri daripada puak mereka yang mengamalkan syirik. Inilah contoh wala’ wal bara’ yang kita perlu ikuti. Hendaklah berlepas diri daripada orang yang melakukan perlanggaran syariat. Akan tetapi dengan sesama Muslim yang seagama, maka tunjukkan kasih sayang. Barulah terzahirnya ukhwah keislaman kita. Namun kalau ada padanya maksiat dan juga bid’ah, kita kena benci dia juga. Iaitu kita cinta dia kerana keimanan dia dan kita benci dia kerana bid’ahnya. Tetapi, benci dia tak boleh mengalahkan cintanya sebab asalnya kena cinta dulu sesama Muslim. Ia berbeza dengan orang kafir kerana dengan orang kafir, asalnya kena benci. Kemudian kalau dia buat baik pada orang Islam, baru kita sayang dia. Tapi tak boleh sayang itu mengalahkan kebenciannya kerana kekafirannya.

Kita dilarang untuk membenci melainkan kerana Allah. Jangan benci kerana ikut perasaan. Kerana itu di dalam bab wala’ wal bara’ ini ada pecahan.

1. Ada yang cinta semata-mata tak boleh benci sikit pun. Ini adalah kepada para Nabi, para awliya’, para sahabat semua sekali.

2. Yang kedua, berkumpul cinta dan benci. Yang ini bagi orang-orang Islam, termasuk bagi orang Mukmin yang berdosa. Kalau dia Muslim yang baik, maka kita kena sayang dia seperti firman Allah di dalam Ali Imran:103

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

Maka kita kalau lihat Muslim yang lain, maka sayangilah mereka. Jangan cari pasal dengan mereka, jangan cari salah mereka. Kalau ada perbezaan pendapat pun, janganlah sampai memutuskan hubungan pula. Inilah antara nikmat Islam yang Allah telah berikan kepada kita. Ingatlah Ayat Anfal:63

وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِہِمۡ‌ۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعًا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰڪِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَہُمۡ‌ۚ إِنَّهُ ۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٦٣)
Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. 

3. Yang ketiga, benci dulu baru kecintaan yang datang kemudian. Tapi cinta itu tak boleh mengalahkan asalnya iaitu kena benci. Yang ini bagi orang kafir yang baik. Kita sayang dia kerana ada kebaikan pada dia tapi sayang itu tidak boleh mengalahkan kebencian. Ini seperti firman Allah di dalam Qasas:56

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”

Nabi sayang kepada bapa saudaranya Abu Talib. Tapi, cinta baginda kepada Abu Talib tidak mengalahkan kebencian terhadap kekufuran dia.

4. Yang keempat, kena ada benci. Benci seratus peratus tak boleh ada cinta langsung. Ini seperti kepada iblis, syaitan dan orang-orang yang telah dihukum sebagai musuh Allah dalam Al-Qur’an dan Sunnah.

Ar-Rabi’ bin Khaytham, anak murid Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu ada mengatakan sesuatu yang berkaitan erat dengan konsep Wala’ wal Bara’ dan bagaimana seorang Muslim bersikap terhadap sesama dalam hal mencintai atau membenci kerana Allah.

لَوْ رَأَيْتَ رَجُلًا يُظْهِرُ شَرًّا، فَأَبْغِضْهُ عَلَى مَا يُظْهِرُ لَكَ مِنْ شَرِّهِ، وَإِنْ كَانَ يُسِرُّ خَيْرًا، وَإِنْ رَأَيْتَ رَجُلًا يُظْهِرُ خَيْرًا، فَأَحِبَّهُ عَلَى مَا يُظْهِرُ لَكَ مِنْ خَيْرِهِ، وَإِنْ كَانَ يُسِرُّ شَرًّا
Jika engkau melihat seseorang yang menampakkan keburukan, maka bencilah dia atas keburukan yang dia tampakkan kepadamu itu, meskipun (mungkin saja) sebenarnya dia menyembunyikan kebaikan. Dan jika engkau melihat seseorang yang menampakkan kebaikan, maka cintailah dia atas kebaikan yang dia tampakkan kepadamu itu, meskipun (mungkin saja) sebenarnya dia menyembunyikan keburukan.”

Ini mengajarkan bahawa kita sebagai manusia hanya dibebani untuk menilai apa yang nampak secara lahiriah. Konsep yang kita kena pegang adalah: نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّوَاهِرِ وَاللَّهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ (Kami menghukumi berdasarkan apa yang nampak (zahir), dan Allah-lah yang menguasai (menilai) apa yang tersembunyi di dalam hati). Urusan hati dan apa yang disembunyikan seseorang adalah urusan Allah semata. Ia mengajar kita untuk tidak bersuudzon (berprasangka buruk) atau mencari-cari kesalahan yang tersembunyi (tajassus). Jika seseorang berbuat baik, kita wajib mencintainya kerana Allah. Kita mencintai kebaikan yang nampak dan membenci kemaksiatan yang nampak tanpa perlu bertindak sebagai “hakim” atas isi hati orang lain.

Malah lebih penting di dalam tajuk kita ini adalah kita boleh membenci seseorang kalau dia menzahirkan perkara yang buruk. Malah ia dituntut oleh kita. Jadi tak salah kalau kita membenci seseorang kalau dia kita nampak buat maksiat. Tak bolehlah tegur begini: “eh janganlah benci dia begitu sekali, entah-entah dia baik sebenarnya….”. Salah kaedah kalau ada yang kata begitu.


 

لاَ تَدَابَرُوا  (Janganlah kamu saling memulaukan) 

Ini adalah larangan yang sangat penting dalam menjaga keutuhan ukhuwah (persaudaraan). Secara literal, ia berasal daripada perkataan الدُّبُرُ (ad-dubur) yang bermaksud belakang. Maksud hadis ini adalah jangan saling memaling antara satu sama lain. Maksudnya, jangan abaikan, jangan tinggalkan, jangan boikot sesama Muslim.

Maksud Secara Bahasa dan Istilah:

  • Saling Membelakangi: Ia bermaksud dua orang yang berselisih faham lalu masing-masing memalingkan wajah dan memberikan belakang mereka kepada satu sama lain.
  • Pemutusan Silaturahim: Dalam konteks akhlak, ia bermaksud boikot, berpaling muka, atau memutuskan hubungan (hajr). Apabila anda ada masalah dengan saudara anda, anda sengaja menoleh ke arah lain atau menjauhkan diri kerana benci.

Di dalam hadis yang lain, ada sedikit perbezaan,

لاَ تَبَاغَضُوا، وَلاَ تَحَاسَدُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا كَمَا أَمَرَكُمُ اللهُ
Janganlah kamu saling membenci, janganlah kamu saling mendengki, janganlah kamu saling membelakangi, dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara sebagaimana yang telah diperintahkan Allah kepada kamu

Sahih Muslim (2563)

Ulama menjelaskan bahawa “تَدَابَرُوا” atau perbuatan memulaukan saudara seagama ini dilarang jika melebihi tiga hari. Sebagaimana hadis menyebut, daripada Abu Ayyub al-Ansari RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ، يَلْتَقِيَانِ فَيُعْرِضُ هَذَا وَيُعْرِضُ هَذَا، وَخَيْرُهُمَا الَّذِي يَبْدَأُ بِالسَّلَامِ
“Tidak halal bagi seorang Muslim memulaukan (memutuskan hubungan) dengan saudaranya melebihi tiga malam. Di mana kedua-duanya bertemu, lalu yang ini berpaling (menoleh ke arah lain) dan yang itu pun berpaling. Dan yang terbaik antara keduanya adalah yang memulakan memberi salam.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 6077 & Muslim, no. 2560)

Di dalam hadis ini Nabi siap bagi jalan penyelesaian. Iaitu rendahkan ego dan pergilah jumpa kawan yang bertelagah itu dan berilah salam sebagai tanda 0-0. Cakaplah seperti: “Tak perlulah lagi kita berkelahi. Tidak kiralah siapa yang salah, saya minta maaf.” Jadilah orang yang terbaik dalam hal ini. Take the higher road, kata orang putih.

Kenapa 3 hari? Penggunaan tempoh “tiga hari” atau “tiga malam” dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim ini bukanlah angka yang diletakkan secara rawak. Para ulama (seperti Imam Nawawi dan Ibnu Hajar Al-Asqalani) menjelaskan bahawa terdapat hikmah psikologi dan syariat yang mendalam di sebaliknya. Tempoh 3 hari itu adalah “Bertenang” bagi pihak-pihak yang ada perselisihan itu. Secara fitrahnya, apabila manusia marah atau disakiti, mereka memerlukan masa untuk meredakan emosi.

Hari Pertama: Biasanya kemarahan masih memuncak dan akal belum stabil.

Hari Kedua: Emosi mula mereda dan seseorang mula berfikir dengan lebih rasional.

Hari Ketiga: Masa yang cukup untuk muhasabah diri dan membuang perasaan dendam.

Lihatlah Islam memberikan “ruang” untuk sifat manusiawi ini agar kita tidak dipaksa untuk terus tersenyum dalam keadaan hati yang sangat terluka, namun ia tidak boleh dibiarkan melarat.

Angka tiga sering digunakan dalam syariat sebagai had maksimum bagi sesuatu yang bersifat darurat atau duka. Sebagai contoh ziarah jenazah dan berkabung dihadkan bagi selain isteri juga adalah 3 hari. Hak melayan tetamu secara istimewa pun adalah 3 hari. Dalam beberapa urusan muamalat, 3 hari menjadi penanda antara kesilapan yang dimaafkan dan kedegilan yang disengajakan.

Jika seseorang dibenarkan memulaukan saudaranya lebih daripada 3 hari, dikhuatiri perasaan benci itu akan menjadi dendam yang berakar umbi di dalam hati. Syaitan akan mengambil kesempatan selepas hari ketiga untuk membina tembok permusuhan yang lebih tinggi. Oleh itu Islam ingin memotong rantaian maksiat ini sebelum ia merosakkan komuniti.

Selepas 3 hari, keegoan manusia diuji. Hadis menyebutkan: “Dan yang terbaik antara keduanya adalah yang memulakan memberi salam.” Ini kembali kepada hadis: “Kamu tidak masuk syurga sehingga kamu saling mencintai.” Memulakan salam selepas 3 hari adalah bukti seseorang itu lebih mencintai Allah dan syurga-Nya berbanding menuruti hawa nafsunya yang sedang marah. Dia juga lebih berilmu kerana dia dapat melepasi kehendak nafsunya yang mahu dia terus bermusuh. Tapi dia kuatkan semangat dia dan kata tidak mengapalah, biarlah aku yang memulakan persahabatan kembali, tidak kiralah siapa yang bersalah.

Kemudian, ada pula hadis yang menyebut setahun.

مَنْ هَجَرَ أَخَاهُ سَنَةً فَهُوَ كَسَفْكِ دَمِهِ
Barangsiapa yang memulaukan (memutuskan hubungan) dengan saudaranya selama setahun, maka (dosanya) adalah seperti menumpahkan darahnya.”

(Sunan Abu Dawud No. 4915, Riwayat Ahmad 4/220. Disahihkan oleh Syaikh Al-Albani)

Kalau tadi hadis sebut tiga hari, kenapa ada disebut setahun pula? Hadis yang menyebut tentang setahun pula bukan bermaksud syarak membenarkan kita bermasam muka selama setahun. Sebaliknya, angka “setahun” digunakan oleh Nabi SAW sebagai perumpamaan (tasybih) untuk menunjukkan betapa besarnya dosa jika seseorang itu berkeras hati memulau saudaranya dalam tempoh yang sangat lama. Jadi hadis ini sebenarnya adalah satu ancaman yang sangat keras (taghliz). Menumpahkan darah (membunuh) adalah dosa besar yang merosakkan fizikal, manakala memulaukan saudara sesama Islam selama setahun merosakkan jiwa dan memutuskan tali persaudaraan iman. Dosanya disetarakan kerana impak kemusnahannya yang sangat dahsyat terhadap masyarakat Islam.

Dua hadis yang disebut di atas adalah kalau perselisihan bab dunia. Ada pun kalau kerana agama, ia dibolehkan dan ada dalil banyak. Antaranya seperti kisah kisah Ka’ab bin Malik yang disebut di dalam Surah Tawbah. Beliau dan dua orang lagi sahabat telah diarahkan oleh Allah untuk diboikot selama 50 hari.

Kemudian ada kisah Subaygh bin ‘Asl al-Tamimi (ada juga yang mengejanya Subaygh bin ‘Isal) yang dipulau oleh Saidina Umar. Kisah pemulauan (boikot) ini adalah satu peristiwa yang sangat masyhur dalam sejarah Islam dan direkodkan dalam kitab-kitab muktabar seperti Sunan al-Darimi dan Tafsir Ibn Kathir. Tindakan Umar memboikot Subaygh ini berbeza dengan boikot biasa sesama Muslim. Ia merupakan satu bentuk hukuman ta’zir (tatatertib/siasah syar’iyyah) oleh seorang ketua negara untuk menyekat penyebaran fitnah pemikiran dalam agama.

Kenapa beliau dipulau? Subaygh bin ‘Asl datang ke Madinah dan mula pergi ke majlis-majlis ilmu. Namun, fokus beliau bukan untuk belajar perkara asas, sebaliknya beliau suka mencari dan mempersoalkan ayat-ayat mutashabihat (ayat Al-Qur’an yang maknanya samar-samar atau memerlukan takwilan mendalam) dan perkara-perkara ganjil dalam Al-Qur’an untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan orang awam. Apabila perkara ini sampai ke pengetahuan Khalifah Umar al-Khattab, Umar sedar bahawa perbuatan Subaygh ini boleh merosakkan akidah dan keharmonian masyarakat Islam yang baru berkembang.

Maka Umar memanggil Subaygh ke rumahnya. Umar telah pun menyediakan pelepah dan dahan kurma yang keras.

Umar bertanya: “Siapakah kamu?”
Beliau menjawab: “Aku adalah hamba Allah, Subaygh.”
Umar membalas: “Dan aku adalah hamba Allah, Umar!”

Umar terus memukul kepala dan belakang Subaygh dengan pelepah kurma tersebut sehingga luka dan berdarah sebagai pengajaran keras kerana cuba bermain-main dengan ayat Al-Qur’an. Setelah melihat Subaygh kesakitan, Umar menghentikannya. Subaygh kemudian berkata: “Cukuplah wahai Amirul Mukminin, demi Allah, apa yang (syak wasangka/bisikan syaitan) ada di dalam kepala saya sebelum ini telah hilang sepenuhnya.”

Umar tidak melepaskan Subaygh begitu sahaja. Untuk memastikan pemikiran Subaygh benar-benar bersih dan tidak meracuni orang lain, Umar menghantar Subaygh pulang ke tempat asalnya di Kufah, Iraq. Umar menghantar surat rasmi kepada gabenor Kufah ketika itu, Abu Musa al-Asy’ari, dengan arahan yang sangat tegas: “Jangan ada seorang pun dalam kalangan orang Islam yang duduk (bergaul atau bertegur sapa) dengan Subaygh.” Hukuman boikot sosial ini sangat berat bagi Subaygh. Abu ‘Uthman al-Nahdi (seorang tabi’in) menceritakan: “Apabila Subaygh datang ke suatu majlis yang sedang berkumpul (walaupun ada 100 orang), mereka semua akan bangun dan bersurai meninggalkannya sendirian kerana patuh pada arahan Umar.”

Subaygh menjalani hidup dalam keadaan terpulau sehingga beliau benar-benar insaf. Selepas satu tempoh masa yang lama, beliau datang berjumpa dengan Abu Musa al-Asy’ari dan bersumpah dengan nama Allah bahawa dia telah bertaubat sepenuhnya daripada tabiat buruknya itu dan tidak lagi memegang pemikiran yang meragukan.vAbu Musa al-Asy’ari kemudian menulis surat kepada Umar al-Khattab memaklumkan tentang penyesalan dan taubat suci Subaygh. Umar akhirnya membalas surat tersebut dan memaafkan Subaygh, lalu menarik balik perintah boikot tersebut. Selepas itu, masyarakat kembali bergaul dengannya seperti biasa. Bahkan dalam sejarah direkodkan, apabila muncul kelompok Khawarij (golongan ekstremis) di Iraq pada zaman kemudiannya, orang ramai mengajak Subaygh untuk menyertai mereka. Namun Subaygh menolak dengan tegas sambil berkata: “Tidak, aku telah diselamatkan oleh tarbiyah (pukulan dan boikot) daripada lelaki yang soleh (iaitu Umar al-Khattab).”

Nabi Musa juga pernah boikot Samiri. Ketika Nabi Musa AS pergi ke Bukit Sinai (Tur Sina) selama 40 malam untuk menerima Kitab Taurat, baginda meninggalkan kaumnya di bawah penjagaan saudaranya, Nabi Harun AS. Samiri, seorang yang munafik dan ahli sihir dari kalangan Bani Israil, mengambil kesempatan di atas ketiadaan Nabi Musa. Dia mengumpulkan perhiasan emas milik orang-orang Qibthi (Mesir) yang dibawa oleh Bani Israil, meleburnya, dan membentuk seumpama patung anak lembu. Sebahagian besar Bani Israil terpedaya dan mula menyembah patung tersebut, mengabaikan larangan keras daripada Nabi Harun AS.

Dipendekkan cerita, akhirnya Nabi Musa AS tidak membunuhnya, tetapi menjatuhkan hukuman yang sangat berat dan luar biasa, iaitu boikot total secara fizikal dan sosial. Nabi Musa AS berkata kepadanya seperti disebut di dalam Taha:97:

قَالَ فَاذْهَبْ فَإِنَّ لَكَ فِي الْحَيَاةِ أَنْ تَقُولَ لَا مِسَاسَ
“Pergilah kamu! Maka sesungguhnya di dalam kehidupan di dunia ini kamu (hanya boleh) mengatakan: ‘Jangan sentuh (aku)!'” 

Rasulullah sendiri pernah boikot isterinya Zainab. Kisah ini berlaku semasa Nabi Muhammad SAW sedang dalam satu perjalanan (musafir/peperangan) dan membawa isteri-isterinya, termasuk Sayyidah Safiyah binti Huyay dan Sayyidah Zainab binti Jahsy. Di tengah perjalanan, unta yang ditunggangi oleh Sayyidah Safiyah telah jatuh sakit atau kepenatan sehingga tidak dapat meneruskan perjalanan dengan baik. Pada masa yang sama, Sayyidah Zainab binti Jahsy mempunyai unta kelebihan (ekstra) yang tidak digunakan. Melihat keadaan itu, Nabi Muhammad SAW mendekati Zainab dan bersabda:

“Sesungguhnya unta Safiyah telah sakit, apa salahnya jika kamu berikan (pinjamkan) salah satu untamu kepadanya?”

Sebagai seorang manusia dan wanita, sifat cemburu (ghirah) antara madu kadang-kala menguasai diri. Sayyidah Zainab secara spontan menolak permintaan Rasulullah SAW tersebut dengan mengeluarkan kata-kata yang merendahkan latar belakang Sayyidah Safiyah (yang asalnya merupakan wanita keturunan Yahudi Bani Nadzir sebelum memeluk Islam). Zainab menjawab:

“Adakah aku patut memberikan untaku kepada seorang wanita Yahudi itu?”

Mendengar jawapan tersebut, Rasulullah SAW merasa sangat berkecil hati dan murka. Baginda tidak menyukai sikap rasis, sombong, dan cemburu keterlaluan yang boleh mengguris hati orang lain, terutamanya Safiyah yang sudah Islam secara ikhlas. Sebagai bentuk pengajaran dan didikan (ta’dib) agar kesilapan itu tidak berulang, Nabi Muhammad SAW mengambil tindakan tegas dengan memboikot (tidak mendatangi dan tidak berbicara) dengan Sayyidah Zainab. Baginda SAW tidak mengunjungi bilik Zainab selama baki bulan Zulhijjah, keseluruhan bulan Muharram, sehinggalah masuk bulan Safar. Boikot ini berlarutan selama hampir dua bulan (sekitar 50 hingga 60 hari).

Sayyidah Zainab merasa sangat sedih, menyesal, dan bertaubat. Beliau menyangka Nabi SAW telah menceraikannya sehinggakan beliau mula mengemas barang-barang dan mengangkat tempat tidurnya. Selepas tempoh didikan itu dirasakan cukup dan Zainab telah benar-benar menyesali kesilapannya, pada suatu hari di bulan Safar, Nabi SAW datang mengejut ke rumah Zainab. Sayyidah Zainab menceritakan:

“Ketika masuk bulan Safar, tiba-tiba bayang-bayang Rasulullah SAW kelihatan pada waktu tengah hari. Maka aku tahu baginda telah redha.”

Nabi SAW kembali melayan Zainab seperti biasa selepas beliau menerima pengajaran yang mendalam tentang erti menjaga lisan, menghormati sesama Muslim, dan mengawal sifat cemburu.

Sahabat Nabi yang sangat agung, Abdullah bin Umar (atau lebih dikenali sebagai Ibnu Umar RA), pernah memboikot dan enggan bercakap dengan salah seorang anaknya yang bernama Bilal bin Abdullah bin Umar sehinggalah beliau wafat. Peristiwa pemulauan (hajr) ini merupakan salah satu kisah yang sangat masyhur dalam kitab-kitab hadis sahih (seperti Sahih Bukhari dan Sahih Muslim). Tindakan tegas ini diambil oleh Ibnu Umar semata-mata kerana prinsipnya yang amat tegas dalam membela sunnah Rasulullah SAW. Kisah ini bermula apabila Ibnu Umar RA menyampaikan sebuah sabdaan daripada Rasulullah SAW di hadapan anak-anaknya. Beliau berkata:

“Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah daripada kalangan wanita untuk pergi ke masjid-masjid Allah.”

Mendengar hadis tersebut, anaknya, Bilal, menyelah dan berkata dengan nada yang membantah: “Demi Allah, kami pasti akan melarang mereka! Supaya mereka tidak menjadikannya sebagai sarana untuk melakukan kerosakan (atau tipu daya).” Bilal berkata sedemikian atas dasar rasa cemburu dan kebimbangan melihat perubahan sosial pada zaman tersebut, di mana beliau takut para wanita akan menyalahgunakan keizinan itu.

Mendengar bantahan anaknya yang secara terang-terangan menolak sabda Rasulullah SAW menggunakan logik akal peribadi, Ibnu Umar menjadi sangat marah. Menurut para perawi hadis, mereka tidak pernah melihat Ibnu Umar semarah itu. Ibnu Umar berpaling kepada Bilal lalu mencelanya dengan keras:

“Aku menyampaikan kepadamu apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, manakala kamu pula berkata: ‘Demi Allah, kami pasti akan melarang mereka’!”

Dalam riwayat Imam Muslim, dicatatkan bahawa selepas kejadian itu, Ibnu Umar tidak lagi bercakap (memboikot) dengan anaknya (Bilal) sehinggalah beliau meninggal dunia.”

Jadi kita boleh perhatikan memboikot (hajr) itu ada digunakan sebagai didikan di dalam Islam. Akan tetapi janganlah kita senang-senang hendak boikot orang pula. Kena dapatkan nasihat dari orang yang berilmu kerana takut keburukan lebih besar pula dari maslahah dia.

Sebagai contoh, kalau kita ada kawan yang buat maksiat dan kita boikot dia, ditakuti dengan kita boikot dia, lagi dia jauh daripada Islam. Begitu juga mereka yang jauh daripada sunnah, tak perlu boikot. Betul kata Syaikhul Islam Ibn Taymiyyah yang mengatakan boikot kepada saudara-saudara muslim kerana masalah agama, ia adalah seperti ubat, perlu dosnya yang betul. Kalau dos tak betul, ia bukan jadi ubat, ia akan jadi racun pula.

Maka kena berhati-hati dalam hal ini, takut orang lagi jauh dari ajaran agama pula. Sebaiknya kita terus bersama dengan dia dan menasihatinya di dalam hal agama. Dalam syariat Islam, memboikot (hajr) ahli bid’ah adalah disyariatkan dan dibenarkan, bahkan dalam beberapa keadaan ia boleh menjadi wajib. Tindakan ini dipanggil sebagai Hajru Ahlil Bida’ wal Ahwa’ (memboikot ahli bid’ah dan pengikut hawa nafsu). Ia merupakan manhaj (metodologi) yang disepakati oleh para ulama Salafussoleh terdahulu demi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam. Walau bagaimanapun, boikot ini bukanlah dilakukan secara melulu, melainkan mempunyai tujuan, syarat, dan dawabit (garis panduan) yang ketat agar ia tidak membawa kerosakan yang lebih besar.

Ulama menjelaskan bahawa boikot terhadap ahli bid’ah dilakukan atas dua tujuan utama:

    • Sebagai Didikan: Supaya pelaku bid’ah itu sedar akan kesalahannya, berasa terasing, dan akhirnya bertaubat serta kembali kepada Sunnah.
    • Sebagai Benteng (Perlindungan): Supaya masyarakat awam terpelihara daripada terkena syubhat (kekeliruan) dan dakyah penyelewengan yang dibawa oleh ahli bid’ah tersebut.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan para ulama muktabar menggariskan bahawa hukum boikot ini berubah-ubah mengikut keadaan, kekuatan umat Islam, dan maslahat:

A. Melihat kepada Maslahat dan Mafsadah (Untung & Rugi)

    • Jika Boikot Membawa Kebaikan (Maslahat): Jika dengan memboikot ahli bid’ah tersebut, dia akan menjadi lemah, pengaruhnya tersekat, atau dia mahu bertaubat, maka boikot itu dituntut (wajib/sunat).
    • Jika Boikot Membawa Keburukan (Mafsadah) yang Lebih Besar: Jika ahli bid’ah itu terlalu kuat, dan apabila kita memboikotnya, dia semakin menjadi-jadi, semakin menjauhkan diri daripada kebenaran, atau pengikutnya bertambah ekstrem, maka boikot tidak dibenarkan. Dalam situasi ini, pendekatan nasihat, dialog, dan berdakwah secara lembut adalah lebih utama.

B. Membezakan Jenis Bid’ah

    • Bid’ah Mukaffirah (Boleh membawa kepada kufur): Seperti golongan yang menolak Al-Qur’an atau mengubah rukun iman. Golongan ini wajib diboikot dengan tegas.
    • Bid’ah Mufassiqah (Membawa kepada fasik): Bid’ah yang tidak sampai mengeluarkan seseorang daripada Islam. Boikotnya tertakluk kepada tahap kedegilan mereka.

C. Membezakan antara “Pendakwah” dan “Orang Awam”

    • Tokoh/Pendakwah Bid’ah: Mereka yang menyeru, berdebat, dan menyebarkan fahaman bid’ah wajib dijauhi dan diboikot majlisnya agar dakyah mereka mati.
    • Orang Awam yang Terikut-ikut: Mereka yang jahil atau sekadar menjadi pengikut tidak sepatutnya diboikot, melainkan perlu didekati, dididik, dan diberikan kefahaman yang betul tentang Sunnah dengan hikmah.

 

لاَ يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ (Janganlah sebahagian kamu menjual di atas jualan sebahagian saudaranya)

Maksudnya, kalau kawan kita sudah buat deal, jangan kita pergi potong deal kawan itu. Para ulama fiqih menjelaskan bahawa situasi yang dilarang dalam hadis ini berlaku apabila dua pihak (penjual A dan pembeli B) sudah mencapai kesepakatan (kerelaan/persetujuan) untuk melakukan transaksi, namun akad belum selesai sepenuhnya atau masih dalam tempoh pilihan (khiyar). Tiba-tiba, pihak ketiga (penjual C) masuk campur dengan dua cara ini:

  • Menawarkan barang yang sama dengan harga lebih murah: Penjual C datang kepada pembeli B dan berkata: “Batalkanlah pembelian daripada si A. Aku ada barang yang sama seperti itu, dan aku boleh jual kepada kamu dengan harga yang jauh lebih murah.”
  • Menawarkan barang yang lebih baik dengan harga yang sama: Penjual C berkata: “Batalkan jualan itu. Dengan harga yang sama kamu bayar kepada si A, aku boleh berikan barang yang jauh lebih berkualiti dan elok.”

Tindakan pihak ketiga (penjual C) inilah yang dipanggil sebagai “menjual di atas jualan saudaranya” dan hukumnya adalah haram.

Apakah Khiyar? Di dalam syariat Islam, khiyar (hak bagi pembeli atau penjual untuk memilih sama ada mahu meneruskan kontrak jual beli atau membatalkannya) mempunyai tempoh masa yang berbeza-beza bergantung kepada jenis khiyar tersebut. Secara umumnya, tempoh khiyar dibahagikan kepada empat jenis yang utama seperti berikut:

1. Khiyar Majlis (خيار المجلس). Hak memilih yang wujud selagi mana kedua-dua pihak (penjual dan pembeli) masih berada di tempat akad/transaksi tersebut dijalankan. Tiada had masa yang khusus dalam bentuk jam atau hari. Tempohnya berakhir sebaik sahaja salah seorang atau kedua-dua pihak berpisah secara fizikal dari tempat akad tersebut (misalnya salah seorang keluar dari kedai, atau mematikan talian telefon/internet jika jual beli dalam talian).

2. Khiyar Syarat (خيار الشرط). Hak memilih yang ditetapkan melalui syarat atau perjanjian yang dipersetujui bersama (contoh: “Saya beli barang ini, tetapi saya minta tempoh 3 hari untuk fikir dulu ya”). Menurut mazhab Syafi’i dan Hanbali, tempoh maksimumnya ialah 3 hari 3 malam dan tidak boleh lebih daripada itu. Namun, mengikut mazhab Hanafi dan Maliki (serta pandangan kontemporari), tempohnya adalah mengikut tempoh munasabah yang dipersetujui bersama oleh penjual dan pembeli berdasarkan jenis barang (cth: tempoh warranty seminggu untuk barangan elektrik).

3. Khiyar Aib (خيار العيب). Hak membatalkan jual beli jika pembeli mendapati ada kerosakan atau kecacatan (defect) pada barang yang tidak dimaklumkan oleh penjual semasa akad. Tempohnya: Serta-merta selepas aib itu ditemui. Di dalam mazhab Syafi’i, sebaik sahaja pembeli menyedari adanya kecacatan, dia mesti segera bertindak untuk memulangkan barang atau membatalkan akad mengikut uruf (adat setempat). Jika dia sengaja menangguh-tangguh tanpa alasan kukuh setelah tahu ada aib, hak khiyarnya boleh gugur kerana dianggap telah reda dengan kecacatan tersebut.

4. Khiyar Ru’yah (خيار الرؤية). Hak memilih bagi pembeli yang membeli sesuatu barang yang tidak ada di depan mata semasa akad (seperti pembelian online atau pre-order). Hak ini bermula sebaik sahaja pembeli melihat atau menerima barang tersebut fizikal. Selepas melihat barang, pembeli diberi tempoh masa yang munasabah (mengikut adat atau polisi pemulangan kedai) untuk memutuskan sama ada mahu meneruskannya atau memulangkannya semula jika tidak menepati spesifikasi.

Jadi selagi di dalam khiyar, kita tidak boleh menjual barangan itu kepada orang lain dan juga tidak boleh kita membeli barang itu.

Hadis ini juga membawa maksud sebaliknya, iaitu larangan membeli di atas pembelian orang lain. Contoh: Penjual dan pembeli asal sudah bersetuju dengan harga RM100 untuk sebuah barang. Tiba-tiba datang pembeli baru dan berkata kepada penjual: “Jangan jual kepada dia. Jual kepada aku, aku sanggup bayar RM150.” Tindakan pembeli baru ini juga adalah haram.

Larangan ini tidak berlaku dalam dua keadaan:

    1. Sesi Lelongan (Bai’ Al-Muzayadah): Jika penjual dari awal lagi membuka jualan secara lelong (siapa tawaran tertinggi, dia dapat), maka orang ramai bebas untuk mengatasi harga pembeli lain kerana akad belum mengikat sesiapa dan semua orang tahu ia adalah sesi bidaan.
    2. Sebelum Ada Persetujuan: Jika penjual dan pembeli pertama baru sekadar berbincang (belum ada tanda-tanda persetujuan atau harga belum diputuskan), penjual lain atau pembeli lain bebas untuk menawarkan tawaran mereka.

Kenapa ada larangan ini? Kerana Islam sangat menjaga hubungan persaudaraan sesama manusia. Hikmah di sebalik hadis ini amat mendalam:

    • Mengelakkan Permusuhan dan Kebencian: Tindakan memotong deal orang lain akan mencetuskan rasa marah, tidak puas hati, kezaliman, dan dendam antara sesama peniaga.
    • Menjaga Keberkatan Rezeki: Perniagaan yang dimulakan dengan cara mengkhianati atau merampas hak orang lain akan hilang keberkatannya.
    • Membina Ekosistem Perniagaan yang Sihat: Islam mendidik umatnya untuk percaya kepada konsep rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tanpa perlu menutup pintu rezeki orang lain.

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah ada bersabda,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَلَا يَخْطُبْ بَعْضُكُمْ عَلَى خِطْبَةِ بَعْضٍ (رواه البخاري، رقم ٥١٤٢ ومسلم، رقم ١٤١٢)
Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah sebahagian kamu menjual di atas jualan sebahagian yang lain, dan janganlah sebahagian kamu meminang di atas pinangan sebahagian yang lain.”

(Riwayat Al-Bukhari, No. 5142 dan Muslim, No. 1412)

Boleh termasuk di dalam hal ini adalah kita masuk campur hal pembelian orang lain. Iaitu ada sudah beli barang kemudian kita tanya harga. Bila dia bagitahu harga, kita kata eh harga itu mahallah! Patut sekian-sekian harga. Yang sudah beli itu pun tentu rasa tak best dan mungkin dia pergi kepada penjual yang jual barang itu dan marah-marah! Kesannya apa? Ia menyebabkan permusuhan dan ketidakharmonian di dalam masyarakat. Buat sibuk sahaja bagi orang berkelahi buat apa? Sedangkan kita bersaudara.

Manusia ini lemah sebenarnya. Kalau sudah terluka, susah untuk dia maafkan. Sampai ke mati dia ingat hal orang lain potong deal dia. Tidak kiralah sama ada dalam hal beli barang atau pertunangan, sampai ke mati boleh ingat benda itu dan tidak berbaik sampai ke sudah. Kerana ya manusia ini lemah dan terikut-ikut dengan hati yang sudah terluka. Maka sebab itu dari awal lagi jangan kita sakiti hati orang lain.


 

وَكُوْنُوا عِبَادَ اللهِ إِخوَاناً المُسْلِمُ أَخُو المُسْلِمِ (Kalian jadilah hamba Allah yang bersaudara, Muslim itu saudara Muslim yang lain) 

Muslim adalah bersaudara sesama Muslim. Kita ada satu ikatan yang kukuh kerana kita sama-sama Muslim. Allah berfirman di dalam Hujurat:10

إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ
Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik

Sehinggakan kalau seorang bunuh Muslim yang lain pun, dia tetap dipanggil ‘saudara’ juga. Lihat Baqarah:178

فَمَن عُفِىَ لَهُ ۥ مِن أَخِيهِ شَىءٌ فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلمَعرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيهِ بِإِحسَـٰنٍ
Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya

Bayangkan kalau pembunuh orang Islam pun dipanggil ‘saudara’, apatah lagi yang tak membunuh? Tentu lebih lagilah persaudaraannya. Dan kita kenalah jaga hak-hak saudara seMuslim kita, antaranya di dalam hadis,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَشَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ (رواه مسلم، رقم ٢١٦٢)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada enam perkara.” Lalu para sahabat bertanya: “Apakah enam perkara itu, wahai Rasulullah?” Baginda SAW bersabda: “Apabila engkau bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam kepadanya. Apabila dia menjemputmu, maka penuhilah jemputannya. Apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila dia bersin lalu dia memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah), maka doakanlah dia (dengan mengucapkan Yarhamukallah). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Dan apabila dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya (ke perkuburan).”

(Riwayat Muslim, No. 2162)

Dan sebagai saudara, kenalah jaga dari melakukan perkara-perkara yang telah disebut sebelum ini: dengki, tanajush, memulau dan membeli belian saudaranya.


 

لاَ يَظْلِمُهُ (Dia tidak boleh menzaliminya) 

Maka sebagai saudara, janganlah buat zalim kepada saudaranya yang lain. Melakukan kezaliman terhadap saudara adalah satu perkara yang amat buruk. Kalau berdosa dengan Allah, dia boleh bertaubat. Tapi kalau dia berdosa menzalimi orang lain, musibah. Kerana dia kena minta maaf dengan orang itu. Kalau tidak, di akhirat nanti dia akan muflis. Kena ingat hadis ini,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ؟» قَالُوا: الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ، فَقَالَ: «إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ، وَصِيَامٍ، وَزَكَاةٍ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا، وَقَذَفَ هَذَا، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا، وَضَرَبَ هَذَا، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang tidak memiliki wang dirham dan tidak pula memiliki harta benda.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis daripada umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat membawa pahala solat, pahala puasa, dan pahala zakat. Namun, dia juga datang dalam keadaan dahulu (di dunia) dia pernah mencerca orang ini, menuduh zina (memfitnah) orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, dan memukul orang ini. Maka diberikanlah kepada orang-orang yang dizaliminya itu sebahagian daripada pahala kebaikannya, dan kepada orang ini sebahagian pahala kebaikannya. Sekiranya pahala kebaikannya telah habis sebelum sempat diselesaikan tuntutan kezalimannya, maka diambil pula dosa-dosa orang yang dizalimi itu lalu dicampakkan ke atas dirinya, kemudian dia dicampakkan ke dalam api neraka.”

Sahih Muslim; No. Hadis: 2581

Seorang Muslim yang benar-benar memahami erti persaudaraan Islam tidak akan tergamak, tidak boleh, dan diharamkan sama sekali untuk melakukan sebarang kezaliman ke atas saudara seagamanya. Larangan menzalimi ini merangkumi tiga aspek utama yang dipelihara dalam Islam, iaitu:

    • Darah/Fizikal: Tidak membunuh, mencederakan, atau memukulnya.
    • Harta: Tidak mencuri, merampas, menipu dalam perniagaan (seperti memotong jualan orang lain), atau memakan hartanya secara batil.
    • Maruah: Tidak memfitnah, mengumpat (ghibah), atau menjatuhkan air mukanya.

Malah Ibn Rajab mengatakan bukan sahaja kita tidak boleh zalim kepada sesama Muslim, malah kepada sesiapa pun termasuklah Non-Muslim. Beliau memberikan dalil hadis,

عَنْ أَبِي ذَرٍّ الْغِفَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا يَرْوِيهِ عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَنَّهُ قَالَ يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا 
Daripada Abu Dzar Al-Ghifari RA, daripada Nabi SAW sebagaimana yang baginda riwayatkan daripada Tuhannya Tabaraka wa Taala, bahawasanya Dia berfirman: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku telah menjadikannya haram di antara kamu, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi.”

(Riwayat Muslim, No. 2577)


 

لاَ يَخذُلُهُ (tidak boleh membiarkannya) 

Iaitu tidak mengabaikan saudara Muslim ketika dia memerlukan bantuan. Kalimah يَخذُلُ bermaksud membiarkan dengan tidak memberi bantuan. Allah menggunakan kalimah ini di dalam Ali Imran:160,

إِن يَنصُركُمُ اللَّهُ فَلا غالِبَ لَكُم ۖ وَإِن يَخذُلكُم فَمَن ذَا الَّذي يَنصُرُكُم مِّن بَعدِهِ
Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Dia meninggalkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah

Di dalam Hadis Ke-35 ini, kalimat لَا يَخْذُلُهُ bermaksud: “Janganlah seorang Muslim itu membiarkan saudaranya (tanpa ditolong) ketika saudaranya berada dalam kesusahan atau dizalimi.” Di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 160 ini pula, Allah menggunakan kalimah يَخْذُلْكُمْ untuk menggambarkan situasi di mana jika Allah menarik pertolongan-Nya dan membiarkan sesuatu kaum itu sendirian, maka tiada sesiapa lagi di dunia ini yang mampu membantunya.

Maka sebagai seorang Muslim, kita wajib membantu saudara seMuslim yang lain. Rasulullah ada bersabda,

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا نَنْصُرُهُ مَظْلُومًا فَكَيْفَ نَنْصُرُهُ ظَالِمًا قَالَ تَأْخُذُ فَوْقَ يَدَيْهِ 
Daripada Anas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bantulah saudaramu, sama ada dia seorang yang zalim atau seorang yang dizalimi.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, kami (faham) membantunya jika dia dizalimi, tetapi bagaimana kami harus membantunya jika dia seorang yang zalim?” Baginda SAW bersabda: “Kamu menghalangnya (daripada melakukan kezaliman tersebut).”

(Riwayat Al-Bukhari, No. 2444)

Syarah: Membantu yang Dizalimi (Mazlum): Ini adalah perkara biasa yang difahami, iaitu dengan membela haknya, menyelamatkannya, dan mempertahankan maruah atau hartanya daripada dirampas.

Membantu yang Zalim (Zalim): Mengikut logik manusia biasa, orang yang zalim harus dihukum atau dipulaukan. Namun, Rasulullah SAW mengajar bahawa “bantuan” terbaik untuk orang yang zalim adalah dengan menyekat, menegur, dan menghalangnya daripada meneruskan kezaliman tersebut. Mengapa ia dikira bantuan? Kerana jika kita membiarkan saudara kita berterusan melakukan kezaliman, dia sebenarnya sedang menempah azab Allah di akhirat. Dengan menghalang perbuatannya di dunia, kita telah menyelamatkan agama dan dirinya daripada kemurkaan Allah SWT.

Sebab itulah kita sangat bersedih dengan apa yang berlaku di Palestin, terutama di Gaza. Mereka telah dizalimi sekian lama tapi kita tidak dapat buat apa-apa. Hantar Sumud pun jadi macam semut sahaja dilakukan oleh puak Israil itu. Ini kerana kita lemah, hilang kekuatan; tidak seperti dahulu yang umat Islam ditakuti kerana kita kuat dan berpegang dengan Al-Qur’an dan agama. Tapi apabila kita meninggalkan Al-Qur’an, maka Allah tarik kelebihan dan kekuatan yang ada pada kita. Jadi kerana itulah kita semua kena berpegang kembali dengan Al-Qur’an dan Sunnah.

Hadis ini mengajar kita jangan abaikan saudara kita kalau mereka dizalimi. Sekarang ini kita lihat ramai orang pakat tengok sahaja tanpa berbuat apa-apa. Ia telah menjadikan orang zalim semakin zalim. Kalau kita tidak bantu yang dizalimi, akhirnya kita nanti akan dizalimi kerana orang zalim sudah tidak takut buat zalim. Sebab mereka tengok, tidak jadi apa-apa pun. Rasulullah telah bersabda,

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ وَأَبِي طَلْحَةَ بْنِ سَهْلٍ الأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ قَالَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ امْرِئٍ يَخْذُلُ امْرَأً مُسْلِمًا فِي مَوْطِنٍ يُنْتَهَكُ فِيهِ حُرْمَتُهُ وَيُنْقَصُ فِيهِ مِنْ عِرْضِهِ إِلَّا خَذَلَهُ اللَّهُ فِي مَوْطِنٍ يُحِبُّ فِيهِ نُصْرَتَهُ وَمَا مِنْ امْرِئٍ يَنْصُرُ مُسْلِمًا فِي مَوْطِنٍ يُنْتَهَكُ فِيهِ حُرْمَتُهُ وَيُنْقَصُ فِيهِ مِنْ عِرْضِهِ إِلَّا نَصَرَهُ اللَّهُ فِي مَوْطِنٍ يُحِبُّ فِيهِ نُصْرَتَهُ 
Daripada Jabir bin Abdullah dan Abu Talhah bin Sahl Al-Ansari RA, mereka berdua berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang manusia yang membiarkan (tidak membantu) seorang Muslim di tempat di mana maruahnya dicabuli dan kehormatannya dicela, melainkan Allah akan membiarkannya (tidak membantunya) di tempat yang dia sangat mengharapkan pertolongan-Nya. Dan tidaklah seorang manusia yang membantu seorang Muslim di tempat di mana maruahnya dicabuli dan kehormatannya dicela, melainkan Allah akan membantunya di tempat yang dia sangat mengharapkan pertolongan-Nya.”

(Riwayat Abu Dawud, No. 4884 dan Ahmad, No. 16364)

Syarah: Hadis ini menjadi amaran yang sangat keras agar kita tidak bersikap acuh tidak acuh apabila melihat ada saudara seIslam kita difitnah, diaibkan, atau ditekan di hadapan mata kita. Jika kita mampu membela dan membersihkan namanya tetapi kita memilih untuk berdiam diri (membiarkannya), Allah SWT akan membalas dengan membiarkan kita tanpa pertolongan-Nya pada hari akhirat kelak, iaitu masa di mana kita paling buntu dan sangat memerlukan rahmat-Nya.

Satu lagi hadis yang menjelaskan lebih lagi,

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ عَبْدٍ يَظْلِمُ عِنْدَهُ مُسْلِمٌ فَيَقْدِرُ عَلَى أَنْ يَنْصُرَهُ إِلَّا خَذَلَهُ اللَّهُ فِي مَوْطِنٍ يُحِبُّ فِيهِ نُصْرَتَهُ وَمَا مِنْ عَبْدٍ يَنْصُرُ مَظْلُومًا إِلَّا نَصَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ 
Daripada Jabir bin Abdullah RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Tidak ada seorang hamba pun yang di hadapannya seorang Muslim dizalimi, sedangkan dia mampu (mempunyai kekuatan/kuasa) untuk membantunya melainkan Allah akan membiarkannya (tidak membantunya) di tempat yang dia sangat mengharapkan pertolongan-Nya. Dan tidak ada seorang hamba pun yang membantu seorang yang dizalimi melainkan Allah akan membantunya di dunia dan di akhirat.”

(Riwayat Al-Tabarani dalam Al-Mu’jam Al-Awsat, No. 7952, dan Al-Baihqi dalam Syu’abul Iman. Hadis ini dinilai Hasan oleh sebahagian ulama kerana mempunyai jalur sokongan yang banyak).

Saudara kita bukan sentiasa memerlukan bantuan kita. Sekali sekala sahaja. Kalau kita mampu membantunya, kenapa kita tidak membantunya? Kalau memang tak mampu, itu lain cerita; tapi ini ketika kita mampu membantunya, takkan tak bantu?


 

لَا يَكْذِبُهُ (tidak boleh membohonginya)

Para ulama hadis (seperti Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali, Imam An-Nawawi, dan Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin) dalam kitab-kitab syarah mereka menjelaskan bahawa larangan ini mempunyai dua dimensi makna yang sangat penting:

1. Larangan Berbohong dalam Percakapan (Khabar)

Seorang Muslim tidak boleh menyampaikan berita palsu, cerita rekaan, atau maklumat yang tidak benar kepada saudaranya. Apabila dia berbicara, dia wajib jujur. Menipu saudara se-Islam demi kepentingan peribadi, menyelamatkan diri sendiri, atau sekadar gurauan yang melampau adalah satu pengkhianatan kepada ikatan ukhuwah.

2. Larangan Menipu dalam Muamalah (Transaksi & Janji)

Makna ini lebih luas, iaitu merangkumi perbuatan menipu, memanipulasi, dan tidak amanah dalam urusan keduniaan, terutamanya perniagaan. Contohnya:

    • Menyembunyikan cacat cela (aib) pada barang jualan.
    • Memalsukan dokumen atau janji.
    • Memberikan harapan palsu atau memungkiri janji yang telah dipersetujui.

Syeikh Al-Uthaimin menyebut bahawa apabila seorang Muslim menceritakan sesuatu kepada saudaranya, saudaranya itu mendengarnya dengan penuh rasa percaya (bersangka baik). Maka, jika dia mengambil kesempatan atas kepercayaan itu dengan berbohong, ia merupakan satu bentuk kezaliman dan sifat munafik yang amat keji. Dalam hal ini, Rasulullah ada bersabda,

عَنْ سُفْيَانَ بْنِ أَسِيدٍ الْحَضْرَمِيِّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كَبُرَتْ خِيَانَةً أَنْ تُحَدِّثَ أَخَاكَ حَدِيثًا هُوَ لَكَ بِهِ مُصَدِّقٌ وَأَنْتَ لَهُ بِهِ كَاذِبٌ 
Daripada Sufyan bin Asid Al-Hadrami RA, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Satu pengkhianatan yang amat besar apabila kamu menceritakan sesuatu kepada saudaramu, manakala dia membenarkanmu (mempercayaimu) padahal kamu sedang membohonginya.'”

(Riwayat Abu Dawud, No. 4971)


 

لَا يَحْقِرُهُ (tidak boleh menghinanya) 

Ia bermaksud memandang hina, meremehkan, menganggap lekeh, dan merasakan diri sendiri lebih mulia, lebih alim, lebih kaya, atau lebih hebat daripada orang lain.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Tidak akan masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah sifat sombong.” Sorang lelaki bertanya: “Sesungguhnya ada lelaki yang suka jika pakaiannya indah dan seliparnya bagus (adakah itu dikira sombong)?” Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Dia menyukai keindahan. Kesombongan itu adalah menolak kebenaran (batarul haqq) dan merendah-rendahkan manusia (ghamthun-nas).”

(Riwayat Muslim, No. 91)

Allah berfirman di dalam Hujurat:11,

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا لا يَسخَر قَومٌ مِّن قَومٍ عَسىٰ أَن يَكونوا خَيرًا مِّنهُم وَلا نِساءٌ مِّن نِّساءٍ عَسىٰ أَن يَكُنَّ خَيرًا مِّنهُنَّ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik.

Ahli tafsir mengatakan pasti kalau merendahkan dan mengejek orang lain itu, orang yang diejek itu yang lebih baik dari yang mengejek. Kerana pasti yang mengejek itu ada sifat sombong dalam hati dia.


 

التَّقْوَى هَاهُنَا – وَيُشِيْرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ (Takwa itu di sini – baginda memberi isyarat ke dadanya tiga kali)

Memandang orang lain hina itu adalah salah. Kalau kita memandang orang lain hina, maknanya kita tidak pandang dia sebagai mulia. Padahal kemuliaan itu pada taqwa. Allah berfirman di dalam Hujurat:13

إِنَّ أَكرَمَكُم عِندَ اللهِ أَتقٰكُم
Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu

Dan ketaqwaan itu bukannya pada rupa paras, pada kekayaan, pada kedudukan, tapi di dalam hati. Rasulullah telah bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ 
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat (menilai) kepada rupa paras kamu dan harta-benda kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu.”

(Riwayat Muslim, No. 2564)

Jikalau engkau ada taqwa, maka engkau akan muliakan orang lain. Begitu juga, kalau ada taqwa, kita tidak akan melakukan kesalahan-kesalahan yang disebut di dalam hadis yang kita sedang pelajari ini.

Kita boleh belajar dari keperibadian agung Rasulullah SAW dalam melayan setiap orang sehinggakan sesiapa sahaja yang berinteraksi dengan baginda, walaupun individu tersebut merupakan pembesar yang baru memeluk Islam seperti Amru bin al-Aas, akan merasakan bahawa dialah manusia yang paling dicintai dan paling istimewa di mata baginda. Peristiwa ini dirakamkan oleh Amru bin al-Aas RA sendiri dalam beberapa riwayat, antaranya dalam Kitab Al-Syama’il Al-Muhammadiyah oleh Imam Al-Tirmidzi dan juga dalam Sahih Al-Bukhari.

Riwayat dan Pengakuan Amru bin al-AasAmru bin al-Aas menceritakan bagaimana cara Rasulullah SAW melayaninya dengan penuh kehangatan, pandangan mata yang lembut, dan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Beliau berkata: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقْبِلُ بِوَجْهِهِ وَحَدِيثِهِ عَلَى أَشَرِّ الْقَوْمِ يَتَأَلَّفُهُمْ بِذَلِكَ “Rasulullah SAW sentiasa menghadapkan wajahnya dan bicaranya kepada orang yang paling buruk (atau paling keras/baru masuk Islam) dalam sesuatu kaum untuk menjinakkan hati mereka.”

Amru melanjutkan: وَكَانَ يُقْبِلُ بِوَجْهِهِ وَحَدِيثِهِ عَلَيَّ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنِّي أَخْيَرُ الْقَوْمِ “Dan baginda sentiasa menghadapkan wajah dan bicaranya kepadaku (dengan begitu istimewa sekali), sehinggakan aku menyangka bahawa akulah orang yang terbaik (paling dicintai) dalam kalangan kaum tersebut.”

Maknanya sifat taqwa seperti yang ada pada Rasulullah ini akan menjadikan kita memandang mulia kepada semua orang. Terutama kepada orang yang ada iman, ada akhlak yang baik, ada ilmu. Dan mengagungkan orang-orang yang bertakwa adalah termasuk syiar Allah.  Allah berfirman di dalam Hajj:32

ذٰلِكَ وَمَن يُعَظِّم شَعٰئِرَ اللهِ فَإِنَّها مِن تَقوَى القُلوبِ
Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.

Orang yang ada agama itu adalah syiar Allah kerana mereka mengingatkan kita kepada agama dan Allah. Sebagai contoh, kita akan hormat kepada orang yang hafiz Al-Qur’an, bukan? Kita bukan pandang pada kekayaan dia, tapi kerana dia menjaga Al-Qur’an di dalam dadanya. Oleh itu, tidaklah kita terhegeh-hegeh melayan orang hanya semata-mata kerana dia kaya, tapi kita akan memuliakan orang yang memuliakan agama. Tidaklah kita memandang manusia macam orang lain: kalau kaya layan semacam, kalau miskin kita buat tidak tahu sahaja. Rasulullah bersabda dalam hal ini,

عَنْ حَارِثَةَ بْنِ وَهْبٍ الْخُزَاعِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ الْجَنَّةِ كُلُّ ضَعِيفٍ مُتَضَعِّفٍ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ النَّارِ كُلُّ عُتُلٍّ جَوَّاظٍ مُسْتَكْبِرٍ 
Daripada Harithah bin Wahb al-Khuza’i RA, bahawasanya beliau mendengar Nabi SAW bersabda: “Mahukah kamu aku khabarkan tentang ciri ahli syurga? Iaitu setiap orang yang lemah dan dianggap lemah oleh orang lain, yang mana jika dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan memakbulkannya. Dan mahukah kamu aku khabarkan tentang ciri ahli neraka? Iaitu setiap orang yang kasar, tamak lagi sombong dalam berjalan, dan angkuh.”

(Riwayat al-Bukhari, No. 4918 dan Muslim, No. 2853)

Oleh itu, jangan kita pandang orang sebelah mata. Jangan kita menghina orang yang miskin, lemah dan tidak ada kedudukan. Entah-entah mereka itu ahli syurga dan lebih mulia dari kita. Lihat Nabi kata apa? لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ (jika dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan memakbulkannya). Ini menunjukkan betapa dekat dan kasihnya Allah kepada orang tersebut. Kerana keikhlasan dan ketakwaannya yang tinggi, apa sahaja doa atau permintaannya (sumpahnya) akan terus dikabulkan oleh Allah SWT.

Rasulullah pernah mengajar para sahabat jangan memandang pada kekayaan sahaja. Disebut di dalam satu hadis,

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ مَرَّ رَجُلٌ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لِرَجُلٍ عِنْدَهُ جَالِسٍ مَا رَأْيُكَ فِي هَذَا فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ أَشْرَافِ النَّاسِ هَذَا وَاللَّهِ حَرِيٌّ إِنْ خَطَبَ أَنْ يُنْكَحَ وَإِنْ شَفَعَ أَنْ يُشَفَّعَ قَالَ فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ مَرَّ رَجُلٌ آخَرُ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا رَأْيُكَ فِي هَذَا فَقَالَ يَا رَسُولُ اللَّهِ هَذَا رَجُلٌ مِنْ فُقَرَاءِ الْمُسْلِمِينَ هَذَا حَرِيٌّ إِنْ خَطَبَ أَنْ لَا يُنْكَحَ وَإِنْ شَفَعَ أَنْ لَا يُشَفَّعَ وَإِنْ قَالَ أَنْ لَا يُسْمَعَ لِقَوْلِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذَا خَيْرٌ مِنْ مِلْءِ الْأَرْضِ مِثْلَ هَذَا 
Daripada Sahl bin Sa’d as-Sa’idi RA, beliau berkata: Lalu seorang lelaki di hadapan Rasulullah SAW, maka baginda bertanya kepada seorang lelaki yang sedang duduk di samping baginda: “Apa pandanganmu tentang orang ini?” Lelaki itu menjawab: “Dia adalah seorang daripada golongan bangsawan (orang mulia). Demi Allah, dia ini jika meminang (wanita), layak untuk dikahwinkan, dan jika dia memberikan syafaat (bantuan/rekomendasi), layak untuk diterima.” Rasulullah SAW pun diam. Kemudian lalu pula seorang lelaki yang lain, lalu Rasulullah SAW bertanya lagi: “Apa pandanganmu tentang orang ini?” Lelaki itu menjawab: “Wahai Rasulullah, dia ini adalah seorang lelaki daripada golongan Muslimin yang miskin. Orang ini jika meminang, layak untuk tidak dikahwinkan, jika dia memberikan syafaat, layak untuk tidak diterima, dan jika dia bercakap, layak untuk tidak didengari kata-katanya.” Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Orang (miskin) ini adalah lebih baik daripada seisi bumi yang dipenuhi dengan orang yang seumpama itu (lelaki kaya tadi).”

(Riwayat Al-Bukhari, No. 5099)


 

بِحَسْبِ امْرِىءٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ المُسْلِمَ (Cukuplah seseorang berdosa jika dia menghina saudaranya yang Muslim) 

Maka kita kena berhati-hati dengan kata-kata kita supaya jangan ada yang terasa hati dengan kata-kata kita. Kalau kita memandang rendah kepada orang lain, itu bermaksud kita sombong dan orang sombong tidak akan masuk syurga, seperti disebut dalam hadis yang kita telah pernah kongsikan di atas,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Tidak akan masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah sifat sombong.” Sorang lelaki bertanya: “Sesungguhnya ada lelaki yang suka jika pakaiannya indah dan seliparnya bagus (adakah itu dikira sombong)?” Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Dia menyukai keindahan. Kesombongan itu adalah menolak kebenaran (batarul haqq) dan merendah-rendahkan manusia (ghamthun-nas).”

(Riwayat Muslim, No. 91)

Yang layak sombong hanyalah Allah sahaja, seperti disebut di dalam satu Hadis Qudsi,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ الْكِبْرِيَاءُ رِدَائِي وَالْعَظَمَةُ إِزَارِي فَمَنْ نَازَعَنِي وَاحِدًا مِنْهُمَا قَذَفْتُهُ فِي النَّارِ 
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: ‘Sifat agung/sombong (Al-Kibriya’) itu adalah selendang-Ku, dan sifat maha besar (Al-‘Azamah) itu adalah sarung-Ku. Sesiapa yang cuba merebut (meniru/berkongsi) salah satu daripada kedua-duanya dengan-Ku, nescaya Aku akan campakkan dia ke dalam neraka.'”

(Riwayat Muslim, No. 2620, dan Abu Dawud, No. 4090. Lafaz ini menurut riwayat Abu Dawud).

Dan disebut tentang selendang ini dalam hadis yang lain,

عَنْ فَضَالَةَ بْنِ عُبَيْدٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ ثَلَاثَةٌ لَا تَسْأَلْ عَنْهُمْ رَجُلٌ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ وَعَصَى إِمَامَهُ وَمَاتَ عَاصِيًا وَأَمَةٌ أَوْ عَبْدٌ أَبَقَ فَمَاتَ وَامْرَأَةٌ غَابَ عَنْهَا زَوْجُهَا قَدْ كَفَاهَا مُؤْنَةَ الدُّنْيَا فَتَبَرَّجَتْ بَعْدَهُ فَلَا تَسْأَلْ عَنْهُمْ

وَثَلَاثَةٌ لَا تَسْأَلْ عَنْهُمْ رَجُلٌ نَازَعَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ رِدَاءَهُ فَإِنَّ رِدَاءَهُ الْكِبْرِيَاءُ وَإِزَارَهُ الْعِزُّ وَرَجُلٌ فِي شَكٍّ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ وَالْقُنُوطُ مِنْ رَحْمَتِهِ 
Daripada Fadhalah bin Ubaid RA, daripada Rasulullah SAW, bahawasanya baginda bersabda: “Tiga golongan yang jangan kamu tanya tentang (kebinasaan) mereka: Seorang lelaki yang memisahkan diri daripada jemaah (kaum Muslimin), menderhaka kepada pemerintahnya lalu mati dalam kederhakaan; seorang hamba perempuan atau hamba lelaki yang melarikan diri (daripada tuannya) lalu mati; dan seorang isteri yang ditinggalkan pergi oleh suaminya sedangkan suaminya telah mencukupkan keperluan dunianya (nafkahnya), lalu dia ber-tabarruj (berhias berlebih-lebihan untuk lelaki lain) setelah pemergian suaminya. Maka jangan kamu tanya tentang mereka.

Dan tiga golongan (lagi) yang jangan kamu tanya tentang mereka: Seorang lelaki yang merebut selendang Allah ‘Azza wa Jalla, kerana sesungguhnya selendang-Ku adalah sifat agung/sombong (Al-Kibriya’) dan sarung-Ku adalah sifat kemuliaan (Al-‘Izz); seorang lelaki yang berada dalam keraguan terhadap urusan Allah, serta orang yang berputus asa daripada rahmat-Nya.”

(Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya, No. 4563)

Maka kena jaga mulut kita dari merendahkan orang lain. Mungkin kita tidak berniat hendak merendah mereka, tapi dari kata-kata kita, mungkin mereka terasa begitu. Pernah sekali Abu Bakar Ash-Siddiq terlepas kata (menyakiti hati) terhadap beberapa orang sahabat daripada golongan miskin dan bekas hamba, antaranya Salman al-Farisi, Suhaib ar-Rumi, dan Bilal bin Rabah RA.

عَنْ عَائِدِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ أَبَا سُفْيَانَ أَتَى عَلَى سَلْمَانَ وَصُهَيْبٍ وَبِلَالٍ فِي نَفَرٍ فَقَالُوا مَا أَخَذَتْ سُيُوفُ اللَّهِ مِنْ عُنُقِ عَدُوِّ اللَّهِ مَأْخَذَهَا قَالَ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ أَتَقُولُونَ هَذَا لِشَيْخِ قُرَيْشٍ وَسَيِّدِهِمْ فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ يَا أَبَا بَكْرٍ لَعَلَّكَ أَغْضَبْتَهُمْ لَئِنْ كُنْتَ أَغْضَبْتَهُمْ لَقَدْ أَغْضَبْتَ رَبَّكَ فَأَتَاهُمْ أَبُو بَكْرٍ فَقَالَ يَا إِخْوَتَاهْ أَغْضَبْتُكُمْ قَالُوا لَا يَغْفِرُ اللَّهُ لَكَ يَا أُخَيَّ 
Daripada ‘Aidh bin ‘Amr RA, bahawasanya Abu Sufyan (sebelum memeluk Islam) lalu berdekatan dengan Salman, Suhaib, dan Bilal yang sedang berada dalam sekumpulan sahabat. Lalu mereka berkata: “Pedang-pedang Allah masih belum selesai menuntut haknya pada leher musuh Allah ini.” Mendengarkan itu, Abu Bakar menegur mereka: “Adakah kamu mengatakan hal ini kepada orang tua (pembesar) Quraisy dan pemimpin mereka?” Lalu Abu Bakar datang menemui Nabi SAW dan menceritakan hal itu. Nabi SAW bersabda: “Wahai Abu Bakar, barangkali engkau telah menyakiti (membuatkan marah) hati mereka? Demi sesungguhnya, jika engkau telah membuatkan mereka marah, maka sesungguhnya engkau telah membuatkan Tuhanmu murka!” Maka Abu Bakar segera berpatah balik menemui mereka dan berkata: “Wahai saudara-saudaraku, adakah aku telah menyakiti hati kamu?” Mereka menjawab: “Tidak, wahai saudaraku (kami tidak marah). Semoga Allah mengampunkan dosamu.”

(Riwayat Muslim, No. 2504)

Penjelasan: Salman, Suhaib, dan Bilal adalah golongan Mustad’afin (orang-orang miskin dan hamba yang ditindas dengan kejam di Mekah pada awal Islam). Siapakah ketua yang melancarkan perang, menyeksa, dan merancang pembunuhan umat Islam ketika itu? Salah seorang utamanya ialah Abu Sufyan (yang pada waktu kejadian itu berlaku, baru sahaja memeluk Islam atau sedang dalam fasa gencatan senjata, dan jiwanya belum sepenuhnya sebati dengan Islam).

Apabila para sahabat miskin ini melihat Abu Sufyan, mereka teringat parut luka penindasan lalu berkata bahawa pedang Islam sepatutnya sudah menghukum musuh Allah ini. Namun, Abu Bakar pula datang membela Abu Sufyan dengan memanggilnya “Orang tua dan pemimpin Quraisy”. Bagi mereka, gelaran hormat itu seolah-olah mengesahkan semula status “tuan besar” kepada orang yang pernah menindas mereka. Di zaman Jahiliyyah, status manusia dinilai pada keturunan dan kabilah. Abu Sufyan berada di kasta tertinggi (bangsawan), manakala Bilal (hamba Habsyi) dan Suhaib (orang Rom) berada di kasta paling bawah. Islam datang untuk menghapuskan sistem kasta ini dan menggantikannya dengan nilai takwa. Apabila Abu Bakar menegur mereka dengan membangkitkan status Abu Sufyan sebagai “pembesar Quraisy”, teguran itu secara tidak langsung kedengaran seolah-olah mengembalikan semula standard Jahiliyyah—iaitu orang miskin/bekas hamba tidak layak bercakap kasar atau mengkritik seorang bangsawan.

Jadi jangan kita menghina sesama Muslim yang lain. Malangnya kalau kita lihat dalam Facebook sekarang, Allahu akbar, teruk sangat kes hentam menghentam sesama Muslim. Tidak kiralah bab politik atau bab agama, ringan sangat tangan kita menghina dan merendahkan orang lain yang tidak sama fahaman dengan kita!

Satu lagi cara kita menghina orang Muslim lain adalah dengan mengatakan mereka itu teruk sangat, ahli neraka, sudah teruk dan tidak ada harapan lagi. Kita hina mereka, di dalam masa yang sama kita meninggikan diri kita, kita anggap kitalah sahaja yang selamat. Ini juga adalah kata-kata sombong dan dilarang oleh agama. Rasulullah telah bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ 
Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang itu berkata: ‘Umat manusia telah binasa (rosak/hancur/masuk neraka)’, maka dialah orang yang paling binasa di antara mereka.”

(Riwayat Muslim, No. 2623)

Penjelasan: Kalau kalimah أَهْلَكُهُمْ ini dibaca secara Marfu’ (أَهْلَكُهُمْ – Ahla-kuhum), ia bermaksud: “Dialah orang yang paling binasa atau paling rosak di antara mereka.” Kerana dia memiliki sifat sombong, ujub (merasa diri lebih suci), dan memandang rendah kepada orang lain. Sifat hati yang barah ini jauh lebih merosakkan dirinya berbanding dosa-dosa maksiat zahir yang dilakukan oleh orang yang dikutuknya itu.

Kalimah أَهْلَكُهُمْ boleh juga dibaca (أَهْلَكَهُمْ – Ahlaka-hum) yang bermaksud: “Dialah yang telah membinasakan mereka.” Ini kerana kata-kata kutukan dan putus asa seperti itu boleh membinasakan semangat orang lain. Apabila masyarakat sering dimarahi dan dituduh “sudah rosak dan tiada harapan lagi untuk bertaubat”, mereka akan berputus asa daripada rahmat Allah, lalu berhenti beramal dan akhirnya benar-benar binasa.

Kalau kita kata orang lain teruk, kalau kita pandang orang lain tidak beriman, banyak dosa, adakah automatik kita jadi lebih beriman, tidak berdosa? Tidak ada matematik begitu. Tidak ada apa-apa bukti dan dalil yang menjadi kepastian kita lebih baik dari orang lain. Mungkin kita solat, mungkin tok imam, mungkin kita ustaz, mungkin kita tulis blog tafsir, tapi itu bukanlah kepastian yang kita lebih baik dari orang lain, sudah tentu selamat! Tidak. Belum tentu. Kerana penilaian bukan berdasarkan kepada fizikal yang kita boleh nampak dengan mata, tapi pada hati. Dan Allah sahaja yang tahu kita selamat atau tidak. Jadi jangan pandang kita lebih baik dari orang lain, jangan pandang hina orang lain.

Kadang ada orang yang kita nampak biasa sahaja, tapi dia sebenarnya ahli syurga. Lihat kepada satu hadis yang diceritakan oleh Ibnu Abbas, tentang seorang wanita yang berkulit hitam.

عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي رَبَاحٍ قَالَ: قَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ: أَلَا أُرِيكَ اِمْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ؟ قُلْتُ: بَلَى، قَالَ: هَذِهِ الْمَرْأَةُ السَّوْدَاءُ، أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: إِنِّي أُصْرَعُ، وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي، قَالَ: «إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ، وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ» فَقَالَتْ: أَصْبِرُ، فَقَالَتْ: إِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ لَا أَتَكَشَّفَ، فَدَعَا لَهَا. 
Daripada Ata’ bin Abi Rabah, beliau berkata: Ibnu Abbas RA berkata kepadaku: “Mahukah kamu aku tunjukkan seorang wanita yang merupakan penduduk syurga?” Aku menjawab: “Ya, mahu.” Ibnu Abbas berkata: “Wanita hitam inilah orangnya. Dahulu dia pernah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: ‘Sesungguhnya aku kerap diserang penyakit sawan (epilepsi) sehinggakan auratku terbuka (tanpa sedar sewaktu diserang penyakit itu). Oleh itu, doakanlah kepada Allah untuk kesembuhanku.'” Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu mahu, kamu boleh bersabar (menanggung penyakit ini) dan ganjaran bagimu adalah syurga. Dan jika kamu mahu, aku boleh berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu.” Wanita itu lalu menjawab: “Kalau begitu, aku memilih untuk bersabar.” Kemudian dia berkata lagi: “Namun sesungguhnya auratku kerap terbuka (ketika sawan), maka doakanlah kepada Allah agar auratku tidak terbuka.” Lalu baginda SAW pun berdoa untuknya (agar auratnya terpelihara).

Sahih Al-Bukhari (No. 5652) & Sahih Muslim (No. 2576).

Kenapa wanita itu boleh masuk ke dalam syurga? Kerana sifat sabar dia. Kita belum tentu boleh bersabar walaupun kita banyak ilmu. Orang lain yang nampak biasa, kita tidak tahu apa kelebihan dia dengan Allah. Mungkin dia seorang penyabar, seorang yang menjaga silaturrahim, seorang yang qana’ah dengan takdir Allah, seorang yang sentiasa berdoa kepada Allah, sentiasa ingat kepada Allah dan sebagainya. Kerana itu Rasulullah kata التَّقْوَى هَاهُنَا – وَيُشِيْرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ (Takwa itu di sini – baginda memberi isyarat ke dadanya tiga kali) yang bermakna taqwa itu dalam hati, bukannya pada luaran.


 

كُلُّ المُسْلِمِ عَلَى المُسْلِمِ حَرَامٌ: دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ (Setiap muslim atas muslim lainnya itu haram darahnya, hartanya, dan kehormatannya) 

Ini adalah penutup hadis ini dan ia berfungsi sebagai deklarasi agung mengenai undang-undang kemanusiaan dan jaminan keselamatan sosial dalam Islam. Rasulullah SAW meletakkan tiga perkara utama sebagai hak mutlak yang wajib dipelihara dan haram sama sekali untuk dilanggar oleh sesama Muslim:

1. Darahnya (دَمُهُ)

Maksud: Haram membunuh, mencederakan, memukul, atau menumpahkan darah seorang Muslim tanpa jalan yang hak (seperti hukuman qisas oleh pemerintah). Nyawa seorang Muslim teramatlah mahal di sisi Allah SWT. Malah dalam hadis lain, Rasulullah SAW menyebut bahawa runtuhnya Ka’bah batu demi batu adalah lebih ringan di sisi Allah berbanding tumpahnya darah seorang mukmin tanpa hak. Larangan ini juga merangkumi segala bentuk ancaman fizikal.

2. Hartanya (مَالُهُ)

Maksud: Haram mengambil, mencuri, merompak, menipu, atau merampas harta benda saudara se-Islam. Setiap harta yang dimiliki oleh seorang Muslim secara sah adalah terpelihara. Kita tidak boleh memakan atau menggunakan harta orang lain melainkan dengan jalan perniagaan yang sah atau dengan keredaan hatinya. Termasuk dalam larangan ini adalah perbuatan menipu dalam urusan jual beli, rasuah, dan menyorokkan barang.

3. Maruahnya (عِرْضُهُ)

Maksud: Haram mengaibkan, memfitnah, mengumpat (ghibah), mencaci, atau merendah-rendahkan kehormatan diri saudara se-Islam. Ini adalah perkara yang paling kerap dipandang ringan oleh masyarakat, terutamanya di era media sosial hari ini. Islam meletakkan kehormatan diri dan nama baik seorang Muslim setaraf dengan kesucian nyawa dan hartanya. Menyebarkan aib atau menjatuhkan air muka seorang Muslim adalah satu dosa besar yang merosakkan ikatan ukhuwah.

Perkataan حَرَامٌ seperti di dalam hadis ini, di dalam bahasa Arab berasal daripada kata dasar ح ر م yang membawa maksud halangan, sekatan, atau sesuatu yang dipelihara. Disebabkan itu, dalam konteks syariat dan budaya Arab, perkataan “haram” mempunyai dua dimensi maksud yang saling berkait:

1. Maksud Pertama: Sesuatu yang Suci, Mulia, dan Dihormati. Apabila sesuatu itu digelar “haram”, ia bermaksud perkara tersebut mempunyai kedudukan yang teramat mulia, suci, dan wajib dihormati, sehinggakan ada sempadan atau larangan khas yang diletakkan di sekelilingnya untuk menjaga kesuciannya. Contoh Terbaik: Masjidil Haram. Maksud ‘haram’ di sini adalah mulia.

2. Maksud Kedua: Sesuatu yang “Sempadan Merah” (Tidak Boleh Dilanggar) Ini adalah maksud yang paling biasa kita dengar dalam hukum fiqah, iaitu lawan kepada perkataan halal. Sesuatu yang diharamkan bermaksud ia telah dikunci, disekat, dan dilarang keras daripada dilakukan, di mana pelakunya akan mendapat dosa dan seksaan. Dalam konteks hadis ini, tidak boleh dilanggar darah, harta dan maruah.

Oleh itu, mana mungkin kita boleh menghina dan menjatuhkan maruah seorang Mukmin, sedangkan Rasulullah telah beritahu kita yang seorang Mukmin itu lebih mulia dari Ka’bah!

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَطُوفُ بِالْكَعْبَةِ وَيَقُولُ: «مَا أَطْيَبَكِ وَأَطْيَبَ رِيحَكِ، مَا أَعْظَمَكِ وَأَعْظَمَ حُرْمَتَكِ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيدِهِ، لَحُرْمَةُ الْمُؤْمِنِ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ حُرْمَةً مِنْكِ، مَالِهِ وَدَمِهِ، وَأَنْ نَظُنَّ بِهِ إِلَّا خَيْرًا» 
Daripada Abdullah bin Umar RA, beliau berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW sedang melakukan tawaf di Kaabah sambil baginda berbicara (kepada Kaabah): ‘Alangkah harumnya engkau (Kaabah) dan alangkah wanginya baumu. Alangkah agungnya engkau dan alangkah besarnya kesucianmu. Namun, demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya kesucian seorang mukmin itu lebih agung di sisi Allah daripada kesucianmu (wahai Kaabah); iaitu melibatkan hartanya, darahnya, dan tidaklah kita berprasangka terhadapnya melainkan prasangka yang baik.'”

Sunan Ibnu Majah (No. 3932). Status Hadis: Hadis ini dinilai Sahih atau Hasan oleh ramai ulama hadis, antaranya Imam Al-Ghazali, Imam Al-Busiri, dan Syeikh Al-Albani kerana ia mempunyai banyak jalur sokongan (syawahid) yang saling menguatkan.

Allahu a’lam. Sambung ke hadis yang seterusnya

Kemaskini: 8 Jun 2026


 

Rujukan:

Ustaz Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)

Dr. MAZA (Mufti Perlis)

Jami’ Al-Ulum Wal Hikam

Dr. Firanda Andirja

Syarah Hadis #34 (Hadis 40 Imam Nawawi). Mengubah Kemungkaran

Hadis Arbain #34: Mengubah Kemungkaran

عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُوْلُ: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ

Dari Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Barangsiapa dari kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka ingkarilah dengan hatinya, dan itu merupakan selemah-lemahnya iman.

[Sahih Muslim, no. 49]

Siapakah أَبِي سَعِيْدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ kita telah sentuh di dalam Hadis #32 sebelum ini.

Hadis ini Imam Nawawi ambil dari kita Sahih Muslim. Satu perkara unik yang perlu diketahui tentang Sahih Muslim ialah Imam Muslim sendiri sebenarnya tidak meletakkan tajuk bab (tarajum) bagi hadis-hadis dalam kitabnya. Beliau hanya menyusun hadis mengikut topik secara bersiri tanpa pemisah tajuk yang jelas. Beliau hanya berikan tajuk kitab sahaja. Contohnya Imam Muslim letak tajuk besar seperti ‘Kitab Iman’ dan tidak ada tajuk kecil-kecil.

Ini berbeza dengan Sahih Bukhari kerana tajuk di dalam Sahih Bukhari itu diletakkan sendiri oleh Imam Bukhari. Jadi Imam Muslim tidak meletakkan tajuk bab, kemudian Imam al-Nawawi, melalui kitab syarahnya yang agung iaitu Al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, telah mengambil inisiatif untuk meletakkan tajuk-tajuk bab tersebut bagi memudahkan pembaca memahami fiqh (kefahaman hukum) di sebalik hadis tersebut.

Berikut adalah penerangan ringkas mengenai metodologi Imam al-Nawawi dalam meletakkan tajuk tersebut:

1. Menyingkap Rahsia Hukum (Istinbat)

Imam al-Nawawi meletakkan tajuk bukan sekadar label, tetapi sebagai rumusan hukum. Beliau meneliti rangkaian hadis dalam satu kelompok, kemudian membina tajuk yang menunjukkan kesimpulan hukum daripada hadis-hadis tersebut.

Contoh: Jika hadis menceritakan tentang cara Nabi SAW berwuduk, al-Nawawi akan meletakkan tajuk seperti “Bab Wajibnya Membasuh Anggota Wuduk dengan Sempurna”.

2. Tajuk yang Panjang dan Terperinci

Berbeza dengan Imam al-Bukhari yang kadangkala meletakkan tajuk yang ringkas atau dalam bentuk soalan, Imam al-Nawawi cenderung memberikan tajuk yang jelas dan deskriptif. Beliau mahu pembaca terus faham apa isu utama yang dibincangkan dalam bab tersebut tanpa perlu berteka-teki.

3. Mengikut Aliran Mazhab Syafi’i

Memandangkan Imam al-Nawawi merupakan tokoh besar dalam mazhab Syafi’i, tajuk-tajuk yang beliau letakkan sering kali mencerminkan pandangan hukum dalam mazhab Syafi’i. Walau bagaimanapun, beliau tetap bersikap objektif dan amanah dalam menghuraikan perbezaan pendapat ulama’ lain dalam ulasannya.

4. Menjadi Standard Dunia

Walaupun terdapat ulama’ lain yang cuba meletakkan tajuk bagi Sahih Muslim (seperti Imam al-Qurtubi atau al-Maziri), tajuk yang disusun oleh Imam al-Nawawi adalah yang paling popular dan diterima pakai dalam hampir semua naskhah cetakan Sahih Muslim di seluruh dunia sehingga hari ini. Inilah khidmat yang telah dilakukan oleh Al-Nawawi rahimahullah ta’ala. Jadi bila kita kitab Sahih Muslim, kita tahulah yang tajuk-tajuk itu semua diletakkan oleh Imam Nawawi dan semoga Allah memberkati beliau.


 

Istinbat dari Hadis

Hadis yang kita sedang pelajari ini Al-Imam Al-Nawawi meletakkan hadis ini di dalam tajuk Bab Menjelaskan Bahawa Mencegah yang Mungkar itu Termasuk Daripada Iman. Jadi ia adalah topik yang besar kerana melibatkan iman. Dan kemudian Imam Nawawi tambah lagi tajuk itu dengan: Iman Itu Boleh Bertambah dan Berkurang. Jadi tajuknya menjadi begini:

بَابُ بَيَانِ كَوْنِ النَّهْيِ عَنِ الْمُنْكَرِ مِنَ الإِيمَانِ وَأَنَّ الإِيمَانَ يَزِيدُ وَيَنْقُصُ

“Bab Penjelasan bahawa Mencegah Kemungkaran adalah sebahagian daripada Iman, dan bahawa Iman itu Boleh Bertambah dan Berkurang.”

Dari tajuk yang Imam Nawawi letakkan ini kita boleh nampak yang istinbat hukum yang dikeluarkan dari hadis ini ada 3:

1. Amar ma’ruf dan nahi munkar itu adalah wajib. Macam mana kita tahu bahawa mencegah munkar tu wajib? Kerana dalam hadis ini Nabi Muhammad sebut: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ (Barangsiapa dari kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah). Kata Rasulullah itu di dalam bentuk perintah dan dalam kaedah syarak, sesuatu perintah itu hukumnya wajib. Selagi tidak ada dalil yang menunjukkan sebaliknya. Kerana perintah dari Nabi boleh juga jadi sunat, bukan wajib. Contohnya ada yang Nabi perintahkan tapi Nabi berhenti atau ada tinggalkan. Itu dalil bahawa benda itu adalah sunat, bukan wajib. Jadi kalau Nabi perintahkan dan tak ada pula dalil lain yang menunjukkan bahawa Nabi meninggalkan perbuatan mencegah kemungkaran, itu menunjukkan bahawa mencegah kemungkaran itu wajib.

Walau bagaimanapun, beliau memperincikan status kewajipannya:

Fardu Kifayah: Secara umumnya, jika sudah ada sekumpulan orang yang melaksanakannya, maka gugur kewajipan atas orang lain.

Fardu Ain: Ia boleh menjadi wajib ke atas individu tertentu jika:

• Hanya dia sahaja yang melihat kemungkaran tersebut.

• Hanya dia sahaja yang mempunyai kemampuan untuk mengubahnya (seperti pihak berkuasa atau ketua keluarga)

 

2. Dan iman itu bertambah dan berkurang. Bagaimana kita tahu? Sebab Nabi sebut dalam hadis ini, فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ (Jika tidak mampu, maka ingkarilah dengan hatinya, dan itu merupakan selemah-lemahnya iman). Maksudnya ada orang yang mampu menegur dengan tangannya. Itu adalah tanda imannya lebih tinggi iman daripada orang yang menegur dengan lisannya. Dan orang yang menegur dengan lisannya lebih tinggi imannya daripada orang yang menegur dengan hatinya.

Dan begitu juga lawannya, atau sebaliknya. Iaitu orang yang membenci dengan hatinya, lebih rendah imannya daripada orang yang menegur dengan lisan. Orang yang menegur dengan lisan, lebih rendah imannya daripada orang yang menegur dengan kuasanya, dengan tangannya.

Apabila kita sedar yang iman itu bertambah dan berkurang, maka hendaklah kita berusaha untuk meningkatkan iman kita. Antara cara untuk meningkat iman adalah dengan ilmu. Kerana dengan iman yang tinggi, kita tidak takut untuk memberi teguran kerana kita lebih takut kepada Allah dari takut kepada manusia dan kesan dari mereka. Yang jadi masalah sekarang adalah apabila kita lebih takut kepada manusia.

3. Kewajipan Mengingkari mengikut Hierarki Kemampuan. Perkataan “Mencegah Kemungkaran” dalam tajuk tersebut dikaitkan dengan hadis tentang tiga tingkatan (tangan, lisan, dan hati). Imam al-Nawawi mengeluarkan hukum bahawa:

Wajib bagi setiap Muslim untuk tidak redha dengan kemungkaran.

• Jika tidak mampu mengubah dengan tangan (kuasa), hukumnya beralih kepada lisan. Jika masih tidak mampu, hukumnya wajib membenci di dalam hati.

• Kegagalan mengingkari sekurang-kurangnya dengan hati menunjukkan ketiadaan kesan iman dalam situasi tersebut.

 

Hukum mencegah kemungkaran tertakluk kepada kemampuan pelaku. Imam al-Nawawi menjelaskan pembahagian tiga tahap tersebut:

Tangan: Untuk mereka yang mempunyai kuasa (pemerintah atau ketua).

Lisan: Untuk mereka yang mempunyai ilmu dan lisan yang didengar (ulama’ atau penasihat).

Hati: Wajib bagi setiap individu tanpa pengecualian. Membenci maksiat dalam hati adalah had minimum iman. Jika hati tidak membenci maksiat, maka hilangkanlah cahaya iman di situ.

 


 

Latar belakang Hadis 

Bilakah hadis ini sahabat keluarkan? Hadis ini sangat menarik kerana ia melibatkan satu peristiwa besar dalam sejarah Islam, iaitu perubahan tradisi solat Hari Raya oleh seorang pemerintah. Ketika peristiwa itulah hadis ini keluar. Hadis ini diriwayatkan oleh Tariq bin Shihab. Beliau menceritakan bahawa orang pertama yang memulakan khutbah sebelum solat Hari Raya ialah Marwan bin al-Hakam (Gabenor Madinah pada zaman Bani Umayyah). Mengikut sunnah Nabi ﷺ dan amalan Khulafa al-Rasyidin, solat Hari Raya mestilah dilakukan dahulu, barulah diikuti dengan khutbah. Namun, Marwan menukarnya (khutbah dahulu baru solat) kerana beliau dapati orang ramai sering terus pulang selepas solat dan tidak mahu mendengar khutbahnya.

Apabila Marwan mahu naik ke atas mimbar sebelum solat bermula, seorang lelaki berdiri dan menegurnya dengan berkata: “Solat itu (sepatutnya) sebelum khutbah!” Marwan menjawab: “Sesungguhnya amalan itu telah ditinggalkan (tidak diamalkan lagi).”

Melihat kejadian itu, sahabat Nabi yang mulia, Abu Sa’id al-Khudri RA, terus memberikan sokongan kepada lelaki yang menegur tadi. Abu Sa’id berkata: “Adapun lelaki ini, dia telah menunaikan kewajipannya (menegur kemungkaran).” Kemudian, Abu Sa’id al-Khudri pun meriwayatkan hadis yang beliau dengar sendiri daripada Rasulullah ﷺ: “Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya…” (sehingga akhir hadis).

Mengapa kisah ini penting?

  • Peringatan kepada Pemerintah: Hadis ini muncul dalam konteks menegur tindakan pemerintah yang mengubah sunnah Nabi ﷺ.
  • Keberanian Berhujah: Ia menunjukkan bahawa menegur kesalahan orang yang berkuasa mestilah dilakukan dengan cara yang betul (lisan/kata-kata) bagi mereka yang tidak mempunyai kuasa “tangan” untuk menghalang pemerintah.
  • Kesinambungan Iman: Abu Sa’id menggunakan hadis ini untuk mengesahkan bahawa tindakan lelaki yang menegur tadi adalah sebahagian daripada tuntutan iman.

 

Realiti Semasa

Di dalam alam ini ada ahli haq, ada ahli mungkar. Ada penyokong kebenaran, ada pembuat kemungkaran. Walaupun macam mana kita buat pun, akan ada sahaja golongan yang dihasut oleh syaitan untuk melakukan kemungkaran. Hatta di kalangan pengikut para Nabi, ada yang melihat para Nabi dengan mata kepala mereka, tetap ada yang menyanggahi para Nabi. Maka apatah lagi umat selepas ketiadaan para Nabi macam kita sekarang yang jauh dari Nabi. Dan Allah menjadikan kehidupan ini ada sahaja golongan sebegitu supaya kita dapat membuktikan kita ini setia dengan kebenaran ataupun kita memilih kemungkaran. Ini juga peluang kita buat pahala kerana ramai orang akan buat mungkar, jadi Allah memberi pahala kepada mereka yang menegur kemungkaran dan mengajar ke arah kebaikan.

Kita mungkin fikir, kenapalah ramai sangat orang tak mahu ikut kebenaran. Kalau Allah mahu, boleh sahaja Allah memberi petunjuk kepada manusia semua sekali. Allah bukan tidak mampu jadikan semua manusia seperti para malaikat yang tak buat dosa langsung. Tapi Allah telah takdirkan manusia itu macam-macam jenis. Maka akan ada orang yang diberi tanggungjawab untuk membetulkan yang salah. Bagi kita, kena ukur diri kita ini hendak duduk di mana. Adakah kita hendak jadi orang baik, atau orang buat mungkar?

Dan bukan itu sahaja, ada jenis yang berani buat teguran dan ada yang pakat tengok sahaja. Jenis yang tak kisah dengan manusia lain, lantaklah orang buat apa, janji aku boleh makan, aku boleh pergi kerja. Ataupun kita ini orang yang Allah campakkan dalam hati kita dan jiwa kita, tak boleh tengok orang buat mungkar. Kita rasa kita kena tegur kerana ada kewajipan yang Allah telah galangkan atas bahu kita. Walaupun kita tahu ada risiko, walaupun kita tahu orang akan marah, walaupun kita tahu kita akan kena masalah, tapi kita teruskan juga, beranikan juga hati dan mulut kita. Kalau kita ada perasaan sebegini, maknanya ada rahmat yang Allah telah limpahkan kepada kita. Dia pilih dari ramai-ramai orang, Dia campak dalam diri kita supaya kita menjadi orang-orang yang menyokong pada jalan yang benar.

Dan ini bagi orang yang tahu dia ada tanggungjawab untuk menjalankan tugas ini. Dia tidak jadikan alasan ‘aku tak mahu jaga tepi kain orang’. Apa orang lain buat, bukan masalah aku, itu masalah mereka. Lagi pun kubur lain-lain!” Ini adalah fahaman yang tersasar jauh dari kebenaran. Yang sepatutnya dilakukan, adalah dengan berusaha seboleh mungkin untuk menegakkan kebenaran. Dia akan usaha dengan sedaya upayanya. Kalau dia tidak dapat ubah, dia akan tegur. Kalau tak dapat cakap, dia mungkin tegur dengan dia hantar e-mail, dia hantar surat. Ini dilakukan kerana dia sensitif dengan benda ini. Bukan kerana orang bayar gaji kepada dia untuk buat benda itu. Bukan kerana dia nak menunjuk-nunjuk kepada orang yang dia hebat kerana lebih pandai, lebih baik dari orang yang ditegur itu. Tapi kerana Allah telah menjadikan dia berdiri bersama dengan ahli-ahli kebenaran. Maka, kita kena duduk dan renung pada diri kita. Allah boleh pilih kita duduk di mana-mana. Dan pilihan Allah itu berkaitan dengan sikap dan diri kita sendiri. Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya. Dunia ini, dijadikan dunia ini tempat percubaan dan banyak ujian Allah jadikan kepada kita.

Antara ujian yang Allah berikan kepada kita adalah kemungkaran yang berlaku di hadapan kita. Ujiannya adakah kita tegur atau tidak? Kalau kita hendak senang, kita buat tidak tahu sahajalah, bukan? Akan tetapi salah satu dari kewajipan agama ini adalah menegur manusia, sama ada mengajak mereka ke arah kebaikan, atau menegur mereka apabila melakukan kemungkaran. Kita boleh lihat pesan Luqman kepada anaknya di dalam Luqman:17

يٰبُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَوٰةَ وَأمُر بِالمَعروفِ وَانهَ عَنِ المُنكَرِ وَاصبِر عَلىٰ ما أَصابَكَ ۖ إِنَّ ذٰلِكَ مِن عَزمِ الأُمورِ
Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

Lihatlah nasihat Luqman kepada anaknya. Selepas sebut tentang solat yang paling penting, terus beliau sebut tentang amar ma’ruf nahi munkar. Maknanya melakukan amar ma’ruf nahi munkar itu juga penting. Tak berpada dengan salat sahaja dan rasa sudah cukup kita sebagai umat Islam. Islam bukan agama kerahiban. Rahib itu duduk seorang diri beramal sahaja, tidak campur dengan manusia yang lain. Tidak boleh seseorang dikira beragama kalau setakat dia duduk berzikir di masjid sahaja, kemudian tidak peduli dengan apa yang terjadi di dunia ini. Kita sudah lihat titah Tuhan kepada kita untuk mencampurkan diri dengan manusia lain dan menegur mereka. Seorang Muslim disuruh untuk berperanan membaiki alam ini. Maka kita kena berusaha untuk membaiki keadaan sekeliling kita.

Perhatikan selepas nasihat Luqman itu, beliau menyebut tentang sabar. Memang sabar adalah salah satu dari syarat yang perlu ada apabila kita menjalankan amar ma’ruf nahi munkar.

Dalam kitab Syarah Sahih Muslim, Imam al-Nawawi telah menyatakan satu keluhan atau “realiti pahit” mengenai amalan Amar Makruf Nahi Munkar pada zaman beliau sendiri (abad ke-7 Hijriah). Beliau menyebut bahawa amalan ini telah banyak ditinggalkan atau semakin berkurangan dalam masyarakat. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa orang ramai mula mengabaikan kewajipan ini disebabkan oleh beberapa faktor:

    • Sifat Tamak (Ad-Dunya): Ramai yang lebih mementingkan kedudukan, harta, dan menjaga hubungan peribadi demi kepentingan duniawi.
    • Sifat Takut: Takut hilang pengaruh atau takut disakiti oleh orang yang ditegur.
    • Sikap “Bukan Urusan Saya”: Ramai yang merasa memadai dengan amal ibadat sendiri tanpa peduli tentang kerosakan yang berlaku di sekeliling.

Beliau memberi amaran keras bahawa apabila amar makruf nahi munkar ini semakin berkurangan dan ditinggalkan, ia akan membawa kepada:

    • Bencana yang Menyeluruh: Sebagaimana pesanan hadis, apabila maksiat dilakukan secara terang-terangan dan tidak dicegah, Allah akan menurunkan azab yang mengenai semua orang, termasuk orang-orang yang soleh di dalamnya.
    • Hilangnya Keberkatan: Masyarakat akan kehilangan “tali pengikat” akhlak yang menjaga keharmonian. Kerana itulah agaknya kehidupan kita sekarang nampak susah sangat seperti berbagai penyakit, harga barang yang menaik sahaja dan pelbagai lagi masalah dunia.

Meskipun beliau mengakui amalan ini sudah berkurangan, Imam al-Nawawi menegaskan: “Sesungguhnya hilangnya (pengabaian) orang ramai terhadap amalan ini tidak menggugurkan kewajipan ke atas individu yang mampu.” Beliau berpesan supaya kita tidak terikut-ikut dengan trend masyarakat yang bersifat “lepas tangan”. Walaupun hanya tinggal kita seorang sahaja yang menegur (dengan cara yang hikmah), kewajipan itu tetap ada mengikut kemampuan.

Ini amat menyedihkan. Jika pada zaman Imam al-Nawawi (sekitar 700-800 tahun dahulu) beliau sudah merasakan amalan ini semakin berkurangan, apatah lagi pada zaman moden hari ini yang penuh dengan cabaran digital dan sifat individualistik. Bagi Imam al-Nawawi, kunci utama untuk membangkitkan semula amalan ini adalah dengan Ilmu dan Keikhlasan, supaya teguran itu membina dan bukannya memusnahkan.

Jadi begitulah zaman ini sudah jadi mengarut. Hendak menegur pun sudah tidak boleh. Zaman ini kita sudah lihat guru tak boleh lagi boleh menegur anak murid kerana sudah jadi bahaya kerana ibubapa sekarang bongok-bongok. Anak mereka haprak tapi bila ditegur oleh guru (kerana itulah tugas guru), mereka datang ke sekolah dan maki balik guru itu. Atau pun guru itu kena SISPAA. Jadi guru pun mula tidak menegur pelajar kerana takut kena saman, takut nanti susah pula hendak melayan ibubapa gila yang datang ke sekolah. Padahal zaman dahulu ibubapa memang suruh guru mendisiplinkan anak mereka. Dan kalau anak murid kena rotan di sekolah, dia pun tak berani nak beritahu kepada ibubapa dia kerana kalau dia beritahu, ayah dia akan tambah dengan rotan dia lagi! Maka kerana itu orang-orang kita dahulu ada disiplin dan ada otak dan tidak lembik.

Sekarang mulalah datang teori-teori yang pelik yang kata tak boleh tegur anak murid nanti anak murid stress. Tak boleh tegur pelajar, tak boleh marah nanti ada gangguan mental anak murid tersebut, katanya. Ini bukanlah cara yang bagus untuk mengajar kerana sebagai pelajar dan anak-anak, mereka memerlukan sedikit kekerasan untuk membentuk mereka menjadi orang yang betul. Bahkan kalau kita dengar syair-syair ulama’ dahulu mereka ada menyebut tentang hal ini:

فَقَسَا لِيَزْدَجِرُوا

وَمَنْ يَكُ حَازِمًا

فَلْيَقْسُ أَحْيَانًا عَلَى مَنْ يَرْحَمُ

“Maka dia bersikap keras (tegas) agar mereka berhenti (daripada kesalahan),

Sesiapa yang benar-benar ingin menjadi pendidik yang bijaksana,

Maka adakalanya dia harus berkasar (tegas) terhadap orang yang disayanginya.”

 

Kepentingan Amar Ma’ruf Nahi Munkar

Sesungguhnya bab amar ma’ruf nahi munkar ini sangat besar. Kerana sesungguhnya tertegaknya agama ini dan yang menjaga agama ini adalah sifat amar makruf nahi munkar. Ia adalah perbuatan yang memberikan pahala kepada kita. Kita pun telah belajar Hadis #25 di mana Rasulullah menyebut tentang mengerjakan amar ma’ruf nahi munkar yang dikira sebagai sedekah:

وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ
mengajak pada kebaikan (makruf) adalah sedekah, melarang dari kemungkaran adalah sedekah

Kalau kita tidak menjalankan amar ma’ruf nahi munkar ini, kita sendiri boleh dikenakan dengan azab, walaupun kita melakukan dosa. Allah berfirman tentang hal ini di dalam Ali Imran:164-165

لَقَدۡ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذۡ بَعَثَ فِيہِمۡ رَسُولاً۬ مِّنۡ أَنفُسِهِمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَڪِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِڪۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ (١٦٤) أَوَلَمَّآ أَصَـٰبَتۡكُم مُّصِيبَةٌ۬ قَدۡ أَصَبۡتُم مِّثۡلَيۡہَا قُلۡتُمۡ أَنَّىٰ هَـٰذَا‌ۖ قُلۡ هُوَ مِنۡ عِندِ أَنفُسِكُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ (١٦٥)
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (164) (Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: Dari mana datangnya (kemalangan) ini? Katakanlah (wahai Muhammad): (Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (165) 

Maka kena jalankan kerja amar ma’ruf nahi munkar ini. Inilah kerja kita sebagai umat Islam dan kerana inilah kita menjadi umat yang terbaik, bukan? Umat Islam jadi umat yang terbaik bukan sebab kerana darah umat Islam atau kerana semata-mata kerana kita ni umat yang terakhir. Bukan sebab itu tapi kerana Allah Ta’ala sudah sebut dalam Ali Imran:110 kerana kita menjalankan amar ma’ruf nahi munkar. Kalau kita tidak jalankan, maka jangan perasanlah yang kita umat terbaik.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)

 

Definisi Amar Ma’ruf Nahi Munkar

Apakah maksud ma’ruf? Ma’ruf ini adalah apa yang diiktiraf oleh syarak sebagai baik. Jadi ma’ruf ni bukan sekadar baik sahaja. Ia kena diiktiraf dari segi syarak. Bukanlah sekadar baik pada badan saya, bukan baik pada badan kamu, pada fikiran manusia sahaja. Kena ada pemahaman ini kerana sekarang kita lihat banyak yang salah faham. Benda bid’ah pun ramai kata baik kerana mereka menilai ikut otak dan nafsu sendiri. Ramai yang jahil, maka penilaian apa yang baik itu tidak semestinya baik. Kepala dia memang nampak baik, tapi sebenarnya syarak tidak menganggap ia baik pun.

Munkar itu maksudnya melakukan perkara yang engkar. Engkar itu maksudnya apa yang syarak menolaknya sebagai benda baik dan menganggapnya sebagai benda yang jahat, buruk. Jadi bukanlah perkara yang munkar itu andaian kepala otak kita, tapi kena ikut syarak. Sebagai contoh kita membenci arak dan orang yang meminumnya kerana arak itu dilarang dan diharamkan oleh orang. Kita tidak boleh pandang baik perkara itu. Ada orang marah apabila kita benci orang minum arak kerana pada mereka, itu adalah hak mereka. Tapi mereka melanggar hak Allah menetapkan hukum, jadi tidak akan kita redha dengan apa yang mereka lakukan. Jadi kebencian kepada arak itu adalah ma’ruf dan hilang rasa benci kepada arak itu maksudnya benda yang mungkar.

Bukannya apa yang kamu rasa baik, apa yang kamu rasa jahat. Jadi kena berhati-hati dalam hal ini, jangan perasan kita boleh buat hukum sendiri. Imam Ibn Hajar al-Asqalani menyentuh isu ini dalam kitab agungnya, Fathul Bari, semasa beliau membincangkan tentang bahaya golongan yang mendahulukan akal atau perasaan (kasyaf yang menyimpang) mengatasi syariat. Beliau berkata:

“مَنِ ادَّعَى أَنَّهُ يَعْرِفُ الْخَيْرَ وَالشَّرَّ بِغَيْرِ طَرِيْقِ الشَّرْعِ، فَقَدْ زَنَدَقَ وَكَفَرَ بِاللَّهِ”
“Barangsiapa yang mendakwa bahawa dia dapat mengetahui (hakikat) baik dan buruk tanpa melalui jalan syarak, maka sesungguhnya dia telah menjadi zindiq dan telah kufur kepada Allah.”

Istilah Zindiq merujuk kepada seseorang yang berpura-pura beriman tetapi menyembunyikan kekufuran, atau seseorang yang tafsirannya terhadap agama merosakkan asas syariat. Dalam konteks ini, jika seseorang merasa dia tidak lagi perlukan Al-Qur’an dan Hadis (Syarak) untuk menentukan apa yang halal/haram atau benar/salah kerana kononnya sudah mendapat “ilham” atau “hakikat” sendiri, maka dia telah keluar daripada landasan Islam.

Kenyataan ini selari dengan kaedah usul: “Tiada hukum sebelum datangnya syarak” (لا حكم قبل ورود الشرع). Seseorang yang menafikan autoriti syarak dalam menentukan nilai moral dan hukum dianggap telah menafikan fungsi kenabian Rasulullah ﷺ.


 

Siapa yang layak melakukan Amar Ma’ruf Nahi Munkar? 

Jadi kita sudah tahu kita kena melakukan amar ma’ruf nahi munkar. Tapi siapa yang boleh melakukan tugas ini? Adakah semua orang? Untuk menjawab soalan ini, kita kena tahu dasar untuk melakukan tugas yang besar ini. Dasarnya ialah ilmu. Ia mesti datang dengan ilmu yang jelas. Memang menjadi tuntutan kepada semua manusia untuk melakukan amar ma’ruf nahi munkar jangan pula dia pergi mengajak orang tapi dia sendiri tak mengaji pula. Ini bukan kita hendak melarang, tapi kita hendak mengajak semua belajarlah agama ini. Sementara tak tahu lagi, janganlah memandai cakap perkara yang kita tak tahu.

Agama Islam ini adalah agama dalil. Maka kerana itu kena ada ilmu wahyu sebelum mengajak orang melakukan perkara yang ma’ruf. Apakah dalilnya? Allah berfirman di dalam Yusuf:108

قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ‌ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى‌ۖ
Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata

Di dalam ayat ini, Allah menyebut عَلَىٰ بَصِيرَةٍ (dengan hujah yang nyata). Apakah maksudnya? Dalam Tafsir al-Qurtubi (al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an), Imam al-Qurtubi memberikan huraian yang sangat mendalam mengenai kalimah عَلَىٰ بَصِيرَةٍ (di atas basirah) ini. Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa basirah dalam ayat ini bermaksud:

    • Yaqin (Keyakinan): Bukan sekadar ikut-ikutan (taklid), tetapi dakwah yang dibina di atas keyakinan yang bulat.
    • Al-Ma’rifah (Pengetahuan): Pengetahuan yang membezakan antara yang hak dan yang batil.

Beliau memetik bahawa basirah bagi hati adalah ibarat basar (penglihatan) bagi mata. Jika mata melihat objek zahir, basirah melihat hakikat kebenaran. Menurut al-Qurtubi, kalimah ini menjadi dalil bahawa setiap penyeru (pendakwah) mestilah mempunyai:

    • Hujah dan Burhan: Mempunyai dalil yang kuat (Al-Qur’an dan Sunnah) serta hujah akal yang sihat.
    • Kejelasan Matlamat: Dia tahu apa yang diserunya, kepada siapa dia menyeru, dan bagaimana cara menyerunya.

Al-Qurtubi menekankan perkataan أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي (aku dan orang-orang yang mengikutiku). Beliau menjelaskan bahawa sesiapa yang mengaku menjadi pengikut Nabi ﷺ, maka dia juga wajib berdakwah di atas landasan basirah. Ini menunjukkan bahawa pengikut Nabi bukanlah orang yang jahil, tetapi orang yang berilmu tentang agama mereka. Oleh itu mencegah kemungkaran tidak boleh dilakukan secara membuta tuli. Ia mesti dilakukan عَلَىٰ بَصِيرَةٍ — iaitu tahu hukumnya, tahu situasinya, dan tahu kesannya. Imam al-Qurtubi seolah-olah ingin berpesan: “Janganlah kamu menyeru kepada Allah dalam keadaan kamu sendiri raba-raba (jahil) tentang apa yang kamu sampaikan.”

Dalam Tafsir al-Tabari (Jami’ al-Bayan), Imam al-Tabari memberikan penekanan yang sedikit berbeza namun melengkapkan huraian Imam al-Qurtubi. Sebagai seorang tokoh Mufassirin yang awal, beliau lebih cenderung menghuraikan makna kalimah berdasarkan penggunaan bahasa Arab dan riwayat salaf. Imam al-Tabari menyatakan bahawa basirah bermaksud Rasulullah ﷺ dan para pengikutnya berada di atas keyakinan yang teguh terhadap apa yang mereka serukan. Beliau menjelaskan bahawa seorang pendakwah bukan sekadar membawa maklumat, tetapi membawa ilmu yang telah meresap ke dalam hati sehingga menjadi satu penglihatan batin yang jelas.

Salah satu huraian menarik al-Tabari adalah pembahagian susunan ayat tersebut. Beliau membincangkan kedudukan perkataan أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي (Aku dan orang yang mengikutiku). Kesimpulan al-Tabari: Ini bermaksud setiap orang yang benar-benar mengikuti jejak langkah Nabi ﷺ, maka dia mewarisi hujah dan keterangan yang jelas. Mereka tidak berdakwah dalam keadaan ragu-ragu.

Jadi kita sudah tahu melakukan amar ma’ruf nahi munkar itu wajib. Dan kadar wajibnya ikut dengan kadar kemampuan seseorang itu. Kalau dia tengok satu mungkar itu berlaku dan dia seorang bapa, dia suami, maka kadar dia tak samalah dengan orang luar. Kerana dia ada kuasa untuk menghalang. Janganlah jadi bapa dan suami yang lembik pula. Begitu juga kalau dia itu seorang pemerintah, dia mungkin sebagai penguasa di tempat kerja, maka kadar dia tak sama dengan orang biasa yang tidak ada apa-apa jawatan. Setiap orang yang ada kekuatan, dia orang berilmu, dia orang ada hujah, kedudukan dia tak sama dengan orang-orang biasa yang barangkali kurang ilmu, kurang hujah untuk bercakap.

Tapi kita kena buat apa yang kita mampu dan kita sahaja boleh nilai kemampuan kita itu. Sebagai contoh kalau kita lihat orang minum arak di hadapan kita, dan orang itu anak kita ataupun kita adalah penguasa, dan kita boleh tahan dia dengan kekuatan, maka kita kena tahan dia dengan kekuatan. Kalau kita setakat kata, “Tak usah minumlah, tak baiklah,” ertinya kita tak memenuhi tuntutan kewajipan ke atas diri kita. Kerana kita memang mampu. Tapi kalau kita tahu kita tak mampu dengan kekuatan, maka kita tukar teguran kita dengan lisan; sebagai contoh kita cakaplah sepatah kepada dia bahawasanya arak adalah haram bagi seorang Muslim untuk meminumnya. Kalau kita tak kata, buat senyap dan buat bodoh sahaja, maka kita berdosa.

Tapi kalaulah kita tak mampu, mungkin yang buat mungkar itu seorang yang sangat berkuasa, sangat kuat dan sangat zalim, sampaikan kalau kita tegur dia, dia akan bertindak kepada kita, maka ketika barulah kita kena benci dengan hati kita. Tanda benci tentulah kita tak duduk sekali, duduk senyum dengan dia siap tanya dia, “Amacam, sedap rasa todi tu?” Kita tak bolehnya tanya macam itu seorang-orang kita senang dan redha dengan dosa yang dia sedang lakukan. Kita mesti lakukan sesuatu, sama ada kita meninggalkan majlis itu ataupun kita menimbulkan satu riak wajah dan perasaan yang menunjukkan kita tidak suka dengan benda itu. Jika hal itu tidak berlaku, maka kita berdosa. Takkan dengan jantung hati pun tak mampu?

Kadang-kadang kita tengok mungkar yang dilakukan oleh manusia adalah penipuan. Satu kawan kita tipu satu orang, dan dia kebetulan kawan baik kita. Maka kita tahu dia pernah tipu orang. Dan dia berniaga jual ikan umpamanya, dan kita tahu ikan yang dia jual itu ikan lama. Katakanlah seorang pelanggan datang beli dan dia tanya, “Cik, ini ikan barukah? ” Dan kawan kita itu dengan selamba menjawab: “Oh, ini ikan baru.” Ketika itu kita duduk sebelah dan kita tahu itu memang ikan lama. Ikan itu pun tak sanggup dirinya dijual. Apakah tindakan kita ketika itu? Kalau kita diam dan tidak berkata apa-apa, kita berdosa. Yang kita perlu lakukan ketika itu adalah sama ada kita cegah dia, ataupun kita beritahu kepada orang yang nak beli, “Cik, sebenarnya ikan ini tak baru.”

Begitulah antara penipuan yang banyak dilakukan adalah peniaga. Rasulullah telah menunjukkan apa yang peniaga perlu lakukan, dan baginda menunjukkan contoh bagaimana kena tegur para peniaga.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ مَرَّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا، فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ: مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ؟ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَى النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ lalu berdekatan selonggok makanan (bijirin/gandum) yang dijual, lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan tersebut. Kemudian jari-jemari Baginda terasa basah (lembab). Baginda bertanya: “Apa semua ini wahai penjual makanan?” Penjual itu menjawab: “Ia terkena air hujan, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di bahagian atas supaya orang ramai dapat melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.”

Sahih Muslim, No. Hadis 102 (Kitab Al-Iman).

Maka kewajipan menegur itu boleh jatuh kepada semua orang yang layak dan berkemampuan. Maka Tok Lebai, ustaz, syeikh, mufti-mufti, tak boleh hanya kira buah tasbih di masjid sahaja. Tak boleh hanya mengajar anak murid dia sahaja. Dia kena masuk campur apa yang berlaku di kalangan umat dan dia mesti membela umat. Dia mesti membela umat yang memerlukan ilmu dan bimbingan. Jadi mufti jangan hanya menghadkan dirinya menegur hal agama sahaja tapi apa sahaja perkara yang dia mampu tegur. Jadi masyarakat jangan jadi bingai sangat, marah kalau mufti menegur hal politik contohnya. Memang mufti itu melakukan tugas dia.


 

Cara Melakukan Amar Ma’ruf Nahi Munkar

Jadi untuk mengajak manusia kepada yang ma’ruf, nak cegah yang mungkar, kita kena tahu apa yang syarat iktiraf sebagai yang ma’ruf. Maksudnya, kena ada ilmu. Dan untuk mencegah yang mungkar, kena tahu bahawa benda yang sedang dilakukan oleh manusia memang sesuatu yang mungkar. Imam Ibn Taimiyyah merupakan antara ulama’ yang paling tegas dan terperinci dalam membicarakan soal manhaj (kaedah) Amar Ma’ruf Nahi Munkar. Beliau menekankan bahawa niat yang baik sahaja tidak memadai; ia mestilah disertakan dengan ilmu dan cara yang betul. Dalam karyanya yang masyhur, al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Munkar, beliau menggariskan tiga syarat utama bagi sesiapa yang ingin melaksanakan tugas ini. Beliau merumuskannya dalam satu kaedah yang sangat terkenal:

“Mesti ada ilmu sebelum melakukan (tindakan), lemah-lembut semasa melakukan, dan sabar selepas melakukan.”

1. Ilmu (العِلْم) — Sebelum Bertindak. Seseorang itu mesti mempunyai ilmu tentang dua perkara:

Pertamanya, dia sendiri nampak  kemungkaran itu berlaku di hadapannya. Bukannya dia agak-agak atau dengar cakap orang sahaja.

Kemudian dia kena ada ilmu tentang Syarak: Dia mesti tahu dengan pasti bahawa perkara yang disuruh itu memang “Ma’ruf” (dituntut agama) dan perkara yang dilarang itu memang “Mungkar” (haram). Jangan sampai kita melarang sesuatu yang sebenarnya dibolehkan oleh agama kerana kejahilan kita.

Termasuk juga jangan kita menghentam orang dalam perkara yang ada khilaf muktabar. Iaitu ada pendapat yang mengatakan boleh buat sesuatu perkara itu. Kita boleh nasihatkan dia tentang manakah pendapat yang lebih kuat, tapi setakat itu sahaja. Contohnya angkat takbir di dalam solat jenazah. Ini adalah termasuk khilaf muktabar. Kena tahu yang ada kaedah لا إنكار في مسائل الاجتهاد (Tidak ada pengingkaran (secara keras) dalam masalah-masalah ijtihad). Ini adalah salah satu kaedah terpenting dalam fiqh dan dakwah untuk menjaga perpaduan umat. Ia sangat berkait rapat dengan syarat ilmu dan lemah-lembut di dalam amar ma’raf nahi munkar.

Masalah ijtihad merujuk kepada perkara-perkara agama yang:

Tiada dalil putus (Qath’i): Tidak ada ayat Al-Qur’an atau Hadis yang memberikan hukum secara hitam-putih dan tunggal.

Boleh ditafsir pelbagai: Dalilnya bersifat Zanni (boleh difahami dengan pelbagai makna), menyebabkan para mujtahid (ulama besar) berbeza pendapat.

Contoh: Cara meletakkan tangan dalam solat, bacaan basmalah (kuat atau perlahan), atau perkara-perkara baru yang tiada dalam zaman Nabi (seperti hukum pelaburan tertentu).

“Tidak ada pengingkaran” bukan bermaksud kita tidak boleh berbincang, tetapi bermaksud kita tidak boleh memaksa orang lain mengikut pendapat mazhab kita dan menganggap pendapat mereka salah sepenuhnya. Kita tidak boleh melabel orang yang berbeza pendapat sebagai “ahli bid’ah”, “sesat”, atau “berdosa”. Dalam amar makruf nahi munkar, kita hanya menegur perkara yang disepakati haramnya (seperti zina atau mencuri). Jika perkara itu masih dalam khilaf ulama, kita tidak boleh melakukan “Nahi Munkar” secara keras.

Para ulama seperti Imam al-Nawawi menjelaskan perbezaan penting:

    • Inkar (Dilarang): Menegur dengan kasar, menyalahkan, atau membenci orang yang berbeza pendapat dalam masalah ijtihad.
    • Irsyad/Nasihah (Dibenarkan): Berbincang secara ilmiah, membentangkan dalil yang kita rasa lebih kuat, dan memberi nasihat dengan penuh adab tanpa merendahkan pihak lain.

Kaedah ini penting kerana tanpa kaedah ini, umat Islam akan sentiasa bergaduh tentang perkara-perkara kecil (cabang) sehingga melupakan perkara besar (asas). Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya: “Bolehkah aku menegur orang yang makan perkara yang bagiku haram tetapi baginya (ikut mazhab lain) adalah halal?” Beliau menjawab: “Jangan kamu ingkari apa yang dilakukan orang lain mengikut ijtihad mereka.”

Tapi kena ingat yang kaedah ini hanya terpakai jika pendapat tersebut datang daripada ijtihad yang sah (ada sandaran dalil). Jika pendapat itu menyalahi nas Al-Qur’an atau Hadis yang jelas (Sarih), menyalahi Ijma’ (kesepakatan bulat) para ulama, atau pun ia adalah pendapat yang sangat pelik (Syuzyuz) dan tidak masuk akal, maka dalam keadaan ini, pengingkaran boleh dilakukan kerana ia bukan lagi masalah ijtihad, tetapi sudah menjadi kesalahan nyata. Jadi walaupun amalan bid’ah seperti Tahlilan itu ada khilaf, tapi itu bukanlah ‘khilaf muktabar’ kerana memang tidak ada dalil langsung bagi amalan itu. Yang kita hormati dan layan adalah khilaf muktabar sahaja. Dan kena ingat yang ijtihad itu sepatutnya datang dari orang yang layak membuat ijtihad, bukan mana-mana ulama’.

Kita kena hormati pendapat mazhab lain kerana mereka juga ada hujah mereka. Sebagai contoh, adakah wanita boleh melawat kuburan? Ini termasuk dalam perkara khilafiah yang muktabar. Sebenarnya kenapa perkara sebegini menjadi khilaf? Kerana datangnya pelbagai dalil. Terdapat dua riwayat utama yang sering dibincangkan:

Riwayat Pertama:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ زَوَّارَاتِ الْقُبُورِ
(Rasulullah ﷺ melaknat wanita-wanita yang kerap menziarahi kubur.)

HR. Tirmidzi & Ibnu Majah.

Riwayat Kedua:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ زَائِرَاتِ الْقُبُورِ
(Rasulullah ﷺ melaknat wanita-wanita yang menziarahi kubur.)

HR. Ibnu Abbas.

Berdasarkan hadis ini, Imam Ahmad bin Hanbal berpegang yang orang perempuan tidak boleh menziarahi kubur. Kerana itu di Madinah, para jemaah wanita tidak boleh berziarah ke Kuburan Baqi’ dan Maqam Rasulullah kerana mereka berpegang dengan mazhab Ahmad. Mereka boleh setakat melawat Rawdah sahaja.

Dalam Mazhab Syafi’i, hukum wanita menziarahi kubur adalah Makruh (bukan haram/laknat secara mutlak) dengan syarat:

    • Mendapat izin suami/wali.
    • Menutup aurat dengan sempurna.
    • Tidak meratap atau meraung (menangis sedikit dibenarkan). Maknanya dia boleh menahan kesedihannya.
    • Tujuannya untuk mengambil pengajaran (mengingat mati).
    • Kedatangannya itu tidak menyebabkan fitnah.
    • Wanita itu tidak memakai minyak wangi.
    • Tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu.

Nota: Jika ziarah itu menyebabkan wanita tersebut hilang kawalan diri, meratap hingga menyeksa diri, atau membawa kepada fitnah, maka ketika itulah hukumnya menjadi Haram.

Kenapa ada ulama’ yang mengatakan boleh wanita menziarahi kubur sedangkan ada hadis laknat di atas? Kerana ada hadis lain.

Diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah ﷺ:
“كَيْفَ أَقُولُ لَهُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟” (Apa yang perlu aku ucapkan kepada mereka —ahli kubur— wahai Rasulullah?) Baginda ﷺ menjawab, ucapkanlah:

السَّلَامُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ
“Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni negeri ini (kubur) daripada kalangan orang-orang mukmin dan muslim. Semoga Allah merahmati orang-orang yang terdahulu di antara kami dan orang-orang yang terkemudian. Dan sesungguhnya kami, dengan izin Allah, akan menyusul kamu.”

(Riwayat Muslim, no. 974)

Ulama’ yang tidak mengharamkan wanita menziarahi kuburan berhujah kalau ia haram, jadi kenapa Nabi Rasulullah mengajarkan Aisyah r.a doa tersebut? Itu tanda bolehlah berziarah ke kuburan kerana kalau tidak, tentu Nabi tak perlu hendak ajar doa itu kepada A’isyah. Tapi kemudian ada juga pendapat yang mengatakan kebenaran itu telah dimansuhkan. Dulu boleh, tapi kemudian tidak boleh. Ulama’ lain kata kalau benar ia telah dimansuhkan, maka kena datangkan dalil bukti yang ia telah dimansuhkan.

Jadi ini adalah antara khilaf muktabar di kalangan ulama’. Kalau kita perhatikan, masing-masing ada hujah. Jadi ada ulama’ yang gabungkan kedua-dua jenis hadis yang nampak berlawanan itu. Ulama’ Syafie kata, larangan dari Nabi itu adalah bagi wanita yang tak cukup syarat-syarat seperti yang kita telah senaraikan di atas.

Yang penting kita hendak sampaikan di sini, hendaklah seseorang yang menjalankan amar ma’ruf nahi munkar itu pasti bahawa perkara yang dia tegur itu memang pasti ia adalah perkara yang mungkar. Kalau benda itu masih lagi khilaf, kita hanya boleh beritahu dia, ini khilaf tapi pendapat yang lebih kuat adalah begini dan begitu. Dia tak boleh mengingkarinya macam mengingkari orang minum arak, macam orang berzina pula.

Satu lagi ilmu yang dia kena ada adalah Ilmu tentang Keadaan (Fiqh al-Waqi’): Dia mesti faham situasi orang yang hendak ditegur. Adakah teguran itu akan memperbaiki keadaan atau memburukkan lagi suasana? Fiqh al-Waqi’ (Fikah Realiti/Keadaan) adalah “jambatan” yang menghubungkan teks agama (Al-Qur’an & Hadis) dengan alam nyata. Tanpa ilmu ini, seseorang pendakwah akan menjadi seperti seorang doktor yang tahu semua jenis ubat, tetapi tersalah memberi ubat kepada pesakit kerana tidak memeriksa tahap kesihatan pesakit tersebut.

Asas utama dalam menegur adalah untuk menghilangkan keburukan. Namun, mengikut kaedah usul fiqh: “Menolak kerosakan didahulukan daripada mengambil kebaikan (Dar’ul mafasid muqaddamun ‘ala jalbil masalih).” Jika anda menegur seseorang yang sedang marah di khalayak ramai, dia mungkin akan mencaci maki agama atau menghina Tuhan kerana egonya tercabar. Dalam keadaan ini, diam adalah lebih baik. Menegur saat itu akan menyebabkan kemudaratan yang lebih besar (penghinaan terhadap Tuhan) berbanding kebaikan (orang itu berhenti melakukan maksiat).

Setiap orang mempunyai latar belakang yang berbeza. Menegur seorang mualaf tidak sama dengan menegur seorang ustaz yang tergelincir. Mualaf/Orang Awam perlukan pendekatan yang sangat lembut dan beransur-ansur (Tadarruj). Sedangkan bagi Pemimpin/Tokoh: Perlu ketegasan yang beradab agar tidak menyesatkan pengikutnya. Ilmu Fiqh al-Waqi’ membantu kita memilih “tahap kekuatan” suara dan kata-kata kita. Fiqh al-Waqi’ mengajar kita bila waktu paling efektif untuk suara kita didengari. Contohnya Nabi ﷺ tidak menghancurkan berhala di keliling Ka’bah sejurus selepas pembukaan Mekah (Fathul Makkah) sehingga suasana benar-benar stabil dan orang Quraisy sudah mula menerima Islam dalam hati mereka. Oleh itu Fiqh al-Waqi’ mengajar kita untuk menunggu “detik hati terbuka” (seperti ketika seseorang sedang sedih atau sedang mencari jawapan hidup) sebelum memberikan teguran.

2. Lemah-Lembut (الرِّفْق) — Semasa Bertindak. Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa matlamat utama amar ma’ruf nahi munkar adalah untuk memberi rahmat dan hidayah kepada manusia, bukannya untuk menghina atau memuaskan nafsu marah. Beliau memetik hadis Nabi ﷺ:

إِنَّ الرِّفْقَ لَا يَكُونُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ، وَلَا يُنْزَعُ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا شَانَهُ
“Sesungguhnya tidaklah kelemah-lembutan itu ada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya (mencantikkannya), dan tidaklah kelemah-lembutan itu dicabut daripada sesuatu melainkan ia akan memburukkannya.”

(Riwayat Muslim, no. 2594)

Sikap kasar hanya akan menyebabkan orang menjauhkan diri daripada kebenaran. Maka hendaklah pendakwah mencegah kemungkaran dengan penuh hikmah dan bijaksana. Dia kena bila kena kena keras, bila perlu tegas, bila perlu berlembut. Tapi asal hukum dalam berdakwah dan mencegah kemungkaran ini hendaklah dilakukan dengan lemah lembut dan kasih sayang. Allah telah berfirman di dalam Nahl:125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ ۖ وَجٰدِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.

Dengan hikmah (بِالحِكمَةِ) itu bermaksud dengan kebijaksanaan. Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah menyebut apakah maksud hikmah ini di dalam kitabnya Madarijus Salikin:

الفِعْلُ مَا يَنْبَغِي، أَوِ القَوْلُ مَا يَنْبَغِي، فِي الوَقْتِ مَا يَنْبَغِي، بِالطَّرِيقَةِ مَا يَنْبَغِي
Melakukan perbuatan yang sepatutnya, atau mengucapkan kata-kata yang sepatutnya, pada waktu yang sepatutnya, dengan cara/metodologi yang sepatutnya.

1. فِعْلُ مَا يَنْبَغِي (Perbuatan yang sepatutnya). Maksudnya, anda melakukan tindakan yang tepat mengikut situasi. Contoh: Jika melihat orang sedang lapar, “perbuatan yang sepatutnya” ialah memberi makan, bukannya memberi ceramah tentang hukum-hakam.

2. القَوْلُ مَا يَنْبَغِي (Kata-kata yang sepatutnya). Maksudnya, anda memilih isi kandungan atau mesej yang sesuai dengan tahap pendengar. Contoh: Bercakap dengan kanak-kanak menggunakan bahasa yang mudah, dan bercakap dengan orang berilmu menggunakan hujah yang mendalam. Seperti kata pepatah: “Berbicaralah dengan manusia mengikut kadar akal mereka.”

3. فِي الوَقْتِ مَا يَنْبَغِي (Pada waktu yang sepatutnya). Maksudnya ialah timing. Kebenaran yang disampaikan pada waktu yang salah boleh menjadi fitnah. Contoh: Jangan menegur kesalahan suami di hadapan kawan-kawannya. Tunggu waktu yang tenang (waktu yang sepatutnya) untuk berbincang secara peribadi.

4. بِالطَّرِيقَةِ مَا يَنْبَغِي (Dengan cara yang sepatutnya). Maksudnya ialah metodologi atau gaya penyampaian. Ini merujuk kepada kelembutan, adab, dan teknik. Contoh: Menggunakan pendekatan “debat yang terbaik” (Jidal bi al-Ahsan) atau “kata-kata yang lembut” (Qaulan Layyina) seperti yang disebut di dalam Nahl:125 di atas.

Selepas itu Ayat Nahl:125 menyebut المَوعِظَةِ الحَسَنَةِ. Maksud المَوعِظَةِ adalah peringatan yang baik. Ia boleh jadi agak keras tapi masih lagi peringatan yang baik.

Dan peringkat ketiga, جٰدِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ iaitu bantah mereka. Kalimah جٰدِل bermaksud debat. Ini adalah untuk orang yang masih degil. Ia bagi mereka yang membantah, yang suka melawan. Macam Nabi Musa dengan Firaun. Nabi Musa kena berdebat dengan Firaun kerana Firaun melawan. Tapi kita mulakan dengan cara hikmah iaitu dengan cara lemah lembut dahulu. Barulah orang senang hendak terima. Malangnya kadang-kadang kita lihat, ada kalangan sahabat kita dalam media sosial hendak mencegah mungkar tapi dia menggunakan kata-kata kesat dan celaan sampai kadang-kadang sampai keluarlah perkataan-perkataan yang tak sepatutnya dikeluarkan oleh orang yang berilmu. Kadang-kadang kerana tidak dapat berhujah dengan baik, kita ada orang jatuhkan peribadi seseorang, malukan orang itu pula sampai kadang-kadang dikeluarkan gambar-gambar yang tak sepatutnya. Kita kena bantah cara-cara tidak berhemah sebegini. Ini bukanlah cara yang sepatutnya.

3. Sabar (الصَّبْر) — Selepas Bertindak. Tugas ini pasti akan berhadapan dengan tentangan, cacian, atau ujian. Oleh itu, sifat sabar adalah perisai. Ibn Taimiyyah sering mengaitkan perkara ini dengan pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam Luqman:17,

يٰبُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَوٰةَ وَأمُر بِالمَعروفِ وَانهَ عَنِ المُنكَرِ وَاصبِر عَلىٰ ما أَصابَكَ ۖ إِنَّ ذٰلِكَ مِن عَزمِ الأُمورِ
Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

Jadi setelah melihat semua hujah ini, fahamlah kita yang orang yang mengajak kepada amar ma’ruf dan nahi munkar ini ialah orang yang ada ilmu dan mesti ikut sunnah Nabi dalam berdakwah. Jadi bukannya semua orang boleh melakukan hal ini. Ada orang yang hendak terlibat tapi dia sendiri pun tak mengaji apa yang ma’ruf dan tak tahu apa yang munkar. Dan untuk menjelaskan perkara ini, terpaksa sebut realiti semasa yang berlaku. Ada hati tisu dan senang terasa, baik tak payah baca. Dan kalau tidak ada hujah dan dalil, tak perlu komen, simpan sahaja dalam diri kalau tidak setuju.

Kita perhatikan ada artis yang semalam dia bertaubat dari jadi artis menyanyi sana sini, hari ini dia sudah jadi pendakwah, betul?  Mereka bagi alasan para sahabat dulu masuk Islam, esok mereka terus berdakwah. Tapi para sahabat itu lain. Mereka baca dan faham Al-Qur’an, mereka faham ilmu, tahu Bahasa Arab. Kerana itu apabila Nabi hantar pendakwah untuk berdakwah kepada kaum di sekitar Tanah Arab, baginda hantar sahabat hebat dan berilmu seperti Mu’az bin Jabal, Abu Musa al-Ashari, Ali bin Abi Talib. Kemudian apabila Umar al-Khattab menjadi khalifah, beliau hantar pendakwah hebat dan berilmu seperti Ubadah bin al-Samit, Amru bin Al-As Kufah, Abdullah Bin Mas’ud, Ibn Abbas dan lain-lain lagi.

Jadi apa yang hendak disampaikan di sini? Dakwah dan amar ma’ruf nahi munkar memerlukan ilmu agama, terutama sekali ilmu wahyu. Bukan kita hendak halang manusia berdakwah akan tetapi kena ada kursus khusus untuk mereka mengaji dulu. Bukanlah diri sendiri jahil, sembahyang pun belum tentu betul, baca Al-Qur’an pun tak betul, faham pun tidak, tapi tiba-tiba berdakwah sana-sini. Apa yang mereka hendak cakap kepada orang?

Dan sekali lagi saya minta maaf kerana sebut tentang satu lagi kumpulan iaitu Kumpulan Tabligh. Mereka keluar dakwah selama 40 hari, akan tetapi ilmu pun tiada. Mereka hanya ada semangat dakwah sahaja tapi ilmu terutama ilmu wahyu tidak ada. Dan apabila diajak belajar, mereka tidak mahu. Mungkinlah bukan semua tapi kebanyakan yang kita jumpa, begitulah mereka. Mereka setakat belajar dari bayan mereka sahaja baca kitab yang tidak sahih itu. Dan kerana itu apabila kita tengok dakwah mereka, ada sebahagian ahli mereka terlibat dengan syirik, tentu kebanyakan dari mereka terlibat dengan bid’ah. Malah ada sebahagiannya pergi dakwah dan mentang sunnah Nabi.

Sekali lagi, kita sebutkan yang kita bukan hendak menghalang sesiapa hendak berdakwah. Malah kita puji semangat Jemaah Tabligh yang keluar berdakwah. Akan tetapi pengajian ilmu wahyu mesti diterapkan. Kerana kalau tidak, orang berdakwah pula yang buat salah. Dan apakah kemungkaran yang paling besar sekali? Syirik. Bagaimana gerakan dakwah yang paling besar dalam dunia ini tidak melarang syirik? Sepatutnya dakwah itu mestilah pertama sekali mencegah kemungkaran yang paling besar. Mestilah dimulakan dengan mencegah kemungkaran syirik dan kufur, kemudian baru perkara-perkara lain seperti ilmu tentang perkara-perkara bid’ah, dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil dan sebagainya.

Maknanya kita kena mulakan dengan yang paling utama sekali iaitu perkara yang mula-mula sekali para Nabi dakwahkan kepada umat mereka. Iaitu mencegah kemungkaran syirik. Ini jelas disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an tentang dakwah para Nabi, seperti yang kita lihat di dalam A’raf:59

لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)”

Dan sama juga dakwah Nabi Hud seperti disebut di dalam A’raf:65

وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا ۗ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۚ أَفَلا تَتَّقونَ
Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? “


 

Ancaman Jika Tidak Melakukan Amar Ma’ruf Nahi Munkar

Ramai umat Islam yang sudah tahu tentang kemungkaran yang dilakukan oleh manusia di hadapan mata mereka. Akan tetapi kita perhatikan ramai yang memilih untuk tidak berbuat apa-apa. Kalau tidak menegurkan itu adalah kerana meninggalkan terus amar ma’ruf nahi munkar, maka ini adalah perkara yang bahaya. Allah melaknat mereka yang meninggalkannya. Ini kita boleh perhatikan dalilnya di dalam Maidah:78-79

لُعِنَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ مِنۢ بَنِىٓ إِسۡرٰءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُ ۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ‌ۚ ذٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّڪَانُواْ يَعۡتَدُونَ (٧٨) ڪَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنڪَرٍ۬ فَعَلُوهُ‌ۚ لَبِئۡسَ مَا ڪَانُواْ يَفۡعَلُونَ (٧٩)
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. (78) Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (79)

Maka perhatikan bagaimana golongan Bani Israil dahulu tidak melakukan nahi munkar maka balasannya mereka telah dilaknat. Malah Allah mengancam dengan azab jika tidak melakukannya; malah doa pun tidak mustajab kalau kita tidak menjalankannya. Ini seperti disebut di dalam hadis,

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْ عِنْدِهِ ثُمَّ لَتَدْعُنَّهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, hendaknya kalian benar-benar menyuruh kepada kebajikan dan benar-benar mencegah kemungkaran, atau (jika tidak) maka hampir-hampir Allah akan mengirimkan seksa dari sisi-Nya kepada kalian, kemudian kalian berdoa kepada-Nya namun doa kalian tidak lagi dikabulkan.”

(Jami’ At-Tirmidzi, No. 2169. Dia berkata: Hadis ini Hasan)

Tapi ia amat sukar dilakukan. Malah ada yang memberi alasan kita tidak perlu melakukannya. Mereka berhujah dengan Ayat Maidah:105 kerana mereka tidak belajar tafsir dan hanya membaca terjemahan sahaja.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا عَلَيكُم أَنفُسَكُم ۖ لا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهتَدَيتُم ۚ إِلَى اللَّهِ مَرجِعُكُم جَميعًا فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Lihatlah apa kata Abu Bakr رضي الله عنه tentang ayat ini:

حَدَّثَنَا قَيْسٌ قَالَ قَامَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَحَمِدَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَأَثْنَى عَلَيْهِ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الْآيَةَ { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنْفُسَكُمْ لَا يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ } إِلَى آخِرِ الْآيَةِ وَإِنَّكُمْ تَضَعُونَهَا عَلَى غَيْرِ مَوْضِعِهَا وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا الْمُنْكَرَ وَلَا يُغَيِّرُوهُ أَوْشَكَ اللَّهُ أَنْ يَعُمَّهُمْ بِعِقَابِهِ قَالَ وَسَمِعْتُ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ مُجَانِبٌ لِلْإِيمَانِ
Telah menceritakan kepada kami [Qais], dia berkata; ” [Abu Bakar] berdiri lalu memuji Allah dan mensucikan-Nya, kemudian dia berkata; “Wahai manusia, sesungguhnya kalian membaca ayat ini: “Wahai orang-orang yang beriman, kalian bertanggungjawab atas diri kalian masing-masing, tidak akan membahayakan kalian sedikit pun orang yang tersesat.. (sampai akhir ayat), dan kalian menempatkannya tidak pada tempatnya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jika manusia melihat kemungkaran, kemudian tidak merubahnya, maka dikhuatirkan Allah akan meluaskan azab kepada mereka semua.” Dia berkata; “Dan aku mendengar Abu Bakar berkata; “Wahai manusia jauhilah dusta kerana sesungguhnya dusta itu menjauhkan kalian dari iman.”

Musnad Ahmad (16) dengan sanad yang sahih

Jadi ada yang jahil mengatakan kita hanya perlu sibukkan diri kita sahaja, tak perlu hendak jaga tepi kain orang lain. Orang lain hendak buat apa, lantaklah kerana perbuatan mereka tidak memudaratkan kita. Itulah kata-kata dari orang yang tak suka perbuatan amar ma’ruf nahi munkar. Tapi kita telah perhatikan bagaimana salah faham itu bukan sahaja di zaman sekarang tapi di zaman para sahabat lagi iaitu zaman Abu Bakr masih hidup lagi, sampaikan beliau terpaksa menjelaskan kepada mereka.

Kalau tadi ada pencelakaan untuk Bani Israil, sekarang ada hadis tentang celaka kepada bangsa Arab pula (termasuk sesiapa yang tidak menjalankan amar ma’ruf nahi munkar).

عَنْ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا فَزِعًا يَقُولُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ، فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ» وَحَلَّقَ بِإِصْبَعِهِ الْإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا، قَالَتْ زَيْنَبُ بِنْتُ جَحْشٍ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ: «نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ
Dari Zainab binti Jahsy radhiyallahu ‘anha, bahawa Nabi ﷺ datang kepadanya dalam keadaan gementar sambil bersabda: “Tiada Tuhan selain Allah, celakalah bangsa Arab kerana keburukan yang telah dekat. Hari ini telah terbuka dinding penutup Ya’juj dan Ma’juj sebesar ini.” (Baginda melingkarkan ibu jari dengan jari telunjuknya). Zainab binti Jahsy bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kami akan binasa padahal di tengah-tengah kami masih ada orang-orang yang saleh?” Baginda ﷺ menjawab: “Ya, jika al-khabats (kemaksiatan/kefasikan/kekejian) telah merajalela.”

(Sahih Bukhari no. 3346 dan Muslim no. 2880)

Perhatikan Zainab kehairanan kenapa boleh jadi begitu jikalau masih ada orang saleh di kalangan manusia? وَفِينَا الصَّالِحُونَ? Rasulullah menjawab tetap juga berlaku. Kerana kalau ramai orang saleh tapi tidak menjalankan kerja menegur manusia, maka Allah akan balas dengan menurunkan azab. Apabila tidak menegur kesalahan manusia, maka keburukan akan bermaharajalela dan kerana itulah Allah akan turunkan azab.

عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَثَلُ القَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالوَاقِعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلاَهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا، وَنَجَوْا جَمِيعًا
“Perumpamaan orang yang menegakkan hukum-hukum Allah dan orang yang terjerumus di dalamnya (melanggarnya/diam saja) adalah seperti sekelompok orang yang berbagi tempat di sebuah kapal. Sebahagian mereka ada yang mendapat tempat di bahagian atas dan sebahagian lagi di bahagian bawah. Penduduk di bahagian bawah, jika mereka ingin mengambil air, mereka harus melewati orang-orang yang berada di bahagian atas. Maka mereka berkata: ‘Andai saja kita lubangi saja (lantai kapal) di bahagian kita ini, sehingga kita tidak perlu mengganggu orang-orang yang di atas kita.’ Jika orang-orang yang di atas membiarkan sahaja apa yang diinginkan oleh orang-orang bawah tersebut, maka binasalah mereka semua. Namun, jika mereka mencegah dengan tangan mereka (tindakan nyata), maka selamatlah mereka dan selamatlah semuanya.”

(Sahih Bukhari, No. 2493)

Di dalam hadis ini Nabi beri analogi supaya kita senang faham dan boleh bayangkan betapa burukkan kalau buat tidak tahu sahaja perbuatan orang lain. Kehidupan bermasyarakat diibaratkan sebuah kapal di tengah lautan. Kehancuran yang disebabkan oleh satu kelompok (pelaku maksiat) akan menenggelamkan seluruh penumpang jika tidak dicegah. Yang di atas adalah orang soleh dan yang di bawah adalah orang jahat. Orang yang berada di atas (orang saleh/pemimpin) tidak boleh merasa aman hanya kerana posisi mereka tinggi. Jika mereka membiarkan kemungkaran di bawah, mereka juga akan ikut tenggelam. Jangan sangka mereka akan selamat. Jangan sedap sahaja duduk di atas tapi tidak tengok apa yang berlaku di bawah. Jangan asyik hendak sembang sama-sama ustaz sahaja tapi bergaullah dengan masyarakat awam di bawah dan tengok apa yang mereka lakukan.

Tapi apa yang berlaku sekarang? Ramai yang tengok sahaja orang kampung buat maksiat, adik-beradik kita buat maksiat, ahli keluarga yang lain buat maksiat. Kita biar sahaja apa yang mereka lakukan, walaupun perbuatan mereka salah. Dengan alasan takut nanti orang sudah tak sayang. Kesian dengan anak hendak tidur, jadi kita tak kejut subuh untuk solat subuh.

Bagaimana kalau kita memang hendak tegur, tapi kita pun dalam hati tahu yang orang yang kita akan tegur itu pun bukannya akan dengar pun? Malah ada kemungkinan kita pula kena marah, kena perli “wah, ada orang dah jadi ustaz sekarang…!”.

Dan tambah buruk lagi ada pula jenis dungu, menghalang kita dari menegur. Dia memang tak buat salah, tak buat maksiat, tapi dungu dia adalah menghalang kita menegur. Sudahlah dia pondan tak berani tegur, dia pula marah kita bila menegur. Dia mungkin kata, “tak payahlah buang masa tegur, bukan dia dengar pun… buang beras jer..”. Ada bukan orang sebegini? Jadi ada A: yang hendak menegur; ada B: yang buat maksiat dan patut ditegur; tapi ada C: tidak menegur orang buat maksiat, tapi tegur orang yang hendak menegur. Allah sebut tentang keadaan ini di dalam A’raf:164-165

وَإِذۡ قَالَتۡ أُمَّةٌ مِّنۡہُمۡ لِمَ تَعِظُونَ قَوۡمًا‌ۙ ٱللَّهُ مُهۡلِكُهُمۡ أَوۡ مُعَذِّبُہُمۡ عَذَابًا شَدِيدً۬ا‌ۖ قَالُواْ مَعۡذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَلَعَلَّهُمۡ يَتَّقُونَ (١٦٤) فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُڪِّرُواْ بِهِۦۤ أَنجَيۡنَا ٱلَّذِينَ يَنۡہَوۡنَ عَنِ ٱلسُّوٓءِ وَأَخَذۡنَا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ بِعَذَابِۭ بَـِٔيسِۭ بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ (١٦٥)
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat? Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: (Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu dan supaya mereka bertakwa. (164) Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka). (165)

Lihatlah ada teguran dari pihak ketiga itu. Orang hendak tegur, dia pula sibuk menghalang. Tapi lihat jawapan pihak yang menjalankan amar ma’ruf nahi munkar itu: “untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu dan supaya mereka bertakwa“. Pertamanya supaya kita ada hujah di hadapan Allah kerana kita telah jalankan tugas dan kewajipan kita. Orang hendak ikut atau tidak, itu hak mereka dan mereka akan tanggung. Tapi jangan kita dipersalahkan Allah nanti kerana tidak menegur. Keduanya, kita tegur itu entah orang itu terima atau tidak, kita pun tidak tahu. Entah hari itu ada sesuatu berlaku kepada dia dan Allah buka pintu hati dia untuk menerima teguran. Jadi kita tegur sahaja lah.

Dan yang menakutkan adalah di dalam Ayat 165 itu. Allah mengancam azab kepada orang yang zalim. Yang selamat adalah yang menegur. Jadi orang yang menghalang orang menegur itu masuk di mana? Selamat atau tidak? Ada pendapat mengatakan mereka ini tidak selamat!


 

Apakah Maksud Hadis Secara Bahasa

Maksud مُنْكَراً

Kalimah مُنْكَراً di dalam مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang asing, tidak dikenal, atau tidak diakui. Dalam bahasa Arab, jika anda melihat sesuatu yang tidak anda kenal, anda akan berkata “أنكرته” (Aku tidak mengenalnya). Dalam penggunaan bahasa, munkar juga mengandung makna sesuatu yang buruk, aneh, atau jahat. Mengapa disebut demikian? Kerana nurani manusia yang sihat (fitrah) secara alami akan merasa “asing” dan menolak keburukan tersebut. Kita tidak kenal perkara itu sebagai baik. Kalimah مُنْكَر merupakan lawan kata (antonim) kepada ma’ruf (مَعْرُوف). مَعْرُوف pula adalah sesuatu yang dikenal baik, diakui, dan diterima oleh umum sebagai kebaikan.

Dalam Ilmu Hadis, kadang-kadang kita akan berjumpa dengan hadis yang berstatus Hadis Munkar (الحديث المنكر). Bukanlah bermaksud hadis ini ada maksiat pula. di dalam ilmu Musthalahul Hadis, istilah ini merujuk pada status kelemahan (kedhaifan) yang sangat parah pada sebuah riwayat. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, ia adalah hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang lemah (dhaif), yang riwayatnya itu menyelisihi atau bertentangan dengan riwayat perawi yang terpercaya (tsiqah). Imam Ahmad bin Hanbal pula menggunakan istilah “Munkar” untuk hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi sendirian (tafarrud), di mana tidak ada orang lain yang meriwayatkan hadis tersebut, padahal perawi itu tidak cukup kuat untuk dipercaya sendirian.

 

Maksud يَدِ

Apabila berjumpa dengan kemungkaran, Rasulullah kata فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ. Apabila disebut mencegah dengan ‘tangan’, ia bermaksud dengan kuasa. Iaitu kalau kita ada kuasa, sebagai bapa dalam keluarga, sebagai pemimpin, atau kita ada kemampuan kita.

Ia juga bermaksud kita ada kemampuan fizikal. Jika seseorang memiliki kemampuan fizikal untuk menghentikan suatu kemungkaran secara langsung (misalnya: memisahkan orang yang sedang berkelahi, membuang khamar yang ditemukan di rumahnya sendiri, atau mengambil barang curian untuk dikembalikan), maka itulah makna “tangan”.

Tapi ia juga bermaksud kita pegang tangan orang yang melakukan kesalahan itu dan mengajaknya berubah. Kita pimpin dia dan bawa dia ke arah kebaikan.

Kita juga sebagai rakyat dan orang awam juga boleh menegur pemimpin. Tapi kalau hendak menasihati pemerintah atau orang yang berkuasa, janganlah dia menggunakan kekuatan seperti angkat senjata. Contoh: Ada yang melihat kemungkaran pada pemerintah. Kalau hendak mengubahnya dengan tangan, ia sebenarnya tidak mampu. Dan ini memang tidak boleh dilakukan kerana jika dengan menghancurkan satu kemungkaran itu muncul kemungkaran lain yang lebih parah (misalnya perang saudara atau pertumpahan darah), maka tindakan dengan “tangan” harus dihindari.

Namun, jika dibiarkan sahaja pemimpin itu, kerosakan akan terjadi. Maka ia kena berpindah kepada cara yang seterusnya iaitu ‘lisan’. Kita telah lihat di atas bagaimana Marwan ditegur oleh rakyatnya. Tapi kena menggunakan kalimah dan cara yang lembut. Kerana kalau ditegur dengan keras, ia juga boleh membahayakan dirinya juga. Kerana kezaliman boleh dikenakan kepada dirinya, atau pada keluarganya, pada orang-orang yang dekat dengannya. Tambahan pula kalau pemimpin itu orang yang zalim. Voltaire kata “It is dangerous to be right in matters on which the established authorities are wrong.” Jadi jika kita takut kerosakan seperti itu, kemungkaran yang terjadi jangan diingkari dengan jelas. Hal ini sama maknanya dengan Ayat An’am:108

وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدوَۢا بِغَيرِ عِلمٍ
Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan ilmu. 

Jadi jangan memburukkan pemimpin sebegitu, tapi hendaklah dipegang tangannya dan tegur dia dengan cara yang lembut. Tapi kalau kita ada kuasa, seperti kita ketua syarikat, kita boleh gunakan kuasa kita ke arah kebaikan. Contohnya kita boleh buat ketetapan, mana-mana pekerja yang tidak solat, akan kita buang kerja. Mana-mana pekerja yang buat maksiat, kita akan potong gaji. Kita mungkin ayah, kita abang long, kita ada suara dalam keluarga. maka gunakanlah kuasa itu. Kita boleh tetapkan, kalau majlis kahwin nanti tak boleh ada lagu-lagu, tak boleh ada menari poco-poco. Jangan hiraulah kata orang bodoh.

 

Maksud لِسَانِ

Kemudian Rasulullah bersabda: فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِلِسَانِهِ. Dengan lisan itu maksudnya dengan mulut, dengan ucapan. Dan juga lisan itu tambah ‘tu’ jadi ‘tulisan’. Iaitu kita menulis untuk menasihati orang lain. Ini kita boleh lakukan dengan banyak sekarang kerana zaman medsos, jadi sesiapa sahaja boleh tulis dan menegur orang lain.

Tapi malangnya berat mulut orang kita untuk menegur rupanya. Kadang orang sebelah kita macam kawan baik, ahli keluarga atau rakan sekerja tak solat, kita buat biasa sahaja. Dia memang tak minum arak, tak berzina…tapi sebenarnya dari segi dosa, dosa meninggalkan solat itu lebih besar sebenarnya dari dosa zina dan arak! Bayangkan sampai ada pendapat mazhab yang kata kalau meninggalkan solat sudah  jatuh kufur. Dan ada mazhab membolehkan kerajaan untuk bunuh orang yang tidak solat.

Begitu jugalah dengan dosa riba. Ramai yang mengamalkannya, tak kiralah ustaz atau orang biasa. Kerana sudah terbiasa. Sedangkan di dalam Al-Qur’an, ada ancaman perang dari Allah dan Rasul jika mengamalkan riba.

 

Maksud بِقَلْبِهِ

Dan jika itu pun tak mampu, maka tolaklah dengan hati. Nabi bersabda: فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِقَلْبِهِ. Apa maksud tolak dengan hati? Iaitu kena benci dengan kesalahan buruk yang dilakukan. Kena bara’, kena tunjuk benci. Bara’ bermaksud berlepas diri. Dan ini ada lima perkara:

Pertama, dia kena iktikad bahawa benda itu adalah maksiat. Kalau hati dia tak iktikad bahawa benda tu maksiat dan mungkar, itu adalah bahaya kerana ia bermaksud redha dengan kesalahan itu.

Yang kedua, membenci perbuatan itu. Bukan sekadar tahu itu dosa, tapi hati harus merasakan ketidaksukaan, ketidaknyamanan, atau kebencian perkara itu kerana Allah. Anda membenci perbuatan tersebut kerana hal itu melanggar batasan Allah.

Yang ketiga, bila sudah iktikad benda itu maksiat dan benda itu tak elok, maka dia kena meninggalkan orang atau majlis yang ada perbuatan maksiat itu. Tidak bolehlah kata saya benci dengan hati, tapi terus duduk dalam majlis tersebut Kalau dalam majlis itu ada seorang minum arak, tak boleh lagi duduk sekali di situ. Jadi tak boleh beri alasan iman lemah jadi kena benci dalam hati sahaja tapi terus duduk di dalam majlis maksiat.

Yang keempat, menjauhinya iaitu kalau sudah tahu di situ ada tempat maksiat, maka jangan pergi. Contohnya ada orang ajak pergi majlis syarikat yang ada sambutan Krismas, ini tidak boleh pergi langsung. Memang berdosa kalau pergi.

Yang keempat, tidak menyokongnya. Tak bolehlah benci tapi apabila ditugaskan buat persediaan sambutan majlis sambutan Krismas itu kerana itu tempat dia kerja, ini tak bolehlah.

Yang kelima, syarat hati yang hidup adalah adanya keinginan yang tulus: “Andai aku punya kekuatan/kemampuan, aku pasti akan mengubah kemungkaran ini dengan tangan atau lisanku.” Jika hati merasa nyaman atau “maklum” tanpa ada keinginan untuk melihat kemungkaran itu hilang, maka fungsi hati sebagai pencegah maksiat telah gugur.

Keenam, mengingkarinya iaitu menganggap kemaksiatan itu hal yang besar. Kalau menganggap kemaksiatan tersebut sebagai hal kecil, itu adalah tanda matinya fungsi hati. Syaratnya adalah tetap menganggap hal itu sebagai perkara besar kerana ia adalah pelanggaran terhadap Zat Yang Maha Besar.

 

Maksud أَضْعَفُ الإِيْمَانِ

Kemudian Nabi kata di dalam hadis ini, membenci dengan hati itu adalah وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ (dan itu merupakan selemah-lemahnya iman). Apakah maksudnya? Dikatakan “selemah-lemahnya” iman kerana ini adalah benteng terakhir. Jika seseorang melihat kemaksiatan namun hatinya tidak merasa benci, tidak merasa berdosa, atau merasa biasa saja (redha), maka menurut para ulama’, di saat itu tidak ada lagi iman yang tersisa dalam dirinya terkait kejadian tersebut. Hati yang tidak lagi membenci kemungkaran adalah hati yang sudah “mati” secara spiritual.

Penting untuk difahami bahawa kalimat “selemah-lemah iman” dalam hadis ini merujuk pada derajat tindakan atau respons terhadap sebuah peristiwa kemungkaran, bukan berearti orang tersebut secara peribadi memiliki iman yang rendah dalam segala hal. Namun, secara metodologi perjuangan, hanya mampu membenci di dalam hati tanpa melakukan tindakan apa pun adalah manifestasi keimanan yang paling pasif.

Meskipun peringkat ini “sah” secara syariat bagi mereka yang lemah, menetap di peringkat ini tanpa ada upaya untuk meningkatkan kemampuan diri (agar suatu saat mampu menegur dengan lisan atau tangan) adalah hal yang membahayakan. Sebab, jika seseorang sudah terbiasa hanya “membenci dalam hati” tanpa ditambah dengan upaya menjauh, lama-kelamaan hati akan terbiasa dengan pemandangan maksiat tersebut, dan perlahan-lahan rasa benci itu hilang — yang ertinya iman pun ikut hilang.


 

Glosari Istilah Utama

Amar Ma’ruf: Mengajak atau menyuruh manusia melakukan perkara yang diiktiraf oleh Syarak sebagai baik.

Nahi Munkar: Mencegah atau melarang perkara yang ditolak oleh Syarak sebagai jahat, buruk, atau mungkar.

Fardu Kifayah: Kewajipan yang dituntut ke atas seluruh komuniti; jika dilaksanakan oleh sebahagian, kewajipan yang lain gugur.

Fardu Ain: Kewajipan individu yang tidak boleh diwakilkan kepada orang lain dalam keadaan tertentu.

Ijtihad: Usaha ulama’ besar dalam menentukan hukum bagi perkara yang tidak mempunyai dalil putus (hitam-putih).

Khilaf Muktabar: Perbezaan pendapat dalam kalangan ulama yang sah dan dihormati kerana masing-masing mempunyai sandaran dalil yang kuat.

Basirah: Penglihatan batin atau keyakinan teguh yang dibina atas hujah nyata (Al-Qur’an dan Sunnah).

Zindiq: Seseorang yang berpura-pura beriman tetapi menyembunyikan kekufuran atau mendakwa mengetahui baik dan buruk tanpa melalui jalan Syarak.

Hikmah: Melakukan atau mengucapkan sesuatu yang tepat, pada waktu yang tepat, dengan cara yang tepat (metodologi yang betul).

Bara’: Perasaan berlepas diri dan tidak redha terhadap kemaksiatan yang berlaku.

Al-Khabats: Kemaksiatan, kefasikan, atau kekejian yang jika merajalela boleh mengundang bencana menyeluruh.

Tadarruj: Pendekatan dakwah yang dilakukan secara beransur-ansur, terutamanya kepada orang awam atau mualaf.

 

Kemaskini: 7 Mei 2026

Sambung ke hadis yang seterusnya


 

Rujukan:

Ustaz Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)

Dr. MAZA (Mufti Perlis)

Rumaysho

Syarah Hadis #33 (Hadis 40 Imam Nawawi).

Hadis Arbain #33: Yang Menuduh Harus Datangkan Bukti

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ قَالَ: لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ، لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، وَلَكِنِ البَيِّنَةُ عَلَى المُدَّعِي، وَاليَمِيْنُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

حَدِيْثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ البَيْهَقِيُّ هَكَذَا، بَعْضُهُ فِي الصَّحِيْحَيْنِ

Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

Seandainya setiap manusia dipenuhi tuntutannya, nescaya orang-orang akan menuntut harta dan darah suatu kaum. Namun, penuntut wajib datangkan bukti dan yang mengingkari dituntut bersumpah.”

(Hadis hasan, diriwayatkan Al-Baihaqi, no. 21201 dalam Al-Kubro seperti ini, sebahagiannya diriwayatkan dalam Sahihain, iaitu Bukhari, no. 4552 dan Muslim, no. 1711].


 

Makluman tentang Hadis

Dalam Sahih Bukhari, hadis ini tidak muncul dengan lafaz lengkap seperti yang terdapat dalam kitab Al-Arba’in An-Nawawiyyah (Hadis ke-33). Terdapat perbezaan dari segi penyusunan lafaz antara riwayat Imam Al-Bukhari dengan riwayat-riwayat lain seperti Imam Al-Baihaqi. Dalam Sahih Bukhari, hadis ini diriwayatkan dalam Kitab At-Tafsir (Tafsir Surah Ali-Imran) dan Kitab Al-Ahkam. Lafaznya adalah seperti berikut:

لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ، لَادَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ، وَلَكِنَّ اليَمِينَ عَلَى المُدَّعَى عَلَيْهِ
“Sekiranya manusia diberikan (hak) berdasarkan dakwaan mereka, nescaya orang ramai akan menuntut darah dan harta orang lain. Akan tetapi, sumpah adalah ke atas orang yang didakwa (tertuduh).”

(Sahih Bukhari, no. 4552)

Jika diperhatikan, dalam Sahih Bukhari, bahagian “البَيِّنَةُ عَلَى المُدَّعِي” (Bukti ke atas pendakwa) tidak disebut secara lafaz sarih (terang) dalam satu ayat yang sama. Imam Bukhari hanya menekankan bahagian sumpah bagi orang yang didakwa.

Imam Nawawi mengambil lafaz lengkap tersebut daripada riwayat Imam Al-Baihaqi (dalam Al-Sunan al-Kubra) dan lain-lain dengan sanad yang Hasan (baik) atau Sahih mengikut syarat-syarat tertentu. Walaupun lafaz “Bukti ke atas pendakwa” tidak ada dalam teks hadis ini di Bukhari, prinsip tersebut (beban bukti) ada disebut dalam hadis-hadis lain dalam Sahih Bukhari, contohnya dalam kisah perselisihan antara Al-Ash’ats bin Qais dengan seorang lelaki Yahudi yang kita akan bincangkan nanti220402.


 

Syarah Hadis

Hadis ke-33 ini pun ada kaitan dengan bab sebelum (jangan melakukan mudharat). Hadis ini adalah asas bagi perundangan Islam. Nabi kata: لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ، لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ. Nabi mengajar kita yang jika orang ramai diberikan dengan apa sahaja yang mereka dakwa, mereka akan ambil hak orang, tuntut harta orang lain dengan cara yang zalim. Mereka juga akan menuntut darah manusia dengan cara yang zalim. Maksudnya kita tak boleh terus percaya dengan dakwaan orang. Ini adalah sesuatu yang amat merbahaya. Nanti habislah harta dan nyawa orang lain kalau begitu. Ini juga termasuk apa-apa dakwa benda-benda yang tak sepatutnya. Kerana ia akan menzalimi orang yang dia dakwa itu.

Tetapi Nabi memberi jalan penyelesaian kalau berlaku apa-apa tuntutan. Nabi kata: وَلَكِنِ البَيِّنَةُ عَلَى المُدَّعِي. Orang yang mendakwa itu kena datangkan bukti. Kalimah البَيِّنَةُ bermaksud bukti. Bagaimana pula dengan pihak yang lagi satu? Nabi kata وَاليَمِيْنُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ di mana pihak yang lagi kena bersumpah.

Hadis ini memberitahu yang dalam kita hidup seharian, kita tak boleh terima sahaja dakwaan orang sesuka hati. Kita kena minta dia bawakan bukti. Islam ialah agama yang mementingkan bukti, kita tak buat keputusan berdasarkan dakwaan semata-mata. Kita pun sendiri tahu yang dalam dunia ini ada yang penipu, ada pengkhianat dan sebagainya. Jadi kaedah kita dalam menerima satu-satu dakwaan, hendaklah dibawakan bukti. Kita pun tentu biasa dengar ayat Al-Qur’an iaitu Hujurat:6

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهالَةٍ فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نٰدِمينَ
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

Hadis yang kita sedang baca ini ialah penguat kepada kaedah di dalam Hujurat:6 ini iaitu orang yang mendakwa sesuatu, dia kena bawa bukti. Sebagai contoh ada orang mendakwa itu adalah tanah dia, jadi dia kena bawa bukti geran tanah. Ini kalau zaman sekarang, kena pakai geran tanah. Kalau zaman dahulu mungkin ada cara lain. Begitulah telah disebut tentang satu hadis tentang hal ini,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مسعود رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنْ حَلَفَ عَلَى يَمِينٍ وَهُوَ فِيهَا فَاجِرٌ لِيَقْتَطِعَ بِهَا مَالَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ، لَقِيَ اللَّهَ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانُ”. قَالَ الأَشْعَثُ: فِيَّ وَاللَّهِ كَانَ ذَلِكَ، كَانَ بَيْنِي وَبَيْنَ رَجُلٍ مِنَ اليَهُودِ أَرْضٌ، فَجَحَدَنِي فَقَدَّمْتُهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَلَكَ بَيِّنَةٌ؟” قُلْتُ: لاَ. قَالَ لِلْيَهُودِيِّ: “احْلِفْ”. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِذًا يَحْلِفَ وَيَذْهَبَ بِمَالِي. فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا} إِلَى آخِرِ الآيَةِ.
Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan satu sumpah dalam keadaan dia berdusta untuk mengambil harta seorang Muslim, dia akan bertemu Allah (di akhirat) dalam keadaan Allah murka kepadanya.” Al-Ash’ats berkata: “Demi Allah, hadis itu tentang aku. Dahulu berlaku perselisihan tanah antara aku dan seorang lelaki Yahudi, lalu dia mengingkarinya (hak aku). Aku membawanya kepada Nabi s.a.w. Baginda bertanya: ‘Adakah kamu punya bukti?’ Aku jawab: ‘Tidak.’ Baginda berkata kepada si Yahudi: ‘Bersumpahlah.’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, kalau begitu dia akan bersumpah dan membawa lari hartaku!’ Maka Allah menurunkan ayat: {Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit…} (Surah Ali-Imran:77).”

(Sahih Bukhari no. 2452 & Muslim no. 1610)

Keadaan seperti ini pun biasa berlaku zaman sekarang. Kita mungkin sudah lama tak balik kampung dan tidak tahu apa terjadi dengan tanah itu. Rupanya bila periksa rupanya sudah ada orang yang duduk di tanah itu bertahun-tahun. Selama ini kita pun tak pernah peduli pasal tanah itu. Atuk kita dulu mungkin kerana banyak tanah tidak kisah tentang tanah itu. Sampaikan orang yang duduk di situ sudah duduk bertahun-tahun dan sampai sudah beranak cucu, beranak pinak dia duduk di tanah itu. Punyalah lama sehinggakan anak cucu dia pun sudah sangka bahawa tanah itu ialah tanah milik datuk dia juga. Maka yang mendakwa tanah itu milik dia iaitu Al-Ash’ath telah mengadu kepada Rasulullah. Nabi tanya balik kepada Al-Ash’ath, أَلَكَ بَيِّنَةٌ (kau ada bukti tak?) Dia pun kata dia tidak ada bukti. Apabila tidak ada bukti, maka pihak lawan perlu bersumpah. Tapi hadis di atas mengingatkan yang sumpah bukanlah perkara yang ringan.

Kata para ulama’, hadith ini ancamannya lagi teruk daripada hadith yang mengatakan Allah Ta’ala takkan pandang di akhirat kelak. Kerana kalau Allah tak pandang dia, setakat tak pandang sahaja. Tapi ini Allah Ta’ala jumpa dalam keadaan Allah Ta’ala murka padanya, maka tentu lebih teruk lagi.

Para ulama’ bahaskan siapakah orang yang mendakwa dan siapa orang yang dikenakan dakwaan? Siapa yang kena datangkan bukti dan siapa yang kena sumpah? Disebut oleh Ibn Rajab Al-Hambali, yang perlu membawakan bukti adalah orang yang mendakwa. Ertinya, orang yang menuntut ‘benda yang tersembunyi’. Orang yang didakwa pula, ataupun orang yang mengingkari dakwa, dia kena bersumpah. Dalam hal ini, kita kena kira status quo di mana. Ataupun, hukum asal dia macam mana? Jadi, orang yang berpegang dengan hukum asal, dia sekadar sumpah dan ini sudah memadai. Tetapi orang yang mendakwa benda yang tersembunyi, ataupun berbeza dengan asal, dia kena datangkan bukti. Macam mana kita nak tahu hukum asal? Kaedah syarak menyebutkan, asal semua benda dikirakan tak wujud, melainkan, ada bukti kewujudan benda itu.

Kita lihat hutang sebagai contoh. Seseorang tak dikira berhutang dengan orang lain melainkan ada bukti dia ada berhutang. Jadi kalau dua orang datang di mana seorang mengadu dengan kata yang seorang lagi berhutang dan tak mahu bayar balik, dan seorang lagi pula kata dia tak berhutang, sebenarnya asalnya dikira apa? Yang kedua itu dikira tak hutang melainkan orang yang bagi hutang itu datangkan bukti.

Kita sambung lagi. Orang ini dia berhutang dengan sahabat dia. Kemudian mereka berjumpa tepi jalan dan orang yang berhutang bayar hutang dia sehingga selesai. Tapi pemberi hutang ini, ketika dia bagi hutang, dia tulis. Tapi ketika orang itu bayar balik hutang, dia tak tulis. Kalau mereka datang kepada Qadi, apa yang Qadi kena putuskan? Qadi kena kira, dia belum bayar. Sebab ketika bayaran itu dibuat, ia tak boleh dibuktikan. Jadi, ini kaedah yang dibawa keluar daripada hadis ini.

Dan inilah masalahnya yang berlaku sampai turun naik mahkamah. Puncanya kerana tidak ada bukti, bukan? Kerana itu di dalam Islam, apa-apa pun kena ada akad, kena ada tulis. Berapa banyak kita sudah dengar tentang perselisihan tentang perniagaan? Ramai yang masuk berkongsi perniagaan tapi tidak ada akad, tidak ada perjanjian bertulis. Asalnya mungkin kerana percaya mempercayai, tapi kita tidak tahu di kemudian hari. Hari ini kawan, esok boleh jadi lawan.

Kenapa tak ada akad? Itu masalah yang boleh diselesaikan kalau beringat dari awal? Sebab itu kita kita beringat apabila buat akad perjanjian, buat bertulis sikit. Jadi bila kita ada akad, apabila berlakunya sesuatu perkara yang tidak diingini, kita boleh kembali kepada akad kita yang menjadi bukti. Zaman sekarang kalau tidak ada bertulis pun, pakai Whatsapp pun boleh.

Baik, bagaimana pula dengan pihak yang satu lagi? Dia pun patut keluarkan bukti juga. Tapi kalau dia tidak ada bukti, macam mana? Katakanlah isu pasal tanah tadi. Adakah dia kena keluar terus kah? Kalau dia memang dia tahu, itu bukan tanah dia, dia pun patut keluarlah. Ini termasuklah pembinaan rumah ibadat haram, atau tak sah, memang patut keluarlah. Tidak kiralah kuil kah, surau masjid kah, atau gereja, sama sahaja. Tak boleh dibuat atas tanah orang. Dan kalau tuan tanah sudah minta tanah dan minta keluar, keluarlah dengan segera tanpa memalukan agama sendiri.

Tapi kalau dia engkar, dia hendak mempertahankan haknya atas tanah itu, maka kaedah yang Nabi ajar adalah اليَمِيْنُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ. Dia kena bersumpah. Iaitu bila di dalam mahkamah Islam, Si hakim akan bertanya “adalah kamu ada bukti? Kalau ada bukti, maka keluarkan bukti. Kalau tidak ada bukti, maka kamu kena bersumpah dengan menggunakan kalimah Allah”. Kalimah sumpah adalah seperti “Wallahi, wabillahi, watallahi, ini adalah tanah atuk aku”.  Bila yang mendakwa itu tidak ada bukti, yang duduk di tanah tu dia kena bersumpah. Bila dia sudah bersumpah, maka harta itu kekal di tangan dia kerana dia telah lama pegang dan itulah status quo pada ketika itu.

Kena ingat yang sumpah itu pula mesti dengan nama Allah, tak boleh bersumpah dengan nama lain.

Tetapi, kita kena ingat bahawa membawakan bukti dan bersumpah ini bukannya dibuat di luar mahkamah tetapi ia mesti dibuat dalam mahkamah Islam. Maksudnya perbuatan orang sumpah-sumpah dekat mimbar, seperti masa kes-kes politik dulu itu hanyalah sumpah-sumpah politik sahaja. Ia tidak ada bernilai dan kita boleh abaikan sahaja. Kerana sumpah bukannya laku kalau dibuat di luar mahkamah. Kerana yang meminta sumpah itu mestilah hakim. Bukannya kita boleh senang-senang hendak bersumpah. Kerana itu Rasulullah telah pernah sebut, di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“إِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَيَّامًا يَكْثُرُ فِيهَا الْحَلْفُ، حَتَّى يَحْلِفَ الرَّجُلُ وَلَا يُسْتَحْلَفُ”
“Sesungguhnya di belakang kalian (pada masa akan datang) akan ada hari-hari di mana banyaknya berlaku sumpah, sehingga seseorang itu bersumpah padahal dia tidak diminta untuk bersumpah.”

(Riwayat At-Tabrani dalam Al-Mu’jam al-Kabir)

Nabi kata antara tanda hari kiamat dan ia termasuk antara tanda hari tanda orang munafiq juga, iaitu manusia akan sibuk bersumpah. Ia mengajar kita yang sumpah itu bukannya dibuat mudah sahaja.

Kaedah dari hadis ini juga boleh kita gunakan di dalam amalan ibadah. Seperti yang kita tahu, ramai yang mengamalkan amalan bid’ah. Sebagai ahli sunnah, kita selalu menegur amalan yang bid’ah. Akan tetapi selalu kita dengar hujah bodoh mereka: apa bukti amalan ini salah? Sebenarnya kalau faham hadis ini, bukan kita yang kena buktikan yang amalan itu salah, tapi merekalah yang kena buktikan yang amalan itu benar ada. Mereka yang kena berikan dalil, bukannya kita. Allah berfirman di dalam Baqarah:111

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Katakanlah: ‘Bawalah bukti (Burhan) kamu jika kamu orang-orang yang benar’.”

Begitulah pentingnya bukti di dalam Islam. Kita boleh lihat contohnya di dalam hukum Zina. Menuduh orang berzina memerlukan 4 orang saksi yang memang nampak perlakuan zina itu berlaku. Sampaikan kalau tak cukup bukti atau tidak cukup saksi, orang yang menuduh itu sendiri yang dikenakan dengan hukuman. Ini disebut di dalam Nur:4

وَالَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ ثُمَّ لَم يَأتوا بِأَربَعَةِ شُهَداءَ فَاجلِدوهُم ثَمٰنينَ جَلدَةً وَلا تَقبَلوا لَهُم شَهٰدَةً أَبَدًا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ
Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka rotanlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali rotan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.

Kisah tuduhan zina terhadap Mughirah bin Syu’bah R.A (Gabenor Basrah pada waktu itu) adalah salah satu peristiwa paling besar dalam sejarah perundangan Islam. Kisah ini menjadi rujukan utama para ulama tentang betapa ketatnya syarat Integriti dalam persaksian kes zina. Kes ini berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab R.A. Mughirah bin Syu’bah mempunyai perselisihan peribadi dengan seorang lelaki bernama Abu Bakrah (seorang sahabat Nabi yang mulia). Pada suatu hari, Abu Bakrah bersama tiga orang lagi (Nafi’ bin al-Harith, Syibl bin Ma’bad, dan Ziyad bin Abih) mendakwa melihat Mughirah sedang melakukan zina dengan seorang wanita bernama Umm Jamil melalui tingkap yang terbuka. Abu Bakrah membawa kes ini kepada Umar bin al-Khattab. Sebagai pemimpin yang memiliki sifat keadilan yang tinggi, Umar segera memanggil Mughirah dari Basrah ke Madinah dan memulakan perbicaraan.

Umar memanggil saksi satu demi satu. Abu Bakrah memberi kesaksian secara terperinci bahawa dia melihat perlakuan tersebut secara fizikal (kemasukan). Nafi’ bin al-Harith: Memberi kesaksian yang sama. Syibl bin Ma’bad juga memberi kesaksian yang serupa. Pada tahap ini, Mughirah sudah berada dalam keadaan bahaya kerana 3 daripada 4 saksi telah memberi keterangan yang “padu”. Saksi Keempat iaitu Ziyad bin Abih pula berkata: “Aku melihat wajah seorang lelaki yang aku harap Allah tidak akan menghinakan salah seorang sahabat Nabi (Mughirah) melalui lisannya.” Apabila diminta memberikan kesaksian, Ziyad berkata: “Aku melihat kedudukan yang mencurigakan, dan aku mendengar nafas yang kencang, tetapi aku tidak melihat dengan jelas (seperti batang celak masuk ke dalam bekasnya).”

Oleh kerana Ziyad (saksi keempat) gagal memberikan kesaksian yang Yaqin (pasti secara visual), maka syarat empat orang saksi tidak dipenuhi. Secara automatik tuduhan Zina itu dibatalkan. Mughirah bin Syu’bah dibebaskan daripada hukuman rejam/sebat kerana keraguan (Syubhah). Kerana gagal membawa 4 saksi yang lengkap, Umar bin al-Khattab memerintahkan agar Abu Bakrah, Nafi’, dan Syibl disebat sebanyak 80 kali setiap seorang (hukuman menuduh tanpa bukti yang cukup). Selepas disebat, Umar memberitahu Abu Bakrah: “Bertaubatlah, maka aku akan menerima penyaksianmu (di masa hadapan).” Abu Bakrah yang sangat berpegang teguh pada apa yang dia nampak menjawab: “Aku tidak akan menarik balik kata-kataku.” Disebabkan keengganannya menarik balik tuduhan (walaupun dari segi teknikal undang-undang dia gagal), Abu Bakrah memilih untuk tidak lagi memberi saksi dalam mana-mana urusan mahkamah sepanjang hayatnya demi menjaga kejujuran dirinya.

Baik, apakah bukti-bukti yang diterima di dalam Islam? Dalam sistem perundangan Islam, untuk menjaga integriti keadilan, mahkamah Islam membahagikan bukti kepada beberapa kategori utama mengikut kekuatan dan kesesuaian kes. Berikut adalah jenis-jenis bukti yang diterima di Mahkamah Syariah:

1. Al-Iqrar (Pengakuan)

Ini adalah bukti yang paling kuat dalam Islam, sering digelar sebagai “Penghulu Segala Bukti”. Definisi: Seseorang mengaku melakukan kesalahan atau mengakui hak orang lain ke atas dirinya secara sukarela. Syarat: Mestilah dibuat tanpa paksaan (Ikrah), waras, dan baligh. Dalam kes jenayah berat (Hudud), pengakuan boleh ditarik balik sebelum hukuman dijalankan.

2. Al-Shahadah (Kesaksian)

Penyaksian oleh individu yang melihat atau mendengar sendiri sesuatu kejadian. Ini dibahagikan kepada beberapa Kategori:

Harta: Memerlukan 2 lelaki atau 1 lelaki dan 2 perempuan.

Jenayah (Hudud): Biasanya memerlukan 2 saksi lelaki adil (kecuali zina yang memerlukan 4 lelaki).

Syarat Saksi: Mestilah seorang yang Adil (tidak melakukan dosa besar secara terang-terangan dan mempunyai integriti moral yang tinggi).

3. Al-Yamin (Sumpah)

Sumpah digunakan sebagai bukti penyelesaian apabila pihak pendakwa gagal membawa bukti (seperti dalam Hadis ke-33 yang kita bincangkan). Fungsi: Sumpah dilakukan oleh pihak yang didakwa (tertuduh) untuk menafikan tuduhan.

Terdapat juga Yamin al-Mardudah (sumpah yang dikembalikan kepada pendakwa) dalam situasi tertentu. Dalam prosedur mahkamah Islam, ini adalah satu mekanisma yang unik di mana beban bersumpah berpindah daripada pihak Tertuduh (Mudda’a ‘Alaih) kembali kepada pihak Pendakwa (Mudda’a). Berdasarkan Hadis ke-33 yang kita bincangkan sebelum ini, proses asal adalah begini:

Pendakwa (P) menuduh Tertuduh (T) berhutang RM1,000.

P gagal membawa bukti (Al-Bayyinah).

Maka, hakim meminta T untuk bersumpah menafikan hutang tersebut (Al-Yamin).

Jika T enggan bersumpah (kerana takut dosa sumpah palsu atau sengaja mahu mengelak), tetapi dia juga tidak mengaku salah, hakim tidak terus menghukum T. Sebaliknya, hakim akan menawarkan kepada P: “Oleh kerana Tertuduh enggan bersumpah, sekarang kamu (Pendakwa) dipersilakan bersumpah untuk mengukuhkan dakwaan kamu.” Sumpah yang dilakukan oleh P dalam keadaan inilah yang dipanggil Yamin al-Mardudah. Tujuan utamanya adalah untuk menjaga Integriti keadilan. Jika Tertuduh enggan bersumpah (Nukul), ia memberi indikasi bahawa mungkin dakwaan Pendakwa itu benar. Namun, untuk lebih meyakinkan (mencapai tahap Yaqin), hakim mahu Pendakwa sendiri bersumpah bahawa dia benar-benar bercakap benar. Apabila Pendakwa melakukan Yamin al-Mardudah, mahkamah akan memutuskan kemenangan kepada Pendakwa dan Tertuduh wajib membayar tuntutan tersebut.

Di manakah ia diaplikasikan? Di dalam kes Mal (Harta/Sivil): Ia sangat meluas digunakan dalam kes tuntutan hutang, pertikaian jual beli, atau tuntutan nafkah.

Kes Jenayah (Hudud): Kebanyakan ulama berpandangan Yamin al-Mardudah tidak terpakai dalam kes jenayah berat seperti zina atau mencuri. Ini kerana kes jenayah memerlukan bukti yang mutlak (saksi/pengakuan) dan tidak boleh diselesaikan hanya dengan sumpah bagi mengelakkan hukuman dijalankan dalam keadaan syubhah (ragu-ragu).

4. Al-Qarinah (Bukti Sampingan / Circumstantial)

Ini adalah bukti yang tidak langsung tetapi menunjukkan kepada kebenaran sesuatu perkara. Contoh Klasik: Dalam kisah Nabi Yusuf A.S, baju yang koyak di belakang menjadi Qarinah bahawa baginda melarikan diri dan bukannya menyerang.

Sains Moden: Di Mahkamah Syariah hari ini, Ujian DNA, Laporan Perubatan (Doktor), cap jari, dan rakaman CCTV diterima sebagai Qarinah yang sangat kuat untuk membantu hakim membuat keputusan (Tetapi di dalam kes Ta’zir sahaja).

5. Al-Kitabah (Bukti Bertulis / Dokumen)

Berdasarkan Ayat Baqarah:282, Islam sangat menekankan pendokumentasian. Aplikasi: Kontrak perkahwinan, surat perjanjian hutang, geran tanah, dan sijil cerai adalah bukti bertulis yang diterima secara rasmi di mahkamah.

6. Al-Mu’ayanah (Pemeriksaan Fizikal)

Hakim atau wakil mahkamah pergi sendiri ke lokasi kejadian untuk melihat bukti fizikal. Contoh: Melihat sempadan tanah yang dipertikaikan atau kerosakan pada rumah sewa.

Zaman Nabi dahulu, sistem penghakiman dan teknologi pembuktian tidak sama dengan zaman sekarang. Rasulullah telah menggunakan apa sistem yang baginda boleh pakai. Kalau zaman sekarang, dengan ada ilmu boleh tengok cap jari, ada CCTV dan sebagainya, para alim ulama’ telah memberikan beberapa pandangan mereka. Tapi yang penting adalah mesti ada bukti. Hakim tidak boleh buat pandai sendiri, tapi mestilah berdasarkan bukti. Dan bagi orang yang didakwa atau dituduh, mereka jangan sangka mereka pandai boleh selamatkan diri dari hakim. Mungkin mereka boleh menanglah di dunia, tapi bagaimana di akhirat kelak? Ini Rasulullah ada ingatkan kita,

إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ، وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ، وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ، فَأَقْضِيَ لَهُ عَلَى نَحْوِ مَا أَسْمَعُ، فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ مِنْ حَقِّ أَخِيهِ شَيْئًا فَلَا يَأْخُذْهُ، فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنَ النَّارِ.”
“Sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa, dan kamu semua membawa persengketaan kepadaku. Boleh jadi sebahagian daripada kamu lebih pandai berhujah daripada yang lain, lalu aku memenangkan hukuman untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Maka, sesiapa yang aku berikan kepadanya sesuatu yang sebenarnya adalah hak saudaranya, janganlah dia mengambilnya. Sesungguhnya aku hanyalah memotong untuknya sepotong api neraka.”

Sahih Bukhari (no. 2458) dan Sahih Muslim (no. 1713).

Jadi ini adalah peringatan kepada para peguam yang pandai bercakap. Tidak salah menjadi peguam, tapi janganlah kerana dia pandai bercakap, dia menyebabkan orang bersalah dibebaskan dan orang yang tidak bersalah dipenjarakan. Begitu juga bagi para hakim. Mereka ini juga ada Rasulullah beri peringatan,

عَنْ بُرَيْدَةَ بْنِ الحُصَيْبِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ: القُضَاةُ ثَلَاثَةٌ: وَاحِدٌ فِي الجَنَّةِ، وَاثْنَانِ فِي النَّارِ، فَأَمَّا الَّذِي فِي الجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الحَقَّ فَقَضَى بِهِ، وَرَجُلٌ عَرَفَ الحَقَّ فَجَارَ فِي الحُكْمِ، فَهُوَ فِي النَّارِ، وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ، فَهُوَ فِي النَّارِ»
Daripada Buraidah bin al-Hushaib RA, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda: “Hakim itu ada tiga golongan; satu golongan di syurga dan dua golongan lagi di neraka. Adapun yang di syurga ialah seorang lelaki yang mengetahui kebenaran lalu dia menghukum dengannya. Seorang lelaki yang mengetahui kebenaran tetapi dia berlaku zalim (menyimpang) dalam hukumannya, maka dia di neraka. Dan seorang lelaki yang menghukum manusia dalam keadaan jahil (tanpa ilmu), maka dia juga di neraka.”

Sunan Abu Daud (no. 3573), al-Tirmidzi (no. 1322), dan Ibnu Majah (no. 2315).


 

Faedah Hadis

  1. Tidak boleh menghukumi orang lain dengan sekadar tuduhan kerana boleh jadi kita mengambil harta dan darah orang lain tanpa jalan yang benar.
  2. Syariat melindungi harta dan darah dari tuntutan yang dusta, di mana syariat menyuruh untuk mendatangkan bukti bagi yang menuduh dan sumpah bagi yang mengingkari.
  3. Seorang hakim hendaklah meminta bukti dari pengadu dan yang dituduh.
  4. Di antara bayyinaat (bukti) adalah adanya saksi, atau adanya indikasi, atau yang dituduh mengaku.
  5. Jika tidak ada bukti, yang tertuduh bersumpah agar terlepas dari hukuman. Jika yang tertuduh enggan bersumpah, ia bererti dia adalah seorang penakut dan ingin menghindarkan diri sehingga ia dihukum.
  6. Hadis ini bermanfaat sekali untuk masalah qadha’ (pemutusan hukum) dan untuk mendamaikan dua orang yang berselisih.

 

Kaedah dari Hadis

كُلُّ دَعْوَى بِلاَ بَيِّنَةٍ فَهِيَ بَاطِلَةٌ سَاقِطَةٌ إِلاَّ إِنْ أَقَرَّ المُدَّعَى عَلَيْهِ

Setiap tuduhan yang tidak terbukti, maka tuduhan itu batil kecuali yang dituduh mengakuinya.

الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ

“Pada asalnya, seseorang itu bebas daripada sebarang tanggungan (liabiliti/kesalahan).”

Ini adalah kaedah fiqh yang besar: Seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Kita tidak boleh melabel atau menghukum seseorang hanya berdasarkan “cakap-cakap” orang tanpa proses pengadilan yang adil. Di Barat pun menggunakan kaedah ini juga: “Innocent until proven guilty“.

 

Sambung ke hadis yang seterusnya

Kemaskini: 14 April 2026


 

Rujukan:

Ustaz Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)

Ustaz Dr. Salman Ali

Dr. MAZA (Mufti Perlis)

Rumaysho

Syarah Hadis #32 (Hadis 40 Imam Nawawi).

Hadis 32: Jangan bahayakan diri dan orang lain

عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ سَعْدِ بْنِ مَالِكِ بْنِ سِنَانٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ ﷺقَالَ: لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Dari Abu Sa’id Sa’ad bin Malik bin Sinan Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidak boleh memberikan mudarat tanpa disengaja atau pun disengaja.”

حَدِيْثٌ حَسَنٌ. رَوَاهُ ابْنُ مَاجَهْ وَالدَّارَقُطْنِيُّ وَغَيْرُهُمَا مُسْنَدًا، وَرَوَاهُ مَالِكٌ فِي المُوَطَّأِ مُرْسَلاً عَنْ عَمْرِو بْنِ يَحْيَى عَنْ أَبِيْهِ عَنِ النَّبِيِّ ﷺفَأَسْقَطَ أَبَا سَعِيْدٍ، وَلَهُ طُرُقٌ يُقَوِّي بَعْضُهَا بَعْضًا

(Hadis hasan, HR. Ibnu Majah, no. 2340; Ad-Daraquthni no. 4540, dan selain keduanya dengan sanadnya, serta diriwayatkan pula oleh Malik dalam Al-Muwaththa’ no. 31 secara mursal dari Amr bin Yahya dari ayahnya dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tanpa menyebutkan Abu Sa’id, tetapi ia memiliki banyak jalan periwayatan yang saling menguatkan satu sama lain)

[Hadits ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah, no. 250]


 

Rujukan dan Kedudukan Hadis

Sumber: Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2341), al-Daraqutni (4/228), dan al-Imam Malik dalam al-Muwatta’ secara Mursal (tidak sampai ke sahabat).

Status: Walaupun terdapat kelemahan pada sesetengah sanad secara individu, Imam al-Nawawi dan Ibnu al-Salah menegaskan bahawa hadis ini adalah Hasan kerana jalurnya yang banyak saling menguatkan antara satu sama lain.

Di dalam hadis lain ada tambahan kepada hadis ini:

مَنْ ضَارَّ ضَارَّ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ شَاقَّ شَقَّ اللَّهُ عَلَيْهِ
“Sesiapa yang memberi kemudaratan (kepada orang lain), maka Allah akan memberi kemudaratan kepadanya. Dan sesiapa yang menyusah-nyusahkan (orang lain), maka Allah akan menyusah-nyusahkannya.”

(Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud no. 3635, al-Tirmidzi no. 1940, dan Ibnu Majah no. 2342. Al-Hafiz Ibnu Hajar dan Imam al-Albani menilaikannya sebagai Hasan).


 

Kepentingan: Abu Daud berkata hadis ini adalah salah satu daripada 4 hadis yang menjadi tunjang agama. Ia merangkum seluruh prinsip keadilan dan perlindungan hak dalam Islam. Selain dari hadis ini, 3 hadis yang lain adalah,

1. Hadis Niat (Asas Keikhlasan)

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”

(Sahih Bukhari & Muslim)

Sebab ia Tunjang: Hadis ini mengawal aspek batin manusia. Ia mengajar kita bahawa nilai sesuatu perbuatan (sama ada ibadah atau kehidupan) ditentukan oleh tujuan hati. Tanpa niat yang betul, amalan zahir yang hebat sekalipun tidak bernilai di sisi Allah.

2. Hadis Meninggalkan Perkara Sia-sia (Asas Zuhud & Masa)

مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ
“Antara tanda kesempurnaan Islam seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang tidak berkaitan dengannya (sia-sia).”

(Jami’ Tirmidzi)

Sebab ia Tunjang: Hadis ini adalah manual pengurusan hidup. Ia mengajar kita untuk fokus kepada perkara yang memberi manfaat bagi akhirat dan dunia yang berkualiti. Ia merupakan intipati sifat Zuhud—iaitu tidak menyibukkan diri dengan remeh-temeh duniawi yang tidak mendekatkan diri kepada Allah.

Aplikasi: Menghindari gosip, perbalahan media sosial, atau urusan yang bukan bidang kuasa kita.

3. Hadis Menyayangi Saudara (Asas Akhlak & Kasih Sayang)

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidak sempurna iman salah seorang di antara kamu sehinggalah dia menyayangi saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri.”

(Sahih Bukhari & Muslim)

Sebab ia Tunjang: Hadis ini adalah kemuncak kepada akhlak jemaah. Ia menghapuskan sifat hasad dengki dan mementingkan diri sendiri (Ananiyyah). Ia mengajar kita sentiasa mahukan kebaikan untuk orang lain sebagaimana kita mahukan kejayaan untuk diri kita.


 

Mengenali Perawi

Abu Sa’id Al-Khudri R.A nama sebenarnya Sa’ad Bin Sinan. Sesetengah kitab menyebut Sa’ad Bin Malik Bin Sinan Bersih Sa’ad Bin Sinan Abi Sa’id Al-Khudri Abu Sa’id Al-Khudri. Dalam kalangan para sahabat Nabi yang meriwayatkan hadis, beliau adalah yang ketujuh. Dalam tradisi ilmu hadis, kumpulan sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis dikenali sebagai Al-Mukthirun fi al-Hadith (Mereka yang membanyakkan riwayat). Berikut adalah senarai 7 sahabat utama yang menghafal dan meriwayatkan hadis paling banyak, disusun mengikut urutan jumlah riwayat mereka:

1. Abu Hurairah R.A (5,374 Hadis). Beliau adalah “Gedung Hadis” yang paling utama. Sebab Banyak: Beliau mendedikasikan seluruh masanya bersama Nabi s.a.w (Mulazamah) dan tidak sibuk dengan urusan perniagaan di pasar atau bercocok tanam. Beliau juga mendapat doa khusus daripada Nabi s.a.w supaya tidak lupa apa yang dihafalnya. Beliau sanggup menahan lapar (pernah pengsan kerana lapar) semata-mata untuk duduk di Suffah masjid demi mendengar kalam Nabi.

2. Abdullah bin Umar R.A (2,630 Hadis) atau dikenali sebagai Ibnu Umar. Anak kepada Saidina Umar al-Khattab. Sebab Banyak: Beliau sangat teliti dalam meniru setiap perbuatan Nabi s.a.w (Ittiba’). Beliau hidup lama selepas kewafatan Nabi, membolehkan beliau mengajar ramai orang. Beliau terkenal sangat menjauhi jawatan politik (Zuhud terhadap kuasa) untuk fokus pada ilmu.

3. Anas bin Malik R.A (2,286 Hadis). Pembantu peribadi Rasulullah s.a.w selama 10 tahun. Sebab Banyak: Kedudukan beliau sebagai khadam Nabi membolehkan beliau melihat perbuatan Nabi di dalam rumah yang tidak dilihat oleh orang lain.

4. Ummul Mukminin Aisyah R.A (2,210 Hadis). Isteri tercinta Rasulullah s.a.w. Sebab Banyak: Beliau mempunyai kecerdasan (IQ) yang luar biasa dan merupakan rujukan utama para sahabat dalam hal ehwal wanita dan urusan rumah tangga Nabi. Beliau adalah satu-satunya wanita dalam senarai ini.

5. Abdullah bin Abbas R.A (1,660 Hadis). Sepupu Nabi yang digelar Turjuman al-Quran (Jurubahas Al-Quran). Sebab Banyak: Beliau mendapat doa Nabi: “Ya Allah, faqihkanlah dia dalam agama dan ajarkanlah dia takwil.” Beliau sangat gigih mencari hadis daripada sahabat-sahabat senior selepas Nabi wafat.

6. Jabir bin Abdullah R.A (1,540 Hadis). Seorang sahabat dari golongan Ansar. Sebab Banyak: Beliau sangat tekun mengumpul hadis dan pernah mengembara selama sebulan ke Syam semata-mata untuk mendapatkan satu hadis daripada Abdullah bin Unais.

7. Abu Sa’id al-Khudri R.A (1,170 Hadis). Antara sahabat yang terawal dalam kalangan pemuda Ansar yang menuntut ilmu. Sebab Banyak: Beliau merupakan antara ahli Ashab al-Suffah yang fokus kepada ibadah dan ilmu.

Semua mereka ini meriwayatkan lebih dari seribu hadis Nabi. Para sahabat lain pun ada juga riwayatkan hadis tapi semua mereka meriwayatkan bawah daripada seribu hadith. Mungkin ada yang bertanya: kenapa Abu Hurairah lima ribu sahaja sedangkan ada disebut Imam Bukhari hafal 300 ribu hadis?Takkanlah Abu Hurairah lagi sikit daripada Imam Abu Bukhari? Bukan itu sahaja, Imam Ahmad pula dikatakan menghafal sejuta hadis? Jawapan dia, pertama sekali yang Imam Bukhari hafal beratus ribu hadith itu termasuk hadis sahih dengan yang tak sahih. Dikatakan beliau menghafal 100 ribu hadis sahih dan 200 ribu hadis tidak sahih termasuk hadis palsu. Yang kedua, kadang-kadang satu hadith yang sama, ada banyak jalan riwayatnya. Setiap satu jalur riwayat dikira sebagai satu hadis. Kadang-kadang satu hadith ada sampai 30 jalan riwayat. Jadi kalau kita katakan satu hadis ada 30 jalan riwayat contohnya, ini bermakna dari 5 ribu hadis sebenarnya sudah menjadi 150 ribu hadis.

Tapi kalau Imam Bukhari hafal 100 ribu hadis sahih, kenapa beliau masukkan 7 ribu hadis sahaja? Malah kalau ditolak pengulangan hadis, bilangan hadis di dalam Sahih Bukhari hanya 2,602 Hadis sahaja. Ini kerana Imam Bukhari telah tapis semua hadis-hadis yang di tangan beliau. Bilangan hadis yang paling sahih ada lebih kurang 20 ribu hadis. Tapi beliau tidak catatkan kesemua hadis itu, cuma lebih sedikit dari 7 ribu hadis sahaja. Ini adalah kerana Imam Bukhari takut nanti orang bosan membaca.

Ada di kalangan sahabat ini, banyak riwayatnya. Ada di kalangan sahabat lain, kurang riwayatnya. Mungkin ada yang bertanya, kenapa tak banyak riwayat daripada Abu Bakr Siddiq r.a. Sedangkan Abu Bakar merupakan sahabat yang paling besar. Sebabnya kerana Abu Bakr, beliau meninggal awal. Ketika zaman beliau menjadi khalifah, sahabat-sahabat lain ramai. Dan mereka semua ini masih lagi menguasai hadith dan faham agama dengan baik. Lagi lama seseorang sahabat itu hidup, biasanya lagi banyaklah dia kena riwayatkan, kerana orang yang datang kemudian, mereka tak jumpa dengan Nabi SAW. Jadi, mereka kena tanya orang yang jumpa Nabi SAW, kerana itu mereka akan tanya sahabat. Kerana itulah ada banyak hadis keluar dari pertanyaan golongan selepas sahabat itu.

An-Anas bin Malik banyak meriwayatkan kerana beliau duduk dengan Nabi dari kecil lagi. Dia menjadi khadam kepada Nabi. Oleh kerana beliau duduk tinggal satu rumah dengan Nabi SAW, maka banyak perkara orang boleh tanya kepada Anas. Dan umur beliau pun panjang, antara yang mati lewat. Maka orang tanya, bila dia akan kata, sekian-sekian. Jadi, orang yang dengar daripada Anas, anak-anak murid Anas, seperti Sabil Al-Bunani contohnya, apabila dia dengar daripada Anas, dia akan kata: Anas telah menceritakan padaku.

Dia tak boleh kata, Rasulullah buat sesuatu, kerana dia sendiri tidak tengok Nabi. Kerana itu penting di dalam periwayatan itu, seseorang yang meriwayatkan secara langsung daripada Nabi SAW, dia itu kena dipastikan memang dia itu seorang sahabat Nabi. Kalau macam Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan sahabat besar seumpamanya, senanglah. Dan ada ramai sahabat-sahabat yang Nabi sebut nama mereka. Tapi sahabat Nabi ini ramai dan ada di kalangan mereka yang jumpa Nabi sekali sahaja. Dan ada di kalangan mereka yang hanya tengok Nabi daripada jauh sahaja. Maka ramai yang tak bercakap secara dekat pun dengan Nabi. Ini seperti mereka yang hanya pernah tengok pernah semasa mereka hadir semasa Hajjah Wada’ yang terakhir. Ketika itu ramai sahabat sampai 100 ribu lebih.

Mereka ini semuanya dikira sebagai sahabat, kerana syarat untuk layak jadi sahabat itu, mesti sesiapa yang jumpa Nabi SAW, beriman dengannya dan mati dalam iman. Kalau setakat jumpa sahaja Nabi, Abu Jahal dan Abu Lahab pun ada jumpa. Kalau beriman dengan baginda sahaja, golongan munafik pun ada yang beriman, tapi mereka kufur kemudian. Ada juga yang beriman dengan Nabi, berurusan dengan Nabi, tapi tak jumpa Nabi. Ini seperti An-Najashi, Maharaja Habsyah, yang berutusan surat dengan Nabi, tapi tak pernah jumpa Nabi. Oleh kerana itu dia tidak dikategorikan sebagai sahabat. Pertemuan dengan Nabi itu ada keberkatannya dan ada nilainya. Ada di kalangan mereka yang pernah jumpa Nabi, tapi tak pernah tengok Nabi. Tapi dia dikira sebagai sahabat. Contohnya siapa? Abdullah bin Ummi Maktum, sahabat Nabi yang buta.

Di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah, apabila seseorang itu sahabat, kita kira dia dipercayai. Melainkan kita dapat buktikan dia tersilap dalam riwayatnya. Itu pun kita tak kata dia berdusta. Ini kerana hasil daripada nas, hasil daripada kaji selidik yang terperinci, ulama’ tidak menjumpai bukti yang sahabat telah berdusta menggunakan nama Nabi. Mereka mungkin ada buat silap, tapi berdusta dengan sengaja mereka tak buat. Tapi kalau anak murid sahabat, tak semestinya boleh terus dipakai. Kena diperiksa mereka itu kerana mereka ini tak ada jaminan. Mungkin dia tak berapa kuat ingatannya, mungkin dia silap dan mungkin ada macam-macam sebab.

Itulah beberapa maklumat tentang ilmu hadis yang kita sebagai pelajar kena tahu. Kalau tidak tahu, maka ada kecelaruan dalam pemikiran. Antaranya yang dikeluarkan oleh golongan Orientalis, golongan Anti-Hadis dan golongan jahil yang lain. Hanya kerana mereka tidak ada ilmu tentang hadis dan tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Mereka komen pakai andaian mereka sahaja. Sebagai contoh, ramai yang pertikaikan Abu Hurairah. Mereka persoalkan macam mana Abu Hurairah boleh hafal hadis sampai 5 ribu hadis sedangkan dia bersama dengan Nabi selama 3 atau 4 tahun sahaja. Ini hanya kerana mereka nilai ikut kemampuan mereka, sedangkan boleh sahaja menghafal 5 ribu hadis dalam masa 4 tahun.

 

Sambungan tentang Abu Sa’id Al-Khudri

Baiklah. Sebenarnya kita hendak cerita tentang Abu Sa’id Al-Khudri. Beliau adalah antara sahabat yang junior juga. Beliau lahir kira-kira 10 tahun sebelum Hijrah. Beliau membesar dalam suasana Islam sejak kecil (remaja semasa Nabi di Madinah). Beliau adalah sebahagian daripada ahli Suffah (golongan miskin yang tinggal di beranda masjid untuk belajar). Ini menunjukkan tahap Zuhud beliau yang sanggup hidup serba kekurangan demi ilmu.

Beliau ingin menyertai Perang Uhud ketika berusia 13 tahun, tetapi Nabi s.a.w tidak membenarkannya kerana masih terlalu muda. Walau bagaimanapun, bapanya (Malik bin Sinan) gugur syahid dalam perang tersebut. Selepas itu, Abu Sa’id menyertai sekurang-kurangnya 12 peperangan bersama Rasulullah s.a.w. Selepas bapanya syahid, keluarganya hidup sangat susah sehingga mereka terpaksa mengikat perut. Ibunya menyuruhnya pergi meminta bantuan daripada Nabi . Namun, sebelum sempat beliau meminta, beliau terdengar Nabi bersabda: “Sesiapa yang merasa cukup (Isti’faf), maka Allah akan mencukupkannya.” Abu Sa’id terus pulang tanpa meminta apa-apa. Sejak itu, Allah melimpahkan rezeki kepadanya sehingga beliau menjadi antara sahabat Ansar yang paling “berada” tetapi tetap zuhud.

Beliau wafat di Madinah pada tahun 74 Hijriah (ada yang mengatakan 63H atau 64H) dan dimakamkan di Perkuburan Al-Baqi’. Beliau adalah antara sahabat yang paling lama hidup selepas kewafatan Nabi, membolehkan beliau menjadi rujukan kepada generasi Tabi’in.

Kisah bapa beliau pun menarik. Bapa kepada Abu Sa’id al-Khudri ialah Malik bin Sinan al-Khudri R.A. Beliau merupakan seorang sahabat Nabi yang sangat mulia daripada golongan Ansar (suku Khazraj). Nama Penuh: Malik bin Sinan bin ‘Ubaid al-Anshari al-Khazrajy al-Khudri. Nama “Al-Khudri” merujuk kepada Bani Khudrah, salah satu cabang daripada kabilah Khazraj di Madinah.

Malik bin Sinan merupakan salah seorang pejuang yang gugur syahid dalam Perang Uhud. Kisah beliau sangat masyhur dalam sirah kerana kesetiaannya yang luar biasa kepada Rasulullah s.a.w. Dalam Perang Uhud, ketika wajah Rasulullah s.a.w luka teruk akibat serangan musuh dan darah mengalir keluar, Malik bin Sinan telah datang dan membersihkan darah pada wajah Baginda dengan cara menghisapnya (kerana tiada air atau kain pada waktu itu) sehingga bersih. Nabi s.a.w menyuruhnya meluahkan darah tersebut, namun kerana rasa cinta yang mendalam, beliau menelannya. Nabi s.a.w kemudian bersabda:

“Sesiapa yang ingin melihat lelaki yang darahnya bercampur dengan darahku, maka lihatlah kepada Malik bin Sinan.”

Ketokohan Malik bin Sinan sebagai bapa telah membentuk peribadi Abu Sa’id al-Khudri (Sa’ad bin Malik) menjadi salah seorang sahabat yang paling alim dan banyak meriwayatkan hadis (termasuk hadis La Darara wala Dirar yang kita akan bincangkan).

Ketika Perang Uhud berlaku, Abu Sa’id masih remaja (berusia sekitar 13 tahun) dan ingin ikut berperang bersama bapanya, namun ditolak oleh Nabi s.a.w kerana faktor usia. Selepas bapanya syahid, Abu Sa’id memikul tanggungjawab menjaga keluarganya.

Abu Sa’id pernah terlibat dengan Perang Al-Harrah walaupun tidak secara langsung. Kisah Perang Al-Harrah (63 H / 683 M) adalah salah satu tragedi paling hitam dalam sejarah awal Islam selepas zaman Khulafa al-Rasyidin. Ia melibatkan konflik antara penduduk Madinah dengan tentera Yazid bin Mu’awiyah yang diketuai oleh Muslim bin ‘Uqbah. Abu Sa’id al-Khudri R.A., yang ketika itu sudah berusia lanjut, merupakan antara sahabat besar yang menyaksikan sendiri ngerinya peristiwa ini.

Penduduk Madinah, termasuk ramai kalangan Sahabat dan Tabi’in, telah mengisytiharkan keluar daripada ketaatan kepada Yazid bin Mu’awiyah kerana tidak berpuas hati dengan gaya kepimpinannya. Mereka melantik Abdullah bin Hanzalah (anak kepada Ghasil al-Malaikah) sebagai pemimpin di Madinah. Yazid menghantar tentera yang besar dari Syam untuk menundukkan Madinah. Apabila rundingan gagal, pertempuran meletus di kawasan berbatu hitam di luar Madinah yang dipanggil Al-Harrah.

Abu Sa’id tidak menyertai pertempuran secara aktif di barisan hadapan kerana faktor usia, namun beliau berada di Madinah dan mengalami kesan langsung serangan tersebut. Beliau berlindung di Gua seperti kebanyakan orang lain. Apabila tentera Syam berjaya menembusi pertahanan Madinah dan mula melakukan pembantaian (selama 3 hari Madinah), Abu Sa’id al-Khudri melarikan diri dan berlindung di sebuah gua di gunung. Seorang tentera Syam menemui beliau di dalam gua tersebut dan menghunuskan pedang untuk membunuhnya. Abu Sa’id, dengan ketenangan seorang Zahid, tidak melawan. Beliau berkata:

“Jika engkau menghulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam.”

Kata-kata ini adalah nukilan daripada Surah Al-Ma’idah, ayat 28, iaitu kata-kata Habil (anak Nabi Adam) ketika mahu dibunuh oleh Qabil. Beliau memilih untuk menjadi “hamba Allah yang dizalimi” daripada menjadi “pembunuh”. Apabila tentera tersebut akhirnya mengetahui bahawa lelaki tua di depannya itu adalah Abu Sa’id al-Khudri, seorang sahabat Rasulullah s.a.w, dia membatalkan niatnya dan membiarkan beliau hidup. Namun, harta benda dan rumah Abu Sa’id di Madinah tetap dirampas dan dirosakkan oleh tentera lain.

Perang ini sangat menyedihkan kerana buat pertama kalinya dalam sejarah, Masjid Nabawi dikosongkan. Solat berjemaah tidak dapat didirikan selama tiga hari kerana tentera berkuda Syam menjadikan masjid sebagai kandang kuda. Beratus-ratus Sahabat Nabi dan ribuan Tabi’in (termasuk ramai penghafal Al-Quran) terkorban. Madinah dijarah tanpa belas kasihan. Ia adalah kisah buruk tentang Yazid bin Muawiyah. Dalam banyak-banyak kontroversi tentang beliau, inilah yang paling teruk sebenarnya. Kesalahan yang menyebabkan ramai ahli sunnah mengkritik Yazid. Ataupun mencerca Yazid.


 

Syarah Hadis

Hadis yang kita akan bincangkan ini sangatlah ringkas dan pendek sahaja. Kalimah لاَ ضَرَرَ maksudnya tidak memberi mudarat pada diri sendiri, dan  لاَ ضِرَارَ bermaksud jangan bagi mudarat pada orang lain. Jadi agama ini ada prinsip-prinsip utama dia. Kerana itulah Imam Nawawi membawakan hadis 40 ini. Ianya adalah hadis-hadis utama dalam hukum hakam dan juga hadis asas binaan Islam. Jadi antara hadith yang asas yang kita kena faham sebagai seorang muslim, bahawa Islam ini ialah agama yang tidak memudaratkan diri dan tidak memberi mudarat kepada orang lain.

Konsep jangan memudharatkan ini banyak contoh yang Allah berikan di dalam Al-Qur’an. Antaranya Allah sebut di dalam Baqarah:231

وَلَا تُمْسِكُوهُنَّ ضِرَارًا لِّتَعْتَدُوا ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ
“…Dan janganlah kamu pegang (rujuk) mereka dengan maksud memberi mudarat untuk kamu melampaui batas. Dan sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri.”

Ini tentang hukum suami isteri. Di dalam bab hutang piutang pula Allah berfirman di dalam Baqarah: 282

وَلَا يُضَارَّ كَاتِبٌ وَلَا شَهِيدٌ
“…Dan janganlah penulis dan saksi itu saling memudaratkan (dipersulitkan).”

Dan di dalam hal penyusuan anak, disebut di dalam Baqarah:233

لا تُضارَّ وٰلِدَةٌ بِوَلَدِها وَلا مَولودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ
Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya;

Dari hadith ini sebenarnya para ulama’ usul fiqh telah mengeluarkan lima kaedah yang dipanggil Al-Qawa’id Al-Khamsah Al-Kubra. Ada lima kaedah yang besar dalam Islam. Ia menjadi kaedah asas dalam semua perbincangan hukum hakam dalam agama. Al-Qawa’id Al-Khamsah Al-Kubra (Limal Kaedah Fiqh yang Terbesar) merupakan tiang seri dalam perundangan Islam. Lima kaedah ini adalah “kompas” bagi para ulama dan umat Islam untuk membuat keputusan hukum yang adil, logik, dan selari dengan kehendak Allah.

1. Al-Umur bi Maqasidiha الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا (Segala Perkara Mengikut Tujuannya)

Maksud: Setiap perbuatan dinilai berdasarkan Niat pelakunya. Banyak urusan berkaitan dengan niat seperti masalah solat, masalah pahala, masalah cerai dan talak, masalah jual beli dan banyak lagi.

Dalil: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat.” (HR. Bukhari). Hadis ini kita telah bincangkan di dalam Hadis #1.

2. Al-Yaqin la Yuzalu bis-Syak اليَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ (Keyakinan Tidak Hilang dengan Keraguan)

Maksud: Sesuatu yang sudah pasti (Yakin) tidak boleh dibatalkan oleh rasa was-was atau ragu-ragu.

Aplikasi: Jika anda sudah berwuduk (Yakin), kemudian ragu-ragu sama ada sudah terbatal atau belum, maka anda masih dianggap berwuduk kerana “Yakin” tidak boleh dikalahkan oleh “Syak”.

Dalil bagi hal ini ada banyak. Antaranya hadis kalau rasa kentut,

إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا، فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لاَ، فَلاَ يَخْرُجَنَّ مِنَ الْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا
“Jika salah seorang di antara kamu merasakan sesuatu di dalam perutnya, lalu dia ragu-ragu sama ada telah keluar sesuatu (kentut) daripadanya atau tidak, maka janganlah dia keluar dari masjid (membatalkan solat) sehinggalah dia mendengar bunyi atau mencium bau.”

(Sahih Muslim, no. 362)

3. Al-Masyaqqah Tajlibut-Taisir المَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ (Kesukaran Membawa Kemudahan)

Maksud: Apabila terdapat kesempitan atau kesukaran dalam melaksanakan hukum, Islam memberikan Rukhsah (keringanan).

Contoh: Orang yang sakit dibenarkan solat duduk. Ini menunjukkan Islam itu tidak membebankan hamba-Nya di luar kemampuan. Contoh lain adalah kalau tidak sihat atau dalam musafir ketika puasa, dibolehkan berbuka dan diganti pada hari yang lain. Menggunakan kaedah inilah Mazhab Syafie kata tidak batal kalau bersentuh lelaki dan perempuan kita tawaf. Kalau di waktu lain akan membatalkan wudu’, bukan?

4. Al-Adah Muhakkamah العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ (Adat Dijadikan Sandaran Hukum)

Maksud: Adat resam atau urf sesuatu masyarakat boleh dijadikan sandaran hukum selagi ia tidak bercanggah dengan nas Al-Qur’an dan Sunnah.

Contoh: Contoh dalam bab Nazar. Katakanlah seseorang kata dia tidak akan makan daging lagi. Apakah yang orang kita faham maksud daging itu? Adakah daging lembu atau semua bentuk daging? Sebab ikan pun dipanggil daging ikan, kemudian ada daging ayam, daging lembu, daging ikan, daging itik. Adakah daging itu difahami dari segi bahasa ataupun difahami dari segi adat? Jadi di sini ulama’ kata, kita kena faham dari segi adat. Orang Melayu kita kalau sebut daging, dia faham daging apa? Tentu yang dimaksudkan adalah daging lembu. Jadi orang yang bernazar itu tidak boleh makan daging lembu sahaja.

5. Ad-Dararu Yuzal الضَّرَرُ يُزَالُ (Kemudaratan Mesti Dihilangkan)

Maksud: Segala perkara yang mendatangkan bahaya kepada diri sendiri, orang lain, atau alam sekitar wajib dihentikan atau dicegah.

Aplikasi: Pengharaman dadah atau larangan memandu secara berbahaya. Dalam konteks harta, ia bermaksud kita tidak boleh menggunakan kekayaan kita untuk menindas orang lain.

Inilah hadis yang kita bincangkan di sini. Ad-Dararu Yuzal bermaksud kemudaratan itu ditolak, dihilangkan, dihapuskan, dikeluarkan. Kaedah ini bermaksud apa saja kemudaratan dari sesuatu perkara yang boleh menyebabkan kemudaratan itu ditolak. Sama ada ditolak sebelum ia berlaku atau sedang berlaku, atau akan datang.

Kalau sebelum berlaku apa dia? Kita tolak mudharat itu awal-awal lagi. Contohnya macam Nabi larang daripada binaan kubur. Kerana hendak elak dari bermewah-mewahan, penyembahan kubur, kurangnya tanah waqaf untuk tanam orang lain pula.

Kalau mudharat itu sedang berlaku, pun hendaklah dibaiki. Contohnya di dalam nikah cerai, ada bab fasakh. Iaitu perceraian dengan cara perintah mahkamah. Contohnya bila sudah kahwin didapati suami dia tak boleh berfungsi sebagai lelaki sejati.  Isteri itu boleh memulakan proses fasakh minta cerai dari suami dia itu. Ini adalah dibenarkan dan ia adalah hak isteri itu. Tak boleh kita suruh isteri itu bersabar, kena terima hakikat suami dia tak boleh puaskan dia. Mana boleh begitu. Salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk menghalalkan jimak untuk memuaskan nafsu, yang menjadi keperluan semua orang. Tiba-tiba tak boleh jimak, takkan hendak bersabar sahaja. Maka itu adalah mudharat  yang perlu untuk dibaiki.

Contoh lagi, seseorang beli rumah dan dia tengok ada keburukan, ada aib pada rumah itu. Dia boleh membatalkan aqad tersebut. Tak bolehlah disuruh dia terus tinggal di rumah itu dan bersabar dengan kekurangan yang ada. Sedangkan dia sudah bayar mahal untuk tinggal di rumah itu.

Jadi ini adalah kaedah yang besar dalam Islam. Daripada Ad-Dararu Yuzal ini ulama’ keluarkan cabang-cabang dia lagi. Berikut adalah 5 cabang utama yang paling masyhur:

1. Ad-Dararu la Yuzalu bi Mithlihi الضَّرَرُ لَا يُزَالُ بِمِثْلِهِ (Sesuatu kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang seumpama (setaraf) dengannya)

Contoh: Kalau orang paksa kita bunuh orang lain halalkah kalau kita bunuh orang itu? Dia pun kata: “Kalau tidak, aku bunuh kau”. Apakah ancaman ini menghalalkan kita untuk bunuh orang tersebut? Bolehkah kita gunakan dalil di dalam Baqarah:173?

 فَمَنِ ٱضطُرَّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌ۚ
maka sesiapa terpaksa sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa

Bolehkah kita guna alasan, kita dipaksa untuk menjaga nyawa kita juga? Jawapannya, tak boleh. Dan kita tidak boleh gunakan alasan ayat Baqarah:173 ini kerana ia tentang makan makanan yang haram. Kalau kita dipaksa makan babi, sebenarnya tak dosa pun kalau orang paksa kita.

Hatta kalau kita dipaksa mengeluarkan ucapan kufur sekali pun, kita tidak terkeluar dari Islam. Contohnya, macam yang pernah terjadi kepada seorang sahabat bernama Ammar bin Yasir. Diriwayatkan daripada jalan Abu Ubaidah bin Muhammad bin Ammar bin Yasir, daripada bapanya, daripada datuknya (Ammar):

أَخَذَ الْمُشْرِكُونَ عَمَّارَ بْنَ يَاسِرٍ فَلَمْ يَتْرُكُوهُ حَتَّى سَبَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَذَكَرَ آلِهَتَهُمْ بِخَيْرٍ حَتَّى تَرَكُوهُ، فَلَمَّا أَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” مَا وَرَاءَكَ؟ ” قَالَ: شَرٌّ يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا تُرِكْتُ حَتَّى نِلْتُ مِنْكَ، وَذَكَرْتُ آلِهَتَهُمْ بِخَيْرٍ، قَالَ: ” كَيْفَ تَجِدُ قَلْبَكَ؟ ” قَالَ: مُطْمَئِنًّا بِالْإِيمَانِ، قَالَ: ” إِنْ عَادُوا فَعُدْ “
“Kaum musyrikin telah menangkap Ammar bin Yasir dan mereka tidak akan melepaskannya sehinggalah Ammar mencaci Nabi s.a.w dan menyebut tuhan-tuhan mereka dengan kebaikan, barulah mereka melepaskannya. Apabila Ammar datang menemui Rasulullah s.a.w, Baginda bertanya: ‘Apa khabar di belakangmu (apa yang berlaku)?’ Ammar menjawab: ‘Buruk sekali wahai Rasulullah! Aku tidak dilepaskan sehinggalah aku mencacimu dan menyebut tuhan-tuhan mereka dengan kebaikan.’ Baginda bertanya: ‘Bagaimana kamu mendapati hatimu (ketika itu)?’ Ammar menjawab: ‘Tenang tenteram dengan keimanan.’ Baginda bersabda: ‘Jika mereka mengulangi (seksaan itu), maka ulangilah (ucapan tersebut).’”

Al-Baihaqi dalam Al-Sunan al-Kubra (No. 16900). Al-Hakim menyatakan hadis ini Sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, walaupun mereka tidak meletakkannya dalam kitab Sahih mereka.

Kita tak boleh memberi mudarat kepada orang lain tapi ucapan kufur itu mudarat pada diri sendiri sahaja. Begitu juga dengan makan babi atau minum arak itu jenis mudarat pada diri sendiri. Tapi ia berbeza kalau perbuatan itu memberi mudharat kepada orang lain seperti paksaan membunuh orang lain. Kerana itu adalah kaedah Ad-Dararu la Yuzalu bi Mithlihi ini. Kemudaratan itu tidak ditolak dengan kemudaratan yang sama. Kalau kita dibunuh, nyawa kita hilang, dan ini adalah mudharat, bukan? Kalau kita bunuh orang lain pun satu nyawa akan hilang, dan ini adalah tak mudharat yang sama. Nyawa dengan nyawa, bukan? Maka tak boleh kita tolak satu mudarat dengan melakukan mudarat yang sama juga selepas itu.

2. Ad-Dararu al-Asyaddu Yuzalu bid-Darari al-Akhaf الضَّرَرُ الأَشَدُّ يُزَالُ بِالضَّرَرِ الأَخَفِّ (Mudarat yang Lebih Berat Dihilangkan dengan Mudarat yang Lebih Ringan)

Maksud: Jika terpaksa memilih antara dua keburukan, pilihlah yang paling kecil kesannya.

Contoh: Pembedahan (menyakitkan/mudarat kecil) dilakukan untuk membuang barah yang boleh membawa maut (mudarat besar). Atau seseorang itu ada penyakit kencing manis dan perlu dipotong kaki dia. Kalau tak potong, kesan buruk akan terkena kepada semua badan dia dan akan mati. Jadi mana lagi teruk, tiada kaki ke mati? Oleh kerana mati lagi teruk dari tiada kaki maka kita dibenarkan mengambil mudarat yang lebih ringan iaitu kita biarlah potong kaki asalkan masih lagi hidup.

3. Tahammul al-Darar al-Khas li Daf’i al-Darar al-‘Am تَحَمُّلُ الضَّرَرِ الخَاصِّ لِدَفْعِ الضَّرَرِ العَامِّ (Menanggung Mudarat Khusus untuk Menolak Mudarat Umum)

Maksud: Kepentingan orang ramai (awam) sentiasa mengatasi kepentingan individu.

Contoh: Kerajaan berhak merobohkan sebuah rumah (mudarat kepada pemilik) untuk membina jalan raya utama yang diperlukan oleh ribuan orang (manfaat awam). Kalau tak buat jalan ini masyarakat akan mengalami darurat kesusahan seperti susah untuk hantar orang sakit hospital dan sebagainya. Tapi dengan kita nak buat jalan itu memang kita terpaksa ambil tanah orang dan mungkin diambil dengan cara paksa, bukan? Benar, tapi ini dibenarkan di dalam syarak.

Contoh lagi semasa kes Covid dahulu. Kita terpaksa halang dan tangkap orang yang keluar daripada negerinya. Perbuatan itu ada mudharat sampai ada orang tak boleh pergi kerja contohnya. Ia mudharat pada orang itu tetapi kemudaratan itu khusus pada si fulan itu sahaja. Ia untuk mengelakkan kemudharatan yang umum dan lebih besar lagi kepada orang awam yang lain. Kerana kita hendak elak dari virus Covid itu merebak.

Contoh lagi, kita tangkap ahli bid’ah yang menyampaikan ajaran salah dan sesat sampai boleh penjarakan dia. Kita tentu akan memberikan mudarat khusus kepada dia tapi ia dibenarkan kerana untuk hilangkan mudarat yang lebih besar iaitu tersebarnya ajaran sesat kepada orang ramai.

4. Dar’ul Mafasid Muqaddamun ‘ala Jalbil Masalih دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ (Menolak Kerosakan Lebih Utama daripada Mengambil Kebajikan)

Maksud: Mencegah sesuatu yang haram/bahaya adalah lebih penting daripada mengejar keuntungan atau manfaat.

Contoh: Jika sebuah perniagaan mendatangkan untung RM1 juta tetapi mencemarkan udara seluruh kampung, perniagaan itu mesti dihentikan. Menjaga paru-paru penduduk lebih utama daripada mengumpul harta.

5. Ad-Daruratu Tubihu al-Mahzurat الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ (Keadaan Darurat Menghalalkan Perkara yang Haram)

Maksud: Dalam keadaan terdesak yang mengancam nyawa, perkara yang asalnya haram menjadi boleh dilakukan (sekadar keperluan sahaja).

Contoh: Makan daging khinzir ketika sesat di hutan jika tiada makanan lain dan hampir mati kelaparan.

Nota Penting: Kaedah ini ada hadnya, iaitu “Ad-Daruratu Tuqaddaru bi Qadariha” (Darurat itu hanya sekadar yang perlu sahaja). Jangan pula makan sampai kenyang atau tapau bawa balik! Begitulah kaedah-kaedah ini mestilah ada syarat-syarat dia. Darurat itu mestilah darurat yang muhaqqaqah iaitu yang betul-betul mudharat. Jangan hanya darurat sangkaan sahaja.

Kesimpulan daripada hadis ini adalah kehidupan kita ini janganlah memudharatkan diri kita, dan jangan mudharatkan orang lain Terlalu banyak perkara ini dalam Islam. Seperti perkara-perkara yang kita anggap kecil seperti tak boleh mengumpat, apabila bersin tutuplah mulut. Nabi pernah pesan apabila makan bawang, jangan pergi masjid kerana ini juga memberi mudharat kepada orang lain walaupun nampak macam kecil sahaja. Nabi kata apabila masuk masjid, janganlah seorang itu membawa lembing yang matanya tidak ditutup, kerana takut terkena kepada orang.

Contoh lain dalam Baqarah:233 Allah kata jangan ibu atau bapa dimudharatkan dengan urusan penyusuan anak mereka.

وَالوٰلِدٰتُ يُرضِعنَ أَولٰدَهُنَّ حَولَينِ كامِلَينِ ۖ لِمَن أَرادَ أَن يُتِمَّ الرَّضاعَةَ ۚ وَعَلَى المَولودِ لَهُ رِزقُهُنَّ وَكِسوَتُهُنَّ بِالمَعروفِ ۚ لا تُكَلَّفُ نَفسٌ إِلّا وُسعَها ۚ لا تُضارَّ وٰلِدَةٌ بِوَلَدِها وَلا مَولودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya. 

Maknanya tak boleh kita beratkan seorang bapa untuk bagi nafkah lebih daripada sepatutnya. Ibu bayi itu juga tak boleh dipaksa dia bagi susu kepada anaknya.

Kalau seorang ibu yang mengandung, kemudian didapati yang kalau dia teruskan dengan bayi itu akan menyebabkan kematian ibunya, bagaimana? Mengikut kaedah ulama’, diutamakan induk iaitu ibu itu untuk diselamatkan. Maka bayi itu boleh digugurkan. Ibu itu dia boleh hasilkan anak banyak lagi kalau dia dibenarkan hidup.

Begitulah kaedah ini boleh diaplikasikan dalam semua masalah feqah, terutama sekali dalam hal mu’amalat (hubungan interaksi sesama manusia). Jadi kalau mana-mana perjanjian, akad yang boleh memberi mudharat kepada seseorang, sama ada mudarat itu pada jasadnya, atau pada agamanya, atau pada hartanya, atau pada akalnya, atau kepada keturunannya, maka mudarat itu hendaklah dihilangkan. Jadi perhatikan hadis pendek sahaja tetapi besar manfaatnya.


 

Perbezaan maksud lain: 

Hadis ini ada diterima membawa maksud lain.

Pandangan Pertama (Tujuan/Niat):

Darar (ضرر): Seseorang memberi mudarat kepada orang lain, sedangkan dia sendiri mendapat manfaat daripada perbuatan itu.

Contoh: Membina bangunan tinggi yang menghalang cahaya matahari jiran supaya rumah sendiri lebih sejuk. Tapi ada juga pendapat yang mengatakan ini dibenarkan kerana dia buat itu di tanah hartanya sendiri, maka tidak salah. Contoh lain: orang yang miskin memerlukan wang jadi kita beri pinjam dengan mengenakan riba.

Dirar (ضرار): Seseorang memberi mudarat kepada orang lain tanpa dia mendapat apa-apa manfaat pun, semata-mata kerana ingin menyakiti atau membalas dendam.

Contoh: Sengaja membakar sampah yang asapnya masuk ke rumah jiran hanya kerana benci, walaupun dia sendiri sesak nafas dengan asap itu. Atau sengaja tabur paku atas jalan bagi orang susah. Ini ضرار. Tapi kalau dia tabur paku sebab dia kedai mekanik repair tayar, ini ضرر. Dua-dua tidak boleh.

 

Pandangan Kedua (Pemula vs Pembalas):

Darar: Memulakan perbuatan menyakiti (pencetus awal).

Dirar: Membalas perbuatan menyakiti dengan cara yang sama atau lebih teruk (balas dendam yang melampau). Contohnya ada orang curi selipar di masjid, tapi dihukum pukul sampai mati.

 

Pandangan Ketiga (Sengaja vs Tidak):

Darar: Berlaku kemudaratan (mungkin tidak sengaja atau kerana cuai).

Dirar: Memang disengajakan dengan niat jahat (Premeditated). Kalau Darar pun dilarang, apatah lagi Dirar.

Contoh mudarat disengaja atau pun tidak:

Pertama: Seseorang memiliki jiran dan memiliki pohon yang tiap hari dia siram. Namun airnya masuk ke rumah tetangganya, mengganggu tetangganya, yang menyiram tidak tahu akan hal itu. Ini disebut dharar kerana melakukan dengan tidak sengaja.

Kedua: Ada seseorang punya masalah dengan jirannya kerana salah faham. Tetangga A mengatakan, “Aku pasti akan mengganggumu.” Lalu dia membunyikan mesin jirannya, tujuannya untuk mengganggu jirannya itu. Ini namanya dhirar.

Dalam kes kedua sudah jelas dia sedang memberikan mudarat, kerana dia sengaja melakukannya. Dalam kes pertama, jika dia diberitahu dia telah mengganggu tetangga, dia pasti tidak akan mengganggu seperti itu. Intinya dharar mahupun dhirar sama-sama dilarang.

Ketiga: Di masa jahiliyyah, ketika suami menceraikan isterinya, maka ketika masa ‘iddahnya hampir selesai, suami itu rujuk kembali. Kemudian dia mentalaknya lagi kali kedua, lalu jika masa ‘iddahnya hampir selesai, suami itu pun rujuk kembali. Kemudian dia mentalak seterusnya hingga talak ketiga, keempat, tujuannya adalah untuk dhirar, iaitu mencelakakan isterinya dengan sengaja (supaya tidak boleh menikah lain). Kerana itu Allah bataskan talak itu hanya sampai tiga kali. Dalilnya adalah firman Allah di dalam Baqarah:229

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ …
“Talak (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik.” 

Dan Allah berfirman pula di dalam Baqarah:230

فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِنْ بَعْدُ حَتَّى تَنْكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ
“Kemudian jika si suami mentalaknya (sesudah talak yang kedua), maka perempuan itu tidak lagi halal baginya hingga dia kahwin dengan suami yang lain.” 

Keempat: Seseorang memberikan wasiat bahawa setelah dia meninggal dunia, separuh hartanya untuk si fulan, tujuannya untuk mengurangi bahagian waris. Ini tidak dibolehkan kerana wasiat tidak boleh memberi wasiat lebih dari sepertiga harta. Dalilnya hadis yang diriwayatkan dari ‘Amr bin Kharijah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّ اللَّهَ قَسَمَ لِكُلِّ وَارِثٍ نَصِيبَهُ مِنَ الْمِيرَاثِ فَلاَ يَجُوزُ لِوَارِثٍ وَصِيَّةٌ
“Sesungguhnya Allah membagi untuk setiap ahli warisnya sudah mendapatkan bahagian-bahagiannya. Kerananya tidak boleh ada wasiat untuk ahli waris.”

(Riwayat Ibnu Majah, no. 2712; Tirmidzi, no. 2121. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadits ini hasan)

Namun kalau yang diberi wasiat adalah selain ahli waris, itu boleh. Namun wasiat itu tidak boleh lebih dari sepertiga dari harta yang ditinggalkan sebagaimana penjelasan dari hadits Sa’ad bin Abi Waqqash berikut.

Dari ‘Amir bin Sa’ad, dari ayahnya, Sa’ad, ia adalah salah seorang dari sepuluh orang yang dijamin masuk surga- berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menjengukku ketika Haji Wada’, kerana sakit keras. Aku pun berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya sakitku sangat keras sebagaimana yang engkau lihat. Sedangkan aku mempunyai harta yang cukup banyak dan yang mewarisi hanyalah seorang anak perempuan. Bolehkah saya sedekahkan 2/3 dari harta itu?” Baginda menjawab, “Tidak.” Saya bertanya lagi, “Bagaimana kalau separuhnya?” Baginda menjawab, “Tidak.” Saya bertanya lagi, “Bagaimana kalau sepertiganya?” Baginda menjawab,

وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ ، إِنَّكَ أَنْ تَذَرَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَذَرَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ
“Sepertiga itu banyak (atau cukup besar). Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu kaya, itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin sehingga mereka terpaksa meminta-minta kepada sesama manusia. Sesungguhnya apa yang kamu nafkahkan dengan maksud untuk mencari redha Alah pasti kamu diberi pahala, termasuk apa yang dimakan oleh isterimu.”

(Sahih Bukhari, no. 4409; Muslim, no. 1628).

Nota: Empat contoh di atas, diambil dari Syarh Al-Arba’in An-Nawawiyyah karya Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah.


 

Darurat

Di atas tadi kita ada sentuh tentang kalau ada paksaan, maka dibenarkan. Atau di dalam keadaan terpaksa seperti tidak ada makanan, benda haram pun boleh dimakan seperti babi dan anjing. Kaedah ini adalah: الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ “Keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang.” Tapi kita hendak tambah di sini walaupun ini bukanlah termasuk dalam tajuk perbincangan hadis ini, cuma ada kena mengena sedikit. Konsep darurat ini memang ada di dalam Islam seperti firman Allah di dalam Baqarah:`173,

فَمَنِ ٱضطُرَّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌
maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa

Jadi darurat ini dibenarkan apabila keadaan terpaksa. Para ulama membahagikan tahap keperluan manusia kepada tiga peringkat. Darurat adalah peringkat yang paling tinggi dan kritikal. Tiga peringkat itu adalah:

1. Ad-Daruriyyat (Tahap Darurat / Asasi)

Ini adalah tahap paling tinggi dan kritikal. Jika tahap ini tidak dipenuhi, kehidupan manusia akan hancur, berlaku kerosakan besar, atau kematian. Syariat Islam datang untuk menjaga 5 Perkara Asas dalam tahap ini:

  1. Menjaga Agama: Contohnya kewajipan solat dan berjihad mempertahankan akidah.
  2. Menjaga Nyawa: Kewajipan makan, minum, dan larangan membunuh.
  3. Menjaga Akal: Larangan minum arak atau bahan yang merosakkan kewarasan.
  4. Menjaga Keturunan: Pensyariatan nikah dan larangan zina.
  5. Menjaga Harta: Larangan mencuri dan kewajipan mencari rezeki.

Kesan: Jika hilang salah satu, dunia akan huru-hara dan akhirat akan rugi.

2. Al-Hajiyyat (Tahap Keperluan / Hajat)

Ini adalah tahap di bawah darurat. Manusia tidak akan mati jika ia tidak dipenuhi, tetapi hidup akan menjadi sangat sukar, sempit, dan terbeban (Masyaqqah).

Islam memberikan Rukhshah (keringanan) pada tahap ini untuk menghilangkan kesempitan tersebut:

Contoh Musafir: Dibolehkan jamak dan qasar solat (Sebab kalau kena solat penuh dalam perjalanan jauh yang meletihkan, ia sangat menyusahkan).

Contoh Perniagaan: Dibenarkan kontrak seperti Salam (tempahan) atau Ijarah (sewa) untuk memudahkan urusan ekonomi harian.

3. At-Tahsiniyyat (Tahap Pelengkap / Hiasan)

Ini adalah tahap yang berkaitan dengan keselesaan, adab, kecantikan, dan kemuliaan akhlak. Ia tidak melibatkan nyawa atau kesempitan yang melampau, tetapi lebih kepada menyempurnakan kualiti hidup.

Contoh Ibadah: Menutup aurat dengan pakaian yang bersih dan cantik, memakai wangian ke masjid.

Contoh Adab: Etika makan dan minum, atau sifat pemurah dalam perniagaan.

Contoh Moden: Memiliki kereta yang lebih selesa untuk kelancaran kerja (Selagi tidak membawa kepada pembaziran atau riyak).

Jadi kalau ada darurat di dalam 5 perkara maqasid itu, dibenarkan untuk melakukan perkara yang haram. Sesuatu keadaan dikira darurat apabila ia mengancam salah satu daripada lima perkara ini:

  • Agama (Al-Din): Contohnya dipaksa murtad dengan ancaman senjata.
  • Nyawa (Al-Nafs): Ancaman kematian atau kehilangan anggota badan (seperti kecacatan kekal).
  • Akal (Al-Aql): Ancaman yang boleh merosakkan kewarasan manusia secara total.
  • Keturunan/Maruah (Al-Nasl): Ancaman terhadap kehormatan diri atau nasab keluarga.
  • Harta (Al-Mal): Kehilangan seluruh harta benda yang menyebabkan seseorang tidak dapat meneruskan kelangsungan hidup (kebuluran/gelandangan).

Jadi kita tahu kalau ancaman nyawa, tapi apakah contoh-contoh kalau ada darurat dari selain yang melibatkan nyawa?

    • Darurat Harta: Seseorang yang rumahnya terbakar dan dia tiada punca pendapatan langsung sehingga anak isteri tidak makan. Dia dibenarkan mengambil bantuan daripada sumber yang biasanya diragui (syubhah) demi kelangsungan hidup.
    • Darurat Maruah: Seorang wanita yang diancam kehormatannya. Dia dibenarkan melakukan tindakan mempertahankan diri walaupun terpaksa mencederakan atau membunuh penceroboh tersebut.
    • Darurat Agama: Menghilangkan kemudaratan fitnah yang boleh menghancurkan keutuhan umat Islam.

Akan tetapi hal darurat ini tidaklah boleh diambil mudah. Kena perhatikan apakah keadaan yang termasuk dalam darurat itu dan adakan ia memenuhi syarat-syaratnya.

  • Darurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa ataupun harta benda. Kalau setakat diancam tidak dinaikkan gaji, itu bukanlah darurat lagi. Kalau pun kekhuatiran itu didasarkan andaian, andaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.
  • Orang yang berada dalam keadaan darurat itu tidak ada jalan yang lain dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudaratan itu. Contohnya seseorang yang amat perlu untuk meminjam wang, maka ia mesti memilih pinjaman tanpa riba kerana zaman ini sudah ada alternatif untuk melakukan pinjaman dengan tidak menggunakan sistem riba.
  • Orang yang dalam keadaan darurat (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara yang terang-terang melanggar prinsip asasi syariat Islamiah dan usul akidah Islamiah seperti tidak halnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan). Ini bererti jika dalam melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudarat yang lebih ringan dan tidak terang-terang melanggar perkara-perkara asasi dalam Islam.
  • Ketika melepaskan keadaan daruratnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan berdasarkan kaedah keadaan darurat diukur dengan tingkatannya.
  • Kalau bab makanan, mesti tidak ada makanan lain sebagai alternatif. Katakanlah ada makanan lain, tapi tak kenyang. Contohnya masuk dalam hutan, ada jugalah sayur-sayuran yang boleh dimakan. Tentu tak kenyang; tapi ada ular, atau babi, atau anjing yang kalau makan, boleh kenyang. Dia tak boleh makan benda haram lagi kerana ada benda halal yang boleh meneruskan hidup dia. Bukan nak kejar kenyang.
  • Darurat tidak boleh dibuat-buat. Macam kita selalu dengar kisah tentera semasa dalam latihan pun sudah makan benda haram. Itu tak boleh sebab itu latihan, bukannya darurat betul. Atau, mereka berlatih solat ketika berlari. Ini pun tidak boleh lagi, kecuali kalau keadaan itu sudah benar-benar berlaku.
  • Dalam isu terpaksa memakan ubat dari produk haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil.
  • Dalam pemerintahan negara, pemimpin perlu memastikan kepentingan awam dan negara didahulukan walaupun kadang-kadang terpaksa mengambil jalan yang terlarang apabila jalan yang halal tiada atau kurang berkesan dalam menjaga kepentingan negaranya seperti pandangan beberapa orang ulama yang berpandangan harus membayar hutang negara kepada badan-badan dunia atau negara-negara kuasa besar bersama dengan pinjaman walaupun pada asasnya riba itu haram kerana menjaga kepentingan negara daripada terjual atau tergadai kepada kuasa asing.

 

Kemaskini: 8 April 2026

Sambung ke hadis yang seterusnya


 

Rujukan:

Ustaz Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)

Ustaz Dr. Salman Ali

Dr. MAZA (Mufti Perlis)

Rumaysho