A’raf Ayat 70: Apakah balasan daripada kaumnya itu?
قالوا أَجِئتَنا لِنَعبُدَ اللَّهَ وَحدَهُ وَنَذَرَ ما كانَ يَعبُدُ ءآباؤُنا ۖ فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They said, “Have you come to us that we should worship Allāh alone and leave what our fathers have worshipped? Then bring us what you promise us,1 if you should be of the truthful.”
- i.e., Allāh’s punishment.
MALAY
Mereka berkata: “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.
قالوا أَجِئتَنا لِنَعبُدَ اللَّهَ وَحدَهُ
Mereka berkata: “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata,
Mereka hairan dengan ajaran tauhid daripada baginda. Mereka tidak dapat menerima yang mereka hanya boleh puja dan sembah Allah ﷻ sahaja, tidak boleh tawasul (menggunakan perantaraan dalam doa) dan tidak boleh syirik. Ini menunjukkan bahawa mereka kenal Allah ﷻ. Cuma mereka menyembah ilah-ilah lain selain Allah ﷻ juga.
Begitu juga dengan masyarakat Arab yang kenal Allah ﷻ tetapi mereka sembah Allah ﷻ bersama dengan ilah-ilah dan pujaan yang lain. Ini juga tidak jauh beza dengan amalan kebanyakan daripada masyarakat kita yang tidak faham tauhid dan tidak faham maksud ilah. Mereka sangka mereka orang Islam dan beriman namun sebenarnya mereka berbuat syirik.
Begitu jugalah dengan masyarakat kita yang jahil bab tauhid dan syirik. Mereka tidak kenal apakah ilah itu kerana itu ramai yang berdoa menggunakan perantaraan seperti Nabi, wali dan malaikat. Mereka tidak tahu yang perkara itu dilarang dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an kerana larangan itu tidak jelas melainkan jikalau belajar tafsir dengan benar.
Kalimah أَجِئتَنا (adakah engkau datang kepada kami) adalah dalam bentuk istifham. Salah satu bentuk gaya bahasa yang digunakan Al-Quran adalah kalimat tanya atau istifham. Dalam Al-Qur’an sendiri, kalimat pertanyaan atau istifham itu memiliki banyak makna yang disesuaikan dengan konteks kalimat atau pembahasannya.
Istifham (اِسْتِفْهَامٌ) berasal daripada asal kata اِسْتَفْهَمَ yang bererti mencari atau meminta kefahaman. Mencari atau meminta kefahaman tersebut biasanya dengan bertanya. Sehingga, kata اِسْتِفْهَامٌ yang merupakan bentuk masdar daripada kata اِسْتَفْهَمَ tersebut diertikan dengan pertanyaan. Kata tersebut juga dapat diertikan dengan mencari sebuah berita. Ini adalah maksud asal. Akan tetapi bukan semua اِسْتَفْهَمَ itu hendak mendapatkan maklumat.
Kalimah أَجِئتَنا adalah jenis istifham inkari. Makna yang terkandung dalam istifham ini adalah penafian atau pengingkaran sehingga lafaz yang jatuh setelah adat al-istifham adalah sesuatu yang dinafikan.
وَنَذَرَ ما كانَ يَعبُدُ ءآباؤُنا
dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami?
Mereka tidak dapat menerima ajaran Nabi Hud عليه السلام yang mengajak mereka meninggalkan amalan dan ajaran tok nenek mereka yang dahulu kerana mereka sudah lama mengamalkannya dan mereka yakin bahawa ajaran tok nenek itu adalah benar.
Mereka rupanya menggunakan logik akal di dalam berhujah iaitu tidka mungkin tok nenek kami salah pula? Lama sudah mereka mengamalkan sekian dan sekian. Ini banyak disebut di dalam Al-Qur’an antaranya dalam [ Al-Baqarah: 170 ]
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآۗ أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?
Begitulah juga yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah, dan begitulah juga yang dikatakan oleh masyarakat kita. Apabila kita ajar ajaran tauhid kepada mereka, mereka bawa hujah yang amalan-amalan yang mereka amalkan itu sudah lama diamalkan oleh golongan terdahulu, jadi takkan salah? Takkan mereka semua masuk neraka?
Ini semua terjadi oleh kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an, hanya tahu baca sahaja bagaikan burung belatok. Mereka sampai tidak sedar yang hujah mereka itu sama sahaja dengan hujah kaum-kaum yang syirik yang menentang Rasul-rasul mereka.
فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ
maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau daripada orang-orang yang benar”.
Ini adalah kata-kata manusia yang amat bodoh sekali. Mereka tidak percaya dengan ancaman yang dibawa oleh Nabi Hud عليه السلام, maka mereka kata: “Kalau benarlah kami akan diazab kalau kami buat syirik ini, maka bawakanlah azab yang dijanjikan itu.”
Ini adalah kata-kata ingkar yang amat bahaya sekali. Sepatutnya mereka minta diselamatkan, atau minta diberi hidayah iaitu ditunjukkan mana yang benar, tetapi sekarang mereka minta azab diturunkan terus ke atas mereka? Dan memang ada juga manusia yang kata begini sekarang pun, kerana Allah ﷻ telah memberikan contoh dalam Al-Qur’an. Cuma mungkin jarang didengari kerana ia adalah kata-kata yang amat bodoh dan amat bahaya sekali.
Dalam ayat ini umat Nabi Hud عليه السلام hanya mencabar baginda, akan tetapi Musyrikin Mekah siap terus mencabar Allah ﷻ seperti disebut dalam [ Anfal: 32 ]
وَإِذ قالُوا اللَّهُمَّ إِن كانَ هٰذا هُوَ الحَقَّ مِن عِندِكَ فَأَمطِر عَلَينا حِجارَةً مِّنَ السَّماءِ أَوِ ائتِنا بِعَذابٍ أَليمٍ
Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Ya Allah, jika betul (Al Qur’an) ini benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih”.
A’raf Ayat 71:
قالَ قَد وَقَعَ عَلَيكُم مِّن رَّبِّكُم رِجسٌ وَغَضَبٌ ۖ أَتُجٰدِلونَني في أَسماءٍ سَمَّيتُموها أَنتُم وَءآباؤُكُم مّا نَزَّلَ اللَّهُ بِها مِن سُلطٰنٍ ۚ فَانتَظِروا إِنّي مَعَكُم مِّنَ المُنتَظِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Hūd] said, “Already have defilement and anger fallen upon you from your Lord. Do you dispute with me concerning [mere] names you have named them,¹ you and your fathers, for which Allāh has not sent down any authority? Then wait; indeed, I am with you among those who wait.”
- The false objects of worship which you have called “gods.”
MALAY
Nabi Hud menjawab: “Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan dari Tuhan kamu. Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya? Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu”.
قالَ قَد وَقَعَ عَلَيكُم مِّن رَّبِّكُم رِجسٌ وَغَضَبٌ
Nabi Hud menjawab: “Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan daripada Tuhan kamu.
Dalam ayat sebelum ini, kaum Nabi Hud عليه السلام mencabar baginda untuk menurunkan azab yang dijanjikan itu. Nabi Hud عليه السلام jawab bahawa memang Allah ﷻ akan menimpakan bala dan kemurkaan kepada mereka nanti. Kalimah asal bagi رِجسٌ adalah najis tetapi ia digunakan untuk membawa maksud azab dan juga laknat.
Azab sudah mula dikenakan kepada mereka pun dan nanti akan ada azab yang lebih teruk lagi. Azab itu adalah azab jasmani dan juga azab rohani. Maka, tidak perlu sibuk hendak minta azab, sebab memang akan kena pun nanti.
أَتُجٰدِلونَني في أَسماءٍ سَمَّيتُموها أَنتُم وَءآباؤُكُم
Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya,
Kemudian dikatakan kepada mereka, adakah patut mereka hendak berbantah dan berbahas dengan Nabi Hud عليه السلام dalam hal tauhid, di mana mereka mengeluarkan nama-nama ilah pujaan bathil mereka. Mereka telah mendirikan berhala sembahan mereka. Kemudian mereka sendiri menamakan berhala-berhala itu atau tok nenek mereka yang namakan.
Itu semua adalah rekaan mereka sahaja, bukan benar ada pun. Sepertimana orang kita mahu berhujah dengan nama-nama wali pujaan mereka. Mereka yang beri pangkat kepada wali itu, dan kemudian mereka berhujah dengannya pula.
Sebagai contoh, mereka kata boleh bertawasul dengan Syeikh Abdul Qadir Jalani kerana kononnya beliau itu al-Ghouth, berpangkat tinggi dan boleh menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Bagaimana kita hendak berhujah dengan mereka, sedangkan pangkat itu mereka sendiri yang reka dan mereka sendiri yang beri? Tidak masuk dek akal langsung.
مّا نَزَّلَ اللَّهُ بِها مِن سُلطٰنٍ
sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya?
Sedangkan pangkat-pangkat yang mereka reka itu tidak ada bukti pun daripada Allah ﷻ. Seperti orang Kristian yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام itu adalah ‘anak Allah’ – siapakah yang beri pangkat itu? Sudah tentu bukan Allah ﷻ, mereka sahaja yang reka.
Begitu juga dengan pangkat wali-wali itu – siapa yang beri, adakah Allah ﷻ yang memberikan kelulusan yang mengatakan Sheikh Abdul Qadir itu seorang wali? Atau Wali Songo itu semuanya wali? Siapakah yang melantik mereka dan bagaimana kita dapat kepastian itu? Mereka ada dapat wahyukah yang mengatakan individu-individu tersebut semuanya adalah wali? Sedangkan pangkat kewalian itu adalah rahsia Allah ﷻ – Allah ﷻ sahaja yang tahu siapakah wali-Nya.
فَانتَظِروا إِنّي مَعَكُم مِّنَ المُنتَظِرينَ
Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga daripada orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu”.
Sebelum ini mereka telah meminta azab diturunkan. Maka Nabi Hud عليه السلام jawab kepada mereka: tunggulah. Ini adalah keputusan terakhir kerana setelah diberikan dengan berbagai dalil, tetapi masih degil juga lagi, tidak ada harapan lagi, maka kata kepada mereka: tunggulah.
Nabi عليه السلام pun sama-sama tunggu, sebab baginda pun hendak tahu juga apa yang akan terjadi kepada kaumnya itu. Atau, baginda menunggu untuk mendapat nikmat daripada Allah ﷻ.
A’raf Ayat 72: Akhirnya kaumnya itu telah dikenakan dengan azab. Namun Allah ﷻ selamatkan Nabi Hud عليه السلام dan orang-orang yang beriman dengan Nabi Hud عليه السلام.
فَأَنجَينٰهُ وَالَّذينَ مَعَهُ بِرَحمَةٍ مِّنّا وَقَطَعنا دابِرَ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا ۖ وَما كانوا مُؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So We saved him and those with him by mercy from Us. And We eliminated those who denied Our signs, and they were not [at all] believers.
MALAY
Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat dari Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.
فَأَنجَينٰهُ وَالَّذينَ مَعَهُ بِرَحمَةٍ مِّنّا
Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat daripada Kami,
Apabila azab dikenakan kepada kaum Aad itu, Allah ﷻ telah menyelamatkan Nabi Hud عليه السلام dan mereka yang beriman. Allah ﷻ mengingatkan bahawa penyelamatan itu adalah daripada rahmat-Nya. Bukannya mereka selamat sendiri. Ini mengajar kita untuk mencari Allah ﷻ untuk selamat kerana usaha kita sendiri tidak akan berjaya. Maka mestilah berharap dan berdoa kepada Allah ﷻ.
Allah ﷻ selamatkan mereka itu dengan rahmat-Nya. Memang kita amat berharap dengan rahmat Allah ﷻ. Tidak ada harapan bagi kita jikalau tidak mendapat rahmat daripada Allah ﷻ. Hendak masuk syurga pun perlukan rahmat, bukan?
Namun bagaimanakah hendak mendapatkan rahmat daripada Allah ﷻ? Tentulah tidak dengan bergoyang kaki sahaja. Hendaklah taat kepada segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Antara lain, mestilah bertadabbur dan mengamalkan ajaran Al-Qur’an kerana ia mengandungi rahmat daripada Allah ﷻ seperti disebut di dalam [ Isra’: 82 ]
وَنُنَزِّلُ مِنَ القُرآنِ ما هُوَ شِفاءٌ وَرَحمَةٌ لِلمُؤمِنينَ
Dan Kami turunkan daripada Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman
Namun begitu dalam ayat ini, Allah ﷻ tidak pun kata ‘orang-orang beriman’ itu diselamatkan. Allah ﷻ sebut yang ‘bersama’ dengan Nabi Hud عليه السلام. Ini mengajar kita bahawa orang beriman itu akan bersama Nabi mereka, beramal dan beraqidah sama dengan Nabi mereka. Bukannya mereka reka amalan yang baru, tetapi mereka ikut sunnah Nabi mereka. Maka ini mengajar kita untuk lihat amalan agama kita, adakah ia sunnah atau bid’ah?
وَقَطَعنا دابِرَ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا
dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami,
Allah ﷻ telah memusnahkan keturunan mereka yang kufur itu hingga ke akar umbi. Maknanya, tidak tinggal baka langsung, semuanya mati, pupus terus.
Allah ﷻ mengirimkan kepada mereka angin besar yang sangat dingin. Tidak ada sesuatu pun yang disentuh angin ini, melainkan pasti hancur berserakan, seperti yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:
{وَأَمَّا عَادٌ فَأُهْلِكُوا بِرِيحٍ صَرْصَرٍ عَاتِيَةٍ * سَخَّرَهَا عَلَيْهِمْ سَبْعَ لَيَالٍ وَثَمَانِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومًا فَتَرَى الْقَوْمَ فِيهَا صَرْعَى كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ خَاوِيَةٍ * فَهَلْ تَرَى لَهُمْ مِنْ بَاقِيَةٍ}
Adapun kaum ‘Ad, maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus-menerus; maka kamu lihat kaum ‘Ad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul-tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk). Maka kamu tidak melihat seorang pun yang tinggal di antara mereka.
وَما كانوا مُؤمِنينَ
dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.
Mereka yang dimusnahkan itu tidak beriman langsung. Memang layak mereka dimusnahkan. Allah ﷻ tidak zalim walaupun Allah ﷻ membinasakan mereka. Ini adalah kerana mereka memang layak dihancurkan.
Allah ﷻ mengatakan mereka tidak beriman. Mereka sahaja yang perasan mereka beriman, tetapi Allah menegaskan yang mereka tidak.
Habis Ruku’ 9 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.
A’raf Ayat 73: Sekarang masuk kisah ketiga, iaitu kisah Nabi Saleh عليه السلام dan kaumnya Tsamud. Kita telah belajar kisah Nabi Nuh عليه السلام dan Nabi Hud عليه السلام sebelum ini.
وَإِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا ۗ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ قَد جاءَتكُم بَيِّنَةٌ مِن رَّبِّكُم ۖ هٰذِهِ ناقَةُ اللَّهِ لَكُم ءآيَةً ۖ فَذَروها تَأكُل في أَرضِ اللَّهِ ۖ وَلا تَمَسّوها بِسوءٍ فَيَأخُذَكُم عَذابٌ أَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And to the Thamūd [We sent] their brother Ṣāliḥ. He said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. There has come to you clear evidence from your Lord. This is the she-camel of Allāh [sent] to you as a sign. So leave her to eat within Allāh’s land and do not touch her with harm, lest there seize you a painful punishment.
MALAY
Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Saleh. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, tiada ilah bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
وَإِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا
Dan kepada kaum Tsamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Saleh.
Selepas hancurnya kaum Aad, dibangkitkan kaum Tsamud. Mereka telah diberikan dengan Nabi Saleh عليه السلام, iaitu dalam kalangan mereka, daripada saudara mereka juga. Baginda kenal mereka dan mereka juga kenal baginda. Mereka tahu akhlak baginda dan keturunan baginda yang baik. Maka, apabila mereka tolak juga baginda, maka ini menunjukkan yang mereka itu memang orang yang amat teruk.
Tempat kediaman Kaum Tsamud ini pernah dilalui oleh Nabi Muhammad ﷺ dan sahabat dalam perjalanan ke Tabuk. Namun Nabi ﷺ tidak membenarkan mereka duduk lama di situ. Tempat itu dikenali sebagai Madain Saleh.
وَقَالَ[الْإِمَامُ] أَحْمَدُ أَيْضًا: حَدَّثَنَا عَفَّانُ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُسْلِمٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ دِينَارٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ بِالْحِجْرِ: “لَا تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلَاءِ المعذَّبين إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ، فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا بَاكِينَ، فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِمْ أَنْ يُصِيبَكُمْ مثلُ مَا أَصَابَهُمْ”
Imam Ahmad رحمه الله mengatakan pula, telah menceritakan kepada kami Affan, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnu Muslim, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Dinar, daripada Abdullah ibnu Umar رضي الله عنهما yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ ketika di Al-Hajar pernah bersabda: Janganlah kalian memasuki daerah mereka yang pernah diazab itu kecuali kalian sambil menangis. Dan jika kalian tidak dapat menangis, janganlah kalian memasukinya, (sebab) dikhuatirkan kalian akan ditimpa azab seperti yang pernah menimpa mereka.
(Hadith Riwayat Bukhari (433))
قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ
Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, tiada ilah bagi kamu selain daripada-Nya.
Mesej dan pesanan yang sama seperti daripada Nabi Nuh dan Nabi Hud عليهما السلام disampaikan juga kepada kaum Tsamud. Ajaran tauhid tidak berubah, sama sahaja sepanjang zaman.
Ada dua bahagian di dalam arahan ini. Pertama ithbat dan keduanya, nafi. Ini sama seperti syahadah kita juga: la ilaaha (ini adalah nafi, menafikan tuhan lain) dan illallah (ini adalah ithbat, menetapkan Allah ﷻ sebagai ilah). Maka dalam ayat ini, kalimat اعبُدُوا اللَّهَ adalah ithbat dan ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُ adalah nafi. Maka lengkaplah kalimah tauhid di dalam ayat ini.
قَد جاءَتكُم بَيِّنَةٌ مِن رَّبِّكُم
Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata daripada Tuhan kamu;
Keterangan yang nyata yang dimaksudkan adalah mukjizat. Mukjizat yang diberikan adalah untuk menguatkan hujah para Rasul. Untuk menunjukkan bahawa mereka itu benar seorang Rasul. Mukjizat diberikan kepada para Rasul kerana mereka menyampaikan perkara yang besar dan berat dan kerana itu Allah ﷻ beri bantuan yang lebih kepada mereka sebagai hujah.
Bagi umat Islam sekarang, sudah tidak ada mukjizat lagi kerana tidak ada Nabi lagi dalam kalangan kita. Akan tetapi di tangan kita masih ada lagi mukjizat Rasulullah ﷺ, iaitu Al-Qur’an. Sampai ke Kiamat kita boleh lihat dan pelajari mukjizat ini. Sedangkan mukjizat para Nabi yang terdahulu, kita sudah tidak dapat lihat.
Bukti yang Nabi Saleh عليه السلام bawakan adalah jelas, iaitu mukjizat. Mereka boleh lihat dengan mata kepala mereka sendiri. Oleh sebab itu, apabila mereka menolak juga nanti dakwah daripada baginda, maka tahulah kita yang mereka ini memang amat teruk sekali.
هٰذِهِ ناقَةُ اللَّهِ لَكُم ءآيَةً
ini adalah seekor unta betina (daripada) Allah sebagai keterangan bagi kamu
Mukjizat yang dimaksudkan adalah seekor unta yang dikeluarkan daripada bukit batu. Ia disebut ناقَةُ اللَّهِ kerana ia adalah mulia. Apabila ia disandarkan kepada Allah ﷻ, maka ia adalah mulia seperti Baitullah juga disandarkan kepada Allah ﷻ.
Kaum Tsamud juga yang meminta mukjizat itu daripada Nabi Saleh عليه السلام. Nabi Saleh عليه السلام telah berdakwah kepada mereka semenjak usia muda sehinggalah baginda sudah tua. Mereka sudah bosan dengan dakwah baginda dan akhirnya mereka bercadang untuk meminta sesuatu yang mustahil daripada baginda. Jika baginda tidak dapat beri, maka menanglah mereka kira-kiranya.
Mereka meminta kepada Nabi Saleh عليه السلام untuk mengeluarkan seekor unta betina yang unggul daripada batu besar buat mereka. Bukan sahaja itu, unta itu mestilah unta yang sudah bunting 10 bulan dan sihat. Maka Nabi Saleh عليه السلام bersetuju tetapi sebelum itu telah membuat perjanjian dan ikrar dengan mereka: Jika Allah ﷻ mengabulkan permintaan mereka, maka mereka hendaklah beriman kepada Nabi Saleh عليه السلام dan benar-benar akan mengikutinya.
Setelah mereka bersedia dan memberikan janji dan ikrar mereka kepadanya, maka Nabi Saleh عليه السلام bangkit menuju ke tempat salatnya untuk salat dua rakaat dan berdoa memohon kepada Allah ﷻ. Maka batu besar itu mendadak bergerak dan terbelah, kemudian keluarlah daripadanya seekor unta betina yang janinnya bergerak pada kedua sisi lambungnya (iaitu sedang mengandung kembar), sama seperti apa yang mereka minta.
Akhirnya kita pun tahu yang mereka tetap juga tidak beriman. Tidakkah Allah ﷻ tahu? Akan tetapi kenapa Allah ﷻ beri juga? Ini sebagai ujian kepada mereka dan pengajaran kepada kita. Mengajar kita yang manusia yang sombong dan degil itu tidak akan beriman walaupun ditunjukkan dengan mukjizat dan bukti. Ini kerana hati mereka degil untuk menerima kebenaran.
فَذَروها تَأكُل في أَرضِ اللَّهِ
Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah,
Setelah dikeluarkan unta betina itu daripada bukit batu seperti yang mereka minta, mereka hendaklah menerima syarat yang diberikan kepada mereka iaitu biarlah ia bebas makan di bumi. Ini kerana Allah ﷻ yang menjadikan unta itu dan Allah ﷻ yang menjadikan bumi ini dan segala tanaman di atasnya, bukan kaum Tsamud itu. Maka tidak salah langsung apa sahaja yang dimakan oleh binatang daripada tumbuhan di alam ini yang bukan diusahakan oleh mereka.
Cuma air mereka kena kongsi. Unta betina itu berserta anaknya sesudah ia melahirkannya tinggal bersama kaum Tsamud dalam suatu masa. Unta itu minum dari air sumur mereka sehari, dan hari yang lainnya air sumur itu merupakan bahagian untuk minum mereka pula. Ini kerana hari unta itu minum, akan habis air dalam telaga itu dan tidak ada bahagian lagi untuk mereka.
Walau bagaimanapun pada hari minum unta itu, mereka dapat minum air susu unta itu yang mereka perah. Air susunya dapat memenuhi semua keperluan minuman mereka menurut kehendak mereka. Maka sebenarnya tidak ada masalah pun. Hal ini dikisahkan oleh Allah ﷻ melalui firman-Nya:
{وَنَبِّئْهُمْ أَنَّ الْمَاءَ قِسْمَةٌ بَيْنَهُمْ كُلُّ شِرْبٍ مُحْتَضَرٌ}
Dan beritakanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya air itu terbahagi antara mereka (dengan unta betina itu); tiap-tiap giliran minum dihadiri (oleh yang punya giliran).
Di dalam ayat yang lain pula:
قالَ هٰذِهِ ناقَةٌ لَّها شِربٌ وَلَكُم شِربُ يَومٍ مَّعلومٍ
Saleh menjawab: “Ini seekor unta betina, ia mempunyai giliran untuk mendapatkan air, dan kamu mempunyai giliran pula untuk mendapatkan air di hari yang tertentu.
وَلا تَمَسّوها بِسوءٍ
dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya;
Mereka diberi syarat untuk membiarkan unta itu berjalan buat hal dia di bumi Allah ﷻ. Mereka dilarang daripada menyakiti unta itu dengan sebarang gangguan.
فَيَأخُذَكُم عَذابٌ أَليمٌ
maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Jangan ganggu dan sakiti unta itu, dan sekiranya mereka lakukan juga, mereka akan ditimpa azab yang pedih. Amaran telah diberi dari awal lagi.
Sebenarnya selepas keluarnya mukjizat unta itu, ada dalam kalangan kaum Tsamud itu telah beriman. Namun begitu ada juga yang kemudiannya telah murtad. Ini kerana ketua kaum yang mengajak mereka kembali kepada agama syirik seperti sebelumnya. Nabi Saleh takut azab akan menimpa kepada mereka kerana mereka telah memungkiri janji. Oleh itu baginda menasihati mereka jangan ganggu unta itu sekurang-kurangnya. Agar azab tidak dikenakan kepada mereka dan memberi peluang lagi kepada mereka untuk bertaubat. Sekirnya mereka mengganggu unta itu, maka tiada harapan lagi bagi mereka.
A’raf Ayat 74:
وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ عادٍ وَبَوَّأَكُم فِي الأَرضِ تَتَّخِذونَ مِن سُهولِها قُصورًا وَتَنحِتونَ الجِبالَ بُيوتًا ۖ فَاذكُروا ءآلاءَ اللَّهِ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And remember when He made you successors after the ‘Aad and settled you in the land, [and] you take for yourselves palaces from its plains and carve from the mountains, homes. Then remember the favors of Allāh and do not commit abuse on the earth, spreading corruption.”
MALAY
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu pengganti sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu melampau melakukan kerosakan di muka bumi”.
وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ عادٍ
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu pengganti sesudah kaum Aad,
Ini adalah dakwah Nabi Saleh عليه السلام kepada kaumnya. Baginda suruh mereka ingatlah nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Kaum Tsamud ini telah mengganti (maksud khalifah adalah mengganti) mengambil tempat tinggalan Kaum Aad. Mereka telah dilantik menjadi penduduk baru di tempat itu dengan segala nikmat-nikmat yang ada iaitu di Tanah Arab walaupun bukanlah di tempat yang sama.
Disebut tentang kaum Aad supaya mereka kenang semula apa yang terjadi kepada kaum Aad itu kerana amalan syirik mereka. Maka kaum Tsamud diingatkan supaya janganlah jadi seperti kaum Aad itu pula.
وَبَوَّأَكُم فِي الأَرضِ تَتَّخِذونَ مِن سُهولِها قُصورًا
dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata,
Salah satu daripada nikmat besar yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka, Allah ﷻ telah menempatkan mereka di satu daerah yang hebat. Lafaz وَبَوَّأَكُم bermaksud mereka diberikan kemudahan untuk tinggal di mana sahaja yang mereka hendak.
Di tanah lapang, mereka boleh membina istana mereka.
وَتَنحِتونَ الجِبالَ بُيوتًا
dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah.
Mereka boleh pahat gunung-gunung sebagai rumah mereka. Maknanya, tanah lapang mereka boleh tinggal, di kawasan pergunungan pun mereka boleh tinggal. Maknanya mereka kuat. Musim panas mereka duduk di istana yang di luar dan musim sejuk mereka duduk di rumah dalam gunung ganang. Mereka memang hebat dalam perkara ini. Tinggalan mereka masih lagi boleh dilihat bagaimana cantiknya tempat tinggal mereka.

فَاذكُروا ءآلاءَ اللَّهِ
Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu
Maka kenanglah nikmat yang Allah ﷻ telah berikan itu. Sekiranya kita menghargai segala nikmat yang Allah ﷻ telah berikan, maka kita akan hanya sembah Dia sahaja dan taat kepada segala suruhan-Nya.
وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ
dan janganlah kamu melampau dengan melakukan kerosakan di muka bumi”.
Janganlah melampau berbuat kerosakan di muka bumi ini. Kerosakan yang dimaksudkan adalah kerosakan dari segi agama iaitu meninggalkan tauhid dan mengamalkan syirik. Itu adalah kerosakan yang paling besar sekali.
Allah tambah di dalam hujung ayat ini dengan kalimah مُفسِدينَ iaitu dalam bentul hal. Iaitu mereka buat kerosakan yang buruk. Kerana bukan semua yang merosakkan itu buruk. Sebagai contoh kisah Nabi Khidr yang rosakkan kapal, ia bersebab; Rasulullah pun pernah bakar pohon-pohon tamar puak Yahudi untuk muslihat perang. Jadi yang dilarang adalah merosakkan untuk keburukan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 10 Oktober 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir