Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 6 – 10 (Nabi tidak tahu perkara ghaib)

Ayat 6:

وَإِذا حُشِرَ النّاسُ كانوا لَهُم أَعداءً وَكانوا بِعِبادَتِهِم كٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the people are gathered [that Day], they [who were invoked] will be enemies to them, and they will be deniers of their worship.

MALAY

Dan apabila manusia dihimpunkan (di akhirat), menjadilah segala yang disembah itu musuh kepada orang-orang yang menyembahnya, dan segala yang disembah itu juga tidak mengakui  penyembahan mereka kepadanya.

 

وَإِذا حُشِرَ النّاسُ

Dan apabila manusia dihimpunkan

Iaitu apabila manusia dikumpulkan di Mahsyar nanti untuk dihitung amalan manusia. Mereka dikumpulkan dari merata tempat, tidak kira mereka mati di mana.

Bagi yang dipuja dan yang memuja akan dikumpulkan sekali pada satu tempat. Ini kerana Allah ﷻ hendak menghakimi mereka atas perbuatan yang dilakukan di dunia dahulu.

 

كانوا لَهُم أَعداءً

menjadilah segala yang disembah itu musuh kepada orang-orang yang menyembahnya, 

Mereka yang menyembah ilah-ilah selain Allah ﷻ itu sangka yang sembahan-sembahan itu akan menjadi penolong, penyokong yang akan menyelamatkan mereka. Kononnya sudah ada ‘peguam’ yang akan jadi pembela mereka. Namun, sebaliknya yang terjadi; mereka yang disembah itu menjadi musuh pula bagi mereka.

Ini amat mengejutkan sekali kerana orang yang kita sangka kawan kita, jadi lawan pula. Kalau di mahkamah, katakanlah kita ada saksi yang kita telah pilih sebagai penyokong kita, tetapi tiba-tiba dia menentang kita pula. Malah dia menjadi saksi kepada pendakwaraya yang  mendakwa kita! Tentu kita terkejut yang amat sangat.

 

وَكانوا بِعِبادَتِهِم كٰفِرينَ

dan segala yang disembah itu juga tidak mengakui penyembahan mereka kepadanya.

Bagi yang disembah akan katakan bahawa mereka tidak pernah suruh manusia menyembah mereka dahulu dan tidak redha dengan penyembahan yang dilakukan itu.

Malah, mereka sendiri tidak tahu yang ada manusia yang menyembah kerana mereka sudah tiada lagi di alam dunia kerana telah lama mati. Apabila mereka telah mati, telah terputus hubungan dengan dunia kerana itu mereka tidak mendengar seruan-seruan manusia. Ini kerana alam yang berbeza iaitu di Alam Barzakh.


 

Ayat 7: Ayat Syikayah. Apakah tuduhan Musyrikin Mekah terhadap Qur’an?

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآيٰتُنا بَيِّنٰتٍ قالَ الَّذينَ كَفَروا لِلحَقِّ لَمّا جاءَهُم هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Our verses are recited to them as clear evidences, those who disbelieve say of the truth when it has come to them, “This is obvious magic.”

MALAY

Dan apabila dibacakan kepada mereka (yang kafir) ayat-ayat Qur’an kami yang jelas nyata, berkatalah mereka terhadap kebenaran (Al-Qur’an) bila sahaja disampaikan kepada mereka: “Ini ialah sihir yang nyata!”.

 

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآيٰتُنا بَيِّنٰتٍ

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Qur’an kami yang jelas nyata, 

Nabi Muhammad ﷺ telah membacakan ayat-ayat Qur’an kepada musyrikin Mekah. Begitu juga akan ada penyebar tauhid yang akan membacakan dan menjelaskan makna ayat-ayat dalam Qur’an kepada manusia zaman berzaman. Mereka yang menentang tauhid itu sudah dengar ayat-ayat itu dan apakah maksudnya.

Pengajaran tauhid dalam wahyu Allah ﷻ adalah amat jelas kepada mereka yang membuka hati mereka dan belajar. Cuma yang tidak jelas adalah kerana mereka tidak belajar, atau tidak membuka hati kepada kebenaran. Apakah alasan mereka hendak menolak ajaran Qur’an?

 

قالَ الَّذينَ كَفَروا لِلحَقِّ لَمّا جاءَهُم

berkatalah orang-orang kafir  terhadap kebenaran (Al-Qur’an) bila sahaja disampaikan kepada mereka: 

Apabila mereka telah dengar kata-kata yang haq dari ayat-ayat Qur’an itu, mereka tidak dapat menerimanya. Malah, mereka akan menentang dan memberikan berbagai-bagai alasan. Maka sekarang akan diberitahu apakah salah satu alasan itu.

 

هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

“Ini ialah sihir yang nyata!”.

Ini adalah salah satu dari tuduhan mereka selepas mereka mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu orang gila, penyair dan pengikut ajaran agama lain. Itu telah disebut dalam ayat-ayat yang lain.

Hati mereka tidak dapat terima ajaran Qur’an kerana mereka tidak membuka hati mereka kepada kebenaran. Mereka akan menentang, tetapi apa yang mereka akan katakan?

Mereka tuduh yang ayat-ayat Qur’an itu adalah sihir semata-mata. Beginilah yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah dahulu. Ini adalah tuduhan kosong sahaja kerana mereka tidak ada hujah lain lagi, maka mereka menggunakan hujah ‘sihir’.

Ini kerana pada mereka, sihir adalah sesuatu yang luar biasa yang tidak dapat dijelaskan. Mereka tidak dapat hendak kategorikan Qur’an ini sebagai apa sama ada hendak katakan syair atau cerita dongeng kerana keduanya pun bukan. Maka mereka tuduh ia adalah sihir sahaja.

Tambahan pula, apabila masyarakat Arab mendengar sahaja ayat-ayat Qur’an dibacakan oleh Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat, ramai yang terpesona dan masuk Islam. Jadi, penentang tauhid akan kata bahawa mereka yang masuk Islam itu telah kena sihir oleh Nabi ﷺ dan para sahabat baginda.

Masyarakat sekarang turut menolak juga, tetapi mereka menggunakan gelaran-gelaran yang lain mengikut kesesuaian zaman. Kalau zaman sekarang, mungkin kita boleh katakan yang mereka menggunakan label ‘Wahabi’ sahaja untuk menolak sunnah.

Mereka sudah tidak tahu hendak memakai alasan apa lagi, jadi yang senang pada mereka, tuduh sahaja bagi yang hendak berpegang dengan Qur’an dan Sunnah itu sebagai golongan Wahabi. Apabila ditanya apakah Wahabi, mereka sendiri tidak dapat menjawab. Memang ia akan datang dari mereka yang jahil, tidak tahu apakah yang mereka kata.


 

Ayat 8: Syikayah kedua dan jawapan balas.

أَم يَقولونَ افتَرَىٰهُ ۖ قُل إِنِ افتَرَيتُهُ فَلا تَملِكونَ لي مِنَ اللهِ شَيئًا ۖ هُوَ أَعلَمُ بِما تُفيضونَ فيهِ ۖ كَفىٰ بِهِ شَهيدًا بَيني وَبَينَكُم ۖ وَهُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do they say, “He has invented it”? Say, “If I have invented it, you will not possess for me [the power of protection] from Allāh at all. He is most knowing of that in which you are involved.¹ Sufficient is He as Witness between me and you, and He is the Forgiving, the Merciful.”

  • Of false implications and suggestions.

MALAY

(Bukan setakat itu sahaja mereka katakan) bahkan mereka menuduh dengan berkata: “Muhammad telah merekakan Al-Qur’an itu.” Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kalau aku merekakan Al-Qur’an itu (maka tentulah aku tidak terlepas dari azab kesalahan itu) kerana kamu (dan juga yang lain dari kamu) tidak berkuasa memberikan daku sebarang perlindungan dari (azab) Allah. Allah lebih mengetahui akan (tuduhan-tuduhan yang tidak berasas) yang kamu perkatakan itu; cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

أَم يَقولونَ افتَرَىٰهُ

bahkan mereka menuduh dengan berkata: “Muhammad telah merekakan Al-Qur’an itu.”

Satu lagi alasan yang mereka gunakan adalah: Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang buat ayat-ayat Qur’an itu.

Ini tidak dapat diterima akal, kerana takkan manusia biasa boleh buat ayat-ayat Qur’an sebegitu rupa. Ia amat indah, sampaikan membungkam mereka yang mahir dalam bahasa pada zaman itu. Sedangkan mereka sendiri tahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu membaca dan menulis.

Masyarakat kita tidak boleh hendak tuduh penyebar tauhid sebagai mereka-reka ayat-ayat Qur’an pula. Namun, mereka akan kata tafsir yang disampaikan itulah yang direka-reka dan kata kita sendiri yang mereka tafsir itu. Sedangkan mereka sendiri tidak belajar.

Apabila kita tanya mereka balik, apakah maksud ayat-ayat itu, mereka tidak dapat menjawab dan hanya mahu menolak sahaja. Kalau kita salah tafsir, maka beritahulah apa maksudnya yang sebenar tetapi tidak boleh pula.

 

قُل إِنِ افتَرَيتُهُ فَلا تَملِكونَ لي مِنَ اللهِ شَيئًا

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kalau aku merekakan Al-Qur’an itu, kamu  tidak berkuasa memberikan daku sebarang perlindungan dari (azab) Allah sedikit pun. 

Nabi Muhammad ﷺ diajar bagaimana menjawab tuduhan mereka itu. Nabi ﷺ suruh mereka berfikir: kalaulah baginda ﷺ mereka sendiri ayat-ayat itu, kemudian kata ia dari Allah ﷻ, maka tentulah Allah ﷻ tidak akan membiarkan baginda begitu sahaja.

Tentu baginda ﷺ telah lama mati kerana Allah ﷻ tentu tidak akan membiarkan baginda ﷺ terus berdusta atas nama-Nya kalau benar telah berdusta. Baginda ﷺ juga tentu tidak dapat menyelamatkan diri, dan kalau bangsa Arab semua bersatu untuk menyelamatkan baginda ﷺ pun tidak boleh.

Ini bertepatan dengan firman Allah ﷻ :

{وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الأقَاوِيلِ. لأخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ. ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ. فَمَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ عَنْهُ حَاجِزِينَ}

Seandainya dia (Muhammad) mengada-adakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya. Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya. Maka sekali-kali tidak ada seorang pun dari kamu yang dapat menghalangi (Kami), dari pemotongan urat nadi itu. (Al-Haqqah: 44-47)

Jadi, apabila Nabi Muhammad  ﷺ masih hidup, tidak dimatikan, tidak diberi azab oleh Allah ﷻ apabila mengatakan yang wahyu yang disampaikan itu datang dari Allah ﷻ, maka itu sebagai bukti bahawa apa yang baginda ﷺ sampaikan adalah benar.

 

هُوَ أَعلَمُ بِما تُفيضونَ فيهِ

Allah lebih mengetahui akan yang kamu perkatakan itu;

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad  ﷺ ingatkan mereka yang Allah Maha Mengetahui akan tuduhan-tuduhan dan tohmahan mereka itu. Allah ﷻ mendengar dan melihat. Maknanya, kalau Dia tahu, Dia akan hukum mereka atas tuduhan tidak berasas mereka itu.

 

كَفىٰ بِهِ شَهيدًا بَيني وَبَينَكُم

cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, 

Nabi Muhammad ﷺ tidak dapat hendak pertahankan diri baginda melainkan dengan hujah-hujah yang Allah ﷻ telah berikan kepada baginda ﷺ. Selain dari itu, baginda ﷺ  hanya berserah sahaja kepada Allah ﷻ .

Allah ﷻ lah yang jadi saksi bahawa apa yang baginda sampaikan itu adalah kebenaran. Maka baginda ﷺ tidak risau dengan kata-kata mereka, kerana kalau Allah ﷻ sendiri yang jadi saksi, itu lebih dari cukup.

 

وَهُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

dan Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Kata-kata mereka itu adalah tuduhan yang mengundang dosa dan neraka tetapi kalau mereka bertaubat, Allah ﷻ masih boleh terima lagi taubat mereka asalkan mahu mengubah cara hidup dan mula menerima tauhid.


 

Ayat 9: Dalil bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu perkara ghaib. Namun, tidaklah ini merendahkan martabat baginda ﷺ sebagai Rasul.

قُل ما كُنتُ بِدعًا مِّنَ الرُّسُلِ وَما أَدري ما يُفعَلُ بي وَلا بِكُم ۖ إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ وَما أَناْ إِلّا نَذيرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “I am not something original among the messengers,¹ nor do I know what will be done with me or with you. I only follow that which is revealed to me, and I am not but a clear warner.”

  • i.e., I am neither the first messenger to be sent, nor do I bring something different from the other messengers.

MALAY

Katakanlah lagi: “Bukanlah aku seorang Rasul pembawa ugama yang berlainan dari ugama yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang telah lalu), dan aku tidak mengetahui apa yang akan dilakukan kepadaku dan kepada kamu. Aku tidak melakukan sesuatu melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku, dan aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata”

 

قُل ما كُنتُ بِدعًا مِّنَ الرُّسُلِ

Katakanlah lagi: “Bukanlah aku seorang Rasul yang pertama dari Rasul-rasul,

Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk beritahu mereka bahawa baginda ﷺ bukanlah rasul yang pertama; ada ramai lagi rasul yang sebelum baginda. Malah baginda ﷺ adalah rasul dan Nabi yang terakhir.

Rasul-rasul yang dulu turut membawa perkara yang sama juga dalam hal akidah, bukan lain dari apa yang baginda ﷺ bawakan. Perkara itu boleh diperiksa dengan kitab-kitab wahyu yang lain. Mereka juga pernah mendengar tentang kisah rasul-rasul yang dahulu dengan umat-umat mereka. Musyrikin Mekah memang kenal Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام kerana ada dalam sejarah mereka.

Malah mereka juga tahu Nabi-nabi lain secara umum. Maknanya mereka kenal agamalah juga dan tahu bahawa ada yang kena azab akibat menentang apa yang disampaikan oleh Rasul mereka.

Kita juga boleh guna hujah ini dengan memberitahu kepada puak bidaah yang apa kita sedang bawa ini sebenarnya dari Qur’an dan Sunnah. Mereka sendiri juga tahu yang kita sebagai orang Islam kena ikut Qur’an dan Sunnah. Jadi apa yang kita senang bawa inilah Qur’an dan Sunnah, bukan sumber lain pun. Mereka boleh periksa dalam Qur’an dan hadis kalau tidak percaya.

 

وَما أَدري ما يُفعَلُ بي وَلا بِكُم

dan aku tidak mengetahui apa yang akan dilakukan kepadaku dan kepada kamu.

Kafir Mekah telah mencabar Nabi ﷺ. Mereka kata kalau baginda ﷺ benar seorang Nabi, tentu mempunyai ada kuasa luar biasa. Malah sekarang mereka sudah menentang baginda, maka apa yang akan jadi kepada mereka nanti?

Mereka ejek: kamu kata kalau kami lawan kamu, kami kena azab, mana azab itu?; lagi satu mereka tanya Nabi: tidak mungkin baginda ﷺ tidak tahu apa yang akan terjadi kepada mereka esok hari atau masa depan?

Allah ﷻ mengajar Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan kata yang baginda ﷺ tahu perkara ghaib kerana itu adalah sifat Allah ﷻ sahaja. Sebaliknya baginda ﷺ diajar untuk menjawab seperti dalam ayat ini.

Katakanlah sahaja yang baginda sendiri tidak tahu ilmu ghaib. Rasul dulu juga tidak tahu tentang masa depan mereka. Hal baginda sendiri juga baginda tidak tahu, apatah lagi hal mereka. Semua itu terpulang kepada Allah ﷻ dan apa yang Allah ﷻ hendak buat dengan mereka.

Kalau Nabi Muhammad ﷺ sebagai seorang Rasul pun tidak tahu perkara ghaib, maka apatah lagi manusia biasa? Oleh itu, kalau ada orang kata ada makhluk lain yang tahu perkara ghaib, itu adalah satu kesyirikan.

Sebagai contoh, puak Syiah kata imam-imam mereka tahu perkara ghaib secara mutlak. Maka mereka itu telah sesat dan syirik. Malanglah sekali apabila ramai orang kita yang tertipu dengan diayah mereka.

 

إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ

Aku tidak ikut sesuatu melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku,

Tugas baginda ﷺ diutus sebagai Rasul bukanlah untuk beritahu perkara ghaib tetapi untuk ikut apa yang telah diarahkan kepada baginda seperti dalam wahyu.

Baginda ﷺ hanya menyampaikan apa yang perlu disampaikan dan hanya menjalankan tugas baginda sahaja. Tidaklah baginda ﷺ mendapat ilmu ghaib melainkan apa yang diberitahu kepada baginda ﷺ sahaja.

 

وَما أَناْ إِلّا نَذيرٌ مُّبينٌ

dan aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata”

Dan baginda ﷺ disuruh beritahu yang tugas baginda ﷺ bukan memaksa sesiapa jadi beriman tetapi hanya boleh menyampaikan sahaja.

Baginda kena sampaikan dengan sejelas-jelasnya. Bukan hendak mengajar sorok-sorok, atau cakap tetapi dalam bahasa yang susah difahami.  Itulah yang baginda ﷺ telah lakukan.

Oleh kerana baginda ﷺ telah sampaikan dengan jelas, maka kalau tetap tolak, itu hanya kerana sifat degil mereka sahaja. Sebab semua maklumat telah disampaikan dan mereka tidak boleh kata tidak faham apa yang disampaikan kerana telah disampaikan dengan amat jelas sekali.


 

Ayat 10: Zajrun dan juga Dalil Naqli Tafsili.

قُل أَرَءيتُم إِن كانَ مِن عِندِ اللهِ وَكَفَرتُم بِهِ وَشَهِدَ شاهِدٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ مِثلِهِ فَئآمَنَ وَاستَكبَرتُم ۖ إِنَّ اللَهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Have you considered: if it [i.e., the Qur’ān] was from Allāh, and you disbelieved in it while a witness from the Children of Israel has testified to something similar¹ and believed while you were arrogant…?”² Indeed, Allāh does not guide the wrongdoing people.

  • Based upon information from the Torah.
  • The conclusion is estimated to be “…would you not then be the most unjust of people?” or “…in what condition would you then be?”

MALAY

Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu jika Al-Qur’an ini (yang datangnya) dari Allah dan kamu mengingkarinya, pada hal ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Qur’an ini, lalu dia percayakan (Al-Qur’an ini dari Allah), sedang kamu dengan sombong angkuh mengingkarinya? (Tidakkah dengan yang demikian kamu bersifat zalim)? Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim (yang degil dalam kekufurannya)”.

 

قُل أَرَءيتُم

Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu

Sekarang Allah ﷻ mengajar Nabi ﷺ untuk berhujah dengan mereka supaya mereka fikir-fikirkan – supaya gunalah akal itu sedikit.

 

إِن كانَ مِن عِندِ اللهِ وَكَفَرتُم بِهِ

jika Al-Qur’an ini dari Allah dan kamu mengingkarinya,

Cuba kamu fikir, kalau benar Qur’an ini benar dari Allah ﷻ, dan kamu engkar kepadanya, apakah akan jadi dengan kamu nanti? Tidak takutkah kamu menolak ayat-ayat dari Allah ﷻ? Apa kamu sangka kamu akan selamatkah?

 

وَشَهِدَ شاهِدٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ مِثلِهِ

padahal telah ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Qur’an ini,

Ini adalah Dalil Naqli: Dan telah bersaksi satu ulama Bani Israil yang muktabar, yang Qur’an ini benar dari Allah ﷻ dan ia seperti yang ada dalam Taurat. Musyrikin Mekah kata Qur’an itu adalah sihir, tetapi kalau begitu, kenapa ada ulama Bani Israil yang mengakui kebenaran Qur’an itu?

Maksud ayat ini lebih kurang sama seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Syu’ara:197

Ada pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Abdullah bin Salam. Namun, yang menolaknya mengatakan tidak mungkin kerana Abdullah bin Salam hanya masuk Islam di Madinah, bukan di Makkah dan ayat ini adalah ayat Makkiah.

Ataupun, mungkin yang dimaksudkan adalah apa yang akan terjadi di masa hadapan iaitu akan ada yang akan memberikan pengakuan tentang kebenaran Qur’an. Ini akan berlaku di Madinah nanti. Allahu a’lam siapakah yang dimaksudkan. Maka kalau ada dikalangan bani Israil yang tidak mahu beriman dengan Qur’an maka itu adalah kerana degil sahaja. Ini kerana ulama mereka sendiri sudah mengakui kebenaran Qur’an.

Apa pun, ayat ini bertepatan dengan firman Allah ﷻ:

{إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأذْقَانِ سُجَّدًا وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولا}

Sesungguhnya  orang-orang yang  diberi pengetahuan sebelumnya apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud dan mereka berkata, “Mahasuci Tuhan kami; sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi.” (Al-Isra: 107-108)

Atau yang dimaksudkan adalah Nabi Musa عليه السلام kerana Nabi Musa عليه السلام ada berkata bahawa akan lahir Nabi akhir zaman yang macam baginda. Ini ada terdapat dalam old testament. Memang Nabi Muhammad ﷺ banyak persamaan dengan Nabi Musa عليه السلام. Maksudnya Nabi Musa عليه السلام memberitahu tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ.

 

فَئآمَنَ وَاستَكبَرتُم

lalu dia beriman, sedang kamu dengan sombong angkuh dari menerimanya?

Ini kerana ulama itu percaya dengan apa yang diturunkan dalam Qur’an itu, maka dia telah beriman.

Namun, kamu sombong hendak menerima sedangkan kamu jahil. Orang alim pun kamu tidak mahu ikut? Sesat kamu itu kerana degil sahaja, bukan kerana lain. Semua bukti sudah ada tetapi kamu masih tidak mahu menerimanya.

 

إِنَّ اللَهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim

Kalau degil juga, tidak ada ubat. Allah ﷻ tidak akan memberi hidayah kepada mereka yang zalim degil tidak terima kebenaran.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Ogos 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s