Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 11 – 14 (Sistem kasta yang buruk)

Ayat 11: Ayat Syikayah. Kebanyakan dari kalangan Musyrikin Mekah adalah orang kenamaan dan bangsawan. Sedangkan para sahabat hampir kesemuanya adalah orang bawahan sahaja. Apabila golongan yang rendah kedudukan yang ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ, golongan bangsawan itu tidak pandang kepada ajaran Nabi ﷺ kerana mereka melihat kemuliaan dari segi kekayaan dunia sahaja.

Ini kerana pada mereka, kalau yang mengikuti baginda ﷺ adalah orang-orang yang miskin dan lemah, pada mereka itu bukanlah sesuatu yang bagus kerana mereka tidak menggunakan akal yang sihat. Begitulah juga kebanyakan orang lain. Maka Allah ﷻ tegur pemahaman yang sebegini.

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنوا لَو كانَ خَيرًا مّا سَبَقونا إِلَيهِ ۚ وَإِذ لَم يَهتَدوا بِهِ فَسَيَقولونَ هٰذا إِفكٌ قَديمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who disbelieve say of those who believe, “If it had [truly] been good, they would not have preceded us to it.” And when they are not guided by it, they will say, “This is an ancient falsehood.”

MALAY

Dan (kerana sombong angkuhnya orang-orang kafir itu) mereka berkata tentang kepercayaan orang-orang yang beriman: “Kalaulah (apa yang dibawa oleh Muhammad) itu perkara yang baik tentulah mereka tidak mendahului kami mempercayainya (kerana kamilah yang sepatutnya menerima segala kebaikan)!” Dan setelah mereka tidak dapat menerima petunjuk Al-Qur’an itu, (mereka memusuhinya) lalu mereka mencacinya dengan berkata: “Al-Qur’an ini ialah rekaan dusta yang sudah lama”.

 

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنوا

Dan orang-orang kafir itu berkata tentang kepada orang-orang yang beriman: 

Ini adalah hujah musyrikin Mekah yang kaya dan berpengaruh. Kali ini mereka berhujah dengan orang-orang yang beriman dari kalangan para sahabat. Kalangan sahabat itu adalah mereka yang miskin, tidak berpengaruh malah ada dari kalangan mereka yang hamba abdi.

Begitulah kalau zaman sekarang, jalan sunnah itu selalunya dipegang oleh golongan yang lemah, yang tiada ada kuasa apa-apa dalam kerajaan selalunya, golongan miskin dan juga tidak berpengaruh dalam masyarakat. Ustaz-ustaz Sunnah kita pun tidaklah masuk dalam TV dan mendapat liputan yang meluas.

 

لَو كانَ خَيرًا مّا سَبَقونا إِلَيهِ

“Kalaulah (apa yang dibawa oleh Muhammad) itu perkara yang baik tentulah mereka tidak mendahului kami mempercayainya!”

Mereka kata sekiranya ajaran dari Qur’an itu adalah benar dan baik, nescaya orang bawahan tidaklah yang dahulu terima sebelum mereka. Mereka kata, kalau ia ajaran yang benar, merekalah yang lebih awal terima, bukan golongan miskin itu.

Pada mereka, tidak mungkin golongan yang rendah mendahului mereka pula  kerana mereka sangka mereka orang yang pandai dan bijak sedangkan golongan bawahan itu bodoh-bodoh sahaja pada pandangan mereka. Ini sama seperti yang disebut dalam ayat lain:

{وَكَذَلِكَ فَتَنَّا بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لِيَقُولُوا أَهَؤُلاءِ مَنَّ اللهُ عَلَيْهِمْ مِنْ بَيْنِنَا}

Dan demikianlah telah Kami uji sebagian mereka (orang-orang yang kaya) dengan sebagian lain (orang-orang miskin), supaya (orang-orang yang kaya itu) berkata, “Orang-orang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah oleh Allah kepada mereka?” (Al-An’am: 53)

Mereka amalkan sikap kasta dalam masyarakat. Mereka rasa mereka lebih mulia dari orang kebanyakan dan orang bawahan. Mempunya sifat sombong dan rasa tinggi  diri amat bahaya. Ini kerana kalau ada sifat ini, hidayah susah hendak masuk. Hidayah tidak masuk ke dalam akal orang yang sombong.

Ingatlah yang hidayah itu bukanlah atas dasar siapa yang kaya atau ada pengaruh. Bukanlah kalau orang kaya berpegang kepada sesuatu perkara, itu sudah menunjukkan yang perkara itu benar, tidak sama sekali. Itu bukanlah kayu ukur kepada kebenaran.

 

وَإِذ لَم يَهتَدوا بِهِ فَسَيَقولونَ هٰذا إِفكٌ قَديمٌ

Dan setelah mereka tidak beriman dengan Al-Qur’an itu, lalu mereka berkata: “Al-Qur’an ini ialah rekaan dusta yang sudah lama”.

Ini adalah idkhal ilahi (pencelahan Tuhan): Allah ﷻ beritahu awal-awal yang inilah yang mereka akan kata. Mereka pasti akan kata begitu kerana mereka tidak menerima kebenaran. Mereka kata Qur’an itu adalah bohongan yang telah lama ada. Mereka kata sudah lama berlalu bohongan seperti itu yang diulang semula oleh Nabi Muhammad ﷺ  sahaja.

Dalam ertikata lain, mereka kata Nabi Muhammad ﷺ kutip dari ajaran-ajaran lama sahaja.


 

Ayat 12: Dalil Naqli dari Taurat. Allah ﷻ berhujah dengan menggunakan Kitab Taurat.

وَمِن قَبلِهِ كِتٰبُ موسىٰ إِمامًا وَرَحمَةً ۚ وَهٰذا كِتٰبٌ مُّصَدِّقٌ لِّسانًا عَرَبِيًّا لِّيُنذِرَ الَّذينَ ظَلَموا وَبُشرىٰ لِلمُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And before it was the scripture of Moses to lead and as a mercy. And this is a confirming Book in an Arabic tongue to warn those who have wronged and as good tidings to the doers of good.

MALAY

(Bagaimana mereka tergamak mengatakan Al-Qur’an ini rekaan dusta yang telah lama?) Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya); dan Al-Qur’an pula sebuah Kitab – yang mengesahkan kebenaran (kitab-kitab yang telah lalu), – diturunkan dalam bahasa Arab untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.

 

وَمِن قَبلِهِ كِتٰبُ موسىٰ إِمامًا وَرَحمَةً

Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat

Sebelum ini sudah ada kitab dari langit, iaitu Kitab Taurat. Kitab Taurat itu menjadi panduan hidup bagi Bani Israil dan kalau diamalkan, ia memberi rahmat kepada mereka yang mengamalkannya.

Digunakan kalimah إِمامًا untuk memberi analogi macam orang ikut imam dalam solat – bila imam rukuk, semua rukuk sekali iaitu makmum kena ikut. Maka begitulah juga dengan kitab wahyu, manusia kena ikut arahan yang ada dalam kitab wahyu itu.

 

وَهٰذا كِتٰبٌ مُّصَدِّقٌ

dan Kitab ini yang mengesahkan kebenaran

‘Kitab ini’ yang dimaksudkan adalah Qur’an. Qur’an ini juga adalah kitab dari langit, yang membenarkan isi Kitab Taurat yang sebelum itu. Kandungan tauhid di dalam kitab Taurat dan Qur’an itu sama sahaja iaitu untuk mengesakan Allah ﷻ.

 

لِّسانًا عَرَبِيًّا

dalam bahasa Arab

Cuma Qur’an ini diturunkan dalam Bahasa Arab yang fasih. Ia bahasa yang amat tinggi yang dapat menjelaskan sesuatu perkara itu dengan jelas. Perkara yang panjang dapat dijelaskan dengan Bahasa Arab yang hebat. Maka memang bertepatan apabila Allah ﷻ turunkan kitab wahyu-Nya yang terakhir dalam Bahasa Arab.

Maka molek sangatlah kalau kita semua dapat belajar Bahasa Arab ini supaya kita dapat lebih memahami Qur’an. Kalau kita ada kehendak untuk lebih memahami Qur’an, maka kita akan cuba belajar bahasa Arab sedikit demi sedikit.

 

لِّيُنذِرَ الَّذينَ ظَلَموا

untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim,

Kepada mereka yang kufur, Qur’an itu memberi ancaman bahawa mereka akan mendapat mendapat azab yang buruk kerana kezaliman dan kekufuran mereka itu. Ancaman keras diberikan kepada mereka, maka hendaklah mereka ambil perhatian untuk membuat perubahan.

 

وَبُشرىٰ لِلمُحسِنينَ

dan berita gembira bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.

Dan berita gembira pula diberikan kepada orang yang berhati baik iaitu mereka yang boleh ikut beriman dengan Qur’an dan taat arahan Allah ﷻ dengan mudah. Ini adalah kerana hati mereka masih dalam fitrah.

Fitrah manusia adalah lahir untuk taat kepada arahan Allah ﷻ. Kita memang sudah kenal Allah ﷻ dari sebelum kita lahir lagi. Maka kalaulah manusia mendengar isi hati mereka, pasti akan nampak kebenaran Qur’an itu. Ini kerana fitrah kejadian kita memang sudah kenal Allah ﷻ, sudah kenal kebenaran.

Begitu juga, kalau masyarakat kita mendengar kepada isihati mereka, tentu akan nampak kebenaran tauhid yang dibawa oleh Qur’an ini. Mereka tidak akan berbuat syirik dalam doa dan tidak akan mengamalkan tawasul yang dilarang.


 

Ayat 13: Ayat Tabshir Ukhrawi. Ia adalah sebagai badal (penjelasan tambahan) kepada mereka yang dikatakan ‘muhsinin’ yang disebut dalam ayat sebelum ini.

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ استَقٰموا فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who have said, “Our Lord is Allāh,” and then remained on a right course – there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللَّهُ

Sesungguhnya orang-orang yang berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, 

Mereka yang muhsinin akan berkata dengan iktikad hati mereka yang Allah ﷻ lah Tuhan mereka. Mereka terima bahawa Allah ﷻ yang mencipta mereka dan mengurus alam ini. Mereka tidak berkata dengan mulut sahaja tetapi diimani dengan hati mereka juga. Ini kerana kalau setakat kata sahaja, orang munafik juga boleh berkata begitu.

 

ثُمَّ استَقٰموا

kemudian mereka tetap teguh

Selepas mereka berkata dengan mulut, mereka ikuti pula dengan amalan perbuatan dan tetap istiqamah dengan iman itu sampai mereka mati. Bukan cakap sehari dua sahaja, tetapi mereka akan tetap pegang sampai mati. Tidaklah mereka terkesan dengan amalan masyarakat luar yang mengamalkan amalan yang salah.

Kelebihan istiqamah dalam iman ini telah disebut dalam Fussilat:30.

Ini memang dugaan yang besar sebenarnya. Macam sekarang, susah untuk kita melihat golongan muslim sendiri yang mengamalkan tauhid dalam berdoa. Ramai yang mengamalkan tawasul dalam doa. Mereka akan meminta-minta dan berdoa kepada Nabi, wali dan malaikat untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ.

Kita mungkin tidak mahu buat perkara itu, tetapi kalau kita ada masalah, selalunya kita akan digesa untuk buat perkara yang sama. Ada yang berkata: “kenapa tidak minta pertolongan kepada wali sekian dan sekian, supaya masalah kita dapat selesai dengan segera?” Mereka pula ajar kita buat perkara yang syirik.

Orang yang istiqamah, akan tetap tidak berganjak dari iman mereka. Mana yang salah, mereka tidak akan lakukan walaupun ahli keluarga sendiri yang mendesak mereka.

 

فَلا خَوفٌ عَلَيهِم

maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka,

Ini adalah Tabshir (berita gembira) sebagai balasan bagi mereka yang istiqamah dalam tauhid: Mereka yang bersifat seperti itu, tidak perlu takut apa yang akan jadi, kerana mereka akan menuju kepada balasan yang baik – syurga.

Jadi kalimah خوف ini digunakan untuk perkara masa hadapan.

 

وَلا هُم يَحزَنونَ

dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Dan kalimah حزن digunakan untuk perkara yang telah lalu. Maknanya, mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia ini kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.

Ini adalah kerana tentu ada kesedihan untuk kita meninggalkan dunia ini dengan segala harta dan anak pinak kita. Namun, kalau kita pergi ke tempat yang lebih baik dari segala hal, maka tidaklah perlu kita bersedih. Dunia yang fana ini, tinggalkanlah sahaja.


 

Ayat 14: Tabshir lagi.

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ خٰلِدينَ فيها جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the companions of Paradise, abiding eternally therein as reward for what they used to do.

MALAY

Merekalah ahli Syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ

Merekalah ahli Syurga, 

Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga – tempat untuk menikmati segala kenikmatan yang tidak terbayang oleh akal fikiran. Jika hendak mengetahui bagaimana keadaan dalam syurga itu, kena masuk dahulu baru dapat tahu. Ini kerana tidak dapat digambarkan keindahan dan kehebatannya dengan kata-kata. Cuma diberi isyaratnya di dalam banyak ayat Qur’an dan hadis.

Maka inilah balasan yang setimpal bagi mereka yang baik. Oleh kerana itu, tidaklah perlu takut dan bersedih meninggalkan dunia itu. Ini kerana yang menanti itu adalah syurga, tempat untuk bersenang lenang sahaja, tidak ada ketakutan dan kesusahan di dalamnya.

 

خٰلِدينَ فيها

tetap kekallah mereka di dalamnya,

Mereka akan kekal abadi di sana. Ini adalah nikmat yang amat besar kerana kalau kita tahu kita akan duduk sekejap sahaja, tentu nikmat itu akan berkurangan. Macam kita duduk hotel yang mahal dan selesa, tetapi kita tahu kita tidak akan duduk lama di situ, untuk beberapa hari sahaja.

Maka kalau kita tahu kita tidak lama, tentu akan mengurangkan kesenangan hati di dalam hotel itu. Maka kepada ahli syurga, mereka diberitahu yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Maka ini menambah kenikmatan dalam syurga itu.

 

جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ

sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Allah ﷻ memberitahu kita akan dibalas dengan syurga atas amalan kebaikan yang kita lakukan semasa di dunia. Ini adalah balasan dari rahmat dari Allah ﷻ. Namun, bukankah kita pernah mendengar: kita tidak masuk syurga dengan amalan kita? Bagaimana pula hendak difahamkan dengan ayat sebegini?

Kita tidak boleh mengatakan bahawa amalan kita layak untuk memasukkan ke dalam syurga kerana amalan kita itu, kerana kalau dikira-kira, tidaklah melayakkan kita masuk ke dalam syurga kerana amalan kita itu tidaklah bernilai sama dengan syurga yang amat hebat itu. Bayangkan kita beberapa tahun sahaja buat amal kebaikan tetapi akan tinggal di syurga selama-lamanya.

Jadi kita tidak masuk syurga kerana amalan kita, tetapi kerana pemberian rahmat dari Allah ﷻ. Ini mafhum dari hadis-hadis yang ada.

Namun, Allah ﷻ sebagai tuanpunya syurga, dan juga tuan kita, Dia boleh berikan ketetapan atau syarat untuk memasukkan kita ke dalam syurga. Kalau Dia kata dengan amal kita semasa di dunia itu membolehkan kita dimasukkan ke dalam syurga, itu adalah hak Dia untuk berkata begitu, kerana Dia yang tetapkan syarat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Ogos 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s