Tafsir Surah ash-Syams Ayat 11 – 15 (Pengotoran Jiwa)

Ayat 11:  Sekarang Allah ﷻ beri contoh masyarakat yang terdiri dari individu yang telah rosak. Allah ﷻ beri contoh supaya kita senang faham. Kerana kita senang faham kalau diberikan dengan contoh.

Maka ayat 11 – 15 adalah Perenggan Makro Ketiga dan terakhir surah ini. Allah ﷻ memberitahu yang Kaum Tsamud telah memilih untuk derhaka. Oleh kerana itu jiwa mereka menjadi kotor dan mereka selepas itu hanya menunggu kedatangan azab sahaja untuk menamatkan mereka.

كَذَّبَت ثَمُودُ بِطَغوَٮٰهَآ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Thamūd denied [their prophet] by reason of their transgression,

(MALAY)

(Kaum) Tsamud telah mendustakan (rasulnya) kerana mereka melampaui batas,

 

Dalam ayat ini, siapakah dhomir yang dimaksudkan dengan ها? Tidak disebutkan dengan jelas jadi siapa yang mereka dustakan? Memang tidak disebut dalam ayat ini tapi kita tahu yang mereka mendustakan Rasul mereka iaitu Nabi Saleh عليه السلام. Ia tidak disebut kerana boleh difahami sendiri kerana telah banyak kisah mereka dalam ayat-ayat Al-Qur’an sebelum ini.

Sekarang ditekankan tentang kaum yang mendustakan Rasul mereka kerana ayat ini diturunkan kepada Musyrikin Mekah juga yang menolak Rasul mereka, Nabi Muhammad ﷺ; begitu jugalah yang telah dilakukan oleh Kaum Tsamud kepada Nabi mereka, Nabi Saleh عليه السلام.

Kenapa disebut tentang Kaum Tsamud? Sebab bangsa Arab sudah tahu tentang apa yang terjadi kepada bangsa itu. Mereka tahu bahawa bangsa itu telah dihapuskan kerana kesalahan dosa mereka. Mereka sampai ada sajak atau syair tentang kaum itu dan bagaimana kisah mereka dihancurkan Allah ﷻ. Maknanya, mereka amat kenal tentang Kaum Tsamud. Maka, Allah ﷻ ingatkan sahaja tentang itu kepada mereka.

Dalam ayat ini, disebut tentang keseluruhan bangsa itu. Ini adalah kerana kalau masyarakat sudah rosak, kena baiki individu dalam masyarakat itu. Kena mulakan dengan diri sendiri, dengan ahli keluarga kita. Kerana asal masalah adalah dari individu-individu yang terdiri dalam masyarakat itu.

Bukannya masyarakat itu terus rosak begitu sahaja tetapi ianya bermula sedikit demi sedikit, seorang demi seorang yang rosak. Begitulah, kalau kita lihat kepada kejayaan yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ, baginda bukannya terus ubah masyarakat secara keseluruhan tapi baginda bermula dengan mengubah individu demi individu.

Kita boleh belajar dalam Sirah Nabawiyah bagaimana baginda mengubah para sahabat baginda seorang demi seorang, dari mereka yang telah rosak akhlak, kepada mereka yang jadi baik. Itulah kejayaan baginda yang paling besar sekali. Mereka asalnya kaum yang lemah (sampai dipanggil jahiliyyah) tapi telah menjadi kuat dan berkhidmat untuk agama.

Ayat ini juga adalah tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ hendak memberitahu baginda, kalau umat baginda menolak baginda, itu bukan kali pertama kerana Nabi Saleh عليه السلام pun pernah ditolak dan didustai oleh kaum baginda.

Kenapa mereka mendustakan? Kerana mereka melampau batas. Dan kenapa mereka melampau batas? Kerana nafs yang telah rosak, tidak seimbang. Mereka itu bukannya tidak ada ilmu – mereka telah lihat bagaimana Nabi Saleh عليه السلام telah mengeluarkan unta dari batu setelah mereka sendiri pinta. Maka mereka telah nampak mukjizat dengan mata kepala mereka sendiri.

Tetapi mereka tetap juga tolak ajakan tauhid dari baginda kerana jiwa mereka telah rosak. Benda depan mata pun mereka boleh tolak lagi. Mereka sudah nampak mukjizat, jadi mereka sudah tahu (sudah ada ilmu), tetapi mereka tetap melawan hati mereka.


 

Ayat 12: Apakah yang telah berlaku? Allah ﷻ sambung kisah Tsamud itu.

إِذِ ٱنۢبَعَثَ أَشقَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When the most wretched of them was sent forth.¹

  • To hamstring the she-camel which had been sent by Allāh as a sign to them.

(MALAY)

ketika bangkit orang yang paling celaka di antara mereka,

 

Ketika orang yang ‘paling jahat’ أَشقَٮٰهَا di antara mereka bangkit. Ini setelah menerima perintah dari sebilangan mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat), untuk membunuh unta betina yang Allah ﷻ telah jadikan daripada batu. Mereka tahu bahawa itu adalah mukjizat Nabi Saleh عليه السلام dan unta itu memberi susu kepada mereka semua. Tapi begitu teruk sekali perangai dan kedangkalan jiwa lelaki yang paling celaka itu, sampai dia sanggup bunuh unta betina itu.

Apabila digunakan kalimah بَعَثَ dalam ayat ini, yang bermaksud ‘bangkit dengan sendiri’, ia bermakna lelaki itu sendiri yang bangun menawarkan diri. Bukannya ada orang yang paksa dia, ugut untuk bunuh dia kalau tidak melakukannya, tidak. Dia sendiri memang seorang yang amat jahat, dan amat celaka.

Kalimah أَشقاها bermaksud seorang yang paling teruk, paling celaka, paling malang; dan kalimah ها itu merujuk kepada ‘Kaum Tsamud’. Jadi lelaki itu adalah lelaki yang paling teruk, paling celaka dari kalangan mereka. Mereka itu memang sudah teruk secara keseluruhan, tapi dia adalah yang paling teruk.

Latar belakang kisah ini: Kaum Tsamud telah meminta Nabi Saleh عليه السلام mengeluarkan unta dari batu sebagai tanda mukjizat baginda. Mereka hendak bukti kerasulan baginda. Kalau benar, bawa keluar unta dari batu. Ia memang sesuatu yang mustahil jadi kerana itu mereka minta begitu kerana hendak malukan baginda.

Maka baginda telah berdoa kepada Allah ﷻ dan permintaan itu telah dipenuhi. Unta betina itu Allah ﷻ beri dengan syarat mereka kena berkongsi air telaga mereka dengan unta itu. Satu hari untuk unta dan satu hari untuk mereka. Telaga pula ada satu sahaja. Pada hari unta itu meminum air dari telaga, mereka tidak boleh menggunakan telaga itu. Sebagai balasan, unta itu mengeluarkan susu yang cukup untuk semua orang.

Tapi lama kelamaan, mereka tidak tahan untuk berkongsi air dengan unta itu. Mereka telah meminta pemimpin mereka untuk menghalang unta itu dari meminum air telaga itu. Kerana bila dia minum, akan habis terus air telaga itu pada hari itu.

Para pemimpin pun tidak suka dengan unta itu, tapi mereka tidak berani untuk melakukan apa-apa kerana mereka telah berjanji kepada Nabi Saleh عليه السلام (dan Allah ﷻ) dan mereka telah melihat mukjizat unta itu dan mereka takut juga kepada kesan yang boleh dikenakan kepada mereka.

Akan tetapi, ada seorang lelaki dari kalangan mereka yang pergi juga bangkit dan membunuh unta itu. Dialah lelaki yang paling celaka. Dia tidak takut dengan balasan yang diancamkan kepadanya. Dia seolah-olah berkata: “ha, aku dah buat ni, siapa nak tahan aku? Siapa nak hukum aku?”

Perangai dia seperti yang telah disebut dalam surah sebelum ini: أَيَحسَبُ أَن لَن يَقدِرَ عَلَيهِ أَحَدٌ Adakah manusia menyangka bahawa tidak ada sesiapa pun yang dapat mengatasinya? (Balad:5). Nama dia juga pernah disebut tapi tidak patut untuk diulang kerana tidak layak namanya diulang. Lelaki itu adalah seorang yang perkasa lagi dimuliakan di kalangan kaumnya, mempunyai kedudukan nasab yang terhormat, dan pemimpin yang ditaati.

Dan cara dia bunuh unta itu pun amat jahat sekali kerana dia tidak terus bunuh. Dia tikam dan biarkan unta itu mati dalam masa yang lama. Memang dia sengaja buat macam itu kerana memang dia adalah orang yang paling teruk sekali.


 

Ayat 13: Sedangkan mereka telah pernah diberi amaran sebelum itu.

فَقَالَ لَهُم رَسُولُ ٱللَّهِ نَاقَةَ ٱللَّهِ وَسُقيَـٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the messenger of Allāh [i.e., Ṣāliḥ] said to them, “[Do not harm] the she-camel of Allāh or [prevent her from] her drink.”

(MALAY)

lalu Rasul Allah (Saleh) berkata kepada mereka: (“Biarkanlah) unta betina Allah dan minumannya”.

 

فَقَالَ لَهُم رَسُولُ ٱللَّهِ نَاقَةَ ٱللَّهِ

lalu Rasul Allah (Saleh) berkata kepada mereka: (“Biarkanlah) unta betina Allah

Kalimah ناقَةَ digunakan dalam bentuk mansub sebagai penekanan kepada mereka supaya berhati-hati! Jangan apa-apakah unta itu! Kerana kalau dalam bentuk normal, ia sepatutnya dalam bentuk majrur. Maknanya, Nabi Saleh عليه السلام nak tegur mereka dengan keras. Beginilah penggunaan bahasa dalam Al-Qur’an kerana tidak ada tanda seruan dalam Al-Qur’an. Jadi perubahan nahu dari kebiasaan digunakan untuk menarik perhatian pembaca.

 

وَسُقيَـٰهَا

dan minumannya

Kalimah وَسُقياها adalah dalam bentuk isim dzarf – bermaksud tempat dan masa unta itu minum air itu. Jangan merosakkan tempat dan masa unta itu sepatutnya dibenarkan minum. Itu unta betina yang Allah ﷻ berikan, janganlah ganggu dia minum dan tempat dia minum.

Perjanjian antara Nabi Saleh عليه السلام dan mereka – Satu hari unta minum air, dan satu hari lagi bergilir dengan manusia. Tapi mereka lama-lama tidak sabar menunggu giliran mereka. Dahulu mereka boleh ambil sahaja air dari telaga itu.

Nabi Saleh عليه السلام berkata secara khusus kepada mereka kerana kalimah لَهُم (kepada mereka) diletak di awal ayat (takdim). Selalunya kalimah itu diletakkan kemudian, jadi ini bermaksud takhsis (pengkhususan). Kerana waktu itu baginda sudah tahu yang mereka akan melakukan sesuatu yang tidak elok kepada unta itu.

Allah ﷻ gunakan kalimah رَسولُ اللَّهِ dan bukan diletakkan nama Nabi Saleh عليه السلام. Ini adalah kerana hendak mengingatkan tentang pangkat Rasul itu kepada Quraisy. Mereka sekarang sedang berhadapan dengan رَسولُ اللَّهِ juga, iaitu Nabi Muhammad ﷺ. Jangan mereka jadi seperti puak Tsamud itu yang menentang kata dan perintah Rasul mereka. Kerana nanti mereka boleh dapat sepertimana yang diberikan kepada Kaum Tsamud itu.

Kaum Nabi Saleh عليه السلام yang suruh baginda keluarkan unta dari bukit. Kenapa mereka pilih dari bukit batu pula? Sebab kerja mereka memang kerja memecah bukit dan mengukir bukit. Mereka membuat binaan bukit yang cantik. Dan Allah ﷻ keluarkan dari seperti hasil seni mereka, satu jenis mukjizat. Nabi Saleh عليه السلام pahat batu dan keluarlah unta dari dalamnya.


 

Ayat 14: Tapi adakah mereka mendengar amaran dari Nabi Saleh عليه السلام itu?

فَكَذَّبُوهُ فَعَقَرُوهَا فَدَمدَمَ عَلَيهِم رَبُّهُم بِذَنۢبِهِم فَسَوَّٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they denied him and hamstrung¹ her. So their Lord brought down upon them destruction for their sin and made it equal [upon all of them].

  • And then killed.

(MALAY)

Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu, maka Tuhan mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyama-ratakan mereka (dengan tanah),

 

فَكَذَّبُوهُ فَعَقَرُوهَا

Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu,

Oleh kerana mereka tidak beriman dengan Nabi Saleh عليه السلام, mereka telah mendustakan baginda. Maksudnya mereka tidak terima amaran dari baginda, seolah-olah mereka kata baginda hanya berdusta sahaja.

Maka mereka telah melanggar larangan baginda dan telah membunuh unta itu. Dari potongan ayat ini, kita dapat tahu yang Kaum Tsamud telah melakukan dua kesalahan:

1. فَكَذَّبوهُ – mereka mendustakan baginda – tidak percaya kepada baginda. Mereka pandang remeh sahaja apa yang disampaikan oleh baginda. Sudahlah ajaran baginda mereka tidak ikut, mereka tuduh baginda menipu pula.

2. فَعَقَروها – bermaksud mereka menikam unta itu berkali-kali atau boleh bermaksud mereka memotong bahagian kaki unta itu sampaikan unta itu tidak dapat berjalan dan akhirnya mati kerana kehilangan darah. Bayangkan seksanya unta itu mereka lakukan.

Surah ini sebagai peringatan kepada Quraisy. Kerana dikatakan surah ini diturunkan apabila mereka telah ada keputusan untuk menyerang dan membunuh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka memang telah tidak percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ, dan sekarang apa lagi yang mereka hendak lakukan?

Seolah-olah Allah ﷻ berkata kepada mereka: “wahai puak Quraisy, kamu telah mendustakan Rasul kamu, sekarang kamu hendak membunuh baginda? Kalau begitu, kamu lebih teruk lagi dari Kaum Tsamud itu. Mereka bunuh unta itu, tapi kamu nak bunuh Rasul kamu sendiri? Lihatlah apa yang telah terjadi kepada kaum Tsamud itu kerana kesalahan mereka. Apakah kamu hendak dapat lagi teruk lagi dari itu?”.

Mari kita lihat apa yang telah dikenakan kepada Kaum Tsamud.

 

فَدَمدَمَ عَلَيهِم رَبُّهُم بِذَنۢبِهِم فَسَوَّٮٰهَ

maka Tuhan mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyama-ratakan mereka (dengan tanah),

Kalimah دَمدَمَ bermaksud untuk memukul sesuatu ke tanah sampaikan ia menjadi sama paras dengan tanah itu kerana ia telah jadi leper dan jadi satu lapis dengan bumi. Maknanya, mereka telah dipukul ke tanah sampaikan mereka jadi penyet dan bersatu dengan tanah.

Kita tidak pernah lihat perkara ini melainkan kalau dalam kartun sahaja. Teruk sekali apa yang Allah ﷻ telah lakukan terhadap mereka. Allah ﷻ gunakan kalimah رَبُّهُم (Tuhan mereka) dalam ayat ini sebagai peringatan yang Allah ﷻ itu adalah Rabb dan Dia boleh buat apa sahaja. Kalau degil, Allah ﷻ boleh buat apa sahaja terhadap mereka.

Mereka dikenakan dengan azab yang teruk itu kerana dosa mereka (بِذَنۢبِهِم). Tetapi dalam Al-Qur’an ada 10 jenis kalimah yang digunakan untuk ‘dosa’. Kalimah ذَنبِ diambil dari kalimah yang bermaksud ekor binatang. Ia digunakan untuk dosa secara umum – kecil atau besar.

Ia juga adalah dosa yang memalukan kerana ekor adalah sesuatu yang memalukan kerana ia terletak di belakang. Ianya juga bermaksud dosa yang memang telah diketahui – sepatutnya hati mereka sudah tahu yang apa yang mereka lakukan itu adalah berdosa – tak perlu fatwa untuk kata apa yang mereka lakukan itu adalah dosa.

Kalimah سَوّاها ini telah digunakan sebelum ini untuk membawa maksud keseimbangan – وَنَفسٍ وَما سَوّاها (ayat 7). Maksudnya dalam ayat ini, Allah ﷻ seimbangkan mereka dengan tanah dan bumi. Mereka terpenyet ke dalam bumi kerana Allah ﷻ sudah pukul mereka ke dalam tanah. Mereka tidak mahu seimbangkan antara kehendak fizikal dan kehendak nafs, maka Allah ﷻ seimbangkan mereka dengan tanah.

Ia juga boleh bermaksud, Allah ﷻ telah seimbangkan semula bumi dengan mematikan mereka. Iaitu dengan membuang punca kejahatan dari dalam dunia, iaitu mereka.

Satu persoalan mungkin timbul. Kenapa Allah ﷻ gunakan kalimah ‘mereka’, sedangkan yang membunuh unta itu adalah seorang sahaja? Memang yang membunuh seorang sahaja, tapi kerana yang lain semua setuju, maka semua sekali dikenakan dengan azab itu.


 

Ayat 15:

وَلَا يَخَافُ عُقبَـٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He does not fear the consequence thereof.¹

  • Allāh is not asked about what He does, but His servants will be asked. See 21:23.

(MALAY)

dan Allah tidak takut terhadap akibat tindakan-Nya itu.

 

Allah ﷻ boleh nak buat apa-apa sahaja yang Dia hendak. Dia tidak takut apakah balasan kepada perbuatanNya yang memusnahkan mereka. Allah ﷻ tidak hiraukan mereka langsung, kerana mereka tidak penting pun.

Mereka yang merosakkan jiwa mereka sendiri, mereka tidak takut dengan kesan kerosakan itu pada diri mereka. Mereka juga tidak takut dengan kesan dari perbuatan dosa mereka. Sebagaimana contoh Kaum Tsamud yang mendustakan Rasul mereka dan membunuh unta mukjizat itu.

Memang mereka tidak takut, tapi Allah ﷻ nak beritahu, bukan mereka yang patut tidak takut, tapi Allah ﷻ. Mereka sepatutnya takut dengan kesan dari perbuatan mereka itu. Allah ﷻ sahaja yang tidak takut dengan kesan dari perbuatanNya kerana Dia Rabb. Allah ﷻ memang tidak takut dengan apa-apa kesan pun.

Sebagai contoh, Allah ﷻ tidak takut ada orang yang cakap: “Tuhan jenis apa yang memusnahkan makhluk?” Allah ﷻ juga tidak takut dengan orang Kristian yang kata Jesus is the god of mercy kalau dibandingkan dengan Allah ﷻ yang mereka kata hanya tahu memusnahkan sahaja; Allah ﷻ tidak takut dengan tuduhan-tuduhan itu. Ini adalah kerana Allah ﷻ tidak boleh dipersoalkan segala tindakanNya dan memang tidak ada sesiapa pun yang boleh ambil tindakan terhadap Allah ﷻ.

Oleh itu, hanya Allah ﷻ sahaja yang patut tidak takut, sedangkan semua selain Allah  ﷻ patut takut terhadap Allah ﷻ atas kesalahan yang mereka lakukan. Jangan buat dosa dan rasa senang hati boleh terselamat sahaja.

Kalimah عُقبى adalah dalam bentuk isim mubalaghah (perkataan yang biasa: aaqibah) – maknanya, kesan yang paling besar mana pun Allah  ﷻ tidak takut. Bayangkanlah kesan apa pun, Allah ﷻ tidak takut dengan kesan itu. Kita sebagai makhluk, ada banyak takut – takut hilang rezeki tak makan, takut mati, takut sakit dan macam-macam lagi. Tapi Allah ﷻ tidak ada masalah itu.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Layl.

Kemaskini: 4 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s