Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 1 – 5 (Yang diseru, tidak mendengar langsung)

Pengenalan:

Surah ini hendak menjawab tentang kekeliruan dalam berdoa. Terdapat salah faham dalam masyarakat kita yang selalunya menggunakan ‘tawasul’ yang dilarang dalam urusan doa mereka.

Surah ini adalah salah satu dari surah ‘tujuh ha mim’ yang menjadi tafsir untuk potongan ayat إِيَّاكَ نَسْتَعِينُ daripada surah Fatihah.

Surah-surah hawamin itu adalah tentang ‘doa’ dimana kita diajar untuk hanya meminta kepada Allah ﷻ, tanpa menggunakan perantaraan yang dilarang. Perantaraan itu dalam bahasa Arab dipanggil tawasul.

Sepanjang kita belajar sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam berdoa. Ini telah diberitahu dalam Surah Ghafir. Dakwa surah ini sama seperti surah-surah Ha Mim yang lain – Tauhid dalam berdoa dan istianah.

Surah ini mempunyai ‘Maksud’ surah yang tersendiri. Apabila diberitahu tentang tauhid di dalam berdoa, maka ada kesamaran-kesamaran yang timbul di dalam fikiran manusia. Maka Allah ﷻ turunkan 6 surah yang juga dimulai dengan lafaz haamin sebagai menjawab kesamaran dan kekeliruan itu. Surah ad-Dukhan ini mempunyai satu kesamaran yang hendak diperjelaskan kekeliruannya.

Surah Fussilat menjawab kekeliruan manusia yang pertama. Mereka katakan apabila menyeru selain dari Allah ﷻ, mereka mendapat apa yang mereka kehendaki. Allah ﷻ beritahu di dalam surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

Selepas itu, Surah Syura pula menjawab kekeliruan kedua. Ada yang dakwa kononnya ada dalil-dalil menyatakan bahawa seruan selain kepada Allah ﷻ itu boleh. Surah Syura ini memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu sahaja. Maka selain dari dalil itu, yang membenarkan melakukan perkara dilarang di dalam wahyu adalah tertolak.

Kemudian, Surah Zukhruf telah menjawab kekeliruan yang ketiga: Ada yang berhujah kata mereka tidak meminta kepada selain Allah ﷻ itu tetapi hanya menyeru sahaja untuk mendapatkan sokongan dan syafaat dari wali, Nabi atau malaikat. Mereka berharap supaya doa itu dimakbulkan dan mendapat syafaat di akhirat kelak.

Mereka kata mereka tidak meminta terus kepada seruan-seruan itu kerana mereka tahu bahawa yang boleh memakbulkan doa hanya Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ memberitahu bahawa inilah juga fahaman Musyrikin Mekah.

Kalau masyarakat Islam kita juga ada fahaman sebegini, maka mereka turut sama sahaja dengan Musyrikin Mekah. Ini dinamakan Syirik fi Syafa’at.

Surah Dukhan telah menjawab kekeliruan yang keempat: Kesamaran tentang doa timbul kerana ada manusia yang kata, selain Allah ﷻ, ada makhluk lain yang boleh mendengar juga doa manusia dan tahu isi hati manusia yang berdoa. Mereka berkata begitu kerana akidah syirik mereka.

Mereka katakan ada makhluk-makhluk yang boleh mendengar seruan manusia yang berdoa kepada mereka. Mereka beranggapan Allah ﷻ telah memberi berkat kerana kelebihan dan kemulian makhluk itu, sampai boleh mendengar seruan manusia.

Walaupun sudah mati sekurang-kurangnya, apa yang diseru itu boleh membawa doa kepada Allah ﷻ dan memberi keberkatan kepada mereka.

Allah ﷻ telah menjawab dalam surah Dukhan bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan tahu doa kita, dan kerana itu kita harus doa dan seru hanya kepada Allah ﷻ .

Surah Jathiya pula telah menjawab kesamaran yang kelima. Ada yang kata, kalau Allah ﷻ hendak, Dia boleh beri ilah lain seperti Nabi dan wali itu boleh mendengar doa dan seruan mereka itu. Allah ﷻ jawab yang dalam syariat Allah ﷻ, tentang akidah ini tidak ada sebarang kemungkinan atau agak-agak.

Syariat tentang akidah memang sudah jelas kerana ia adalah dalil yang qat’ie – dalil yang jelas, tidak ada kemungkinan lain. Allah ﷻ sudah larang seru kepada selain dari Dia dalam doa dan penyembahan dan terdapat dalam banyak ayat-ayat dalam Qur’an. Lalu bagaimana Allah ﷻ benarkan perkara yang Dia sudah larang? Ini tidak mungkin.

Surah Ahqaf adalah surah terakhir dalam rentetan Surah-surah Hawamiim. Ia  diturunkan untuk memperbetulkan kesamaran ke-enam dan terakhir dalam hal doa.

Maksud atau Dakwa surah ini adalah pada ayat 28 surah ini:

فَلَولا نَصَرَهُمُ الَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِ اللَّهِ قُربانًا آلِهَةً ۖ بَل ضَلّوا عَنهُم ۚ وَذٰلِكَ إِفكُهُم وَما كانوا يَفتَرونَ
Mengapa tidak mereka dibela oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah)? (Tetapi tidak), bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka. Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.

Puak yang tidak faham tauhid mengatakan: selain Allah ﷻ, walaupun mereka tidak mendengar dan tidak dapat selesai masalah yang didoakan kepada mereka, sekurang-kurangnya boleh memberi berkat kerana kedudukan mereka yang rapat dengan Allah ﷻ.

Mereka kata banyak pengalaman yang sudah menjadi. Oleh kerana itu mereka terus membuat amalan syirik itu. Malah mereka pertahankan amalan berdoa kepada selain Allah ﷻ dan bertawasul dalam doa itu.

Allah ﷻ kata selesai masalah bukan tanda perbuatan itu benar. Allah ﷻ memang boleh memberi apa yang mereka hendak walau telah seru selain Allah ﷻ. Orang kafir memang banyak yang kaya dan berkuasa tetapi Dia humban mereka semua masuk neraka dan akan kekal dalam neraka.

Begitulah mereka terus sesat kerana mereka hidup senang di dunia. Amalan syirik pun menjadi juga apabila mereka amalkan.

Allah ﷻ tanya dan tempelak mereka: Kenapa roh-roh yang mereka seru itu tidak membantu mereka di akhirat? Tidak dapat menyelamatkan mereka dari kekal dalam neraka, kenapa? Maknanya, sudahlah yang diseru itu tidak dengar, tetapi kalau dengar pun, mereka TIDAK DAPAT membantu!

Lafaz قُربانًا bermaksud: ingin menghampirkan diri kepada Allah ﷻ.  Ini ada disebut dalam Zumar:3

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللَّهِ زُلفىٰ

Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,

Oleh kerana tidak faham tauhid, ramai manusia yang mengambil selain Allah ﷻ sebagai ilah.  Banyak kali kita telah jelaskan, ilah itu adalah sebagai penyelesai masalah, penyempurna hajat, tempat sandaran hati manusia.

Menjadikan selain Allah ﷻ sebagai ilah adalah salah kerana segala sifat-sifat itu adalah sifat ketuhanan dan tidak boleh disandarkan kepada selain Allah ﷻ. Sedangkan setiap hari mereka bertahlil (la ilaaha illallah), iaitu kalimah menolak syirik kepada ilah tetapi dalam masa yang sama, mereka buat pula syirik.

Segala sembahan-sembahan dan tempat seruan mereka seperti Nabi, wali dan malaikat akan hilang dari bantu mereka. Mereka puja dan mereka seru sembahan-sembahan itu tetapi tidak ada pun yang akan menolong mereka. Ini kerana yang diseru dan disembah itu tidak tahu pun yang mereka diseru dan disembah (kerana mereka telah mati). Malangnya, mereka hanya tahu bila di akhirat sahaja nanti dan waktu itu sudah terlambat.

Mereka kata apa yang telah dilakukan dalam seruan dan sembahan selain Allah ﷻ itu benar kerana menjadi – itu adalah إِفكُهُم – pembohongan kamu sahaja.

Amalan yang mereka lakukan itu adalah يَفتَرونَ – yang mereka ada-adakan sahaja. Mereka reka cara macam-macam untuk seru dan ibadat kepada selain Allah ﷻ itu. Sebagai contoh, mereka guna daun itu ini, garam, bertih, lada hitam dan sebagainya. Memang mereka kena reka sendiri kerana tidak ada dalam wahyu atau amalan dari Nabi atau sahabat.

Malah yang ajar dan suruh mereka buat begitu adalah jin. Jin itu mengajar dan membisikkan cara-cara yang salah  sebab mereka sendiri memang memuja jin tanpa pengetahuan mereka. Mereka bukannya puja roh Nabi, wali, malaikat tetapi sebenarnya memuja jin. Untuk melihat perkara ini terjadi sekarang, tengoklah bagaimana puak Habib ajar masyarakat kita dengan ajaran-ajaran sesat mereka.

Khulasahnya, di Akhirat nanti mereka tidak akan selamat dan yang penting adalah keselamatan kita di akhirat nanti. Jangan tengok zahir dunia sahaja. Surah Ahqaf ini hendak mengajar kita untuk lihat kepada hujung hidup kita nanti – di akhirat nanti.

Jangan kita selamat di dunia sahaja, tetapi kita juga hendak selamat di akhirat nanti. Dunia hanya sementara dan akhirat yang kita akan kekal abadi. Kalau kita kekal dalam neraka, alangkah malangnya, tidak ada yang lagi malang dari itu.

Dalam surah ini banyak diberikan dalil-dalil supaya kita mengambil pengajaran, termasuk dalil dari kata-kata jin. Mereka pun ada yang beriman setelah mereka kenal dengan Qur’an.

Jangan tertipu dengan hal jin ini. Ramai yang menggunakan khidmat jin sedangkan jin, termasuk jin Islam pun, tidak jumpa manusia dan tidak ada hubungan dengan manusia. Hinggakan Nabi Muhammad ﷺ juga menyekat para sahabat dari berjumpa dengan mereka. Kalau Nabi ﷺ berjumpa dengan jin, Nabi ﷺ akan pergi sendiri sahaja.

Maka, jangan percaya kalau ada yang kata mereka berkawan dengan jin, menggunakan jin untuk kebaikan, jin mereka beritahu itu dan ini dan sebagainya. Ramai yang tertipu dengan jin, kononnya mereka kata jin-jin itu boleh dipercayai kerana itu Jin Islam. Namun, mana boleh percaya benda sebegitu, kerana bukan ada IC untuk menunjukkan yang mereka benar-benar Jin Islam.


 

Ayat 1:

حم

 

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat muqattaah ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah ﷻ tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa.

Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana Allah ﷻ tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad ﷺ juga tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi ﷺ memberitahu maknanya. Ada perkara yang Allah ﷻ tidak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad  ﷺ.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’ dan mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Ini kerana mereka mungkin rasa malu dan takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu.

Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawab juga mengikut agak-agak mereka, walaupun tahu maklumat itu tidak tepat.

Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawap: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’ dan mempunyai fikiran yang kosong untuk bersedia menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar.

Jadi, apabila Qur’an menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Qur’an itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ia adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Qur’an yang Allah ﷻ telah turunkan untuk kita.


 

Ayat 2: Ayat Muqaddimah kepada surah ini.

تَنزيلُ الكِتٰبِ مِنَ اللهِ العَزيزِ الحَكيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The revelation of the Book is from Allāh, the Exalted in Might, the Wise.

MALAY

Diturunkan Al-Qur’an ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

تَنزِيلُ الْكِتٰبِ

Turunnya Al-Qur’an ini,

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memperingatkan kita bahawa Qur’an itu diturunkan oleh-Nya. Umumnya adalah bermaksud seluruh Qur’an ini diturunkan dan khususnya, ia merujuk kepada surah ini;

Dari segi bahasa, perkataan تَنْزِيلُ  ini menunjukkan bahawa penurunan Qur’an itu mengambil masa yang lama, bukan sekaligus. Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ mengambil masa hampir 23 tahun lamanya.

Allah ﷻ mengambil masa untuk memberikan Qur’an ini kepada manusia. Kelebihannya, manusia dapat mengambil pengajaran sedikit demi sedikit. Ini mengajar kita bahawa untuk memahami Tafsir Qur’an ini, mengambil masa yang lama.

Qur’an tidak boleh dipelajari dengan kelam kabut. Kita kena memahaminya dengan mendalam. Sekurang-kurangnya setakat yang kita mampu.

 

مِنَ اللهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ

dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Qur’an ini bukan daripada Nabi, malaikat atau wali-wali lain. Ia daripada Allah ﷻ semata-mata. Rasul itu pesuruh Allah ﷻ dan tugasnya menyampaikan Qur’an ini kepada kita, oleh itu Qur’an itu bukanlah dari kata-kata Rasul itu.

Rasul itu bersifat sebagai hamba Allah ﷻ semata-mata – menurut arahan Allah ﷻ dan menyampaikan apa yang mereka telah disuruh untuk sampaikan. Manusia bersifat hamba dan sebagai hamba, kena ikut apa yang telah disampaikan oleh Allah ﷻ. Begitu juga Malaikat, mereka juga taat kepada arahan dari Allah.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberi amaran dan peringatan kepada kita: dengar baik-baik, Qur’an ini daripada Allah ﷻ, bukan dari orang lain. Oleh itu, jangan kamu mempermainkannya dan buat tidak endah kepadanya. Kenalah kamu belajar Qur’an itu dan tafsirnya sampai kamu faham.

Bukan setakat baca sahaja, tetapi tidak faham apa yang hendak disampaikan dalam Qur’an itu. Malangnya, kebanyakan dari orang Islam hanya baca sahaja Qur’an ini tanpa memahami apa yang mereka baca. Oleh kerana itu, banyak perkara yang mereka langgar.

Sepatutnya kita menghargai ayat-ayat dari Qur’an ini kerana ia dari Allah ﷻ, Tuhan yang menjadikan kita. Namun, amat sedih sekali, masyarakat kita kalau surat dari orang lain, dari kawan-kawan, dari kerajaan, dari majikan, malah surat dalam bentuk iklan mereka akan baca.

Namun, dengan Qur’an, mereka buat tidak endah sahaja. Padahal ayat-ayat Qur’an itu bukan dari sesiapa melainkan Allah ﷻ. Tidakkah kita malu dengan Allah ﷻ? Sedangkan kalau surat dari kekasih kita, berkali-kali kita baca dan tenung tetapi apabila ‘surat’ dari Allah ﷻ, kita buat biasa sahaja.

Ingatlah, Qur’an itu dari Allah ﷻ. Kemudian Allah ﷻ terangkan sifat-Nya. Ini kerana untuk mengenal Allah ﷻ, Allah ﷻ telah terangkan dalam Qur’an ini satu persatu tentang siapakah Diri-Nya.

Siapakah yang layak untuk memperkenalkan diri? Tentulah orang itu sendiri yang selayaknya memperkenalkan Diri-Nya sendiri. Kalau orang tiak kenal saya, tentulah saya orang yang paling layak untuk kenalkan diri saya, bukan? Bagaimana pula dengan Allah ﷻ?

Tentulah Allah ﷻ paling layak mengenalkan Diri-Nya, sifat-Nya, kemahuan-Nya dan kebencian-Nya. Allah ﷻ memang telah terangkan siapa Diri-Nya dalam Qur’an ini dan ditambah lagi dengan pemberitahuan dari Nabi-Nya Muhammad ﷺ yang paling kenal Allah ﷻ.

Maka, hendak kenal Allah ﷻ, kenalah belajar Tafsir Qur’an kerana Allah telah terangkan mengenai Diri-Nya dalam Qur’an dengan banyak sekali. Bukannya belajar tarekat untuk mengenal Allah ﷻ dengan cara yang tidak sahih. Mereka itu mereka-reka sahaja cara untuk mengenal Allah ﷻ.

Mereka kononnya hendak kenal Allah ﷻ dengan cara cepat, tetapi mereka tertipu. Mereka reka cara-cara yang salah, bidaah dan cara yang syirik pun ada. Cara amalan mereka itu tidak pernah diajar oleh Nabi. Semua itu mereka yang cipta sendiri caranya. Maka, berhati-hatilah dengan gerakan tarekat dan tasauf yang banyak dalam negara ini dan serata dunia.

Allah ﷻ sebut dalam ayat ini yang Dia bersifat Maha Perkasa. Kalau kamu hendak lawan Allah ﷻ, Dia boleh kalahkan kamu dan kamu tidak akan menang. Tidak lemah Dia oleh sebab penentangan kamu terhadap-Nya. Dia Maha Perkasa dan tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun.

Dia kebal daripada segala ancaman musuh dan tidak terkesan oleh semua kata-kata dan perbuatan kita. Allah ﷻ tidak pun akan terkesan daripada apa perkara sekalipun. Kerajaan-Nya tetap seperti biasa. Tidak siapa boleh menentang-Nya. Sama ada kita hendak terima atau tidak, Dia tetap Maha Perkasa. Bukan dengan keingkaran kita boleh menyebabkan Allah ﷻ jadi kurang martabat-Nya.

Tidak seperti manusia di dunia. Kita ambil contoh seorang raja. Raja akan menjadi lemah jika rakyat menentangnya atau tidak memberi sokongan kepadanya. Tanpa rakyat, seseorang raja itu tidak berkuasa. Termasuk juga mana-mana ketua atau pemimpin. Kalau mereka ditentang, lemahlah mereka kerana sokongan dari orang bawahan amat diperlukan. Jika tiada sokongan, rebahlah seseorang ketua atau pemimpin itu.

Akan tetapi, Allah ﷻ tidak begitu sifat-Nya. Walaupun seluruh makhluk menentang-Nya, kuasa Allah ﷻ tidak akan sedikit pun berkurangan.

Jika  kita semua mengamalkan Islam mengikut apa yang Dia syariatkan, tidak akan menyebabkan Dia bertambah perkasa. Dia perkasa dengan sendiri, bukan disebabkan sokongan dan kepatuhan kita. Bukan dipengaruhi oleh apa-apa faktor.

Allah Maha Sempurna, tidak terkesan dengan sebarang perbuatan kita. Maka wajiblah kita menerima Qur’an kerana Allah ﷻ menegaskan bahawa turunnya Qur’an adalah daripada Allah ﷻ yang bersifat Al-Aziz. Kalau kita mendapat arahan dari pihak berkuasa, kita akan patuh kerana mereka itu yang berkuasa.

Sekarang, yang Maha Kuasa adalah Allah ﷻ, tidakkah layak untuk kita patuh kepada-Nya? Ada lagikah yang lagi perkasa dari Allah ﷻ?

Oleh sebab sifat-Nya yang tiada tandingan, Allah ﷻ boleh buat apa-apa sahaja, kepada siapa-siapa sahaja, mengikut kehendak-Nya. Untuk lebih faham apakah maksud Maha Perkasa, mari kita buat satu contoh. Katakanlah di satu negeri, ada samseng yang menakutkan semua orang termasuk polis, askar mahupun ulama, semuanya takut.

Maka disebabkan semua orang takut kepadanya, si samseng ini bebas melakukan apa sahaja tindakan yang diingininya, pada bila-bila masa yang dia mahu. Perkara sebegini sebenarnya, tidak berlaku pada manusia. Sekuat manapun seseorang samseng itu, mustahil baginya untuk mengalahkan semua orang. Tidak akan ada yang bersifat sebegitu dalam alam ini. Sifat Maha Berkuasa hanya ada pada Allah ﷻ.

Kuasa Allah ﷻ itu tanpa ada had batasan. Selalunya, kalau seseorang manusia ada kuasa, mereka akan menyalahgunakan kuasa itu dan menindas orang, buat sesuka hati mereka. Allah ﷻ memang Maha Perkasa, tetapi Allah ﷻ sertakan sifat kedua: sifat itu diimbangi dengan sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Allah ﷻ tidak menyalahgunakan kekuasaan yang dimiliki-Nya itu.

Ia juga bermaksud Allah Maha Bijaksana dalam menetapkan hukum. Apa sahaja hukum yang Allah ﷻ tetapkan, pada kemudian hari nanti akan nampak hikmahnya. Begitu juga apa sahaja yang Allah  ﷻ tetapkan kepada manusia tidak akan bercelaru.

Allah ﷻ yang tetapkan manusia ada yang kaya dan ada yang miskin. Namun, ia bukanlah sebagai penyebab orang itu menjadi tidak dapat menerima agama Allah ﷻ. Ada yang ibu bapanya musyrik, tetapi masuk Islam juga akhirnya.

Semua hukum Allah ﷻ sama ada sunat, wajib dan sebagainya yang telah ditetapkan-Nya tidak akan bercelaru dengan kaedah dunia. Bila dikaji, ia sebenarnya amat bersesuaian dengan dunia. Kalau tidak selari, bermakna kaedah yang kita gunakan yang tidak betul.

Allah ﷻ telah mencipta manusia sebaik-baiknya untuk layak terima Qur’an. Jangan kata seseorang itu bebal sampai tidak boleh belajar Qur’an. Ini kerana Allah ﷻ telah jadikan manusia dalam sebaik-baik kejadian, dan dia pasti boleh terima pengajaran Qur’an.

Ayat ini juga berbentuk ancaman, di mana keputusan di akhirat kelak, adalah mengikut keadilan-Nya. Mengikut hukum  Dia yang telah tetapkan. Siapa kufur, masuk neraka. Siapa beramal soleh, masuk syurga. Semua hukum Allah ﷻ telah tentukan.

Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh buat hukum dan manusia mengikut hukum, bukan membuat hukum. Untuk membuat hukum, mesti Al Hakim iaitu Allah ﷻ kerana Allah ﷻ yang Maha Bijaksana. Maka, sebab itu dalam mahkamah kita panggil yang memberi kehakiman itu ‘hakim’ – yang bijaksana.

Dia sememangnya Maha Bijaksana, sebagai contoh, Allah ﷻ akan menangguh-nangguhkan azab kepada manusia untuk memberi peluang agar manusia bertaubat. Allah ﷻ tidak terus memberi hukuman azab kepada manusia. Tidaklah apabila kita tinggalkan solat, kita terus jatuh sakit, terus mati dan sebagainya.

Tidaklah orang yang sembah patung Hindu itu jadi apa-apa, sakit perut, kena sambar petir atau sebagainya. Allah ﷻ membiarkan sahaja dan tangguh  supaya mereka ada peluang untuk bertaubat. Namun, apabila mereka mati dan tidak bertaubat, maka siaplah tempat mereka di neraka.

Maksud al-Hakim ada dua: Yang Maha Bijaksana dan yang menetapkan hukum. Maksudnya:

  1. Qur’an itu diturunkan dari Allah ﷻ yang Maha Bijaksana. Maka, kandungan Qur’an itu mengandungi tatacara bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bijaksana. Maka, hendaklah kita mengikutinya. Kalau kita mengikuti ajaran dalam Qur’an ini, kita adalah orang yang bijak.
  2. Dalam Qur’an itu juga, mengandungi hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Maka hendaklah kita mengikutinya dengan sebaik mungkin.

 

Ayat 3: Dalil Aqli kepada Tauhid. Allah ﷻ suruh kita lihat pada alam ini sebagai dalil. Ayat ini juga ada mengandungi Zajrun.

ما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ وَأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ وَالَّذينَ كَفَروا عَمّا أُنذِروا مُعرِضونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We did not create the heavens and earth and what is between them except in truth and [for] a specified term. But those who disbelieve, from that of which they are warned, are turning away.

MALAY

(Ingatlah), tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu (yang padanya dijalankan pembalasan); dan orang-orang yang kafir berpaling dari menerima peringatan yang diberikan kepada mereka mengenainya.

 

ما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ

Tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar

Tidaklah Allah ﷻ jadikan alam ini sia-sia sahaja. Allah ﷻ jadikan alam ini untuk zahirkan kebenaran yang Allah ﷻ sahaja pencipta, tempat puja dan seru dalam berdoa.

 

وَأَجَلٍ مُّسَمًّى

dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu

Allah ﷻ telah tetapkan yang alam ini akan musnah juga akhirnya apabila telah sampai masa. Masa itu telah Allah ﷻ tetapkan, tetapi Dia sahaja yang tahu.

Alam ini adalah tempat ujian sahaja bagi makhluk dan apabila telah selesai ujian untuk manusia, ia akan dihancurkan. Macam juga pencawang pada bangunan yang digunakan semasa membina bangunan. Apabila bangunan sudah siap, pencawang itu semua akan dimusnahkan kerana tidak ada gunanya lagi.

Apabila sampai waktu Kiamat dan masa bumi dihancurkan, tidak akan ada penangguhan lagi walau sesaat. Ia tidak ada terjadi lebih awal dari yang ditentukan Allah ﷻ.

 

وَالَّذينَ كَفَروا عَمّا أُنذِروا مُعرِضونَ

dan orang-orang yang engkar, apabila diberi peringatan, mereka sentiasa berpaling 

Ini adalah ayat Zajrun. Manusia yang engkar tidak endah kepada peringatan dan ancaman yang diberikan kepada mereka. Walau berkali-kali disampaikan kepada mereka, mereka tidak mahu mendengar dan taat kepada arahan Allah ﷻ.

Mereka itu tidak kisah kepada ancaman hari kiamat yang pasti akan datang itu. Apabila diajak kepada tauhid, mereka sentiasa sahaja menolak (bukan sekali tetapi setiap kali).

Mereka itu nanti adalah antara yang amat-amat rugi di akhirat kelak kerana tidak membuat persiapan untuk menghadapi akhirat. Sebaliknya mereka buat amalan yang salah, antaranya seru kepada selain dari Allah ﷻ dalam doa mereka.


 

Ayat 4: Tuntutan dan cabaran kepada golongan musyrik untuk mengemukakan bukti.

قُل أَرَءيتُم مّا تَدعونَ مِن دونِ اللهِ أَروني ماذا خَلَقوا مِنَ الأَرضِ أَم لَهُم شِركٌ فِي السَّمٰوٰتِ ۖ ائتوني بِكِتٰبٍ مِّن قَبلِ هٰذا أَو أَثٰرَةٍ مِّن عِلمٍ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “Have you considered that which you invoke besides Allāh? Show me what they have created of the earth; or did they have partnership in [creation of] the heavens? Bring me a scripture [revealed] before this or a [remaining] trace of knowledge, if you should be truthful.”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik yang menentangmu): “Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk – makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah? Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) yang lain dari Al-Qur’an ini, atau sebarang keterangan yang berdasarkan ilmu (peninggalan orang-orang yang telah lalu) kalau betul kamu orang-orang yang benar (tentang dakwaan kamu itu)!”

 

قُل أَرَءيتُم ما تَدعونَ مِن دونِ اللهِ

Katakanlah: “Adakah kamu fikirkan tentang makhluk – makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah?

Allah ﷻ mengajar Nabi untuk tanya dan berhujah dengan puak yang menentang ajaran tauhid. Gunakanlah akal sikit. Kalau hendak seru sesiapa: sama ada wali, Nabi, malaikat atau jin, kenalah tanya sama ada mereka ada jasa.

 

أَروني ماذا خَلَقوا مِنَ الأَرضِ

Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini?

Adakah mana-mana tempat yang wali, Nabi atau malaikat itu ada mencipta sesuatu dari tidak ada kepada ada? Tentu tidak ada kerana kuasa mencipta dan menjadikan hanya ada pada Allah ﷻ sahaja. Musyrikin Mekah pun tahu perkara ini.

 

أَم لَهُم شِركٌ فِي السَّمٰوٰتِ

Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit?

Atau adakah sembahan-sembahan selain Allah ﷻ itu ada menolong Allah ﷻ membuat langit atau bumi itu, kalau dia tidak membuat semua pun. Adakah turut berkongsi membuat dengan Allah ﷻ? Tentu juga tidak ada. Ini kerana Allah ﷻ tidak memerlukan sesiapa pun untuk tolong Dia.

 

ائتوني بِكِتٰبٍ مِّن قَبلِ هٰذا

Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) sebelum dari Al-Qur’an ini,

Atau, kalau memang mereka tidak boleh mencipta atau berkongsi dalam mencipta, tunjukkan kitab wahyu sebelum Qur’an yang menyatakan seru selain Allah  ﷻ itu boleh. Bawalah apa-apa sahaja Taurat atau Injil sebab kamu Arab Mekah tidak menerima Qur’an kan?

Nota Tajwid: Menurut kaedah secara general, hamzah wasal (alif yang di atasnya ada huruf saad kecil) perlulah dibunyikan mengikut baris huruf ketiga. Sebagai contoh:

  • Jika huruf ketiga berbaris depan, maka alif itu pun berbaris depan.
  • Jika huruf ketiga berbaris bawah, maka alif itu pun berbaris bawah.
  • Cuma jika huruf ketiga berbaris atas, lain sikit. Alif tidak jadi baris atas juga, tetapi dibaca dengan baris bawah.

Namun, dalam surah Al-Ahqaaf ini, huruf ketiga berbaris depan (huruf ت itu). Maka kalau hendak ikutkan kaedah, sepatutnya alif tu kena baca baris depan. Namun, di sini ada hukum tajwid  yang pelik sedikit.

Kita kena baca: ii-tuu-nii

Bukannya: Uk-tuu-nii

 

أَو أَثٰرَةٍ مِّن عِلمٍ

atau sebarang keterangan dari ilmu 

Atau bawakan ke mari saki baki peninggalan ilmu wahyu yang boleh dijadikan hujah yang mengatakan boleh seru selain Allah ﷻ. Kenalah bawa cebisan ilmu yang boleh dipercayai – jangan bawa kisah dongeng pula.

Kalau sebutir kitab lengkap tidak ada kerana sudah dimakan anai-anai, sekurang-kurangnya, bawa sehelai pun jadi lah. Bolehkah?

 

إِن كُنتُم صٰدِقينَ

kalau betul kamu orang-orang yang benar

Kamu kuat sangat kata boleh seru selain Allah ﷻ, maka bawalah dalil yang kamu ada atau kamu hanya bercakap kosong sahaja? Atau kamu dapat ilmu itu dari tok nenek kamu sahaja? Atau kamu reka sahaja?

Kalau tidak boleh membawa dalil, maka tentunya itu adalah fahaman sesat.


 

Ayat 5: 

وَمَن أَضَلُّ مِمَّن يَدعو مِن دونِ اللهِ مَن لّا يَستَجيبُ لَهُ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ وَهُم عَن دُعائِهِم غٰفِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who is more astray than he who invokes besides Allāh those who will not respond to him until the Day of Resurrection [i.e., never], and they, of their invocation, are unaware.

MALAY

Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyeru sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (dari dunia) hinggalah ke hari kiamat, sedang makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak menyedari permohonan mereka.

 

وَمَن أَضَلُّ مِمَّن يَدعو مِن دونِ اللهِ

Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyeru sesuatu yang lain dari Allah, 

Ada lagikah yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah ﷻ? Tidak ada. Merekalah yang paling sesat sekali. Allah ﷻ amat marah kepada mereka yang menyeru selain Allah ﷻ.

 

مَن لّا يَستَجيبُ لَهُ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ

yang tidak dapat menyahut hinggalah ke hari kiamat,

Mereka yang diseru itu tidaklah dapat menyahut seruan mereka yang menyeru itu sampai ke hari kiamat pun. Mereka yang menyeru itu sebenarnya bertepuk sebelah tangan sahaja.

Serulah banyak mana pun, yang diseru tidak akan sahut, kerana mereka telah mati. Kalau malaikat, bukan kerja mereka untuk mendengar permintaan dari manusia. Orang yang mati tidak boleh mendengar seruan orang yang hidup. Kalau malaikat mendengar pun, mereka tidak boleh menolong manusia yang menyeru, kerana mereka hanya taat kepada suruhan Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ tidak benarkan atau arahkan mereka berbuat apa-apa, mereka tidak akan buat.

Mereka yang diseru itu sudahlah tidak mendengar, dan kalau mereka mendengar pun, mereka tidak boleh tolong buat apa pun.

 

وَهُم عَن دُعائِهِم غٰفِلونَ

dan makhluk-makhluk yang mereka seru itu tidak menyedari permohonan kepada mereka.

Allah ﷻ menjelaskan dalam ayat ini, mereka yang diseru itu: sama ada Nabi, wali atau malaikat, tidak menyedari pun seruan yang diberikan kepada mereka.

Mereka itu telah tiada di dunia ini dan tidak dapat mendengar (mereka dalam alam Barzakh), dan malaikat tidak dijadikan untuk menyahut seruan bagi yang menyeru mereka. Malaikat hanya mendengar arahan dari Allah ﷻ sahaja. Oleh itu, yang menyembah itu hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 Ogos 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s