Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 4 – 9 (Nabi tidak tahu perkara ghaib)

Ayat 4: Ayat 4 – 6 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengajar bahawa Tauhid Rububiyyah tidak sempurna tanpa adanya Tauhid Uluhiyyah. Sesuatu umat itu tetap juga dipanggil kafirin atau musyrikin kalau hanya ada Tauhid Rububiyyah seperti Musyrikin Mekah itu.

Ini adalah kerana kesalahan mereka dalam bab ilah dan bab doa. Mereka meminta kepada selain Allah dan menganggap selain Allah, masih ada ilah-ilah yang lain. Maka kerana itu mereka mengambil banyak perantara dalam berdoa kepada Allah. Maka kita kena beribadat dan berdoa kepada Allah tidak perlu perantara.

Dan dalam ayat ini juga ada tuntutan dan cabaran kepada golongan musyrik untuk mengemukakan bukti. Ini adalah kerana bukti dan dalil itu penting dalam agama.

قُل أَرَءيتُم مّا تَدعونَ مِن دونِ اللهِ أَروني ماذا خَلَقوا مِنَ الأَرضِ أَم لَهُم شِركٌ فِي السَّمٰوٰتِ ۖ ائتوني بِكِتٰبٍ مِّن قَبلِ هٰذا أَو أَثٰرَةٍ مِّن عِلمٍ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “Have you considered that which you invoke besides Allāh? Show me what they have created of the earth; or did they have partnership in [creation of] the heavens? Bring me a scripture [revealed] before this or a [remaining] trace of knowledge, if you should be truthful.”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik yang menentangmu): “Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk – makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah? Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) yang lain dari Al-Qur’an ini, atau sebarang keterangan yang berdasarkan ilmu (peninggalan orang-orang yang telah lalu) kalau betul kamu orang-orang yang benar (tentang dakwaan kamu itu)!”

 

قُل أَرَءيتُم ما تَدعونَ مِن دونِ اللهِ

Katakanlah: “Adakah kamu fikirkan tentang makhluk – makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah?

Allah ﷻ mengajar Nabi untuk tanya dan berhujah dengan puak yang menentang ajaran tauhid. Mereka diajak untuk gunakanlah akal sikit. Kalau hendak seru sesiapa: sama ada wali, Nabi, malaikat atau jin, kenalah tanya sama ada mereka ada jasa.

 

أَروني ماذا خَلَقوا مِنَ الأَرضِ

Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini?

Adakah mana-mana tempat yang wali, Nabi atau malaikat itu ada mencipta sesuatu, dari tidak ada kepada ada? Tentu tidak ada kerana kuasa mencipta dan menjadikan hanya ada pada Allah ﷻ sahaja. Musyrikin Mekah pun tahu perkara ini. Maka kerana itu mereka sudah ada Tauhid Rububiyyah (Kenal Allah sebagai Rabb Pencipta).

 

أَم لَهُم شِركٌ فِي السَّمٰوٰتِ

Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit?

Atau adakah sembahan-sembahan selain Allah ﷻ itu ada menolong Allah ﷻ membuat langit atau bumi itu, kalau dia tidak membuat semua pun. Adakah turut berkongsi membuat dengan Allah ﷻ?

Tentu juga tidak ada. Ini kerana Allah ﷻ tidak memerlukan sesiapa pun untuk tolong Dia dalam penciptaan alam ini.

 

ائتوني بِكِتٰبٍ مِّن قَبلِ هٰذا

Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) sebelum dari Al-Qur’an ini,

Atau, kalau memang mereka tidak boleh mencipta atau berkongsi dalam mencipta, tunjukkan kitab wahyu sebelum Al-Qur’an yang menyatakan seru selain Allah  ﷻ itu boleh. Bawalah apa-apa sahaja Taurat atau Injil sebab kamu Arab Mekah tidak menerima Al-Qur’an kan?

Nota Tajwid: Menurut kaedah secara umum, hamzah wasal (alif yang di atasnya ada huruf saad kecil) perlulah dibunyikan mengikut baris huruf ketiga. Sebagai contoh:

    • Jika huruf ketiga berbaris depan, maka alif itu pun berbaris depan.
    • Jika huruf ketiga berbaris bawah, maka alif itu pun berbaris bawah.
    • Cuma jika huruf ketiga berbaris atas, lain sikit. Alif tidak jadi baris atas juga, tetapi dibaca dengan baris bawah.

Namun, dalam Surah Al-Ahqaaf ini, huruf ketiga berbaris depan (huruf ت itu). Maka kalau hendak ikutkan kaedah, sepatutnya alif tu kena baca baris depan. Namun, di sini ada hukum tajwid  yang pelik sedikit.

Kita kena baca: ii-tuu-nii

Bukannya: Uk-tuu-nii

 

أَو أَثٰرَةٍ مِّن عِلمٍ

atau sebarang keterangan dari ilmu 

Atau bawakan ke mari saki baki peninggalan ilmu wahyu yang boleh dijadikan hujah yang mengatakan boleh seru selain Allah ﷻ. Kalau ada, bawalah ke mari. Kalau sebutir kitab lengkap tidak ada kerana sudah dimakan anai-anai, sekurang-kurangnya, bawa sehelai pun jadi lah. Bolehkah?

Tapi kenalah bawa cebisan ilmu yang boleh dipercayai – jangan bawa kisah dongeng pula.

 

إِن كُنتُم صٰدِقينَ

kalau betul kamu orang-orang yang benar

Kamu kuat sangat kata boleh seru selain Allah ﷻ, maka bawalah dalil yang kamu ada atau kamu hanya bercakap kosong sahaja? Atau kamu dapat ilmu itu dari tok nenek kamu sahaja? Atau kamu reka sahaja?

Kalau tidak boleh membawa dalil, maka tentunya itu adalah fahaman sesat. Begitu jugalah dengan golongan yang menyeru selain Allah dalam ibadat dalam doa. Minta dalil dari mereka.

Memang tidak ada dalil. Melainkan dalil yang agak-agak macam kena, tapi tidak sebenarnya. Mereka akan pusing sampai bagi boleh juga nak seru selain Allah. Kita yang sudah belajar wahyu akan dapat tahu yang itu bukanlah dalil sebenarnya. Itu adalah hujah dari syaitan sebenarnya.


 

Ayat 5: 

وَمَن أَضَلُّ مِمَّن يَدعو مِن دونِ اللهِ مَن لّا يَستَجيبُ لَهُ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ وَهُم عَن دُعائِهِم غٰفِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who is more astray than he who invokes besides Allāh those who will not respond to him until the Day of Resurrection [i.e., never], and they, of their invocation, are unaware.

MALAY

Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyeru sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (dari dunia) hinggalah ke hari kiamat, sedang makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak menyedari permohonan mereka.

 

وَمَن أَضَلُّ مِمَّن يَدعو مِن دونِ اللهِ

Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyeru sesuatu yang lain dari Allah, 

Ada lagikah yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah ﷻ? Tidak ada. Maksud ayat ini adalah: Merekalah yang paling sesat sekali. Ini kerana mereka itu menyeru selain Allah dalam ibadat dalam doa. Mereka mengamalkan tawasul (kepada makhluk) dalam doa mereka dan Allah ﷻ amat marah kepada mereka yang menyeru selain Allah ﷻ.

 

مَن لّا يَستَجيبُ لَهُ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ

yang tidak dapat menyahut hinggalah ke hari kiamat,

Mereka (wali, Nabi dan malaikat) yang diseru itu tidaklah dapat menyahut seruan mereka yang menyeru itu sampai ke hari kiamat pun. Mereka yang menyeru itu sebenarnya bertepuk sebelah tangan sahaja. Mereka perasan sahaja yang seruan mereka itu didengar.

Serulah banyak mana pun, yang diseru tidak akan sahut, kerana mereka telah mati. Apabila mereka telah mati, mereka tidak dapat mendengar seruan kita. Kalau malaikat, bukan kerja mereka untuk mendengar permintaan dari manusia.

Maka ingatlah yang orang yang mati tidak boleh mendengar seruan orang yang hidup. Kalau malaikat mendengar pun, mereka tidak boleh menolong manusia yang menyeru, kerana mereka hanya taat kepada suruhan Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ tidak benarkan atau arahkan mereka berbuat apa-apa, mereka tidak akan buat.

Mereka yang diseru itu sudahlah tidak mendengar, dan kalau mereka mendengar pun, mereka tidak boleh tolong buat apa pun.

 

وَهُم عَن دُعائِهِم غٰفِلونَ

dan makhluk-makhluk yang mereka seru itu tidak menyedari permohonan kepada mereka.

Allah ﷻ menjelaskan dalam ayat ini, mereka yang diseru itu: sama ada Nabi, wali atau malaikat, tidak menyedari pun seruan yang diberikan kepada mereka. Kerana mereka itu duduk di alam yang lain.

Mereka itu telah tiada di dunia ini dan tidak dapat mendengar (mereka dalam alam Barzakh), dan malaikat tidak dijadikan untuk menyahut seruan bagi yang menyeru mereka. Malaikat pula duduk di alam malakut. Malaikat hanya mendengar arahan dari Allah ﷻ sahaja. Oleh itu, yang menyembah itu hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.


 

Ayat 6:

وَإِذا حُشِرَ النّاسُ كانوا لَهُم أَعداءً وَكانوا بِعِبادَتِهِم كٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the people are gathered [that Day], they [who were invoked] will be enemies to them, and they will be deniers of their worship.

MALAY

Dan apabila manusia dihimpunkan (di akhirat), menjadilah segala yang disembah itu musuh kepada orang-orang yang menyembahnya, dan segala yang disembah itu juga tidak mengakui  penyembahan mereka kepadanya.

 

وَإِذا حُشِرَ النّاسُ

Dan apabila manusia dihimpunkan

Iaitu apabila manusia dikumpulkan di Mahsyar nanti untuk dihitung amalan manusia. Mereka dikumpulkan dari merata tempat, tidak kira mereka mati di mana.

Bagi yang dipuja dan yang memuja akan dikumpulkan sekali pada satu tempat. Ini kerana Allah ﷻ hendak menghakimi mereka atas perbuatan yang dilakukan di dunia dahulu.

 

كانوا لَهُم أَعداءً

menjadilah segala yang disembah itu musuh kepada orang-orang yang menyembahnya, 

Mereka yang menyembah ilah-ilah selain Allah ﷻ itu sangka yang sembahan-sembahan itu akan menjadi penolong, penyokong yang akan menyelamatkan mereka. Kononnya sudah ada ‘peguam’ yang akan jadi pembela mereka. Namun, sebaliknya yang terjadi; mereka yang disembah itu menjadi musuh pula bagi mereka.

Ini amat mengejutkan sekali kerana orang yang kita sangka kawan kita, jadi lawan pula. Kalau di mahkamah, katakanlah kita ada saksi yang kita telah pilih sebagai penyokong kita, tetapi tiba-tiba dia menentang kita pula. Malah dia menjadi saksi kepada pendakwaraya yang  mendakwa kita! Tentu kita terkejut yang amat sangat.

 

وَكانوا بِعِبادَتِهِم كٰفِرينَ

dan segala yang disembah itu juga tidak mengakui penyembahan mereka kepadanya.

Bagi yang disembah akan berkata bahawa mereka tidak pernah suruh manusia menyembah mereka dahulu dan tidak redha dengan penyembahan yang dilakukan itu.

Malah, mereka sendiri tidak tahu yang ada manusia yang menyembah kerana mereka sudah tiada lagi di alam dunia kerana telah lama mati. Apabila mereka telah mati, telah terputus hubungan dengan dunia kerana itu mereka tidak mendengar seruan-seruan manusia. Ini kerana alam yang berbeza iaitu di Alam Barzakh.


 

Ayat 7: Ayat 7 – 11 ini adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia menyebut celaan orang kafir ke atas Nabi dan Al-Qur’an. Orang kafir saja berani mendustakan Kitab dan Utusan ALLAH.

Ayat 7 ini adalah Ayat Syikayah. Apakah tuduhan Musyrikin Mekah terhadap Al-Qur’an?

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآيٰتُنا بَيِّنٰتٍ قالَ الَّذينَ كَفَروا لِلحَقِّ لَمّا جاءَهُم هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Our verses are recited to them as clear evidences, those who disbelieve say of the truth when it has come to them, “This is obvious magic.”

MALAY

Dan apabila dibacakan kepada mereka (yang kafir) ayat-ayat Al-Qur’an kami yang jelas nyata, berkatalah mereka terhadap kebenaran (Al-Qur’an) bila sahaja disampaikan kepada mereka: “Ini ialah sihir yang nyata!”.

 

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآيٰتُنا بَيِّنٰتٍ

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Al-Qur’an kami yang jelas nyata, 

Nabi Muhammad ﷺ telah membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada Musyrikin Mekah. Begitu juga akan ada penyebar tauhid yang akan membacakan dan menjelaskan makna ayat-ayat dalam Al-Qur’an kepada manusia zaman berzaman. Mereka yang menentang tauhid itu sudah dengar ayat-ayat itu dan apakah maksudnya.

Pengajaran tauhid dalam wahyu Allah ﷻ adalah amat jelas kepada mereka yang membuka hati mereka dan belajar. Cuma yang tidak jelas adalah kerana mereka tidak belajar, atau tidak membuka hati kepada kebenaran. Apakah alasan mereka hendak menolak ajaran Al-Qur’an?

 

قالَ الَّذينَ كَفَروا لِلحَقِّ لَمّا جاءَهُم

berkatalah orang-orang kafir  terhadap kebenaran (Al-Qur’an) bila sahaja disampaikan kepada mereka: 

Apabila mereka telah dengar kata-kata yang haq dari ayat-ayat Al-Qur’an itu, mereka tidak dapat menerimanya. Padahal hidayah telah datang di hadapan mereka, tapi mereka tidak mahu menerimanya. Malah, mereka akan menentang dan memberikan berbagai-bagai alasan. Maka sekarang akan diberitahu apakah salah satu alasan itu.

 

هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

“Ini ialah sihir yang nyata!”.

Ini adalah salah satu dari tuduhan mereka selepas mereka mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu orang gila, penyair dan pengikut ajaran agama lain. Itu telah disebut dalam ayat-ayat yang lain.

Hati mereka tidak dapat terima ajaran Al-Qur’an kerana mereka tidak membuka hati mereka kepada kebenaran. Mereka akan menentang, tetapi apa yang mereka akan katakan? Mereka tuduh yang ayat-ayat Al-Qur’an itu adalah sihir semata-mata. Beginilah yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah dahulu. Ini adalah tuduhan kosong sahaja kerana mereka tidak ada hujah lain lagi, maka mereka menggunakan hujah ‘sihir’.

Ini kerana pada mereka, sihir adalah sesuatu yang luar biasa yang tidak dapat dijelaskan. Mereka tidak dapat hendak kategorikan Al-Qur’an ini sebagai apa; sama ada hendak katakan syair atau cerita dongeng kerana keduanya pun bukan. Maka mereka tuduh ia adalah sihir sahaja.

Tambahan pula, apabila masyarakat Arab mendengar sahaja ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan oleh Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat, ramai yang terpesona dan masuk Islam. Jadi, penentang tauhid akan kata bahawa mereka yang masuk Islam itu telah kena sihir oleh Nabi ﷺ dan para sahabat baginda.

Masyarakat sekarang turut menolak juga wahyu Allah, tetapi mereka menggunakan gelaran-gelaran yang lain mengikut kesesuaian zaman. Kalau zaman sekarang, mungkin kita boleh katakan yang mereka menggunakan label ‘Wahabi’ sahaja untuk menolak sunnah.

Mereka sudah tidak tahu hendak memakai alasan apa lagi, jadi yang senang pada mereka, tuduh sahaja bagi yang hendak berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah itu sebagai golongan Wahabi. Apabila ditanya apakah Wahabi, mereka sendiri tidak dapat menjawab. Memang ia akan datang dari mereka yang jahil, yang tidak tahu apakah yang mereka kata.


 

Ayat 8: Syikayah (rungutan) kedua dan jawapan balas kepada kata-kata karut mereka itu.

أَم يَقولونَ افتَرَىٰهُ ۖ قُل إِنِ افتَرَيتُهُ فَلا تَملِكونَ لي مِنَ اللهِ شَيئًا ۖ هُوَ أَعلَمُ بِما تُفيضونَ فيهِ ۖ كَفىٰ بِهِ شَهيدًا بَيني وَبَينَكُم ۖ وَهُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do they say, “He has invented it”? Say, “If I have invented it, you will not possess for me [the power of protection] from Allāh at all. He is most knowing of that in which you are involved.¹ Sufficient is He as Witness between me and you, and He is the Forgiving, the Merciful.”

  • Of false implications and suggestions.

MALAY

(Bukan setakat itu sahaja mereka katakan) bahkan mereka menuduh dengan berkata: “Muhammad telah rekakan Al-Qur’an itu.” Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kalau aku rekakan Al-Qur’an itu (maka tentulah aku tidak terlepas dari azab kesalahan itu) kerana kamu (dan juga yang lain dari kamu) tidak berkuasa memberikan daku sebarang perlindungan dari (azab) Allah. Allah lebih mengetahui akan (tuduhan-tuduhan yang tidak berasas) yang kamu perkatakan itu; cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

أَم يَقولونَ افتَرَىٰهُ

bahkan mereka menuduh dengan berkata: “Muhammad telah merekakan Al-Qur’an itu.”

Satu lagi alasan yang mereka gunakan adalah: Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang buat ayat-ayat Al-Qur’an itu. Sebelum ini mereka kata Al-Qur’an itu sihir, sekarang mereka kata ia juga adalah rekaan.

Ini tidak dapat diterima akal, kerana takkan manusia biasa boleh buat ayat-ayat Al-Qur’an sebegitu rupa. Ia amat indah, sampaikan membungkam mereka yang mahir dalam bahasa pada zaman itu. Sedangkan mereka sendiri tahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu membaca dan menulis.

Masyarakat kita tidak boleh hendak tuduh penyebar tauhid sebagai mereka-reka ayat-ayat Al-Qur’an pula. Namun, mereka akan kata tafsir yang disampaikan itulah yang direka-reka dan kata kita sendiri yang reka tafsir itu. Sedangkan mereka sendiri tidak belajar.

Apabila kita tanya mereka balik, apakah maksud ayat-ayat itu (kalau benar kita reka tafsir itu), mereka tidak dapat menjawab dan hanya mahu menolak sahaja. Kalau kita salah tafsir, maka beritahulah apa maksudnya yang sebenar tetapi tidak boleh pula. Maka mereka hanya menolak kerana degil sahaja.

 

قُل إِنِ افتَرَيتُهُ فَلا تَملِكونَ لي مِنَ اللهِ شَيئًا

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kalau aku rekakan Al-Qur’an itu, kamu tidak berkuasa memberikan daku sebarang perlindungan dari (azab) Allah sedikit pun. 

Nabi Muhammad ﷺ diajar bagaimana menjawab tuduhan mereka itu. Nabi ﷺ suruh mereka berfikir: kalaulah baginda ﷺ telah reka sendiri ayat-ayat itu, kemudian kata ia dari Allah ﷻ, maka tentulah Allah ﷻ tidak akan membiarkan baginda begitu sahaja.

Tentu baginda ﷺ telah lama mati kerana Allah ﷻ tentu tidak akan membiarkan baginda ﷺ terus berdusta atas nama-Nya kalau benar baginda telah berdusta. Baginda ﷺ juga tentu tidak dapat menyelamatkan diri, dan kalau bangsa Arab semua bersatu untuk menyelamatkan baginda ﷺ pun tidak boleh.

Ini bertepatan dengan firman Allah ﷻ :

{وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الأقَاوِيلِ. لأخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ. ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ. فَمَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ عَنْهُ حَاجِزِينَ}

Seandainya dia (Muhammad) mengada-adakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya. Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya. Maka sekali-kali tidak ada seorang pun dari kamu yang dapat menghalangi (Kami), dari pemotongan urat nadi itu. (Al-Haqqah: 44-47)

Jadi, apabila Nabi Muhammad  ﷺ masih hidup, tidak dimatikan, tidak diberi azab oleh Allah ﷻ apabila mengatakan yang wahyu yang disampaikan itu datang dari Allah ﷻ, maka itu sebagai bukti bahawa apa yang baginda ﷺ sampaikan adalah benar.

 

هُوَ أَعلَمُ بِما تُفيضونَ فيهِ

Allah lebih mengetahui akan yang kamu perkatakan itu;

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad  ﷺ ingatkan mereka yang Allah Maha Mengetahui akan tuduhan-tuduhan dan tohmahan mereka itu. Allah ﷻ mendengar dan melihat apa sahaja yang mereka lakukan. Maknanya, kalau Dia tahu, Dia akan hukum mereka atas tuduhan tidak berasas mereka itu.

 

كَفىٰ بِهِ شَهيدًا بَيني وَبَينَكُم

cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, 

Nabi Muhammad ﷺ tidak dapat hendak pertahankan diri baginda melainkan dengan hujah-hujah yang Allah ﷻ telah berikan kepada baginda ﷺ. Selain dari itu, baginda ﷺ  hanya berserah sahaja kepada Allah ﷻ . Ini adalah kerana baginda lemah dan pengikut baginda tidak ramai.

Maka baginda serahkan sahaja kepada Allah. Allah ﷻ lah yang jadi saksi bahawa apa yang baginda sampaikan itu adalah kebenaran. Maka baginda ﷺ tidak risau dengan kata-kata mereka, kerana kalau Allah ﷻ sendiri yang jadi saksi, itu lebih dari cukup.

 

وَهُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

dan Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Kata-kata mereka itu adalah tuduhan yang mengundang dosa dan neraka tetapi kalau mereka bertaubat, Allah ﷻ masih boleh terima lagi taubat mereka asalkan mahu mengubah cara hidup dan mula menerima tauhid.


 

Ayat 9: Dalil bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu perkara ghaib. Namun, tidaklah ini merendahkan martabat baginda ﷺ sebagai Rasul.

قُل ما كُنتُ بِدعًا مِّنَ الرُّسُلِ وَما أَدري ما يُفعَلُ بي وَلا بِكُم ۖ إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ وَما أَناْ إِلّا نَذيرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “I am not something original among the messengers,¹ nor do I know what will be done with me or with you. I only follow that which is revealed to me, and I am not but a clear warner.”

  • i.e., I am neither the first messenger to be sent, nor do I bring something different from the other messengers.

MALAY

Katakanlah lagi: “Bukanlah aku seorang Rasul pembawa ugama yang berlainan dari ugama yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang telah lalu), dan aku tidak mengetahui apa yang akan dilakukan kepadaku dan kepada kamu. Aku tidak melakukan sesuatu melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku, dan aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata”

 

قُل ما كُنتُ بِدعًا مِّنَ الرُّسُلِ

Katakanlah lagi: “Bukanlah aku seorang Rasul yang pertama dari Rasul-rasul,

Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk beritahu mereka bahawa baginda ﷺ bukanlah rasul yang pertama; ada ramai lagi rasul yang sebelum baginda. Malah baginda ﷺ adalah rasul dan Nabi yang terakhir.

Rasul-rasul yang dulu turut membawa perkara yang sama juga dalam hal akidah, bukan lain dari apa yang baginda ﷺ bawakan. Perkara itu boleh diperiksa dengan kitab-kitab wahyu yang lain. Mereka juga pernah mendengar tentang kisah rasul-rasul yang dahulu dengan umat-umat mereka. Musyrikin Mekah memang kenal Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام kerana ada dalam sejarah mereka.

Malah mereka juga tahu Nabi-nabi lain secara umum. Maknanya mereka kenal agama juga dan tahu bahawa ada yang kena azab akibat menentang apa yang disampaikan oleh Rasul mereka.

Kita juga boleh guna hujah ini dengan memberitahu kepada puak bidaah yang apa kita sedang bawa ini sebenarnya dari Al-Qur’an dan Sunnah. Mereka sendiri juga tahu yang kita sebagai orang Islam kena ikut Al-Qur’an dan Sunnah. Jadi apa yang kita senang bawa inilah Al-Qur’an dan Sunnah, bukan sumber lain pun. Bukan kita yang pertama kali cakap tentang perkara ini. Mereka boleh periksa dalam Al-Qur’an dan hadis kalau tidak percaya.

 

وَما أَدري ما يُفعَلُ بي وَلا بِكُم

dan aku tidak mengetahui apa yang akan dilakukan kepadaku dan kepada kamu.

Kafir Mekah telah mencabar Nabi ﷺ. Mereka kata kalau baginda ﷺ benar seorang Nabi, tentu mempunyai ada kuasa luar biasa. Malah sekarang mereka sudah menentang baginda, maka apa yang akan jadi kepada mereka nanti?

Mereka ejek: “engkau kata kalau kami lawan kamu, kami kena azab, sekarang mana azab itu?”; lagi satu mereka tanya Nabi: tidak mungkin baginda ﷺ tidak tahu apa yang akan terjadi kepada mereka esok hari atau masa depan?

Allah ﷻ mengajar Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan kata yang baginda ﷺ tahu perkara ghaib kerana itu adalah sifat Allah ﷻ sahaja. Sebaliknya baginda ﷺ diajar untuk menjawab seperti dalam ayat ini.

Katakanlah sahaja yang baginda sendiri tidak tahu ilmu ghaib. Rasul dulu juga tidak tahu tentang masa depan mereka. Hal baginda sendiri juga baginda tidak tahu, apatah lagi hal orang lain. Semua itu terpulang kepada Allah ﷻ dan apa yang Allah ﷻ hendak buat dengan mereka.

Kalau Nabi Muhammad ﷺ sebagai seorang Rasul pun tidak tahu perkara ghaib, maka apatah lagi manusia biasa? Oleh itu, kalau ada orang kata ada makhluk lain yang tahu perkara ghaib, itu adalah satu kesyirikan.

Sebagai contoh, puak Syiah kata imam-imam mereka tahu perkara ghaib secara mutlak. Maka mereka itu telah sesat dan syirik. Malanglah sekali apabila ramai orang kita yang tertipu dengan diayah mereka. Ini adalah kerana jahil dengan ilmu wahyu.

Malangnya, masih ada juga golongan yang masih hendak berlembut dengan golongan Syiah itu. Sedangkan mereka itu bawa kesesatan dalam umat Islam. Masih ada lagi yang hendak memberi ruang kepada mereka itu.

 

إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ

Aku tidak ikut sesuatu melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku,

Tugas baginda ﷺ diutus sebagai Rasul bukanlah untuk beritahu perkara ghaib tetapi untuk ikut apa yang telah diarahkan kepada baginda seperti dalam wahyu. Baginda ﷺ hanya menyampaikan apa yang perlu disampaikan dan hanya menjalankan tugas baginda sahaja. Tidaklah baginda ﷺ mendapat ilmu ghaib melainkan apa yang diberitahu kepada baginda ﷺ sahaja.

 

وَما أَناْ إِلّا نَذيرٌ مُّبينٌ

dan aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata”

Dan baginda ﷺ disuruh beritahu yang tugas baginda ﷺ bukan memaksa sesiapa jadi beriman tetapi hanya boleh menyampaikan sahaja. Baginda kena sampaikan dengan sejelas-jelasnya. Bukan hendak mengajar sorok-sorok, atau cakap tetapi dalam bahasa yang susah difahami.  Itulah yang baginda ﷺ telah lakukan.

Oleh kerana baginda ﷺ telah sampaikan dengan jelas, maka kalau tetap tolak juga, itu hanya kerana sifat degil mereka sahaja. Sebab semua maklumat telah disampaikan dan mereka tidak boleh kata tidak faham apa yang disampaikan kerana telah disampaikan dengan amat jelas sekali.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 4 – 9 (Nabi tidak tahu perkara ghaib)”

  1. Adalam surah al ahqaf ini tuan sebut tentang sifat tauhid tiga. Ulama2 akidah yg berpegang kpd tauhid sifat 20 tidak bersetuju dengan ulama2 tauhid tiga kerana didaksa mempunyai masalah. Bolehkah tuan buat penjelasan?

    Like

    1. Tauhid 3 dan Sifat 20 adalah ringkasan kepada Ilmu Tauhid. Ia adalah susunan untuk memudahkan pemahaman kepada ilmu tauhid itu. Kalau tidak, kena belajar terus tafsir 30 juzuk, jadi ulama’ cuba memudahkan.

      Saya lebih selesa dengan penerangan Tauhid 3 kerana ia berlandaskan kepada wahyu, sedangkan perbincangan Sifat 20 banyak menggunakan hujah akal dan falsafah. Ini pemilihan sendiri berdasarkan mana yang kita pegang. Orang lain begitulah juga, ada pemahaman dan pegangan sendiri. Perbezaan pendapat memang tidak dapat diselesaikan kerana memang sifat kita boleh ada pendapat dan pegangan sendiri. Tauhid 3 tidak ada masalah, boleh dan mudah dipelajari (kalau dibandingkan dengan Sifat 20). Tapi itu terpulang kepada pembelajaran sendiri. Saya tidaklah memaksa. Dan tentulah saya tidak dapat hendak menyelesaikan perbezaan pendapat yang berkurun-kurun.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s