Ayat 24: Selepas jumlah mu’taridah sebelum ini, maka sekarang kembali kepada kisah Nabi Ibrahim semula. Sekarang adalah kesimpulan kepada kisah Nabi Ibrahim.
فَما كانَ جَوابَ قَومِهِ إِلّا أَن قالُوا اقتُلوهُ أَو حَرِّقوهُ فَأَنجٰهُ اللهُ مِنَ النّارِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the answer of his [i.e., Abraham’s] people was not but that they said, “Kill him or burn him,” but Allāh saved him from the fire. Indeed in that are signs for a people who believe.
(MELAYU)
Maka tidak adalah jawapan kaum Ibrahim, selain mengatakan: “Bunuhlah atau bakarlah dia”, lalu Allah menyelamatkannya dari api. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang beriman.
فَما كانَ جَوابَ قَومِهِ إِلّا أَن قالُوا اقتُلوهُ أَو حَرِّقوهُ
Maka tidak adalah jawapan kaum Ibrahim, selain mengatakan: “Bunuhlah atau bakarlah dia”,
Respon mereka kepada dakwah Nabi Ibrahim itu adalah untuk membunuh baginda ataupun membakar baginda. Begitu keras sekali tindakan yang mereka hendak kenakan kepada baginda. Maknanya pejuang agama seperti Nabi Ibrahim itu kena menerima dugaan yang besar.
Mereka sudah tidak ada hujah lagi untuk mengalahkan hujah Nabi Ibrahim. Sampai kepada satu tahap, mereka rasa mereka kena bunuh sahaja. Kerana mereka rasa apa yang baginda sampaikan itu akan menggugat ekologi agama mereka, industri berhala mereka dan cara hidup mereka.
Maka mereka sepakat ramai-ramai untuk bunuh Nabi Ibrahim. Nak jadikan baginda sebagai contoh – jangan ada lagi yang memandai nak bawa ajaran yang berlawanan dengan fahaman mereka. Mereka sepakat nak bunuh, cuma cara nak bunuh sahaja yang mereka tidak sepakat.
Begitu jugalah yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW di Mekah. Pada asalnya, Musyrikin Mekah melihat sahaja apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad. Mereka pada mulanya tidak rasa ianya membahayakan lagi kerana baginda seorang sahaja dan hanya diikuti oleh beberapa orang yang lemah sahaja.
Tapi apabila mereka nampak pengaruh baginda semakin kuat dan semakin ramai yang masuk ke dalam agama Islam, maka mereka mula risau. Tapi pada peringkat permulaan, mereka hanya menuduh dan membuat tohmahan sahaja kepada baginda. Dan ramai dari pengikut baginda ditindas, sampai ada yang diseksa.
Tapi lama kelamaan, usaha mereka untuk menjatuhkan agama Islam tidak berjaya. Maka mereka akhirnya buat keputusan untuk membunuh sahaja baginda. Mereka nampak itulah sahaja jalan penyelesaian kerana pada mereka, dengan matinya Muhammad, maka matilah ajaran baginda.
Dan sekarang, kita melihat lagi bagaimana jalan Sunnah sekarang disekat oleh para penentangnya. Sekarang banyak sekali tuduhan yang diberikan kepada jalan Sunnah, kepada mereka yang mengamalkannya dan kepada mereka yang menyebarkannya. Banyak sekali tohmahan dan tuduhan yang tidak benar diberikan.
Ini normal sahaja kerana ramai yang masih tidak tahu apakah jalan sunnah ini. Manusia memusuhi apa yang mereka tidak kenal. Ini kerana ramai yang jahil dalam agama dan ramai yang ikut-ikut sahaja amalan tok nenek mereka.
Tapi jalan Sunnah di negara ini semakin berkembang dan menarik minat ramai orang. Kerana ianya adalah jalan yang benar dan masuk dalam akal. Dan hujah yang diberikan berdasarkan dalil dari Al-Qur’an dan hadith. Lalu bagaimana ia tidak menarik perhatian mereka yang cintakan kebenaran?
Para penentang iaitu mereka yang mengamalkan ‘ajaran lama’ tidak senang duduk. Mereka tohmah berhadapan dan juga di media sosial. Sudah ada juga ustaz-ustaz yang digam malah dipenjara hanya kerana tidak ada tauliah mengajar. Tauliah diminta tapi tidak diberikan. Kalau hendak dapat tauliah, kena berfahaman seperti mereka, barulah diberi.
Maka peluang untuk mengajar di masjid dan surau amat jauh, jadi ramai dari kalangan masyarakat tidak terdedah dengan apakah Sunnah itu dan mereka hanya dapat maklumat dari mereka yang tidak suka dengan jalan Sunnah.
Maka apa yang terjadi sekarang ini adalah perkara biasa sahaja. Ianya adalah ujian kepada pejuang agama. Memang itulah yang Allah hendak sampaikan dengan surah ini. Dakwa Surah ini adalah tentang dugaan dan ujian yang dialami oleh penyebar agama.
Dan Allah sampaikan kisah-kisah para Nabi dan Rasul untuk memberitahu kita, apa yang dilalui oleh para Rasul itu lebih teruk lagi dari apa yang kita lalui. Maka bersabarlah dengan ujian dalam menyampaikan agama Allah ini.
Kita berharap perkelahian itu tidaklah sampai kepada berbunuhan. Biarlah hujah antara penentang dan penyokong Sunnah itu diadakan dalam bentuk percakapan dan pemberian hujah sahaja. Semoga kekerasan tidak digunakan kerana itu sudah teruk sangat. Malah, semoga janganlah ada kes-kes penjara lagi. Biarlah para ustaz Sunnah dibenarkan mengajar, biar masyarakat sendiri tentukan mana benar dan mana tidak. Kalau ianya salah, maka masyarakat yang bijak boleh menilai sendiri. Masyarakat kita sekarang sudah pandai-pandai.
فَأَنجٰهُ اللهُ مِنَ النّارِ
lalu Allah menyelamatkannya dari api.
Kembali kepada kisah Nabi Ibrahim, memang kaumnya ambil keputusan untuk membakar baginda. Akhirnya mereka sampai kepada konklusi untuk bunuh baginda dengan cara api.
Mereka buat unggun api yang besar dan membaling baginda ke dalamnya. Kisah ini ada terdapat dalam surah yang lain. Dan Allah menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api itu sebagaimana Nabi Nuh diselamatkan daripada air. Api yang membakar itu tidak langsung membahayakan Nabi Ibrahim malah ia menjadi amat nyaman kepada baginda. Ini seperti firman Allah dalam Anbiya:69
قُلنا يا نارُ كوني بَردًا وَسَلامًا عَلىٰ إِبراهيمَ
Kami berfirman: “Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi selamatlah bagi Ibrahim”,
إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang beriman.
Kejadian Nabi Ibrahim diselamatkan itu menjadi tanda kekuasaan Allah untuk melakukan apa sahaja. Api yang membakar itu tidaklah membakar kalau Allah tidak izinkan. Sepertimana juga pisau yang selalunya memotong itu tidak dapat memotong kalau Allah tidak izinkan (seperti yang terjadi apabila baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail). Semua yang berlaku adalah dalam takluk dan kekuasaan Allah taala.
Ini dipanggil khawariqul adah (mencarik adat). Hukum adat, api memang membakar dan pisau memang memotong. Tapi sekali sekala Allah akan tukar hukum itu. Sekali sekala sahaja, bukan selalu. Allah boleh buat kerana hukum adat itu pun Allah juga yang buat.
Ayat 25: Apakah kesalahan yang dilakukan oleh umat Nabi Ibrahim itu? Ini adalah teguran dari baginda kepada mereka. Tapi kita kena bandingkan juga dengan diri kita.
وَقالَ إِنَّمَا اتَّخَذتُم مِّن دونِ اللهِ أَوثٰنًا مَّوَدَّةَ بَينِكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ ثُمَّ يَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرُ بَعضُكُم بِبَعضٍ وَيَلعَنُ بَعضُكُم بَعضًا وَمَأوٰكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِّن نّاصِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [Abraham] said, “You have only taken, other than Allāh, idols as [a bond of] affection among you in worldly life. Then on the Day of Resurrection you will deny one another and curse one another, and your refuge will be the Fire, and you will not have any helpers.”
(MELAYU)
Dan berkata Ibrahim: “Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain); dan tempat kembalimu ialah neraka, dan sekali-kali tak ada bagimu para penolong pun.
وَقالَ إِنَّمَا اتَّخَذتُم مِّن دونِ اللهِ أَوثٰنًا
Dan berkata Ibrahim: “Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah
Satu pendapat mengatakan yang bercakap dalam ayat ini adalah Nabi Ibrahim. Ada juga yang mengatakan yang berkata itu adalah Nabi Muhammad. Kedua-duanya boleh dipakai.
Umat Nabi Ibrahim telah menyembah patung-patung berhala itu sebagai kiblat tawajuh (tempat fokus) di mana berhala-berhala itu merujuk kepada roh-roh sembahan mereka yang dijadikan sebagai ilah. Pada mereka, roh-roh itu dapat menyelesaikan masalah dan memberikan kehendak mereka. Pada mereka, roh-roh itu dapat menyampaikan doa mereka kepada Allah.
Mereka bukanlah nak sembah batu berhala itu semata-mata kerana mereka sendiri yang buat berhala itu. Yang mereka hendak sampaikan doa itu adalah kepada roh-roh di sebalik berhala itu, dan tujuannya adalah untuk sampaikan doa mereka kepada Tuhan. Itu sahaja.
Maka kerana itu jangan kita sempitkan syirik itu dengan berhala sahaja. Kerana berhala itu sebagai imbalan / nisbah / fokus kepada roh Nabi, wali dan malaikat sahaja. Ini apabila manusia sudah jadi teruk sangat sampaikan pakai berhala dalam bentuk fizikal terus. Tapi asalnya manusia tidak pakai berhala. Mereka mulanya ada fahaman syirik dahulu – iaitu mereka beriktikad yang roh Nabi, wali dan malaikat boleh menyampaikan doa kepada Allah. Ini pun sudah syirik.
Jadi ringkasnya, penyembahan berhala ini:
1. Manusia tidak yakin dengan doa terus kepada Allah. Mereka rasa ada roh-roh Nabi, wali dan malaikat yang rapat dengan Allah yang boleh menyampaikan doa mereka (sebagai wasilah). Jadi mereka berdoa kepada roh Nabi, wali dan malaikat itu untuk menyampaikan doa kepada Allah.
2. Lama kelamaan, generasi seterusnya akan sembah Nabi, wali dan malaikat itu. Kerana mereka nak minta sampaikan doa, maka mereka kenalah bodek roh Nabi, wali dan malaikat itu. Jadi mereka akan bodek dengan sembah mereka – beri salam, puja-puja, pergi ke kubur, tawaf kubur dan macam-macam lagi.
3. Akhir sekali, datang generasi yang susah nak bayangkan roh-roh itu, maka mereka buat sesuatu yang fizikal seperti gambar dan patung. Akhirnya mereka sangka berhala itulah tuhan sedangkan itu bukan iktikad mereka yang asal.
Inilah yang kita takut terjadi pada umat kita. Kita kena tegur awal-awal lagi. Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana golongan Habib dari Yaman itu sudah mula meletakkan gambar Habib mereka yang telah meninggal di kubur. Dan kubur itu dihias dengan cantik, siapa ada lampu lagi. Ini sudah salah dan sudah membawa kepada syirik.
Dan ramai yang terkesan dengan apa yang dilakukan oleh habib-habib itu sampai ada yang mengambil tanah kubur mereka untuk dijadikan sebagai ubat. Ini kerana mereka amat jahil dan fahaman syirik sudah ada dalam minda mereka.
مَّوَدَّةَ بَينِكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا
adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini
Dalam ayat ini kita belajar salah satu sebab manusia terus melakukan syirik itu. Iaitu kerana ia adalah elemen tautan kasih yang kuat. Allah memberitahu bahawa kadang-kadang manusia itu bukan mahu buat syirik sangat, tetapi kerana dia malu apa kata kawan-kawan mereka yang melakukan syirik itu jikalau mereka tidak bersama dengan mereka.
Mereka takut jikalau mereka disesarkan dari masyarakat dan hilang kasih sayang dari mereka. Kerana orang lain buat, maka mereka pun buat juga kerana hendak mendapat kasih sayang daripada orang lain.
Begitu jugalah dalam masyarakat kita ada yang mengamalkan amalan-amalan bidaah seperti Majlis Tahlil itu kerana mahu mendapat kasih sayang daripada orang lain yang melakukannya juga. Mereka rasa kalau mereka tidak pergi, nanti mereka akan dicemuh dan dikatakan sebagai pemecah belah masyarakat; begitu juga, kalau ada kenduri yang ada sanding, mereka takut kalau tidak pergi kerana takut nanti dikatakan tidak menghormati majlis orang dan hendak memutuskan silaturrahim.
Mengharap kasih sayang sampai menyebabkan buat benda syirik dan bidaah adalah alasan yang tidak patut. Ingatlah yang kasih sayang itu hanya di dunia sahaja dan tidak akan dibawa ke akhirat kerana di akhirat nanti semua akan sibuk dengan hal masing-masing dan akan lari dari kawan dan keluarga mereka sendiri. Kasih sayang itu tidak menyelamatkan sesiapa pun di akhirat kelak.
ثُمَّ يَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرُ بَعضُكُم بِبَعضٍ
kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain)
Nanti di akhirat nanti mereka akan menolak sesama diri mereka dan tidak mengaku ada kena mengena. Mereka akan marah kembali kepada kawan-kawan dan ahli keluarga mereka yang telah menyebabkan mereka menyertai majlis syirik dan bidaah. Waktu itu mereka akan mengingkari satu sama lain.
وَيَلعَنُ بَعضُكُم بَعضًا
dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain);
Dan mereka akan melaknat sesama mereka dan menyalahkan orang lain yang menyebabkan mereka jadi musyrik. Seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:
{كُلَّمَا دَخَلَتْ أُمَّةٌ لَعَنَتْ أُخْتَهَا}
Setiap suatu umat masuk (ke dalam neraka) mengutuk kawannya (yang menyesatkannya). (Al-A’raf: 38)
Mereka boleh nak bertengkar dan melaknat sesama sendiri tetapi tempat mereka adalah di neraka akhirnya. Dan firman Allah Swt.:
{الأخِلاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلا الْمُتَّقِينَ}
Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa. (Az-Zukhruf: 67)
Dan banyak lagi ayat-ayat lain dalam Al-Qur’an. Maka ingatlah, jangan ikut sahaja amalan kawan dan ahli keluarga kita. Kena pastikan yang ianya adalah benar.
وَمَأوٰكُمُ النّارُ
dan tempat kembalimu ialah neraka,
Bertengkar atau marah di akhirat kelak tidak ada gunanya. Akan masuk neraka juga akhirnya. Kerana tidak boleh nak salahkan orang lain lagi nanti. Tidak boleh guna hujah: “saya ikut dia sahaja, ya Allah… bukan saya nak buat pun… kerana kalau saya tak buat, dia akan pandang serong dengan saya…..”. Alasan ini tidak ada nilai.
وَما لَكُم مِّن نّاصِرينَ
dan sekali-kali tak ada bagimu para penolong pun.
Dan bila sudah masuk ke dalam neraka, tidak ada yang boleh tolong sama sekali. Roh Nabi, wali dan malaikat yang mereka sembah itu tidak dapat tolong; kawan dan keluarga yang mereka rapat dulu semasa di dunia dulu pun tidak dapat nak tolong. Dulu mereka mengejar kasih sayang sesama sendiri, tapi tidak ada nilai di akhirat kelak.
Ayat 26: Dalam banyak-banyak umat Nabi Ibrahim yang beriman dengan baginda adalah Nabi Luth.
۞ فَئامَنَ لَهُ لوطٌ ۘ وَقالَ إِنّي مُهاجِرٌ إِلىٰ رَبّي ۖ إِنَّهُ هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And Lot believed him. [Abraham] said, “Indeed, I will emigrate to [the service of] my Lord. Indeed, He is the Exalted in Might, the Wise.”
(MELAYU)
Maka Luth membenarkan (kenabian)nya. Dan berkatalah Ibrahim: “Sesungguhnya aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku); sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
فَئامَنَ لَهُ لوطٌ
Maka Luth membenarkan (kenabian)nya.
Nabi Luth menyerahkan keseluruhan dirinya kepada Allah (jika dhomir هو yang dimaksudkan adalah Allah).
Juga bermaksud dia beriman dengan Nabi Ibrahim (jika dhomir هو yang dimaksudkan adalah kepada Nabi Ibrahim) kerana Nabi Ibrahim tidak mempunyai banyak pengikut dan salah seorangnya adalah Nabi Luth. Menurut suatu pendapat, Nabi Luth adalah anak saudara lelaki Nabi Ibrahim. Mereka mengatakan bahawa nama baginda adalah Luth ibnu Haran ibnu Azar, dan tiada seorang pun dari kalangan kaumnya yang beriman kepadanya selain Lut dan Sarah (isteri Nabi Ibrahim sendiri).
Kita tahu yang mereka memang ada pertalian kerana apabila para malaikat hendak memusnahkan kaum Nabi Luth (Sodom), mereka telah pergi berjumpa dahulu dengan Nabi Ibrahim untuk memberitahu perkara itu.
Oleh kerana ayat ini disebut selepas cerita Nabi Ibrahim diselamatkan dari api, maka kita boleh katakan yang Nabi Luth beriman kepada Nabi Ibrahim selepas itu. Selepas Nabi Ibrahim keluar dari api itu, maka terkejutlah semua orang. Tapi mereka tidak juga mahu beriman kerana takut dengan apa yang dikenakan kepada Nabi Ibrahim itu. Yang mahu beriman adalah Nabi Luth sahaja.
Tapi ini tidaklah bermakna yang Nabi Luth mengamalkan syirik sebelum itu kerana para Nabi diselamatkan dari melakukan syirik. Maka Nabi Luth tidaklah mengamalkan syirik sebelum itu tapi baginda tidak tahu tentang iman yang sebenarnya sebelum itu.
وَقالَ إِنّي مُهاجِرٌ إِلىٰ رَبّي
Dan berkatalah (Ibrahim): “Sesungguhnya aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku);
Setelah dakwah baginda tidak diterima di kampung halamannya, Nabi Ibrahim telah diperintahkan untuk berpindah. Maka Nabi Luth telah mengikut Nabi Ibrahim berpindah juga. Maka Nabi Luth bukannya berasal dari Sodom tapi baginda telah berhijrah ke sana.
Baginda telah mengikut Nabi Ibrahim meninggalkan Iraq menuju ke negeri Syam. Tapi Nabi Ibrahim sendiri bergerak ke banyak tempat di mana selepas sampai ke Syam, baginda telah pergi ke Mekah dan selepas itu ada yang mengatakan baginda telah pergi sampai ke Burma.
إِنَّهُ هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Maknanya Allah berkuasa untuk menyelamatkan baginda dari apa-apa sahaja. Maka Nabi Ibrahim berserah kepada Allah kerana baginda tahu yang Allah akan menyelamatkannya.
Juga bermaksud Allah berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah boleh terus azab mereka yang melakukan kesalahan syirik.
Tapi Allah tidak terus azab manusia walaupun mereka telah melakukan kesalahan. Allah beri kesempatan kepada manusia untuk berubah dan baiki amalan dan akidah. Ini adalah atas kebijaksanaan Allah. Kalau Allah terus beri azab kepada manusia yang buat syirik, maka tentulah tidak ada yang tinggal di atas dunia ini lagi.
Juga bermaksud Nabi Ibrahim serahkan apa yang terjadi kepadanya selepas itu kepada kerana apa sahaja yang Allah tentukan, mestilah berdasarkan kepada kebijaksanaan Allah.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 15 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi