Tafsir Surah al-Maidah Ayat 27 – 33 (Kisah Habil dan Qabil)

Maidah Ayat 27: Memberhentikan amar makruf nahi mungkar akan menyebabkan manusia menjadi keras kepala. Oleh sebab itu hendaklah sentiasa ada ingat mengingati sesama manusia. Ini contoh kedua sebagai pengajaran buat kita. Kita akan belajar kisah Habil & Qabil. Kisah ini bukanlah sekadar cerita semata-mata, tetapi ada pengajaran daripadanya yang boleh kita ambil.

وَاتلُ عَلَيهِم نَبَأَ ابنَي ءآدَمَ بِالحَقِّ إِذ قَرَّبا قُربانًا فَتُقُبِّلَ مِن أَحَدِهِما وَلَم يُتَقَبَّل مِنَ الآخَرِ قالَ لَأَقتُلَنَّكَ ۖ قالَ إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And recite to them the story of Adam’s two sons, in truth, when they both offered a sacrifice [to Allāh], and it was accepted from one of them but was not accepted from the other. Said [the latter], “I will surely kill you.” Said [the former], “Indeed, Allāh only accepts from the righteous [who fear Him].

(MALAY)

Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa”.

 

وَاتلُ عَلَيهِم نَبَأَ ابنَي ءآدَمَ بِالحَقِّ

Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, 

Ini tentang kisah dua anak Nabi Adam عليه السلام. Allah ‎ﷻ suruh sampaikan kisah mereka dengan benar, tanpa ada tokok tambah perkara yang tidak benar. Ia juga bermaksud, cerita dengan bertujuan – iaitu untuk diambil pengajaran, bukan sebagai cerita penglipurlara sahaja.

Kisah mengenai mereka berdua, menurut apa yang telah disebutkan oleh bukan hanya seorang dalam kalangan ulama’ Salaf dan Khalaf, bahawa Allah  ‎ﷻ mensyariatkan kepada Adam عليه السلام untuk me­ngahwinkan anak-anak lelakinya dengan anak-anak perempuannya kerana keadaan darurat. Kerana waktu itu, tidak ada keluarga lain lagi selain daripada mereka.

Setiap kali Hawa mengandung, dilahirkan dua orang anak laki-laki dan perempuan (kembar), dan baginda (Adam) mengahwinkan anak perempuannya dengan anak laki-laki yang lahir bukan dari satu perut dengannya (nikah adik beradik kerana tidak ada keluarga lain lagi).

Akan tetapi saudara seperut Habil tidak cantik, sedangkan saudara seperut Qabil cantik berseri. Maka Qabil bermaksud merebutnya daripada tangan saudaranya. Namun Nabi Adam عليه السلام menolak hal itu kecuali jika keduanya melakukan suatu korban; barang siapa yang korbannya diterima, maka saudara perempuan seperut Qabil akan dikahwinkan dengannya. Ter­nyata korban Habillah yang diterima, sedangkan korban Qabil tidak diterima, sehingga terjadilah kisah kedua-duanya yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ di dalam Kitab-Nya.

 

إِذ قَرَّبا قُربانًا

ketika keduanya mempersembahkan korban,

Allah ‎ﷻ memerintahkan mereka mempersembahkan korban. Korban daripada lafaz قرب yang bermaksud untuk mendekatkan diri, iaitu kepada Allah ‎ﷻ. Itulah tujuan korban. Ini adalah cara Allah ‎ﷻ uji mereka.

 

فَتُقُبِّلَ مِن أَحَدِهِما وَلَم يُتَقَبَّل مِنَ الآخَرِ

maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil).

Habil bekerja sebagai penggembala binatang dan dia berikan binatang yang paling baik daripada binatang-binatang ternakannya. Oleh kerana dia memberikan korban itu dari hati yang ikhlas, maka Allah ‎ﷻ menerimanya. Qabil pula seorang petani tetapi dia memberikan yang tanaman layu sahaja sebagai korban.

Cara untuk tahu manakah korban yang diterima adalah diambil dengan api. Ini adalah cara pada waktu itu sebagai tanda Allah ‎ﷻ menerima kurban seseorang. Daripada cara itu maka tahulah yang korban daripada Habil sahaja yang diterima manakala korban daripada Qabil tidak diterima.

 

قالَ لَأَقتُلَنَّكَ

Dia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”. 

Qabil sangat marah kerana pemberiannya tidak diterima dan pertama kali terjadinya dengki dalam sejarah kehidupan manusia. Ini juga mengajar kita bahayanya kalau kita mengikut perasaan sampai dengki. Jangan biarkan perasaan kita mengelabui fikiran kita sampaikan kita ikut perasaan kita, kelak pasti akan menyesal.

Marahnya itu sampai dia hendak membunuh Habil. Ini mengajar kita bahawa kadangkala adik beradik memang ada masalah sesama sendiri. Sampai sekarang masih ada lagi. Kadang-kadang kita dengan orang lain boleh berbaik, tetapi dengan adik beradik sendiri bermasalah pula.

 

قالَ إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ

Berkata Habil: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertaqwa”.

Habil menjawab: Allah‎ ﷻ menerima daripada golongan yang bertaqwa iaitu yang menjaga hukum Allah ‎ﷻ. Bukan salah dia yang Allah ‎ﷻ tidak menerima pemberian korban daripada Qabil itu. Lihatlah bagaimana jawapan Habil ini amat lembut sekali; tidaklah beliau hendak balas bunuh Qabil tetapi dijawab dengan diberi pengajaran dan nasihat kepadanya.

Ayat ini amat menakutkan kerana Allah ‎ﷻ kata Dia hanya terima amalan daripada orang yang bertaqwa sahaja. Kerana itulah ulama’ salaf amat takut kalau-kalau amalan mereka tidak diterima.

Daripada Fudholah bin ‘Ubaid, beliau mengatakan,

“Seandainya aku mengetahui bahawa Allah menerima daripadaku satu amalan kebaikan sebesar biji saja, maka itu lebih kusukai daripada dunia dan seisinya, kerana Allah ‎ﷻ berfirman,

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) daripafa orang-orang yang bertaqwa.” (QS. Al Ma-idah: 27)”

 

Ibnu Diinar mengatakan,

“Tidak diterimanya amalan lebih kukhuatirkan daripada banyak beramal.”

Ini mengajar kita jangan berbangga sangat dengan amalan kita yang banyak kerana belum tentu lagi amalan kita itu Allah ‎ﷻ terima.


 

Maidah Ayat 28:

لَئِن بَسَطتَ إِلَيَّ يَدَكَ لِتَقتُلَني ما أَناْ بِباسِطٍ يَدِيَ إِلَيكَ لِأَقتُلَكَ ۖ إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you should raise your hand against me to kill me – I shall not raise my hand against you to kill you. Indeed, I fear Allāh, Lord of the worlds.

(MALAY)

“Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam”.

 

لَئِن بَسَطتَ إِلَيَّ يَدَكَ لِتَقتُلَني ما أَناْ بِباسِطٍ يَدِيَ إِلَيكَ لِأَقتُلَكَ

“Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. 

Habil berkata kepada Qabil, jika Qabil ingin membunuhnya, dia tidak akan membalas balik untuk mempertahankan dirinya. Habil tidak mahu menjadi seperti saudaranya. Keburukan yang dilakukan oleh orang lain ke atas kita, tidak semestinya dibalas dengan keburukan yang sama.

 

إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ

Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam”.

Habil tidak berani untuk mengangkat tangannya kerana dia takut kepada Allah ‎ﷻ.

Di dalam kitab Sahihain daripada Nabi ﷺ disebutkan bahawa Nabi ﷺ telah bersabda:

إِذَا تَوَاجَهَ الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا الْقَاتِلُ فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: “إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ”.

Apabila dua orang Muslim saling berhadapan dengan pedangnya masing-masing, maka si pembunuh dan si terbunuh dimasukkan ke dalam neraka (dua-duanya). Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, kalau si pembunuh kami maklumi. Tetapi mengapa si terbunuh dimasukkan pula ke dalamnya?” Maka Nabi ﷺ menjawab: Sesungguhnya dia pun berkemahuan keras untuk membunuh temannya itu.


 

Maidah Ayat 29:

إِنّي أُريدُ أَن تَبوأ بِإِثمي وَإِثمِكَ فَتَكونَ مِن أَصحٰبِ النّارِ ۚ وَذٰلِكَ جَزٰؤا الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, I want you to obtain [thereby] my sin and your sin so you will be among the companions of the Fire. And that is the recompense of wrongdoers.”

(MALAY)

“Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosaku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim”.

 

إِنّي أُريدُ أَن تَبوأ بِإِثمي وَإِثمِكَ فَتَكونَ مِن أَصحٰبِ النّارِ

“Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosaku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka,

Habil tahu bahawa kalau dia dibunuh tanpa sebab, orang yang membunuh itu akan menanggung segala dosanya, dan dia akan kembali ke akhirat dalam keadaan bersih. Sudahlah orang yang membunuh itu kena tanggung dosanya sendiri, dia kena tanggung pula dosa orang yang dibunuhnya itu.

Ada perbincangan tentang perkara ini: sama ada benarkah pembunuh akan menanggung seluruh dosa orang yang dibunuh? Satu pendapat mengatakan yang dosa yang ditanggung oleh pembunuh itu hanyalah dosa perbuatan membunuh itu sahaja, tidaklah dia kena tanggung segala dosa maksiat orang yang dibunuh itu; begitu pun, ada hujah yang mengatakan, nanti di akhirat, Allah ‎ﷻ akan mengadili antara orang yang zalim dan dizalimi.

Yang dizalimi akan ditemukan dengan yang menzaliminya dahulu semasa di dunia. Orang yang dizalimi akan diberikan dengan pahala daripada yang menzalimi, sebagai balasan di atas perbuatan zalimnya dahulu. Dan kalau sudah habis pahala daripadanya, maka yang menzalimi terpaksa menerima dosa orang yang dizalimi itu. Allahu a’lam.

Dan kerana dosa membunuh itu, dia akan masuk ke dalam neraka.

 

وَذٰلِكَ جَزٰؤا الظّٰلِمينَ

dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim”.

Dosa Qabil adalah memandang kecil pemberian kepada Allah ‎ﷻ, sampaikan dia beri korban yang tidak elok.

Kata-kata Habil ini adalah sebagai nasihat kepada Qabil yang hendak membunuhnya. Habil takutkan saudaranya itu dengan balasan buruk yang akan diterimanya kalau dia meneruskan niat buruknya itu.


 

Maidah Ayat 30: 

فَطَوَّعَت لَهُ نَفسُهُ قَتلَ أَخيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصبَحَ مِنَ الخٰسِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his soul permitted to him¹ the murder of his brother, so he killed him and became among the losers.

  • i.e., the killer allowed himself.

(MALAY)

Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah dia seorang diantara orang-orang yang merugi.

 

فَطَوَّعَت لَهُ نَفسُهُ قَتلَ أَخيهِ

Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, 

Walaupun nasihat telah diberi namun hawa nafsunya Qabil mendorong dirinya membunuh saudaranya sendiri. Dia mengikut kehendak dan pujukan nafsunya, sampai sanggup dia hendak membunuh saudaranya itu. Begitulah, apabila nafsu tidak dididik dengan wahyu maka ia sangat merbahaya sehingga boleh ke tahap membunuh.

 

فَقَتَلَهُ فَأَصبَحَ مِنَ الخٰسِرينَ

maka dibunuhnya saudaranya itu, maka jadilah dia seorang di antara orang-orang yang merugi.

Maka, dia telah termakan dengan nafsunya, sehingga dia telah benar-benar membunuh saudaranya itu dan kerana itu, dia rugi dunia dan akhirat. Dia juga mendapat bahagian daripadasemua dosa pembunuhan.

Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Salamah, daripada Ibnu Ishaq, daripada Hakim ibnu Hakim, bahawa dia pernah menceritakan sebuah riwayat daripada Abdullah ibnu Amr yang telah berkata, “Sesungguhnya manusia yang paling celaka ialah anak Adam yang membunuh saudaranya (yakni Qabil), tiada setitis darah pun yang dialirkan di bumi ini sejak dia membunuh saudaranya sampai hari kiamat, melainkan dia mendapat bahagian daripada seksaannya. Demikian itu kerana dialah orang yang mula-mula melakukan pembunuhan.”

Tidak pasti bagaimanakah cara Qabil membunuh Habil kerana ada beberapa riwayat. Ada yang mengatakan dengan menghempap batu, ada pula yang mengatakan dengan menikam dengan benda tajam, ada juga yang mengatakan dengan mencekik sehingga mati. Caranya tidak penting. Yang penting kita tahu yang Qabil telah membunuh Habil. Inilah kejadian pembunuhan manusia pertama di dalam sejarah kehidupan manusia.


 

Maidah Ayat 31: 

فَبَعَثَ اللهُ غُرابًا يَبحَثُ فِي الأَرضِ لِيُرِيَهُ كَيفَ يُوٰري سَوءَةَ أَخيهِ ۚ قالَ يٰوَيلَتا أَعَجَزتُ أَن أَكونَ مِثلَ هٰذَا الغُرابِ فَأُوٰرِيَ سَوءَةَ أَخي ۖ فَأَصبَحَ مِنَ النّٰدِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then Allāh sent a crow searching [i.e., scratching] in the ground to show him how to hide the disgrace¹ of his brother. He said, “O woe to me! Have I failed to be like this crow and hide the disgrace [i.e., body] of my brother?” And he became of the regretful.

  • Referring to the dead body, evidence of his shameful deed.

(MALAY)

Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil: “Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?” Kerana itu jadilah dia seorang diantara orang-orang yang menyesal.

 

فَبَعَثَ اللهُ غُرابًا يَبحَثُ فِي الأَرضِ

Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi 

Selepas Qabil membunuh Habil, Qabil tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan mayat saudaranya itu. Allah ‎ﷻ menghantar seekor burung gagak untuk mengajar Qabil apakah harus dibuat dengan mayat saudaranya itu.

 

لِيُرِيَهُ كَيفَ يُوٰري سَوءَةَ أَخيهِ

untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana seharusnya menguburkan mayat saudaranya. 

Qabil tidak tahu apa hendak dibuat dengan mayat Habil kerana inilah kematian yang pertama di dunia. Tidak pernah ada contoh lagi cara mengebumikan mayat manusia. Sekarang Allah ‎ﷻ memperlihatkan bagaimana dua ekor burung gagak berkelahi dan seekor gagak membunuh gagak yang satu lagi.

Burung gagak itu kemudiannya telah menggali lubang dan memasukkan gagak yang dibunuh itu dan mengambus lubang itu. Yang menariknya, sampai ke hari ini gagak selalu dijadikan sebagai simbol kematian dalam beberapa tamadun di dunia ini.

 

قالَ يٰوَيلَتا أَعَجَزتُ أَن أَكونَ مِثلَ هٰذَا الغُرابِ فَأُوٰرِيَ سَوءَةَ أَخي

Berkata Qabil: “Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?”

Setelah melihat apa yang dilakukan oleh burung gagak itu, maka Qabil telah mendapat ilham dan telah meniru apa yang dilakukan oleh gagak itu dan mengebumikan mayat saudaranya Habil. Maka sampai sekaranglah kita amalkan perbuatan ini.

 

فَأَصبَحَ مِنَ النّٰدِمينَ

Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal.

Jadilah dia menyesal sungguh-sungguh di atas tindak tanduknya semasa di dunia. Memang begitulah manusia, kalau mereka telah membunuh, mereka akan rasa bersalah. Ini turut berlaku kepada tentera. Walaupun kerja mereka membunuh, tetapi apabila mereka telah membunuh orang, akan timbul rasa tidak kena dalam diri mereka. Ada gangguan emosi dan trauma walaupun telah sekian lama meninggalkan dunia ketenteraan.

Walaupun Qabil telah menyesal atas perbuatan membunuhnya itu, namun tidak diterima penyesalannya.


 

Maidah Ayat 32: Sekarang bertukar cerita kepada Bani Israel pula. Ini adalah teguran kepada mereka kerana mereka telah diberikan kelebihan mendapat wahyu dan sepatutnya mereka menjadi contoh kepada manusia yang lain. Namun, sebaliknya yang mereka lakukan. Di dalam ayat ini juga kita diajar tentang nilai nyawa manusia.

مِن أَجلِ ذٰلِكَ كَتَبنا عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفسًا بِغَيرِ نَفسٍ أَو فَسادٍ فِي الأَرضِ فَكَأَنَّما قَتَلَ النّاسَ جَميعًا وَمَن أَحياها فَكَأَنَّما أَحيَا النّاسَ جَميعًا ۚ وَلَقَد جاءَتهُم رُسُلُنا بِالبَيِّنٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثيرًا مِّنهُم بَعدَ ذٰلِكَ فِي الأَرضِ لَمُسرِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Because of that, We decreed upon the Children of Israel that whoever kills a soul unless for a soul¹ or for corruption [done] in the land² – it is as if he had slain mankind entirely. And whoever saves one³ – it is as if he had saved mankind entirely. And Our messengers had certainly come to them with clear proofs. Then indeed many of them, [even] after that, throughout the land, were transgressors.

  • i.e., in legal retribution for murder.
  • i.e., that requiring the death penalty.
  • Or refrains from killing.

(MALAY)

Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak diantara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi.

 

مِن أَجلِ ذٰلِكَ كَتَبنا عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ

Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, 

Kerana pembunuhan inilah Allah ‎ﷻ mengadakan undang-undang qisas (balas bunuh) ke atas Bani Israel. Ia juga masih digunapakai untuk kita sehingga ke hari ini.

 

أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفسًا بِغَيرِ نَفسٍ

barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain,

Ada jumlah muqaddar (penambahan) di sini. Perlu ditambah di sini: [Membunuh seseorang yang tidak bersalah melakukan pembunuhan.] Di sini perlu ada perbezaan kerana mesti ada kebenaran dalam keadaan tertentu untuk membunuh seseorang.

Sebagai contoh, kalau seseorang itu dibunuh kerana hukuman atas kesalahannya membunuh orang lain (inilah hukum qisas), maka itu dibenarkan. Begitu juga dibenarkan membunuh dalam peperangan.

 

أَو فَسادٍ فِي الأَرضِ

atau [bukan] kerana membuat kerosakan di muka bumi,

Atau kerana membuat kerosakan di atas muka bumi iaitu kesalahan yang boleh dihukum bunuh seseorang itu. Kalau ada orang yang membuat kerosakan seperti merompak, lari daripada perang dan lain-lain kesalahan berat yang boleh dihukum bunuh, maka boleh dibunuh mereka itu. Perkara ini mestilah dirujuk dengan Hukum Hudud tentang perkara-perkara yang termasuk dalam hukum bunuh itu.

 

فَكَأَنَّما قَتَلَ النّاسَ جَميعًا

maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.

Kalau membunuh bukan kerana sebab-sebab yang dibenarkan, ia adalah seumpama dia telah membunuh seluruh manusia. Ini adalah kerana pembunuhannya itu akan berpanjangan kerana akan ada bunuh balas. Keluarga mangsa yang dibunuh akan membalas dendam dengan membunuh si pembunuh. Kemudian keluarga si pembunuh itu pula akan membalas dendam dan ia akan berbalasan lagi dan akan berterusan lagi dan lagi.

Dan kerana pada Allah ‎ﷻ, satu nyawa sama sahaja dengan nyawa yang lain. Sama sahaja nilai nyawa pada Allah ‎ﷻ. Kalau sewenang-wenangnya membunuh satu nyawa, maka orang yang membunuh itu tidak akan tahu menghargai nyawa yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Dia telah menghina Allah ‎ﷻ!

Maka ini mengajar kita untuk menghormati nyawa. Jangan senang-senang sahaja hendak mengambil nyawa orang lain. Mungkin di negara kita, tidak selalu berlaku kerana jarang kita berbunuh-bunuhan. Akan tetapi ada negara yang setiap hari ada sahaja kejadian bunuh di laluan-laluan gelap, kerana hanya disebabkan pertengkaran yang kecil, kerana hendak merompak, kerana tidak puas hati dengan seseorang, dan sebagainya. Mereka senang sahaja hendak membunuh orang lain kerana ia telah menjadi kebiasaan.

Sekali sekala apabila kita dengar kisah pembunuhan kejam di negara kita, kita terkejut. Semoga ia tidak menjadi kebiasaan. Kita takut orang kita sudah terbiasa dengar kisah pembunuhan di negara lain sampaikan mereka anggap nyawa manusia ringan sahaja. Ini kerana jauh daripada kefahaman agama dan norma kemanusiaan.

 

وَمَن أَحياها

Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, 

Sebaliknya, kalau menyelamatkan nyawa seseorang, ia adalah perkara yang amat besar kerana menghormati nyawa yang telah Allah ‎ﷻ berikan. Contohnya orang yang menyelamatkan orang lain daripada mati lemas, jatuh dari bangunan, kebakaran, kemalangan dan sebagainya. Ini adalah perkara-perkara harian  yang kita boleh baca di media massa. Ada sahaja hero-hero harian yang menjadi insan mulia kerana membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

Atau seseorang itu membiarkan seseorang itu hidup dengan tidak membunuhnya walaupun ada kesilapan yang membenarkan dibunuh orang itu. Sebagai contoh, dia berhak mengambil nyawa seseorang di mana hukum Qisas dijalankan, tetapi dia mengambil keputusan untuk tidak mengambilnya. Kadang-kadang kita baca ada keluarga yang memaafkan pembunuh yang telah membunuh ahli keluarganya. Ini pun dikira telah menyelamatkan nyawa.

Atau dia menghalang orang lain daripada membunuh orang lain. Ini juga adalah perbuatan berani yang jarang ada pada manusia lain. Namun begitu ada orang yang mempunyai kekuatan jiwa sampai berani berdiri di hadapan raja yang zalim.

 

فَكَأَنَّما أَحيَا النّاسَ جَميعًا

maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.

Allah ‎ﷻ memuji orang yang menyelamatkan nyawa orang lain. Allah ‎ﷻ memuji di dalam Al-Qur’an, maka ia ada pujian yang tinggi. Allah ‎ﷻ berkata dia itu seumpama dia telah menyelamatkan kehidupan semua manusia. Padahal, satu nyawa sahaja dia selamatkan tetapi oleh kerana dia menghargai satu nyawa itu, maka seolah-olah dia telah menghargai seluruh nyawa dalam alam ini.

 

وَلَقَد جاءَتهُم رُسُلُنا بِالبَيِّنٰتِ

Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas,

Malangnya, Bani Israel itu amat teruk sekali. Mereka telah didatangkan dengan banyak Rasul-rasul yang membawa keterangan wahyu yang nyata kepada mereka. Rasul-rasul itu telah menyampaikan ajaran yang benar. Dan mereka tidak datang dengan tangan kosong, tetapi mereka datang dengan membawa bukti yang jelas nyata.

Zaman sekarang kita tidak ada Nabi dan Rasul, tetapi ada golongan pendakwah dan guru yang mengajar dengan membawa dalil yang sahih juga.

 

ثُمَّ إِنَّ كَثيرًا مِّنهُم بَعدَ ذٰلِكَ فِي الأَرضِ لَمُسرِفونَ

kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi.

Walaupun telah ada Rasul yang mengajar mereka tentang hukum dan berbuat baik di atas muka bumi, tetap juga mereka langgar. Ada undang-undang pun mereka masih melampaui batas. Lihatlah apa yang terjadi di Palestin zaman berzaman. Mereka itu keturunan orang yang memang tidak menghargai nyawa orang lain. Ini kerana mereka sangka mereka itu insan terpilih dan bangsa lain tidak sama taraf dengan mereka, maka mereka sesuka hati boleh membunuh begitu sahaja. Perikemanusiaan mereka telah lama hilang daripada jiwa kebanyakan mereka.

Bukan mereka sahaja sesat tetapi mereka mahu menyesatkan orang lain pula. Sehingga ada yang sanggup membunuh Nabi mereka. Ini memang satu perbuatan yang tidak masuk akal kita, tetapi senang sahaja dilakukan oleh mereka. Otak mereka kita memang tidak dapat hendak membayangkannya.

Dan mereka meneruskan perkara melampau ini sehinggaa sekarang. Ini pun banyak kerana kita dapat banyak berita tentang kejadian di Israel. Kalau hanya seorang daripada mereka dibunuh, mereka akan bunuh satu kampung. Itulah yang dimaksudkan melampau.


 

Maidah Ayat 33: Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang kepentingan nyawa dengan dibawakan kisah Habil dan Qabil. Kemudian telah diberitahu tentang dosa besar kalau membunuh orang lain. Sekarang disebut hukum yang berkenaan pula.

Disebabkan ada manusia jahil, jika hanya disebut secara teori mereka tidak akan faham, maka kena ada undang-undang untuk mengawal dan menakutkan mereka. Ada orang apabila disebut kepentingan nyawa, mereka tidak akan mengambil nyawa orang. Namun, malangnya ada orang yang hanya apabila ada hukuman membunuh, barulah mereka takut untuk membunuh orang lain. Tetapi Allah ‎ﷻ memulakan dengan menyebut takut dengan hukum Allah ‎ﷻ kerana inilah yang lebih penting. Hukuman manusia, ada yang boleh lari lagi dan boleh selamatkan diri dengan pelbagai cara tetapi kalau dengan Allah ‎ﷻ, hendak lari ke mana lagi?

Dalam syariat, membunuh itu ada masanya boleh, tetapi kenalah dalam lingkungan hukum, bukannya melampau batas yang telah ditetapkan. Lihatlah bagaimana kalau dalam perang pun, walaupun boleh membunuh tetapi tidak boleh berlebihan. Contohnya tidak boleh dikerat-kerat mayat itu.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menceritakan di mana boleh mengambil nyawa orang lain, iaitu apabila mereka melakukan kesalahan. Waktu ini Islam sudah berkuasa dan sudah mempunyai kerajaan sendiri. Jadi ada banyak ayat-ayat hukum di dalamnya. Sekarang undang-undang sedang dibacakan kepada semua orang – sama ada Islam atau tidak, mereka kena tahu.

Juga disebut hukum tentang mereka yang masih lagi menentang Islam. Maka sebenarnya ini adalah ayat tentang mengawal pergerakan terroris sebelum mereka berkembang dan menjadi lebih teruk.

إِنَّما جَزٰؤا الَّذينَ يُحارِبونَ اللهَ وَرَسولَهُ وَيَسعَونَ فِي الأَرضِ فَسادًا أَن يُقَتَّلوا أَو يُصَلَّبوا أَو تُقَطَّعَ أَيديهِم وَأَرجُلُهُم مِّن خِلٰفٍ أَو يُنفَوا مِنَ الأَرضِ ۚ ذٰلِكَ لَهُم خِزيٌ فِي الدُّنيا ۖ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the penalty¹ for those who wage war² against Allāh and His Messenger and strive upon earth [to cause] corruption is none but that they be killed or crucified or that their hands and feet be cut off from opposite sides or that they be exiled from the land. That is for them a disgrace in this world; and for them in the Hereafter is a great punishment,

  • Legal retribution.
  • i.e., commit acts of violence and terrorism against individuals or treason and aggression against the Islāmic state.

(MALAY)

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar,

 

إِنَّما جَزٰؤا الَّذينَ يُحارِبونَ اللهَ وَرَسولَهُ

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya

Bermaksud mengambil harta di hadapan tuannya dengan kekerasan – iaitu dengan cara samun. Ini kerana jika curi biasa, harta itu tidak diambil di hadapan tuannya tetapi cara senyap – itulah mencuri namanya, bukan samun. Akan tetapi, kenapa mereka disebut memerangi Allah ‎ﷻ dan Rasul, sedangkan yang mereka mengambil harta itu adalah daripada orang sahaja (manusia)?

Kalimah يُحارِبونَ (daripada kata dasar ح ر ب) digunakan dalam ayat ini dan bukan kalimah قتل (bunuh). Lafaz حرب ialah apabila peperangan atau serangan kerana hendak mendapatkan kekayaan. Ini telah berlaku apabila orang Mekah marah kerana mereka telah diambil punca pendapatan mereka (kerana ditegur datang melawat berhala di Kaabah). Apabila punca pendapatan mereka diganggu sehinggakan mereka sanggup hendak membunuh Nabi Muhammad ﷺ. Maka mereka dikira menentang Allah ‎ﷻ dan Rasul.

Dalam kes ayat ini, ia bukan rompakan dan curi yang biasa-biasa. Ini adalah apabila ia sehingga merosakkan keamanan negara dan penduduk setempat kerana kumpulan yang merompak itu ramai sehingga menyebabkan orang awam dalam ketakutan. Mungkin mereka menggunakan senjata. Maknanya mereka menentang kerajaan yang mengamalkan undang-undang yang sah. Dan kalau undang-undang itu undang-undang yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan, maka mereka sebenarnya telah menentang Allah ‎ﷻ.

 

وَيَسعَونَ فِي الأَرضِ فَسادًا

dan membuat kerosakan di muka bumi,

Maksudnya membuat huru hara di muka bumi dengan mengambil harta orang dan membunuh orang yang diambil harta itu. Hukumannya dibunuh dan kemudian disalib.

Ayat ini asalnya hukuman kepada Yahudi yang menyamun kerana ayat-ayat sebelum ini mengenai orang Yahudi. Ini adalah salah satu keburukan mereka yang selalu menyamun harta orang Islam.

Dua jenis pencurian disebut dalam Al-Qur’an: ada yang kecil dan besar. Yang besar dipanggil samun. Yang kecil adalah pencurian biasa dan disebut dalam ayat 78 surah ini nanti.

 

أَن يُقَتَّلوا أَو يُصَلَّبوا أَو تُقَطَّعَ أَيديهِم وَأَرجُلُهُم مِّن خِلٰفٍ أَو يُنفَوا مِنَ الأَرضِ

mereka itu hendaklah dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri 

Kita boleh lihat yang hukum yang dikenakan agak teruk. Ini adalah untuk menakutkan manusia daripada membuat kerosakan dan porak peranda di muka bumi. Hukum samun hendaklah berdasarkan:

Kalau mengambil barang dan membunuh orang yang disamun itu, maka hukumannya, adalah dia mestilah dibunuh dan disalib. Jadi itu adalah cara pembunuhan yang amat berat. Mereka diazab sebelum dibunuh, kerana Tuhan marah sangat dan kerana itu mereka dikenakan dengan hukuman yang paling teruk sekali. Selalunya tidak jadi begini, tetapi kerana ia dikenakan kepada mereka yang membuat perkara jahat. Oleh itu, ia bukannya untuk orang kafir biasa sahaja.

Kalau mengambil barang sahaja, tidak dibunuh orang itu, maka pelakunya mestilah dikerat kaki dan tangan berlawanan. Kerat kaki kanan dan tangan kiri, atau kerat kaki kiri dan tangan kanan.

Kalau menakutkan sahaja orang yang lalu lalang di jalanan, maka akan dikenakan buang daerah. Ada yang tambah, mereka itu diasingkan ke daerah lain dan dipenjara di situ. Ini kerana kalau dibuang daerah sahaja, nanti mereka ganggu tempat lain pula, bukan? Maka hendaklah dipenjara. Saidina Umar رضي الله عنه berpendapat, kalau penjara di situ pun boleh juga, dan ini termasuk ‘buang daerah’ kerana mereka sudah tidak boleh mengganggu orang lain lagi.

Kalau dia membunuh sahaja tanpa mengambil harta, maka dia dibunuh balas sahaja tanpa disalib.

 

ذٰلِكَ لَهُم خِزيٌ فِي الدُّنيا

Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia,

Hukuman yang dikenakan kepada mereka adalah satu kehinaan besar di dunia. Ia juga supaya manusia lain takut hendak melakukan kesalahan-kesalahan itu. Islam adalah agama yang praktikal. Ia mengajar bagaimana untuk hidup di dunia ini dengan aman. Islam bukan sahaja mengajar tentang ibadat tetapi mengajar cara memerintah dan mengawal manusia. Kalau tidak ada undang-undang, maka manusia akan hidup porak peranda.

Jadi dalam ayat ini Allah ‎ﷻ beritahu tentang azab semasa di dunia kalau membuat kesalahan yang mengganggu orang lain. Tetapi mereka bukanlah dikenakan hukum di dunia sahaja.

 

وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar,

Di akhirat nanti mereka akan mendapat azab yang lebih besar. Ini kerana kalau di dunia, hukuman itu sekejap sahaja, sekali sahaja, akan tetapi di akhirat ia akan berpanjangan. Berterusan mereka akan dikenakan azab itu.

Kalau orang Islam pun buat benda yang sama pun mereka akan dikenakan dengan balasan yang sama walaupun asal ayat ini adalah untuk orang Yahudi. Maka jangan kata ini hukum untuk orang Yahudi sahaja. Mereka tidak baca Al-Qur’an dan menggunakan hukum Al-Qur’an.

Ini mengajar kita yang kalau telah dikenakan dengan hukum hudud di dunia, tidaklah bermaksud dia sudah selamat daripada hukum akhirat. Dia tetap kena juga. Namun begitu, jikalau mereka bertaubat sebelum mereka mati, dan Allah ‎ﷻ menerima taubat mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah ‎ﷻ. Jika Allah ‎ﷻ menerima taubat itu, maka mereka akan selamat di akhirat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s