Ayat 28: Tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad.
وَاصبِر نَفسَكَ مَعَ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدَوٰةِ وَالعَشِيِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ وَلا تَعدُ عَيناكَ عَنهُم تُريدُ زينَةَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلا تُطِع مَن أَغفَلنا قَلبَهُ عَن ذِكرِنا وَاتَّبَعَ هَوىٰهُ وَكانَ أَمرُهُ فُرُطًا
Sahih International
And keep yourself patient [by being] with those who call upon their Lord in the morning and the evening, seeking His countenance. And let not your eyes pass beyond them, desiring adornments of the worldly life, and do not obey one whose heart We have made heedless of Our remembrance and who follows his desire and whose affair is ever [in] neglect.
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Qur’an, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ
Dan bersabarlah diri kamu bersama dengan orang yang menyeru Tuhan mereka
Maksud وَاصْبِرْ adalah ‘sabarkanlah’. Allah suruh Nabi bersabar iaitu berasa cukup dengan pengikut-pengikut Nabi yang telah ada sekarang. Iaitu sahabat-sahabat baginda.
بِالْغَدَوٰةِ وَالْعَشِيِّ
pagi-pagi dan petang-petang
Para sahabat beribadat kepada Allah walaupun di waktu-waktu yang sibuk. Kerana waktu pagi dan petang itu adalah waktu-waktu yang manusia lain menghabiskan masa dengan dunia. Tapi para sahabat itu meninggalkan waktu yang sibuk itu untuk beribadat kepada Allah. Ada waktu yang kena solat iaitu waktu-waktu yang telah ditetapkan.
Juga bila disebut pagi dan petang, ini adalah isyarat kepada sepanjang masa. Maknanya, dalam buat kerja seharian, ingatlah kepada Allah juga. Bukan waktu ibadat sahaja kita kena ingat Allah tapi sepanjang masa.
يُرِيدُونَ وَجْهَهُ
Mereka ingin keredhaan Allah semata-mata;
Maksud ‘mahu Wajah Allah’ bermaksud mahu keredhaan Allah semata. Para sahabat Nabi itu ikhlas dalam amal ibadat mereka. Segala amalan yang mereka buat itu adalah kerana mengharapkan redha Allah semata-mata. Mereka bukannya berharap kepada kebendaan duniawi walaupun mereka itu orang yang rata-ratanya orang miskin belaka.
Tapi tidaklah mereka berharap kosong sahaja tapi mereka berharap dengan melakukan amal kebaikan dan amal ibadah. Jangan kita tidak buat apa-apa tapi dalam masa yang sama, hendak berharap.
Ada yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Pemuka-pemuka Quraish yang mahu supaya Nabi membuat satu majlis khas untuk mereka, supaya tidak dicampuri oleh orang-orang yang miskin dan lemah, antaranya Bilal, Ammar dan Ibn Mas’ud. Mereka tidak mahu menyertai majlis Nabi kerana majlis Nabi dipenuhi oleh orang-orang yang miskin dan lemah. Mereka rasa mereka kedudukan tinggi dan tidak boleh campur dengan golongan lemah dan miskin.
Allah melarang ikut permintaan mereka dengan menurunkan ayat ini. Allah tidak benarkan baginda halau para sahabat yang ikhlas itu. Memang mereka lemah dan rendah dalam masyarakat. Tapi, mereka yang miskin dan lemah itu telah memberikan segalanya untuk bersama dengan Nabi. Hati mereka ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah.
وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ
dan jangan sekali-kali kamu palingkan mata kamu dari mereka;
Maka baginda dilarang dari meninggalkan para sahabat. Baginda tidak boleh tidak memandang mereka. Baginda tidak boleh tidak menghiraukan mereka. Baginda kena tetapkan hubungan dengan mereka.
Ini juga adalah dugaan kepada guru. Bila sudah mula ajar manusia, dan yang belajar itu sudah boleh terima, guru itu kena sentiasa mengajar mereka. Tidak boleh tinggalkan mereka. Kena mengajar anak murid itu berterusan. Guru tidak boleh tidak memperdulikan anak-anak murid dia yang dia telah mula ajar itu. Kena sentiasa tanya khabar dan terus mengajar mereka. Jangan bila ada anak murid yang kaya, beri lebih perhatian kepada anak murid yang kaya pula.
Allah menasihati Nabi kerana baginda rasa kalau orang-orang yang elit itu mahu beriman dan mendengar kata baginda, mereka akan menguatkan lagi Islam. Tentu kalau mereka masuk Islam, lebih ramai lagi manusia akan mengikuti mereka dan masuk Islam. Maka baginda rasa kalau baginda boleh buat majlis khas untuk mereka, maka itu akan memberikan harapan yang baik kepada Islam secara keseluruhan. Harapan Nabi itu suci, tapi Allah lebih mengetahui apa yang lebih baik.
Ada dua golongan pada zaman itu yang Nabi mengharapkan sangat mereka itu akan beriman. Pertama adalah golongan ‘elit dalam masyarakat’ seperti puak Quraish. Keduanya adalah golongan yang ‘elit dalam ilmu agama’ iaitu pendeta-pendeta Yahudi. Dua golongan ini Nabi rasa kalau mereka beriman, mereka akan dapat membawa masuk ramai lagi pengikut-pengikut mereka ke dalam Islam.
Islam telah mengubah bagaimana cara kriteria manusia dinilai. Sekarang bukan lagi dikira status mereka dalam masyarakat. Yang penting dalam Islam adalah mereka yang bertaqwa. Mereka yang bertaqwa itu lebih tinggi statusnya dalam Islam. Kalau Nabi memberi perhatian kepada orang yang berkedudukan dalam masyarakat, hanya kerana mereka kaya atau berpengaruh, itu akan menyebabkan patah hati di kalangan sahabat-sahabat yang lain.
Bukanlah Nabi mahukan kedudukan dan kekayaan kalau bergaul dengan golongan kaya dan berpengaruh itu. Tapi tujuan Nabi adalah supaya dakwah Islam dapat diperkembangkan lagi. Pada baginda, kalau golongan berpengaruh itu terima Islam, maka akan menyebabkan semakin ramai lagi manusia yang masuk Islam. Walaupun tujuan baginda itu baik, tapi itu pun tidak dibenarkan oleh Allah. Nabi pernah ditegur dalam Surah Abasa berkenaan perkara ini.
Dalam Islam, kita tidak boleh ada rasa kita lebih dari orang lain berdasarkan kepada status kita. Kita memang disuruh menghormati orang lain kerana umur mereka dan ilmu mereka. Tapi jangan berlebihan sangat. Jangan kita mengharap orang menghormati kita disebabkan oleh kedudukan kita.
Nabi pernah memberikan pangkat panglima kepada seorang yang muda iaitu Saad bin Abi Waqqas walaupun ada ramai lagi sahabat yang lebih tua. Ini adalah untuk mengajar sahabat bahawa kedudukan dalam masyarakat bukanlah kerana kedudukan dalam masyarakat atau kerana telah lama dalam Islam. Nabi pernah lantik Amr al As menjadi panglima perang walaupun dia baru sahaja masuk Islam tiga bulan. Dan waktu itu Amr mengetuai sahabat yang besar seperti Abu Bakr dan Umar. Tapi sahabat lain taat kepada Amr walaupun dia baru sahaja masuk Islam. Kerana kedudukan bukan kerana lama dalam Islam.
Kita juga kena ambil pengajaran dari ayat ini. Katakanlah kita dijemput untuk beri ceramah tapi penganjur pun ada juga jemput orang lain yang lebih muda. Jangan kita melenting jikalau slot yang diberikan kepada kita kurang daripada yang diberikan kepada orang muda itu. Jangan kita meninggi diri.
تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا
hanya kerana hendakkan kehidupan di dunia;
Jangan guru itu tinggalkan mana-mana anak murid dia jika dia sudah ada anak murid yang lebih berharta. Walaupun ada anak-anak murid lain yang lebih kaya atau lebih ramai, jangan dia lupakan anak murid yang lama. Itu tidak boleh.
Bukanlah maksud ayat ini Nabi mahukan kesenangan dunia pula. Tidaklah begitu maksudnya. Tapi baginda memikirkan bagaimana hendak menyebarkan agama dengan lebih meluas lagi. Maka baginda berharap yang orang-orang kaya dan berpengaruh di Mekah itu mahu beriman dengan agama Islam kerana kalau mereka beriman, tentu ramai lagi orang akan masuk beriman juga.
Memang tujuan dan niat baginda itu baik, tapi Allah ingatkan baginda jangan lupakan sahabat baginda yang ikhlas dalam beragama itu kerana mahukan kepada orang kaya dan berpengaruh. Jangan berharap kepada mereka.
Kita sekarang pun ada dugaan ini juga. Katakanlah kita AJK masjid. Kalau ada seorang yang beri derma lebih sikit dari orang lain, kita sudah layan dia lain macam. Padahal, bukan tentu dia seorang yang rajin datang ke masjid pun. Ada lagi orang lain yang berjasa kepada masjid maka mereka itu jangan dilupakan.
وَلا تُطِع مَن أَغفَلنا قَلبَهُ عَن ذِكرِنا
Dan jangan kamu taat kepada orang yang telah Kami lalaikan hati mereka dari mengingati Kami;
Pernah orang kaya mahu bercakap dengan Nabi Muhammad dan kononnya hendak belajar. Tapi mereka beri syarat: kalau nak mereka bercakap dengan baginda, maka kena sisihkan mereka dari orang-orang yang miskin dan hina (pada pandangan mereka itu). Maka terdetik juga di hati baginda untuk buat majlis asing bagi orang-orang kaya itu. Tapi Allah tegur baginda supaya jangan buat begitu.
Jangan kita ikut hawa nafsu dan kehendak mereka yang lalai dalam agama. Kadang-kadang kita rasa orang kaya yang kita mengajar itu lebih baik sebab dia banyak duit dan kita rasa dengan duit itu kita boleh lebih banyak tolong orang lain. Padahal mereka tidak pedulikan Qur’an dan Allah. Mereka mungkin jemput kita kerana mereka nak nampak mereka islamik sahaja. Maka kita kena pandai nilaikan sendiri.
وَاتَّبَعَ هَوَىٰهُ
dan mereka itu mengikuti hawa nafsunya;
Tidak boleh ikut mereka kerana mereka hanya ikut hawa nafsu mereka sahaja. Begitulah orang yang jauh dari wahyu. Apabila kita ajak mereka untuk belajar tafsir Qur’an, mereka tak boleh sahaja. Ada sahaja masalah dan halangan bagi mereka mereka. Mereka tolak dengan kata ‘tapi’. Kata kita betul, tapi….. Itulah sahaja alasan mereka.
وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا
dan tingkah-laku mereka melampaui batas
Oleh kerana mereka ikut hawa nafsu mereka, maka tindakan mereka melampaui batas yang ditetapkan dalam agama. Mereka sudah tidak kisah batas-batas dalam agama.
Ayat 29:
وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر ۚ إِنّا أَعتَدنا لِلظّٰلِمينَ نارًا أَحاطَ بِهِم سُرادِقُها ۚ وَإِن يَستَغيثوا يُغاثوا بِماءٍ كَالمُهلِ يَشوِي الوُجوهَ ۚ بِئسَ الشَّرابُ وَساءَت مُرتَفَقًا
Sahih International
And say, “The truth is from your Lord, so whoever wills – let him believe; and whoever wills – let him disbelieve.” Indeed, We have prepared for the wrongdoers a fire whose walls will surround them. And if they call for relief, they will be relieved with water like murky oil, which scalds [their] faces. Wretched is the drink, and evil is the resting place.
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.
وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَّبِّكُمْ
Dan katakanlah kebenaran itu datang dari Tuhan kamu;
Kebenaran itu bukan datang dari kita tapi dari Allah. Apabila Nabi menolak permintaan mereka (Pendeta Yahudi dan Pemuka Quraish) supaya Nabi hanya melayan mereka sahaja, Nabi disuruh memberitahu bahawa kebenaran itu dari Allah. Nabi tidak memerlukan mereka. Islam tidak memerlukan sokongan dan harta mereka.
Maka sebutkan dan sampaikan sahaja kebenaran dari Allah itu. Terpulang siapa yang mahu ikut atau tidak.
فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ
Maka sesiapa yang hendak beriman, berimanlah.
Manusia telah diberikan pilihan untuk memilih jalan sendiri. Manusia bukan seperti malaikat yang tidak ada pilihan untuk tidak taat. Jadi kalau manusia hendak memilih jalan yang salah, memang boleh. Kalau mereka hendak beriman, maka bagus bagi mereka.
وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ
dan sesiapa yang ingin kafir, maka kafirlah;
Tapi kalau manusia memilih hendak jadi engkar, maka silakan. Tapi jangan salah faham pula. Ayat ini sebenarnya adalah ancaman keras. Bukan nak beri kebenaran kepada manusia untuk jadi kafir pula. Ini adalah ayat dalam bentuk perli. Kalau tak mahu nak beriman, maka ikut kamulah.
إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا
Sesungguhnya Kami sediakan api Neraka kepada orang yang buat syirik itu;
Takhwif ukhrawi. Memang manusia boleh memilih untuk jadi kafir, tapi ada ancamannya. Kalau kamu kufur, maka tempat kamu adalah di neraka.
Dalam ayat ini digunakan kalimah ‘zalim’. Zalim dalam ayat ini bermaksud melakukan syirik. Ini adalah kerana syirik adalah kezaliman yang paling besar.
Bukan Allah ‘akan sediakan’ neraka itu tapi Allah sudah sediakan siap-siap api neraka itu. Maknanya neraka memang sudah ada. Ini adalah dalil yang syurga neraka sudah ada.
Lihatlah bagaimana mereka yang engkar diancam dengan api neraka. Allah sahaja yang boleh buat begini. Kalau kita berniaga, dan pelanggan hampir meninggalkan kita, kita akan tawar dia macam-macam benda tambahan untuk dia terus membeli, bukan? Takkan kita nak marah dia pula, bukan?
Tapi lihatlah bagaimana Allah melayan mereka. Allah tidak perlu tawarkan kebaikan kepada mereka, tapi Allah ancam mereka kalau mereka tidak terima. Kerana agama ini bukanlah barang murah yang boleh ditawar-tawar lagi. Kalau kamu tidak mahu, maka inilah ancamannya.
Ayat seterusnya menerangkan apakah api neraka itu.
أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا
yang gelegaknya akan meliputinya seperti dinding;
Allah menceritakan kedahsyatan neraka itu. Ianya dipenuhi dengan api sahaja. Di atas, bawah dan tepi mereka akan diliputi oleh api neraka. Dindingnya, atap dan bawahnya adalah dari api. Kemudian orang itu dibakar dengan api pula. Semuanya api belaka. Ini kerana kalimah سُرَادِقُ bermaksud khemah yang tidak ada atap.
وَإِنْ يَسْتَغِيثُوا
Dan jika mereka minta minum;
Ahli neraka akan dahaga sentiasa dari semenjak mereka masuk dalam neraka dan kehausan mereka itu tidak akan hilang sampai bila-bila. Maka tentulah mereka akan minta air kerana mereka dahaga sangat. Mereka terpaksa minta air itu selama seribu tahun barulah malaikat penjaga Neraka nak toleh tanya apa yang mereka hendak.
يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ
mereka diberi minum dengan air yang seperti besi cair yang mendidih;
Mereka akan diberi minum tapi bukan dengan air yang dapat menghilangkan dahaga. Mereka akan diberikan dengan air menggelegak atau tembaga cair yang mendidih. Sanggupkah nak minum? Air itu kelihatan seperti kerak minyak besi.
يَشْوِي الْوُجُوهَ
yang menghancurkan muka;
Ianya panas sangat sampaikan hangus muka sesiapa yang minum. Ini belum masuk dalam mulut lagi. Padahal kulit muka di neraka itu bukan macam kulit muka kita yang di dunia ini. Sebelum masuk neraka, kulit telah dinaiktaraf setebal 42 hasta. Sudah tebal macam itu pun boleh hancur lagi bila diberi minum dengan tembaga mendidih itu.
بِئْسَ الشَّرَابُ
Alangkah buruknya minuman itu;
Maka cubalah fikirkan dan bayangkan. Ini bukan air biasa tapi air minuman yang paling teruk Allah beri.
وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا
Dan seburuk-buruk tempat berehat;
Allah perli dengan sebut neraka itu adalah ‘tempat rehat’. Padahal, ianya bukanlah tempat rehat. Ahli neraka akan diseksa dari mula masuk tanpa henti.
Ayat 30: Tabshir Ukhrawi. Selepas cerita tentang ahli neraka, Allah cerita tentang ahli syurga pula.
إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ إِنّا لا نُضيعُ أَجرَ مَن أَحسَنَ عَمَلًا
Sahih International
Indeed, those who have believed and done righteous deeds – indeed, We will not allow to be lost the reward of any who did well in deeds.
Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.
إِنَّ الَّذِينَ ءآمَنُوا
Sesungguhnya orang-orang yang beriman sempurna;
Orang yang beriman sempurna adalah mereka yang tidak melakukan syirik. Tidak cukup dengan ‘beriman’ sahaja. Kerana ada orang yang percaya dengan perkara-perkara yang perlu dipercayai seperti Allah, Rasul, Kitab dan sebagainya. Tapi dalam masa yang sama, mereka percaya pula kepada wali, boleh tawasul dan sebagainya. Jadi ini adalah kepercayaan yang salah dan tidak beriman dengan ‘sempurna’.
Orang yang beriman sempurna akan tolak salah faham syirik ini dari kehidupan mereka. Mereka tahu apa yang perlu diimani dan apa yang tidak perlu diimani.
وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ
dan beramal soleh;
Iaitu mereka melakukan amal ibadat yang betul-betul seperti yang Nabi ajar. Kalau selain itu, itu adalah amal ibadat bidaah dan amalan itu ditolak. Bukan sahaja sia-sia amalan itu, tapi akan dimasukkan ke neraka kerana mengamalkan amalan ibadat yang salah.
إِنّا لا نُضيعُ أَجرَ مَن أَحسَنَ عَمَلًا
Sesungguhnya Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala kepada orang yang berbuat baik;
Maknanya, Allah akan balas amalan baik manusia. Pahala yang diberi adalah lebih baik dari ibadat yang dibuat. Satu ibadat akan dibalas dengan sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda. Atau lebih lagi sampai tidak terkira banyaknya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 27 April 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Jalalain