Sekarang kita mulakan dengan menulusiri Surah Al-Fatihah. Kita tidak bincangkan tafsir dengan cara yang biasa, iaitu kita akan terus bincangkan tentang sudut Balaghah sahaja. Untuk perbincangan yang panjang lebar, ayat satu per satu, boleh rujuk tafsiran Surah Fatihah.
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ Sebagai Pembuka yang Indah
Surah Fatihah ini adalah gerbang kepada Al-Qur’an. Gerbang kepada suatu tempat itu melambangkan tempat yang kita akan masuk. Ini termasuk di dalam Ilmu Badi’ kerana ia melibatkan keindahan. Di dalam Al-Qur’an memang konsisten menggunakan pembuka surah yang hebat dan bukan itu sahaja, penutupnya pun hebat juga. Di dalam semua surah sama ada pendek atau panjang surah itu.
Dan memang cantik pembukaan Surah Fatihah ini. Tambahan pula Surah Fatihah sendiri adalah pembuka kepada Al-Qur’an, maka ia lebih hebat lagi. Jadi بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ adalah pembuka kepada pembuka. Kerana itulah Surah Al-Fatihah diletakkan di awal kerana ia sudah merangkumi kesemua maksud Al-Qur’an. Dan kerana itulah ia dipanggil Ummul Kitab. Dan kalau kita perhatikan kesemua surah-surah yang lain, semuanya berada di bawah struktur mesej-mesej yang disampaikan di dalam Al-Fatihah. Semua mesej semua surah-surah sudah digambarkan sejak awal di dalam gerbang Surah Fatihah ini.
Contohnya kalau kita tengok poster filem, kita sudah boleh agak jalan cerita filem itu sebenarnya. Ataupun apabila kita tengok teaser dia sahaja, kita sudah tahu apakah keseluruhan ceritanya. Sama juga dengan Surah Al-Fatihah, ia telah menceritakan keseluruhan Al-Qur’an itu sendiri. Dan ini dibahaskan di bawah tajuk Al-Badi’ tentang Keindahan Pembuka Bicara Dalam Seni Bahasa Arab.
Di zaman Arab dahulu, pembuka bicara ini dianggap penting. Dalam percakapan mereka, dalam kalam para-para sasterawan, mereka akan meletakkan maksud keseluruhan ucapan mereka dalam permulaan sebagai pembuka bicara kerana pembuka bicara itu sangat penting untuk kita memahami apakah isi kandungan yang akan diberitahu. Jadi Al-Qur’an juga menggunakan kaedah yang sama tapi pembuka bicara Al-Qur’an lebih tinggi, lebih halus, lebih dalam maknanya berbanding dengan penyair-penyair Arab. Jadi di sini kaedah pembuka kata sudah ada dalam surah Al-Fatihah sendiri. Surat Al-Fatihah sendiri adalah bara’atul matla’ kepada seluruh Al-Qur’an.
Bara’at al-Matla’ adalah sebuah istilah dalam kesusasteraan Arab dan ilmu Badi’ (keindahan bahasa). Istilah ini merujuk pada kepiawaian seorang penulis atau penyair dalam membuka karyanya.
Bara’atul (Barakah/Keunggulan): Kehebatan atau kecemerlangan.
Matla’ (Tempat terbit/Permulaan): Bahagian awal dari sebuah tulisan, puisi, atau pidato.
Dan Bismillah itu sendiri adalah Bara’at al-Matla’ ataupun Al-Istihlal kepada Surah Al-Fatihah sendiri. Apa itu Al-Istihlal? Jika Bara’at al-Matla’ hanya menekankan pada keindahan kata di awal, Al-Istihlal menekankan pada firasat atau petunjuk tentang apa yang akan dibahas selanjutnya. Dari segi penulisan, Al-Istihlal adalah kemampuan penulis untuk memberikan “spoiler” halus atau gambaran tema uta
Pembuka Al-Fatihah adalah Bismillahirrahmanirrahim. Ini pada pandangan orang yang mengatakan bahawa ayat ini bermula dengan Bismillah. Kalimah Bismillahirrahmanirrahim ini sangat-sangat indah. Pertama, bismillah itu mengandungi nama Allah. Kenapa ada nama nama Allah? Sebab nama Allah itu sendiri telah merangkumi kesemua nama Allah yang lain. Sebab itulah dimulakan dengan Bismillah kerana ia mengandungi nama Allah yang mengandungi nama-namaNya yang lain.
ٱلحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ
Yang kedua kita bicarakan kalimat Alhamdulillah. Alhamdulillah ini ini juga adalah Pembuka Bicara yang sangat cantik. Terutama sekali bagi mazhab yang mengatakan bahawa ٱلحَمدُ لِلَّهِ adalah pembukanya, ataupun ayat pertama adalah ٱلحَمدُ لِلَّهِ. Kalau surah ini dibuka dengan بِسمِ اللهِ cantik dan kalau ia dibuka dengan ٱلحَمدُ لِلَّهِ pun cantik juga. Ini kerana pujian di dalam ٱلحَمدُ لِلَّهِ itu sendiri merangkumi kesemua pujian yang ada. Kalau kita ke satu tempat yang kita terpana dengan keindahannya ataupun kita sudah sampai ke peringkat yang paling kagum, apa yang keluar daripada mulut kita? Pujian. Jadi pujian itu sudah merangkumi kesemuanya. Kepuasan kita hanya dapat digambarkan dengan pujian.
Kalimah ٱلحَمدُ لِلَّهِ merupakan Jumlah Ismiyyah (klausa kata nama). Jumlah Ismiyyah (جملة اسمية) adalah ayat yang bermula dengan kata nama. Dalam balaghah, ia membawa watak Thubut dan Istimrar (tetap, stabil, dan berterusan selamanya), berbeza dengan kata kerja (jumlah fi’liyyah) yang terikat dengan masa dan boleh berubah-ubah. Jadi apabila kalimat ٱلحَمدُ لِلَّهِ itu di dalam bentuk ini, ia menunjukkan kepada keabadian, kesinambungan, serta ketetapan pujian tersebut. Dalam balaghah Arab, jumlah ismiyyah memberi makna:
1. Ketetapan dan kesinambungan (الثبوت والاستمرار). Maksudnya pujian bagi Allah itu tetap, kekal dan sentiasa ada, bukan sementara. Jika digunakan jumlah fi‘liyyah seperti: حَمِدَ الناسُ اللهَ (Manusia telah memuji Allah), ia hanya menunjukkan perbuatan berlaku pada masa tertentu. Tetapi kalimat ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ membawa maksud: Segala pujian itu memang milik Allah secara mutlak, sentiasa dan kekal.
2. Lebih luas daripada sekadar perbuatan manusia. Ia bukan hanya “manusia memuji Allah”, tetapi semua bentuk pujian yang wujud — dari makhluk, malaikat, lidah, hati, keadaan, ciptaan — semua pujian kembali kepada Allah.
3. Penegasan hak eksklusif Allah terhadap pujian. Dengan mendahulukan الحمد dan menyandarkannya kepada لله, ayat ini menunjukkan bahawa segala jenis pujian sebenar adalah milik Allah.
Ringkasnya, Allah menggunakan jumlah ismiyyah dalam ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ kerana ingin menunjukkan bahawa:
-
- pujian kepada Allah itu tetap dan berkekalan,
- tidak terikat dengan masa,
- meliputi semua jenis pujian,
- Allah sahaja yang berhak memilikinya secara mutlak.
Jadi ia tidak sama dengan ayat Jumlah Fi’liyyah seperti نحمد الله (Kami memuji Allah) atau أحمد الله (aku memuji Allah). Kalau kita guna أحمد الله ربّ العلمين, ia sangat lain kalau kita menggunakan نحَمدُ الِلَّهَ (kami memuji Allah) yang menggunakan jumlah fi’liyyah. Apabila menggunakan jumlah ismiyyah, ia di dalam bentuk yang tetap dan tidak terperangkap dengan masa. Sebab kalau kita guna fa’il (pelaku) sama ada seperti نحمد الله (kami memuji Allah) atau أحمد الله (aku memuji Allah), ia terikat dengan masa. Sebagai contoh kalau kita kata نحمد الله (Kami memuji Allah), maksudnya kami sekarang memuji Allah. Mungkin sebelum ini tak puji Allah sebab kita pun tidak wujud lagi. Jadi kepujian itu hanya terbatas kepada masa kami memuji sahaja, bukan setiap masa. Maksudnya, setelah Nabi Muhammad SAW mula-mula menjadi Nabi pada 1400 tahun lalu, barulah manusia ada memuji Allah. Sebelum Nabi Muhammad, adakah tidak layak Allah dipuji? Tentu layak sangat! Jadi kalimat ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ mengandungi maksud yang sangat luas, ia merangkumi bahawa kepujian kepada Allah itu tidak terbatas dengan masa.
Ataupun kalau kita kata نحمد الله, hanya kita yang menyembah, hanya kita yang memuji Allah. Mungkin orang lain tak. Mungkin makhluk lain tak. Mungkin alam lain tak. Akan tetapi ketika kita sebut ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ, ia bermaksud kesemuanya sedang memuji Allah. Sudah tidak timbul siapa yang memuji. Semua pujian kembali kepadaNya sahaja. Sebab itu kalimah ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ sangat umum dari sudut siapa, dari sudut bila, dari sudut tidak terbatas sama sekali.
Selain itu di dalam kalimat ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ada unsur mubalaghah di dalamnya. Ia di dalam bentuk Al-Istighraq (الاستغراق) yang merangkumi semua sekali. Dalam kalimat ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ, huruf (ال) pada kata Al-Hamdu berfungsi sebagai Al-Istighraq al-Jins, yang memberikan makna:
“Segala jenis puji, dari yang terkecil hingga yang terbesar, dalam segala bentuknya, hanya milik Allah.”
Mengapa ini penting? Tanpa Al-Istighraq, pujian mungkin hanya merujuk pada satu pujian tertentu saja. Namun dengan konsep ini, para ulama’ tafsir menjelaskan bahawa:
-
- Pujian Allah kepada Diri-Nya sendiri adalah milik Allah.
- Pujian Allah kepada makhluk-Nya adalah milik Allah.
- Pujian makhluk kepada Allah adalah milik Allah.
- Pujian makhluk kepada sesama makhluk pun pada hakikatnya kembali kepada Allah (kerana Allah yang menciptakan kebaikan pada makhluk tersebut).
Walaupun begitu, tidaklah semua ulama’ balaghah sepakat akan hal ini. Ada yang berpendapat ia berfungsi sebagai ta’rif al-jins (pembahagian jenis), yang membawa maksud: merujuk kepada suatu hakikat yang sedia diketahui oleh setiap orang, iaitu puji-pujian yang sebenar. Jadi ال di dalam ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ merujuk kepada puji-pujian yang hanya dikhususkan kepada ilah dan apabila Allah sebut ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ, ia bermaksud pujian khusus sebegini hanya layak untuk Allah sahaja.
Dan huruf Lam (ل) pada firman-Nya: (لله) membawa maksud: الاستحقاق Al-Istihaq (Kelayakan) dan الاختصاص Al-Ikhtisas (Kekhususan). Iaitu: Segala puji-pujian itu adalah hak yang layak bagi Allah Taala, dan khusus untuk-Nya Yang Maha Suci, bukan bagi sesiapa pun selain-Nya. Al-Istihaq (الاستحقاق): Menegaskan bahawa hanya Allah satu-satunya zat yang paling layak dan berhak menerima pujian yang mutlak. Al-Ikhtisas (الاختصاص): Menegaskan konsep tauhid, iaitu pujian yang hakiki itu telah dikunci dan dikhususkan hanya untuk Allah, sekaligus menafikan adanya sekutu lain yang berkongsi kelayakan tersebut.
Begitulah hebatnya perbincangan tentang topik ini yang mengajar kita bahawa kalimah ٱلحَمدُ لِلَّهِ walaupun pendek sahaja, akan tetapi ia adalah pujian peringkat tertinggi. Sebagai contoh kalau kita tanya kepada seseorang yang sudah makan di restoran yang hebat, dia mungkin kata dia suka dengan makanan, dengan layanan, dengan suasana dan sebagainya. Itu adalah pujian biasa yang panjang. Tapi kalau tempat itu hebat segalanya, apa yang dia cakap? Mungkin dengan kalimah yang pendek sahaja yang dapat menggambarkan segalanya, seperti: “oooohhhh hebattt….”. Kalimah yang pendek itu sebenarnya lebih hebat dari kalau disebut satu persatu, boleh faham? Jadi begitulah dengan kalimah ٱلحَمدُ لِلَّهِ yang walaupun pendek sahaja, tapi hebat.
Kita boleh bahaskan pertama sekali kenapa kita disuruh mengucapkan ٱلحَمدُ لِلَّهِ dan kenapa tidak kalimah lain seperti المجيد لله atau yang lain-lain? Kerana kalimah pujian itu ada banyak selain dari حمد. Ini adalah kerana kalimat ٱلحَمدُ لِلَّهِ itu lebih lagi dari المجيد seolah-olah ٱلحَمدُ لِلَّهِ itu datang daripada hati, sedangkan kalau digunakan kalimah المجيد ia mungkin tidak datang daripada hati, walaupun ia juga mungkin pujian. Ini adalah perbahasan yang panjang dan kita telah bincangkan di dalam tafsir lengkap bagi Surah Fatihah tentang maksud ٱلحَمدُ لِلَّهِ. Yang asasnya di sini, kita melihat dua kalimat بِسمِ اللهِ dan ٱلحَمدُ لِلَّهِ ini daripada sudut Bara’at Al-Matla’ iaitu permulaan yang hebat.
Ayat Khabari (كلام خبري) dan Ayat Insya’i (كلام إنشائي).
Dari sudut lain, kalimat ٱلحَمدُ لِلَّهِ ini sangat cantik dari segi penggunaannya. Kalimah ٱلحَمدُ لِلَّهِ ini adalah dalam bentuk ‘ayat khabar’.
Ayat khabar: maknanya sudah ada dalam realiti, lalu disampaikan. Contoh: “Matahari terbit dari timur.”
Ayat insya’: maknanya tidak wujud sebelum diucapkan, tetapi tercipta dengan ucapan itu sendiri. Contoh: “Bangunlah!” — perintah itu hanya wujud apabila ia diucapkan. Istilah insya’ (إنشاء) dalam ilmu balaghah berasal daripada kata kerja Arab نشأ yang bermaksud “membentuk, mencipta, mengadakan sesuatu yang baru.” Maka, ayat insya’ digelar demikian kerana ia menghasilkan makna pada ketika ia diucapkan, bukan sekadar memberitahu sesuatu yang sudah wujud. Maknanya bukan sekadar menyampaikan berita, melainkan mengandung unsur permintaan, harapan, ancaman, doa, nasihat, celaan, atau pujian.
Jadi, ٱلحَمدُ لِلَّهِ adalah Ayat Khabar. Akan tetapi dalam kalimah ٱلحَمدُ لِلَّهِ dan mana-mana Ayat Khabar di dalam Al-Qur’an mahupun hadis yang sahih, kita tak boleh memandangnya dengan definisi balaghah tentang Ayat Khabar. Sebelum ini kita telah sebut Ayat Khabar itu adalah ayat pernyataan yang mungkin benar dan mungkin tidak, bukan? Tapi dalam kalimah ٱلحَمدُ لِلَّهِ tidak ada kesilapan dan tidak ada kemungkinan ia tidak benar. Jadi ٱلحَمدُ لِلَّهِ adalah Ayat Khabariyah akan tetapi maksudnya adalah Insya’iyyah.
Maka kerana itu ada pandangan yang mengatakan tidak lengkap kalau kita hanya tafsirkan ٱلحَمدُ لِلَّهِ sahaja kerana maksudnya sebenarnya adalah قولوا ٱلحَمدُ لِلَّهِ (Sebutlah: segala puji bagi Allah). Dalam istilah ini disebut (خبرية لفظاً إنشائية معنىً) yang bererti: Kalimat yang secara lafaz (susunan kata) termasuk kalam khabari, tetapi secara makna dan tujuan termasuk kalam insyā’ī.
Cara penggunaan (خبرية لفظاً إنشائية معنىً) ini pun ada sahaja dalam penggunaan bahasa seharian kita. Kadangkala ayat-ayat kita macam memberitahu, tapi sebenarnya bukan hendak beritahu. Contohnya kita kata: “sudah seminggu dah dapur rumah aku tak berasap”. Kalau kita lurus macam pembaris, mungkin kita sangka dia beritahu sebenarnya, tapi kalau kita pandai sikit kita akan faham yang ayat ini bukanlah hendak beritahu sahaja, akan tetapi yang bercakap itu sebenarnya hendak minta pinjam duit! Cuma dia bercakap dalam bentuk khabariyah. Tapi sebenarnya ada maksud yang lain, dan itulah yang dipanggil خبرية لفظاً إنشائية معنىً. Dan inilah cara kita faham maksud ٱلحَمدُ لِلَّهِ.
Ijaz (إيجاز)
Ijaz adalah teknik menggunakan ayat yang pendek tetapi mengandungi hukum dan prinsip yang sangat banyak. Dan ini digunakan dengan cantik di dalam ayat ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ. Hanya dengan 4 patah perkataan, ayat ini merangkumi pengiktirafan terhadap ketuhanan Allah (Uluhiyyah), kekuasaan Allah menciptakan dan mengatur alam (Rububiyyah), serta kewajipan hamba untuk bersyukur. Ia menggunakan Ijaz Al-Qasr (Keringkasan Makna).
الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
Dan selanjutnya, ar-Rahman ar-Rahim. Kenapa digunakan ar-Rahman ar-Rahim? Itu pun dibahas panjang di dalam kitab-kitab tafsir. Ada yang mengatakan ar-Rahman ini merujuk kepada rahmat Allah untuk seluruh makhluk. Sedangkan ar-Rahim, rahmat yang khusus untuk orang-orang Mukmin sahaja. Kalimat ar-Rahman, ar-Rahim sebagai pembuka bicara dan sebagai pintu gerbang untuk menunjukkan Allah dalam mengutuskan Al-Qur’an tidak lain, hanya dengan rahmat sahaja. Apa sahaja yang kita dapati dalam surah-surah dan ayat-ayat Al-Qur’an, semuanya adalah di bawah rahmat Allah.
Bahkan kalau kita hendak rangkumkan dengan seringkas mungkin, agama Allah ini adalah rahmat. Akan tetapi di samping kena ingat yang Allah juga membalas kezaliman yang dilakukan oleh makhluk. Agama Islam bukan seperti Kristian yang mengatakan agama mereka adalah agama rahmat, Jesus bawa cinta sahaja. Ini berbeza dengan Islam yang mereka kata ekstrim, sedangkan agama mereka agama cinta kononnya. Jadi kita kena faham bahawa kita juga kena perkenalkan agama kita sebagai agama cinta sebab permulaan dalam Al-Qur’an itu sendiri adalah bismillahirrahmanirrahim yang memberi isyarat kepada rahmat. Ia memberi isyarat kepada cinta, sayang, kasih sayang Allah. Cuma kita tidaklah terpana ataupun terhanyut dengan cinta sahaja tanpa melakukan sesuatu yang Allah inginkan kita lakukan di dalam kehidupan seharian dengan masyarakat. Allah juga meletakkan amaran-amaranNya yang mana kita kena lihat juga. Tapi kena ingat asasnya adalah rahmat yang menyeluruh. Apa sahaja kesalahan pun masih lagi berbahwa rahmat Allah SWT kalau kita mahu kembali kepada Allah SWT.
Kalimat bismillahirrahmanirrahim itu betul sebagai rahmat, tapi ada kita kena tahu bahawa Tuhan juga ada keseimbangan, ada keadilan. Kita jangan hanya terpana dengan cinta, tapi kita juga kena ada keseimbangan antara rahmat kalau kita mengikut Allah, dengan hukuman kalau kita tidak taat dan melanggar peraturanNya.
Al-Fashl wa Al-Washl pada بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ والرَّحيمِ
Yang kita hendak bincangkan dari sudut balaghah adalah kenapa antara الرَّحمٰنِ dan الرَّحيمِ itu tidak diletakkan و (dan). Kenapa kalimatnya adalah بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ dan bukan بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ والرَّحيمِ? Mungkin ini tidak dibahaskan dalam tafsir-tafsir yang lain sebab ini dalam bab balaghah dan mungkin guru-guru tafsir tak mahu sebut pun tentang perbahasan-perbahasan yang halus dan dalam. Tapi ini sangat penting kerana dengan mengetahui perkara ini kita dapat mengecap keindahan bahasa ataupun dalamnya makna yang terdapat di dalam ayat Al-Qur’an.
Sekecil huruf و pun ada maksudnya sendiri dan meninggalkan و ataupun masukkan و, ia mempengaruhi makna. Ini disebut dalam bab Al-Fashl wa Al-Washl. Washl secara bahasa ertinya menyambung. Dalam konteks ini, kita menggunakan huruf athaf (sambung) iaitu Waw (و) untuk menghubungkan dua kalimat. Fashl pula secara bahasa ertinya memisah. Kita terus menyebutkan kalimat kedua setelah kalimat pertama tanpa kata sambung.
Di dalam Nahu Bahasa Arab, و berfungsi sebagai kata penyambung Dan و ini dibahaskan dengan panjang, kerana ia berbeza dengan athaf-athaf yang lain seperti ثم, ف لكن, ب dan sebagainya. Ini kerana athaf و mempunyai fungsi yang sangat luas. ‘Athaf’ bermaksud bahawa sesuatu benda itu dekat dengan sesuatu benda yang lain. Maksudnya ada penghubung dan bila ada penghubung, maknanya benda itu asalnya berbeza. Kadangkala ia digunakan dan kadangkala tidak. Kedua-dua keadaan ini memberi makna balaghah yang berbeza yang kita akan bincangkan.
Jadi kenapa kalimat بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ tidak diletakkan و? Ini kerana antara الرَّحمٰنِ dan الرَّحيمِ tidak boleh dipisahkan. Kenapa الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ tidak boleh dipisahkan? Kerana gabungan keduanya memberi maksud, makna yang kuat. Apabila ada gabungan dua kalimah itu, ia memberi makna yang hebat. Mungkin sebagai badal, ataupun sebagai taukid, ataupun sebagai bayan, ataupun sebagai apa-apa sahaja. Tapi ianya tidak boleh dipisahkan dan itulah menjadi kehebatan الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ. Ini kerana suatu ayat yang ada di antaranya و, walaupun و maksudnya menggabungkan, akan tetapi apabila ada و, maksudnya ia sedang menggabungkan sesuatu yang asalnya terpisah, bukan? Jadi penggabungan dengan menggunakan و sebenarnya memisahkan. Sebagai contoh mak ‘dan’ ayah. Jadi ‘mak dan ayah’, perlu digabungkan kerana mak lain, ayah lain. Atau contoh yang lain: “Ali dan driver sudah datang”, maksudnya dua orang yang datang, bukan? Tapi ia tidak sama kalau kita kata, “Ali Driver datang” kerana ia memberi makna orang yang sama. Jadi huruf و itu walaupun kerjanya sebagai penghubung, akan tetapi sebenarnya ia adalah pemisah. Dan Fashl walaupun nampak ia adalah pemisah akan tetapi ia bukan pemisah sebenarnya.
مٰلِكِ يَومِ الدّينِ
Mari kita sambung dengan ayat yang seterusnya. Yang keempat, مٰلِكِ يَومِ الدّينِ. Di sini di situ berlaku Idhafah. Al-Idhafah (الإضافة): Struktur penyandaran dua kata nama (Frasa Nama / Possessive construction), iaitu menggandakan kata Malik (Pemilik) kepada Yaum (Hari). Idhafah sebenarnya ada maksud khusus di dalam ilmu Balaghah dan ia membawa pelbagai maksud. Antaranya membawa maksud pengagungan ataupun menunjukkan kasih sayang. Contohnya anak kita ada namanya, tapi kadang-kadang kita memanggilnya ‘anak ayah’. Kita idhafahkan anak itu kepada ayah. Ini anak ayah kan?
Kalau kita belajar nahu Bahasa Arab, kita sudah tahu apa itu Idhafah. Akan tetapi di dalam ilmu balaghah, ada tujuan lain untuk Idhafah. Ia mungkin untuk membesarkan, untuk mengagumkan. Ataupun mungkin juga untuk ancaman. Contohnya kalau kita gunakan istilah ‘abang kawasan’ ia memberi maksud lain, kerana orang yang digelar sebegitu selalunya ditakuti. Jadi kalimat مٰلِكِ يَومِ الدّينِ sudah menggambarkan kedahsyatan hari tersebut. Ia bukan hari-hari yang biasa akan tetapi terdapat kejadian-kejadian yang menakutkan pada hari itu.
Kita boleh katakan yang Idhafah itu maksudnya penyandaran. Definisinya ialah: satu kata yang punya maksud sendiri, kemudian digabungkan dengan satu kata yang lain yang punya maksudnya yang lain, dan apabila digabungkan ia menerbitkan maksud yang ketiga. Contohnya بيت adalah rumah dan kita memang sudah faham maksud rumah. Tapi bila digabungkan بيت itu dengan nama Allah menjadi بيت الله, ia mengeluarkan maksud yang ketiga. Ia bukan lagi rumah yang biasa.
Jadi di dalam kalimat مٰلِكِ يَومِ الدّينِ ada idhafah. Malah ada idhafah bertindih; idhafah pertama adalah مٰلِكِ يَومِ dan idhafah yang kedua adalah يَومِ الدّينِ.
Jadi, kalimat مٰلِكِ يَومِ الدّينِ membawa maksud bahawa pada يَومِ الدّينِ (Hari Pembalasan) itu, مٰلِكِ (Yang memiliki) hanyalah Allah. Berkemungkinan di dunia ini macam-macam orang dakwa dia memiliki itu dan ini seperti ‘abang kawasan’ yang mengatakan itu kawasan dia, itu daerah dia, ini hak milik dia. Atau ada yang kata itu semua adalah pengikut-pengikut dia, ini agama dia, ataupun apa sajalah dakwa dakwi yang ada akan tetapi bila hari akhirat nanti, secara khususnya, pemilikan hanya bagi Allah. Allah berfirman di dalam Ghafir:40
لِّمَنِ المُلكُ اليَومَ ۖ ِللهِ الوٰحِدِ القَهّارِ
(Pada saat itu Allah berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya!
Ini adalah pertanyaan Allah. Dan Allah bertanya itu pun mempunyai perbahasan yang panjang. Apakah maksud Allah bertanya: Milik siapakah hari itu? Kerana memang tidak ada pemilikan selain dari pemilikan Allah. Walaupun Allah adalah pemilik hari-hari di dunia dan akhirat, Allah mengkhususkan sebutan “Hari Pembalasan” di sini untuk memberi amaran tentang hilangnya kuasa pinjaman manusia (raja, pemimpin, orang kaya) apabila tibanya hari akhirat nanti.
Dan kenapa pula terus kepada مٰلِكِ يَومِ الدّينِ daripada ٱلحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ sebelumnya? Ini juga kalau nak dibahaskan cukup panjang dan ini juga termaksud dalam maksud Ijaz yang kita telah bahaskan sebelum ini. Ia pendek sahaja akan tetapi mengandungi maksud yang amat luas.
Allahu a’lam, sambung ke bahagian yang seterusnya.
Glosari Istilah Penting
Al-Badi’ (Ilmu Badi’): Cabang ilmu balaghah yang membincangkan tentang keindahan dan estetika bahasa dalam sesuatu kalam.
Al-Fashl (الفصل): Teknik memisahkan dua ayat atau kalimah tanpa menggunakan kata penyambung untuk menunjukkan hubungan yang sangat erat atau tujuan balaghah tertentu.
Al-Ikhtisas (الاختصاص): Pengkhususan sesuatu perkara hanya untuk pihak tertentu (dalam konteks ini, pujian hanya untuk Allah).
Al-Istihaq (الاستحقاق): Hak kelayakan mutlak bagi sesuatu zat untuk menerima sesuatu (pujian).
Al-Istihlal (الاستهلال): Keahlian memberikan gambaran atau petunjuk awal tentang tema utama yang akan dibincangkan dalam sesuatu karya.
Al-Istighraq (الاستغراق): Penggunaan kata yang merangkumi keseluruhan jenis atau kategori secara total tanpa pengecualian.
Al-Washl (الوصل): Menyambung dua ayat atau kalimah dengan menggunakan kata penghubung seperti huruf “Waw” (dan).
Bara’at al-Matla’ (براعة المطلع): Kecemerlangan dan kepiawaian dalam memulakan ucapan atau penulisan sehingga menarik perhatian audiens.
Idhafah (الإضافة): Struktur penyandaran antara dua kata nama yang menghasilkan makna pemilikan, pengkhususan, atau pengagungan.
Ijaz (إيجاز): Teknik meringkaskan kata-kata namun membawa maksud yang sangat luas dan mendalam.
Istimrar (استمرار): Sifat yang menunjukkan sesuatu itu berterusan dan tidak terputus.
Jumlah Ismiyyah (جملة اسمية): Ayat yang bermula dengan kata nama (isim), melambangkan ketetapan dan keabadian.
Kalam Insya’i (كلام إنشائي): Ayat yang tidak bertujuan memberitahu fakta yang sudah sedia ada, sebaliknya mewujudkan makna baru (seperti arahan, doa, atau pujian) semasa diucapkan.
Kalam Khabari (كalam خبري): Ayat penyataan yang mengandungi maklumat yang sudah wujud dalam realiti, yang secara teknikal boleh dinilai benar atau salah.
Thubut (الثبوت): Sifat yang menunjukkan ketetapan dan kestabilan, tidak berubah-ubah mengikut masa atau keadaan.
Kemaskini: 23 Mei 2026

