Tafsir Surah al-A’raf Ayat 75 – 80 (Kisah Nabi Luth عليه السلام)

A’raf Ayat 75: Dalam kalangan Kaum Tsamud itu, ada kumpulan yang beriman dan ada yang kufur. Dua ayat selepas ini adalah dialog di antara kedua-duanya.

قالَ المَلَأُ الَّذينَ استَكبَروا مِن قَومِهِ لِلَّذينَ استُضعِفوا لِمَن ءآمَنَ مِنهُم أَتَعلَمونَ أَنَّ صٰلِحًا مُّرسَلٌ مِّن رَّبِّهِ ۚ قالوا إِنّا بِما أُرسِلَ بِهِ مُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent ones who were arrogant among his people to those who were oppressed – to those who believed among them, “Do you [actually] know that Ṣāliḥ is sent from his Lord?” They said, “Indeed we, in that with which he was sent, are believers.”

MALAY

Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka: “Adakah kamu pasti bahawa Soleh itu diutus dari Tuhannya?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang ia diutus untuk menyampaikannya”.

 

قالَ المَلَأُ الَّذينَ استَكبَروا مِن قَومِهِ

Ketua-ketua yang sombong takbur daripada kaumnya berkata

Sekali lagi, yang berbuat onar itu adalah ketua-ketua kaum yang ada kuasa, ada kekayaan dan ada pengaruh. Mereka itu sombong untuk terima kebenaran.

Di sini Allah ﷻ tidak sebut mereka kufur walaupun memang mereka kufur. Namun Allah ﷻ sebut mereka sombong. Maka, di sini kita dapat tahu yang manusia menjadi kufur kerana sombong di mana mereka berasa diri mereka besar, lebih pandai dan tidak memerlukan wahyu lagi.

Kita selalu dengar sombong, sombong. Namun apakah ia? Sombong ada dua jenis. Satu jenis sombong seperti Kaum Tsamud ini. Mereka berasa diri mereka sudah besar, lebih bijak pandai, lebih berilmu. Oleh sebab itu, apabila Nabi Saleh عليه السلام menyampaikan dakwah kepada mereka, mereka tidak mahu dengar. Orang sombong jenis begini selalu sahaja kita jumpa. Terutama mereka yang sudah banyak belajar agama sekian lama, apabila kita sampaikan ajaran wahyu kepada mereka, mereka tidak mahu terima.

Satu lagi sombong adalah rasa diri lebih hebat daripada orang lain. Mereka berasa mereka lebih kaya, lebih kuat, lebih baik keturunan, bangsa dan lain-lain. Ini pun memang bahaya.

Begitu juga dengan kita yang sudah belajar ini mungkin ada sedikit sebanyak berasa lebih pandai daripada orang lain, bukan? Maka kenalah jaga hati. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan harus mempunyai rasa rendah diri. Jika ilmu kita banyak pun, ini kerana Allah ﷻ yang berikan kepada kita kerana kita dulupun yang belajar daripada orang lain juga. Jangan sesekali memandang rendah terhadap orang lain yang belum pandai. Entah apabila dia terima agama dan dia belajar, mungkin dia lebih pandai daripada kita. Maka jangan sombong.

 

لِلَّذينَ استُضعِفوا لِمَن ءآمَنَ مِنهُم

kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka:

Maka telah berkata golongan pembesar yang sombong itu kepada golongan yang lemah dan yang sudah beriman. Maka, ada dua sifat di situ: lemah dan beriman. Ini kerana ada juga yang lemah dan tidak beriman. Tidaklah dalam semua zaman, semua yang lemah itu akan beriman. Cuma, yang selalu terjadi, ramai dalam kalangan yang beriman itu adalah mereka yang lemah.

Dari segi bahasa, kalimah استَكبَروا (mereka telah sombong) adalah dalam bentuk aktif; maksudnya mereka sendiri yang melakukannya. Sedangkan kalimah استُضعِفوا (dipandang lemah) pula adalah sifat orang yang beriman di dalam bentuk pasif di mana mereka dipandang lemah oleh orang-orang kafir itu. Orang kafir itulah yang memandang orang beriman itu lemah. Sedangkan tidak ada apa-apa masalah pun dengan mereka. Namun, biasalah orang kaya, suka sahaja hendak memandang rendah kepada orang yang kurang daripadanya.

 

أَتَعلَمونَ أَنَّ صٰلِحًا مُّرسَلٌ مِّن رَّبِّهِ

“Adakah kamu pasti bahawa Saleh itu diutus daripada Tuhannya?”

Mereka bertanya kepada golongan yang lemah itu, adakah mereka benar-benar yakin dan pasti yang Nabi Saleh عليه السلام itu benar-benar seorang Rasul? Ini adalah cubaan untuk menimbulkan keraguan dalam diri orang beriman itu. Sama seperti orang kita cuba hendak melemahkan pegangan orang lain, mereka akan berkata: “Bagaimana kamu tahu yang dia itu benar?”

Sama juga seperti orang ateis yang tidak percayakan Tuhan, mereka akan bertanya kepada orang yang ada agama dan percaya Tuhan: “Kau percaya ada orang yang boleh bercakap dengan satu entiti yang tinggal di langit?”

Bagaimanakah jawapan kita kepada soalan sebegitu?

 

قالوا إِنّا بِما أُرسِلَ بِهِ مُؤمِنونَ

Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang dia diutus untuk menyampaikannya”.

Orang yang beriman itu telah menjawab: Segala wahyu yang disampaikan oleh Nabi Saleh عليه السلام itu, kami beriman. Mereka berkata dengan penuh keyakinan.

Begitulah juga kita kalau ada orang yang mempersoalkan kewujudan Allah ﷻ, kita kena jawab dengan penuh yakin, yang kita percaya kepada kewujudan Allah ﷻ itu. Jika dia tidak percaya, maka itu terpulang kepada dirinya sendiri dan dia sendiri yang akan menanggung di atas penolakannya itu. Namun kita mestilah yakin dengan pegangan kita. Jangan terkesan dengan kata-kata manusia yang hendak menimbulkan keraguan itu.

Lihatlah bagaimana orang beriman daripada umat Nabi Saleh عليه السلام itu menjawab dengan penuh yakin. Maksudnya mereka tidak takut dengan pembesar. Begitulah apabila iman sudah meresap masuk ke dalam hati, tidak ada lagi rasa takut terhadap manusia. Kita lebih takut dengan Allah ﷻ. Manusia walaupun ada kedudukan dan kuasa, mereka tidak boleh berbuat apa-apa tanpa keizinan Allah ﷻ. Walaupun mereka memberi ancaman untuk menangkap dan penjarakan kita, sakiti kita, bunuh kita, namun tetaplah di atas iman kerana kita akan bertemu dengan Allah ﷻ akhirnya dan akan mendapat balasan besar di atas keyakinan kita di atas agama.

Semoga kita mendapat iman ini. Mungkin belum ada lagi agaknya. Sekarang ramai takut sangat orang gelar dia sebagai ‘wahabi’. Atau orang pandang dia pelik kerana mengamalkan sunnah. Baru orang cakap sahaja sudah gerun, bagaimana hendak dakwah orang lain? Maknanya iman belum kuat lagi dan iman boleh ditingkatkan dengan ilmu.


 

A’raf Ayat 76: Kata-kata jawapan daripada golongan beriman itu tidak memberi kesan langsung kepada orang kafir yang telah kaya itu.

قالَ الَّذينَ استَكبَروا إِنّا بِالَّذي ءآمَنتُم بِهِ كٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said those who were arrogant, “Indeed we, in that which you have believed, are disbelievers.”

MALAY

Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya”.

 

Para pembesar itu tetap ingkar dengan dakwah tauhid yang dibawa oleh Nabi Saleh عليه السلام. Walaupun setelah diberikan dengan berbagai dalil daripada Nabi Saleh عليه السلام dan bukti-bukti kenabian baginda, mereka tetap juga engkar.

Apabila digunakan lafaz بِالَّذي dalam ayat ini, itu bermakna mereka tahu apakah yang dibawa oleh Nabi Saleh عليه السلام. Ini kerana jika mereka tidak tahu, lafaz yang digunakan adalah ما sahaja. Maka ini membuktikan yang mereka bukanlah jahil, tetapi mereka ingkar sahaja.


 

A’raf Ayat 77:

فَعَقَرُوا النّاقَةَ وَعَتَوا عَن أَمرِ رَبِّهِم وَقالوا يٰصٰلِحُ ائتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ المُرسَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they hamstrung the she-camel and were insolent toward the command of their Lord and said, “O Ṣāliḥ, bring us what you promise us, if you should be of the messengers.”

MALAY

Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: “Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)”.

 

فَعَقَرُوا النّاقَةَ

Maka mereka pun menyembelih unta itu,

Kaum Tsamud telah diberikan dengan mukjizat unta betina. Unta itu mereka sendiri yang minta sebagai bukti. Namun akhirnya mereka sembelih unta mukjizat itu. Setelah unta tersebut hidup bersama mereka cukup lama dalam kalangan mereka, dan mereka semakin hebat dalam mendustakan Nabi Saleh عليه السلام, maka mereka bertekad untuk membunuh unta betina itu dengan tujuan agar bahagian airnya dapat mereka peroleh setiap harinya – tidaklah lagi berkongsi air dengan unta itu kerana hari unta itu minum, mereka mereka tidak dapat minum air.

Ada kisah yang menyebut dua orang wanita menawarkan diri mereka kepada sesiapa yang berani membunuh unta itu. Ini kerana asalnya walaupun mereka semua benci kepada unta itu, tetapi mereka takut juga untuk membunuhnya kerana takut balasan azab daripada Allah ﷻ.

Menurut suatu pendapat, mereka semuanya sepakat untuk mem­bunuh unta betina itu. Qatadah رحمه الله mengatakan: “telah sampai kepadaku suatu kisah yang mengatakan bahwa lelaki yang membunuh unta itu terlebih dahulu berkeliling menemui semua kaumnya untuk memperoleh persetujuan dalam membunuh unta itu; yang dimintai persetujuan termasuk kaum wanita yang berada di dalam khemah-khemah dan juga anak-anak.”

Maka perbuatan membunuh unta itu disandarkan kepada keseluruhan kabilah, walaupun  yang membunuhnya adalah seorang lelaki sahaja kerana mereka semuanya setuju dengan perbuatannya. Kisah ini juga disebut dalam [ Syams: 12 ].

 

وَعَتَوا عَن أَمرِ رَبِّهِم

dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka,

Mereka telah menderhaka arahan Allah ﷻ. Lafaz عَتَوا berasal daripada katadasar ع ت و yang bermaksud melawan jenis hendak menunjuk mereka melawan. Ini kerana ada juga jenis melawan tetapi di belakang sahaja. Namun mereka ini memang melawan dengan cara berdepan. Sengaja hendak menunjuk yang mereka tidak suka dan berani.

Allah ﷻ menggunakan kalimah ربّ (Tuhan yang mencipta dan memelihara) di dalam ayat ini. Kalimah ini hendak menekankan yang Allah ﷻ telah berikan segalanya kepada mereka akan tetapi mereka tetap derhaka juga kepada-Nya.

 

وَقالوا يٰصٰلِحُ ائتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ المُرسَلينَ

dan mereka berkata: “Hai Saleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau daripada Rasul-rasul yang diutus

Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka. Mereka telah membunuh unta mukjizat itu walaupun mereka tahu ada amaran daripada Allah ﷻ tentang larangan mengganggu unta itu. Namun mereka lakukan juga dan mereka kata bawalah kepada mereka azab itu.

Setelah mereka melakukan hal tersebut dan penyembelihan unta betina itu telah selesai mereka kerjakan, beritanya sampai kepada Nabi Saleh عليه السلام. Maka Nabi Saleh عليه السلام mendatangi mereka di saat mereka sedang berkumpul. Ketika Nabi Saleh عليه السلام melihat bahawa unta betina itu telah disembelih, baginda menangis dan berkata, seperti yang dikisahkan oleh firman-Nya:

تَمَتَّعُوا فِي دَارِكُمْ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ

Bersuka rialah kalian di rumah kalian selama tiga hari. [ Hud: 65 ], hingga akhir ayat.

Akan tetapi mereka tidak takut, malah mereka menganjing Nabi Saleh عليه السلام untuk membawakan azab itu dengan kadar segera. Pembunuhan unta tersebut terjadi pada hari Rabu. Pada petang harinya kesembilan orang lelaki yang telah membunuh unta itu telah bertekad akan membunuh Nabi Saleh عليه السلام pula. Mereka mengatakan, “Jika dia benar, maka bererti kita mendahuluinya mati sebelum kita mati (kerana azab). Jika dia dusta, maka kita timpakan kepadanya nasib yang sama seperti yang dialami untanya itu.” Ini disebut dalam [ Naml: 50 ].


 

A’raf Ayat 78: Inilah balasan yang dikenakan kepada mereka.

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the earthquake seized them, and they became within their home [corpses] fallen prone.

MALAY

Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

 

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ

Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi,

Kerana kesalahan mereka itu, mereka telah ditimpa dengan gegaran dan tempikan. Gegaran itu dari bumi, dan tempikan itu dari langit. Ia menyebabkan kekacauan yang amat sangat, dahsyat sekali. Maknanya mereka terima azab dari atas dan bawah. Tempikan itu tidak disebut di sini tetapi ada disebut di dalam [ Hijr: 83 ].

فَأَخَذَتهُمُ الصَّيحَةُ مُصبِحينَ

Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur (guruh) di waktu pagi,

 

فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ

lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

Gegaran dan tempikan itu telah mematikan mereka dan mereka jatuh sendiri dalam runtuhan rumah mereka, dalam keadaan mereka menyembah bumi. Keras kaku di situ tidak dipedulikan oleh sesiapa. Kalimah فَأَصبَحوا bermaksud ‘menjadilah mereka’.

Lafaz فَأَصبَحوا juga boleh bermaksud mereka jadi begitu apabila waktu subuh datang. Semua rumah mereka hancur. Lafaz جاثِمينَ asalnya digunakan untuk burung yang sudah tidak boleh terbang lagi, kerana sakit, hanya duduk di tanah sahaja. Memberi gambaran bahawa kaum Tsamud itu jatuh bergelimpangan di atas tanah sahaja.

Mayat mereka bergelimpangan. Di awal kisah mereka telah disebut bagaimana mereka diberikan kelebihan duduk di rumah yang hebat. Namun sekarang, disebut tentang mereka tidak ada kuasa langsung dan mereka mati dalam keadaan hina dina di rumah mereka yang hebat itu.

Rasulullah ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم pernah melalui kawasan ini.

إِنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ قَالَ مَرَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْحِجْرِ فَقَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُوا مَسَاكِنَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ حَذَرًا أَنْ يُصِيبَكُمْ مِثْلُ مَا أَصَابَهُمْ ثُمَّ زَجَرَ فَأَسْرَعَ حَتَّى خَلَّفَهَا

Abdullah bin ‘Umar ضي الله عنهما menceritakan: (Pada tahun ke 9 Hijri ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahankan Madinah daripada kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Tsamud yang dimusnahkan Allah ﷻ) bersama Rasulullah ﷺ. Baginda lantas bersabda: “JANGAN KALIAN MASUK KE NEGERI KAUM YANG MENZALIMI DIRI MEREKA SENDIRI (YANG AKHIRNYA DIMUSNAHKAN ALLAH ﷻ) MELAINKAN DALAM KEADAAN MENANGIS BIMBANGKAN AZAB YANG PERNAH MENIMPA MEREKA AKAN TURUT MENIMPA KALIAN.” Kemudian baginda mempercepatkan langkahnya sehingga meninggalkan tempat itu.

(Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengajar kita yang tempat itu bukanlah tempat untuk dilawati. Dan kalau terpaksa lalu pun, mesti menangis. Allah ﷻ kekalkan tempat sebegitu supaya menjadi peringatan dan pengajaran kepada manusia.


 

A’raf Ayat 79:

فَتَوَلّىٰ عَنهُم وَقالَ يٰقَومِ لَقَد أَبلَغتُكُم رِسالَةَ رَبّي وَنَصَحتُ لَكُم وَلٰكِن لّا تُحِبّونَ النّٰصِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he [i.e., Ṣāliḥ] turned away from them and said, “O my people, I had certainly conveyed to you the message of my Lord and advised you, but you do not like advisors.”

MALAY

Maka Nabi Saleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat”.

 

فَتَوَلّىٰ عَنهُم

Maka dia (Nabi Saleh) pun meninggalkan mereka

Seperti yang telah diberitahu sebelum ini, Allah ﷻ menyelamatkan orang beriman daripada dikenakan dengan azab itu. Mereka diperintahkan untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka diberitahu oleh malaikat yang tempat mereka akan dikenakan dengan azab dan mereka dibawa pergi dari situ.

 

وَقالَ يٰقَومِ لَقَد أَبلَغتُكُم رِسالَةَ رَبّي

sambil berkata: “Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, 

Lihatlah adab Nabi Saleh عليه السلام. Setelah mereka mati pun baginda masih lagi memanggil mereka dengan gelaran yang baik: ‘Wahai kaumku’.

Nabi Saleh عليه السلام memberitahu yang baginda telah menyampaikan wahyu daripada Tuhan kepada mereka. Mungkin Nabi Saleh عليه السلام berkata sendirian sahaja, selepas mereka dihancurkan. Ini adalah sebagai madah sahaja, mengenangkan kekesalan di atas perkara yang telah berlaku. Atau mungkin sebelum mereka dikenakan dengan azab. Tapi cuma dari bahasa yang digunakan, ia selepas mereka telah dimusnahkan.

Ungkapan ini merupakan kecaman daripada Nabi Saleh عليه السلام terhadap kaumnya setelah Allah ‎ﷻ memusnahkan mereka kerana menentangnya, membangkang terhadap perintah Allah ‎ﷻ, serta takabbur tidak mahu menerima kebenaran, dan berpaling daripada petunjuk menuju kepada kehancuran. Nabi Saleh عليه السلام mengatakan demikian kepada mereka setelah mereka dibinasakan sebagai kecaman dan cemuhan, kerana mereka memang mendengarnya walaupun mereka sudah mati.

Jangan pula dijadikan dalil untuk mengatakan yang orang yang sudah mati mendengar suara mereka yang hidup. Ini adalah mukjizat yang Allah ‎ﷻ berikan pada waktu itu sahaja, dan kejadian yang sama seperti yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ seperti yang disebutkan di dalam kitab Sahihain, bahawa ketika Rasulullah ﷺ beroleh kemenangan dalam Perang Badar, maka baginda tinggal di Badr selama tiga hari.

Setelah itu baginda memerintah­kan agar unta kenderaannya dipersiapkan untuk berangkat; hal ini terjadi setelah tiga malam berlangsung, iaitu pada penghujungnya. Rasulullah ﷺ menaiki unta kenderaannya dan berjalan sampai di sumur Qulaib, lalu berhenti berdekatannya dan bersabda:

يَا أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ، يَا عُتْبَةُ بْنَ رَبِيعَةَ، يَا شَيْبَةُ بْنَ رَبِيعَةَ، وَيَا فُلَانُ بْنَ فُلَانٍ: هَلْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا؟ فَإِنِّي وَجَدْتُ مَا وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا”. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا تُكَلّم مِنْ أَقْوَامٍ قَدْ جُيِّفُوا؟ فَقَالَ: “وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ لِمَا أَقُولُ مِنْهُمْ، وَلَكِنْ لَا يُجِيبُونَ”.

Hai Abu Jahal ibnu Hisyam, hai Atabah ibnu Rabi’ah, hai Syaibah ibnu Rabi’ah, dan hai Fulan bin Fulan, bukankah kalian sekarang telah menjumpai apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kalian sebagai suatu kenyataan. Kerana sesungguhnya aku pun telah menjumpai apa yang telah dijanjikan oleh Tuhanku kepadaku secara nyata. Maka Umar bertanya kepada Nabi ﷺ, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau berbicara kepada orang-orang yang telah menjadi bangkai?” Rasulullah ﷺ bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-­Nya, kalian sekali-kali bukanlah orang-orang yang lebih mendengar perkataanku daripada mereka, tetapi mereka tidak dapat menjawab.

(Hadith Riwayat Sahih Muslim (2874), An-Nasai’iy (2075), Ahmad (13296))

Kita kena terima kejadian ini sebagai mukjizat waktu itu sahaja, kerana tidak ada lagi contoh lain di mana Nabi ﷺ melakukan perkara yang sama di tempat lain selepas mana-mana peperangan lain. Ramai yang keliru sampai menggunakan hadith ini sebagai dalil untuk menyatakan yang orang mati boleh mendengar, maka mereka buatlah seruan kepada ahli kubur dan sebagainya. Mereka gunakan dalil untuk buat perkara yang syirik . Ini amat malang kerana mereka tidak faham hadith ini.

 

وَنَصَحتُ لَكُم وَلٰكِن لّا تُحِبّونَ النّٰصِحينَ

dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat dengan ikhlas”.

Baginda juga telah memberikan nasihat yang cukup kepada mereka. Namun mereka sahaja yang tidak suka kepada yang memberi nasihat. Sama sahaja seperti orang kita jugalah, marah betul kalau kita beri nasihat dan nasihat itu tidak kena dengan apa yang mereka rasa betul.

Sebagai contoh, kalau kita kata yang amalan yang mereka lakukan itu adalah bid’ah, mereka melenting kemarahan. Sedangkan sepatutnya mereka bersyukurlah ada orang yang beri nasihat kerana kalau tidak ada yang beri nasihat, siapa lagi yang akan mengingatkan kita kalau kita buat perkara yang salah?

Ada riwayat mengatakan baginda meninggalkan tempat kediaman mereka itu bersama empat ribu pengikut baginda. Mereka telah pergi ke Yaman dan mati di situ. Namun ada juga mengatakan mereka telah pergi Mekah. Allahu a’lam.

Ayat-ayat ini banyak menceritakan kemusnahan kaum – Kaum Nabi Nuh, kaum Aad dan juga kaum Tsamud. Ayat-ayat itu dibacakan kepada Musyrikin Mekah yang sedang menolak Nabi Muhammad ﷺ. Nabi Muhammad ﷺ tidak mahukan kemusnahan kepada kaum baginda. Oleh itu, Allah ﷻ sedang memberi peringatan kepada penduduk Mekah, janganlah jadi seperti umat-umat terdahulu itu. Ini kerana Allah ﷻ boleh sahaja kenakan semua azab itu kepada mereka juga. Kalaulah Nabi Muhammad ﷺ berdoa sahaja kepada Allah ﷻ untuk memusnahkan mereka, pasti mereka akan musnah seperti kaum-kaum terdahulu itu.


 

A’raf Ayat 80: Sekarang kita masuk kepada kisah keempat dan kisah kelima. Kedua-dua kisah seterusnya ini adalah sebagai penerangan kepada Dakwa yang kedua: iaitu kena jaga syariat dan ikut wahyu dan jangan ikut hawa nafsu. Kisah yang keempat adalah Kisah Nabi Luth عليه السلام.

Oleh itu, ini merupakan lima kisah Nabi setelah kisah Nabi Adam عليه السلام sebelum ini. Kesemuanya ada enam kisah para Nabi – tiga yang pertama adalah untuk menjelaskan Dakwa Pertama; Kisah keempat dan kelima adalah untuk menjelaskan Dakwa Kedua dan Kisah keenam nanti untuk menjelaskan Dakwa ketiga. Seperti yang kita telah sebut, Surah al-A’raf ini ada tiga Dakwa yang hendak ditekankan.

وَلوطًا إِذ قالَ لِقَومِهِ أَتَأتونَ الفٰحِشَةَ ما سَبَقَكُم بِها مِن أَحَدٍ مِّنَ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We had sent] Lot when he said to his people, “Do you commit such immorality as no one has preceded you with from among the worlds [i.e., peoples]?

MALAY

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

 

وَلوطًا

Dan Nabi Luth 

Allah ﷻ juga telah mengutuskan Nabi Luth عليه السلام kepada satu umat. Nama penuh Luth adalah Ibnu Haran ibnu Azar. Seperti yang kita tahu, Azar adalah bapa Nabi Ibrahim عليه السلام. Oleh hal yang demikian, Nabi Luth عليه السلام adalah anak saudara Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda telah beriman bersama Nabi Ibrahim عليه السلام dan telah hijrah ke tanah Syam bersamanya.

Tempat asal mereka adalah di Babel, berdekatan Basrah di Iraq sekarang. Apabila Nabi Ibrahim عليه السلام dakwah kepada kaumnya, baginda ditolak dan hanya isterinya Sarah dan anak saudaranya Luth عليه السلام sahaja yang beriman. Ini disebut dalam [ Ankabut: 26 ]

فَئامَنَ لَهُ لوطٌ ۘ وَقالَ إِنّي مُهاجِرٌ إِلىٰ رَبّي

Maka Luth membenarkan (kenabian)nya. Dan berkatalah Ibrahim: “Sesungguhnya aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku)

Nabi Luth عليه السلام kemudiannya telah dilantik sebagai Nabi. Kadangkala Allah ﷻ melantik lebih daripada seorang Nabi pada satu zaman. Nabi Ibrahim عليه السلام telah berhijrah ke BaitulMaqdis manakala Nabi Luth عليه السلام pula ke Sodom berdekatan BaitulMaqdis.

Nabi Luth عليه السلام dan kaum yang baginda dakwah itu adalah daripada bangsa berlainan. Maknanya, Nabi Luth عليه السلام datang dari luar. Ia tidak sama seperti kebanyakan Nabi yang lain. Kerana itu tidak ditambah kalimah أخاهم di dalam ayat ini kerana mereka bukan kaum baginda.

Allah ﷻ mengutuskan Nabi Luth عليه السلام kepada kaum Sodom dan daerah-daerah sekitarnya untuk menyeru mereka agar menyembah Allah ﷻ, memerintahkan mengerjakan kebajikan, dan melarang mereka melakukan perbuatan mungkar. Ada 5 daerah semua sekali iaitu Sodom, Amurah, Admah, Sububim dan Bali’. Di dalam Al-Qur’an, semua tempat-tempat ini disebut mu’tafikah kerana mereka akan diterbalikkan nanti. Sodom atau Sadum ini kiranya adalah ibunegeri semua daerah itu.

Tempat itu telah mendapat nikmat daripada Allah ﷻ dengan tanah yang baik dan tanaman yang subur. Maka sudah menjadi kebiasaannya apabila manusia sudah tinggi kedudukan mereka, mereka menjadi sombong kerana merasakan diri serba cukup seperti yang disebut Allah ﷻ dalam [ Alaq: 6-7 ]

كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ

Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,

أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ

kerana dia melihat dirinya serba cukup.

Ketika itu kaum Sodom tenggelam di dalam perbuatan-perbuatan yang berdosa, hal-hal yang diharamkan, serta perbuatan fahisyah (keji) yang mereka adakan sendiri dan belum pernah dilakukan oleh seorang pun dalam kalangan Bani Adam dan juga oleh lainnya; iaitu mendatangi jenis laki-laki, bukannya jenis perempuan (homoseks). Perkataan ‘liwath’ (liwat) لِوَاطٌ pun sebenarnya diambil daripada nama Luth لوط. Begitu juga perkataan ‘sodomi’ yang juga membawa maksud liwat diambil daripada nama kaum dan tempat mereka iaitu Sodom.

 

إِذ قالَ لِقَومِهِ أَتَأتونَ الفٰحِشَةَ

Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji,

Nabi Luth عليه السلام diperintahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk memperbaiki amalan punah kaum itu di mana orang lelaki mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu mereka – sekarang dikenali sebagai amalan homoseksual yang juga semakin berleluasa diamalkan oleh masyarakat kita. Di sini Allah ‎ﷻ tidak sebut perbuatan liwath mereka itu tetapi Allah ‎ﷻ sebut sifatnya yang buruk.

Di Malaysia, penyakit ini sudah semakin meresapi ke dalam masyarakat kita. Sekarang sudah ada nama khas untuk golongan mereka pula iaitu LGBTQ (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Queer). Golongan ini habis-habisan sibuk menyuarakan isu untuk mempertahankan ‘hak’ terkutuk mereka itu. Ia adalah satu perbuatan yang hina dan keji. Ia tidak diterima langsung oleh agama Islam. Namun gerakan mereka kuat, sampaikan kita yang menentang amalan salah ini pula yang dipandang sebagai jumud dan tidak menghormati keinginan dan hak orang lain.

Di dalam ayat ini, perbuatan serong itu disebut الفٰحِشَةَ sedangkan jikalau hanya zina sahaja, di tempat lain Allah ﷻ menggunakan kalimah فٰحِشَةَ tanpa ال. Ini memberi isyarat yang perbuatan sumbang homoseksual ini adalah lebih buruk lagi daripada zina. Ini kerana zina itu walaupun haram tetapi masih normal lagi kerana ia adalah perbuatan sumbang di antara lelaki dan wanita, kerana ia adalah fitrah manusia. Namun bila terjadi sesama jenis, itu sudah menjadi terlalu teruk kerana di luar tabii manusia. Maka kerana itulah hukumnya lebih keras untuk perbuatan homoseksual.

 

ما سَبَقَكُم بِها مِن أَحَدٍ مِّنَ العٰلَمينَ

yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?

Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa yang pertama sekali melakukan amalan homoseksual ini adalah kaum Nabi Luth عليه السلام itu kerana sebelum itu tidak pernah ada lagi dilakukan oleh manusia. Maksudnya, amalan homoseksual ini tidak normal, ia adalah perkara yang baru.

Kenapa ia amat buruk? Kerana kadangkala manusia mengulang kesalahan  yang telah dilakukan oleh tok nenek mereka. Ini pun sudah buruk namun kita faham kenapa mereka mengikut amalan umat sebelumnya. Tetapi apabila mereka yang mula-mula reka amalan buruk, ini adalah amat teruk sekali. Mereka melakukan perkara yang melawan fitrah manusia dan tidak masuk dek akal langsung. Binatang yang tiada akal pun tidak melakukan perkara terkutuk ini.

Keduanya, sudahlah mereka yang memulakan, kemudian nanti akan diikuti pula oleh generasi selepas mereka. Maka, mereka ini sudahlah berdosa, malah menanggung juga dosa umat selepasnya yang ikut mereka.

Pada zaman sekarang, sudah merebak perbuatan homoseksual ini. Namun begitu, ia masih lagi dipandang serong oleh masyarakat. Walaupun ada gerakan untuk membebaskan pengamal ini, tetapi belum lagi sampai ke tahap itu. Gerakan itu berusaha untuk menjadikan perbuatan homoseksual ini sebagai norma, perkara biasa yang boleh diterima oleh masyarakat dan tidak dipandang salah atas nama hak asasi manusia, kononnya.

Sementara itu, pengaruh filem-filem dari Barat amat kuat sekali mengetengahkan isu ini. Dalam filem-filem tersebut, ditunjukkan bagaimana orang yang mengamalkan homoseksual ini sebagai orang normal sahaja, mereka ditindas dan dipandang serong sampai kalau kita tonton tanpa iman, kita rasa bagaikan tidak ada masalah pun dengan orang homoseksual ini. Begitu kuat pengaruh mereka sehingga filem mereka menunjukkan bahawa golongan yang menolak fahaman mereka pula yang bersalah dan berfikiran sempit serta tidak mengikut peredaran masa. Subhanallah!

Isu hak homoseksual ini menjadi begitu runcing sekali sehinggakan pening para pemimpin dunia sekarang. Mereka tidak berani untuk komen sangat berkenaan homoseksual ini kerana takut mereka hilang undi kerana pengamal homoseksual semakin ramai. Malah ada dalam kalangan pemimpin negara yang sendiri yang mengamalkan perbuatan serong ini.

Namun begitu, walau apa pun terjadi di luar sana, ingatlah yang perbuatan homoseksual adalah perbuatan yang terkeji. Ia tidak dapat diterima langsung oleh masyarakat dan lebih-lebih lagi dalam agama – sampai bila-bila. Agama mana-mana pun tidak menerima amalan LGBTQ. Agama lain mungkin boleh diubah-ubah oleh pemuka agama mereka, dan tidak ada hal bila mereka menerima kumpulan terpesong ini. Namun dalam Islam, hukum tidak sesekali boleh diubah. Allah amat tegas dengan perkara ini. Oleh sebab itu, hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang mengamalkan homoseksual adalah berat sekali, di mana ia terpulang kepada khalifah. Ada khalifah yang menjalankan hukuman dibuang dari atas bukit sampai mati.

Namun begitu, malang sekali apabila terdapat juga antara mereka yang bergelar imam masjid sudah mula terpengaruh dengan budaya ‘mempertahankan hak’ golongan songsang ini. Baru-baru ini, kecoh di media apabila terdapat imam di sebuah masjid di Jerman yang menyokong serta menggantung bendera LGBTQ ini di masjid mereka, pada malam Jumaat. Begitu lantang imam tersebut menyuarakan sokongannya terhadap golongan ini sambil menyeru agar Muslim lain di Berlin turut bersama beliau merestui golongan ini atas alasan ‘Cinta itu adalah Halal’!

Lihatlah betapa ‘sakit’nya masyarakat Islam mereka di sana itu. Semoga Allah ﷻ melindungi dakyah keji mereka ini daripada meresapi masuk dan mempengaruhi golongan Muslim negara kita.

Yang pasti, perbuatan ini merupakan satu penyakit dan mesti dibanteras dan dicari penawarnya. Ia adalah penyakit psikologi. Ia mengubah perkara yang normal menjadi tidak normal. Normalnya adalah seorang lelaki akan mengadakan hubungan kelamin dengan wanita, bukan dengan lelaki lain.

Penyakit ini selalunya menyerang manusia di awal usia mereka. Kadang-kadang ada kanak-kanak yang sudah ada perasaan berlainan rasa terhadap sesama jenis mereka semenjak kecil lagi. Selalunya ini terjadi apabila mereka sering melihat bahan lucah. Inilah masalah yang kita hadapi sekarang – media massa yang terlalu terbuka sampaikan benda yang tidak elok pun senang untuk didapati.

Oleh itu, sebagai ibubapa, kita hendaklah memainkan peranan kita untuk mengawal apa yang masuk ke dalam minda anak-anak kita. Kalau kita biarkan sahaja, mereka akan mudah mendapat bahan kotor dan nanti susah untuk dibersihkan. Sebagai contoh, jangan biarkan anak-anak dengan bahan media seperti komputer dan tablet tanpa kawalan. Jangan biarkan mereka memakainya tanpa kita dapat melihat apa yang mereka sedang lihat.

Seperti penggunaan komputer, pastikan ia ada di ruang tamu, bukan dalam bilik mereka sampaikan kita tidak tahu apa yang mereka sedang lihat. Kita kena lakukan perkara ini kerana tidak ada sesiapa pun yang terselamat daripada bahaya ini. Kalau kita buat senyap pun tentang perkara ini, ia tidak akan pergi ke mana, ia tetap ada.

Lagi satu, jangan biarkan anak-anak berkongsi selimut kerana ini akan menyebabkan mereka terbiasa dengan jantina yang sama. Tidak mustahil minat mereka cenderung pula kepada kaum sejenis nanti.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Oktober 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s