إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ
Terdapat banyak perbahasan Balaghah di dalam ayat ini.
1. Apabila tiba-tiba masuk kepada ayat ini, telah berlaku iltifat. Dari bercakap ‘tentang’ Allah, tiba-tiba bercakap ‘dengan‘ Allah. Perubahan gaya bahasa atau iltifat dalam Surah Al-Fatihah (khususnya peralihan dari ayat 2-4 ke ayat 5) merupakan salah satu contoh iltifat yang paling masyhur dan paling indah dalam ilmu Balaghah. Iltifat di sini beralih daripada Ghaib (Orang Ketiga – menceritakan tentang Allah) kepada Khitab (Orang Kedua – berbicara terus kepada Allah). Kalau dikekalkan gaya dari ayat-ayat sebelum itu, tentulah ayat ini menjadi إِيّاه نَعبُدُ وَإِيّاه نَستَعينُ.
Berlaku iltifat di dalam ayat ini dan peralihan inilah yang membawa maksud Kekhususan (Ikhtisas) dan Kelayakan (Istihaq) yang sangat mendalam. Seni kepelbagaian dalam berbicara (التفنُّن في الكلام) serta peralihan daripada satu uslub (gaya) kepada uslub yang lain ini merupakan adat kebiasaan bangsa Arab; hal ini kerana ia dapat mengindahkan lagi bicara, mencergaskan jiwa pendengar, serta mengejutkan perhatiannya, lalu menjadikannya lebih khusyuk mendengar bait-bait kata.
Kelayakan: Mengapa Allah tidak terus menggunakan dhomir “Kepada-Mu” sejak awal ayat? Mengapa perlu dimulakan dengan gaya menceritakan (orang ketiga)? Jawapan: Susunan ini berfungsi untuk membuktikan kelayakan Allah sebelum hamba-Nya berikrar taat setia. Apabila manusia membaca ayat 2, 3, dan 4, mereka sedang menghitung kembali sifat-sifat Allah: Dia pencipta alam (رَبِّ الْعٰلَمِينَ), Dia melimpahkan rahmat (الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ), dan Dia yang memegang kuasa mutlak di akhirat (مٰلِكِ يَوْمِ الدِّينِ). Setelah akal dan jiwa sedar betapa agungnya sifat-sifat tersebut, barulah hamba itu merasa: “Tuhan yang memiliki segala sifat inilah yang paling layak disembah!”
Analogi Mudah: Seolah-olah anda menyenaraikan segala jasa, kehebatan, dan kelayakan seorang guru di hadapan orang ramai (orang ketiga), kemudian selepas sedar akan kehebatannya, anda berpaling terus kepadanya dan berkata, “Sebab itulah, kepada gurulah tempat saya menadah ilmu.”
2. Selain itu, gaya bicara secara langsung (Khithab) itu menghadirkan rasa kedekatan (للقُرب) dengan Allah Taala. Seolah-olah hamba tersebut, tatkala dia sedang memuji Allah (pada ayat-ayat awal), dia menjadi semakin dekat lalu hadir berada betul-betul di hadapan-Nya. Sebelum ini memuji secara jauh sahaja dan sekarang memuji berdepan. Maka Iltifat di sini mengajar kita bahawa ibadah kita kepada Allah bukan secara membuta tuli, tetapi atas dasar kesedaran bahawa hanya Dia yang layak menerima pengabdian tersebut selepas melihat bukti-bukti keagungan-Nya di dalam ayat-ayat sebelum itu.
3. Selain iltifat, di sini juga berlaku taqdim dan ta’khir. Maksud taqdim dan ta’khir adalah pendepanan (mendahulukan) suatu kalam, sama ada kalam ataupun satu ayat, yang sepatutnya tidak berada di hadapan, ia dihadapankan (dikemudiankan). Sebenarnya dalam bahasa Arab, kalau nak dikirakan, tidak ada satu ayat atau kalimah pun yang sepatutnya berada di hadapan; ataupun kita kata kena wajib duduk di hadapan. Ini kerana kalimah-kalimah di dalam bahasa Arab boleh berubah-ubah. Dan ini adalah kerana kehebatan bahasa Arab. Dan kesannya pelbagai. Pendahuluan kalimah إِيَّاكَ pada ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ dan إِيّاكَ نَستَعينُ boleh membawa maksud eksklusif (hanya/khusus) adalah antara keajaiban formula tatabahasa (Nahwu) dan retorik (Balaghah) Arab yang sangat cantik.
Kekhususan: Apabila gaya bahasa bertukar kepada kata hadap langsung (Khitab), struktur ayatnya juga berubah secara luar biasa. Dalam tatabahasa Arab asas, ayat sepatutnya berbunyi: نَعْبُدُكَ (Kami menyembah-Mu). Iaitu Kata Kerja (Fi’il) didahulukan, baru Kata Penyambut (Maful Bih). Namun, dalam ayat 5, Allah menterbalikkan struktur tersebut menjadi: إِيَّاكَ نَعْبُدُ (Hanya kepada-Mu kami menyembah). Dalam ilmu Balaghah, kaedah mendahulukan kata penyambut (Taqdim al-Ma’ful Bih) berfungsi untuk الْقَصْرُ وَالْإِخْتِصَاصُ (Membatasi dan Mengkhususkan). Hal ini berfungsi untuk membawa maksud Al-Qasr (Pembatasan) dan Al-Ikhtisas (Pengkhususan), iaitu: “Kami tidak menyembah selain-Mu, dan kami tidak memohon pertolongan kepada sesiapa pun melainkan-Mu”.
Jika disebut نَعْبُدُ إِيَّاكَ, ia bermaksud: “Kami menyembah-Mu” (tetapi ada kemungkinan boleh menyembah yang lain juga). Tetapi apabila disebut إِيَّاكَ نَعْبُدُ, maknanya dikunci menjadi: “Hanya kepada-Mu sahaja kami menyembah, dan langsung tidak kepada yang lain!” Perhatikan bagaimana dengan hanya mengubah susunan ayat, ia memberi maksud ‘hanya’ tanpa perlu ditambah pun kalimah ‘hanya’ atau فقد.
Apa kaitan dengan Kekhususan? Tindakan iltifat (berpaling terus menghadap Allah) merentap fokus hamba daripada memikirkan hal-hal duniawi atau makhluk (yang disebut dalam ayat 2-4 seperti ‘الْعٰلَمِينَ’ dan ‘يَوْمِ الدِّينِ’) untuk mengkhususkan seluruh jiwa raganya menatap “kehadiran” Allah. Peralihan ini memberikan kesan psikologi seolah-olah tabir penghalang antara hamba dan Pencipta telah diangkat, dan kini si hamba sedang berdiri bertentang mata secara langsung di hadapan Allah, mengkhususkan ibadah dan permohonan sumpah setianya tanpa ada sekutu yang lain.
Satu anjakan kedudukan perkataan sahaja di dalam إِيَّاكَ نَعْبُدُ telah merubah status ayat tersebut daripada sekadar kenyataan ibadah, menjadi satu pengisytiharan Tauhid yang mutlak. Inilah sebabnya mengapa uslub Taqdim di sini sangat ajaib; ia memastikan bahawa setiap kali kita membaca Al-Fatihah, kita sedang mengikrarkan skop perhambaan yang tersangat eksklusif iaitu mengunci pintu sembahan kepada segala makhluk, dan menyerahkannya bulat-bulat hanya kepada Allah SWT.
Kalau kita faham hal ini, barulah mantap Tauhid kita. Kita hanya ibadah kepada Allah dan berdoa kepada Allah sahaja. Tidaklah kita beribadah seperti sedekah Fatihah kepada Nabi dan kepada orang mati. Dan tidaklah kita berdoa kepada selain Allah seperti minta tolong kepada pokok pula!
4. Di samping itu, ia juga berfungsi untuk التَّعظيم Al-Ta’zhim (Pengagungan) dan menunjukkan الاهتمام kepentingan (Al-Ihtimam); hal ini kerana bangsa Arab sentiasa mendahulukan perkara yang paling penting. Mereka akan letak perkara yang paling penting hendak ditekankan dahulu. Jadi kerana Allah yang lebih penting, maka diletakkan إِيَّاكَ di hadapan.
5. Kerana itulah juga diletakkan dahulu نَعبُدُ sebelum نَستَعينُ. Iaitu disebut ibadah dahulu sebelum doa. Perbuatan ibadah (العبادة) telah didahulukan berbanding perbuatan memohon pertolongan (الاستعانة) kerana ibadah merupakan salah satu sebab untuk memperolehi bantuan الإعانة (al-i’anah) serta pengabulan segala hajat. Di sini Allah mengajar kita cara berdoa iaitu dimulai dengan ibadah di mana kita bertawasul dengan perbuatan ibadah kita.
Kerana itulah salah satu nama bagi Surah Al-Fatihah ini Ad-Dua’. Cara berdoa yang ditunjukkan di sini adalah kita mulakan dengan puji dan syukur. Yakni, kalau kita meminta, kita luahkan dulu rasa terima kasih kita kepada jasa dan budi orang yang kita nak minta bantuan itu. Kemudian barulah kita minta, janganlah kita main terjah sahaja ketuk pintu rumah orang dan terus minta pinjam duit. Kita mulakanlah dulu dengan sebut dulu jasa, budi, apa perasaan kita terhadap dia, kemudian barulah kita iltifatkan, iaitu kita palingkan kepada permintaan dan hajat kita.
6. Kenapa disebut نَعبُدُ sebelum نَستَعينُ? Ini kerana ibadah merupakan tujuan utama dan matlamat (الغاية al-ghayah) daripada penciptaan makhluk, manakala perbuatan memohon pertolongan pula adalah perantara/jalan (سيلةٌ wasilah) untuk mencapai ibadah tersebut.
7. Tapi ada juga yang mengkategorikan ayat وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan) sebagai salah satu bentuk Ithnab (الإطناب). Di dalam sastera Arab, Ithnab bermaksud memperbanyakkan lafaz untuk tujuan menambahkan faedah makna. Berbeza dengan redundancy (pembaziran kata), Ithnab diletakkan secara sengaja oleh ahli balaghah untuk memberikan impak psikologi, penegasan, atau perluasan makna yang tidak mampu dicapai oleh ayat yang pendek.
A. Jadi disebut yang khusus, kemudian disebut yang umum. Yang Khusus: إِيَّاكَ نَعْبُدُ (Ibadah). Ibadah adalah skop yang sangat spesifik iaitu tunduk, patuh, dan melakukan amalan khusus demi mendekatkan diri kepada Allah.
Yang Umum: إِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (Memohon Pertolongan). Isti’anah (meminta tolong) adalah skop yang tersangat luas dan universal. Seseorang hamba memerlukan pertolongan Allah dalam segala urusan kehidupannya, sama ada urusan agama (kekuatan untuk solat, sabar, menjauhi maksiat) mahupun urusan keduniaan (mencari rezeki, kesihatan, keselamatan keluarga).
Maka, penambahan نَسْتَعِينُ selepas نَعْبُدُ dikira sebagai Ithnab yang berfungsi untuk meluaskan skop hubungan hamba dengan Allah. Dari sudut bahasa, ia memberi isyarat: “Kami bukan sahaja menyerahkan ritual sembahan kami kepada-Mu (khusus), bahkan seluruh pergantungan hidup kami dalam setiap helaan nafas kami serahkan kepada-Mu (umum).”
Ada pula yang mengatakan نَعْبُدُ itu yang umum dan نَسْتَعِينُ itu yang khusus. Ini kerana doa juga adalah termasuk dalam ibadah, bukan? Jadi Allah sebut ibadah secara umum dan kemudian disebut ibadah yang khusus iaitu doa.
B. Pendapat lain menyatakan bahawa Ithnab di sini berfungsi sebagai penjelasan atau penegasan kepada “jalan keluar” bagi ayat sebelumnya. Seorang hamba yang waras akan tersentak apabila menyebut إِيَّاكَ نَعْبُدُ. Dia akan berfikir: “Mampukah aku yang kerdil dan lemah ini menunaikan ibadah dengan sesempurna mungkin kepada Tuhan Yang Maha Agung?” Maka, didatangkan kalimah إِيَّاكَ نَسْتَعِينُ sebagai Ithnab (pelengkap makna) untuk menenangkan jiwa hamba tersebut. Ia membawa maksud: “Kami mengaku kami wajib menyembah-Mu, dan kami sedar kami tidak akan mampu melakukannya melainkan jika Engkau sendiri yang menolong kami.” Di sini, Ithnab berfungsi sebagai pengakuan atas kelemahan diri hamba.
Untuk memahami kenapa ia dikira Ithnab, kita kena tengok lawannya, iaitu Ijaz (meringkaskan ayat). Jika Al-Qur’an mahu menggunakan uslub Ijaz, ayat itu memadai berbunyi: إِيَّاكَ نَعْبُدُ (Hanya kepada-Mu kami menyembah). Secara logik teologi, perkataan “Ibadah” sebenarnya sudah merangkumi perbuatan meminta tolong (kerana meminta tolong kepada Allah juga adalah satu ibadah/doa). Namun, Allah sengaja menolak uslub Ijaz (ringkas) dan memilih uslub Ithnab (memanjangkan ayat dengan menambah وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ) demi memberikan satu sub-topik khas yang sangat penting bagi mentaliti seorang Muslim: iaitu paksi Tawakkal.
8. Ada yang mengaitkan ayat إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ dengan ٱلحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ. Di mana,
Kalimah إِيّاكَ نَعبُدُ adalah nisbah kepada ٱلحَمدُ لِلَّهِ, dan
Kalimah إِيّاكَ نَستَعينُ adalah nisbah kepada رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ.
Ini kerana kalimah ٱلحَمدُ لِلَّهِ adalah penekanan kepada Tauhid Uluhiyyah Allah, dan setelah kita faham, maka hendaklah kita hanya menyembah Dia sahaja (إِيّاكَ نَعبُدُ).
Kemudian kalimah رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ adalah penekanan kepada Tauhid Rububiyyah, dan setelah kita faham, maka hendaklah kita berdoa kepada Allah sahaja (إِيّاكَ نَستَعينُ). Ini kerana kita telah faham yang Allah adalah Rabb yang menguruskan segala alam ini dan memberikan segala keperluan dan penyelesai kepada masalah kita, maka hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah. Bandingkan dengan syarikat kereta Honda yang setelah kereta dijual, syarikat di Jepun sudah tidak ambil peduli lagi. Tapi Allah yang mencipta kita, setelah Dia mencipta kita, Dia tetap mengurus segala keperluan kita dan tidak pernah terpisah dari kita.
9. Dan dari sudut Ilmu Badi’, ia adalah untuk menyelaraskan rima akhir ayat. Sebutan نَسْتَعِينُ diakhiri dengan huruf Nun yang berbaris mati (apabila diwaqafkan), mengekalkan irama sajak yang sama dengan ayat-ayat sebelumnya seperti الْعٰلَمِينَ, الرَّحِيمِ, dan الدِّينِ.
10. Dan pada ayat ini terdapat pengulangan (تَكرار) pada kalimah إِيَّاكَ. Dalam sastera Arab, pengulangan bukan sebarang pembaziran kata, tetapi ia berfungsi sebagai penguat makna (penegasan berlapis). Sebenarnya dari segi bahasa, boleh sahaja kalau ayat itu begini: إِيّاكَ نَعبُدُ وَنَستَعينُ. Tetapi ini tidak berlaku. Dari sudut logik bahasa yang halus, jika ayat itu berbunyi إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَنَسْتَعِينُ, struktur tersebut boleh membuka ruang tafsiran yang lemah (kekeliruan), seolah-olah kita memohon pertolongan untuk melakukan ibadah itu sahaja.
Pengulangan ini dibuat kerana kedua-dua kata kerja tersebut (iaitu menyembah dan memohon pertolongan) adalah berbeza, maka setiap satu daripadanya memerlukan kepada penegasan (تأكيد) dan perhatian khusus (اهتمام). Maka, tindakan mengulangnya adalah bertujuan untuk menegaskan lagi pengkhususan (تَخصيصِ) bagi Allah dalam setiap satu perkara tersebut, iaitu ibadah dan juga permohonan pertolongan. Ibadah dan memohon pertolongan (isti’anah) adalah dua perkara yang berbeza dari sudut konsep:
Ibadah: Kemuncak penyerahan diri, ketundukan, dan ketaatan hamba kepada Pencipta.
Isti’anah: Kemuncak kefakiran, kelemahan, dan keperluan hamba kepada pertolongan Pencipta.
11. Di samping itu ia juga menzahirkan rasa kemanisan dan kelazatan (الاستلذاذِ) ketika bermunajat serta berbicara secara langsung dengan-Nya. Kelazatan berbisik-bisik dengan kekasih atau tumpuan jiwa. Apabila seorang hamba menyebut nama Allah secara berulang-ulang (إِيَّاكَ … وَإِيَّاكَ), itu menandakan hatinya sedang diselubungi rasa rindu, cinta, dan bahagia kerana diberi peluang “berbual” dan bermunajat secara intim dengan Penciptanya.
12. Perhatikan penggunaan huruf Nun Jamak (kata ganti nama bagi orang ramai/kami) pada firman-Nya “نَعْبُدُ” (kami menyembah) dan “نَسْتَعِينُ” (kami meminta pertolongan).
A. Ada yang berpendapat (pandangan pertama): Disebabkan kedudukan (maqam) ibadah itu tersangat agung, maka seorang individu tidak wajar berdiri sendirian (mengasingkan diri); hal ini sebagai tanda menganggap diri sendiri serba kekurangan dan kerdil. Maka, kedatangan huruf Nun tersebut adalah dengan tujuan tawaduk (merendah diri), bukannya untuk mengagungkan diri sendiri. Kita berasa malu untuk mempersembahkan ibadah kita yang penuh kekurangan ini secara individu kepada Allah. Jadi, kita “tumpang” ibadah kita bersama-sama ibadah seluruh umat Islam yang lain agar ia diterima.
B. Ada pula yang berpendapat (pandangan kedua): Boleh jadi huruf Nun tersebut adalah untuk memuliakan kedudukan hamba. Jadi penggunaan ‘kami’ adalah untuk meninggikan kedudukan hamba ketika beribadah. Maksudnya Allah memberikan “saham kehormatan” kepada orang yang solat. Ketika bermunajat, dia dibenarkan menggunakan bahasa yang besar (Kami) kerana dia sedang menjadi tetamu agung Allah. Seolah-olah dikatakan kepada si hamba: “Apabila kamu berada di dalam ibadah, maka kamu adalah seorang yang mulia dan kedudukanmu sangat luas, maka katakanlah: ‘Hanya kepada-Mu KAMI menyembah dan hanya kepada-Mu KAMI memohon pertolongan’. Namun, apabila kamu berada di luar waktu ibadah, janganlah sekali-kali kamu berkata: ‘Kami’ atau ‘Kami telah melakukan sekian-sekian’ dan selainnya (kerana itu tanda takbur).”
C. Dan ada juga yang berpendapat (pandangan ketiga): Kerana kedudukan ini adalah kedudukan ubudiyyah (kehambaan) dan kefakiran yang amat sangat kepada Tuhan, serta satu pengakuan terhadap hajat yang besar kepada ibadah, pertolongan, dan hidayah-Nya. Iaitu (membawa maksud): “Kami, seluruh sekalian hamba-hamba-Mu, mengaku kepada-Mu dengan penuh kehambaan.” Hal ini umpama seorang hamba yang berkata kepada seorang raja yang agung kedudukannya: “Kami adalah hamba-hamba-Mu dan milik-Mu, serta berada di bawah ketaatan-Mu, dan kami tidak akan menyalahi perintah-Mu.” Maka, ucapan (dalam bentuk ramai) ini adalah lebih baik dan lebih agung kedudukannya di sisi raja tersebut berbanding jika dia berkata: “Aku adalah hambamu dan milikmu.” Oleh sebab itulah, jika seorang hamba berkata: “Aku sendirian adalah milikmu,” ia boleh mengundang kemurkaan raja. Sebaliknya, jika dia berkata: “Aku dan setiap orang yang berada di dalam negeri ini adalah milikmu, hamba-hambamu, dan tentera bagimu,” maka ia adalah lebih agung dan lebih gah; kerana ucapan tersebut mengandungi makna bahawa hamba-hambamu tersangatlah ramai, dan aku hanyalah salah seorang daripada mereka, yang mana kami semua berkongsi dalam mengabdikan diri kepada-Mu, memohon pertolongan daripada-Mu, serta mengharapkan hidayah daripada-Mu. Memuji Raja (Allah) dengan mengaitkan betapa luasnya jajahan takluk dan ramainya rakyat jelata yang patuh di bawah kuasa-Nya adalah jauh lebih menyenangkan hati berbanding bercakap tentang diri sendiri secara ego.
اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ
1. Kalimah اهْدِنَا (Tunjukilah kami) merupakan Fi’il Amr (kata kerja perintah) dari sudut tatabahasa. Namun begitu, maksud yang dikehendaki daripadanya adalah الالتِماس Al-Iltimas (permohonan/harapan) dan الدُّعاء Al-Du’a (doa), bukannya hakikat perintah yang sebenar. Tidaklah patut kita perintah Allah pula, bukan Hal ini kerana ia merupakan sebuah permintaan daripada pihak yang paling bawah (iaitu makhluk) yang ditujukan kepada Pihak Yang Maha Tinggi (iaitu Pencipta Yang Maha Agung). Sesuatu kata perintah hanya dikira sebagai “perintah yang hakiki” sekiranya ia keluar daripada pihak yang berkedudukan tinggi kepada pihak yang lebih rendah (Contoh: Allah memerintah manusia, atau majikan mengarah pekerja). Apabila kata perintah digunakan oleh pihak yang di bawah (manusia) kepada Pihak Yang Di Atas (Allah), nilai “perintah” itu gugur secara automatik demi menjaga adab, lalu maknanya bertukar menjadi doa, rintihan, dan permohonan yang penuh rasa kerdil dan tawaduk.
2. Perkataan اهْدِنَا dengan dirinya sendiri sahaja, serta tidak mentransitifkannya menggunakan huruf jar (kata sendi nama) bertujuan agar permintaan hidayah tersebut merangkumi kedua-dua aspek sekali, iaitu: Hidayah Ilmu (Hidayah al-‘Ilm) dan juga Hidayah Taufiq (Hidayah al-Taufiq). Penggunaan huruf إلى (ke) biasanya hanya membawa maksud hidayah berupa penjelasan, petunjuk, atau pengetahuian ilmu tentang jalan tersebut (Hidayah al-Irsyad wal ‘Ilm). Anda sekadar tahu jalan itu di mana. Tapi apabila huruf إلى dibuang, kata kerja itu terus mencengkam objeknya (الصِّرَاطَ). Sastera ini menukarkan maknanya daripada sekadar “tunjukkan kami di mana jalan” kepada “pimpinlah kami, masukkanlah kami, dan berilah kami kekuatan untuk berjalan di atas jalan tersebut”.
Sebab itulah, pengguguran huruf jar dalam ayat ini merupakan satu mukjizat bahasa yang ringkas tetapi padat, kerana apabila kita menyebut اهدِنَا الصِّرٰطَ, kita bukan sahaja meminta Allah memberitahu kita di mana jalan yang benar (Ilmu), bahkan kita sedang meminta Allah memegang tangan kita dan menggerakkan tubuh kita untuk terus istiqamah berjalan di atasnya (Taufiq). Perumpamaannya begini: kadangkala kita kalau tidak tahu jalan, kita tanya orang. Ini biasa sahaja. Tapi lebih baik kalau dia masuk sekali dalam kereta kita untuk sepanjang perjalanan itu.
صِرٰطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم
1. Ia merupakan sebuah pernyataan yang jelas (تصريحٌ) selepas berlakunya kesamaran (إبهام)
2. Ia juga adalah sebuah perincian (تَفصيلٌ) selepas berlakunya penyimpulan secara umum (إجمال). Pada ayat ke-6, perkataan “الصِّرٰطَ المُستَقيمَ” masih bersifat umum (Apakah jalan itu? Milik siapa?). Ini dipanggil Ijmal (umum) yang sengaja dibuat untuk membuatkan pembaca tertanya-tanya dan teruja ingin tahu. Masuk sahaja ayat ke-7, Allah terus memperincikannya (Tafsil): “Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka.”
3. Faedah (daripada gaya bahasa) ini adalah untuk membangkitkan rasa teruja (تَشوِيق) pada jiwa dan mempersiapkannya; agar ia dapat menerima tafsiran serta perincian tersebut dengan baik, yang mana hal ini akan lebih membantu dalam kefahaman. Gaya uslub sebegini mempunyai faedah yang sama beratnya dengan fungsi Taukid Ma’nawi (Penegasan Makna).
4. Di samping itu, pada ayat tersebut juga terdapat penetapan (تَقرير) terhadap hakikat jalan (صِرٰطَ) ini, serta pengukuhan kefahaman tentang konsepnya di dalam jiwa-jiwa mereka. Hasilnya, konsep jalan tersebut dapat ditangkap dan diperoleh sebanyak dua kali; lalu ia memberikan faedah yang menyamai kesan Taukid Lafzhi (Penegasan Lafaz/Kata). Kaedah menyebut sesuatu perkara secara umum kemudian mengulangnya semula secara terperinci memberikan impak psikologi yang sangat kuat. Ia seolah-olah mengukuhkan kefahaman di dalam minda sebanyak dua kali, menyamai fungsi teori penegasan di dalam tatabahasa Arab (Taukid Ma’nawi dan Taukid Lafzhi).
5. Dan pada ayat tersebut juga terdapat unsur penegasan (Taukid); hal ini kerana frasa صِرٰطَ الَّذِينَ bertindak sebagai Badal (kata ganti/penjelas) bagi frasa الصِّرٰطَ الْمُسْتَقِيمَ. Kedudukan Badal itu menjadi pengulangan kata kerja amil (kata kerja yang memberi kesan hukum), seolah-olah hamba itu berkata: “Tunjukilah kami jalan yang lurus”, “Tunjukilah kami jalan orang-orang yang…”. Maka, padanya terdapat unsur penggandaan dan pengulangan, serta memberikan isyarat penjelasan dan tafsiran bagi “Jalan yang Lurus” itu adalah: Jalan orang-orang Islam. Lebih tepat lagi, ia merujuk kepada jalan para Nabi, para pencinta kebenaran (shiddiqin), para syuhada, dan orang-orang soleh.
Apakah ‘amil’? Di dalam tatabahasa Arab, setiap patah perkataan yang berubah barisnya (sama ada jadi baris atas, depan, atau bawah) mesti ada “punca” atau “sebab” yang mengubahnya. Punca atau penyebab yang menukarkan baris perkataan ini dipanggil Amil (عَامِل).
Amil yang dimaksudkan di dalam rangkaian ayat dalam perbincangan kita ialah Fi’il Amr (Kata Kerja Perintah) yang berada di ayat sebelumnya, iaitu kalimah اهْدِنَا. Di dalam Ayat 6: اهْدِنَا menjadi Amil yang menjadi kalimah الصِّرٰطَ berbaris atas (mansub) kerana ia menjadi objek (Maf’ul Bih) kepada kata kerja perintah اهْدِنَا. Di dalam Ayat 7: صِرَاطَ الَّذِينَ, perkataan صِرٰطَ yang kedua ini juga berbaris atas. Mengapa? Kerana kedudukannya dari sudut nahu adalah sebagai Badal (Ganti/Penjelas) kepada الصِّرٰطَ yang pertama.
Walaupun secara lafaznya kata kerja اهْدِنَا (yang berfungsi sebagai Amil) itu hanya disebut sekali sahaja di ayat ke-6, namun dari segi sistem bahasa dan maknanya, kemunculan Badal (صِرٰطَ yang kedua) di ayat ke-7 menarik kembali amil tersebut secara ghaib/tersirat. Seolah-olah di sebalik tabir, ayat itu dibaca begini:
Ayat 6: اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (Tunjukilah kami jalan yang lurus)
Ayat 7: (اهْدِنَا) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ (Tunjukilah kami jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat)
Di dalam ilmu Nahwu, Badal ialah perkataan yang menggantikan perkataan sebelumnya. Sifat unik Badal ialah seolah-olah kata kerja sebelumnya diulang dua kali (Fungsi Penggandaan). Jadi, apabila kita membaca ayat ini, kita seolah-olah meminta hidayah jalan lurus sebanyak dua kali dalam satu nafas.
6. Bertujuan agar ia menjadi sebuah penyaksian (pengiktirafan) terhadap ‘jalan orang Islam’ sebagai ‘jalan yang lurus’ dengan uslub (gaya bahasa) yang paling baligh (indah/bisa) dan paling kukuh.
7. Dari sudut tatabahasa, kedudukan “صِرٰطَ الَّذِينَ…” itu bertindak sebagai ‘Athaf Bayan (kata hubung penjelas), yang mana faedahnya adalah untuk memberikan kejelasan (الإيضاح).
‘Athaf Bayan (عطف بيان): Satu fungsi tatabahasa yang mirip dengan Badal, tetapi tumpuan utamanya adalah untuk bertindak sebagai “lampu suluh” yang menjelaskan perkataan sebelumnya yang mungkin masih samar atau terlalu umum.
غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ
1. Secara logik susunan ayat, jika mahu mengikut rentak penuh, kalimat ini berbunyi: “غَيرِ صِرٰطَ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا صِرٰطَ الضّالّينَ” (Bukan jalan orang yang dimurkai, dan bukan jalan orang yang sesat). Namun, Allah SWT telah menghazafkan (membuang/menggugurkan) perkataan صِرٰطَ (jalan) pada kedua-dua tempat tersebut. Dari sudut balaghah dan rahsia Al-Qur’an, pengguguran ini membawa impak makna yang sangat besar:
A. Sebelum ini, fokus diletakkan kepada “jalan” (صِرٰطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ). Tetapi apabila masuk ke fasa amaran tentang golongan yang dimurkai dan sesat, Allah mahu perhatian kita tertumpu terus kepada sifat buruk manusia/pelakunya, bukan sekadar konsep jalannya. Apabila perkataan صِرٰطَ dibuang, minda kita dipaksa untuk melihat visual “orang-orang yang dimurkai” (الْمَغْضُوبِ) dan “orang-orang yang sesat” (الضَّالِّينَ) secara langsung. Ini menimbulkan rasa gerun yang lebih kuat di dalam hati agar kita tidak meniru perangai dan sifat mereka.
B. Perkataan صِرٰطَ dalam bahasa Arab bermaksud jalan yang luas, jelas, lurus, dan menghubungkan terus ke destinasi. Golongan yang diberi nikmat mempunyai jalan yang jelas dan kukuh (صِرٰطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ). Jadi sesuailah kalau diletakkan kalimah صِرٰطَ di situ. Sebaliknya, golongan yang dimurkai dan sesat, mereka hidup dalam keadaan celaru, berpecah-belah, dan tiada arah tuju yang tetap. Kehidupan mereka dipenuhi bengkak-bengkok kesesatan. Kerana mereka tidak mempunyai satu sistem jalan yang konsisten dan tersusun, maka amat tidak layak untuk perkataan agung seperti صِرٰطَ diulang dan disandarkan kepada mereka.
C. Dalam ilmu balaghah, menggugurkan perkataan yang sudah difahami oleh pendengar dipanggil Al-Ijaz (singkat tetapi padat). Kerana di dalam ayat sebelum ini sudah disebut perkataan صِرٰطَ, pendengar secara automatik tahu bahawa kelompok seterusnya juga merujuk kepada perihal “jalan”.
2. Di dalam ayat ini juga terdapat iltifat (pemalingan) dari ayat sebelumnya صِرٰطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم. Sebelum ini digunakan khitab langsung (أَنعَمتَ) dan sekarang berlaku pemalingan kepada pihak ketiga (المَغضوبِ). Maka, Allah telah memalingkan (menyembunyikan) lafaz kemurkaan itu daripada disandarkan terus kepadaNya; demi menjaga adab dan kelembutan. Dan ini merupakan kemuncak tertinggi yang mampu dicapai oleh sebuah keindahan estetika bahasa (Al-Bayan).
Ketika menyebut tentang nikmat, Allah menggunakan kata kerja aktif yang jelas menyandarkan kepada diri-Nya, iaitu أَنْعَمْتَ (Engkau telah kurniakan nikmat). Ini kerana setiap kebaikan dan nikmat itu datangnya secara mutlak daripada Allah. Namun, apabila bertukar kepada perihal kemurkaan, Allah tidak menyebut “orang-orang yang Engkau murkai”, sebaliknya menggunakan bentuk pasif iaitu الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ (orang-orang yang dimurkai – tanpa menyebut siapa yang memurkai). Padahal Allah jugalah yang murka! Peralihan uslub ini adalah sehalus-halus adab sastera. Keburukan, azab, atau kemurkaan tidak disandarkan secara langsung kepada nama Allah (walaupun pada hakikatnya Allah yang murka), sebagai tanda memuliakan dan mensucikan nama-Nya.
3. Pada firman-Nya: “رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ”, “يَومِ الدّينِ”, “وَإِيّاكَ نَستَعينُ”, “وَلَا الضّالّينَ”, serta firman-Nya: “الصِّرٰطَ المُستَقيمَ”, “الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ”, terdapat keserasian rima akhir serta keselarasan pada penghujung ayat. Ia merupakan sebahagian daripada keindahan seni berbicara dan antara perkara yang mempesonakan serta mengindahkan pendengaran telinga. Keindahan ini kelihatan sangat mengagumkan kerana meskipun setiap klausa ayat tersebut berbeza-beza dari sudut maknanya, namun ia tetap bersesuaian dan sepadan pada huruf-huruf terakhirnya. Ini termasuk dalam perbincangan Ilmu Badi’.
Kemaskini: 24 Mei 2026
