Ayat 36: Apakah makanan yang diberikan kepada ahli neraka?
وَلا طَعامٌ إِلّا مِن غِسلينٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Nor any food except from the discharge of wounds;
(MELAYU)
Dan tiada (pula) makanan sedikitpun (baginya) kecuali dari darah dan nanah.
Ahli neraka juga akan diberikan makanan, tapi bukanlah makanan biasa. Mereka akan diberikan dengan makanan yang buruk, menghinakan dan menggelikan. Memang bukan makanan pun sebenarnya kerana tidak layak disebut ‘makanan’.
Kalimah غِسلينٍ berasal dari katadasar غ س ل yang bermaksud ‘basuh’. Maknanya ia adalah sisa-sisa selepas basuh pakaian contohnya. Ianya adalah benda kotor yang kita pun geli nak pegang apatah lagi nak makan. Tapi itulah yang mereka kena makan kerana tidak ada makanan lain yang akan diberikan kepada mereka.
Satu lagi, kalimah غِسلينٍ juga bermaksud cairan yang keluar dari tubuh ahli neraka. Iaitu darah campur nanah dan selepas keluar dari tubuh mereka, mereka kena makan pula apa yang keluar itu. Bercampur dengan nanah dari orang lain juga.
Ayat 37:
لّا يَأكُلُهُ إِلَّا الخٰطِئونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
None will eat it except the sinners.
(MELAYU)
Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa.
Ia bukanlah makanan tapi itulah makanan yang diberikan kepada mereka. Maksudnya mereka dipaksa makan, tidak ada pilihan lain. Ini adalah kerana dosa yang mereka telah lakukan semasa di dunia dulu. Dan kesalahan dosa yang paling besar adalah syirik kepada Allah.
Habis Ruku’ 1 dari 2 ruku’ dalam surah ini.
Ayat 38: Sekarang kita masuk ke dalam bahagian yang baru dalam surah ini. Ayat 38 – 51 adalah Perenggan Makro Keenam dan ia mengandungi penegasan Allah tentang Al-Qur’an.
فَلا أُقسِمُ بِما تُبصِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So I swear by what you see
(MELAYU)
Maka Aku bersumpah dengan apa yang kamu lihat.
Allah bersumpah dalam ayat ini. Tapi Allah mulakan dengan menggunakan kalimah فَلا (maka tidak). Ini hendak menolak dulu kesalahan fahaman mereka.
Allah jadikan qasam dengan apa yang mereka boleh lihat. Iaitu tempat yang telah dimusnahkan seperti bekas tempat tinggal Kaum Aad dan Tsamud. Ini ditujukan terus kepada Musyrikin Mekah kerana mereka tahu tentang dua kaum itu dan mereka memang telah melihat bekas peninggalan mereka kerana mereka lalu di kawasan mereka dalam musafir mereka. Maka kenalah mereka mengambil pengajaran dari apa yang telah berlaku kepada mereka itu; jangan ikut kesalahan mereka.
Satu lagi pendapat: yang dimaksudkan yang mereka lihat itu adalah Nabi Muhammad kerana mereka memang nampak baginda. Mereka sudah lihat sifat baginda dan kebaikan yang ada pada baginda.
Ayat 39: Ini adalah sumpah yang kedua.
وَما لا تُبصِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And what you do not see
(MELAYU)
Dan dengan apa yang tidak kamu lihat.
Dan yang mereka tak lihat adalah azab akhirat. Mereka tak nampak lagi azab akhirat yang akan dikenakan kepada mereka.
Satu lagi, mereka tak dapat lihat Malaikat yang sampaikan Al-Qur’an kepada Nabi. Kerana mereka tak nampak penurunan wahyu itu, maka mereka tidak dapat menerima kerasulan Nabi Muhammad.
Satu lagi yang mereka tak nampak adalah ajaran wahyu yang kita dengar. Ini adalah kerana Al-Qur’an itu asalnya didengari dan memang ajaran Nabi juga disampaikan dengan suara. Maka selepas ini Allah akan menegaskan tentang Al-Qur’an kepada para pembaca.
Ayat 40: Dalam dua ayat tadi, telah ada qasam (sumpah) dan sekarang ini adalah jawab kepada qasam. Maksudnya, apabila Allah bersumpah, ada perkara penting yang hendak disampaikan dan inilah perkara penting yang hendak ditekankan. Maknanya ia adalah sesuatu yang amat penting sampaikan Allah bersumpah dahulu sebelum memberitahunya.
إِنَّهُ لَقَولُ رَسولٍ كَريمٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[That] indeed, it [i.e., the Qur’ān] is the word of a noble Messenger.
(MELAYU)
Sesungguhnya Al Qur’an itu adalah benar-benar wahyu (Allah yang diturunkan kepada) Rasul yang mulia,
Rasul yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Rasulullah SAW (kerana ada dalam ayat lain, ia merujuk kepada Jibrail – seperti dalam Takwir:19). Ini adalah kerana yang Musyrikin Mekah tuduh sebagai penyair adalah baginda, bukannya Jibrail. Jadi kena tengok konteks ayat untuk memahami siapakah yang dimaksudkan.
Dalam ayat ini, kalau kita terjemah biasa sahaja, ia boleh jadi: ianya adalah kata-kata Rasulullah. Tapi kalimah yang digunakan adalah ‘qaul’ dan bukan ‘kalam’. Kalau kalimah ‘kalam’ yang digunakan, ia adalah kata seseorang itu sendiri. Tapi apabila kalimah ‘qaul’ yang digunakan, ia mungkin kata-kata orang lain.
Ia adalah penggunaan yang tepat kerana memang Nabi yang bercakap dan sampaikan, tapi ianya bukan kalam asal baginda kerana ianya adalah kalam Allah.
Ayat 41: Ia adalah kalam Allah dan disampaikan oleh Rasulullah, jadi apa yang ianya tidak?
وَما هُوَ بِقَولِ شاعِرٍ ۚ قَليلًا مّا تُؤمِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And it is not the word of a poet; little do you believe.
(MELAYU)
dan Al Qur’an itu bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kamu beriman kepadanya.
وَما هُوَ بِقَولِ شاعِرٍ
dan Al Qur’an itu bukanlah perkataan seorang penyair.
Allah sebut tentang syair kerana memang Al-Qur’an ini bunyinya sedap bila dibaca. Maka mungkin ada orang yang sangka ianya adalah syair kerana bunyinya yang memang memukau pendengarnya.
Maka memang Al-Qur’an itu kena dibaca. Al-Qur’anlah sepatutnya yang menjadi halwa telinga kita, yang selalu dibaca-baca sepanjang masa untuk menghiburkan hati kita. Bukannya dengan dengar musik.
Oleh kerana Al-Qur’an itu indah bunyinya, maka semasa baginda baca Al-Qur’an, penduduk Mekah dapat dengar yang ianya ada macam syair. Tapi sebenarnya Al-Qur’an itu bukanlah syair dan Nabi Muhammad pun bukanlah penyair.
قَليلًا مّا تُؤمِنونَ
Sedikit sekali kamu beriman kepadanya.
Al-Qur’an bukan syair tapi ia mengandungi peringatan dan ajaran untuk manusia yang dapat membimbing manusia untuk selamat di dunia dan di akhirat. Tapi ramai manusia yang tidak beriman dengan Al-Qur’an. Begitulah majoriti dari manusia ini tidak kisah pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu.
Oleh itu, ‘sedikit’ boleh bermaksud mereka langsung tidak mahu beriman; atau ia boleh bermaksud mereka beriman ‘sedikit’ sahaja – maksudnya mereka sudah dapat rasa kehebatan ayat-ayat Al-Qur’an itu dari segi bacaan dan ajaran di dalamnya, tapi mereka tidak terus beriman sempurna. Mereka sudah tahu yang ianya tidak mungkin kata-kata seorang manusia, tapi tetap juga nak kufur. Sepatutnya bila sidah rasa ia hebat, teruslah beriman, tapi tidak mereka lakukan.
Dan ini tidak mengejutkan pun kerana memang Allah sudah beritahu pun dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang kebanyakan manusia tidak mahu menerima Al-Qur’an. Termasuklah juga orang kita: sudah tahu yang Al-Qur’an ini dari Allah, tapi masih tetap juga tidak mahu belajar untuk memahaminya.
Ada satu kisah menarik tentang ayat ini. Satu hari, Saidina Umar (sebelum dia masuk Islam) telah buat keputusan untuk bunuh Nabi Muhammad semasa baginda berada di Kaabah. Baginda waktu itu sedang diturunkan dengan surah ini dan baginda sedang membacanya dengan indah sekali.
Waktu itu, Umar berkata dalam hatinya yang ini syair yang hebat. Dan terus sahaja (secara live) Allah jawab dengan ayat ini. Iaitu Allah beritahu yang ini bukan syair! Maka tentulah Umar amat terkejut waktu itu. Kerana kata-kata dalam hatinya terus dijawab.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abul Mughirah, telah menceritakan kepada kami Safwan, telah menceritakan kepada kami Syuraih ibnu Ubaid yang mengatakan bahawa Umar ibnul Khattab pernah mengatakan bahawa sebelum masuk Islam, dia pernah keluar untuk menghadang Rasulullah Saw. Ternyata dia menjumpai baginda telah mendahuluinya berada di masjid. Lalu dia berdiri di belakang baginda, maka baginda membaca Surah Al-Haqqah, dan dia merasa kagum dengan susunan kata-kata Al-Qur’an. Dia berkata dalam hatinya, “Dia, demi Allah, adalah seorang penyair seperti yang dikatakan oleh orang-orang Quraisy.” Maka baginda membaca firman-Nya: Sesungguhnya Al-Qur’an itu adalah benar-benar wahyu (Allah yang diturunkan kepada) Rasul yang mulia, dan Al-Qur’an itu bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kamu beriman kepadanya. (Al-Haqqah: 40-41); Kemudian aku (Umar) berkata, “Dia adalah seorang tukang tenung.” Maka Nabi Saw. membaca firman selanjutnya: Dan bukan pula perkataan tukang tenung. Sedikit sekali kamu mengambil pelajaran darinya. Ia adalah wahyu yang diturunkan dari Tuhan semesta alam. Seandainya dia (Muhammad) mengada-adakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya. Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya. Maka sekali-kali tidak ada seorang pun dari kamu yang dapat menghalangi (Kami) dari pemotongan urat nadi itu. (Al-Haqqah: 42-47), hingga akhir surat.
Ayat 42:
وَلا بِقَولِ كاهِنٍ ۚ قَليلًا مّا تَذَكَّرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Nor the word of a soothsayer; little do you remember.
(MELAYU)
Dan bukan pula perkataan tukang tenung. Sedikit sekali kamu mengambil pelajaran daripadanya.
وَلا بِقَولِ كاهِنٍ
Dan bukan pula perkataan tukang tenung.
Selepas Nabi Muhammad menjawab terus detik kata dalam hati Umar, maka sekarang Umar sudah mula sangka yang Nabi Muhammad boleh baca fikiran dia. Dia mula sangka yang Nabi Muhammad itu adalah seorang ahli tenung pula.
Maka sebaik sahaja dia berkata begitu dalam hatinya, Allah turunkan ayat ini.
Pada zaman itu, golongan tukang tenung yang disebut sebagai Kaahin inilah yang dijadikan sebagai tempat rujukan penduduk Arab. Kalau ada apa-apa keperluan seperti nak beranak, nak kahwin, nak cari tempat tinggal dan sebagainya, mereka akan rujuk kaahin-kaahin ini. Tapi mereka itu bukannya boleh baca fikiran pun.
قَليلًا مّا تَذَكَّرونَ
Sedikit sekali kamu mengambil pelajaran daripadanya.
Kehebatan Al-Qur’an ini tiada bandingan tapi ramai manusia yang tidak ambil peringatan darinya. Ramai yang tidak endahkan Al-Qur’an ini. Termasuklah orang kita pun yang selalu baca Al-Qur’an tapi tidak ambil pengajaran darinya kerana mereka tidak faham pun apa yang mereka baca.
Bukankah Al-Qur’an ini baru diturunkan oleh Allah kepada manusia? Oleh itu kenapa Allah gunakan kalimah ‘ingat’ dalam ayat ini? Peringatan diberikan kepada orang yang tahu sahaja, bukan?
Allah guna kalimah ‘ingat’ kerana roh kita memang sudah kenal Allah dari asal lagi. Maka Allah cuma nak beri peringatan sahaja. Ingat adalah kepada sesuatu perkara yang sudah diketahui, tapi hanya diberi ingat sahaja.
Ayat 43: Oleh itu, apakah Al-Qur’an itu? Dari mana ia datang?
تَنزيلٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[It is] a revelation from the Lord of the worlds.
(MELAYU)
Ia adalah wahyu yang diturunkan dari Tuhan semesta alam.
Selepas Umar diberikan jawapan dari Allah secara terus dari Al-Qur’an, maka terdetik dalam hati Umar, apakah Al-Qur’an itu? Allah jawab bahawa ianya dari Allah, Tuhan sekalian alam.
Umar amat terkejut dengan apa yang telah disampaikan dan selepas ayat ini, dia terus lari dari tempat itu.
Ayat 44:
وَلَو تَقَوَّلَ عَلَينا بَعضَ الأَقاويلِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And if he [i.e., Muḥammad] had made up about Us some [false] sayings,
(MELAYU)
Seandainya dia (Muhammad) mengadakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami,
Kalimah تَقَوَّلَ bermaksud berusaha untuk bercakap. Atau seseorang yang berlatih untuk berkata sesuatu yang dapat menarik perhatian orang lain. Maksudnya, seseorang yang cuba untuk reka kata-kata untuk disampaikan kepada orang lain.
Oleh itu, ayat ini bermaksud, apa yang akan terjadi kalau Nabi Muhammad sengaja mengada-adakan sesuatu yang bukan dari Allah. Maksudnya kalau baginda reka perkara baru – ia bukan dari Allah tapi baginda kata ianya dari Allah. Bukan banyak pun, cukuplah sikit sahaja. Apa yang akan terjadi?
Atau, kalaulah baginda memasukkan kata-katanya sendiri dan mengatakan ianya dari Allah, apa akan jadi kepada baginda?
Ayat 45:
لَأَخَذنا مِنهُ بِاليَمينِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
We would have seized him by the right hand;¹
- Another interpretation is “by [Our] right hand,” i.e., Allāh would have exacted revenge with might and power.
(MELAYU)
nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya.
Kalau Rasulullah reka kata-kata dan mendakwa ia dari Allah, Allah akan tangkap baginda kalau baginda mereka-reka hal agama begitu.
‘Tangan kanan’ disebut dalam ayat ini kerana tangan kanan yang pegang binatang nak sembelih. Tangan kanan juga selalu dikaitkan dengan kekuatan.
Ayat 46:
ثُمَّ لَقَطَعنا مِنهُ الوَتينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then We would have cut from him the aorta.¹
- Causing immediate death.
(MELAYU)
Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya.
Kalau Nabi Muhammad reka hal agama dan ayat Al-Qur’an, Allah akan tangkap dan sembelih halqum baginda. Sebab kalam keluar dari halqum maka Allah akan sembelih halqum baginda.
Ibnu Abbas mengatakan bahawa al-wafin ertinya urat tali jantungnya. Hal yang semisal dikatakan oleh Ikrimah, Sa’id ibnu Jubair, Al-Hakam, Qatadah, Ad-Dahhak, Muslim Al-Batin, dan Abu Sakhr alias Humaid ibnu Ziad. Menurut Muhammad ibnu Ka’b, makna yang dimaksudkan ialah jantung dan semua uratnya serta semua bahagian yang berada di dekatnya.
Reka hal agama maksudnya buat bidaah. Ini termasuk kalau manusia reka fahaman dan juga amalan baru. Begitu ramai sekali yang buat perkara ini, bukan? Maka ini adalah dalil ancaman dari Allah kepada mereka yang buat bidaah. Dan ini adalah ancaman yang amat keras. Kalau Nabi buat bidaah pun baginda akan terus dimatikan, lalu bagaimana pula kalau manusia biasa yang buat?
Tapi kita pun tengok banyak manusia buat bidaah elok sahaja? Kadangkala mereka pula yang disanjung tinggi. Ini adalah kerana tidak sama Nabi dan manusia biasa.
Kalau manusia yang reka agama, dia tidak dimatikan terus. Kerana dia tidak dijadikan sebagai panduan hukum. Sedangkan Nabi Muhammad menjadi panduan maka baginda akan dimatikan terus. Segala yang baginda lakukan adalah agama maka baginda tidak boleh dibenarkan untuk melakukan bidaah.
Tapi ahli bidaah tidak akan selamat apabila mereka buat bidaah. Mungkin mereka selamat di dunia tapi mereka takkan selamat di akhirat. Maka kenalah berhati-hati dengan amalan kita. Pastikan ianya adalah amalan sunnah.
Ayat 47:
فَما مِنكُم مِّن أَحَدٍ عَنهُ حٰجِزينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And there is no one of you who could prevent [Us] from him.
(MELAYU)
Maka sekali-kali tidak ada seorang pun dari kamu yang dapat menghalangi (Kami), dari pemotongan urat nadi itu.
Kalau Nabi Muhammad dimatikan oleh Allah, maka tidak akan ada sesiapa yang dapat menyelamatkan baginda.
Maka kerana baginda tidak dimatikan dengan cara sembelihan, maka ia bermakna yang apa sahaja yang baginda sampaikan adalah agama sunnah dan bukan bidaah. Maka kita kenalah ikut amalan dan ajaran baginda tanpa was-was. Amalan selain amalan bagindalah yang kena diperhatikan dan dinilai. Jangan nak terus ikut sahaja.
Ayat 48: Allah kembali menyebut tentang Al-Qur’an.
وَإِنَّهُ لَتَذكِرَةٌ لِّلمُتَّقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And indeed, it [i.e., the Qur’ān] is a reminder for the righteous.
(MELAYU)
Dan sesungguhnya Al Qur’an itu benar-benar suatu pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa.
Allah menegaskan sekali lagi bahawa Al-Qur’an itu menjadi peringatan kepada manusia. Ia diberikan kepada semua manusia tapi yang boleh mengambil pengajaran darinya adalah orang-orang bertaqwa sahaja. Kerana mereka yang ada keinginan kepada kebenaran.
Oleh kerana itu, kita kena sedar yang walaupun Al-Qur’an ini hebat dan mempunyai segala kelebihan, tapi kalau ianya tidak dilihat sebab sesuatu yang hebat, manusia tidak ambil perhatian pun. Kerana itu ramai dari masyarakat kita tidak teringin pun nak belajar tafsir Al-Qur’an dan belajar memahaminya kerana mereka tidak nampak ianya penting.
Ayat 49:
وَإِنّا لَنَعلَمُ أَنَّ مِنكُم مُّكَذِّبينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And indeed, We know that among you are deniers.
(MELAYU)
Dan sesungguhnya Kami benar-benar mengetahui bahawa di antara kamu ada orang yang mendustakan(nya).
Allah sudah tahu akan ada yang kata Al-Qur’an ini tipu. Ramai yang berhujah dengan mengatakan Al-Qur’an ini adalah tulisan manusia sahaja: sama ada Nabi Muhammad yang tulis atau baginda cedok dari kitab-kitab lain. Dan entah berapa hujah lagi yang dikatakan oleh manusia untuk mereka mengatakan Al-Qur’an ini dusta. Mereka mencari-cari kesalahan dalam Al-Qur’an kerana hendak menegaskan hujah mereka.
Tapi adakah penentang Al-Qur’an sahaja yang mendustakan Al-Qur’an? Jangan kita sangka begitu sahaja. Kalau tidak mengendahkan Al-Qur’an pun dikira sebagai pendusta Al-Qur’an juga. Iaitu mereka yang buat tak kisah tentang ajaran dalam Al-Qur’an.
Mereka mungkin baca Al-Qur’an hari-hati. Mereka juga amat sayang kepada Al-Qur’an dan sanjung Al-Qur’an. Sampaikan mereka akan letak di tempat tinggi dan marah kalau ada orang hina Al-Qur’an. Mereka pun selalu juga kata: kembali kepada ajaran Al-Qur’an.
Tapi kalau tidak belajar tafsir, itu pun sudah termasuk mendustakan Al-Qur’an. Memang mereka tidak pernah cakap begitu, tapi kalau mereka tidak ambil pengajaran dari Al-Qur’an, maka mereka seolah-olah mengatakan ajaran dalam Al-Qur’an ini ‘dusta’ sahaja, kerana itu mereka tidak perlu mempelajarinya, bukan? Kerana kalau mereka percaya sungguh ajaran dalam Al-Qur’an ini benar, tentulah mereka akan berusaha sedaya upaya untuk memahaminya, bukan?
Tapi bila mereka buat acuh tak acuh, bila diajar belajar tidak belajar, bila ada peluang belajar tidak diambil peluang itu, tidak ada usaha pun nak cari guru, tidak ada usaha nak cari kelas, pergi ke kelas, itu semua tanda orang yang mendustakan Al-Qur’an. Mereka tidak cakap dengan mulut, tapi mereka ‘kata’ dengan perbuatan mereka.
Mereka boleh dakwa mereka berpegang dengan Al-Qur’an tapi Allah beritahu dalam ayat ini yang sebenarnya mereka tidak begitu pun. Allah tahu hati manusia dan apa yang tersembunyi di dalam hati itu.
Ayat 50:
وَإِنَّهُ لَحَسرَةٌ عَلَى الكٰفِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And indeed, it will be [a cause of] regret upon the disbelievers.
(MELAYU)
Dan sesungguhnya Al Qur’an itu benar-benar menjadi penyesalan bagi orang-orang kafir (di akhirat).
Mereka yang tidak membenarkan wahyu Al-Qur’an akan menyesal bersungguh-sungguh di akhirat kelak. Tidak ada penyesalan yang lebih besar lagi. Kerana ia bukan susah pun untuk belajar tafsir Al-Qur’an ini. Tidak ada alasan untuk tidak mempelajarinya.
Oleh kerana itu belajarlah tafsir Al-Qur’an. Allah kata yang kafir itu yang akan menyesal nanti. Tapi janganlah sangka ia orang yang lahir kafir sahaja. Kerana kalau seseorang itu lahirnya dalam keluarga Muslim, tapi dia sendiri tidak membenarkan Al-Qur’an, ditakuti dia pun telah lama jatuh kafir.
Kerana tidak faham Al-Qur’an maka ada larangan dalam Al-Qur’an yang dilanggarnya. Begitu ramai kesalahan manusia yang kita tengok kerana mereka tidak faham apa yang ada dalam Al-Qur’an. Ramai yang tidak tahu pun apa yang disebut dalam Al-Qur’an itu.
Amat menyedihkan sekali kalau kita lihat tahap pengetahuan masyarakat kita tentang Al-Qur’an. Mereka seolah-olah tak pernah baca Al-Qur’an, atau tidak pernah lihat terjemahan Al-Qur’an. Kerana itu, kita kenalah meningkatkan usaha untuk menyebarluaskan pemahaman Al-Qur’an ini di kalangan manusia. Kita tidak dapat nak bagi semua orang tahu, tapi kita cubalah dapatkan sebanyak mungkin pengikut tafsir Al-Qur’an di kalangan keluarga dan kenalan kita.
Ayat 51:
وَإِنَّهُ لَحَقُّ اليَقينِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And indeed, it is the truth of certainty.
(MELAYU)
Dan sesungguhnya Al Quran itu benar-benar kebenaran yang diyakini.
Allah menegaskan yang Al-Qur’an itu benar-benar membawa al-haq (kebenaran). Kemudian Allah tambah kalimah اليَقينِ dalam ayat ini selepas kalimah haq. Ini menguatkan kebenaran yang dibawa oleh Al-Qur’an.
Kalimah اليَقينِ bermaksud percaya kepada sesuatu berdasarkan dari pengalaman. Kadang-kadang kita percaya seseorang dari segi agakan kita sahaja, tapi ada yang kita yakin dan percaya kepada dia kerana kita telah ada pengalaman dengan dia. Ia lebih tinggi lagi dari kepercayaan biasa sahaja, bukan? Maka bagaimana pula Al-Qur’an boleh dikatakan bawa kebenaran jenis اليَقينِ?
Ini adalah kerana apa-apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini kita boleh lihat di dunia yang nyata. Kita boleh lihat kebenaran sains yang Al-Qur’an bentangkan dalam Al-Qur’an dan kemudian disepakati oleh kajian sains semasa. Begitu hebat sekali kerana apa yang disebut 1,400 tahun dahulu bertepatan dengan kajian sains moden.
Dan apa sahaja yang disebut dalam Al-Qur’an kita juga boleh lihat dengan mata kita sendiri, seperti awan, gunung dan sebagainya. Dan kita juga boleh lihat sifat-sifat manusia yang disebut dalam Al-Qur’an juga benar. Jadi ini semua menambah keimanan kita kepada Al-Qur’an dan sampaikan tahap kepercayaan kita kepada Al-Qur’an adalah tahap اليَقينِ.
Ayat 52: Akhir sekali apakah yang perlu dilakukan? Ayat 52 ini adalah Perenggan Makro Ketujuh dan terakhir. Ia mengandungi anjuran untuk mengakui sifat Maha Suci Allah.
فَسَبِّح بِاسمِ رَبِّكَ العَظيمِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So exalt the name of your Lord, the Most Great.
(MELAYU)
Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Maha Besar.
Allah menyuruh kita bertasbih dengan menggunakan namaNya. Sebelum ini telah disebut manusia yang tidak terima keagungan Allah. Maka sekarang agungkanlah Nama Allah. Ini adalah kerana Allah itu Maha Agung, Maha Besar.
Maka kita sebagai makhluk Allah hendaklah membesarkan Allah dalam kehidupan kita. Apabila kita besarkan Allah dalam kehidupan kita, maka segala arahan dan laranganNya kita akan perhatikan.
Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah Haqqah ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah Ma’aarij.
Kemaskini: 8 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Ayat Al Haqqah 42 -Bolehkah ayat digunakan untuk menyangkal bomoh2 atau yg mengguna khidmat bomoh selain drpd ayat lain yg mengatakan ia adalah syirik
LikeLike
Bolehlah sikit-sikit… tidaklah tepat sangat. kerana ayat ini nak sebut yang Nabi bukan tukang tenung, penilik. Maknanya, jangan pakai kata-kata mereka itu.
LikeLike