Pengenalan:
Surah ke 56 ini mengandungi 96 ayat. Ianya telah diturunkan di Mekah. Ramai yang mengamalkannya kerana dikatakan bahawa ianya akan memurahkan rezeki kita.
Sebenarnya tiada hadis sahih yang mengatakan fadhilat membaca Surah al-Waaqiah ini akan memurahkan rezeki. Maka hendaklah kita baca surah ini kerana hendakkan pahala dan untuk memahami ajaran dari Allah untuk kita, bukannya untuk rezeki.

Surah ini adalah berkenaan tauhid fil akhirah. Iaitu tentang mengesakan Allah dalam penciptaan Hari Pembalasan. Iaitu kita hendaklah beriman kepada Hari Kiamat, Tiupan Sangkakala, Padang Mahsyar, Kebangkitan Semula, Syurga dan juga Neraka.
Tidak patut kalau kita tidak tahu tentang perkara-perkara ini. Kerana Allah telah menceritakannya dengan panjang lebar dalam Al-Qur’an. Kalau kita tidak tahu, bermakna kitalah yang tidak belajar Al-Qur’an.
Selalunya, orang kita hanya tahu serba sedikit sahaja. Tapi tidak tahu dengan secara mendalam. Ini kerana kebanyakan dari orang kita amat jauh dengan Al-Qur’an. Kalau ada pun, mereka setakat membaca sahaja, tapi tidak faham apa yang mereka baca. Ini adalah amat malang sekali kalau berlaku kerana mereka tidak mengambil rahmat dari Al-Qur’an.
Maksud Surah ini adalah tentang tauhid. Ini disebut di akhir surah ini. Setelah memberitahu segala perkara maka di hujung surah, Allah berfirman: فَسَبِّح (bertasbihlah). Maksudnya membersihkan Allah dari fahaman-fahaman syirik terhadapNya. Fahaman-fahaman syirik itu semuanya kena ditolak. Kena sembah, doa dan sujud kepada Allah sahaja; ikut Allah sahaja, jangan campur aduk dari ajaran-ajaran yang datang bukan dari Islam.
Allah juga hendak memberitahu balasan di akhirat akan ikut amalan semasa di dunia. Sebagaimana pelbagai jenis amalan di dunia, maka di akhirat juga ada pelbagai balasan bagi manusia.
Surah ini berkait rapat dengan surah sebelum ini iaitu Surah Rahman. Cuma ada keterbalikan dalam surah ini kalau dibandingkan dengan Surah Rahman. Surah Rahman dimulai dengan menceritakan kemuliaan Al-Qur’an dan ini disebut di bahagian akhir Surah Waqiah pula.
Seperti Surah Rahman terdapat banyak soalan dan dalam Surah Waqiah ini juga ada soalan, tapi dalam bentuk yang lain.
Dalam Surah Rahman di bahagian akhir disebut tentang golongan yang rapat dengan Allah dan dalam surah Waqiah ini nanti akan sebut tentang mereka dahulu di bahagian awal.
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro. Ayat 1 – 9 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberi gambaran Hari Kiamat di mana manusia akan dibahagikan kepada tiga kelompok/darjat.
Allah mulakan surah ini dengan mengingatkan kita tentang Kiamat.
إِذا وَقَعَتِ الواقِعَةُ
When the Occurrence occurs,
Apabila berlaku hari kiamat itu,
Kalimah ‘waqiah’ bererti peristiwa besar. ‘Peristiwa Besar’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Hari Kiamat. Kalimah al-Waqiah yang digunakan sebagai nama surah ini adalah salah satu dari banyak-banyak nama Hari Kiamat.
Kalimah الواقِعَةُ diambil dari kalimah asal و ق ع yang bermaksud ‘berlaku’, ‘pasti’. Ianya digunakan sebagai nama lain bagi Hari Kiamat kerana hari Kiamat itu pasti terjadi dan pasti ada. Tidak dapat tidak, ia pasti akan berlaku. Cuma kita sahaja tidak tahu bilakah masanya ia akan berlaku.
Apabila ada huruf ة (ta’ marbootah) pada kalimah الواقِعَةُ itu, ia menunjukkan yang ia adalah sesuatu yang besar.
Ayat 2:
لَيسَ لِوَقعَتِها كاذِبَةٌ
Sahih International
There is, at its occurrence, no denial.
Tiada sesiapa pun yang dapat mendustakan kejadiannya.
Apabila berlaku tsunami, ada yang kata sudah hendak kiamat, tapi tidak juga. Kemudian, ada gempa bumi, tidak kiamat juga lagi. Bermakna, apabila berlaku kejadian seperti itu, ada yang boleh lagi kata: “ini bukan kiamat lagi”. Tapi, apabila Kiamat benar-benar datang nanti, tidak ada sesiapa yang boleh mendustakannya. Semua akan terima yakin yang ini memang hari kiamat.
Apabila Nabi Muhammad memberitahu bahawa akan ada hari Kiamat dan kebangkitan semula di mana semua manusia akan dipertanggungjawabkan dengan perbuatan mereka di dunia, maka Musyrikin Mekah menolak baginda. Mereka tak percaya ianya akan terjadi kerana pada mereka ianya mustahil.
Tapi nanti apabila berlaku kiamat yang sebenar, tidak ada sesiapa lagi yang berkata itu bukan Kiamat. Kerana tidak sama musibah dan malapetaka alam kalau dibandingkan dengan Kiamat nanti. Semua orang akan tahu, itulah Kiamat yang selalu disebut-sebut.
Maksud kedua, orang yang tolak akan berlakunya Kiamat, waktu itu mereka tidak dapat nak tolak lagi. Nak tolak macam mana lagi, sedangkan ia sedang berlaku di depan mata mereka?
Dan kalimah كاذِبَةٌ juga boleh bermaksud ‘penolakan’. Bila ia sudah mula berlaku, ia tidak akan dapat ditahan lagi. Ia pasti akan terus berlaku.
Dan tanda-tanda Kiamat pun sudah ada berlaku waktu itu. Antaranya, matahari telah naik dari barat. Tapi ianya berlaku selama 12 jam sahaja. Kemudian turun balik dan akan naik balik dari sebelah timur. Dikatakan bahawa selepas kejadian itu, kiamat akan berlaku dalam masa 120 tahun. Tapi kejadian itu berlaku dengan tidak ada orang Islam seorang pun.
Dan apabila berlaku kiamat, langit terbelah dan akan keluar api dari langit. Bila tengok itu sahaja, tak sempat nak buat apa-apa lagi. Nak beri pesan kepada sesiapa pun tidak sempat langsung. Orang yang mengandung sangat terkejut semasa kejadian itu, dia akan gugurkan anak dalam kandungannya.
Orang yang sedang menyusu anak, akan membaling anaknya kerana terkejut dan takut sangat dengan kejadian kiamat. Maka akan mati semua makhluk tujuh langit dan tujuh bumi melainkan yang dikehendaki oleh Allah. Kejadian-kejadian ini banyak disebut dalam Al-Qur’an dan kita kena baca semua ayat Al-Qur’an itu mendapatkan kesemua cerita dengan lengkap. Dan tambahan maklumat kena baca dan belajar dari Hadis Sahih.
Apabila ditiup sangkakala, maka akan mati semua makhluk. Melainkan yang dikehendaki Allah, iaitu malaikat seramai 12 orang. Kemudian, malaikat itu semuanya akan dimatikan satu persatu dan akhirnya akan tinggal Malaikat Israfil sahaja. Waktu itu Allah akan tanya Israfil: “Siapa lagi yang ada, wahai Israfil?” Israfil akan jawab: “Hanya aku dan Kamu ya Allah”. Maka Tuhan akan kata: “Mati kamu wahai Israfil!”.
Jadi makhluk mati dengan tiga cara:
Pertama, dengan perantaraan Malaikat Maut.
Kedua, dengan tiupan sangkakala.
Ketiga, dengan perintah Tuhan.
Jadi, apabila berlakunya kiamat, semua orang akan tahu bahawa itu memang Kiamat. Semua orang tidak boleh menidakkan kiamat sedang berlaku. Tapi waktu itu mereka tak sempat nak pesan kepada sesiapa pun. Bila berlaku sahaja Kiamat, dia pun akan terus mati.
Ayat 3: Apakah tujuan Hari Kiamat itu?
خافِضَةٌ رّافِعَةٌ
Sahih International
It will bring down [some] and raise up [others].
Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).
خَافِضَةٌ
Merendahkan;
Allah hendak memberi balasan kepada mereka yang engkar semasa hidup di dunia. Iaitu mereka yang engkar kepada perintah Allah. Mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka dan kedudukan mereka akan direndahkan dengan serendah-rendahnya.
Ada yang akan dimasukkan sehingga ke bahagian paling bawah neraka. Walaupun mereka dulu di dunia adalah orang-orang yang berkedudukan tinggi dan terhormat.
Ia juga bermaksud yang benda yang asalnya tinggi akan direndahkan, seperti gunung-gunung, bukit bukau akan direndahkan. Bintang-bintang juga akan jatuh. Begitu juga bangunan-bangunan tinggi akan jatuh dan macam-macam lagi benda tinggi akan jatuh.
رَافِعَةٌ
Meninggikan;
Dan ada puak yang lain yang akan diangkat kedudukan mereka supaya dimasukkan ke dalam syurga. Mereka itu boleh dinaikkan tinggi sampai ke tingkatan Syurga Naim walaupun dulu mereka semasa di dunia adalah orang-orang yang rendah miskin hina dina. Ini adalah kerana mereka taat kepada perintah Allah dan mengamalkan ajaran dan fahaman tauhid.
Dan begitu juga ia membawa maksud yang benda-benda rendah akan dinaikkan. Contohnya air laut akan naik dan melimpah. Manusia yang telah ditanam rendah akan dikeluarkan.
Ayat 4: Allah menceritakan keadaan semasa Kiamat itu kelak. Cubalah bayang-bayangkan keadaan itu untuk beri takut kepada diri kita. Kerana kalau kita dapat sematkan rasa takut dalam hati kita, tentu kita takut untuk buat dosa.
إِذا رُجَّتِ الأَرضُ رَجًّا
When the earth is shaken with convulsion
(Ia berlaku) semasa bumi digoncang dengan sebenar-benar goncangan.
Pertamanya, Kiamat itu nanti akan menyebabkan bumi ini bergoncang dengan kuat sekali. Sampaikan manusia yang ada waktu itu hendak berdiri pun tidak boleh kerana kuat sangat goncangan itu. Mereka akan jatuh seperti orang mabuk jatuh.
Kalau sekarang di dunia, memang kadangkala ada gempa bumi. Tapi ianya berlaku di satu-satu kawasan sahaja. Tapi pada hari Kiamat nanti, ianya berlaku di seluruh dunia. Tambahan pula, goncangan gempa bumi beberapa saat sahaja dan berhenti; goncangan Kiamat ini tidak akan berhenti. Ini tidak pernah terjadi lagi dalam sejarah.
Dan goncangan itu sampai menyebabkan air laut akan melimpah. Kalau kita letak air dalam besen dan kita goncang besen itu, tentulah air akan berkocak dan melimpah keluar. Apabila bumi digoncang, air lautan akan sampai ke daratan. Melompat air itu ke kawasan yang makhluk tinggal (kawasan darat) dan akan melemaskan mereka.
Waktu itu, tidak ada tempat yang akan selamat. Kalau kejadian Tsunami dulu, sebahagian tempat sahaja yang kena, tapi apabila Kiamat nanti, semua tempat akan tenggelam.
Ayat 5: Apa yang akan terjadi kepada gunung ganang yang kukuh itu?
وَبُسَّتِ الجِبالُ بَسًّا
And the mountains are broken down, crumbling
Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,
Kalimah ب س س digunakan juga apabila tepung diuli. Ini memberi isyarat yang nanti akan sampai masanya gunung terpecah dan hancur jadi debu. Kita telah sebut bagaimana benda yang dari bawah naik ke atas dan yang atas akan jatuh ke bawah. Begitulah yang akan terjadi kepada gunung nanti.
Zaman sekarang, manusia melihat gunung ganang itu amat kukuh. Orang Arab pun memang terpesona dengan gunung ganang itu. Kerana itu Allah selalu gunakan gunung sebagai contoh. Allah nak beritahu, gunung yang mereka lihat kukuh itu nanti akan hancur sehancur-hancurnya.
Ayat 6: Kemudian apa jadi kepada gunung ganang itu?
فَكانَت هَباءً مُّنبَثًّا
And become dust dispersing.
Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran,
فَكَانَتْ هَبَاءً
Maka terjadilah ia seperti debu
Gunung itu akan hancur sampai jadi debu. Ianya akan pecah dan bukan sahaja pecah, tapi jadi sampai debu. Maknanya, memang teruk dan kuat sekali goncangan Kiamat nanti sampai gunung pun boleh jadi debu.
مُنْبَثًّا
berterbangan;
Dan debu-debu itu akan berterbangan ke merata arah. Gunung-ganang akan tercabut dari paksinya dan hancur jadi debu. Hancur jadi debu dan diterbangkan dan dihamburkan oleh angin. Bagai kapas yang diterpa angin. Begitulah gambaran betapa teruknya Kiamat nanti.
Ayat 7: Apa yang akan terjadi selepas itu? Setelah bumi ini hancur, maka tinggal akhirat sahaja. Tempat tinggal asal kita di dunia tidak ada lagi.
وَكُنتُم أَزوٰجًا ثَلٰثَةً
Sahih International
And you become [of] three kinds:
Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya);
Dipendekkan cerita, selepas semuanya mati, semua makhluk akan hancur semuanya. Dan setelah berlalu sekian masa yang lama, makhluk akan dibangunkan dari kubur-kubur mereka.
Kalimah زوج selalunya digunakan untuk ‘pasangan’ atau kelompok. Iaitu mereka yang memerlukan satu sama lain. Macam di dunia sekarang, ada kumpulan yang besar yang memerlukan pertolongan sesama mereka. Sebagai contoh, orang-orang politik memerlukan sesama sendiri untuk terus berkuasa.
Semua golongan itu akan bangkit serentak. Dan semua akan dibawa ke Mahsyar berduyun-duyun untuk mengadap Allah. Dan semua manusia dan jin akan dibahagikan kepada tiga golongan besar. Ada banyak jenis pembahagian manusia nanti, tapi secara umumnya, akan terbahagi kepada tiga golongan sahaja.
Ayat 8: Allah menceritakan satu persatu golongan besar itu. Ingat, ada tiga golongan semua sekali. Ini adalah golongan yang pertama.
فَأَصحٰبُ المَيمَنَةِ ما أَصحٰبُ المَيمَنَةِ
Then the companions of the right – what are the companions of the right?
Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu?
فَأَصْحٰبُ الْمَيْمَنَةِ
Satu puak golongan kanan;
Mereka ini adalah yang menerima buku amalannya dengan tangan kanan di Mahsyar. Kitab itu dalam bentuk skrol. Apabila mereka menerima kitab amalan mereka itu dengan tangan kanan mereka, maka bergembiralah mereka.
‘Kanan’ selalu dikaitkan dengan kebaikan dan golongan yang baik dan benar, di dunia ini lagi. Sebagai contoh, ada golongan yang dipanggil ‘golongan kanan’. Itu memberi maksud yang golongan itu adalah golongan yang diiktiraf oleh kerajaan.
Dan ini digunakan seantero dunia, tidak kira kerajaan Islam atau tidak. Memang kanan menjadi sesuatu yang dihormati. Orang Arab pun faham sebegini dan kalau ada tetamu yang mereka hendak muliakan, maka mereka akan letakkan orang itu di sebelah kanan.
Dan kanan juga amat penting dalam Islam. Kerana itu sunat untuk memulakan sesuatu yang baik dari sebelah kanan dahulu seperti wuduk, makan, melangkah masuk masjid dan sebagainya. Kanan memang ada kelebihan dalam agama Islam pun.
مَا أَصْحٰبُ الْمَيْمَنَةِ
Siapakah mereka yang dalam golongan kanan itu.
Kalimah ما ini boleh jadi ma istifham (pertanyaan). Allah tanya pembaca Al-Qur’an soalan ini kerana Allah hendak memberitahu kepada kita.
Ini adalah cara Allah menarik minat manusia iaitu dengan tanya kepada kita, pembaca Al-Qur’an ini. Sebagaimana kalau kita mengajar orang lain, kita kata: “Nak tahu tak? Nak tahu tak?”. Dengan menarik perhatian mereka dahulu, mereka lebih suka hendak tahu apa yang kita hendak sampaikan. Maka sekarang Allah tanya: hendakkah kita tahu siapakah ‘golongan kanan’ itu?
Atau kalimah ما dalam ayat ini boleh menjadi ma ta’jub. Alangkah bertuahnya mereka yang dapat Kitab Amalan dari tangan kanannya. Allah juga hendak menceritakan bagaimana dia pun suka apabila dia dapat kitab amalan di tangan kanannya. Dan dalam ayat lain disebut yang dia akan bagi orang lain tengok dan baca Kitab Amalannya kerana dia bangga dengan keputusan di dalam kitab itu.
Ayat 9: Golongan kedua pula adalah Golongan Kiri.
وَأَصحٰبُ المَشئَمَةِ ما أَصحٰبُ المَشئَمَةِ
And the companions of the left – what are the companions of the left?
Dan puak pihak kiri; – alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu?
وَأَصْحٰبُ الْمَشْئَمَةِ
Dan golongan kiri;
Mereka ini nanti akan lari dari kitab amal mereka. Ini adalah kerana mereka sendiri takut untuk membaca apa yang tertulis dalam kitab itu kerana mereka tahu yang mereka telah banyak melakukan kesilapan dan dosa semasa di dunia. Maka mereka pun nak lari jauh-jauh dari kitab amalan mereka sendiri.
Akan tetapi semasa mereka lari itu, kitab itu akan mengejar mereka dan semasa tangan mereka di belakang, dia akan tertangkap kitab amalan itu dengan tangan kirinya.
مَا أَصْحٰبُ الْمَشْئَمَةِ
Siapakah golongan kiri ini?
Mereka ini adalah golongan yang celaka. Dan mereka golongan yang tidak selamat. Memang dari di dunia ini pun ‘kiri’ selalu dikaitkan dengan perkara yang negatif. Sampaikan golongan penentang kerajaan di mana-mana pun akan dipanggil ‘golongan haluan kiri’.
Masyarakat Arab juga tidak suka kepada kiri kerana ia dianggap sebagai sial. Ada amalan khurafat yang mereka lakukan, iaitu apabila hendak bermusafir mereka akan lepaskan burung. Kalau burung terbang ke kanan maka itu tanda perjalanan itu akan jadi baik; tapi kalau terbang ke kiri, maka itu isyarat yang musafir itu akan menemui bala. Maka mereka mengaitkan kiri dengan perkara buruk dan sial.
Dan kalau seseorang tetamu diletakkan di bahagian kiri, maka itu adalah satu penghinaan kepada mereka.
Dan bahagian kiri juga tidak molek dalam Islam. Kerana itu kita makan dengan tangan kanan, tapi untuk membasuh najis kita disuruh menggunakan tangan kiri, bukan? Ini pun sudah memberi isyarat yang kiri itu tidak baik.
Kalimah ما dalam ayat ini adalah ma ta’jub. Alangkah celaka dan hinanya mereka ini. Di Mahsyar nanti, mereka akan duduk di sebelah kiri.
Juga boleh bermaksud Allah bertanya kepada pembaca Al-Qur’an untuk menarik perhatian kepada siapakah golongan Kiri itu dan apakah ciri-ciri mereka.
Ayat 10: Ini pula adalah golongan ketiga. Ayat 10 – 26 adalah Perenggan Makro Kedua dan memberi pengenalan kepada kelompok as-Sabiqun. Mari kita belajar siapakah mereka dan semoga kita boleh menjadi golongan ini.
وَالسّٰبِقونَ السّٰبِقونَ
And the forerunners, the forerunners –
Dan orang-orang yang telah mendahului, yang akan mendahului;
Kalimah السّٰبِقونَ yang pertama adalah mubtada’ dan kalimah السّٰبِقونَ yang kedua adalah khabar. Kalimah السّٰبِقونَ dari katadasar س ب ق yang bermaksud ‘awal’. Mereka ini adalah Golongan Awal. Sebelum orang lain beriman, mereka sudah beriman. Oleh kerana itu di Mahsyar nanti, mereka akan duduk paling dekat dengan Allah.
Dari segi bahasa, سابق adalah isim bagi mereka yang menang pertandingan. Yang memang telah menang. Maknanya Allah hendak memberi isyarat yang golongan itu telah menang. Ini adalah kerana mereka ini yang selalu bersegera dalam hal kebaikan. Mereka yang mula-mula beriman, mula menawarkan diri untuk berjihad, untuk infak dan sebagainya. Mereka berlumba-lumba dalam membuat kebaikan.
Mereka ini adalah golongan Islam kelas pertama. Pada zaman Nabi, merekalah golongan Muhajirin dan Ansar. Golongan Muhajirin sanggup tinggalkan semua sekali harta mereka di Mekah apabila mereka berpindah ke Madinah. Mereka hanya bawa apa sahaja yang mereka boleh bawa atas unta sahaja (atau di belakang tubuh mereka sahaja). Harta yang mereka tinggalkan kerana tak boleh bawa, semuanya diambil oleh Musyrikin Mekah.
Dan Puak Ansar pula telah menyambut golongan Muhajirun itu. Diberikan sebahagian harta mereka kepada golongan Muhajirun itu. Yang isteri ramai, akan memberikan isterinya kepada mereka juga.
Setiap dari mereka digandingkan dengan sahabat dari Mekah itu supaya dapat membantu apa yang patut. Kerana Muhajirin datang dengan tidak ada apa-apa, jadi mereka memerlukan bantuan dalam kehidupan mereka. Itulah sahabat Nabi yang amat mulia dan mereka mendapat pujian dari Allah sendiri kerana pengorbanan mereka itu.
Tak ramai lagi sahabat masa itu. Semasa Perang Badr pada tahun 2 Hijrah, sahabat Nabi yang berperang hanya seramai 313 orang sahaja. Semasa tahun 7 Hijrah, iaitu semasa Perang Khandak, perang yang ada kisah gali parit keliling Madinah itu, sahabat Nabi hanya seramai tiga ribu orang sahaja. Itu bermakna, wahyu telah turun selama 20 tahun kalau ditambah dengan 13 tahun Nabi di Mekah.
Semasa Perang Ahzab, di mana semua orang kafir bergabung memerangi orang Islam Madinah, mereka hanya tiga ribu orang sahaja dan mereka menentang 12 ribu orang kafir. Keadaan masa itu amat genting sekali tapi tidak pernah pun Nabi buat solat Hajat berjemaah waktu itu sebelum perang.
Nabi hanya berdoa: “Kalau Kamu tidak bantu kami ya Allah, maka tidak akan ada orang yang akan sebut namaMu ya Allah.” Maka Tuhan bawa turun angin ribut menentang orang kafir. Maka kerana itu kita tekankan yang Solat Hajat berjemaah bukan dari syariat kita sebenarnya. Ianya adalah amalan bidaah rekaan sahaja.
Selepas itu, semasa terjadinya Perjanjian Hudaybiah, sahabat Nabi hanya seramai lebih 1,400 sahaja yang pergi hendak mengerjakan Umrah di Mekah. Tapi apabila Penaklukan Mekah, waktu itu sudah berpuluh ribu yang masuk Islam. Kemudian selepas itu yang datang buat Haji bersama dengan Nabi pun sudah ramai, seratus ribu lebih yang datang sekali.
Bermakna, dalam mengambil jalan sunnah ini, pada permulaannya memang susah, tapi lama kelamaan, orang akan dapat menerima kebenaran agama ini dan ramai lagi yang akan masuk.
Tapi ianya hendaklah dimulai oleh golongan yang awal. Kalau zaman Nabi, mereka itu adalah para sahabat di Mekah dan golongan Ansar di Madinah. Maka semoga kita termasuk golongan yang awal ini. Maka kena sabarlah dahulu untuk menyampaikan dakwah sunnah ini.
Jadi kebanyakan dari mereka adalah dari golongan Islam yang awal. Golongan zaman sekarang yang termasuk dalam golongan awal ini adalah mereka yang mula-mula menerima ajaran tauhid yang disampaikan oleh guru yang mengajar mengikut sunnah.
Memang awalnya tidak ramai golongan Sunnah ini, sampaikan ada yang ditindas oleh pihak yang ada kedudukan. Tapi jangan kita bagi haru hati kita. Sebagaimana pihak awal zaman Nabi mendapat kelebihan, maka kita sebagai golongan awal ini juga akan dapat kelebihan berganda-ganda juga.
Mereka inilah yang akan mula-mula masuk syurga. Ini adalah kerana mereka yang mula-mula beriman dari setiap umat. Maknanya ada umat yang beriman dengan Nabi Muhammad, Nabi Musa dan Nabi-nabi lain. Kita tidak ada Nabi lagi, tapi kita yang mula-mula beriman dengan ajaran Sunnah di negara kita.
Boleh juga bermaksud, mereka yang pertama sekali pergi ke masjid dan yang pertama sekali pergi berjuang di jalan Allah. Dan orang yang bersegera berbuat kebaikan seperti yang diperintahkan kepada mereka. Mereka tidaklah tunggu orang lain dan ikut orang lain. Mereka terus buat sahaja.
Dan kerana mereka telah melakukannya, ramai yang mengikuti mereka. Kerana ada orang yang ikut mereka, maka pahala orang yang mengikut itu juga akan diberikan kepada orang yang mula-mula buat. Maka pahala mereka akan berganda-ganda kerana dalam saham dari pahala orang lain.
Oleh itu, sesiapa yang di dunia ini berlumba-lumba menuju kebaikan, maka di akhirat kelak akan termasuk orang-orang yang paling dulu mendapatkan kemuliaan. Semoga kita termasuk dalam golongan ini.
Ayat 11: Penerangan tentang Golongan Muqarraboon ini. Jadi mereka juga dikenali dengan nama ‘muqarraboon’ selain dari ‘musaabiqoon’.
أُولٰئِكَ المُقَرَّبونَ
Sahih International
Those are the ones brought near [to Allah ]
Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah),
Apakah kelebihan golongan awal itu? Mereka juga akan didekatkan dengan Allah. Di Mahsyar nanti, mereka duduk dekat dengan Allah sebagai penghormatan untuk mereka.
Sepatutnya ayat ini jadi أُولٰئِكَ هُمُ المُقَرَّبونَ baru jadi lengkap tapi kerana balaghah, dibuangkan kalimah هُمُ kerana Allah hendak mendekatkan lagi kedudukan mereka. Seolah-olah tidak ada lagi penghalang antara mereka dan Allah. Dalam ayat ini sahaja sudah tunjuk kedekatan mereka itu.
Ini adalah satu kelebihan, bukan? Kerana kalau kita duduk dekat dengan orang besar dalam kerajaan pun kedudukan kita sudah tinggi. Apatah lagi kalau dekat itu dengan Allah pula!
Kalau kalimah مُقرَب digunakan, ia bermaksud terus didekatkan. Tapi kalimah مُقَرَّب dalam wazan yang lain bermaksud seseorang yang didekatkan sedikit demi sedikit. Di Mahsyar nanti mereka akan didekatkan sedikit demi sedikit.
Ini memberi isyarat bahawa mereka juga sudah begitu semasa di dunia. Iaitu mereka melalui proses untuk mendekatkan diri kepada Allah. Kerana mendekatkan diri dengan Allah bukannya segera tapi memerlukan usaha dari kita. Kena belajar sikit-sikit dan kadangkala jatuh sekejap tapi naik kembali. Ini biasa sahaja.
Maka mereka itu adalah golongan yang mengamalkan tauhid dan ajaran Sunnah. Akan tetapi guru yang ajar ajaran salah mengatakan mereka yang muqarraboon itu adalah golongan yang baca wirid dengan banyak pula. Kononnya kalau wirid banyak, akan didekatkan dengan Allah. Kalau wirid dan zikir itu yang sunnah, tidak mengapalah. Tapi malangnya mereka diajar mengamalkan wirid dan zikir yang salah.
Jadi sebenarnya bukanlah begitu. Yang hampir dengan Allah adalah orang yang mula-mula percaya kepada ajaran Tauhid. Semasa orang lain tidak mahu terima lagi, mereka dulu yang terima.
Kalau anda baca dan terima penulisan ini, besar kemungkinan anda juga termasuk ke dalam golongan ini. Kerana ia bukanlah hanya terbuka kepada orang-orang yang dahulu, tapi kita di zaman sekarang pun boleh dapat juga kelebihan ini.
Ini kerana kalau kita ambil jalan tauhid ini, memang mengalami banyak rintangan dan tentangan dari manusia lain. Termasuk dari orang yang beragama Islam pun. Oleh kerana ada kesusahan dan dugaan yang besar dan sanggup sabar, maka Allah balas dengan beri kedudukan tinggi.
Maka kerana susahnya pegangan ini, maka Allah berikan kelebihan yang amat besar kepada mereka yang sabar dan terus istiqamah dalam mengamalkan tauhid. Dan bukanlah hanya mengamalkannya sahaja, tapi kena sampaikan juga kepada orang lain. Jangan simpan sendiri sahaja.
Ayat 12: Kemudian Allah terangkan terus apakah kelebihan yang akan didapati oleh golongan Muqarraboon itu.
في جَنّٰتِ النَّعيمِ
Sahih International
In the Gardens of Pleasure,
(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.
Mereka akan ditempatkan di dalam kebun-kebun syurga yang penuh nikmat di dalamnya. Syurga adalah tempat untuk menikmati pemberian Allah sahaja. Dan kalimah النَّعيمِ bermaksud ianya adalah nikmat yang sempurna. Ianya adalah tempat rehat, bukan tempat buat kerja. Tidak ada ibadat lagi di syurga.
Di dunia kita kena tahan nafsu kita, tidak boleh itu dan ini. Tapi di syurga nanti, ianya tempat untuk memuaskan nafsu kita ikut sekehendak kita. Ini adalah balasan bagi mereka yang menahan nafsu mereka semasa di dunia.
Sebagai contoh, kalau di dunia mereka menahan diri mereka dari berzina, maka di syurga nanti mereka akan diberikan pasangan dan bidadari untuk memuaskan nafsu mereka sepuas-puasnya. Dan kekuatan lelaki di syurga tidak sama dengan kekuatan di dunia. Kekuatan seorang lelaki adalah seperti kekuatan seratus orang lelaki!
Ayat 13: Golongan Muqarraboon ini memang tidak ramai.
ثُلَّةٌ مِّنَ الأَوَّلينَ
Sahih International
A [large] company of the former peoples
(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu;
Peratusan mereka yang termasuk dalam golongan muqarraboon ini tidak banyak. Dari bilangan yang tidak banyak itu pula, sebahagian besarnya dari golongan terdahulu.
Kalimah ثُلَّةٌ ini dari segi bahasa bermakna 1/3 sahaja. Tapi kalau dibandingkan secara keseluruhan, mereka itu lebih ramai. Ini kerana bilangan mereka ramai. Jadi peratusan dari bilangan yang ramai, adalah tinggi.
Memang mereka itu tidak ramai. Bayangkan, yang hijrah bersama Nabi ke Madinah dalam 80 orang sahaja. Semasa Perang Badr, orang Islam dalam 400 orang sahaja. Itulah kelebihan mereka dan Nabi pernah bersabda: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun setelahnya, dan kemudian kurun setelahnya,”
Siapakah antara kita yang hendak masuk dalam golongan ini? Kalau kita yang dahulu menerima tauhid ini, in sha Allah kita juga akan dikira sebagai termasuk dalam golongan orang yang awal.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 6 Mei 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Reblogged this on when you can’t breathe…… and commented:
Tadabbur surah Al-Waqiah share ya…
LikeLike
اَلْحَمْدُلِلَّهِ
Huraian yang jelas.. semoga di beri kemudahan dalam semua urusan
LikeLike