Tafsir Surah Al-An’am Ayat 53 – 56 (Masalah orang kaya)

Ayat 53: Maka kedudukan tinggi dalam masyarakat menjadi ujian bagi sesetengah manusia untuk menerima kebenaran. Memang dunia ini adalah tempat ujian dan salah satu ujian adalah kedudukan dalam dunia.

وَكَذٰلِكَ فَتَنّا بَعضَهُم بِبَعضٍ لِّيَقولوا أَهٰؤُلاءِ مَنَّ اللهُ عَلَيهِم مِّن بَينِنا ۗ أَلَيسَ اللهُ بِأَعلَمَ بِالشّٰكِرينَ

Sahih International

And thus We have tried some of them through others that the disbelievers might say, “Is it these whom Allah has favored among us?” Is not Allah most knowing of those who are grateful?

Malay

Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): “Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? ” (Allah berfirman): “Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?”

وَكَذَٰلِكَ فَتَنَّا بَعْضَهُم بِبَعْضٍ

Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari manusia dengan sebahagian yang lain;

Sebahagian manusia menjadi ujian kepada sebahagian yang lain. Dalam ayat sebelum ini, orang Islam yang lemah dan miskin menjadi ujian kepada musyrikin yang kaya.

Iaitu, kerana yang miskin telah beriman, menyebabkan musyrikin yang kaya tidak mahu duduk bersama Nabi. Mereka rasa kedudukan mereka tinggi sampai mereka tak layak duduk bersama orang-orang yang lemah dan miskin. Dan Allah takdirkan pula, memang orang miskin yang mula-mula terima kebenaran tauhid dari masyarakat.

Memang orang miskin tidak ada apa sangat yang mereka hendak fikirkan. Kerana tidak ada apa yang mereka akan kehilangan kalau mereka terima ajaran agama. Mereka terima dunia ini sementara dan mereka berharap kepada akhirat kerana mereka tidak ada dunia pun.

Kita semua diuji dengan orang lain. Kita juga akan menjadi ujian kepada orang lain juga. Mungkin keluarga kita, kawan kita, guru kita, bos kita di tempat kerja dan sebagainya. Kita juga diuji dengan orang-orang yang jahat. Kita juga diuji dengan orang-orang yang tidak berniat jahat pun dengan kita.

Ingatlah kalau kita sedang diuji dengan perbuatan manusia lain, maka kenalah kita ingat ayat ini. Sedarlah bahawa mereka itu adalah ujian dari Allah. Kita kena selesaikan ujian itu. Pertamanya, kita kena berikan hak mereka. Jangan buat tak tahu sahaja. Kalau kita tidak berikan hak mereka, bermakna kita yang menjadi ujian bagi mereka.

لِّيَقُولُوا أَهَٰؤُلَاءِ

supaya mereka (orang-orang yang kaya) itu berkata: “Inikah orang-orangnya

Siapakah yang mereka maksudkan? Mereka maksudkan sahabat-sahabat yang miskin dan lemah kedudukan dalam masyarakat Arab waktu itu.

Dari ayat ini juga kita dapat tahu bahawa memang selalunya orang yang miskin dan lemah yang mengikut Nabi. Bukan Nabi Muhammad sahaja tapi Nabi-Nabi yang terdahulu pun. Pengikut mereka adalah orang-orang yang miskin-miskin belaka. Kerana yang kaya selalunya akan sibuk dengan harta mereka dan sombong dengan kedudukan mereka.

Maka mereka tidak mahu merendah diri. Yang mula-mula mahu menerima iman selalunya adalah orang-orang yang lemah dan miskin.

مَنَّ اللهُ عَلَيْهِم مِّن بَيْنِنَا

yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami?

Mereka rasa mereka lebih layak untuk mendapat iman. Kerana mereka lebih pandai dan mereka lebih kaya. Mereka kata sepatutnya mereka dululah yang dapat sebagaimana mereka dapat harta yang banyak. Mereka macam nak kata yang Allah silap beri rahmat pula kepada manusia.

Kenapa mereka tak puas hati? Kerana banyak dari sahabat-sahabat dah masuk Islam itu tidak pandai membaca dan menulis pun. Mereka juga miskin dan lemah kedudukan di sisi masyarakat. Jadi puak musyrik itu rasa mereka lebih layak untuk dapat kelebihan kalau ada pun.

Mereka rasa kalau orang orang miskin itu sudah beriman, mereka tak mahu beriman sebab mereka tak mahu bercampur dengan mereka. Kalau sekarang mereka beriman, bermaksud mereka membenarkan apa yang telah diimani oleh mereka yang lemah itu.

Tapi, kalau begitu, mereka rasa malu sebab macam mereka lambat dapat kebenaran. Mereka punyalah teruk fikiran, sampaikan mereka sanggup tidak beriman kerana takut mereka akan dikatakan begitu nanti.

Maka ayat ini, tahulah kita bahawa tidaklah semestinya orang-orang yang beriman itu daripada kalangan orang-orang kaya. Allah pilih sesiapa yang Dia hendak pilih. Tidak ada kelebihan samada kamu kaya atau berkuasa. Yang penting adalah iman.

أَلَيْسَ اللهُ بِأَعْلَمَ بِالشّٰكِرِينَ

“Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?”

Ayat ini bermaksud Allah lebih mengetahui siapakah yang lebih patut diberikan taufiq dan hidayah. Allah tak salah beri nikmat. Mereka yang telah beriman itu mungkin miskin, lemah dan tidak tahu membaca dan menulis, tapi mereka yang sebenarnya layak. Kerana mereka bersyukur. Kerana itu mereka berhak menerima tauhid dan iman.

Kerana itu Allah berikan iman kepada mereka dan bukan kepada musyrikin yang kaya dan berkedudukan itu. Kita sebagai manusia tidak layak untuk mempersoalkan keputusan Allah. Adakah kita layak untuk mempersoalkan? Tentu tidak.

Mereka yang mempersoalkan keputusan Allah seperti yang dikatakan oleh musyrikin Mekah itu amatlah kurang ajar.

Siapakah orang yang bersyukur? Mereka itu adalah orang-orang yang tidak buat syirik kepada Allah. Mereka juga doa terus kepada Allah. Ibadah pula ikut cara ajaran Nabi. Bermakna, mereka mengikut semuanya arahan dan pedoman dari Allah dan Nabi. Selepas itu barulah mereka menyebut Alhamdulillah.

Bukanlah hanya menyebut ‘Alhamdulillah’ berkali-kali, tapi perintah dan arahanNya tidak diikuti.


Ayat 54: Tabshir.

وَإِذا جاءَكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِئآيٰتِنا فَقُل سَلٰمٌ عَلَيكُم ۖ كَتَبَ رَبُّكُم عَلىٰ نَفسِهِ الرَّحمَةَ ۖ أَنَّهُ مَن عَمِلَ مِنكُم سوءًا بِجَهٰلَةٍ ثُمَّ تابَ مِن بَعدِهِ وَأَصلَحَ فَأَنَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sahih International

And when those come to you who believe in Our verses, say, “Peace be upon you. Your Lord has decreed upon Himself mercy: that any of you who does wrong out of ignorance and then repents after that and corrects himself – indeed, He is Forgiving and Merciful.”

Malay

Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

وَإِذَا جَاءَكَ

Dan apabila datang kepadamu

Siapa yang dimaksudkan datang kepada Nabi dalam ayat ini?

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِئآيٰتِنَا

orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami

Mereka itulah orang-orang yang beriman. Yang kebanyakan mereka adalah orang-orang yang miskin dan lemah. Tapi mereka telah percaya kepada Qur’an dan kepada ajaran yang disampaikan oleh Nabi.

فَقُلْ سَلٰمٌ عَلَيْكُمْ

maka katakanlah kepada mereka: “Sejahtera ke atas kamu!

Tidak kira siapa mereka dan apa kedudukan mereka, kalau mereka beriman, maka berikan salam kepada mereka. Walaupun mereka belum mati lagi, tapi diberitahu kepada mereka yang mudah-mudahan mereka akan selamat dari bahaya akhirat.

Dalam ayat ini, Nabi yang disuruh memberi salam kepada mereka. Sepatutnya sahabat lah yang kena beri salam dulu. Tapi lihatlah Allah telah memuliakan mereka. Mereka layak dapat salam daripada Nabi sendiri.

Nabi sendiri telah mengajar kepada sahabat bahawa mengikut protokol, mereka yang datang kena memberi salam kepada mereka yang sudah ada; mereka yang sikit memberi salam kepada yang ramai; mereka yang muda memberi salam kepada yang tua; Tapi mereka tidak berpeluang buat begitu, kerana Nabi Muhammad sendiri akan sentiasa terkehadapan dalam memberi salam – walaupun mereka yang hendak datang berjumpa Nabi, tapi belum sempat mereka memberi salam, Nabi dah beri salam dah.

Ayat ini mengajar kita, apabila kita berjumpa orang Islam, kita kena berikan salam. Selalunya kita hanya beri salam kepada orang yang kita kenal sahaja. Jangan buat begitu. Ayat ini suruh kita beri salam kepada orang Islam tidak kira siapa mereka.

كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ

Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya sifat rahmat:

Kerana sifat rahmat Allah lah yang menerima sesiapa sahaja yang mahu beriman. Tidak kira apakah kesalahan yang mereka telah lakukan sebelum ini. Ini kerana Allah telah mewajibkan sifat rahmah kepada DiriNya.

Dalam kalangan kita pun ramai yang macam itu. Walaupun dari kecil sepatutnya dah Islam dah, tapi bila dah dewasa dan lanjut usia, baru nak masuk Islam dengan sebenarnya kerana baru nak mula beribadat, baru nak belajar tafsir Qur’an, baru nak masuk kelas agama. Tapi yang penting, dia dah ada kehendak.

Kalau dulu, entah berapa banyak kesalahan yang dia telah lakukan, entah perbuatan syirik yang mana yang dia telah amalkan; Allah akan ampunkan segala dosanya kalau dia mahu bertaubat, kerana Allah telah menetapkan sifat rahmah kepada DiriNya.

Ayat ini juga mengajar kita untuk bersifat rahmah dengan orang lain. Mula-mula kita kena beri salam kepada mereka. Jangan buat tak kenal mereka. Ataupun kadang-kadang ada orang yang kita kenal tapi kita marah dengan mereka dan sebagainya, kita tak beri salam pun kepada mereka. Jangan begitu, hendaklah kita memulakan memberi salam.

Dalam ayat ini, Nabi disuruh memberitahu tentang sifat rahmah Allah kepada makhlukNya. Begitu juga kita dalam berdakwah. Memang kita kena beri amaran kepada manusia. Tapi janganlah hanya menakutkan mereka dengan azab neraka sahaja. Ingatkan juga sifat Rahman Allah yang mempunyai belas kasihan yang melimpah ruah.

Ingatkan manusia, bahawa walau bagaimana banyak dosa yang telah mereka lakukan, Allah masih sanggup untuk mengampunkannya asalkan mereka mahu bertaubat dan memperbaiki diri mereka.

أَنَّهُ مَنْ عَمِلَ مِنكُمْ سُوءًا بِجَهٰلَةٍ

bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya,

Sebelum ini, kerana jahil tidak tahu agama, ramai yang tak tahu pun sebelum ini yang buat solat hajat berjemaah itu salah. Tak tahu ada syirik dalam amalan tawasul itu. Dan banyak lagi amalan-amalan syirik dan bidaah yang mereka ingatkan baik amalan itu.

Ataupun dia terlupa apa yang dia buat itu adalah satu kesalahan. Ataupun dia terlalu ikut emosi sampaikan dia lupa sekejap. Bermakna, dia lakukan sesuatu kerana emosi tak terkawal. Perbuatan dia macam jahil, sedangkan kadang-kala dia tahu yang amalan itu salah.

Mereka yang melakukan dosa adalah orang yang jahil walau bagaimana tinggi ilmu mereka. Tidak kira betapa pandai mereka, tidak penting berapa banyak ilmu yang manusia ada, tapi kalau mereka tidak mengamalkan apa yang mereka yang telah belajar, ianya tidak akan membantu mereka.

ثُمَّ تَابَ مِن بَعْدِهِ

kemudian dia bertaubat sesudah itu,

Selepas dia tahu segala kesalahan itu tidak benar, maka dia bertaubat. Dia menyesal dari perbuatan salahnya itu dan dia berazam untuk tidak melakukannya lagi.

وَأَصْلَحَ

dan berusaha memperbaiki (amalannya),

Taubat tadi adalah urusan hati. Maka orang yang bertaubat sepatutnya ikuti dengan amalan perbuatan dia.

Iaitu kena berterusan memperbaiki amalannya. Tukar amalan buruk kepada amalan yang baik. Dia pun dah mula cakap perkara yang benar kepada kepada orang lain – menyampaikan ajaran yang betul kepada orang lain. Dia beritahu kepada orang lain, kepada kawan-kawannya, kepada ahli keluarganya yang apa yang mereka lakukan itu adalah amalan syirik dan bidaah. Maknanya, tidaklah dia simpan seorang sahaja. Apabila dia telah tahu mana yang salah, dia beritahu juga kepada orang lain.

Dia pun telah tinggalkan amalan salah yang dilakukannya dahulu. Amalannya dulu tidak dikira lagi dah, akan diampunkan oleh Allah.

فَأَنَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Allah sanggup beri ampun kepadanya. Allah suka melihat kita meminta ampun kepadaNya.


Ayat 55: 

وَكَذٰلِكَ نُفَصِّلُ الآيٰتِ وَلِتَستَبينَ سَبيلُ المُجرِمينَ

Sahih International

And thus do We detail the verses, and [thus] the way of the criminals will become evident.

Malay

Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Qur’an satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

وَكَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيٰتِ

Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Qur’an satu persatu

Kalimah نُفَصِّلُ bermaksud menerangkan sesuatu sampai jelas. Ianya adalah dari katadasar ف ص ل yang bermaksud ‘memisahkan’. Iaitu memecahkan subjek sesuatu perkara itu satu persatu dan dijelaskan dan diterangkan satu persatu supaya dapat kefahaman yang jelas.

Apabila kita baca dan tadabbur Qur’an, macam-macam kita akan dapat faham. Akan jelas sesuatu perkara. Tapi kena belajar tafsir Qur’an dahulu, kerana kalau baca sendiri, tidak boleh faham. Jangan jadi segelintir yang baca terjemahan dan ingat mereka dah boleh faham Qur’an.

وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ

dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

Perkataan وَلِتَسْتَبِينَ dari katadasar ب ي ن yang bermakna ‘jelas nyata’. Jadi kalimah وَلِتَسْتَبِينَ bermaksud ‘memperjelaskan’. Ini adalah penekanan makna tentang jelas dalam potongan ayat sebelum ini. Allah nak jelaskan bahawa syirik itu jelas salah, bukan samar-samar. Jadi kalau tidak terima juga, itu kerana degil sahaja, bukan sebab tidak jelas.

Qur’an memberitahu kita manakah jalan yang salah, supaya kita boleh tinggalkan. Jalan orang sesat mudah nak kenal. Apabila kita belajar tafsir Qur’an, kita dah boleh tahu dah manakah amalan yang benar dan mana amalan yang salah. Kenapakah jalan-jalan orang yang berdosa perlu diperjelaskan? Supaya menjadi sempadan kepada kita. Supaya kita tak buat macam mereka. Apabila kita dah tahu apa yang salah, maka kita boleh elak dari melakukannya.

Itulah sebabnya penting kepada guru agama untuk menceritakan apakah kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Tapi masalahnya, kebanyakan guru agama tak berani nak ajar begitu. Mereka cuma ajar apa yang perlu dilakukan oleh anak muridnya.

Tapi kesalahan yang mereka sedang lakukan, tidak ditegur langsung. Sebab kalau tegur, takut anak murid akan terasa dan dah tak panggil mereka mengajar lagi. Kalau dah tak dipanggil mengajar, mereka akan kehilangan punca pendapatan. Kerana mereka ambil upah dengan mengajar agama.

Itulah masalah yang jadi kalau kita minta bayaran atas apa yang diajar. Apabila kita minta upah, maka susah untuk guru agama mengajar benda yang tak suka didengar oleh umat.

Begitu juga, banyak guru agama amat memelihara kononnya ‘perpaduan’ masyarakat. Mereka tak berani nak tegur kumpulan itu, kumpulan ini salah. Kerana takut nanti mereka dikatakan memecah belahkan umat. Jadi, apabila datang puak tarekat di Malaysia, dengan buat perkara syirik, mereka tak tegur.

Begitu juga apabila kumpulan Syiah datang dan sekarang kumpulan Habib datang, mereka tak tegur. Apabila tidak ditegur, maka masyarakat ingat kumpulan-kumpulan sesat itu tidak salah, jadi boleh ikutlah. Hasilnya, semakin terjerumus masyarakat kita dalam lembah kesesatan.

Kita kena tegur kerana telah jelas kesalahan yang mereka lakukan. Jelas kerana apa yang mereka lakukan itu bersalahan dengan ayat-ayat Qur’an dan amalan sunnah dari Nabi. Apabila sudah jelas salah, maka kewajiban kita untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa apa yang mereka buat itu salah. Kerana kalau tidak, masyarakat akan ikut.

Habis Ruku’ 6 dari 20 ruku’ dalam surah ini.


Ayat 56: Cara kelima tabligh wahyu kepada manusia.

قُل إِنّي نُهيتُ أَن أَعبُدَ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللهِ ۚ قُل لّا أَتَّبِعُ أَهواءَكُم ۙ قَد ضَلَلتُ إِذًا وَما أَنا مِنَ المُهتَدينَ

Sahih International

Say, “Indeed, I have been forbidden to worship those you invoke besides Allah .” Say, “I will not follow your desires, for I would then have gone astray, and I would not be of the [rightly] guided.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah”. Katakanlah lagi: “Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.

قُلْ

Katakanlah:

Apa yang hendak disampaikan ini adalah penting sampaikan Nabi disuruh secara spesifik untuk sampaikan kepada kita. Padahal, bukan ini sahaja yang Nabi perlu sampaikan, tapi seluruh ajaran agama. Tapi kerana pentingnya perkara ini, Nabi disuruh sampaikan secara spesifik.

إِنِّي نُهِيتُ

“Sesungguhnya aku dilarang

Nabi sendiri dilarang oleh Allah. Maka kalau Nabi dilarang, bermakna kita juga dilarang.

أَنْ أَعْبُدَ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللهِ

Daripada menyeru yang kamu seru selain Allah”.

Iaitu kita dilarang dari seru, memanggil, beri salam dan sebagainya kepada selain dari Allah. Samada yang diseru itu adalah tok wali, Nabi atau malaikat. Seru kepada yang ghaib bermaksud seru selain Allah. Kerana mereka tidak ada di hadapan kita.

Begitulah juga kalau kita seru jin. Begitu juga kalau kita bercakap dengan ahli keluarga kita yang telah mati. Malah, banyak lagi contoh kesalahan menyeru yang dilakukan oleh masyarakat.

Perkataan تَدْعُونَ dari perkataan د ع و yang bermaksud ‘doa’. Doa itu ada dua macam. Yang pertama adalah apabila kita berdoa kepada Allah untuk meminta sesuatu. Yang kedua maksudnya adalah beribadat kerana doa adalah pati kepada ibadat.

Oleh itu, berhentilah dari seru selain dari Allah. Apa-apa sahaja seruan selain dari Allah adalah kufur – termasuklah kalau yang diseru itu adalah Nabi Muhammad sendiri.

قُل لَّا أَتَّبِعُ أَهْوَاءَكُمْ

Katakanlah: “Aku tidak akan mengikuti hawa nafsumu,

Beritahu dengan tegas: Hujah kamu yang tidak ada dalil ini aku tidak akan ikut. Antara hujah-hujah mereka adalah: “Takkanlah guru-guru dan tok nenek kita itu nak masuk neraka”. Itu adalah hujah-hujah batil.

Hujah yang bukan selain daripada dalil-dalil yang sah adalah dikira dalil-dalil dari hawa nafsu.

Kita juga tidak akan ada timbang tara dalam hal agama. Kalau salah, kita akan kata salah. Macam Nabi Muhammad yang tolak toleransi yang dicadangkan oleh musyrikin Mekah. Musyrikin Mekah ajak Nabi sembah berhala setahun dan tahun depan sembah Allah pula – bergilir-gilir – Nabi tolak terus kerana itu adalah timbangtara yang tidak dibenarkan. Agama bukan politik yang boleh ditimbangtara, boleh tolak ke sana ke sini.

قَدْ ضَلَلْتُ إِذًا

sungguh sesatlah aku jika berbuat demikian

Jika aku ikut kamu, aku akan sesat. Musyrikin Mekah minta kepada Nabi kalau Nabi tidak percaya kepada Tuhan mereka pun, tapi sekurang-kurannya sentuhlah sikit berhala mereka. Dan katakan bahawa tidak ada masalah dengan tuhan mereka itu.

Tapi Nabi disuruh dalam ayat ini supaya tidak ada kompromi langsung dengan perbuatan syirik yang mereka lakukan itu. Kerana kalau baginda buat macam itu, menujukkan bahawa Nabi telah hormat kepada berhala-berhala mereka. Ibadah bukan hanya sujud dan tunduk kepada sesuatu sahaja tapi dengan menunjukkan hormat pun sudah dikira sebagai ibadah.

Inilah perkara yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat Islam kita. Kerana ramai dari kalangan kita yang beribadat kepada Allah tetapi apabila perkara perkara doa, mereka akan minta kepada selain dari Allah. Mereka akan minta kepada kubur, kepada wali, pada malaikat, kepada nabi dan lain-lain lagi.

Mereka menjadikan mereka-mereka itu sebagai perantaraan untuk menyampaikan doa kepada Allah. Itu adalah dilarang sama sekali kerana kita sebenarnya mesti berdoa terus kepada Allah. Kerana kalau berdoa menggunakan perantaraan pun sudah dikira berdo’a kepada selain dari Allah.

وَمَا أَنَا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

dan tidaklah aku termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Kalau aku ikut kamu dan hujah batil kamu itu, tentulah aku tidak akan mendapat petunjuk.

Ayat ini juga mengajar kepada kita bahawa tidak ada timbang tara dan tidak ada kompromi dalam perkara perkara agama. Kalau perbuatan yang salah kita langsung tidak boleh ikut.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 19 Februari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s