Tafsir Surah al-A’raf Ayat 64 – 69 (Kisah Nabi Hud عليه السلام)

A’raf Ayat 64: Apabila dakwah yang begitu punya lembut dan sempurna daripada Nabi Nuh عليه السلام pun tidak diterima, tambahan pula sudah beratus-ratus tahun baginda mendakwah mereka (950 tahun), maka akhirnya Allah ‎ﷻ membuat keputusan untuk menghapuskan mereka terus dari atas muka bumi.

فَكَذَّبوهُ فَأَنجَينٰهُ وَالَّذينَ مَعَهُ فِي الفُلكِ وَأَغرَقنَا الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا عَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they denied him, so We saved him and those who were with him in the ship. And We drowned those who denied Our signs. Indeed, they were a blind people.

MALAY

Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran)

 

فَكَذَّبوهُ

Maka mereka terus mendustakannya,

Mereka telah mendustakan Nabi Nuh عليه السلام dan tidak mengikuti ajaran dan amaran daripada baginda. Mereka tidak menerima ajaran Nabi Nuh عليه السلام itu dan mengatakan yang baginda sebenarnya seorang pendusta, sebab itu mereka tidak ikut.

Ayat ini mengajar kita yang jikalau kita bawa kebenaran, pasti akan ada yang menentang kita. Inilah sunnatullah. Sekiranya semua setuju dengan dakwah kita pula adalah tanda yang kita mungkin tidak membawa ajaran yang benar kerana kalau ia benar, pasti ramai yang akan menentang. Ramai tidak suka dengan kebenaran kerana ia buruk bagi mereka.

Mereka marah sangat sampaikan mereka akan cuba melakukan sesuatu untuk menggagalkan kita atau menyakiti kita. Namun begitu, jangan takut, kerana Allah ‎ﷻ akan selamatkan kita. Dalilnya adalah Allah ‎ﷻ selamatkan Nabi Nuh عليه السلام.

 

فَأَنجَينٰهُ وَالَّذينَ مَعَهُ فِي الفُلكِ

lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera,

Oleh kerana mereka telah mendustakan baginda, maka mereka telah diberikan dengan azab banjir besar yang telah membunuh mereka semua. Walau bagaimanapun banjir besar itu tidak memusnahkan Nabi Nuh عليه السلام dan mereka yang beriman kepada baginda. Allah ‎ﷻ selamatkan mereka yang beriman.

Allah ‎ﷻ menyelamatkan mereka dengan menggunakan satu kapal sahaja. Allah ‎ﷻ tidak perlukan kapal itu pun, tetapi ia hanya sebagai asbab sahaja. Yang pasti, Allah ‎ﷻlah yang selamatkan mereka.

Berapa bilangan mereka tidak disepakati oleh para ulama’. Ada yang kata 40 dan ada yang kata 80 dan bilangan-bilangan lain. Ada yang kata berbelas sahaja. Ada pula yang kata ada 40 lelaki dan 40 wanita. Semua ini tidak penting. Tempat mendarat mereka dikatakan di Iraq dan tempat itu digelar Tsamanun (bermaksud 80).

Dikatakan salah seorang daripada mereka itu digelar dengan nama Jurhum dan beliau bercakap bahasa Arab. Ini adalah antara beberapa pendapat. Ia tidak penting kerana yang penting adalah pengajaran, bukan perincian maklumat.

 

وَأَغرَقنَا الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا

dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami.

Balasan kepada mereka yang menolak wahyu daripada Allah ‎ﷻ itu adalah mereka ditenggelamkan dalam banjir besar. Ini adalah azab yang dikenakan kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Seterusnya mereka terus dikenakan azab dalam Alam Barzakh dan nanti di neraka kelak. Maka terdapat tiga azab yang mereka kena: dunia, azab kubur dan di neraka.

Mereka dimusnahkan semasa mereka berapa di tahap ketinggian tamadun mereka. Mereka pada ketika itu adalah paling ramai, paling berkuasa. Mereka sudah mabuk dengan kehebatan mereka, maka waktu itulah Allah ‎ﷻ memusnahkan mereka. Kisah lebih panjang tentang apa yang berlaku disebut di dalam surah-surah yang lain, terutama sekali di dalam Surah Hud dan Surah Nuh. Lebih banyak kisah ini disebut dalam Surah Hud.

Allah ‎ﷻ mengingatkan umat manusia yang menentang para Rasul, mereka akan dikenakan dengan azab. Lihatlah yang Allah ‎ﷻ tidaklah kata Dia menenggelamkan kaum Nabi Nuh عليه السلام tetapi ‘mereka yang mendustakan ayat-ayat-Nya’. Maka bukan mereka sahaja yang dikenakan azab ditenggelamkan. Kita pun tahu yang Fir’aun dan pengikutnya juga telah dilemaskan.

Maka ia boleh dikenakan kepada sesiapa sahaja. Ancaman telah diberikan kepada mereka yang sedang menentang Nabi Muhammad ﷺ. Mereka hendaklah bersedia menghadapi azab yang akan dikenakan kepada mereka kerana kedegilan mereka. Itu pun kalau mereka masih lagi hendak menentang Rasulullah ﷺ.

 

إِنَّهُم كانوا قَومًا عَمينَ

Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta

Mereka adalah kaum yang buta hati. Mata fizikal mereka memang boleh nampak, tetapi mata hati mereka tidak nampak kebenaran yang ada dalam wahyu itu. Kebenaran depan mata mereka pun mereka tidak nampak kerana mata hati mereka buka. Maka kita yang masih hidup ini hendaklah banyak-banyak membuka mata hati kita ini. Semoga Allah ‎ﷻ tidak membutakan mata hati kita. Kita berdoa semoga Allah ‎ﷻ beri kita nampak kebenaran dan beri kita taufik untuk mengikutinya.

Habis Ruku’ 8 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

A’raf Ayat 65: Setelah disebut secara ringkas kisah Nabi Nuh عليه السلام, sekarang disebut Rasul yang seterusnya, iaitu Nabi Hud عليه السلام yang telah diutus kepada bangsa Aad.

Setelah banjir besar Nabi Nuh عليه السلام itu, yang tinggal dalam kalangan manusia hanyalah mereka yang beriman sahaja. Namun begitu keturunan manusia selepas itu telah ada yang mengamalkan syirik juga. Maka dibangkitkan Nabi Hud عليه السلام dalam kalangan mereka untuk mengingatkan mereka dan mengajak mereka kembali ke arah agama Tauhid.

۞ وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا ۗ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۚ أَفَلا تَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to the ‘Aad [We sent] their brother Hūd. He said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. Then will you not fear Him?”

MALAY

Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? “

 

وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا

Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud.

Ini adalah kisah Nabi yang ketiga dalam Surah A’raf ini selepas Nabi Adam عليه السلام dan Nabi Nuh عليه السلام. Sekarang kita berkenalan dengan Kaum Aad. Mereka ini adalah keturunan kelima selepas Nabi Nuh عليه السلام daripada keturunan anaknya, Sam. Mereka ini tinggal di kawasan yang sekarang di antara Oman, Hadramaut dan Yaman. Mereka diberikan kekuatan tubuh yang besar, kuat dan tempat tinggal yang subur dan hebat.

Oleh kerana nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka itu, mereka menjadi sombong dan bongkak. Mereka rasa merekalah yang paling hebat. Disebut di dalam [ Fussilat: 15 ]

فَأَمّا عادٌ فَاستَكبَروا فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَقالوا مَن أَشَدُّ مِنّا قُوَّةً

Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: “Siapakah yang lebih kuat daripada kami?”

Inilah bahayanya apabila mendapat nikmat banyak sangat. Takut kita mabuk dengan kekuatan dan kekuasaan sehingga lupa Allah ‎ﷻ dan berlaku zalim. Nikmat kuat dan kuasa itu sendiri tidaklah buruk, cuma bagaimana cara kita menggunakannya sahaja. Jangan digunakan ke arah keburukan dan jangan lupa Allah ‎ﷻ, itu sahaja. Namun malangnya ramai yang gagal dalam ujian ini.

Nabi Hud عليه السلام itu daripada bangsa mereka juga. Memang selalunya Allah ‎ﷻ bangkitkan Rasul dan Nabi dalam kalangan bangsa yang sama. Tujuannya adalah supaya umat senang untuk menerima Rasul itu kerana datang daripada bangsa mereka sendiri. Apabila daripada bangsa mereka sendiri, tentulah Nabi itu kenal mereka dan tahu apakah masalah dan perangai mereka.

Sebab itulah Nabi Hud عليه السلام mengatakan baginda adalah ‘saudara’ mereka tetapi bukankah mereka itu kufur? Ya memang mereka kufur tapi tetap baginda bersaudara dengan mereka dari segi keturunan. Dalam Islam ‘saudara’ ada tiga jenis:

1. Saudara dari segi keturunan seperti Nabi Hud عليه السلام dan kaumnya.

2. Saudara dari segi agama. Seperti firman Allah ‎ﷻ dalam Hujurat:10 إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ (Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara)

3. Saudara kerana mulazamah (sentiasa bersama dan dikaitkan) seperti firman Allah ‎ﷻ dalam Isra’:27 إِنَّ المُبَذِّرينَ كانوا إِخوانَ الشَّياطينِ (Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan)

Anak Nabi Hud عليه السلام ada seorang bernama Ya’rub dan dia telah pergi mengembara dan tinggal di Yaman. Dari situlah datangnya keturunan Arab dan bahasa Arab dan daripada nama Ya’rub inilah datangnya ‘Arab’. Allahu a’lam.

Memang ada golongan yang mengatakan kubur Nabi Hud عليه السلام di Yaman seperti puak Habib. Mereka dengan pasti mengatakan benar kubur baginda di sana. Namun apakah dalilnya? Tidak ada. Tidak ada dalil mana-mana kubur Nabi di dunia ini melainkan kubur Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Maka dakwaan mereka adalah kosong sahaja.

Dari manakah mereka dapat kepastian ini? Itulah ada seseorang dulu dalam kalangan mereka yang bermimpi kedudukan kubur itu. Mimpi bukan hujah ya. Tambahan pula daripada kumpulan yang kuat tidur seperti mereka. Kemudian mereka rekalah pula amalan sesat di tempat yang dikatakan kubur Nabi Hud عليه السلام itu dua kali setahun. Tinggalkanlah kumpulan karut seperti itu yang senang sekali mendakwa itu dan ini mengamalkan amalan-amalan dan ajaran karut.

 

قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada ilah bagi kamu selain daripada-Nya.

Lihatlah perkara yang sama dengan apa yang disebut Nabi Nuh عليه السلام. Ini adalah kerana mesej yang diberikan oleh para Rasul adalah sama sahaja. Begitu juga dengan Nabi Muhammad ﷺ. Maka kita pun kena bawakan mesej yang sama kepada masyarakat kita: kena amalkan tauhid dan jangan melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Lihatlah sama sahaja cara Nabi Hud عليه السلام memanggil kaumnya dengan lembut seperti juga Nabi Nuh عليه السلام. Ini mengajar kita yang dalam dakwah, kenalah gunakan bahasa yang lembut. Jangan berkasar dan menghina kerana kita hendak mengetuk hati mereka dan ini hanya dapat dicapai dengan lembut. Kalau gunakan bahasa kasar, orang pun tidak mahu hendak dengar.

 

أَفَلا تَتَّقونَ

Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepada-Nya? “

Oleh kerana tidak ada ilah lain selain Allah ‎ﷻ, kenapa tidak taat kepada Allah ‎ﷻ sahaja? Kenapa masih lagi hendak mengamalkan syirik?

Manusia mesti diingatkan dengan larangan syirik kerana kalau tidak, memang manusia akan senang ditipu dengan syaitan untuk mengamalkan syirik. Kita pun tahu bagaimana banyaknya amalan syirik dalam masyarakat sekarang. Ini adalah kerana ramai tidak faham bab syirik dan mereka tidak sangka yang amalan mereka itu adalah amalan syirik.

Nampak seperti ada persamaan namun tidak sama dengan kalimah dakwah Nabi Nuh عليه السلام dalam ayat 59 sebelum ini. Di dalam ayat itu, Nabi Nuh عليه السلام beri ancaman kepada mereka, tetapi sekarang tidak pula dilakukan oleh Nabi Hud عليه السلام. Ini adalah kerana sepatutnya azab itu masih segar dalam ingatan mereka kerana baru sangat terjadi.

Di dalam ayat ini, Nabi Hud عليه السلام menggunakan kalimat أَفَلا تَتَّقونَ sedangkan dalam ayat lain ada menggunakan kalimah أفلا تقلون (tidakkah kamu berfikir?). Ini mengajar kita yang orang bertaqwa itu menggunakan akal mereka. Yang tidak bertaqwa itu tidak menggunakan akal mereka dengan sebaiknya.


 

A’raf Ayat 66:

قالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ إِنّا لَنَرىٰكَ في سَفاهَةٍ وَإِنّا لَنَظُنُّكَ مِنَ الكٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent ones who disbelieved among his people, “Indeed, we see you in foolishness, and indeed, we think you are of the liars.”

MALAY

Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampak kamu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta”.

 

قالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ إِنّا لَنَرىٰكَ في سَفاهَةٍ

Ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampak kamu berada dalam kebodohan,

Sekali lagi disebut tentang ketua kaum yang tidak beriman yang menolak ajaran daripada Rasul mereka. Mereka kata mereka nampak baginda berada dalam keadaan kurang waras, bodoh. Mereka kata begitu kerana mereka lihat baginda telah meninggalkan adat resam tok nenek mereka yang telah diamalkan telah sekian lama. Bagi kaum mereka, Nabi Hud عليه السلام itu bodoh kerana buat begitu.

 

وَإِنّا لَنَظُنُّكَ مِنَ الكٰذِبينَ

dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah daripada orang-orang yang berdusta”.

Mereka berkata baginda itu adalah seorang pendusta. Mereka kata Nabi Hud عليه السلام itu menipu sahaja dengan mengatakan yang baginda dapat wahyu daripada Allah ‎ﷻ tetapi tidak pun sebenarnya. Ini semua adalah hujah untuk menjatuhkan kedudukan Nabi Hud عليه السلام. Mereka hendak menjatuhkan status Nabi Hud عليه السلام supaya orang tidak mendengar ajaran daripada baginda.

Begitulah juga yang dilakukan oleh puak Quraish kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka menyerang peribadi baginda setelah mereka tidak dapat berhujah dengan baginda kerana baginda menggunakan wahyu. Segala hujah yang digunakan kepada para Nabi yang terdahulu yang disebut itu sebenarnya telah digunakan kepada Nabi Muhammad ﷺ juga dan dikenakan juga kepada para pendakwah sekarang.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang bukan baginda sahaja yang dituduh sebegitu tapi Nabi-nabi yang lain juga. Allah ‎ﷻ hendak memujuk Rasulullah ﷺ dengan memberitahu apa sahaja dugaan daripada kaumnya itu telah pernah dikenakan kepada kaum-kaum yang terdahulu. Maka janganlah bersedih sangat.


 

A’raf Ayat 67: Selepas ini kita boleh lihat jawapan-jawapan yang hampir sama diberikan oleh Nabi Nuh عليه السلام sebelum ini. Hanya ada beberapa perubahan dari segi perkataan sahaja.

قالَ يٰقَومِ لَيسَ بي سَفاهَةٌ وَلٰكِنّي رَسولٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Hūd] said, “O my people, there is not foolishness in me, but I am a messenger from the Lord of the worlds.

MALAY

Nabi Hud menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

 

قالَ يٰقَومِ لَيسَ بي سَفاهَةٌ

Nabi Hud menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, 

Nabi Hud عليه السلام menjawab yang baginda tidak bodoh walau sedikit pun. Akal baginda waras. Mana mungkin seorang Rasul itu dalam kalangan orang yang bodoh. Allah ‎ﷻ memilih para Nabi dalam kalangan mereka yang berotak waras dan cerdik melebihi kaum mereka.

Baginda tidaklah pula balas dengan kata mereka bodoh kerana ini tidak baik dan bukan cara dakwah yang betul. Yang kata orang lain bodoh itu adalah kerana dia sendiri bodoh. Yang sedihnya ada pendakwah yang mudah sahaja keluar daripada mulut mereka: “Bodo mu… mereka ini kena makan ubat antibodo…” dan sebagainya. Lihatlah [ Al-Baqarah: 13 ]

وَإِذَا قِيلَ لَهُم ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُ‌ۗ أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Maka di dalam ayat ini menyebut orang yang mengatakan orang beriman itu bodoh, merekalah yang bodoh sebenarnya. Inilah masalah dengan orang yang jahil di mana mereka tidak sedar yang mereka jahil. Sekiranya orang jahil itu sedar yang dirinya jahil, maka perkara akan menjadi lebih senang. Senang untuk kita hendak mengajar dan menyampaikan ilmu kepadanya. Namun yang menjadi masalah adalah orang yang jahil yang perasan dia pandai. Situasi ini dipanggil jahil murakkab namanya iaitu jahil  yang bertimpa-timpa. Sudahlah bodoh, tetapi tidak tahu dia itu bodoh. Kita hendak ajar pun dia tidak mahu terima.

Namun bagaimanakah sikap kita terhadap mereka? Kita bersikap lembut dengan mereka. Kita tidak memaki mereka dan kata mereka yang bodoh, jangan begitu. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ ajar kita dalam [ Furqan:  64 ]

وَعِبادُ الرَّحمٰنِ الَّذينَ يَمشونَ عَلَى الأَرضِ هَونًا وَإِذا خاطَبَهُمُ الجٰهِلونَ قالوا سَلٰمًا

Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah diri dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.

 

وَلٰكِنّي رَسولٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ

tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam.

Nabi Hud عليه السلام mengingatkan mereka bahawa baginda adalah utusan daripada Allah ‎ﷻ. Baginda hanya menyampaikan mesej dan wahyu daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Bukannya kata-kata itu daripada baginda sendiri.


 

A’raf Ayat 68:

أُبَلِّغُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي وَأَنْا لَكُم ناصِحٌ أَمينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I convey to you the messages of my Lord, and I am to you a trustworthy adviser.

MALAY

“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu.

 

أُبَلِّغُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي

Aku menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, 

Baginda beritahu yang tugas baginda adalah untuk menyampaikan wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Ini sama seperti yang diberitahu oleh Nabi Nuh عليه السلام sebelum ini. Memang para Nabi bawa perintah daripada Allah ‎ﷻ melalui wahyu-Nya. Maka kita pun kenalah begitu juga.

Kerana itulah pelajaran utama yang mesti disampaikan kepada masyarakat adalah pengajian Tafsir Al-Qur’an. Malangnya, inilah yang jarang diajar kepada masyarakat. Kerana itulah masyarakat sekarang amat jauh dengan wahyu Allah ‎ﷻ.

Lihat pada kalimah أُبَلِّغُكُم di dalam ayat ini. Ia di dalam bentuk fi’il mudhari’ (“present and continuous tense”). Ini memberi isyarat yang dakwah baginda adalah berterusan dan bukan bermusim. Baginda terus menerus memberikan dakwah kepada mereka. Maka ini sepatutnya memberi semangat kepada kita yang dakwah tidak ada hentinya. Bukan sekali sahaja kita dakwah kepada seseorang. Kali pertama mungkin dia tidak terima, maka kita datang dan datang lagi.

 

وَأَنْا لَكُم ناصِحٌ أَمينٌ

dan aku bagi kamu, adalah pemberi nasihat yang ikhlas.

Baginda menegaskan yang baginda adalah pemberi nasihat yang jujur. Maksudnya baginda tidak menambah dan tidak mengurangkan daripada wahyu yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan kepada baginda. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh sampaikan, baginda akan sampaikan.

Kita pun begitu juga, jangan kita simpan dan sorok ajaran daripada Al-Qur’an ini. Jangan ada rasa perkara yang terlalu berat yang masyarakat tidak dapat terima. Malangnya ada guru agama yang takut hendak sampaikan semuanya kepada masyarakat. Kenapa?

Kerana mereka takut kalau mereka sampaikan juga, masyarakat akan marah. Kerana itulah pengajaran tentang syirik tidak diajar dan pengajaran tentang bahaya bid’ah juga jarang diajar. Ramai guru agama membiarkan sahaja amalan anak murid kerana mereka takut hendak sampaikan. Takut sangat mereka hendak tegur.

Bandingkan dengan kata-kata Nabi Nuh عليه السلام sebelum dalam ayat 62. Ayatnya lebih kurang sahaja tetapi digunakan kalimat أَنصَحُ لَكُم sedangkan Nabi Hud عليه السلام pula menggunakan kalimat ناصِحٌ أَمينٌ pula. Apakah bezanya? Inilah hebatnya Bahasa Arab kerana ia mengandungi makna tersirat.

Kalimah ناصِحٌ di dalam bentuk katanama sedangkan kalimah أَنصَحُ pula di dalam bentuk katakerja. Contohnya ada beza di antara ‘pembaca’ (katanama) dan ‘selalu baca’ (katakerja). Maka ini memberi isyarat kepada kita yang Nabi Nuh عليه السلام lebih banyak dan lama berdakwah kepada kaum baginda. Baginda sebut di dalam [ Nuh: 5 ]

قالَ رَبِّ إِنّي دَعَوتُ قَومي لَيلًا وَنَهارًا

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam 

Tambahan pula baginda berdakwah kepada mereka selama 950 tahun! Ini disebut di dalam [ Ankabut: 14 ]

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَلَبِثَ فيهِم أَلفَ سَنَةٍ إِلّا خَمسينَ عامًا

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun.


 

A’raf Ayat 69:

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِّن رَّبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِّنكُم لِيُنذِرَكُم ۚ وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ قَومِ نوحٍ وَزادَكُم فِي الخَلقِ بَسطَةً ۖ فَاذكُروا ءآلاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do you wonder that there has come to you a reminder from your Lord through a man from among you, that he may warn you? And remember when He made you successors after the people of Noah and increased you in stature extensively. So remember the favors of Allāh that you might succeed.”

MALAY

“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya”.

 

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِّن رَّبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِّنكُم لِيُنذِرَكُم

“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu peringatan daripada Tuhan kamu, melalui seorang lelaki daripada golongan kamu, 

Kata-kata yang sama yang telah disampaikan oleh Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya. Adakah kaum Aad itu hairan yang penyampai wahyu ini adalah seorang manusia dalam kalangan mereka pula? Penyampai wahyu kepada manusia mestilah dalam kalangan manusia juga, bukan malaikat.

Ini menyentuh secara langsung hujah daripada Musyrikin Mekah yang mempersoalkan kenapa bukan malaikat yang mengajar mereka wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ jawab kekeliruan mereka di dalam ayat ini dan banyak lagi dalam ayat lain.

Ayat ini juga mengajar kita jangan lihat orang yang menyampaikan dakwah. Asalkan mereka bawa ذِكرٌ مِّن رَّبِّكُم kenalah terima. Malangnya ini ada masalah dengan ramai orang dalam masyarakat kita. Mereka akan lihat dulu siapa yang sampaikan ajaran agama dan dakwah kepada mereka. Kalau geng mereka, mereka terima; kalau bukan, mereka terus tolak.

Apabila bukan dalam kalangan mereka, mereka menjadi pelik pula. Sebagaimana kaum Nabi Hud عليه السلام pun pelik أَوَعَجِبتُم (Adakah kamu merasa hairan?) dengan dakwah Nabi Hud عليه السلام. Bukankah ramai masyarakat kita pelik dengan ajaran Sunnah yang berteraskan Al-Qur’an dan Sunnah? Kerana mereka tidak pernah dengar.

Masyarakat kita sudah terbiasa dengan ajaran rekaan dan karut sampaikan bila datang kepada mereka ajaran daripada Al-Qur’an dan Sunnah yang sahih, mereka kehairanan sungguh. Mereka tidak sangka ia adalah ajaran agama Islam kerana wahyu sudah lama ditinggalkan sebenarnya oleh masyarakat kita. Inilah realitinya. Ya memang pahit, tapi itulah realitinya tuan-tuan.

Contohnya mereka tidak terfikir pun tadabbur Al-Qur’an terutama sekali di bulan Ramadhan. Yang mereka sibuk adalah tadarrus Al-Qur’an. Padahal ini bukan sunnah pun. Tiada dalil bagi amalan ini. Para sahabat dulu baca Al-Qur’an sendirian berhad sahaja, bukannya dibuat beramai-ramai. Oh ada yang kata Rasulullah ﷺ bertadarrus dengan Jibril عليه السلام setiap kali Ramadhan. Itu sebenarnya khusus untuk Nabi ﷺ sahaja, untuk Jibril عليه السلام memeriksa hafalan Nabi ﷺ. Kerana itu Nabi ﷺ tidak buat pula majlis tadarrus dengan para sahabat dan sahabat pun tidak ada buat di antara mereka.

Namun kalau kita cakap perkara ini kepada masyarakat, apa yang mereka akan kata? Wah ini sudah pelik….tadarrus pun tidak boleh ustaz ini cakap! Ya memang peliklah kerana sudah terlalu ramai dan menjadi kebiasaan orang kita buat. Yang mereka tidak perasan benda yang lebih penting lagi iaitu tadabbur Al-Qur’an. Ini memang ada dalilnya di dalam Al-Qur’an, bukan? Namun di manakah dalil tadarrus Al-Qur’an beramai-ramai?

Baiklah, masyarakat kita mengikut Imam Syafi’iy, bukan? Tahukah anda berapa banyak beliau habiskan baca Al-Qur’an setiap hari? Setiap hari beliau akan menghabiskan satu Al-Qur’an 30 juzuk. Pada bulan Ramadhan pula beliau akan habiskan 2 kali Al-Qur’an! Anda rasa beliau buat begitu dengan tadarrus? Agaknya kalau beliau tadarrus dengan ramai orang, adakah sempat untukny menghabiskan sehingga 2 kali?

Jin lebih baik

Kalimah أَوَعَجِبتُم adalah berasal daripada katadasar yang sama dengan ajaib iaitu perkara yang kita tidak tahu, rasa asing. Orang kafir melihat Al-Qur’an ini seperti perkara ajaib. Mereka tidak faham dan kerana itu mereka tidak terima. Begitulah sifat orang kafir. Namun begitu ada makhluk Allah ‎ﷻ yang lihat juga Al-Qur’an sebagai ajaib, tetapi mereka beriman dengannya. Siapa? Itulah jin seperti disebut di dalam [ Jin: 1-2 ]

قُل أوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ استَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الجِنِّ فَقالوا إِنّا سَمِعنا قُرءآنًا عَجَبًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Qur’an), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Qur’an (sebuah Kitab Suci) yang ajaib!

يَهدي إِلَى الرُّشدِ فَئآمَنّا بِهِ ۖ وَلَن نُّشرِكَ بِرَبِّنا أَحَدًا

Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.

Allah ‎ﷻ memuji golongan jin itu kerana mereka beriman dengan Al-Qur’an setelah mendengarnya. Sekarang kita tanya diri kita sendiri: Hendak ikut perangai manusia yang kafir atau perangai jin yang beriman?

 

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ قَومِ نوحٍ

Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh,

Baginda suruh mereka kenang semula yang Allah ‎ﷻ telah menjadikan mereka sebagai keturunan baru (yang menggantikan kaum sebelumnya) setelah hancurnya kaum Nabi Nuh عليه السلام . Mereka datang selepas kaum Nabi Nuh عليه السلام. Ini adalah dalil yang kaum Aad itu adalah kaum selepas Banjir Besar. Selepas Banjir Besar itu tidak ramai manusia yang masih hidup.

Semua mereka itu adalah beriman belaka kerana mereka sanggup mengikut Nabi Nuh عليه السلام. Namun lama kelamaan anak cucu selepas mereka telah menjadi sesat. Kerana itulah Nabi Hud عليه السلام dibangkitkan untuk memberi peringatan kepada mereka. Maka Nabi Hud عليه السلام mengingatkan mereka, mereka baru sahaja berkembang biak setelah Banjir Besar itu. Takkan hendak mengamalkan semula amalan salah manusia yang menyebabkan mereka semua dilemaskan?

 

وَزادَكُم فِي الخَلقِ بَسطَةً

dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu.

Mereka disuruh untuk mengingat bagaimana Allah ‎ﷻ telah menambah satu kelebihan kepada mereka melebihi orang lain, iaitu kekuatan tubuh badan. Mereka amat kuat sampaikan mereka boleh mencabut pokok tamar dengan sebelah tangan sahaja.

Ilmu tajwid sedikit. Kalimah بَسطَةً ini jika dilihat di dalam mushaf pelik sedikit, bukan? Memang kalimah asalnya adalah بَسطَةً tetapi digalakkan dibaca بَصطَةً. Kenapa? Kerana susah disebut بَسطَةً itu kerana huruf س ringan tetapi huruf ط berat. Susah untuk menukar daripada makhraj ringan ke makhraj yang berat. Maka bahasa Arab senang: kalau ia susah, dimudahkan. Rupanya digunapakai konsep sama dengan hukum di dalam Islam: kalau susah, dimudahkan. Contohnya tidak boleh berdiri dalam salat, maka boleh salat duduk dan seumpamanya.

Ini termasuk dalam kategori ayat-ayat Gharibah. Kenalah dilihat dalam mushaf, kalau huruf س di atas, maka bacaan dengan huruf ص diutamakan seperti dalam ayat yang kita sedang perhatikan ini.

 

فَاذكُروا ءآلاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya”.

Hendaklah mereka ingat akan nikmat-nikmat Allah ‎ﷻ yang lain yang telah diberikan kepada mereka. Hasilnya kita akan berjaya. Apakah maksud berjaya? Tentunya berjaya selamat dari neraka dan masuk ke dalam syurga.

Ayat ini nampak mudah pula: Ingat nikmat Allah ‎ﷻ, berjaya masuk syurga. Takkan semudah itu? Maka kena tadabbur lah. Kenapa kalau ingat nikmat-nikmat Allah ‎ﷻ berikan kepada kita akan memasukkan kita ke dalam syurga pula?

Ini kerana kalau kita kenang segala kelebihan dan nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita, maka kita akan kenal Allah ‎ﷻ yang Maha Pemurah. Dengan itu kita akan senang untuk taat kepada Allah‎ﷻ . Kalau sesiapa sahaja yang telah banyak jasa kepada kita, tentulah kita mahu taat kepada mereka, dan mahu menggembirakan hati mereka, bukan? Apabila kita taat kepada Allah ‎ﷻ, itulah yang mendapatkan rahmat-Nya dan dengan rahmat-Nya kita dapat masuk ke dalam syurga.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Oktober 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s