Ayat 10: Zajrun dan juga Dalil Naqli Tafsili.
قُل أَرَءيتُم إِن كانَ مِن عِندِ اللهِ وَكَفَرتُم بِهِ وَشَهِدَ شاهِدٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ مِثلِهِ فَئآمَنَ وَاستَكبَرتُم ۖ إِنَّ اللَهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Say, “Have you considered: if it [i.e., the Qur’ān] was from Allāh, and you disbelieved in it while a witness from the Children of Israel has testified to something similar¹ and believed while you were arrogant…?”² Indeed, Allāh does not guide the wrongdoing people.
- Based upon information from the Torah.
- The conclusion is estimated to be “…would you not then be the most unjust of people?” or “…in what condition would you then be?”
MALAY
Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu jika Al-Qur’an ini (yang datangnya) dari Allah dan kamu mengingkarinya, padahal ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Qur’an ini, lalu dia percayakan (Al-Qur’an ini dari Allah), sedang kamu dengan sombong angkuh mengingkarinya? (Tidakkah dengan yang demikian kamu bersifat zalim)? Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim (yang degil dalam kekufurannya)”.
قُل أَرَءيتُم
Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu
Sekarang Allah ﷻ mengajar Nabi ﷺ untuk berhujah dengan mereka supaya mereka fikir-fikirkan – supaya gunalah akal itu sedikit. Allah telah berikan akal, maka kenalah gunakan. Maka Nabi disuruh tanya kepada mereka supaya fikir.
إِن كانَ مِن عِندِ اللهِ وَكَفَرتُم بِهِ
jika Al-Qur’an ini dari Allah dan kamu mengingkarinya,
Cuba kamu fikir, kalau benar Al-Qur’an ini benar dari Allah ﷻ, dan kamu engkar kepadanya, apakah akan jadi dengan kamu nanti? Tidak takutkah kamu menolak ayat-ayat dari Allah ﷻ? Apa kamu sangka kamu akan selamatkah?
Sekarang kamu tolak kerana kamu tidak percaya ia dari Allah. Tapi kalau benar dari Allah, macam mana?
وَشَهِدَ شاهِدٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ مِثلِهِ
padahal telah ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Qur’an ini,
Ini adalah Dalil Naqli: Dan telah bersaksi satu ulama’ Bani Israil yang muktabar, yang Al-Qur’an ini benar dari Allah ﷻ dan ia seperti yang ada dalam Taurat. Musyrikin Mekah kata Al-Qur’an itu adalah sihir, tetapi kalau begitu, kenapa ada ulama’ Bani Israil yang mengakui kebenaran Al-Qur’an itu?
Maksud ayat ini lebih kurang sama seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Syu’ara:197
Ada pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Abdullah bin Salam. Namun, yang menolaknya mengatakan tidak mungkin kerana Abdullah bin Salam hanya masuk Islam di Madinah, bukan di Makkah dan ayat ini adalah ayat Makkiah.
Ataupun, mungkin yang dimaksudkan adalah apa yang akan terjadi di masa hadapan iaitu akan ada yang akan memberikan pengakuan tentang kebenaran Al-Qur’an. Ini akan berlaku di Madinah nanti. Allahu a’lam siapakah yang dimaksudkan.
Maka kalau ada di kalangan Bani Israil yang tidak mahu beriman dengan Al-Qur’an maka itu adalah kerana degil sahaja. Ini kerana ulama’ mereka sendiri sudah mengakui kebenaran Al-Qur’an.
Apa pun, ayat ini bertepatan dengan firman Allah ﷻ:
{إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأذْقَانِ سُجَّدًا وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولا}
Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud dan mereka berkata, “Mahasuci Tuhan kami; sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi.” (Al-Isra: 107-108)
Atau yang dimaksudkan adalah Nabi Musa عليه السلام kerana Nabi Musa عليه السلام ada berkata bahawa akan lahir Nabi akhir zaman yang macam baginda. Ini ada terdapat dalam Old Testament. Memang Nabi Muhammad ﷺ banyak persamaan dengan Nabi Musa عليه السلام. Maksudnya Nabi Musa عليه السلام memberitahu tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ.
فَئآمَنَ وَاستَكبَرتُم
lalu dia beriman, sedang kamu dengan sombong angkuh dari menerimanya?
Ini kerana ulama’ itu percaya dengan apa yang diturunkan dalam Al-Qur’an itu, maka dia telah beriman.
Namun, kamu sombong hendak menerima sedangkan kamu jahil. Orang alim pun kamu tidak mahu ikut? Sesat kamu itu kerana degil sahaja, bukan kerana lain. Semua bukti sudah ada tetapi kamu masih tidak mahu menerimanya.
إِنَّ اللَهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim
Kalau degil juga, tidak ada ubat. Allah ﷻ tidak akan memberi hidayah kepada mereka yang zalim degil tidak terima kebenaran. Ini kerana mereka telah degil menutup hati mereka kepada kebenaran.
Ayat 11: Ini adalah Ayat Syikayah (rungutan dari Allah). Allah merungut dan mengulang balik kata-kata penolakan dari penentang wahyu Al-Qur’an.
Latar belakang: Kebanyakan dari kalangan Musyrikin Mekah adalah orang kenamaan dan bangsawan. Sedangkan para sahabat hampir kesemuanya adalah orang bawahan sahaja. Apabila golongan yang rendah kedudukan yang ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ, golongan bangsawan itu tidak pandang kepada ajaran Nabi ﷺ kerana mereka melihat kemuliaan dari segi kekayaan dunia sahaja.
Ini kerana pada mereka, kalau yang mengikuti baginda ﷺ adalah orang-orang yang miskin dan lemah, pada mereka itu bukanlah sesuatu yang bagus kerana mereka tidak menggunakan akal yang sihat. Begitulah juga kebanyakan manusia yang salah dalam menilai. Maka Allah ﷻ tegur pemahaman yang sebegini.
وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنوا لَو كانَ خَيرًا مّا سَبَقونا إِلَيهِ ۚ وَإِذ لَم يَهتَدوا بِهِ فَسَيَقولونَ هٰذا إِفكٌ قَديمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those who disbelieve say of those who believe, “If it had [truly] been good, they would not have preceded us to it.” And when they are not guided by it, they will say, “This is an ancient falsehood.”
MALAY
Dan (kerana sombong angkuhnya orang-orang kafir itu) mereka berkata tentang kepercayaan orang-orang yang beriman: “Kalaulah (apa yang dibawa oleh Muhammad) itu perkara yang baik tentulah mereka tidak mendahului kami mempercayainya (kerana kamilah yang sepatutnya menerima segala kebaikan)!” Dan setelah mereka tidak dapat menerima petunjuk Al-Qur’an itu, (mereka memusuhinya) lalu mereka mencacinya dengan berkata: “Al-Qur’an ini ialah rekaan dusta yang sudah lama”.
وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنوا
Dan orang-orang kafir itu berkata tentang kepada orang-orang yang beriman:
Ini adalah hujah Musyrikin Mekah yang kaya dan berpengaruh. Kali ini mereka berhujah dengan orang-orang yang beriman dari kalangan para sahabat. Kalangan sahabat itu adalah mereka yang miskin, tidak berpengaruh malah ada dari kalangan mereka yang hamba abdi.
Begitulah kalau zaman sekarang, jalan sunnah itu selalunya dipegang oleh golongan yang lemah, yang tiada ada kuasa apa-apa dalam kerajaan selalunya, golongan miskin dan juga tidak berpengaruh dalam masyarakat. Ustaz-ustaz Sunnah kita pun tidaklah dapat masuk dalam TV dan mendapat liputan yang meluas.
لَو كانَ خَيرًا مّا سَبَقونا إِلَيهِ
“Kalaulah (apa yang dibawa oleh Muhammad) itu perkara yang baik tentulah mereka tidak mendahului kami mempercayainya!”
Mereka kata sekiranya ajaran dari Al-Qur’an itu adalah benar dan baik, nescaya orang bawahan tidaklah yang dahulu terima sebelum mereka. Mereka kata, kalau ia ajaran yang benar, merekalah yang lebih awal terima, bukan golongan miskin itu.
Pada mereka, tidak mungkin golongan yang rendah mendahului mereka pula kerana mereka sangka mereka orang yang pandai dan bijak sedangkan golongan bawahan itu bodoh-bodoh sahaja pada pandangan mereka. Ini sama seperti yang disebut dalam ayat lain:
{وَكَذَلِكَ فَتَنَّا بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لِيَقُولُوا أَهَؤُلاءِ مَنَّ اللهُ عَلَيْهِمْ مِنْ بَيْنِنَا}
Dan demikianlah telah Kami uji sebahagian mereka (orang-orang yang kaya) dengan sebagian lain (orang-orang miskin), supaya (orang-orang yang kaya itu) berkata, “Orang-orang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah oleh Allah kepada mereka?” (Al-An’am: 53)
Mereka amalkan sikap kasta dalam masyarakat. Mereka rasa mereka lebih mulia dari orang kebanyakan dan orang bawahan. Mereka mempunyai sifat sombong dan rasa tinggi diri. Dan ini adalah sikap yang amat bahaya. Ini kerana kalau ada sifat ini, hidayah susah hendak masuk. Hidayah tidak masuk ke dalam akal dan hati orang yang sombong.
Ingatlah yang hidayah itu bukanlah atas dasar siapa yang kaya atau ada pengaruh. Bukanlah kalau orang kaya berpegang kepada sesuatu perkara, itu menunjukkan yang perkara itu benar, tidak sama sekali. Itu bukanlah kayu ukur kepada kebenaran.
وَإِذ لَم يَهتَدوا بِهِ فَسَيَقولونَ هٰذا إِفكٌ قَديمٌ
Dan setelah mereka tidak beriman dengan Al-Qur’an itu, lalu mereka berkata: “Al-Qur’an ini ialah rekaan dusta yang sudah lama”.
Ini adalah idkhal ilahi (pencelahan Tuhan): Allah ﷻ beritahu awal-awal yang inilah yang mereka akan kata. Mereka pasti akan kata begitu kerana mereka tidak menerima kebenaran. Mereka kata Al-Qur’an itu adalah bohongan yang telah lama ada. Mereka kata sudah lama berlalu bohongan seperti itu yang diulang semula oleh Nabi Muhammad ﷺ sahaja.
Dalam erti kata lain, mereka kata Nabi Muhammad ﷺ kutip dari ajaran-ajaran lama sahaja.
Ayat 12: Ayat 12 – 14 ini adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menganjurkan kita untuk istiqamah dengan aqidah yang sahih. Allah memberi jaminan tiada kebimbangan dan kesusahan ketika ajal kalau kita istiqamah dalam ajaran tauhid. Mereka yang istiqamah akan menjadi ahli syurga di Akhirat.
Ayat 12 ini mengandungi Dalil Naqli dari Taurat. Sekarang Allah ﷻ berhujah dengan menggunakan Kitab Taurat. Ini tidak ada masalah kerana Kitab Taurat itu Allah juga yang turunkan.
وَمِن قَبلِهِ كِتٰبُ موسىٰ إِمامًا وَرَحمَةً ۚ وَهٰذا كِتٰبٌ مُّصَدِّقٌ لِّسانًا عَرَبِيًّا لِّيُنذِرَ الَّذينَ ظَلَموا وَبُشرىٰ لِلمُحسِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And before it was the scripture of Moses to lead and as a mercy. And this is a confirming Book in an Arabic tongue to warn those who have wronged and as good tidings to the doers of good.
MALAY
(Bagaimana mereka tergamak mengatakan Al-Qur’an ini rekaan dusta yang telah lama?) Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya); dan Al-Qur’an pula sebuah Kitab – yang mengesahkan kebenaran (kitab-kitab yang telah lalu), – diturunkan dalam bahasa Arab untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.
وَمِن قَبلِهِ كِتٰبُ موسىٰ إِمامًا وَرَحمَةً
Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat
Sebelum ini sudah ada kitab dari langit, iaitu Kitab Taurat. Kitab Taurat itu menjadi panduan hidup bagi Bani Israil dan kalau diamalkan, ia memberi rahmat kepada mereka yang mengamalkannya.
Digunakan kalimah إِمامًا untuk memberi analogi macam orang ikut imam dalam solat – bila imam rukuk, semua rukuk sekali iaitu makmum kena ikut. Maka begitulah juga dengan kitab wahyu, manusia kena ikut arahan yang ada dalam kitab wahyu itu.
وَهٰذا كِتٰبٌ مُّصَدِّقٌ
dan Kitab ini yang mengesahkan kebenaran
‘Kitab ini’ yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Al-Qur’an ini juga adalah kitab dari langit, yang membenarkan isi Kitab Taurat yang sebelum itu. Kandungan tauhid di dalam kitab Taurat dan Al-Qur’an itu sama sahaja iaitu untuk mengesakan Allah ﷻ.
لِّسانًا عَرَبِيًّا
dalam bahasa Arab
Cuma Al-Qur’an ini diturunkan dalam Bahasa Arab yang fasih. Ia bahasa yang amat tinggi yang dapat menjelaskan sesuatu perkara itu dengan jelas. Perkara yang panjang dapat dijelaskan dengan Bahasa Arab yang hebat. Maka memang bertepatan apabila Allah ﷻ turunkan kitab wahyu-Nya yang terakhir dalam Bahasa Arab.
Maka molek sangatlah kalau kita semua dapat belajar Bahasa Arab supaya kita dapat lebih memahami Al-Qur’an. Kalau kita ada kehendak untuk lebih memahami Al-Qur’an, maka kita akan cuba belajar bahasa Arab sedikit demi sedikit. Cuma jangan jadikan alasan tidak pandai Bahasa Arab untuk tidak belajar Tafsir. Bukanlah nak belajar Tafsir kena tahu Bahasa Arab dulu. Kalau begitu, entah bilalah pula hendak belajar?
لِّيُنذِرَ الَّذينَ ظَلَموا
untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim,
Kepada mereka yang kufur, Al-Qur’an itu memberi ancaman bahawa mereka akan mendapat mendapat azab yang buruk kerana kezaliman dan kekufuran mereka itu. Ancaman keras diberikan kepada mereka, maka hendaklah mereka ambil perhatian untuk membuat perubahan.
وَبُشرىٰ لِلمُحسِنينَ
dan berita gembira bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.
Dan berita gembira pula diberikan kepada orang yang berhati baik iaitu mereka yang boleh ikut beriman dengan Al-Qur’an dan taat arahan Allah ﷻ dengan mudah. Ini adalah kerana hati mereka masih dalam fitrah.
Fitrah manusia adalah lahir untuk taat kepada arahan Allah ﷻ. Kita memang sudah kenal Allah ﷻ dari sebelum kita lahir lagi (semasa dalam Alam Ruh). Maka kalaulah manusia mendengar isi hati mereka, pasti akan nampak kebenaran Al-Qur’an itu. Ini kerana fitrah kejadian kita memang sudah kenal Allah ﷻ, sudah kenal kebenaran.
Begitu juga, kalau masyarakat kita mendengar kepada isi hati mereka, tentu akan nampak kebenaran tauhid yang dibawa oleh Al-Qur’an ini. Mereka tidak akan berbuat syirik dalam doa dan tidak akan mengamalkan tawasul yang dilarang.
Ayat 13: Ayat Tabshir Ukhrawi (berita gembira di akhirat). Ia adalah sebagai badal (penjelasan tambahan) kepada mereka yang dikatakan ‘muhsinin’ yang disebut dalam ayat sebelum ini. Siapakah mereka itu?
إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ استَقٰموا فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, those who have said, “Our Lord is Allāh,” and then remained on a right course – there will be no fear concerning them, nor will they grieve.
MALAY
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللَّهُ
Sesungguhnya orang-orang yang berkata: “Tuhan kami ialah Allah”,
Mereka yang muhsinin akan berkata dengan iktikad hati mereka yang Allah ﷻ lah Tuhan mereka. Mereka terima bahawa Allah ﷻ yang mencipta mereka dan mengurus alam ini. Mereka tidak berkata dengan mulut sahaja tetapi diimani dengan hati mereka juga. Ini kerana kalau setakat kata sahaja, orang munafik juga boleh berkata begitu.
ثُمَّ استَقٰموا
kemudian mereka tetap teguh
Selepas mereka berkata dengan mulut, mereka ikuti pula dengan amalan perbuatan dan tetap istiqamah dengan iman itu sampai mereka mati. Bukan cakap sehari dua sahaja, tetapi mereka akan tetap pegang sampai mati. Tidaklah mereka terkesan dengan amalan masyarakat luar yang mengamalkan amalan yang salah.
Kelebihan istiqamah dalam iman ini telah disebut dalam Fussilat:30.
Ini memang dugaan yang besar sebenarnya. Macam sekarang, susah untuk kita melihat golongan Muslim sendiri yang mengamalkan tauhid dalam berdoa. Ramai yang mengamalkan tawasul dalam doa. Mereka akan meminta-minta dan berdoa kepada Nabi, wali dan malaikat untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ.
Kita mungkin tidak mahu buat perkara itu, tetapi kalau kita ada masalah, selalunya kita akan digesa untuk buat perkara yang sama. Ada yang berkata: “kenapa tidak minta pertolongan kepada wali sekian dan sekian, supaya masalah kamu dapat selesai dengan segera?” Mereka pula ajar kita buat perkara yang syirik.
Orang yang istiqamah, akan tetap tidak berganjak dari iman mereka. Mana yang salah, mereka tidak akan lakukan walaupun ahli keluarga sendiri yang mendesak mereka.
فَلا خَوفٌ عَلَيهِم
maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka,
Ini adalah tabshir (berita gembira) sebagai balasan bagi mereka yang istiqamah dalam tauhid: Mereka yang bersifat seperti itu, tidak perlu takut apa yang akan jadi, kerana mereka akan menuju kepada balasan yang baik – syurga.
Jadi kalimah خوف ini digunakan untuk perkara masa hadapan.
وَلا هُم يَحزَنونَ
dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Dan kalimah حزن digunakan untuk perkara yang telah lalu. Maknanya, mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia ini kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.
Ini adalah kerana tentu ada kesedihan untuk kita meninggalkan dunia ini dengan segala harta dan anak pinak kita. Namun, kalau kita pergi ke tempat yang lebih baik dari segala hal, maka tidaklah perlu kita bersedih. Dunia yang fana ini, tinggalkanlah sahaja.
Ayat 14: Tabshir lagi.
أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ خٰلِدينَ فيها جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Those are the companions of Paradise, abiding eternally therein as reward for what they used to do.
MALAY
Merekalah ahli Syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.
أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ
Merekalah ahli Syurga,
Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga – tempat untuk menikmati segala kenikmatan yang tidak terbayang oleh akal fikiran. Jika hendak mengetahui bagaimana keadaan dalam syurga itu, kena masuk dahulu baru dapat tahu. Ini kerana tidak dapat digambarkan keindahan dan kehebatannya dengan kata-kata. Cuma diberi isyaratnya di dalam banyak ayat Al-Qur’an dan hadis.
Maka inilah balasan yang setimpal bagi mereka yang baik. Oleh kerana itu, tidaklah perlu takut dan bersedih meninggalkan dunia itu. Ini kerana yang menanti itu adalah syurga, tempat untuk bersenang lenang sahaja, tidak ada ketakutan dan kesusahan di dalamnya.
خٰلِدينَ فيها
tetap kekallah mereka di dalamnya,
Mereka akan kekal abadi di sana. Ini adalah nikmat yang amat besar kerana kalau kita tahu kita akan duduk sekejap sahaja, tentu nikmat itu akan berkurangan. Macam kita duduk hotel yang mahal dan selesa, tetapi kita tahu kita tidak akan duduk lama di situ, untuk beberapa hari sahaja.
Maka kalau kita tahu kita tidak lama, tentu akan mengurangkan kesenangan hati di dalam hotel itu. Maka kepada ahli syurga, mereka diberitahu yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Maka ini menambah kenikmatan dalam syurga itu. Hati mereka akan terus jadi tenang.
جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ
sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.
Allah ﷻ memberitahu mereka akan dibalas dengan syurga atas amalan kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia. Ini adalah balasan dari rahmat dari Allah ﷻ. Namun, bukankah kita pernah mendengar: kita tidak masuk syurga dengan amalan kita? Bagaimana pula hendak difahamkan dengan ayat sebegini?
Kita tidak boleh mengatakan bahawa amalan kita layak untuk memasukkan ke dalam syurga kerana amalan kita itu, kerana kalau dikira-kira, tidaklah melayakkan kita masuk ke dalam syurga kerana amalan kita itu tidaklah bernilai sama dengan syurga yang amat hebat itu. Bayangkan kita beberapa tahun sahaja buat amal kebaikan tetapi akan tinggal di syurga selama-lamanya.
Jadi kita tidak masuk syurga kerana amalan kita, tetapi kerana pemberian rahmat dari Allah ﷻ. Ini mafhum dari hadis-hadis yang ada.
Namun, Allah ﷻ sebagai tuan punya syurga, dan juga tuan kita, Dia boleh berikan ketetapan atau syarat untuk memasukkan kita ke dalam syurga. Kalau Dia kata dengan amal kita semasa di dunia itu membolehkan kita dimasukkan ke dalam syurga, itu adalah hak Dia untuk berkata begitu, kerana Dia yang tetapkan syarat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 26 Mei 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani