Tafsir Surah Fatihah Ayat 2 [Bahagian 1] (Segala puji bagi Allah)

Ayat 2:

ٱلحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ

Sahih International

[All] praise is [due] to Allah , Lord of the worlds –

 

Malay

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

 

Allah ‎ﷻ yang menyuruh kita baca ayat ini sebegini. Namun sebenarnya, seperti ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”.

Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan ‘Alhamdulillah’ merupakan pujian yang disampaikan Allah ‎ﷻ untuk diri-Nya. Di dalamnya terkandung perintah kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka memuji-Nya. Seolah-olah Dia mengatakan “Ucapkanlah, alhamdulillah.”

Jadi, ayat ini adalah ayat di mana Allah ‎ﷻ memuji Diri-Nya dan menyuruh hamba-Nya untuk memuji-Nya sebegitu juga.

Selalunya kitab terjemahan akan menterjemahkan ayat ini sebagai ‘Segala puji bagi Allah’ tetapi yang kami belajar ia diterjemahkan begini:

الْحَمْدُ ِللهِ

Pujian itu, sama ada satu atau semua sekali adalah hanya milik Allah.

Sesama kita manusia pun kita ada puji memuji, kepada sultan, orang alim, ibu bapa dan sebagainya. Namun pujian yang sebenarnya hanya pada Allah ‎ﷻ. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang layak dipuji.

Jadi pujian kepada yang selain Allah ‎ﷻ tidaklah sama dengan pujian kita kepada Allah ‎ﷻ. Dari huruf ا dan ل dimaksudkan untuk melengkapi bahawa segala jenis dan bentuk pujian itu, hanya untuk Allah ‎ﷻ semata.

Pujian ada banyak jenis:

1. Pujian Allah ‎ﷻ kepada Diri-Nya
2. Pujian Allah ‎ﷻ kepada makhluk. Contohnya pujian Allah ‎ﷻ kepada Nabi.
3. Pujian makhluk kepada Allah ‎ﷻ. Ini sesuatu yang biasa.
4. Pujian makhluk kepada makhluk. Sebagai contoh, kita selalunya memuji orang lain kerana mereka cantik, pandai atau sebagainya.

Semua jenis pujian itu sebenarnya berbalik semula kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻlah yang menyebabkan semua itu terjadi.

Contohnya jikalau kita memuji seseorang itu pandai, dia tidak pandai secara sendiri. Pandainya dia itu mungkin kerana guru yang pandai mengajar semasa dia  belajar di sekolah dahulu. Atau ibu bapanya yang memantaunya menyebabkan dia rajin belajar dan yang menyebabkan guru itu mengajar dan ibubapa yang memantaunya pun adalah kerana Allah ‎ﷻ juga.

Bermakna, pujian yang diterima itu bukanlah kerana dia sendiri, tetapi boleh disebabkan oleh elemen lain. Namun apabila kita memuji Allah ‎ﷻ, tidaklah Allah ‎ﷻ itu layak dipuji atas sebab-sebab yang lain, melainkan kerana Dia sahaja.

Apabila kita memuji seseorang itu pandai sebagai contoh di atas, Allah ‎ﷻlah sebenarnya yang menjadikan dia pandai. Maka, sebenarnya kita memuji Allah ‎ﷻ pada hakikatnya. Akhirnya, pujian itu berakhir dengan Allah ‎ﷻ juga.

Marilah kita lihat keindahan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an ini berkenaan perkataan ini. Perkataan الْحَمْدُ bukan hanya bermaksud ‘pujian’ sahaja. Ia sebenarnya mengandungi dua maksud di dalamnya: ‘pujian’ dan juga ‘terima kasih’. Dua-dua makna itu terangkum dengan indahnya dalam perkataan الْحَمْدُ itu.

Kalau pujian, dalam bahasa Arab ia adalah ‘madh‘. Manakala terima kasih dalam bahasa Arab adalah ‘syukr‘. Apabila dua perkataan itu digabungkan, ia menjadi الْحَمْدُ.

Dengan menggunakan satu perkataan sahaja, sudah merangkum dua makna. Itulah indahnya bahasa Arab. Sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab dan sebab itulah kita sepatutnya belajar bahasa Arab supaya kita dapat memahami dengan lebih mendalam lagi Al-Qur’an ini.

Dua-dua maksud itu perlu diletakkan bersama kerana dengan Allah ‎ﷻ, kita memuji-Nya dan juga kita berterima kasih kepada-Nya. Kedua-dua elemen itu mesti ada sekali. Namun, kalau dengan makhluk lain, kadang-kadang kita hanya berterima kasih, tetapi kita tidak memujinya. Atau kita memujinya, tetapi kita tidak berterima kasih kepadanya.

Sebagai contoh, kalau kita lihat satu kereta yang cantik, kita mungkin memuji kereta itu, tetapi tidaklah kita berterima kasih kepadanya – kerana kereta itu bukan kereta kita pun.

Ataupun ada masanya, kita berterima kasih, tetapi kita tidak memuji. Sebagai contoh, bapa Nabi Ibrahim عليه السلام adalah pengukir berhala. Dia telah melakukan satu perbuatan yang amat sesat malah syirik. Nabi Ibrahim عليه السلام berterima kasih kepadanya kerana dia adalah bapa yang membesarkannya, tetapi baginda tidak memujinya kerana perbuatan bapanya itu adalah syirik.

Namun begitu, kepada Allah ‎ﷻ, kedua-dua makna itu mesti ada. Tidak pernah kita hanya berterima kasih tanpa syukur atau syukur tanpa pujian kepada-Nya.

Kenapakah Al-Qur’an tidak menggunakan perkataan madh dan syukr itu tetapi menggunakan الْحَمْدُ? Iaitu, tidak digunakan ayat: ‘segala pujian dan terima kasih kepada Allah‘. Kenapa tidak dipecahkan satu persatu? Mungkin ada yang kata kalau begitu, lebih jelas kepada orang yang tidak faham bahawa dalam alhamdu itu ada dua makna.

Tidaklah digunakan sebegitu kerana takut ada kemungkinan kadang-kadang kita memuji Allah ‎ﷻ tetapi tidak berterima kasih kepada-Nya. Atau kadang-kadang kita berterima kasih kepada-Nya sahaja, tetapi tidak memuji-Nya. Itu tidak mungkin terjadi kerana dua-dua elemen itu sentiasa berhak untuk Allah ‎ﷻ. Tidak akan ada waktu di mana hanya ada salah satu sahaja.

Penggunaan madh kalau berdiri sendiri itu tidak sesuai digunakan untuk Allah ‎ﷻ kerana madh juga digunakan untuk perkara yang tidak benar. Atau tidak ikhlas. Sebagai contoh, kita lihat dalam sejarah, banyak pujian telah diberikan kepada pemimpin-pemimpin yang jahat. Namun kita tahu, bahawa pujian itu tidak semestinya benar.

Kadang-kadang pemimpin itu memaksa orang menulis yang baik-baik sahaja mengenai dirinya. Atau kadang-kadang orang yang menulis itu melebih-lebihkan pujian kepada pemimpin yang berkuasa pada waktu itu supaya dia mendapat imbuhan atau selamat dari kejahatan pemimpin itu. Oleh itu, madh juga boleh digunakan untuk perkara yang tidak benar.

Oleh itu, ia tidak sesuai digunakan untuk Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ memang layak dan berhak dipuji. Ia adalah satu kebenaran yang hakiki. Maka, perkataan yang amat sesuai digunakan untuk Allah ‎ﷻ adalah الْحَمْدُ.

Kalau kita menggunakan syukur sahaja dalam Al-Fatihah juga tidak sesuai. Kita selalunya akan berterima kasih jikalau seseorang telah melakukan satu kebaikan kepada diri kita. Contohnya, seseorang memberi kita minum. Ia adalah satu tindakbalas daripada perbuatan orang itu – dia memberi dan kita berterima kasih kepadanya.

Akan tetapi perkataan الْحَمْدُ tidak semestinya hanya jika seseorang telah memberikan kita sesuatu. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan segala-galanya kepada kita. Sebelum kita minta pun Allah ‎ﷻ sudah memberikan segala keperluan kepada kita. Sebelum kita pandai untuk meminta apa-apa pun lagi – seperti sewaktu kita bayi, kita tidak pandai meminta lagi, tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan segala keperluan kepada kita.

Oleh itu, kita harus ingat, bahawa perkataan الْحَمْدُ yang digunakan bermaksud – segala puji dan syukur. Allah ‎ﷻ tidak meletakkan ayat ‘pujilah Allah’ kerana jikalau kita memberikan arahan kepada seseorang, orang itu ada dua pilihan – sama ada dia mengikuti arahan itu atau tidak.

Bermakna, orang itu boleh tidak memuji dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ. Tentulah tidak sesuai kalau kita mempunyai pilihan untuk tidak memuji dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ.

Namun itu tidak menjadi masalah jikalau perkataan yang digunakan adalah الْحَمْدُ – ia bukan dalam bentuk arahan kerana arahan boleh ditolak lagi. Ia adalah satu hakikat kebenaran.

Perkataan الْحَمْدُ adalah satu kata nama – noun. Bukan kata kerja – verb. Jikalau ia adalah kata kerja, ia memerlukan ‘pembuat’. Contohnya, satu perkataan itu tidak lengkap jika begini: “makan nasi”. Kita perlu nyatakan siapakah yang memakan nasi itu. Jadi, ayat yang lengkap adalah “Ahmad makan nasi”.

Bermakna, kata kerja memerlukan pembuat/pelaku kepada perbuatan itu. Namun, perkataan الْحَمْدُ bukanlah kata kerja, tetapi dalam bentuk kata nama. Ia tidak memerlukan pembuat. Bermakna, pemujian kepada Allah ‎ﷻ tidak memerlukan pembuat.

Jikalau tidak ada makhluk yang hendak memuji dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ pun tidak mengapa, kerana Allah ‎ﷻ tetap terpuji dan tempat untuk berterima kasih. Kalaulah dalam alam ini tiada langsung makhluk yang Allah ‎ﷻ ciptakan, Allah ‎ﷻ masih lagi  mempunyai sifat terpuji itu.

Allah ‎ﷻ berhak dan layak menerima pujian dan syukur. Kita berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ atas segala-galanya. Semua yang dilakukan-Nya adalah Maha hebat. Apabila kita menjadi insan yang sentiasa memuji dan bersyukur kepada Allah ‎ﷻ, ia akan mengubah hidup kita. Kita hendaklah berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ dalam keadaan senang ataupun susah.

Selalunya kita tidak ada masalah untuk memuji dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ ketika senang. Namun selalunya jika kita mempunyai masalah untuk berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ jika di dalam kesusahan. Itu adalah masalah kita.

Sebenarnya dalam keadaan susah pun kita harus mengucapkan الْحَمْدُ juga kerana itulah hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ. Hendaklah kita memuji dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ dalam setiap keadaan. Alhamdulillah ala kulli hal – segala puji dan syukur kepada Allah ‎ﷻ dalam setiap keadaanItulah permulaan untuk mengenal agama.

Ulama’ mengatakan permulaan untuk mengenali agama adalah dengan mengenal bahawa Allah ‎ﷻ itu layak dipuji dan layak disyukuri. Yang mempunyai masalah untuk mengucapkan الْحَمْدُ adalah mereka yang tidak mempunyai pegangan agama sahaja.

Sebagai contoh, orang atheist yang tidak ada agama, mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa ada satu entiti yang layak dipuji dan disyukuri. Mereka rasa bahawa tidak ada Tuhan yang menjadikan mereka, tidak ada Tuhan yang menguruskan hal mereka. Mereka sangka semuanya terjadi dengan sendiri. Ini adalah satu pandangan akal yang amat bodoh sekali.

 

اللهِ

Allah

Allah ‎ﷻ mempunyai banyak nama, tetapi Allah ‎ﷻ menggunakan nama-Nya اللَّهِ dalam ayat ini. Ayat ini adalah dalam Surah al-Fatihah, pembuka kepada Al-Qur’an. Surah Al-Fatihah juga adalah memberi pengenalan kepada Allah ‎ﷻ.

Oleh kerana itu kalau ada yang hendak mengenal siapakah Tuhan, kita boleh bacakan Surah Al-Fatihah ini kepadanya sebagai permulaan untuk mereka mengenali Allah ‎ﷻ. Ini kerana beginilah Allah ‎ﷻ telah meletakkan cara untuk memperkenalkan Diri-Nya. Maka, kalau begitu, hendaklah kita mengikut cara-Nya.

Allah ‎ﷻ mempunyai banyak nama – ar-Rahman, ar-Rahim, al-Malik, al-Mukmin dan berbagai-bagai lagi. Itu semua adalah ‘sifat-sifat Allah’ (juga ia adalah Asmaul Husna tetapi ia berasal daripada nama sifat). Bayangkan, kalau orang bertanya siapakah kita apabila pertama kali bertemu, apakah kita akan cakap? Tentulah kita akan memperkenalkan diri kita dengan nama kita. Kita akan jawab: “Nama saya Husna”, contohnya. Kita tidaklah terus berkata: saya peguam. Ini kerana peguam itu adalah pekerjaan kita. Oleh itu, Allah ‎ﷻ tidak memperkenalkan Diri-Nya dengan sifat-sifat-Nya, tetapi dengan Nama-Nya.

Dalam kita memuji Allah ‎ﷻ, kita tidak menggunakan sifat-Nya sahaja kerana kalau kita memuji-Nya dengan menyebutkan Nama-Nya ar-Razzak, kita hanya menyentuh sifat-Nya yang memberi rezeki. Lalu bagaimana dengan sifat-Nya yang lain? Oleh itu, apabila kita memuji Allah ‎ﷻ dengan menggunakan perkataan الْحَمْدُ لِلَّهِ, kita telah merangkumi semua sifat-sifat-Nya yang mulia itu. Ia adalah satu pernyataan yang sempurna.

Ucapan alhamdulillah ini sangat bernilai. Ia lebih bernilai daripada apa-apa sahaja. Termasuk perkara yang kita dapat sampaikan kita mengucapkan alhamdulillah. Katakan kita dapat satu nikmat dari Allah ‎ﷻ, sebagai contoh, ada orang memberikan duit kepada kita. Kita pun memuji dan mengucap syukur kepada Allah ‎ﷻ dengan berkata: alhamdulillah. Ucapan itu lebih bernilai daripada wang yang kita dapat itu. Ini kerana wang itu akan habis, tetapi ucapan alhamdulillah itu akan ditulis di dalam Kitab Amalan kita dan akan kekal sampai bila-bila.

Mengucapkan alhamdulillah juga adalah satu nikmat pemberian yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Yang tidak diberikan kepada semua makhluk-Nya. Tidak semua makhluk mengucapkan alhamdulillah. Orang kafir langsung tidak mengucapkan alhamdulillah.

Begitu juga orang Islam, kalau mereka bukan jenis yang belajar, bukan jenis yang halus hatinya, pun tidak mengucapkan alhamdulillah atas setiap nikmat yang mereka terima. Mungkin kadang-kadang sahaja dia mengucapkannya. Kita pun, kadang-kadang terlupa hendak mengucapkan alhamdulillah. Mungkin kerana kita terlupa, kita tidak sedar atau sebagainya. Bayangkan, Allah ‎ﷻ telah memberikan begitu banyak nikmat tidak terkira banyaknya kepada semua makhluk, tetapi tidak semua makhluk  mampu dan mengingati untuk mengucapkan perkataan yang mulia ini.

Ada juga kalimah pujian lain kepada Allah ‎ﷻ tetapi ada beza dengan kata-kata pujian yang lain:

1. Selain dari الْحَمْدُ لِلَّهِ, kita juga biasa menggunakan kata-kata pujian ini di dalam susunan ayat yang lain. Sebagai contoh, ada juga digunakan perkataan sebegini: ان الحمد لله. innalhamdu lillah. Makna perkataan ini adalah: Sesungguhnya, tidak syak lagi, segala puji dan syukur itu untuk Allah.

Apakah beza dengan menggunakan الْحَمْدُ لِلَّهِ? Bukankah nampak seperti perkataan ان الحمد لله itu lebih kuat lagi maknanya? Kerana ada perkataan ‘inna’ itu yang bermaksud ‘sesungguhnya, tidak syak lagi’. Ia selalu digunakan dalam Al-Qur’an sebagai satu penekanan dalam bahasa. Bukankah jika lebih kuat ia bermaksud lebih baik? Memang benar, tetapi Bahasa Al-Qur’an tidak begitu.

Bahasa Al-Qur’an menggunakan bahasa yang tepat pada waktunya dan menyampaikan apa yang hendak disampaikan bersesuaian di tempatnya. Ada masanya kita menggunakan perkataan dan bahasa yang lain untuk menyampaikan maksud kita.

Kadang-kadang kita bercakap untuk menyampaikan maklumat. Kadang-kadang pula kita bercakap untuk menyampaikan emosi kita. Sebagai contoh, apabila kita mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ itu layak disembah kepada seseorang yang lain, kita memberi penekanan kepada orang itu kerana kita menyampaikan maklumat kepadanya. Namun kalau kita hampir dilanggar kereta, dan kita selamat, kita akan sebut الْحَمْدُ ِللهِ sahaja. Itu adalah penyampaian kata-kata dalam bentuk emosi. Menyatakan betapa kita bersyukur kerana kita selamat.

Tidak sama kalau kita hendak menyampaikan maklumat. Kita menggunakan penekanan dalam bentuk ‘inna’ apabila orang yang kita bercakap itu mungkin tidak tahu atau tidak yakin. Sebab itu kita tambah penekanan dalam ayat itu.

Namun dalam Surah Al-Fatihah ini, penggunaan kata الْحَمْدُ ِللهِ adalah kepada manusia yang sedar tentang Allah ‎ﷻ. Mereka tidak akan menentang pernyataan itu. Itu adalah jikalau mereka tidak menentang fitrah kejadian asal mereka: fitrah kejadian manusia memang sudah mengenal Allah ‎ﷻ ketika di alam roh lagi.

Jadi, dalam Surah Al-Fatihah ini, tidak sesuai jikalau digunakan perkataan ‘inna’ itu kerana seperti kita bercakap dengan orang yang tidak menerima Allah yang layak dipuji dan disyukuri.

2. Ada satu lagi penggunaan kata ini yang disusun dalam bentuk yang lain, yang kita biasa dengar. ولله الحمد. wa lillahil hamd. Maksudnya: dan kepada Allah segala puji dan kesyukuran.

Kali ini Al-Qu’ran menggunakan ayat-ayat yang sama tetapi penggunaan susunan yang terbalik. Ini adalah normal dalam penggunaan nahu bahasa Arab. Apabila digunakan susunan yang seperti ini, ia bermaksud: ‘hanya’ kepada Allah ‎ﷻ segala pujian. Bermakna, ada penambahan makna ‘hanya’ dalam ayat itu.

Dalam surah yang lain di dalam Al-Qur’an pun ada digunakan kata sebegini — iaitu di dalam Surah Jaatsiyah. Namun maksud ayat itu adalah untuk berdebat dengan mereka yang mengamalkan syirik.

Orang yang mengamalkan syirik ini, ada yang sememangnya menyembah Allah ‎ﷻ tetapi dalam masa yang sama, mereka menyembah juga benda yang lain. Seperti segelintir berlaku di dalam masyarakat kita juga — sembah Allah ‎ﷻ tetapi dalam masa yang sama, sembah Nabi, wali dan malaikat.

Maka, amatlah sesuai kalau digunakan penekanan kata ‘hanya‘ itu kerana hendak menyampaikan bahawa ‘hanya‘ Allah ‎ﷻ sahaja yang layak dipuji dan disyukuri. Yang lain-lain hendaklah ditolak.

Namun bukan maksud itu yang hendak disampaikan dalam Surah Fatihah. Surah Fatihah adalah tempat Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dan tidak memperkatakan tentang sembahan-sembahan yang lain. Allah ‎ﷻ tidak mahu pun untuk sebut tentang sembahan-sembahan lain dalam Surah Al-Fatihah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Oktober 2019

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s