Ayat 33: Sambungan Takhwif Ukhrawi. Ayat sebelum ini adalah tentang mereka yang tidak percaya dengan Hari Kiamat. Bila manusia tidak yakin benar-benar dengan adanya Hari Kiamat, mereka tidak takut melakukan dosa.
Maka, apa yang akan terjadi pada Hari Kiamat itu nanti? Allah ﷻ ceritakan keadaan di neraka kelak untuk menakutkan kita. Kalau kita dapat selami ayat ini, maka kita akan takut untuk masuk neraka dan akan takut untuk buat dosa.
وَبَدا لَهُم سَيِّئَاتُ ما عَمِلوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ
And the evil consequences of what they did will appear to them, and they will be enveloped by what they used to ridicule.
Dan (pada ketika itu) ternyatalah kepada mereka kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!
وَبَدَا لَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا عَمِلُوا
Dan nyatalah kepada mereka kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan,
Dosa-dosa yang manusia telah lakukan semasa di dunia akan menjelma di hadapan mata mereka dalam bentuk fizikal, boleh nampak manakah dosa mereka.
Maknanya, dosa mereka semasa di dunia sudah menjadi azab neraka. Semasa mereka buat dosa itu di dunia, nampak macam tidak ada apa-apa tetapi kesannya akan menjelma di akhirat kelak. Bayangkan betapa terkejutnya nanti!
وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِءونَ
serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!
Dulu mereka ejek-ejek tidak percaya kepada Hari Akhirat, sekarang sudah nampak di depan mata mereka. Azab itu pun akan meliputi mereka, sampai tidak boleh lari lagi! Na’uzubillah min zalik!
Mereka juga dulu tidak percaya kepada azab-azab yang dijanjikan kepada mereka, malah dijadikan sebagai bahan ejekan sahaja. Sebagai contoh, mereka kata: “Ah, kami tak kisah kalau makan buah Zaqqum tu, sedap kot buah tu!”. Nah, di akhirat nanti mereka akan diseliputi dengan azab-azab itu.
Ayat 34: Sambungan takhwif ukhrawi.
وَقيلَ اليَومَ نَنسٰكُم كَما نَسيتُم لِقاءَ يَومِكُم هٰذا وَمَأوٰكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِّن نّٰصِرينَ
And it will be said, “Today We will forget you as you forgot the meeting of this Day of yours, and your refuge is the Fire, and for you there are no helpers.
Dan dikatakan (kepada mereka): “Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan.
وَقِيلَ الْيَوْمَ نَنسٰكُمْ
Dan dikatakan: “Pada hari ini Kami lupakan kamu
Inilah kata-kata Allah ﷻ kepada mereka yang berdosa itu. Allah ﷻ kata yang Dia ‘lupakan’ mereka iaitu bermaksud Allah ﷻ tidak hiraukan mereka yang menderita di dalam azab seksa.
Allah ﷻ sengaja ‘lupa’ hendak masukkan mereka ke dalam syurga. Inilah bahasa kiasan yang Allah ﷻ gunakan. Ini kerana bukanlah Allah ﷻ pelupa, takkan Allah ﷻ boleh lupa, cuma Allah tidak layan sahaja. Meraung meronta macam mana pun, Allah ﷻ buat tidak kisah sahaja.
كَمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا
sebagaimana kamu lupakan persediaan untuk menemui hari kamu ini;
Sebab dulu mereka buat tidak kisah kepada Hari Kiamat dan tidak bersedia pun menghadapi hari itu. Malah mereka juga tidak takut kerana tidak percaya. Mereka leka dengan keindahan dan kesenangan di dunia sampai tidak beramal dengan amalan yang soleh.
Mereka sibuk ke sana dan ke sini sampai tidak luangkan masa untuk belajar agama dengan benar. Maka balasannya Allah lupakan mereka untuk diberi rahmatNya.
وَمَأْوٰكُمُ النَّارُ
dan tempat kamu ialah neraka,
Kalimah مَأْوٰ adalah tempat tinggal yang kekal sampai bila-bila. Kekal mereka di dalam neraka, bergantung kepada dosa yang telah dilakukan. Kalau dosa syirik, mereka tidak akan ada peluang untuk keluar dari Neraka itu.
Kalau mereka beriman dan tidak melakukan syirik, tetapi ada melakukan dosa, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka untuk waktu yang tertentu – tidak tahu berapa lama. Kemudian mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.
وَمَا لَكُم مِّن نّٰصِرِينَ
dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.
Selalunya dalam dunia, ada sahaja sesiapa yang boleh tolong kita; keluarga kita, kawan-kawan kita dan sebagainya. Namun, tidak ada sesiapa yang dapat menolong mereka di Neraka itu.
Ayat 35: Kenapa mereka mendapat balasan seteruk itu? Ini akan diberitahu kepada mereka sebagai takzib rohani. Sebagai azab kepada jiwa mereka.
ذٰلِكُم بِأَنَّكُمُ اتَّخَذتُم ءآيٰتِ اللهِ هُزُوًا وَغَرَّتكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۚ فَاليَومَ لا يُخرَجونَ مِنها وَلا هُم يُستَعتَبونَ
That is because you took the verses of Allah in ridicule, and worldly life deluded you.” So that Day they will not be removed from it, nor will they be asked to appease [ Allah ].
“(Balasan buruk) yang demikian ini ialah kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat keterangan Allah sebagai ejek-ejekan, dan kerana kamu telah membiarkan diri kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia”. Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka, dan mereka tidak diberi peluang untuk bertaubat (memperbaiki kesalahannya).
ذَٰلِكُم بِأَنَّكُمُ اتَّخَذْتُمْ ءآيٰتِ اللهِ هُزُوًا
“Yang demikian ini ialah kerana kamu telah mengambil ayat-ayat Allah sebagai ejek-ejekan,
Mereka jadikan ayat-ayat Al-Qur’an itu sebagai mainan sahaja. Macam-macam cara mereka mengejek ayat-ayat Allah ﷻ itu. Mereka ambil kisah-kisah yang pada mereka tidak masuk akal, dan mereka kutuk ayat-ayat itu. Mereka kata kenapalah orang-orang Islam bodoh sangat sampai boleh percaya.
Bukan orang bukan Islam sahaja yang mengejek ayat-ayat Allah ﷻ sebagai ejekan, yang orang Islam pun begitu juga. Apabila mereka tidak belajar, dan kita katakan ayat ini membawa maksud yang tertentu, mereka kata kita yang salah, mereka buat ejek-ejekan pula.
Atau mereka kata kepada mereka yang berdakwah dengan menggunakan ayat Al-Qur’an: “Tak habis-habis dengan Al-Qur’an, tidak ada benda lain lagi kah?”.
Bagaimana pula dengan mereka yang tidak belajar langsung? Apabila kita ajak mereka belajar Tafsir Al-Qur’an, mereka kata tidak perlu belajar, sebab sudah faham Al-Qur’an. Ada yang lebih karut kata Al-Qur’an sudah ada dalam dada mereka, kerana mereka ada ilmu ‘sedut’ Al-Qur’an. Ini selalunya difahami oleh golongan tarekat yang karut.
Begitulah macam-macam lagi alasan yang mereka berikan. Ingatlah, tidak belajar Tafsir Al-Qur’an pun sudah dikira main-main sebab tidak menghiraukan ayat Allah ﷻ. Mereka merendahkan kepentingan memahami Al-Qur’an. Amat ramai yang begini.
وَغَرَّتْكُمُ الْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا
dan kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia”.
Maksudnya mereka telah terpedaya dengan dunia. Mereka telah disibukkan dengan keinginan berlebihan kepada dunia. Sibuk macam-macam hal – kerja, persatuan, anak dan isteri, rukun tetangga dan sebagainya hingga hendak belajar pun susah. Kalau diajak untuk belajar, ada sahaja masalah mereka – tidak senang, anak sakit, anak kena hantar ke tuisyen dan macam-macam lagi.
Mereka terpesona dengan segala keindahan dunia. Mereka hendak buat itu dan ini, pergi main golf, jalan-jalan ke tempat pelancongan, pergi gym dan sebagainya.
Mereka juga hendak keindahan dan gemerlapan dunia. Ini seperti barang kemas, jam yang cantik, kereta yang cantik, rumah yang cantik, isteri yang cantik dan macam-macam lagi. Jadi, untuk mendapatkan semua itu, mereka kena bekerja keras, berniaga dengan tekun.
Kerja dan berniaga tidaklah salah tetapi kalau sampai ia menyebabkan lupa kepada agama, sibuk sangat sampai tidak belajar agama, maka itulah yang jadi salahnya. Ini kerana apabila tidak belajar, maka mereka jadi jahil dan apabila jahil, ada benda salah yang mereka lakukan. Syaitan pun senang hendak menipu mereka.
Ingatlah bahawa agama ini kena nombor 1. Ia kena duduk di atas dalam prioriti kehidupan kita. Bukanlah belajar agama ini kalau ‘ada masa lapang’, ‘bila senang’, ‘bila tidak ada apa-apa hendak buat’, bukan. Memang kena cari masa untuk belajar agama dan tinggalkan perkara lain kalau terpaksa. Janganlah sampai hendakkan dunia sangat sampaikan lupa tentang agama.
Ini kerana kalau untuk belajar, kena tunggu bila masa percuma, tidak akan ada, kerana kita akan disibukkan sentiasa dengan masalah dunia. Syaitan akan pastikan ada sahaja alasan untuk tidak belajar. Maka kena kuatkan semangat.
فَالْيَوْمَ لَا يُخْرَجُونَ مِنْهَا
Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka,
Kalau mereka telah melakukan syirik atau ada fahaman syirik, mereka akan tinggal selama-lamanya di dalam neraka. Tidak akan ada peluang untuk keluar. Inilah yang amat menakutkan sekali.
وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ
dan mereka tidak diberi peluang untuk menyelamatkan diri.
Kalimah يُسْتَعْتَبُونَ adalah apabila seseorang mengurangkan marah orang lain dengan meminta maaf, minta ampun, bertaubat, minta tolong. Di akhirat kelak, mereka tidak dibenarkan minta maaf pun. Seperti disebut dalam Zukhruf:77
وَنَادَوْا يَا مَالِكُ لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ قَالَ إِنَّكُم مَّاكِثُونَ
Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Maalik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!”
Apa sahaja yang mereka minta di Neraka nanti tidak akan dilayan. Zaman untuk bertaubat sudah terlepas. Masa untuk merayu sudah tiada lagi. Mereka tidak akan diberi peluang pun untuk merayu. Jangan kata rayuan diluluskan, didengarkan pun tidak.
Ayat 36: Ayat 36 & 37 adalah Perenggan Makro Ketujuh dan terakhir. Ia mengandungi puji-pujian kepada Tuhan yang AzizulHakim. Ayat 36 ini adalah Dalil Aqli. Siapakah Allah ﷻ? Allah ﷻ memberitahu sifat-sifat-Nya dalam ayat ini. Maka kerana itu penting untuk belajar kenal Allah dari ayat-ayat Al-Qur’an kerana Allah memperkenalkan DiriNya dalam Al-Qur’an.
فَلِلَّهِ الحَمدُ رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَرَبِّ الأَرضِ رَبِّ العٰلَمينَ
Then, to Allah belongs [all] praise – Lord of the heavens and Lord of the earth, Lord of the worlds.
(Demikianlah ajaran dan peringatan Allah Yang Maha Adil) maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, – Tuhan sekalian alam.
فَلِلَّهِ الْحَمْدُ
maka hanya bagi Allah jualah segala pujian dan penghargaan,
Segala pujian itu milik Allah ﷻ. Satu puji, dua puji dan segala puji. Perkataan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam perbahasan Surah Fatihah.
Namun, ada sedikit perbezaan dalam penggunaan kata alhamdu dalam Surah Fatihah dan surah ini. Apabila diterbalikkan dengan didahulukan kalimah فَلِلَّهِ itu, ia bermaksud *hanya* iaitu dalam bentuk eksklusif.
Dalam Fatihah tidak disebut ‘hanya’ Allah ﷻ sahaja yang terpuji. Kenapa ada penambahan dan penekanan dalam ayat ini? Sebab ada manusia yang menyembah selain dari Allah ﷻ. Allah ﷻ menekankan bahawa itu tidak boleh, yang sepatutnya kita lakukan adalah *hanya* sembah Allah ﷻ sahaja.
Allah ﷻ tekankan dalam ayat ini kerana ada jenis manusia yang menyembah dan memuja juga kepada selain Allah ﷻ. Jadi Allah ﷻ memperbetulkan pemahaman mereka. Namun, di dalam Surah Fatihah, itu adalah pemberitahuan tentang sifat Allah ﷻ sahaja dan bukannya untuk menidakkan salah faham golongan-golongan yang musyrik.
Maka susunan dalam ayat Fatihah itu adalah dalam bentuk normal sahaja.
رَبِّ السَّمٰوٰتِ
Tuhan yang mentadbirkan langit,
Allah ﷻ lah yang menjadikan dan mentadbir langit itu. Bukan sahaja Allah ﷻ menjadikan langit itu dari tiada kepada ada, tetapi selepas Allah ﷻ jadikan, Allah ﷻ mentadbir langit itu. Allah ﷻ tidak membiarkan sahaja alam ini bergerak sendiri tetapi Allah ﷻ yang menjaga dan urus segala perkara.
وَرَبِّ الْأَرْضِ
dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, –
Allah ﷻ lah yang menjadikan dan mentadbir bumi ini. Bukan sahaja Allah ﷻ menjadikan bumi ini dari tiada kepada ada, tetapi selepas Allah ﷻ jadikan, Allah ﷻ mentadbir bumi ini.
رَبِّ الْعٰلَمِينَ
Tuhan sekalian alam.
Bukan sahaja langit dan bumi, tetapi seluruh alam. Allah ﷻ sebutkan langit dan bumi dahulu kerana itulah yang kita tahu dan kita nampak. Ada lagi alam lain yang kita tidak nampak dan kita tidak tahu.
Inilah juga kata-kata yang terdapat dalam Surah Fatihah juga. Terdapat persamaan dan perbezaan antara ayat ini dan ayat dalam Fatihah nampaknya.
Ayat 37: Oleh kerana Allah ﷻ sahaja yang ada sifat sebegitu, maka hendaklah kita sembah dan seru doa kepada Allah ﷻ sahaja.
وَلَهُ الكِبرِياءُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
And to Him belongs [all] grandeur within the heavens and the earth, and He is the Exalted in Might, the Wise.
Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
وَلَهُ الْكِبْرِيَاءُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ
Dan bagiNyalah kebesaran di langit dan di bumi;
Kehebatan dan kekuasaan hanya milik Allah ﷻ. Allah ﷻ menekankan dalam ayat ini kerana ada manusia yang sombong. Allah ﷻ hendak kata, apalah yang hendak disombongkan sangat, padahal mereka itu bukan besar mana pun. Allah ﷻ yang paling besar dan tidak ada yang lebih besar dari Allah ﷻ.
Maka oleh kerana Dialah yang paling besar, maka kepada-Nya sahajalah kita sembah dan seru dalam doa. Jangan sembah dan buat ibadat kepada selain Allah ﷻ dan berdoa kepada yang selain Allah ﷻ. Selain itu jangan gunakan entiti mana-mana sebagai wasilah dalam amalan tawasul.
وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Allah ﷻ berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia hendak. Allah ﷻ boleh menghukum hamba-Nya bila-bila masa sahaja yang Dia mahu.
Namun, walaupun Allah Maha Berkuasa, Allah ﷻ mentadbir alam ini dengan Sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Dua sifat ini telah disebut di awal surah ini dan sekarang di hujungnya disebut lagi. Nanti di awal surah seterusnya, Surah Ahqaf pun akan disebut lagi dua sifat Allah ini.
Allah ﷻ boleh seksa dan azab makhluk-Nya bila-bila masa, tetapi dengan kebijaksanaan-Nya, Dia tangguhkan seksaan itu sehingga ke waktu yang tertentu. Ini memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat. Tidaklah kita terus diberi balasan azab setiap kali kita melakukan dosa.
Allahu a’lam. Sekian terjemah Surah Jathiya ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Ahqaf.
Kemaskini: 30 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani