Hadis Arbain #33: Yang Menuduh Harus Datangkan Bukti
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ قَالَ: لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ، لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، وَلَكِنِ البَيِّنَةُ عَلَى المُدَّعِي، وَاليَمِيْنُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ
حَدِيْثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ البَيْهَقِيُّ هَكَذَا، بَعْضُهُ فِي الصَّحِيْحَيْنِ
Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Seandainya setiap manusia dipenuhi tuntutannya, nescaya orang-orang akan menuntut harta dan darah suatu kaum. Namun, penuntut wajib datangkan bukti dan yang mengingkari dituntut bersumpah.”
(Hadis hasan, diriwayatkan Al-Baihaqi, no. 21201 dalam Al-Kubro seperti ini, sebahagiannya diriwayatkan dalam Sahihain, iaitu Bukhari, no. 4552 dan Muslim, no. 1711].
Makluman tentang Hadis
Dalam Sahih Bukhari, hadis ini tidak muncul dengan lafaz lengkap seperti yang terdapat dalam kitab Al-Arba’in An-Nawawiyyah (Hadis ke-33). Terdapat perbezaan dari segi penyusunan lafaz antara riwayat Imam Al-Bukhari dengan riwayat-riwayat lain seperti Imam Al-Baihaqi. Dalam Sahih Bukhari, hadis ini diriwayatkan dalam Kitab At-Tafsir (Tafsir Surah Ali-Imran) dan Kitab Al-Ahkam. Lafaznya adalah seperti berikut:
لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ، لَادَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ، وَلَكِنَّ اليَمِينَ عَلَى المُدَّعَى عَلَيْهِ
“Sekiranya manusia diberikan (hak) berdasarkan dakwaan mereka, nescaya orang ramai akan menuntut darah dan harta orang lain. Akan tetapi, sumpah adalah ke atas orang yang didakwa (tertuduh).”
(Sahih Bukhari, no. 4552)
Jika diperhatikan, dalam Sahih Bukhari, bahagian “البَيِّنَةُ عَلَى المُدَّعِي” (Bukti ke atas pendakwa) tidak disebut secara lafaz sarih (terang) dalam satu ayat yang sama. Imam Bukhari hanya menekankan bahagian sumpah bagi orang yang didakwa.
Imam Nawawi mengambil lafaz lengkap tersebut daripada riwayat Imam Al-Baihaqi (dalam Al-Sunan al-Kubra) dan lain-lain dengan sanad yang Hasan (baik) atau Sahih mengikut syarat-syarat tertentu. Walaupun lafaz “Bukti ke atas pendakwa” tidak ada dalam teks hadis ini di Bukhari, prinsip tersebut (beban bukti) ada disebut dalam hadis-hadis lain dalam Sahih Bukhari, contohnya dalam kisah perselisihan antara Al-Ash’ats bin Qais dengan seorang lelaki Yahudi yang kita akan bincangkan nanti220402.
Syarah Hadis
Hadis ke-33 ini pun ada kaitan dengan bab sebelum (jangan melakukan mudharat). Hadis ini adalah asas bagi perundangan Islam. Nabi kata: لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ، لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ. Nabi mengajar kita yang jika orang ramai diberikan dengan apa sahaja yang dakwa, mereka akan ambil hati orang, tuntut harta orang lain dengan cara yang zalim. Mereka juga akan menuntut darah manusia dengan cara yang zalim. Maksudnya kita tak boleh terus percaya dengan dakwaan orang. Ini adalah sesuatu yang amat merbahaya. Nanti habislah harta dan nyawa orang lain kalau begitu. Ini juga termasuk apa-apa dakwa benda-benda yang tak sepatutnya. Kerana ia akan menzalimi orang yang dia dakwa itu.
Tetapi Nabi memberi jalan penyelesaian kalau berlaku apa-apa tuntutan. Nabi kata: وَلَكِنِ البَيِّنَةُ عَلَى المُدَّعِي. Orang yang mendakwa itu kena datangkan bukti. Kalimah البَيِّنَةُ bermaksud bukti. Bagaimana pula dengan pihak yang lagi satu? Nabi kata وَاليَمِيْنُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ di mana pihak yang lagi kena bersumpah.
Hadis ini memberitahu yang dalam kita hidup seharian, kita tak boleh terima sahaja dakwaan orang sesuka hati. Kita kena minta dia bawakan bukti. Islam ialah agama yang mementingkan bukti, kita tak buat keputusan berdasarkan dakwaan semata-mata. Kita pun sendiri tahu yang dalam dunia ini ada yang penipu, ada pengkhianat dan sebagainya. Jadi kaedah kita dalam menerima satu-satu dakwaan, hendaklah dibawakan bukti. Kita pun tentu biasa dengar ayat Al-Qur’an iaitu Hujurat:6
يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهالَةٍ فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نٰدِمينَ
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.
Hadis yang kita sedang baca ini ialah penguat kepada kaedah di dalam Hujurat:6 ini iaitu orang yang mendakwa sesuatu, dia kena bawa bukti. Sebagai contoh ada orang mendakwa itu adalah tanah dia, jadi dia kena bawa bukti geran tanah. Ini kalau zaman sekarang, kena pakai geran tanah. Kalau zaman dahulu mungkin ada cara lain. Begitulah telah disebut tentang satu hadis tentang hal ini,
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مسعود رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنْ حَلَفَ عَلَى يَمِينٍ وَهُوَ فِيهَا فَاجِرٌ لِيَقْتَطِعَ بِهَا مَالَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ، لَقِيَ اللَّهَ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانُ”. قَالَ الأَشْعَثُ: فِيَّ وَاللَّهِ كَانَ ذَلِكَ، كَانَ بَيْنِي وَبَيْنَ رَجُلٍ مِنَ اليَهُودِ أَرْضٌ، فَجَحَدَنِي فَقَدَّمْتُهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَلَكَ بَيِّنَةٌ؟” قُلْتُ: لاَ. قَالَ لِلْيَهُودِيِّ: “احْلِفْ”. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِذًا يَحْلِفَ وَيَذْهَبَ بِمَالِي. فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا} إِلَى آخِرِ الآيَةِ.
Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan satu sumpah dalam keadaan dia berdusta untuk mengambil harta seorang Muslim, dia akan bertemu Allah (di akhirat) dalam keadaan Allah murka kepadanya.” Al-Ash’ats berkata: “Demi Allah, hadis itu tentang aku. Dahulu berlaku perselisihan tanah antara aku dan seorang lelaki Yahudi, lalu dia mengingkarinya (hak aku). Aku membawanya kepada Nabi s.a.w. Baginda bertanya: ‘Adakah kamu punya bukti?’ Aku jawab: ‘Tidak.’ Baginda berkata kepada si Yahudi: ‘Bersumpahlah.’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, kalau begitu dia akan bersumpah dan membawa lari hartaku!’ Maka Allah menurunkan ayat: {Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit…} (Surah Ali-Imran:77).”
(Sahih Bukhari no. 2452 & Muslim no. 1610)
Keadaan seperti ini pun biasa berlaku zaman sekarang. Kita mungkin sudah lama tak balik kampung dan tidak tahu apa terjadi dengan tanah itu. Rupanya bila periksa adalah orang yang duduk di tanah itu bertahun-tahun. Selama ini kita pun tak pernah peduli pasal tanah itu. Atuk kita dulu mungkin kerana banyak tanah tidak kisah tentang tanah itu. Sampaikan orang yang duduk di situ sudah duduk bertahun-tahun dan sampai sudah beranak cucu, beranak pinak dia duduk di tanah itu. Punyalah lama sehinggakan anak cucu dia pun sudah sangka bahawa tanah itu ialah tanah milik datuk dia juga. Maka yang mendakwa tanah itu milik dia iaitu Al-Ash’ath telah mengadu kepada Rasulullah. Nabi tanya balik kepada Al-Ash’ath, أَلَكَ بَيِّنَةٌ (kau ada bukti tak?) Dia pun kata dia tidak ada bukti. Apabila tidak ada bukti, maka pihak lawan perlu bersumpah. Tapi hadis di atas mengingatkan yang sumpah bukanlah perkara yang ringan.
Kata para ulama’, hadith ini ancamannya lagi teruk daripada hadith yang mengatakan Allah Ta’ala takkan pandang di akhirat kelak. Kerana kalau Allah tak pandang dia, setakat tak pandang sahaja. Tapi ini Allah Ta’ala jumpa dalam keadaan Allah Ta’ala murka padanya, maka tentu lebih teruk lagi.
Para ulama’ bahaskan siapakah orang yang mendakwa dan siapa orang yang dikenakan dakwaan? Siapa yang kena datangkan bukti dan siapa yang kena sumpah? Disebut oleh Ibn Rajab Al-Hambali, yang perlu membawakan bukti adalah orang yang mendakwa. Ertinya, orang yang menuntut ‘benda yang tersembunyi’. Orang yang didakwa pula, ataupun orang yang mengingkari dakwa, dia kena bersumpah. Dalam hal ini, kita kena kira status quo di mana. Ataupun, hukum asal dia macam mana? Jadi, orang yang berpegang dengan hukum asal, dia sekadar sumpah dan ini sudah memadai. Tetapi orang yang mendakwa benda yang tersembunyi, ataupun berbeza dengan asal, dia kena datangkan bukti. Macam mana kita nak tahu hukum asal? Kaedah syarak menyebutkan, asal semua benda dikirakan tak wujud, melainkan, ada bukti kewujudan benda itu.
Kita lihat hutang sebagai contoh. Seseorang tak dikira berhutang dengan orang lain melainkan ada bukti dia ada berhutang. Jadi kalau dua orang datang di mana seorang mengadu dengan kata yang seorang lagi berhutang dan tak mahu bayar balik, dan seorang lagi pula kata tak dia tak hutang, sebenarnya asalnya dikira apa? Yang kedua itu dikira tak hutang melainkan orang yang bagi hutang itu datangkan bukti.
Kita sambung lagi. Orang ini dia berhutang dengan sahabat dia. Kemudian mereka berjumpa tepi jalan dan orang yang berhutang bayar hutang dia sehingga selesai. Tapi pemberi hutang ini, ketika dia bagi hutang, dia tulis. Tapi ketika orang itu bayar balik hutang, dia tak tulis. Kalau mereka datang kepada Qadi, apa yang Qadi kena putuskan? Qadi kena kira, dia belum bayar. Sebab ketika bayaran itu dibuat, ia tak boleh dibuktikan. Jadi, ini kaedah yang dibawa keluar daripada hadis ini.
Dan inilah masalahnya yang berlaku sampai turun naik mahkamah. Puncanya kerana tidak ada bukti, bukan? Kerana itu di dalam Islam, apa-apa pun kena ada akad, kena ada tulis. Berapa banyak kita sudah dengar tentang perselisihan tentang perniagaan? Ramai yang masuk berkongsi perniagaan tapi tidak ada akad, tidak ada perjanjian bertulis. Asalnya mungkin kerana percaya mempercayai, tapi kita tidak tahu di kemudian hari. Hari ini kawan, esok boleh jadi lawan.
Kenapa tak ada akad? Itu masalah yang boleh diselesaikan kalau beringat dari awal? Sebab itu kita kita beringat apabila buat akad perjanjian, buat bertulis sikit. Jadi bila kita ada akad, apabila berlakunya sesuatu perkara yang tidak diingini, kita boleh kembali kepada akad kita yang menjadi bukti. Zaman sekarang kalau tidak ada bertulis pun, pakai Whatsapp pun boleh.
Baik, bagaimana pula dengan pihak yang satu lagi? Dia pun patut keluarkan bukti juga. Tapi kalau dia tidak ada bukti, macam mana? Katakanlah isu pasal tanah tadi. Adakah dia kena keluar terus kah? Kalau dia memang dia tahu, itu bukan tanah dia, dia pun patut keluarlah. Ini termasuklah pembinaan rumah ibadat haram, atau tak sah, memang patut keluarlah. Tidak kiralah kuil kah, surau masjid kah, atau gereja, sama sahaja. Tak boleh dibuat atas tanah orang. Dan kalau tuan tanah sudah minta tanah dan minta keluar, keluarlah dengan segera tanpa memalukan agama sendiri.
Tapi kalau dia engkar, dia hendak mempertahankan haknya atas tanah itu, maka kaedah yang Nabi ajar adalah اليَمِيْنُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ. Dia kena bersumpah. Iaitu bila di dalam mahkamah Islam, Si hakim akan bertanya adalah kamu ada bukti? Kalau ada bukti, maka keluarkan bukti. Kalau tidak ada bukti, maka kamu kena bersumpah dengan menggunakan kalimah Allah. “Wallahi, wabillahi, watallahi, ini adalah tanah atuk aku”. Bila yang mendakwa itu tidak ada bukti, yang duduk di tanah tu dia kena bersumpah. Bila dia sudah bersumpah, maka harta itu kekal di tangan dia kerana dia telah lama pegang. Kemudian sumpah pula mesti dengan nama Allah, tak boleh bersumpah dengan nama lain.
Tetapi, kita kena ingat bahawa membawakan bukti dan bersumpah ini bukannya dibuat di luar mahkamah tetapi ia mesti dibuat dalam mahkamah Islam. Maksudnya perbuatan orang sumpah-sumpah dekat mimbar, seperti masa kes-kes politik dulu itu hanyalah sumpah-sumpah politik sahaja. Ia tidak ada bernilai dan kita boleh abaikan sahaja. Kerana sumpah bukannya laku kalau dibuat di luar mahkamah. Kerana yang meminta sumpah itu mestilah hakim. Bukannya kita boleh senang-senang hendak bersumpah. Kerana itu Rasulullah telah pernah sebut, di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“إِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَيَّامًا يَكْثُرُ فِيهَا الْحَلْفُ، حَتَّى يَحْلِفَ الرَّجُلُ وَلَا يُسْتَحْلَفُ”
“Sesungguhnya di belakang kalian (pada masa akan datang) akan ada hari-hari di mana banyaknya berlaku sumpah, sehingga seseorang itu bersumpah padahal dia tidak diminta untuk bersumpah.”
(Riwayat At-Tabrani dalam Al-Mu’jam al-Kabir)
Nabi kata antara tanda hari kiamat dan ia termasuk antara tanda hari tanda orang munafiq juga, iaitu manusia akan sibuk bersumpah. Ia mengajar kita yang sumpah itu bukannya dibuat mudah sahaja.
Kaedah dari hadis ini juga boleh kita gunakan di dalam amalan ibadah. Seperti yang kita tahu, ramai yang mengamalkan amalan bid’ah. Sebagai ahli sunnah, kita selalu menegur amalan yang bid’ah. Akan tetapi selalu kita dengar hujah bodoh mereka: apa bukti amalan ini salah? Sebenarnya kalau faham hadis ini, bukan kita yang kena buktikan yang amalan itu salah, tapi merekalah yang kena buktikan yang amalan itu benar ada. Mereka yang kena berikan dalil, bukannya kita. Allah berfirman di dalam Baqarah:111
قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Katakanlah: ‘Bawalah bukti (Burhan) kamu jika kamu orang-orang yang benar’.”
Begitulah pentingnya bukti di dalam Islam. Kita boleh lihat contohnya di dalam hukum Zina. Menuduh orang berzina memerlukan 4 orang saksi yang memang nampak perlakuan zina itu berlaku. Sampaikan kalau tak cukup bukti atau tidak cukup saksi, orang yang menuduh itu sendiri yang dikenakan dengan hukuman. Ini disebut di dalam Nur:4
وَالَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ ثُمَّ لَم يَأتوا بِأَربَعَةِ شُهَداءَ فَاجلِدوهُم ثَمٰنينَ جَلدَةً وَلا تَقبَلوا لَهُم شَهٰدَةً أَبَدًا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ
Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka rotanlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali rotan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.
Kisah tuduhan zina terhadap Mughirah bin Syu’bah R.A (Gabenor Basrah pada waktu itu) adalah salah satu peristiwa paling besar dalam sejarah perundangan Islam. Kisah ini menjadi rujukan utama para ulama tentang betapa ketatnya syarat Integriti dalam persaksian kes zina. Kes ini berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab R.A. Mughirah bin Syu’bah mempunyai perselisihan peribadi dengan seorang lelaki bernama Abu Bakrah (seorang sahabat Nabi yang mulia). Pada suatu hari, Abu Bakrah bersama tiga orang lagi (Nafi’ bin al-Harith, Syibl bin Ma’bad, dan Ziyad bin Abih) mendakwa melihat Mughirah sedang melakukan zina dengan seorang wanita bernama Umm Jamil melalui tingkap yang terbuka. Abu Bakrah membawa kes ini kepada Umar bin al-Khattab. Sebagai pemimpin yang memiliki sifat keadilan yang tinggi, Umar segera memanggil Mughirah dari Basrah ke Madinah dan memulakan perbicaraan.
Umar memanggil saksi satu demi satu. Abu Bakrah memberi kesaksian secara terperinci bahawa dia melihat perlakuan tersebut secara fizikal (kemasukan). Nafi’ bin al-Harith: Memberi kesaksian yang sama. Syibl bin Ma’bad juga memberi kesaksian yang serupa. Pada tahap ini, Mughirah sudah berada dalam keadaan bahaya kerana 3 daripada 4 saksi telah memberi keterangan yang “padu”. Saksi Keempat iaitu Ziyad bin Abih pula berkata: “Aku melihat wajah seorang lelaki yang aku harap Allah tidak akan menghinakan salah seorang sahabat Nabi (Mughirah) melalui lisannya.” Apabila diminta memberikan kesaksian, Ziyad berkata: “Aku melihat kedudukan yang mencurigakan, dan aku mendengar nafas yang kencang, tetapi aku tidak melihat dengan jelas (seperti batang celak masuk ke dalam bekasnya).”
Oleh kerana Ziyad (saksi keempat) gagal memberikan kesaksian yang Yaqin (pasti secara visual), maka syarat empat orang saksi tidak dipenuhi. Secara automatik tuduhan Zina itu dibatalkan. Mughirah bin Syu’bah dibebaskan daripada hukuman rejam/sebat kerana keraguan (Syubhah). Kerana gagal membawa 4 saksi yang lengkap, Umar bin al-Khattab memerintahkan agar Abu Bakrah, Nafi’, dan Syibl disebat sebanyak 80 kali setiap seorang (hukuman menuduh tanpa bukti yang cukup). Selepas disebat, Umar memberitahu Abu Bakrah: “Bertaubatlah, maka aku akan menerima penyaksianmu (di masa hadapan).” Abu Bakrah yang sangat berpegang teguh pada apa yang dia nampak menjawab: “Aku tidak akan menarik balik kata-kataku.” Disebabkan keengganannya menarik balik tuduhan (walaupun dari segi teknikal undang-undang dia gagal), Abu Bakrah memilih untuk tidak lagi memberi saksi dalam mana-mana urusan mahkamah sepanjang hayatnya demi menjaga kejujuran dirinya.
Baik, apakah bukti-bukti yang diterima di dalam Islam? Dalam sistem perundangan Islam, untuk menjaga integriti keadilan, mahkamah Islam membahagikan bukti kepada beberapa kategori utama mengikut kekuatan dan kesesuaian kes. Berikut adalah jenis-jenis bukti yang diterima di Mahkamah Syariah:
1. Al-Iqrar (Pengakuan)
Ini adalah bukti yang paling kuat dalam Islam, sering digelar sebagai “Penghulu Segala Bukti”. Definisi: Seseorang mengaku melakukan kesalahan atau mengakui hak orang lain ke atas dirinya secara sukarela. Syarat: Mestilah dibuat tanpa paksaan (Ikrah), waras, dan baligh. Dalam kes jenayah berat (Hudud), pengakuan boleh ditarik balik sebelum hukuman dijalankan.
2. Al-Shahadah (Kesaksian)
Penyaksian oleh individu yang melihat atau mendengar sendiri sesuatu kejadian. Ini dibahagikan kepada beberapa Kategori:
Harta: Memerlukan 2 lelaki atau 1 lelaki dan 2 perempuan.
Jenayah (Hudud): Biasanya memerlukan 2 saksi lelaki adil (kecuali zina yang memerlukan 4 lelaki).
Syarat Saksi: Mestilah seorang yang Adil (tidak melakukan dosa besar secara terang-terangan dan mempunyai integriti moral yang tinggi).
3. Al-Yamin (Sumpah)
Sumpah digunakan sebagai bukti penyelesaian apabila pihak pendakwa gagal membawa bukti (seperti dalam Hadis ke-33 yang kita bincangkan). Fungsi: Sumpah dilakukan oleh pihak yang didakwa (tertuduh) untuk menafikan tuduhan.
Terdapat juga Yamin al-Mardudah (sumpah yang dikembalikan kepada pendakwa) dalam situasi tertentu. Dalam prosedur mahkamah Islam, ini adalah satu mekanisma yang unik di mana beban bersumpah berpindah daripada pihak Tertuduh (Mudda’a ‘Alaih) kembali kepada pihak Pendakwa (Mudda’a). Berdasarkan Hadis ke-33 yang kita bincangkan sebelum ini, proses asal adalah begini:
Pendakwa (P) menuduh Tertuduh (T) berhutang RM1,000.
P gagal membawa bukti (Al-Bayyinah).
Maka, hakim meminta T untuk bersumpah menafikan hutang tersebut (Al-Yamin).
Jika T enggan bersumpah (kerana takut dosa sumpah palsu atau sengaja mahu mengelak), tetapi dia juga tidak mengaku salah, hakim tidak terus menghukum T. Sebaliknya, hakim akan menawarkan kepada P: “Oleh kerana Tertuduh enggan bersumpah, sekarang kamu (Pendakwa) dipersilakan bersumpah untuk mengukuhkan dakwaan kamu.” Sumpah yang dilakukan oleh P dalam keadaan inilah yang dipanggil Yamin al-Mardudah. Tujuan utamanya adalah untuk menjaga Integriti keadilan. Jika Tertuduh enggan bersumpah (Nukul), ia memberi indikasi bahawa mungkin dakwaan Pendakwa itu benar. Namun, untuk lebih meyakinkan (mencapai tahap Yaqin), hakim mahu Pendakwa sendiri bersumpah bahawa dia benar-benar bercakap benar. Apabila Pendakwa melakukan Yamin al-Mardudah, mahkamah akan memutuskan kemenangan kepada Pendakwa dan Tertuduh wajib membayar tuntutan tersebut.
Di manakah ia diaplikasikan? Di dalam kes Mal (Harta/Sivil): Ia sangat meluas digunakan dalam kes tuntutan hutang, pertikaian jual beli, atau tuntutan nafkah.
Kes Jenayah (Hudud): Kebanyakan ulama berpandangan Yamin al-Mardudah tidak terpakai dalam kes jenayah berat seperti zina atau mencuri. Ini kerana kes jenayah memerlukan bukti yang mutlak (saksi/pengakuan) dan tidak boleh diselesaikan hanya dengan sumpah bagi mengelakkan hukuman dijalankan dalam keadaan syubhah (ragu-ragu).
4. Al-Qarinah (Bukti Sampingan / Circumstantial)
Ini adalah bukti yang tidak langsung tetapi menunjukkan kepada kebenaran sesuatu perkara. Contoh Klasik: Dalam kisah Nabi Yusuf A.S, baju yang koyak di belakang menjadi Qarinah bahawa beliau melarikan diri dan bukannya menyerang.
Sains Moden: Di Mahkamah Syariah hari ini, Ujian DNA, Laporan Perubatan (Doktor), cap jari, dan rakaman CCTV diterima sebagai Qarinah yang sangat kuat untuk membantu hakim membuat keputusan (Tetapi di dalam kes Takzir sahaja).
5. Al-Kitabah (Bukti Bertulis / Dokumen)
Berdasarkan Surah Al-Baqarah: 282, Islam sangat menekankan pendokumentasian. Aplikasi: Kontrak perkahwinan, surat perjanjian hutang, geran tanah, dan sijil cerai adalah bukti bertulis yang diterima secara rasmi di mahkamah.
6. Al-Mu’ayanah (Pemeriksaan Fizikal)
Hakim atau wakil mahkamah pergi sendiri ke lokasi kejadian untuk melihat bukti fizikal. Contoh: Melihat sempadan tanah yang dipertikaikan atau kerosakan pada rumah sewa.
Zaman Nabi dahulu, sistem penghakiman dan teknologi pembuktian tidak sama dengan zaman sekarang. Rasulullah telah menggunakan apa sistem yang baginda boleh pakai. Kalau zaman sekarang, dengan ada ilmu boleh tengok cap jari, ada CCTV dan sebagainya, para alim ulama’ telah memberikan beberapa pandangan mereka. Tapi yang penting adalah mesti ada bukti. Hakim tidak boleh buat pandai sendiri, tapi mestilah berdasarkan bukti. Dan bagi orang yang didakwa atau dituduh, mereka jangan sangka mereka pandai boleh selamatkan diri dari hakim. Mungkin mereka boleh menanglah di dunia, tapi bagaimana di akhirat kelak? Ini Rasulullah ada ingatkan kita,
“إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ، وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ، وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ، فَأَقْضِيَ لَهُ عَلَى نَحْوِ مَا أَسْمَعُ، فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ مِنْ حَقِّ أَخِيهِ شَيْئًا فَلَا يَأْخُذْهُ، فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنَ النَّارِ.”
“Sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa, dan kamu semua membawa persengketaan kepadaku. Boleh jadi sebahagian daripada kamu lebih pandai berhujah daripada yang lain, lalu aku memenangkan hukuman untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Maka, sesiapa yang aku berikan kepadanya sesuatu yang sebenarnya adalah hak saudaranya, janganlah dia mengambilnya. Sesungguhnya aku hanyalah memotong untuknya sepotong api neraka.”
Sahih Bukhari (no. 2458) dan Sahih Muslim (no. 1713).
Jadi ini adalah peringatan kepada para peguam yang pandai bercakap. Tidak salah menjadi peguam, tapi janganlah kerana dia pandai bercakap, dia menyebabkan orang bersalah dibebaskan dan orang yang tidak bersalah dipenjarakan. Begitu juga bagi para hakim. Mereka ini juga ada Rasulullah beri peringatan,
عَنْ بُرَيْدَةَ بْنِ الحُصَيْبِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ: القُضَاةُ ثَلَاثَةٌ: وَاحِدٌ فِي الجَنَّةِ، وَاثْنَانِ فِي النَّارِ، فَأَمَّا الَّذِي فِي الجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الحَقَّ فَقَضَى بِهِ، وَرَجُلٌ عَرَفَ الحَقَّ فَجَارَ فِي الحُكْمِ، فَهُوَ فِي النَّارِ، وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ، فَهُوَ فِي النَّارِ»
Daripada Buraidah bin al-Hushaib RA, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda: “Hakim itu ada tiga golongan; satu golongan di syurga dan dua golongan lagi di neraka. Adapun yang di syurga ialah seorang lelaki yang mengetahui kebenaran lalu dia menghukum dengannya. Seorang lelaki yang mengetahui kebenaran tetapi dia berlaku zalim (menyimpang) dalam hukumannya, maka dia di neraka. Dan seorang lelaki yang menghukum manusia dalam keadaan jahil (tanpa ilmu), maka dia juga di neraka.”
Sunan Abu Daud (no. 3573), al-Tirmidzi (no. 1322), dan Ibnu Majah (no. 2315).
Faedah Hadis
- Tidak boleh menghukumi orang lain dengan sekadar tuduhan kerana boleh jadi kita mengambil harta dan darah orang lain tanpa jalan yang benar.
- Syariat melindungi harta dan darah dari tuntutan yang dusta, di mana syariat menyuruh untuk mendatangkan bukti bagi yang menuduh dan sumpah bagi yang mengingkari.
- Seorang hakim hendaklah meminta bukti dari pengadu dan yang dituduh.
- Di antara bayyinaat (bukti) adalah adanya saksi, atau adanya indikasi, atau yang dituduh mengaku.
- Jika tidak ada bukti, yang tertuduh bersumpah agar terlepas dari hukuman. Jika yang tertuduh enggan bersumpah, ia bererti dia adalah seorang penakut dan ingin menghindarkan diri sehingga ia dihukum.
- Hadis ini bermanfaat sekali untuk masalah qadha’ (pemutusan hukum) dan untuk mendamaikan dua orang yang berselisih.
Kaedah dari Hadis
كُلُّ دَعْوَى بِلاَ بَيِّنَةٍ فَهِيَ بَاطِلَةٌ سَاقِطَةٌ إِلاَّ إِنْ أَقَرَّ المُدَّعَى عَلَيْهِ
Setiap tuduhan yang tidak terbukti, maka tuduhan itu batil kecuali yang dituduh mengakuinya.
الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ
“Pada asalnya, seseorang itu bebas daripada sebarang tanggungan (liabiliti/kesalahan).” Ini adalah kaedah fiqh yang besar: Seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Kita tidak boleh melabel atau menghukum seseorang hanya berdasarkan “cakap-cakap” orang tanpa proses pengadilan yang adil. Di Barat pun menggunakan kaedah ini juga: “Innocent until proven guilty“.
Kemaskini: 14 April 2026
Rujukan:
Ustaz Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)
Dr. MAZA (Mufti Perlis)
