Hadis Arbain #34: Mengubah Kemungkaran
عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُوْلُ: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ
Dari Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Barangsiapa dari kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka ingkarilah dengan hatinya, dan itu merupakan selemah-lemahnya iman.”
[Sahih Muslim, no. 49]
Siapakah أَبِي سَعِيْدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ kita telah sentuh di dalam Hadis #32 sebelum ini.
Hadis ini Imam Nawawi ambil dari kita Sahih Muslim. Satu perkara unik yang perlu diketahui tentang Sahih Muslim ialah Imam Muslim sendiri sebenarnya tidak meletakkan tajuk bab (tarajum) bagi hadis-hadis dalam kitabnya. Beliau hanya menyusun hadis mengikut topik secara bersiri tanpa pemisah tajuk yang jelas. Beliau hanya berikan tajuk kitab sahaja. Contohnya Imam Muslim letak tajuk besar seperti ‘Kitab Iman’ dan tidak ada tajuk kecil-kecil.
Ini berbeza dengan Sahih Bukhari kerana tajuk di dalam Sahih Bukhari itu diletakkan sendiri oleh Imam Bukhari. Jadi Imam Muslim tidak meletakkan tajuk bab, kemudian Imam al-Nawawi, melalui kitab syarahnya yang agung iaitu Al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, telah mengambil inisiatif untuk meletakkan tajuk-tajuk bab tersebut bagi memudahkan pembaca memahami fiqh (kefahaman hukum) di sebalik hadis tersebut.
Berikut adalah penerangan ringkas mengenai metodologi Imam al-Nawawi dalam meletakkan tajuk tersebut:
1. Menyingkap Rahsia Hukum (Istinbat)
Imam al-Nawawi meletakkan tajuk bukan sekadar label, tetapi sebagai rumusan hukum. Beliau meneliti rangkaian hadis dalam satu kelompok, kemudian membina tajuk yang menunjukkan kesimpulan hukum daripada hadis-hadis tersebut.
• Contoh: Jika hadis menceritakan tentang cara Nabi SAW berwuduk, al-Nawawi akan meletakkan tajuk seperti “Bab Wajibnya Membasuh Anggota Wuduk dengan Sempurna”.
2. Tajuk yang Panjang dan Terperinci
Berbeza dengan Imam al-Bukhari yang kadangkala meletakkan tajuk yang ringkas atau dalam bentuk soalan, Imam al-Nawawi cenderung memberikan tajuk yang jelas dan deskriptif. Beliau mahu pembaca terus faham apa isu utama yang dibincangkan dalam bab tersebut tanpa perlu berteka-teki.
3. Mengikut Aliran Mazhab Syafi’i
Memandangkan Imam al-Nawawi merupakan tokoh besar dalam mazhab Syafi’i, tajuk-tajuk yang beliau letakkan sering kali mencerminkan pandangan hukum dalam mazhab Syafi’i. Walau bagaimanapun, beliau tetap bersikap objektif dan amanah dalam menghuraikan perbezaan pendapat ulama’ lain dalam ulasannya.
4. Menjadi Standard Dunia
Walaupun terdapat ulama’ lain yang cuba meletakkan tajuk bagi Sahih Muslim (seperti Imam al-Qurtubi atau al-Maziri), tajuk yang disusun oleh Imam al-Nawawi adalah yang paling popular dan diterima pakai dalam hampir semua naskhah cetakan Sahih Muslim di seluruh dunia sehingga hari ini. Inilah khidmat yang telah dilakukan oleh Al-Nawawi rahimahullah ta’ala. Jadi bila kita kitab Sahih Muslim, kita tahulah yang tajuk-tajuk itu semua diletakkan oleh Imam Nawawi dan semoga Allah memberkati beliau.
Istinbat dari Hadis
Hadis yang kita sedang pelajari ini Al-Imam Al-Nawawi meletakkan hadis ini di dalam tajuk Bab Menjelaskan Bahawa Mencegah yang Mungkar itu Termasuk Daripada Iman. Jadi ia adalah topik yang besar kerana melibatkan iman. Dan kemudian Imam Nawawi tambah lagi tajuk itu dengan: Iman Itu Boleh Bertambah dan Berkurang. Jadi tajuknya menjadi begini:
بَابُ بَيَانِ كَوْنِ النَّهْيِ عَنِ الْمُنْكَرِ مِنَ الإِيمَانِ وَأَنَّ الإِيمَانَ يَزِيدُ وَيَنْقُصُ
“Bab Penjelasan bahawa Mencegah Kemungkaran adalah sebahagian daripada Iman, dan bahawa Iman itu Boleh Bertambah dan Berkurang.”
Dari tajuk yang Imam Nawawi letakkan ini kita boleh nampak yang istinbat hukum yang dikeluarkan dari hadis ini ada 3:
1. Amar ma’ruf dan nahi munkar itu adalah wajib. Macam mana kita tahu bahawa mencegah munkar tu wajib? Kerana dalam hadis ini Nabi Muhammad sebut: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ (Barangsiapa dari kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah). Kata Rasulullah itu di dalam bentuk perintah dan dalam kaedah syarak, sesuatu perintah itu hukumnya wajib. Selagi tidak ada dalil yang menunjukkan sebaliknya. Kerana perintah dari Nabi boleh juga jadi sunat, bukan wajib. Contohnya ada yang Nabi perintahkan tapi Nabi berhenti atau ada tinggalkan. Itu dalil bahawa benda itu adalah sunat, bukan wajib. Jadi kalau Nabi perintahkan dan tak ada pula dalil lain yang menunjukkan bahawa Nabi meninggalkan perbuatan mencegah kemungkaran, itu menunjukkan bahawa mencegah kemungkaran itu wajib.
Walau bagaimanapun, beliau memperincikan status kewajipannya:
• Fardu Kifayah: Secara umumnya, jika sudah ada sekumpulan orang yang melaksanakannya, maka gugur kewajipan atas orang lain.
• Fardu Ain: Ia boleh menjadi wajib ke atas individu tertentu jika:
• Hanya dia sahaja yang melihat kemungkaran tersebut.
• Hanya dia sahaja yang mempunyai kemampuan untuk mengubahnya (seperti pihak berkuasa atau ketua keluarga)
2. Dan iman itu bertambah dan berkurang. Bagaimana kita tahu? Sebab Nabi sebut dalam hadis ini, فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ (Jika tidak mampu, maka ingkarilah dengan hatinya, dan itu merupakan selemah-lemahnya iman). Maksudnya ada orang yang mampu menegur dengan tangannya. Itu adalah tanda imannya lebih tinggi iman daripada orang yang menegur dengan lisannya. Dan orang yang menegur dengan lisannya lebih tinggi imannya daripada orang yang menegur dengan hatinya.
Dan begitu juga lawannya, atau sebaliknya. Iaitu orang yang membenci dengan hatinya, lebih rendah imannya daripada orang yang menegur dengan lisan. Orang yang menegur dengan lisan, lebih rendah imannya daripada orang yang menegur dengan kuasanya, dengan tangannya.
3. Kewajipan Mengingkari mengikut Hierarki Kemampuan. Perkataan “Mencegah Kemungkaran” dalam tajuk tersebut dikaitkan dengan hadis tentang tiga tingkatan (tangan, lisan, dan hati). Imam al-Nawawi mengeluarkan hukum bahawa:
• Wajib bagi setiap Muslim untuk tidak redha dengan kemungkaran.
• Jika tidak mampu mengubah dengan tangan (kuasa), hukumnya beralih kepada lisan. Jika masih tidak mampu, hukumnya wajib membenci di dalam hati.
• Kegagalan mengingkari sekurang-kurangnya dengan hati menunjukkan ketiadaan kesan iman dalam situasi tersebut.
Hukum mencegah kemungkaran tertakluk kepada kemampuan pelaku. Imam al-Nawawi menjelaskan pembahagian tiga tahap tersebut:
• Tangan: Untuk mereka yang mempunyai kuasa (pemerintah atau ketua).
• Lisan: Untuk mereka yang mempunyai ilmu dan lisan yang didengar (ulama’ atau penasihat).
• Hati: Wajib bagi setiap individu tanpa pengecualian. Membenci maksiat dalam hati adalah had minimum iman. Jika hati tidak membenci maksiat, maka hilangkanlah cahaya iman di situ.
Latar belakang Hadis
Bilakah hadis ini sahabat keluarkan? Hadis ini sangat menarik kerana ia melibatkan satu peristiwa besar dalam sejarah Islam, iaitu perubahan tradisi solat Hari Raya oleh seorang pemerintah. Ketika peristiwa itulah hadis ini keluar. Hadis ini diriwayatkan oleh Tariq bin Shihab. Beliau menceritakan bahawa orang pertama yang memulakan khutbah sebelum solat Hari Raya ialah Marwan bin al-Hakam (Gabenor Madinah pada zaman Bani Umayyah). Mengikut sunnah Nabi ﷺ dan amalan Khulafa al-Rasyidin, solat Hari Raya mestilah dilakukan dahulu, barulah diikuti dengan khutbah. Namun, Marwan menukarnya (khutbah dahulu baru solat) kerana beliau dapati orang ramai sering terus pulang selepas solat dan tidak mahu mendengar khutbahnya.
Apabila Marwan mahu naik ke atas mimbar sebelum solat bermula, seorang lelaki berdiri dan menegurnya dengan berkata: “Solat itu (sepatutnya) sebelum khutbah!” Marwan menjawab: “Sesungguhnya amalan itu telah ditinggalkan (tidak diamalkan lagi).”
Melihat kejadian itu, sahabat Nabi yang mulia, Abu Sa’id al-Khudri RA, terus memberikan sokongan kepada lelaki yang menegur tadi. Abu Sa’id berkata: “Adapun lelaki ini, dia telah menunaikan kewajipannya (menegur kemungkaran).” Kemudian, Abu Sa’id al-Khudri pun meriwayatkan hadis yang beliau dengar sendiri daripada Rasulullah ﷺ: “Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya…” (sehingga akhir hadis).
Mengapa kisah ini penting?
- Peringatan kepada Pemerintah: Hadis ini muncul dalam konteks menegur tindakan pemerintah yang mengubah sunnah Nabi ﷺ.
- Keberanian Berhujah: Ia menunjukkan bahawa menegur kesalahan orang yang berkuasa mestilah dilakukan dengan cara yang betul (lisan/kata-kata) bagi mereka yang tidak mempunyai kuasa “tangan” untuk menghalang pemerintah.
- Kesinambungan Iman: Abu Sa’id menggunakan hadis ini untuk mengesahkan bahawa tindakan lelaki yang menegur tadi adalah sebahagian daripada tuntutan iman.
Realiti Semasa
Di dalam alam ini ada ahli haq, ada ahli mungkar. Ada penyokong kebenaran, ada pembuat kemungkaran. Walaupun macam mana kita buat pun, akan ada sahaja golongan yang dihasut oleh syaitan untuk melakukan kemungkaran. Hatta di kalangan pengikut para Nabi, ada yang melihat para Nabi dengan mata kepala mereka, tetap ada yang menyanggahi para Nabi. Maka apatah lagi umat selepas ketiadaan para Nabi macam kita sekarang yang jauh dari Nabi. Dan Allah menjadikan kehidupan ini ada sahaja golongan sebegitu supaya kita dapat membuktikan kita ini setia dengan kebenaran ataupun kita memilih kemungkaran. Ini juga peluang kita buat pahala kerana ramai orang akan buat mungkar, jadi Allah memberi pahala kepada mereka yang menegur kemungkaran dan mengajar ke arah kebaikan.
Kita mungkin fikir, kenapalah ramai sangat orang tak mahu ikut kebenaran. Kalau Allah mahu, boleh sahaja Allah memberi petunjuk kepada manusia semua sekali. Allah bukan tidak mampu jadikan semua manusia seperti para malaikat yang tak buat dosa langsung. Tapi Allah telah takdirkan manusia itu macam-macam jenis. Maka akan ada orang yang diberi tanggungjawab untuk membetulkan yang salah. Bagi kita, kena ukur diri kita ini hendak duduk di mana. Adakah kita hendak jadi orang baik, atau orang buat mungkar?
Dan bukan itu sahaja, ada jenis yang berani buat teguran dan ada yang pakat tengok sahaja. Jenis yang kisah dengan manusia lain, lantaklah orang buat apa, janji aku boleh makan, aku boleh pergi kerja. Ataupun kita ini orang yang Allah campakkan dalam hati kita dan jiwa kita, tak boleh tengok orang buat mungkar. Kita rasa kita kena tegur kerana ada kewajipan yang Allah telah galangkan atas bahu kita. Walaupun kita tahu ada risiko, walaupun kita tahu orang akan marah, walaupun kita tahu kita akan kena masalah, tapi kita teruskan juga, beranikan juga hati dan mulut kita. Kalau kita ada perasaan sebegini, maknanya ada rahmat yang Allah telah limpahkan kepada kita. Dia pilih dari ramai-ramai orang, Dia campak dalam diri kita supaya kita menjadi orang-orang yang menyokong pada jalan yang benar.
Dan ini bagi orang yang tahu dia ada tanggungjawab untuk menjalankan tugas ini. Dia tidak jadikan alasan ‘aku tak mahu jaga tepi kain orang’. Apa orang lain buat, bukan masalah aku, itu masalah mereka. Lagi pun kubur lain-lain!” Ini adalah fahaman yang tersasar jauh dari kebenaran. Yang sepatutnya dilakukan, adalah dengan berusaha seboleh mungkin untuk menegakkan kebenaran. Dia akan usaha dengan sedayanya. Kalau dia tidak dapat ubah, dia akan tegur. Kalau tak dapat cakap, dia mungkin tegur dengan dia hantar e-mail, dia hantar surat. Ini dilakukan kerana dia sensitif dengan benda ini. Bukan kerana orang bayar gaji kepada dia untuk buat benda itu. Bukan kerana dia nak menunjuk-nunjuk kepada orang yang dia hebat kerana lebih pandai, lebih baik dari orang yang ditegur itu. Tapi kerana Allah telah menjadikan dia berdiri bersama dengan ahli-ahli kebenaran. Maka, kita kena duduk dan renung pada diri kita. Allah boleh pilih kita duduk di mana-mana. Dan pilihan Allah itu berkaitan dengan sikap dan diri kita sendiri. Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya. Dunia ini, dijadikan dunia ini tempat percubaan dan banyak ujian Allah jadikan kepada kita.
Antara ujian yang Allah berikan kepada kita adalah kemungkaran yang berlaku di hadapan kita. Ujiannya adakah kita tegur atau tidak? Kalau kita hendak senang, kita buat tidak tahu sahajalah, bukan? Akan tetapi salah satu dari kewajipan agama ini adalah menegur manusia, sama ada mengajak mereka ke arah kebaikan, atau menegur mereka apabila melakukan kemungkaran. Kita boleh lihat pesan Luqman kepada anaknya di dalam Luqman:17
يٰبُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَوٰةَ وَأمُر بِالمَعروفِ وَانهَ عَنِ المُنكَرِ وَاصبِر عَلىٰ ما أَصابَكَ ۖ إِنَّ ذٰلِكَ مِن عَزمِ الأُمورِ
Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).
Lihatlah nasihat Luqman kepada anaknya. Selepas sebut tentang solat yang paling penting, terus beliau sebut tentang amar ma’ruf nahi munkar. Maknanya melakukan amar ma’ruf nahi munkar itu juga penting. Tak berpada dengan salat sahaja dan rasa sudah cukup kita sebagai umat Islam. Islam bukan agama kerahiban. Rahib itu duduk seorang diri beramal sahaja, tidak campur dengan manusia yang lain. Tidak boleh seseorang dikira beragama kalau setakat dia duduk berzikir di masjid sahaja, kemudian tidak peduli dengan apa yang terjadi di dunia ini. Kita sudah lihat titah Tuhan kepada kita untuk mencampurkan diri dengan manusia lain dan menegur mereka. Seorang Muslim disuruh untuk berperanan membaiki alam ini. Makan kita kena berusaha untuk membaiki keadaan sekeliling kita.
Dalam kitab Syarah Sahih Muslim, Imam al-Nawawi telah menyatakan satu keluhan atau “realiti pahit” mengenai amalan Amar Makruf Nahi Munkar pada zaman beliau sendiri (abad ke-7 Hijriah). Beliau menyebut bahawa amalan ini telah banyak ditinggalkan atau semakin berkurangan dalam masyarakat. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa orang ramai mula mengabaikan kewajipan ini disebabkan oleh beberapa faktor:
-
- Sifat Tamak (Ad-Dunya): Ramai yang lebih mementingkan kedudukan, harta, dan menjaga hubungan peribadi demi kepentingan duniawi.
- Sifat Takut: Takut hilang pengaruh atau takut disakiti oleh orang yang ditegur.
- Sikap “Bukan Urusan Saya”: Ramai yang merasa memadai dengan amal ibadat sendiri tanpa peduli tentang kerosakan yang berlaku di sekeliling.
Beliau memberi amaran keras bahawa apabila amar makruf nahi munkar ini semakin berkurangan dan ditinggalkan, ia akan membawa kepada:
-
- Bencana yang Menyeluruh: Sebagaimana pesanan hadis, apabila maksiat dilakukan secara terang-terangan dan tidak dicegah, Allah akan menurunkan azab yang mengenai semua orang, termasuk orang-orang yang soleh di dalamnya.
- Hilangnya Keberkatan: Masyarakat akan kehilangan “tali pengikat” akhlak yang menjaga keharmonian.
Meskipun beliau mengakui amalan ini sudah berkurangan, Imam al-Nawawi menegaskan: “Sesungguhnya hilangnya (pengabaian) orang ramai terhadap amalan ini tidak menggugurkan kewajipan ke atas individu yang mampu.” Beliau berpesan supaya kita tidak terikut-ikut dengan trend masyarakat yang bersifat “lepas tangan”. Walaupun hanya tinggal kita seorang sahaja yang menegur (dengan cara yang hikmah), kewajipan itu tetap ada mengikut kemampuan.
Ini amat menyedihkan. Jika pada zaman Imam al-Nawawi (sekitar 700-800 tahun dahulu) beliau sudah merasakan amalan ini semakin berkurangan, apatah lagi pada zaman moden hari ini yang penuh dengan cabaran digital dan sifat individualistik. Bagi Imam al-Nawawi, kunci utama untuk membangkitkan semula amalan ini adalah dengan Ilmu dan Keikhlasan, supaya teguran itu membina dan bukannya memusnahkan.
Jadi begitulah zaman ini sudah jadi mengarut. Hendak menegur pun sudah tidak boleh. Zaman ini kita sudah lihat guru tak boleh lagi boleh menegur anak murid kerana sudah jadi bahaya kerana ibubapa sekarang bongok-bongok. Anak mereka haprak tapi bila ditegur oleh guru (kerana itulah tugas guru), mereka datang ke sekolah dan maki balik guru itu. Atau pun guru itu kena SISPAA. Jadi guru pun mula tidak menegur pelajar kerana takut kena saman, takut nanti susah pula hendak melayan ibubapa gila yang datang ke sekolah. Padahal zaman dahulu ibubapa memang suruh guru mendisiplinkan anak mereka. Dan kalau anak murid kena rotan di sekolah, dia pun tak berani nak beritahu kepada ibubapa dia kerana kalau dia beritahu, ayah dia akan tambah dengan rotan dia lagi! Maka kerana itu orang-orang kita dahulu ada disiplin dan ada otak dan tidak lembik.
Sekarang mulalah datang teori-teori yang pelik yang kata tak boleh tegur anak murid nanti anak murid stress. Tak boleh tegur pelajar, tak boleh marah nanti ada gangguan mental anak murid tersebut, katanya. Ini bukanlah cara yang bagus untuk mengajar kerana sebagai pelajar dan anak-anak, mereka memerlukan sedikit kekerasan untuk membentuk mereka menjadi orang yang betul. Bahkan kalau kita dengar syair-syair ulama’ dahulu mereka ada menyebut tentang hal ini:
فَقَسَا لِيَزْدَجِرُوا
وَمَنْ يَكُ حَازِمًا
فَلْيَقْسُ أَحْيَانًا عَلَى مَنْ يَرْحَمُ
“Maka dia bersikap keras (tegas) agar mereka berhenti (daripada kesalahan),
Sesiapa yang benar-benar ingin menjadi pendidik yang bijaksana,
Maka adakalanya dia harus berkasar (tegas) terhadap orang yang disayanginya.”
Kepentingan Amar Ma’ruf Nahi Munkar
Sesungguhnya bab amar ma’ruf nahi munkar ini sangat besar. Kerana sesungguhnya tertegaknya agama ini dan yang menjaga agama ini adalah sifat amar makruf nahi munkar. Kalau kita tidak menjalankan amar ma’ruf nahi munkar ini, kita sendiri boleh dikenakan dengan azab, walaupun kita melakukan dosa. Allah berfirman tentang hal ini di dalam Ali Imran:164-165
لَقَدۡ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذۡ بَعَثَ فِيہِمۡ رَسُولاً۬ مِّنۡ أَنفُسِهِمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَڪِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِڪۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ (١٦٤) أَوَلَمَّآ أَصَـٰبَتۡكُم مُّصِيبَةٌ۬ قَدۡ أَصَبۡتُم مِّثۡلَيۡہَا قُلۡتُمۡ أَنَّىٰ هَـٰذَاۖ قُلۡ هُوَ مِنۡ عِندِ أَنفُسِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ (١٦٥)
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (164) (Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: Dari mana datangnya (kemalangan) ini? Katakanlah (wahai Muhammad): (Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (165)
Maka kena jalankan kerja amar ma’ruf nahi munkar ini. Inilah kerja kita sebagai umat Islam dan kerana inilah kita menjadi umat yang terbaik, bukan? Umat Islam jadi umat yang terbaik bukan sebab kerana darah umat Islam atau kerana semata-mata kerana kita ni umat yang terakhir. Bukan sebab itu tapi kerana Allah Ta’ala sudah sebut dalam Ali Imran:110 kerana kita menjalankan amar ma’ruf nahi munkar. Kalau kita tidak jalankan, maka jangan perasanlah yang kita umat terbaik.
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)
Definisi Amar Ma’ruf Nahi Munkar
Apakah maksud Ma’ruf? Ma’ruf ini adalah apa yang diiktiraf oleh syarat sebagai baik. Jadi ma’ruf ni bukan sekadar baik sahaja. Ia kena diiktiraf dari segi syarak. Bukanlah sekadar baik pada badan saya, bukan baik pada badan kamu, pada fikiran manusia sahaja. Kena ada pemahaman ini kerana sekarang kita lihat banyak yang salah faham. Benda bid’ah pun ramai kata baik kerana mereka menilai ikut otak dan nafsu sendiri. Ramai yang jahil, maka penilaian apa yang baik itu tidak semestinya baik. Kepala dia memang nampak baik, tapi sebenarnya syarak tidak menganggap ia baik pun.
Munkar itu maksudnya melakukan perkara yang engkar. Engkar itu maksudnya apa yang syarak menolaknya sebagai benda baik dan menganggapnya sebagai benda yang jahat, buruk. Jadi bukanlah perkara yang munkar itu andaian kepala otak kita, tapi kena ikut syarak. Sebagai contoh kita membenci arak dan orang yang meminumnya kerana arak itu dilarang dan diharamkan oleh orang. Kita tidak boleh pandang baik perkara itu. Ada orang marah apabila kita benci orang minum arak kerana pada mereka, itu adalah hak mereka. Tapi mereka melanggar hak Allah menetapkan hukum, jadi tidak akan kita redha dengan apa yang mereka lakukan. Jadi kebencian kepada arak itu adalah ma’ruf dan hilang rasa benci kepada arak itu maksudnya benda yang mungkar.
Bukannya apa yang kamu rasa baik, apa yang kamu rasa jahat. Jadi kena berhati-hati dalam hal ini, jangan perasan kita boleh buat hukum sendiri. Imam Ibn Hajar al-Asqalani menyentuh isu ini dalam kitab agungnya, Fathul Bari, semasa beliau membincangkan tentang bahaya golongan yang mendahulukan akal atau perasaan (kasyaf yang menyimpang) mengatasi syariat. Beliau berkata:
“مَنِ ادَّعَى أَنَّهُ يَعْرِفُ الْخَيْرَ وَالشَّرَّ بِغَيْرِ طَرِيْقِ الشَّرْعِ، فَقَدْ زَنَدَقَ وَكَفَرَ بِاللَّهِ”
“Barangsiapa yang mendakwa bahawa dia dapat mengetahui (hakikat) baik dan buruk tanpa melalui jalan syarak, maka sesungguhnya dia telah menjadi zindiq dan telah kufur kepada Allah.”
Istilah Zindiq merujuk kepada seseorang yang berpura-pura beriman tetapi menyembunyikan kekufuran, atau seseorang yang tafsirannya terhadap agama merosakkan asas syariat. Dalam konteks ini, jika seseorang merasa dia tidak lagi perlukan Al-Qur’an dan Hadis (Syarak) untuk menentukan apa yang halal/haram atau benar/salah kerana kononnya sudah mendapat “ilham” atau “hakikat” sendiri, maka dia telah keluar daripada landasan Islam.
Kenyataan ini selari dengan kaedah usul: “Tiada hukum sebelum datangnya syarak” (لا حكم قبل ورود الشرع). Seseorang yang menafikan autoriti syarak dalam menentukan nilai moral dan hukum dianggap telah menafikan fungsi kenabian Rasulullah ﷺ.
Siapa yang boleh melakukan Amar Ma’ruf Nahi Munkar?
Jadi kita sudah tahu kita kena melakukan amar ma’ruf nahi munkar. Tapi siapa yang boleh melakukan tugas ini? Adakah semua orang? Untuk menjawab soalan ini, kita kena tahu dasar untuk melakukan tugas yang besar ini. Dasarnya ialah ilmu. Ia mesti datang dengan ilmu yang jelas. Memang menjadi tuntutan kepada semua manusia untuk melakukan amar ma’ruf nahi munkar jangan pula dia pergi mengajak orang tapi dia sendiri tak mengaji pula. Ini bukan kita hendak melarang, tapi kita hendak mengajak semua belajarlah agama ini. Sementara tak tahu lagi, janganlah memandai cakap perkara yang kita tak tahu.
Agama Islam ini adalah agama dalil. Maka kerana itu kena ada ilmu wahyu sebelum mengajak orang melakukan perkara yang ma’ruf. Apakah dalilnya? Allah berfirman di dalam Yusuf:108
قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِىۖ
Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata
Di dalam ayat ini, Allah menyebut عَلَىٰ بَصِيرَةٍ (dengan hujah yang nyata). Apakah maksudnya? Dalam Tafsir al-Qurtubi (al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an), Imam al-Qurtubi memberikan huraian yang sangat mendalam mengenai kalimah عَلَىٰ بَصِيرَةٍ (di atas basirah) ini. Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa basirah dalam ayat ini bermaksud:
-
- Yaqin (Keyakinan): Bukan sekadar ikut-ikutan (taklid), tetapi dakwah yang dibina di atas keyakinan yang bulat.
- Al-Ma’rifah (Pengetahuan): Pengetahuan yang membezakan antara yang hak dan yang batil.
Beliau memetik bahawa basirah bagi hati adalah ibarat basar (penglihatan) bagi mata. Jika mata melihat objek zahir, basirah melihat hakikat kebenaran. Menurut al-Qurtubi, kalimah ini menjadi dalil bahawa setiap penyeru (pendakwah) mestilah mempunyai:
-
- Hujah dan Burhan: Mempunyai dalil yang kuat (Al-Qur’an dan Sunnah) serta hujah akal yang sihat.
- Kejelasan Matlamat: Dia tahu apa yang diserunya, kepada siapa dia menyeru, dan bagaimana cara menyerunya.
Al-Qurtubi menekankan perkataan أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي (aku dan orang-orang yang mengikutiku). Beliau menjelaskan bahawa sesiapa yang mengaku menjadi pengikut Nabi ﷺ, maka dia juga wajib berdakwah di atas landasan basirah. Ini menunjukkan bahawa pengikut Nabi bukanlah orang yang jahil, tetapi orang yang berilmu tentang agama mereka. Oleh itu mencegah kemungkaran tidak boleh dilakukan secara membuta tuli. Ia mesti dilakukan عَلَىٰ بَصِيرَةٍ—iaitu tahu hukumnya, tahu situasinya, dan tahu kesannya. Imam al-Qurtubi seolah-olah ingin berpesan: “Janganlah kamu menyeru kepada Allah dalam keadaan kamu sendiri raba-raba (jahil) tentang apa yang kamu sampaikan.”
Dalam Tafsir al-Tabari (Jami’ al-Bayan), Imam al-Tabari memberikan penekanan yang sedikit berbeza namun melengkapkan huraian Imam al-Qurtubi. Sebagai seorang tokoh Mufassirin yang awal, beliau lebih cenderung menghuraikan makna kalimah berdasarkan penggunaan bahasa Arab dan riwayat salaf. Imam al-Tabari menyatakan bahawa basirah bermaksud Rasulullah ﷺ dan para pengikutnya berada di atas keyakinan yang teguh terhadap apa yang mereka serukan. Beliau menjelaskan bahawa seorang pendakwah bukan sekadar membawa maklumat, tetapi membawa ilmu yang telah meresap ke dalam hati sehingga menjadi satu penglihatan batin yang jelas.
Salah satu huraian menarik al-Tabari adalah pembahagian susunan ayat tersebut. Beliau membincangkan kedudukan perkataan أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي (Aku dan orang yang mengikutiku). Kesimpulan al-Tabari: Ini bermaksud setiap orang yang benar-benar mengikuti jejak langkah Nabi ﷺ, maka dia mewarisi hujah dan keterangan yang jelas. Mereka tidak berdakwah dalam keadaan ragu-ragu.
Jadi kita sudah tahu melakukan amar ma’ruf nahi munkar itu wajib. Dan kadar wajibnya ikut dengan kadar kemampuan seseorang itu. Kalau dia tengok satu mungkar itu berlaku dan dia seorang bapa, dia suami, maka kadar dia tak samalah dengan orang luar. Kerana dia ada kuasa untuk menghalang. Janganlah jadi bapa dan suami yang lembik pula. Begitu juga kalau dia itu seorang pemerintah, dia mungkin sebagai penguasa di tempat kerja, maka kadar dia tak sama dengan orang biasa yang tidak ada apa-apa jawatan. Setiap orang yang ada kekuatan, dia orang berilmu, dia orang ada hujah, kedudukan dia tak sama dengan orang-orang biasa yang barangkali kurang ilmu, kurang hujah untuk bercakap.
Tapi kita kena buat apa yang kita mampu dan kita sahaja boleh nilai kemampuan kita itu. Sebagai contoh kalau kita lihat orang minum arak di hadapan kita, dan orang itu anak kita ataupun kita adalah penguasa, dan kita boleh tahan dia dengan kekuatan, maka kita kena tahan dia dengan kekuatan. Kalau kita setakat kata, “Tak usah minumlah, tak baiklah,” ertinya kita tak memenuhi tuntutan kewajipan ke atas diri kita. Kerana kita memang mampu. Tapi kalau kita tahu kita tak mampu dengan kekuatan, maka kita tukar teguran kita dengan lisan; sebagai contoh kita cakaplah sepatah kepada dia bahawasanya arak adalah haram bagi seorang Muslim untuk meminumnya. Kalau kita tak kata, buat senyap dan buat bodoh sahaja, maka kita berdosa.
Tapi kita tak mampu, mungkin yang buat mungkar itu seorang yang sangat berkuasa, sangat kuat dan sangat zalim, sampaikan kalau kita tegur dia, dia akan bertindak kepada kita, maka ketika barulah kita kena benci dengan hati kita. Tanda benci tentulah kita tak duduk sekali, duduk senyum dengan dia siap tanya dia, “Amacam, sedap rasa todi tu?” Kita tak bolehnya tanya macam itu seorang-orang kita senang dan redha dengan dosa yang dia sedang lakukan. Kita mesti lakukan sesuatu, sama ada kita meninggalkan majlis itu ataupun kita menimbulkan satu riak wajah dan perasaan yang menunjukkan kita tidak suka dengan benda itu. Jika hal itu tidak berlaku, maka kita berdosa. Takkan dengan jantung hati pun tak mampu?
Kadang-kadang kita tengok mungkar yang dilakukan oleh manusia adalah penipuan. Satu kawan kita tipu satu orang, dan dia kebetulan kawan baik kita. Maka kita tahu dia pernah tipu orang. Dan dia berniaga jual ikan umpamanya, dan kita tahu ikan yang dia jual itu ikan lama. Katakanlah seorang pelanggan datang beli dan dia tanya, “Cik, ini ikan barukah? ” Dan kawan kita itu dengan selamba menjawab: “Oh, ini ikan baru.” Ketika itu kita duduk sebelah dan kita tahu itu memang ikan lama. Ikan itu pun tak sanggup dirinya dijual. Apakah tindakan kita ketika itu? Kalau kita diam dan tidak berkata apa-apa, kita berdosa. Yang kita perlu lakukan ketika itu adalah sama ada kita cegah dia, ataupun kita beritahu kepada orang yang nak beli, “Cik, sebenarnya ikan ini tak baru.”
Begitulah antara penipuan yang banyak dilakukan adalah peniaga. Rasulullah telah menunjukkan apa yang peniaga perlu lakukan, dan baginda menunjukkan contoh bagaimana kena tegur para peniaga.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ مَرَّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا، فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ: مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ؟ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَى النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ lalu berdekatan selonggok makanan (bijirin/gandum) yang dijual, lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan tersebut. Kemudian jari-jemari Baginda terasa basah (lembab). Baginda bertanya: “Apa semua ini wahai penjual makanan?” Penjual itu menjawab: “Ia terkena air hujan, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di bahagian atas supaya orang ramai dapat melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.”
Sahih Muslim, No. Hadis 102 (Kitab Al-Iman).
Maka kewajipan menegur itu boleh jatuh kepada semua orang yang layak dan berkemampuan. Maka Tok Lebai, ustaz, syeikh, mufti-mufti, tak boleh hanya kira buah tasbih di masjid sahaja. Tak boleh hanya mengajar anak murid dia sahaja. Dia kena masuk campur apa yang berlaku di kalangan umat dan dia mesti membela umat. Dia mesti membela umat yang memerlukan ilmu dan bimbingan. Jadi mufti jangan hanya menghadkan dirinya menegur hal agama sahaja tapi apa sahaja perkara yang dia mampu tegur. Jadi masyarakat jangan jadi bingai sangat, marah kalau mufti menegur hal politik contohnya. Memang mufti itu melakukan tugas dia.
Cara Melakukan Amar Ma’ruf Nahi Munkar
Jadi untuk mengajak manusia kepada yang ma’ruf, nak cegah yang mungkar, kita kena tahu apa yang syarat iktiraf sebagai yang ma’ruf. Maksudnya, kena ada ilmu. Dan untuk mencegah yang mungkar, kena tahu bahawa benda yang sedang dilakukan oleh manusia memang sesuatu yang mungkar. Imam Ibn Taimiyyah merupakan antara ulama’ yang paling tegas dan terperinci dalam membicarakan soal manhaj (kaedah) Amar Ma’ruf Nahi Munkar. Beliau menekankan bahawa niat yang baik sahaja tidak memadai; ia mestilah disertakan dengan ilmu dan cara yang betul. Dalam karyanya yang masyhur, al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Munkar, beliau menggariskan tiga syarat utama bagi sesiapa yang ingin melaksanakan tugas ini. Beliau merumuskannya dalam satu kaedah yang sangat terkenal:
“Mesti ada ilmu sebelum melakukan (tindakan), lemah-lembut semasa melakukan, dan sabar selepas melakukan.”
1. Ilmu (العِلْم) — Sebelum Bertindak. Seseorang itu mesti mempunyai ilmu tentang dua perkara:
Pertamanya, dia sendiri nampak kemungkaran itu berlaku di hadapannya. Bukannya dia agak-agak atau dengar cakap orang sahaja.
Kemudian dia kena ada ilmu tentang Syarak: Dia mesti tahu dengan pasti bahawa perkara yang disuruh itu memang “Ma’ruf” (dituntut agama) dan perkara yang dilarang itu memang “Mungkar” (haram). Jangan sampai kita melarang sesuatu yang sebenarnya dibolehkan oleh agama kerana kejahilan kita.
Termasuk juga jangan kita menghentam orang dalam perkara yang ada khilaf muktabar. Iaitu ada pendapat yang mengatakan boleh buat sesuatu perkara itu. Kita boleh nasihatkan dia tentang manakah pendapat yang lebih kuat, tapi setakat itu sahaja. Contohnya angkat takbir di dalam solat jenazah. Ini adalah termasuk khilaf muktabar. Kena tahu yang ada kaedah لا إنكار في مسائل الاجتهاد (Tidak ada pengingkaran (secara keras) dalam masalah-masalah ijtihad). Ini adalah salah satu kaedah terpenting dalam fiqh dan dakwah untuk menjaga perpaduan umat. Ia sangat berkait rapat dengan syarat ilmu dan lemah-lembut di dalam amar ma’raf nahi munkar.
Masalah ijtihad merujuk kepada perkara-perkara agama yang:
Tiada dalil putus (Qath’i): Tidak ada ayat Al-Qur’an atau Hadis yang memberikan hukum secara hitam-putih dan tunggal.
Boleh ditafsir pelbagai: Dalilnya bersifat Zanni (boleh difahami dengan pelbagai makna), menyebabkan para mujtahid (ulama besar) berbeza pendapat.
Contoh: Cara meletakkan tangan dalam solat, bacaan basmalah (kuat atau perlahan), atau perkara-perkara baru yang tiada dalam zaman Nabi (seperti hukum pelaburan tertentu).
“Tidak ada pengingkaran” bukan bermaksud kita tidak boleh berbincang, tetapi bermaksud kita tidak boleh memaksa orang lain mengikut pendapat mazhab kita dan menganggap pendapat mereka salah sepenuhnya. Kita tidak boleh melabel orang yang berbeza pendapat sebagai “ahli bid’ah”, “sesat”, atau “berdosa”. Dalam amar makruf nahi munkar, kita hanya menegur perkara yang disepakati haramnya (seperti zina atau mencuri). Jika perkara itu masih dalam khilaf ulama, kita tidak boleh melakukan “Nahi Munkar” secara keras.
Para ulama seperti Imam al-Nawawi menjelaskan perbezaan penting:
-
- Inkar (Dilarang): Menegur dengan kasar, menyalahkan, atau membenci orang yang berbeza pendapat dalam masalah ijtihad.
- Irsyad/Nasihah (Dibenarkan): Berbincang secara ilmiah, membentangkan dalil yang kita rasa lebih kuat, dan memberi nasihat dengan penuh adab tanpa merendahkan pihak lain.
Kaedah ini penting kerana tanpa kaedah ini, umat Islam akan sentiasa bergaduh tentang perkara-perkara kecil (cabang) sehingga melupakan perkara besar (asas). Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya: “Bolehkah aku menegur orang yang makan perkara yang bagiku haram tetapi baginya (ikut mazhab lain) adalah halal?” Beliau menjawab: “Jangan kamu ingkari apa yang dilakukan orang lain mengikut ijtihad mereka.”
Tapi kena ingat yang kaedah ini hanya terpakai jika pendapat tersebut datang daripada ijtihad yang sah (ada sandaran dalil). Jika pendapat itu menyalahi nas Al-Qur’an atau Hadis yang jelas (Sarih), menyalahi Ijma’ (kesepakatan bulat) para ulama, atau pun ia adalah pendapat yang sangat pelik (Syuzyuz) dan tidak masuk akal, maka dalam keadaan ini, pengingkaran boleh dilakukan kerana ia bukan lagi masalah ijtihad, tetapi sudah menjadi kesalahan nyata. Jadi walaupun amalan bid’ah seperti Tahlilan itu ada khilaf, tapi itu bukanlah ‘khilaf muktabar’ kerana memang tidak ada dalil langsung bagi amalan itu. Yang kita hormati dan layan adalah khilaf muktabar sahaja. Dan kena ingat yang ijtihad itu sepatutnya datang dari orang yang layak membuat ijtihad, bukan mana-mana ulama’.
Kita kena hormati pendapat mazhab lain kerana mereka juga ada hujah mereka. Sebagai contoh, adakah wanita boleh melawat kuburan? Ini termasuk dalam perkara khilafiah yang muktabar. Sebenarnya kenapa perkara sebegini menjadi khilaf? Kerana datangnya pelbagai dalil. Terdapat dua riwayat utama yang sering dibincangkan:
Riwayat Pertama:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ زَوَّارَاتِ الْقُبُورِ
(Rasulullah ﷺ melaknat wanita-wanita yang kerap menziarahi kubur.)
HR. Tirmidzi & Ibnu Majah.
Riwayat Kedua:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ زَائِرَاتِ الْقُبُورِ
(Rasulullah ﷺ melaknat wanita-wanita yang menziarahi kubur.)
HR. Ibnu Abbas.
Berdasarkan hadis ini, Imam Ahmad bin Hanbal berpegang yang orang perempuan tidak boleh menziarahi kubur. Kerana itu di Madinah, para jemaah wanita tidak boleh berziarah ke Kuburan Baqi’ dan Maqam Rasulullah kerana mereka berpegang dengan mazhab Ahmad. Mereka boleh setakat melawat Rawdah sahaja.
Dalam Mazhab Syafi’i, hukum wanita menziarahi kubur adalah Makruh (bukan haram/laknat secara mutlak) dengan syarat:
-
- Mendapat izin suami/wali.
- Menutup aurat dengan sempurna.
- Tidak meratap atau meraung (menangis sedikit dibenarkan). Maknanya dia boleh menahan kesedihannya.
- Tujuannya untuk mengambil pengajaran (mengingat mati).
- Kedatangannya itu tidak menyebabkan fitnah.
- Wanita itu tidak memakai minyak wangi.
- Tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu.
Nota: Jika ziarah itu menyebabkan wanita tersebut hilang kawalan diri, meratap hingga menyeksa diri, atau membawa kepada fitnah, maka ketika itulah hukumnya menjadi Haram.
Kenapa ada ulama’ yang mengatakan boleh wanita menziarahi kubur sedangkan ada hadis laknat di atas? Kerana ada hadis lain.
Diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah ﷺ:
“كَيْفَ أَقُولُ لَهُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟” (Apa yang perlu aku ucapkan kepada mereka —ahli kubur— wahai Rasulullah?) Baginda ﷺ menjawab, ucapkanlah:
السَّلَامُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ
“Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni negeri ini (kubur) daripada kalangan orang-orang mukmin dan muslim. Semoga Allah merahmati orang-orang yang terdahulu di antara kami dan orang-orang yang terkemudian. Dan sesungguhnya kami, dengan izin Allah, akan menyusul kamu.”
(Riwayat Muslim, no. 974)
Ulama’ yang tidak mengharamkan wanita menziarahi kuburan berhujah kalau ia haram, jadi kenapa Nabi Rasulullah mengajarkan Aisyah r.a doa tersebut? Itu tanda bolehlah berziarah ke kuburan kerana kalau tidak, tentu Nabi tak perlu hendak ajar doa itu kepada A’isyah. Tapi kemudian ada juga pendapat yang mengatakan kebenaran itu telah dimansuhkan. Dulu boleh, tapi kemudian tidak boleh. Ulama’ lain kata kalau benar ia telah dimansuhkan, maka kena datangkan dalil bukti yang ia telah dimansuhkan.
Jadi ini adalah antara khilaf muktabar di kalangan ulama’. Kalau kita perhatikan, masing-masing ada hujah. Jadi ada ulama’ yang gabungkan kedua-dua jenis hadis yang nampak berlawanan itu. Ulama’ Syafie kata, larangan dari Nabi itu adalah bagi wanita yang tak cukup syarat-syarat seperti yang kita telah senaraikan di atas.
Yang penting kita hendak sampaikan di sini, hendaklah seseorang yang menjalankan amar ma’ruf nahi munkar itu pasti bahawa perkara yang dia tegur itu memang pasti ia adalah perkara yang mungkar. Kalau benda itu masih lagi khilaf, kita hanya boleh beritahu dia, ini khilaf tapi pendapat yang lebih kuat adalah begini dan begitu. Dia tak boleh mengingkarinya macam mengingkari orang minum arak, macam orang berzina pula.
Satu lagi ilmu yang dia kena ada adalah Ilmu tentang Keadaan (Fiqh al-Waqi’): Dia mesti faham situasi orang yang hendak ditegur. Adakah teguran itu akan memperbaiki keadaan atau memburukkan lagi suasana? Fiqh al-Waqi’ (Fikah Realiti/Keadaan) adalah “jambatan” yang menghubungkan teks agama (Al-Qur’an & Hadis) dengan alam nyata. Tanpa ilmu ini, seseorang pendakwah akan menjadi seperti seorang doktor yang tahu semua jenis ubat, tetapi tersalah memberi ubat kepada pesakit kerana tidak memeriksa tahap kesihatan pesakit tersebut.
Asas utama dalam menegur adalah untuk menghilangkan keburukan. Namun, mengikut kaedah usul fiqh: “Menolak kerosakan didahulukan daripada mengambil kebaikan (Dar’ul mafasid muqaddamun ‘ala jalbil masalih).” Jika anda menegur seseorang yang sedang marah di khalayak ramai, dia mungkin akan mencaci maki agama atau menghina Tuhan kerana egonya tercabar. Dalam keadaan ini, diam adalah lebih baik. Menegur saat itu akan menyebabkan kemudaratan yang lebih besar (penghinaan terhadap Tuhan) berbanding kebaikan (orang itu berhenti melakukan maksiat).
Setiap orang mempunyai latar belakang yang berbeza. Menegur seorang mualaf tidak sama dengan menegur seorang ustaz yang tergelincir. Mualaf/Orang Awam perlukan pendekatan yang sangat lembut dan beransur-ansur (Tadarruj). Sedangkan bagi Pemimpin/Tokoh: Perlu ketegasan yang beradab agar tidak menyesatkan pengikutnya. Ilmu Fiqh al-Waqi’ membantu kita memilih “tahap kekuatan” suara dan kata-kata kita. Fiqh al-Waqi’ mengajar kita bila waktu paling efektif untuk suara kita didengari. Contohnya Nabi ﷺ tidak menghancurkan berhala di keliling Ka’bah sejurus selepas pembukaan Mekah (Fathul Makkah) sehingga suasana benar-benar stabil dan orang Quraisy sudah mula menerima Islam dalam hati mereka. Oleh itu Fiqh al-Waqi’ mengajar kita untuk menunggu “detik hati terbuka” (seperti ketika seseorang sedang sedih atau sedang mencari jawapan hidup) sebelum memberikan teguran.
2. Lemah-Lembut (الرِّفْق) — Semasa Bertindak. Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa matlamat utama amar ma’ruf nahi munkar adalah untuk memberi rahmat dan hidayah kepada manusia, bukannya untuk menghina atau memuaskan nafsu marah. Beliau memetik hadis Nabi ﷺ:
إِنَّ الرِّفْقَ لَا يَكُونُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ، وَلَا يُنْزَعُ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا شَانَهُ
“Sesungguhnya tidaklah kelemah-lembutan itu ada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya (mencantikkannya), dan tidaklah kelemah-lembutan itu dicabut daripada sesuatu melainkan ia akan memburukkannya.”
(Riwayat Muslim, no. 2594)
Sikap kasar hanya akan menyebabkan orang menjauhkan diri daripada kebenaran. Maka hendaklah pendakwah mencegah kemungkaran dengan penuh hikmah dan bijaksana. Dia kena bila kena kena keras, bila perlu tegas, bila perlu berlembut. Tapi asal hukum dalam berdakwah dan mencegah kemungkaran ini hendaklah dilakukan dengan lemah lembut dan kasih sayang. Allah telah berfirman di dalam Nahl:125
ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ ۖ وَجٰدِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.
Dengan hikmah (بِالحِكمَةِ) itu bermaksud dengan kebijaksanaan. Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah menyebut apakah maksud hikmah ini di dalam kitabnya Madarijus Salikin:
الفِعْلُ مَا يَنْبَغِي، أَوِ القَوْلُ مَا يَنْبَغِي، فِي الوَقْتِ مَا يَنْبَغِي، بِالطَّرِيقَةِ مَا يَنْبَغِي
Melakukan perbuatan yang sepatutnya, atau mengucapkan kata-kata yang sepatutnya, pada waktu yang sepatutnya, dengan cara/metodologi yang sepatutnya.
1. فِعْلُ مَا يَنْبَغِي (Perbuatan yang sepatutnya). Maksudnya, anda melakukan tindakan yang tepat mengikut situasi. Contoh: Jika melihat orang sedang lapar, “perbuatan yang sepatutnya” ialah memberi makan, bukannya memberi ceramah tentang hukum-hakam.
2. القَوْلُ مَا يَنْبَغِي (Kata-kata yang sepatutnya). Maksudnya, anda memilih isi kandungan atau mesej yang sesuai dengan tahap pendengar. Contoh: Bercakap dengan kanak-kanak menggunakan bahasa yang mudah, dan bercakap dengan orang berilmu menggunakan hujah yang mendalam. Seperti kata pepatah: “Berbicaralah dengan manusia mengikut kadar akal mereka.”
3. فِي الوَقْتِ مَا يَنْبَغِي (Pada waktu yang sepatutnya). Maksudnya ialah timing. Kebenaran yang disampaikan pada waktu yang salah boleh menjadi fitnah. Contoh: Jangan menegur kesalahan suami di hadapan kawan-kawannya. Tunggu waktu yang tenang (waktu yang sepatutnya) untuk berbincang secara peribadi.
4. بِالطَّرِيقَةِ مَا يَنْبَغِي (Dengan cara yang sepatutnya). Maksudnya ialah metodologi atau gaya penyampaian. Ini merujuk kepada kelembutan, adab, dan teknik. Contoh: Menggunakan pendekatan “debat yang terbaik” (Jidal bi al-Ahsan) atau “kata-kata yang lembut” (Qaulan Layyina) seperti yang disebut di dalam Nah:125 di atas.
Selepas itu Ayat Nahl:125 itu menyebut المَوعِظَةِ الحَسَنَةِ. Maksud المَوعِظَةِ adalah peringatan yang baik. Ia boleh jadi agak keras tapi masih lagi peringatan yang baik.
Dan peringkat ketiga, جٰدِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ iaitu bantah mereka. Kalimah جٰدِل bermaksud debat. Ini adalah untuk orang yang masih degil. Ia bagi mereka yang membantah, yang suka melawan. Macam Nabi Musa dengan Firaun. Nabi Musa kena berdebat dengan Firaun kerana Firaun melawan. Tapi kita mulakan dengan cara hikmah iaitu dengan cara lemah lembut dahulu. Barulah orang senang hendak terima. Malangnya kadang-kadang kita lihat, ada kalangan sahabat kita dalam media sosial hendak mencegah mungkar tapi dia menggunakan kata-kata kesat dan celaan sampai kadang-kadang sampai keluarlah perkataan-perkataan yang tak sepatutnya dikeluarkan oleh orang yang berilmu. Kadang-kadang kerana tidak dapat berhujah dengan baik, kita ada orang jatuhkan peribadi seseorang, malukan orang itu pula sampai kadang-kadang dikeluarkan gambar-gambar yang tak sepatutnya. Kita kena bantah cara-cara tidak berhemah sebegini. Ini bukanlah cara yang sepatutnya.
3. Sabar (الصَّبْر) — Selepas Bertindak. Tugas ini pasti akan berhadapan dengan tentangan, cacian, atau ujian. Oleh itu, sifat sabar adalah perisai. Ibn Taimiyyah sering mengaitkan perkara ini dengan pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam Luqman:17,
يٰبُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَوٰةَ وَأمُر بِالمَعروفِ وَانهَ عَنِ المُنكَرِ وَاصبِر عَلىٰ ما أَصابَكَ ۖ إِنَّ ذٰلِكَ مِن عَزمِ الأُمورِ
Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).
Jadi setelah melihat semua hujah ini, fahamlah kita yang orang yang mengajak kepada amar ma’ruf dan nahi munkar ini ialah orang yang ada ilmu dan mesti ikut sunnah Nabi dalam berdakwah. Jadi bukannya semua orang boleh melakukan hal ini. Ada orang yang hendak terlibat tapi dia sendiri pun tak mengaji apa yang ma’ruf dan tak tahu apa yang munkar. Dan untuk menjelaskan perkara ini, terpaksa sebut realiti semasa yang berlaku. Ada hati tisu dan senang terasa, baik tak payah baca. Dan kalau tidak ada hujah dan dalil, tak perlu komen, simpan sahaja dalam diri kalau tidak setuju.
Kita perhatikan ada artis yang semalam dia bertaubat dari jadi artis menyanyi sana sini, hari ini dia sudah jadi pendakwah, betul? Mereka bagi alasan para sahabat dulu masuk Islam, esok mereka terus berdakwah. Tapi para sahabat itu lain. Mereka baca dan faham Al-Qur’an, mereka faham ilmu, tahu Bahasa Arab. Kerana itu apabila Nabi hantar pendakwah untuk berdakwah kepada kaum di sekitar Tanah Arab, baginda hantar sahabat hebat dan berilmu seperti Mu’az bin Jabal, Abu Musa al-Ashari, Ali bin Abi Talib. Kemudian apabila Umar al-Khattab menjadi khalifah, beliau hantar pendakwah hebat dan berilmu seperti Ubadah bin al-Samit, Amru bin Al-As Kufah, Abdullah Bin Mas’ud, Ibn Abbas dan lain-lain lagi.
Jadi apa yang hendak disampaikan di sini? Dakwah dan amar ma’ruf nahi munkar memerlukan ilmu agama, terutama sekali ilmu wahyu. Bukan kita hendak halang manusia berdakwah akan tetapi kena ada kursus khusus untuk mereka mengaji dulu. Bukanlah diri sendiri jahil, sembahyang pun belum tentu betul, baca Al-Qur’an pun tak betul, faham pun tidak, tapi tiba-tiba berdakwah sana-sini. Apa yang mereka hendak cakap kepada orang? Dan sekali lagi saya minta maaf kerana sebut tentang satu lagi kumpulan iaitu Kumpulan Tabligh. Mereka keluar dakwah selama 40 hari, akan tetapi ilmu pun tiada. Mereka hanya ada semangat dakwah sahaja tapi ilmu terutama ilmu wahyu tidak ada. Dan apabila diajak belajar, mereka tidak mahu. Mungkinlah bukan semua tapi kebanyakan yang kita jumpa, begitulah mereka. Mereka setakat belajar dari bayan mereka sahaja baca kitab yang tidak sahih itu. Dan kerana itu apabila kita tengok dakwah mereka, ada sebahagian ahli mereka terlibat dengan syirik, tentu kebanyakan dari mereka terlibat dengan bid’ah. Malah ada sebahagiannya pergi dakwah dan mentang sunnah Nabi.
Sekali lagi, kita sebutkan yang kita bukan hendak menghalang sesiapa hendak berdakwah. Malah kita puji semangat Jemaah Tabligh yang keluar berdakwah. Akan tetapi pengajian ilmu wahyu mesti diterapkan. Kerana kalau tidak, orang berdakwah pula yang buat salah. Dan apakah kemungkaran yang paling besar sekali? Syirik. Bagaimana gerakan dakwah yang paling besar dalam dunia ini tidak melarang syirik? Sepatutnya dakwah itu mestilah pertama sekali mencegah kemungkaran yang paling besar. Mestilah dimulakan dengan mencegah kemungkaran syirik dan kufur, kemudian baru perkara-perkara lain seperti ilmu tentang perkara-perkara bid’ah, dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil dan sebagainya.
Maknanya kita kena mulakan dengan yang paling sekali iaitu perkara yang mula-mula sekali para Nabi dakwahkan kepada umat mereka. Iaitu mencegah kemungkaran syirik. Ini jelas disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an tentang dakwah para Nabi, seperti yang kita lihat di dalam A’raf:59
لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)”
Dan sama juga dakwah Nabi Hud seperti disebut di dalam A’raf:65
وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا ۗ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۚ أَفَلا تَتَّقونَ
Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? “
Ancaman Jika Tidak Melakukan Amar Ma’ruf Nahi Munkar
Ramai umat Islam yang sudah tahu tentang kemungkaran yang dilakukan oleh manusia di hadapan mata mereka. Akan tetapi kita perhatikan ramai yang memilih untuk tidak berbuat apa-apa. Kalau tidak menegurkan itu adalah kerana meninggalkan terus amar ma’ruf nahi munkar, maka ini adalah perkara yang bahaya. Allah melaknat mereka yang meninggalkannya. Ini kita boleh perhatikan dalilnya di dalam Maidah:78-79
لُعِنَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ مِنۢ بَنِىٓ إِسۡرٰءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُ ۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّڪَانُواْ يَعۡتَدُونَ (٧٨) ڪَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنڪَرٍ۬ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا ڪَانُواْ يَفۡعَلُونَ (٧٩)
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. (78) Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (79)
Maka perhatikan bagaimana golongan Bani Israil dahulu tidak melakukan nahi munkar maka balasannya mereka telah dilaknat. Malah Allah mengancam dengan azab jika tidak melakukannya; malah doa pun tidak mustajab kalau kita tidak menjalankannya. Ini seperti disebut di dalam hadis,
عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْ عِنْدِهِ ثُمَّ لَتَدْعُنَّهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, hendaknya kalian benar-benar menyuruh kepada kebajikan dan benar-benar mencegah kemungkaran, atau (jika tidak) maka hampir-hampir Allah akan mengirimkan seksa dari sisi-Nya kepada kalian, kemudian kalian berdoa kepada-Nya namun doa kalian tidak lagi dikabulkan.”
(Jami’ At-Tirmidzi, No. 2169. Dia berkata: Hadis ini Hasan)
Tapi ia amat sukar dilakukan. Malah ada yang memberi alasan kita tidak perlu melakukannya. Mereka berhujah dengan Ayat Maidah:105 kerana mereka tidak belajar tafsir dan hanya membaca terjemahan sahaja.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا عَلَيكُم أَنفُسَكُم ۖ لا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهتَدَيتُم ۚ إِلَى اللَّهِ مَرجِعُكُم جَميعًا فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
Lihatlah apa kata Abu Bakr رضي الله عنه tentang ayat ini:
حَدَّثَنَا قَيْسٌ قَالَ قَامَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَحَمِدَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَأَثْنَى عَلَيْهِ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الْآيَةَ { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنْفُسَكُمْ لَا يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ } إِلَى آخِرِ الْآيَةِ وَإِنَّكُمْ تَضَعُونَهَا عَلَى غَيْرِ مَوْضِعِهَا وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا الْمُنْكَرَ وَلَا يُغَيِّرُوهُ أَوْشَكَ اللَّهُ أَنْ يَعُمَّهُمْ بِعِقَابِهِ قَالَ وَسَمِعْتُ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ مُجَانِبٌ لِلْإِيمَانِ
Telah menceritakan kepada kami [Qais], dia berkata; ” [Abu Bakar] berdiri lalu memuji Allah dan mensucikan-Nya, kemudian dia berkata; “Wahai manusia, sesungguhnya kalian membaca ayat ini: “Wahai orang-orang yang beriman, kalian bertanggungjawab atas diri kalian masing-masing, tidak akan membahayakan kalian sedikit pun orang yang tersesat.. (sampai akhir ayat), dan kalian menempatkannya tidak pada tempatnya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jika manusia melihat kemungkaran, kemudian tidak merubahnya, maka dikhuatirkan Allah akan meluaskan azab kepada mereka semua.” Dia berkata; “Dan aku mendengar Abu Bakar berkata; “Wahai manusia jauhilah dusta kerana sesungguhnya dusta itu menjauhkan kalian dari iman.”
Musnad Ahmad (16) dengan sanad yang sahih
Jadi ada yang jahil mengatakan kita hanya perlu sibukkan diri kita sahaja, tak perlu hendak jaga tepi kain orang lain. Orang lain hendak buat apa, lantaklah kerana perbuatan mereka tidak memudaratkan kita. Itulah kata-kata dari orang yang tak suka perbuatan amar ma’ruf nahi munkar. Tapi kita telah perhatikan bagaimana salah faham itu bukan sahaja di zaman sekarang tapi di zaman para sahabat lagi iaitu zaman Abu Bakr masih hidup lagi, sampaikan beliau terpaksa menjelaskan kepada mereka.
Kalau tadi ada pencelakaan untuk Bani Israil, sekarang ada hadis tentang celaka kepada bangsa Arab pula (termasuk sesiapa yang tidak menjalankan amar ma’ruf nahi munkar).
عَنْ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا فَزِعًا يَقُولُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ، فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ» وَحَلَّقَ بِإِصْبَعِهِ الْإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا، قَالَتْ زَيْنَبُ بِنْتُ جَحْشٍ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ: «نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ
Dari Zainab binti Jahsy radhiyallahu ‘anha, bahawa Nabi ﷺ datang kepadanya dalam keadaan gementar sambil bersabda: “Tiada Tuhan selain Allah, celakalah bangsa Arab kerana keburukan yang telah dekat. Hari ini telah terbuka dinding penutup Ya’juj dan Ma’juj sebesar ini.” (Baginda melingkarkan ibu jari dengan jari telunjuknya). Zainab binti Jahsy bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kami akan binasa padahal di tengah-tengah kami masih ada orang-orang yang saleh?” Baginda ﷺ menjawab: “Ya, jika al-khabats (kemaksiatan/kefasikan/kekejian) telah merajalela.”
(Sahih Bukhari no. 3346 dan Muslim no. 2880)
Perhatikan Zainab kehairanan kenapa boleh jadi begitu jikalau masih ada orang saleh di kalangan manusia? وَفِينَا الصَّالِحُونَ? Rasulullah menjawab tetap juga berlaku. Kerana kalau ramai orang saleh tapi tidak menjalankan kerja menegur manusia, maka Allah akan balas dengan menurunkan azab. Apabila tidak menegur kesalahan manusia, maka keburukan akan bermaharajalela dan kerana itulah Allah akan turunkan azab.
عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَثَلُ القَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالوَاقِعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلاَهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا، وَنَجَوْا جَمِيعًا
“Perumpamaan orang yang menegakkan hukum-hukum Allah dan orang yang terjerumus di dalamnya (melanggarnya/diam saja) adalah seperti sekelompok orang yang berbagi tempat di sebuah kapal. Sebahagian mereka ada yang mendapat tempat di bahagian atas dan sebahagian lagi di bahagian bawah. Penduduk di bahagian bawah, jika mereka ingin mengambil air, mereka harus melewati orang-orang yang berada di bahagian atas. Maka mereka berkata: ‘Andai saja kita lubangi saja (lantai kapal) di bahagian kita ini, sehingga kita tidak perlu mengganggu orang-orang yang di atas kita.’ Jika orang-orang yang di atas membiarkan sahaja apa yang diinginkan oleh orang-orang bawah tersebut, maka binasalah mereka semua. Namun, jika mereka mencegah dengan tangan mereka (tindakan nyata), maka selamatlah mereka dan selamatlah semuanya.”
(Sahih Bukhari, No. 2493)
Di dalam hadis ini Nabi beri analogi supaya kita senang faham dan boleh bayangkan betapa burukkan kalau buat tidak tahu sahaja perbuatan orang lain. Kehidupan bermasyarakat diibaratkan sebuah kapal di tengah lautan. Kehancuran yang disebabkan oleh satu kelompok (pelaku maksiat) akan menenggelamkan seluruh penumpang jika tidak dicegah. Yang di atas adalah orang soleh dan yang di bawah adalah orang jahat. Orang yang berada di atas (orang saleh/pemimpin) tidak boleh merasa aman hanya kerana posisi mereka tinggi. Jika mereka membiarkan kemungkaran di bawah, mereka juga akan ikut tenggelam. Jangan sangka mereka akan selamat. Jangan sedap sahaja duduk di atas tapi tidak tengok apa yang berlaku di bawah. Jangan asyik hendak sembang sama-sama ustaz sahaja tapi bergaullah dengan masyarakat awam di bawah dan tengok apa yang mereka lakukan.
Tapi apa yang berlaku sekarang? Ramai yang tengok sahaja orang kampung buat maksiat, adik-beradik kita buat maksiat, ahli keluarga yang lain buat maksiat. Kita biar sahaja apa yang mereka lakukan, walaupun perbuatan mereka salah. Dengan alasan takut nanti orang sudah tak sayang. Kesian dengan anak hendak tidur, jadi kita tak kejut subuh untuk solat subuh.
Bagaimana kalau kita memang hendak tegur, tapi kita pun dalam hati tahu yang orang yang kita akan tegur itu pun bukannya akan dengar pun? Malah ada kemungkinan kita pula kena marah, kena perli “wah, ada orang dah jadi ustaz sekarang…!”.
Dan tambah buruk lagi ada pula jenis dungu, menghalang kita dari menegur. Dia memang tak buat salah, tak buat maksiat, tapi dungu dia adalah menghalang kita menegur. Sudahlah dia pondan tak berani tegur, dia pula marah kita bila menegur. Dia mungkin kata, “tak payahlah buang masa tegur, bukan dia dengar pun… buang beras jer..”. Ada bukan orang sebegini? Jadi ada A: yang hendak menegur; ada B: yang buat maksiat dan patut ditegur; tapi ada C: tidak menegur orang buat maksiat, tapi tegur orang yang hendak menegur. Allah sebut tentang keadaan ini di dalam A’raf:164-165
وَإِذۡ قَالَتۡ أُمَّةٌ مِّنۡہُمۡ لِمَ تَعِظُونَ قَوۡمًاۙ ٱللَّهُ مُهۡلِكُهُمۡ أَوۡ مُعَذِّبُہُمۡ عَذَابًا شَدِيدً۬اۖ قَالُواْ مَعۡذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَلَعَلَّهُمۡ يَتَّقُونَ (١٦٤) فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُڪِّرُواْ بِهِۦۤ أَنجَيۡنَا ٱلَّذِينَ يَنۡہَوۡنَ عَنِ ٱلسُّوٓءِ وَأَخَذۡنَا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ بِعَذَابِۭ بَـِٔيسِۭ بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ (١٦٥)
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat? Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: (Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu dan supaya mereka bertakwa. (164) Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka). (165)
Lihatlah ada teguran dari pihak ketiga itu. Orang hendak tegur, dia pula sibuk menghalang. Tapi lihat jawapan pihak yang menjalankan amar ma’ruf nahi munkar itu: “untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu dan supaya mereka bertakwa“. Pertamanya supaya kita ada hujah di hadapan Allah kerana kita telah jalankan tugas dan kewajipan kita. Orang hendak ikut atau tidak, itu hak mereka dan mereka akan tanggung. Tapi jangan kita dipersalahkan Allah nanti kerana tidak menegur. Keduanya, kita tegur itu entah orang itu terima atau tidak, kita pun tidak tahu. Entah hari itu ada sesuatu berlaku kepada dia dan Allah buka pintu hati dia untuk menerima teguran. Jadi kita tegur sahaja lah.
Dan yang menakutkan adalah di dalam Ayat 165 itu. Allah mengancam azab kepada orang yang zalim. Yang selamat adalah yang menegur. Jadi orang yang menghalang orang menegur itu masuk di mana? Selamat atau tidak? Ada pendapat mengatakan mereka ini tidak selamat!
Apakah Maksud Hadis Secara Bahasa
Maksud مُنْكَراً
Kalimah مُنْكَراً di dalam مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang asing, tidak dikenal, atau tidak diakui. Dalam bahasa Arab, jika anda melihat sesuatu yang tidak anda kenal, anda akan berkata “أنكرته” (Aku tidak mengenalnya). Dalam penggunaan bahasa, munkar juga mengandung makna sesuatu yang buruk, aneh, atau jahat. Mengapa disebut demikian? Kerana nurani manusia yang sihat (fitrah) secara alami akan merasa “asing” dan menolak keburukan tersebut. Kita tidak kenal perkara itu sebagai baik. Kalimah مُنْكَر merupakan lawan kata (antonim) kepada ma’ruf (مَعْرُوف). مَعْرُوف pula adalah sesuatu yang dikenal baik, diakui, dan diterima oleh umum sebagai kebaikan.
Dalam Ilmu Hadis, kadang-kadang kita akan berjumpa dengan hadis yang berstatus Hadis Munkar (الحديث المنكر). Bukanlah bermaksud hadis ini ada maksiat pula. di dalam ilmu Musthalahul Hadis, istilah ini merujuk pada status kelemahan (kedhaifan) yang sangat parah pada sebuah riwayat. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, ia adalah hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang lemah (dhaif), yang riwayatnya itu menyelisihi atau bertentangan dengan riwayat perawi yang terpercaya (tsiqah). Imam Ahmad bin Hanbal pula menggunakan istilah “Munkar” untuk hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi sendirian (tafarrud), di mana tidak ada orang lain yang meriwayatkan hadis tersebut, padahal perawi itu tidak cukup kuat untuk dipercaya sendirian.
Maksud يَدِ
Apabila berjumpa dengan kemungkaran, Rasulullah kata فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ. Apabila disebut mencegah dengan ‘tangan’, ia bermaksud dengan kuasa. Iaitu kalau kita ada kuasa, sebagai bapa dalam keluarga, sebagai pemimpin, atau kita ada kemampuan kita.
Ia juga bermaksud kita ada kemampuan fizikal. Jika seseorang memiliki kemampuan fizikal untuk menghentikan suatu kemungkaran secara langsung (misalnya: memisahkan orang yang sedang berkelahi, membuang khamar yang ditemukan di rumahnya sendiri, atau mengambil barang curian untuk dikembalikan), maka itulah makna “tangan”.
Tapi ia juga bermaksud kita pegang tangan orang yang melakukan kesalahan itu dan mengajaknya berubah. Kita pimpin dia dan bawa dia ke arah kebaikan.
Kita juga sebagai rakyat dan orang awam juga boleh menegur pemimpin. Tapi kalau hendak menasihati pemerintah atau orang yang berkuasa, janganlah dia menggunakan kekuatan seperti angkat senjata. Contoh: Ada yang melihat kemungkaran pada pemerintah. Kalau hendak mengubahnya dengan tangan, ia sebenarnya tidak mampu. Dan ini memang tidak boleh dilakukan kerana jika dengan menghancurkan satu kemungkaran itu muncul kemungkaran lain yang lebih parah (misalnya perang saudara atau pertumpahan darah), maka tindakan dengan “tangan” harus dihindari.
Namun, jika dibiarkan sahaja pemimpin itu, kerosakan akan terjadi. Maka ia kena berpindah kepada cara yang seterusnya iaitu ‘lisan’. Kita telah lihat di atas bagaimana Marwan ditegur oleh rakyatnya. Tapi kena menggunakan kalimah dan cara yang lembut. Kerana kalau ditegur dengan keras, ia juga boleh membahayakan dirinya juga. Kerana kezaliman boleh dikenakan kepada dirinya, atau pada keluarganya, pada orang-orang yang dekat dengannya. Tambahan pula kalau pemimpin itu orang yang zalim. Voltaire kata “It is dangerous to be right in matters on which the established authorities are wrong.” Jadi jika kita takut kerosakan seperti itu, kemungkaran yang terjadi jangan diingkari dengan jelas. Hal ini sama maknanya dengan Ayat An’am:108
وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدوَۢا بِغَيرِ عِلمٍ
Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan ilmu.
Jadi jangan memburukkan pemimpin sebegitu, tapi hendaklah dipegang tangannya dan tegur dia dengan cara yang lembut. Tapi kalau kita ada kuasa, seperti kita ketua syarikat, kita boleh gunakan kuasa kita ke arah kebaikan. Contohnya kita boleh buat ketetapan, mana-mana pekerja yang tidak solat, akan kita buang kerja. Mana-mana pekerja yang buat maksiat, kita akan potong gaji. Kita mungkin ayah, kita abang long, kita ada suara dalam keluarga. maka gunakanlah kuasa itu. Kita boleh tetapkan, kalau majlis kahwin nanti tak boleh ada lagu-lagu, tak boleh ada menari poco-poco. Jangan hiraulah kata orang bodoh.
Maksud لِسَانِ
Kemudian Rasulullah bersabda: فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِلِسَانِهِ. Dengan lisan itu maksudnya dengan mulut, dengan ucapan. Dan juga lisan itu tambah ‘tu’ jadi ‘tulisan’. Iaitu kita menulis untuk menasihati orang lain. Ini kita boleh lakukan dengan banyak sekarang kerana zaman medsos, jadi sesiapa sahaja boleh tulis dan menegur orang lain.
Tapi malangnya berat mulut orang kita untuk menegur rupanya. Kadang orang sebelah kita macam kawan baik, ahli keluarga atau rakan sekerja tak solat, kita buat biasa sahaja. Dia memang tak minum arak, tak berzina…tapi sebenarnya dari segi dosa, dosa meninggalkan solat itu lebih besar sebenarnya dari dosa zina dan arak! Bayangkan sampai ada pendapat mazhab yang kata kalau meninggalkan solat sudah jatuh kufur. Dan ada mazhab membolehkan kerajaan untuk bunuh orang yang tidak solat.
Begitu jugalah dengan dosa riba. Ramai yang mengamalkannya, tak kiralah ustaz atau orang biasa. Kerana sudah terbiasa. Sedangkan di dalam Al-Qur’an, ada ancaman perang dari Allah dan Rasul jika mengamalkan riba.
Maksud بِقَلْبِهِ
Dan jika itu pun tak mampu, maka tolaklah dengan hati. Nabi bersabda: فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِقَلْبِهِ. Apa maksud tolak dengan hati? Iaitu kena benci dengan kesalahan buruk yang dilakukan. Kena bara’, kena tunjuk benci. Bara’ bermaksud berlepas diri. Dan ini ada lima perkara:
Pertama, dia kena iktikad bahawa benda itu adalah maksiat. Kalau hati dia tak iktikad bahawa benda tu maksiat dan mungkar, itu adalah bahaya kerana ia bermaksud redha dengan kesalahan itu.
Yang kedua, memberi perbuatan itu. Bukan sekadar tahu itu dosa, tapi hati harus merasakan ketidaksukaan, ketidaknyamanan, atau kebencian perkara itu kerana Allah. Anda membenci perbuatan tersebut kerana hal itu melanggar batasan Allah.
Yang ketiga, bila sudah iktikad benda itu maksiat dan benda itu tak elok, maka dia kena meninggalkan orang atau majlis yang ada perbuatan maksiat itu. Tidak bolehlah kata saya benci dengan hati, tapi terus duduk dalam majlis tersebut Kalau dalam majlis itu ada seorang minum arak, tak boleh lagi duduk sekali di situ. Jadi tak boleh beri alasan iman lemah jadi kena benci dalam hati sahaja tapi terus duduk di dalam majlis maksiat.
Yang keempat, menjauhinya iaitu kalau sudah tahu di situ ada tempat maksiat, maka jangan pergi. Contohnya ada orang ajak pergi majlis syarikat yang ada sambutan Krismas, ini tidak boleh pergi langsung. Memang berdosa kalau pergi.
Yang keempat, tidak menyokongnya. Tak bolehlah benci tapi apabila ditugaskan buat persediaan sambutan majlis sambutan Krismas itu kerana itu tempat dia kerja, ini tak bolehlah.
Yang kelima, syarat hati yang hidup adalah adanya keinginan yang tulus: “Andai aku punya kekuatan/kemampuan, aku pasti akan mengubah kemungkaran ini dengan tangan atau lisanku.” Jika hati merasa nyaman atau “maklum” tanpa ada keinginan untuk melihat kemungkaran itu hilang, maka fungsi hati sebagai pencegah maksiat telah gugur.
Keenam, mengingkarinya iaitu menganggap kemaksiatan itu hal yang besar. Kalau menganggap kemaksiatan tersebut sebagai hal kecil, itu adalah tanda matinya fungsi hati. Syaratnya adalah tetap menganggap hal itu sebagai perkara besar kerana ia adalah pelanggaran terhadap Zat Yang Maha Besar.
Maksud أَضْعَفُ الإِيْمَانِ
Kemudian Nabi kata di dalam hadis ini, membenci dengan hati itu adalah وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ (dan itu merupakan selemah-lemahnya iman). Apakah maksudnya? Dikatakan “selemah-lemahnya” iman kerana ini adalah benteng terakhir. Jika seseorang melihat kemaksiatan namun hatinya tidak merasa benci, tidak merasa berdosa, atau merasa biasa saja (redha), maka menurut para ulama’, di saat itu tidak ada lagi iman yang tersisa dalam dirinya terkait kejadian tersebut. Hati yang tidak lagi membenci kemungkaran adalah hati yang sudah “mati” secara spiritual.
Penting untuk difahami bahawa kalimat “selemah-lemah iman” dalam hadis ini merujuk pada derajat tindakan atau respons terhadap sebuah peristiwa kemungkaran, bukan berearti orang tersebut secara peribadi memiliki iman yang rendah dalam segala hal. Namun, secara metodologi perjuangan, hanya mampu membenci di dalam hati tanpa melakukan tindakan apa pun adalah manifestasi keimanan yang paling pasif.
Meskipun peringkat ini “sah” secara syariat bagi mereka yang lemah, menetap di peringkat ini tanpa ada upaya untuk meningkatkan kemampuan diri (agar suatu saat mampu menegur dengan lisan atau tangan) adalah hal yang membahayakan. Sebab, jika seseorang sudah terbiasa hanya “membenci dalam hati” tanpa ditambah dengan upaya menjauh, lama-kelamaan hati akan terbiasa dengan pemandangan maksiat tersebut, dan perlahan-lahan rasa benci itu hilang — yang ertinya iman pun ikut hilang.
Glosari Istilah Utama
Amar Ma’ruf: Mengajak atau menyuruh manusia melakukan perkara yang diiktiraf oleh Syarak sebagai baik.
Nahi Munkar: Mencegah atau melarang perkara yang ditolak oleh Syarak sebagai jahat, buruk, atau mungkar.
Fardu Kifayah: Kewajipan yang dituntut ke atas seluruh komuniti; jika dilaksanakan oleh sebahagian, kewajipan yang lain gugur.
Fardu Ain: Kewajipan individu yang tidak boleh diwakilkan kepada orang lain dalam keadaan tertentu.
Ijtihad: Usaha ulama’ besar dalam menentukan hukum bagi perkara yang tidak mempunyai dalil putus (hitam-putih).
Khilaf Muktabar: Perbezaan pendapat dalam kalangan ulama yang sah dan dihormati kerana masing-masing mempunyai sandaran dalil yang kuat.
Basirah: Penglihatan batin atau keyakinan teguh yang dibina atas hujah nyata (Al-Qur’an dan Sunnah).
Zindiq: Seseorang yang berpura-pura beriman tetapi menyembunyikan kekufuran atau mendakwa mengetahui baik dan buruk tanpa melalui jalan Syarak.
Hikmah: Melakukan atau mengucapkan sesuatu yang tepat, pada waktu yang tepat, dengan cara yang tepat (metodologi yang betul).
Bara’: Perasaan berlepas diri dan tidak redha terhadap kemaksiatan yang berlaku.
Al-Khabats: Kemaksiatan, kefasikan, atau kekejian yang jika merajalela boleh mengundang bencana menyeluruh.
Tadarruj: Pendekatan dakwah yang dilakukan secara beransur-ansur, terutamanya kepada orang awam atau mualaf.
Kemaskini: 1 Mei 2026
Rujukan:
Ustaz Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)
Dr. MAZA (Mufti Perlis)

