Tafsir Surah Al-An’am Ayat 57 – 59 (Ilmu Ghaib milik Allah sahaja)

Ayat 57: Dalam ayat sebelum ini Allah melarang menggunakan dalil dari hawa nafsu. Dalam ayat ini Allah menerangkan apakah dalil yang sahih. Jadi ini adalah cara keenam untuk tabligh wahyu kepada manusia.

قُل إِنّي عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبّي وَكَذَّبتُم بِهِ ۚ ما عِندي ما تَستَعجِلونَ بِهِ ۚ إِنِ الحُكمُ إِلّا ِللهِ ۖ يَقُصُّ الحَقَّ ۖ وَهُوَ خَيرُ الفٰصِلينَ

Sahih International

Say, “Indeed, I am on clear evidence from my Lord, and you have denied it. I do not have that for which you are impatient. The decision is only for Allah. He relates the truth, and He is the best of deciders.”

Malay

Katakanlah: “Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (Al-Qur’an) dari Tuhanku; sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Ia menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan”.

قُلْ إِنِّي عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي

Katakanlah: “Sesungguhnya aku berada di atas hujjah yang nyata dari Tuhanku,

Hujah yang nyata jelas itu adalah hujah-hujah dari Qur’an. Apa yang diberitahu dalam Qur’an, kita akan ikut. Ia adalah dalil yang cukup sempurna. Mana mungkin ia tidak sempurna sedangkan ia datangnya dari Allah SWT?

Definisi بَيِّنَةٍ nanti akan diberikan dalam Surah al-Bayyinah. Ia mempunyai dua elemen: dalil yang nyata dan karektor yang sempurna.

وَكَذَّبْتُم بِهِ

sedang kamu mendustakannya.

Masdar ‘nya’ dalam ayat ini sama ada merujuk kepada ‘dalil yang nyata’ ataupun ‘Allah’ sendiri. Apabila manusia menolak dalil dalil dari Qur’an dan hadis, bermakna mereka menolak Allah sebenarnya.

Mereka menolak pula tanpa dalil. Kita beri dalil yang nyata dari Qur’an dan Sunnah, tapi ramai yang menolak begitu sahaja, tapi beri dalil pun.

مَا عِندِي مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِ

Tidak ada padaku kuasa untuk menyegerakan kedatangannya.

Orang musyrikin selalu minta kepada Nabi untuk membawakan mukjizat, atau kalau betul mereka buat itu salah, segerakan datangnya azab itu. Kalimah ما dalam ayat ini bermaksud ‘azab’. Itu dah ejek Nabi Muhammad dah tu.

Nabi disuruh memberitahu kepada mereka bahawa baginda tidak ada kuasa untuk mempercepatkan datangnya azab itu. Nabi tidak ada mukjizat atau azab itu untuk diberikan kepada mereka. Kita manusia biasa memang tidak ada kuasa nak buat begitu.

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا ِللهِ

Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.

Keputusan untuk beri azab itu hanya ada pada Allah. Bagaimana cara, besar mana dan bilakah azab itu akan diberikan, terpulang kepada Allah.

يَقُصُّ الْحَقَّ

Dia menerangkan yang haq.

Apa sahaja maklumat yang disampaikan oleh Allah adalah kebenaran belaka. Maka janganlah kita meraguinya. Allah beri penerangan yang jelas.

Hanya Allah sahaja yang boleh menjelaskan kebenaran. Apakah ‘haq’ itu? Untuk menzahirkan kebenaran. Kebenaran apa? Iaitu Allah lah sahaja Tuhan yang menjadikan alam ini. Hanya Dia sahaja yang layak disembah, tidak ada yang lain.

وَهُوَ خَيْرُ الْفٰصِلِينَ

dan Dia Pemberi keputusan yang paling baik”.

Perkataan الْفَاصِلِينَ berasal dari perkataan ف ص ل yang bermaksud ‘memisahkan’. Dalam konteks ayat ini الْفَاصِلِينَ bermaksud ‘pemberi keputusan’ kerana keputusan akan diberikan setelah yang haq dan batil akan dipisahkan. Allah juga akan pisahkan orang yang beriman dan kufur.

Terpulang kepada Allah: Allah boleh terus beri azab atau Allah boleh tangguh azab itu untuk beri peluang kepada manusia untuk bertaubat.


Ayat 58: Cara tabligh wahyu lagi:

قُل لَّو أَنَّ عِندي ما تَستَعجِلونَ بِهِ لَقُضِيَ الأَمرُ بَيني وَبَينَكُم ۗ وَاللهُ أَعلَمُ بِالظّٰلِمينَ

Sahih International

Say, “If I had that for which you are impatient, the matter would have been decided between me and you, but Allah is most knowing of the wrongdoers.”

Malay

Katakanlah: “Kalau ada padaku (kuasa menurunkan) azab seksa yang kamu minta disegerakan kedatangannya itu, nescaya selesailah perkara (yang sedang berbangkit) antaraku dengan kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim”.

قُل لَّوْ أَنَّ عِندِي مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِ

Katakanlah: “Kalau sekiranya ada padaku kuasa untuk mempercepatkan apa yang kamu minta itu,

Kalaulah Nabi ada kuasa untuk mempercepatkan azab kepada mereka. Mereka sentiasa meminta-minta azab diturunkan dengan segera kepada mereka sebagai ejekan kepada Nabi.

لَقُضِيَ الْأَمْرُ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ

tentu telah diselesaikan urusan antara aku dan kamu.

Kalau Nabi ada kuasa untuk beri azab kepada mereka, tentu dah lama dah mereka kena azab. Kerana Nabi Muhammad pun adalah manusia juga. Tentunya Nabi terkesan dan terasa dengan apa yang dilakukan oleh musyrikin Mekah itu. Nabi tidak boleh sabar seperti Allah.

Tapi Allah itu al-Halil – Maha Lembut – bermaksud tidaklah Allah macam kita, cepat sahaja nak hukum orang yang buat salah dengan kita. Allah bersabar dengan hambaNya dan Allah boleh beri tangguh lagi. Allah boleh sahaja lihat manusia buat syirik dengan tidak buat apa-apa.

Sama juga dengan kita. Kalau kita ada kuasa, dah lama kita akan kenakan sesuatu yang tak baik dengan orang yang menentang kita. Sebab kita manusia bukan boleh sabar. Mereka kata macam-macam tentang kita, tentulah kita marah kepada puak-puak syirik ini.

Jadi, dengan rahmat Allah lah, Allah tak beri kuasa mengazab kepada manusia. Kerana kalau kita ada kuasa, tidak ada manusia yang hidup sekarang. Semua dah kena azab.

وَاللهُ أَعْلَمُ بِالظّٰلِمِينَ

Dan Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang zalim.

‘Zalim’ dalam ayat ini adalah mereka yang buat syirik kepada Allah.

Ayat ini bermaksud bukan Allah tak tahu siapakah yang zalim dan melakukan kezaliman. Bukanlah Allah tak azab lagi mereka yang zalim itu kerana Allah tak tahu mereka dah melakukan kezaliman, tidak. Allah tak azab lagi kerana Allah nak beri peluang lagi kepada mereka untuk bertaubat.

Ada hikmah kenapa Allah melambatkan azab itu. Berapa ramaikah musyrikin Mekah yang masuk Islam setelah sekian lama menentang Nabi? Sebagai contoh, Abu Sufyan. Kalau awal-awal lagi mereka diazab, tentu mereka tidak ada peluang untuk beriman.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah tahu segala perbuatan kita di dunia ini. Allah akan balas perbuatan kita sama ada yang baik ataupun yang buruk. Sepatutnya kita takut dengan balasan Allah itu kalau kita buat perkara yang salah. Tetapi kalau kita buat perkara yang salah kepada manusia, kita takut sangat kalau mereka tahu.

Sebagai contoh, kalau kita sedang memandu dan tiba-tiba polis lalu, tentu kita rasa takut. Tapi dalam masa yang sama kita tidak takut pada Allah padahal Allah maha tahu segala yang kita lakukan.


Ayat 59: Dalil Aqli.

۞ وَعِندَهُ مَفاتِحُ الغَيبِ لا يَعلَمُها إِلّا هُوَ ۚ وَيَعلَمُ ما فِي البَرِّ وَالبَحرِ ۚ وَما تَسقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلّا يَعلَمُها وَلا حَبَّةٍ في ظُلُمٰتِ الأَرضِ وَلا رَطبٍ وَلا يابِسٍ إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ

Sahih International

And with Him are the keys of the unseen; none knows them except Him. And He knows what is on the land and in the sea. Not a leaf falls but that He knows it. And no grain is there within the darknesses of the earth and no moist or dry [thing] but that it is [written] in a clear record.

Malay

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ

Dan hanya pada sisi Allah-lah kunci-kunci khazanah ghaib;

Tidak ada sesiapa selain dari Allah yang ada kunci khazanah perkara ghaib. Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu yang Nabi Muhammad tidak tahu perkara ghaib. Hanya Allah sahaja yang tahu. Jadi kalau nak tahu hal ghaib, kena dapat dari Allah lah. Bukanlah kena dapatkan dari guru sesat yang kononnya boleh tahu pula perkara ghaib. Itu karut sahaja.

Antaranya mereka kata guru mereka boleh scan jin. Ada pula yang kata guru mereka boleh tahu apa yang akan terjadi. Ada pula yang kata guru mereka boleh tahu bilakah hari Kiamat akan berlaku – macam-macam kesesatan yang disampaikan oleh mereka yang kadang-kadang digelar ‘guru’.

لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia (Allah),

Hanya Allah sahaja yang tahu perkara ghaib.

Antara masalah yang manusia hadapi adalah tentang jin. Maka ramailah manusia yang sangka ada orang yang boleh scan jin, nampak jin, kawal jin, kawan dengan jin, bunuh jin dan sebagainya. Padahal kalau kita baca dalam Surah Jin, Nabi sendiri pun tidak dapat tahu kehadiran jin yang mendengar bacaan Qur’an yang dibaca oleh baginda.

وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

dan hanya Dia yang mengetahui apa yang di daratan dan di lautan,

Allah sahaja yang tahu segala-galanya yang terjadi dalam bumi ini, samada di daratan atau lautan. Maknanya, seluruh dunia. Dan itu hanya di dunia sahaja. Allah bukan hanya hal di dunia ini, tapi seluruh alam ini. Cuma ditekankan dalam ayat ini darat dan laut kerana kita tinggal di dunia ini dan kita boleh nampak daratan dan lautan setiap hari.

وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا

dan tiada sehelai daun (dan kelopak) pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya,

Allah tahu apa sahaja yang gugur, bilakah ia gugur, berapa lama masa yang diambil untuk ia gugur, di mana ia gugur dan lepas itu apa akan jadi kepada dedaunan dan kelopak bunga yang gurur itu dan segala-galanya tentangnya.

Kalau benda yang sekecil itu pun Allah tahu, apatah lagi kalau benda lain. Maknanya, Allah tahu segala perkara.

وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمٰتِ الْأَرْضِ

dan tidak sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi,

Ini termasuklah biji benih yang ditanam dalam tanah. Sudahlah bijian itu kecil, dalam kegelapan bumi pula lagi. Termasuk juga semua biji-bijian yang walaupun tidak tertanam dalam tanah. Tak kiralah samada terdedah, tersembunyi atau tidak. Semuanya Allah tahu. Tidak ada yang tersembunyi.

Lihatlah bagaimana Allah tidak malu menggunakan contoh-contoh benda yang kecil pun untuk mengingatkan kita kepadaNya. Sepatutnya kita dalam melihat kepada benda yang kecil pun boleh memikirkan tentang Allah.

وَلَا رَطْبٍ

dan tidak sesuatu yang basah

Perkataan رطب asalnya merujuk kepada buah tamar yang masih ranum, masih segar lagi. Semasa ianya masak, ianya dalam keadaan basah. Maka sebab itulah digunakan perkataan رَطْبٍ untuk merujuk kepada ‘sesuatu yang basah’.

Contoh tamar digunakan kerana masyarakat Arab amat familiar dengan buah tamar dan mereka adalah penerima wahyu yang awal. Maka, contoh-contoh dalam Qur’an kebanyakannya akan menggunakan perkara-perkara yang mereka biasa dengannya.

وَلَا يَابِسٍ

atau yang kering,

Perkataan يبس adalah lawan kepada رطب. Jadi ia bermaksud sesuatu yang kering, kecut, dah layu.

Ada juga yang mengatakan bahawa perkataan رطب merujuk kepada benda yang hidup seperti manusia dan binatang. Kerana semua yang bernyawa ada air didalamnya.

Dan perkataan يبس merujuk kepada benda yang tidak bernyawa seperti batu, plastik dan sebagainya.

Kalimah رطب juga dikatakan bermaksud lidah yang ingat kepada Allah. Seperti sabda Nabi yang menyuruh kita membasahkan lidah dengan zikir kepada Allah. Oleh itu, يَابِسٍ bermaksud lidah yang tidak zikir kepada Allah. Ini hendak menunjukkan yang Allah tahu apa yang kita lakukan. Termasuk samada kita zikir atau tidak.

إِلَّا فِي كِتٰبٍ مُّبِينٍ

melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)”

Semuanya Allah tahu (Ilmu Ilahi). Dengan segala detail sekali. Apa sahaja yang wujud dan berlaku, ada pengetahuannya pada Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Mac 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s