Tafsir Surah al-Qamar Ayat 28 – 40 (Gay pun baca Qur’an?)

Ayat 28: Setelah mereka meminta Nabi Saleh a.s. mengeluarkan unta itu, dan Allah telah mengeluarkannya, maka ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi

وَنَبِّئهُم أَنَّ الماءَ قِسمَةٌ بَينَهُم ۖ كُلُّ شِربٍ مُّحتَضَرٌ

Sahih International

And inform them that the water is shared between them, each [day of] drink attended [by turn].

Malay

Dan khabarkanlah kepada mereka, bahawa sesungguhnya air (telaga mereka) terbahagi di antara mereka dengan unta itu, tiap-tiap bahagian air itu dihadiri oleh yang berhak mengambilnya (pada hari gilirannya).

 

وَنَبِّئْهُمْ أَنَّ الْمَاءَ قِسْمَةٌ بَيْنَهُمْ

Dan beritakanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya air itu terbahagi antara mereka (dengan unta betina itu);

Kalimah قِسْمَةٌ bermaksud pembahagian kepada dua bahagian. Sumber air mereka perlu dibahagikan antara mereka dan juga unta itu. Satu hari mereka boleh minum dan esoknya air itu hanya diperuntukkan untuk unta itu sahaja. Mereka bergilir hari untuk menggunakan air itu.

 

كُلُّ شِرْبٍ مُّحْتَضَرٌ

tiap-tiap giliran minum dihadiri (oleh yang punya giliran)

Giliran minuman itu perlu dijaga. Jikalau hari itu adalah hari minuman untuk manusia, mereka boleh hadir dan unta itu tidak akan datang kepada tempat minuman. Unta itu di bawah kawalan Allah dan taat. Kalau bukan gilirannya, dia tidak akan datang.

Dan jikalau hari itu adalah giliran unta itu, manusia tidak boleh hadir untuk mengambil air minuman itu. Bukan mereka sahaja, ternakan mereka pun tidak boleh dibawa untuk minum dari telaga itu.

Unta itu pula memang makan dan minum air dengan banyak. Sampaikan kalau gilirannya itu, tidak ada lebihan air untuk manusia dan ternakan yang lain.

Dalam ayat ini, hanya diberikan maklumat ringkas sahaja. Dalam A’raf:73 ada disebut lagi tentang perkara ini:

وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ قَدْ جَاءَتْكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ هَٰذِهِ نَاقَةُ اللَّهِ لَكُمْ آيَةً فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللَّهِ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Tsamud saudara mereka Shaleh. Ia berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhanmu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu, maka biarkanlah dia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apapun, (yang kerananya) kamu akan ditimpa siksaan yang pedih”.

Dalam Syu’ara:155-156 juga ada disebut perkara ini:

قَالَ هَٰذِهِ نَاقَةٌ لَّهَا شِرْبٌ وَلَكُمْ شِرْبُ يَوْمٍ مَّعْلُومٍ

Saleh menjawab: “Ini seekor unta betina, ia mempunyai giliran untuk mendapatkan air, dan kamu mempunyai giliran pula untuk mendapatkan air di hari yang tertentu.

وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابُ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Dan janganlah kamu sentuh unta betina itu dengan sesuatu kejahatan, yang menyebabkan kamu akan ditimpa oleh azab hari yang besar”.

Dalam ayat ini, dengan jelas telah diberitahu kepada mereka supaya jangan aniaya unta itu. Kalau mereka menganiaya unta itu, mereka akan ditimpa dengan azab.


 

Ayat 29: Seperti yang telah disebut sebelum ini, Kaum Tsamud disuruh berkongsi sumber air dengan unta itu. Dan jangan mengganggu unta itu. Tapi mereka rasa susah dengan adanya unta itu. Mereka sudah susah hidup mereka kerana kena berkongsi air dengan unta itu. Maka mereka telah membuat pakatan jahat.

فَنادَوا صاحِبَهُم فَتَعاطىٰ فَعَقَرَ

Sahih International

But they called their companion, and he dared and hamstrung [her].

Malay

(Mereka selepas itu merasa bosan dengan keadaan unta itu dan berkira hendak membunuhnya), lalu mereka memanggil kawan mereka (yang sanggup membunuhnya), dia pun bertindak sampai dapat membunuhnya.

 

فَنَادَوْا صَاحِبَهُمْ

Maka mereka memanggil kawan mereka,

Apabila unta itu minum air dari telaga, ia akan minum dengan banyak kerana ia adalah unta yang besar. Tambahan pula, unta itu sedang hamil. Maka air mereka kurang. Maka, mereka telah berpakat hendak membunuh unta itu.

Lelaki yang mereka panggil untuk menyembelih unta itu adalah yang paling jahat bernama Kudar Ibn Salif. Dia adalah tukang sembelih (atau ketua salah satu puak). Dialah yang berani untuk membunuh unta itu.

Sebenarnya kaum itu walaupun tidak suka dengan unta itu, mereka tidak berani nak bunuh sendiri atau bunuh ramai-ramai. Walaupun Nabi Saleh a.s tidak ada tentera nak mempertahankan unta itu, mereka tetap takut kerana mereka rasa unta itu keramat. Kerana itu mereka kena panggil orang lain. Mereka pilih jenis orang yang kepala gila tak takut apa-apa.

Walaupun dia seorang sahaja yang bunuh, tapi sighah dalam ayat ini dalam bentuk jamak kerana ramai lagi yang sefahaman dengan lelaki itu. Walaupun tangannya dia sahaja yang sembelih tapi kerana mereka yang lain itu redha sahaja dan tidak buat apa-apa, maka azab dikenakan kepada mereka semua.

 

فَتَعَاطَىٰ فَعَقَرَ

lalu kawannya menangkap (unta itu) dan membunuhnya.

Dia telah mencekik unta itu. Kalau unta yang besar, tentu susah untuk menjatuhkannya. Kalau cara yang betul untuk menyembelih unta, satu kaki unta kena diikat dan tekaknya dicucuk dan unta itu akan jatuh sendiri. Itu adalah cara sembelih yang betul.

Tapi, yang dilakukan kepada unta Nabi Saleh, mereka telah memotong kaki unta itu. Selepas unta itu jatuh, mereka membiarkan unta itu dalam seksa. Itu adalah cara yang kejam. Kerana unta itu tidak terus mati.


 

Ayat 30: Kerana kejahatan mereka itu, mereka telah diberikan dengan seksa yang amat berat

فَكَيفَ كانَ عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

And how [severe] were My punishment and warning.

Malay

Maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!

 

Dipendekkan cerita, mereka telah dikenakan dengan azab yang amat teruk! Nanti akan disebut dalam ayat selepas ini apakah azab itu.

Allah suruh Musyrikin Mekah dan kita untuk membayangkan bagaimana azab yang hebat telah dikenakan kepada mereka. Dalam surah yang lain, telah diberitahu yang mereka telah diberi tiga hari untuk bersuka-suka dan selepas tiga hari itu, azab telah dijatuhkan keatas mereka. Apakah azab yang telah dikenakan kepada mereka?


 

Ayat 31: Inilah balasan azab kepada mereka.

إِنّا أَرسَلنا عَلَيهِم صَيحَةً وٰحِدَةً فَكانوا كَهَشيمِ المُحتَظِرِ

Sahih International

Indeed, We sent upon them one blast from the sky, and they became like the dry twig fragments of an [animal] pen.

Malay

Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang ternak.

 

إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ صَيْحَةً وٰحِدَةً

Sesungguhnya Kami menimpakan atas mereka satu suara yang keras mengguntur,

Yang menempik itu adalah malaikat Jibril. Dan tempikan itu hanya sekali sahaja tetapi dengan tempikan itu telah mencairkan otak mereka. Pecah kepala mereka kerana tempikan Jibrail itu. Pekikan itu juga sampai menggempakan bumi kerana kuatnya pekikan itu.

 

فَكَانُوا كَهَشِيمِ الْمُحْتَظِرِ

maka jadilah mereka seperti dahan kering tinggalan kandang binatang.

Rumput kering kalau dipegang atau dipijak pun sudah hancur. Perkataanالْمُحْتَظِرِ adalah dari katadasar حظر yang bermaksud ‘memagar sesuatu’ untuk menjaga sesuatu. الْمُحْتَظِرِ bermaksud seseorang yang membuat pagar. Membuat pagar dengan dahan kering untuk menjaga binatang.

Allah hendak menceritakan bagaimana mereka seumpama seperti tinggalan dahan kering dari binaan pagar. Kalau kita buat pagar dari dahan kering, ada sedikit bahagian yang jatuh, bukan? Itulah mereka diibaratkan oleh Allah. Mereka hancur berkecai sampai dahan kering sahaja. Yang mudah hancur kalau disentuh.

Orang Arab faham bahasa yang pepatah yang digunakan dalam ayat ini dan mereka boleh bayangkan teruknya keadaan itu.


 

Ayat 32: Sekali lagi Allah berfirman dengan ayat ini. Setiap kali selepas disebut kisah umat-umat terdahulu dalam surah ini, Allah mengeluarkan ayat ini supaya kita mengambil peringatan darinya.

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We have certainly made the Qur’an easy for remembrance, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

 

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْءآنَ لِلذِّكْرِ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur’an untuk diambil peringatan,

Sekali lagi diulang ayat keramat ini. Allah ingatkan kita, kalau dah mudah tu, cubalah belajar supaya dapat faham.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Allah bertanya kepada kita, siapakah yang mahu mengambil pengajaran, peringatan dan berdakwah menggunakan Qur’an ini?

Kita kenalah jawap dalam hati kita yang kitalah yang mahu mengambilnya. Kita akan mengambil peringatan dan pengajaran dari Qur’an ini dan kita akan menjadikan Qur’an ini sebagai wadah dakwah kita kepada manusia untuk mengajak kepada tauhid.


 

Ayat 33: Ini pula adalah ringkasan kisah kaum Nabi Luth a.s. Kisah yang lebih lanjut ada tersebut dalam surah-surah yang lain.

كَذَّبَت قَومُ لوطٍ بِالنُّذُرِ

Sahih International

The people of Lot denied the warning.

Malay

(Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasulnya).

 

Ini pula peringatan Allah tentang kaum Nabi Luth yang tinggal di Lost City of Atlantis itu. Nabi Luth adalah anak saudara Nabi Ibrahim a.s. Mereka telah berhijrah dari negara asal mereka dan duduk kawasan penempatan mereka semasa kejadian ini.


 

Ayat 34: Apakah azab yang dikenakan kepada mereka kerana dosa-dosa yang mereka lakukan?

إِنّا أَرسَلنا عَلَيهِم حاصِبًا إِلّا ءآلَ لوطٍ ۖ نَجَّينٰهُم بِسَحَرٍ

Sahih International

Indeed, We sent upon them a storm of stones, except the family of Lot – We saved them before dawn

Malay

Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam,

 

إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ حَاصِبًا

Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka taufan batu-batu (yang menimpa mereka),

Mereka dikenakan dengan hujan batu dari neraka. Setiap batu-batu itu telah ada nama mangsanya. Ini adalah kerana penolakan mereka terhadap dakwah dan ajaran Nabi Luth. Mereka menolak ajakan tauhid dari Nabi Luth dan mereka juga melakukan perbuatan terkutuk iaitu liwat (homeseksual).

Merekalah yang pertama sekali melakukan perkara ini kerana tidak pernah ada sejarah lagi dari perbuatan manusia lain. Oleh itu, dari kalimah nama Nabi Luth inilah dijadikan kalimah perbuatan liwath itu.

 

إِلَّا ءآلَ لُوطٍ

kecuali keluarga Luth.

Hanya keluarga Nabi Luth sahaja yang terselamat. Malaikat telah menyuruh mereka meninggalkan tempat itu sebelum bala itu turun.

Tapi tidak ramai yang selamat. Hanya Luth a.s. dan dua anak perempuannya sahaja. Isteri Nabi Luth pun tak selamat kerana dia bersekongkol dengan kaumnya yang homoseksual. Ini adalah kerana dia seorang munafik. Jiwanya bersama kaumnya.

Apabila dia seorang munafik maka dia tidak tinggalkan kaumnya. Macam orang munafik, boleh sahaja duduk dengan orang mukmin yan glain. Dan Nabi Luth sendiri tidak tahu yang isterinya itu munafik, kerana itulah dia tidak ceraikan.

 

نَّجَّيْنٰهُم بِسَحَرٍ

Mereka Kami selamatkan sebelum fajar menyingsing,

Malaikat datang dan suruh mereka selamatkan diri sebelum waktu subuh (waktu sahur). Mereka telah disuruh pergi tanpa pandang ke belakang. Supaya mereka tidak melihat bala yang menimpa kaum mereka.

Sedangkan kaum Nabi Musa boleh melihat bala yang dikenakan kepada Firaun dan tentera-tenteranya, kerana mereka boleh melihat mereka lemas dalam laut. Dan umat Nabi Muhammad pula dibenarkan untuk berperang dengan musuh mereka. Itu adalah beza antara umat-umat.


 

Ayat 35:

نِعمَةً مِّن عِندِنا ۚ كَذٰلِكَ نَجزي مَن شَكَرَ

Sahih International

As favor from Us. Thus do We reward he who is grateful.

Malay

Sebagai limpah kurnia dari Kami. Demikianlah kami membalas orang-orang yang bersyukur.

 

نِّعْمَةً مِّنْ عِندِنَا

sebagai nikmat dari sisi Kami.

Kalau Allah selamatkan, itu adalah nikmat yang Allah berikan. Ini bermakna, apa sahaja keselematan yang kita dapat, ianya adalah dari Allah dan ianya adalah satu nikmat sebenarnya.

 

كَذَٰلِكَ نَجْزِي مَن شَكَرَ

Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur,

Kalau kita bersyukur, kita akan dibalas dengan nikmat. Apakah ‘syukur’ yang dilakukan oleh Luth sampaikan baginda mendapat keselamatan itu? Kerana dia beriman dan bersabar. Dia bersyukur kerana dia dalam Islam. Dan dia tetap tinggal bersama kaumnya walaupun mereka tidak beriman.

Padahal dia bukan berasal dari kaum itu. Dia terus tinggal untuk berdakwah kepada mereka. Ulama mengatakan tidak boleh kita tinggal di negara bukan Islam kecuali kalau kita hendak berdakwah di situ. Kalau kita tidak boleh berdakwah, maka kita kena tinggalkan.

Jadi, bersyukur itu bermaksud menyebarkan agama. Oleh itu bukanlah maksud bersyukur itu hanya menyebut alhamdulillah berkali-kali sahaja tanpa mengamalkan agama Islam dengan benar dan menyebarkannya kepada orang lain juga. Iaitu kenalah kita mengajak manusia yang ramai-ramai itu kepada ajaran tauhid.

Begitulah Allah telah selamat Nabi Luth dan keluarganya. Begitulah juga Allah akan menyelamatkan hamba-hambaNya yang beriman nanti. Bukan hanya Nabi Luth sahaja yang akan diselamatkan. Tapi kalau kita juga beriman, dan kita juga menyebarkan dakwah, maka kita akan diselamatkan juga.


 

Ayat 36: Inilah ajakan dakwah Nabi Luth kepada kaumnya.

وَلَقَد أَنذَرَهُم بَطشَتَنا فَتَمارَوا بِالنُّذُرِ

Sahih International

And he had already warned them of Our assault, but they disputed the warning.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Nabi Lut telah memberi amaran kepada mereka mengenai azab seksa Kami; dalam pada itu, mereka tetap mendustakan amaran-amaran itu.

 

وَلَقَدْ أَنذَرَهُم بَطْشَتَنَا

Dan sesungguhnya dia (Luth) telah memperingatkan mereka akan azab-azab Kami,

Luth telah pernah memberikan ancaman kepada mereka dengan azab yang Allah boleh kenakan kepada kaum itu, kalau mereka engkar dengan arahan Allah. Bukannya mereka itu tidak diberi ancaman, tapi sudah berkali-kali diberikan ancaman.

 

فَتَمَارَوْا بِالنُّذُرِ

maka mereka mendustakan ancaman-ancaman itu.

Tapi mereka tidak mahu mendengar dan taat kepada ancaman dan dakwah itu. Ini adalah kerana mereka ragu-ragu. Dan ragu-ragu ini bahaya kerana lama kelamaan ia boleh menjadi kafir. Kerana itu tidak salah untuk ragu-ragu, tapi kenalah dihilangkan ragu-ragu itu dengan mencari kebenaran.

Sebagai contoh, sekarang ramai yang hairan dengan apa yang disampaikan oleh ustaz-ustaz sunnah kerana ianya perkara baru dalam masyarakat. Maka kenalah cari dalil apakah yang benar. Kena dengar dulu apa yang disampaikan dan kena tanya kepada orang yang tahu.

Walaupun kaum Nabi Luth itu tidak mahu menerima ajakan tauhidnya tetapi baginda masih dikira sebagai seorang yang ‘bersyukur dan diselamatkan’. Kerana Allah bukan kira kejayaan seorang pendakwah itu berapa ramai orang yang mengikutnya tetapi Dia mahu melihat kita melakukan dakwah. Kerana kita tidak boleh memberi hidayah kepada orang lain, kita cuma boleh menyampaikannya sahaja.


 

Ayat 37: Kaum Nabi Luth telah melakukan satu dosa yang besar iaitu homoseksual.

وَلَقَد رٰوَدوهُ عَن ضَيفِهِ فَطَمَسنا أَعيُنَهُم فَذوقوا عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

And they had demanded from him his guests, but We obliterated their eyes, [saying], “Taste My punishment and warning.”

Malay

Dan demi sesungguhnya! Mereka telah memujuk Nabi Lut mengenai tetamunya, lalu Kami hapuskan biji mata mereka, serta (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!

 

وَلَقَدْ رٰوَدُوهُ عَن ضَيْفِهِ

Dan sesungguhnya mereka telah memaksanya (agar menyerahkan) tamunya (kepada mereka),

Kaum Nabi Luth memaksa Nabi Luth untuk memberikan tetamu baginda kepada mereka untuk diliwat.

Dalam ayat ini hanya disebut kisah itu secara ringkas. Dalam surah lain disebutkan bagaimana Nabi Luth telah didatangi oleh dua malaikat yang merupakan diri mereka seperti lelaki yang kacak. Mereka pula adalah kaum yang mengamalkan homoseksual.

Maka mereka telah berkenan kepada tetamu Nabi Luth itu tanpa mengetahui yang mereka berdua adalah malaikat yang datang untuk menghancurkan mereka. Kisah ini telah disebut dengan lebih panjang di dalam Hud:77-83 dan Al-Hijr:61-74.

Nota: ada golongan gay yang jahil agama dan bodoh berkata: yang salah kalau memaksa sahaja macam yang disebut dalam ayat ini. Maka mereka kata, kalau rela sama-sama suka, tidak mengapa.

Ini amat bahaya sekali kalau pemahaman ini menular dalam masyarakat yang memang telah jahil agama. Ayat-ayat Qur’an kenalah dibaca semua sekali, janganlah tebuk dan cari ayat-ayat yang agak-agak kena dengan golongan kita dan pandai-pandai sahaja tafsir sendiri nak membenarkan amalan salah sendiri.

Eloklah golongan gay pun baca Qur’an. Tapi bacalah semua ayat dan marilah belajar tafsir Qur’an supaya tidak salah faham. Kerana apa yang mereka faham itu amat jauh dari agama. Memang tidak akan pernah liwat dibenarkan dan tidak akan dibenarkan sampai bila-bila.

 

فَطَمَسْنَا أَعْيُنَهُمْ

lalu Kami butakan mata mereka,

Allah menjadikan mereka buta sampaikan tidak boleh buat apa-apa kepada malaikat itu. Iaitu apabila mereka merempuh masuk ke dalam rumah Nabi Luth a.s, cahaya terang telah menyilaukan mata mereka.

Juga ada dikatakan bahawa Jibril telah memukul mata mereka dengan sayapnya.

 

فَذُوقُوا عَذَابِي وَنُذُرِ

maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.

Ayat ini lain sedikit daripada ayat-ayat yang sebelum ini. Dalam ayat ini, digunakan perkataan فَذُوقُوا  (rasakanlah) dan ayat-ayat sebelum ini digunakan perkataan فَكَيْفَ كَانَ (lihatlah bagaimana). Ini adalah kerana sebelum ini, ayat-ayat itu ditujukan kepada musyrikin Mekah.

Allah menceritakan apakah azab yang telah dikenakan kepada kaum-kaum itu dan Allah suruh musyrkin Mekah dan kita membayangkan bagaimanakah azab-azab itu. Tapi dalam ayat ini, Allah tujukan terus pada kaum Nabi Luth soalan itu kerana murkanya Allah kepada mereka terlalu tinggi.


 

Ayat 38:

وَلَقَد صَبَّحَهُم بُكرَةً عَذابٌ مُّستَقِرٌّ

Sahih International

And there came upon them by morning an abiding punishment.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Mereka telah ditimpa azab yang kekal pada pagi-pagi hari (esoknya).

 

وَلَقَدْ صَبَّحَهُم بُكْرَةً

Dan sesungguhnya pada esok harinya

Azab yang dikenakan kepada mereka itu datang pada awal pagi. Ayat ini adalah ringkasan sahaja, tidak disebutkan apakah azab itu. Negeri mereka telah dicungkil oleh Jibrail dan diangkat ke langit. Dan mereka telah dihempaskan kembali ke bumi. Dan kemudian mereka telah dihujani dengan batu.

 

عَذَابٌ مُّسْتَقِرٌّ

mereka ditimpa azab yang kekal.

Azab itu kekal sampaikan ke neraka dan tidak akan keluar sampai bila-bila. Kerana mereka tidak ada peluang untuk bertaubat dan kerana itu mereka akan kekal dalam neraka.


 

Ayat 39:

فَذوقوا عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

So taste My punishment and warning.

Malay

Lalu (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!

 

Inilah ancaman dari Allah. Allah ceritakan apa yang terjadi kepada kaum-kaum yang terdahulu sebagai peringatan kepada umat-umat selepas itu. Janganlah mereka degil untuk menerima ajakan tauhid dan ajaran agama dari Rasul mereka.

Jangan kita sangka mereka sahaja yang boleh dikenakan dengan azab. Kalau kita pun berperangan seperti mereka, maka azab pun boleh dikenakan kepada kita semasa di dunia lagi.


 

Ayat 40:

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We have certainly made the Qur’an easy for remembrance, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

 

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْءآنَ لِلذِّكْرِ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur’an untuk pelajaran,

Maka janganlah kita leka lalai dari Qur’an ini. Semua dah kenal Qur’an, maka teruskan dengan berusaha untuk memahami apakah ajaran dalam Qur’an itu. Jangan pandai baca sahaja seperti kebanyakan dari masyarakat Melayu kita.

Kalau bab baca Qur’an, beriya-iya sungguh mereka belajar, tapi bab belajar faham makna? Tidak ramai lagi yang mahu belajar.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Ayat ini ditujukan kepada kita. Maka kenalah kita menjawap yang kita yang akan mengambil pengajaran dan peringatan dari Qur’an ini. Kitalah yang menyahut ajakan dari Allah ini untuk belajar. Kerana itu ada yang sampai ke sini dan berusaha untuk baca dan belajar.

Semoga Allah tempatkan kita di dalam kalangan orang-orang yang alim tentang Qur’an ini.

Habis Ruku’ 2 dari 3 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Jun 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s